Search This Blog

Saturday, June 5, 2010

Ramai guru terbabit skim cepat kaya



KOTA BHARU – Guru di negeri ini adalah paling ramai melaburkan wang hingga mencecah ratusan ribu ringgit dalam pelaburan skim cepat kaya.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Kelantan, Wan Mohd Sabri Wan Harun berkata, kes pendakwaan yang dikendalikan mahkamah membuktikan golongan itu adalah sebahagian besar menjadi mangsa.

Menurutnya, lebih membimbangkan lagi apabila gejala itu menjadi masalah besar kerana melibatkan wang pelaburan hasil pinjaman yang dibuat daripada ‘koperasi along’.

“SKM dukacita apabila ada dalam golongan profesion yang dihormati ini memohon pinjaman melalui bank dan koperasi tidak berdaftar yang menawarkan pinjaman dalam kadar lebih tinggi.

“Ada antara mereka sanggup meminjam sehingga RM50,000 malahan tidak teragak-agak menggunakan wang berjumlah RM200,000 yang dipinjam daripada koperasi untuk melabur dalam skim itu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan ke-15 Koperasi Guru Kelantan Berhad (Koop Guru), semalam.


Cubaan seludup gula gagal



TUMPAT - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor menggagalkan cubaan seludup gula ke Thailand bernilai hampir RM8,000 di Kampung Bendang Pak Yong dekat sini, semalam. 

Pegawai Pemerintah (PGM) Pengkalan Kubor, Deputi Superintendan Tan Cheng San berkata, sebanyak 200 bungkus gula yang setiap bungkus seberat 24 kilogram dengan kesemuanya 4.8 tan berjaya dirampas. 

Menurutnya, semua gula tersebut dirampas kira-kira jam 10 pagi semalam di dalam sebuah lori yang diekori dari Kota Bharu sehingga memasuki stor berpagar di tebing Sungai Golok di kampung tersebut. 

“Pemandu lori tersebut berusia 36 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Markas Operasi PGM di Pengkalan Kubor. 

Menurutnya, ketika serbuan ke stor terbabit, pagarnya berkunci, bagaimana pun ia dapat dibuka 10 minit kemudian selepas datang seorang lelaki berusia 54 tahun memperkenalkan diri sebagai pemilik gula di dalam lori tersebut. 

“Pemilik tersebut memiliki stor berlesen tetapi gula tersebut dibawa masuk ke dalam stor bukan kepunyaannya selang dua lot dari stor miliknya. 

“Gula dan lori dibawa ke markas operasi PGM dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KP-DNKK) untuk tindakan lanjut ,” katanya. 

Menurutnya, operasi ini melibatkan operasi bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am semenjak isu bekalan gula sering terputus di negeri ini.

Padah pecut kereta laju



SETIU – Seorang kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jeli, Kelantan, maut selepas kereta yang dipandu terbabas lalu melanggar rumah milik Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Ramly Ismail, 53, di Kilometer 44, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, di sini, petang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Syukri Mohamad, 27, beralamat dari Kampung Tengkawang, Kuala Berang, Hulu Terengganu yang memandu bersendirian dikatakan hilang kawalan selepas dipercayai berlumba dengan sebuah lagi kenderaan. 

Difahamkan beberapa saksi yang melihat kejadian itu mendakwa mangsa dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Terengganu membawa kereta jenis Honda dengan laju sambil bersaing dengan sebuah lagi kenderaan jenis Proton Perdana sebelum kemalangan berlaku. 

Berikutan kemalangan itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid berkata, mangsa yang dipercayai tidak memakai tali pinggang keselamatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat saluran darah ke bahagian jantungnya pecah. 

“Kecederaan parah dialami mangsa berpunca dari kesan hentakan kuat badannya pada stereng kereta selepas terbabas dan merempuh sebuah rumah yang terletak di tepi sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam. 

Shaik Othman berkata, mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat telah diserah-kan kepada ahli keluarganya untuk pengebumian, semalam. 

Ketika diminta mengulas mengenai punca kemala-ngan, Shaik Othman berkata, mangsa dilaporkan membawa kenderaan dengan laju sebelum terbabas tetapi enggan mengulas mengenai dakwaan mangsa terbabit dengan perlumbaan sebelum kemalangan. 

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu atau menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. 

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

Sementara itu, anak Penyelia Pasukan Bomba dan Penyelamat Setiu, Muhamad Ramly, 21, berkata, dia hanya menyedari kemala-ngan berlaku selepas mendengar detuman kuat merempuh rumahnya sebelum debu berterbangan meme-nuhi ruang udara dalam rumah.

“Saya terus bergegas ke-luar dari rumah dan mendapati sebuah kenderaan jenis Honda merempuh bahagian kiri rumah sebelum orang ramai memenuhi lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan mangsa yang terperangkap di dalam kereta,” katanya. 

Muhamad yang ketika itu berada seorang diri di rumah berkata, kejadian kenderaan terbabas biasa berlaku di kawasan berkenaan kerana keadaan jalannya yang lebar tetapi mempunyai selekoh menyebabkan pengguna jalan raya mudah terbabas. 

“Lebih-lebih lagi jika mereka membawa kenderaan laju atau berlumba. Bagaimanapun mungkin ini kejadian maut yang pertama berlaku setakat ini,” katanya.

Geng Setan tumpas



JOHOR BAHRU - Tiga suspek kes samun pemilik premis berjaya ditahan dalam serbuan dua buah rumah di Taman Sentosa disini dan Pekan Labis, Segamat, empat hari lalu.

Kumpulan terbabit diberi nama Geng Setan berdasarkan kesalahan jenayah yang dilakukan mereka yang bukan sahaja berlaku di sekitar bandar raya ini malah membabitkan beberapa daerah lain di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sahriff berkata,ketiga-tiga lelaki berkenaan telah melakukan samun melampau selain percaya hasil tangkapan itu dapat menyelesaikan 20 kes samun dan 45 kes pecah rumah di daerah Segamat, Kulaijaya dan Seri Alam, Pasir Gudang.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah satu televisyen jenis Philip dan dua buah televisyen plasma 24 inci;10 utas jam tangan serta barang kemas; tujuh buah kamera pelbagai jenis;sebuah mesin pencetak; dua unit telefon bimbit dan penghawa dingin; sembilan cakera video digital (DVD) pelbagai jenis;beberapa jenis botol arak; sepucuk pistol tiruan dan sebuah kereta Myvi.

Menurutnya satu plastik lutsinar berisi peluru hitam, parang perhiasan dan pelbagai senjata seperti parang dan pisau turut ditemui.

“Kesemua suspek berumur antara 23 hingga 52 tahun dan kita menggelar mereka geng setan diatas kelakuan dan kesalahan jenayah yang dilakukan.Dipercayai mereka ini telah bergiat aktif sejak tahun lalu dan kes disiasat dibawah seksyen 395/397 KK,”katanya kepada pemberita pada sidang media disini, semalam.

Pelajar jadi korban pertama musim cuti sekolah


MANJUNG – Seorang pelajar berumur 16 tahun menjadi korban pertama musim cuti sekolah, manakala dua lagi adik perempuan mangsa kritikal ketika mandi di pantai peranginan Teluk Senangin, Segari, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama keluarga berkelah di situ sempena cuti persekolahan yang bermula, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama-sama dua adik perempuannya mandi di laut di Teluk Senangin.

“Ketika mereka mandi, ombak besar secara tiba-tiba datang dan arus deras itu menghanyutkan tiga beradik itu ke laut.

“Bagaimanapun, kejadian itu disedari ayah mangsa yang ketika itu berada tidak jauh dari tempat kejadian sebelum bertindak menyelamatkan tiga beradik itu.

”Ayah mangsa hanya sempat menyelamatkan dua anak perempuannya, manakala anak sulung lelakinya hilang dibawa arus deras ombak,” katanya.

Hukuman mati nelayan sembelih isteri kekal



PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini semalam mengekalkan sabit kesalahan dan hukuman mati terhadap seorang nelayan yang menyembelih isterinya sembilan tahun lalu. 

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi sebulat suara menolak rayuan Abdul Razak Dalek selepas memutuskan bahawa dia memang berniat melakukan pembunuhan kerana dia boleh mengingati perbuatannya mengambil sebilah pisau untuk tujuan itu, yang juga menunjukkan dia sedar serta tahu apa yang dilakukannya. 

Zaki bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Seri Md Raus Sharif. 

Abdul Razak, 58, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar pada 3 September 2001. Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu. 

Dalam penghakiman setebal 16 muka surat, Raus berkata, mahkamah itu tidak menemui bukti mencukupi untuk dibuat kesimpulan bahawa Abdul Razak bertindak dalam keadaan tidak waras kononnya akibat gegaran yang dialaminya selepas dia menghentakkan kepalanya pada dinding dapur sebelum kejadian itu seperti yang dikatakan pihak pembelaan. 

Sebaliknya, kata Raus, bukti menunjukkan bahawa Abdul Razak mampu menceritakan secara terperinci perkara yang berlaku sebelum kejadian itu. 

Rozita, yang bekerja tukang cuci di Hospital Muar Hospital, pulang ke rumah mereka bagi melawat anaknya Mohd Rafiz yang demam. Rumah mereka tidak jauh dari rumah abang Abdul Razak. 

Dalam keterangannya, Rokiah Dawi, kakak ipar Abdul Razak, berkata dia mendengar perayu berkata kepada si mati, “Abang pegang Ita pun tak boleh. Ita kan bukan isteri abang”. 

Rokiah berkata, ketika dia sedang memanaskan nasi minyak di dapur rumahnya, dalam keadaan susah payah untuk berjalan, si mati datang dari arah belakang lalu menepuk bahu kanannya serta memanggil namanya “Kak Kiah” sebelum rebah ke lantai. 

Rokiah juga berkata, dia nampak Abdul Razak menghantukkan kepalanya pada dinding. - Bernama.

Hospital jadi sarang penagih




ANGGOTA penguat kuasa AADK Kuantan (kanan) menyoal beberapa orang penagih dadah yang ditahan di HTAA, Kuantan semalam.


KUANTAN - Umum mengetahui bahawa kawasan hospital kini merupakan kawasan larangan merokok, namun suatu yang mengejutkan apabila didapati Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini didapati menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian.
Kegiatan itu dikesan berlaku di kawasan taman dikelilingi blok bangunan yang menempatkan wad pesakit dan sedikit terlindung daripada pandangan orang ramai serta tidak diterangi lampu pada waktu malam.
Apa yang menghairankan, pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan hospital itu langsung tidak menyedari kewujudan kegiatan penagihan dadah di HTAA pada setiap malam.
Bertindak atas maklumat beberapa pelawat, pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuantan melakukan operasi khas menggempur sarang penagih di hospital tersebut pukul 12 malam kelmarin.

Misteri benang terbongkar




ABDUL JALIL menunjukkan sebahagian gelung benang yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Sebut 'nak beli benang' terus dapat dadah.Itulah taktik terbaru sekumpulan tiga lelaki Aceh yang menjadikan gelung benang sebagai alat untuk mengedar syabu sejak enam bulan lalu.
Menjadikan penagih tempatan sebagai pelanggan utama dan penagih senegara mereka sebagai pelanggan sampingan, mereka dipercayai telah mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit hasil penjualan bahan khayal tersebut.
'Pejabat' mereka pula merupakan sebuah kedai runcit dan sebuah rumah di Taman Keramat Permai, Hulu Klang. Oleh itu, mereka dapat mengaburi mata pihak berkuasa.
Lebih licik, pelanggan tetap mereka pula perlu menyebut kata laluan 'hendak beli benang' sekiranya mahu mendapatkan bekalan.
Bagaimanapun, taktik itu terbongkar akhirnya apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menyerbu 'pejabat' mereka pada pukul 12.30 malam kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 45 paket syabu seberat 5.5 gram bernilai RM3,000 daripada suspek-suspek berusia di antara 22 dan 45 tahun terbabit.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan awal mendapati, suspek menyelitkan syabu seberat di antara 0.5 dan 1 gram di dalam penyedut minuman yang dipotong berharga di antara RM50 dan RM100 sebelum disembunyikan di dalam segelung benang kecil.

4,800 kg gula cuba seludup dirampas




CHENG SAN (kanan) memeriksa gula yang cuba diseludup menerusi pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Kelantan berjaya dirampas semalam.


PENGKALAN KUBOR - Makin menjadi-jadi. Sebanyak 4,800 kilogram gula dianggarkan bernilai RM7,920 yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas oleh sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Marin (PGM) selepas berjaya menahan sebuah lori.
Dalam serbuan pukul 10 pagi semalam di sebuah stor di tepi pangkalan haram Kampung Bendang Pak Yong, PGM menahan seorang pemandu lori berusia 36 tahun dan pemilik stor berusia 64 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penyeludupan gula.
Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, ketika serbuan, kedua-dua lelaki terbabit yang berada di dalam sebuah stor berlesen bersama sebuah lori yang sarat dengan muatan gula yang dipercayai diperoleh daripada pemborong di Kota Bharu.

Konsert Inul Daratista batal lagi



KUALA LUMPUR - Konsert penyanyi dangdut 'goyang gerudi' Indonesia, Inul Daratista (gambar), 29, batal lagi tetapi kali ini bukan kerana tiada permit seperti yang berlaku pada dua konsertnya sebelum ini pada Julai 2008.
Sebabnya ialah pihak penganjur, Apex Event Network gagal menjelaskan baki bayaran untuk lokasi baru Konsert 1 Inul Darasistadi Sunway Hotel Resort & Spa yang dijadual berlangsung malam tadi.
Menurut penganjur yang diwakili Nasir Abu Bakar, pihak mereka sepatutnya perlu membayar RM90,000 kepada hotel tersebut.
Bagaimanapun katanya, disebabkan masalah kewangan yang melanda berikutan penundaan konsert Inul di Tawau dan Keningau, Sabah pada 29 dan 31 Mei lalu, mereka kekurangan sumber kewangan untuk membayar pada lokasi konsert seterusnya.
"Kami cuba untuk berunding dengan pihak hotel kerana telah membayar RM46,000 sebagai deposit sebelum ini tetapi menemui jalan buntu.
Tambahnya lagi, Inul sudah diberitahu pembatalan konsert tersebut dan walaupun akur, Inul sedih dengan keputusan itu.
Terdahulu konsert Inul pernah dibatalkan kerana tidak mempunyai permit di dua lokasi iaitu Johor Bahru pada 19 Julai dan Kuala Lumpur pada 27 Julai 2008.

Enam bulan dihidang sup babi




OMAR memeluk Mohd. Khairun yang banyak membantu membebaskannya dari sebuah penjara di Laos.


KUALA LUMPUR - Peniaga gerai makanan dari Padang Besar, Perlis, Omar Atan tidak dapat melupakan pengalaman pahit dihidangkan sup babi ketika enam bulan pertama menjalani hukuman penjara di Laos atas kesalahan melakukan pemerdagangan orang ke negara itu.
Warga emas berusia 59 tahun itu menegaskan, suka atau tidak, dia terpaksa menerima hakikat dihidangkan dengan sup babi dan pulut sebagai makanan harian bersama banduan lain di Penjara Puthong, Vientiane, Laos.
Oleh kerana tidak sanggup menghirup sup tersebut disebabkan ia haram di sisi agama, dia hanya memakan pulut sepanjang tempoh tersebut.
"Hari-hari, itulah makanan yang mereka beri kepada saya tetapi saya hanya memakan pulut sahaja.
"Selepas enam bulan, barulah saya dapat menikmati nasi dan lauk apabila Kedutaan Malaysia di Laos menyediakannya," katanya.
Beliau menceritakan demikian pada sidang akhbar bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh di sini semalam.

SPR nafi perpindahan 3,000 pengundi



PULAU PINANG 4 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan berlaku perpindahan lebih 3,000 pengundi dari Parlimen Permatang Pauh ke Parlimen Batu Kawan sejak beberapa bulan lalu.
Pengarah Pilihan Raya Negeri, Morat Pora menjelaskan, jumlah pemilih bahagian pilihan raya Parlimen Permatang Pauh semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) adalah seramai 58,449 orang.
Katanya, berdasarkan rekod terkini, jumlah pemilih di kawasan itu sehingga suku pertama tahun ini iaitu pada Mac lalu ialah seramai 61,266 orang.
“Oleh yang demikian, pertambahan jumlah pemilih di bahagian Parlimen Permatang Pauh selepas PRU-12 adalah seramai 2,817 orang.
“Dalam tempoh sama SPR telah memotong sebanyak 1,271 pemilih,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Semasa Program Juara Rakyat di Pusat Giat Mara Permatang Ara pada 31 Mei lalu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid mendakwa berlaku perpindahan lebih daripada 3,000 pengundi dari Parlimen Permatang Pauh ke Parlimen Batu Kawan.
Menurut Morat, pemotongan nama-nama pemilih berkenaan adalah disebabkan telah meninggal dunia, dilucut hak warganegara, memasuki perkhidmatan polis atau tentera dan bersara daripada menganggotai polis atau tentera.
“Jumlah pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya Parlimen lain dalam tempoh tersebut hanya seramai 360 orang.
“Mereka memohon untuk bertukar keluar disebabkan pertukaran alamat bermastautin ke 100 bahagian pilihan raya Parlimen lain diseluruh negara,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya sedia menyiasat dakwaan mana-mana pihak yang dapat mengemukakan maklumat terperinci mengenai rancangan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu atau pegawai-pegawai SPR.

300 rumah curi elektrik dikenakan tindakan



KOTA KINABALU 4 Jun - Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) memotong bekalan elektrik terhadap 300 rumah setinggan membabitkan tujuh kampung di sini kerana melakukan penyambungan secara haram.
Pengurus Kanan Komunikasi Korporatnya, Chendramata Sinteh berkata, tindakan dibuat serta-merta dalam operasi yang diketuai oleh Pengurus Besar (Pembahagian) SESB, Ir Ahmad Fuad Md. Kassim semalam.
Katanya, antara kampung terlibat ialah Kampung Lokub, Padas, Bukit Padang, Numbak, Delima, Suang Parai dan Kampung Balau
''Kebanyakan bekalan dipotong pada satu punca penyambungan yang terletak dalam kawasan semak tidak jauh daripada perkampungan berkenaan," katanya di sini hari ini.
Chendramata berkata, operasi membanteras penyambungan haram yang disertai 20 anggota SESB itu turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Tenaga daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab penduduk dikesan hasil aduan orang ramai yang tinggal berdekatan kawasan itu.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan itu bukan sahaja berbahaya tetapi menyebabkan kerugian kepada negara.
Sehubungan itu, SESB katanya, amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat dan semua pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan tersebut.
''Kita memohon kerjasama pihak berwajib untuk memantau struktur-struktur haram dan projek-projek terbengkalai kerana didapati kawasan tersebut dikenal pasti banyak melakukan penyambungan haram," katanya.
Sementara itu dalam operasi berasingan, Chendramata berkata, sebuah pusat hiburan di sini bakal berhadapan tindakan undang-undang apabila didapati mencuri bekalan elektrik menerusi penyambungan haram.
Menurutnya, syarikat tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pangsapuri terbakar, 116 maut



gambar diambil dari atas bumbung salah sebuah pangsapuri merakamkan keadaan pangsapuri yang terbakar di Dhaka lama, kelmarin yang mengakibatkan sekurang-kurang 116 penduduk terbunuh. - REUTERS


DHAKA 4 Jun - Beberapa buah pangsapuri di ibu negara Bangladesh ini musnah dalam satu kebakaran semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 116 orang terkorban dan lebih 100 yang lain cedera.
Pentadbir kerajaan, Mohibul Haque berkata, angka kematian mungkin meningkat kerana terdapat beberapa mangsa lagi dipercayai terperangkap dalam runtuhan.
Pegawai Jabatan Bomba, Nazrul Islam pula berkata, kebakaran itu berlaku apabila sebuah penjana elektrik meletup semalam, mengakibatkan pangsapuri tiga tingkat terletak di kawasan Najirabazar di Dhaka terbakar.
Kebakaran tersebut merebak ke 20 pangsapuri lain menyebabkan 87 orang rentung.
Beliau berkata, beberapa mangsa yang lain mungkin meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital atau ketika berada di tempat kejadian.
Menurut beliau, pegawai bomba dapat mengawal api daripada merebak.
Operasi menyelamat diteruskan sehingga pagi ini.
Katanya, kebanyakan mangsa terdiri daripada tetamu majlis perkahwinan yang diadakan di atas bumbung bangunan tersebut.
Stesen televisyen Bangla Vision pula melaporkan, usaha menyelamat sukar dijalankan disebabkan kedudukan bangunan-bagunan yang rapat di kawasan itu selain jalan raya yang sempit.
Perdana Menteri Sheikh Hasina yang terkejut dengan insiden tersebut, menyampaikan perutusan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta menyediakan bantuan perubatan kepada mangsa yang cedera. - AP

Tiga ditahan edar dadah



KUALA LUMPUR 4 Jun - Serbuan polis di sebuah rumah dan kedai runcit di Taman Keramat Permai, Hulu Klang tengah malam tadi berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah dan rokok seludup yang didalangi warga asing.
Dalam serbuan yang dilakukan pukul 12.30 tengah malam, tiga lelaki warga Indonesia berusia 22 hingga 45 tahun ditahan.
Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu turut menemui 45 peket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai syabu seberat 5.5 gram yang bernilai RM3,000.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, hasil siasatan awal, kegiatan pengedaran dadah itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini.
"Empat peket dadah itu ditemui pada badan suspek, 36 peket lagi disorok di bawah almari pakaian manakala lima peket dadah ditemui dalam gelung benang yang disimpan di kedai runcit.
"Setiap peket dadah itu dijual pada harga RM50 hingga RM100. Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari pembekal warga Acheh di kawasan Chow Kit," katanya pada sidang akhbar di IPD Ampang Jaya dekat sini hari ini.
Dadah itu dipercayai untuk pasaran sekitar Hulu Kelang dengan 70 peratus dijual kepada penagih tempatan manakala 30 peratus lagi kepada warga asing.
Menurut Abdul Jalil, pihaknya turut merampas 153 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM7,000 rokok yang dijual di kedai runcit itu.
Antara jenama rokok seludup yang dirampas adalah Gudang Garam Nusantara, Dunhill dan Star Mild," katanya lagi.

16 unit deretan kedai musnah





Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sederet kedai menjual pakaian sekolah dan kasut di Jalan Lee Sam, Seremban awal pagi semalam.


SEREMBAN 4 Jun – Sebanyak 16 buah kedai sederet musnah dalam kebakaran di Jalan Lee Sam, berhampiran Pejabat Kesihatan negeri di sini awal pagi ini.
Kebakaran yang berlaku pukul 1.30 pagi itu mengakibatkan kesemua barangan yang dijual terutamanya peralatan sekolah musnah apabila tidak sempat diselamatkan.
Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri, Zakaria Amat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.35 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
‘‘Sebanyak 23 anggota bomba dengan bantuan empat jentera dan sebuah van dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 dan Senawang dikejarkan ke tempat kejadian.
‘‘Sebaik sahaja tiba di lokasi, pihak kami mendapati sebahagian besar daripada kedai itu telah terbakar berikutan tiupan angin yang agak kencang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau memberitahu, pihaknya bertindak pantas mengawal kebakaran kerana bimbang ia akan merebak ke beberapa premis berhampiran.
Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh sejam.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ramai pemilik kedai bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan barangan mereka sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kebakaran itu.
Zakaria dalam pada itu berkata, punca kebakaran dan kerugian masih disiasat.

Lelaki siar gambar bogel dihukum penjara enam bulan



KUALA LUMPUR 4 Jun - Tindakan seorang pengawal keselamatan menyiarkan gambar-gambar bogelnya bersama lelaki lain melakukan hubungan sejenis di laman web di Internet mengundang padah apabila dia hari ini dihukum penjara enam bulan.
Shahrom Mahadi, 45, dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas dia mengaku bersalah atas enam tuduhan pilihan di bawah Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hakim Azizah Mahamud menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap tuduhan yang dihadapi oleh bapa kepada enam anak berusia antara setahun dan 21 tahun.
Setiap hukuman diperintahkan berjalan serentak dan berkuat kuasa mulai hari ini.
Ketika menjatuhkan hukuman, Azizah menyatakan, aksi tertuduh bersama lelaki lain yang sengaja disiarkan di Internet selama tiga tahun untuk mendapatkan pelanggan, sudah tentu memberi kesan kepada sesiapa yang memasuki laman web itu.
''Mahkamah mengambil kira kesan negatif kepada remaja terutamanya membabitkan hubungan seks sejenis yang boleh menyebabkan berlakunya kesalahan mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
''Diharap hukuman ini akan menginsafkan kamu dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama. Memandangkan kes ini memberikan kesan negatif kepada masyarakat jadi mahkamah memilih untuk menjatuhkan hukuman penjara terhadap kamu,'' katanya.
Beliau turut menasihatkan Shahrom supaya tidak 'merosakkan' orang lain semasa di penjara selain berharap tertuduh insaf dan sentiasa ingat kepada anak serta isterinya.
Lelaki itu pada mulanya mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan utama dan enam tuduhan pilihan tetapi menukar pengakuannya selepas dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin oleh mahkamah.
Selepas tertuduh memilih mengaku salah atas enam tuduhan pilihan, Timbalan Pendakwa Raya, Hamidi Mohd. Noh yang mengendalikan pendakwaan menarik semula enam tuduhan utama terhadap lelaki itu.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Shahrom yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan dengan alasan dia bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas kehilangan kerja sebagai pengurus di sebuah padang golf di Pulai Spring Resort, Johor Bahru.
Dia juga mendakwa pernah dimasukkan ke Hospital Tampoi selama seminggu kerana mempunyai penyakit terlalu takut dan tekanan perasaan sehingga mahu membunuh diri dengan menelan pil apabila mengetahui polis akan menahannya.
Mengikut pertuduhan utama di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Shahrom didakwa menayangkan secara awam gambar-gambar bogelnya melalui enam laman web berasingan antaranya sayamahusex.blogspot.com, gambarabangaim.blogspot.com, danwww.geocities.com/vcdgaymelayu.
Bagi enam tuduhan pilihan pula, dia didakwa secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet untuk membuat dan memulakan penghantaran gambar-gambar bogelnya dalam laman-laman web tersebut dengan niat untuk menganggu orang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn di sini pada 27 Februari 2009.

Saman RM2 juta diteruskan

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Jun – Kes saman RM2 juta model dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson terhadap syarikat Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulatis) akan diteruskan dengan perbicaraan penuh.

Mahkamah Tinggi di sini memutuskan demikian hari ini selepas menolak permohonan syarikat tekstil itu untuk membatalkan saman tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membuat ketetapan itu selepas mendapati wujud beberapa isu dalam kes itu yang perlu diperjelaskan.

Beliau kemudian menetapkan 17 Ogos ini untuk pengurusan kes tersebut.

Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 30, memfailkan saman itu pada 11 Disember tahun lalu selepas mendakwa Gulatis telah menggunakan gambarnya dalam semua bentuk iklan perniagaan tanpa persetujuan dan keizinannya.

Menurut pernyataan tuntutannya, ibu kepada seorang anak itu mendakwa, dia telah memberi kebenaran kepada Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. (KKSB) untuk menggunakan gambarnya khusus bagi majalah Pesona Pengantin, Nona dan Keluarga mulai Januari 2008.

Pada 23 Julai 2008, dakwa Zahnita, Gulatis telah meminta persetujuannya secara lisan untuk menggunakan gambarnya yang telah menjadi hak KKSB untuk digunakan pada banting dan banner namun tidak dipersetujui olehnya.

Bagaimanapun, pada 30 Julai 2008, dia mendapati gambarnya telah digunakan pada iklan poster, banner dan brosur untuk kepentingan perniagaan defendan serta dipamerkan di jalan raya di negara ini secara meluas.

Model itu turut mendakwa mengalami kerugian besar selepas usahasama dengan sebuah lagi syarikat tekstil, Jakel Trading, yang bernilai RM2 juta tidak lagi diteruskan selepas syarikat itu beranggapan dirinya mewakili Gulatis.

Polis serbu makmal, dadah RM1.3j dirampas



MELAKA 4 Jun – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.32 juta selepas menyerbu dua buah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah sintetik di Taman Merdeka dan Taman Semabok Permai di sini semalam.
Turut ditahan dalam tiga serbuan berasingan bermula pukul 4.30 petang semalam sehingga 1.30 pagi tadi ialah 11 individu termasuk lima wanita yang berusia antara 26 hingga 48 tahun.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua lelaki warga China, empat wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pukul 4.30 petang semalam, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an di sebuah resort di Tanjung Kling.
``Hasil pemeriksaan dalam bilik di resort itu, polis menemui enam gram ganja dan empat gram ketamin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Menurutnya, susulan penangkapan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Merdeka kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.

Cubaan seludup kosmetik RM75,000 gagal



PULAU PINANG 4 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis ubat-ubatan dan barangan kosmetik pelbagai jenama bernilai kira-kira RM75,000 ke negara ini selepas menahan sebuah kapal di perairan negeri ini kelmarin.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 2 APMM Pulau Pinang, Komander Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, kapal berkenaan yang berdaftar di Indonesia ditahan kira-kira pukul 1 petang, Selasa lalu di kedudukan 0.3 batu nautika dari Pelabuhan Dermaga Laut Dalam Butterworth.
Katanya, 12 orang warga Indonesia termasuk anak kapal dan tekong yang berada di dalam kapal tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, kesemua mereka telah dibebaskan setelah kenyataan masing-masing diambil.
“Ketika melakukan rondaan biasa kelmarin, bot Kilat 8 APMM telah terserempak dengan dua buah kapal yang disyaki milik warga asing.
“Hasil pemeriksaan ke atas salah sebuah kapal, kami mendapati pelbagai jenis ubat-ubatan dan kosmetik pelbagai jenama dari Belawan, Indonesia yang merupakan barang terlarang disembunyikan dalam 13 kotak besar di bawah timbunan sayur-sayuran yang dibawa.
“Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM75,000 dan merupakan rampasan paling besar setakat ini yang dibuat APMM Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut terhadap 13 kotak berkenaan, pihaknya menemui 1,800 kotak kecil ubat-ubatan dan 2,127 kotak kecil kosmetik pelbagai jenama yang disembunyikan di tempat tersebut.
Katanya, kesemua ubat-ubatan dan kosmetik terlarang yang dibawa kapal KM Setia Jaya itu dirampas pihaknya kerana ia tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan selain tiada pengesahan daripada Pengarah Perkhidmatan Farmasi.
Tambah Geok Chuan, pihaknya sedang menjejaki mereka yang terlibat termasuk pengimport dan ejen barangan tersebut yang dipercayai rakyat tempatan untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Kita percaya ubat-ubatan dan kosmetik terlarang ini untuk dipasarkan di negeri ini setelah dipesan para peniaga.
“Barangan itu diseludup masuk ke negara ini kerana harga pasaran lebih tinggi selain cuba mengelakkan daripada dikenakan cukai,” katanya.
Menurut Geok Chuan, kes itu kini disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 di bawah Peraturan 7(1)(A)(B) Kawalan Dadah dan Ubat-Ubatan 1984 dan Peraturan 18(A)(1) Kawalan Kosmetik.

Pencuri klip rel kereta api dicekup



JOHOR BAHRU 4 Jun – Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menahan tiga lelaki yang sedang mencuri klip besi landasan kereta api di Kilometer 25, Kempas-Pasir Gudang baru-baru ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang Selasa lalu, ketiga-tiga suspek diberkas semasa bertungkus lumus cuba membuka klip landasan tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, hasil pemeriksaan menemui lima kampit plastik mengandungi 205 klip landasan yang dicuri bernilai kira-kira RM50,000.
“Turut dirampas, sebuah kereta jenis Ford yang digunakan oleh ketiga-tiga suspek. Siasatan lanjut polis kemudian mendapati, kesemua suspek adalah penagih dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Empat pecah rumah datuk diberkas



BATU PAHAT 4 Jun – Polis menahan empat lelaki dipercayai ahli kumpulan samun dan pecah rumah menggunakan pistol tiruan setelah mengejar mereka sejauh 20 kilometer di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, kumpulan penjenayah itu terpaksa menghentikan kenderaan mereka setelah memasuki jalan mati di tepi laut ketika dikejar polis dari Parit Yaani ke Lubuk Laut, Semerah.
Tindakan penjenayah berkenaan melarikan diri menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara dan berjaya menakutkan mereka.
Bagaimanapun, seorang daripada penjenayah itu berjaya melarikan diri dan pasukan polis kini giat memburunya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, siasatan mendapati, suspek mengaku terlibat dalam 13 kes pecah rumah di sekitar bandar ini.
“Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga lingkungan 40-an dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
“Polis berjaya merampas sepucuk pistol tiruan dan sebahagian barangan curi seperti telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Polis serbu makmal, dadah RM1.3j dirampas



MELAKA 4 Jun – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.32 juta selepas menyerbu dua buah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah sintetik di Taman Merdeka dan Taman Semabok Permai di sini semalam.
Turut ditahan dalam tiga serbuan berasingan bermula pukul 4.30 petang semalam sehingga 1.30 pagi tadi ialah 11 individu termasuk lima wanita yang berusia antara 26 hingga 48 tahun.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua lelaki warga China, empat wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pukul 4.30 petang semalam, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an di sebuah resort di Tanjung Kling.
``Hasil pemeriksaan dalam bilik di resort itu, polis menemui enam gram ganja dan empat gram ketamin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Menurutnya, susulan penangkapan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Merdeka kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.

PGM rampas 4.8 tan gula





Tan Cheng San (kanan) bersama anggotanya menunjukkan gula yang cuba diseludup di Pangkalan Haram, Kampung Bendang Pak Yong, dekat Pengkalan Kubor, semalam.


PENGKALAN KUBOR 4 Jun – Pasukan Gerakan Marin (PGM) merampas 4,800 kilogram gula bernilai RM7,920 selepas menahan sebuah lori di pangkalan haram Kampung Bendang Pak Yong dekat sini pagi ini.
Dalam serbuan itu, seorang pemandu lori berusia 36 tahun dan pemilik kenderaan itu yang berusia 64 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan gula ke negara jiran.
Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, ketika diserbu, kedua-dua lelaki itu berada dalam sebuah stor berlesen bersama dengan sebuah lori yang sarat dengan muatan gula dipercayai diperoleh daripada pemborong di Kota Bharu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam lori itu, pihaknya menemui 200 bungkusan dan setiap bungkusan mengandungi 24 bungkusan pek gula seberat satu kilogram.
“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen yang dikemukakan, kami mendapati alamat di premis dalam lesen borong tidak sama dengan alamat tempat lori dan muatan gula itu ditemui.
“Berikutan itu pemandu dan pemilik lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan,” katanya.
Cheng San berkata, sebelum diserbu, pihaknya telah mengekori lori terbabit dari Kota Bharu sehingga ke Kampung Bendang Pak Yong yang terdapat beberapa setor berlesen berhampiran tebing Sungai Golok.
Katanya, pihaknya percaya gula yang dirampas itu akan diseludup ke negara jiran pada waktu solat Jumaat bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Beliau menambah, pasukan itu akan terus meningkatkan lagi operasi di kawasan berkenaan bagi mengelak lebih banyak barang kawalan diseludup ke negara jiran.

Guru galak hubungan lesbian dihukum




BRISBANE – Seorang guru pendidikan yang juga pemain ragbi kebangsaan yang menggalakkan gadis-gadis supaya melakukan hubungan lesbian ketika bertugas dilarang daripada berinteraksi dengan pemain remaja atau kanak-kanak, lapor sebuah akhbar semalam.
Kesatuan Ragbi Australia (ARU) menyatakan satu siasatan dilakukan ke atas guru itu, Tricia Brown (gambar), 31, selepas dia mengadakan hubungan seksual dengan dua orang pelajar Tahun 12 di sebuah sekolah awam dan swasta Brisbane.
“Setelah diteliti, ARU mengambil keputusan untuk tidak melarang Tricia daripada bermain dengan pasukan kebangsaan. “Namun, dia tidak dibenarkan melatih atau terlibat secara rasmi dengan pemain ragbi berusia bawah 18 tahun,” kata jurucakap ARU, Peter Jenkins.
Namun, dia boleh memohon semula untuk menjadi guru pendidikan jasmani selepas lima tahun larangan tersebut dikuatkuasa.
Dokumen-dokumen Guru-guru Kolej Queensland menunjukkan Brown membawa sekurang-kurangnya seorang pelajar bawah umur ke kelab-kelab malam gay dengan menggunakan kad pengenalan palsu.
Dia juga memberi hadiah dan gambar-gambar menghairahkan dirinya di dalam bilik tidur kepada pelajar bawah umur. – Agensi
kredit : kosmo.com.my