Search This Blog

Wednesday, May 26, 2010

Tiga pekerja kilang cermin maut berdepan lori

TANAH MERAH: Tiga pekerja kilang cermin termasuk warga Myanmar maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori dalam kejadian di Kilometer 56 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mereka yang maut pemandu kereta terbabit, Tan Check Heng, 24, dari Taman Titi, Negeri Sembilan, serta dua lagi rakannya, Teong Yeow Thiam, 19, dari Kepong, Kuala Lumpur dan warga Myanmar, Kyaw Kyaw Lin, 30, manakala cedera parah Yap Chua Hoong, 21, dari Kepong.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila semua pekerja kilang cermin dari Sungai Buloh, Selangor itu dalam perjalanan ke Jeli untuk ke bank bagi memasang cermin.

Ketika dalam perjalanan, mereka yang menaiki Proton Wira itu bertembung dengan lori muatan tiga tan membawa benih pokok getah yang datang dari Kedah menghala ke To’ Uban, Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dua daripada mangsa terbabit selamat sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah.

'Sifu’ kung fu nafi bantu polis ugut pembeli emas

KUALA LUMPUR: Seorang ‘sifu’ mengajar kung fu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membantu dua anggota polis berpangkat lans koperal dan seorang penganggur merancang memeras ugut pembeli emas terpakai membabitkan RM102,645, lima tahun lalu.
Tertuduh, Chan Chee Leong, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Hafizza Sauni.
Mengikut pertuduhan, Chan yang juga presiden Persatuan Wing Chun Kung Fu Antarabangsa Malaysia didakwa dengan sengaja membantu Abdul Rahman Mat, Mohamad Fitri Junaidi dan Tony Anak Nambong, 32, merancang melakukan pemerasan RM102,645 terhadap Wan Kei Chin, 41.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Big Sum Watch And Jewellery Trading No 180 Jalan Tun Sambanthan, dekat sini, jam 3.30 petang pada 29 Ogos 2005.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurmadiana Mamat manakala tertuduh diwakili peguam A Krishnaveeni.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon ikat jamin RM10,000 ditawarkan Nurmadiana dikurangkan kerana tertuduh menanggung tiga anak bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan. Bagaimanapun, dia kemudian ditahan semula sepasukan anggota polis selepas membayar wang jaminan

Pelajar ponteng serang guru besar

JEDDAH: Tiga pelajar sekolah menengah menyerang guru besar selepas beliau melaporkan kepada ibu bapa suspek mereka ponteng sekolah.
Pengetua sekolah Al-Nuzla, selatan Jeddah itu cedera di mata dan keretanya turut dirosakkan.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Jeddah berkata, tiga pelajar itu ditahan polis dan akan dihukum selepas siasatan selesai. - Agensi

Anak mati dibedah bapa

AMMAN: Seorang tukang kayu didakwa merogol dan membunuh anak perempuannya selepas beliau melakukan pembedahan caesarean dalam cubaan menggugurkan anak dikandungnya.
“Suspek menggunakan pemotong permaidani untuk membelah perut dan rahim anak perempuannya dan kemudian mengambil janin bayi perempuan itu dan dibuang ke dalam tong sampah.
“Beliau kemudian menjahit perut mangsa dengan menggunakan benang tapi gagal menghentikan pendarahan menyebabkan mangsa meninggal dunia,” kata sumber polis. Bapa mangsa dilapor menyerah diri di balai polis Zarqa, 25 kilometer di timur Amman dan mengaku membunuh anak perempuannya yang berusia 19 tahun.

Beliau turut mengaku merogol anak perempuannya itu sejak mangsa berusia 15 tahun.

Pakar bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalaman manakala janin berusia 37 minggu itu mati kerana digugurkan.

Ibu mangsa didakwa mengetahui anak perempuannya dirogol bapanya tapi mendiamkan diri kerana suspek mengugut akan membunuh beliau dan juga anaknya jika ia didedahkan kepada polis. - Agens

Budak jatuh tingkat 12

KUALA LUMPUR: Seorang wanita menghidap sakit jantung, nyaris mati terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak perempuan yang melayang jatuh dari pangsapuri didiami adalah cucunya yang diamanahkan untuk dijaga.
Wanita berusia 50-an berkenaan yang pernah menjalani pembedahan jantung dua tahun lalu, dikatakan terserempak dengan mayat cucunya yang berusia enam tahun ketika berjalan kaki ke kedai berhampiran untuk membeli barangan dapur.
Difahamkan sebelum kejadian, kanak-kanak perempuan terbabit ditinggalkan bersendirian di tingkat 12 Pangsapuri Casa Prima, Kepong, oleh wanita terbabit.

Bagaimanapun, ibu saudara mangsa dikatakan terlupa mengunci jeriji di bahagian balkoni menyebabkan mangsa tergelincir ketika bermain di kawasan berbahaya itu.

Kejadian ngeri itu disaksikan seorang pengawal keselamatan yang mendakwa melihat tubuh kanak-kanak terbabit terhempas tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Pengawal terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 20-an berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, dia sedang menjalankan tugas rondaan selain memeriksa keselamatan di kawasan meletak kenderaan sekitar pangsapuri itu.

“Saya terkejut apabila menemui tubuh seorang kanak-kanak perempuan terbujur dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kanak-kanak itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum saya segera memapahnya dan membawanya ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

“Malangnya doktor mengesahkan kanak-kanak malang itu sudah mati ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Chai Chee Xin mengalami kecederaan parah pada kepala dan organ dalaman.

Mayat dituntut keluarga mangsa selepas dibedah siasat di Hospital Selayang pagi semalam, sebelum dibawa ke pusat pembakaran mayat.

Difahamkan, ibu dan bapa mangsa sebelum ini bercerai sebelum mereka tinggal berasingan manakala kanak-kanak itu dijaga oleh mak cik mangsa terbabit.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad berkata, polis yang tiba selepas dimaklumkan mendapati mayat mangsa dalam keadaan terlentang dengan kecederaan pada tengkuk kiri.

“Mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat,” katanya Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa jatuh dari tingkat 12 bangunan setinggi 20 tingkat itu ketika ditinggalkan bersendirian ketika neneknya keluar membeli barang di kedai berhampiran.

Abang hilang selepas tinggal nota di kalendar

KUANTAN: Seorang lelaki bersikap pelik sebelum menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Sungai Kecik, Kuala Nerang, Kedah, apabila meninggalkan nota pada kalendar mengatakan dia menuju Kluang, Johor, pada 17 April lalu dengan menunggang basikal dan membawa wang RM1,000.
Sejak meninggalkan nota itu, Mohd Kamal Mat Arshad @ Hashim, 33, gagal dikesan, menyebabkan keluarganya runsing kerana bimbang berlaku kejadian buruk terhadapnya.
Adik lelaki berkenaan, Mohd Shirazi, 26, yang juga anggota tentera berkata, kehilangan itu disedari ibu, Mek Had Che Mat, 60, selepas mendapati abangnya tiada dalam bilik, kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya, sebelum ini, abangnya yang menghidap sakit mental sejak berusia 27 tahun pernah dilaporkan hilang, namun dijumpai semula sebelum dihantar pulang.

Katanya, dia tidak mengetahui niat sebenar abangnya mencatatkan nota berkenaan yang ingin menuju ke selatan tanah air dengan hanya menunggang basikal serta berbekalkan wang tunai RM1,000.

“Saya tidak pasti sama ada benar atau tidak dia berada di Kluang seperti tercatat pada kalendar itu, namun yang pasti dia menunggang basikal.

“Emak dan ayah memeriksa biliknya dan mendapati beberapa pakaian serta dokumen penting termasuk buku bank dan wang tunai turut dibawanya,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, semalam.

Isteri lari termakan hasutan

KUALA TERENGGANU: Termakan hasutan jiran tetangga, seorang suri rumah warga Indonesia yang baru lepas berpantang nekad melarikan diri bersama anak sulungnya berusia dua bulan dalam kejadian disedari suaminya pagi Sabtu lalu.
Suaminya, Awang Embong, 54, berasal dari Kampung Tetambah, Manir, dekat sini berkata, sebaik pulang ke rumahnya di Kampung Mak Cili, Kemaman, kira-kira jam 8 pagi Sabtu lalu, dia mendapati isterinya Mariani, 32, tiada di rumah bersama anaknya, Nurshafikah.
Menurutnya, sebaik memeriksa keseluruhan ruang rumah, dia mendapati beg serta pakaian isterinya juga lesap bersama dokumen peribadi dan barulah dia sedar isterinya sudah melarikan diri bersama anak perempuan hasil perkahwinan dengan isteri keduanya itu.

Katanya, isteri mudanya berasal dari Belawan, Sumatera, Indonesia, dipercayai melarikan diri ke ibu negara dan kali terakhir dihubungi isterinya kira-kira jam 9 pagi Ahad lalu memberitahu sudah menaiki feri untuk pulang ke kampung asalnya.

Awang berkata, selepas menyedari isterinya melarikan diri, dia bersama saudara terdekat dan kenalan rapat terus mencari isterinya itu sehingga ke Pahang, bagaimanapun menemui jalan buntu kerana tidak dapat menjejakinya.

“Saya kurang pasti sebab sebenar dia (isteri) melarikan diri kerana antara kami tidak pernah berlaku pertengkaran sehingga menyakitkan hatinya.

“Namun, daripada pengamatan, saya merasakan dia termakan hasutan seseorang sehingga mengambil jalan pintas melarikan diri meninggalkan saya,” katanya kepada Harian Metro semalam.

Menurutnya, setiap kali teringatkan anak kecilnya, dia akan menangis kerana bimbangkan keselamatannya dan berikutan kehilangan isteri bersama anak perempuannya, dia membuat laporan polis kira-kira jam 10.15 pagi kelmarin di Balai Polis Kuala Terengganu.

Awang berkata, dia kini buntu memikirkan nasib anaknya kerana isterinya turut membawa anak mereka untuk pulang ke Indonesia menerusi perbualan telefon terakhir dua hari lalu.

Awang berkata, dia berharap orang ramai yang melihat dan mengetahui lokasi isterinya kini berada boleh menghubunginya di talian 010-9116927. Katanya, dia sudah memaklumkan kepada Jabatan Imigresen mengenai kehilangan isterinya itu untuk tindakan lanjut.

sekiranya terserempak dengan mereka di pintu sempadan negara sekiranya isterinya betul-betul melarikan diri ke negara asalnya.

Menurutnya, isterinya itu baru selesai pantang dua bulan lalu selepas melahirkan anak sulung mereka dan membuatkan dirinya semakin gelisah kerana keadaan anaknya yang masih kecil dan tidak sepatutnya dibawa lari serta bersembunyi dalam keadaan tidak selesa.

“Sekiranya benar dia berada di Indonesia, saya berharap mendapat bantuan pihak kedutaan bagi membawanya pulang dan juga memohon bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membantu membawa anak saya pulang semula ke tanah air,” katanya.

Awang berkata, dia berharap orang ramai yang melihat dan mengetahui lokasi isterinya kini berada boleh menghubunginya di talian 010-9116927.

Tayar pancit ragut nyawa

KANGAR: “Anak saudara saya (Muhammad Zuhaily Amzar Mohd Rodzi) sepatutnya menduduki peperiksaan akhir hari ini (semalam), tetapi saya terkejut apabila dimaklumkan dia meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan,” kata Asisten Superintendan, Ruslin Mohd Salleh, dari cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, semalam.
Beliau berkata, mangsa dijangka menamatkan pengajian peringkat Sijil Teknikal Elektrik di Kolej Komuniti Arau (KKA), pertengahan Jun ini dan sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia menjadi harapan keluarga.
Katanya, beliau bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa meninggal dunia selepas cedera parah dilanggar kereta.

“Kali terakhir saya bertemu arwah sebulan lalu dan dia menetap bersama rakan berhampiran kolej di Tambun Tulang. Saya memaklumkan kepada bapa mangsa, Mohd Radzi Che Pa, yang bertugas sebagai anggota bomba di Batu Kurau, Perak selepas kejadian,” katanya ketika hadir menuntut jenazah mangsa di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Turut hadir di bilik mayat, mantan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengarah KKA, Jinal Jasman, selain rakan kolej yang mana salah seorang daripada mereka pengsan melihat jenazahnya.

Dalam kejadian jam 8.25 malam kelmarin, Muhammad Zuhaily, 20, maut digilis kenderaan apabila motosikal diboncengnya terbabas dan terjatuh akibat tayar pancit di Lebuhraya Changloon-Kuala Perlis, berhampiran Alor Redis.

Rakan mangsa, seorang pelajar KKA yang menunggang motosikal terbabit, Khairul Idris Azman, 20, cedera ringan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Rosli Yahaya berkata, mangsa membonceng motosikal dari arah Arau ke Kangar, dikatakan tercampak ke tengah lebuh raya apabila tayar motosikal itu pancit sebelum digilis kereta dari belakang.

“Penunggang motosikal Kriss terbabit cedera ringan di lengan. Pemandu kereta yang juga pensyarah institut pengajian tinggi awam di Kedah tidak mengalami cedera,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta yang berada di bahagian belakang gagal mengawal kenderaan apabila mendapati mangsa terjatuh daripada motosikal sebelum melanggarnya.

Katanya, pensyarah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kangar selepas kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Muhamad Zuhaily Amzar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Tiang, Pendang, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam

Suami terbuang

KUALA TERENGGANU: Akibat kemaruk cinta warga asing, seorang isteri bukan saja sanggup menduakan suaminya, malah turut merampas perniagaan yang dibina bersama selama 11 tahun selepas kemungkarannya terbongkar.
Lebih memilukan, si suami yang setia kini bukan saja hidup merempat kerana dibuang isteri, malah terpaksa berkongsi kesedihan itu bersama enam anaknya.
Suami itu yang hanya mahu dikenali sebagai Che Wan, 45, dari Kampung Ladang di sini, mendedahkan kisahnya selepas tidak tahan dengan penderitaan dilaluinya. Katanya, kerana terlalu sayangkan isteri yang dikahwini sejak 27 tahun lalu, dia menuruti semua permintaan, termasuk menamakannya sebagai pemilik harta merangkumi semua aset perniagaan bernilai lebih RM250,000.

Namun, selepas kecurangan itu terbongkar, isterinya bukan saja biadab memaki-hamunnya, malah memperkecilkan kehebatannya di ranjang dan membandingkannya dengan warga asing yang menjadi buah hatinya.

Katanya, dia terkilan warga asing itu yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikatnya mengkhianati kepercayaannya.

“Kepercayaan terhadap isteri yang sebelum ini berjanji sehidup semati, diragut selepas dia yang kini berusia 40 tahun bermain kayu tiga.

“Hati mana tidak remuk melihat isteri bermesra dengan lelaki lain, tambahan pula warga asing. Patutlah setiap kali saya keluar daerah menguruskan perniagaan, rakan mengadu isteri sering bermesra dengan lelaki itu.

“Pada mulanya saya tak percaya dan memarahi mereka kerana memfitnah isteri, tapi alangkah terkejut apabila saya sendiri terserempak mereka bermesra,” katanya.

Katanya, sebelum kecurangan itu disaksikan sendiri, isterinya sering menolak permintaannya untuk mengadakan hubungan kelamin. “Setiap kali saya meminta, dia mengelak. Malah, isteri mula berdandan dan mencantikkan diri dengan berkunjung ke pusat kecantikan.

“Sebagai ayah kepada enam anak berusia antara 12 hingga 27 tahun, saya bersabar tetapi selepas melihat banyak perubahan, saya mengesyaki sesuatu,” katanya.

Selepas mengintip, dia mendapati isterinya menyewa rumah bersama lelaki itu. Bagaimanapun ketika dia dan rakan memasang perangkap, pasangan itu berjaya lari melalui pintu belakang.

“Selepas kecurangannya terbongkar, isteri keluar dan tidak pulang. Malah, dia menurut semua kehendak teman lelakinya termasuk bercuti ke luar negara seperti suami isteri sah,” katanya sedih.

Berikutan semua hartanya atas nama isteri, Che Wan kini bukan saja dipecat daripada semua jawatan dalam perniagaannya, malah isterinya bercadang menjual rumah didiami tanpa mempedulikan nasib anak mereka.

“Kini saya tinggal sehelai sepinggang, mahu atau tidak terpaksa mengadu nasib kepada saudara dan sahabat untuk membantu menyediakan keperluan persekolahan anak,” katanya

Pembantu penguat kuasa nafi makan suap

SHAH ALAM: Seorang pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dakwaan menerima sogokan RM500 dari seorang ahli perniagaan, empat tahun lalu.
Azrul Nizam Sulaiman, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mat Ghani Abdullah. Tertuduh didakwa menerima suapan iaitu wang tunai RM500 daripada Chin Kiam Voon di Restoran Canai and Such Raj Cafe, di Subang Jaya, dekat sini pada jam 6.55 petang, 7 September 2006. Ia bagi mengelak Azmi yang ketika itu bertugas di Jabatan Undang-undang dan Penguat kuasa MPSJ mengambil tindakan berhubung iklan ‘Hotlink Konsert Berterusan’ yang dikatakan tidak memiliki pelekat kelulusan dari MPSJ. Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, dia berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Hakim Mat Ghani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 hingga 3 September depan untuk sebutan dan melantik peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainal Ayob.

Ratah tubuh anak lumpuh

KUALA TERENGGANU: Dia dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang warak apabila menjadikan masjid dan surau sebagai rumah kedua kerana kerap mengunjungi rumah Allah itu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
Namun, segala perilaku itu hanya topeng semata-mata apabila lelaki terbabit berkelakuan tidak ubah seperti binatang selepas menjadikan anak gadisnya berusia 15 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu gilanya.
Perbuatannya terbongkar, menyebabkan bapa berusia lingkungan 50-an itu hidup sebagai pelarian sejak diburu polis, selain anaknya sendiri kerana tidak menyangka perbuatan biadab lelaki berkenaan yang selama ini dianggap benteng keluarga.

Difahamkan, perbuatan haruan makan anak lelaki terbabit dipercayai dilakukannya sejak beberapa tahun lalu memeranjatkan penduduk kampung apabila gadis yang lumpuh dan bisu sejak lahir itu didakwa mengandung.

Lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu setiap kali sebelum memandikan mangsa di bilik air rumahnya.

Bagaimanapun, penderitaan gadis malang sepanjang menjadi ‘hidangan’ bapa sendiri terbongkar selepas doktor mengesahkan dia mengandung ketika mendapatkan rawatan kerana demam panas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal bulan ini.

Menurut sumber, perbuatan terkutuk lelaki itu yang bekerja sebagai buruh binaan menimbulkan kemarahan anak lelakinya kerana tidak menyangka bapa diharapkan menjaga keselamatan bertindak sebagai gunting dalam lipatan apabila tergamak ‘meratah’ daging anak sendiri.

Sumber berkata, kerana terlalu marah dengan perbuatan bapa terbabit, anak lelakinya yang juga bekas anggota tentera membaling pasu bunga ke arah bapa berkenaan ketika pasangan anak-beranak itu bergaduh dalam rumah.

Katanya, balingan pasu bunga itu mengenai bahagian belakang bapa terbabit menyebabkan lelaki terbabit yang bimbang dengan amukan anak lelakinya melarikan diri sebelum dia dipercayai bersembunyi di kampung berhampiran.
Sumber berkenaan berkata, ibu mangsa berusia lingkungan 40-an yang dimaklumkan mengenai keadaan anaknya enggan membuat laporan polis dengan alasan mahu menjaga nama baik suami dan ahli keluarganya, namun atas desakan anak lelakinya, dia nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Difahamkan, doktor yang membuat pemeriksaan lanjut mengesyaki remaja terbabit mengandung di luar rahim dan bercadang melakukan pembedahan. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhaimi Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa tidak mengandung.

“Mangsa menerima bantuan bulanan kategori orang kurang upaya (OKU) dirawat di HSNZ dan kami cuba mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan mangsa diletakkan di bawah penjagaan JKM di Pusat Taman Sinar Harapan di Bukit Besar, di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Katanya, polis memburu bapa mangsa yang menghilangkan diri selepas berlaku pergaduhan antara dia dan ahli keluarganya di kediamannya, kelmarin.

Budak naik birat dirotan guru tuisyen

KUALA LUMPUR: Kejam apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dirotan tanpa belas kasihan oleh seorang wanita yang juga guru tuisyen peribadi sehingga tubuh kecilnya terutama bahagian belakang, kedua-dua paha dan kaki berbirat teruk.
Difahamkan, kanak-kanak malang itu dipukul menggunakan rotan khas dan tindakan kejam dilakukan guru tuisyen berkenaan kerana tidak tahan dengan sikap mangsa yang terlalu aktif.
Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari ibu mangsa berusia awal 30-an kira-kira jam 2 petang, Isnin lalu, ketika memandikan kanak-kanak berkenaan.

Malah, kanak-kanak malang terbabit mendakwa kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku terhadapnya, sebaliknya dia sudah diperlakukan demikian beberapa kali sejak belajar dengan wanita berusia lewat 20-an itu.

Menurut sumber, sebaik mengetahui kejadian itu, ibu mangsa bergegas ke pusat tuisyen berkenaan yang juga kediaman guru terbabit di Taman Maluri, di sini, bagi mendapatkan penjelasan.

Bagaimanapun, guru terbabit hanya mendiamkan diri malah wanita itu dikatakan tidak memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Berang dengan sikap wanita terbabit yang juga kenalannya, ibu mangsa terus meleterinya hampir 30 minit.

Sumber berkata, ibu mangsa mendakwa dia membenarkan anaknya dipukul untuk tujuan mendidik dan bukannya didera.

Difahamkan, ibu mangsa juga cuba berunding dengan wanita terbabit namun usahanya gagal kerana guru tuisyen itu bertindak masuk ke dalam rumahnya.

Sikap ego guru tuisyen itu menyebabkan ibu mangsa berang sebelum dia ke Balai Polis Cheras, di sini, membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaa

Malang nenek bogel

SEGAMAT: Dia layak digelar cucu iblis kerana selain suka mengintai neneknya berusia 77 tahun yang mandi bogel, remaja berusia 14 tahun terbabit turut berani mencopet barang kemas dan wang tunai milik warga emas berkenaan dianggarkan bernilai RM2,000.
Remaja lelaki itu sudah lama diberhentikan sekolah berikutan masalah disiplin selain terbabit dalam pelbagai masalah sosial termasuk bergaduh dan membuli.
Namun, kejadian kira-kira jam 8 malam pada 18 Mei lalu, remaja terbabit bertindak di luar batasan apabila menyelinap masuk ke rumah neneknya sebaik menyedari warga emas itu sedang mandi dan tinggal di rumah berseorangan.

Dia yang tinggal berhampiran rumah neneknya di Batu 11 Jementah, dekat sini, mengambil kesempatan mengintai warga emas itu sedang mandi bogel sebelum mengambil pakaian nenek yang digantungkan di pintu bilik air berkenaan.

Suspek yang tahu pakaian itu berisi barang kemas termasuk rantai dan wang tunai, kemudian melarikan barangan terbabit selepas puas melihat aksi bogel warga emas terbabit mandi.

Mangsa tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian suami beberapa tahun lalu hanya menyedari persalinan bersama barangan berharganya hilang sebaik selesai mandi.

Pada awalnya, dia yang tidak mengesyaki cucunya dalang mencuri barangan dan wang tunainya itu melaporkan kejadian kepada polis pada keesokan harinya.

Warga emas itu datang bersendirian ke balai polis di sini bagi membuat laporan memaklumkan pernah beberapa kali rumahnya dipecah masuk, tetapi sebelum itu hanya membabitkan kerugian kecil.

Malah, nenek terbabit memberitahu anggota polis bahawa kecurian sering berlaku setiap kali dia mandi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota yang ditugaskan menyiasat kes berkenaan akhirnya menyelesaikan misteri kehilangan pakaian nenek terbabit dalam masa kurang 24 jam.

“Kami menahan suspek berusia 14 tahun itu di sebuah rumah berhampiran kira-kira jam 6 petang hari kejadian itu dilaporkan.

“Hasil serbuan, polis menemui sejumlah wang tunai iaitu baki duit yang dicuri berjumlah RM150 dan dua telefon bimbit selain seutas rantai dan gelang tangan,” katanya ketika ditemui.

Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati dua telefon bimbit yang dirampas itu disyaki dibeli suspek menggunakan wang yang dicuri daripada neneknya.
Beliau mendedahkan, remaja terbabit cuba mengaitkan kejadian yang dilakukannya seorang diri itu turut dilakukan bersama beberapa rakan lain.

“Namun, selepas soal siasat, kami mendapati semua cerita itu helah belaka, malah suspek kemudian mengaku mengadakan cerita kerana sering dibuli rakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, remaja terbabit belum sempat menggadai atau menjual barangan kemas curi yang ditemui disembunyikan di bawah tikar di rumahnya.

Beliau mendedahkan, remaja terbabit cuba mengaitkan kejadian yang dilakukannya seorang diri itu turut dilakukan bersama beberapa rakan lain.

“Namun, selepas soal siasat, kami mendapati semua cerita itu helah belaka, malah suspek kemudian mengaku mengadakan cerita kerana sering dibuli rakannya,” katanya.

Tumbuk muka cikgu

KUALA LUMPUR: Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di ibu kota bukan saja dimaki-hamun pelajarnya, malah turut ditumbuk berulang kali pada muka menyebabkannya mengalami kecederaan.
Difahamkan, dalam kejadian Isnin lalu, pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun terbabit hilang kawalan selepas didenda guru itu kerana tidak membawa buku teks mata pelajaran diajarnya.
Semuanya bermula kira-kira jam 12 tengah hari apabila guru berusia 24 tahun itu mengarahkan pelajar tertabit keluar dari kelasnya dan berdiri di hadapan pintu sebagai hukuman.

Menurut sumber, pelajar terbabit dalam keadaan marah keluar dan berdiri di hadapan kelasnya sambil mencaci guru berkenaan.

“Bagaimanapun, guru berkenaan tidak mengendahkan tindakan pelajar terbabit dan meneruskan sesi pembelajaran,” katanya.

Sumber itu berkata, sikap biadab pelajar itu berterusan apabila dia cuba mengeruhkan keadaan dengan mengganggu pelajar lain yang mengikuti pembelajaran.

“Setiap kali ditegur guru berkenaan, pelajar terbabit memaki-hamun mangsa menyebabkan keadaan tegang seketika. Bukan sekali dua ditegur, guru berkenaan menegurnya lebih 10 kali, namun dia masih berdegil dan cuba mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.

Difahamkan, pelajar itu menghamburkan kata-kata kesat kepada guru berkenaan lebih 20 minit menyebabkan mangsa mula berang.

Menurut sumber itu, guru berkenaan keluar dari kelasnya sebelum memukul bahu pelajar terbabit menggunakan buku teks dipegangnya.

Bagaimanapun, buku itu terjatuh apabila pelajar terbabit mengelak.

Tindakan guru berkenaan yang tunduk untuk mengambil semula buku itu mengundang padah apabila dia diserang pelajar terbabit.

Sumber itu berkata, guru berkenaan ditumbuk lebih lima kali pada muka menyebabkannya cedera.

Difahamkan, guru itu tidak melawan kerana terkejut tindakan berani dan melampau pelajar terbabit.

Menurutnya, kejadian itu bukan saja disaksikan pelajar lain, malah beberapa guru yang mengajar di kelas bersebelahan.

“Seorang daripada guru yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis sebelum sekumpulan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan memberkas pelajar terbabit yang sedang mengamuk,” katanya.

Pelajar terbabit dibawa ke Balai Polis Cheras di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Guru berkenaan diarahkan tampil di balai polis untuk membuat laporan.

Difahamkan, pelajar terbabit sudah dibuang sekolah berikutan tindakan keterlaluannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu kes itu sudah dirujukkan semula kepada pentadbiran sekolah untuk tindakan lanjut.

Usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan lanjut pihak pentadbiran sekolah berkenaan gagal.

Geng rompak, bunuh 9 pemilik kedai emas

BAGHDAD: Perompak bertopeng membunuh 15 mangsa, sembilan daripadanya pemilik kedai emas sebelum lari bersama barangan kemas yang mereka rompak.
Kumpulan perompak menaiki lima kereta itu meletupkan sebutir bom tepi jalan menyebabkan empat orang awam maut sebelum merompak kedai emas di Baiyaa.
Mereka kemudian melepaskan tembakan ke arah 12 kedai emas menyebabkan sembilan pemilik kedai maut. Dua orang awam turut terbunuh. Selepas merompak barangan kemas, perompak melempar bom tangan ke dalam kedai dan kemudian melarikan diri. Rompakan dilapor kerap berlaku selepas krisis keselamatan semakin reda. Rompakan semalam bagaimanapun dilapor yang paling kejam hingga kini.

Mereka yang terbabit didakwa bekas gerila yang gagal memperoleh kerja. Akibat masalah itu, polis mendakwa mereka terpaksa merompak dan rumah awam, kedai emas, pusat penukaran wang asing, kedai pajak gadai dan bank menjadi antara sasaran utama mereka. - AP

Seludup kokain dalam seluar

LONDON: Dua lelaki warga Sepanyol yang cuba menyeludup dadah kokain bernilai £8 juta (RM38 juta) disorok di dalam seluar dalam panjang dihukum penjara 12 tahun, semalam.
Tanasu De Jesus Quevedo-Ojeda, 28, dan Oliver Vidal Hernandez, 27, ditahan ketika turun daripada kapal mewah, Black Watch di Southampton, Hampshire, pada 27 Mac lalu.
Kedua-dua lelaki yang menganggur itu menaiki kapal itu dari Peru dan didakwa merancang untuk tidak meninggalkan kapal itu hingga ia tiba di Kepulauan Canary melalui Southampton.

Mahkamah Southampton dimaklumkan mereka turun daripada kapal dengan kokain seberat 33 kilogram yang akan diedar di Britain, Gran Canaria dan Tenerife, Sepanyol.

Timbalan Pengarah Agensi Siasatan Jenayah dan Kewangan Sempadan Britain berkata, hukuman keras itu amaran kepada pihak yang terbabit dalam penyeludupan dadah.

Kakitangan Agensi Sempadan Britain melakukan pemantauan terperinci di semua pelabuhan dan lapangan terbang bagi menghalang dadah dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Ketua Superintendan Jabatan Siasatan Jenayah Hampshire, Superintendan Shirley Dinnell menegaskan, polis berusaha keras menghalang kemasukan dadah terlarang ke Britain.

“Operasi ini yang dilancar dengan kakitangan Agensi Sempadan Britain berjaya menghalang kemasukan jumlah dadah kelas A yang besar dan seharusnya menjadi amaran kepada mereka yang bertanggungjawab merosakkan hidup rakyat negara ini,” katanya. - Agensi

Dua rumah urut tiada lesen diserbu

AMPANG JAYA: Kegiatan dua premis yang dipercayai menyediakan perkhidmatan urutan tanpa lesen di sebuah pusat komersial di Pandan Jaya terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, baru-baru ini.
ANGKUT...penguat kuasa MPAJ menyita tilam milik sebuah rumah urut terbabit.
ANGKUT...penguat kuasa MPAJ menyita tilam milik sebuah rumah urut terbabit.
Dalam operasi kira-kira jam 2 petang, Jumaat lalu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan 13 anggota termasuk pegawai menyerbu premis terbabit.
Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa MPAJ, Rosli Jaafar menyasarkan kedua-dua premis terbabit yang terletak berhampiran.

“Berdasarkan risikan dan maklumat awam, premis terbabit menyediakan perkhidmatan urutan refleksologi serta tradisional tanpa lesen.

“Hasil pemeriksaan awal, ketika diserbu pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk lesen kebenaran MPAJ,” katanya.

MPAJ menyita barangan seperti katil, tilam dan bantal yang disediakan pemilik premis terbabit termasuk langsir yang dijadikan pembahagi ruang mengurut.

“Tindakan berkenaan diambil berikutan pemilik kedua-dua premis terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MPAJ) 2007. Jika disabitkan kesalahan, pemilik premis terbabit boleh dikompaun sehingga RM1,000 bagi tiap kesalahan.

“Kami akan memantau mana-mana premis yang dipercayai menjalankan perniagaan atau perkhidmatan tanpa lesen MPAJ,” katanya.

Mengaku khalwat

MELAKA: Seorang suri rumah yang ditangkap berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Tun Perak, dekat sini, bersama seorang peniaga bingkai kayu warga Pakistan pada 12 Mei lalu dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.
Hakim Syarie Mohd Asri Tahir menjatuhkan hukuman terhadap wanita berusia 39 tahun itu selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman dengan lelaki bukan mahram hingga mendatangkan syak.
Mengikut pertuduhan, wanita berasal dari Jasin itu dituduh berkurung hingga mendatangkan syak dengan Habib Ur Rahman, 39, di bilik No 133, Hotel Yong An, Jalan Tun Perak, Bachang, dekat sini kira-kira jam 10.55 pagi pada 12 Mei lalu.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Mohd Asri dalam penghakimannya turut menasihati tertuduh dengan menjelaskan sebagai seorang isteri yang masih mempunyai suami sewajarnya menjaga adab dan tatasusila.

Katanya, tertuduh perlu bertaubat kerana perbuatannya yang menderhaka dan curang kepada suaminya bercanggah dengan hukum syarak.

Sebelum ini, ketika didakwa kali pertama pada 13 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah, namun selepas fakta kes dibacakan dan mahkamah bersedia memberikan hukumannya selepas menimbangkan rayuannya serta hujah pendakwa, tertuduh tiba-tiba pengsan di kandang pesalah.

Berikutan itu, hakim menangguhkan semalam untuk memberikan hukumannya.

Sementara itu, pada prosiding semalam tertuduh sekali lagi merayu hukuman ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi selain turut mempunyai anak yang masih kecil. Dia yang memakai baju kurung hijau dan bertudung hitam kelihatan tenang memberitahu mahkamah bahawa suaminya berpendapatan rendah, manakala dirinya pula tidak berkerja.

Pegawai Pendakwa Syarie, Che Zam Zam Che Man bagaimanapun berhujah bahawa kesalahan dilakukan tertuduh adalah dosa besar dan salah di sisi syarak serta berlaku di sebuah hotel.

Katanya, sebagai seorang isteri, wanita terbabit tidak sewajarnya melakukan perbuatan terkutuk itu dan perlu mentaati perintah agama.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Mahkamah Syariah sambil ditemani ahli keluarganya.

Sementara itu, pada 13 Mei lalu mahkamah sama mendenda Habib Ur Rahman sebanyak RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan wanita terbabit.

Dia yang sudah berkeluarga turut dihukum penjara 24 bulan dan denda RM10,000 pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen atas kesalahan cuba memberi rasuah seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jaim), Zulkifli Zainal supaya dilepaskan atas kesalahan berkhalwat itu.

Jadi sewel ditinggal kekasih

KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu mengharap cinta dari lelaki tempatan, seorang wanita warga Filipina yang ditinggalkan buah hati kesayangan akhirnya menjadi sewel sebelum dimasukkan ke wad sakit jiwa bagi menerima rawatan.
Wanita berusia 30-an terbabit dikatakan tidak dapat menahan rasa kecewa sebelum meracau dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Sumber polis berkata, hubungan sulit itu hanya diketahui selepas seorang pemandu teksi berusia 50-an membuat laporan polis selepas dibelasah teman lelaki wanita terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 50 tahun bertindak pergi ke sebuah pub yang terletak tidak jauh dari Dewan Bahasa dan Pustaka untuk bertemu dengan teman lelaki wanita itu.

Menurutnya, mangsa yang berniat untuk menasihatkan suspek agar tidak mensia-siakan hubungannya dengan teman wanita itu.

Wanita Filipina yang tidak mempunyai dokumen sah dikatakan lama menjalin hubungan cinta dengan suspek sebelum dia ditinggalkan.

Tindakan suspek menyebabkan, wanita itu menjadi sasau dan mengalami tekanan jiwa hingga dimasukkan ke hospital awal bulan ini.

“Susulan itu, mangsa yang simpati terhadap wanita terbabit cuba bertemu dengan suspek bagi menasihatkan supaya bertanggungjawab dan pergi ke Kedutaan Filipina bagi melaporkan keadaan wanita berkenaan yang menjadi mangsa.

“Suspek berusia 50-an dinasihatkan secara baik oleh mangsa tiba-tiba naik angin sebelum melepaskan tumbukan ke muka mangsa.

“Suspek yang dipercayai menggenggam objek tumpul ketika melepaskan tumbukan menyebabkan tepi mata mangsa berdarah. Dalam keadaan berlumuran darah, suspek kemudian cuba untuk menyerang mangsa namun dihalang oleh orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang didakwa campur tangan turut mengugut mahu membunuh anak mangsa sekiranya masih menyibuk soal hubungannya.

“Suspek yang masih tidak berpuas hati kemudian sempat menendang pintu teksi milik mangsa sekuat hati sebelum beredar.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di mata, mendapatkan rawatan di Hospital Selayang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang gadis pekerja salun rambut berusia 22 tahun cedera selepas diragut dua lelaki bermotosikal berhampiran Jalan Pudu Plaza, di sini.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja dihampiri dua lelaki bermotosikal yang bertindak menarik beg mangsa.

Bekerja 15 tahun tanpa gaji



KUCHING - Dua beradik dari Serian, dekat sini, yang mendakwa bekerja tanpa gaji selama 15 tahun di sebuah kilang kuih pau di Puchong, Selangor, akhirnya berhenti kerja dan kembali ke Sarawak. 

Sejak Radin anak Bangan, 31, dan adiknya Simon, 30, meninggalkan keluarga ketika masing-masing berumur 16 dan 15 tahun, mereka tidak diberi peluang berhubung dengan keluarga di Kampung Antayan. 

“Kami bekerja di sebuah kilang membuat pau di sebuah kawasan terpencil dekat Puchong dan tidak pernah mendapat gaji, walaupun makan dan tempat tinggal kami ditanggung majikan,” kata Radin kepada pemberita, di sini, semalam. 

Katanya, ada dua lagi pekerja dari Sarawak dan tiga dari Perak bekerja di kilang berkenaan. 

"Pada 1995, kami dibawa ke Puchong oleh sebuah syarikat ejen pekerja tempatan dengan tawaran gaji RM2,000 sebulan. 

"Oleh kerana tidak tahan bekerja tanpa gaji, saya dan adik saya bertekad untuk balik kampung pada Februari lalu, dan semua kos ditanggung majikan," katanya. 

Bapanya, Bangan anak Jelian, 60, berkata, walaupun majikan menanggung tiket penerbangan balik ke Sarawak untuk kedua-dua anaknya, tetapi itu masih tidak memadai dengan kerja yang dibuat Radin dan Simon selama 15 tahun. 

"Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, saya tetap bersyukur kerana dapat berjumpa semula dengan anak-anak setelah 15 tahun berpisah. 

“Kepulangan mereka adalah rahmat kepada seluruh keluarga saya sempena sambutan Hari Gawai minggu depan,” katanya. - Bernama

Penjara 5 tahun, 3 sebat



KLANG – Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana melakukan rompakan dan menyamar sebagai polis, tahun lalu. 

Tertuduh, Afizal Karno, 32, dijatuhi hukuman itu selepas disabitkan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 107 Kanun Keseksaan. 

Hakim, Yong Zalida Sazali dalam penghakimannya berkata, keputusan ini dibuat setelah meneliti semua fakta kes dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan tanpa sebarang keraguan munasabah. 

“Hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak iaitu bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Februari 2009,” katanya. 

Afizal yang berasal dari Kampung Kebun Bunga, Batu 3, di sini didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Februari 2009, jam 7.30 petang di Jalan Terantai Meru, di sini. 

Dia didapati bersalah merompak telefon bimbit milik Md Ikbal Hossian serta mencederakannya. 

Bagi pertuduhan kedua, di tempat dan tarikh sama, Afizul menyamar sebagai polis dengan niat menakutkan Md Ikbal dengan menunjukkan kad kuasa polis yang bukan miliknya. 

Berdasarkan fakta kes, rompakan itu berlaku ketika Md ikbal yang sedang berjalan, tiba-tiba didatangi tertuduh dan ditunjukkan kad kuasa polis. 

Mangsa dipaksa dan diarah menyerahkan wang sebelum Afizal merampas telefon bimbit milik mangsa serta memukul mangsa menggunakan helmet. 

Berikutan itu, Md Ikbal cedera di kepala. 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurbaya Jamil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Polis bebas tuduhan rasuah



PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini, melepaskan dan membebaskan dua polis berpangkat Inspektor dan Lans Koperal daripada tuduhan meminta serta menerima suapan daripada seorang ejen perkapalan, lapan tahun lalu. 

Hakim, Aslam Zainuddin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Lans Koperal Azizi Abu Zarin, 35, dan Inspektor Rosdi Abu Hanifah, 35. 

“Setelah meneliti keterangan saksi, mahkamah berpuas hati dan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya. 

Bagi pertuduhan pertama, Azizi didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2005, jam 10.50 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Cawangan Trafik Klang, dekat sini, sebagai ejen kerajaan yang bertugas di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam secara rasuah memperoleh RM2,000 daripada Marul Azhar Maamor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Marul yang memiliki kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu. 

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 6 Jun 2003, jam 3.50 petang, di Am Finance Berhad No 27 Jalan Tengku Ampuan Zabedah 9/B, Shah Alam, Azizi didakwa bersetuju menerima suapan RM3,000. 

Azizi didakwa di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama jika sabit kesalahan. 

Pada 29 Mei 2003, jam 9.45 pagi di tempat sama, Rosdi dituduh meminta suapan RM5,000 daripada Marul sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki dan menggunakan nombor pendaftaran palsu. 

Rosdi dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997. 

Azizi dan Rosdi diwakili peguam, Feisal Datuk Mustapa manakala Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azuan Adzhar.

Pemandu van cabul pelajar



KULAIJAYA – Seorang pemandu van sekolah didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana didapati bersalah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun, awal bulan ini. 

Ng Kwang Han, 48, dituduh mencabul kehormatan pelajar itu dengan memeluk bahunya dan mencium pipi kiri mangsa di dalam van di hadapan Sekolah Memandu Berjaya di Saleng, dekat sini, jam 5.40 pagi, 3 Mei lalu. 

Tertuduh yang tinggal di Taman Sri Saleng, Senai didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepuluh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan. 

Kwang Han yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dan merayu agar hukuman diringankan dengan alasan perlu menyara empat anak yang masih bersekolah, kurang berkemampuan dan pendapatannya hanya RM1,000 sebulan. 

Majistret, Siti Aisyah Ab Rashid berkata, beliau kesal dengan tindakan tertuduh mengkhianati kepercayaan ibu bapa yang mengharapkan pemandu van itu menghantar anak ke sekolah. 

“Kamu dijatuhi hukuman denda RM2,500 dan jika kamu mengulangi perbuatan terkutuk ini, maka kamu akan dijatuhi hukuman penjara,” katanya.

29 kes positif H1N1



KUALA LUMPUR - Sejumlah 29 kes disahkan positif Influenza A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,692. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican berkata, tiga laporan kejadian kluster penyakit serupa Influenza (ILI) telah dilaporkan di Selangor. 

"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara adalah sebanyak 569 kes dan daripada jumlah tersebut 74 kes (13 peratus) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, terdapat lima kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan kesemuanya mempunyai risiko H1N1 dan tiada laporan kematian diterima menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 kekal 86 orang.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus H1N1 seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300.

Bertempiaran lari



SITIAWAN - Cubaan me nyeludup masuk rokok keretek bernilai lebih RM17,000 ke daerah ini, berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Perak, semalam, ketika anggota penguat kuasa itu sedang menjalankan tugas Ops Cegah Jenayah Octupus.

Pegawai Pemerintahan Markas Operasi PGM, Deputi SuperintendAn Shaari Ariffin berkata, semasa menjalankan tugas, lima anggotanya terserempak dengan sebuah van berwarna putih yang sedang bergerak keluar dari lorong tepi Sungai Ulu Kayan, kira-kira jam 3.30 pagi.

Bagaimanapun me nurutnya, ketika anggotanya menghampiri van berkenaan, pemandunya dipercayai sudah melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas van tersebut mendapati lebih kurang 10 karung guni mengandungi rokok keretek, dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini.

“Van dan hasil rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PGM Kampung Acheh untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada media di Markas Operasi PGM, Kampung Acheh, di sini, semalam.

Shaari berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya mendapati 10 karung guni berkenaan mengandungi 839 karton rokok iaitu 80 karton rokok Gudang Garam Nusantara (Menthol Mild), 480 karton rokok Gudang Garam Nusantara Merah dan 270 karton rokok Gudang Garam Signature.

Katanya, nilai rampasan tidak termasuk duti import adalah sebanyak RM17,040.88 termasuk van yang ditahan dan ini adalah kes pertama bagi tahun 2010.

“Kita akan cuba mengenal pasti pemilik kenderaan dan seterusnya menjalankan tangkapan terhadap suspek.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen (1) (e) Akta Kastam 1967 iaitu membawa barang belum lulus cukai kastam,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai supaya dapat menyalurkan sebarang maklumat mengenai apa-apa juga kegiatan yang menyalahi undang-undang di perairan negara kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya dan PGM khasnya untuk tindakan selanjutnya.

Dua sejoli terperangkap



GEORGETOWN – Sepasang kekasih remaja dari Jelutong bukan sahaja sanggup melakukan kegiatan jenayah pecah rumah bersama, malah kedua-duanya juga positif dadah dan syabu.

Remaja perempuan yang masih bersekolah di Tingkatan Lima itu melakukan jenayah pecah rumah di sebuah kediaman di Jalan Selama bersama kekasihnya yang berumur 24 tahun serta dua rakan remajanya yang juga berumur 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Superitenden Gan Kok Meng berkata, pada 21 Mei lalu kira-kira jam 12.05 pagi, polis menerima aduan daripada seorang wanita Melayu lingkungan 40 an mendakwa rumahnya dimasuki pencuri.

Menurutnya, sebelum kejadian wanita itu dan keluarganya keluar makan malam pada jam 8 malam, dan setibanya mereka di rumah pada jam 11 malam mendapati keadaan rumah sudah bersepah.

“Antara barang yang didapati hilang ialah dua komputer riba jenama Acer dan Dell, dua kamera digital, jam tangan jenama Guess, rantai leher, loket emas, gelang tangan emas, cincin, dan juga termasuk duit mata wang Euro sebanyak $395.

“Kemudiannya pada 23 Mei pada jam 8.30 malam bertindak atas maklumat, tiga lelaki Melayu ditangkap di bangsal tidak bernombor di Jalan Kota Giam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Jurucakap polis juga mendapat maklumat dari seorang pengadu mendakwa dia ditawar untuk membeli komputer riba dengan harga murah, dan hasil maklumat itu membolehkan polis mengesan keempat-empat remaja yang terlibat dalam kes pecah rumah itu.

Setelah menahan tiga suspek lelaki, pihak polis di bawa ke rumah seorang lagi suspek perempuan yang menyimpan dua komputer riba berkenaan di rumah.

Kok Meng berkata, polis berjaya menemui semula 80 peratus barangan wanita Melayu itu antaranya dua komputer riba, kamera jenama Olympus, rantai leher, loket, dan kerongsang lama.

“Kesemua rampasan bernilai RM9,000 dan kerugian yang dianggarkan pada mulanya ialah sebanyak RM12,000 tetapi kami masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan semua barangan curi itu.

“Empat remaja berkenaan sebelum ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemuanya direman sehingga 26 Mei ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda,” katanya.

Habuan pengusaha tamak



SEREMBAN – Sikap tamak mungkin mendorong pengusaha dua kafe siber di sekitar bandar ini melanggar peraturan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). 

Operasi dijalankan sepasukan 20 anggota penguat kuasa dan kakitangan Jabatan Perlesenan MPS petang kelmarin mendapati, seramai 18 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berada di dua premis terbabit tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga. 

Jurucakap MPS berkata, seramai 10 remaja didapati berada dalam sebuah kafe siber di Taman Komersial Senawang dekat sini, semasa operasi dijalankan. 

“Manakala, baki lapan remaja dan kanak-kanak dicekup ketika sedang leka menggunakan komputer di sebuah premis lain di Taman Sri Pulai 3, Sikamat. 

“Pengusaha dua kafe siber terbabit dikenakan kompaun kerana melanggar syarat lesen perniagaan,” katanya di sini, semalam. 

Manakala, menurut beliau, dua premis kafe siber lain di Taman Sri Pulai 3, Sikamat dan Taman Desa Anggerik, Senawang dikesan beroperasi tanpa lesen perniagaan. 

Menurutnya, sebanyak 60 komputer di dua premis berkenaan disita dan pemiliknya dikenakan tindakan undang-undang. 

“Operasi dijalankan hasil maklumat dan aduan orang ramai dan diteruskan dari masa ke masa,” katanya.

Songlap duit masjid




SHAH ALAM - Pelbagai taktik digunakan oleh pencuri untuk melakukan jenayah di mana sahaja waima di institusi agama seperti masjid dan surau dengan menyamar sebagai musafir untuk mengelirukan kakitangan masjid daripada mengesyaki tindakan buruk mereka itu. 

Kebanyakan penyamaran itu dilakukan bagi membolehkan mereka berehat dan bermalam di masjid untuk memudahkan mereka mencuri harta benda masjid terutamanya tabung masjid dan sebagainya. 

Nazir Surau An Nur, Seksyen 20, Samion Nordin berkata, pihaknya mengenal pasti taktik itu digunakan untuk mengaburi mata kakitangan masjid supaya membenarkan mereka tinggal di masjid. 

“Selalunya, mereka akan memaklumkan mereka adalah musafir dan berada di masjid atau surau untuk berehat dan bermalam kerana tidak mempunyai tempat tinggal serta sebatang kara serta akan bermalam beberapa hari. 

“Malangnya, selepas dua atau tiga hari berada di masjid mereka akan menghilangkan diri dan kakitangan masjid akan menyedari harta benda masjid dan tabung serta duit akan hilang,” katanya. 

Samion berkata, kejadian sebegitu berlaku di suraunya dan mendakwa kejadian yang sama juga berlaku di beberapa masjid dan surau di sekitar bandar raya ini. 

“Kini, Surau An Nur kerap kehilangan duit tabung masjid yang diletakkan di setiap saf terutamanya pada hari Jumaat di samping peti yang dirantai dan empat tabung besar yang terdapat dalam masjid. 

“Saya percaya kecurian ini merupakan jenayah terancang kerana kebanyakan tabung yang diletakkan di bahagian sudut berhampiran dinding ketika jemaah menunaikan solat akan hilang. 

“Tabung juga akan hilang sekiranya diletakkan di luar kawasan surau memandangkan jemaah menunaikan solat Jumaat di bahagian luar berikutan kehadiran jemaah yang ramai,” katanya. 

Samion berkata, selepas menunaikan solat Jumaat, kakitangan masjid akan mengumpul tabung yang diedarkan dan terkejut kerana setiap minggu tabung yang diletakkan akan hilang. 

“Setelah dicari, kebanyakan tabung akan dijumpai di longkang berhampiran surau tanpa mempunyai wang lagi,” katanya. 

“Bagi mengatasi masalah itu, pihak surau akan meminta bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di kawasan luar masjid terutamanya pada hari Jumaat untuk memantau keadaan masjid manakala di kawasan dalam masjid pula, kita akan mengadakan skuad pemantau. 

“Surau ini bukan sahaja menjadi mangsa curi tabung kerana kadang- kadang basikal milik jemaah juga dicuri,” katanya. 

Sementara itu, Nazir Masjid Al Ehsan, Seksyen 24, Badarudin Dawam berkata, masalah kecurian duit tabung masjid kerap berlaku di masjid itu setiap kali solat Jumaat, sejak akhir- akhir ini. 

“Kejadian berlaku secara berturut- turut dan mengejutkan kakitangan masjid kerana setiap kali membuat pengiraan untuk disimpan di peti yang disediakan kami mendapati tabung kosong dan ada kalanya tabung yang dikumpul tidak mencukupi. 

“Untuk mengatasi masalah itu, pemantauan yang lebih kerap dilakukan dan pengumuman akan dibuat untuk meminta pencuri duit itu memulangkan semula wang yang diambil dengan menyatakan pihak masjid menunaikan solat hajat,” katanya. 

Menurutnya, penjenayah mengambil kesempatan dengan melarikan duit yang terdapat dalam tabung ketika menunaikan solat Jumaat dan berharap kegiatan ini dihentikan kerana duit tabung itu di kumpul untuk melakukan aktiviti masjid.

Tembaga tulen sasaran pencuri



KUANTAN – Dua tempayan tembaga yang digunakan sebagai tempat meletak colok sembahyang sebuah tokong di Bukit Setongkol di sini, lesap dilarikan tiga lelaki, awal pagi kelmarin. 

Kehilangan tempayan tembaga yang digunakan di tokong itu sejak 1970-an disedari pagi hari yang sama ketika rumah ibadat itu dibuka untuk penganutnya. 

Beberapa tempayan besar lain juga cuba dilarikan namun pencuri gagal berbuat demikian memandangkan perkakas yang diperbuat daripada tembaga tulen itu berkunci. 

Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Kuantan, Datuk Chew Liong berkata, tiga pencuri terbabit turut melarikan empat lampu minyak dan loceng milik tokong itu yang semuanya diperbuat daripada tembaga. 

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang, kelibat suspek berjaya dirakam bagaimanapun wajah mereka sukar dikenal pasti. 

“Suspek dipercayai melompat masuk ke dalam tokong ini melalui pagar dengan meletakkan kerusi sebagai tangga. 

“Segala gerak-geri dan kelibat mereka berjaya dirakam termasuk cubaan mereka mengumpil beberapa tempayan besar lain namun cubaan mereka gagal sebaliknya hanya sempat melarikan dua daripada tempayan itu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini. 

Beliau berkata, berdasarkan rakaman CCTV, tiga suspek terbabit masuk ke dalam tokong itu kira-kira jam 4.10 pagi dan keluar 20 minit kemudian. 

“Bagaimanapun rakaman itu agak terhad dan tidak menyeluruh menyebabkan pihak tokong gagal mengenal pasti kenderaan yang digunakan suspek untuk mengangkut tempayan terbabit,” katanya. 

Menurutnya, sejak kebelakangan ini banyak rumah ibadat penganut Buddha di daerah ini menjadi sasaran pencuri yang berminat terhadap barangan tembaga tulen untuk dijual atau dileburkan. 

“Harga tembaga yang tinggi mencecah RM20 sekilogram menyebabkan pencuri menjadikan tokong sebagai sasaran memandangkan kebanyakan peralatan sembahyang seperti tempayan diperbuat daripada tembaga tulen dan beratnya mencecah puluhan kilogram,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

Menurutnya, masalah kecurian barangan tembaga di beberapa tokong dalam daerah ini termasuk perkakasan berusia lebih 200 tahun berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk harga logam itu yang tinggi di pasaran. 

“Kita juga dapati kebanyakan tokong terlibat tidak menitikberatkan aspek keselamatan termasuk tiada penjaga dan kurang kawalan keselamatan,” katanya. 

Beliau berkata, sebelum ini ada beberapa tokong termasuk tokong dalam kawasan Cenderawasih, Bukit Setongkol, Sungai Lembing dan Gambang menjadi mangsa pencuri.� 

“Polis ada membuat tangkapan bagaimanapun ia belum menjurus kepada suspek sebenar yang terlibat dalam kegiatan itu. 

“Kegiatan ini dipercayai dilakukan lebih daripada seorang suspek dan menggunakan kenderaan untuk mengangkut barangan bernilai itu ke kawasan lain,” katanya.�

Waran tangkap dikeluarkan ke atas Thaksin



Tindakan atas dakwaan pengganasan dilulus mahkamah, perintah berkurung di Bangkok dan wilayah lain dilanjut


BANGKOK: Mahkamah Jenayah Thailand meluluskan semalam satu waran tangkap ke atas mantan perdana menteri Thaksin Shinawatra atas dakwaan pengganasan kerana mencetus kekacauan selama dua bulan di Bangkok, yang menyebabkan 88 orang terkorban.
Waran tangkap itu diluluskan sehari selepas ketua pengarah Jabatan Siasatan Khas (DSI), Encik Tharit Pengdit, memberi keterangan dan menunjukkan satu klip video kepada mahkamah, lapor laman web akhbar The Nation.Kerajaan Thai menuduh Encik Thaksin mengapi-apikan dan membiayai tunjuk perasaan di Bangkok oleh kumpulan 'Baju Merah'.'Mahkamah mendapati terdapat cukup bukti untuk menunjukkan bahawa Encik Thaksin merupakan dalang kekacauan dan memain peranan utama dalam mengarah dan memanipulasi keadaan,' kata Encik Tharit.'Sekarang terserah pada peguam negara untuk menguatkuasakan waran tersebut,' kata Encik Naras Savestanan, timbalan ketua pengarah DSI, selepas satu sidang tertutup di Mahkamah Jenayah.Perdana Menteri Thai, Encik Abhisit Vejjajiva, berkata dengan adanya waran tangkap itu lebih mudah bagi kerajaan melakukan penyelarasan dengan negara lain untuk mendapatkan ekstradisi terhadap Encik Thaksin.Pendakwaan atas pertuduhan pengganasan boleh membawa hukuman mati di Thailand. Tetapi waran tangkap itu lebih bertujuan memudahkan usaha mengesktradisi Encik Thaksin.Kerajaan Thai juga mengenakan tekanan ke atas negara yang dilawati Encik Thaksin dan berusaha membeku sumber kewangannya.Sejurus selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, peguam Encik Thaksin yang berpangkalan di London, Encik Robert Amsterdam, berkata kerajaan 'telah memesongkan keadilan menerusi dakwaan yang mencabul logika, undang-undang dan memusnahkan harapan bagi satu perdamaian'.Encik Thaksin berkata melalui laman web Tweeternya bahawa 'kerajaan meletak senjata di tangan saya. Pertuduhan berdasarkan bukti palsu'.Dalam satu perkembangan berkaitan, mahkamah melanjutkan tahanan selama tujuh hari lagi ke atas lima pemimpin 'Baju Merah', iaitu dari 26 Mei hingga 1 Jun, bagi siasatan lanjut.Kelima-lima orang itu ialah Nattawut Saikuar, 35 tahun; Kwanchai Praipana, 58 tahun; Wiphuthalaeng Pattanaphuthai, 58 tahun; Yoswaris Chuklom atau Jeng Dokchik, 52 tahun; dan Nisit Sinthuprai, 54 tahun, lapor akhbar Bangkok Post.Kerajaan Thai melanjutkan juga perintah berkurung yang dikenakan di Bangkok dan 23 wilayah lain selama empat hari lagi.Langkah itu diambil sehari selepas pembangkang daripada Parti Phuea Thai mengemukakan usul hendak mendakwa Encik Abhisit dan Timbalan Perdana Menteri, Encik Suthep Thaugsuban, kerana menyalah guna kuasa semasa melancar operasi ke atas penunjuk perasaan 'Baju Merah'. -- Agensi.

Jambatan beralun di Rusia




BENTUK binaan jambatan baru di Volgograd, Rusia.GAMBAR KECIL PERMUKAAN jalan yang kelihatan beralun di jambatan baru di Volgograd, Rusia.


VOLGOGRAD, Rusia - Sebuah jambatan baru di sini sepanjang 7.2 kilometer bernilai AS$393.98 juta (RM1.3 bilion) yang dibuka lapan bulan lalu ditutup pada minggu lalu kerana permukaan jalannya beralun setiap kali angin kencang, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut beberapa laporan, permukaan jalan di atas jambatan itu akan beralun sehingga setinggi 0.91 meter apabila angin kencang bertiup di kawasan tersebut.
Seorang pemandu kereta berkata: "Kereta saya melantun seperti bola. Saya pada mulanya menganggap terdapat sesuatu yang tidak kena dengan suspensi kereta saya."
Menurut seorang lagi pemandu, Andrey Bystrov, dia pada mulanya menganggap tersilap jalan semasa keretanya melantun di atas jambatan itu.
"Saya turut terfikir mungkin ada sesuatu yang berlaku pada suspensi kereta saya.
"Saya kemudiannya melihat kenderaan lain dan mendapati kereta mereka berayun-ayun," katanya.
Seorang pakar, Vladimir Parshin berkata, angin mungkin punca jambatan galang itu beralun.
Imej beralun itu boleh dilihat di laman web YouTube di Internet. - Agensi

Lagi kapal pindah minyak ditahan



JOHOR BAHRU 25 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan sekali lagi berjaya menumpaskan kegiatan pemindahan minyak secara haram apabila menahan dua buah kapal di perairan Pengerang di Kota Tinggi semalam.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abdul Wahab berkata, kapal MT Shengtek dan MT South Ocean No. 2 itu ditahan pada kedudukan 2.6 batu nautika dari selatan Tanjung Kapal pukul 10.20 pagi.
Beliau berkata, kegiatan mereka berjaya dihidu oleh KM Manjung yang melakukan rondaan di perairan tersebut.
"Sewaktu menghampiri kedua-dua kapal itu, kami dapati ia sedang melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran yang sah.
"Setelah diperiksa, kami mendapati kapal MT Shengtek telah memindahkan sebanyak 565,000 liter minyak ke kapal MT South Ocean No. 2," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kejayaan itu adalah yang kedua bagi APMM menahan kapal yang menjalankan kegiatan memindahkan minyak secara haram dalam tempoh 48 jam.
Kelmarin, APMM menahan dua buah kapal asing iaitu MT Atami Maru dan MT Petrolimex 09 yang sedang menjalankan kegiatan sama di perairan berkenaan.
Abdul Hadib berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua kapal mendapati dua hos telah digunakan secara serentak bertujuan mempercepatkan lagi aktiviti itu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Ketika siasatan, katanya, kedua-dua kapal berkenaan gagal mempamerkan sebarang dokumen atau permit daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melaksanakan aktiviti pemindahan minyak.
Menurutnya, dokumen kedua-dua kapal dan pengenalan diri 19 anak kapal warga Indonesia, China, Taiwan, Singapura dan Filipina berusia antara 22 hingga 57 tahun itu telah diambil untuk siasatan, manakala kapten kapal ditahan untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua pemilik kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti kapal ke kapal serta gagal memaklumkan ketibaan kapal apabila berada di mana-mana perairan Malaysia.
Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Curi bot dan enjin: Geng Din Busut dicekup



KOTA TINGGI 25 Mei - Para nelayan tempatan di sekitar perairan Pengerang di sini tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang apabila 13 kes kehilangan bot dan enjin sangkut dilaporkan berlaku di kawasan itu.
Kecurian itu dikatakan sering berlaku pada waktu awal pagi, menyukarkan usaha mereka untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab.
Namun, kebimbangan para nelayan itu sedikit reda apabila Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menahan lima ahli 'Geng Din Busut' yang dipercayai terlibat dalam kecurian itu, awal pagi ini.
Kejayaan itu berhasil pada pukul 3.10 pagi apabila sepasukan anggota PGM Wilayah Dua menahan lima lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun di perairan Tanjung Pengelih berhampiran Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat sini.
Ketika ditahan, lima ahli geng itu sedang menunda sebuah bot lain dipercayai baru dicuri di perairan berkenaan.
Komander Markas PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abdul Rahman berkata, kumpulan itu biasanya mencuri bot atau enjin bot milik nelayan tempatan antara tengah malam sehingga awal pagi dengan memotong rantai besi yang mengikat bot atau enjin.
"Mereka beroperasi secara berulang-alik dari tempat asal mereka. Kebiasaannya mereka akan datang pada awal pagi untuk menangkap ikan seperti nelayan lain tetapi apabila tengah malam, kumpulan ini menjalankan operasi mencuri bot dan enjin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, pihaknya merampas dua buah bot yang dinaiki geng tersebut selain menemui pemotong besi dan tiga bilang parang dalam bot berkenaan.
Mohd. Khamsani berkata, Geng Din Busut bukan satu-satunya kumpulan yang menjalankan kegiatan mencuri bot dan enjin di kawasan berkenaan kerana pihaknya telah mengenal pasti beberapa geng lain yang turut menjalankan kegiatan yang sama.
Sehingga kini, 13 kes kecurian bot dan enjin dilaporkan berlaku di Ulu Tiram, Adela, Tanjung Pengelih dan Teluk Sengat.
Selain dijual, bot dan enjin yang dicuri itu digunakan untuk merompak.
Mohd. Khamsani berkata, kelima-lima suspek kini ditahan di Balai Polis Pengerang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Dua akhbar caj pembaca di Internet


GAMBAR menunjukkan seorang wanita melayari laman web akhbar The Times di skrin komputer.

LONDON – Dua akhbar Britain, The Times dan mingguan Sunday Times melancarkan wajah baru laman web sebagai persediaan untuk menjadi akhbar pertama di negara itu yang mengenakan bayaran kepada pembaca di Internet.
Pembaca yang berdaftar akan hanya dapat mengakses laman web akhbar itu secara percuma sehingga akhir Jun depan.
Mereka perlu membayar 1 (RM4.82) sehari untuk langganan edisi harian dan 2 (RM9.64) untuk edisi pada Ahad selepas bulan depan.
Laman terbaru itu www.thetimes.co.uk dan www.thesundaytimes.co.uk menggantikan laman web tunggal sebelum itu, timesonline.co.uk iaitu sebahagian daripada firma News Corporation milik bilionair Australia, Rupert Murdoch.
“Kami mengambil satu langkah besar. Beberapa tahun lalu, maklumat dan berita dapat dibaca percuma menerusi Internet,” kata Pengarang The Times, James Harding.
Caj itu adalah sama dengan harga jualan senaskhah akhbar tersebut sekarang.
“Perasaan kami menunjukkan kini sudah tiba masa untuk menghentikan amalan pemberian percuma kerana kami berasa ia boleh merendahkan nilai tinggi kewartawanan akhbar kami,” katanya kepada stesen radioPerbadanan Penyiaran British (BBC).
Jualan akhbar yang ditubuhkan 225 tahun lalu itu semakin merosot manakala banyak pengiklan beralih kepada akhbar dalam talian.
Pada Ogos tahun lalu, Murdoch mengumumkan cadangan bagi mengenakan bayaran untuk semua akhbar di Internet miliknya.
Akhbar kewangan global berpusat di London, Financial Times edisi Internet sudah menetapkan caj untuk beberapa halaman tertentu.
Di Amerika Syarikat, akhbar Wall Street Journal menjadi akhbar pertama di negara itu yang mengenakan bayaran untuk pengguna mengakses sepenuhnya laman webnya. – AFP
kredit : kosmo.com.my