Search This Blog

Tuesday, June 1, 2010

Korban ribut Agatha di Amerika Tengah kini 99 jiwa



HANYA KATIL YANG TINGGAL: Wanita ini dan anak lelakinya berehat di atas katil selepas rumah mereka musnah akibat tanah runtuh ekoran ribut Agatha di bandar Amatitilan, Guatemala. -- Foto REUTERS
xx
BANDAR GUATEMALA: Angka korban akibat ribut tropika Agatha di Amerika Tengah kini sekurang-kurangnya 99 orang.
Ribut yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh itu memaksa ratusan ribu penduduk di seluruh Guatemala, El Salvador, Honduras dan Mexico meninggalkan rumah mereka.Ketua pengurusan kecemasan Guatemala, Encik David de Leon, berkata sekurang-kurangnya 82 orang terkorban di negara itu, kebanyakannya akibat tanah runtuh.Lagi 53 orang dilaporkan hilang. Sekitar 112,000 penduduk setempat telah dipindahkan ke pusat perlindungan.Bencana itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai kawasan tanaman kopi terbesar di Amerika Tengah, yang sudah pun terancam kerana letusan gunung berapi Pacaya.Sejak Jumaat lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa La Aurora ditutup ekoran debu tebal yang menyelubungi ruang udara daripada letupan gunung berapi itu Rabu lalu.Institut Seismologi Nasional Guatemala meramalkan gunung berapi itu mungkin meletup lebih kuat dalam tempoh beberapa hari mendatang.Sementara itu, pihak berkuasa El Savador melaporkan sembilan orang terbunuh akibat tanah runtuh di negara itu.Presiden Mauricio Funes memberi amaran keadaan masih bahaya.'Walaupun ribut kelihatan sudah reda, keadaan di serata negeri masih kritikal,' katanya.Sekurang-kurangnya 140 kejadian tanah runtuh dilaporkan di serata negeri itu. Pegawai pertahanan awam berkata paras air di Sungai Acelhuate telah melepasi tahap bahaya dan bakal membanjiri kawasan bandar.Di Honduras, lapan kematian dilaporkan ekoran ribut itu.Banjir dan tanah runtuh telah memusnahkan 505 rumah dan menyebabkan sekitar 2,250 penduduk dipindahkan. -- AFP, AP, Reuters.

Bayi ditinggalkan dalam kotak di stesen bas

JOHOR BAHRU: Seorang bayi telah ditinggalkan dalam sebuah kotak di perhentian bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Kulai, di sini kelmarin.
Bayi perempuan itu ditemui orang awam yang melalui Jalan Air Hitam di sini.Seorang lelaki yang menaiki kereta dilihat berhenti dan meletakkan kotak tersebut pada 4.50 pagi kelmarin.Encik Zulkifli Samsi, 40 tahun, yang menemui bayi tersebut berkata, pada waktu itu beliau sedang memandu dalam perjalanan untuk minum di gerai berhampiran rumahnya.'Dalam keadaan samar-samar, saya melihat kelibat orang keluar daripada kereta itu sambil membawa sesuatu. Dalam keadaan kelam-kabut, dia meletakkan kotak yang dibawanya di hentian bas berkenaan sebelum memecut laju ke arah Johor Bahru.'Kerana ingin tahu, saya kemudian berhenti dan mendapati sebuah kotak susu ditinggalkan di situ. Selepas membuka kotak berkenaan saya melihat seorang bayi dibalut dengan kain.'Saya capai kotak itu dan menuju ke Hospital Kulai (HK). Ketika dirawat, saya dapat melihat jarinya bergerak sebelum disahkan sudah meninggal dunia,' katanya di sini, kelmarin.Encik Zulkifli berkata, beliau berdoa sepanjang perjalanan ke hospital agar bayi yang masih bertali pusat itu akan selamat.Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. -- BHM, Utusan Malaysia

21 wanita Thailand dilacur di Afrika Selatan diselamat

CAPE TOWN: Polis Afrika Selatan menyelamatkan 21 wanita warga Thailand dipercayai dilacurkan sindiket pelacuran di sebuah pusat pelacuran, semalam.
“Kami syak mereka mangsa sindiket penyeludupan manusia tapi pada masa ini kami tidak pasti sama ada mereka mangsa sindiket penyeludupan atau tidak.
“Bagaimanapun, kami akan pindahkan mereka ke tempat perlindungan demi keselamatan mereka dan kemudian kami akan menemubual semua wanita untuk mengetahui kedudukan mereka,” kata jurucakap Unit Pencegah Jenayah Hawks, Paul Ramaloko.

Polis melancarkan serbuan itu selepas menerima maklumat orang ramai. Polis menemui kumpulan wanita Thailand bersuai antara 23 hingga 28 tahun yang disahkan diniagakan di Kempton Park, timur Johannesburg.

Semua wanita berada di Afrika Selatan kurang daripada sebulan.

Seorang wanita tempatan turut ditahan kerana menguruskan pusat pelacuran haram itu.

Pasport semua mangsa turut berjaya ditemui semula. Selain itu, polis turut merampas sejumlah kecil heroin dan wang tunai. - AFP

Makkah jadi lubuk jenayah

MAKKAH: Kebanjiran warga asing yang menetap tanpa izin di Makkah menyebabkan kadar jenayah di bandar suci itu meningkat dan memaksa polis bekerja lebih keras menanganinya.
Akhbar al-Watan melaporkan, kebanyakan kejadian jenayah di Makkah dilakukan kumpulan separa terancang.
Menurut akhbar berkenaan, kebanyakan pendatang tanpa izin dari negara luar itu menetap di kawasan mundur di sekitar Jalan al-Mansour, termasuk di daerah Hindawiya, Tandabawi, Zogla, Jabal Ghurab, Harat al-Zaharain dan Rusaifa Masalah itu juga mendorong penduduk setempat mendesak pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan mengenakan hukuman lebih berat ke atas pesalah yang ditahan.

“Dalam kebanyakan kes, pencuri yang ditangkap dikenakan hukuman ringan, malah perbuatan mereka tidak didedahkan,” kata seorang daripada mereka.

Penduduk lain berkata, pihak kerajaan perlu mengambil langkah konkrit di kawasan mundur itu.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Abdul Muhsin al-Mayman, berkata dia yakin apabila sistem pangkalan data cap ibu jari dilaksanakan nanti, masalah jenayah di Makkah dapat diatasi lebih berkesan.

“Sistem ini juga membolehkan penjenayah yang diusir dihalang daripada memasuki negara ini semula,” katanya.

Pakar keselamatan, Jeneral Muhammad al-Bunyan, golongan muda tanpa dokumen peribadi sah mendalangi kebanyakan jenayah di Makkah.

“Mereka hidup miskin, menganggur dan akhirnya terjerumus dalam kegiatan jenayah, seperti mencuri dan merompak,” katanya. ketua Daerah Rusaifa, Sami Miabar, berkata sesetengah warga asing hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan atau pemandu. “Gaji mereka tidak mencukupi menampung keluarga yang kadang-kadang seramai 20 orang dalam satu rumah,” katanya. - Agensi

Bas terbalik: 4 maut, 18 cedera

MADINAH: Empat jemaah umrah terbunuh dan 18 cedera apabila bas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Makkah menuju ke Madinah, semalam.
Jurucakap Pertahanan Awam Madinah, Leftenan Kolonel Talal Al-Harbi, berkata, bas berkenaan terbalik selepas melanggar pagar besi di lebuh raya.
Kata Talal, sesetengah mangsa tersepit dalam bas dan beberapa anggota Pertahanan Awam terpaksa bertungkus-lumus memotong struktur kenderaan berkenaan.

“Mangsa yang cedera ditempatkan di Hospital Wadi al-Fara,” katanya. Menurut Talal, kemalangan ngeri itu berlaku kira-kira 135 kilometer dari Madinah. - Agensi

2 bebas tuduhan bunuh

KUALA LUMPUR: Dua sahabat dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, semalam daripada tuduhan menyebabkan kematian dengan niat seorang wanita empat tahun lalu.
Hakim Fathiyah Idris dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie terhadap pertuduhan.
Tertuduh, penjaga letak kereta, M Munisamy, 23, Salim Noor Mohmed, 23, kelihatan tenang selepas hakim membuat keputusan itu.
Mengikut pertuduhan, Munisamy dan Salim didakwa menyebabkan kematian dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap tubuh badan Sofhia Abdullah@ Lim Thi Hoa, 55, di hadapan CNK Motor Sdn Bhd, Lot 35380, Jalan Sibu 15, Taman Wahyu, Daerah Sentul di sini antara jam 8.30 malam hingga 9.30 malam pada 1 Januari 2006 lalu.

Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan di sebuah kedai lori terpakai menemui mayat Sofhia dalam keadaan bogel dan berlumuran darah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff manakala Munisamy diwakili peguam bela Abdul Rashid Ismail dan Salim diwakili N Sivanesan. Bagaimanapun, hanya Sivanesan yang hadir di Mahkamah semalam.

Bebas tuduhan cabul budak

SEREMBAN: Hanya titisan air mata mampu menggambarkan rasa syukur seorang peniaga ikan selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini, semalam, atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Felda Pasoh Empat, Jelebu, empat tahun lalu.
Ismail Osman, 55, sebelum ini mengemukakan rayuan apabila Mahkamah Seksyen Kuala Pilah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan berkenaan.
Tertuduh didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Felda Pasoh Empat, Jelebu, dekat sini, antara Ogos 2006 hingga 12 Mac 2007.

Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, membebaskan tertuduh dengan alasan keterangan saksi tidak mematuhi Seksyen 133 A Akta Keterangan 1950.

Beliau berkata, bagi keterangan tidak bersumpah oleh mangsa, kolaborasi dengan keterangan saksi adalah mandatori dan ia tidak berlaku dalam kes ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Geetha Gopal.

Sementara itu, Ismail ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia amat bersyukur serta gembira kerana dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan kes berkenaan.

“Kebenaran berpihak kepada saya dan berharap keputusan mahkamah ini dapat membersihkan nama baik saya serta keluarga,’’ katanya

Dua pengedar dadah samun polis menyamar pelanggan

PETALING JAYA: Tindakan dua pengedar dadah cuba menyamun pelanggannya membawa padah apabila individu yang hendak disamun itu anggota polis yang melakukan penyamaran.
Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, anggota polis terbabit yang menyamar pengedar melakukan proses jual beli ganja dengan suspek dalam sebuah kereta di tempat letak kereta di Damansara Damai, dekat sini.
Menurut sumber, ketika tawar menawar itu, berlaku pergelutan suspek dan anggota polis terbabit berikutan kedua-dua suspek cuba menyamun mereka.

Difahamkan, pergelutan itu menyebabkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera di tangan manakala seorang suspek cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

“Anggota polis terbabit cedera di tangan dan lebam di muka akibat ditumbuk suspek. Selain itu, suspek turut mencekik anggota polis berkenaan.

“Namun anggota terbabit mempertahankan diri dan menahan kedua-dua suspek,” katanya.

Sumber berkata, polis turut merampas sekilogram ganja bernilai RM2,600 bersama suspek yang berusia 40 dan 24 tahun itu.

“Penahanan kedua-dua suspek yang dipercayai bergiat aktif selama lapan bulan di Lembah Klang itu juga hasil maklumat awam dan risikan polis selama tiga hari,” katanya lagi.

Difahamkan juga, polis kini memburu beberapa lagi rakan suspek yang dipercayai turut terbabit pengedaran dadah

Warga emas digilis bas dinaiki

TANJUNG MALIM: “Saya menggigil dan hampir pengsan melihat kepala mangsa pecah dan otaknya berkecai atas jalan walaupun ramai penumpang di stesen ini menjerit memberitahu pemandu itu supaya memberhentikan bas,” kata saksi kejadian, Namukri Moarif, 42 menceritakan detik cemas kejadian yang meragut nyawa seorang warga emas, Aishah Ariffin, 76, pagi semalam.
TUTUP...anggota polis memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
TUTUP...anggota polis memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.05 pagi di pekarangan Stesen Bas Awam Tanjung Malim, dekat sini, apabila mangsa yang baru turun dari bas sama cuba melintas di hadapan bas itu. Katanya, mangsa sempat memegang hadapan bas sebelum digilis apabila pemandu terbabit tidak menyedari mangsa berada di hadapannya.
“Tanpa sempat menjerit, bas yang kami naiki terus menggilis kepala warga emas itu.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu menjerit sambil meminta bas berhenti, tetapi sudah terlambat,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kepala mangsa pecah digilis tayar hadapan bas berkenaan sementara otak berkecai dan berselerak di atas jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan, berkata kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan.

“Mangsa yang tinggal di Kampung Batu 7 Behrang Hulu dalam perjalanan ke Tanjung Malim bersendirian. “Bas yang menggilisnya bas sama dinaiki mangsa. Pemandu bas mungkin tidak menyedari mangsa berada di hadapannya disebabkan saiz badan mangsa yang kecil,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat.

Penunggang maut mangsa langgar lari



TANAH MERAH - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan setelah bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva di kilometer 6, Jalan Tanah Merah-Lubuk Jong berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Gading, di sini, petang semalam. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.50 petang itu menyebabkan mangsa, Che Azmi Che Amat, 50 yang dalam perjalanan dari arah Bukit Gading menghala ke Tanah Merah manakala pemandu kenderaan terbabit yang juga seorang lelaki dari arah bertentangan dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Lubuk Jong. 

Kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang oleh mangsa. 

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, berkata, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian leher dan kepala setelah motosikal yang ditunggang terbabas masuk ke dalam parit berdekatan dengan sekolah. 

“Sementara kaki kanannya turut putus akibat kemalangan terbabit. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk dibedah siasat," katanya kepada Sinar Harian. 

Katanya, pihak polis masih mengesan pemandu kereta terbabit yang dipercayai melarikan diri setelah terlibat dalam kemalangan itu. 

“Orang ramai diminta tampil memberikan maklumat kepada polis berhubung kejadian terbabit untuk memudahkan pihak kami menjalankan siasatan. 

“Buat masa ini suspek masih tidak dapat dikesan dan pihak polis mengharapkan agar orang ramai dapat membantu dan menyalurkan maklumat melalui talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di talian 09-9557704," katanya. 

Kes terbabit disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menantu pukul ibu mentua dihukum penjara 6 tahun

MELAKA - Seorang pelayan hotel dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia mengaku bersalah memukul ibu mentuanya empat tahun lalu.
Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Mohd. Fadzil Mohd. Ziki, 32, (gambar) selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.
Ketika hukuman dijatuhkan tertuduh hanya senyap di kandang pesalah. Peguamnya, Markhan Sigh meminta supaya mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Kegananasan Israel: APCO lewat nasihat Najib?


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 1 Jun: Selepas 12 jam serangan dilakukan Israel ke atas kapal Mivi Marmara sehingga membunuh 20 sukarelawan dan 30 cedera, barulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat kutukan ke atas serangan itu.

"APCO lambat nasihatkah?" tanya AJK PAS Pusar, Datuk Husam Musa (gambar) dalam laman komuniti facebook.

Najib membuat kenyataan itu pada jam 12:04 minit malam tadi melalui twitter beliau iaitu setelah lebih 12 jam peristiwa serangan berlaku.

"Kenapa begitu lambat sedangkan negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk yang bukan Islam pun, mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel dalam 3 jam pertama insiden itu berlaku," soal Husam.

Husam dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan  Malaysia berdengkur dalam pelukan APCO apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengutuk keganasan Israel.

Tulisanya, sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini.

"Menteri Luar masuk tidur begitu awal?" soal Husam.

Atau, kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

"Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka?" soal beliau bertalu-talu dalam kenyataan itu.

Bagi beliau, Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel - APCO - sebeberapa segera.

"Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu," katanya.


Israel - tanpa mempedulikan kutukan dunia - membunuh paling kurang dua puluh sukarelawan kemanusiaan menuju Gaza!

Israel nekad. Jika selama ini hanya rakyat Palestin dibedil sesuka hati, kini, warga dunia dari segala pelusuk, tidak terkecuali. 20 dilaporkan terkorban dan 50 yang lain cedera, tulisnya.

Sekalipun misi dunia menerusi Freedom Flotila adalah kemanusiaan - membawa makanan dan ubatan - untuk ummat Palestin yang telah lama menderita, Israel tidak teragak menumpahkan darah mereka.

"Bersama di atas kapal Mavi Marmara yang mengetuai konvoi ini ialah rakyat negara kita. Kita sangat berbangga!" katanya.

"Mungkinkah mereka juga terkorban?" soal beliau.

Antara yang berada di atas kapal itu adalah:-


1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
5. Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
8. Dr Selamat bin Aliman,  Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
12. Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO

Erdogan, Perdana Menteri Turki, juga harus dibanggakan. Mavi Marmara adalah kapal Turki.

Turki memberikan reaksi pantas. Duta Israel di Ankara diminta berundur. Tiga latihan ketenteraan dengan Israel dibatalkan. Turki meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar.

Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat, tulisnya.

Malaysia?


Bagi beliau, Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu.

Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat.

"Dalam respon segera, DAP, Pemuda UMNO, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco," katanya.

Taja pelajar Palestin


Bagi rakyat Kelantan, menerusi NGO Cakno Palestin, mereka kini menaja sekitar tiga puluh pelajar anak-anak kelahiran Palestin belajar di negara ini.

Jumlahnya kecil tetapi ia boleh ditambah jika dana sedia ada dapat didokong bersama rakyat Malaysia yang prihatin.

Dengan luka yang dilakukan oleh Israel kini, menjadi kewajipan kita serius dalam keprihatinan kita terhadap penindasan tak kunjung tamat oleh regim Israel terhadap rakyat Palestin, kata Husam lagi.

Buru kekasih



Posted on the May 31st, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
PETALING JAYA: Polis mengesan teman lelaki remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes penemuan mayat bayi yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah mengenal pasti identiti lelaki terbabit yang berusia 30-an dan percaya dia kini bersembunyi di sekitar Lembah Klang.
Kami mengesan teman lelaki remaja itu yang bekerja sebagai operator sebuah kilang bagi membantu siasatan mengenai kejadian terbabit, katanya selepas merasmikan pertandingan amal menembak anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Lapang Sasar Subang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mayat bayi lelaki berkenaan ditemui seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad yang kemudian melaporkan kewujudan sebuah kubur kecil di kawasan terbabit.
Hasil pemeriksaan ke atas kubur itu, polis menemui mayat bayi berkenaan yang dibalut dengan kain lampin dan dipercayai baru dilahirkan.
Ekoran kes itu, pada Jumaat lalu polis mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun dan kakaknya berusia 24 tahun kerana disyaki terbabit menanam bayi berkenaan.
Khalid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. Bernama

Jaja kisah suami malas



Posted on the June 1st, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
KUALA LUMPUR: Setiap kali bertemu bakal mangsa, wanita berusia 38 tahun ini akan menjaja kisah sedihnya yang terpaksa bekerja keras mencari duit untuk menyara dua anak kerana mendakwa suaminya malas bekerja.
Kisah sedih hidup ditambah kepetahan bercakap mengenai peluang pelaburan dan tawaran memperoleh projek besar menyebabkan ramai ahli perniagaan terpedaya sejak empat tahun lalu.
Taktik itu memberi kesenangan kepada wanita terbabit apabila mampu hidup mewah dengan memiliki beberapa kenderaan dan rumah selain melunaskan pelbagai hutang yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Setakat ini, 15 ahli perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor menjadi mangsa tawaran projek hantu dan pelaburan skim cepat kaya wanita itu yang kononnya mampu memberi pulangan berlipat ganda.
Wanita terbabit juga memperoleh lebih RM500,000 daripada kegiatannya dan menjadikan sebahagian wang itu sebagai modal perniagaan diusahakannya sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar apabila dia ditahan Selasa lalu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras diketuai Inspektor Mohd Mahatir Abdullah di rumahnya di Alam Damai, Cheras di sini, selepas kegiatannya dilaporkan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany, berkata siasatan awal mendapati, wanita itu hanya bermodalkan ayat power untuk meyakinkan mangsa melabur dalam projek diusahakannya seperti membekalkan komputer riba kononnya mahu berkongsi keuntungan.
Kebanyakan mangsa mempunyai perniagaan sendiri dan mereka akan diyakinkan suspek untuk mengeluarkan modal mencecah ratusan ribu ringgit.
Mangsa terpedaya apabila suspek memberikan cek kononnya pulangan awal yang dilaburkan, namun sebaik cek itu ditunaikan, mereka mendapati ia cek tendang kerana akaunnya sudah ditutup, katanya ketika ditemui, semalam.
Izany berkata, kebanyakan mangsa terpedaya selepas suspek menjual kisah malang kononnya mempunyai hutang keliling pinggang kerana bersuamikan lelaki pemalas serta terpaksa menanggung dua anak yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan seorang lagi yang masih bersekolah.
Selepas menjaja cerita sedih itu, mangsa mendakwa boleh mendapatkan peluang dan kelulusan segera tender serta kontrak kerajaan seperti membekalkan komputer di sekolah serta penajaan beberapa kursus syarikat korporat bernilai puluhan ribu ringgit.

Dua kereta plat sama terbongkar



KUALA LUMPUR 31 Mei - Seorang pemilik kereta import terpaksa berputih mata apabila kereta yang dibelinya itu terpaksa dilupuskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan mempunyai 'kembar' di JPJ Wangsa Maju di sini hari ini.
Kereta bernilai RM50,000 yang dibeli dua tahun lalu dikesan tidak sah ketika pemeriksaan lanjut dibuat ke atas kedua-dua kereta terbabit.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd. Nadzri Osman berkata, pemeriksaan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan tentang kegagalan pemilik kereta tersebut memperbaharui cukai jalan raya.
Katanya, lelaki itu membuat laporan di cawangan JPJ Pahang.
"Hasil laporan itu, pihaknya mengesan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran sama yang telah disenarai hitamkan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada April lalu.
"Kedua--dua kenderaan tersebut bukan sahaja dari jenis yang sama iaitu Toyota Harrier tetapi turut serupa dari segi nombor pendaftaran, nombor siri enjin dan geran," katanya pada sidang akhbar hari ini.
Mohd. Nadzri berkata, JPJ telah menghantar kes itu ke Jabatan Kimia untuk membuat pemeriksaan lanjut dan hasilnya kenderaan pemilik pertama adalah yang sah.
"Bagi pengesahan geran kereta pula, kita menghantarnya kepada Percetakan Keselamatan Nasional untuk mengenal pasti keaslian kedua-dua geran itu.
"Geran pemilik pertama adalah yang sah dan asli," katanya.
Tambah beliau, kedua-dua pemilik kereta membeli kereta terbabit secara lelong dengan harga yang berbeza antara RM50,000 dan RM70,000.

Rogol anak cacat pendengaran, bapa dipenjara 20 tahun, 10 sebatan



TEMERLOH 31 Mei - "Harapkan pagar, pagar makan padi."
Begitulah nasib yang menimpa seorang gadis kurang upaya (OKU) berusia 27 tahun yang dirogol oleh bapa kandungnya sendiri sehingga melahirkan seorang bayi perempuan pada bulan lalu.
Perbuatan terkutuk lelaki berusia 65 tahun itu terbongkar selepas mangsa yang cacat pendengaran memberitahu gurunya di Pusat Pemulihan Komuniti Felda menggunakan bahasa isyarat.
Menurut mangsa, ayah kandungnya telah merogolnya sebanyak tiga kali sehingga menyebabkannya mengandung.
Guru terbabit yang terkejut dengan kejadian menimpa anak muridnya itu, telah membawa mangsa menjalani pemeriksaan doktor dan dia disahkan mengandung tujuh bulan.
Berikutan kejadian itu, bapa mangsa telah ditahan sepasukan polis pada 14 Januari lalu dan disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan serta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini enam hari kemudiannya.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kes tersebut kemudian dibicarakan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof.
Hari ini, hakim tersebut mensabitkan tertuduh dengan kesalahan berkenaan dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan 10 kali terhadapnya.
Tertuduh didapati bersalah merogol anak kandungnya itu di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Felda Jengka 19 kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Julai tahun lalu.
Akibat perbuatan terkutuk bapanya itu, mangsa kemudiannya melahirkan anak perempuan pada 1 April lalu dan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan ayah kepada anak mangsa ialah tertuduh.
Tertuduh hanya mendiamkan diri sebaik sahaja Azuar menjatuhkan hukuman ke atasnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rashid Abd. Rahim.

Pembantu kedai dihukum mati





KOTA BHARU 31 Mei - Seorang pembantu kedai pakaian terpakai dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 13.94 gram, dua tahun lalu.
Ahmad Sa'ad Hazmin , 25, yang memakai baju T putih dan berseluar sukan kelihatan tenang ketika keputusan tersebut dibacakan oleh Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim.
Dalam penghakimannya, hakim tersebut menyatakan, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu sebaliknya pertuduhan disokong oleh bukti bahawa wujudnya urusan tawar-menawar dan jual-beli dadah.
''Dalam kes tersebut, pihak polis telah melakukan penyamaran selepas menerima maklumat berkaitan dengan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
''Hasilnya telah wujud urusan jual-beli sehingga serbuan dilakukan dan tertuduh ditangkap bersama-sama dengan barang kes,'' katanya.
Sebaik sahaja keputusan dijatuhkan, suasana dalam mahkamah hening seketika dan tertuduh mengesat air matanya selepas dipeluk erat oleh ibunya sebelum diikuti oleh ahli keluarganya yang lain.
Pemuda itu disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah tersebut seberat 13.94 gram atau sebanyak 979 butir pil kuda di sebuah kedai makan di Kampung Kasar, Pasir Mas, di sini kira-kira pukul 8.40 malam, 29 Januari 2008.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin manakala Ahmad Sa'ad diwakili peguam bela, Wan Naziruddin Wan Jaafar

Akibat percayakan seorang 'ustaz', gadis jadi mangsa cabul



KUALA TERENGGANU 31 Mei - Akibat percayakan seorang 'ustaz' untuk membantu menyelesaikan masalah dengan teman lelakinya, seorang pelajar perempuan sekolah menengah dicabul ketika menerima 'rawatan' lelaki itu.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, mangsa mengenali suspek berusia 38 tahun baru-baru ini, yang merupakan fasilitator di sebuah kem motivasi.
Katanya, kerana percayakan suspek, mangsa yang berusia 17 tahun menceritakan masalahnya iaitu sukar melupakan teman lelakinya sehingga terjejas pelajaran.
"Ustaz tersebut mengaku boleh merawat secara tradisional dan menelefon mangsa untuk melakukan rawatan di rumahnya, 21 Mei lalu.
"Dalam rawatan itu, mangsa diminta supaya menyediakan dua botol air dan tidak memakai seluar dalam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau memberitahu, ketika melakukan 'rawatan' tersebut, suspek menyentuh dada dan memeluk pinggang mangsa.
"Selain itu, ustaz tersebut juga meramas punggung dan buah dada selain kemaluan mangsa.
"Mangsa turut diminta mencium pipi suspek selepas rawatan. Gadis itu hanya mengikut arahan kerana menyangka ia sebahagian daripada rawatan," ujarnya.
Manoharan berkata, mangsa yang merasa curiga dengan rawatan pelik itu kemudian menelefon agensi perunding di tempat suspek tersebut bekerja.
"Namun dia dimaklumkan suspek telah dipecat 12 Mei lalu kerana telah jauh terpesong. Mangsa lalu membuat laporan di Balai Polis Gong Badak di sini, pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin.
"Mangsa bersama ibu bapanya serta majikan suspek kemudian membuat perangkap dengan menelefon suspek dan menahannya di rumah itu," katanya.
Beliau memberitahu, suspek ditahan reman sehingga 3 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

25 peragut Jom Heboh diberkas





Antara barang kemas yang dirampas semula daripada 25 peragut di Karnival Jom Heboh di Kangar, semalam.



KANGAR 31 Mei - Sekumpulan lelaki dan wanita ini sanggup datang jauh dari Sabah semata-mata untuk menghadiri Karnival Jom Heboh yang diadakan di seluruh Semenanjung.
Namun kumpulan yang terdiri daripada 12 lelaki dan 13 wanita, berusia antara 18 dan 46 tahun ini bukan untuk berhibur tetapi bagi tujuan meragut.
Itulah dilakukan oleh mereka yang menjadikan tempat tumpuan awam sesak seperti karnival tersebut sebagai lokasi melakukan jenayah itu.
Namun tindakan itu akhirnya terbongkar apabila polis menahan mereka di tapak karnival terbabit dan serbuan di sebuah hotel di sini, kelmarin dan semalam.
Empat daripadanya ditahan di tapak karnival itu kelmarin, manakala bakinya di hotel berkenaan yang dijadikan tempat untuk mengumpul hasil ragut.
Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Md. Amin berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 11 utas rantai tangan serta kaki, loket (14 unit) rantai leher (39 utas) dan 80 gram emas bernilai RM26,500 dirampas.
Katanya, selain itu satu alat penimbang barang kemas, kalkulator dan kanta pembesar yang disyaki digunakan untuk kegiatan tersebut.
Menurutnya, siasatan mendapati ahli kumpulan terbabit menyasarkan kanak-kanak yang memakai barangan kemas seperti gelang dan rantai.
"Suspek kemudian akan 'melanggar' ibu atau bapa kanak-kanak itu sebelum berpura-pura meminta maaf. Ketika itu, seorang rakan suspek bertindak memotong barang kemas milik anak mangsa dengan gunting.
"Suspek lalu mengedarkannya (barang kemas) kepada rakan lain sebelum mereka melarikan diri.
"Ahli kumpulan itu memiliki kemahiran memotong barang kemas dengan pantas, malah sewaktu mangsa berjalan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini malam tadi.
Ghazali berkata, polis percaya tiga daripada mereka yang ditahan merupakan pembeli dan dalang kegiatan jenayah tersebut.
Katanya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.