Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my
 |
PENDUDUK kampung dan nelayan berusaha membersihkan sekitar persisiran pantai yang dicemari tumpahan minyak berikutan pelanggaran kapal di Pengerang, Kota Tinggi, semalam.
|
KOTA TINGGI 29 Mei - Para nelayan yang selama ini mencari rezeki di perairan Pengerang di sini akur kerana tidak dapat turun ke laut disebabkan pencemaran tumpahan minyak akibat pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga Kelana 3, Selasa lalu.
Tinjauan
Mingguan Malaysia di beberapa lokasi yang terjejas akibat tumpahan itu mendapati rata-rata nelayan terpaksa melakukan kerja lain buat sementara waktu sehinggalah dapat turun semula ke laut.
Seorang nelayan, Zakaria Idris, 49, berkata, terdapat nelayan mengambil upah membersihkan persisiran pantai kampung masing-masing dari kontraktor yang dilantik Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan upah RM50 sehari.
''Cukuplah dengan RM50, sekurang-kurangnya duit itu dapat juga beli barangan harian selain bagi anak-anak duit belanja sekolah.
''Selain itu juga, cara kami ini sedikit sebanyak dapat mempercepatkan lagi usaha membantu pihak berkuasa untuk membersihkan kotoran minyak di kawasan terlibat," katanya.
Zakaria berkata, kejadian tumpahan minyak itu menyebabkan pendapatan nelayan yang rata-ratanya memperoleh RM100 sehari dengan hasil menangkap ikan terjejas.
Bagi Latip Manan, 70, waktu ini digunakan oleh kebanyakan nelayan untuk membaiki jaring masing-masing termasuk yang rosak akibat terkena tumpahan minyak berkenaan.
Katanya, kes tumpahan minyak seumpama itu pernah berlaku sebelum ini namun sehingga sekarang tuntutan insurans yang dibuat terhadap kapal-kapal yang terlibat juga masih belum menemui jalan penyelesaian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Harun Abdullah yang turun padang bagi meninjau lokasi tumpahan minyak turut memaklumkan akan berusaha bagi membantu nelayan yang terjejas akibat tumpahan minyak tersebut.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar di sini dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 6,900 liter minyak bercampur air yang tercemar dikumpul sejak hari pertama kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dijalankan akibat pelanggaran Kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga Kelana 3, Selasa lalu.
Sehingga kini, Jabatan Laut Wilayah Selatan masih memantau pergerakan tumpahan minyak yang telah memasuki perairan negara.
''Pada masa ini, kerja-kerja pembersihan minyak sedang giat dijalankan di pantai-pantai yang terjejas," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah Tanjung Ayam, Tanjung Stapa, Tanjung Kapal, Sungai Rengit, Kampung Jawa, Sungai Musuh, Sungai Haji Ahmad dan Sungai Haji Yusof.
Katanya, JAS sebelum ini menggunakan teknik penyuraian bagi memecahkan baki tumpahan minyak yang terdapat di Tanjung Ayam dengan menggunakan sabun khas, selain mengutip ketulan tar kecil di persisiran pantai tersebut.
Selain itu, tambah kenyataan itu, boya-boya turut dipasang di perairan itu bagi mengelak tumpahan minyak itu merebak dan mencemarkan perairan lain.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang, Abu Bakar Mohamad, 60, berkata, mata pencarian kira-kira 400 nelayan di sekitar kawasan Pengerang terjejas akibat tumpahan minyak tersebut.
''Jika sebelum ini nelayan boleh memperoleh RM80 hingga mencecah RM300 sehari, sekarang ini nak turun laut pun kena fikir dua kali.
''Ini kerana bukan saja ikan tak dapat, jaring juga boleh rosak sekiranya terkena tumpahan minyak," katanya ketika dihubungi
Mingguan Malaysia di sini hari ini.