Search This Blog

Monday, June 14, 2010

Isteri kejam dipenjara

MAKKAH: Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan enam bulan terhadap seorang wanita Malaysia atas beberapa tuduhan jenayah, termasuk cubaan untuk mencederakan suaminya, warga Saudi.
Tuduhan itu juga termasuk menghasut kekasih gelapnya membakar rumah dan empat kereta milik bapa mentuanya, kata peguam suaminya, Badar Al-Rouqi.
“Dua kekasih gelapnya, seorang warga Saudi dan seorang pendatang dari Asia Selatan, dihukum penjara 20 tahun.

“Seorang lagi lelaki dipenjara 10 tahun kerana berkhalwat dengan wanita itu.

“Semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan merayu terhadap hukuman berkenaan,” kata Badar.

Si suami yang hanya dikenali sebagai Hani, membuat laporan polis mengenai keselamatan dirinya tujuh tahun lalu.

Polis yang melakukan siasatan berterusan akhirnya membongkar niat jahat wanita yang dikahwinnya sejak 16 tahun lalu dan ibu lima anaknya. Wanita itu dituduh mengupah kekasihnya untuk menyerang Hani dan bapanya serta membakar kereta dan rumah mereka.

Akibat tindakan isterinya, bapa Hani cedera setelah disimbah asid dan dibakar sementara Hani buta sebelah mata. Polis membongkar niat jahat wanita warga Malaysia itu selepas dia ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki Mesir beberapa bulan lalu. - Agensi

Ahli perniagaan didakwa tipu syarikat produk kesihatan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat produk kesihatan berhubung pembelian saham bernilai RM9.75 juta.
Poh Gaik Lye, 55, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Liqua Health Corporation Berhad di pejabat syarikat subsidiarinya, Liqua Health Marketing (M) Sdn Bhd di Taman Shamelin Perkasa di sini, antara 23 Februari dan 31 Julai 2007.
Mengikut kertas pertuduhan, Poh memanipulasi dan menggunakan muslihat sehingga Liqua Health Marketing menandatangani perjanjian pengedaran bertarikh 27 Februari 2007 dengan Wynsum Healthy Living Sdn Bhd. Perjanjian itu menyebabkan Liqua Health Marketing memindahkan wang berjumlah RM12 juta ke akaun Wynsum dan Poh didakwa menggunakan sejumlah RM9.75 juta daripada wang itu untuk membeli 45,960,450 unit saham Liqua Health COrporation. Dia didakwa mengikut Seksyen 87A(a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280), dan boleh dihukum mengikut Seksyen 88B akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Hakim Jagjit Singh menetapkan 9 Julai untuk menyebut semula kes dan membenarkan Poh diikat jamin sebanyak RM800,000 dengan dua penjamin, serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Susheel Kaur manakala Poh diwakili peguam Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arshad. -Bernama

Pelajar lemas ketika mandi di kawasan perkelahan

IPOH: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun mati lemas ketika sedang mandi di kawasan perkelahan Bukit Berapit, Taiping, 95 kilometer dari sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa Eerfan Badrul Hisham, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jelapang, di sini dikatakan mandi bersama keluarganya ketika kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang semalam.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat," katanya ketika di hubungi hari ini.

Ketika kejadian mangsa yang sedang mandi di kawasan perkelahan itu tiba-tiba gagal berenang lalu tenggelam dan lemas manakala bapanya yang turut berada di tempat itu gagal menyelamatkannya dan menghubungi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.- Bernama

Nenek maut mulut ditekup perompak

TANJONG KARANG: Seorang nenek maut akibat mulutnya ditekup oleh perompak yang memasuki rumahnya di Parit Empat di sini malam tadi.
Dia dipercayai meninggal akibat sukar bernafas.
"Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan luka pada tubuh mangsa.

Oleh itu kita percaya mangsa mati akibat sesak nafas mungkin kerana mulutnya ditekup terlalu lama," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, DSP Zulkifli Jonet.

Barangan kemas bernilai RM50,000 dan wang tunai bernilai RM500 turut dilarikan dari rumahnya dalam kejadian kira-kira 11.30 malam.

Zulkifli berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 56 tahun sedang menonton televisyen bersama anak perempuan dan dua orang cucunya apabila tiga perompak memasuki rumah mereka.

Mangsa yang terkejut melihat kumpulan perompak yang bersenjatakan parang dan pisau itu, menjerit sebelum salah seorang daripada perompak itu menekup mulut mangsa.

"Perompak kemudian mengarahkan anak mangsa yang berusia 33 tahun itu supaya menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang dipakainya serta yang disimpan di rumah itu," katanya.

Zulkifli berkata, kumpulan penjenayah berkenaan kemudiannya melarikan diri dengan motosikal yang kemudian ditemui semula kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.

Motosikal itu adalah motosikal yang dicuri.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes berkenaan, Inspektor Mohd Iqbal Mohamad di talian 03-32891222

Pekerja Bangladesh terbunuh tertimbus tanah

IPOH: Seorang pekerja binaan warga Bangladesh terbunuh selepas tertimbus tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Raja Nazrin Shah di sini hari ini.
Seorang lagi pekerja Bangladesh yang turut tertimbus masih dicari.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, kejadian berlaku kira -kira jam 4.55 petang tadi ketika kedua-duanya sedang melakukan kerja-kerja menanam cerucuk.

"Ketika kedua-dua mangsa sedang mengorek lubang, tiba-tiba tebing tanah di tempat mereka berada menggelunsur dan menimbus kedua-dua mangsa", katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zakaria berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan untuk menyelamat mangsa di mana mayat seorang daripadanya ditemui kira kira 6.25 petang.

Operasi mencari mangsa seorang lagi masih diteruskan setakat ini dengan bantuan unit anjing pengesan.-Bernama

Pelawak pesta ganja

SUBANG: Sedang peminat bola sepak tanah air bersedia menyaksikan Piala Dunia 2010, perlawanan antara Argentina dengan Nigeria, seorang pelakon komedi terkenal dan lima rakannya diserbu di rumahnya ketika asyik berpesta dadah malam kelmarin.
Pelawak berusia 41 tahun itu diserbu di sebuah apartmen di PJS7, Subang Jaya, kira-kira jam 10 malam.

Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Subang Jaya itu membawa penemuan dadah dipercayai ganja seberat kira-kira 40 gram bersama enam suspek.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang dihubungi berkata, ketika serbuan, selain daripada pelakon terbabit, terdapat lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang semuanya berusia 20 hingga 30-an.

Zainal Rashid berkata, serbuan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat awam dan hasil intipan polis.

“Ketika serbuan, terdapat enam penghuni termasuk lima lelaki dan seorang perempuan di dalam sebuah apartmen yang dipercayai milik pelakon komedi terkenal itu yang membintangi beberapa filem besar tanah air. “Serbuan itu menemui beberapa peket kecil berisi daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 40 gram dan siasatan awal berdasarkan kuantiti dadah terbabit ia untuk kegunaan sendiri,” katanya, semalam.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian air kencing dan hasil ujian mendapati mereka positif ganja.
“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan kini direman sehingga 16 Jun bermula hari ini (semalam), mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Difahamkan, pelawak terbabit pernah dikaitkan dengan kes sama sebelum ini apabila penyebaran gambarnya menghisap dadah melalui Internet dan telefon bimbit, bagaimanapun perbuatan itu dinafikan.

Sebelum ini, beberapa artis pernah ditahan pihak berkuasa kerana terbabit penyalahgunaan dadah, termasuk kes terbaru seorang pelakon yang juga anak seniwati terkenal Azean Irdawaty, Benjy serta penyanyi popular Ameng Spring.

Merajuk jodoh dihalang

KUANTAN: Selepas hasratnya berkahwin dengan lelaki pilihan hati mendapat tentangan keluarga suatu ketika dulu, Wook atau nama sebenarnya Sharifah Saharah Syed Yahya, 76, mahu melupakan terus impian untuk berumah tangga.
Kini, warga emas yang juga anak sulung daripada sembilan adik beradik itu terpaksa meneruskan kehidupan seorang diri selepas enam adiknya berkahwin dan mengikut keluarga masing-masing manakala dua lagi adiknya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Lebih menyayat hati, Wook kini terpaksa menguruskan kehidupannya serba kedaifan dengan tinggal di pondok terpencil di tengah belukar di Jalan Tengah Sungai Karang Darat, di sini, tanpa kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Mengimbau sejarah hidupnya, Wook berkata, ibu bapanya berasal dari Sumatera, Indonesia dan mereka berpindah ke negara ini sebelum dia dilahirkan.

“Selepas kematian ibu bapa dan adik-beradik lain pula berhijrah mengikut keluarga masing-masing selepas berkahwin, saya nekad berpindah dari rumah asal ke sini untuk memulakan hidup baru,” katanya.

Menurutnya, dia tinggal bersendirian di tengah belukar itu sejak lebih 10 tahun lalu selepas seorang individu yang prihatin membantunya membina sebuah pondok kecil sebagai tempat menumpang teduh daripada hujan dan panas. “Bagi mengelak rasa sunyi, saya memelihara beberapa ayam, burung serta angsa selain bercucuk tanam bagi mengisi masa lapang dan memungut hasilnya untuk kegunaan sendiri.

“Namun, banyak ternakan mati dibaham ular sawa terutama ayam, malah saya sendiri pernah membunuh kira-kira 14 ular pelbagai jenis sejak tinggal di sini,” katanya.
Wook berkata, rumah didiaminya kini dibina penduduk kampung secara bergotong-royong beberapa tahun lalu bagi menggantikan pondok kecil sempit dan uzur yang menjadi tempat tinggalnya sebelum ini.

“Malangnya, sehingga kini tiada bekalan elektrik atau saluran paip disambung ke rumah ini walaupun lampu serta pendawaian elektrik sudah dipasang sejak ia siap dibina,” katanya.

Justeru, katanya, dia terpaksa menggunakan pelita untuk menerangi rumahnya dan mengambil air perigi yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk kegunaan harian.

75,000 etnik Uzbek lari dari Kyrgyzstan





2010/06/14

BISHKEK: Lebih 75,000 etnik Uzbek lari dari Kyrgyzstan ke Uzbekistan selepas diserang etnik Kyrgyz yang membakar kampung sebelum membunuh penghuninya dalam konflik kaum terburuk negara Asia Tengah itu dalam tempoh 20 tahun. 

Kebanyakan pelarian Uzbek adalah orang tua, wanita dan kanak-kanak, ramai daripada mereka cedera kerana ditembak, lapor Kementerian Kecemasan Uzbekistan yang dipetik agensi berita Russia.
Kumpulan penyerang etnik Kyrgyz kini menguasai Osh dengan baki 250,000 etnik Uzbek di bandar itu berhimpun untuk mempertahankan diri manakala anggota polis tidak kelihatan langsung.
Kekacauan itu dibayangi motif politik. Bekas Presiden, Kurmanbek Bakiyev digulingkan April lalu dan lari ke luar negara. 

Penduduk etnik Uzbek menyokong kerajaan sementara yang memerintah sekarang, manakala ramai etnik Kyrgyz di selatan menyokong Bakiyev. 

Presiden Sementara, Roza Otunbayeva menyalahkan keluarga Bakiyev atas kekacauan terbaru yang dianggap cubaan menggagalkan pungutan suara pada 27 Jun depan dan pilihan raya, Oktober depan. – AP

Rugi RM200,000 bot bergesel





2010/06/14

KUANTAN: Seorang pemilik bot pukat tunda, Kee Hooi Joo, 62, kerugian lebih RM200,000 selepas botnya bergesel dengan kapal di kawasan 35 batu nautika perairan ini, pagi kelmarin. 

Dalam kejadian 6 pagi itu, bot bersama lima awak-awak dan seorang tekong itu mengalami kerosakan pada bahagian tepi dan belakang.
Kejadian berkenaan menyebabkan bot pukat tunda seberat 86.7 tan itu hampir tenggelam sebelum dibantu lima bot lain.
Hooi Joo berkata, selain mengalami kerosakan pada bot dan pukat, dia juga mengalami kerugian apabila enjin bot terbabit dimasuki air dan ia memerlukan kos tinggi untuk dibaiki. 

“Saya sangat terkilan dengan sikap cuai dan tidak bertanggungjawab juragan dan kapten kapal berkenaan yang langsung tidak membantu bot saya yang hampir tenggelam, sebaliknya meneruskan perjalanan mereka. 

“Saya tidak pasti macam mana kejadian ini boleh berlaku, kerana ketika kejadian saya sedang sibuk memasang lima lampu sebelum berlabuh bagi mengelak daripada dilanggar kapal,” katanya ketika ditemui Berita Harian, kelmarin.

Pasangan maut, tiga cedera kereta terbabas di LPT





2010/06/14

KUANTAN: Sepasang suami isteri terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan, di Kilometer 99, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), di Lanchang, dekat Temerloh, malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa yang juga pemandu, Mohd Norazuani Mohamad, 30, dari Bandar Jengka, Maran maut di tempat kejadian manakala isterinya, Salina Mohd Nawawi, 29, meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, berkata tiga mangsa yang cedera ringan ialah anak pasangan terbabit, Anis Zulaikha, 8, dan Muhamad Adam Nasrullah, 4, dan adik Salina, Mohd Nazri, 24, yang masing-masing menerima rawatan di Hoshah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan. 

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Mohd Norazuani dipercayai hilang kawalan sebelum dikatakan terbabas ke kiri jalan. 

“Kereta mangsa merempuh besi penghadang di kiri jalan mengakibatkan Mohd Norazuani meninggal di tempat kejadian akibat cedera di kepala,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Ahmad Fadzillah berkata, Salina bersama tiga lagi penumpang dalam kereta berkenaan dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke Hoshah untuk menerima rawatan lanjut. 
"Bagaimanapun, Mohd Nazri, Anis Zulaikha dan Muhamad Adam dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar akibat mengalami kecederaan ringan,” katanya. 

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

‘Pengantin Lombok’ guna jurunikah tak bertauliah

Pasangan kahwin lari gagal lapor di Pejabat Agama Mataram 

KUALA LUMPUR: Pejabat Agama Islam Mataram, Lombok, mendedahkan hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang melarikan diri dan berkahwin dengan lelaki Lombok di daerah terbabit menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah bagi memudahkan proses pernikahan itu dilakukan.
Ia berikutan, sehingga kini pihaknya tidak mempunyai maklumat atau data serta menerima sebarang permohonan daripada rakyat negara ini untuk melangsungkan pernikahan menggunakan jurunikah mereka.
Jurucakapnya berkata, dipercayai hampir 500 rakyat Malaysia berkahwin dengan lelaki Lombok dan sebagai Pejabat Agama Islam di Mataram, pihaknya sepatutnya mempunyai data dan maklumat mereka yang berkahwin di sana. 

Namun, kebanyakan daripada mereka lebih gemar menggunakan jurunikah tidak bertauliah berikutan proses pernikahan mereka lebih mudah dilakukan tanpa sebarang syarat terutama membabitkan gadis bawah umur. 

Katanya, sehubungan itu, pasangan yang berkahwin dengan jurunikah terbabit tidak mempunyai sebarang sijil nikah seperti pasangan lain sehingga tampil membuat pengesahan dengan pejabatnya. 

“Sehingga kini, mereka yang berbuat demikian tidak tampil membuat pengesahan dengan kami walaupun hanya didenda pada harga 70,000 rupiah bersamaan RM25.93 untuk dinikahkan semula dengan jurunikah bertauliah dan dikeluarkan sijil nikah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian. 
Beliau berkata, pihaknya sedar sekiranya rakyat Malaysia terutama membabitkan gadis bawah umur yang bakal berkahwin dengan lelaki Lombok, beberapa syarat dikenakan menyebabkan mereka enggan berbuat demikian. 

“Syarat utama yang ditetapkan sekiranya membabitkan gadis bawah umur adalah mendapat restu daripada keluarga pihak perempuan tanpa kehadiran mereka bersama pasangan pengantin. 

“Namun, berikutan ramai yang berkahwin di sana adalah berstatus kahwin lari tanpa pengetahuan keluarga, sudah semestinya tidak mendapat kebenaran daripada pihak perempuan menyebabkan terpaksa menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah,” katanya. 

35 kedai musnah




ORANG ramai menyaksikan pihak bomba memadamkan kebakaran di Jalan Teik Wah Heng, Layang-Layang, Kluang, semalam.


BATU PAHAT 13 Jun – Sederet 35 buah kedai yang kebanyakannya berdindingkan papan di Jalan Teik Wah Heng, Layang-Layang, Kluang dekat sini musnah dijilat api hari ini.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Hamid Suari berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
‘‘Kami menerima panggilan pada pukul 5.47 pagi dan lima buah jentera dari Simpang Renggam, Kluang, Pontian, Kulaijaya dan Rengit dikejarkan ke lokasi kejadian beberapa minit selepas itu.
‘‘Kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 7.30 pagi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun berjaya mengawal kebakaran, pihaknya menghadapi kesukaran memadamkan api ekoran tekanan air rendah.
Katanya, kawasan itu menempatkan pelbagai premis antaranya restoran dan peralatan elektrik. Punca kebakaran masih disiasat.

16,200 liter diesel subsidi dirampas



KUALA LUMPUR 13 Jun - Pasukan Gerakan Marin (PGM) mematahkan cubaan menyeludup 16,200 liter diesel subsidi bernilai RM30,000 di perairan Tanjung Rhu, Langkawi, tengah malam kelmarin.
Kejayaan pada pukul 12.10 tengah malam itu diperoleh apabila seorang pegawai dan tiga anggota dari Markas Operasi PGM Wilayah 1, Pelabuhan Klang yang sedang menjalankan Ops Octopus mengesan sebuah bot tunda dalam keadaan mencurigakan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi, PGM Pelabuhan Klang, Deputi Supritendan Norzaid Muhammad Said berkata, mereka kemudian membuat pemeriksaan di dalam bot terbabit lalu menemui diesel itu.
Beliau berkata, diesel tersebut disimpan dalam sebuah tangki simpanan di bahagian bawah tengah bot berkenaan.
"Seorang lelaki warga Indonesia yang juga tekong bot mengaku minyak diesel tersebut telah dibeli daripada bot lain di kawasan perairan Sungai Langat.
"Diesel tersebut dalam perjalanan untuk dibawa ke tangki simpanan di Bagan Hailam, Pelabuhan Klang," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, minyak subsidi yang dirampas itu dibawa ke jeti Markas Operasi PGM, Wilayah 1, Pelabuhan Klang dekat sini untuk tindakan lanjut.
Norzaid berkata, pihak bertanggungjawab yang dilantik kerajaan untuk menguruskan penjualan minyak iaitu Nano Tech Sdn. Bhd. mengesahkan bahawa diesel terbabit adalah minyak subsidi untuk kegunaan industri.
Katanya, tekong bot yang ditahan sudah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk disiasat kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Norzaid berkata, pihaknya akan terus menjejaki, menyerbu dan menangkap mereka yang terlibat bagi menangani masalah penyeludupan diesel tanpa permit atau lesen.

Ribut terbalikkan lori, 120 pokok




Para peniaga menyusun semula peralatan dan kerusi meja di gerai mereka yang diterbangkan angin kencang di Kota Damansara, Petaling Jaya, malam tadi. - UTUSAN/HAFIZH KHOSMAT


PETALING JAYA 13 Jun - Penduduk di sekitar Kota Damansara di sini panik selepas ribut petir melanda kawasan itu mengakibatkan lebih 120 batang pokok tumbang dan sebuah lori tiga tan terbalik.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, tiupan angin yang berpusar turut menerbangkan bumbung beberapa rumah pangsa dan kondominium di sembilan lokasi di Seksyen 6, 7, 8, 9 dan 11.
Lori berkenaan yang diletakkan di Seksyen 8 terbalik akibat tiupan angin kencang itu.
Seorang peniaga, Mohd. Safari Mohd. Yasai, 57, berkata, kejadian itu bermula dengan hujan renyai selama beberapa minit sebelum disusuli dengan dentuman guruh.
"Selepas hujan beberapa minit, angin yang cukup kuat bertiup. Angin itu seperti kabus dan berpusing seperti puting beliung.
"Saya dan isteri terpaksa menutup semua tingkap dan bersabar dalam ketakutan sementara menunggu ia berhenti," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang penduduk, Wan Zairul Mohd. Saleh, 32, pula memberitahu, angin kencang itu bertiup selama kira-kira seminit sebelum keadaan kembali tenang.
"Selepas ribut berhenti rata-rata penduduk di pangsapuri di Seksyen 8 mula keluar untuk memeriksa jika berlaku kerosakan harta benda.
"Kesan tiupan angin itu memang mengejutkan apabila kira-kira 30 buah motosikal di tempat letak kenderaan itu terbalik, gerai-gerai roboh dan hampir 29 buah kereta rosak dihempap pokok," ujarnya.
Menurut seorang lagi penduduk, Saniah Yusof, 45, paling mengejutkan penduduk apabila sebuah lori turut terbalik akibat ribut petir itu.
Dalam pada itu sumber Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata, berikutan ribut petir tersebut banyak pokok tumbang di atas jalan raya sejauh satu kilometer dari Seksyen 8 ke Seksyen 11.
"Bagaimanapun kita telah membersihkan kesemua pokok yang tumbang di atas jalan raya. Kerja-kerja pembersihan masih dijalankan sehingga tengah malam ini," jelasnya.

Angelina Jolie terpilih jadi Ratu Mesir

LOS ANGELES: Pelakon, Angelina Jolie akan memegang watak sebagai Cleopatra dalam filem baru mengenai Ratu Mesir itu.
Filem berkenaan diadaptasi daripada biografi Cleopatra karangan Stacy Schiff yang berjudul, ‘Queen of The Nile, Cleopatra: A Life.’ US Magazine semalam memetik jurucakap penerbit buku berkenaan, Michael Pietsch sebagai berkata, Angelina memang layak untuk memegang watak ratu berkenaan. - Agensi

'Penculik rogol kerja amatur'

KUALA LUMPUR: Keluarga mangsa culik dinasihatkan tidak tunduk kepada kemahuan atau ugutan penculik supaya tidak melaporkan kejadian berkenaan kepada polis, kata penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim.
Beliau berkata, tindakan merahsiakan kes culik daripada pengetahuan polis hanya membawa padah kepada mangsa sendiri selain menggalakkan jenayah culik terus berleluasa jika keluarga akur pada kehendakmereka.
“Jika semua keluarga mangsa culik akur dan tunduk kepada penculik, sampai bila-bila pun jenayah ini tidak dapat dibendung. Walau menerima ugutan bunuh sekali pun, keluarga mangsa perlu melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Apa yang patut dilakukan adalah jika berhadapan kes sebegini, keluarga mangsa perlu terus berhubung dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang tindakan termasuk membayar wang tebusan yang dikehendaki penculik, “katanya.

Kamal berkata, dalam kejadian kes penculikan yang dilaporkan keluarga mangsa sebelum ini, polis di negara ini tidak pernah gagal dalam menyelesaikan kes terbabit.

“Sebaliknya, terdapat kes keluarga mangsa yang tidak melaporkan kejadian penculikan kepada polis dan mengambil tindakan sendiri dengan membayar wang tebusan, tapi hanya menerima kembali mayat mangsa yang sudah dibunuh,” katanya.

Kamal berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai kejadian seorang wanita awal 20-an yang diculik dan dirogol sekumpulan empat lelaki tidak dikenali berhampiran rumah mangsa malam Selasa lalu.

Sumber berkata, kumpulan itu dikatakan menghubungi keluarga mangsa pada malam kejadian sebelum mengarahkan mereka menyediakan wang tebusan RM100,000. Kamal berkata, tindakan penculik itu hanyalah kerja amatur kerana jarang sekali mangsa kes culik diperlakukan atau diserang secara seksual.

“Kebiasaannya, penculik tidak akan meninggalkan sebarang kesan atau bukti terhadap mangsa. Ini jelas menunjukkan penculik terbabit baru pertama kali melakukan jenayah terbabit. “Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman kes sebelum ini, jika berlaku serangan seksual terhadap mangsa, berkemungkinan berlaku pakatan antara penculik dan mangsa, namun ia jarang berlaku kecuali penculikan amatur,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua kemungkinan terhadap apa yang akan berlaku kepada mangsa culik iaitu sama ada mangsa dibebaskan hidup tanpa sebarang kesan serangan seksual atau dijumpai dalam keadaan mati.

Cinta gelap terbongkar

JASIN: Sepasang kekasih layak digelar pasangan durjana apabila menjalin hubungan ‘cinta gelap’ walaupun masing-masing sudah bergelar sebagai isteri dan suami orang.
Mereka juga masih menjalinkan hubungan cinta walaupun menyedari diri masing-masing mempunyai batasan dan tanggungjawab, namun kerana tuntutan nafsu, mereka tewas untuk melaksanakannya.
Namun, hubungan cinta terlarang yang dibina pasangan membabitkan wanita berusia 21 tahun serta lelaki berusia 27 tahun itu terbongkar apabila mereka dicekup imam tempatan di daerah ini, awal pagi semalam.

Lebih mengharukan, pasangan terbabit ditahan di rumah lelaki berkenaan dan difahamkan ketika itu ibunya turut berada di rumah berkenaan.

Pasangan terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Rahimin Bani, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, imam terbabit membuat serbuan di rumah berkenaan kira-kira jam 5 pagi sebelum menemui pasangan itu dalam keadaan berkurung.

“Soal siasat dilakukan terhadap pasangan terbabit mendapati kedua-dua mereka bukan mahram. Lebih memeranjatkan mereka pula berstatus isteri dan suami orang lalu ditahan untuk diserahkan kepada kami sebelum siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Rahimin berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit bertindak membawa masuk wanita berkenaan ke rumahnya selepas isterinya pulang ke kampung.

Katanya, peluang berikutan ketiadaan isterinya itu diambil lelaki berkenaan bagi melakukan perbuatan terlarang di rumahnya.

“Mereka dikatakan masuk ke rumah itu sejak tengah malam dan terus berkurung sebelum dicekup imam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat diperoleh juga menyatakan pasangan terbabit sering berada di rumah berkenaan.
Katanya, pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan mahram sehingga mendatangkan syak, di mana sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Dokumen hilang bukan masalah besar

KLANG: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kehilangan dokumen penting berkaitan urus niaga pasir di negeri itu bukan masalah besar kerana salinannya boleh diperoleh menerusi sistem pengkomputeran.
Beliau berkata, kandungan dokumen berkenaan juga boleh didapati menerusi audit secara fizikal ke atas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) iaitu pemegang konsesi perlombongan pasir di negeri itu.
“...Tak timbul masalah. Saya anggap ini (kehilangan dokumen) sebagai satu perbuatan jenayah. Kita kena buat sesuatu supaya perkara itu tidak berulang,” katanya di sini, semalam.

Abdul Khalid diminta mengulas laporan polis yang dibuat seorang pegawai Jabatan Tanah dan Galian semalam berikutan kehilangan dokumen terbabit daripada pejabatnya di tingkat empat bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pegawai berkenaan sedang membuat siasatan dalaman berhubung aktiviti urus niaga pasir di negeri itu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, kehilangan dokumen juga perkara biasa di mana-mana tempat kerja. - Bernama

Pelaburan haram cecah RM1.7 bilion

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh tidak sampai setengah tahun, pelaburan haram dengan nilai kutipan melebihi RM1.7 bilion membabitkan 170,000 pelabur dikesan aktif di negara ini sejak Januari lalu.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata jumlah itu dikesan berdasarkan siasatan pihaknya terhadap 10 kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (APPWH).
Beliau berkata, jumlah itu melebihi nilai pelaburan dikesan dari 2003 hingga 2008 dijalankan 23 syarikat dengan jumlah kutipan pelaburan melebihi RM1.5 bilion, membabitkan 400,000 pelabur.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan aktiviti pelaburan haram masih berlarutan dan ramai terjebak di negara ini selain tidak menunjukkan pengurangan,” katanya ketika ditemui.

Abu Hassan berkata, dalam tempoh sama, empat syarikat serta mereka yang menjalankan aktiviti skim cepat kaya sudah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan perundangan, iaitu Gemilang Mirza Sdn Bhd, Noradz Travel & Services, Buluhmas Enterprise Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd.

Selain itu, katanya, dari Januari hingga Mei lalu, BNM sudah membuat serbuan dan kini menjalankan siasatan terhadap tiga syarikat iaitu Semangat Teknologi Sdn Bhd dan syarikat berkaitan dengannya, Dencomm Sales & Services Sdn Bhd dan The Gold Label Sdn Bhd.

Dua lelaki ugut langgar polis

KULIM: Dua lelaki bukan saja hampir menyebabkan seorang anggota polis trafik nyaris terbunuh dalam satu kejadian Khamis lalu tetapi turut mengugut untuk melanggar polis yang menahan mereka dengan lori selepas dibebaskan kelak.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dua lelaki bermotosikal berkenaan cuba melarikan diri dalam satu sekatan jalan raya dengan merempuh halangan yang dibuat polis di Jalan Bukit Awi di sini.
Ketika itu, seorang anggota polis trafik dari Balai Polis Kulim bersama lima rakannya menjalankan operasi membanteras jenayah jalanan membabitkan anggota Skuad 42 Trafik dan Skuad Ninja di kawasan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, ketika enam anggota polis itu menjalankan operasi, sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki berusia 30-an meluru laju dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis mengarahkan kedua-dua lelaki itu berhenti, namun mereka terus memecut dan hampir merempuh seorang anggota trafik bertugas.

“Bagaimanapun, anggota polis berkenaan sempat mengelak sebelum kedua-dua lelaki itu terjatuh dan ditahan lalu dibawa ke alai Polis Kulim untuk siasatan,” katanya. Begitupun kata jurucakap itu, ketika di balai polis, kedua-duanya berbual dan merancang untuk mencederakan anggota polis yang menahan mereka.

Kekasih RM382,477

KUALA LUMPUR: Teruja ingin bertemu kekasih hati yang baru dikenali melalui laman sembang, seorang wanita berusia 27 tahun berputih mata apabila kerugian RM7,100 apabila diperdaya lelaki terbabit kononnya ditahan pihak berkuasa tempatan.
Tanpa menyedari ia helah lelaki Afrika yang bijak berlakon sebagai kasanova menjerat wanita tempatan menyebabkan mangsa yakin teman lelakinya itu dalam kesusahan. Menurut sumber, mangsa bekerja sebagai pembantu undang-undang hanya mengenali lelaki itu tidak sampai sebulan dan terkejut apabila diberitahu kekasihnya itu akan datang menemuinya minggu lalu.
“Mangsa menerima panggilan kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu dari teman lelakinya yang dikenali sebagai David menyatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, United Kingdom,” katanya.

Namun, kegembiraan wanita itu hanya seketika apabila menerima panggilan daripada teman lelakinya yang mendakwa ditahan pihak kastam kerana membawa wang melebihi had memasuki negara ini iaitu kira-kira RM382,477.

“Suspek meminta wanita terbabit membantu membebaskannya dengan membayar cukai iaitu 10 peratus dari jumlah wang terbabit kira-kira RM38,247.

“Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu mulanya enggan membantu, tetapi kemudian dihubungi pula seorang lelaki lain yang mendakwa pegawai kastam menyebabkan dia terpedaya lalu memasukkan RM7,100 ke dalam beberapa akaun seperti diarahkan,” katanya.

Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati dan mendesak mangsa supaya memasukkan sekurang-kurangnya RM10,000 dengan alasan untuk dibebaskan, tetapi enggan dituruti mangsa.

“Suspek terus mendesak dan menghubunginya bagi meminta wang menyebabkan mangsa menghubungi pihak kastam dan imigresen KLIA bagi mengesahkan penahanan teman lelakinya itu.

“Menyedihkan apabila mangsa diberitahu kedua-dua pihak berkuasa terbabit mereka tidak membuat sebarang penahanan pada hari terbabit menyebabkan mangsa merasa ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany mengesahkan menerima laporan itu.

'Saya tak nak balik'

TUMPAT: “Saya tidak akan pulang walaupun ayah datang menjemput. Saya selesa dengan keluarga angkat dan mereka memberi didikan agama sempurna di sini,” kata Mohd Aimron Abdul Rahman.
Remaja berusia 13 tahun itu berkata, dia kini ceria dan bahagia bersama keluarga angkatnya, Zukeri Mat Daud, 48, dan Engku Rohana Raja Daud, 48, yang menetap di Kampung Hilir Wakaf Bharu serta tidak bercadang kembali kepada keluarganya.
Katanya, dia terlalu kecewa dengan kejadian berlaku dan hingga kini, abang serta adik tirinya yang turut membawa diri masih gagal dikesan.

“Walaupun kisah saya disiarkan dalam akhbar, tiada seorang ahli keluarga pun mencari saya.

“Saya sedih dan tidak bercadang kembali kepada ayah walaupun dia datang menjemput,” katanya.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan nasib malang Mohd Aimron yang terpaksa menanggung penderitaan selepas perceraian ibu bapanya.

Remaja terbabit bukan saja menanggung malu kerana terpaksa hidup dengan bapanya berusia 30-an yang dikatakan seorang kaki pecah rumah, malah kini ditinggalkan ibu yang melarikan diri bersama teman lelaki.

Nasib malang itu turut dirasai abangnya berusia 15 tahun yang kini membawa diri bersama seorang adik tiri perempuan berusia lapan tahun.

Selepas kisahnya disiarkan, Mohd Aimron berkata, ramai individu menawarkan diri mengambilnya sebagai anak angkat, namun terpaksa menolak kerana selesa tinggal bersama keluarga angkatnya sekarang.

Menurutnya, dia bersyukur dijaga dbaik pasangan itu yang menjadi tempatnya menumpang kasih.

“Mereka sanggup ke Kuala Krai mencari ayah kandung saya tetapi hampa, namun yang menjadi harapan saya ialah ada pihak sudi mencari abang dan adik tiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembangunan Mukim Wakaf Bharu, Rosli Abd Ghani, berkata dia berusaha untuk menyambung kembali persekolahan remaja itu.

“Saya berharap Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dapat menyegerakan proses maklumat persekolahannya dan berharap dia dapat menyambung kembali persekolahan selepas cuti sekolah sekarang berakhir.

“Saya juga berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu mencari adik tiri dan abangnya,” katanya

'Orang Besar’ kena cekup

KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dikenali ‘Orang Besar’ dalam kalangan penagih sekitar Pulau Duyung, Losong dan Batu Rakit, dekat sini, menyembunyikan dadah dalam baju korporat yang digantung dalam kereta bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila ditahan dalam serbuan polis, Jumaat lalu.
Dalam serbuan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menemui 15 botol kecil berisi heroin tulen yang disembunyikan dalam kereta lelaki berusia 38 tahun itu.
Serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan dan helah digunakan lelaki terbabit bagi mengelak diberkas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, polis yang terlebih dulu menerima maklumat melakukan intipan lebih setengah jam sebelum melihat sebuah kenderaan berhenti di lokasi serbuan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, intipan kira-kira jam 8.30 malam itu dilakukan di hadapan sebuah bangunan di Dataran Shahbandar sebelum pasukan berkenaan menahan kereta suspek untuk pemeriksaan, namun tidak menemui sebarang dadah sebelum memeriksa pakaian korporat yang disangkut dalam kenderaan itu.

“Sebaik pemeriksaan, polis menemui bungkusan mengandungi beberapa botol berisi serbuk putih disyaki heroin menyebabkan lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

“Dadah dirampas dianggarkan seberat 66 gram bernilai kira-kira RM21,000 dan lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, pihaknya menjalankan semakan rekod dan mendapati suspek pernah dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1998 di Simpang Renggam, Johor kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah. Selain itu, katanya, suspek yang sudah berkahwin juga pernah dikenakan tindakan sekatan di Negeri Sembilan.

Judi maya

KUALA LUMPUR: Lima pusat Internet di Jalan Klang Lama, di sini, diserbu selepas disyaki terbabit membuat pertaruhan haram sempena perlawanan Piala Dunia yang berlangsung kelmarin.
Ketika serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, terdapat 19 pelanggan dalam lima pusat berkenaan yang sedang leka memilih pasukan yang akan bermain pada perlawanan malam itu.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat awam.

Dalam serbuan itu, sembilan penjaga premis termasuk dua wanita dan seorang warga Bangladesh berusia 24 hingga 28 tahun ditahan.

Ketua Operasi Superintendan Maszely Minhad berkata, ketika gerakan Ops Soga itu rata-rata pelanggan sedang leka membuat pertaruhan secara maya.

“Dengan kekuatan lima pegawai dan 12 anggota, kami bertindak menyerbu premis terbabit yang didakwa menjalankan kegiatan judi bola.

“Hasilnya pemeriksaan lanjut, polis menahan 19 pelanggan berusia 24 hingga 56 tahun termasuk seorang warga Indonesia dan Pakistan yang leka bermain judi Internet,” katanya. Maszely berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM2,695 dipercayai digunakan kaki judi terbabit bagi tujuan taruhan.

Harian Metro difahamkan premis berkenaan sudah beberapa kali diserbu dan mereka jelas tidak serik untuk terus menawarkan aktiviti perjudian secara online.

Polis turut merampas 169 unit komputer yang diubah suai sebagai mesin judi internet dalam serbuan terhadap premis perjudian yang berselindung di sebalik kafe siber.

“Mereka yang ditahan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Ajal sebelum berhenti kerja

GEMAS: “Saya tidak sangka kata-katanya untuk berhenti kerja sebagai mekanik menjadi kenyataan,” kata ibu kepada seorang mekanik, Mohd Syafiq Zainal, 24, apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 28, Jalan Gemas-Bahau, di sini, malam kelmarin.
Jamilah Ibrahim, 50, berkata, ketika pulang ke rumah minggu lalu, anaknya ada memberitahu pekerjaan yang dilakukan sekarang agak teruk dan dia tidak larat untuk mengangkat barang berat.
“Saya kemudian menasihatkannya supaya mencari pekerjaan lain terlebih dulu sebelum berhenti kerja peluang kerja agak sukar diperoleh.

“Walaupun sedih, saya sekeluarga menerima kejadian ini sebagai suratan takdir dan reda atas apa yang berlaku,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Mohd Syafiq yang menunggang motosikal dari arah Bahau menghala ke Gemas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan simen menyebabkannya maut di tempat kejadian.

Mohd Syafiq yang juga bekas pelajar Kolej Komuniti Segamat, Johor adalah anak sulung daripada lima beradik dan menjadi harapan keluarga.

Jenazah mangsa dibawa ke kampungnya di Kampung Paya Pulai, Segamat untuk dikebumikan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut berkenaan.

Panggilan palsu

KUANTAN: Selepas beberapa hari poster kehilangan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Nisha Chandramohan disebarkan, keluarganya kini dihujani pelbagai SMS dan panggilan palsu daripada orang tidak dikenali, malah ada yang mengugut meminta RM1 juta sebagai pertukaran untuk memberikan maklumat berhubung perkara itu.
Tidak ketinggalan, ada yang mengirim SMS supaya keluarga kanak-kanak terbabit menambah nilai kredit prabayar antara RM5 hingga RM10 untuk membolehkan mereka memberitahu maklumat di mana Nisha berada.
Ibu kanak-kanak malang itu, Wong Lai Lan, 21, berkata dia menerima semua panggilan dan SMS palsu berkenaan sejak beberapa hari lalu dan begitu trauma dengan kejadian berkenaan.

Menurutnya, paling tidak munasabah apabila dia menerima SMS meminta RM1 juta untuk mengetahui maklumat lanjut di mana anaknya itu berada.

“Kedua-dua SMS itu saya terima pada Sabtu lalu daripada individu menggunakan nombor telefon sama dipercayai berasal dari Johor.

“Dalam SMS pertama, dia memaklumkan Nisha sedang sakit dan dalam SMS kedua, dia mahu kami menyerahkan RM1 juta jika mahu mengetahui maklumat lanjut mengenai anak saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

“Saya sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kelmarin untuk polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dia kini buntu memikirkan perkara itu dan berharap semua pihak membantu mencari anaknya itu, bukan mempermainkan perkara berkenaan.

“Hari ini masuk hari ke-10 hilangnya, namun kami masih tidak menerima sebarang maklumat lanjut,” katanya.

Harian Metro pada 10 Jun lalu melaporkan ibu kanak-kanak terbabit terpaksa menggunakan khidmat bomoh selain mengedar risalah dan gambar anak tunggalnya di seluruh bandar Temerloh dan Mentakab dalam usaha mengesannya

Misteri kepala berdarah

JITRA: “Sehari sebelum kejadian, anak saya ada beritahu kawasan ladang getah yang dijaganya itu menjadi tumpuan pencuri yang mencuri getah beku.
“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan anak saya cedera terkena tembakan di sekitar kawasan itu dan teringat ceritanya sebelum ini,” kata Samsudin Hashim, 56, bapa Mohd Shukri Samsudin, 33, yang cedera akibat terkena tembakan di kawasan ladang berhampiran rumahnya di Kampung Kelubi Dalam, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa dipercayai baru bekerja sebagai penjaga estet itu sejak sebulan lalu ke kawasan berkenaan untuk melakukan tugas harian.

Bagaimanapun, mangsa yang menyedari kepalanya berdarah selepas terdengar satu bunyi letupan kuat menyebabkan dia bergegas pulang ke rumah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri meminta bantuan isterinya, Norhashimah Md Salleh, 30-an kerana bimbang keadaan dirinya berikutan peluru berkenaan mengenai dahinya.

Berikutan itu, mangsa dihantar ke Hospital Jitra (HJ) oleh bapa saudaranya sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Zainol Saad, 60, berkata dia terdengar letupan kuat dari arah estet terbabit, tetapi pada mulanya menyangka letupan itu mercun bola.

Bagaimanapun, isteri mangsa datang ke rumahnya yang terletak bersebelahan dan memberitahu mangsa terkena tembakan.

“Saya kemudian menghantar mangsa ke HJ dengan menaiki kereta dan mangsa ketika itu masih sedarkan diri tetapi tidak banyak bercakap,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, anggota polis dari unit anjing pengesan dan forensik kemudian membuat pemeriksaan di rumah mangsa sehingga jam 3 petang semalam untuk mencari bahan bukti dan menemui dua batang kayu berbentuk senapang serta bungkusan mengandungi peluru.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin berkata, pihaknya masih menyiasat berhubung kejadian itu dan sudah mengambil keterangan daripada mangsa.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian tembakan itu berlaku berikutan mangsa tidak dapat memberi jawapan jelas bagaimana ia berlaku.

“Kami percaya mangsa dipercayai terkena tembakan di bahagian dahi tetapi kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Setakat ini, polis merampas dua batang kayu yang menyerupai senapang dipercayai buatan sendiri serta beberapa butir peluru penabur yang ditemui di rumah mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.

Sawaludin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1967 kerana melepaskan tembakan dengan senjata tanpa alasan sah.

Bapa Jacko salahkan isteri

LOS ANGELES: Bapa mendiang Raja Pop, Michael jackson, Joe Jackson semalam mendedahkan pertengkaran yang berlaku dengan isterinya beberapa jam selepas anak mereka mati tahun lalu.

JACKSON (kanan) dan Michael.
JACKSON (kanan) dan Michael.


Dalam temuramah eksklusif dengan akhbar News of the World, 12 hari sebelum ulang tahun pertama kematian penyanyi itu, Jackson buat julung kalinya berkata, dia menyalahkan isterinya, Katherine terhadap kematian Michael.
Katanya, Katherine gagal menyelamatkan anak mereka daripada ubat berbahaya yang menjadi punca kematian Raja Pop itu.

Menurut Jackson, dia melemparkan tuduhan itu di depan mayat Michael di bilik mayat Hospital UCLA.

“Katherine menangis teresak-esak dan kelihatan begitu sedih. Tetapi saya tidak memujuknya kerana saya begitu marah padanya (Katherine),” kata Jackson. Menurutnya, dia sudah sekian lama mendesak Katherine memujuk Michael supaya menjalani pemulihan kerana masalah ketagihan ubat berbahaya.

“Saya memberitahunya: ‘Jika kamu dengar cakap saya, Michael tidak akan mati sekarang.’ “Saya terbayang-bayang saat saya membuat desakan itu. Saya tidak dapat menahan kemarahan saya pada Katherine ketika itu,” kata Jackson.

Dia turut mengaku gagal bertindak untuk memujuk mendiang Raja Pop itu supaya mendapatkan rawatan.

“Saya menemuinya beberapa kali dalam masa beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia.

“Saya sedar dia hadapi masalah kesihatan. Saya mengajaknya berjumpa dengan doktor saya. “Tapi ada saja alasan yang diberikannya untuk mengelak ajakan saya,” kata Jackson. - Agensi

Saman tak cukup 6 tong sampah

KLANG: Pekerja sebuah kedai gambar di Taman Sungai Kapar Indah di sini, kebingungan apabila kedai itu yang menyediakan tong sampah mencukupi disaman Majlis Perbandaran Klang (MPK), Khamis lalu.

SALAH...kotak yang digunakan sebagai tong sampah dan tong plastik yang disediakan kedai gambar.
SALAH...kotak yang digunakan sebagai tong sampah dan tong plastik yang disediakan kedai gambar.


Griff Sin, 33, mendakwa beberapa pegawai dari Jabatan Alam Sekitar MPK datang ke kedai itu dan menyaman atas alasan tidak menyediakan enam tong sampah.
“Saya tidak puas hati dengan alasan itu kerana kedai ini ada enam tong sampah. Mereka juga nampak tempat saya meletakkan semua tong sampah berkenaan.

“Alasan mereka lagi ialah saya melakukan kesalahan kerana menyediakan dua kotak sebagai tong sampah dan tidak bertutup. Saya yang hairan menyatakan pada mereka kedai saya bukan kedai makan yang perlukan tong sampah bertutup,” katanya ketika ditemui di kedainya, kelmarin.

Difahamkan, kedai itu menyediakan dua kotak sebagai tong sampah dan selebihnya tong sampah plastik.

Griff berkata, dia tidak tahu kewujudan undang-undang MPK yang menyatakan setiap premis perlu menyediakan sekurang-kurangnya enam tong sampah seperti dimaklumkan pegawai terbabit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Alam Sekitar MPK, Wan Mohd Sofian Wan Hussain, berkata kedai berkenaan disaman atas kesalahan menggunakan kotak sebagai tong sampah.

“Selepas meneliti laporan pegawai, saya dapati kedai berkenaan hanya melakukan kesalahan itu yang termaktub dalam Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah sarap (2007) MPK.

“Saya juga mengakui pegawai saya melakukan kesilapan ketika menulis perkataan ‘tidak mencukupi’ pada saman berkenaan kerana dia sepatutnya menulis kedai itu tidak menyediakan tong sampah sesuai,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, perkara berkenaan juga sudah dibincangkan dalam mesyuarat bersama ahli majlis dan pihaknya akan berjumpa pemilik kedai bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Bagaimanapun, pihaknya menghargai usaha pekerja kedai berkenaan yang menyedari tanggungjawab menjaga kebersihan.

Penyebar video diburu

JAKARTA: Polis di sini semalam mula melancarkan gerakan menjejaki penyebar video seks mirip artis Luna Maya dan Ariel ‘Peterpan.’
Operasi itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat, kata jurucakap polis Jakarta, Brigadier Jeneral Zainuri Lubis kepada wartawan detikcom, semalam.
Zainuri bagaimanapun enggan menjelaskan langkah itu secara terperinci kerana mahu memastikan siasatan tidak terjejas.

Beberapa sumber berkata, mereka yang bertanggungjawab muat naikkan video berkenaan berada di Kendari dan Bandung.

Selain, Luna dan Ariel, turut terbabit dalam skandal berkenaan ialah model, Cut Tari.

Rakaman video itu didakwa menunjukkan Ariel yang kini digelar Ariel ‘Peterporn’ melakukan seks dengan pengacara televisyen yang juga teman wanitanya, ketika ini, Luna dan Ariel dengan Cut, bekas teman wanitanya.

Zainuri berkata, pihaknya tidak dapat memastikan bila proses menjejaki penyebar video itu dapat diselesaikan.

Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat sebelum ini berkata ia sudah mengesan alamat IP komputer yang digunakan untuk muat naik video itu.

Dalam pada itu, seorang lagi pegawai kanan polis Jakarta, Ito Sumardi berkata, video berkenaan yang menunjukkan pelaku seks mirip Luna dan Ariel adalah untuk koleksi peribadi.

“Tidak ada tanda menunjukkan ia dirancang untuk disebarkan,” kata Ito.

Sementyara itu, walaupun didakwa terbabit dalam video seks, Luna tidak segan untuk muncul di khalayak ramai apabila mengambil bahagian dalam perlawanan badminton Siri Super Terbuka Djarum, kelmarin. — Agensi

Mati ditikam ketika gaduh

PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati dipercayai dibunuh dalam pergaduhan dengan rakannya di Blok 20, Flet Bandar Sultan Suleiman di sini, kira-kira 11.30 malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Chandra Bahadur, 31, mati di tempat kejadian akibat parah di rusuk kiri selepas ditikam. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata sebelum kejadian, seorang anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Bandar Sultan Suleiman itu didatangi seorang lelaki yang melaporkan kejadian berkenaan.
“Anggota saya didatangi seorang lelaki warga tempatan yang memberitahunya terdapat pergaduhan di flat itu. “Selepas dimaklumkan, dia bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa sudah mati. Dia juga menangkap suspek yang ketika itu masih berada di tempat kejadian,” katanya. Difahamkan, kedua-duanya bergaduh dalam keadaan mabuk sebelum suspek menikam mangsa. Katanya, polis turut menemui pisau yang digunakan untuk menikam mangsa di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat. Suspek, Sarkeedhan Pulamimagar, 20, juga warga Nepal kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek curi kambing dipukul hingga mati

BOGOR (Indonesia): Seorang lelaki yang disyaki pencuri kambing mati selepas dibelasah penduduk kampung di daerah ini, semalam.
Seorang rakan mangsa pula kini dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital selepas cedera parah akibat dipukul teruk.
Kedua-dua lelaki itu dilapor diburu penduduk kampung berkenaan dan kampung sekitar selepas kejadian kehilangan kambing semakin menjadi-jadi sejak beberapa bulan lalu.

Sebaik ditangkap, penduduk kampung membicarakan sendiri mangsa lalu mereka didapati bersalah dan dipukul beramai-ramai walaupun tidak ada bukti jelas menunjukkan kedua-dua mangsa bertanggungjawab. - Agensi

Warga Myanmar tercampak maut digilis kereta

HULU LANGAT: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas motosikal ditunggangi bersama rakannya merempuh belakang sebuah kereta sebelum tercampak dan digilis sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan di Batu 12 1/2, Dusun Nanding, Jalan Hulu Langat, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mangsa mati di tempat kejadian manakala rakannya parah.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, ketika dihubungi berkata mangsa yang berusia 30-an menunggang motosikal bersama rakannya berusia 25 tahun dari Batu 19 dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 14, Hulu Langat.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian terbabit oleh orang awam dan siasatan awal mendapati mangsa melanggar belakang sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 40 tahun sebelum terbabas ke seberang jalan dan dirempuh sehingga melambung beberapa meter oleh sebuah lagi kereta.

“Mangsa bersama rakannya itu dipercayai di bawah pengaruh alkohol. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala rakannya yang juga warga Myanmar pula parah dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Katanya, identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri bersamanya dan dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.

“Semakan ke atas motosikal ditunggang mangsa mendapati ia milik seorang lelaki tempatan dan polis akan mengambil sampel darah mangsa dan rakannya untuk diuji sama ada mereka di bawah pengaruh alkohol ataupun tidak,” katanya. Beliau berkata, kedua-dua pemandu kereta iaitu seorang wanita dan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun tidak cedera.

Saiful Apek ditahan positif dadah




KUALA LUMPUR 13 Jun – Pelakon komedi, Saiful Apek atau Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff, 41, bersama lima rakannya termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan yang menemui 40 gram dadah jenis ganja di sebuah apartmen di PJS 7, Sunway, dekat sini malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Subang Jaya itu, dadah tersebut ditemui di dalam rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, penahanan Saiful dan rakan-rakannya yang dipercayai pekerjanya diperoleh hasil maklumat awam.
Menurutnya, ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua mereka positif mengambil dadah jenis ganja.
“Semua suspek berusia 20 hingga 41 tahun ditahan ketika baru mengambil dadah dan sedang berehat.
“Kita akan menjalankan siasatan dari mana mereka memperoleh dadah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Zainal Rashid, semua suspek direman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kyrgyzstan bertambah tegang



BISHKEK 13 Jun - Tentera dan polis Kyrgyzstan hari ini meronda di kawasan panas di selatan negara ini setelah diberi lampu hijau oleh kerajaan untuk menembak pengganas etnik bagi menamatkan pergolakan yang berlaku ketika angka korban meningkat kepada lebih 100 orang dengan kira-kira 1,000 dilaporkan cedera.
Satu dekri kerajaan yang dikeluarkan semalam menyatakan, tindakan keras tersebut dibenarkan bagi menangkis serangan terhadap kerajaan, cubaan membinasakan kerajaan dan harta persendirian serta melindungi orang awam.
"Keganasan, kegiatan jenayah serta pembunuhan beramai-ramai semakin menjadi-jadi.
"Jika kita tidak mengambil tindakan serta langkah-langkah pencegahan tepat pada waktunya, kekacauan boleh menjadi bertambah serius dan merebak kepada konflik serantau," jelas dekri tersebut.
Kerajaan sementara Kyrgyzstan melalui Kementerian Dalam Negeri hari ini turut menguatkuasakan perintah berkurung di Osh dan dua daerah berhampiran.
"Perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar Osh, daerah Kara-Suu dan daerah Aravan," demikian menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Darurat turut diisytiharkan di ibu negara, Jalalabad setelah pertelingkahan etnik merebak di seluruh bahagian selatan Kyrgyzstan.
Timbalan Menteri sementara Azimbek Beknadzarov melalui televisyen kebangsaan berkata, tindakan itu perlu memandangkan ketidakstabilan yang semakin teruk.
Terbaru di Jalalabad, pegawai melaporkan seramai 30 etnik Uzbek mati dibunuh di kampung Suzak, sementara jumlah korban dalam satu lagi serangan ke atas kampung Dostuk di daerah sama masih belum diketahui.
Keganasan di wilayah Osh tercetus lewat Khamis lalu apabila pertelingkahan antara etnik Kyrgyz dengan etnik Uzbek berubah menjadi pertempuran jalan, sehingga membuatkan kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung dan mengisytiharkan darurat. - AFP

Lima maut, 24 cedera akibat bom dan tembakan selatan Thailand



PASUKAN keselamatan menjalankan siasatan ke atas lokasi kejadian letupan di wilayah Yala, selatan Thailand semalam. - REUTERS


BANGKOK 13 Jun - Kumpulan pejuang pemisah disyaki membunuh lima penduduk dan mencederakan 24 orang cedera dalam satu hari berdarah yang menyaksikan pengeboman dan tembak-menembak di kawasan bergolak selatan Thailand.
Menurut polis hari ini, dua butir bom tangan buatan sendiri yang dilontar kumpulan pemisah telah mengorbankan seorang sami Buddha berusia 35 tahun dan mencederakan 24 lagi penduduk.
Pada hari yang sama, empat lelaki terbunuh dalam satu insiden tembakan berasingan di Yala, Narathiwat dan Pattani.
Lebih 4,100 penduduk baik yang beragama Buddha atau Islam menjadi mangsa korban dalam pemberontakan enam di selatan Thailand yang tidak pernah menyatakan secara jelas matlamat mereka.
Wilayah itu merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melayu sehinggalah dijajah Thailand pada 1902 dan sejak itu berlaku ketegangan yang seterusnya mencetuskan bermulanya pemberontakan pada Januari 2004. - AFP

Lagi kes lelaki serang bekas isteri



KUALA TERENGGANU 13 Jun - Jika sebelum ini, seorang lelaki sanggup membakar masjid tempat bekas isterinya dijadual bernikah, Sabtu lalu, satu lagi kejadian dipercayai 'gila talak' berlaku di Pantai Kemasik, dekat sini.
Kali ini, seorang lelaki bertindak ganas ala samseng apabila dia bersama sekumpulan 20 lelaki menyerang bekas isteri dan pasangannya di sebuah kedai makan di pantai tersebut.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa berusia 30 tahun dan suaminya, 49, dari Kemaman tiba-tiba didatangi oleh bekas suaminya dan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu dan besi.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, suspek menyerang sehingga mengakibatkan suami mangsa cedera di lengan dan dada kiri.
Katanya lagi, selain itu, kumpulan tersebut turut mencederakan dua anggota polis yang kebetulan berada di situ dan cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
"Dua anggota berpakaian preman itu cuba meleraikan pergaduhan dengan memperkenalkan diri mereka sebagai polis.
"Namun mereka pula diserang dan mengakibatkan seorang daripadanya luka di lutut kiri selepas dipukul dengan kayu oleh salah seorang suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Manoharan berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek utama berusia 40 tahun tidak berpuas hati dengan bekas isterinya yang telah berkahwin lain.
Katanya, ekoran itu, pihaknya sedang memburu suspek terbabit dan abangnya berusia 45 tahun yang dipercayai telah menghilangkan diri.
Ujarnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan penjawat awam dan Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan.

Tak sempat jamah hidangan



KAMPUNG BATANG TIGA - Sepasang suami isteri baru sahaja mahu menyuapkan nasi ke dalam mulut selepas berkunjung ke rumah seorang rakan berdekatan rumah mereka.

Namun belum sempat menjamah makanan, mereka menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumah sewa didiami terbakar.

Rosni Alimin, 46, dan suami terus bergegas pulang tetapi apabila sampai di rumah, tiada apa dapat diselamatkan kerana api marak membakar kesemua bahagian rumah.

“Saya mendapat maklumat, api mungkin berpunca daripada bilik tidur belakang rumah. Saya dan suami tidak dapat menyelamatkan apa-apa termasuk barang kemas dan dokumen penting milik kami semua.

“Sebuah komputer peribadi milik saya juga musnah,” katanya.

Hikmah sebalik pujukan ibu bapa



KARAK – Lapan sekeluarga yang tinggal di Kampung Lengkong dekat sini hanya mampu melihat rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira 9.40 malam kelmarin, selepas sejam meninggalkan rumah. 

Dalam kejadian itu, Zainal Abidin Ismail, 44, bersama isteri, Sakdeah Jamaludin, 41, serta enam anak berusia antara 6 hingga 17 tahun, tiada di rumah kerana menghadiri kenduri dan hanya mengetahui perkara itu apabila dimaklumkan penduduk kampung. 

Mereka sekeluarga menanggung kerugian dianggarkan RM40,000 kerana kereta Kancil, barang kemas, perabot dan wang simpanan hangus serta tidak dapat diselamatkan. 

Sakdeah berkata, bersyukur kerana semua ahli keluarganya tiada dalam rumah ketika kejadian berlaku, walaupun pada awalnya anak mereka, Mohd Farid, 15, enggan mengikut mereka pergi ke kenduri. 

Menurutnya, jika anaknya itu terus berdegil untuk tinggal seorang diri di rumah, pasti anaknya itu akan menjadi ‘korban’ memandangkan keseluruhan bahagian rumah musnah dalam kebakaran itu. 

“Anak saya bersungguh-sungguh mengatakan dia tidak mahu pergi, namun kami tetap berkeras dan tidak menyangka ia merupakan petanda untuk menyelamatkan kami sekeluarga dari kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, Mohd Farid berkata, tidak disangka kesungguhan ibu bapa mengajaknya ke kenduri dapat menyelamatkan nyawanya. 

Menurutnya, hujan renyai dan perlawanan bola sepak di televisyen menjadikan dia malas untuk ke kenduri itu. 

“Tetapi semuanya mungkin sudah ditakdirkan, saya akhirnya mengikut mak, ayah dan adik-beradik yang lain selepas dipujuk. 

“Namun saya sedih, kerana semua peralatan sekolah habis musnah terutama sekali buku teks dan rujukan yang bakal digunakan untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hujung tahun ini,” katanya.

Karya agung bernilai RM405 juta dirompak




PARIS – Sebanyak lima karya teragung di dunia, termasuk lukisan Picasso, berjumlah AS$123 juta (RM405 juta) dilarikan dari sebuah muzium terkenal di Paris, Khamis lalu. 

Menurut Datuk Bandar Paris, Bertrand Delanoe, sistem penggera keselamatan muzium itu tidak berfungsi sejak tiga bulan lalu. 

“Muzium ini dibuka semula pada tahun 2006 selepas kerajaan membelanjakan AS$18 juta (RM60 juta) bagi menaik taraf sistem keselamatan bangunan ini. 

"Kami telah memesan barangan yang diperlukan untuk membaiki sistem penggera keselamatan di muzium ini tetapi sampai sekarang masih belum tiba,” katanya. 

Timbalan Bendahari Kebudayaan Majlis Bandaraya Paris, Christophe Girard berkata, seorang perompak bertopeng memecah masuk ke dalam muzium pada jam 3.50 pagi selepas memotong kunci pagar. 

Pergerakan perompak itu dirakam melalui salah satu kamera litar tertutup yang masih berfungsi.

Sepasang warga emas terselamat



KLUANG – Ketukan kuat di dinding kedainya oleh jirannya berjaya menyelamatkan sepasang warga emas dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan 36 kedai di Pekan Layang-Layang, di sini, awal pagi semalam.

Menurut isteri pemilik kedai, Hew Lee Chin, 72, beliau yang tidur di tingkat dua kedainya terjaga apabila dikejutkan dengan ketukan kuat di dinding kedainya oleh jiran sebelah.

“Detik cemas itu berlaku sekitar jam 5.00 pagi. Saya dalam keadaan panik dan sesak nafas kerana asap tebal dengan tergesa-gesa turun untuk menyelamatkan suami yang tidur di tingkat bawah,” katanya.

Dengan kudrat yang ada, Lee Chin mengheret suaminya, Lee Soon Juan, 78, yang lumpuh keluar daripada kedai untuk menyelamatkan diri.

Dalam keadaan tersebut, mereka tidak sempat membawa bersama dokumen penting kerana hanya keluar dengan sehelai sepinggang.

Sementara itu, bagi Lee Sam Moi,68, sempat menyelamatkan tiga orang cucunya yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki.

“Saya dengar ada jeritan kebakaran dan saya cepat-cepat membawa kesemua cucu saya keluar untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu,” katanya.

Keadaan yang mencemaskan itu membuatkan ramai di kalangan mangsa kebakaran tidak mampu menyelamatkan harta benda mereka.

Maut dilanggar dua kali




LUNAS - Seorang lelaki warga Myanmar maut dilanggar kereta ketika dia cuba bangun semula selepas terjatuh setelah basikalnya bergesel dengan sebuah kereta lain ketika menyeberang jalan di Taman Kancil di sini, jam 8.30 malam semalam. 

Seorang pemandu yang terlibat berkata, dia yang sedang memandu dari arah Lunas ke Kulim tidak sempat mengelak ketika lelaki itu tiba-tiba melintas jalan dalam keadaan terhuyung-hayang menyebabkan keretanya bergesel dengan basikal lelaki itu. 

“Dia terjatuh dan kemudian cuba bangun semula. Ketika itulah, datang sebuah kereta lain dari arah Kulim ke Lunas melanggarnya menyebabkan dia cedera parah, terutama pada bahagian kanan kepala. Lelaki itu mati di tempat kejadian,” katanya. 

Jurucakap polis berkata, mangsa mungkin berada di bawah pengaruh alkohol ketika dilanggar kerana terdapat kesan serpihan botol arak di tempat kejadian. 

“Bagaimanapun, kita tidak dapat mengesahkan perkara ini sehingga bedah siasat dilakukan,” katanya. 

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat

Salah pisahkan ibu dengan anak kandung




KUALA LUMPUR: Adalah salah bagi seseorang itu memisahkan ibu dengan anak kandung mereka berikutan ia menafikan hak seorang ibu, kata peguam syarie, Datuk Zaidi Zain mengenai tindakan keluarga mentua seorang wanita merampas serta memisahkan dia dengan dua anaknya selepas suaminya meninggal dunia.
Sebaliknya, Zaidi berkata, keluarga mentuanya hanya perlu bertanggungjawab terhadap nafkah serta kebajikan anak berkenaan sehingga mereka tamat belajar, sudah bekerja atau berkahwin.
Perkara ini memang jelas dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan seseorang ibu memiliki hak sepenuhnya untuk menjaga anak mereka melainkan jika wanita itu disabitkan atas kesalahan jenayah atau atas masalah kesihatan seperti gila.
Walaupun enakmen ini sudah tertulis, kita dapati masih ada segelintir ibu tidak tahu mengenainya, menyebabkan ada yang makan hati dan menerima saja nasib yang menimpa, katanya.
Berdasarkan enakmen itu, Zaidi berkata, penjagaan anak secara automatik jatuh kepada ibu jika anak yang dituntut berusia tujuh tahun ke bawah bagi anak lelaki, manakala sembilan tahun ke bawah bagi anak perempuan.
Zaidi berkata, dalam kes wanita berkenaan, tindakan sepatutnya yang perlu diambil adalah dengan mendaftar tuntutan itu di bahagian pendaftar mahkamah bagi membolehkan bantuan sewajarnya diambil, terutama dalam mendapatkan hak penjagaan sementara sebelum kes itu diputuskan mahkamah.
Katanya, isu masalah kewangan dalam membuka kertas tuntutan tidak sepatutnya timbul dan menjadi masalah kerana mereka boleh mendapatkan khidmat guaman dengan membuat permohonan di Biro Bantuan Guaman Negeri.
Sebenarnya perkara ini boleh menjadi mudah jika mana-mana wanita yang mengalami masalah ini merujuk masalah mereka dengan pihak pendaftar mahkamah atau mana-mana biro bantuan guaman.
Namun kerana tidak tahu, mereka hanya membiarkannya sehingga bertahun-tahun sebelum ada yang menasihati mereka untuk merujuk kes berkenaan dan menyukarkan lagi tuntutan dibuat, katanya yang mengakui menerima banyak kes seperti itu.
Menurut Zaidi, permohonan terhadap tuntutan penjagaan anak boleh dibuat dengan menyertakan sijil kelahiran anak yang dituntut, salinan sijil perkahwinan dan surat kematian suami menerusi pendaftar mahkamah.
Katanya, jika kehilangan dokumen, pengadu tiada masalah untuk mendapatkan salinannya berikutan hanya perlu merujuknya kepada jabatan berkaitan.
Kehilangan sijil kelahiran anak yang dituntut bukan masalah kerana ia boleh diambil semula di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan membuat cabutan surat beranak di mana-mana pejabat JPN.
Sama seperti sijil pengesahan perkahwinan… jika ia hilang, seseorang itu boleh mendapatkan salinannya dengan merujuk kembali ke pejabat agama yang mengeluarkan sijil itu ketika bernikah, katanya.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, bagi memudahkan wanita, terutama yang bergelar ibu, mendapatkan khidmat nasihat mengenai segala isu membabitkan tuntutan syarie seperti kes perceraian, isu penjagaan anak serta tuntutan nafkah, mereka boleh merujuk laman web www.irunding.com.my yang dilancarkan oleh agensinya.
Katanya, menerusi laman web itu, individu boleh mendaftar secara percuma dan hanya dikenakan bayaran minimum serendah RM10 bagi mendapatkan khidmat kaunseling.
Sumber : Harian Metro

Elektrik: 15 keluarga kerugian




GURUN: Sebanyak 15 keluarga di Kampung Batu Dua, Jalan Gurun-Jeniang, dekat sini, mengalami kerugian besar apabila peralatan elektrik milik mereka rosak berikutan kejadian arus elektrik berlebihan, Khamis lalu.

Penduduk, Salmiah Yusof, 56, berkata dia kerugian hampir RM4,000 apabila peralatan elektrik miliknya seperti televisyen, komputer peribadi, peti sejuk dan periuk nasi rosak.
Sementara itu, jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika dihubungi meminta penduduk terbabit datang ke Kedai Tenaga TNB berhampiran bagi memaklumkan kerugian mereka.
Sumber : Harian Metro