Search This Blog

Saturday, May 29, 2010

Kapal ditunda dan sembilan nelayan Thai ditahan di Sarawak



29/05/2010 3:41pm

KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah kapal tunda laut dalam termasuk sembilan nelayan rakyat Thailand kerana menceroboh perairan negara pada 25 Mei lalu.
Kapal tunda itu yang menggunakan pendaftaran SF2-2993 C2 ditahan kira-kira 135 batu nautika dari Tanjong Po ketika sedang menarik pukat untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa.
"Ketika pemeriksaan handak dilakukan kapal terbabit cuba untuk melarikan diri, namun berjaya dipintas oleh pihak APMM yang menggunakan kapal KM Bijak dan Bot RHIB," menurut kenyataan APMM.
Setelah membuat pemeriksaan didapati seorang tekong dan lapan awak-awak warga Thailand tidak mempunyai sebarang dokuman dan lesen bot nelayan yang sah.
Berikutan penahanan tersebut, bot nelayan dan nelayan asing terbabit telah dibawa ke Kuching atas kesalahan menangkap ikan secara haram di laut perairan Malaysia iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a). - Bernama

Pemandu terbunuh, lori rempuh pengbahagi selepas dilanggar



29/05/2010 3:41pm

SEREMBAN - Seorang pemandu lori terbunuh apabila kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di KM277, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan pagi ini.
Jurucakap polis berkata, mangsa, Chiam Chee Siong, 29, mati di tempat kejadian selepas lori yang dipandunya dilanggar dari belakang oleh sebuah treler, sebelum lorinya terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya pada kira-kira pukul 6.30 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu lori tersebut.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat.
Katanya, pemandu treler dan kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

65 jiwa korban nahas kereta api di India



Kejadian berlaku selang beberapa hari terhempasnya sebuah pesawat


CALCUTTA: Sebuah kereta api ekspres sarat dengan penumpang yang sedang nyenyak tidur tergelincir serta berlanggar dengan kereta api membawa barang semalam.
Ini menyebabkan sekurang-kurangnya 65 orang terkorban.Kejadian yang turut menyebabkan lebih 200 penumpang cedera itu didakwa angkara kumpulan pemberontak Maoist.Agensi berita Press Trust of India melaporkan 13 gerabak penumpang kereta api dalam perjalanan ke Mumbai itu tergelincir selepas satu letupan awal pagi semalam.Gerabak itu kemudian dilanggar sebuah kereta api barang.Kereta api penumpang dari Calcutta itu sedang melalui kawasan yang sering diserang pemberontak Maoist India.Menteri Perkhidmatan Kereta Api, Encik Mamata Bennerjee, yang bergegas ke tempat kejadian berkata beliau dimaklumkan bahawa kejadian itu berlaku selepas satu letupan kuat meletus di landasan.'Kami bimbang jika kemalangan ini adalah angkara kumpulan pemberontak Maoist,' kata Encik Bennerjee kepada pemberita.Seorang pegawai kanan perkhidmatan kereta api, Encik Vivek Sahay, berkata:'Pemandu kereta api terdengar bunyi bising yang menunjukkan mungkin berlaku satu letupan. Siasatan terperinci akan dijalankan tetapi saya pasti landasan kereta api itu telah dikacau. Ini jelas satu sabotaj.'Seorang wartawan akhbar Telegraph, Cik Naresh Jana, yang berada di tempat kejadian, berkata:'Para penyelamat sedang bertungkus lumus untuk mengeluarkan penumpang yang terperangkap di dalam gerabak.'Saya nampak tubuh manusia terjuntai keluar dari tingkap kereta api dan di bawah roda. Saya boleh dengar suara orang, wanita, terpekik meminta tolong dari dalam gerabak.'Seorang wartawan setempat, Encik Amitava Rath, pula berkata:'Tangisan wanita dan kanak-kanak dari dalam gerabak sudah tidak kedengaran lagi. Mereka masih cuba memotong besi dan cuba mengeluarkan penumpang yang masih terperangkap.'Kemalangan itu berlaku selang beberapa hari sebuah pesawat terhempas di selatan India, menyebabkan 158 orang terkorban.Sebelum ini, para pemberontak Maoist sering menyerang polis, bangunan pemerintah dan prasarana seperti stesen kereta api.Kumpulan Maoist ingin mengguling pemerintah melalui pemberontakan bersenjata menjelang 2050.Mereka telah menggiatkan serangan sejak beberapa bulan lalu selepas pasukan keselamatan pemerintah melancarkan serang balas bagi menumpaskan kumpulan yang bersembunyi di kawasan hutan itu. -- AFP, AP, Reuters.

Limpahan kini merebak ke pantai Changi dan Chek Jawa Oleh


CHANGI TURUT TERJEJAS: Kakitangan NEA serta agensi-agensi yang terlibat dalam pembersihan pantai yang tercemar giat memulihkan sekitaran di Changi. -- Foto-foto TAUFIK A. KADER
Mudah cetak
E-mel

29 Mei 2010

SINGAPURA

LIMPAHAN MINYAK DI PERAIRAN SINGAPURA

Hisham Hasim Dan Adli Yashir Kuchit

LIMPAHAN minyak disebabkan pelanggaran dua kapal di Selat Singapura kira-kira 13 kilometer ke tenggara Changi East, Selasa lalu, kini merebak ke sebahagian kawasan pantai Changi dan Chek Jawa di Pulau Ubin.


BARBEKU TIDAK TERJEJAS: Keluarga Cik Nurliza Mohd Salleh (kiri) teruskan berkhemah dan barbeku sempena cuti umum di pantai Changi meskipun kawasan pantai di situ ditutup.


Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), limpahan di dua kawasan terjejas itu mula dikesan sekitar 2 petang semalam.
Kawasan pantai Changi yang terjejas adalah antara tempat meletak kereta 6 dan 7, dekat Terminal Feri Changi.Kesan limpahan minyak yang dilihat di kawasan pantai itu adalah sepanjang 700 meter dan selebar 0.5 meter.Sementara kawasan Chek Jawa, yang terkenal dengan habitat dan alam semula jadinya, hanya melibatkan tompokan minyak sejauh 150 meter di Coastal Boardwalk.Dalam satu sidang media di Kementerian Sekitaran dan Sumber Air semalam, Ketua Pegawai Eksekutif NEA, Encik Andrew Tan, berkata usaha telah giat dijalankan oleh kakitangan berbilang agensi bagi membersihkan kesan tumpahan minyak dan mengawal sekitaran di kedua-dua tempat itu.


'Kami juga terus memantau kawasan-kawasan yang terjejas dan kawasan-kawasan baru dengan menggunakan visual satelit,' kata Encik Tan.
Selain NEA, operasi membersihkan tumpahan minyak itu juga melibatkan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA), agensi air negara PUB, Lembaga Taman Negara (NParks), dan Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan (AVA).Tumpahan minyak itu berlaku apabila kapal tangki yang berdaftar di Malaysia, MT Bunga Kelana 3, berlanggar dengan kapal yang berdaftar di St Vincent and The Grenadines, MV Waily, Selasa lalu.Memberikan laporan terkini tentang usaha pembersihan di pesisiran pantai East Coast, Encik Tan menyifatkan kawasan tersebut sebagai stabil, dengan bau minyak sudah mula berkurangan.Katanya, keadaan di pantai East Coast kelihatan lebih baik dengan sekitar 90 peratus kawasan yang terjejas telah dibersihkan.Namun, lebih banyak usaha perlu dijalankan di kawasan berhampiran antara Big Splash dengan restoran McDonald's.Hingga semalam, sebanyak 19.6 tan tanah yang tercemar telah dipindahkan dari pantai East Coast dan dibuang di Semakau.Sejauh ini NEA dan syarikat pengendali kapal MT Bunga Kelana 3, AET Tanker Holdings Sdn Bhd, telah mengerahkan 245 kakitangan bagi kerja-kerja pembersihan, dengan 14 pegawai NEA meneruskan pemantauan di East Coast Park, Changi dan Pulau Ubin.Menurut NEA, pantai yang terjejas kini ditutup kepada orang ramai dan pihaknya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan berenang atau menjalankan sebarang kegiatan di laut dan gigi air di pantai East Coast dan Changi.Namun, kegiatan beriadah di darat masih boleh diteruskan.Tinjauan Berita Harian di pantai East Coast dan Changi semalam mendapati ramai pengunjung yang sedang berkelah dan bersantai bersama keluarga.NEA akan terus memantau mutu udara di sepanjang pantai East Coast dan Changi dan sejauh ini tidak mengesan sebarang kimia toksik yang membahayakan kesihatan.

Lelaki maut dilanggar kereta api MRT

SINGAPURA
SEORANG lelaki menemui maut setelah dilanggar kereta api MRT menghala ke Yishun di stesen Sembawang pagi semalam.
Kemalangan yang berlaku sekitar 11.30 pagi itu menyebabkan khidmat MRT tergendala dan menjejas sekitar 7,300 penumpang.Khidmat MRT hanya dapat dikembalikan pada 12.40 tengah hari.Ketika dihubungi semalam, seorang jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 11.35 pagi mengenai seorang lelaki terjatuh di landasan MRT di stesen Sembawang.SCDF mengejarkan kereta bomba, kenderaan Red Rhino, ambulans dan beberapa kenderaan sokongan.'Namun setiba pasukan penyelamat di tempat kejadian, mangsa sudah tidak dapat diselamatkan,' kata jurucakap SCDF.Mangsa ditemui di bawah gerabak kedua kereta api terbabit.Bagi memastikan khidmat MRT di kawasan lain tidak terjejas, khidmat kereta api ke arah selatan telah dipesongkan di stesen Woodlands sementara khidmat menghala ke utara telah dipesongkan di stesen Yishun.SMRT juga menyediakan khidmat bas percuma untuk membantu penumpang yang terjejas.Menurut SMRT, penumpang yang tidak dapat menamatkan perjalanan mereka akibat kejadian itu boleh mendapatkan pulangan tambang penuh daripada pusat khidmat penumpang di mana-mana stesen MRT dalam masa tiga hari kerja.SMRT kini membantu polis dalam siasatan kes itu.





Bahaya cerucuk besi



KLUANG - Penduduk di sini tidak puas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor berkenaan yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Wakil penduduk, Md Nor Sakiran, 58, berkata, pembaikan dan pembesaran sistem longkang yang dilakukan oleh kontraktor tidak sempurna walaupun kerja sudah disiapkan.

“Kami tidak puas hati dengan apa yang dilakukan oleh mereka kerana mereka tidak membersihkan besi-besi cerucuk yang berada di bawah parit.

“Besi-besi dibiarkan begitu sahaja, malah ini akan membahayakan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak kerana mereka bermain-main di tepi longkang,” katanya.

Md Nor berkata, kontraktor perlu membersihkan segala cerucuk-cerucuk tersebut sebelum meninggalkan tempat berkenaan. 

Menurutnya, walaupun kerja dilakukan dengan cepat tetapi apa yang dilakukan mereka tidak sempurna.

Sementara itu, seorang penduduk yang tidak mahu dikenali berkata, sistem parit di kampung ini juga tersekat dan air parit tidak dapat mengalir kerana terlalu banyak sampah di dalamnya.

“Kami mahu parit kampung kami diber sihkan kerana sekiranya tersekat dengan sampah-sampah kami khuatir apabila hujan lebat, banjir akan berlaku.

“Sebelum sistem perparitan ini dilakukan kampung kami pernah banjir kerana sistem perparitan kami tidak sistematik,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian.

Penduduk kampung Sembrong Dalam berharap, pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera dan melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.

Politik Nepal mula kacau-bilau




KATHMANDU - Menjelang berakhirnya penggal parlimen Nepal tengah malam tadi, keadaan politik negara itu terus kacau-bilau apabila pemimpin parti-parti pembangkang tidak mencapai kata sepakat. 

Mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Presiden Ram Baran Yadav gagal mencari jalan penyelesaian berhubung masa depan Constituent Assembly (CA). 

Perselisihan pendapat antara kerajaan dan pembangkang mungkin menye�babkan Nepal tidak mempunyai badan perundangan atau Dewan Senat yang boleh berfungsi. 

Pada 2008, CA diberi tanggungjawab merangka perlembagaan baru supaya pilihan raya umum boleh diadakan pada tahun ini dan diharap dapat menamatkan serangan kumpulan Mao terhadap kerajaan sejak sepuluh tahun lalu. 

Parti berasaskan kumpulan Mao menang pilihan raya umum 2008 dan memegang tampuk pemerintahan selama sembilan bulan sebelum menjadi pembangkang. 

Pertelingkahan sejak dua tahun lalu tidak membantu kerja-kerja merangka perlembagaan baru dan kini, pemimpin Mao dalam Parti Komunis Nepal tidak mahu mengundi untuk melanjutkan tempoh CA selagi Yadav tidak meletak jawatan. 

Sehingga lewat malam semalam, CA berbahas untuk mencari penyelesaian terhadap krisis politik yang timbul. 

Parti Komunis Nepal pula terus meminta parlimen dibubarkan serta hak menerajui kerajaan campuran.

Kereta api penumpang tergelincir di timur India



BENGAL - Sekurang-kurangnya 80 penumpang maut dan 200 lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di timur India, awal pagi semalam, akibat perbuatan pemberontak. 

Setiausaha Dalam Negeri Bengal Barat, Samar Ghosh mengesahkan angka korban itu dalam kemalangan yang berlaku semasa kereta api penumpang, Gyaneshwari Express melalui kubu kuat pemberontak. 

Menteri Perkhidmatan Kereta Api, Mamata Banerjee berkata, kereta api dengan 13 gerabak itu dalam perjalanan dari bandar Kolkata dan tergelincir selepas satu letupan berlaku di kawasan luar bandar, kira-kira 150 kilometer ke selatan Kolkata. 

"Sebuah kereta api pengangkut barang dari arah bertentangan kemudian melanggar tiga daripada 13 gerabak kereta api yang sarat dengan penumpang itu. 

"Kemalangan ini berlaku akibat sebutir bom yang dipasang puak pemberontak Mao," katanya. 

Ketua Polis Negeri, Surojit Kar Purkayastha berkata, puak pemberontak mungkin mengalihkan beberapa bahagian landasan di kawasan itu sehingga menyebabkan gerabak kereta api tergelincir. 

Kemalangan itu berlaku di kawasan kubu kuat Mao yang meningkatkan serangan sejak beberapa bulan lalu dan mengisytiharkan mogok bermula semalam kerana tidak berpuas hati dengan corak pengagihan pendapatan di negara itu.

Dua masjid diserang, 70 terkorban



LAHORE - Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh manakala lebih 108 cedera apabila sekumpulan pemberontak bersenjatakan senapang dan bom tangan menyerang dua masjid di daerah Garhi Shahu, sejurus selepas waktu solat Jumaat, semalam. 

Jurucakap polis berkata, salah seorang pemberontak memanjat bumbung masjid dan melontar bom tangan sementara sebahagian jemaah dijadikan tebusan di dalam kedua-dua masjid berkenaan. 

Kumpulan itu juga melepaskan tembakan ke arah polis yang bergegas ke tempat kejadian dan berusaha membebaskan tebusan.

Mayat pemungut sewa apartmen ditemui di tepi jalan



29/05/2010 3:39pm

PORT DICKSON 29 Mei - Mayat seorang lelaki, pemungut sewa
apartment ditemui orang awam di tepi jalan pintas Taman Anika ke Kampung
Segenting dekat sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Adnan Mohd Ali berkata orang
awam menjumpai mayat itu pada kira-kira pukul 7.15 malam dan kemudian
menghubungi pihak polis.
"Pasukan polis yang pergi ke tempat kejadian mendapati kesan luka parah
di dahi mayat itu dipercayai akibat pukulan senjata keras dan tumpul manakala cuping telinganya hampir putus. Polis turut menemui dompet dan motosikal mangsa di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Lim Ah Sui, 39, dan tinggal di Taman Anika.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah
siasat. - Bernama

Pasangan suami isteri ditahan dera anak hingga mati



29/05/2010 2:39pm

KUALA LUMPUR 29 Mei - Polis menahan sepasang suami isteri dipercayai ibu dan bapa kepada seorang bayi lelaki yang meninggal dunia akibat didera semalam.
Penahanan pasangan itu dibuat pada kira-kira pukul 9.30 malam di kawasan Dang Wangi dekat sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pasangan berusia 25 dan 32 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan. - Utusan

22 kes baru H1N1 dilaporkan



29/05/2010 4:45pm

KUALA LUMPUR 29 Mei - Sebanyak 22 kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul ketika ini adalah sebanyak 14,794 kes dengan 87 kematian.
Daripada jumlah tersebut, enam kes H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima kes melibatkan individu yang mempunyai faktor risiko.
Kementerian Kesihatan meneriam empat laporan kejadian kluster penyakit serupa Influenza (ILI) sehingga awal pagi ini, dua kes dari Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes dari Johor dan Melaka.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd. Ismail Merican berkata, sebanyak 72 kejadian kluster yang masih aktif di seluruh negara ketika ini.
''Daripada 534 kes ILI yang dirawat di hospital seluruh negara, 50 kes disahkan disahkan positif H1N1,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Utusan

Warga Singapura cedera ditembak



29/05/2010 5:54pm

JOHOR BHARU 29 Mei - Seorang warga Singapura cedera ditembak di Jalan Abdullah Tahir di sini awal pagi ini.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu cedera di peha kanan dan pinggang kiri telah dikejarkan ke hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sebelum kejadian, orang awam melihat mangsa bertengkar dengan seorang lelaki di tepi jalan sebelum beberapa das tembakan dilepaskan ke arah mangsa.
Beliau berkata, mangsa didapati mempunyai beberapa rekod jenayah kesalahan lampau di Singapura dan Malaysia.
Katanya, suspek pula dipercayai seorang lelaki berusia 40-an, juga merupakan warga republik itu.
"Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau di Malaysia dan kini sedang diburu polis,” katanya.
Mohd. Mokhtar berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Cuba Bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun. - Bernama

gaji pekerja naik selepas bunuh diri



TAIPEI - Syarikat elektronik Taiwan, Foxconn Technology Group akan menaikkan gaji pekerja secara purata sehingga 20 peratus selepas 10 pekerja membunuh diri di beberapa kilangnya di China.
Kebanyakan pekerja itu membunuh diri dengan terjun dari bangunan.
Seorang pegawai itu berkata, rancangan untuk menaikkan gaji pekerja sudah dirancang ekoran faktor kekurangan buruh di China.
Percubaan terbaru melibatkan seorang pekerja lelaki berusia 25 tahun yang mengelar pergelangan tangannya di dalam sebuah bilik asrama kilang tersebut.
Kes bunuh diri itu dikaitkan dengan bebanan kerja.
Syarikat itu merupakan sebahagian daripada syarikat Hon Hai Precision Industry Co. yang bertanggungjawab membekalkan peralatan elektronik kepada Apple Inc., Sony Corp., Dell Inc., Nokia Corp. dan Hewlett-Packard Co.
Sementara itu, pengerusi syarikat berkenaan, Terry Gou pernah berjanji akan berusaha keras bagi menangani masalah kes bunuh diri di kilang tersebut. - Agensi

71 maut kereta api tergelincir di India




BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa gerabak yang tergelincir dekat Sardina, Bengal Barat semalam.


SARDIHA, India - Pemberontak-pemberontak komunis Mao disyaki terlibat dalam insiden sebuah kereta api penumpang berlanggar dengan sebuah kereta api kargo yang menyebabkan sekurang-kurangnya 71 orang terbunuh manakala 200 yang lain cedera di timur India semalam.
Pihak berkuasa India tidak bersependapat mengenai punca nahas.
Ada pihak yang mendakwa ia disebabkan oleh letupan manakala yang lain menyatakan laluan kereta api itu telah disabotaj.
Seorang pegawai polis di negeri Bengal Barat, Bhupinder Singh memberitahu, poster-poster kumpulan Jawatankuasa Rakyat Menentang Kekejaman Polis yang disifatkan oleh pihak berkuasa mempunyai kaitan dengan pemberontak Mao ditemui di lokasi kejadian. - AP

Perompak larikan wang RM18.11 juta




SEORANG askar mengawal Bank Rafidian di bandar al-Mushkab semalam.


BAGHDAD – Sekumpulan perompak di Iraq melarikan 6.5 bilion dinar (RM18.11 juta) dari sebuah bank pemerintah 160 kilometer ke selatan Baghdad semalam dengan bantuan seorang pengawal keselamatan, kata beberapa pegawai polis.
“Menurut maklumat, salah seorang pengawal keselamatan memberikan dadah kepada rakan-rakannya dengan meletakkan dadah dalam minuman teh mereka,” kata Ketua Jawatankuasa Najaf, Louai al-Yasiri.
Menurutnya, selepas pengawal-pengawal keselamatan itu meminum teh bercampur dadah itu, sekumpulan lelaki bersenjata memasuki Bank Rafidian di bandar al-Mishkab, wilayah Najaf selepas tengah malam.
Dia berkata, polis mempunyai bukti mengenai siapa yang menjadi dalang rompakan itu.
Kejadian itu berlaku selepas satu rompakan emas pada Selasa lalu di Baghdad dengan melibatkan kematian 14 orang.
Pemerintah Iraq menyalahkan kumpulan Al-Qaeda melakukan rompakan emas itu.
– Reuters

Bala dua kali rumah dirempuh bas




Keadaan rumah keluarga Yusri yang dirempuh sebuah bas di Kampung Kijing, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan semalam.


MARANG - "Mula-mula saya dengar bunyi bising, selepas itu dengar pula bunyi kaca pecah."
Demikian kata-kata Yusri Abas, 43, yang terkejut selepas melihat rumah milik ayahnya, Abas Sulong, 67, dilanggar sebuah bas persiaran yang hilang kawalan di Kampung Kijing, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat sini semalam.
Lebih mengejutkan, kata Yusri, kejadian seumpama itu merupakan yang kedua selepas kejadian pertama pada 18 Jun tahun lalu.
Dalam kejadian pertama itu, tiang garaj kereta rumah Yusri patah akibat dilanggar bas.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi semalam, dua buah kereta dan empat buah motosikal milik keluarga Yusri rosak teruk.
"Ketika kejadian hanya adik-beradik saya yang berada di rumah manakala saya berada di bengkel motosikal di sebelah rumah dan kedua ibu bapa saya pula pergi ke pasar.
"Sejurus terdengar bunyi bising dan kaca pecah, saya segera menjengah keluar dan terkejut melihat sebuah bas persiaran sudah melanggar rumah kami," kata Yusri ketika ditemui dekat sini semalam.
Akibat kejadian itu, bahagian hadapan rumahnya rosak dan kayu garaj yang tercabut turut mengenai dinding kaca sebuah kafe siber di sebelah rumah.
Katanya, dia melihat pemandu bas yang cedera pada bahagian tangan terpinga-pinga dan menyatakan penyerap hentakan pada salah satu tayar bas itu tiba-tiba patah menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas.

China tidak pertahan pihak bertanggungjawab



SEOUL 28 Mei - China hari ini memberitahu Korea Selatan bahawa negara itu tidak akan mempertahankan mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas insiden kapal perang Korea Selatan karam, yang meragut 46 kelasi.
Perdana Menteri China, Wen Jiabao membuat ulasan tersebut selepas bertemu dengan Presiden Lee Myung-bak ketika ketegangan memuncak antara Seoul dan Pyongyang berikutan serangan torpedo ke atas kapal perang Korea Selatan 26 Mac lalu yang dikatakan dilakukan oleh Korea Utara.
Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mengutuk Korea Utara selepas siasatan multinasional mendapati Pyongyang terlibat dalam serangan tersebut. China bagaimanapun mengambil pendirian berhati-hati.
Sokongan China penting dalam usaha mengecam atau mengenakan sekatan ke atas Korea Utara.
Beijing yang memegang kuasa veto sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat ini masih enggan meluluskan tindakan majlis itu ke atas Pyongyang yang merupakan jiran dan sekutunya.
Ulasan Jiabao tidak dapat disahkan. Agensi berita rasmi China, Xinhua juga tidak menyiarkan sebarang laporan tentang jaminan China untuk tidak mempertahankan pihak yang bertanggungjawab.
Xinhua bagaimanapun memetik Jiabao sebagai berkata, China akan membuat penilaian mengenai punca insiden 'secara objektif dan adil' dan 'menyatakan pendirian berasaskan fakta mengenai kapal perang Korea Selatan yang karam'.
"China sentiasa menentang dan mengutuk sebarang tindakan yang menjejaskan keamanan dan kestabilan di semenanjung Korea," demikian menurut laporannya yang memetik ulasan Jiabao.
Menurut laporan itu, Beijing akan mengambil serius rumusan siasatan bersama oleh Korea Selatan dan beberapa negara lain serta reaksi semua pihak.
Ulasan Jiabao menunjukkan China sensitif terhadap kemarahan Korea Selatan berhubung insiden itu dan meningkatnya kritikan terhadap keengganan Beijing untuk menyokong keputusan siasatan atau mengutuk Pyongyang.
Jiabao dan Myung-bak bertemu di Blue House sehari sebelum sidang kemuncak tiga hala yang turut dihadiri Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama.
Jurucakap Myung-bak, Park Sun- kyu dalam satu kenyataan berkata, Korea Selatan kini 'berusaha bersungguh-sungguh melalui cara diplomasi supaya Korea Utara bertanggungjawab'.
Jelasnya, perkara itu dibincangkan hari ini dan akan dibicarakan pada mesyuarat keselamatan di Singapura awal bulan depan.
Siasatan multinasional minggu lalu merumuskan sebuah kapal selam Korea Utara melancarkan torpedo yang mengenai kapal perang Cheonan, menyebabkan ia terbelah dua sebelum karam, serangan terburuk ke atas tentera Korea Selatan sejak Perang Korea.
Korea Utara tidak mengaku bertanggungjawab dan memberi amaran jika tindak balas atau hukuman dikenakan ia bermakna pengisytiharan perang. - AP

Kereta api tergelincir 71 terkorban



SARDIHA 28 Mei - Sebuah kereta api ekspres sarat dengan penumpang yang sedang nyenyak tidur tergelincir akibat letupan bom sebelum berlanggar dengan kereta api membawa barangan di Barat Bengal hari ini, mengakibatkan 71 orang terkorban, dipercayai angkara pemberontak Mao.
Lebih 120 lagi dilaporkan cedera dengan sebahagian besar daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Ia merupakan serangan maut terbaru yang dilancarkan oleh pemberontak Mao, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan untuk menempatkan lebih ramai anggota tentera dalam usaha mengekang gerakan pemberontak berhaluan kiri itu.
Angka kematian dikhuatiri meningkat dalam kemalangan ngeri yang menyebabkan 13 gerabak kereta api dari Kolkata tergelincir dari landasan sebelum bertembung dengan kereta api yang membawa muatan barangan dari arah bertentangan di Barat Bengal.
Menteri Perkhidmatan Keretapi, Mamata Bennerjee yang bergegas ke tempat kejadian berkata, beliau dimaklumkan bahawa kejadian itu berpunca selepas satu letupan kuat di landasan.
"Bukti jelas menunjukkan, nahas ini adalah angkara tindakan sabotaj yang dilakukan oleh pemberontak Mao," kata Ketua Polis Barat Bengal, Bhupinder Singh kepada pemberita.
Sementara itu, lebih 120 dilaporkan mengalami kecederaan dengan sebahagian besar daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Pasukan penyelamat bertungkus lumus membantu untuk menyelamatkan mangsa yang terselamat dan tersepit di celah-celah besi gerabak kereta api yang remuk teruk akibat nahas berkenaan.
Seorang mangsa yang terselamat, Vinayak Sadna berkata, ketika kejadian dia dan penumpang lain sedang nyenyak tidur sebelum ia tergelincir dan terbalik.
"Saya terperangkap lebih tida jam sebelum diselamatkan anggota keselamatan, manakala isteri saya masih lagi belum ditemui," katanya.
Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 1.30 pagi waktu tempatan (pukul 3.30 pagi waktu Malaysia) di Barat Midnapore, sebuah kawasan kubu kuat pemberontak Mao yang terletak kira-kira 135 kilometer di barat Kalkota. - AFP

Pengganas serang 2 masjid, 80 maut



Wartawan tempatan berlindung di luar bangunan sebuah daripada dua masjid yang diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Lahore, semalam. - AFP


LAHORE, Pakistan 28 Mei - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang dua buah masjid milik pengikut mazhab minoriti di Lahore ketika umat Islam mengerjakan solat Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh.
Sumber rasmi berkata, serangan itu yang disifatkan paling berbahaya di bandar kedua terbesar Pakistan, yang sering menjadi sasaran serangan Taliban dan rangkaian al-Qaeda, skuad militan itu menggempur dewan sembahyang, melepaskan tembakan dengan senapang dan melempar bom tangan sebelum meculik beberapa orang jemaah.
Kedua-dua masjid terbabit adalah kepunyaan kumpulan Ahmadi yang juga dikenali sebagai Qadiani, yang mempunyai berpuluh ribu pengikut.
Kumpulan hak asasi utama di Pakistan berkata, komuniti itu sering menerima ancaman di Lahore sejak lebih setahun lalu.
"Pengganas-pengganas telah menyerang dua masjid. Mereka melepaskan tembahan dan melempar bom tangan. Mereka turut menahan jemaah yang berada di dalam masjid sebagai tebusan," kata pegawai pertahanan awam daerah itu, Muzhar Ahmed kepada AFP dari tempat kejadian di kawasan sibuk Garhi Shahu.
Serangan itu berlaku lebih dua jam apabila penyerang bertempur dengan anggota polis serta komando sehingga melarat ke kawasan penduduk berdekatan dan pasukan perkhidmatan penyelamat telah dipanggil ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.
Sebanyak 16 jemaah terbunuh ddalam serangan di masjid kedua di kawasan penempatan di Bandar Model berdekatan. - AFP

Remaja perempuan, kakak ditahan reman kes tanam bayi



Dua remaja adik-beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Shah Alam, semalam, bagi membolehkan polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap mereka dalam kes penemuan mayat bayi yang ditanam.


SHAH ALAM 28 Mei - Lima hari selepas penemuan mayat seorang bayi lelaki yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini, polis hari ini mendapat perintah untuk menahan reman seorang pelajar perempuan dan kakaknya bagi membantu siasatan kes itu.
Pelajar berusia 17 tahun dan kakaknya yang berumur 24 tahun itu ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Norkamilah Aziz di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Pelajar perempuan terbabit yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan ditahan di sekolahnya di Klang pagi semalam, manakala kakaknya turut ditahan pada hari yang sama.
Dalam kejadian Isnin lalu, mayat bayi malang itu ditemui seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang melaporkan kewujudan sebuah kubur kecil yang baru di kawasan tersebut kira-kira pukul 10 malam.
Polis kemudian menemui mayat bayi berkenaan yang dibalut dengan lampin dan dipercayai baru dilahirkan ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa.
Hasil bedah siasat mendapati, bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan iaitu antara enam hingga tujuh bulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman kedua-dua individu tersebut bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan bapa kepada bayi terbabit.

Rayuan suami didakwa bunuh isteri, ditolak



SHAH ALAM 27 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan untuk melepas tanpa membebaskan bekas pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed yang didakwa membunuh isterinya, Fazlina Ahmad di Ampang, Disember tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu akan menjadi akademik (tak diperlukan) kerana kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini dalam waktu terdekat.
Terdahulu, peguam Zainal Ithnin yang mewakili Mohafri memaklumkan kes anak guamnya disebut di Mahkamah Majistret Ampang dan dia ditahan sejak 19 Februari lalu berikutan laporan kimia dan bedah siasat masih belum siap.
Katanya, permohonan beliau agar tertuduh dilepas tanpa dibebaskan ditolak oleh Mahkamah Majistret yang sama dengan alasan tiada bidang kuasa.
Berikutan itu, rayuan difailkan dengan alasan Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk melepaskan Mohafri mengikut Seksyen 29 Kanun Tatacara Jenayah.
''Bagaimanapun, pagi ini pihak pendakwaan memaklumkan laporan kimia dan bedah siasat telah siap dan akan dikemukakan pada 2 Jun ini. Kes anak guam saya juga akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
''Jadi saya serah kepada budi bicara mahkamah sama ada untuk menolak atau menjadikan rayuan sebagai akademik,'' katanya.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.
Mohafri, 38, didakwa membunuh Fazlina, 39, yang ditemui di dalam almari di rumah beralamat No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi hingga 10.30 pagi, 30 Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Fazlina dijumpai di dalam almari bilik tidur utama rumah teres dua tingkat di taman perumahan tersebut dalam keadaan berbungkus dengan selimut.
Ketika ditemui, mulut dan hidung ibu kepada dua cahaya mata itu bertampal dengan pita pelekat. Laporan bedah siasat mengesahkan wanita tersebut mati akibat lemas.

Kerani bank didenda RM30,000





KLANG 27 Mei - Seorang kerani bank didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan laman web lucah secara komersial melalui Internet pada Jun tahun lalu.
Hakim Slamat Yahya turut memerintahkan Tajulzairi Tajuddin, 31, dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Tajulzairi merupakan individu pertama yang disaman dan disabitkan mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Lelaki itu dituduh menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet dengan alamat protokol Internet (IP) 112.137.152.108 di laman web http://www.wanitamelayu2u.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Aras 1, Jabatan Kawalselia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui Persiaran Multimedia, Cyberjaya dekat sini pada pukul 5 petang, 10 Jun 2009.
Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Pengarah Jabatan Kawalselia Kandungan SKMM, Enang Faridah Iskandar membuat laporan kepada Jabatan Siasatan SKMM ke atas satu laman webhttp://wanitamelayu2u.com/login yang dikatakan mengandungi kandungan sumbang, lucah dan tidak menyenangkan pada 2 Jun tahun lalu.
Lapan hari kemudian, seorang pegawai SKMM menyamar dengan mendaftar di laman web http://wanitamelayu2u.com sebagai ahli VIP selama enam bulan dengan bayaran RM30.
Dia membuat pembayaran seperti arahan di dalam laman web tersebut melalui perbankan Internet dan mendapati akaun tersebut dimiliki oleh Tajulzairi dan e-mel penerima adalahwanitamelayu2u@yahoo.com.
Siasatan juga mendapati laman web http://wanitamelayu2u.com dengan alamat IP 112.137.162.108 yang menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet itu dikendalikan oleh Tajulzairi.
Pada 16 Jun 2009, serbuan dan sitaan telah dibuat ke atas peralatan-peralatan komunikasi berkaitan dan hasil analisis menunjukkan terdapat kandungan imej dan video lucah dalam laman web tersebut.
Terdahulu, Tajulzairi yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia telah insaf serta mengaku melakukan perbuatan tersebut disebabkan kejahilannya.
Dia juga memberi alasan tidak mampu menjelaskan denda yang tinggi kerana berpendapatan rendah selain menanggung dua anaknya yang masih kecil.
Pengarah Jabatan Pendakwaan SKMM, Badius Zaman Ahmad pula memohon agar mahkamah mengambil kira perbuatan Tajulzairi yang menyalahgunakan Internet dengan membekalkan perisian lucah kepada orang ramai.
Kata beliau, lelaki itu telah mengaut keuntungan secara haram melalui perbuatan tersebut dengan jumlah pelanggan mencecah 100 orang sebelum laman web itu ditahan operasinya.
Jelasnya, perbuatan tertuduh juga satu kesalahan yang serius kerana ia turut menyumbang kepada peningkatan statistik jenayah seksual.
Badius Zaman turut memaklumkan bahawa hukuman yang bakal dijatuhkan akan menjadi kayu pengukur kerana Tajulzairi merupakan individu pertama yang didakwa dan disabitkan atas kesalahan tersebut.

Pelajar perempuan tingkatan lima ditangkap khalwat



SEBAHAGIAN daripada pasangan yang dicekup dalam operasi cegah maksiat di sekitar daerah Seberang Perai, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 28 Mei - Seorang pelajar perempuan tingkatan lima antara 15 pasangan yang ditahan dalam serbuan mencegah maksiat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam satu operasi pada awal pagi ini.
Remaja berusia 17 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya yang berusia 19 tahun di sebuah bilik rumah teres dua tingkat di Taman Tun Hussein Onn dekat sini kira-kira pukul 2.30 pagi.
Ketika rumah diduduki mereka diketuk, pasangan itu lambat membuka pintu, namun selepas didesak beberapa kali, mereka akhirnya akur dengan hanya memakai tuala singkat.
Lebih mengejutkan, anggota penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan dalam bilik pasangan itu menemui pakaian seragam sekolah pelajar perempuan terbabit di dalam begnya.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasaan JHEAINPP, Khairul Azman Azizan berkata, serbuan diadakan di beberapa buah rumah dan hotel di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
"Pasangan itu baru sahaja berkenalan selama dua bulan dan mengaku desakan nafsu membawa mereka hingga ke bilik tidur tanpa memikirkan perasaan ibu bapa di rumah.
"Kita kesal kerana mereka terjebak dengan kegiatan maksiat dalam usia semuda ini, malah pelajar wanita ini bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini," katanya ketika ditemui selepas mengetuai serbuan itu.
Sementara itu, Khairul Azman memberitahu, 14 lagi pasangan dicekup di beberapa lokasi termasuk Bukit Berapit, Seberang Jaya, Taman Bagan, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Pantai Bersih dan Taman Robina.
Menurutnya, pasangan yang ditahan berusia antara 17 hingga lingkungan 40-an termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja swasta.
"Dua daripada lokasi yang diserbu merupakan rumah teres dua tingkat yang diubahsuai dan dijadikan bilik untuk disewa manakala satu lagi kes membabitkan rumah tumpangan," katanya sambil menambah kesemua pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.
Beliau turut mendedahkan kegiatan pemilik rumah yang menjadikan kediaman mereka sebagai tempat kegiatan maksiat dengan menawarkan kadar sewa bilik serendah RM30 hingga RM50

11 gadis urut warga asing diberkas



SEREMBAN 28 Mei - Seramai 11 wanita warga asing yang dipercayai menggunakan pas lawatan sosial ke negara ini untuk bekerja sebagai tukang urut ditahan polis dalam Ops Noda petang ini.
Dalam operasi pada pukul 4 petang itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai polis menyerbu dua premis urut dan menahan lapan wanita warga Thailand dan tiga wanita warga China.
Turut ditahan ialah dua lelaki yang merupakan penjaga premis berkenaan dan dipercayai menjadi pelindung kepada wanita warga asing terbabit.
Pegawai Turus Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Per udian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Asisten Supritendan Habibi Majinji berkata, kesemua wanita yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an.
Sementara penjaga premis berkenaan berusia dalam lingkungan 30-an.
"Kesemua wanita itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan boleh didakwa mengikut Seksyen 39(B) Peraturan Imigresen.
"Dua penjaga premis urut itu pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana memberi perlindungan kepada warga asing," katanya di sini hari ini.
Namun Habibi menjelaskan, kesemua wanita berkenaan tidak menawarkan perkhidmatan seks tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan premis berkenaan turut menawarkan perkhidmatan 'urutan tambahan.'

Pelacur tua patah kaki terjun bangunan



SEBAHAGIAN daripada 85 yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu membanteras jenayah pelacuran dan pendatang asing tanpa izin di sekitar ibu negara, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Mei - Tindakan seorang pelacur terjun dari bumbung sebuah bangunan membawa padah apabila dia patah kaki kanan dan tangan kiri dalam satu serbuan di Jalan Chow Kit di sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila wanita berusia lingkungan 50-an bersama enam lagi rakannya itu cuba melarikan diri selepas sebuah pusat pelacuran di tingkat satu bangunan dua tingkat di situ diserbu pihak berkuasa.
Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, operasi cegah jenayah dan 'Ops Tapis' khas itu bermula pukul 7 malam dan berakhir empat jam kemudian.
Katanya, operasi melibatkan empat agensi iaitu polis dengan kekuatan 150 anggota, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan 12 anggota dan masing-masing 10 anggota dari Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Katanya, seramai 85 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di sekitar ibu negara.
"Operasi ini dijalankan bagi mengesan penagih dadah, pendatang asing tanpa izin, judi haram, mak nyah, peniaga VCD dan DVD cetak rompak dan pelacur yang tertumpu di kawasan Chow Kit, Bukit Bintang, Jalan Petaling, Flat San Peng dan Dang Wangi," katanya ketika ditemui selepas operasi itu selesai malam tadi.
Menurut Muhammad Sabtu, dalam operasi berkenaan, pihaknya memeriksa 120 orang dan menahan 85 orang atas pelbagai kesalahan antaranya tujuh pelacur, tiga pelanggan dan lima mak nyah yang berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an kerana memiliki dadah dipercayai heroin seberat 0.2 gram manakala 28 orang lagi ditahan kerana positif dadah jenis heroin.

Suspek curi kereta cuba rempuh, polis lepaskan 3 das tembakan



SHAH ALAM 28 Mei - Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan amaran setelah seorang suspek curi kereta selepas dia cuba merempuh anggota polis di Kampung Jawa di sini tengah malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 12.30 tengah malam ketika anggota polis terbabit cuba menghalang lelaki itu daripada melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kereta itu dipercayai dicuri di Taman Berkeley di sini kira-kira pukul 11 malam.
"Polis menerima laporan yang dibuat oleh pemilik kereta itu mengenai kehilangan kenderaan terbabit sewaktu dia sedang makan di sebuah restoran di Taman Berkeley.
"Selang sejam kemudian, rakan kepada pemilik kereta tersebut ternampak kenderaan itu di Kampung Jawa dan memaklumkannya kepada anggota polis yang berada tidak jauh dari situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohamad, tujuh anggota polis tiba di tempat kejadian dan cuba menahan suspek, namun lelaki itu cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan dipandunya.
Kereta itu kemudian hampir melanggar beberapa orang anggota polis menyebabkan salah seorang daripada mereka terpaksa melepaskan tembakan amaran.
Malah, tindakan suspek itu mengakibatkan beberapa buah motosikal rosak akibat dilanggar sehingga turut mencederakan seorang penunggang yang berada di kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, kata Mohamad, suspek dapat melepaskan diri manakala kereta terbabit akhirnya ditemui di kawasan komersial di Bukit Kuda di sini pada pukul 9 pagi ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kereta terbabit dicuri untuk tujuan melakukan aktiviti jenayah.
"Kita sedang mengesan suspek yang masih bebas dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh," ujarnya.
Sementara itu, dalam satu lagi kes, Mohamad memberitahu, pihaknya menemui sepucuk senapang angin buatan sendiri yang ditinggalkan dalam sebuah pondok kosong di Kampung Sungai Sireh, di sini pagi ini.
Senjata itu ditemui orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada polis pada pukul 9.30 pagi ini.
"Kita akan menyiasat dari mana dan siapa pemilik senapang angin ini. Polis turut menyiasat tujuan penggunaan senjata ini," ujarnya.

Pencuri kereta ditahan bersama bungkusan dadah



KUALA LUMPUR 28 Mei - Kelicikan seorang lelaki mencuri sebuah kereta Proton Waja di Brickfields di sini hanya bertahan selama dua minggu apabila dia ditahan polis di Batu 14, Puchong dekat sini kelmarin.
Penahanan lelaki berusia 46 tahun itu bukan saja dapat menemui semula kenderaan tersebut bahkan turut membongkar aktiviti pengedaran dadah yang dilakukannya di sekitar kawasan berhampiran.
Ini berikutan polis menemui dua bungkusan dadah dipercayai syabu dan 20 pil Eramin 5 di papan pemuka kereta dinaiki suspek.
Malah, pemeriksaan awal mendapati, suspek memiliki empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan satu kes jenayah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, suspek kemudian membawa polis ke rumahnya di Bandar Putra Permai.
"Ketika diperiksa, polis menemui dua pucuk pistol jenis Smith & Wesson dan Baretta berserta enam butir peluru .32 yang disorok dalam almari di bilik tidurnya.
"Selain itu kita turut menjumpai sebilah kapak, parang, pisau Rambo dan sarung tangan dipercayai untuk kegiatan jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Zainal Rashid tidak menolak kemungkinan suspek bergerak secara rangkaian.
Menurutnya, polis kini sedang memburu rakan-rakannya yang terlibat melakukan jenayah.
Beliau berkata, polis kini sedang menyiasat sama ada suspek turut terlibat dalam kes pecah rumah dan samun berikutan penemuan beberapa peralatan pecah rumah.
Kes ini, kata Zainal Rashid, disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 (Penalti Lebih Berat), Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Bahan Hakisan dan Bahan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
Lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini, katanya.

Lolos selepas berbalas tembak





KUALA LUMPUR 28 Mei - Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam beberapa kesalahan jenayah yang berjaya meloloskan diri dalam kejadian tembak menembak di Jinjang sehingga Kepong, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, sepasukan polis peronda yang menjalankan rutin harian meronda di kawasan itu terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, ketika diarahkan berhenti, suspek tidak mengendahkan arahan itu sebaliknya memecut kenderaan mereka ke arah Kepong.
Katanya, pada masa yang sama, suspek turut bertindak agresif apabila melepaskan satu das tembakan ke arah kereta peronda polis tetapi tidak mengenai sasaran.
"Polis telah melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek dan mengenai but kereta mereka.
"Suspek kemudian melarikan diri dan meninggalkan kenderaan itu di Jalan Metro Perdana Barat 3 di Kepong," katanya di sini hari ini.
Tambah Chin Wah, pemeriksaan mendapati, kenderaan yang digunakan suspek merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Puchong dua hari lalu.
Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan itu adalah berbahaya dan terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata api di sekitar Sentul.