Search This Blog

Thursday, June 3, 2010

Penjara 12 bulan dan rotan sembilan kali kerana cabul kehormatan

SINGAPURA
SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dirotan sembilan kali atas kesalahan mencabul kehormatan.
Goh Kock Oon, 20 tahun, dikatakan telah mencabul kehormatan lapan wanita antara 19 November dengan 31 Disember tahun lalu di kawasan Bedok dan Tampines.Mahkamah diberitahu bahawa Goh dan temanita terlibat dalam pertengkaran besar hingga timbul rasa benci Goh terhadap kaum wanita.Semalam, dia mengaku salah atas tiga tuduhan meramas buah dada mangsa-mangsanya. Lima lagi kesalahan turut dipertimbang.Mahkamah diberitahu ketika berbasikal di sebuah taman di Tampines Street 32 sekitar 10 malam 21 November lalu, timbul rasa berahi Goh apabila ternampak seorang remaja berusia 19 tahun yang sedang bersenam di sudut kesihatan di taman tersebut.Setelah meletakkan basikalnya, dia berjalan menuju ke arah mangsa dan memicit buah dadanya dari belakang.Mangsa terkejut dan mereka bergelut, mengakibatkan kedua-duanya terjatuh.Goh segera bangkit dan lari ke arah basikalnya.Lebih sejam kemudian, dia meramas buah dada seorang wanita berusia 20 tahun yang sedang berbual dengan ibunya melalui telefon bimbit.Pada 31 Disember, dia mencabul kehormatan seorang lagi wanita berusia 27 tahun di kolong sebuah blok di Bedok Reservoir Road setelah pura-pura bertanya tentang arah jalan.Seorang teman mangsa yang juga berusia 27 tahun terdengar pekikannya lantas mengejar dan menahan Goh.Goh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau disebat atau meneribungan hukuman atas setiap kesalahan.ma ga

Lelaki hadapi tuduhan bunuh, dua lagi didakwa merompak

SINGAPURA
KES BUNUH DAN ROMPAKAN DI KALLANGOleh
Chairul Fahmy Hussaini 



PEKERJA ASAL SARAWAK: Tidak ada pengakuan dikemukakan Michael Garing, yang didakwa membunuh Encik Shanmuganathan, di kawasan lapang di Kallang Road, pada Ahad lalu. -- Foto THE STRAITS TIMES

SEORANG lelaki asal Sarawak telah didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan membunuh seorang pekerja binaan sementara dua yang lain didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan.
Tidak ada pengakuan dikemukakan tertuduh, Michael Garing, 22 tahun, seorang pekerja am yang didakwa membunuh seorang lelaki warga India, Encik Shanmuganathan Dillidurai, 41 tahun, dengan menyerangnya dengan tiga rakannya yang lain di sebuah kawasan lapang di Kallang Road, Ahad lalu.Di mahkamah yang sama, dua yang lain, Sylvester Barogok, 26 tahun, dan Shahman Milak, 21 tahun - kedua-duanya dari Sarawak - telah dituduh melakukan rompakan secara berkumpulan. Yang dirompak ialah sebuah telefon bimbit, wang tunai $32, sekeping kad permit kerja dan kad tambang EZ-Link daripada Encik Raja Kana Kazi di bawah jambatan di Sims Drive pada petang Jumaat lalu.Dua lagi rompakan bersenjata dilakukan oleh mereka di kawasan Sims Drive dan Geylang antara 12.13 malam dan 7.06 pagi.Kedua-dua mereka didakwa berada bersama-sama Michael, Hairee Landak, 19 tahun, Tony Imba, 31 tahun, dan Donny Meluda, 19 tahun, dengan salah seorang atau beberapa di kalangan mereka bersenjatakan parang.Ketiga-tiga mereka kini direman di lokap Polis Divisyen Central bagi siasatan lanjut.Michael, Sylvester, dan Shahman akan dihadapkan sekali lagi di mahkamah pada Rabu mendatang.Polis sebelum ini menyifatkan 'jenayah yang dilakukan mereka ini kejam, lebih-lebih lagi mereka menyerang tanpa sebab'.Lebih 100 anggota polis daripada Komand Operasi Khas, Divisyen Polis Bedok dan Central, Divisyen Risikan Polis dan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) telah dikerahkan memburu mereka.Operasi menjejak kesemua penjenayah kes ini diketuai Pengarah CID, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC), Encik Ng Boon Gay.Berpecah kepada 10 pasukan, pasukan ini memeriksa kawasan kejadian bagi mendapatkan bukti, selain mewawancara para saksi dan para detektif cuba mengenal pasti penjenayah yang disyaki.Hasilnya, polis berjaya memberkas suspek pertama yang membawa kepada penangkapan dua yang lain.Jika didapati bersalah atas tuduhan membunuh, Michael akan menghadapi hukuman mati.Hukuman maksimum bagi rompakan berkumpulan adalah penjara antara lima hingga 20 tahun dan dirotan tidak lebih daripada 12 sebatan.

14 maut apabila bangunan 4 tingkat roboh di Dhaka

DHAKA: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 50 lagi cedera apabila sebuah bangunan empat tingkat roboh lalu menghempap rumah-rumah berbumbung zink di sebuah kawasan setinggan di Dhaka, ibu kota Bangladesh, menurut polis dan pegawai semalam.
Bangunan tersebut, yang terletak di kejiranan Tejgaon, roboh lewat kelmarin dan menimpa beberapa rumah kediaman pekerja bergaji rendah.Hampir kesemua penghuni bangunan yang roboh itu terselamat kerana ia senget ke satu sisi.Mereka sempat melarikan diri sebelum bangunan itu rebah ke bumi.Sebahagian besar korban jiwa datang daripada hampir 200 rumah setinggan di sekitar bangunan yang roboh itu, kata para saksi.'Sejauh ini kami menemui 14 mayat daripada bawah puing runtuhan,' kata Timbalan Ketua Bomba, Encik Abdus Salam, kepada AFP.'Kami nampak banyak lagi mayat dan kami percaya masih banyak mangsa yang terperangkap. Oleh itu angka korban kemungkinan besar meningkat,' kata beliau.Menurutnya, askar dan anggota bomba menggunakan jentolak dalam operasi menyelamat.'Penghuni yang tidur di rumah-rumah dan kawasan setinggan itu tidak mempunyai masa untuk melarikan diri,' kata pegawai perbandaran, Encik Muhibul Haque, yang menambah bahawa bangunan itu roboh dalam masa beberapa minit saja.Seramai 15 orang ditarik keluar daripada bawah puing runtuhan selepas bangunan tersebut roboh, kata seorang pegawai polis, Inspektor Abul Kalam Azad.Para pegawai bomba berkata operasi menyelamat terhambat kerana terdapat wayar elektrik yang hidup dan berlaku kebocoran paip gas.Bangunan itu milik seorang bekas pegawai pemerintah.Beliau selanjutnya berkata beberapa tingkat tambahan dibina di atas struktur asal, tanpa mempedulikan peraturan membina bangunan, kata seorang penghuni kepada stesen televisyen ATN.Insiden bangunan roboh merupakan satu kejadian lumrah di Dhaka, tempat undang-undang pembinaan tidak pernah dikuatkuasakan.Pada 2005, sekitar 70 orang terkorban apabila sebuah kilang pakaian roboh di pinggir Dhaka.Pakar-pakar berkata lebih separuh daripada bangunan dan bangunan tinggi di Dhaka akan roboh jika negara itu dilanda satu gempa bumi yang kuat. -- AP, AFP, Reuters.

Amah dijel kerana bersetubuh dengan budak

SINGAPURA

SEORANG amah Indonesia yang mengadakan hubungan seks dengan anak lelaki majikannya dikenakan hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Daerah semalam.


Amah berusia 27 tahun itu sebelum ini mengaku bersalah melakukan perbuatan lucah itu dengan budak lelaki tersebut, yang ketika itu berusia 11 tahun, dengan memegang kemaluannya dan mengadakan hubungan seks dengannya pada akhir Jun tahun lalu.


Dia juga mengaku melakukan seks oral dengan budak itu pada Hari Natal tahun lalu.


Perbuatan amah itu dikesan apabila nenek budak tersebut berjalan melalui biliknya untuk memeriksa cucunya yang mengambil masa yang lama dalam tandas.


Beliau bertanya kepada budak itu apa yang tertuduh lakukan tetapi dia enggan berkata apa-apa.


Budak tersebut akhirnya memberitahu bapanya dua hari kemudian sebelum laporan polis dibuat.


Timbalan Pendakwa Raya, Cik Cassandra Cheong, meminta mahkamah mengenakan hukuman pencegahan memandangkan beberapa faktor seperti usia mangsa dan kepercayaan yang disalahgunakan tertuduh yang mengambil kesempatan ke atas budak itu.


Hakim Daerah John Ng bersetuju hukuman berat harus dikenakan sebagai mesej tegas kepada sesiapa bahawa kelakuan yang amat dibenci itu tidak boleh diterima.

Dua sahabat mati lemas


DIPAPAH KE DARAT: Mayat Mohd Amirul dibawa oleh orang kampung ke darat. -- Foto Harian Metro
KOTA BHARU: Niat dua sahabat untuk belajar secara berkumpulan bagi menghadapi peperiksaan penggal berakhir dengan tragedi apabila mereka lemas ketika mandi di Pantai Dasar Sabak, dekat Pengkalan Chepa, di sini sekitar 4 petang kelmarin.
Kejadian itu disedari rakan mereka sebaik melihat mangsa, Mohd Amirul Zahari, 14 tahun, bersama rakan sebayanya, Tuan Asnan Tuan Nordin, dalam keadaan tangan terkapai-kapai dihanyutkan ombak.Sambil meminta tolong, lima sahabat yang berada di kawasan itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana kedudukan mereka terlalu jauh dari mangsa, selain tidak tahu berenang.Mereka lalu mendapatkan bantuan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan termasuk menggunakan khidmat unit skuba bagi mengesan mangsa sebelum mayat Mohd Amirul ditemui pada 6.50 petang kelmarin.Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi bedah siasat manakala mayat Tuan Asnan masih belum ditemui.Mayat rakannya, Tuan Asnan ditemui pada 8.10 pagi semalam oleh pasukan penyelamat yang menyambung operasi mencari, lapor Bernama.Mayat Tuan Asnan dijumpai 200 meter dari tempat dia dilihat kali terakhir dan telah dihantar ke HRPZ II bagi dibedah siasat.Tragedi berlaku selepas tujuh sahabat merancang memancing di kawasan berkenaan sebaik pulang dari sekolah.Namun, tanpa diketahui rakannya yang lain, kedua-dua mangsa bertolak dari rumah di Padang Tembak, di sini menuju ke pantai itu yang terletak di belakang pusat pelupusan sampah di Teluk Kitang.Mereka memberitahu keluarga bahawa mereka hendak mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan.Rakan mangsa, Nik Mohd Fazri Hanif Che Hashim, 14 tahun, berkata dia tidak menyangka kehilangan rakan karibnya selepas merancang memancing bersama selepas sekolah.'Kami bertujuh sepakat pergi memancing di pantai berkenaan. Tetapi Amirul dan Asnan pergi ke pantai di belakang kawasan pusat pelupusan sampah,' kata Nik Mohd Fazri. -- Harian Metro, Bernama.

Penceroboh hutan dikenal pasti


SEREMBAN - Jabatan Perhutanan negeri telah mengenal pasti dalang di sebalik aktiviti penerokaan haram di Hutan Simpan Johol di Bukit Miku, Kuala Pilah dekat sini.
Pengarahnya, Roslan Ariffin memberitahu, hasil siasatan awal mendapati ia dipercayai dilakukan oleh penduduk di lokasi berhampiran kerana mereka cuba memperluaskan penempatan mereka.
Jelasnya, siasatan terperinci sedang dibuat bagi mengenal pasti individu yang menjalankan kegiatan menebang dan membakar pokok serta menarah lereng bukit terbabit.
"Sekumpulan anggota penguat kuasa dari daerah Kuala Pilah telah diarah melakukan pemantauan dan seterusnya menahan dalang kegiatan itu," katanya di sini semalam.

Bekas tapak kuari jadi kasino mini diserbu



SEBAHAGIAN kaki judi yang ditahan di sebuah bekas kuari di Lebuh Relau di George Town malam kelmarin.


GEORGE TOWN - Taktik sekumpulan 'tahi judi' yang menjadikan bekas tapak kuari dekat sini sebagai kasino mini seminggu lalu terbongkar apabila diserbu polis malam kelmarin.
Dengan berdindingkan papan dan kanvas serta beratapkan zink, kedudukan kuari berhampiran Lebuh Relau ini tersorok menyebabkan kewujudannya tidak disedari oleh orang ramai yang melalui kawasan itu.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam serbuan pada pukul 11 malam, seramai 39 lelaki tempatan berusia di antara 25 hingga 70 tahun yang leka bermain judi dadu ditahan.
Turut ditahan beberapa lelaki tempatan dipercayai penganjur perjudian haram itu.
"Mereka sengaja membina bumbung yang besar bagi menghalang orang awam yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran melihat kegiatan mereka.
"Walaupun dikelilingi hutan dan kawasan itu becak, ramai di kalangan kaki judi pergi ke kasino itu.
"Mereka yang mahu masuk ke kasino itu perlu melepasi pondok pengawal," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Difahamkan, kebanyakan kaki judi merupakan penduduk setempat.
Bagaimanapun, pada hari-hari tertentu ada juga kaki judi datang dari negeri Kedah dan Perak.
Kong Meng memberitahu, hanya mereka yang benar-benar dikenali oleh pengawal keselamatan di situ akan dibenarkan untuk berjudi di mini kasino tersebut.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan berjudi seperti dadu, sejumlah besar cip berwarna-warni dengan nilai cip itu berjumlah RM60,000 serta wang tunai sebanyak RM160.

Makmal dadah terbesar digempur


SEBUAH unit di Apartmen Anggerik Villa yang dijadikan makmal dadah terbesar di Kajang.


KAJANG – Rahsia tiga lelaki tempatan yang mengaku sebagai tukang masak sebuah restoran makanan laut yang mampu menyewa rumah banglo di Country Heights di sini terbongkar apabila mereka sebenarnya dalang sindiket pengedaran dadah terbesar di sini.
Tembelang ketiga-tiga suspek yang berusia 30-an pecah apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah banglo itu pada pukul 11.30 malam Ahad lalu.
Susulan penahanan itu, polis kemudian menyerbu sebuah apartmen yang dijadikan makmal untuk memproses dadah di Jalan Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, dalam serbuan di Country Height, polis merampas 4.5 gram ketamin, 40 gram syabu dan sepucuk pistol.
Polis juga menemui 42 butir peluru dan merampas sebuah kereta Ford dan Toyota Alphard di rumah banglo tersebut.
“Susulan itu, polis menyerbu apartmen Anggerik Villa yang dijadikan tempat untuk memproses dadah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, di apartmen itu polis menemui pelbagai jenis dadah dan bahan kimia serta alat-alat memproses dadah.
Antara yang dirampas di makmal itu ialah sebanyak 27 kilogram serbuk disyaki dadah, 12 kilogram syabu, 12 kilogram ketamin dan 13 kilogram serbuk ekstasi.
“Kesemua dadah dan bahan-bahan untuk memproses dadah dipercayai diimport dari negara luar,” katanya.
Shakaruddin memberitahu, polis percaya ketiga-tiga suspek tersebut baru aktif dalam kegiatan haram itu dan mereka mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah antarabangsa.

‘Kami dilayan seperti penjenayah’



KAPAL Rachel Corrie kini meneruskan pelayaran dan dijangka tiba ke Gaza hari ini biarpun menghadapi halangan pihak berkuasa Israel.


KUALA LUMPUR – “Kami ditahan seperti penjenayah perang selama 28 jam di penjara Israel.” Itu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan oleh 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza ‘Mavi Marmara’ diserang tentera Israel di perairan antarabangsa tiga hari lepas.
Menurut Ketua Misi Sukarelawan Malaysia, Noorazman Mohd. Samsuddin, mereka tidak boleh bergerak bebas sehinggakan hendak membuang air pun tidak dibenarkan.
“Bayangkanlah betapa azabnya keadaan kami pada ketika itu menghadapi kekejaman rejim Zionis,” katanya.
Wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25, yang menyertai misi bantuan tersebut juga turut menceritakan bagaimana dia cemas selepas terpisah dengan jurukamera, Samsulkamal Abdul Latip selepas serangan komando Yahudi tersebut.
Katanya, kedua-dua mereka terpisah selepas ditahan dan digari oleh tentera Israel, dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan semalam.
“Layanan diterima dalam tempoh 28 jam itu menggambarkan konflik enam dekad dialami rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.

2 rakyat China dipenjara, denda sebabkan kematian pelajar


03/06/2010 4:59pm

SHAH ALAM – Dua lelaki warga negara China dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini kerana mengurung dan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej yang mayatnya ditemui hampir reput dalam sebuah beg pakaian di Lebuh Raya Damansara-Puchong empat tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu selepas Liu Bing, 27, dan Li Meng, 28, mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan pindaan itu.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua Liu Bing dan Li Meng menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap, masing-masing pada 22 September 2006 dan 24 September 2006, serta memerintahkan kedua-dua mereka dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda itu.
Liu Bing dan Li Meng mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menyebabkan kematian Tan Choo Mia, 19, di rumah No: 3, Jalan SS2/105, Petaling Jaya, antara 15 September 2006 dan 16 September 2006.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda. – Bernama

Wanita rentung dalam nahas tiga kenderaan


03/06/2010 4:39pm

KUALA LUMPUR – Seorang wanita rentung selepas kereta Perodua MyVi yang dipandunya terbabit dalam kemalangan sehingga terbakar dengan dua buah kenderaan lain di Kilometer 5.6, Jalan Cheras berhampiran Taman Pertama di sini awal pagi ini.
Sehingga kini, identiti mangsa belum dikenalpasti.
Dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat melecur hampir 80 peratus di seluruh anggota badan dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu. – Utusan.

Tiga perompak terima padah



JOHOR BAHRU – Tiga perompak yang cuba memecah masuk salah sebuah rumah di kawasan perumahan Majidee Park di sini, kelmarin, ibarat ibarat lari mulut buaya masuk mulut naga. 

Seorang daripada mereka, berusia 30-an, ditembak mati pengawal keselamatan kawasan perumahan itu, manakala seorang lagi cedera kaki. 

Rakan kepada kedua-dua suspek pada mulanya melarikan diri, ditahan polis di Taman Kebun Teh, di sini kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, rompakan yang berlaku pada jam 10.15 malam itu disedari pengawal keselamatan berhampiran kawasan kejadian. 

Menurutnya, pengawal keselamatan itu melepaskan beberapa das tembakan dan mencederakan dua lagi suspek. 

“Salah seorang suspek cuba melarikan diri dengan menggunakan Toyota Harrier dan dikejar sepasukan polis sebelum diberkas di Taman Kebun Teh, kira-kira 10 minit kemudian. 

“Dua lagi suspek yang cedera di kaki dan kepala pula berjaya dikesan dan ditahan di dua lokasi berasingan tidak jauh dari lokasi kejadian. Kemudian polis mendapati seorang daripada mereka mati akibat cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 

Zainuddin berkata, kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala suspek yang mati dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat. 

“Keterangan pengawal keselamatan diambil untuk siasatan lanjut. Salah seorang daripada suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau,” katanya. 

Sindiket kasut jenama palsu tumpas



KAJANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Kajang merampas kira-kira 100,000 pasang kasut jenama tiruan bernilai hampir RM2 juta dalam dua serbuan berasingan sekitar Kajang. 

Rampasan barangan tiruan itu yang terbesar dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan Selatan tanah air. 

Kejayaan membongkar aktiviti import kasut tiruan itu hasil usaha gigih pegawai penguat kuasa KPDNKK Cawangan Kajang yang membuat risikan hampir dua minggu di dua kedai yang dijadikan tempat penyimpanan barangan kasut berkenaan. 

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri Selangor, Ahmad Md Isa berkata, dalam siasatan pertama sepasukan pegawai penguat kuasa Cawangan Kajang merampas 582 pasang kasut jenama tiruan bernilai RM95,000 di sebuah kedai di Kajang. 

“Susulan siasatan di kedai berkenaan, 13 pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan dua kedai di Jalan 8 Taman Putra Kajang dan menjumpai 95,000 pasang kasut bernilai RM1,900,000 dipercayai tiruan. 

“Semua nilai rampasan kira-kira RM2,000,000 dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas pemilik premis berkenaan”’ katanya pada sidang media di lokasi berkenaan. 

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31B Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika didapati kesalahan bagi individu boleh dikenakan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda sehingga RM200,000. 

“Jika syarikat ini adalah milik Sendirian Berhad denda maksimum yang boleh dikenakan ialah RM250,000 atau RM50,000 bagi kesalahan kedua.

Dua lelaki rompak dua premis 48 jam




TEMERLOH – Dua penjenayah bertindak berani merompak dua premis dalam tempoh 48 jam, sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM16,000 dengan menggunakan modus operandi hampir sama. 

Dua penjenayah dipercayai berbangsa Cina itu pada mulanya merompak sebuah salun di Taman Gopeng, Mentakab dan melarikan wang tunai serta telefon bimbit berjumlah RM3,000 kira-kira jam 2.40 petang, 28 Mei lalu. 

Dua hari kemudian, mereka merompak sebuah lagi premis di Taman Chengal di sini, kira-kira jam 3.45 petang dan melarikan tunai RM13,000 dan beberapa barangan . 

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh Deputi Superintendan R Sundra berkata, kedua-dua perompak bersenjatakan parang itu turut merampas pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis kedua. 

Menurutnya, kedua-dua suspek lingkungan 30 dan 45 tahun itu, turut mengurung dua peniaga wanita di premis itu bersama empat anaknya berusia 8 hingga 13 tahun. 

Bagaimanapun, katanya, penjenayah tidak menyedari perlakuan jenayah mereka berjaya dirakam premis pertama iaitu di sebuah salun di Mentakab. 

Beliau berkata, serentak itu polis melancarkan gerakan memburu kedua-dua suspek dengan mengedarkan fotofit mereka. 

“Kita mahu penjenayah ini ditangkap segera dan mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan saya, 019-7115888,” katanya.

Tiga terbunuh kemalangan jalan raya di Lahad Datu


LAHAD DATU - Tiga orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori kelapa sawit di kilometer 38, Jalan Tungku-Tambisan, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata, mereka dikenal pasti pemandu kereta, Zainuddin Junadi, 25, dan dua penumpang kereta berkenaan, Rohayah Narkasan,44, dan Noraida Junadi,12.

Anak Zainuddin, Fariza Nabilah,2, pula mengalami kecederaan parah manakala dua yang lain yang turut berada dalam kereta berkenaan cuma cedera ringan.

Katanya ketika kejadian pada 4.30 petang, kereta berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Cenderawasi, Felda Sahabat ke Tambisan dan apabila tiba di sebuah selekoh, ia bertembung dengan lori berkenaan.

"Pemandu lori berkenaan terus menghilang diri," katanya.

Empat kilang dikesan guna sijil halal palsu


IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak hari ini menyita dua kilang kek dan dua kilang kicap kerana didapati menggunakan sijil halal palsu dalam satu siri serbuan di sini.

Pengarahnya Mokhtar Sulaiman berkata, keempat-empat premis berkenaan dikesan mengunakan sijil halal palsu hasil pemeriksaan yang dijalankan bersama-sama pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Beliau berkata, dua daripada kilang berkenaan terletak kawasan perindustrian Silibin manakala dua lagi di kawasan perindustrian Menglembu.

"Kilang-kilang berkenaan telah di sita dan kami turut merampas kicap dan kek daripada kilang berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pengusaha kilang-kilang berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 di mana kesalahan pertama yang disabitkan akan membawa hukuman denda RM25,000 manakala kesalahan kedua sebanyak RM500,000.
Dalam perkembangan lain, Mokhtar berkata KPDNKK Perak berjaya mengurangkan penjualan DVD dan VCD cetak rompak di seluruh negeri pada tahun ini ekoran peningkatakan operasi yang dijalankan sejak tahun lepas.

Beliau berkata, tahun lepas sebanyak RM1.43 juta nilai rampasan VCD dan DVD cetak rompak direkodkan dengan sebanyak 37,900 kes dikompaun dan 30,950 kes lagi dikenakan denda.

Bagi tempoh lima bulan lepas, sebanyak 50 kes dikesan membabitkan premis yang menjual VCD dan DVD cetak rompak dan kebanyakan kes dikesan di Ipoh, Taiping dan Manjung.

Dua anggota "Geng Tebuk "diberkas di Pulau Pinang


PULAU PINANG - Polis Pulau Pinang semalam memberkas dua anggota "Geng Tebuk", satu kumpulan penjenayah yang dipercayai terbabit dalam beberapa rompakan bank di Kelantan, Johor, Perlis dan Perak.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kedua-dua lelaki berusia 37 dan 45 tahun itu, diberkas setelah keluar dari sebuah rumah mewah di Sungai Pinang di sini.

Beliau berkata, polis menjumpai pelbagai peralatan seperti mesin gerudi dan alat penebuk dalam sebuah bilik bawah tanah.

Dalam pemeriksaan susulan di sebuah di Jelutong, polis menemui komputer riba yang mempunyai pelan bangunan sebuah pajak gadai di sini manakala di sebuah lagi rumah di Bandar Baru Air Itam, polis menemui enam pucuk pistol tiruan dan satu senapang tiruan.

Antara barangan lain yang ditemui ialah anak kunci, resit pembelian emas dan beberapa barangan untuk memecah masuk sesebuah bangunan, lima pelekat cukai jalan palsu dan enam plat nombor kenderaan palsu termasuk nombor plat kenderaan Singapura.

Tun Hisan berkata, kedua-dua lelaki itu, yang masing-masing bekerja sebagai kontraktor dan pendawai elektrik, didapati positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya polis masih menjalankan siasatan bagi mencari saki baki anggota kumpulan itu.

Penagih guna sistem barter




TELUK INTAN - Jika dahulu sistem barter atau tukar barang digunakan oleh masyarakat purba bagi mendapatkan keperluan harian, tetapi kini, sistem itu digunakan penagih dadah untuk mendapatkan bekalan ‘keperluan’ mereka. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, operasi di sebuah rumah di Batu 13, Jalan Bidor dekat sini, kelmarin mendapati pelbagai jenis barangan yang dipercayai dijadikan barangan tukaran untuk membeli dadah ditemui. 

Menurutnya, operasi yang dilakukan kira-kira jam 8 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini. 

“Ketika serbuan dibuat, seorang wanita berusia 34 tahun bersama tiga anaknya berumur 4 hingga 12 tahun berada di dalam rumah itu. 

“Pemeriksaan yang kita jalankan di rumah itu telah membawa kepada penemuan beberapa jenis dadah dan beberapa barangan lain,” katanya kepada media dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam. 

Hadir sama dalam sidang akhbar itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hilir Perak, Asisten Superintendan Ng Soon Wah.

Menurutnya, pihak polis telah menjumpai satu peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis Heroin dengan anggaran berat 22 gram dan satu lagi peket dadah dipercayai jenis Syabu dengan anggaran berat 78 gram. 

Beliau berkata, turut ditemui pada serbuan berkenaan, satu motosikal jenis Honda EX5 bernombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang di kawasan Teluk Intan pada 3 Januari lalu. 

Menurut Kok Liang, selain itu, pihaknya turut menemui kira-kira 18 jenis barang-barang lain dalam kuantiti berbeza yang dipercayai barangan tukaran untuk mendapatkan dadah. 

Beliau berkata, barangan berkenaan termasuk sembilan mesin pemotong rumput sandang pelbagai jenama, enam penyembur racun pelbagai jenama, dua mesin gerudi, tiga mesin generator, dua mesin pateri, enam pam air pelbagai jenama, 33 telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa barang lain. 

Kok Liang berkata, siasatan lanjut pihaknya juga mendapati rumah tersebut merupakan tempat pengedaran dadah dan penagih akan mendapatkan jumlah dadah mengikut nilai barang yang diberikan kepada suspek. 

“Kita telah menahan wanita berkenaan dan sedang mencari suami suspek yang dipercayai terlibat sama dalam kes terbabit. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sekiranya sabit kesalahan,” katanya. 

Menurutnya, bagi kes memiliki barangan yang disyaki dicuri, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 1000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. 

Beliau berkata, untuk rekod, suami suspek sudah pun mempunyai kes yang sedang menunggu perbicaraan melibatkan kes dadah dan memiliki wang palsu. 

Menurutnya, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang kehilangan barang-barang yang dinyatakan diminta untuk hadir ke Balai Polis Teluk Intan, di sini, untuk proses pengecaman barang-barang yang dijumpai itu.