Search This Blog

Tuesday, June 15, 2010

Empat lelaki Afrika ditahan miliki wang palsu

KUALA LUMPUR: Tembelang empat lelaki warga Afrika yang memperkenalkan diri mereka sebagai ejen kiriman wang kepada seorang suri rumah terbongkar selepas polis menemui lebih 12,000 keping wang palsu di sebuah kondominium mewah di sini.
Mangsa yang berusia 53 tahun itu membuat laporan polis selepas kerugian lebih RM17,000 selepas membuat pembayaran untuk proses pengeluaran wang bernilai US$3.5 juta (RM11.5 juta) yang kononnya dikirim kepada mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany berkata, mangsa menerima panggilan pada 2 Jun lalu daripada salah seorang suspek yang mendakwa terdapat kiriman wang untuk mangsa, namun mangsa dikehendaki membuat beberapa pembayaran bagi tujuan pemprosesan pengeluaran wang itu.

Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan kata-kata lelaki itu kemudian bertemu dengan suspek pada 5 Jun lalu di tempat letak kereta sebuah hospital swasta di sini dan memberi wang tunai berjumlah RM5,650 kepada suspek.

"Selepas pembayaran itu dibuat, mangsa kemudiann diminta membuat pembayaran kedua pada 7 Jun lalu berjumlah US$3,550 (RM11,623) di Avenue K, Jalan Ampang di sini," katanya pada sidang media di sini.

Izany berkata, oleh kerana belum menerima kiriman yang dijanjikan itu selepas membuat dua pembayaran, mangsa akhirnya bertindak membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu.

Katanya, mangsa kemudian menerima panggilan daripada suspek yang meminta mangsa membuat pembayaran ketiga di Avenue K kira-kira 3 petang, Khamis lalu.

Beliau berkata, ketika urusan pembayaran itu dilakukan, polis menahan suspek berusia 27 tahun itu dan menyerbu sebuah unit kondominium mewah di Kampung Baru Ampang di sini serta menahan tiga lagi lelaki. Katanya, hasil pemeriksaan di dalam unit itu, polis menemui kepingan wang RM50 sebanyak 8,400 keping, US$100 (4,200 keping), US$50 (120 keping), US$20 (30 keping) dan US$10 (80 keping) yang diletakkan di dalam dua buah beg pakaian.

"Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 22 hingga 30 tahun dan dipercayai memasuki negara ini pada tahun 2007 dengan menggunakan visa pelajar dan salah seorang daripada suspek menggunakan pas UNHCR," katanya.

Katanya, sindiket itu telah bergiat aktif sejak dua tahun lalu. Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga 24 Jun depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 489C akta yang sama kerana memiliki wang palsu.-Bernama

Dua perompak ditahan empat jam selepas rompak seorang peniaga di Kuala Berang

KUALA TERENGGANU: Polis tahan dua lelaki warganegara Indonesia, kira-kira empat jam, selepas mereka bersama dua lagi suspek yang masih bebas merompak seorang peniaga di Kampung Tajing, Kuala Berang, Hulu Terengganu awal hari ini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supeeriintendan K Manoharan berkata, hasil tindakan pantas polis memaklumkan kejadian samun di rumah peniaga itu kira-kira jam 3.30 pagi tadi, polis Pahang menahan dua daripada suspek itu yang melarikan diri dengan kereta milik mangsa di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Lembing, Kuantan pada kira-kira jam 7 pagi.
Seorang daripada suspek itu dapat meloloskan diri ke dalam ladang kelapa sawit manakala seorang lagi melarikan diri dengan kereta itu. Bagaimanapun, kenderaan itu ditemui kira-kira tiga kilometer daripada tempat mereka ditahan dan menemui semula beberapa barangan yang dilarikan suspek. Katanya, dalam kejadian itu seorang peniaga yang sedang tidur di rumahnya dikejutkan oleh empat lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan pisau sebelum mengikat mangsa, isteri dan anak lelakinya berumur 17 tahun sambil mengugut supaya tidak membuat bising.

"Kumpulan penyamun berkenaan kemudian melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, dua telefon bimbit, komputer riba, kamera, wang tunai RM1,300 dan kereta Perodua Kembara kepunyaan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Manoharan berkata, bagaimanapun, peniaga berumur 52 tahun itu dapat melepaskan diri tidak lama kemudian dan membuat laporan di Balai Polis Hulu Terengganu.

Katanya, kumpulan perompak berumur antara 20 hingga 30 tahun itu dipercayai datang daripada Pahang dan menyamun di rumah mangsa sebelum balik ke Pahang.

Beliau berkata, gerakan memburu dua lagi suspek itu sedang dijalankan dengan kerjasama polis Pahang dan pasukan Rela.

Dalam kes lain, polis Terengganu percaya dapat menyelesaikan kes ragut di kawasan bandar ini dengan tertangkapnya seorang pembantu kedai berumur 26 tahun yang berasal dari Marang.

"Hasil siasatan polis menemui beberapa beg tangan wanita, kad pengenalan dan kad kredit dipercayai milik mangsa ragut. Polis kini memburu seorang lagi rakan suspek berumur 23 tahun yang berasal dari Kampung Nibong Panji Alam, di sini untuk membantu siasatan," katanya. -Bernama

Polis gagalkan cubaan seludup dadah bernilai hampir RM500,000

SHAH ALAM: Polis menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu dan ketamin bernilai hampir setengah juta ringgit dalam tiga rampasan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisiioner Nordin Kadir berkata, ketiga-tiga rampasan itu membabitkan dua lelaki warga negara India berusia 40 dan 43 tahun serta seorang lelaki warga negara Iran berumur 30 tahun.
Beliau berkata, dalam rampasan pada 9 Jun lalu di KLIA, polis menahan seorang lelaki warga India berusia 43 tahun ketika sedang menolak troli mengandungi sebuah kotak berisi pakaian dan sebuah beg.

"Pemeriksaan ke atas kotak itu menemui 20 paket plastik mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 4.75 kg dan bernilai kira-kira RM145,000 yang disorokkan dalam dinding kotak tersebut. Turut dirampas wang tunai RM650 dan sejumlah matawang asing," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nordin berkata, siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi di negaranya pernah masuk ke negara ini sebanyak tiga kali dan dadah itu dipercayai untuk dipasarkan semula ke negara-negara lain.

Dalam rampasan pada 11 Jun juga di lapangan terbang yang sama, beliau berkata polis telah menahan seorang lelaki warga Iran berumur 30 tahun yang tiba melalui penerbangan dari Dubai.

Katanya, pemeriksaan badan ke atas lelaki tersebut menjumpai gumpalan tisu-tisu mengandungi 21 biji kapsul berisi dadah dipercayai syabu seberat 330 gram yang diselitkan di bahagian kanan dan kiri pinggang seluarnya.

"Turut ditemui pada suspek sejumlah matawang asing. Suspek kemudian dibawa ke Hospital Serdang dan melalui ujian X-ray, sebanyak 64 kapsul berisi syabu seberat 562 gram ditemui di dalam perutnya dan polis mengambil masa tiga hari untuk mengeluarkan dadah tersebut daripada perut suspek," katanya sambil menambah jumlah rampasan ialah kira-kira RM225,000.

Nordin berkata, siasatan mendapati suspek dibayar upah sebanyak USD20 (RM65.45) bagi setiap biji kapsul yang ditelan itu.

Seterusnya dalam rampasan pada 13 Jun di LCCT, beliau berkata polis menahan seorang lelaki warga India berusia 40 tahun yang membawa dua buah beg.

Nordin berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua beg menjumpai satu bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 2 kg di bahagian bawah beg pertama dan satu bungkusan plastik berisi dadah jenis sama seberat 1.9 kg di bahagian bawah beg kedua.
Katanya, turut dirampas daripada suspek yang bekerja sebagai buruh di negaranya ialah wang tunai RM786 dan sejumlah matawang asing.

"Nilai rampasan berjumlah kira-kira RM120,000. Suspek yang pertama kali masuk ke Malaysia dijangka balik ke negara asalnya pada 14 Jun lepas," katanya.

Nordin berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama

Pegawai polis kehilangan pistol, 14 peluru selepas bilik hotel diceroboh masuk

SIBU: Seorang pegawai polis melaporkan kehilangan sepucuk pistol bersama 14 butir peluru yang dibawanya, ketika beliau dan seorang rakan setugas sedang tidur dalam bilik di sebuah hotel di sini awal hari ini.
Pegawai itu dan rakannya yang bertugas di Bahagian Betong, sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu mesyuarat esok apabila mereka mendaftar masuk ke sebuah hotel di Kampung Nyabor malam semalam.
Dalam laporan polis itu, pegawai berkenaan berkata mereka berjaga sehingga 3 pagi, menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia menerusi televisyen dalam bilik mereka di tingkat satu.

Sebelum melelapkan mata, mereka mengunci pintu tetapi tingkap tidak dapat dikunci.

Kira-kira 4 pagi, pegawai terbabit terjaga selepas terdengar bunyi benda jatuh dan apabila diperiksa, beliau mendapati beg kembaranya diselongkar dan pakaiannya bertaburan di atas lantai.

Dalam laporan itu juga, pegawai berkenaan berkata beliau kehilangan sebuah telefon bimbit bernilai RM1,600.- Bernama

Ribut rosakkan bumbung 18 rumah di Bagan Datoh



15/06/2010 4:50pm

BAGAN DATOH 15 Jun — Bumbung 18 buah rumah di tiga buah kampung di Mukim Rungkup di sini rosak diterbangkan angin dalam satu kejadian ribut yang berlaku petang semalam yang membabitkan kerugian RM20,000.
Ribut yang melanda Kampung Sungai Haji Muhammad, Kampung Parit Serong dan Kampung Sungai Balai Darat pada pukul 6.45 petang itu turut menyebabkan 32 hektar kebun pisang milik penduduk di tiga kampung berkenaan rosak membabitkan kerugian RM160,000.
Salah seorang mangsa, Siti Nurhayati Abdul Hamid, 27, mendakwa mengalami kerugian RM4,500 apabila bumbung warung kedainya di Kampung Sungai Haji Muhammad diterbangkan angin dalam kejadian ribut berkenaan.
"Kejadian berlaku dalam masa lima minit ketika saya sedang memasak di dapur untuk pelanggan dan tiba-tiba saya lihat atap zink diterbangkan angin dan terus berlari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi mangsa, Hariri Hashim, 66, berkata beliau sedang menunaikan sembahyang Asar apabila tiba-tiba mendengar dentuman kuat di bahagian bumbung rumahnya.
"Saya bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM5,000 akibat kejadian ribut itu.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Haji Muhammad, Mustapa Hatib, 65, berkata semua mangsa ribut telah membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melakukan bancian kerosakan yang dialami oleh mangsa ribut tersebut. — Bernama

Lelaki maut dilanggar kereta api

PASIR MAS - Seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya, maut dilanggar sebuah kereta api dalam kejadian di Stesen Keretapi Pasir Mas di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi.

"Mangsa dikatakan cuba untuk melintas landasan, bagaimanapun tidak perasan kehadiran kereta api menyebabkan dia dirempuh yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lipis," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan kuat itu mangsa tercampak di tepi landasan dan maut di tempat kejadian berikutan cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Haliluddin berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

“Polis kini sedang berusaha mengesan keluarga mangsa untuk mengenal pasti identiti sebenar mangsa.

"Kami (polis) meminta sesiapa kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi balai polis Pasir Mas atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membuat pengecaman dan membantu kami cari identiti mangsa," katanya. - Bernama

Janda berahi tidak serik



KUANTAN – Biarpun sebelum ini sudah tiga kali ditahan kerana berkhalwat, seorang janda berusia 30-an, seolah-olah tidak serik melakukan perbuatan terkutuk itu apabila dia ditahan buat kali keempat dalam serbuan yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Lorong Bukit Setongkol Perdana 38, baru-baru ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, pasangannya yang berstatus suami orang sedang tidur bersama anak perempuannya dalam bilik, kononnya mahu mengaburi mata Pegawai Penguat Kuasa Jaip.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaip, Badaruddin Ahmad Bustami berkata, wanita berkenaan memberi alasan pasangannya itu datang ke rumah sekadar menemaninya dan bukan untuk melakukan hubungan seks.

“Kami menerima aduan teman serumahnya sendiri yang baru menyedari kehadiran lelaki berkenaan. Menurut saksi, dia memang sedia maklum rakannya itu berkawan dengan lelaki berkenaan, tetapi tidak menyangka dia bertindak sebegitu nekad.

“Curiga dengan tindakan rakannya itu, saksi berkenaan menghubungi Jaip bagi melakukan serbuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

15.5kg heroin dalam kotak buah

ABU DHABI: Polis semalam menahan tiga lelaki warga Asia yang didakwa cuba menyeludup 15.5 kilogram heroin dengan menyembunyikannya dalam kotak buah-buahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Kolonel Hamad Ahmad Al Hammadi berkata, pihaknya memerangkap suspek dengan bersetuju membeli dadah itu pada harga Dh960,000 (RM852,000).
Ketua Unit Antinarkotik jabatan berkenaan, Leftenan Kolonel Sultan Sawayeh Al Darmaki yang menyelaras operasi itu berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat bahawa seorang warga Afghanistan yang terbabit dalam kegiatan perniagaan dadah mencari pembeli.

“Anggota kami berunding dengannya dan bersetuju membeli dadah bermutu tinggi itu,” katanya. - Agensi

30 ditangkap kerana tonton Piala Dunia

MOGADISHU: Satu kumpulan militia Somalia dilapor menangkap kira-kira 30 orang, termasuk seorang budak berusia 15 tahun, kerana menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia di televisyen.
Saksi berkata, kumpulan militia berkenaan menyerbu dua buah rumah persendirian di bandar Afgoye, berhampiran Mogadishu awal pagi semalam ketika peminat bola sepak itu asyik menonton pelawanan antara Jerman dengan Australia.
Saksi berkenaan mendakwa, kumpulan itu terdiri daripada anggota Hizbul Islam.

Hizbul Islam, sama seperti kumpulan al-Shabab yang ada hubungan dengan al-Qaeda, melaksanakan undang-undang ketat di kawasan yang mereka kuasai di selatan dan tengah Somalia.

April lalu, Hizbul Islam mengharamkan stesen radio yang berpusat di Mogadishu memainkan muzik dengan menganggapnya tidak Islamik, langkah sama yang pernah dilakukan Taliban di Afghanistan. - AF

Jumlah korban jangkau 200

BISHKEK: Pemimpin kumpulan etnik Uzbek di Kyrgyzstan berkata, lebih 200 anggota masyarakat berkenaan terbunuh dalam sengketa perkauman di negara Asia Tengah itu.
Pada masa sama, lebih 100,000 kaum berkenaan melarikan diri ke sempadan dengan Uzbekistan.
Jallahitdin Jalilatdinov yang mengetuai Pusat Kebangsaan Uzbek memberitahu wartawan, sehingga semalam, lebih 200 mayat etnik Uzbek dikebumikan.

Angka yang diberikannya lebih tinggi berbanding 117, anggaran yang dikeluarkan kerajaan sementara Kyrgyzstan.

Sementara itu, belum ada tanda menunjukkan rusuhan yang meletus antara kaum Kyrgyz dengan Uzbek sejak Khamis lalu akan reda.

Sebaliknya, kata saksi, ia semakin buruk dengan kerajaan sementara yang menggulinghkan kerajaan pimpinan Kurmanbek Bakiyev April lalu gagal menghentikannya.

Keluarga Kurmanbek didakwa menjadi dalang keganasan itu sebagai tindak balas terhadap sokongan kaum Uzbek terhadap kerajaan sementara.

Majoriti kaum Kyrgyz di selatan negara itu menyokong Kurmanbek.

Dalam pada itu, keganasan baru meletus di Osh, bandar kedua terbesar negara itu yang bersempadan dengan Uzbekistan, semalam.

Di daerah Aravanskoe yang majoriti penduduknya kaum Uzbek, semua kedai dan restoran musnah selepas dibakar perusuh Kyrgysz.

Sorang wartawan Associated Press berkata, dia melihat mayat tiga penduduk etnik Uzbek dalam bangunan yang masih terbakar.

Pemandu Noordin dipenjara 8 tahun

JAKARTA: Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap pemandu bekas ketua kumpulan militan, Noordin Mohammad Top atas tuduhan bersekongkol dalam kegiatan jenayah dan merancang pembunuhan Presiden Indonesia.
Amir Abdillah, 34, didapati bersalah menyembunyikan maklumat mengenai Noordin, warga Malaysia dan mengambil bahagian dalam persiapan melancarkan serangan terhadap konvoi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Hukuman itu lebih ringan berbanding 10 tahun yang dimohon pendakwa raya selepas tertuduh bekerjasama dengan polis dan menunjukkan rasa kesalnya.

“Memang benar dia membantu dalam menentukan laluan yang akan digunakan oleh konvoi presiden.

“Memang benar dia tahu mengenai rancangan untuk mengebom konvoi itu,” kata Ketua Hakim, Sudarwin di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan.

Amir ditangkap selepas serangan berkembar terhadap dua hotel mewah di Jakarta Julai lalu yang meragut tujuh nyawa, pengeboman terakhir yang dirancang oleh Noordin.

Polis menembak mati Noordin September lalu, sekali gus mengakhiri gerakan memburu terbesar pernah dilakukan di Asia Tenggara.

Sementara itu, Amir, ketika bercakap kepada wartawan selepas hukuman itu mendakwa dia tidak bersalah.

“Saya hanya melakukan apa yang disuruh. Saya tidak tahu bahan membuat kek yang saya bawa ketika itu adalah bahan membuat bom,” katanya. - AFP

Polis serbu sekolah periksa telefon bimbit

JAKARTA: Polis semalam menyerbu sebuah sekolah dan memeriksa telefon bimbit pelajar untuk mencari klip video porno selebriti yang dimuat turunkan dari Internet.
Jurucakap polis di Jawa Timur berkata, serbuan itu adalah sebahagian daripada tindakan polis berhubung penyebaran video membabitkan tiga selebriti tempatan — penyanyi kumpulan Peterpen, Ariel dan model serta pelakon, Luna Maya dan Cut Tari — mengadakan seks.
Ketiga-tiga selebriti berkenaan berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun jika didapati bersalah menerbitkan atau mengedarkan bahan lucah mengikut Undang-Undang Antiporno yang diluluskan Parlimen Indonesia pada 2008.

“Operasi itu dilakukan bagi menjauhkan pelajar daripada video porno itu kerana ia akan memberi kesan buruk pada mereka,” kata jurucakap itu. - AFP

Tonton video lucah isteri

JAKARTA: Johannes Yusuf Subrata, suami pelakon, model dan penyampai televisyen, Cut Tari, mengaku sudah menonton video porno yang didakwa melibatkan isterinya dengan penyanyi kumpulan Peterpen, Ariel.
Bagaimanapun, ia menolak untuk menyaksikan video porno yang melibatkan Ariel dan Luna Maya, teman wanita penyanyi itu ketika ini.
“Itu urusan mereka (Ariel dan Luna). Saya tidak menontonnya,” kata Yusuf yang berkahwin dengan Cut, bekas teman wanita Ariel pada 9 Januari 2004, ketika ditemui di Balai Polis Jakarta Selatan, semalam.

Yusuf berkata, dia menemani isterinya yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung video seks itu.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut kes itu. Yusuf sebelum ini pernah berkata, dia tetap mermpercayai dan mencintai Cut.

Cut juga tidak mahu memberi sebarang kenyataan kepada wartawan yang menunggu ketibaannya di depan balai polis itu.

Jumaat lalu, Ariel Peterpen atau nama sebenarnya Nazril Irham dan Luna memberi keterangan kepada polis berhubung video itu yang hingga kini boleh diperoleh secara meluas walaupun polis melancarkan beberapa serbuan sejak minggu lalu. Video itu seolah-olah dirakam oleh Ariel ketika dia melakukan seks dengan Luna, dan Cut, pada waktu berlainan. - Agensi

Limpahan minyak BP sama dengan serangan 11/9

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam menyamakan bencana limpahan minyak di Pantai Teluk negara itu sebagai sama dengan kesan serangan 11 September 2001.
“Tumpahan minyak yang tidak berkesudahan dari pelantar cari gali di Pantai Teluk adalah seperti serangan pengganas pada 2001, yang akan mempengaruhi masa depan negara walaupun setelah krisis itu lama berakhir,” kata Obama ketika ditemuramah di pejabatnya semalam. Obama bukan satu-satunya orang berpendapat sedemikian.
Beberapa saintis dan pengkaji alam sebelum ini juga menyifatkan tragedi limpahan minyak itu sebagai ‘serangan alam sekitar 11 September. ‘ - Agensi

40 dikhuatiri mati lemas

LUCKNOW: Sekurang-kurangnya 25 orang mati lemas dan 17 lagi hilang selepas bot yang mereka naiki karam ketika satu upacara agama di Sungai Ganges, utara India, semalam.
Kejadian berlaku apabila bot berkenaan yang membawa 60 penumpang terbalik di sungai yang mengalir deras itu, kata pegawai.
“Pasukan penyelamat sudah menemui 25 mayat sementara 17 lagi masih hilang,” katanya. - AFP

Lelaki ugut bunuh isteri ketika bercuti direman

PORT DICKSON: Percutian seorang lelaki bersama ahli keluarganya bertukar menjadi kenangan pahit apabila dia terpaksa bermalam di lokap polis selepas ditahan kerana mengugut membunuh isterinya, di sini, awal pagi kelmarin.
Lelaki berusia 35 tahun itu diberkas polis selepas dia dan isterinya bertengkar kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu.
Bimbang dengan ugutan suaminya, wanita berusia 34 tahun itu kemudian membuat laporan polis.

Malah, lelaki itu dikatakan ingin membunuh dirinya apabila cuba terjun dari tingkat sembilan hotel yang disewa mereka.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, perbuatan lelaki itu disedari keluarga dan pengawal keselamatan hotel yang berjaya menghalang perbuatannya.

“Berdasarkan siasatan awal, pasangan itu dan beberapa lagi ahli keluarga datang dari Seremban menyewa tingkat satu hotel berkenaan.

“Ketika di hotel itu, mereka bergaduh dan lelaki berkenaan mengugut untuk membunuh isterinya menyebabkan wanita berkenaan takut dan membuat laporan polis,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika di balai polis kira-kira jam 1 pagi, wanita berkenaan menerima panggilan telefon daripada ahli keluarganya memberitahu suaminya cuba terjun dari tingkat sembilan.

Menurutnya, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba, mangsa sudah diselamatkan ahli keluarga dan pengawal keselamatan hotel.

“Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut berhubung tindakannya yang mengugut mahu membunuh isterinya dalam pergaduhan sebelum itu.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan turut menyiasat motif suspek cuba terjun daripada tingkat sembilan hotel yang disewa mereka,” katanya.

Mahu cari duit

MASJID TANAH: “Saya tergamam menyedari wajah saya terpampang di dada akhbar lalu mengambil keputusan pulang ke rumah keluarga kerana timbul perasaan kurang enak tambahan pula menyusahkan ramai orang.”
Begitu kata Nur Izatul Amirah Yohanis, 16, yang kembali ke pangkuan keluarga di Kampung Permatang Darat, di sini, selepas didakwa lari bersama kekasih siber, selain meninggalkan sekeping nota buat ibunya, kelmarin.
Kepulangan Nur Izatul yang masih menuntut di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, sekali gus menceriakan keluarganya selepas menyembunyikan diri di Kuala Lumpur sejak lebih seminggu lalu.

Nur Izatul ketika ditemui berkata, dia mengambil keputusan nekad meninggalkan rumah seorang diri kira-kira jam 11 malam Jumaat 4 Jun lalu dan bukan bersama teman lelaki seperti didakwa ibunya sebelum ini.

Katanya, dia tertekan akibat pengaruh rakan sebaya dan bercadang menamatkan sekolah disebabkan perasaan mahu mencari duit sendiri timbul membuak-buak.

“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk lari dari rumah dan ketika emak tidur, saya menghubungi rakan di kampung berdekatan untuk menumpang tidur sebelum ke bandar Melaka keesokannya. “Saya mengambil bas di Terminal Melaka Sentral sebelum ke Kuala Lumpur pada waktu tengah hari dan tiba di Bukit Jalil kira-kira jam 3 petang. “Saya kemudian diambil rakan untuk bermalam di rumah saudaranya di Pandan Indah,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan seorang remaja perempuan lari dari rumah dengan meninggalkan nota meminta tidak mencarinya.

Dituduh tipu RM9j

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menipu sebuah syarikat produk kesihatan membabitkan RM9.75 juta, tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Poh Gaik Lye, 55, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Jagjit Singh.

Serah pasport

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), P Chithirakala, 39, yang menghadapi tiga pertuduhan menipu membabitkan RM4 juta pada 2007, diarah menyerahkan pasportnya oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

20 kecederaan

SHAH ALAM: Pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi, semalam, kesan calar berbentuk ‘U’ pada muka dan badan mangsa dera, Syafiah Humaira Sahari, 4, mungkin berpunca daripada tapak kasut bola milik pemandu teksi yang didakwa membunuh kanak-kanak itu.
Dr Shahidan Md Noor, 51, yang bertugas di Hospital Sungai Buloh berkata, berdasarkan bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Kuala Kubu Baru pada 25 Februari lalu mendapati kecederaan mangsa berpunca dari impak akibat hentaman objek tumpul. Dia berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes Mohd Fazli Azri Jamil, 28, yang dituduh membunuh Syafiah Humaira di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, dekat Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu. Tertuduh yang juga teman lelaki kepada ibu mangsa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom. Tertuduh diwakili peguam bela, Gurbachan Singh. IDHAM: Adakah kasut but bola sepak ini boleh diklasifikasi sebagai objek tumpul? DR SHAHIDAN: Ya IDHAM: Jika seseorang yang memakai kasut seperti ini melakukan tendangan, memijak dan menyepak seseorang. Adakah ia boleh mendatangkan kecederaan seperti dalam gambar-gambar tadi? DR SHAHIDAN: Saya rasa boleh.
IDHAM: Jika seseorang itu menggunakan kasut ini untuk memijak perut seseorang, berapa kali ia perlu dilakukan untuk mendatangkan kecederaan? DR SHAHIDAN: Sekalipun boleh jika kena tempat dan kekuatan tertentu (yang digunakan untuk memijak), boleh sebab kesan lebam. IDHAM: Merujuk kepada gambar (bedah siasat), sekiranya kasut itu digunakan, adakah ia mendatangkan kecederaan berbentuk U kepada badan atau muka seseorang? Pada peringkat ini, Dr Shahidan meminta benang dan pembaris daripada kaki tangan mahkamah untuk mengukur tapak kasut but itu. Bagaimanapun, dia kemudian terpaksa menggunakan tali pengikat fail untuk tujuan itu. DR SHAHIDAN: Daripada ukur lilit lima sentimeter (sm), tebal satu sm dan bahagian tepi iaitu 0.1 sm, saya boleh cadangkan tapak kasut inilah yang mungkin digunakan terhadap mangsa. Saya berpendapat, ia mungkin menyebabkan kecederaan berbentuk ‘U’ pada mangsa. Terdahulu, Dr Shahidan berkata, bedah siasat mendapati 20 kecederaan luaran meliputi lebam dan calar pelbagai saiz pada badan mangsa.

Katanya, bahagian dalaman mangsa pula menunjukkan pendarahan pada kulit kepala, manakala otak kanak-kanak itu bengkak. Menurutnya, hati kanak-kanak malang itu pula menunjukkan kesan lebam selain ada pendarahan di sekeliling buah pinggang. Justeru, katanya, merumuskan semua kecederaan dalam dan luaran itu adalah kecederaan baru yang berlaku sekurang-kurangnya dalam 48 jam terakhir sebelum bedah siasat. Dr Shahidan berkata, mengambil kira jenis semua kecederaan luaran dan dalaman yang agak teruk, beliau berpendapat bahawa ia bukanlah berpunca daripada kemalangan, sebaliknya tindakan disengajakan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung hari ini.

'Ejen bola’ edar iklan ditahan

BATU PAHAT: Seorang ejen yang sibuk mengedarkan iklan pinjaman along sempena Piala Dunia 2010 Afrika Selatan di Pekan Ayer Hitam, di sini, ditahan ketika asyik menjalankan tugasnya itu.
Iklan mengelirukan itu termasuk pelbagai tawaran menarik seperti tanpa faedah selama lima hari diedarkan bersama jadual perlawanan bola sepak dan nombor telefon along.
Ia bukan setakat untuk menghubungi Along terbabit, malah untuk membuat pertaruhan membabitkan perlawanan dikehendaki.

Bagaimanapun, malang menimpa lelaki berusia 23 tahun itu kerana ketika asyik mengedarkan iklan, dia terserempak dengan seorang anggota polis sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata dalam kejadian petang kelmarin, lelaki terbabit ditahan ketika asyik meletak jadual dan iklan along di cermin depan kenderaan di sekitar Ayer Hitam.

Katanya, lelaki itu diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Tragedi Piala Dunia

GUA MUSANG: Akibat terlalu ghairah menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia, seorang lelaki terpaksa menerima tiga jahitan pada telinga kanannya selepas terkena serpihan kaca tingkap yang dipecahkan anaknya dalam kejadian di rumah mereka di Ladang Chin Teck, malam semalam.
Kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa, Rosli Mat Noor, 43, sedang duduk di ruang tamu rumah bersama anak lelaki sulungnya, Mohd Rizal, 17, menyaksikan perlawanan antara Serbia dan Ghana.
Gara-gara terlalu geram dengan perlawanan itu, Mohd Rizal dikatakan menendang bola di dalam rumah lalu terkena cermin tingkap rumah menyebabkannya pecah.

Menurut Rosli, ketika itu dia masih tidak menyedari serpihan cermin sudah tercucuk pada telinganya kerana terkejut dengan tindakan anaknya yang secara tiba-tiba itu. Katanya, tidak lama kemudian, dia berasa pedih dan darah menitis dari telinganya menyebabkannya panik dan hampir pengsan.

“Saya sempat menjerit memanggil isteri sebelum bergegas ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Dia dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) dan menerima tiga jahitan berikutan ada urat terputus akibat terkena serpihan kaca.

Nota dalam tangan mayat kena gilis

BUKIT MERTAJAM: “Sha...012xxx, dia menyebabkan saya mengambil tindakan ini, dia mahu saya mati...,” itu nota kecewa tulisan tangan yang ditemui pada mayat seorang lelaki yang maut digilis kereta api di Jalan Sri Bukit, di sini, semalam.
Nota itu adalah luahan hati lelaki terbabit apabila teman wanitanya memutuskan hubungan mereka.
Malah, seminggu sebelum itu, mangsa nekad mengelar badan di depan teman wanitanya.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi semalam, orang ramai menemui mayat yang digilis kereta api di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Sri Bukit sebelum menghubungi polis.

Sumber polis berkata, identiti mayat tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri selain keadaan mayat yang putus dua dan hancur.

Bagaimanapun, katanya, melalui sekeping nota yang ada bersama mayat itu, pihaknya mengesan dan mengenal pasti identiti suspek.

“Kami menghubungi nombor yang ada pada nota itu dan wanita berkenaan mengakui mengenali lelaki terbabit.

“Berdasarkan keterangan wanita itu, mangsa, Faizal Abd Azi, 25, berasal dari Taman Ria, Sungai Petani, Kedah adalah bekas teman lelakinya,” katanya.

“Wanita itu mengakui dia memutuskan hubungan mereka tetapi lelaki itu tidak bersetuju, malah minggu lalu, dia (si mati) sanggup mengelar badan di depan wanita berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

JI rekrut 30 penuntut universiti kita

KUALA LUMPUR: Seramai 20 hingga 30 penuntut universiti dan remaja tempatan dikesan cuba direkrut menjadi anggota baru kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) dalam usaha pihak tertentu menghidupkan kembali perjuangan mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata perkembangan terbaru itu amat membimbangkan kerana terdapat bukti anasir-anasir militan kini mengubah taktik dan strategi mereka dalam merekrut anggota baru terutamanya untuk tujuan berjihad di luar negara

Tangan putus dibawa arus

BUKIT MERTAJAM: Keseronokan seorang eksekutif sebuah syarikat insurans menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di sebuah restoran dekat sini, malam kelmarin bertukar tragedi apabila bukan saja disamun wang tunai RM6,000, malah pergelangan tangan kiri mangsa putus ditetak penyamun dengan senjata tajam.
Lebih malang lagi, pergelangan tangan kiri terputus itu belum ditemui dipercayai terjatuh dalam longkang berhampiran sebelum dihanyutkan arus.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di Jalan Maju, dekat sini, lelaki berusia 34 tahun itu sedang minum bersama rakannya di sebuah restoran sambil menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Sebelum kejadian, mangsa pergi ke keretanya yang diletak berhampiran untuk mengambil barang tertinggal sebelum sekumpulan tiga lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta tiba-tiba meluru ke arahnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, tiga penjenayah terbabit terus memaksa mangsa menyerahkan wang tunai.

Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut itu, suspek merampas wang tunai mangsa.

“Suspek yang memiliki senjata tajam dipercayai parang turut menetak mangsa ketika mangsa cuba menepis menggunakan tangan kiri.

“Bagaimanapun, suspek menetak mangsa beberapa kali hingga pergelangan tangan kirinya terputus sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya, dalam kejadian itu, pergelangan tangan yang putus itu tidak ditemui dipercayai terjatuh ke longkang berhampiran dan mungkin dihanyutkan arus.

Beliau berkata, mangsa yang kesakitan dan berlumuran darah dibantu rakanserta orang ramai dihantar ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan, mangsa yang berasal dari Kampung Besar, Berapit kini ditempatkan di sebuah hospital swasta sejak semalam selepas dipindahkan dari HPP.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti identiti ketiga-tiga suspek terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ketika melakukan rompakan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebatan,” katanya.
Katanya, berikutan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat kejadian itu tampil membantu siasatan. Mereka boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Superintendan S Subramaniam 019-6351119 atau balai polis berhampiran

'Usah jadi artis dadah'

KUALA LUMPUR: “Kalau nak jadi artis, jadilah orang yang boleh membawa contoh baik kepada masyarakat. Kalau ambil dadah, lupakan saja niat itu (menjadi artis) kerana lama-kelamaan yang buruk akan terdedah jua.”
Demikian nasihat Presiden Seniman, Harun Salim Bachik kepada artis terutama muka baru supaya mengelakkan daripada terbabit dadah atau aktiviti negatif yang bukan saja boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri, malah orang terdekat.
Beliau mengakui kecewa apabila seorang pelakon komedi popular berusia 41 tahun dan lima rakannya dicekup bersama dadah dipercayai ganja seberat kira-kira 40 gram di sebuah apartmen di PJS7, Subang Jaya, malam Sabtu lalu.

“Masih ada artis tidak serik. Sebelum ini, ramai kena tangkap dan sepatutnya kejadian itu diambil iktibar serta memberi kesedaran, tetapi kes seperti ini masih berlaku.

“Saya kecewa kerana mereka tidak peduli amaran, pengajaran dan terus melanggar undang-undang. Kes artis terbabit dadah sudah banyak kali dilaporkan media dan mereka patut sedar kerana yang susah bukan diri sendiri saja, tetapi kesannya pasti dirasai orang sekeliling terutama anak, isteri serta ibu bapa.

“Kita cari makan dengan cara mendedahkan bakat kepada masyarakat dan kalau buat benda buruk, masyarakat sudah pasti akan pandang serong....apatah lagi jika seseorang artis itu sudah menjadi idola dan diminati pelbagai lapisan masyarakat dan usia,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Hussain Habil, berkata masalah dadah adalah universal dan tidak hanya menjurus kepada artis, tetapi menjadi sensasi apabila ia membabitkan artis atau memiliki personaliti menonjol seperti ahli sukan atau golongan tertentu.

Beliau berkata, apabila artis terbabit, kesannya bukan saja kepada individu terbabit, malah golongan artis secara keseluruhan menyebabkan mereka berdepan anggapan serong masyarakat.

Sembunyi dadah dalam teksi

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pemandu teksi menjadikan kenderaannya sebagai ‘port’ mengedar dadah mengundang padah apabila dia dicekup dalam serbuan di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu, Khamis lalu.
Penahanan lelaki berusia 36 tahun itu, sekali gus membawa penemuan tiga ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja disembunyikan di dalam teksinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata polis kemudian menyerbu rumah pemandu teksi terbabit di Taman Batu Caves, dekat sini, dan menahan isterinya yang berusia 34 tahun serta menemui dua kilogram ganja yang disembunyikan dalam bilik rumah itu.

“Penahanan suami isteri itu susulan tangkapan ke atas tiga suspek pada hari sama di Jalan Megan, Setapak, yang cuba mengedar syabu seberat 125 gram, kira-kira jam 2 petang,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Kang berkata, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang disyaki terbabit rangkaian pengedaran dadah sindiket sama dan merampas lapan ketulan mampat ganja seberat 7.5 kilogram.

“Polis menahan enam suspek dengan dua daripadanya wanita tempatan yang berusia 30 hingga 38 tahun. “Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM79,000 dan semua suspek direman tujuh hari sehingga lusa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Helah ganda wang kantoi

KUALA LUMPUR: Tembelang empat warga Afrika yang mendakwa kononnya ahli perniagaan yang cuba memperdayakan seorang suri rumah dengan menawarkan wang tunai jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) tidak berhasil apabila semua mereka dicekup dalam satu serbuan di Ampang, Khamis lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila suri rumah berusia 55 tahun itu membuat laporan polis apabila pelaburannya sebanyak RM17,000 tidak berhasil untuk digandakan.

Sebaliknya, sindiket terbabit mendesak mangsa memasukkan lebih banyak wang konon bakal mendapat keuntungan berlipat ganda.

Menurut sumber, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Cheras menahan seorang lelaki warga Afrika berusia 27 tahun sebelum menyerbu sebuah rumah di pangsapuri di Bandar Baru Ampang, dekat sini, kira-kira jam 11 malam.

“Dalam serbuan itu, tiga lagi lelaki warga Afrika ditahan dan polis menemui beratus-ratus not kertas tempatan dan dolar Amerika dipercayai palsu dalam beg yang cuba dicampak warga Afrika berkenaan sebaik mengetahui rumah mereka diserbu,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit cuba memperdayakan mangsa supaya membuat pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit bagi ditukarkan dengan wang palsu bernilai AS$3.5 juta (RM11.2 juta).

Pemandu asing pasang tonto

KUALA LUMPUR: Pemandu bas dan teksi di kalangan warga asing yang beroperasi tanpa permit di ibu kota didapati menggunakan pelbagai taktik licik untuk mengaburi pihak berkuasa termasuk menempatkan ‘tonto’ di tempat tertentu untuk mengesan kehadiran anggota penguat kuasa.

SAMAN
...anggota penguat kuasa DBKL menyaman bas yang diletakkan di bahu jalan dalam Operasi Halang Siri ke-11, baru-baru ini.
SAMAN ...anggota penguat kuasa DBKL menyaman bas yang diletakkan di bahu jalan dalam Operasi Halang Siri ke-11, baru-baru ini.


Ketua Inspektor Unit Trafik, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shaiful Anwar Shaharom, berkata taktik itu menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. “Kami pernah menahan beberapa pemandu warga asing dan serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen dan LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan), namun kegiatan mereka belum dapat dibendung sepenuhnya” katanya. Beliau mendedahkan perkara itu selepas Operasi Halang Siri ke-11 membabitkan 26 pegawai dan anggota dari empat agensi penguat kuasa iaitu Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, LPKP, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen di sini, baru-baru ini. Ketika operasi berkenaan, dua pemandu bas di Lebuh Ampang meninggalkan kenderaan mereka di bahu jalan kerana dipercayai tidak memiliki lesen sah. Dalam operasi itu, 204 pemandu pengangkutan awam dan perdagangan disaman berikutan pelbagai kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Kaedah Lalu Lintas dan Perkara 11 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Diesel 1996). Operasi tertumpu di Jalan Tun Tan Siew Sin dan beberapa jalan utama sekitar ibu negara dipilih kerana menjadi tumpuan segelintir pemandu bas dan teksi yang gemar mengambil dan menurunkan penumpang tanpa menghiraukan keselamatan pengguna. Sementara itu, Penolong Pegawai Penguat kuasa LPKP, Jeffri Affendi Mohd Yusoff, berkata pihaknya mengadakan operasi berkala untuk membanteras kehadiran pemandu bas dan teksi warga asing termasuk menyamar penumpang. “Kami akan ambil tindakan tegas termasuk menahan permit individu yang menyewakan permit mereka kepada warga asing,” katanya.

Mayat rentung dalam kereta di Seremban Selatan



SEREMBAN 15 Jun — Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Senawang hari ini menemui mayat rentung yang tidak diketahui jantinanya dari sebuah kereta Proton Waja yang sedang terbakar dalam satu kejadian di Taman Seremban Selatan di sini pukul 11 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Mohd Zaki Masroh berkata, mayat itu ditemui rentung dalam bonet kereta itu yang dilaporkan hilang pada Mei lepas dari kawasan Damansara, Kuala Lumpur.
"Kita memang percaya ada perbuatan khianat. Buat masa ini kita tidak tahu apa-apa, cuma kita dapat sedikit maklumat dari casis kereta. Kita juga temui sebilah parang di sebelah mayat,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Katanya, bomba telah menerima panggilan dari orang awam pada pukul 10.45 malam apabila mereka terlihat api sedang marak di kawasan belukar berhampiran tangki air taman itu.
Semasa memadamkan kebakaran, pasukan enam anggota bomba itu terbau daging terbakar yang agak kuat dari kereta yang sedang terbakar menyebabkan salah seorang anggota membuka bonet selepas api berjaya dipadamkan dan menemui mayat yang rentung itu, katanya. — Bernama

JPJ Selangor yakin kutip RM300,000 hasil lelong kenderaan sita




SHAH ALAM 15 Jun — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yakin dapat mengutip RM300,000 hasil lelongan 78 kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya selepas terbabit dengan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pengarahnya Yusoff Ayob berkata lelongan itu, yang pertama tahun ini, membabitkan 48 motosikal, 23 kereta, empat van dan tiga treler.
"Lelongan awam yang dijalankan hari ini ialah terhadap kenderaan yang tidak dituntut semula oleh pemilik walaupun pihak JPJ telah memaklumkan agar pemilik menuntut semula kenderaan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kenderaan disita.
"Tujuan penyitaan adalah perlu untuk mengelakkan berlaku lagi kesalahan seperti lesen kenderaan motor (cukai jalan) tamat tempoh dan tiada lesen memandu,” katanya kepada pemberita pada majlis lelongan awam kenderaan sita JPJ di sini, hari ini. — Bernama

Langgar pintu premis untuk mencuri




KUANTAN 15 Jun — Seorang pemilik kedai tayar rugi RM26,600 selepas kedainya di Jalan Haji Ahmad di sini dimasuki pencuri semalam.
Pintu depan kedainya juga rosak dipercayai dirempuh kereta manakala pintu belakang didapati terbuka.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata mangsa telah dihubungi oleh adik iparnya mengenai kejadian tersebut pada pukul 4 pagi.
"Mangsa yang bergegas ke kedainya mendapati pintu utama kedainya rosak dan turut terdapat kesan rempuhan.
Setelah diperiksa, mangsa mendapati wang tunai RM1,000, aksesori kereta dan sebuah kereta Toyota SEG milik pelanggannya yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM26,600 lesap dari kedai itu,” katanya. — Bernama

Harimau di zoo baham lelaki



BEIJING - Lima harimau Manchuria di Taman Hidupan Liar Qinling membaham seorang lelaki berumur 45 tahun yang masuk ke dalam kandang binatang itu bersama anaknya. 

Remaja berumur 17 yang berjaya diselamatkan pekerja di zoo berkenaan berkata, mereka berdua melangkah masuk apabila pintu automatik terbuka. 

"Kami hanya sedar apa yang berlaku apabila pintu itu tertutup sendiri dan lima harimau menerkam," katanya.

Pegawai kemaruk seks




MELAKA - Tindakan seorang pegawai Jabatan Imigresen yang dikatakan kemaruk seks, membuatkan seorang wanita warga Filipina takut mahu kembali semula ke negara ini walaupun dia dijadualkan melangsungkan perkahwinannya di sini. 

Akibat tertekan dengan apa yang dilaluinya bulan lalu, Rizalina, 22, membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada 11 Jun lalu selepas dia dijemput kembali ke Malaysia oleh bakal suaminya, Choong, 46. 

Rizalina meninggalkan Malaysia pada 15 Mei lalu selepas dibebaskan daripada tahanan hampir 10 hari di pejabat Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang. 

Rizalina mendakwa, seorang pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen sengaja melengahkan proses sehingga terlepas penerbangan dan terpaksa membeli tiket untuk penerbangan lain keesokan harinya. 

“Bagaimanapun, apabila kami tiba untuk menaiki pesawat berkenaan, saya ditahan di kaunter Imigresen kerana cop pada pasport saya didakwa palsu,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika ditemui di ibu pejabat DAP Melaka, di sini, semalam. 

Terdahulu, Rizalina dan Choong membawa kes itu untuk perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bachang, Lim Jak Wong. 

Rizalina mendakwa, insiden cabul berlaku ketika dia meminta kebenaran seorang pegawai bertugas untuk menggunakan telefon bagi memaklumkan mengenai penahannya kepada bakal suaminya itu. 

Rizalina mendakwa, dia dibawa keluar daripada lokap oleh pegawai terbabit sebelum cincinnya ditanggalkan. 

"Apabila saya meminta semula cincin berkenaan, pegawai terbabit meminta saya mencium pipinya terlebih dahulu namun saya enggan. 

“Dia tetap cuba mencium saya, tetapi saya berjaya mengelaknya. Dia kemudiannya meramas payudara saya dan membuat komen mengenai saiz payudara saya. Tidak tahan dengan kerenahnya, saya meminta pegawai terbabit membawa saya ke lokap semula," katanya. 

Rizalina berkata, pada malam itu, dia sekali lagi meminta pegawai berkenaan membenarnya menggunakan telefon. 

"Bagaimanapun, dia meminta RM50 untuk bayaran tambah nilai jika saya mahu menggunakan telefon. 

“Apabila saya katakan yang saya hanya ada RM20, dia meminta nombor telefon bakal suami saya untuk dihubungi, seterusnya memintanya membelikan tambah nilai untuk telefon berkenaan," katanya. 

Menurutnya, pada 10 Mei lalu, akibat tekanan yang dialaminya, dia muntah-muntah dan meminta supaya dibawa ke hospital untuk rawatan. 

Bagaimanapun, pegawai terbabit meminta RM200 sebagai upah untuk membawanya ke hospital. 

“Saya bernasib baik kerana seorang pegawai wanita membawa saya ke hospital. Saya cuma dibebaskan pada 15 Mei tanpa didakwa. 

“Sejurus dibebaskan saya terus kembali ke Filipina dan tidak akan datang ke sini tanpa ditemani," katanya. 

Sementara itu, pihak polis yang dihubungi mengesahkan laporan dibuat di Balai Polis Batu Berendam minggu lalu sebelum dirujuk kepada balai polis di KLIA Sepang untuk tindakan lanjut.

Budak digantung sampai mati



KANDAHAR - Seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun digantung sampai mati oleh kumpulan militan Taliban, di sebuah kampung di Afghanistan. 

Pembunuhan mengejutkan itu dipercayai dilakukan sebagai membalas dendam selepas datuk kepada kanak-kanak malang itu mencabar pemerintahan kuku besi puak pemberontak itu di kampungnya. 

Menurut pegawai di Afghanistan, budak itu dituduh menjadi pengintip bagi pihak Amerika Syarikat dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan ditangkap semasa sedang bermain di taman lalu digantung pada dahan pokok. 

Jurucakap Gabenor Daerah Helmand, Daoud Ahmadi berkata, pembunuhan itu berlaku beberapa hari selepas datuk kanak-kanak itu, Abdul Woodod Alokozai, menyampaikan ceramah menentang Taliban di kampung berkenaan. 

“Pembunuhan itu mungkin dilakukan sebagai membalas dendam terhadap datuk kanak-kanak itu,” katanya. 

Menurutnya, kanak-kanak tidak berdosa itu dituduh memaklumkan polis atau tentera mengenai bahan letupan yang ditanam puak Taliban, lalu dihukum dibunuh. 

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengecam hebat keganasan itu dan menggelarnya ‘jenayah terhadap kemanusiaan.’ 

“Saya tidak rasa ada jenayah yang lebih berat dan lebih tidak berperikemanusiaan di dunia. Kanak-kanak berumur tujuh tahun tidak mungkin menjadi pengintip,” katanya.

Polis Johor tumpaskan sindiket proses, edar dadah



JOHOR BAHARU - Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah selepas menahan 15 individu dalam tujuh serbuan berasingan yang dilakukan selama dua hari berturut-turut bermula Khamis lepas, di negeri ini. 

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua suspek termasuk dua wanita warga Myanmar itu ditahan di hentian Rehat dan Rawat Pagoh, Taman Austin Perdana, Seri Alam, Taman Megah Ria, Masai serta Taman Molek. 

"Kesemua rampasan dalam ketujuh-tujuh serbuan itu dianggarkan sebanyak RM4juta termasuk dadah dan barangan lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, dadah yang dirampas ialah 5,052 gram ketamin, 454 gram syabu, 17,451 pil ekstasi, 9,025 gram serbuk ekstasi, 17,260 pil Eramin 5 dan 4,260 gram kafein. 

Antara barangan yang disita termasuk lapan kereta pelbagai keluaran, RM162,773 wang tunai, dua komputer, lima utas jam tangan, empat telefon bimbit dan sejumlah barangan kemas. 
Mohd Mokhtar berkata, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak setahun lepas dan membekalkan dadah ke Thailand, Singapura, Batam di Indonesia selain sekitar Johor Baharu dan Lembah Klang. 

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua anggota sindiket itu mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis meth," katanya. 

Beliau berkata, enam suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan judi. 

Katanya, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 16 dan 51 tahun itu kini direman sehingga Jumaat depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988.

Agen ah long kena cekup



BATU PAHAT - Banyak pihak tidak mahu melepaskan peluang sempena Piala Dunia di Afrika Selatan untuk mengaut keuntungan dan tidak terkecuali ah long yang menyediakan pinjaman kepada kaki judi yang ingin bertaruh perlawanan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, satu tangkapan dilakukan di Ayer Hitam terhadap seorang pemuda yang sedang asyik menyelitkan kad dan juga risalah di kereta yang terdapat di pekan berkenaan, kelmarin.

Menurutnya, cara berkenaan adalah salah satu cara menarik orang ramai sempena Piala Dunia dengan berjudi dan menghubungi mereka jika memerlukan wang.

“Tawaran istimewa diberikan iaitu peminjam tidak akan dikenakan bunga jika dapat membayar jumlah hutang mereka dalam masa lima hari pinjaman.

“Selain kad dan risalah, sindiket ah long berkenaan juga mengedarkan jadual perlawanan Piala Dunia sebagai rujukan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Batu Pahat.

Ibrahim berkata, pemuda berkenaan ditahan kerana telah melakukan beberapa kesalahan seperti mengedarkan iklan tanpa permit dan juga bertindak sebagai agen ah long.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan seperti mencari ketua ah long, tempat perjudian dan tempat mencetak kad dan risalah memandangkan pemuda yang ditangkap hanyalah orang bawahan sahaja.

“Semenjak 1 Jun lalu sehingga 13 Jun sebanyak 122 banner dan poster telah diturunkan dan semuanya berkaitan dengan kegiatan ah long yang menyediakan pelbagai tawaran.

“Sempena Piala Dunia yang berlangsung sekarang ini pihak polis akan meningkatkan usaha untuk membanteras kegiatan perjudian dan juga ah long,” katanya.

Air bertakung rosakkan tanaman




TELUK INTAN - Kira-kira 600 hektar tanaman makanan pelbagai jenis yang diusahakan kira-kira 200 petani mengalami kerosakan teruk akibat sistem perparitan yang tidak sempurna. 

Petani, Yap Poh Hing, 38, berkata, beberapa petani sekitar Kuala Bikam di sini mengalami kerugian akibat kemusnahan beberapa jenis tanaman berikutan sikap sambil lewa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). 

Menurutnya, keadaan banjir yang berlaku di sekitar ladang berkenaan sejak lapan bulan lalu berpunca daripada saliran JPS yang telah ditimbus oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

“Kami bimbang jika hujan lebat berlaku, air akan bertakung di dalam kawasan tanaman kami. Tetapi jika tiada hujan pun, kawasan tanaman akan ditakung air. 

“Dalam tempoh lapan bulan hasil kami berkurangan, pokok-pokok yang kami tanam sudah ada yang mati dan rosak,” katanya ketika ditemui bersama petani lain melakukan demonstrasi secara aman di hadapan ladang kelapa sawit milik salah seorang petani, di Ladang Kuala Bikam, di sini. 

Menurutnya, kira-kira 4 hektar tanaman kelapa sawit miliknya rosak ditenggelami air dengan kerugian dianggarkan RM18,000 keseluruhannya. 

Poh Hing berkata, antara tanaman yang musnah akibat terendam termasuk kelapa sawit, sayur-sayuran, betik, tembikai dan sebagainya. 

Menurutnya, masalah berkenaan telah diajukan kepada JPS tetapi mereka seolah-olah enggan memenuhi permintaan supaya disediakan parit baru bagi memudahkan pengaliran air keluar dari ladang petani. 

“Penduduk mengajukan masalah berkenaan sehingga ke Pejabat JPS Negeri Perak tetapi masih tiada sebarang tindakan yang dibuat. 

“Kami sudah buntu untuk mengadu masalah ini. Apa yang kami harapkan adalah kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyelesaikan masalah kami ini,” katanya. 

Seorang lagi petani, Tan Cheong Hooi, 69, berkata, ladang mereka seolah-olah ditimpa bencana yang besar sedangkan tidak pun berlaku sebarang ribut atau hujan lebat. 

“Jika masalah itu berterusan tanpa penyelesaian yang konkrit, petani akan terus mengalami kerugian dan seterusnya kehilangan mata pencarian. 

“Kerugian yang saya alami kini melibatkan lebih RM20,000 bagi tanaman kelapa sawit dan itu sahaja pendapatan utama saya,” katanya. 

Menurutnya, petani pernah berkongsi mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengorek parit baru bagi menyalurkan air keluar daripada kawasan tanaman tetapi gagal memulihkan keadaan. 

“Petani di kawasan ini semakin terdesak kerana setiap kali pengeluaran hasil, tidak banyak pendapatan yang diperoleh untuk menanggung perbelanjaan harian,” katanya. 

Menurutnya, penutupan parit berkenaan tidak seharusnya berlaku dan JPS perlu memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada petani. 

“Petani akan menggunakan apa sahaja saluran bagi mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya.: 



DHPP cuba bantu tetapi... 

Sementara itu, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kawasan Teluk Intan dan Negeri Perak cuba membantu tetapi tidak mendapat kerjasama daripada pihak berkenaan. 

Timbalan Ketua DHPP Negeri Perak, Richard Wong berkata, beliau bersama Ketua DHPP Kawasan Teluk Intan, Harcharn Singh mengadakan pertemuan dengan JPS tetapi mereka tidak mendapat layanan yang sepatutnya. 

Menurutnya, masalah berkenaan perlukan penyelesaian segera tanpa mengira ideologi politik kerana masalah ini melibatkan rakyat iaitu petani yang ramai. 

“Jika masalah ini terus-terusan berlaku, petani-petani berkenaan akan kehilangan punca pendapatan kerana kebanyakan mereka hanya bergantung kepada hasil pertanian. 

“Kita tidak mahu menghentam sesiapa dan apa yang kita mahukan petani yang teraniaya ini mendapat hak yang sewajarnya daripada pihak yang berkenaan,” katanya.: 



Agensi gagal dihubungi 

Sinar Harian semalam menghubungi JPS Teluk Intan untuk mendapatkan penjelasan daripada pegawai berkenaan berhubung masalah berlaku. 

Bagaimanapun, Sinar Harian gagal mendapatkan sebarang penjelasan daripada pihak berkenaan, berikutan Jurutera Pengairan Daerah Hilir Perak tiada di pejabat kerana berada di Sarawak atas urusan kerja sehingga 14 Jun nanti.

251 alat sulit dirampas




BUKIT KAYU HITAM - Sejumlah 251 objek berupa alat sulit lelaki dirampas daripada seorang lelaki di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Changlun, di sini, jam 5 petang minggu lalu. 

Lelaki tempatan berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu turut ditahan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP). 

Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris berkata, anggota unit itu yang menjalankan pemeriksaan pada sekatan jalan raya, menjumpai barangan itu disorokkan di tempat duduk penumpang belakang. 

Menurutnya, anggota UPP diketuai Sarjan Abdul Halim Malek yang menjalankan operasi sekatan jalan raya, menahan sebuah pikap lalu menjalankan pemeriksaan.

“Dalam pemeriksaan itu, ditemui 251 unit alatan lucah berupa alat sulit lelaki yang diperbuat daripada kayu dalam pelbagai saiz,” katanya.

Mohd Noor berkata, lelaki itu yang mengakui dirinya pengarah sebuah syarikat di Pulau Pinang memberi alasan, peralatan itu akan digunakan untuk tujuan keagamaan atas permintaan daripada pihak kuil.

“Katanya, syarikatnya diberi tanggungjawab untuk membekalkan peralatan itu kepada kuil berkenaan,” katanya.

Mohd Noor berkata, rampasan barang lucah itu merupakan kes pertama ditangani pihaknya setakat ini.

“Kes ini akan disiasat polis,” katanya.

Peniaga tertipu wang palsu




SEREMBAN - Seorang penjual akhbar dan majalah di sebuah taman perumahan di Mambau dekat sini kerugian RM100 selepas menjadi mangsa kegiatan penipuan menggunakan wang palsu, kelmarin. 

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abu, 50, berkata, wang kertas palsu RM100 itu diterima daripada dua lelaki dipercayai warga tempatan, berumur sekitar awal 20-an. 

Menurutnya, dalam kejadian jam 11 pagi itu, dua lelaki tidak dikenali memberhentikan motosikal dinaiki berhampiran gerai menjual akhbar dan majalah miliknya. 

“Salah seorang lelaki terbabit pada mulanya mengeluarkan empat keping wang kertas RM1 untuk membayar senaskhah akhbar dan majalah bernilai RM4. 

“Bagaimanapun, dia tiba-tiba berubah fikiran dan meletakkan wang kertas RM100 ke dalam bekas menyimpan duit di gerai saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Abu berkata, salah seorang anak lelakinya berumur 17 tahun yang membantu di gerai mengembalikan baki RM96 kepada lelaki terbabit. 

Namun, menurutnya, dia kemudian memeriksa wang kertas itu berulang kali selepas mengesyaki seperti ada yang tidak kena. 

“Saya amat kecewa apabila mendapati wang kertas diberikan tidak memaparkan beberapa ciri keselamatan seperti tertera pada wang kertas sah. 

“Perbezaan paling ketara adalah kualiti kertas digunakan tidak sama dan tidak kelihatan bayangan potret Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Menurutnya, ia adalah kejadian kali pertama dialaminya dan dia membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 dekat sini, petang semalam.

Puting beliung tiga minit




KOTA DAMANSARA – Ia berlaku hanya tiga minit, namun pusaran angin yang kuat diikuti hujan lebat itu telah menghuru harakan sebahagian penduduk di Seksyen 6.7.8.9.10 dan 11 Kota Damansara. 

Ada yang terpaksa berdiam diri dalam kereta selama hampir dua jam akibat bimbang disambar petir dan diterbang ribut yang sangat dahsyat itu. 

Selain menumbangkan ratusan pokok, banyak gerai dan kereta penduduk juga mengalami rosak teruk selain 318 keluarga yang tinggal di Blok C PPR Kota Damansara terpaksa dipindahkan buat sementara waktu ke blok berhampiran sementara menanti kerja-kerja membaikpulih bumbung rumah yang rosak dijalankan. 

“Saya nampak bebola warna putih masuk melalui tingkap dan sambar peti ais,” demikian kata Zarina Mansor, 40, ketika menceritakan detik cemas pengalamannya dua hari sebelum kejadian ‘puting beliung’ melanda Kota Damansara. 

Menurutnya, ketika kejadian, bebola kilat itu melintas tidak sampai satu meter dari tempat dia dan dua anaknya duduk. 

“Pada hari itu, saya melawat rumah adik di tingkat 16 Blok C, tidak sangka kilat boleh masuk melalui tingkap, nasib baik adik saya terselamat kerana dia berada betul-betul berhampiran peti ais itu,” katanya. 

Sambaran kilat menyebabkan peti ais itu rosak, namun dia bersyukur kerana tiada yang tercedera. 

Kelmarin kata Zarina, sekali lagi dia terpaksa menempuh saat mencemaskan apabila kereta yang dinaiki hampir dihempap pokok. 

“Saya sekeluarga baru balik dari membeli barang-barang keperluan, dalam perjalanan memang sudah nampak banyak pokok tumbang, bila sampai di kawasan parkir Blok C, sebatang pokok besar tiba-tiba tumbang tidak sampai setengah meter dari ke�reta kami,” katanya. 

Ketika itu katanya, ribut baru bermula menyebabkan dia sekeluarga tidak berani keluar dan hanya duduk di dalam kereta selama dua jam dan melihat pusaran angin yang cukup dahsyat selama tiga minit. 

”Suami melaungkan azan kerana kereta sudah bergegar dan bagaikan hendak terbang mengikut pusaran angin itu,” katanya.

Maruah pengantin tercalar



KUANTAN - Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan paling manis bagi Mohd Azuan Megat, 23 bersama pasangannya Noor Amalina Jaafar, 22, tercalar gara-gara tindakan mak andam yang didakwa tidak profesional apabila membatalkan khidmat juru foto dan andaman pada saat akhir, kelmarin. 

Akibat sikap lepas tangan mak andam yang ditempah sejak April lalu, majlis persandingan di Kampung Seratus, Neram yang sepatutnya melakar sejarah dalam kehidupan pasangan pengantin itu bertukar menjadi kelam- kabut sehingga hilang keceriaannya. 

Mohd Azuan berkata, dia bersama pasangan serta ahli keluarga benar-benar terkejut dan mengalami gangguan emosi akibat tertekan dengan tindakan mak andam dari sebuah tanah rancangan Felda dekat sini itu. 

Menurutnya, semasa perbincangan dibuat dengan wanita berusia dalam lingkungan lewat 30an itu kira-kira dua bulan lalu, dia bersetuju menyediakan semua perkhidmatan dalam pakej yang ditawarkan dengan harga RM1,700 dan saya membayar wang pendahuluan RM100 sebagai tanda jadi. 

“Ketika itu juga, saya dimaklumkan bahawa kami pelanggan pertama yang membuat tempahan untuk tarikh 13 Jun lalu dan dia sepatutnya memberikan lebih keutamaan untuk majlis ini namun sebaliknya yang berlaku. 

“Juru gambar yang sepatutnya hadir semasa majlis akad nikah tidak datang dan paling dikesalkan pembatalan itu dibuat sehari sebelum upacara berlangsung. 

“Lebih malang lagi, kira-kira sejam sebelum persandingan bermula kami diberitahu bahawa mak andam terbabit tidak dapat datang kerana sibuk mengendalikan pasangan pengantin lain,” katanya yang datang ke Pejabat Sinar Harian di sini semalam. 

Mohd Azuan yang juga seorang peniaga dari Felda Bukit Kuantan dekat sini berkata, kakaknya menghubungi wanita itu melalui telefon merayu supaya dia datang namun langsung tidak diendahkan termasuk tujuh pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). 

“Bagi menjaga air muka keluarga, majlis tetap diteruskan dengan bantuan rakan-rakan yang terpaksa mengambil alih tugas mak andam itu walaupun dia sepatutnya menguruskan tentang solekan, persalinan dan menghias bilik pengantin. 

“Bagaimanapun kami agak berpuas hati dengan set pelamin yang disiapkan sebelum itu namun hiasan bilik tidur terlalu ringkas dan lebih kepada tangkap mua’,” katanya. 

Menurutnya, kesal dengan kejadian yang berlaku, dia terpaksa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan petang semalam bagi mengelak nasib yang sama menimpa bakal pengantin lain yang mendapatkan pakej ditawarkan wanita itu. 

“Kami benar-benar rasa tertipu dan tertekan dengan kejadian ini dan berharap wanita terbabit tampil bertanggungjawab. 

“Kami bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini dengan dua syarat iaitu kebenaran menggunakan gaun pengantin secara percuma untuk majlis sambut menantu di rumah pengantin lelaki Julai depan atau membatalkan baki bayaran untuk pakej yang diambil sebelum ini,” katanya. 

Mohd Azuan berkata, jika syarat itu tidak dipersetujui, dia dan keluarga tidak teragak-agak membawa kes itu ke mahkamah.