 |
NORHADILAH Mohammad menunjukkan laporan polis dan gambar suaminya, Mohd. Wafi Laiman yang hilang sejak 8 Jun lalu.
|
JOHOR BAHRU 12 Jun - Hati isteri mana tidak bimbang suami tersayang tiba-tiba hilang tanpa khabar berita.
Itulah yang dialami seorang suri rumah, Norhadilah Mohammad, 27, apabila suaminya, Mohd. Wafi Laiman, 27, hilang sejak Selasa lalu dikhuatiri diculik.
Menurut Norhadilah, suaminya meninggalkan rumah kira-kira pukul 6.30 pagi di Felda Lok Heng, Kota Tinggi untuk ke tempat kerja di Skudai, namun selepas itu hilang dan gagal dikesan.
"Kali terakhir saya berbual dengan dia ialah pada pagi Selasa itu. Dia kata sudah terlambat hendak ke tempat kerja kerana ada perkara penting pagi itu.
"Selepas dia keluar dari rumah, saya cuba hubungi telefonnya pada waktu tengah hari tetapi tidak dijawab.
"Pada mulanya saya menganggap mungkin dia sibuk tetapi apabila saya hubungi pada waktu petang, malam dan keesokan pagi tetap tiada jawapan," katanya ketika mengunjungi pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini, hari ini.
Ibu kepada seorang anak berusia setahun itu berkata, dia terus cuba menghubungi telefon bimbit suaminya, tetapi tiada talian kerana mungkin sudah kehabisan bateri.
Tambah Norhadilah, dia menghubungi majikan dan sanak saudara suaminya, namun lelaki itu yang bekerja sebagai penyelia keselamatan di sebuah syarikat pembinaan tetap gagal dikesan.
"Saya dan beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan cuba mencarinya dengan menjejaki laluan yang digunakan oleh suami dari Kota Tinggi ke Skudai dan beberapa kawasan di bandar raya ini.
"Tetapi dia gagal ditemui dan kami juga tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya," katanya sayu.
Justeru, wanita itu membuat laporan berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Penawar pada Khamis lalu manakala majikannya turut membuat laporan polis di Skudai pada hari yang sama.
Menurut Norhadilah, suaminya tidak menghadapi sebarang masalah atau berselisih faham dengannya atau ahli keluarga lain serta rakan-rakan di tempat kerja.
Katanya, suaminya yang tidak membawa wang yang banyak pergi ke tempat kerja menaiki Perodua Kancil berwarna perak bernombor pendaftaran JKJ 7703 pada Selasa lalu.
"Saya bimbang ada orang khianat atau membawa dia keluar dari Johor atau dibawa ke mana-mana atau dia sedang dalam kesusahan," katanya sambil menambah bahawa ini adalah kali
pertama suaminya hilang.
Tambahnya, Mohd. Wafi mempunyai ketinggian kira-kira 190 sentimeter dengan berat badan kira-kira 110 kilogram, berkulit hitam manis dan semasa keluar rumah memakai baju berwarna kuning cair dan berseluar jeans biru.
Norhadilah merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd. Wafi agar menghubunginya di talian 013-7128422, 012-9262607 atau 07-8931607 secepat mungkin.