Search This Blog

Friday, June 11, 2010

4 maut kereta diletupkan

BAGHDAD 10 Jun - Sebuah kereta diletupkan berhampiran pejabat kawalan tentera Iraq di sini hari ini menyebabkan empat orang terbunuh manakala sepuluh lagi disahkan cedera, menurut sumber dari Kementerian Dalam Negeri.
Letupan itu berlaku di kawasan majoriti penduduk Suni di barat Baghdad. - REUTERS

Tiga lelaki bersenjatakan parang samun kedai emas



TAMPIN - Tiga lelaki mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan barangan kemas bernilai RM150,000 dari sebuah kedai emas di pekan Gemas, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Wooi Koi Cheang berkata, dua lelaki bersenjatakan parang dan seorang menggunakan tukul besi menyerbu masuk ke dalam kedai itu lalu memecahkan cermin pameran.

Katanya, dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, kumpulan itu memasukkan barangan kemas ke dalam SEBUAH beg galas sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu oleh rakan mereka.

"Kumpulan lelaki yang memakai topeng ski melarikan diri ke arah Tampin," katanya ketika dihubungi di sini.

Semasa kejadian itu, katanya, dua pekerja dan seorang pelanggan berada dalam kedai tersebut. Bagaimanapun, mereka tidak dicederakan.

Wooi berkata, kedai emas itu tidak mempunyai pengawal keselamatan tetapi mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, polis menjumpai kereta yang digunakan dalam kejadian itu di satu lorong kecil di belakang sebuah kilang kayu, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian. 

"Kita percaya perompak terbabit melarikan diri dengan sebuah kereta lain," katanya.

Konstabel patah kaki kena rempuh



KAJANG: Seorang anggota polis berpangkat konstabel patah kaki kiri akibat dirempuh kereta yang dilarikan seorang penjenayah di Taman Tasik Kesuma, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Helmi Che Sam, 26, bersama dua rakannya sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan itu sebelum seorang lelaki menjerit keretanya dicuri.
“Saya mengejar kereta itu dan berjaya memintasnya sebelum mengarahkan suspek supaya berhenti. Namun suspek tidak mengendahkannya dan merempuh saya.
“Suspek kemudian melarikan diri dan nasib baik dua rakan saya yang berada di tempat kejadian mengejar suspek sebelum berjaya menahannya di pekan Semenyih,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Hospital Kajang, semalam.

Berikutan kejadian itu, Muhammad Helmi yang bertugas di Balai Polis Beranang dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

Macam-macam: Wanita guna talian 911 cari calon suami dipenjara



ALLIANCE: Seorang wanita Ohio berusia 57 tahun terpaksa menjalani hukuman penjara selama tiga hari selepas didakwa menyalahgunakan talian kecemasan 911 semata-mata hanya untuk mencari calon suami.

Audrey Scott dari Alliance, Ohio dikatakan menghubungi talian berkenaan lima kali sehingga memaksa pegawai yang bertugas memberi amaran beliau boleh ditahan kerana menyalahguna talian 911.
Scott didapati bersalah kerana melakukan perbuatan itu minggu lalu dan dikenakan hukuman penjara tiga hari. Beliau mungkin dikenakan hukuman selama seminggu sekiranya didapati mengulangi kesalahan itu dalam tempoh setahun. – Agensi

Tiga pergi bercuti maut











KENDERAAN yang dipandu Mohd Yasin remuk selepas terbabit dalam   kemalangan di Kemaman,  semalam.


KENDERAAN yang dipandu Mohd Yasin remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kemaman, semalam.


Pasangan warga Singapura, orang gaji terbunuh kenderaan terbabas

CHUKAI: Hasrat sepasang suami isteri warga Singapura membawa dua cucu dan pembantu rumah bercuti di Terengganu tidak kesampaian apabila kereta mereka terbabas dan dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 127 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasek, Kemaman, tengah hari semalam.
Kemalangan ngeri pada jam 1.15 tengah hari itu menyebabkan Mohd Yasin Husin, 75, isterinya Aminah Adom, 62, dan pembantu rumah rakyat Indonesia yang hanya dikenali sebagai Suriati, 22, terbunuh manakala dua cucu pasangan itu, Taufik Hidayat Teo Abdullah, 17, dan adik perempuannya Nor Istiharah, 12, parah dan dirawat di Hospital Kemaman (HK).
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdul Marlik Hakim Johar, berkata ketika kejadian, kereta Mitsubishi Lancer yang dipandu Mohd Yasin dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum berpusing beberapa kali.

“Pada masa sama, sebuah pacuan empat roda dipandu seorang pelancong warga United Kingdom (UK) merempuh bahagian tengah kereta mangsa menyebabkan pemandu, penumpang hadapan dan belakang tersepit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Michael Smith, 71, yang bercuti di negara ini dalam perjalanan balik ke tempat penginapannya di sebuah resort di Kijal hanya mengalami cedera ringan.

Mengulas lanjut, Abdul Marlik berkata, Aminah meninggal di tempat kejadian sementara Mohd Husin dan Suriati meninggal di Hospital Kemaman. Dua lagi cucu pasangan malang terbabit yang cedera parah pada bahagian badan dan kepala sedang dirawat di unit kecemasan hospital berkenaan.
Katanya, Mohd Husin dipercayai seorang warga Singapura berkahwin dengan Aminah dari Gemencheh, Negeri Sembilan, tetapi sudah mendapat taraf kerakyatan negara itu.

Beliau berkata semua mayat dihantar ke bilik mayat HK untuk bedah siasat.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Kerteh, Kemaman bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan, berjaya mengeluarkan semua mangsa yang tersepit 30 minit kemudian.

Budak 9 tahun merompak

AJMAN (UAE) : Polis di sini semalam menangkap seorang budak lelaki yang sedang memanjat untuk memasuki rumah jirannya.
Menurut polis, kanak-kanak-kanak itu cuba memasuki apartmen jirannya menerusi lubang udara bagi melakukan rompakan.
Polis berkata, budak berkenaan yang namanya tidak didedahkan mengaku sudah banyak kali merompak rumah jirannya, kadang kala dengan memanjat sehingga tingkat 15 apartmen itu. - Agensi

Yahudi kotori masjid

RAMALLAH: Penduduk Yahudi dipercayai mencemari masjid sebuah kampung di timur Haifa dengan menconteng dinding rumah ibadah itu dengan kata-kata menghina umat Islam.
Penduduk Kampung Ibtin berkata, penduduk Yahudi yang radikal mencemari Masjid Omar Ibn al-Khattab di kampung berkenaan.
Antara kata-kata yang diconteng pada dinding masjid berkenaan berbunyi: ‘Akan ada peperangan antara Israel dengan Tebing Barat’ dan ‘Bangunan ini sudah ditetapkan untuk dirobohkan.’ Pelampau Yahudi itu turut menconteng beberapa bintang lambang Israel.

Penduduk tempatan mengesyaki beberapa penduduk Yahudi di sekitar kampung itu terbabit dalam perbuatan berkenaan.

Penceroboh Yahudi di kawasan itu sebelum ini sering melancarkan serangan terhadap harta benda penduduk Palestin di beberapa kawasan di Tebing Barat termasuk membakar masjid dan kenderaan penduduk Palestin. — Agensi

Ciplak RM1.59j

SHAH ALAM: Perisian komputer cetak rompak bernilai RM1.59 juta dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) Selangor dalam operasinya yang bermula dari awal tahun sehingga kini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK, Ahmad Mohd Isa, berkata sehingga Jun ini, 13 tindakan penguatkuasaan dijalankan membabitkan serbuan ke atas perisian komputer dan peralatan komputer. Katanya, semua rampasan yang dijalankan itu membabitkan 69 komputer dengan nilai anggaran RM191,000 dan 382 salinan perisian perniagaan cetak rompak yang dijangkakan bernilai RM1.4 juta. “Semua 13 serbuan dijalankan penguat kuasa di sekitar Petaling Jaya, Klang, Subang Jaya, Puchong, Kota Kemuning, Selayang dan Shah Alam yang membabitkan tindakan merampas perisian dan peralatan komputer. “Sehingga hujung tahun lalu, 42 serbuan membabitkan perisian komputer cetak rompak sudah dijalankan dan kami berharap akan meningkat lagi usaha itu tahun ini bagi membasmi perisian cetak rompak,” katanya ketika sidang media di pejabat KPDN Cawangan Shah Alam, di sini. Terbaru, sebuah syarikat pembinaan dan pengeluar pakaian diserbu berikutan menggunakan perisian komputer cetak rompak. Kejayaan itu adalah hasil Kempen Gerak Gempur Cetak Rompak dilancarkan Menteri KPDNKK, Datuk Ismail Sabri Yaakob, pada 10 Mei lalu. “Kempen Gerak Gempur Cetak rompak itu bukan saja mengambil tindakan ke atas perisian atau peralatan komputer yang dicetak rompak malah produk tiruan. “Kami juga mendapat kerjasama PBT (pihak berkuasa tempatan) di Selangor dan akan mengambil tindakan jika terdapat gerai menjual produk cetak rompak secara terbuka,” katanya. Katanya, 118 kes sudah dilaporkan bagi kes cakera padat (DVD) cetak rompak awal bulan ini, yang membabitkan rampasan terhadap 321,409 unit DVD dengan nilai rampasan kira-kira RM463,0434.
“Kami juga memberkas enam individu. Serbuan terbaru diadakan di Damansara dan Dataran Sunway, baru-baru ini,” katanya.

Kena buah Tomoi Siam

SEREMBAN: Seorang penyangak jatuh tersungkur di tepi longkang selepas terkena tumbukan ala Tomoi Siam pada muka ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah kenderaan di Kemayan Square, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi, lelaki berusia lingkungan 20-an itu dilihat terhoyong-hayang melarikan diri dengan motosikal bersama seorang rakan yang sedia menunggu.
Malah, lelaki terbabit boleh dianggap berhati kering kerana berani melakukan perbuatan itu berikutan keadaan sekeliling yang sentiasa ramai orang berikutan lokasinya berhampiran sebuah restoran.

Ketika kejadian, pemilik pacuan empat roda itu bersama isterinya meninggalkan kenderaan untuk pergi menjamu selera di sebuah restoran tidak jauh dari situ.

Mangsa, Toh Ming Ching, 28, berkata sebaik kembali semula ke kenderaannya, isterinya melihat pintu bahagian pemandu terbuka dan pada masa sama melihat seorang lelaki berada di dalam.

Katanya, dia sempat melihat lelaki terbabit sedang membuka pemain cakera padat digital (DVD) bersama skrin dalam kenderaannya.

“Melihat perbuatan itu, saya kemudian terus menjerit menyebabkan lelaki itu terkejut dan cuba melarikan diri.

“Saya cuba menangkapnya, namun dia sempat memukul muka saya menggunakan objek yang tidak diketahui. Berikutan itu, saya sempat menumbuk mukanya menyebabkan dia jatuh sebelum bangun semula dan melarikan diri bersama seorang rakannya dengan sebuah motosikal.

Toh berkata, berikutan kejadian itu, dia kehilangan sebuah kamera digital dan kad Touch ‘n Go yang dilarikan lelaki terbabit dan percaya lelaki itu menggunakan topi keledar untuk memecahkan cermin pintu pacuan empat rodanya.

“Saya percaya lelaki itu datang bersama dua lagi rakan yang menunggu dengan motosikal manakala seorang lagi dalam sebuah kereta yang sengaja diletakkan di sebelah kenderaan saya,” katanya. Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Seremban 2.

32 kes baru sah positif H1N1

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 32 kes baru disahkan positif influenza A (H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan berjumlah 15,019.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bagi tempoh 24 jam sehingga lewat petang semalam, tiada kejadian kluster ILI yang baru dilaporkan.
“Kes ILI yang dirawat di dalam wad hospital di seluruh negara adalah 475 kes dan daripada jumlah tersebut 40 kes atau 8.4 peratus disahkan positif H1N1. “Jumlah kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah lapan dan enam daripadanya adalah individu yang mempunyai faktor risiko,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam. Bagaimanapun, katanya, tiada kematian baru dilaporkan menjadikan jumlah kes kematian kekal 88 kes.

Terlepas pautan

KUALA TERENGGANU: “Saya sempat memaut lehernya, tetapi terlepas kerana saya juga hampir lemas disebabkan arus kuat dan akhirnya dia terus dibawa ke tengah laut sebelum tenggelam,” kata Azman Ali, 35, bapa kanak-kanak lelaki yang ditemui lemas di pantai Batu Rakit, dekat Kampung Pak Tuyu, Menggabang Telipot, semalam.
Mangsa, Mohd Ashraf Azman, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam lemas ketika mandi bersama sepupunya di alur berdekatan pantai berkenaan sebelum cuba diselamatkan bapanya.
Menceritakan kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Azman berkata, dia dimaklumkan anak saudaranya, Mohd Kamal Alias, 14, yang arwah anaknya dibawa arus sebelum melihat mangsa sudah beberapa meter dari pantai sebelum terjun untuk menyelamatkannya.

“Ketika itu, saya berada berhampiran pantai sebaik dimaklumkan anak dibawa arus dan melihat dia terkapai-kapai sebelum terjun dan memaut lehernya, tetapi pautan itu terlepas kerana arus terlalu kuat,” katanya.

Menurutnya, Mohd Ashraf, anak kedua daripada empat beradik dan mereka sekeluarga berada di pantai berkenaan untuk bersiar-siar.

“Saya kecewa kerana pautan saya ketika itu menjadi sentuhan terakhir yang memutuskan hubungan kami dua beranak,” katanya.

Ibu mangsa, Rubiah Jusuh, 36, berkata arwah menunjukkan tanda pelik sejak semalam kerana lebih manja dan rajin membantunya mengemas rumah walaupun tidak diminta berbuat demikian.

Coli besar sebelah

SEGAMAT: Dia menjadi tumpuan bukan hanya kerana berstatus ‘janda berhias’ malah payudaranya menghairahkan setiap lelaki memandang.
Bagaimanapun, rahsia payudara bersaiz ala ‘Dolly Parton’ berkenaan terbongkar apabila pemeriksaan dijalankan polis menemui ruang khas untuk menyimpan dadah. Taktik terbabit digunakan sejak setahun lalu tetapi terbongkar selepas polis yang menyerbu kediamannya, di Jabi, di sini, jam 6.10 petang Selasa lalu. Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Bin Mohd Ali, berkata saiz payudara janda terbabit menimbulkan syak dan selepas pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui sejumlah dadah terselit pada coli suspek. “Saiz payudara terbabit menimbulkan syak kerana ia tidak sama tetapi lebih besar di bahagian kiri. Polis melakukan pemeriksaan sebelum menemui dadah jenis ganja seberat satu gram bernilai RM100 terselit pada coli dipakainya. “Hasil siasatan, suspek orang perantaraan ditugaskan menghantar bekalan dadah dipesan daripada pengedar kepada pelanggan,” katanya. Siasatan turut mendapati selain bertindak sebagai orang perantaraan dan menggunakan sendiri dadah diperoleh, suspek juga dipercayai menjadi pengedar kecil-kecilan untuk menampung pembelian akan datang dadah terbabit. Ujian air kencing dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan kini ditahan untuk siasatan lanjut. Dalam kes berasingan, juga pada Selasa lalu, Abdul Majid memaklumkan pihaknya turut menahan seorang wanita juga berstatus ibu tunggal yang bertindak sebagai orang perantara sindiket dadah dengan alasan mendapatkan wang lebih. “Kami khuatir golongan ibu tunggal ini yang mungkin kematian suami atau bercerai dan berada dalam kesempitan serta terdesak sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung keluarga. “Sindiket pula akan mengambil kesempatan atas kesempitan hidup mereka untuk mengeksploitasi keadaan sebelum ditawarkan menjadi orang perantaraan dengan upah tertentu. Akhirnya, mereka terperangkap hingga ada yang tertangkap,” katanya.

Guna taktik 'ugutan manis'

KUALA LUMPUR: Sindiket ceti haram atau along menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ‘ugutan manis’ antaranya ‘jika tidak mahu bayar hutang, saya akan buat keluarga anda gembira hingga menangis’ bagi menakut-nakutkan mangsa agar membayar hutang segera.
Kaedah ugutan bertulis dihantar itu menyebabkan seorang wanita diburu keresahan selepas kumpulan along mencurahkan cat, selain minyak petrol ke rumahnya dengan amaran membakar mangsa hidup-hidup.
Akibatnya mangsa yang bimbang dibunuh menjadi pelarian dan menumpang di rumah rakan selepas diburu along yang memintanya bertanggungjawab terhadap hutang dibuat abangnya sebelum ini.

Mangsa, Chia Pei Chee, 34, berkata, dia menjadi pelarian dari buruan Along sejak beberapa bulan lalu gara-gara dipaksa membayar hutang abang kandungnya berjumlah RM400,000.

Kumpulan Along terbabit memperoleh nombor telefon bimbit mangsa sebelum menghantar SMS ugutan Khamis lalu.

“Ketika itu, saya sedang bersembunyi di rumah rakan di Taman Anggerik, Cheras sebelum menerima SMS daripada Along terbabit dengan tulisan `saya tahu nombor plet kereta kamu. Kalau tidak pulangkan wang dipinjam... saya akan buat keluarga awak gembira sehingga menangis’.

“Saya yakin pengirim SMS terbabit adalah Along berikutan abang saya pernah meminjam wang daripada berpuluh Along sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia yang bimbang dicederakan kemudian cuba menghubungi Along terbabit bagi menjelaskan situasi sebenar selain enggan dikaitkan dengan masalah abangnya itu.

“Malangnya rayuan saya itu ditolak mentah-mentah sebaliknya diugut akan dibakar hidup-hidup.

“Saya tidak tahu di mana abang saya berada,” katanya ketika ditemui di Biro Aduan MCA, semalam.

Mangsa berkata, berdasarkan maklumat dikumpul, abangnya berusia 43 tahun meminjam sekurang-kurangnya 14 along.

Kematian tragis gadis cacat

KOTA KINABALU: Seorang gadis kurang upaya (OKU) yang mengalami kecederaan parah dipercayai akibat dilanggar kenderaan di tempat lain sebelum dicampakkan ke tengah jalan berhampiran Bangunan Centre Point, di sini, semalam, sehingga mencetuskan pelbagai tanda tanya.
Ketika ditemui mangsa berusia 25 tahun itu separuh bogel dengan hanya memakai seluar dalam dan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, tetapi mati dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menerima rawatan.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dijumpai orang awam dalam keadaan terbaring di tengah jalan sebelum melaporkan kepada polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Rowell Marung ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan masih dijalankan termasuk motif gadis berkenaan ditemui separuh bogel dan sebab dia dicampakkan ke kawasan itu.

“Polis menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan penemuan seorang gadis separuh bogel dan masih hidup, tetapi cedera parah serta kesan calar di beberapa bahagian badannya.

“Sepasukan polis yang menerima laporan itu menuju ke tempat kejadian dan pemeriksaan awal mendapati mangsa masih bernyawa ketika ditemui sebelum dihantar ke hospital.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurut Rowell, pemeriksaan awal mendapati mangsa cedera teruk di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

“Polis percaya mangsa dilanggar sebelum dicampak ke kawasan itu berikutan tiada kesan pelanggaran di lokasi mangsa ditemui,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mangsa dirogol atau sebaliknya berdasarkan kepada keadaan mangsa yang separuh bogel, Rowell enggan mengulas lanjut dan memberitahu siasatan masih dijalankan.

“Terlalu awal untuk mengesahkan sama ada mangsa dirogol atau sebaliknya dan ia bergantung kepada laporan bedah siasat terhadap mayat mangsa.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui kejadian ini supaya tampil bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan,” katanya.

Akal gian si gatal

KUALA LUMPUR: Gian untuk meraba payudara gadis menyebabkan seorang lelaki sanggup menyamar sebagai polis sebelum memperdaya wanita yang dipaksa membuka baju sebelum dicabul.
Lelaki berusia 20-an terbabit yangmeramas payudara mangsa bagaimanapun kelam-kabut melarikan diri selepas mangsa menekan hon kereta sekuat hati selepas mendapat akal membebaskan dirinya.
Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin, suspek dikatakan terlihat mangsa bersendirian dalam kereta di hadapan kafe siber di Jalan Genting Klang, Setapak.

Menurutnya, mangsa ketika itu dikatakan menunggu dalam kereta manakala suaminya berada dalam kafe siber berhampiran.

“Lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai polis selepas mengetuk tingkap kenderaan mangsa.

“Dia berpura-pura bertanya identiti dan tujuan mangsa bersendirian di dalam kereta kerana mendakwa tindakan itu boleh menimbulkan rasa curiga. Bagaimanapun, mangsa memaklumkan tujuannya menunggu suami yang berada dalam siber kafe berhampiran,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai tertarik dengan rupa paras mangsa yang masih muda mengugut mangsa membuka pakaiannya.

“Mangsa yang ketakutan dan bimbang dicederakan berpura-pura akur dengan arahan suspek. “Namun, ketika sedang leka melakukan kerja terkutuk itu, mangsa mendapat idea dengan bertindak menekan hon kereta menyebabkan suspek panik sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal,” katanya.

Katanya, mangsa dan suaminya membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Susulan laporan itu, polis berjaya memberkas suspek. “Suspek ditahan reman mengikut Seksyen 354 kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 43 tahun disamun lelaki menyamar sebagai polis dengan berpura-pura bertanyakan arah jalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki berhampiran belakang sebuah restoran di Jalan Pekeliling Lama, di sini, sebelum dihampiri sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.

Sumber polis berkata, pemandu kereta terbabit berpura-pura bertanya arah jalan menuju pusat beli-belah Jaya Jusco berhampiran sebelum mangsa mendakwa tidak tahu lokasi yang ingin dituju suspek.

Rumah dirompak ketika bercuti

KUALA LIPIS: Keseronokan sekeluarga bercuti di Kelantan sempena cuti sekolah ini berakhir dengan berita menyedihkan apabila rumah mereka di Kampung Relong, dekat sini, dimasuki pencuri menyebabkan kerugian kira-kira RM15,000.
Kejadian hanya disedari mangsa sebaik pulang ke rumahnya kelmarin selepas bercuti mulai 5 Jun lalu apabila mendapati kediamannya berselerak manakala jeriji di bilik belakang dipecahkan.
Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pencuri dipercayai menceroboh melalui tingkap bilik itu sebelum menggeledah rumah termasuk bilik tidur mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pencuri mengambil wang tunai RM5,000, lima rantai leher, tujuh gelang tangan serta lapan cincin.

Katanya, pencuri itu dipercayai melarikan semua barangan berharga bersama wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM15,000.

Susulan kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu am di Pejabat Pelajaran daerah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis, kelmarin.

“Polis percaya pencuri mengambil kesempatan menceroboh rumah mangsa antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi sebelum melarikan barang berharga milik isteri mangsa.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil di IPD Kuala Lipis bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kereta berpusing

CHUKAI: Tiga maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 127, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasek, Kemaman, semalam.
Mereka yang terbunuh ialah pasangan suami isteri, Mohd Yasin Husin, 75, dan Aminah Adom, 62, serta pembantu rumah mereka, seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Suriati berusia 22 tahun.
Dua mangsa yang parah ialah cucu pasangan terbabit, Taufik Hidayat Teo Abdullah, 17, dan adik perempuannya, Nor Istiharah, 12, yang kini dirawat di Hospital Kemaman (HK). Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdul Marlik Hakim Johar, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, kereta Mitsubishi Lancer dipandu Mohd Yasin dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Terengganu.

“Ketika kejadian, kereta mangsa dipercayai datang dari Kuantan menuju Kuala Terengganu dan sebaik tiba di tempat kejadian terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelum berpusing beberapa kali.

“Pada masa sama datang sebuah MPV dipandu seorang pelancong warga United Kingdom yang tidak dapat mengelak lalu merempuh bahagian tengah kereta mangsa menyebabkan pemandu, penumpang depan dan belakang tersepit,” katanya.

Anak buang bapa sendiri

KUALA LUMPUR: Tiada pilihan menyebabkan seorang pemilik kilang acuan plastik mengambil keputusan nekad tidak mahu mengaku bapa kandungnya sendiri selepas mengetahui bapanya berhutang dengan ceti haram atau along lebih RM1 juta.
Tindakan membuang bapa kandungnya sendiri itu diambil dengan rasa berat hati oleh lelaki berkenaan selepas tidak tahan diburu, selain dibelasah samseng along yang menuntutnya supaya menjelaskan semua hutang berkenaan.
Difahamkan, bapa mangsa sebelum ini gemar berhutang dengan along, selain menghabiskan wang syarikat untuk memenuhi hobinya bertaruh judi.

Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru petang kelmarin, mangsa berusia 31 tahun mendakwa didatangi dua lelaki dipercayai tali barut along ke kilangnya yang terletak di Taman Perindustrian Kinrara, Puchong. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua lelaki terbabit memaksa mangsa membayar hutang bapanya berjumlah ratusan ribu ringgit yang dipinjam sejak beberapa tahun lalu.

“Difahamkan, bapa mangsa berusia 56 tahun meminjam daripada lebih 30 along sebelum menghilangkan diri sejurus gagal membayar semua hutang berkenaan.

“Mangsa yang enggan membayar hutang bapanya dipukul dan dibelasah samseng berkenaan. Dia dipaksa membayar sekurang-kurangnya RM8,800 dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mangsa turut tertekan apabila ada antara along terbabit turut mengugut meningkatkan kadar bunga sekali ganda sekiranya mangsa masih gagal menjelaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.

Susulan kejadian ugutan dan kekerasan dilakukan samseng itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Puchong.

Difahamkan, bapa mangsa sebelum ini pernah menyalahgunakan pelbagai dokumen syarikat untuk dijadikan bahan cagaran membuat pinjaman daripada berpuluh along di sekitar Lembah Klang.

“Malah, bapa mangsa pernah menggelapkan kira-kira 100 keping cek syarikat kononnya membeli barang keperluan kilang, namun melarikan diri begitu sahaja. Cek terbabit dipercayai digunakannya untuk membayar hutang along secara ansuran.

“Lebih teruk apabila lelaki berkenaan mengarahkan along merampas kereta milik anaknya itu sekiranya dia gagal membayar hutang terbabit mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Malah, dalam kejadian berasingan kira-kira jam 3 petang 18 Mei lalu, mangsa yang berada di kilangnya mendakwa didatangi seorang samseng along yang mengugutnya supaya membayar hutang bapanya berjumlah ratusan ribu ringgit sekiranya tidak mahu semua mesin di kilangnya dirampas.

“Mangsa pernah membuat laporan polis berhubung kejadian ugutan itu kini semakin tertekan berikutan turut menanggung hutang dari pihak pembekal berjumlah ratusan ribu ringgit.

“Mangsa yang tertekan dengan ugutan terbabit sehingga kini gagal menjejaki bapanya yang menghilangkan diri menyebabkan dia diburu konco Along yang dipertanggungjawabkan bagi mengugut mangsa,” katanya.

Anggota Rela terima rasuah dicekup

PUTRAJAYA: Hanya kerana RM30, seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan isteri ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak kerana menerima suapan daripada pendatang asing tanpa izin.
Kedua-duanya ditahan kerana disyaki melakukan rasuah mengikut Seksyen 16 (a)(A), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
SPRM dalam kenyataannya, berkata tangkapan pertama dilakukan pegawai SPRM Teluk Intan pada 8 Jun, jam 12.45 malam selepas menerima aduan seorang warga asing.

“Warga asing berkenaan mendakwa dia diminta anggota Rela itu untuk mengutip wang sogokan RM30 bagi setiap pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan sah serta memberi wang suapan kepadanya.

“Anggota Rela berusia 58 tahun itu menelefon pekerja berkenaan setiap bulan untuk mengutip wang suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan sekiranya pihak berkuasa melakukan operasi,” katanya.

Pemilik kelab malam dan teman wanita maut ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bersama teman wanitanya mati ditembak dari jarak dekat ketika mereka pulang ke kondominiumnya di Taman Maluri, Cheras, di sini awal pagi ini.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa berkata, kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah termasuk dengan kesan tembakan di kepala dalam kereta Honda CRV mereka di dalam kawasan parkir.
Beliau berkata, mangsa lelaki di percayai pemilik sebuah kelab malam berusia 52 tahun serta teman wanitanya, 32 tahun, ditembak dengan pistol jenis automatik dan sebanyak 13 kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 3.30 pagi. "Pegawal keselamatan juga ternampak dua lelaki melarikan diri dengan memanjat pagar belakang kondominium selepas mendengar beberapa das tembakan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. "Ketika kejadian, kedua-dua mangsa baru tiba dan kereta mereka baru sahaja memasuki parkir kondominium terbabit sebelum ditembak menggunakan pistol jenis automatik," katanya.

Khairy berkata, berdasarkan cara tembakan di kepala, polis percaya tembakan itu dilepaskan dari jarak dekat.

"Melalui CCTV (kamera litar tertutup) yang ada di perkarangan lokasi kejadian, dua suspek dilihat melarikan diri dari kawasan parkir," tambahnya mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

Polis tidak menolak motif kejadian berkaitan dengan dendam walaupun siasatan awal mendapati dompet dan dua utas rantai emas milik kedua-dua mangsa itu hilang yang percayai dilarikan suspek, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Khairy meminta orang awam yang mempunyai maklumat menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.-Bernama

Keluarga kerugian RM12,000 disamun enam lelaki

KUANTAN: Seorang lelaki terkejut selepas suis lampu rumahnya di Felcra Sri Makmur, Pekan yang disangka dibuka ibunya rupanya adalah perbuatan sekumpulan enam penyamun.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian pada 5.30 pagi semalam itu, mangsa berusia 38 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi suis lampu berkenaan.
"Mangsa hanya membiarkan sahaja kerana menyangka itu adalah ibunya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa tersentak apabila melihat seorang lelaki yang tidak dikenali berada di hadapannya dengan bersenjatakan sebilah pedang.

Katanya, tangan mangsa kemudiannya diikat sebelum dibawa ke bilik ibunya yang kemudian turut diikat.

Noor Asyikin berkata, ketika suspek mengeledah rumah tersebut, ibu mangsa berusia 62 tahun menjerit dan membuat bising sebelum mulutnya ditutup dengan kain oleh salah seorang daripada lelaki terbabit.

Kesemua mereka kemudian melarikan barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa bernilai kira-kira RM12,000, katanya.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek masuk ke dalam rumah melalui tingkap di bahagian belakang rumah yang sedang dalam proses pengubahsuaian.

-Bernama

Mahkamah putuskan 9 Julai ini saman RM480 juta terhadap Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 9 Julai depan bagi memutuskan saman RM480 juta yang difailkan sebuah syarikat perkhidmatan menaik taraf pesawat pejuang F5 terhadap kerajaan Malaysia dan dua lagi kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian.
Hakim Datuk Abdul Wahab Patail memerintahkan plaintif, Langkawi R&D Academy Sdn Bhd, dan defendan iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan dan kerajaan, mengemukakan hujahan bertulis sebelum tarikh berkenaan.
Beliau berkata, jika hujahan mana-mana pihak tidak diterima, maka mahkamah akan membuat keputusan dengan pertimbangan bahawa pihak berkenaan telah memilih untuk tidak mengemukakan hujah.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 2005, Langkawi R&D Academy Sdn Bhd berkata syarikat itu menandatangan satu perjanjian dengan defendan dan disaksikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi kerja-kerja peningkatan taraf pesawat F5 pada 11 Januari 2001. Menurut perjanjian, defendan akan membayar sebanyak RM4.8 juta setahun untuk tempoh maksimum 10 tahun, berjumlah RM48 juta, kepada plaintif selepas kerja-kerja peningkatan taraf pesawat F5 itu dilakukan.

Perjanjian itu turut menyebut bahawa jika terdapat pelanggaran perjanjian oleh plaintif, defendan harus memberi notis bertulis yang munasabah dan penamatan hanya boleh dibuat selepas 30 hari notis itu.

Syarikat itu mendakwa telah melakukan kerja-kerja menaik taraf pesawat itu melalui CAS Ltd, sebuah syarikat yang dilantik sebagai sub-kontraktor, dan kemudiannya menamatkan perkhidmatan syarikat berkenaan pada 26 Jan 2002 selepas mendapati komitmennya tidak memuaskan.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah berunding secara peribadi dengan CAS Ltd untuk meneruskan kerja menaik taraf pesawat dan ia (Langkawi R&D Academy Sdn Bhd) pula dihalang memasuki pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth bagi menyambung tugasannya.

Syarikat itu juga mendakwa pada 21 Mei 2002, CAS Ltd diumum memperoleh kebenaran defendan bagi meneruskan kerja-kerja peningkatan taraf pesawat, menerusi berita yang disiarkan oleh akhbar The Malay Mail. Plaintif mendakwa menerima surat penamatan kontrak daripada defendan pada 6 September 2002 untuk menamatkan perjanjian itu atas alasan bahawa plaintif gagal mengemukakan bon pelaksanaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kontrak ditandatangani dan gagal menghantar satu unit "flyable technology demonstrator" sebelum 15 Oktober 2001, sebagaimana diperuntukkan perjanjian itu.

Plaintif menuntut ganti rugi akibat penamatan kontrak secara tidak sah sebanyak RM48 juta, ganti rugi kehilangan kontrak pada masa akan datang sebanyak RM432 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain dari mahkamah.

Defendan, dalam pernyataan pembelaaan, berkata syarikat itu gagal untuk telah memberikan perkhidmatan dan kontrak itu diberikan kepada pihak lain.

Peguam N Surendran yang menyebut bagi pihak M Manogar mewakili plaitif, manakala peguam kanan persekutuan Noramilia Mohd Saad dan Norhafizza Azizan mewakili ketiga-tiga defendan. -Bernama

Lelaki menyamar polis ditahan

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang sering menyamar sebagai pegawai kanak polis berpangkat Senior Assiten Komisioner ditahan selepas polis menyerbu rumahnya di Taman Sri Jaya, Batu Pahat, Rabu lalu.
Dalam serbuan itu, polis menemui pelbagai peralatan dan pakaian seragam berlogo PDRM.
Suspek ditahan reman selama dua hari hingga semalam bagi membantu siasatan.

10 pelacur tempatan ditahan di Seremban

SEREMBAN: Polis menahan 10 wanita tempatan yang berumur antara 36 dan 54 tahun kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dalam serbuan di sebuah hotel murah di Jalan Tunku Hassan di sini hari ini.
Operasi lebih sejam bermula jam 3.10 petang itu membabitkan dua pegawai dan lima anggota D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan diketuai Cif Inspektor Raidah Abidin dan Cif Inspektor Hasbullah Hamzah.
Katanya, polis turt menahan 10 lelaki berusia 24 hingga 60 tahun, termasuk seorang penjaga premis itu, yang disyaki melanggan pelacur berkenaan dan menjumpai 13 keping kondom.

Beliau berkata, empat daripada wanita itu ditahan ketika sedang bersama pelanggan dalam bilik di hotel itu manakala yang lain berada di ruang menunggu.

"Polis membuat risikan mengenai kegiatan pelacuran di hotel itu selama sebulan sebelum serbuan dilakukan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372/373b Kanun Keseksaan dan mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.-Bernama

Campur aduk babi

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pekerjanya memakai baju bertanda logo halal, namun amat mengejutkan apabila sebuah syarikat pengeluar makanan dikesan turut menjual produk berasaskan daging babi.

RAMPAS...pegawai KPDNKK dan Jakim merampas produk bebola daging babi terbabit.
RAMPAS...pegawai KPDNKK dan Jakim merampas produk bebola daging babi terbabit.

Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar.

Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu.

Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah.

“Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.
“Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim.

“Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain,” katanya.

Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan ‘pork ball’ atau bebola babi.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan ‘pork ball’ yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar,” katanya.

Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim.

“Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal.

“Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam,” katanya.

Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam.

“Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi,” katanya.

Lompat pagar terkam anak

JITRA: “Anjing itu melompat keluar pagar sebuah rumah di taman perumahan ini sebelum menerkam anak saya dan rakannya serta mencakar mereka.

CEDERA...Ridzuan (kiri) menunjukkan kesan calar di telinga kanan Syurfa, manakala Mohd Arzamalimi menunjukkan calar di badan Mohd Firhan.
CEDERA...Ridzuan (kiri) menunjukkan kesan calar di telinga kanan Syurfa, manakala Mohd Arzamalimi menunjukkan calar di badan Mohd Firhan.
Mujur ada jiran ternampak kejadian itu lalu memukul anjing itu beberapa kali dengan kayu sebelum haiwan itu melarikan diri,” kata Ridzuan Hashim.

Ridzuan, 35, bapa kepada kanak-kanak perempuan Syurfa, 4, berkata anaknya dan anak jiran mereka, Mohd Firhan Mohd Arzamalimi, 4, cedera di belakang badan dan telinga dalam kejadian di Taman Pulasan, di sini, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya, haiwan peliharaan itu terus menerkam anaknya sehingga terguling-guling ke tanah dan menggigit tangan serta telinga anaknya berulang kali.

“Pada masa sama, anjing itu menyerang Mohd Firhan ketika itu berada tidak jauh dari situ sebelum mencakar belakang badannya.

“Kedua-duanya menjerit kesakitan menyebabkan isteri terdengar jeritan mereka dan menjerit meminta tolong jiran berhampiran,” katanya ketika ditemui di Hospital Jitra, semalam.
Syurfa mengalami kesan cakar di telinga, manakala Mohd Firhan pula mengalami kesan cakar di belakang badan dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu, semalam.

Menurut Ridzuan, jirannya itu baru berpindah ke kawasan perumahan berkenaan sejak beberapa bulan lalu dan sejak itu penduduk di kawasan perumahan itu tidak selesa tinggal di situ kerana anjing berkenaan menyalak kuat setiap kali orang melalui kawasan itu.
Berikutan itu, dia dan bapa Mohd Firhan, Mohd Arzamalimi Mohd Nawi, 35, kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu tengah hari semalam sebelum membuat aduan di Pejabat Veterinar Kubang Pasu untuk memaklumkan kejadian itu.

“Anak saya sekarang trauma apabila melalui kawasan taman permainan itu dan saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemiliknya kerana tidak mengikat anjing peliharaannya sehingga mengancam keselamatan penduduk di sini.

“Nasib baik anak saya dan jiran hanya luka ringan, jika tiada siapa ketika itu, mungkin mereka diserang lebih teruk lagi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Veterinar Kubang Pasu ketika dihubungi memaklumkan pemilik anjing terbabit tidak mempunyai lesen dan sudah diberi amaran.

“Jika dia gagal mematuhi peraturan itu, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.

Ajal kembar

KANGAR: Sepasang kembar perempuan menemui ajal bersama selepas terbabit satu kemalangan jalan raya di Kilometer 2.7, Jalan Raja Syed Alwi, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

SEBAK...Mahani (kiri) dan Nirat masih bersedih ketika ditemui di rumah mereka.

SEBAK...Mahani (kiri) dan Nirat masih bersedih ketika ditemui di rumah mereka.

Pasangan kembar berusia 22 tahun itu, Fatimah Kamis dan adik kembarnya, Aishah Kamis maut selepas motosikal jenis Kriss yang dinaiki dilanggar sebuah kereta.

Lebih memilukan ketika kejadian, Fatimah mengandung tiga bulan dan bakal menimang cahaya mata sulung, manakala Aishah pula akan melangsungkan pertunangan dengan pemuda pilihannya dari Taiping, Perak dalam tempoh terdekat.

Ibu kembar mangsa, Nirat Shafie, 67, berkata hubungan kembar anak kelima dan keenam daripada tujuh beradik itu begitu rapat dan selalu bersama walaupun Fatimah sudah bersuami serta menetap bersama di rumah mereka di Kampung Tok Kaya, Kayang, dekat sini.

Katanya, Aishah pernah berhenti mengikuti pengajian di Terengganu semata-mata enggan berpisah dengan kakak kembarnya, Fatimah.

“Sebelum kejadian, Aishah yang menunggang motosikal dan bekerja di Unit Aset, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengambil Fatimah di Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) untuk pulang bersama dan itu menjadi rutin harian mereka.
“Fatimah sempat menelefon saya sejam sebelum kemalangan memaklumkan mereka singgah di sebuah pasar raya untuk membeli coklat bagi membuat gubahan hantaran perkahwinan ibu saudara mereka yang dijadualkan pada esok,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTF di sini, malam kelmarin.

Turut kelihatan di bilik mayat, bapa pasangan kembar, Kamis Bakar, 70-an, kakak mereka, Mahani, 43, dan suami Fatimah, Tarmizi Ahmad, 35, yang bekerja di kilang padi.

Aishah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, disusuli kakaknya, Fatimah, kira-kira tiga jam kemudian di HTF selepas kedua-duanya cedera parah di kepala dan badan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Superintendan, Rosli Yahaya berkata, pasangan kembar berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Kangar ke Utan Aji sebelum dirempuh kereta dinaiki sepasang suami isteri yang tidak berhenti di persimpangan terbabit.

Katanya, kedua-dua mangsa diseret sejauh 15 meter sebelum tersangkut di tebing jalan raya, manakala kenderaan jenis Proton Aeroback dan motosikal yang dinaiki mangsa terpelanting ke dalam sawah.

“Pemandu kereta iaitu seorang pesara kerajaan bersama isteri hanya cedera ringan. Bagaimanapun, kami percaya pemandu kereta memandu laju dan melulu.

“Akibat rempuhan itu, Aishah dikatakan terpelanting ke cermin kereta dan meninggal dunia di tempat kemalangan, manakala Fatimah pula kritikal sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.45 malam di HTF,” katanya.

Rosli berkata, pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) berusia 68 tahun itu ditahan untuk siasatan dan didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Majistret Kangar, pagi semalam.

Katanya, mahkamah mengenakan jaminan RM6,000 terhadap pemandu berkenaan dan menetapkan sebutan kes pada 7 Julai ini.

Sementara itu, Tarmizi pula berkata, dia dan Fatimah membuat persiapan untuk menimang cahaya mata sulung dijangka penghujung tahun atau awal tahun depan.

“Hasrat saya untuk memperoleh cahaya mata hancur malah saya turut kehilangan Fatimah. Mereka berdua (Fatimah dan Aishah) memang rapat dan saya faham situasi kembar dan tidak cemburu,” katanya yang masih sugul.

Jenazah pasangan kembar itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Behor Masjid, Kayang, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Bakal tunang Aishah, Ridzuan Abdul Ghani, berusia 20-an serta Exco Perlis, Ahmad Bakri Ali, hadir ketika urusan pengebumian jenazah kembar berkenaan.

Model tuntut syarikat penerbangan RM400,000 ganti implan payu dara

MOSCOW: Seorang model menyaman sebuah syarikat penerbangan kerana menyebabkan buah dada palsunya rosak ketika pesawat itu mengalami gangguan penerbangan, semalam.
Iren Ferrari - memiliki buah dada bersaiz 44J hasil pembedahan kosmetik - mendakwa dia tersembam ke kerusi penumpang di depannya ketika pesawat itu melalui kawasan angin kencang.
“Hentakan ke atas buah dada saya sangat kuat dan menyakitkan,” katanya.

Iren, 29, menuntut ganti rugi bernilai RM399,920 daripada syarikat penerbangan Switzerland yang membawanya dari Moscow ke Zurich.

Wang itu, katanya, diperlukan bagi menggantikan implan seberat 9 kilogram dalam buah dadanya.

Peguam Iren, Sergei Zhorin, berkata ruang disediakan syarikat penerbangan di antara kerusi penumpang dalam pesawat itu terlalu sempit untuk buah dada model itu. - Agensi

Nelayan kurung anak sebagai hamba seks

RIO DE JANEIRO: Seorang lelaki di perkampungan nelayan terpencil di Brazil mengurung anak perempuannya untuk dijadikan pemuas nafsu selama 12 tahun.
Kata polis, sepanjang mangsa ditahan, wanita itu melahirkan tujuh anak.
Pegawai penyiasat, Jair Lima de Paiva, berkata lelaki terbabit, Jose Agostinho Pereira, 54, turut mendera seorang daripada anak yang dilahirkan itu.

Katanya, anak perempuan yang dijadikan pemuas nafsu Pereira - kini berusia 28 tahun - dikurung dalam rumah buruk dua bilik mereka di Experimento, timur laut Brazil.

“Rumah itu terpencil dan hanya boleh dikunjungi jika menaiki sampan,” katanya.

Selepas diselamatkan, semua budak yang ada di situ dipercayai mengalami kekurangan zat dan amat sukar berkomunikasi dengan orang lain.

Kebanyakan mereka, kata de Paiva, tiada pakaian.

“Pereira mula mengurung anaknya selepas ditinggal isteri pada 1998,” katanya.

Disebabkan tiada sebarang dokumentasi, polis percaya anak luar nikah yang dilahirkan itu berusia di antara dua bulan dan 12 tahun. Pereira ditahan di penjara Pinheiro di negeri Maranhao sejak Selasa lalu tetapi belum ada pendakwaan dikenakan ke atasnya.

Mengikut undang-undang Brazil, pendakwaan hanya dibuat selepas polis melengkapkan siasatan ke atas suspek

Jual susu badan

LONDON: Jika sesetengah ibu terpaksa berikhtiar untuk meningkatkan kandungan susu bagi bayinya, berlainan pula keadaan Toni Ebdon.

USAHAWAN LUAR BIASA...Toni menggunakan kemudahan Internet untuk memasarkan susu badannya.
USAHAWAN LUAR BIASA...Toni menggunakan kemudahan Internet untuk memasarkan susu badannya.
Apabila Toni bersalin baru-baru ini, dia mendapati susunya terlalu banyak sehingga mencetuskan idea untuk membotolkannya dan menjual produk itu secara komersial di Internet.
Katanya, dia mendapat ilham memasarkan susu badannya selepas seorang rakan bergurau menyuruhnya membuka pusat penghasilan susu besar-besaran.

“Walaupun ia sekadar gurauan, saya menerimanya dan mula menawarkan susu di Internet,” katanya.

Tiga bulan kemudian, Toni menjual 850 gram susunya dengan harga kira RM72.47 bagi botol 237 mililiter.

Kata Toni, 26, walaupun ia tidak begitu lumayan, dia bercadang terus menjual susunya sehingga ia habis.

Toni mengalami fenomena luar biasa itu selepas melahirkan anak lelakinya, David, Mac lalu.

“Selepas bersalin, buah dada saya mengeluarkan terlalu banyak susu sehingga ia menyebabkan rasa sakit dan berat.

“Mula-mula saya gunakan pam untuk mengeluarkan susu berlebihan dan menyimpannya dalam peti sejuk sebelum mengiklankannya di laman web,” katanya.

Pada peringkat awal, katanya, dia menjangka hanya golongan ibu yang kekurangan susu berminat kepada susu badannya.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila turut menerima e-mel daripada pelanggan lelaki tetapi dia tidak tahu mengapa mereka berminat kepada susunya.

“Saya tak berminat bertanya banyak soalan peribadi dan semua komunikasi berlaku melalui e-mel.

“Apabila bersetuju, saya bertemu mereka untuk menyerahkan susu,” katanya.

Dalam keadaan biasa, susu itu boleh diminum terus atau disimpan dalam peti sejuk sehingga sebulan.

Sementara itu, kebanyakan lelaki berkata, mereka meminum susu wanita untuk mengekalkan kecergasan dan menjauhi penyakit.
Kajian menunjukkan susu badan boleh menjadi penawar pelbagai penyakit, termasuk kanser dan diabetes Ketika ini, kata Toni, dia sukar memenuhi tempahan kerana sambutan diterima amat menggalakkan.

“Untuk menghasilkan 28 gram susu, saya terpaksa memerahnya selama 15 minit sehingga satu jam,” katanya. - Agen

'Ampun saya mak, abah'

JOHOR BAHRU: “Kami bukan setakat bermalam beralas tuala dan beg sekolah malah berpindah dari satu rumah tinggal ke rumah tinggal lain serta terpaksa menjual dua telefon bimbit dengan harga RM40 semata-mata mahu mengisi perut.
“Menitis air mata saya tatkala menyuap makanan kerana sebak teringatkan ayah, ibu serta keluarga. Begitu besar pengorbanan mereka membesarkan saya dan kini saya menghampakan mereka. Ampunkan saya mak dan abah,” kata Siti Nurzieha Nuri, 17, di sini, semalam.Selain itu, teman lelaki diharap dapat membantu juga sebagai pelindung turut sama ‘kenduri’ makanan dibeli Siti Nurzieha kerana dia juga tidak berduit, malah mencadangkan mereka bermalam di rumah tinggal.

Mengimbau kenangan pahit sembilan hari melarikan diri dari kediaman keluarga, Siti Nurzieha mengatakan semuanya bermula apabila dia dan rakannya, Rozana Ahmad Salleh bercadang untuk ponteng sekolah.
“Tidak lama selepas sampai ke sekolah, kami mengambil keputusan untuk ponteng dan bertemu dengan teman lelaki saya yang sedia menunggu.

“Kami hanya membawa sehelai baju gantian kerana tidak terfikir langsung untuk lari dari rumah sebaliknya hanya mahu ponteng. Saya gembira dapat bertemu teman lelaki, tetapi kegembiraan itu tidak lama selepas menyedari abah mengetahui saya ponteng sekolah,” katanya.

Bimbang dimarahi, pelajar tingkatan empat itu mengambil jalan mudah iaitu bermalam bersama Rozana di kediaman keluarga remaja lelaki terbabit. Mereka kemudian beredar dari sana keesokan harinya.

Selepas itu, bermulalah episod hidup bagaikan pelarian bagi dirinya. Mereka hanya merayau dan kerana tidak tahu mana hendak dituju, teman lelaki Siti Nurzieha mencadangkan mereka mencari rumah tinggal untuk bermalam.

“Kami mendapat lokasi dianggap sesuai iaitu rumah tinggal sekitar Masai. Selama beberapa malam kami di sana, tetapi terpaksa keluar selepas ‘diperhatikan’ penduduk tempatan.

“Selepas itu kami berpindah pula ‘ke istana’ baru di Taman Cendana, Pasir Gudang. Bagaimanapun, di sana, kami dihalau keluar penduduk yang berang. Ketika itu baru saya sedar betapa sukarnya hidup umpama pelarian,” katanya sebak.

Sepanjang berada di kedua-dua tempat itu, Siti Nurzieha mengatakan mereka menjadikan nasi lemak sebagai ‘santapan’ mewah dan akhirnya, kerana sudah putus sumber kewangan, dia serta Rozana terpaksa menjual telefon bimbit masing-masing untuk membeli makanan.

Di rumah tinggal itu juga, Siti Nurzieha mengatakan ada berbual dengan teman lelaki yang turut memintanya kembali ke rumah kerana kehidupan umpama pelarian mereka cukup daif.

“Bagaimanapun, saya masih lagi bimbang dan kami terus ke sebuah pusat beli-belah di Masai kononnya untuk mencari kerja.
“Ketika kami berlegar-legar, tiba-tiba saya dipanggil abang sebelum abah menyusul tidak lama kemudian. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa sebaknya perasaan saya. Saya bersyukur dikurniakan keluarga yang penuh dengan kasih sayang dan apa akan dilakukan kini ialah taat kepada mereka selain menyambung kembali pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Nuri Ngadirin memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang pemanggil bertugas di pusat beli-belah itu yang terlihat kelibat anaknya serta Rozana di sana.

“Dia mengatakan wajah serta gambaran diri anak serta Rozana yang tersiar di Harian Metro menyerupai dua remaja perempuan dilihat berlegar-legar di sana,” katanya

Remaja dalam klip video ditahan

AMPANG: Seorang pelajar lelaki ditahan bagi membantu siasatan dalam kes pemandu teksi perogol bersiri yang dikatakan gemar menjadikan remaja dan pelajar sekolah sebagai mangsa pemuas nafsunya.
Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu ditahan berikutan gambarnya ada dalam klip video yang dirakam pemandu teksi terbabit.
Polis turut menahan remaja lelaki terbabit selepas semua mangsa yang membuat laporan memberikan keterangan dan maklumat mengenai dia.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata pelajar lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Taman Segar, Cheras kira-kira jam 5 petang, kelmarin. “Polis turut merampas telefon bimbit, monitor dan komputer milik remaja itu.

“Remaja terbabit juga sudah dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti pembabitannya dalam kes itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi remaja perempuan tampil membuat laporan dengan mendakwa menjadi mangsa pemuas nafsu pemandu teksi terbabit. Setakat ini seramai tujuh mangsa tampil membantu siasatan.

Difahamkan, remaja berkenaan membuat laporan itu kelmarin dan mendakwa dicabul pemandu teksi terbabit pada awal tahun ini.

Amiruddin berkata, siasatan mendapati ada beberapa lagi remaja pernah menjadi mangsa pemandu teksi terbabit dan mereka diminta tampil membuat laporan .

“Polis berharap mangsa lain membuat laporan sama ada pernah dirogol atau dicabul pemandu teksi terbabit.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu polis menjalankan siasatan dengan lebih lanjut,” katanya. Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan perbuatan keji seorang pemandu teksi berusia 54 tahun yang gemar menjadikan mangsa rogol dan cabul di kalangan remaja belasan tahun.

Pemandu teksi terbabit bagaimanapun ditahan 2 Jun lalu di Jalan Imbi, Kuala Lumpur selepas polis memasang perangkap

Seludup kura-kura Madagascar



KUALA LUMPUR - Misteri dua buah beg tidak dituntut pemilik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 Jun lepas membongkar kegiatan cubaan menyeludup pelbagai jenis kura-kura dari Madagascar. 

Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Perhilitan Misliah Mohamad Basir berkata, siasatan mendapati bagasi terbabit datang dari Madagascar sebelum dibawa ke Mauritius dan tiba di negara ini. 

“Hasil pengecaman dan pengiraan yang dilakukan terhadap kura-kura itu, kami mendapati 285 ekor ialah spesis dari Radiated Tortoise, 14 ekor Spider Tortoise dan seekor Madagascar Tortoise. 

"Kesemua haiwan itu masih hidup,pemilik bagasi itu gagal dikesan dipercayai melarikan diri kerana dalam beg juga tersorok dadah jenis ganja," katanya semalam. 

Beliau berkata, rundingan dan perbincangan sedang dibuat dengan negara asal untuk menghantar semula kura-kura itu ke sana. 

Difahamkan, pemeriksaan beg melalui mesin pengimbas tidak menunjukkan sebarang imej meragukan berikutan haiwan tersebut tidak mampu bergerak selepas dilekatkan dengan pita pelekat. 

“Kita percaya pemilik beg melarikan diri berikutan di dalam beg itu juga tersorok dadah jenis ganja,” kata Misliah. 

Katanya, harga kura-kura tersebut boleh mencecah RM500 hingga RM1,000 seekor. 

Dalam pada itu, sepanjang tempoh April hingga awal Jun,tujuh premis menjual makanan eksotik tanpa kebenaran diserbu di Cheras, Johor Baharu, Hutan Melintang dan Sri Kembangan, Selangor. 

Katanya, Perhilitan menemui empat ekor ular tedung, tujuh Asiatic Cobra, 25 hempedu ular sawa dan satu bekas alumininum minyak disyaki mengandungi hidupan liar. 

“Tiga lelaki ditangkap dan dikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang sehingga dihadapkan ke mahkamah 30 Jun ini,” katanya. 

Perhilitan turut menyerbu sebuah premis perniagaan di Pulai, Perak, dan merampas satu kepala kambing gurun, sekeping kulit kambing gurun dan 59 botol disyaki minyak kambing gurun.

Helah pengusaha hiburan tak menjadi



GEORGETOWN - Taktik pengusaha sebuah pusat hiburan di sini mematikan bekalan elektrik ketika diserbu pihak berkuasa tidak membuahkan hasil diharapkan apabila 26 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) berjaya dicekup sepasukan polis Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan awal pagi kelmarin. 

Polis percaya, GRO berkenaan biasanya melarikan diri sebelum bersembunyi di satu tempat yang dikhaskan bagi mengelakkan daripada ditahan sebaik bekalan elektrik diputuskan individu tertentu di premis berkenaan. 

:Pegawai operasi, Supe�r-intendan Pencegahan D7A, Maszely Minhad berkata, pihaknya mengalami sedikit kesulitan selepas sekumpulan penjaga yang mengawal pusat hiburan itu mematikan generator elektrik bagi membolehkan GRO di premis berkenaan bersembunyi dan melarikan diri. 

“Ketika serbuan, polis berjaya menahan 24 GRO warga China dan 2 GRO warga Vietnam berumur antara 18 dan 35 tahun yang cuba melarikan diri melalui pintu kecemasan di premis itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Menurutnya, polis turut menahan 12 lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 30-an yang dipercayai penjaga premis itu. 

Operasi itu yang disertai 12 polis, termasuk empat pegawai, bermula jam 1 pagi dan berakhir 4 pagi, kelmarin, selepas polis membuat intipan tiga hari di pusat hiburan terbabit. 

"Kesemua GRO yang ditahan didapati menyalah guna pas lawatan sosial untuk bekerja di sini dan dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan. 

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/1963 atas kesalahan melanggar syarat pas dan permit perjalanan,” katanya. 

Maszely berkata, pihaknya akan melakukan beberapa lagi serbuan di Pulau Pinang dalam masa terdekat bagi membanteras pusat-pusat hiburan yang menjalankan kegiatan tidak bermoral.

Bapa hutang ah long, cagar cek anak yang cuba bantu




KUALA LUMPUR – Seorang bapa bukan sahaja berhutang dengan 30 ah long, malah sanggup membohongi anak sendiri, termasuk menyalahgunakan cek kosong milik syarikat anaknya, membabitkan kerugian mencecah lebih RM1 juta. 

Mangsa, Goh Chun Kiat, 31, berkata, bapanya, Goh Seow Tee, 56, sudah lama menghilangkan diri dan dia hanya mengetahui tembelang bapanya selepas diserang dua lelaki kelmarin, yang memberi amaran kepadanya serta meminta menjelaskan hutang bapanya sebanyak RM8,800 secepat mungkin. 

Menurutnya, dua lelaki itu turut mengugut akan merampas semua peralatan serta mesin di syarikat miliknya jika dia gagal membayar hutang itu. 

Chun Kiat berkata, dia terkejut dengan kejadian kerana sebelum ini, dia mengetahui bapanya sering berhutang dengan ah long dan dia membantu melangsaikan hutang berkenaan. 

“Bagaimanapun, saya langsung tidak menyangka bapa saya sanggup menggunakan 100 cek kosong bertandatangan atas nama syarikat untuk dicagarkan kepada ah long tanpa pengetahuan saya. 

“Saya langsung tidak menyedari hal ini, sedangkan bapa sudah melakukan perkara itu sejak tiga tahun lalu dan segalanya hanya terbongkar apabila saya diserang tempoh hari,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam, selepas bertemu Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong. 

Menurutnya, bapanya juga memberi jaminan kepada ah long bahawa mereka boleh menarik kenderaan miliknya jika gagal mendapatkan semula wang. 

Katanya, terdapat beberapa lagi ah long datang dan mendakwa bapanya masih berhutang dengan mereka sehingga mencecah RM450,000. 

“Saya tidak menyangka dia sanggup memperlakukan anak sendiri seperti itu. Walaupun bapa sudah bercerai dengan emak hampir 10 tahun lalu, saya tetap membantunya dengan mengambilnya bekerja di syarikat serta memberi wang perbelanjaan untuk menyara hidup dan membayar hutang-hutang ah long,” katanya. 

Chun Kiat berkata, dia sangat tertekan kerana bapanya sudah menghilangkan diri dan kini, dia terbeban bukan sahaja dengan hutang bapanya kepada ah long, malah hutang syarikat kepada pembekal berjumlah RM400,000.

Pegawai polis cuba tangkap suspek dicekik



KUALA KANGSAR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dicekik dan dipukul menggunakan kompang, ketika membuat serbuan bersama empat lagi anggota polis di sebuah rumah di Kampung Stor, awal pagi, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, pegawai berkenaan ditugaskan untuk membuat tangkapan terhadap seorang suspek yang disyaki seorang penagih dadah dan terlibat dengan kes pecah rumah, tetapi diserang secara tiba-tiba oleh ahli keluarga suspek. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, pegawai berkenaan bersama anggotanya memberi salam dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis. 

Menurutnya, apabila pintu rumah dibuka, seorang lelaki berumur 57 tahun dipercayai bapa suspek terus mencekik leher pegawai berkenaan sebelum isteri dan dua lagi anak mereka turut menyerang. 

“Pegawai kami berpakaian biasa memberi salam dan memperkenalkan diri sebagai polis tetapi sebaik sahaja pintu dibuka, beliau terus dicekik dan kemudiannya meminta pertolongan daripada empat anggota yang turut serta ketika serbuan itu. 

“Anggota yang lain cuba membantu tetapi isteri lelaki itu datang memukul belakang pegawai berkenaan menggunakan kompang. Kemudian dua anaknya turut serta dan berlaku pergelutan antara polis dan empat beranak itu,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, di sini, kelmarin. 

Beng Kang berkata, bagaimanapun tiada kecederaan serius berlaku dan pegawai berkenaan sudah mendapatkan rawatan di hospital. 

“Pegawai kami hanya mengalami luka kecil dan bajunya rosak akibat pergelutan itu. Berikutan itu, pasangan suami isteri yang kedua-duanya berumur 57 tahun dan dua anak mereka yang berumur 27 serta 29 tahun ditahan reman. Suspek yang diburu polis dipercayai berumur 30-an kini masih bebas,” katanya. 

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, keempat-empat yang ditahan boleh dihukum penjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali atas tuduhan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Karung besi



JITRA - Selepas polis berjaya mengesan muslihat di sebalik dua karung guni berisi besi lusuh yang dibawa seorang lelaki pada 6 Jun lalu, akhirnya terjawab kepada permasalahan yang berlaku sekitar taman perumahan bandar ini mengenai kehilangan besi penutup longkang yang dicuri untuk dijual kepada premis pemungut barang terpakai.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin berkata, lelaki berusia awal 30-an itu ditahan dalam keadaan mencurigakan dan dibawa ke balai untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, dia gagal memberikan maklumat jelas berhubung tindakannya itu menyebabkannya ditahan buat sementara waktu.

“Lelaki berusia 36 tahun itu adalah orang sekatan (PCO) yang dibuang daerah, dia tidak patut melakukan kerja seperti itu.

“Soal jawab yang dilakukan turut mendapati dia gagal memberikan keterangan sahih dan ada yang mencurigakan,” katanya di sini, Selasa lalu.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, polis menerima laporan daripada seorang penyelia premis barang lusuh dan besi buruk, yang mendakwa premisnya dicerobohi menyebabkan beberapa besi sisa binaan hilang.

Sawaludin berkata, polis menunjukkan barang yang dijumpai dalam guni daripada seorang lelaki kepada penyelia itu, yang merupakan warga India sekali gus turut mengakui bahawa barang itu milik premisnya.

Menurutnya, susulan daripada kes itu, sepasukan polis membuat serbuan pada 7 Jun di premis lelaki itu bekerja sekali gus menjumpai besi penutup longkang dan sebuah rangka motosikal.

“Polis merampas barang tersebut dan dalam masa sama mendapati rangka motosikal yang dijumpai itu adalah bersangkutan dengan kes kehilangan motosikal yang dilaporkan hilang pada 28 Ogos 2001,” katanya.

Menurutnya, kes itu pada mulanya di siasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 tetapi dipinda siasatan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, lelaki yang dikenakan PCO itu di reman pada 6 Jun hingga 10 Jun untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Sawaludin berkata, premis perniagaan barang lusuh dan besi buruk diingatkan agar tidak menerima besi buruk dan penutup longkang.

“Penduduk kawasan sekitar taman perumahan di Jitra merungut bahawa besi penutup longkang banyak hilang. Namun oleh kerana kehilangan dalam kuantiti kecil mereka tidak membuat laporan polis. Sekitar bandar ini dipercayai banyak besi longkang yang hilang,” katanya.

Lebih lalat daripada nasi!



KAMPUNG HILIR – Pada mulanya, kehidupan penduduk Kampung Hilir, Batang Melaka dekat Selandar aman damai tanpa apa-apa masalah yang boleh mengganggu ketenteraman mereka. 

Namun ia tidak berkekalan apabila lebih 30 keluarga di sini menerima kehadiran lalat yang banyak akibat timbunan najis ayam di kawasan tapak pertanian dipercayai untuk projek tanaman sayur di kampung mereka sejak April lalu. 

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batang Melaka, Mohamad Nor, 53, berkata, penduduk sebelum ini dimaklumkan bahawa projek perumahan akan dibangunkan di kawasan pertanian itu sepatutnya di atas tanah seluas 5.2 hektar kira-kira lapan tahun lalu. 

”Kami tidak kisah jika tanah ini dibangunkan dengan pelbagai projek tetapi longgokan najis ayam sehingga menarik minat tetamu tidak diundang memang merimaskan kami. 

”Bukan sahaja keamanan penduduk terganggu, malah bau busuk najis ayam juga menimbulkan rasa tidak senang masyarakat di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Jaga curi jam dipenjara



KUANTAN - Harapkan pagar, pagar makan padi. Hanya kerana terdesak untuk membayar hutang, seorang pengawal keselamatan sanggup mengkhianati amanah apabila mencuri 10 jam tangan milik seorang peniaga di tingkat satu sebuah pusat membeli belah di sini, 8 Jun lalu. 

Pengawal terbabit, Hazrul Azmi Abdul Hamid, 25, dari Peramu Jaya 1 dekat Pekan didakwa melakukan perbuatan itu ketika bertugas antara jam 11.55 malam hingga 8.45 pagi hari berikutnya. 

Bagaimanapun kesalahannya itu disedari seorang pengawal keselamatan lain. 

Tertuduh yang ditahan dan diserahkan kepada polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam sebelum dihukum penjara empat bulan dan didenda RM800 setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan T Murugesu di hadapan Majistret Nordiana Abdul Aziz. 

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa menceroboh masuk gerai jam terbabit yang ditutup dengan kanvas selepas pemiliknya pulang kira-kira jam 11.45 malam sebelum kehilangan itu disedari pemiliknya kira-kira jam 8.45 pagi hari berikutnya. 

Hasrat tertuduh untuk menyelesaikan hutang dengan jam yang dicuri itu tidak kesampaian apabila berjaya ditahan kira-kira jam 9.15 pagi bersama jam terbabit yang dianggarkan bernilai RM200 keseluruhannya. 

Tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya walaupun dimaklumkan bahawa kesalahan yang dilakukan itu boleh menyebabkan dia dihukum dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda sebelum dibenarkan membuat rayuan. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM400 sebulan selain terpaksa menyara ibu dan bapanya yang kini sedang uzur. 

“Saya terdesak dan terpaksa mencuri jam itu untuk membayar hutang,” katanya yang tinggal di asrama pekerja di sini. 

Rayuannya itu bagaimanapun ditempelak Nordiana kerana tertuduh tidak sepatutnya mencuri walaupun berada dalam keadaan terdesak kerana perbuatannya itu tidak akan menyelesaikan masalah malah akan lebih menyusahkan seperti yang berlaku semalam. 

Sementara itu T Murugesu memaklumkan bahawa lelaki itu tiada rekod kesalahan lampau dan memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh. 

Mengambil kira rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap dan denda RM800 atau sebulan penjara jika gagal menjelaskannya.

Akibat judi, dapur tidak berasap




MERBAU MENYUSUT – Segelintir penoreh getah di sini, sanggup memperjudikan rumah tangga dan nasib anak gara-gara terpengaruh dengan aktiviti judi nombor ekor dijalankan seorang penduduk yang bertindak sebagai orang tengah di kampung berkenaan. 

Ini berlaku ke atas seorang penoreh getah miskin, mempunyai enam anak, Othman Mohamad, 42, yang kecewa apabila bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diterima bermula sejak Oktober tahun lalu dihentikan gara-gara kemaruk judi nombor ekor. 

Othman berkata, dia tidak menyangka Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampungnya sanggup menggunakan alasan itu untuk membuat aduan kepada JKM sekali gus menyebabkan bantuan ditarik balik. 

Sebelum ini, Othman yang mendakwa menerima Skim Bantuan Persekutuan (bantuan kanak-kanak) sebanyak RM450 sebulan selama setahun selepas permohonannya diluluskan melalui sokongan JKKK Merbau Menyusut. 

Bagaimanapun, kini nasib Othman bak kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur’ selepas permohonan Othman untuk mendapatkan semula bantuan itu gagal. 

Lebih menyedihkan apabila JKKK juga tidak menyokong permohonan kedua yang dikemukakan kepada JKM. 

Difahamkan, bantuan itu ditarik balik pada bulan lalu selepas dipercayai seorang ahli JKKK membuat pengaduan kepada JKM dengan menyatakan Othman telah menyalahgunakan wang bantuan yang diberikan sekali gus bantuan itu terpaksa dihentikan. 

Othman yang juga mengidap strok itu berkata, kini dapurnya kini tidak lagi berasap manakala empat dari enam anaknya terpaksa ke sekolah tanpa membawa wang belanja sekolah gara-gara perbuatannya sendiri yang kemaruk dengan judi nombor ekor. 

Sementara itu, Pengerusi JKKK Merbau Menyusut, Abdullah Mat Amin, 62, berkata, pihaknya sukar untuk menghalang aktiviti judi nombor ekor terus berlaku di kam�pung berkenaan kerana tiada aktiviti penjualan nombor ekor dijalankan. 

“Sebaliknya seorang penduduk di kampung ini hanya bertindak sebagai orang tengah dengan mengumpul wang penoreh getah dan kaki nombor ekor di kampung ini sebelum mengambil ekor haram di Kuala Terengganu setiap Rabu, Sabtu dan Ahad,” katanya.