Search This Blog

Saturday, June 12, 2010

Bekas Presiden dikurang hukuman Chen Shui-bian (tengah) melambai tangan kepada penyokongnya semasa tiba di bangunan mahkamah bagi mendengar keputusan rayuannya di Mahkamah Tinggi Taiwan di Taipei, semalam. – AFP



TAIPEI 11 Jun – Mahkamah Tinggi Taiwan hari ini meringankan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas Presiden Chen Shui-bian kepada penjara 20 tahun, namun bekas pemimpin itu berkata, beliau akan mengemukakan rayuan.
Mahkamah tersebut yang turut mengurangkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas wanitapertama Wu Shu-chen kepada penjara 20 tahun berkata, pihaknya mengambil keputusan itu selepas mendapati jumlah wang yang digelapkan Shui-bian kurang daripada yang dikatakan sebelum ini.
“Saya berterima kasih kepada para hakim kerana meringankan hukuman saya, tetapi saya tetap akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu,” katanya yang kelihatan kurus dengan rambut yang lebih panjang berbanding semasa pemerintahannya sebagai Presiden dari 2000 hingga 2008.
Shui-bian berkata demikian selepas pengumuman mengenai pengurangan hukumannya dibuat, semasa menghadiri satu kes sebutan tahanan.
Mahkamah menjelaskan bahawa pihaknya akan memberikan Shui-bian satu surat jawapan sama ada pemimpin itu akan terus ditahan atau dibebaskan sementara beliau menyediakan rayuan.
“Saya tidak akan lari,” katanya yang berusia 59 tahun yang sebelum ini mengecam perbicaraan ke atasnya sebagai satu balas dendam politik musuh-musuhnya berikutan desakannya untuk membebaskan Taiwan dari China.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini memberikannya harapan.
Pakar undang-undang memberitahu AFP, sekiranya hukuman ke atas Shui-bian disahkan Mahkamah Agung, bekas Presiden itu boleh dibebaskan dalam masa 10 tahun.
Shui-bian disabit kesalahan pada tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Daerah Taipei kerana menggelapkan dana negara, penggubahan wang haram, menerima rasuah dan memalsukan dokumen.
Selain meringankan hukuman penjara, mahkamah turut mengurangkan denda ke atas bekas pemimpin Taiwan itu daripada 200 juta dolar Taiwan (RM20.3 juta) kepada 170 juta dolar Taiwan (RM17.3 juta), sementara denda ke atas Shu-chen diturunkan kepada 200 juta dolar Taiwan (RM20.3 juta). – AFP

Pope Benedict rayu mangsa maaf paderi berdosa



VATICAN CITY 11 Jun - Pope Benedict XVI merayu mangsa-mangsa pencabulan seks gereja agar memaafkan dosa paderi-paderi terlibat, sambil berjanji untuk 'melakukan apa saja yang perlu' bagi memastikan tidak berlaku sebarang kes rogol atau cabul lagi pada masa depan.
Rayuan Benedict adalah serupa dengan ulasannya sebelum ini, namun kali ini lebih simbolik kerana ia dibuat pada perhimpunan besar di Dataran St. Peter, yang dihadiri 15,000 paderi berjubah putih, bagi meraikan tamatnya Tahun Paderi Vatican, tahun yang dicemari pendedahan beratus-ratus kes cabul oleh paderi, penyembunyian kes di beberapa negara dan kelembapan Vatican bertindak.
Benedict berkata, tahun yang sepatutnya disambut dengan gembira oleh golongan paderi menjadi suram kerana 'dosa segelintir paderi terdedah kerana mencabul anak kecil'.
"Kami tidak henti-henti meminta keampunan Tuhan dan daripada orang yang terlibat, dan pada masa yang sama berjanji untuk melakukan apa saja bagi memastikan pencabulan tidak berlaku lagi," tegas beliau.
Ketua Gereja Roman Katolik ini berkata, penyertaan ke dalam golongan paderi dan memasukkan mereka ke dalam pentadbiran gereja pada masa depan akan mengambil kira 'kesahihan sifat mereka dan usaha akan diambil untuk menemani mereka sepanjang perjalanan hidup sebagai paderi, supaya Tuhan melindungi dan mengawasi mereka dalam situasi sukar dan bahaya'.
Ulasan tersebut menyamai kenyataan yang dilaporkan Vatican semasa beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan mangsa cabul paderi di Malta pada April lalu, yang mana dia dilihat bercucuran air mata apabila mendengar cerita mangsa.
Benedict membuat ulasan yang sama pada bulan lalu semasa dalam perjalanan ke Portugal, apabila beliau mengakui 'dosa dari dalam gereja' bertanggungjawab dalam skandal itu, bukan media atau pihak luar yang anti-Katolik. - AP

Paip utama pecah, bekalan air di Seremban terganggu



12/06/2010 4:51pm

SEREMBAN 12 Jun — Salah satu daripada tiga paip utama pecah berhampiran persimpangan Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Datuk Siamang Gagap dekat sini pagi ini, mengakibatkan sebahagian besar kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air.
Pengurus Agihan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Razak Lajis berkata kejadian kira-kira 6.30 pagi itu menyebabkan sebahagian laluan Jalan Datuk Siamang Gagap menghala ke Sikamat terpaksa ditutup untuk semua kenderaan berikutan terbentuknya lubang sebesar 1.2 meter.
Razak berkata, setakat ini pihaknya telah menutup sementara bekalan air yang melalui paip berkenaan dari Loji Imbangan Sungai Terip bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dijalankan. - Bernama

Lubang misteri telan kilang



Lubang besar di sebatang jalan di tengah bandar Guatemala yang telah menelan sekurang-kurangnya sebuah bangunan tiga tingkat semasa taufan Agatha membadai pada 2 Jun, 2010. - AP


GUATEMALA CITY 11 Jun - Sebuah lubang besar yang menelan kilang pakaian dan satu persimpangan jalan di ibu kota Guatemala menjadi misteri kepada ahli geologi, yang masih belum dapat mengenal pasti puncanya.
"Ia menimbulkan seribu satu persoalan," kata Jurutera Geofizik, Badan Pengurusan Bencana Nasional, David Monterroso.
Lubang yang terbentuk semasa ribut tropika May lalu mempunyai kedalaman hampir 30 meter dan 20 meter lebar.
Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengesahkan berlakunya sebarang kemalangan jiwa, meskipun masyarakat setempat percaya seorang pengawal keselamatan yang sedang menggunakan telefon awam telah ditelan dalam lubang itu dan mati.
Satu teori popular yang dihebahkan secara meluas oleh media di Guatemala adalah berkenaan aliran saluran sisa kumbahan yang pecah lalu membentuk lubang itu, manakala sebuah lagi lubang yang menelan beberapa buah rumah dan membunuh tiga orang pada 2007, dikatakan berpunca daripada hujan dan kebocoran sisa kumbahan bawah tanah.
Tetapi menurut Monterroso semalam, semua bukti tersebut masih belum boleh mendapatkan gambaran jelas mengenai fenomena itu.
"Kita boleh kata ia terbentuk disebabkan oleh paip yang bocor, tetapi ia boleh jadi juga apabila lubang gua yang terbentuk itu menyebabkan rekahan pada paip.
"Ia adalah persoalan yang sukar dijawab," katanya kepada Associated Press.
Katanya, para pekerja sedang menanti barangan yang diperlukan dan kemudiaannya akan turun ke dalam lubang itu untuk menyiasat lebih lanjut.
Pihak berkuasa masih meneliti cadangan syarikat simen tempatan, sama ada ia masih boleh ditampal menggunakan campuran simen dan abu dari gunung berapi Pacaya yang meletus pada 27 Mei lalu.
Pihak kerajaan juga telah memindahkan penduduk di sekitar kawasan itu dan pekerja berhampiran dengan lubang itu kerana dikhuatiri ia boleh menjadi lebih besar.
Namun, pihak berkuasa memberitahu tidak mungkin lubang baru seumpama itu akan terbentuk. - AP

Keganasan di Kyrgyzstan, 37 maut



Tentera kerajaan menggunakan kereta perisai meronda di bandar Osh di selatan Kyrgzstan selepas tercetus keganasan menyebabkan 37 orang maut, semalam. – Reuters


BISHKEK 11 Jun – Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh, manakala kira-kira 500 yang lain cedera dalam keganasan etnik di selatan Kyrgyzstan, bekas kubu Presiden yang digulingkan, Kurmanbek Bakiyev.
Jurucakap kerajaan sementara, Azimbek Beknazarov mengemaskini jumlah korban itu hari ini, selepas kenyataan awal Kementerian Kesihatan melaporkan tiga maut dan 46 lagi dimasukkan ke hospital dalam kekacauan di bandar Osh dan kawasan lain.
Keganasan itu jelas berpunca daripada sengketa etnik dan dirancang rapi, kata Beknazarov selepas melawat bandar tersebut.
Kejadian berbalas-balas tembakan terus berlaku, sekalipun selepas perintah berkurung diisytiharkan.
Polis di Osh masih menemui mayat mangsa di jalan-jalan raya, kata Beknazarov.
Beberapa jam sebelum itu, kerajaan sementara Kyrgyzstan mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung di kawasan terlibat, berikutan pertempuran antara kumpulan pemuda etnik Kyrgyz dengan pemuda etnik Uzbek.
Gerombolan pemuda bertempur dan berbalas-balas tembakan di Osh dan daerah-daerah Karrasu, Aravan dan Uzgen yang berhampiran malam tadi, kata seorang lagi jurucakap kerajaan sementara, Farid Niyazov.
Pihak berkuasa mengerahkan kenderaan berperisai ke tempat kejadian dalam usaha untuk memulihkan ketenteraman.
“Keadaan darurat diisytiharkan di Osh dan daerah berkenaan mulai hari ini hingga 20 Jun,” kata Niyazov.
Sejak pemberontakan April lepas yang menggulingkan Bakiyev dan menyebabkan 87 orang terbunuh, para pemimpin serantau dan antarabangsa memberi amaran mengenai bahaya meletusnya perang saudara di negara yang mempunyai kedudukan strategik ini.
Namun, kerajaan sementara mengalami kesulitan untuk memelihara ketenteraan di negara miskin ini berikutan sengketa etnik di selatan dan skandal rasuah membabitkan beberapa pegawai tinggi dalam kerajaan. – AFP

Polis buru empat perompak warga asing bersenjata



12/06/2010 5:28pm



TAMPIN 12 Jun – Polis sedang memburu empat lelaki dipercayai warga Indonesia yang terlibat dalam kes samun sebuah rumah di Felda Jelai Satu dekat sini pada awal pagi semalam.
Ketua Polis daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheng berkata, dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, kesemua tujuh mangsa yang berada dalam rumah itu diikat, manakala kerugian yang dialami sebanyak RM30,000 termasuk sebuah kereta jenis Perodua Kembara yang dilarikan penjenayah terbabit. – Utusan

Kontraktor terlepas tali gantung



Fong To bersalam dengan Freeda selepas dibebaskan atas tuduhan membunuh seorang lelaki di Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - "Terima kasih hakim!"
Demikian luahan kesyukuran seorang kontraktor pembinaan yang terlepas daripada mati di tali gantung selepas dia didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu.
Tertuduh Lim Fong To, 35, kemudian turut memberikan tunduk hormat sebanyak empat kali sebaik keputusan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zawawi Salleh.
Sebelum itu, tertuduh dari Skudai di sini dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Eng Leng Khoo, 35, berhampiran sebuah restoran di Jalan Sri Skudai, Taman Sri Skudai di sini pada pukul 2.40 petang 20 Jun 2007.
Mohd. Zawawi semasa penghakimannya berkata, pihak pendakwa raya gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh menyebabkan pihak mahkamah membuat keputusan membebaskan Fong To.
"Keterangan saksi-saksi berhubung pembunuhan itu juga bercanggah selain kegagalan pihak pendakwa raya mengemukakan saksi utama yang dikenali sebagai Richard bagi membantu keputusan mahkamah," kata beliau di sini semalam.
Selain itu, menurut Mohd. Zawawi, laporan Jabatan Kimia juga mengesahkan mangsa tidak mati akibat dipukul dengan besi atau batang paip seperti keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi.
"Dengan ini mahkamah memutuskan tertuduh tidak bersalah, awak boleh balik," kata beliau.

'SAC II Teo' dicekup




MOKHTAR (tiga dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Mungkin kerana cita-cita yang tidak kesampaian, seorang lelaki sanggup menempah pakaian seragam polis lengkap dengan pangkat Senior Asisten Komisioner II serta membeli beberapa aksesori yang biasa digunakan oleh pegawai polis lain.
Bagaimanapun, cita-cita pelik lelaki berusia 46 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan di Jalan Rotan Batu, Taman Sri Jaya, Batu Pahat di sini pada pukul 5 petang Rabu lalu.
Suspek yang dikenali sebagai Teo itu turut memiliki kad kuasa polis palsu yang mempunyai nombor yang hampir sama dengan Timbalan Ketua Polis Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek ditahan bersama dua yang lain termasuk seorang adik perempuannya di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan X-Trail.
"Pemeriksaan dalam kenderaan itu, menjumpai satu logo polis, baton besi dan pelekat kereta berlambang polis," kata beliau di sini semalam.
Susulan penahanan itu, menurut beliau, polis menyerbu rumah suspek dan menemui gambar-gambar suspek memakai pakaian seragam polis, uniform polis dan satu set walkie-talkie.
"Malah gambar suspek yang lengkap beruniform polis digantung di ruang tamu rumah.
"Di rumah itu kita menemui beberapa peralatan polis lain seperti lampu siren dan gari," kata beliau.
Katanya, siasatan mendapati suspek yang bekerja sendiri dan telah berkahwin itu mendakwa dia baru mengumpul barangan tersebut yang didakwa sebagai hobinya.

Warga India mati ditembak dari jarak dekat



12/06/2010 5:03pm

PETALING JAYA — Seorang pelayan restoran warganegara India mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian di Kota Damansara di sini tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt. Abd. Razak Eliyas berkata, ketika kejadian lelaki berusia 30an itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke asramanya yang terletak selang dua pintu daripada tempat dia bekerja.
"Hasil pemeriksaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di premis itu mendapati seorang suspek yang lengkap memakai topi keledar bertutup penuh, dipercayai sudah menunggu kepulangan mangsa kira-kira 15 minit lamanya.
"Sebaik sahaja melihat kelibat mangsa, suspek yang berdiri berhampiran tangga menuju ke tingkat atas asrama terus melepaskan satu das tembakan mengenai bahagian perut mangsa dan kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana hitam yang menunggu di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan kecederaan parah di perut dan disahkan mati pada pukul 1.30 pagi. - Bernama

Cicit Mandela maut nahas kenderaan

2010/06/12

JOHANNESBURG: Cicit perempuan bekas pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela, 13, terbunuh awal semalam apabila kereta yang dinaikinya terbalik di sebuah lebuh raya Johannesburg selepas pulang menyaksikan konsert Piala Dunia.

Zenani Mandela bersama neneknya, bekas isteri Mandela, Winnie Madikizela-Mandela yang turut dibawa ke hospital tetapi hanya cedera ringan, kata pegawai hospital.
“Pemandu kenderaan terbabit ditahan untuk siasatan kerana kecuaian yang menyebabkan kematian,” kata jurucakap polis, Kolonel Noxolo Kweza.
“Zenani, berada dalam kereta ketika pulang daripada menyaksikan konsert pembukaan Piala Dunia di Stadium Orlando ketika kemalangan itu. Hanya sebuah kereta terbabit dan tiada lagi yang cedera,” kata Yayasan Mandela dalam kenyataan.

Winnie pula tidak mengalami cedera serius dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12.35 pagi waktu tempatan berhampiran pusat bandar Johannesburg.

“Beliau dirawat sebagai pesakit luar dan sudah dibenarkan pulang,” kata seorang pegawai di Morningside Medi-Clinic.

“Secara fizikalnya saya lihat beliau tidak ada apa-apa. Saya rasa beliau cuma rasa sedih.”
Zenani adalah cucu Zindzi Mandela, seorang daripada anak presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan itu dan Winnie Madikizela-Mandela. – AFP

3 pegawai polis palsu ditahan



Oleh Azida Shaharuddin
azida@bharian.com.my
2010/06/12

Suspek termasuk dua wanita miliki uniform, alat kelengkapan PDRM 

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga suspek termasuk dua wanita selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan Asisten Komisioner (ACP) di Taman Sri Jaya, Batu Pahat di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata, ketika semua suspek ditahan di Jalan Rotan Batu, dan polis menemui satu kad menyamai kad kuasa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berwarna biru, tiga keping kad persatuan bekas PDRM, sekeping gambar berukuran pasport suspek beruniform penuh dan satu sarung telefon bimbit berwarna hitam yang tertera perkataan polis.
Katanya, pemeriksaan dalam kereta Nissan X-trail milik suspek membawa kepada penemuan satu cap lambang PDRM, sepasang sarung tangan warna putih, lampu beacon warna biru, satu pingat perkhidmatan PDRM, empat pelekat lambang PDRM dan satu besi T-Baton berwarna hitam. 

“Pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek kemudian menemui beberapa barangan termasuk dua keping gambar potret suspek beruniform polis berpangkat SAC, dua keping gambar potret suspek beruniform polis berpangkat ACP, sekeping gambar beruniform putih, satu gari, satu set walkie-talkie dan sehelai baju jaket biru lambang polis dengan pangkat SAC. 

“Semakan ke atas suspek tidak menemui rekod kesalahan lampau dan suspek kini direman bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK Johor) di sini, semalam. 

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 iaitu secara salah memiliki, membuat, menjual, atau membekalkan barangan yang diberi kepada pegawai polis dan menggunakan uniform polis tanpa kebenaran. 
Katanya, jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya sekali.

lawak

Johan Raja Lawak tuntut ganti rugi RM1j


2010/06/12

HULU KELANG: Pelawak, pelakon dan pengacara Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz, 26 atau lebih dikenali Johan (Raja Lawak) menuntut ganti rugi RM1 juta terhadap syarikat penerbitan Juara Film Production Sdn Bhd dan pengarah, Mohd Javed Mohd Nizar akibat kecederaan di dahi dialaminya selepas dibaling gelas kaca.

Johan yang diwakili peguamnya Zahrin Ishak membuat tuntutan itu bersama ganti rugi khas, ganti rugi perubatan, penyiaran permohonan maaf, selain pemberhentian surat dan e-mel fitnah jika pihak syarikat berkenaan gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar pada 10 Jun lalu.
Beliau mendakwa, pada 11 Mei lalu beliau dikasari dan dibaling gelas kaca ke dahi oleh Mohd Javed selepas berlaku perselisihan faham.
“Saya turut ditumbuk di muka serta disepak beberapa kali pada badan dan kaki di sebuah restoran di Sikamat, Seremban, ” katanya pada sidang media yang diadakan pihak Seniman, semalam.

12 meringkuk di penjara Indonesia





KUALA LUMPUR 11 Jun – Seramai 12 rakyat Malaysia kini dilaporkan meringkuk dalam penjara di Indonesia atas kesalahan menyeludup dadah dalam tempoh lima bulan pertamatahun ini – peningkatan hampir sekali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sumber polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkata, kesemua mereka yang ditahan oleh Kastam dan Polis Indonesia adalah sebahagian daripada 42 rakyat asing yang diberkas oleh pihak berkuasa republik terbabit kerana menyeludup dadah.
Selain rakyat Malaysia, katanya, terdapat warga Iran, India, Filipina, Perancis dan Nigeria yang dipenjarakan di Indonesia atas kesalahan yang sama.
“Berdasarkan maklumat, kebanyakan rakyat Malaysia diberkas kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu dan ekstasi ke Indonesia melalui beberapa lapangan terbang utama di negara itu termasuk Jakarta, Surabaya dan Bali.
“Kebanyakan suspek dikesan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur atau Hong Kong dengan menyembunyikan dadah berkenaan dalam bagasi, diikat pada pinggang atau disembunyikan pada seluar dalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber itu, sepanjang tempoh lima bulan, sebanyak 118,000 biji pil ekstasi, 83 kilogram ketamin, syabu (152 kilogram), kokain (162 gram) dan pelbagai lagi jenis dadah psikotropik dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia.
Katanya, kebanyakan suspek apabila disiasat mengaku sanggup melakukan jenayah itu kerana dijanjikan upah lumayan oleh rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun ketika dihubungi memberitahu, pihaknya menerima maklumat daripada polis Indonesia mengenai penahanan rakyat Malaysia atas kesalahan menyeludup dadah dari Kuala Lumpur dan Hong Kong.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua rakyat Malaysia yang dipenjarakan di negara berkenaan bekerja sebagai kurier dadah.
Katanya, terdapat kes rakyat Malaysia ditahan kerana membawa dadah untuk kegunaan sendiri.
Kata beliau, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis Indonesia dan Hong Kong untuk menangani masalah penyeludupan dadah melalui pertukaran maklumat dan mengadakan pertemuan dua hala.
Difahamkan, kes terbaru rakyat Malaysia ditahan kerana dadah di Indonesia dilaporkan berlaku pada 28 Mei lalu membabitkan seorang pondan.
Suspek berusia 52 tahun yang menyamar sebagai pelancong diberkas oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya, Jawa Timur semasa cuba menyeludup syabu seberat 500 gram bernilai lebih RM50,000 dengan taktik melilitkan bungkusan dadah berkenaan di perutnya.
Suspek merupakan salah seorang anggota sindiket penyeludupan dadah antarabangsa ditahan sebaik sahaja turun dari pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong.
Seminggu sebelum itu, dua lelaki rakyat Malaysia masing-masing berusia 21 dan 27 tahun turut ditahan di lapangan terbang sama selepas cuba menyeludup syabu seberat dua kilogram yang dililitkan di pinggang mereka.

Pasangan maut ditembak dari dekat





ANGGOTA polis memerika mayat K.C. Wong yang mati ditembak oleh penjenayah di tempat letak kereta pangsapuri BAM Villa, Taman Maluri, Kuala Lumpur awal pagi semalam.


KUALA LUMPUR 11 Jun – Satu pasangan dipercayai suami isteri mati akibat ditembak beberapa das di kepala ketika berada dalam kenderaan di tempat letak kereta Pangsapuri BAM Villa di Taman Maluri di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dikatakan baru pulang dari bekerja menaiki kenderaan jenis Honda CRV tiba-tiba didatangi dua lelaki.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kedua-dua mangsa dari jarak dekat.
Katanya, siasatan pihak polis di tempat kejadian menemui 13 kelongsong peluru dan dipercayai suspek melepaskan lebih daripada lima das tembakan.
Tambah beliau, pihaknya gagal menemui dokumen pengenalan diri kedua-dua mangsa kerana ia dipercayai dilarikan suspek bersama dua utas rantai yang dipakai mangsa.
“Mangsa, K.C. Wong, 52, merupakan pengurus sebuah kelab malam manakala wanita yang dipercayai isterinya, Leong Yan Chen, 34, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
“Ketika kejadian, mangsa wanita itu memandu kenderaan terbabit. Tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.
Tambah Khairi, terdapat saksi yang mendengar beberapa das bunyi tembakan di tempat kejadian sebelum ternampak dua lelaki melarikan diri dengan memanjat pagar belakang pangsapuri terbabit.
Difahamkan, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), terdapat dua orang lelaki dilihat sedang menunggu dalam tempoh yang lama sebelum bertindak menyerang sebaik sahaja ternampak mangsa memarkir kenderaannya.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih lagi menyiasat sama ada kes itu bermotifkan dendam mahupun samun.
“Bagaimanapun, kita kini membuka kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian Rakan Cop Polis Kuala Lumpur di nombor 03-21159999.

Kematain keganasan etnik di Kyrgyzstan meningkat 41 orang



12/06/2010 4:08am

BISHKEK, Kyrgyzstan 12 Jun - Jumlah korban dalam keganasan etnik di Kyrgyzstan terus meningkat dengan angka terbaru awal pagi ini bertambah kepada 41 orang dan mencederakan seramai 624 yang lain.
Rusuhan di Osh iaitu bandaraya kedua terbesar Kyrgyzstan adalah susulan dari pemberontakan berdarah yang bermula sejak bekas Presiden Kurmanbek Bakiyev diguling dan melarikan diri pada April lalu.
Konflik dendam antara etnik Kyrgyz dengan etnik minoriti Uzkeks itu menyaksikan penglibatan pihak berkuasa kedua-dua pihak yang saling berbalas tembakan. - AP

Banjir kilat ragut 16 orang pendaki gunung di Arkansas



12/06/2010 4:08am

CHICAGO 12 Jun - Banjir kilat yang melanda tapak perkhemahan di kawasan pergunungan di negeri Arkansas semalam telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 16 orang pendaki dan operasi gerakan menyelamat telah dilancarkan di kawasan berkenaan.
Helikopter berlegar-legar meninjau di sepanjang lembah Sungai Missouri untuk mengesan mereka yang terselamat selepas hujan lebat yang mencurah sehingga 15 sentimeter tengah malam semalam di sekitar kawasan pendakian terpencil itu.
“Sekurang-kurangnya 16 orang telah disahkan mati setakat ini dan kami yakin masih ada mangsa yang terperangkap di kawasan tersebut,” kata jurucakap polis, Bill Sadler kepada CNN.
“Misi utama polis dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di Arkansas sekarang adalah untuk membawa keluar mayat-mayat dari tempat kejadian dan operasi mencari kini masih berterusan,” katanya. - AFP

Pusat urut guna payu dara diserbu




SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Sapu jeli bermula dari hujung kaki sampai ke leher sebelum tukang urut wanita warga China atau Thailand dalam keadaan bogel sedia mengurut menggunakan buah dada masing-masing bagi memuaskan setiap pelanggan.
Demikian khidmat urut yang ditawarkan oleh dua buah pusat refleksologi di Taman Tun Dr. Ismail yang telah membuka perniagaan masing-masing sejak dua bulan lalu.
Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar malam kelmarin apabila sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur menyerbu kedua-dua premis tersebut serentak.
Dalam serbuan pada pukul 10.30 malam yang diketuai oleh Deputi Supritendan Razali Abu Samah itu, polis menahan tujuh wanita warga Thailand dan seorang wanita China dipercayai sedang menunggu pelanggan di kedua-dua premis tersebut.
"Kita terpaksa mengumpil pintu hadapan salah sebuah premis kerana pemiliknya enggan membuka pintu ketika serbuan.
"Selepas setengah jam bertungkus-lumus, kita berjaya membuka pintu dan menemui empat wanita Thailand manakala seorang lagi dapat melarikan diri," kata beliau ketika ditemui di lokasi tersebut malam kelmarin.
Menurut beliau, serbuan di sebuah lagi pusat urut tidak jauh dari situ berjaya menahan tiga lagi wanita Thailand dan seorang wanita warga China.

Pintu rumah Ahli Majlis MPK terbakar dibaling bom petrol


S. SELVADURAI (kanan) menunjukkan kesan terbakar di pintu masuk rumahnya yang dilontar bom petrol di Pelabuhan Klang semalam.


SHAH ALAM - Rumah Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), S. Selvadurai di Jalan Bungur Off Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang dekat sini dibaling bom petrol malam kelmarin.
Ketika kejadian pada pukul 12.10 tengah malam, Selvadurai, 48, dari parti DAP yang sedang menonton televisyen selepas pulang dari rumah saudaranya terkejut apabila mendengar bunyi benda pecah sebelum melihat api di hadapan pintu rumahnya.
Selvadurai bersama isteri, V. Kanniamah, 45, dan seorang anak lelaki mereka, S. Dhivagar, 13, berjaya memadamkan api tersebut.
"Ini kejadian pertama sepanjang 28 tahun saya terlibat dengan politik, rumah saya dibaling dengan botol berisi petrol dan saya sendiri tidak pernah menerima ugutan atau apa-apa ancaman daripada mana-mana pihak sebelum ini.
"Kami sekeluarga selamat cuma bahagian belakang kereta Kia milik saya ada kesan terbakar," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, polis menemui dua botol kaca berisi petrol di rumah mangsa dengan salah satu daripada botol itu terkena kereta mangsa.

Kelantan bawa isu royalti minyak ke mahkamah 30 Ogos



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa semasa berucap pada demonstrasi menuntut royalti minyak yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-56, hari ini.
Kira-kira 3,000 anggota dan pemimpin parti berkenaan menyertai demonstrasi yang dianjurkan Dewan Pemuda PAS Kelantan.
“Kita akan membawa tuntutan royalti negeri itu ke mahkamah 30 Ogos nanti selepas beberapa tindakan secara rundingan dilihat tidak membuahkan hasil,” katanya dengan disambut laungan takbir oleh anggota dan pemimpin parti itu.
Kerajaan Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri berkenaan tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.
Kerajaan pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada penduduk Kelantan. – BERNAMA
Sumber : Bharian.com.my