Search This Blog

Sunday, June 6, 2010

Polis Labuan tahan enam termasuk warga Filipina terbabit perjudian Internet

LABUAN: Polis Labuan menahan enam orang termasuk warga Filipina dan melumpuhkan satu sindiket perjudian menerusi internet selepas menyerbu tiga premis di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Labuan, Superitnendan Saiman Kasran memberitahu Bernama di sini hari ini, serbuan yang dilakukan di Jalan Tun Mustapha dan berhampiran Pasaraya Milimewa itu dibuat hasil maklumat orang awam.
"Polis terpaksa menggunakan tukul dan kapak untuk memecahkan pintu pagar memandangkan pemilik tiada di premis. Bagaimanapun kita berjaya menahan enam orang termasuk beberapa warga Filipina kerana disyaki terlibat dalam sindiket itu," katanya.

Beliau berkata, 60 buah komputer turut dirampas dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian itu.

Saiman berkata, polis masih memburu pemilik premis sementara mereka yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah selepas selesai siasatan.

"Kita tidak akan membenarkan sebarang aktiviti haram di pulau ini kerana kita mahu menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan yang bebas jenayah," katanya.-Bernama

10 kes baru positif H1N1 dilaporkan dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kes baru positif influenza A (H1N1) dikesan di seluruh negara menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini 14,952 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, tidak ada kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) baru atau kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

"Terdapat sejumlah 55 kluster ILI yang masih aktif di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Dr Mohd Ismail berkata, sebanyak 521 kes dirawat di hospital seluruh negara dan daripada jumlah itu 50 kes atau 9.6 peratus disahkan positif H1N1.


"Lapan pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tujuh daripadanya adalah individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.


Dr Mohd Ismail berkata, memandangkan jangkitan H1N1 masih aktif di kebanyakan negara, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan.


Mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus itu serta langkah-langkah pencegahan boleh layari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300.- Bernama

Dua lelaki dihukum gantung kerana edar ganja

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua lelaki yang didapati bersalah mengedar 11,135 gram ganja empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A Rahim berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Ramli Abd Rahman, 36, dan Sulaiman Ismail, 38, tanpa keraguan yang munasabah.
"Saya tidak dapat mempercayai keterangan (pembelaan) kedua-dua tertuduh.

Mereka tidak dapat menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Saya berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya," katanya ketika membacakan penghakimannya.

Ramli, seorang pekebun sayur, dan Sulaiman, seorang penjawat awam, dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Tokong Cina Kwong Hock Keong, Junjung, Kulim, kira-kira 9 malam, 3 Mei 2006.

Mereka dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Subash Hassan.-Bernama

Warga Vietnam merusuh dalam depot tahanan

HULU TERENGGANU 6 Jun – Lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Vietnam cedera selepas terlibat dalam rusuhan dalam Depot Tahanan Imigresen Ajil, di sini malam tadi.
Rusuhan dipercayai bermula seawal pukul 8 malam, namun dapat dikawal oleh pasukan keselamatan kira-kira pukul 12 tengah malam.
Pergaduhan dikatakan berpunca daripada dua kumpulan pendatang asing namun ia merebak ke seluruh depot tahanan itu, kata Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan. – Utusan

3 beranak maut dirempuh kereta semasa pulang dari kuil 06/06/2010 4:39pm


BANTING 6 Jun – Tiga beranak yang baru selesai menyempurnakan upacara sembahyang di sebuah kuil terbunuh, manakala dua lagi anggota keluarga itu cedera parah apabila dirempuh sebuah kereta di Jalan Banting menghala ke Dengkil di sini malam semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt. Che Hussin Omar berkata, lima sekeluarga itu sedang berdiri kira-kira 100 meter dari kuil apabila sebuah kereta jenis Proton Satria yang dipandu laju tiba-tiba merempuh mereka.
Rempuhan kuat dalam kejadian kira-kira 10 malam itu menyebabkan seorang daripada mangsa K. Krishnaveli, 41, terpelanting sejauh kira-kira 10 meter dan terdampar di atas sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan, katanya ketika dihubungi hari ini.
Bapa Krishnaveli, G. Krishnan, 76, dan cucunya J. Thanuja, 11, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Banting, katanya.
Dua lagi cucu Krishnaveli iaitu J. Suresh, 15, dan G. Nureka, 10, cedera parah.
Suresh yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, manakala Nureka dirawat di Hospital Banting. – Bernama

APMM tahan bot, rampas 7,000 liter diesel seludup

PASIR PUTEH 6 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah Tok Bali menahan sebuah bot tempatan yang sarat dengan muatan diesel seludup kira-kira 70 kilometer dari pantai Tok Bali petang semalam.
Pengarah Operasinya, Komander Zainin Abdul Majid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan tekong bot terbabit berusia 24 tahun dan rakannya berusia 28 tahun kerana dipercayai cuba membawa keluar 7,000 liter bahan api itu yang bernilai RM12,000. – Utusan

Rebut lokasi edar dadah

KUALA LUMPUR: Akibat berebut lokasi pengedaran dadah, seorang lelaki maut dan rakannya parah apabila diserang dan ditikam bertubi-tubi oleh tiga lelaki di Jalan Masjid India, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa pada awalnya dipercayai pergi ke premis yang terletak di tingkat tujuh sebuah bangunan di jalan itu berikutan berang dengan tindakan tiga suspek menjalankan kegiatan pengedaran dadah sekitar Chow Kit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebaik tiba di bilik yang didiami tiga suspek berusia lingkungan 30-an itu, berlaku pertengkaran sebelum suspek menetak dan membelasah mangsa menggunakan pelbagai objek termasuk pisau, kayu dan besi.

Bunuh diri sambil memandu



LAS CRUCES (New Mexico): Seorang wanita membunuh diri ketika memandu di lebuh raya di sini selepas anak perempuannya berusia sembilan tahun enggan memenuhi permintaan untuk menembaknya.

Mini skirt awal pagi

KUALA LUMPUR: “Saya ke majlis peribadi, bukan berhibur di disko. Lagipun, saya ditemani kakak, abang dan beberapa rakan yang rapat dengan saya.
SIAR...gambar Nora seperti yang disiarkan di Internet.
SIAR...gambar Nora seperti yang disiarkan di Internet.
“Saya bukan buat benda tidak elok. Saya singgah makan sebelum pulang ke rumah,” kata pelakon, Nora Danish, 27, mengulas kontroversi terbaru mengenai penyebaran foto dirinya yang memakai skirt pendek dan dilihat bersama beberapa lelaki di sebuah kedai makan didakwa pada jam 3 pagi.

Foto dimuatkan di beberapa laman web gosip dan ruangan forum itu mengundang andaian kononnya Nora baru pulang berhibur di sebuah pusat hiburan berhampiran kedai makan itu.

Ia menggambarkan seolah-olah pergerakan janda muda itu diintip pihak tertentu.

Pelbagai reaksi yang kebanyakannya ‘mengutuk’ Nora turut menghiasi ruangan komen laman web dan forum itu. Selain mempersoalkan apa dilakukan Nora ketika itu, pakaiannya juga menjadi bahan sindiran.

Menurut Nora, dia hanya memakai ‘dress’ yang sering menjadi pilihannya ketika bergambar di akhbar atau majalah.

Dihentak helmet

JITRA: Penyanyi dangdut terkenal, Ifa Raziah cedera di muka akibat ditampar, dipukul dengan topi keledar dan nyaris ditikam oleh adik lelakinya selepas dipercayai bergaduh di rumah keluarganya di Felda Guar Napai, dekat sini, Khamis lalu.
IFA... cedera dimuka.
IFA... cedera dimuka.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu dipercayai berpunca daripada persoalan khairat kematian arwah ibu sebelum mereka bertegang urat dan berlaku pergaduhan.
Insiden berlaku tiga hari selepas ibu artis wanita berkenaan meninggal dunia akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Guar Napai, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan artis wanita berkenaan dan berkata polis masih menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, katanya, kes itu membabitkan masalah keluarga dan tidak menyiasat mengikut mana-mana seksyen.

Sementara itu, artis terbabit ketika dihubungi enggan mengulas insiden berkenaan.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan ibu Ifa meninggal dunia jam 6.30 petang di Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Perlis akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketika itu, Ifa menjalani penggambaran babak terakhir drama komedi ‘Dari Kodiang ke Kuala Lumpur’ terbitan Temenggong Production Sdn Bhd yang dijalankan di kampungnya di Felda Guar Napai.

Artis itu menyatakan, dia lega kerana arwah ibunya sempat tinggal di rumah baru yang dibina di atas tanah pusaka arwah datuknya selama tiga hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, Ifa mengesahkan kejadian berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana membabitkan masalah keluarga.

Bukan sengaja

KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian pada malam itu,” kata pelakon jelita, Rozita Che Wan, mengulas kontroversi yang mencetus perdebatan dalam laman blog hiburan serta ruangan gosip di media cetak.
KONTROVERSI...Rozita bersama artis yang hadir pada Konsert Akhir AF8.
KONTROVERSI...Rozita bersama artis yang hadir pada Konsert Akhir AF8.
Menurutnya, mungkin sebagai individu yang dikenali ramai, dia patut lebih peka dengan keadaan sekeliling.
Justeru, dia berharap tidak perlulah semua pihak memperbesar atau mensensasikan isu terbabit.

“Saya tak nak komen banyak-banyak mengenainya,” katanya dalam kenyataan melalui SMS kepada Metro Ahad ketika diminta mengulas isu skirt pendek yang dipakainya ketika menghadiri Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).

Isu berkenaan mula tercetus apabila gambar Rozita bersama seorang lagi pelakon, Azza Elite, duduk dengan keadaan seksi disebabkan skirt dipakainya agak singkat, tersebar dalam beberapa blog hiburan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi, tambahan pula pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah, itu, menunaikan umrah baru-baru ini.

Ada yang mendakwa pakaiannya dengan skirt pendek paras atas lutut hingga menampakkan paha putihnya itu dan Azza Elite yang juga berskirt singkat amat tidak sesuai kerana konsert berkenaan dihadiri ramai remaja.

Mengenai isu berkenaan yang sengaja disensasikan, terutama di blog hiburan, Rozita berkata, ia hak sesiapa untuk menulis apa yang mereka mahu.

Menurutnya, dia juga bukan sengaja mahu menunjukkan pakaiannya pada malam itu, apatah lagi untuk dirakamkan gambarnya untuk tontonan umum, terutama di Internet. “Ketika jurugambar nak ambil gambar saya malam tu, saya dah tanya, nampak peha tak? Dia jawab close-up saja...tak sangka pula jadi macam ini, apapun saya minta maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian.

“Saya tahu ramai (wartawan) yang cari saya untuk minta komen mengenai isu itu. Saya malas nak cakap apa-apa lagi...lagi pun benda tak elok tidak payah nak diperbesarkan,” katanya.

Rozita yang kerap dikaitkan dengan orang kenamaan mengumumkan dia bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang pemuda yang kini berkhidmat di sektor perbankan di Singapura.

Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, bakal berhenti daripada lakonan kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan dan anak.

Difahamkan, pelakon itu menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah sekali lagi pada Ramadan nanti.

Dua beranak maut nahas

SRI AMAN: Hasrat tiga sekeluarga untuk menikmati cuti sekolah dan Hari Gawai bertukar tragedi apabila dua maut dalam kemalangan di Jalan Sri Aman-Betong, kira-kira 500 meter dari simpang menuju ke Betong, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Jefery Teja, 33, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala. Anaknya, Joyceline Joanna berusia empat tahun pula meninggal dunia di Hospital Betong manakala isterinya, Livia Siban, 27, kritikal.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Jefery dari Kuching ke Sibu dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Sibu menuju ke Sri Aman.

Difahamkan, berdasarkan maklumat awal kejadian itu, Toyota Hilux dipandu Ling Tong Hing, 35, bersama Soon Kiam Ann, 47, dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dinaiki tiga beranak itu.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pacuan empat roda terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

Beyonce disaman atas dakwaan ceroboh

LOS ANGELES: Seorang lelaki yang tinggal berhampiran lokasi rakaman video untuk Beyonce Knowles di Hollywood Hills semalam menyaman penyanyi itu atas dakwaan mengganggu dan menceroboh.
Philip Markowitz mengemukakan tindakan undang-undng itu di mahkamah di Los Angeles dengan berkata, kehidupannya terganggu oleh bunyi bising dan kesesakan sepanjang rakaman itu pada 26 Mac lalu.
Dia menuntut bayaran ganti rugi berjumlah AS$25,000 (RM82,000) daripada Beyonce dan Dina Ciccotello yang menyelaraskan penerbitan rakaman video itu untuk lagu terbaru penynyi berkenaan, ‘Why Don’t You Love Me. - Agensi

Rompak guna najis

TORONTO: Sekumpulan perompak menyembur najis manusia pada orang ramai di mesin pengeluar wang automatik untuk mengalihkan perhatian mereka sebelum merompak mangsa.
Jurucakap polis, Tony Vella berkata, perompak itu mensasarkan mereka yang mengeluarkan wang di mesin berkenaan.
Mereka kemudian membantu membersihkan pakaian mangsa dan dalam proses itu, mencuri wang mangsa.

Vella berkata, empat kejadian seumpama itu berlaku di sekitar Toronto sepanjang minggu lalu.

Menurutnya, kumpulan itu membabitkan empat orang dengan seorang ditugaskan menyembur najis, seorang lagi menunjukkan tempat yang disemburkan, yang ketiga membantu membersihkan mangsa dan yang terakhir mencuri wang mangsa. - AP

Nenek, 90, edar dadah ditangkap

JOHANNESBURG: Seorang nenek berusia 90 tahun yang disyaki mengedar dadah ditangkap semalam selepas polis menyerbu rumahnya dan menemui 80 kilogram kanabis.
Sekumpulan pegawai bersenjata dengan bantuan anjing penghidu menyerbu kediaman wanita itu selepas menerima maklumat dua minggu lalu yang mendakwa ramai orang masuk ke rumahnya dan keluar dengan wajah ceria.
Pegawai penyiasat, Kobeli Mokheseng berkata: “Wanita itu kelihatan baik. Tetapi selepas menyelongkar rumahnya, kami menemui dadah berkenaan dalam beberapa beg. “Kami juga menemui tiga jenis kanabis yang disorokkannya di laman rumahnya.” Wanita tua itu yang mendakwa tinggal seorang diri di kediaman itu akan ditahan beberapa hari untuk disoal siasat mengenai kegiatannya.

Polis turut menemui beribu-ribu dolar dalam beg plastik yang sudah disiapkan untuk dimasukkan ke dalam bank.

Menurut Mokheseng, pihaknya kini berusaha untuk menjejaki beberapa anak dan cucu wanita berkenaan. - Agensi

Bapa gagal bunuh anak

BRASILIA: Seorang pemenang loteri berjumlah AS$16 juta (RM52 juta) di sini terselamat daripada cubaan membunuhnya yang dirancang oleh bapanya sendiri.
Polis berjaya membongkar rancangan itu selepas menahan dua lelaki yang diupah untuk membunuh Fabio de Barros.
Menurut polis, Fabio sudah dimaklumkan mengenai rancangan bapanya, Francisco untuk membunuhnya dalam usaha mendapatkan wang yang dimenangi Fabio pada 2006.

Kedua-dua beranak itu terbabit dalam proses perundangan selepas Francisco, 60, enggan menyerahkan hadiah itu yang dimasukkan ke dalam akaunnya oleh Fabio. Mereka tidak bercakap sejak tiga tahun lalu. - AFP

Maut kena sengat

SADONG JAYA: Seorang pekerja ladang terpaksa menanggung azab kira-kira lima jam sebelum menemui ajal akibat disengat tebuan di sini, pagi kelmarin.
Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Jawa Timur tidak menyedari satu daripada pokok didiami tebuan yang membuat sarang lalu menyerang mangsa.

Berikutan itu, sekumpulan tebuan menyerangnya sebelum disengat sekurang-kurangnya 10 kali, menyebabkan mangsa berlari sambil menjerit kesakitan sebelum dibantu rakannya yang kebetulan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa yang disengat di tangan kanan, muka dan badan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa melakukan kerja-kerja pembersihan pokok sawit sebelum tercantas tanah yang didiami tebuan.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Klinik Asajaya sebelum dirujuk ke HUS, namun meninggal dunia kira-kira jam 2 petang hari kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kejadian seumpama itu yang ketiga sejak Oktober tahun lalu. Pada 4 Oktober tahun lalu, seorang wanita dan tiga anaknya berusia tiga hingga lapan tahun serta adik lelakinya disengat tebuan tanah dekat rumah mereka di Taman Sri Cahaya di Sungai Moyan, Kuching.

Ketiga-tiga anak itu meninggal dunia manakala ibu mereka dirawat di HUS.

Sebulan selepas itu, seorang murid tahun enam SK Kampung Bako meninggal dunia apabila disengat tebuan tanah ketika bermain di kawasan takungan air berhampiran Kampung Bako, dekat Kuching.

Perompak larikan peti besi mengandungi RM120,000



KUALA LUMPUR 5 Jun - Sekumpulan penjenayah melarikan sebuah peti besi seberat kira-kira 200 kilogram mengandungi pelbagai mata wang bernilai RM120,000 selepas memecah masuk sebuah premis pengurup wang di USJ Taipan 28, Subang Jaya, dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kumpulan suspek dipercayai terdiri daripada tiga orang itu terlebih dahulu memecah masuk pintu belakang kedai alat tulis di sebelah kedai itu.
Mereka kemudian memasuki premis pengurup wang terbabit dengan mengangkat dinding besi yang memisahkan antara dua kedai itu menggunakan jek kenderaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kejadian itu disedari oleh seorang daripada pekerja premis itu yang datang ke kedai untuk memulakan perniagaan, pada kira-kira pukul 9 pagi.
"Ketika kejadian, suspek turut memotong wayar kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam premis terbabit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian dekat hari ini.
"Selain itu, mereka juga telah melarikan papan induk sebuah komputer yang mengandungi rakaman awal kegiatan pecah masuk," ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan, kesemua suspek dipercayai melarikan diri menggunakan pintu hadapan premis berkenaan.

6 termasuk wanita tua dari China ditahan bekerja sebagai GRO



SEREMBAN 5 Jun - Polis menahan enam wanita berusia antara 31 dan pertengahan 50-an dari China yang terlibat dalam kegiatan seks berbayar di sebuah pusat hiburan di Rahang malam semalam.
Ketika ditahan dalam serbuan pada 9 malam, wanita terbabit yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) cuba melarikan diri tetapi gagal.
Ketua Operasi dari Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Negeri Sembilan, Cif Inspektor Raidah Abidin berkata, kebanyakan yang ditahan itu tidak mempunyai permit bekerja dan seorang daripadanya didapati menyalahgunakan permit.
Seorang dari mereka memiliki perrmit untuk bekerja di pusat perabot di Muar, Johor, katanya ketika dihubungi.
Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai bertindak sebagai bapa ayam.
Pemilik premis hiburan itu bakal dikenakan tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana memberi perlindungan kepada warga asing, katanya. - Bernama

81 GRO ditahan dalam sebulan di Kelantan



PEGAWAI Perhubungan Pelanggan warga Thailand yang ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam tiga serbuan berasingan di Kota Bharu, semalam.



KOTA BHARU 5 Jun - Walaupun gelaran Serambi Mekah menjadi identiti Kelantan, hakikatnya gejala sosial termasuk kehadiran pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di beberapa premis di negeri ini semakin berleluasa.
Ini terbukti apabila dalam tempoh tidak sampai sebulan, Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kelantan telah menahan 81 GRO dari negara jiran yang aktif melakukan aktiviti tidak bermoral itu.
Terbaru, dalam serbuan di beberapa buah premis awal pagi ini, seramai 12 wanita warga Thailand ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.
Malah, Timbalan Penolong Pengarah (II) Bahagian Penguat Kuasa Negeri, Mohamad Zaidi Che Morad berkata, dalam serbuan di Pasir Mas, lima wanita Thailand ditahan ketika sedang memberi khidmat seks kepada pelanggan mereka.
Katanya, selain itu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sebuah restoran di Pasir Mas kerana disyaki terlibat membawa masuk wanita-wanita tersebut dari negara jiran.
"Kesemua GRO itu berusia dalam lingkungan 19 hingga 33 tahun dan didapati melanggar syarat pas lawatan sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan terbaru itu merupakan usaha berterusan Jabatan Imigresen ke seluruh negeri untuk memastikan gejala GRO tidak menular.
Dalam serbuan di sekitar negeri ini pada 11 Mei lalu, seramai 60 GRO berjaya ditahan manakala dua hari selepas itu, sembilan lagi GRO ditahan ketika menjalankan aktiviti mereka di daerah Tumpat.
Mohamad Zaidi berkata, kesemua wanita terbabit dihantar ke Depot Tahanan Sementara di Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
"Siasatan akan dilakukan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan," ujarnya.

Geng Fendi tumpas





ABDUL Jalil Hassan (tengah) menunjukkan senjata dan peralatan yang digunakan Geng Fendi untuk melakukan kegiatan pecah rumah sambil diperhatikan para pegawainya di IPD Ampang Jaya. Turut dipamerkan hasil rampasan barangan yang dipercayai dicuri daripada rumah-rumah mangsa.



KUALA LUMPUR 5 Jun - Pelik tetapi itulah hakikatnya. Tanpa pekerjaan, lima rakyat Indonesia ini berusia 23 hingga 43 tahun hanya menyara hidup dengan kegiatan pecah rumah sejak bertahun-tahun lamanya.
Lamanya mereka di sini, sehinggalah semua mereka mampu mendapat taraf penduduk tetap (PR).
Bagaimanapun, mereka yang merupakan ahli kumpulan Geng Fendi akhirnya tumpas apabila tiga anggotanya diberkas ketika merancang melakukan pecah rumah di Keramat di sini, Rabu lalu.
Sehingga kini, kumpulan tersebut dipercayai bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 50 kes pecah rumah di sekitar Ampang, Cheras dan Gombak.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, ekoran itu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menumpaskan Geng Fendi.
Katanya, terbaru, kes dilakukan kumpulan itu adalah melibatkan sebuah rumah di Taman Keramat, 10 Mei lalu, yang kerugian wang tunai dan barang kemas berjumlah RM30,000.
"Kejayaan itu diperoleh apabila pasukan khas itu menahan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan, kira-kira pukul 12 tengah hari.
"Hasilnya polis menemui sebilah pisau di dalam kereta tersebut. Ketiga-tiga suspek mengaku sedang mencari rumah untuk dipecah masuk," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini.
Abdul Jalil menambah, suspek-suspek yang turut mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian di Taman Keramat telah membawa polis ke rumah mereka di kawasan setinggan di Taman tasik Ampang keesokannya.
Menurutnya, dalam serbuan itu, dua lagi suspek berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan, sejumlah barangan yang disyaki dicuri ditemui antaranya adalah jam tangan mewah, telefon bimbit, barang kemas, kamera digital dan kelengkapan komputer.
"Selain itu, senjata tajam seperti sabit yang digunakan ketika mereka memecah masuk rumah dan menggertak mangsa," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua barangan yang dirampas daripada kelima-lima suspek bernilai hampir RM80,000 termasuk kereta dinaiki suspek.
Katanya, kesemua suspek itu kini ditahan reman selama seminggu sehingga 10 Jun ini.

16 maut dalam taufan Phet di Oman

MUSCAT, 6 Jun - Seramai 16 orang terbunuh manakala berpuluh lagi hilang dalam kejadian taufan Phet yang membadai Oman semalam, lapor televisyen dan pekerja perubatan negara itu semalam.
Televisyen melaporkan, 12 orang terbunuh semalam dan doktor hospital Muscat yang enggan dikenali memberitahu Reuters, sebelum itu dua orang telah terbunuh. Mereka yang mati terdiri daripada 11 rakyat Oman, dua Bangladesh dan seorang warga Pakistan.
Taufan Phet yang melanda pesisir pantai Oman pada Jumaat lalu adalah taufan dalam kategori satu.
LNG Oman semalam berkata, mereka telah kembali meneruskan pengeluaran selepas ditutup pada hari Jumaat akibat di badai taufan berkenaan. - REUTERS