Search This Blog

Wednesday, June 9, 2010

Wartawan kutuk Israel letak jawatan




WASHINGTON - Wartawan veteran Rumah Putih, Helen Thomas meletak jawatan secara mengejut selepas dikritik kerana mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung Israel. 

Helen, yang membuat liputan mengenai setiap Presiden Amerika Syarikat (AS) sejak John F Kennedy, dikritik kerana mengeluarkan kenyataan ‘Israel patut berambus dari Palestin’ dan ‘Israel patut pulang ke Jerman, Poland atau AS.’ 

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Robert Gibbs mengutuk kenyataan Thomas itu yang dianggap sebagai ‘menyinggung perasaan dan patut dikeji’. 

Helen, 89, membuat permohonan maaf berhubung kenyataan beliau dan menyatakan harapannya supaya keamanan dapat dicapai di rantau Timur Tengah ‘sekiranya semua pihak menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain.’

Empat premis judi Internet diserbu



KUALA LUMPUR – Empat premis dipercayai terbabit aktiviti judi Internet diserbu dalam Ops Dadu di Taman Maluri, Cheras, petang sem:alam. 

Bertindak atas maklumat awam, 8 pegawai dan 27 anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) mengadakan operasi bermula jam 4 petang hingga 6 petang. 

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, empat penjaga premis, termasuk seorang wanita warga Indonesia yang tiada dokumen perjalanan ditahan. 

Menurutnya, turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita asyik dengan permainan judi tersebut. 

Katanya, penjaga premis berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun, manakala pengunjung lingkungan 25 hingga 28 tahun. 

“Polis merampas 101 komputer permainan judi serta tunai RM473,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan. 

Difahamkan, tahun ini 39 kali operasi dijalankan sekitar Taman Maluri, namun 26 daripadanya berjaya kerana menghadapi beberapa halangan ketika serbuan. 

“Pemilik premis ini licik sehingga menyukarkan pihak berkuasa melakukan serbuan kerana mereka menempatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis, jeriji besi dan kata laluan khas untuk pengunjung," katanya. 

Bagaimanapun, katanya, polis tidak berputus asa dalam menjalankan tugas bagi memastikan kegiatan seperti ini dapat dibanteras. 

Razali berkata, premis itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan dan pihaknya akan mengambil tindakan memotong bekalan elektrik mengikut Seksyen 21 A Akta Judi Rumah Terbuka pindaan 2001.

“Bukan video lucah saya”



Video lucah mirip artis Luna Maya dan Ariel Peter Pan yang tersebar luas di Internet menimbulkan perbincangan hebat dalam kalangan peminat laman Twitter, Facebook dan blog .

Walaupun Luna menafikan wanita yang beraksi di dalam video itu adalah dirinya, pelbagai pihak masih sangsi dengan kenyataan yang diberi oleh Luna kerana wanita di dalam video jelas mirip dengannya dari segenap sudut seperti wajah, rambut dan juga kulit.

Walau bagaimanapun hanya tatu di pinggul kiri wanita dalam gambar itu yang dapat menjawab siapakah wanita itu sebenarnya.

Luna juga berkata kepada rakan-rakannya bahawa dia tidak mempunyai tatu tetapi ditolak oleh beberapa pihak dan mencabar dia menunjukkan pinggulnya sebagai bukti dia bukan wanita di dalam video panas itu.

Video selama enam minit dan 49 saat itu memperlihatkan seorang lelaki mirip wajah Ariel Peter (vokalis Pan) sedang melakukan hubungan intim dan wajah wanita itu pula jelas menunjukkan wajah seperti Luna Maya.

Walaupun mendapat cemuhan dari beberapa pihak yang masih mempercayai video itu adalah miliknya, ia tidak menghalang peminat tegar Luna dan Ariel memberi semangat kepada mereka.

Malah, dalam kalangan selebriti juga memberi sokongan kepadanya dengan menghantar kata semangat di Twitter Luna, antaranya Tantri ‘Kotak’, Shanti, Titi Kamal, Aming, Meisye Siregar, Widi dan ramai lagi.

Feri karam di sungai, 12 lemas, 60 hilang



DHAKA - Sekurang-kurangnya 12 penumpang, termasuk 10 kanak-kanak, mati lemas apabila feri yang mereka naiki karam di wilayah Sunamganj, hampir 140 kilometer dari ibu negara Bangladesh.

"Mayat enam pelajar perempuan, empat kanak-kanak dan dua wanita sudah ditemui manakala antara 60 hingga 70 penumpang masih hilang dan usaha mencari masih dijalankan," kata pegawai daerah, Kamrul Alam.

Ketua Polis Daerah, Golam Kibria berkata, sekitar 40 kanak-kanak dari kampung Balijuri menaiki feri itu saban hari untuk ke sekolah di Badshaganj.

"Feri itu membawa penumpang berlebihan sehingga menyebabkannya terbalik. Lima mangsa yang terselamat dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya.

Kafe umpan RM100,000

KUALA LUMPUR: Tawaran lumayan ‘online jackpot’ mencecah RM100,000 dikenal pasti menjadi tarikan beberapa kafe siber beroperasi sekitar Taman Maluri, Cheras, diserbu pihak berkuasa, semalam.
Menjadikan pelajar sedang bercuti sebagai sasaran, kafe siber terbabit menawarkan kegiatan perjudian Internet antaranya ‘jackpot’ dan ‘roullette’ yang hanya memerlukan modal serendah RM10 bagi merebut tawaran wang mencecah ratusan ribu ringgit. Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya menggempur empat kafe siber rata-rata terletak berhampiran serta diawasi ketat melalui kamera litar tertutup (CCTV).
“Musim cuti persekolahan baru dua hari bermula dijadikan peluang keemasan bagi pengusaha kafe siber menjalankan kegiatan perjudian Internet untuk mengaut keuntungan.

“Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, pelanggan meloloskan diri. Kami percaya kehadiran kami dapat dihidu lebih awal. Kami memberi amaran keras operasi itu akan diperhebatkan lagi,” katanya di sini, semalam. Razali berkata, semua premis diserbu tidak mempunyai lesen dan pihaknya merampas 101 unit komputer dijadikan mesin judi dan RM473 wang tunai. “Kami menjalankan 40 kali serbuan sekitar kawasan ini manakala selebihnya gagal kerana menghadapi beberapa halangan. “Siasatan mendapati semua mesin judi terbabit mempunyai kata laluan khas bagi setiap pemain dan ia akan dikawal penjaga kafe siber. Apabila serbuan dilakukan, penjaga akan menukar sistem perjudian Internet kepada sistem Internet biasa bagi mengelak kegiatan judi dikesan pihak berkuasa,” katanya. Menurutnya, dalam serbuan terbabit, dua pemain dan empat penjaga premis berumur antara 25 dan 33 tahun dibawa ke balai untuk siasatan lanjut manakala semua bekalan elektrik di premis terbabit dipotong dan pengusaha kafe siber akan didakwa mengikut Seksyen 4B (C), Akta Rumah Judi Terbuka dengan denda minimum RM20,000.

“Kita meminta kerjasama orang ramai memaklumkan kegiatan ini kepada polis sebagai langkah mengekang kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan yang dilakukan D7 Bukit Aman, IPK Selangor dan Ibu Pejabat Daerah Ampang, empat lagi kafe siber menjalankan kegiatan perjudian Internet digempur dan 10 lelaki termasuk pemain serta penjaga berumur antara 18 hingga 50 tahun ditahan. Operasi di sekitar daerah Ampang kira-kira jam 4.30 petang itu, turut merampas 52 unit mesin judi berkomputer dan RM2,210 tunai.

Serbu banglo pendatang

PUCHONG: Beberapa lot banglo sekitar Taman Tenaga, di sini, boleh diibaratkan ‘kampung halimunan’ berikutan menjadi kediaman warga asing selepas dibongkar pihak berkuasa dalam satu serbuan, kira-kira 12 tengah malam kelmarin.
Timbalan Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor, Johari Supardi serbuan dilakukan selepas menerima aduan penduduk setempat. “Dengan kekuatan 16 anggota termasuk pegawai, kami (Imigresen) menyerbu beberapa premis termasuk banglo berdasarkan maklumat awam dan risikan dan berjaya menahan 20 warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan. “Kami kemudiannya mendapati ada antara banglo berkenaan diubah suai dan dijadikan beberapa bilik kecil lain yang kemudiannya disewakan kepada warga asing dengan kadar sehingga RM200 bagi setiap unit,” katanya. Johari berkata, operasi berkenaan dilakukan terhadap beberapa kediaman yang dipercayai disewakan kepada warga asing yang kebanyakannya bekerja sebagai buruh binaan.
Serbuan bermula di sebuah banglo di puncak bukit di Taman Tenaga, yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan menemui sembilan warga asing. Tindakan pemeriksaan susulan kemudiannya dibuat terhadap beberapa premis kediaman premis lain selain ada antaranya cuba meloloskan diri dan bersembunyi bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa.

Tagih cinta gadis

KUALA LUMPUR: Gejala lesbian atau hubungan songsang di antara wanita dengan wanita semakin menakutkan sehinggakan wanita berusia setengah abad turut terjebak dalam aktiviti laknat itu.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, beliau kini merawat seorang eksekutif wanita berusia 50 tahun yang menjalinkan hubungan seks dengan lebih 20 gadis yang kebanyakannya pelajar universiti.
“Dia menjadi bosan dan hilang kepercayaan terhadap lelaki selepas bercerai ketika berusia 40 tahun. Dia bertukar pasangan golongan hawa bermula sebagai kakak angkat.

“Dengan gaji sekitar RM12,000, dia tidak mempunyai masalah untuk membiayai adik angkat sehingga hubungan sampai ke ranjang,” katanya mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai gejala lesbian di kalangan remaja perempuan di Malaysia.

Katanya, wanita lesbian itu dalam proses pemulihan membesarkan dua anak perempuannya selepas bercerai namun anaknya memberontak selepas melihatdia bawa balik pasangan ke rumah.

“Alhamdulillah, hatinya terbuka untuk berubah dan datang ke Sidim mendapatkan nasihat. Memang saya nampak dia bersungguh-sungguh mahu melupakan kisah hitam itu.

“Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes sebegini, biasanya bermula wanita itu ‘ringan-ringan’ dan apabila seronok berakhir dengan perbuatan sumbang,” katanya.

Menurutnya, pendedahan di Internet turut mempengaruhi golongan wanita lemah iman itu untuk membenci lelaki sehingga terjebak dalam aktiviti lesbian.

“Golongan itu terbahagi kepada tiba iaitu pengkid, tomboi dan lesbian. Pengkid ialah wanita berperwatakan lelaki dan menjalinkan hubungan sesama jenis, sebaliknya tomboi juga mempunyai penampilan sama namun masih meminati lelaki.

“Lesbian paling menakutkan kerana ia sukar dikesan secara kasar kerana kedua-dua wanita masih mengekalkan penampilan sebagai wanita, tetapi salah seorang bersikap dominan seperti kuat cemburu dan terlalu melindungi pasangannya,” katanya.

Beliau berkata, selain khidmat kaunseling percuma, Sidim turut menggunakan pendekatan 5H bagi membantu individu bermasalah melupakan kisah hitam hidup mereka iaitu hati perlu dikuatkan untuk berubah kerana Allah, hampiri orang positif, hindari orang negatif, menetapkan hajat untuk berubah dan berhijrah.

Sementara itu, Penolong Pengurus Rumah Iman Perempuan Sidim, Rosilawati Osman berkata, pihaknya menerima kira-kira 10 pelatih yang terbabit dalam gejala itu hampir setiap bulan.

“Mereka dihantar keluarga yang mengesan sesuatu tidak kena, dan biasanya tempoh pemulihan mengambil masa enam bulan untuk memupuk kesedaran dan kembali ke jalan Islam,” katanya.

Dua ditahan ketika sibuk bancuh arak haram

SEREMBAN: Tindakan saman yang pernah diambil pihak berkuasa sebelum ini langsung tidak diendahkan dua lelaki termasuk seorang warga India untuk bergiat aktif semula memproses dan menjual minuman keras di sekitar Jempol, dekat sini.
Kedegilan mereka bagaimanapun mengundang padah apabila dicekup dalam serbuan berasingan di daerah berkenaan iaitu sekitar Kampung Melor dan Ladang Air Hitam, Jumaat lalu.
Ops Bersepadu itu disertai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol diketuai Asisten Superintendan Mohd Yazed Mohd Serah dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia (KDRM) , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan dan Majlis Daerah Jempol (MDJ).

Sumber polis berkata, kedua-dua suspek berusia 45 dan 46 tahun itu ditahan selepas mendapati mereka memproses dan menjual minuman keras haram.

“Siasatan mendapati warga India terbabit ialah pembantu dan pembuat arak dan kami (polis) turut menemui beberapa tong air berisi arak di dalam rumah termasuk kenderaan suspek.

“KDRM merampas alat membuat arak termasuk pengetuk, pisau, sabit, bekas mengisi peralatan dan kayu pengasah,” katanya di sini, semalam.

Penoreh getah tidak mengaku rogol anak tiri

IPOH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya dalam dua kejadian berasingan termasuk di dalam tandas sebuah surau di Tanjung Tualang, Batu Gajah, Mei lalu.
Tertuduh, 54, yang berasal dari Pattani, Thailand, membuat pengakuan itu ketika dua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Noor Hayati Haji Mat.
Tertuduh yang bekerja sebagai penoreh getah dikatakan merogol anak tirinya itu yang kini berusia 13 tahun 10 bulan secara berulang kali.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh melakukannya di dalam tandas di belakang surau di Batu 26, Tanjung Tualang, kira-kira jam 5.30 petang pada 23 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perhubungan yang tidak dibenarkan undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan berkaitan lelaki dan perempuan untuk berkahwin. Oleh itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang enam tahun atau maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan perbuatan sama di kawasan kebun getah berhampiran Taman Teja, Tanjung Tualang kira-kira jam 4.30 petang pada 27 Mei lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut akta sama.

Hakim Noor Hayati menetapkan kes itu disebut semula pada 19 Julai ini. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Laila Mohamed Nazil.

Akhbar ini pada 1 Jun lalu melaporkan mengenai perbuatan sadis seorang lelaki yang sanggup menjadikan sebuah surau berhampiran rumahnya sebagai lokasi merogol anak tirinya.

Bekas pengarah nafi tipu RM12j

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah urusan syarikat produk kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan bersubahat menipu syarikat itu membabitkan RM12 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh Goh Bak Ming, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jagjit Singh. Mengikut pertuduhan Goh didakwa melakukan perbuatan itu di Liqua Health Marketing (M) Sdn Bhd, No 8 Jalan 5/91A, Taman Shamelin Perkasa, di sini, pada 23 Februari sehingga 31 Julai 2007. Mengikut fakta kes, Goh didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Poh Gaik Lye, 55, memperdaya Liqua Health Corporation sehingga anak syarikatnya, Liqua Health Marketing (M) Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Pengedaran membabitkan RM12 juta dengan Wynsum Healty Living Sdn Bhd bagi membekalkan produk kesihatan. Bagaimanapun, selepas wang terbabit dipindahkan ke akaun Wynsum, Goh menggunakan RM9.75 juta daripada jumlah itu bagi membeli 45,960,450 unit saham Liqua Health Corporation Berhad melalui empat akaun berasingan. Dia didakwa mengikut Seksyen 87A(a) yang dibaca bersama Seksyen 122C (c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 88B akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun, jika disabitkan kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Susheel Kaur dan Ahmad Faiz Munawar manakala tertuduh diwakili peguam bela Chew Choon Leong dan Mohd Iskandar Ismail.

Shidee dakwa dapat cek tendang RM7,500

MELAKA: “Sampai hati mereka menganiaya saya,” kata penyanyi era 80-an yang popular dengan lagu ‘Sayang Semuanya Sudah Terlambat’, Rashid Abdul Wahab, 51, atau lebih dikenali dengan panggilan Shidee, apabila mendakwa ditipu syarikat penganjur sebuah program usahawan di Ayer Keroh, di sini, semalam.
Ini berikutan Shidee yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan artis bagi membuat persembahan sepanjang program terbabit yang turut membabitkan 80 peniaga di karnival itu, mendakwa diberi cek tendang oleh pihak penganjur meskipun persembahan pada hari pertama dan kedua sudah diadakan.
Shidee berkata, pada 2 Jun lalu, pihak penganjur berjumpa dengannya bagi menawarkan persembahan selama 10 hari sempena program berkenaan dan diminta menyediakan 10 orang artis membabitkan bayaran berjumlah RM25,000 bagi memeriahkan majlis sekali gus menarik kehadiran pengunjung.

Menurutnya, beliau kemudian diberikan cek berjumlah RM7,500 sebagai bayaran deposit iaitu 30 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Katanya, selepas perjumpaan itu, dia memasukkan cek melalui mesin bank, namun terkejut apabila mendapati ia tidak dapat ditunaikan selepas empat hari berlalu.

“Akibat tidak mahu memikirkan perkara negatif, saya pergi ke bank sebelum dimaklumkan cek berkenaan adalah cek tendang.

“Hancur hati apabila dimaklumkan pihak bank mengenai cek berkenaan sedangkan dua persembahan artis sudah diadakan sepanjang dua malam itu,” katanya.

Peniaga rogol wanita OKU

BERA: Gara-gara berjauhan dengan isteri, seorang peniaga tidak dapat menahan gelora nafsu apabila tergamak merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang juga jirannya.
Peniaga pasar berusia 46 tahun itu dipercayai merogol remaja berusia 19 tahun berkenaan tiga kali sejak hujung Mei lalu di rumahnya di Kampung Baru, Mengkarak, di sini.
Bagaimanapun, tindakan ‘jiran durjana’ itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada ibunya yang suspek pernah membuka seluar dan merogolnya.

Difahamkan, peniaga terbabit tinggal bersendirian di rumah berkenaan berikutan isterinya, seorang warga Singapura tinggal di negara terbabit.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor, berkata remaja lembam itu hanya tinggal berdua bersama neneknya berusia 60-an.

Mati lemas dalam van

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut dipercayai lemas akibat kepanasan selepas ‘terkurung’ dalam van sekolah selama hampir tiga jam, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Alyah Zainal Abidin dikatakan tidak turun daripada kenderaan berkenaan sebaik tiba di tadika, di Bandar Baru Bangi, dekat sini, sebelum enjin van sekolah itu dimatikan.
Difahamkan, semua rakan, guru dan pemandu van terbabit juga tidak perasan kanak-kanak malang itu masih berada dalam van berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, kanak-kanak itu hanya ditemui pemandu van berkenaan selepas sesi pembelajaran tamat kira-kira jam 11 pagi.

“Mangsa ditemui dalam keadaan pengsan dan dia segera dikejarkan ke Hospital Kajang oleh pihak pengurusan tadika berkenaan untuk diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan.

“Kami klasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (SDR) kerana siasatan mendapati tiada unsur jenayah. Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Lompat khalwat

LANGKAWI: Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa dengan melompat ke rumah bersebelahan di tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Kuah, di sini, semata-mata mahu melarikan diri daripada dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) kerana disyaki berkhalwat, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, tindakan nekad lelaki berusia 43 tahun itu gagal apabila Jaik menemui jam tangan dan telefon bimbit miliknya di rumah teman wanitanya berusia 36 tahun itu dan seterusnya menemuinya di rumah sebelah itu.
Penolong Pegawai Penguat kuasa Jaik, Md Nasir Md Dali berkata, berdasarkan maklumat awam, pasangan itu disyaki tinggal serumah dan pihaknya membuat pemeriksaan kira-kira jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menunggu hampir setengah jam selepas mengetuk pintu berkali-kali sebelum dibuka seorang wanita yang berbaju tidur.

“Dia berpura-pura baru bangun tidur dan mendakwa tinggal seorang di rumah untuk mengelak dicekup pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, penemuan tilam di ruang tamu rumah itu serta jam tangan dan telefon bimbit lelaki di atas almari kecil menimbulkan syak menyebabkan pihak kami menahannya,” katanya di sini, semalam.

Katanya, anggotanya yang mengesyaki sesuatu mencurigakan memanjat balkoni pangsapuri itu untuk masuk ke rumah sebelah sebelum menemui seorang lelaki berseluar pendek serta tidak berbaju.

Beliau berkata, lelaki itu yang menyorok di dalam rumah kosong itu gagal lari dan terpaksa menyerah diri selepas pihak berkuasa menahannya.

“Pasangan itu gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram dan siasatan mendapati wanita itu masih isteri orang yang kini dalam proses perceraian dengan suaminya.

“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk dibuat laporan tangkapan, awal pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak pada orang ramai.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya.

Lelaki hilang ditemui di dasar lombong

IPOH: Penemuan beberapa barangan peribadi mangsa berhampiran kawasan lombong tinggal menjawab misteri kehilangan seorang lelaki sejak malam kelmarin.
Mayat Loke Weng Kian, 29, ditemui di dasar lombong di Taman Yik Sang, Pasir Putih, pada jam 9.15 pagi semalam oleh pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melancarkan gerakan mencarinya di lombong tinggal berkenaan.
Pencarian itu dilakukan sejurus polis dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa yang cuba mencarinya di sekitar kawasan berkenaan, mengenai penemuan barangan miliknya berhampiran lombong terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar, berkata mayat mangsa ditemui di dasar lombong berkenaan tidak lama selepas gerakan mencari dilakukan di kawasan itu susulan penemuan barang mangsa berhampiran lokasi kejadian.

“Polis menerima laporan kehilangan daripada keluarga mangsa kelmarin dan keluarganya memaklumkan mengenai penemuan barang milik mangsa di kawasan lombong itu.

“Selepas menerima maklumat, gerakan mencari dilakukan dan mayat mangsa ditemui di dasar lombong dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, maklumat daripada isteri mangsa mendapati Loke dipercayai berada dalam tekanan kerana sebelum menghilangkan diri, mangsa sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf kepada isterinya.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Anak lari tak tahan dibelasah

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun bukan saja dipukul, disebat dengan rotan malah turut disepak terajang seorang lelaki berhati binatang yang juga bapa kandungnya, sejak beberapa bulan lalu.
Lebih malang, ibunya juga dikatakan bersubahat mendera kanak-kanak terbabit. Difahamkan, dua lagi adik perempuan mangsa yang masih berusia kurang 10 tahun turut dibelasah pasangan suami isteri berusia lewat 30-an itu. Rahsia pasangan terbongkar apabila anak mereka melarikan diri dari rumah di Kampung Chubadak, Sentul, sebelum ditemui dua pelajar berusia awal 20-an di kawasan perumahan Batu Muda, di sini, kira-kira jam 3 petang semalam. Difahamkan, keadaan kanak-kanak terbabit yang tidak terurus selain dilihat hilang arah tujuan membuatkan dua pelajar itu curiga sebelum menyapanya. Menurut sumber, sebaik menyapa kanak-kanak malang itu, dia mendakwa lapar sebelum dua pelajar perempuan itu memberikannya sedikit makanan. “Selepas makan, kanak-kanak perempuan terbabit mendakwa dia melarikan diri dari rumahnya kerana tidak tahan dipukul ibu dan bapanya,” katanya. Tersentak dengan itu, kedua-dua pelajar terbabit kemudian melakukan pemeriksaan terhadap tubuhnya sebelum mendapati terdapat kesan lebam serta parut. Sumber berkata, boleh dikatakan seluruh tubuh kanak-kanak malang itu terdapat kesan penderaan.
“Kanak-kanak itu mendakwa dia sudah diperlakukan demikian sejak beberapa bulan lalu. Dia (kanak-kanak) turut mendakwa disepak terajang bapanya selain dirotan dan dipukul.

“Malah, ibunya juga dikatakan turut bersubahat dengan bapanya setiap kali memukulnya,” katanya.

Sumber berkata, kanak-kanak malang terbabit turut mendakwa dua lagi adiknya turut menerima nasib sama dengannya.

“Malah, kanak-kanak itu mendakwa sikap kepala angin ibu bapanya menyebabkan dia nekad melarikan diri daripada rumah namun tidak tahu hendak mendapatkan perlindungan dari siapa,” katanya.

Kedua-dua pelajar perempuan terbabit kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian berkenaan. Lima minit kemudian, sekumpulan anggota polis tiba di lokasi kejadian sebelum membawa kanak-kanak dan kedua pelajar terbabit ke Balai Polis Jinjang, di sini, untuk membuat laporan.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu sedang dikesan pihak berkuasa sebaik laporan mengenai kekejaman mereka itu dibuat. Malah, kanak-kanak malang itu kini diletakkan bawah perlindungan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual dan Penderaan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes terbabit sudah dirujukkan ke IPK Kuala Lumpur.

Berpakat larikan diri

JOHOR BAHRU: Mereka sahabat karib dan rakan sekelas dengan kebanyakan perkara dilakukan bersama. Berbekalkan wang saku RM5, kedua-duanya melakukan satu kejutan iaitu lari dari sekolah di Permas Jaya di sini.
Semuanya bermula selepas waktu persekolahan pada 1 Jun lalu, Siti Nurzieha Nuri dan Rozana Ahmad Salleh, kedua-duanya berusia 17 tahun, keluar dari sekolah walaupun cuba dihalang guru sebelum menghilangkan diri.
Bapa seorang daripada pelajar tingkatan lima itu, Nuri Ngadirin, 49, berkata dia menghantar anaknya ke sekolah seperti biasa pada jam 7 pagi.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila dihubungi gurunya pada jam 8.20 pagi mengatakan anak bersama Rozana berkeras mahu keluar sekolah walaupun dalam waktu persekolahan.

“Saya terus bergegas ke sekolah tetapi gagal menemui mereka. Saya turut menghubungi anak, bagaimanapun telefon bimbitnya dimatikan,” kata pemandu teksi terbabit.

Bimbang berlaku kejadian buruk, Nuri mula mendapatkan maklumat lebih lanjut dengan siapa anaknya berkawan dan pelbagai lagi.

Akhirnya, dia mendapati Siti Nurzieha mempunyai hubungan dengan seorang remaja lelaki berusia 20-an dan pada masa sama, Nuri turut menemui keluarga Rozana untuk berbincang mengenai anak mereka.

“Saya dan isteri, Marwati Ahmad, 45, pernah bersemuka dengan keluarga remaja lelaki terbabit tetapi mereka mengatakan tidak tahu apa-apa berkaitan kejadian.

“Saya juga berbincang dengan keluarga Rozana sebelum mengambil keputusan melakukan pencarian bersama kerana yakin kedua-duanya tidak terpisah,” katanya.

Nuri percaya perkara itu dirancang dan besar kemungkinan anaknya itu masih di sekitar bandar raya.

“Sebagai usaha mengesannya, saya turut menampal poster Siti di stesen bas, teksi, pusat beli-belah, selain lokasi tumpuan awam tetapi gagal mendapat petunjuk di mana anak keempat daripada 11 beradik itu berada,” katanya.

Nuri sudah membuat laporan di Balai Polis Permas Jaya dan berharap anaknya itu kembali semula kepada keluarga.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan anaknya dan Rozana supaya menghubungi talian 019-7637972, 012-7234600 (Mohd Ridzuan) dan 016-7947359 (Ahmad Salleh).

Mohon sah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, menetapkan keputusan permohonan pengesahan dan pendaftaran perkahwinan Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin dan isteri keduanya pelakon Zizie Izette, esok.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Kanan Syarie Mohd Radzi Abd Latif selepas mendengar keterangan pasangan itu yang diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong dan Normawaddah Ramli di dalam kamarnya, di sini, semalam. Selain Bung Mokhtar, 51, dan Zizie Izette Abdul Samad, 32, turut kelihatan memasuki kamar hakim ahli keluarga pelakon itu iaitu Ahmad Shahazami, 48, Samzy Fuzette, 34, dan Shaheizy Sam, 28. Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303). Pasangan itu nyata terkejut dengan kehadiran media dan jurugambar yang menanti tetapi tidak memberi sebarang komen. Bung Mokhtar sempat berseloroh bahawa beliau datang ke mahkamah untuk berjumpa kawan. Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Mokhtar atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah akhir tahun lalu.
Beliau didakwa berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan Zizie Izette di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak jam 8.50 malam, 16 Disember tahun lalu. Bagi perbuatan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Selain itu, Bung Mokhtar juga didenda RM1,000 kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette yang berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, dan jika gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara sebulan. Zizie Izette pula dikenakan denda RM1,000 kerana kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 dan jika gagal membayar denda, Zizie Izette boleh dipenjara sebulan.

Warga emas maut dirempuh lori tangkix

KOTA BHARU: Hasrat seorang warga emas meraikan majlis perkahwinan cucunya berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah lori tangki di Kilometer 3 Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Mahmood Sulong, 81, yang membonceng motosikal meninggal dunia akibat kecederaan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), kira-kira jam 2.20 pagi, semalam.

Penunggang motosikal itu, Zaizul Adli Man, 38, berasal dari Kampung Perupok, Bachok, pula meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

'Tak sarapan turun ke laut'

IPOH: “Biasanya saya bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan buat suami dan menemaninya sebelum dia keluar rumah untuk ke laut pada jam 5.30 pagi.
“Namun, pagi semalam (kelmarin), saya tidak bangun seperti biasa. Sebaik terjaga kira-kira jam 6 pagi untuk menunaikan solat Subuh, saya melihat suami sudah keluar rumah,” kata Normalasiah Busu, 46, isteri Mohamad Rodzi Bodin, 57.
Mohamad Rodzi dilaporkan hilang di perairan Pantai Remis selepas terjatuh ke laut apabila bot dinaiki bersama rakannya, Abdul Rahim Mat Nayan, 54, dipukul ombak besar ketika mereka menangkap udang berhampiran muara Sungai Batu, Pantai Remis, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Abdul Rahim yang mengemudi bot sempat mengawal botnya daripada terbalik dan cuba menyelamatkan mangsa yang terkapai-kapai di laut sebelum hilang. Dia kemudian membuat laporan polis sebelum gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan pihak berkuasa dengan dibantu penduduk kampung.

Namun, harapan isteri dan lima anak berusia antara 10 hingga 23 tahun untuk menemui mangsa dalam keadaan selamat berkecai apabila mayatnya ditemui terapung kira-kira 20 meter dari tempat dia terjatuh pada jam 7.45 pagi semalam.

“Saya terduduk sebaik dimaklumkan jiran mengenai penemuan jasad suami saya dalam keadaan tidak bernyawa pagi tadi (semalam). “Saya terkilan kerana tidak sempat menyediakan sarapan dan bekalan makanan kepada arwah serta melihatnya buat kali terakhir sebelum dia keluar meninggalkan rumah.

“Namun, saya reda dan tabah menerima takdir yang begitu perit ini. Kini saya berharap tiga anak yang sudah bekerja, membantu meringankan beban keluarga terutama dua adik mereka yang masih bersekolah,” katanya yang tinggal di Kampung Indah, Pantai Remis.

Sementara itu, Abdul Rahim yang masih sedih mengenangkan nasib sahabat baiknya yang lemas di depan matanya itu, kesal kerana gagal menyelamatkannya.

“Cuaca ketika itu agak berangin dan laut juga bergelora. Saya dan arwah yang juga tekong bot menangkap udang apabila ombak besar datang dan menghempas bot.

“Ombak kuat menyebabkan arwah yang ketika itu berada di depan bot terjatuh ke laut sebelum dihanyutkan arus deras. “Saya terjun ke laut empat kali untuk cuba menyelamatkan arwah, tetapi gagal menemuinya dan arus deras menyukarkan keadaan. “Saya kemudian naik ke atas bot dan membuat keputusan dengan berat hati meninggalkan kawasan kejadian dan mendapatkan pertolongan penduduk kampung serta polis. Saya sedih kerana dia ditemui dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jamil Osman berkata, sejurus menerima laporan kehilangan mangsa dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, bot dinaiki mangsa bersama seorang rakannya dipukul ombak besar mengakibatkan mangsa tercampak ke laut sebelum hilang.

“Rakan mangsa yang terselamat cuba mencarinya, tetapi gagal sebelum membuat laporan polis sejurus selepas kejadian.

“Polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan bantuan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Pantai Remis tetapi usaha mengesannya gagal sebelum operasi ditamatkan kira-kira jam 9 malam tadi (kelmarin),” katanya.

Nornisamsila, Marikh lerai ikatan

KUALA LUMPUR: “Jangan jadikan perceraian ini sebagai sebab bermusuh. Beri kerjasama untuk besarkan anak dengan baik,” kata Hakim Syarie Saiful Azli Jamaluddin terhadap pembaca berita, Nornisamsila Osman, 35, dengan bekas suaminya.
Terdahulu dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, peguam syarie, Mohd Ridhwan Husin yang mewakili Nornisamsila memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dan Marikh Azahari Ramli, 35, setuju bercerai secara baik.
Sebelum ini, Nornisamsila memfailkan permohonan bercerai secara fasakh bagaimanapun mengubahnya kepada permohonan secara baik selepas perbincangan dibuat dengan Marikh Azahari yang juga seorang ahli perniagaan. Meluluskan permohonan Nornisamsila, Saiful mengesahkan lafaz cerai talak satu dibuat Marikh.

Mohd Ridhwan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan mutaah, nafkah edah dan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah.

Marikh Azahari yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah untuk membolehkan dia berjumpa anak perempuan hasil perkahwinannya dengan Nornisamsila berusia setahun.

Mahkamah membenarkan permohonannya itu.

Mahkamah gempar terima panggilan bom palsu

MUAR: Kira-kira 100 kakitangan termasuk hakim, peguam dan orang ramai yang berurusan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen di Jalan Petrie di sini, diarah keluar serta-merta selepas menerima panggilan telefon amaran bom akan meletup di bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, pemeriksaan polis mendapati amaran itu tidak berasas dan semua urusan di bangunan berkenaan disambung semula selepas jam 2 petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, seorang kakitangan Mahkamah Tinggi berkenaan dikatakan menerima panggilan telefon, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Sebaik menerima aduan berkenaan, sepasukan polis dan Unit Pemusnah Bom dihantar ke tempat kejadian bagi memeriksa kawasan sekitar bangunan mahkamah berkenaan. Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan polis mengesahkan tiada bom atau sebarang objek mencurigakan ada di bangunan itu.

Dalam kejadian terdahulu pada 20 Julai tahun lalu, kakitangan Mahkamah Tinggi pernah menerima panggilan bom, namun pemeriksaan mendapati ia adalah panggilan palsu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Lee Choon Guan berkata, panggilan menyatakan mahkamah itu diletakkan bom disahkan panggilan palsu selepas pemeriksaan terperinci dijalankan.

18 kes baru H1N1

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 kes baru disahkan positif influenza A (H1N1) dan tiada kematian dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata, lapan kes H1N1 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi adalah individu yang mempunyai faktor risiko, katanya dalam satu kenyatnaan.
Dr Mohd Ismail berkata, memandangkan jangkitan H1N1 masih aktif di kebanyakan negara, orang awam perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus H1N1 serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi Kementerian Kesiahatan di talian 03-88810200/0300.-Bernama

Polis Pulau Pinang tingkat usaha buru suspek kes ragut dan cedera mangsa

PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang melancarkan gerakan besar-besaran hari ini bagi memburu seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam satu kejadian ragut dan mencederakan seorang pemilik kedai runcit di Permatang Damar Laut di sini Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Balik Pulau, Superintendan Lai Fah Hin berkata, pemilik kedai itu Loke Mei Ling, 52, ditikam di bahagian badannya oleh seorang lelaki yang berumur awal 20-an dalam kejadian itu.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8.30 malam apabila suspek yang berpura-pura hendak membeli rokok, bertindak menikam Loke dengan pisau dan kemudian meragut rantai emas yang dipakai wanita itu sebelum melarikan diri.

Katanya, lelaki yang dipercayai seorang penagih dadah itu melarikan diri ke kawasan hutan paya berhampiran apabila dikejar oleh beberapa penduduk kawasan tersebut yang cuba menahannya.

"Polis sudah kepung kawasan berkenaan pada hari itu, tapi kami terpaksa menghentikan pencarian apabila hari semakin bertambah gelap," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Lai berkata, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.-Bernama

Pengusaha stesen minyak haram ditahan cuba sogok penguat kuasa

PADANG BESAR: Seorang pengusaha stesen minyak haram di sini ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas cuba menyogok penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang memeriksa premisnya semalam.
Pengarah KPDNKK negeri, Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata, lelaki berusia lingkungan 20an itu cuba menyuap pegawai penguatkuasa agar tidak memeriksa premisnya yang didapati beroperasi tanpa lesen.
"Dalam serbuan kira-kira jam 3.10 petang itu, penguatkuasa merampas 27,300 liter diesel bersubsidi bernilai RM46,410 dipercayai untuk dijual kepada rakyat asing," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga menemui tiga tangki besar yang setiap satu boleh memuatkan 19,000 liter minyak, tiga buah pam dan sebuah lori tangki.

Pihaknya juga percaya premis itu yang pernah diserbu pada Januari lalu digunakan sebagai transit untuk penyeludupan minyak ke negara jiran.

Mengulas mengenai gula di Perlis, beliau berkata, bekalan bahan itu di negeri tesrebut adalah mencukupi dan masih terdapat stok sebanyak 110 tan metrik berbanding keperluan harian 50 tan metrik.

Bagaimanapun berikutan laporan kekurangan bekalan gula di beberapa negeri, pihaknya melakukan pemeriksaan sebanyak dua kali sehari membabitkan 161 premis.

Namun sehingga kini kami tidak menerima laporan dan aduan daripada semua pihak berkenaan kekurangan bahan itu di sini, katanya.-Bernama

4 askar curi kad kredit mangsa nahas

MOSCOW: Empat tentera Russia didakwa mencuri kad kredit mangsa kemalangan pesawat yang membunuh Presiden Poland, Lech Kaczynski, kata pendakwa, semalam.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Siasatan Pejabat Pendakwa Russia, keempat-empat suspek itu mengaku mencuri dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, pegawai kerajaan Poland berkata, lebih RM5,900 wang dikeluarkan dari akaun Ketua Jawatankuasa Memorial Perang Poland, Andrezej Przewoznik, terbunuh bersama Kaczynski pada 10 April lalu. - AFP

Sebak lihat mayat tersepit

PEKAN: “Keadaan kereta yang terbabit kemalangan itu begitu dahsyat apabila bumbungnya remuk teruk hingga hampir mencecah lantai akibat dihempap kepala lori selepas masing-masing bertembung,” kata Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Rahmat Omar yang mengetuai operasi mengeluarkan enam mayat mangsa kemalangan ngeri di Kilometer 78, Jalan Kuantan-Segamat, Runchang di sini, kelmarin.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 9 malam sebelum 15 anggota bersama dua jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan bergegas ke tempat kejadian.
“Kami memulakan kerja dengan menyelamatkan pemandu lori yang masih hidup tetapi tersepit di tempat duduknya. Pemandu itu merintih kesakitan sambil meminta tolong kerana kakinya tersepit manakala isterinya sudah dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

“Selepas itu, kami mula mengeluarkan mayat dalam kereta yang tersepit kerana dihimpit kedua-dua kenderaan itu,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan pemandu treler menunda lori yang menghimpit kereta mangsa bagi meregangkan himpitan untuk mengeluarkan semua mayat mangsa.

“Kami mengeluarkan mayat pemandu kereta itu terlebih dulu sebelum mengeluarkan mayat remaja perempuan di sebelahnya manakala di tempat duduk belakang, kami menemui satu mayat remaja lelaki dan satu mayat kanak-kanak lelaki serta dua mayat kanak-kanak perempuan.

“Semua mereka cedera parah di kepala selain patah tangan dan kaki, malah operasi mengeluarkan mayat juga selesai lewat hingga mengambil masa kira-kira tiga jam kerana keadaan kemalangan yang sukar selain kawasan agak gelap,” katanya.

Rahmat berkata, dia turut sayu melihat keadaan mayat enam sekeluarga itu yang meninggal dunia serentak dalam keadaan begitu ngeri.

“Menambah sebak apabila saya terpaksa menjawab panggilan telefon milik mangsa daripada keluarga dan rakan yang mahu mengetahui keadaan mangsa.

“Namun, saya hanya mampu menjawab mereka kritikal dan dihantar ke Hospital Pekan sedangkan pada hakikatnya mereka sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Nor Faizah dari arah Muadzam Shah menuju Pekan gagal memasuki lorongnya semula ketika cuba memotong sebuah lori.

Empat pergi 'ikut' mama

PEKAN: “Kebiasaannya, arwah (Nor Faizah) yang juga Ketua Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kawasan Pulau Serai, Pekan menghadiri mesyuarat pusat mingguan seorang diri.
“Entah kenapa kali ini keempat-empat anaknya tiba-tiba mahu mengikut ibu mereka, mungkin kerana mahu berjalan-jalan sempena cuti sekolah,” kata Mansur Hamid, 55, bapa Nor Faizah.
Menurutnya, arwah yang juga anak sulung daripada 10 beradik sebelum ini menetap di Kampung Pulau Keladi di sini, namun berpindah ke rumahnya di Felda Keratong Dua, Muadzam Shah, sejak lima bulan lalu selepas memperoleh tender mengusahakan kantin di sebuah kilang memproses kelapa sawit di tanah rancangan berkenaan.

Katanya, anaknya yang juga peserta AIM akan menghadiri mesyuarat pusat dana pinjaman itu di Tanah Putih di sini pada setiap Selasa bagi mengutip bayaran balik modal sahabat yang bernaung di bawahnya.

“Pada sebelah pagi, dia sempat ke Segamat, Johor bagi membaiki keretanya yang baru dibeli seminggu lalu akibat mengalami kerosakan pada gear sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 3 petang.

“Dia kemudian keluar semula ke kantin tempat kerjanya sebelum pulang dan bersiap-siap ke Pekan.

“Arwah bertolak ke Pekan kira-kira jam 6.30 petang dan sebelum bertolak, dia sempat memberi saya wang RM10 konon sebagai upah kerana menghantar bekalan air bersih ke kantinnya.

“Walaupun hairan dengan pemberian wang itu, saya tidak memikirkan sebarang kejadian buruk akan berlaku,” katanya.

Mansur berkata, anak kesembilannya, Mohamad Saiful Anwar, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keratong juga mahu mengikut kakaknya ke Pekan kerana bosan duduk di rumah ketika musim cuti sekolah.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 11 malam, saya menerima panggilan memaklumkan kereta dinaiki Nor Faizah terbabit kemalangan di Runchang sebelum saya dan isteri bergegas ke tempat kejadian.

“Sepanjang perjalanan, kami berdoa mengharapkan keadaan mereka tidak serius. Namun, apabila setiba di tempat kejadian, saya diberitahu mereka semua sudah meninggal dunia,” katanya.

Isteri Mansur, Arfah Sulung, 54, berkata, dia hanya menyedari perubahan sikap Mohamad Saiful Anwar apabila anak lelakinya itu tiba-tiba bersalam dengannya sebelum bertolak.

“Sebelum ini dia tidak pernah bersalam dengan kami jika mahu ke mana-mana.

Rakan rapat Nor Faizah selama lima tahun, Nurul Asyikin Mohd Salleh, 35, yang juga sahabat AIM berkata, dia sempat bercakap dengan arwah melalui telefon sebelum kejadian.
“Kami hanya bercakap sekejap kerana ketika itu dia sedang membaiki kereta di Segamat. Saya tanya bila dia akan datang ke Pekan untuk mesyuarat pusat dan dijawab esok.

“Namun, saya terkejut apabila menerima panggilan seorang rakan malam tadi (kelmarin) memaklumkan Nor Faizah sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, arwah rakan yang paling baik kerana sering membantu dari segi kewangan dan nasihat terutama ketika dia mahu memulakan perniagaan kuih serta penternakan kambing dan itik.

“Dia tidak pernah berkira soal wang, malah dia juga membantu perniagaan saya dengan memasarkan telur itik di kawasan Muadzam Shah.

“Disebabkan keakraban kami juga, arwah pernah berpesan kepada saya supaya mengambil keempat-empat anaknya untuk dipelihara jika berlaku perkara buruk terhadapnya, tetapi saya tidak menyangka yang arwah pergi membawa semua anaknya,” katanya.

'Ibu ayam' muda seludup gadis

KUALA LUMPUR: Detik hitam pernah dilacurkan selain dipaksa menjadi abdi seks, langsung tidak menginsafkan segelintir ‘ibu ayam’ muda yang sebaliknya rancak menyeludup ramai gadis warga asing untuk dijadikan pelacur di negara ini.
Kebanyakan ibu ayam muda berusia 20-an terbabit berasal dari Filipina dikesan memperdaya gadis belasan tahun dari selatan negara berkenaan dengan diumpan pekerjaan sebagai pembantu restoran atau hotel bergaji lumayan.

Aktiviti yang dianggap jenayah memperdagangkan manusia itu terbukti apabila dua ibu ayam, masing-masing berusia 25 tahun ditahan polis selepas didapati memperdaya empat gadis warga asing untuk dijadikan pelacur.

Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang ibu ayam muda diberkas di sebuah rumah sewa di Lahad Datu, Sabah, selepas seorang pelacur yang diperdaya membuat pengakuan kepada polis berhubung dalang di sebalik kegiatan maksiat dilakukan.

Sumber polis Bukit Aman berkata, susulan itu polis menjalankan risikan sebelum menjejaki ibu ayam warga asing terbabit yang hidup mewah hasil kegiatan menjual maruah gadis senegara di Malaysia.

Operasi disertai Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintanden Shamsudin Mat Zin dilakukan selepas orang awam memberikan maklumat berhubung seorang gadis warga Filipina yang dilacurkan di sebuah hotel di bandar berkenaan.
“Gadis berusia 19 tahun itu diperdaya bersama tiga rakan dengan dijanjikan pekerjaan di hotel di Sabah. Mangsa yang tertarik kata-kata manis dijanjikan bayaran RM2,000 sebulan bersetuju mengikut ibu ayam terbabit sebelum dijadikan pelacur di bandar berkenaan.

“Bagaimanapun, dia tidak berani untuk melarikan diri selepas diugut selain sering ditakut-takutkan ibu ayam yang mendakwa mereka akan ditangkap pihak berkuasa dan polis kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah memasuki negara ini,” katanya.
Namun, katanya, seorang mangsa yang berasal dari Zamboanga City, Filipina, sanggup membuka mulut selepas seorang pelanggannya menawarkan bantuan bagi membebaskan mangsa dari cengkaman sindiket terbabit.

“Hasil soal siasat, polis mengesan rumah ibu ayam terbabit yang terletak tidak jauh dari hotel berkenaan. Dalam operasi jam 8.40 malam itu, polis menyerbu rumah suspek sebelum menahannya bersama seorang lelaki dipercayai ahli sindiket.

“Siasatan mendapati ibu ayam berusia 25 tahun terbabit mempunyai pasport sah memasuki negara ini dan dikesan ‘menjual’ setiap mangsa yang dilacurkan dengan harga RM180 sekali perkhidmatan,” katanya.

Sehubungan itu wanita terbabit ditahan polis mengikut Seksyen 13 Akta Memperdagangkan Manusia 2007 untuk tindakan lanjut.

Kerabat jadi dalang

GOMBAK: Seorang lelaki dipercayai kerabat istana antara enam suspek dicekup polis selepas dikesan menjadi dalang sindiket kegiatan mencuri dan menyeludup kenderaan mewah terbesar ke negara jiran.
DITEMUI...antara kenderaan mewah yang dicuri disimpan sementara di IPD Gombak untuk siasatan lanjut.
DITEMUI...antara kenderaan mewah yang dicuri disimpan sementara di IPD Gombak untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, sindiket curi kenderaan mewah aktif sejak tahun lalu itu dipercayai melarikan ratusan kereta mewah bernilai lebih RM10 juta, terutama di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan.Kegiatan sindiket itu tumpas apabila enam suspek yang mempunyai dengan kaitan kegiatan sindiket men curi kenderaan mewah terbabit ditahan polis, sepanjang dua minggu lalu.

Sumber polis berkata, sindiket dianggap terbesar itu ditumpaskan selepas ahlinya berusia 34 tahun diberkas ketika cuba menghantar kenderaan curi terbabit ke utara tanah air, 24 Mei lalu.

“Berdasarkan siasatan, dia mendakwa ditugaskan menghantar kereta curi yang siap diubah suai ke Terengganu, kemudian diseludup ke negara jiran. Ketika ditahan, suspek memandu BMW.

“Suspek memberitahu dia menerima RM500 bagi setiap kereta diseludup. Setakat ini, suspek memberitahu pernah membawa 22 kereta dicuri dari Lembah Klang, Selangor dan Seremban,” katanya.
Menurutnya, susulan penahanan itu, polis Selangor menjalankan operasi memburu ahli sindiket berkenaan sebelum memberkas lima suspek dalam beberapa tangkapan berasingan.
“Suspek kedua berusia 22 tahun yang ditahan mendakwa diberikan peranan ‘budak’ penghantar kereta curi dengan upah sehingga RM500 bagi setiap kereta.

“Selain dua suspek terbabit, polis turut menahan kerabat istana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket mencuri dan menyeludup kereta mewah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, polis menahan dua lelaki warga Timur Tengah dikesan membeli kenderaan curi terbabit daripada sindiket berkenaan.
“Sehingga ini, polis menemui semula kenderaan dicuri antaranya BMW, Toyota Harier, Toyota Estima dan pelbagai model kenderaan lain dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

“Berdasarkan siasatan, sindiket mencuri kenderaan mewah itu dianggap profesional berikutan mempunyai bengkel khas yang digunakan untuk mengubah suai kenderaan terbabit terutama membabitkan nombor casis dan enjin kenderaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis mendapati, suspek terlebih dahulu menukar nombor casis setiap kenderaan dicuri termasuk plet kenderaan selain cukai jalan palsu.

“Malah, polis percaya mereka turut mampu menghasilkan dokumen palsu bagi membolehkan kenderaan itu dijual seolah-olah kenderaan terpakai.
“Bagaimanapun, pihak sindiket lebih tertarik menjual kenderaan mewah yang dicuri di negara jiran.
“Susulan kejayaan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis negara jiran bagi mengesan kenderaan curi yang pernah dibawa masuk ke negara terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan kes curi kenderaan berkenaan dan memberitahu pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan saki- baki ahli sindiket berkenaan.

Raja seluar dalam dicekup

KUALA TERENGGANU: Serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Marang ke sebuah rumah di Kampung Rawai, Alor Limbat, Marang, untuk memberkas pengedar dadah membawa penemuan mengejutkan apabila bukan dadah yang ditemui, sebaliknya kira-kira 400 seluar dan baju dalam wanita terpakai.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin itu, polis yang menyerbu rumah itu untuk urusan pertuduhan kes dadah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bertugas sebagai pembantu kesihatan awam.

Difahamkan, suspek yang pernah bertugas di Dungun dan Marang sebelum ini didapati dua kali positif ujian dadah jenis methamphetamine, malah ketika serbuan dan pemeriksaan di rumahnya, lelaki itu didapati memakai seluar dalam wanita.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, lelaki itu mengaku mencuri semua pakaian dalam berkenaan daripada ampaian rumah penduduk sekitar Marang dan Dungun.

Menurutnya, ‘raja seluar dalam’ itu penagih pil kuda dan gemar memakai pakaian dalam wanita sejak di bangku sekolah menengah, malah dikatakan mempunyai minat pelik dengan mengumpul pelbagai jenis pakaian dalam wanita.

“Dia pernah bertugas di Dungun dan Marang mengaku mengumpul semua 400 pakaian terpakai itu sejak tahun lalu ketika berkhidmat di kedua-dua daerah berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai khususnya wanita yang tinggal sekitar dua daerah berkenaan yang mungkin kehilangan pakaian dalam supaya segera membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan.

“Kami sedang bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah di kedua-dua daerah berkenaan untuk mengesan kemungkinan terdapat mangsa yang membuat laporan berhubung kehilangan pakaian berkenaan,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi sama kira-kira jam 5.30 pagi semalam, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 23 tahun di sebuah rumah di Alor Limbat, Marang.

Penahanan dibuat selepas polis menemui 60 pil kuda bernilai RM2,400 daripada kumpulan berkenaan dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Meluru sambil meraung

PEKAN: “Berapa mak? Hah! Semua?” kata Saudi Sulaiman, 40, penuh kesedihan sejurus dimaklumkan ibu mentuanya isteri bersama semua empat anaknya serta seorang adik iparnya terbunuh dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori di Kilometer 78, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam kelmarin.
PILU...Saudi (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak selepas menatap wajah arwah isterinya  sebelum dikebumikan, semalam.
PILU...Saudi (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak selepas menatap wajah arwah isterinya sebelum dikebumikan, semalam
Situasi menyayat hati itu disaksikan sebaik saja Saudi tiba di Rumah Mayat Hospital Pekan (HP) dan meluru menemui ibu mentuanya, Arfah Sulung, 54.

Isteri Saudi yang terkorban dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu ialah Nor Faizah Mansur, 31, yang juga pengusaha kantin, manakala empat anaknya ialah Nur Sahera Atikah Saudi, 13, Nor Safiana Atikah, 10, Nor Suhaila Asirah, 7, dan Md Sahrul Amir, 3. Adik lelaki Nor Faiza yang terkorban ialah Mohamad Saiful Anwar, 14.

Sebaik saja dimaklumkan mengenai lima kematian itu, Saudi bergegas ke bilik mayat dan mengecam semua jenazah mangsa sebelum meraung sekuat hati memanggil nama isteri dan anak-anaknya yang terbujur kaku.

Terdahulu, Saudi tiba di bilik mayat itu kira-kira jam 3 pagi kerana ketika kejadian, dia berada di tempat kerja di dalam hutan di Bukit Ibam, Muadzam Shah, sejak seminggu lalu.

Raungan pilu Saudi menyebabkan suasana duka menyelubungi perkarangan bilik mayat berkenaan yang dipenuhi anggota keluarga lain serta kenalan yang menunggu jenazah seawal jam 12 tengah malam.
Semua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas Proton Iswara dipandu Nor Faizah dari Muadzam Shah menuju Pekan bertembung lori terbabit.

Keadaan semakin pilu apabila Saudi meraung menyebut ‘adik’ iaitu panggilan untuk anak bongsunya kerana jeritan itu lebih panjang dan hiba berikutan kanak-kanak itu paling rapat dan manja dengannya.

Menurut Saudi, kali terakhir dia menemui isteri dan anak-anak seminggu lalu di rumah mentuanya di Felda Keratong Dua, Muadzam Shah, sebelum dia masuk ke hutan meneruskan kerjanya membuat jalan.

“Ketika itu, saya baru saja membelikan isteri sebuah kereta terpakai di Segamat, Johor, dengan harga kira-kira RM9,000 untuk kegunaannya berulang-alik ke kantin memandangkan sebelum ini dia sering meminjam kereta bapanya (Mansur Hamid, 55) untuk ke tempat kerja.

“Walaupun tidak menemui keluarga lebih seminggu, saya menghubungi mereka setiap hari bertanyakan khabar terutama anak bongsu kerana dia lebih rapat dengan saya,” katanya.

Saudi berkata, sebelum tragedi itu, dia menghubungi arwah sebelum isterinya memaklumkan mahu bertolak ke Pekan malam kelmarin bagi menghadiri mesyuarat pusat mingguan sahabat peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang diadakan setiap Selasa.

“Arwah isteri memaklumkan akan memandu ke Pekan pada sebelah malam, tetapi saya melarang kerana bimbangkan keselamatannya dan anak-anak berikutan laluan gelap selain risau jika dia hilang tumpuan memandu akibat terkena silauan lampu kenderaan lain.

“Saya memintanya memandu pada keesokan pagi, namun arwah tetap mahu meneruskan perjalanan malam tadi (kelmarin),” katanya.

Saudi berkata, dia berasa tidak sedap hati sepanjang malam itu dan firasat buruknya menjadi kenyataan selepas menerima panggilan keluarga isteri memaklumkan berita buruk itu.

“Adik ipar menghubungi saya dan hanya memberitahu kakak sulungnya kemalangan serta meminta saya segera ke HP tanpa memberitahu isteri dan semua anak saya sudah meninggal dunia.

“Hancur luluh hati saya selepas melihat jenazah mereka. Saya terkilan kerana baru bercadang untuk bercuti minggu depan dan membawa mereka ke Melaka,” katanya.

Talak satu

PETALING JAYA: Akhirnya kemelut yang melanda rumah tangga vokalis kumpulan OAG, Radhi Razali dengan Shazlin Sharif berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, mengesahkan lafaz cerai yang dibuat penyanyi itu
BERMAAFAN...Radhi bersalaman dengan Shazlin selepas disahkan bercerai talak satu.
BERMAAFAN...Radhi bersalaman dengan Shazlin selepas disahkan bercerai talak satu.
Tepat pada jam 3.05 petang, Radhi, 33, dan Shazlin, 32, yang juga bekas penyanyi kumpulan GIM itu disahkan bercerai talak satu oleh Hakim Syarie Tuan Fazil Che Hasan.

Terdahulu, Shazlin yang diwakili peguam syarie Rubiah Jaffar memaklumkan kepada mahkamah pada 16 Oktober 2009, kedua-dua pihak membuat perjanjian dan menandatangani persetujuan berhubung nafkah edah, mutaah dan nafkah anak.

Radhi diwakili peguam syarie, Musa Awang mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa anak guamnya bersetuju untuk melafazkan cerai secara baik melalui kebenaran mahkamah.

Menjawab pertanyaan hakim, Rubiah memaklumkan anak guamnya sudah tidak menetap bersama dengan Radhi sejak 2008.

Hakim kemudian membenarkan permohonan itu dan mengarahkan sijil nikah pasangan itu dibatalkan dan perceraian perlu direkodkan di Jabatan Agama Islam Daerah Petaling.
Mahkamah juga merekodkan persetujuan bersama mereka iaitu Radhi bersetuju memberi nafkah edah sebanyak RM3,000, tiada tuntutan mutaah dikemukakan dan nafkah anak mereka Muhammad Rifdhi Muslim, 5, sebanyak RM460 sebulan.

Radhi juga bersetuju membayar insurans pendidikan RM200 sebulan dan bayaran itu dibuat sebelum atau pada 1 hari bulan setiap bulan.
Shazlin juga memohon Radhi nafkah perayaan dan hari lahir anak mereka RM1,000 setahun dan dibayar dua minggu sebelum perayaan atau majlis itu.

Radhi ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan kesyukuran kerana kes itu berakhir dengan baik selain turut menyanyi lagu dari album terbarunya.

Sementara itu, Shazlin juga ketika ditemui berkata lega kerana ia berakhir dan apabila ditanya bagaimana perasaannya, dia hanya mengatakan biarlah dia simpan dalam hatinya.

Mesir halang ahli Parlimen hantar bantuan

KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir menghalang konvoi bantuan kemanusiaan yang dianjur ahli Parlimennya masuk ke Semenanjung Gaza melalui pintu pemeriksaan Rafah, semalam.
“Kami terdiri daripada sembilan ahli Parlimen Ikhwanul Muslimin dan juga bebas. “Kami memandu kereta yang membawa simen dan keluli untuk membantu penduduk Gaza membina semula bangunan kediaman yang musnah tapi pihak berkuasa enggan membenarkan kami ke Gaza.
“Pemandu kereta dipaksa memberhentikan kereta kira-kira 30 kilometer daripada pintu pemeriksaan Rafah dan diminta berpatah balik ke Kaherah,” kata ahli Parlimen, Farid Ismail yang bertekad akan menamatkan sekatan itu.

Selasa lalu, Presiden Hosni Mubarak mengarahkan supaya pintu sempadan Rafah dibuka setiap hari selepas Israel menyerang dan membunuh aktivis di kapal Turki.

Namun, hanya barangan tertentu dan mereka yang perlukan bantuan perubatan dan belajar di luar negeri dibenar melepasi pintu itu. - AFP

Doktor ubat batuk




SHAH ALAM – Walaupun pakar dalam bidang perubatan, namun seorang doktor swasta menyalahgunakan kepakaran itu untuk memproses sebelum menjual kodein atau ubat batuk terlarang kepada ‘pesakit’nya.

Doktor yang memiliki sebuah klinik di Klang itu, dikatakan bijak menyembunyikan kegiatannya dengan menjadikan rumahnya sebagai makmal untuk memproses barangan larangan tersebut.

Malah, suspek seperti tidak serik kerana sebelum ini dia dituduh atas kesalahan menjual ubat-ubatan kepada individu yang tidak berkenaan pada tahun 2005 dan kesnya masih dibicarakan di mahkamah.

Lebih mengejutkan, dia yang berumur 49 tahun dan pernah menjadi doktor di hospital kerajaan, ‘merekrut’ seorang lelaki berumur 38 tahun sebagai anak didiknya.

Anak didiknya diberi tunjuk ajar yang lengkap bagi membantunya memproses ubat batuk itu sebelum diedarkan kepada penagih.

Bagaimanapun, kegiatan doktor yang melanggar etika kedoktoran itu terbongkar selepas polis menyerbu rumah anak didiknya di Taman Sungai Kapar Indah, Klang, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, anak didiknya yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu ditahan kira-kira jam 12.30 pagi.

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis menemui 23 botol bersaiz 4 liter dan 144 botol bersaiz 120 mililiter yang mengandungi cecair disyaki kodein.

Nordin berkata, polis kemudiannya menyerbu rumah doktor terbabit di taman sama, selepas anak didiknya memberitahu barangan itu diperolehi daripada pakar perubatan tersebut.

“Di situ, kita (polis) menemui 8,000 pil Pseudorine, 6,000 pil Nospon, 900 pil Domicum, 500 pil Suncodeine, 280 pil Stilnox, dan beberapa pil lain serta 24 botol bersaiz 4 liter yang mengandungi cecair hitam sebanyak 24 liter,” katanya.

“Campuran ubat-ubatan yang ditemui dapat menghasilkan ubat batuk yang lebih mengkhayalkan kepada penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, kita percaya doktor itu melakukan kegiatan itu sejak enam bulan lalu dan siasatan juga menjurus kemungkinan klinik kepunyaannya itu dijadikan tempat menjual ubat batuk terlarang.

Difahamkan, 4 liter ubat batuk itu dijual pada harga sekitar RM500 hingga RM700.

Menurut Nordin, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Buaya liar ditemui dalam kafeteria sekolah menengah

MIAMI: Seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter ditangkap dalam kafeteria Sekolah Menengah Stewart di Hillsborough, Florida, semalam.
Pegawai Hidupan Liar Florida, Gary Morse, berkata reptilia itu mungkin masuk ke situ sebelum pagar sekolah ditutup Jumaat lalu.
Katanya, buaya berkenaan akan dilepaskan semula di kawasan paya berhampiran tidak lama lagi. - AFP

Kes ragut menurun, mangsa trauma




SURA GATE –“Ia berlaku terlalu pantas, saya nyaris tercedera ketika bergelut penjenayah terbabit, dia bersenjata, mengacukan pisau ke arah saya, nasib baik tidak melawan, jika tidak pasti dicederakannya dan tidak mustahil nyawa saya boleh melayang,” kata seorang mangsa ragut hanya ingin dikenali dengan Su. 

Menurut wanita berusia 20-an itu yang pernah berhadapan dengan penjenayah dalam satu kejadian jenayah ragut di pekan Paka berkata, walaupun kejadian itu sudah lama berlalu, namun dia masih trauma dengan peristiwa terbabit. 

Katanya yang turut mengalami kerugian lebih RM1,000 setelah rantai dab beg tangannya disentap penjenayah, sejak kejadian itu, dia lebih berhati-hati ketika membawa beg tangan serta tidak memakai barang kemas setiap kali keluar ke pekan. 

“Kejadian itu benar-benar memberi pengajaran buat saya, ia amat mengerikan, kini saya takut untuk mempamerkan barang kemas pada tubuh badan, bimbang sekiranya ia boleh menarik perhatian penjenayah,” kata ibu kepada tiga anak itu. 

Sementara itu, statistik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun mencatatkan kes ragut menurun 100 peratus daripada April berbanding Mei 2010. 

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, pada April 2010, sebanyak tiga kes dilaporkan manakala tiada laporan diterima berkaitan kes ragut pada Mei 2010. 

“Penurunan kadar jenayah melibatkan kes ragut ini mungkin berpunca daripada langkah keselamatan dan sikap orang ramai yang lebih berhati-hati ketika berada di tempat awam, pengawasan pihak berkuasa serta penahanan suspek utama yang terbabit dengan kes sedemikian. 

“Bagaimanapun usaha pencegahan harus diteruskan dari masa ke semasa agar orang ramai prihatin dengan keselamatan diri serta harta benda mereka,” kata Dahlan.

Kereta terbabas jalan berminyak



TEMERLOH – Seorang eksekutif kilang kertas maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas kenderaan dipandu terbabas sebaik melalui permukaan jalan berminyak di Kilometer 125, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat simpang Kampung Tanjung Batu, di sini jam 7.25 pagi semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa Norul Hasmiza Ab Aziz, 29, yang memandu Proton Satria melalui selekoh yang dipenuhi minyak kelapa sawit akibat tumpah dari sebuah lori yang melalui jalan sama pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, mangsa dari arah Kampung Awah menuju ke tempat kerja di Mentakab melalui selekoh berminyak dan gagal mengawal kereta sebelum terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, pada masa sama sebuah lori membawa ubat nyamuk dari arah Temerloh ke Kampung Awah tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya semalam.

Ahmad Fadzillah berkata, pemandu lori dikenali Mohd Izwan Mansor 31, dari Felda Kampung Awah tidak mengalami sebarang kecederaan .

Permukaan jalan yang berminyak turut menyebabkan tiga kereta lain dan sebuah motosikal kesemuanya dalam perjalanan ke tempat kerja terbabas serta berlanggar sesama sendiri.

Seorang anggota tentera yang memandu Proton Wira, Abdul Rahman Ahad 30, berkata dia merasakan permukaan jalan berminyak bermula dari simpang Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, dia mem-perlahankan kereta namun sebaik menghampiri selekoh terbabit kereta dipandu gagal dikawal lalu merempuh papan tanda sebelum terjunam ke dalam longkang di kiri jalan.

“Saya melalui kawasan ini kira-kira jam 6.30 pagi, beberapa minit kemudian saya lihat kereta Proton Satria dipandu mangsa terbabas ke kanan lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan dari jarak 30 meter dari kedudukan saya.

“Tidak lama kemudian dua lagi kereta terbabas lalu bergesel sesama sendiri namun tidak menyebabkan kecederaan pemandu dan penumpang.

“Nasib baik keadaan pada sebelah pagi sesak kalau tidak lagi ramai yang terlibat kemalangan,” katanya.

Banjir diramal semakin buruk



PENDANG – Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini diramalkan semakin buruk apabila paras air di beberapa sungai dilihat semakin meningkat menyebabkan mangsa pemindahan semakin banyak.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan yang dilanda banjir mendapati paras air semakin bahaya apabila rumah penempatan penduduk yang dilanda banjir ditenggelami air manakala paras air sungai Pendang sudah mencapai 3.2 meter.

Selain itu, tinjauan Sinar Harian di pusat pemindahan banjir sementara yang dibuka iaitu di Pejabat Penghulu Mukim Guar Kepayang dilihat mangsa banjir semakin bertambah.

Penghulu Mukim Guar Kepayang, Mohd Isa Mohd Ariff berkata, mangsa pemindahan sebanyak 35 orang melibatkan lapan keluarga berbanding kelmarin hanya 20 orang yang terdiri daripada empat keluarga.

Menurutnya, mangsa pemindahan diramal semakin bertambah setelah melihat peningkatan paras air sungai sehingga melebihi paras bahaya menyebabkan mangsa tidak berani untuk terus menetap di rumah masing-masing.

“Mangsa pemindahan terdiri daripada Kampung Pondok Haji Hussin sebanyak dua keluarga, dua keluarga dari Banggol Besi, satu keluarga dari Kampung Sukamari, Pondok Hampar sebanyak dua keluarga dan sebanyak satu keluarga dari Kampung Banggol Kambing.

“Kawasan yang dilanda banjir terdiri daripada tiga mukim iaitu Mukim Guar Kepayang, Padang Pusing dan Air Puteh,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Isa berkata, keadaan air tidak surut apabila keadaan air berkumpul dari Kampung Hampar sehingga Pekan Tanah Merah.

“Saya jangkakan banyak penduduk lagi akan berpindah dan berharap agar mereka bertindak segera jika diarahkan mana-mana pihak demi menjamin keselamatan mereka.

“Mangsa banjir akan ditempatkan semula di Kompleks Sukan Rakan Muda Tanah Merah,” katanya.

2 anak yatim terima padah



KOTA BHARU – Dua sahabat anak yatim dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mengaku bersalah memiliki 65.98 gram dadah jenis Methamphetamine (pil kuda). 

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Azuwan Mohd Zain, 24 dan Mohd Redzuan Che Yasin, 27 selepas kedua mereka membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dihadapi. 

Mohd Azuwan dan Mohd Redzuan didakwa memiliki 3,940 biji pil dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 65.98 gram ketika ditahan di Kampung Belakang Balai Polis Kok Lanas dekat sini kira-kira jam 6.55 petang, 13 Mac 2007. 

Berdasarkan fakta kes, mereka didakwa memiliki satu bungkusan kertas berwarna merah muda yang di dalamnya mengandungi 10 paket plastik biru yang berisi 1940 biji pil berwarna kemerahan dan 20 biji pil berwarna hijau serta satu bungkusan kertas berwarna perang muda yang mengandungi 10 paket plastik biru juga berisi 1940 biji pil berwarna kemerahan dan 20 biji pil berwarna hijau. 

Atas kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang dari lima tahun atau dihukum dengan sebat tidak kurang dari 10 sebatan. 

Terdahulu, Mohd Azwan yang diwakili peguam Zamri Mat Nawang memohon kepada mahkamah mengenakan hukuman yang paling minimum terhadap anak guamnya. 

“Tertuduh berusia 24 tahun dan pada masa kejadian berusia 20 tahun 10 bulan. Usia pesalah ketika ditangkap terlalu muda. 

“Merupakan anak ke tujuh dari lapan beradik dan bapanya telah meninggal dunia ketika tertuduh berusia 12 tahun serta ibunya meninggal dunia dua bulan lalu,” katanya. 

Menurutnya, sebelum ditangkap tertuduh membantu ibunya berniaga kedai runcit. 

“Dalam kes ini, tertuduh mengaku salah dan pengakuan salah ini dibuat kerana sedar dan insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut lagi. 

“Pengakuan salah yang dibuat itu menjimatkan kos dan masa mahkamah. Faktor pengakuan salah itu harap dapat pertimbangan mahkamah untuk mengurangkan atau memberi diskaun hukuman ke atas tertuduh, “katanya. 

Zamri berkata, kes tersebut merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak pernah ditangkap atau disabitkan dengan kesalahan jenayah lain.

Sepuluh tentera asing terbunuh di Afghanistan






KABUL - Sepuluh tentera asing, termasuk 7 tentera Amerika Syarikat (AS), terbunuh dalam beberapa serangan puak Taliban di Afghanistan, kelmarin. 

Siri serangan ganas ini dipercayai dilakukan sebagai tindakan terdesak puak Taliban menjelang operasi tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dijadualkan menyerang kubu kuat kumpulan pemberontak itu di Kandahar. 

Lima tentera NATO, kesemuanya tentera AS, terbunuh dalam satu letupan di timur Afghanistan. 

Dua lagi tentera AS terbunuh dalam dua serangan berasingan di bahagian selatan, manakala seorang tentera Perancis mati akibat serangan roket di wilayah Kapisa. 

Dalam insiden letupan bom di Uruzgan, dua tentera Australia dilaporkan terkorban. 

Australia bukan anggota NATO tetapi menghantar 1,500 tentera ke Afghanistan untuk menganggotai unit Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa.


Lelaki Perancis langgan pelacur kanak-kanak dihukum penjara



09/06/2010 3:21pm

PHNOM PENH 9 Jun - Seorang pelancong Perancis dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan kerana mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Kemboja berusia 15 tahun.
Mahkamah Munisipal Phnom Penh menjatuhkan hukuman itu terhadap Olivier Madrieres, 48, kerana mencari pelanggan daripada kalangan pelacur kanak-kanak tetapi hukuman itu dikurangkan dari dua tahun ke tujuh bulan.
Dia juga diarahkan untuk membayar 3 juta riel (RM2,500) sebagai pampasan kepada keluarga mangsa.
Kemboja menjadi tarikan kepada pedofilia asing kerana kemiskinan dan amalan rasuah di kalangan penguatkuasa undang-undang. - AP

Warsaw dilanda banjir, 155 orang dipindahkan



09/06/2010 11:17am

WARSAW 9 Jun - Banjir gelombang baru yang melanda bandar raya Warsaw semalam telah memaksa kebanyakan sekolah dan jalan-jalan utama ditutup ekoran arus sungai Vistula melimpah membanjiri di utara.
Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Donald Tusk telah mengumumkan program membantu mangsa banjir dengan menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada pemilik syarikat yang terjejas teruk dan berjanji untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih kerosakan akibat banjir ke seluruh negara.
Menteri dalam negeri Poland berkata, bencana banjir itu telah menenggelamkan kawasan seluas 700 hektar dan 155 orang terpaksa telah dipindahkan ke kawasan selamat. - AP

Bapa mengaku tidak bersalah dera bayi lelakinya



09/06/2010 3:36pm

KUALA LUMPUR 9 Jun — Seorang penyambut tetamu kelab malam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki tunggalnya yang berumur tiga bulan pada Mac lepas.
Noriza Mhd. Nor,32, didakwa menyebabkan bayinya Mohd Hazman Haziq mengalami kecederaan fizikal di rumahnya di No 315, Jalan Sultan Sulaiman, Dang Wangi antara 23 Mac hingga 27 Mac lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.
Bayi lelaki itu yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 Mei oleh pengasuhnya kerana mengalami masalah untuk bernafas, meninggal dunia pada keesokkannya.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan 7 Julai untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan tertuduh melantik peguam, dan mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Noriza dihantar ke Penjara Kajang sementara menanti jaminannya dijelaskan. - Bernama

1,500 pasang kasut tiruan dirampas di tapak karnival



09/06/2010 12:24pm

KUALA TERENGGANU 9 Jun - Sebanyak 1,542 pasang kasut dan sandal berjenama dan 236 helai kemeja-T dianggar bernilai RM26,282 dirampas dalam serbuan di tujuh gerai di tapak Karnival Euro, Fun Park di Dataran Syahbandar malam tadi.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK) Terengganu, Abdul Ghani Harun berkata, “Ops Gerak Gempur Cetak Rompak dan Barangan Tiruan" itu dijalankan hasil intipan yang dijalankan sejak tiga hari lepas.
"Pada mulanya kita dapati bilangan kasut tiruan yang dijual tidak berapa banyak, mungkin kerana peniaga hendak menguji pihak berkuasa, namun setelah beberapa hari didapati jumlahnya semakin bertambah sehinggalah kita melakukan operasi ini.
"Siasatan awal kita mendapati kesemua peniaga yang terlibat datang dari negeri pantai Barat dan melambakkan barangan tiruan di negeri ini dengan tujuan mencari pasaran baru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, 25 anggota dan pegawai KPDNKK terlibat dalam operasi yang bermula 9 malam tadi dan berakhir dua jam kemudian.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun. - Bernama

Nenek Syafiah tahu kedudukan cucu selepas kematiannya



09/06/2010 12:24pm

SHAH ALAM 8 Jun - Nenek Syafiah Humaira, Azizah Nordin memberitahu, dia hanya mengetahui cucu ketiganya itu adalah anak hasil hubungan Siti Nurhanim, ibu kepada Syafiah Humaira dengan pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil selepas kematian kanak-kanak malang itu.
Dia kemudian enggan melihat gambar arwah untuk dicamkan ketika diminta berbuat demikian oleh pihak pendakwa raya.
Terdahulu dia memberitahu, dia ada melarang cucunya itu daripada pergi ke rumah tertuduh selepas terjumpa kesan calar dan bekas cucuh puntung rokok di badannya. - Utusan

Tiga beranak rentung dalam kebakaran

09/06/2010 1:30pm

KOTA BELUD 9 Jun – Seorang ibu tunggal dan dua anak perempuannya rentung selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lasau Minunsud di sini awal pagi ini.
Kebakaran berlaku pukul 4.10 pagi, ketika mangsa yang berusia 46 tahun dan dua orang anaknya yang berusia 4 dan 15 tahun sedang tidur di bilik berasingan. – Utusan

Dua lagi mayat pejuang Palestin ditembak Israel ditemui

09/06/2010 11:16am

GAZA 9 Jun - Dua lagi mayat pejuang Palestin yang ditembak oleh tentera laut Israel dalam sebuah bot di perairan Genting Gaza kelmarin di temui semalam, menjadikan jumlah mangsa pembunuhan kejam tentera rejim zionis Israel dalam serangan itu meningkat kepada enam orang.
Ketua perkhidmatan kecemasan di Genting Gaza semalam berkata, mayat kedua-dua mangsa itu didapati terdampar di pantai. Empat mayat lagi telah ditemui kelmarin.
Menurut jurucakap kumpulan Briged Syahid Al-Aqsa yang merupakan sayap pejuang bersenjata parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, kesemua mangsa sedang dalam misi latihan. - Agensi