Search This Blog

Friday, May 28, 2010

Pelacur patah kaki, tangan terjun bangunan

Gara-gara melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa, seorang pelacur patah kaki kanan dan tangan kiri akibat terjun dari bumbung sebuah bangunan yang menempatkan sebuah pusat pelacuran malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam semalam, wanita berusia lingkungan 50-an bersama-sama enam pelacur lain cuba melarikan diri apabila sebuah pusat pelacuran di tingkat 1 bangunan dua tingkat di Jalan Chow Kit itu diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu mencegah jenayah.

Mangsa yang mengalami kecederaan selepas terjun dari ketinggian 20 meter itu dihantar ke hospital dengan ambulans manakala enam pelacur lain yang juga berumur dalam lingkungan 50-an ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi bermula 7 malam dan berakhir empat jam kemudian itu, seramai 85 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di sekitar ibu negara.

Operasi membabitkan empat agensi iaitu polis dengan 150 anggota, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) dengan 12 anggota dan masing-masing 10 anggota dari Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata operasi itu dijalankan bagi mengesan penagih dadah, pendatang asing, judi haram, mak nyah, peniaga VCD dan DVD cetak rompak dan pelacur yang tertumpu di kawasan Chow Kit, Bukit Bintang, Jalan Petaling, Flat San Peng dan Dang Wangi.

"Dalam operasi ini, kita telah memeriksa 120 orang dan menahan 85 orang atas pelbagai kesalahan antaranya tujuh pelacur, tiga pelanggan dan lima mak nyah yang berusia 30 hingga 50 tahun," katanya dalam sidang media tengah malam semalam.

Selain itu, katanya, dua lelaki berusia 30-an turut ditahan kerana memiliki dadah dipercayai heroin seberat 0.2 gram manakala 28 orang lagi ditahan keran positif dadah jenis heroin.

Beliau berkata, operasi itu sejajar dengan NKRA Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kadar jenayah jalanan bagi kontinjen Kuala Lumpur 20 peratus tahun ini.

Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata seramai 15 wanita ditahan pada kira-kira 1 tengah hari, 22 Mei lalu di sebuah premis yang terletak di Jalan Silang di sini kerana terbabit dalam pelacuran.

"Hasil pemeriksaan mendapati 13 daripada mereka yang berusia lingkungan 20-an itu bukan warganegara ini," katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan, mereka bertindak mengunci premis itu dari dalam sehingga polis terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba untuk memecahkan pintu itu.

"Siasatan lanjut mendapati di dalam premis itu terdapat 15 wanita, 44 keping kondom dan lebih 100 tiub cecair pelincir," katanya.

Katanya, 13 wanita itu memiliki kad pengenalan palsu dan mereka ditahan reman selama 14 hari dari tarikh ditangkap.

"Terdapat sindiket yang menyediakan kad pengenalan palsu kepada pendatang asing terutama kepada rakyat dari negara jiran yang menyamar sebagai warga tempatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu itu yang dipercayai rakyat tempatan.

- Bernama 

Ego Mat Lombok

KUALA LUMPUR: “Kami tak bersedia menghapuskan adat melarikan gadis sebelum dikahwini walaupun ia dianggap jahat kerana ia diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya sejak dulu,” kata seorang pemuda Lombok, Indonesia, Novian Arif, 40.
Bagaimanapun, dia yang ditemui baru-baru ini di pulau berkenaan ketika misi menyelamat gadis Iban berusia 15 tahun dari Sarawak, Steffanie Liana anak Langka yang memasuki Indonesia secara haram, mengakui adat berkenaan hanya diguna sesama mereka untuk gadis berusia lebih 18 tahun.

Menurutnya, jika seseorang lelaki dari daerah berlainan didapati melarikan gadis bawah umur, pemuda terbabit akan dikenakan hukum adat.

Mengejutkan apabila Novian memberitahu hukum adat paling keras yang boleh dikenakan terhadap lelaki melakukan kesalahan itu ialah hukuman mati.

“Memang diakui kami melarikan gadis untuk dijadikan pasangan hidup sama ada dia suka atau tidak. Contohnya dengan berpura-pura bermaksud baik kononnya mahu menghantar seseorang gadis pulang ke rumah, tapi gadis itu akan dilarikan ke rumah keluarga atau saudara lelaki itu.

“Kemudian, gadis itu akan ‘disimpan’ untuk tempoh tertentu, biasanya seminggu hingga dua minggu sementara keluarga pihak lelaki melakukan perundingan mahar dengan keluarga pihak perempuan. Pihak lelaki yang mempunyai kuasa dalam sebarang keputusan. “Adat ini simbol kehebatan lelaki suku Sasak. Tetapi, hukum bunuh untuk kes larikan gadis bawah umur kini tidak lagi diguna pakai sejak awal 1970-an selepas pemerintah mula campur tangan,” kata Novian yang berasal dari Desa Taman, Mataram, Lombok.

Katanya, perjanjian adat melarikan gadis juga kini mempunyai pilihan. Contohnya ketika ini setiap kali pemuda Lombok ingin berkahwin mereka akan bertanyakan kepada ibu gadis yang diidamkan sama ada mahu menggunakan kaedah lari atau lamar.

Menurutnya, jika ibu gadis terbabit mahukan cara lamar, lelaki terbabit akan menghantar keluarga untuk melamar, tetapi jika sebaliknya, gadis berkenaan akan dilarikan terlebih dulu.

Ditanya mengenai trend membawa lari gadis Malaysia ke Lombok yang makin kerap dilaporkan akhir-akhir ini, Novian mendakwa kebanyakan kes itu dilakukan pemuda Lombok yang berasal dari desa terpencil.

“Pemuda Lombok yang bekerja di Malaysia kebanyakannya berasal dari pedalaman yang masih kuat memegang hukum adat asal.

“Malah, biasanya mereka tak pernah sampai pun di bandar Mataram. Terus saja ke Malaysia sebaik selesai direkrut ejen (pekerja asing), sebab itu mungkin perkara ini (larikan gadis Malaysia) terjadi. Mereka terkejut dengan (suasana) tempat lain yang berbeza dengan tempat sendiri.

“Cara merekrut pekerja senang saja. Seseorang pemuda perlu mengangkat guni seberat kira-kira 100 kilogram naik ke bukit dalam jarak tertentu dan jika terjatuh, mereka tak layak. Jika tak jatuh dia akan layak tidak kira apa latar belakang sekali pun,” katanya.

Statistik dikeluarkan organisasi sukarela Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care) mendapati kira-kira 600 wanita negara ini kahwin lari dan kini berada di Lombok, manakala Pergerakan Puteri Umno memperoleh maklumat menunjukkan lebih 500 wanita dilarikan ke Lombok.

Berikutan kes berkenaan, Pergerakan Puteri Umno pernah mengeluarkan kenyataan pada 20 Mac lalu supaya membekukan pengambilan pekerja asing yang berasal dari Lombok.

Kemalangan di 'selekoh hantu'

KUALA LUMPUR: Dua sahabat karib mampu meraung kesakitan selepas tersepit sebaik kereta dinaiki melanggar bukit berhampiran kawasan hutan simpan yang terkenal dengan jolokan ‘selekoh hantu’.
CEMAS..anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan dua mangsa yang cedera parah selepas kereta dinaiki merempuh bukit berhampiran Jalan Batang Kali - Genting Highlands.
CEMAS..anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan dua mangsa yang cedera parah selepas kereta dinaiki merempuh bukit berhampiran Jalan Batang Kali - Genting Highlands.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi semalam, kedua-dua mangsa menaiki Proton Saga mampu berdoa diselamatkan orang ramai selepas mangsa tersepit dan gagal keluar dari kenderaan remuk separuh bahagian.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan turun dari pusat peranginan Genting Highlands sebelum kereta dinaiki terbabas melanggar bukit sebelum menjunam ke dalam longkang berhampiran Kilometer 18, Jalan Batang Kali - Genting Highlands.

Saksi kejadian, Shukor Hashim berkata, mangsa bernasib baik berikutan kawasan jalan sunyi terbabit dilalui kenderaan lain yang menyedari kejadian kemalangan itu.

Menurutnya, mangsa ketika itu cedera parah di kedua-dua bahagian kaki apabila kaki mereka tersepit, selain muka mangsa cedera akibat terkena serpihan cermin hadapan kenderaan pecah.

“Mangsa ketika itu mampu meraung kesakitan dengan keadaan muka berdarah akibat kemalangan berkenaan. Saya sempat memberi bantuan awal dan meredakan keadaan mereka sementara menanti bantuan kecemasan.Pada masa sama, anggota polis bantuan Genting Highlands membantu mangsa tersepit.

“Tidak berapa lama kemudian, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan penyelamat Kuala Kubu Bahru dan Genting Highlands tiba di lokasi kejadian membantu mengeluarkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba yang menilai keadaan mangsa mendapati bahagian hadapan kereta remuk menyebabkan kaki mangsa terperosok dan gagal ditarik keluar.

“Berikutan itu anggota bomba dan penyelamat menggunakan alat pemotong hidrolik untuk memotong pintu kereta dan bahagian hadapan enjin kenderaan. Usaha terbabit dilakukan berhati-hati dan mengambil masa 15 minit untuk dikeluarkan.

“Ketika itu, seorang mangsa tidak sedarkan diri, manakala pemandu kereta merintih kesakitan. Kedua-dua mangsa dikeluarkan jam 4.15 pagi Mereka dihantar menaiki ambulans ke Hospital Kuala Kubu Baru,’ katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 28 dan 29 tahun patah kedua belah kaki dan dilaporkan stabil

Kami hanya teman biasa'

KUALA LUMPUR: “Dia hanya kawan biasa, tiada apa-apa hubungan antara kami tapi disebabkan cemburu buta isterinya, saya dimalukan di khalayak ramai,” kata penyampai berita sebuah stesen televisyen menjelaskan dakwaan dia menjalin cinta dengan suami kepada seorang wanita Uzbekistan sehingga diserang di pusat beli-belah di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

BUKTI...gambar kereta penyampai berita yang dicalar.
BUKTI...gambar kereta penyampai berita yang dicalar.

Penyampai berita berusia 34 tahun yang enggan namanya disiarkan itu mendakwa, bukan dia seorang saja yang menjadi mangsa serangan isteri lelaki terbabit, malah beberapa wanita lain termasuk kakitangan suaminya turut diperlakukan sedemikian sejak pasangan itu berkahwin.

“Asalkan seseorang wanita itu berkawan atau sekadar bekerja di syarikat suaminya, mereka pasti menjadi sasaran serangan sama ada maki hamun atau dipukul. Suaminya juga diserang sehingga cedera.

“Saya tak tahu apa masalah sebenarnya kerana dia terus serang saya tanpa bertanya atau berbincang terlebih dulu,” dakwanya yang ditemui di sini, semalam.

Menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, penyampai berita itu berkata, pada 21 Mei lalu dia mendapati keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta di kawasan perumahannya dicalar dan ditulis perkataan maki hamun selain cermin sisi dipecahkan.

“Saya dapati kereta saya dirosakkan kira-kira jam 6.30 pagi ketika mahu menghantar anak lelaki yang berusia sembilan tahun ke sekolah. Berdasarkan pemeriksaan di pondok pengawal, saya dapati wanita Uzbekistan itu datang ke situ kira-kira jam 5 pagi.“Beberapa hari sebelum ini saya ada menerima beberapa SMS memaki hamun selain berbaur ugutan tapi tidak menghiraukannya, tapi saya ada membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kerana kereta dicalar dan menganggap kejadian itu berakhir di situ saja,” katanya.

Ibu dua anak itu, bagaimana tidak menyangka diserang wanita terbabit bersama ibunya ketika menemani anaknya di sebuah gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah keesokannya.
“Kira-kira jam 5 petang, saya bersama pembantu rumah menemani anak di gimnasium berkenaan sebelum dimaki hamun wanita Uzbekistan itu bersama ibunya.

“Saya hanya mendiamkan diri kerana tak mahu melayan mereka sebelum tiba-tiba dipukul. Rambut saya ditarik, belakang badan dipukul dan muka saya berdarah mungkin dicakar wanita itu.

“Saya tak mampu melawan dan hanya menjerit minta tolong tapi mungkin orang ramai terkejut, mereka hanya tergamam menyaksikan kejadian itu sebelum seorang kakitangan di situ menarik mereka berdua daripada terus memukul saya,” katanya.

Sementara itu, suami wanita Uzbekistan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ayish, 36, berkata dia kini dalam proses perceraian dengan isterinya kerana tidak tahan dengan sikap cemburu buta wanita terbabit.

Lagi bayi mati didera



28/05/2010 4:14pm



KUALA LUMPUR 28 Mei – Seorang bayi lelaki berusia 3 bulan dipercayai mati akibat didera petang semalam.
Mangsa, Mohd. Hamzah Hafiz Abdullah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan mati.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Selepas bedah siasat tengah hari ini kita dimaklumkan oleh pihak HKL bahawa pemeriksaan awal mendapati wujud unsur-unsur jenayah ke atas kematian bayi itu,” katanya. – Utusan

Suspek larikan kereta polis ditangkap



28/05/2010 3:24pm



KOTA BHARU 28 Mei – Selepas lima hari menjadi buruan polis kerana melarikan diri dari tahanan menggunakan kenderaan pegawai penyiasat, suspek, Mohd. Zaidi Majid akhirnya berjaya diberkas awal pagi ini.
Mohd Zaidi, 33, ditahan bersama teman wanitanya dan satu lagi pasangan kekasih di sebuah rumah di Bandar Pusat Jengka, Pahang kira-kira pukul 4.05 pagi ini. – Utusan

Lelaki ditahan miliki dadah dan senjata api



28/05/2010 3:12pm

KUALA LUMPUR 28 Mei — Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun disyaki pengedar dadah dalam sebuah kereta Proton Waja di kawasan perindustrian Bt 14 Puchong dekat sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta itu, polis menemui dua paket kecil dadah jenis Syabu dan 20 biji pil Eramin 5 yang disembunyikan dalam sekeping sampul surat dengan anggaran nilai kurang RM1,000.
Sejurus penahanan pada 6.46 petang, polis kemudian membuat siasatan lanjut di rumah suspek di Bandar Putra Permai dan menemui dua pucuk pistol berjenama Smith & Wesson dan Baretta, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang dekat sini, hari ini.
"Kita turut menemui enam butir peluru hidup, sebilah kapak, parang dan dua bilah pisau Rambo dalam almari di bilik tidur lelaki terbabit,” katanya.
Zainal Rashid berkata siasatan mendapati kereta yang dipandu suspek juga adalah kereta yang dilaporkan dicuri di Brickfields di sini, 16 Mei lepas. - Bernama

Suspek curi kereta cuba rempuh polis



28/05/2010 2:55pm



SHAH ALAM 28 Mei – Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan terhadap seorang suspek mencuri kereta selepas dia cuba merempuh anggota polis di Kampung Jawa di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kejadian berlaku pukul 12.30 tengah malam ketika anggota polis terbabit cuba menghalang lelaki itu daripada melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai dicuri. – Utusan

Korban nahas keret api India meningkat



28/05/2010 2:38pm

KOLKATA - Angka korban dalam nahas kereta api di timur India meningkat kepada 65 orang.
Setiausaha Dalam Negeri Bengal Barat, Samar Ghosh berkata, 65 orang disahkan terkorban dan 200 lagi cedera.
“Kereta api berkenaan tergelincir ketika ia melalui kawasan kubu kuat kumpulan pemberontak,” katanya. - AP

Remaja dan kakak direman kes sembunyi kelahiran



28/05/2010 4:19pm

SHAH ALAM 28 Mei - Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini bersama kakaknya berusia 24 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Norkamilah Aziz bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Memetik laporan berita semalam, polis menahan pelajar itu pada Khamis lalu kerana dipercayai ibu kepada bayi lelaki yang ditemui mati ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, remaja itu ditahan di sekolahnya kira-kira pukul 9 pagi semalam manakala pasangannya serta dua lagi individu dipercayai bersubahat dalam kejadian berkenaan, sedang dikesan.
Noor Azam berkata, laporan kesihatan mendapati remaja berkenaan tidak menghadapi sebarang komplikasi dan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan lanjut. - Bernama

ADUN Talat patah rusuk, kenderaan masuh gaung



28/05/2010 9:30pm

KUCHING 28 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Roland Sagah Wee Inn, patah tiga tulang rusuk sebelah kanan apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terjatuh dalam gaung di Jalan Puncak Borneo petang ini.
Katanya, beliau percaya punca kemalangan mungkin ada kaitan dengan masalah brek kenderaan tersebut.
Bercakap kepada pemberita selepas menerima rawatan di Unit Kemalangan dan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, katanya, selain beliau sebagai penumpang, turut berada di dalam kenderaan tersebut ialah seorang pemandu dan tiga lagi penumpang lain tetapi kesemuanya tidak mengalami kecederaan parah.
Roland yang kelihatan tenang berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang selepas menghadiri mesyuarat berkaitan dengan tanah dengan pegawai Jabatan Tanah dan Survei dan ketua-ketua kaum selain daripada penyampaian sumbangan Gawai di sana yang berakhir pada pukul 1 petang.
"Semasa menuruni puncak tersebut, kenderaan tiba-tiba hilang kawalan dan terus terjatuh ke dalam gaung,” katanya sambil menambah semasa terjatuh tersebut kenderaan berpusing dua kali dan melanggar pokok di sekitarnya.
Beliau berkata, kenderaan tersebut berhenti berpusing apabila terlanggar salah sepohon pokok yang ada dalam gaung tersebut.
"Semasa kenderaan berpusing saya hanya mampu berdoa mengharapkan tiada apa-apa berlaku kepada semua yang berada di dalam kenderaan, nasib baik tiada yang mendapat kecederaan serius,” kata Roland.
"Selepas kemalangan berlaku, kebetulan ada kenderaan pacuan empat roda lain melalui kawasan kemalangan tersebut yang digunakan untuk acara dihadiri oleh Ahli Parlimen Mambong yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit,” tambahnya.
"Bila mereka menyedari kemalangan berlaku, usaha menyelamat dijalankan termasuk menghantar kami ke HUS pada petang ini,” katanya. - Bernama

Thailand minta bantuan Interpol tangkap Thaksin

<strong>PERDANA MENTERI MONTENEGRO, Milo Djukanovic menghadiri  sidang Interpol Eropah di pusat peranginan  Budva, kelmarin. Thaksin kini dipercayai berada di Montenegro.</strong>
PERDANA MENTERI MONTENEGRO, Milo Djukanovic menghadiri sidang Interpol Eropah di pusat peranginan Budva, kelmarin. Thaksin kini dipercayai berada di Montenegro.


Semua negara dirayu beri kerjasama dedah lokasi bekas PM

BANGKOK: Kerajaan Thailand akan meminta kerjasama Interpol untuk menahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra atas dakwaan keganasan berkaitan dengan bantahan terbaru di Bangkok yang membawa maut.
Permintaan kepada agensi polis antarabangsa itu akan dihantar supaya mana-mana negara yang tahu lokasi Thaksin boleh memaklumkan Thailand, supaya kami boleh memulakan prosedur ekstradisi,” kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban.
Thaksin disingkir dalam rampasan kuasa 2006 dan lari ke luar negara untuk mengelak hukuman penjara dua tahun atas tuduhan rasuah.

Ketika mengulas langkah terbaru Bangkok, beliau menyifatkan Interpol tentu sedar tuduhan terbabit ‘bermotif politik.’

Mahkamah Jenayah Thailand meluluskan waran tangkap ke atas Thaksin Selasa lalu selepas kerajaan menuduhnya menghasut kekacauan dan membiayai perhimpunan penunjuk perasaan anti-kerajaan Baju Merah.

Perhimpunan jalanan Baju Merah, yang dibubarkan minggu lalu oleh tentera, melumpuhkan kawasan tengah Bangkok dan mencetuskan beberapa insiden keganasan yang menyebabkan 88 maut sejak pertengahan Mac, kebanyakannya orang awam dan hampir 1,900 cedera.
“Jabatan Siasatan Khas, pejabat Peguam Negara dan Kementerian Luar bersetuju menghantar permintaan kepada Interpol untuk mengeluarkan satu amaran bahawa Thaksin dikehendaki atas dakwaan keganasan di Thailand,” kata Suthep.

“Jika Thaksin fikir beliau tidak bersalah, beliau diberi peluang membuktikan dirinya,” katanya kepada media.

Bercakap kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) kelmarin, Thaksin menegaskan beliau menyokong bantahan aman dan tidak pernah menyokong sebarang bentuk keganasan.

“Interpol memiliki kriteria bukan bermotif politik untuk menentukannya, tetapi perkara ini jelas bermotifkan politik dan tiada asas,” katanya dalam Bahasa Inggeris.

Jika didapati bersalah, Thaksin secara teorinya berdepan hukuman mati, namun waran berkenaan jelas merujuk kepada cubaan mengekstradisi jutawan yang menjadi Perdana Menteri itu yang mendapat perlindungan di beberapa negara.

Peguam Thaksin meminta mahkamah membatalkan waran terbabit, ketika kerajaan Thailand menambah tekanan ke atas negara yang pernah dilawatinya supaya membekukan sumber kewangan jutawan itu. – AFP

Lelaki Muslim digesa nikah gadis tempatan

EDINBURGH: Lelaki Islam diminta berkahwin dengan wanita yang lahir di Scotland dan tidak membawa isteri dari Pakistan dan India.

Ulama kelahiran Glasgow, Shaykh Amer Jamil, berkata langkah itu supaya wanita Muslim yang membesar di Scotland tidak terumbang-ambing kerana lelaki lebih mengutamakan isteri dari negara luar.
Ibu bapa lebih suka mengatur perkahwinan anak lelaki mereka bersama wanita yang membesar di India kerana dilihat sebagai pasangan lebih baik menyebabkan semakin ramai wanita British tidak bertemu jodoh.
Shaykh Jamil yang menubuhkan perkhidmatan kaunseling keluarga digelar Perkhidmatan Keluarga Bersatu, berkata: “Saya berpendapat situasi itu pada tahap kritikal.

“Ramai wanita berpendidikan di sini mahu kahwin namun tidak menemui calon sesuai. Calon lelaki sikit kerana mereka mahu kahwin dengan gadis negara asal.

“Ramai wanita juga enggan dijodohkan dengan lelaki dari Asia Selatan kerana boleh cetuskan masalah,” katanya. – Agensi.

Seoul, Pyongyang terus gaduh isu kapal perang

SEOUL: Korea Selatan yang dikejutkan dengan serangan ke atas kapal selam miliknya Mac lalu, mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran bagi menghalang serangan kapal selam Korea Utara daripada berulang, semalam.

Latihan itu mendapat sokongan jeneral Amerika juga bertujuan memberi amaran keras kepada Pyongyang: “Jangan cuba sekali lagi menyerang kami”.
Korea Utara bagaimanapun memberi reaksi balas segera dengan berkata ia akan melancarkan ‘serangan ketenteraan serta-merta’ ke atas mana-mana kapal perang Korea Selatan yang menceroboh perairannya.
Hubungan kedua-dua negara semakin tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas Seoul menyalahkan Pyongyang kerana membedil kapal perangnya Mac lalu menyebabkan 46 orang terbunuh.

Pada masa sama, hubungan politik dan ekonomi juga semakin merosot sejak Presiden Lee Myung-bak dilantik sebagai ketua negara Korea Selatan pada 2008, apabila beliau berikrar untuk bersikap lebih keras terhadap program nuklear Korea Utara.

Pihak berkuasa tentera laut berkata, dalam latihan sehari yang diadakan di barat daya Korea Selatan, 10 kapal perang termasuk kapal pemusnah seberat 3,500 tan, melepaskan tembakan meriam dan menggugurkan bom antikapal selam bagi meningkatkan kesediaan menangkis sebarang ancaman.

Korea Selatan turut merancang dua latihan ketenteraan bersama dengan Amerika Julai depan bagi menunjukkan kekuatannya untuk menghalang tindakan agresif Korea Utara.
Panglima kepada 28,500 tentera Amerika di Korea Selatan, Jeneral Walter Sharp, berkata Washington, Seoul dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan ‘meningkatkan usaha menentang dan membanteras ancaman yang timbul’.

“Kami menggesa Korea Utara menghentikan semua bentuk provokasi dan mematuhi perjanjian yang ditandatangani sebelum ini termasuk gencatan senjata,” katanya dalam ucapan sempena Hari Peringatan. – AP

Aktivis pujuk orang Islam murtad

<strong>IKLAN di bas New York menyasarkan orang Islam tajaan Geller.</strong>


IKLAN di bas New York menyasarkan orang Islam tajaan Geller.
Pemimpin anti-Islam guna 30 bas New York papar iklan sasar Muslim


NEW YORK: Seorang aktivis Amerika Syarikat yang mengetuai pertubuhan 'Stop Islamization of America' (Henti Islamkan Amerika) melancarkan kempen menggalakkan orang Islam supaya murtad dengan meletakkan iklan di 30 buah bas setiap bulan di Kota New York, menyuruh sesiapa yang berminat menghubungi sebuah laman web tajaannya.
Pamela Geller mendakwa, laman web itu, RefugefromIslam.com memberi penerangan kepada mereka yang mahu keluar dari agama Islam serta menyifatkan langkahnya sejajar dengan kebebasan beragama meskipun beliau dituduh sebenarnya menyembunyikan agenda anti-Muslim.
Iklan itu mula dilihat pada bas pada 14 Mei lalu, menggunakan soalan berbunyi ‘Leaving Islam’ (Mahu keluar daripada Islam?), ‘Fatwa on your head?’ (Anda diancam fatwa?) dan ‘Is your family threatening you?’ (Adakah keluarga mengancam anda?).

Geller berkata, iklan pada bas itu berharga AS$8,000 (RM26,400) dan turut disumbangkan pembaca blognya selain laman web lain termasuk Atlas Shrugs.
Ada juga iklan berkenaan dilihat pada bas di Miami. Geller juga mengakui, beliau merancang meletakkan iklan sama di bandar lain.

“Iklan itu tidak mencetuskan kemarahan orang Islam, ia sejajar dengan kebebasan beragama. Iklan itu tidak menyasarkan orang Islam yang mengikut ajaran agama mereka. Iklan itu tidak berkata ‘keluar’ tetapi ‘mahu keluar’ dengan simbol tanda tanya,” katanya.
Pegawai Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) berkata, iklan Geller itu sudah dikaji dan tidak melanggar garis panduan MTA dan belum ada aduan diterima mengenai iklan pada bas berkenaan.

Semua iklan diperiksa terlebih dulu, kebanyakannya oleh syarikat yang mengendalikan permohonan iklan MTA tetapi ada yang dihantar kepada MTA untuk kelulusan muktamad, kata jurucakap agensi itu, Aaron Donovan.

Bulan lalu, syarikat pengangkutan Miami-Dade Transit menarik iklan itu daripada 10 bas kerana memutuskan ia mungkin mencetuskan kemarahan orang Islam, lapor akhbar The Miami Herald.

Tetapi, agensi berkenaan membuat keputusan membenarkannya diguna semula selepas mengkaji iklan itu bersama pejabat Peguam Negeri.

Anggota Majlis Perbandaran beragama Islam, Robert Jackson, mempertikai kriteria MTA membenarkan iklan itu serta tidak bersetuju dengan isi kandungannya khususnya Amerika adalah negara yang menyokong kebebasan beragama.

“Ini adalah kempen pelampau berhaluan kanan yang menentang agama Islam. Warga New York memahami perkara ini,” katanya.

Wakil Majlis Hubungan Amerika-Islam di sini, Faiza Ali, berkata iklan itu menggunakan alasan palsu bahawa seseorang itu dipaksa kekal dalam Islam sedangkan orang Islam percaya pihak yang dipaksa memeluk kepercayaan tertentu bukan penganut sebenar.

“Geller bebas berkata apa yang dia suka tetapi anggota masyarakat lain juga bebas mengkritik motif beliau. Geller sudah lama bersikap anti-Muslim dan iklan itu menyembunyikan latar belakang berkenaan,” katanya lagi. – AP

Penduduk mahu pemancar dibongkar

AMPANG: Penduduk di Kampung Cheras Baru, dekat sini, berang dengan tindakan beberapa syarikat telekomunikasi yang enggan menurunkan pencawang pemancar di atas sebuah bangunan di situ walaupun mendapat bantahan penduduk.
Lebih menyakitkan hati apabila masalah dihadapi penduduk sejak pemancar terbabit didirikan di situ 10 tahun lalu seolah-olah tiada jalan penyelesaian, malah bantahan yang sudah beberapa kali dibuat dipandang sepi pihak berkuasa.
Seorang penduduk, Mohd Shah Jahan Makaddas Ali, 41, mendakwa pihak berkuasa seperti menutup mata terhadap kebimbangan yang disuarakan penduduk dalam beberapa perjumpaan sebelum ini.

“Bertahun-tahun kami meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengalihkan pemancar telekomunikasi yang dipasang di atas rumah kedai di Jalan Bukit C itu dipindahkan ke lokasi lebih sesuai atau ditinggikan lagi kedudukannya.

“Dikhuatiri kesan radiasi dihasilkan pemancar yang terletak beberapa meter dari rumah penduduk itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk. Kami bimbang lambat-laun kesan radiasi itu menjadi penyebab kanser,” katanya.

Katanya, jika alasan menurunkan pemancar itu menyebabkan ketiadaan liputan talian telefon mudah alih itu tidak tepat kerana sebelum adanya pemancar itu pun liputan masih jelas.

“Penduduk bukanlah menghalang pemasangan pemancar berkenaan, tapi biarlah diletakkan jauh sikit dari kawasan penempatan penduduk. “Selain mencemarkan pemandangan, ia dikhuatiri memberi kesan sampingan terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Mohd Shah mendakwa sebelum ini 250 penduduk menandatangani memorandum bantahan dan diserahkan kepada MPAJ untuk tindakan lanjut, bagaimanapun kedudukan bantahan mereka masih terus menjadi tanda tanya hingga saat ini.

Dakwanya, MPAJ sudah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pemilik bangunan dan hasil semakan tempoh permit pemasangan pemancar itu didapati sudah tamat pada 31 Disember lalu.

“Pihak MPAJ sendiri mengakui tempoh permit pemasangan pemancar telekomunikasi di bangunan itu tidak dilanjutkan dan pemilik bangunan terbabit perlu membuka pemancar sebelum penghujung tahun lalu.

“Mereka memberi memberi jaminan mengenakan tindakan penguatkuasaan jika pemilik ingkar arahan notis dikeluarkan. Nampaknya, itu hanyalah omong kosong MPAJ supaya penduduk menutup mulut,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Hashim Johari, 54, berkata penduduk hairan perkara itu masih menemui jalan buntu walaupun MPAJ sendiri sudah bertemu penduduk untuk mencapai kata sepakat.

“Jelas sekali, majoriti penduduk mahukan pemancar itu diturunkan serta dialihkan ke tempat lain. Bagaimanapun, apabila keputusan memihak kepada penduduk, MPAJ seperti menafikan hak kami,” katanya.

Curi batu taman pantai

MASJID TANAH: Sukar dipercayai apabila batu taman di laluan pejalan kaki yang baru dipasang di kawasan persisir pantai peranginan Sungai Tuang, dekat sini, hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab bagi kegunaan sendiri.
Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati terdapat empat kesan berlubang yang diumpil sepanjang tiga meter dan masalah itu tidak boleh dipandang remeh kerana kegiatan berkenaan memburukkan keadaan pantai itu.
Difahamkan, hampir 1,000 batu taman bernilai 90 sen setiap satu dicuri kerana terdapat kesan umpil dan berlubang di kawasan terbabit di sepanjang laluan tembok tepi pantai peranginan itu.

Sidang Kampung Sungai Tuang, Yahya Zakaria, 58, yang ditemui berkata, kegiatan individu terbabit amat dikesalkan kerana tidak menghargai kemudahan disediakan kerajaan negeri untuk kepentingan bersama.

“Kerajaan membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membina laluan bertembok di sepanjang pantai Sungai Tuang demi memastikan keselesaan pengunjung yang datang ke pantai peranginan ini pada hujung minggu. Ia bukan untuk dikorek dan diambil batunya,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang terbabit kegiatan memalukan iaitu mencuri batu taman yang dipasang di laluan bertembok untuk kepentingan diri sendiri seolah-olah tidak memikirkan keselesaan pengunjung pantai.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan, sepatutnya mereka yang terbabit boleh berfikiran waras sebelum melakukannya kerana tindakan mereka itu hanya mengundang masalah kepada pengunjung, malah jika dibiarkan boleh mencemarkan nama baik kampung ini.

“Kerajaan keluar duit beli batu taman bukan untuk dibawa balik, jadi saya berharap kegiatan mencuri ini dihentikan segera. Sepatutnya mereka menjaga keindahan bersama-sama bukan membuat tindakan kurang bijak,” katanya.

Penduduk, Faizal Khairuddin, 27, mendakwa kegiatan mencuri batu taman di laluan bertembok itu berlaku sejak dua bulan lalu, malah beliau percaya kegiatan itu dilakukan individu dari kampung terbabit.

Katanya, kegiatan dilakukan awal pagi dan sukar dikesan kerana mereka mencuri batu itu ketika penduduk kampung berada di rumah atau surau berdekatan.

“Kami kesal kerana secara tidak langsung ia mencacatkan pemandangan kawasan tempat tumpuan pengunjung beriadah dengan mengumpil dan meninggalkan lubang yang besar di beberapa kawasan sepanjang laluan bertembok di tepi pantai.
“Dua minggu lalu, saya menegur seorang lelaki kira-kira jam 6.35 pagi datang dengan motosikal di kawasan itu dengan membawa sebuah bakul dipercayai untuk diisi batu taman kemudian dia terus beredar dan tidak muncul selepas itu.

“Tapi saya tak sangka pula mereka datang lagi dan kali ini mencuri lebih banyak batu taman di sini. Mungkin mereka terdesak sebab batu taman itu dijual mahal di pasaran,” katanya.

SMS polis buru 25 banduan terlepas palsu



PULAU PINANG 27 Mei - Polis menafikan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa pihaknya kini menggunakan helikopter untuk memburu 25 orang banduan yang terlepas dari penjara di negeri ini.
Sebaliknya, Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, sebuah helikopter yang ditempatkan di negeri ini sejak 15 Mei lalu digunakan untuk memantau lokasi-lokasi panas berlaku jenayah.
Menurutnya, penyebaran SMS palsu itu amat dikesali kerana apa yang dilakukan oleh polis adalah untuk tujuan yang baik sejajar dengan usaha mencapai sasaran dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
"Kita kesal dengan penyebaran SMS palsu itu dan sedang giat menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut. Polis juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengesan mereka yang terlibat menghantar SMS itu.
"Pada masa yang sama, saya menyeru orang awam supaya melihat perkara tersebut dari sudut positif, janganlah cepat panik atau cuba sebarkan sesuatu yang tidak benar," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Malam Media dan Polis Kontinjen Pulau Pinang di Kelab Renang Pulau Pinang di sini malam tadi.
Turut hadir, Penaung Penang Press Club, Tan Sri Lim Gait Tong, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, pegawai-pegawai kanan polis dan pengamal media di negeri ini.
Ayub mengulas penyebaran SMS berbunyi; 'Seramai 25 banduan penjara negeri ini terlepas dan polis terpaksa menggunakan helikopter dan sekatan jalan raya bagi mencari mereka. Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terutama apabila keluar pada waktu malam'.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada wartawan dan jurugambar di negeri ini yang telah banyak memberikan kerjasama kepada polis.

Pelajar IPT warga asing antara pelacur ditahan



Pelajar warga asing antara 14 pelacur ditahan dalam operasi di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Mei - Beberapa orang pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta warga asing adalah antara 14 pelacur yang ditahan dalam operasi di sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Jalan Alor, Bukit Bintang malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, kesemua pelacur berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika sedang menunggu pelanggan.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Raja Mohammad Raja Ismail berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak pelacur ditahan, namun kebanyakan daripada mereka sempat melarikan diri sebelum kedatangan pihak penguat kuasa.
"Kita yakin mungkin berlaku pembocoran maklumat sehingga menyebabkan ramai pelacur sempat melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Hasil pemeriksaan, kata Raja Mohammad, terdapat beberapa orang pelajar di institusi pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang turut terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu.
Menurutnya, mereka memasuki negara ini menggunakan status pelajar tetapi menyalahgunakan kemasukan mereka untuk terbabit dalam kegiatan pelacuran.
Pemeriksaan dalam bilik-bilik yang disyaki dijadikan tempat untuk melakukan hubungan seks turut menemui sejumlah kondom yang masih belum digunakan.
Beliau berkata, kesemua pelacur warga Indonesia, Thailand dan China yang ditahan kerana menyalahgunakan pas serta tinggal melebihi tempoh itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Pasangan kekasih diberkas bawa dadah



KUBANG PASU 27 Mei - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sepasang kekasih yang disyaki membawa dadah jenis Eramin 5 dan ekstasi bernilai RM140,000 di Kompleks Pemeriksaan Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sini hari ini.
Pasangan yang berusia 45 dan 35 tahun itu yang dikatakan bertindak sebagai 'keldai dadah' ditahan ketika menaiki sebuah teksi yang sedang menuju ke Haadyai, Thailand.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Deputi Supritendan S. Sivanganam berkata, ketika ditahan, pihaknya menemui dadah itu dalam sebuah beg dalam but teksi tersebut.
"Setelah diperiksa, kami menemui 5,000 biji pil Eramin 5 yang disimpan di dalam sebuah kotak makanan bijirin 'Coco Crunch' yang disimpan dalam beg tersebut.
"Dalam beg itu juga, kami menemui 3,000 biji pil ekstasi dan 1,500 biji Eramin 5 yang disimpan di dalam sebuah kotak lain dan dibalut dengan kertas pembalut hadiah," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pasangan kekasih tersebut mengaku mereka diarahkan oleh pihak lain untuk membawa dadah tersebut dari Johor ke Haadyai.
"Mereka menaiki bas dari Johor dan berhenti di Changlun lalu menyewa sebuah teksi untuk membawa mereka ke Haadyai.
"Menurut mereka, di Haadyai, ada pihak lain yang akan mengambil dadah daripada pasangan ini dan nilai dadah ini dipercayai lebih mahal di sana," katanya sambil menambah kedua-dua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Remaja 16 tahun ditahan





SHAH ALAM 27 Mei - Seorang remaja perempuan ditahan oleh polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki yang ditemui ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini pada malam Isnin lalu.
Difahamkan, remaja itu merupakan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Klang.
Dia ditahan di rumahnya di sekitar daerah Klang kira-kira pukul 9 pagi ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin berkata, remaja itu ditahan hasil siasatan lanjut yang dilakukan oleh anggota dan pegawai polis bagi mengesan individu yang terlibat dalam kes itu.
Beliau berkata, sebaik sahaja ditahan, remaja itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemeriksaan lanjut.
"Dengan tertangkapnya wanita itu, polis percaya kes penemuan mayat bayi pada malam Isnin lalu telah selesai.
"Bagaimanapun, kami masih mencari tiga lagi suspek yang boleh membantu siasatan kes tersebut dan juga bapa kepada bayi itu," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Isnin lalu, polis menemui mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa.
Mayat yang dibalut dengan lampin itu ditemui selepas seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melaporkan kewujudan sebuah kubur kecil yang baru di kawasan tersebut kira-kira pukul 10 malam.
Hasil bedah siasat mendapati, bayi berkenaan dilahirkan tidak cukup bulan dan baru berusia antara enam hingga tujuh bulan.
Menurut Nor Azam, remaja itu kini ditahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
Dia dijangka akan direman esok dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Wanita kahwin, tipu 11 lelaki diburu

WASHINGTON – Polis Amerika Syarikat (AS) sedang memburu seorang wanita tempatan, Bobbi Ann Finley kerana didakwa mengahwini 11 anggota tentera dalam tempoh 20 tahun dengan tujuan untuk menipu harta mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Polis menyatakan, modus operandi wanita berkenaan adalah mudah.
Wanita itu akan mengunjungi pangkalan-pangkalan tentera AS untuk mencari askar yang kesunyian dan akan dihantar ke berkhidmat di luar negara.
Suspek kemudian memberitahu mereka bahawa dia ialah anak perempuan seorang jeneral tentera kor Marine yang memiliki banyak harta tetapi hanya boleh mewarisi kekayaan tersebut sekiranya dia telah berkahwin.
Setelah mereka berkahwin, pengantin lelaki dikerah ke luar negara manakala Finley akan menyapu bersih harta dan wang dalam akaun bank mangsa.
Finley kali terakhir dilihat di negeri Washington pada Julai 2009, apabila dia ditangkap kerana membuat kenyataan palsu kepada polis.
Wanita itu tidak hadir pada perbicaraan kesnya. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Model ketuai sindiket dadah ditangkap




BUENOS AIRES – Seorang model dari Colombia yang didakwa menjadi ketua satu kumpulan pengedaran dadah dengan memperalatkan wanita cantik untuk menyeludup kokain ke Mexico ditangkap kelmarin setelah memperdayakan polis Argentina selama lima bulan.

Model berkenaan, Angie Sanclemente Valencia (gambar) bersembunyi di sini sejak Disember tahun lalu, selepas polis lapangan terbang menangkap seorang wanita Argentina berumur 21 tahun bersama 55 kilogram kokain dalam bagasi miliknya semasa dia cuba menaiki penerbangan ke bandar Cancun di Mexico.
Penangkapan wanita itu membawa kepada penahanan enam lagi anggota kumpulan pengedaran dadah tersebut yang menuding jari bahawa Valencia ialah ketua mereka.
Jurucakap polis, Maximiliano Lencina berkata, Valencia, 30, ditangkap kelmarin di sebuah hostel untuk warga asing di kawasan perumahan Palermo di sini. – AP
kredit : kosmo.com.my

Perairan negara dicemari minyak

Posted on the May 28th, 2010 under Berita, Tempatan by Syedz



PEKERJA membersihkan tumpahan minyak di pantai timur laut Singapura semalam ekoran tumpahan minyak dari kejadian kapal tangki MT Bunga Kelana 3 berlanggar dengan kapal pengangkut pukal MV Waily di Selat Singapura baru-baru ini.
JOHOR BAHRU – Jangkaan awal tumpahan minyak akibat kes pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga Kelana 3, Selasa lalu tidak akan memasuki perairan negara ternyata meleset.
Semalam, pihak berkuasa sudah mengesan tumpahan minyak merebak dan memasuki perairan negara di Tanjung Ayam, Pengerang.
Ia disahkan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Zulkifli Abdul Rahman dengan berkata, keluasan tumpahan minyak yang dikesan pagi semalam dianggarkan sepanjang 1.6 kilometer dan selebar 960 meter di kedudukan kira-kira satu kilometer dari pantai Tanjung Ayam.

Serentak dengan itu, JAS giat melakukan kerja-kerja membendung pencemaran termasuk memasang boya bagi mengelakkan aliran minyak ke pantai.
“Kita akan lakukan operasi pembersihan secara berterusan dengan bantuan Jabatan Laut Wilayah Selatan.
“Anggota kita juga akan ditempatkan di kawasan tersebut bagi memantau perkembangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Zulkifli berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar menghentikan kerja menangkap ikan di kawasan tersebut untuk sementara waktu.
Dalam kejadian pukul 6 pagi Selasa lalu, kapal MV Waily yang berdaftar di Saint Vincent & The Grenadines di Kepulauan Carribean dan dalam pelayaran ke Hong Kong bertembung dengan kapal Bunga Kelana 3 dari Pelabuhan Klang yang membawa 61,858 tan metrik minyak mentah.
Kejadian berlaku empat batu nautika dari barat daya Tanjung Setapa, Pengerang dan kira-kira 3.7 batu nautika dari perairan Singapura.
Sementara itu di Singapura, pihak berkuasa republik tersebut juga bertindak segera membersihkan tumpahan minyak yang hanyut ke arah pantai timur laut yang bakal sesak dengan pengunjung sempena musim cuti sekolah selama sebulan bermula hari ini.
kredit : kosmo.com.my

Tanah KTMB: PAS tuntut Najib bentang di Parlimen

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 27 Mei: PAS menuntut satu penjelasan dan pembentangan khas berkaitan penyerahan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar kepada Singapura dalam sidang parlimen akan datang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tidak mahu, suatu hari nanti anak cucu kita marah kerana tanah KTMB di Woodlands digadai hanya dengan sebiji durian,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana Najib yang juga Presiden Umno hanya mengambil masa beberapa jam untuk berbincang dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk memutuskan penyerahan tanah milik KTMB di Tanjung Pagar kepada syarikat usaha sama Malaysia-Singapura, M-S Pte Ltd.

Katanya, dua hari selepas dijamu makan durian di Pulau Sentosa, Najib menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri tanpa merujuk kepada Parlimen dan kabinet.

Beliau berkata, Najib membuat keputusan menerima kerjasama Hsien Loong yang diajukan tanpa sebarang kertas cadangan dan kajian rasmi.

“Keputusan ini dicurigai rakyat yang menganggap Najib gadai tanah KTMB dengan sebiji buah durian sahaja,” ujarnya.

Menurutnya lagi, 271 hektar tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah di Bukit Timah kini diserahkan kepada sebuah syarikat yang belum lagi ditubuhkan.

Tambahnya, syarikat usaha sama Malaysia-Singapura yang dikenali sebagai M-S Pte Ltd, akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini di mana Khazanah Nasional memegang 60% kepentingan dan Temasek Holdings Limited akan memegang baki 40%.

Ini, katanya bermakna dari jumlah 271 hektar tanah milik KTMB, 40% kini sudah sah menjadi milik Singapura melalui perkongsian pelaburan.

“Walaupun belum ada kepastian mengenai status pemilikan tanah, tetapi projek sistem transit laju (RTS) menghubungkan Tanjung Puteri, Johor dengan stesen di Woodlands yang dijadual beroperasi pada 2018 melalui projek usaha sama ini, kini dibahagi dua kepada Singapura,” katanya lagi.

Najib juga, kata Idris gagal memberikan penjelasan terperinci tentang cadangan memindahkan Stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) milik Singapura menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia juga dikatakan bakal memindahkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta api di WTCP.

PAS, menurutnya menganggarkan bahawa kos operasi KTMB akan meningkat dan bayaran penyewaan WTCP milik Singapura akan membebankan pada masa akan datang.

Sewajarnya, kata beliau suatu tuntutan penjanjian pengecualian sewa atau kajian implikasi kewangan dibuat sebelum cadangan ini dilaksanakan.

“Kita tidak mahu, KTMB bakal menyertai senarai syarikat milik kerajaan yang rugi seperti Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby Berhad. Kita tidak lupa, kedua-dua syarikat yang rugi ini juga menerima pelaburan dari Khazanah Nasional,” katanya lagi.

Negara boleh bankrap jika teruskan subsidi - Idris Jala

KUALA LUMPUR 27 Mei - Malaysia mungkin menjadi sebuah negara bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi masa kini tidak dimansuhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, ini kerana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Sehubungan itu, Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya kerajaan Malaysia memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonominya agar lebih berdaya saing.

"Kemajuan negara bergantung pada keupayaan mewujudkan inovasi dan pelaburan yang telus tanpa pemberian subsidi kepada rakyatnya.

"Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi adalah antara salah satu aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan. Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun," katanya ketika berucap pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di sini hari ini.

Makmal Rasionalisasi Subsidi itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah kerajaan untuk memansuhkan pemberian subsidi kepada rakyat di negara ini.

Malaysia merupakan antara negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 bilion pada 2009.

Ia melibatkan perbelanjaan subsidi untuk sosial (RM42.8 bilion), bahan api (RM23.5 bilion), infrastruktur (RM4.6 bilion) dan makanan (RM3.1 bilion).

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan berakhir 2009 melibatkan peningkatan 11 peratus.

"Ia hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD Switzerland.

''Pemberian subsidi kerajaan bermakna ia melibatkan defisit bajet dan peningkatan hutang kerajaan yang semakin meningkat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata, pemberian subsidi juga mempunyai kesan negatif kerana ia turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi walaupun sasarannya untuk membantu orang miskin.

''Kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia telah diagihkan kepada setiap rakyat di negara ini meliputi soal pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perubatan, petrol, gula dan minyak masak serta elaun kebajikan," katanya.

Menurut Idris, kerajaan dalam cadangan pelaksanaan pemansuhan subsidi itu, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol.

23 ribut tropika bakal melanda AS

28/05/2010 2:34am

MIAMI 28 Mei – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meramalkan terdapat 14 hingga 23 ribut tropika pada musim taufan Atlantik akan datang, termasuk tujuh taufan besar.

Pentadbiran Atmosfera dan Iklim Lautan Kebangsaan turut meramal terdapat lapan ke 14 taufan akan berlaku.

Saintis-saintis juga menjangkakan bahawa tiga ke tujuh taufan itu akan menjadi taufan besar sehingga mencapai tahap tiga atau lebih.

Ramalan itu berdasarkan El-Nino yang semakin lemah.

Musim taufan Atlantik bermula Selasa lalu dan akan berterusan sehingga 30 November ini. – AP

Gempa kuat landa Vanuatu, amaran tsunami dikeluarkan

28/05/2010 2:36am

WASHINGTON 28 Mei – Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter melanda selatan Lautan Pasifik Vanuatu menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan di Kepulauan Solomon, Vanuatu dan New Caledonia.

Gempa berlaku pada 1714 GMT (1.14 pagi ini waktu Malaysia) dengan pusat gempa terletak 244 kilometer ke barat laut Santo, Vanuatu pada kedalaman 36 kilometer, menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Amaran tsunami bagaimanapun hanya dikeluarkan untuk rantau tersebut dan dijangka tidak akan diperluaskan ke kawasan lain di Pasifik. – Reuters