Search This Blog

Friday, June 4, 2010

Polis patahkan cubaan seludup dadah bernilai RM1.45 juta


03/06/2010 8:52pm

SHAH ALAM 3 Jun - Polis mematahkan cubaan menyeludup 5.8 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.45 juta apabila merampas bahan larangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 28 dan 29 Mei lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, kedua-dua rampasan itu membabitkan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan dadah yang dibungkus dalam plastik lut sinar pada lapisan bawah bagasi yang dibawa.
Beliau berkata, dalam rampasan pertama pada 28 Mei lepas, polis menahan seorang lelaki rakyat Iran berumur 24 tahun ketika sedang membawa sebuah bagasi dan berada dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik diperiksa satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi syabu seberat tiga kilogram bernilai RM750,000 ditemui tersorok di bahagian bawah beg yang dilindungi dengan helaian baju,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam rampasan seterusnya, beliau berkata, polis memeriksa sebuah bagasi yang tidak dituntut dan menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.8 kilogram bernilai RM700,000.
"Kami percaya pemiliknya meninggalkan bagasi yang mengandungi dadah itu kerana bimbang selepas mendapati kawasan berkenaan diawasi ketat oleh pihak berkuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Nordin berkata polis sedang mengesan pemilik beg itu berdasarkan nombor siri pada bagasi berkenaan. – Bernama

Kanak-kanak 2 tahun mati dipercayai mangsa dera


03/06/2010 9:48pm

KUALA LUMPUR 3 Jun – Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun meninggal dunia di Hospital Selayang hari ini, dipercayai akibat didera.
Kanak-kanak malang itu dibawa oleh ibunya ke hospital dalam keadaan tenat pukul 2.45 petang ini, dan hasil pemeriksaan hospital, terdapat kesan lebam di punggung dipercayai akibat dirotan.
Susulan itu, polis menahan ibu kanak-kanak tersebut dan teman lelakinya bagi membantu siasatan. – Utusan