Search This Blog

Monday, May 24, 2010

Rampas bot seludup keretek

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Pelabuhan Klang Wilayah Selatan mematahkan cubaan menyeludup masuk 2,810 karton rokok keretek dan rokok putih pelbagai jenama di perairan Tanjung Tongkah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam, bot laju APMM yang melakukan rondaan mengesan bot pancung dalam di kedudukan 3 batu nautika di Barat Morib sebelum mengejarnya.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Datuk Che Hassan Jusoh berkata, ketika pihaknya cuba menghampiri, tekong bersama beberapa anak kapal terus meluncur laju menuju ke daratan Tanjung Tongkah.

“Bot laju APMM mengejar bot pancung itu 30 minit sebelum berjaya memintas dan menahannya di pantai Tanjung Tongkah, namun tekong serta beberapa kru berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut dan menghilangkan diri di hutan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot sepanjang 8.8 meter yang menggunakan enjin sangkut jenis Mercury, 225 kuasa kuda itu membawa pelbagai jenama rokok kretek dan rokok putih,” katanya dalam satu kenyataan media.

Muatan rokok dirampas termasuk jenama Wismilak (780 karton), Marlboro Merah 20 (300 karton) dan Marlboro Light 25 (150 karton).

Perogolku, suamiku

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana mahu menutup malu keluarga selepas anaknya dirogol dan mengandung anak luar nikah, seorang bapa sanggup mengahwinkan anak gadisnya itu dengan perogol terbabit, walaupun menyedari tindakannya itu bakal menjerat diri.
Ternyata, tindakannya itu tidak menyelesaikan masalah berkenaan, malah menyebabkan mangsa fobia dan trauma akibat dirogol selain terpaksa berdepan perogolnya yang juga suaminya.
Untuk memastikan dirinya tidak diganggu, mangsa sanggup menyembunyikan diri kerana takut berdepan suaminya itu.

Lebih malang, mangsa juga terpaksa menanggung malu bersendirian selepas pelbagai tohmahan dilemparkan jiran kerana mendakwa dirinya gadis liar dan mengandung anak haram.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai sebagai Nor, 19, ketika ditemui berkata, peristiwa hitam itu berlaku pada penghujung 2007 ketika dia berusia 16 tahun dan masih di bangku sekolah.

Menurutnya, dia tidak menyangka dirinya diperangkap rakan baiknya sendiri yang mengundangnya untuk minum petang di rumah sebelum khayal dan tidak menyedari dirinya menjadi korban lelaki bernafsu binatang itu.

Menceritakan semula peristiwa hitam menimpa dirinya itu, Nor berkata, selepas pulang dari sekolah, rakannya mengajaknya ke rumahnya untuk minum selain memujuk dia menemaninya kerana orang tuanya tiada di rumah.

Katanya, ketika di rumah rakannya, dia dihidangkan minuman dan selepas meminumnya kepalanya pening, pandangannya gelap dan tidak sedarkan diri.

Nor berkata, selepas beberapa jam dan terjaga daripada pengsan, dia terkejut apabila tubuhnya yang tidak berpakaian terbaring di atas katil dalam bilik tidur rakannya itu.

“Selepas itu, baru saya sedar diri dirogol seorang lelaki yang juga teman rakan yang berada di dalam rumahnya itu dan lebih mengejutkan apabila rakan baik dan lelaki itu hanya buat selamba apabila saya bertanyakan apa berlaku kepada diri saya.

“Kerana kecewa diperlakukan sedemikian saya pulang ke rumah dan kejadian itu saya rahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

“Ketika itu hati saya hancur dan percaya diri saya diperangkap apabila minum minuman dicampur sesuatu yang mengkhayalkan,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu terbongkar selepas keluarganya perasan perubahan pada tubuhnya yang mengandung.

“Saya menceritakan kepada keluarga peristiwa hitam itu dan bapa yang terkejut membuat laporan polis.

“Namun, bapa menarik balik laporan berkenaan dan untuk menutup malu keluarga bapa buat keputusan mengejutkan apabila mengahwinkan saya dengan lelaki terbabit yang merogol saya, tetapi mengasingkan saya daripada suami,” katanya.

Nor berkata, walaupun sudah berkahwin mereka tidak tinggal bersama dan dia sering mengelak bertemu lelaki terbabit sebelum menuntut cerai beberapa bulan kemudian.

“Saya tertekan dengan keputusan bapa menikahkan saya dengan perogol itu, malah lelaki yang bergelar ‘suami’ itu sering menghubungi saya untuk bertemu dan memujuk tinggal bersamanya, namun saya menolak kerana trauma dengan perbuatan biadabnya sehingga merosakkan masa depan saya.

“Beberapa bulan kemudian saya nekad berpisah dengannya sebelum memfailkan cerai fasakh di mahkamah dan kami berpisah, namun dia tetap memburu saya dengan alasan mahu melihat anak daripada benihnya itu, tetapi saya percaya dia ada tujuan lain,” katanya.

Nor berkata, dua tahun dia tidak keluar rumah akibat menderita selain menerima cemuhan jiran yang tidak tahu kejadian sebenar dan selepas melahirkan anak dia tekad memulakan hidup baru.

Menurutnya, pernah bekas suaminya itu menghubunginya untuk kembali bersama menjadi pasangan suami isteri, namun dia tidak menerimanya kerana lelaki itu tidak bertanggungjawab apabila nafkah anak langsung tidak pernah diambil peduli.

“Saya percaya dia bukan mahu melihat anaknya, tetapi lebih kepada nafsu untuk melakukan hubungan seks dengan saya secara paksa, walaupun kami kini sudah berpisah,” katanya.

Nor berkata, sudah beberapa kali dia meminta bekas suaminya memberi nafkah kepada anaknya, namun jawapan diterimanya mengguris hatinya selain menuduh dirinya perempuan murahan.

“Saya bukan seperti yang dia gambarkan dan saya amat membencinya walaupun pernah bergelar suami isteri,” katanya.

Nor berkata, sehingga kini dia benci melihat wajah bekas suami yang memusnahkan masa depannya dan berharap pendedahannya memberi pengajaran kepada remaja lain supaya lebih berhati-hati memilih rakan supaya tidak terjerat.

Menurutnya, kesan psikologi kejadian itu amat mendalam serta sukar dilupakan dan dia kini banyak menginsafi diri selain berusaha mendidik anak hasil perbuatan bekas suaminya yang kini berumur tiga tahun menjadi insan berguna.

Gian ‘pil syok’

PETALING JAYA: Segelintir pelajar dikesan semakin kemaruk memakan pil khayal terkenal dengan jolokan ‘Pil Raja’ atau Pil Sedap’ berikutan ia mampu memberi igauan seks ketika bermimpi selain merangsang remaja membunuh diri.
Namun, agak menakutkan pil terbabit dikenali sebagai pil dexstrometorfon dan hanya digunakan untuk merawat pesakit batuk kering mampu membunuh golongan remaja jika diambil berterusan dengan jumlah banyak.
Bagaimanapun, tindakan segelintir pemilik kedai ubat berlesen menjual pil itu pada harga semurah 50 sen sebiji menyebabkan gejala tidak sihat itu mudah merebak di kalangan pelajar yang menjadikannya sebagai bahan rangsangan.

Dalam kes terbaru, sebuah kedai ubat berlesen di Damansara, di sini diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dikesan menjalankan kegiatan menjual pil terbabit kepada pelajar.

Sumber bahagian Penguat kuasa Farmasi berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang minggu lalu itu, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut ke kedai berkenaan dimiliki seorang wanita tempatan berusia 30-an Menurutnya, walaupun mulanya dia tidak mengaku menjual pil psikotropik berkenaan, namun semakan buku rekod kedai itu mendapati ia tidak dikemas kini dengan sempurna.

“Malah, peniaga berkenaan sebelum ini pernah dikesan membeli puluhan ribu biji pil khayal berkenaan tetapi tiada rekod ke mana pil itu diedar atau dijual.

“Apabila disoal, wanita terbabit gagal memberi penjelasan,” katanya.

Menurutnya, pil psikotropik mempunyai kesan sama seperti pil Nospan menjadi buruan remaja sekolah yang mula berjinak-jinak dunia penagihan dadah.

“Bagaimanapun siasatan lanjut menemui pek pil berkenaan siap dibungkus 300 biji setiap satu dipercayai untuk diedarkan kepada ‘orang tengah’ bertindak sebagai pengedar pil khayal itu.

“Hasil pemeriksaan lebih sejam itu, pegawai penguat kuasa Farmasi merampas 5,000 biji pil khayal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit akan disiasat mengikut Akta Racun dan jika sabit kesalahan pemilik premis berkenaan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan siasatan, golongan pelajar membeli antara lima hingga 10 pil terbabit dengan 50 sen sebiji.

“Mereka biasanya menelan pil antara lima hingga 10 biji sekali gus bagi mendapatkan kesan khayal dan rangsangan diingini,” katanya.

Difahamkan, pil Nospan pilihan alternatif penagih dadah berikutan ia menyebabkan individu memakannya khayal sehingga tempoh lapan jam tanpa henti. Kebanyakan penagih dadah mengambil sehingga 10 pil Nospan berkenaan dalam tempoh sehari bagi mendapatkan kesan khayal sebelum jumlah meningkat sehingga puluhan biji dalam tempoh beberapa beberapa bulan. Ketagihan pil terbabit dianggap berbahaya apabila ia bukan saja menyebabkan kerosakan saraf otak, malah boleh menyebabkan mangsa sakit mental dan kurang siuman.

Jengah pusara ayah

KUANTAN: “Kejadian itu berlaku begitu pantas dan dalam sekelip mata saja sebuah kereta dipandu laju merempuh Najihah menyebabkan genggaman tangannya terlepas dari tangan saya sebelum diseret sejauh kira-kira 100 meter,” kata Nurfazlinda Wahab, 15, sepupu kepada Nurul Nor Najihah Zamri, 12, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kampung Peramu di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa berpimpin tangan bersama sepupunya untuk melintas menuju ke gerai burger di seberang jalan sebelum mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Proton Iswara.
Lebih menyayat hati apabila mangsa turut diseret sejauh kira-kira 100 meter dan kejadian itu disaksikan ibu mangsa yang bekerja di kedai makan berhampiran tempat kejadian.

Fazlinda berkata, sebelum kejadian, mangsa merengek mahu membeli burger dan dia bersetuju menemaninya pergi ke gerai burger tidak jauh dari kedai makan tempat ibunya bekerja.

“Saya juga bersetuju menemani dia berjumpa ibunya untuk mengambil minuman selepas membeli burger,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediaman mangsa di sini, malam kelmarin.

Katanya, ketika hendak melintas jalan, mangsa berjalan di depan sambil dia memimpin tangannya sebelum sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 30-an merempuh dan menyeret mangsa.

“Saya hanya mampu menjerit sambil mengejar kereta terbabit sebelum ia berhenti dan ibu Najihah yang melihat kejadian itu turut menjerit dan berlari menuju ke arah kereta terbabit.

“Pemandu kereta berkenaan kemudian turun dan melarikan diri ke balai polis berhampiran sejurus melihat arwah berada di bawah keretanya dalam keadaan parah di muka,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Katanya, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Sementara itu, abang mangsa, Mohd Hanafi, 19, berkata mangsa anak bongsu daripada lima beradik dan seorang yang periang dan suka berceloteh.

“Namun, sejak Khamis lalu, mangsa berkelakuan pelik apabila tiba-tiba mengajak sepupunya menziarahi kubur arwah bapa dan mereka pergi ke sana tiga hari berturut-turut.

“Saya agak pelik dengan perubahan sikap arwah itu, namun tidak menyangka ia petanda yang arwah akan pergi untuk selama-lamanya,” katanya.

Hanafi berkata, dia terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab lelaki yang melanggar adiknya itu kerana tidak berusaha membantu mengeluarkan mangsa dari bawah keretanya sebaliknya melarikan diri.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Trafik daerah, Asisten Superintendan Goh Ewe Gee mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

1 maut 5 parah nahas jalan raya

PULAU PINANG: Seorang wanita terbunuh apabila dua kereta bertembung di jalan pesisir pantai dekat Lebuh Raya Bayan Lepas di sini malam tadi.
Noorhasmida Ismail, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala manakala dua rakannya dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri Supt Wan Aziz Wan Hussain berkata, kemalangan berlaku pada 11 malam apabila Noorhasmida bersama dua rakannya menuju ke arah George Town dan kereta yang dipandu oleh rakannya itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain yang dinaiki tiga orang.
"Ketiga-tiga mereka ini juga cedera parah," katanya.
Wan Aziz berkata polis belum dapat mengambil keterangan daripada mereka yang terbabit kerana keadaan mereka masih kritikal. - Bernama

SPRM diminta siasatan pembahagian rumah kos rendah

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pembahagian rumah kos rendah kepada golongan yang berpendapatan rendah di Petaling Jaya.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berharap SPRM membuat siasatan lanjut terhadap perkara itu kerana setiap projek pembangunan perlu dipantau agensi kerajaan itu.

"Eloklah kalau SPRM siasat... biar mereka (pemaju) takut. Dalam mesyuarat mana-mana sekalipun, wakil daripada SPRM patut diletakkan bagi mengawasi perjalanan sesuatu projek," katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai 500 pekerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang diperuntukkan flat kos rendah di bandar raya itu sedangkan mereka merupakan golongan berkemampuan dan tidak layak memiliki rumah terbabit.

Nadzim berkata perbuatan itu juga jika tidak segera ditangani akan menggagalkan usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat harmoni di negara ini.

Gadis kemaruk seks



DUNGUN - Seorang gadis yang sudah bertunang sanggup menjadikan hotel murah dekat pantai peranginan di sini, sebagai tempat untuk memuaskan nafsunya dengan lelaki lain hanya gara-gara dikatakan kemaruk seks.

Bagaimanapun, hubungan sulit gadis berkenaan yang menjadikan rumah tumpangan disewa secara bulanan oleh pasangan lelakinya sebagai lokasi untuk melakukan adegan panas itu terbongkar, apabila tempat itu diserbu pihak berkuasa petang kelmarin.

Ketika serbuan dibuat di rumah tumpangan terletak di Kuala Abang, kira-kira jam 5 petang kelmarin, gadis yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan itu dikatakan baru selesai melakukan perbuatan terkutuk bersama teman lelakinya yang bekerja sebagai penjual ikan di Kompleks Perikanan Kuala Dungun.

Setelah disoal siasat anggota penguat kuasa, gadis itu turut mengaku sudah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut dengan teman lelakinya dan kunjungannya ke situ adalah untuk melepaskan keinginan seks setelah dipercayai sudah lama tidak berbuat demikian.

Lelaki maut terkena renjatan elektrik





MUADZAM SHAH - Gara-gara ingin mencuri kabel elektrik mengandungi tembaga tulen, seorang lelaki berusia 20 tahun maut terkena renjatan elektrik di pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Felda Keratong 9, di sini malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa yang dipercayai seorang penagih dadah dikatakan cuba memotong wayar bumi apabila bahagian depan badannya terkena wayar hidup yang mempunyai arus elektrik.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Polis, Johari Jahaya berkata, mayat mangsa ditemui rentung dan tergantung kira-kira tiga meter dari tanah setelah tersangkut di talian elektrik di pencawang itu oleh beberapa kakitangan TNB.

Siling runtuh


Sabah & Sarawak: 
Oleh Johary Indan

2010/05/24

Masjid Ubudiyah perlu dibaiki elak bahaya jemaah beribadat

TAMPARULI: "Sampai bila kami harus terus menggunakan Masjid Ubudiyah yang usang dan berbahaya ini? Kami tidak ada jawapan dan pilihan. Sejak siling runtuh dan menjejaskan ruang solat utama di masjid ini pada 9 Februari lalu, tiada sesiapa pun yang tampil mengambil tahu kesulitan kami.

"Kami sedih dengan keadaan ini kerana masjid inilah satu-satunya tempat kami beribadat dan memperkukuh silaturahim sesama umat Islam setiap kali solat fardu dan Jumaat sejak sekian lama."
Itulah yang diluahkan kebanyakan jemaah Masjid Ubudiyah, di sini sejak awal tahun ini berikutan keuzuran masjid yang menyebabkan jemaah terpaksa menghadapi risiko ditimpa runtuhan masjid.
Kejadian siling masjid runtuh bukan setakat memaksa ruang solat utama dalam masjid itu ditutup kepada jemaah, malah kegiatan lain seperti ceramah dan kelas pengajian agama juga tidak mampu dijalankan.

Sejak kejadian itu, anggota jemaah masjid terpaksa menunaikan solat fardu dan Jumaat dalam keadaan kurang selesa di kaki lima masjid dan bawah khemah di perkarangan masjid.

Seorang jemaah, Lokman Abdul Manan, 48, berkata beliau terkilan kerana tiada mana-mana pihak mengambil tindakan membantu menangani masalah berkenaan.

"Walaupun sudah tiga bulan siling masjid runtuh, belum ada mana-mana pihak datang untuk membaiki kerosakan itu, apatah lagi membina masjid baru bagi menggantikan masjid yang sudah terlalu uzur dan berbahaya itu," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.
Masjid berusia lebih 30 tahun itu sepatutnya dirobohkan untuk membolehkan pembinaan masjid baru bernilai lebih RM2 juta tahun ini. Bagaimanapun, setakat ini, masjid baru yang dijanjikan kerajaan itu belum didirikan menyebabkan anggota masyarakat di sini tertanya-tanya mengenai faktor kelewatan pembinaan itu.

Lokman berkata, kelewatan itu tidak menimbulkan masalah besar kepada anggota kariah di kawasan berkenaan tetapi ketiadaan tempat sementara untuk menunaikan ibadat menyebabkan mereka menghadapi kesulitan.

"Kami berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim kerana prihatin terhadap kejadian itu. Beliau melawat masjid itu beberapa hari selepas kejadian," katanya.

Mohd Faizal Abdullah, 46, mendakwa selepas lawatan Jahid, anggota jemaah masjid sehingga kini belum mendapat sebarang maklumat mengenai kedudukan masjid berkenaan sama ada akan menjalani pembaikan atau sebaliknya.

“Saya kecewa kelewatan pihak berkuasa menangani masalah itu. Jika kerajaan tidak mampu membina masjid baru, jangan beri janji kerana ia membuatkan umat Islam tertunggu-tunggu ia ditunaikan," katanya sambil menjelaskan umat Islam di sini sudah mengumpul tandatangan untuk menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan masjid baru.

Setiausaha jawatankuasa masjid berkenaan, Zulkifli Awang, berkata tandatangan itu akan diserahkan kepada Jahid untuk dirujukkan kepada kerajaan.

"Jika pembinaan masjid baru tidak mampu dilaksanakan dalam tempoh terdekat, kerajaan wajar membaiki kemudahan sedia ada. Kedatangan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi menyebabkan pembinaan masjid itu harus disegerakan,” katanya.

Trauma tanah runtuh


Johor: 
Oleh Mahani Ishak

2010/05/24

Penduduk Taman Bukit Tiram bimbang jalan baru ditampal kembali mendap

ULU TIRAM: Ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Tiram percaya mendapan tanah menjadi punca kepada masalah jalan yang baru ditampal Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dalam tempoh sebulan lalu kembali mendap. 

Dengan musim hujan kebelakangan ini, mereka khuatir kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku empat tahun lalu berulang lagi.
Tinjauan Edisi Johor mendapati kawasan berkenaan berisiko tinggi berikutan kedudukannya hampir dengan parit besar, selain terletak hampir dengan lereng bukit menyebabkan kejadian tanah runtuh yang menghantui penduduk berhampiran mungkin berulang sekiranya langkah keselamatan tidak diambil segera pihak berkaitan.
Seramai 1,300 murid SK Taman Bukit Tiram yang bersekolah sesi pagi, manakala 700 lagi murid Sekolah Kebangsaan Tamil menggunakan sekolah sama bagi waktu petang, bakal berdepan risiko apabila dianggarkan empat bas sekolah dan sembilan van sekolah berulang-alik membawa murid pada waktu puncak, menyumbang kepada punca mendapan tanah semakin serius. 

Pengerusi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Bakar Hamid, 49, berkata penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati bangunan itu selamat, tetapi perkara itu meragukan pihak guru dan penjaga apabila banyak keretakan serius dapat dilihat pada beberapa bangunan di sini. 

“Empat tahun lalu, pernah berlaku tanah runtuh membabitkan beberapa bangunan sekolah ini, jadi PIBG bimbang kejadian sama akan berulang kerana bangunan di sepanjang 200 meter ini jelas menunjukkan kesan mendapan baru dan lama. 

“Paling membimbangkan, bangunan terbabit turut menempatkan pelajar prasekolah, selain kuarters guru dikhuatiri boleh runtuh, lebih-lebih lagi keadaan semasa yang kerap hujan," katanya. 
Bakar berkata, keadaan mendapan itu makin serius sejak dua tahun kebelakangan ini tetapi tindakan lanjut pihak berkenaan masih dinantikan walaupun banyak aduan dibuat pihak sekolah belum ditangani kerana pihak berkenaan berdepan masalah peruntukan. 

“Berhubung aduan yang dibuat, kami dimaklumkan pihak berkaitan masih menunggu peruntukan kerajaan bagi mengatasi masalah berkenaan. Bagi kerosakan kecil seperti masalah gangguan elektrik, pihak sekolah menggunakan perbelanjaan sendiri bagi memastikan anak kami belajar dengan selesa," katanya. 

Peniaga, Abdul Salam Hamid, 46, mendakwa sekolah berkenaan yang mula dibuka pada 2004, berada dalam keadaan kurang selamat kerana boleh membahayakan nyawa pelajar yang menaiki bas ke sekolah ketika melalui kawasan mendapan laluan masuk utama sekolah berkenaan. 

“Keadaan ini membahayakan pelajar apabila berlaku pertembungan dua bas di laluan sama, menyebabkan bas yang dalam perjalanan keluar dari kawasan sekolah nyaris terhumban ke parit bersebelahan ketika melalui jalan yang semakin mendap," katanya. 

Abdul Salam berkata, pertembungan antara bas dan kenderaan penjaga yang diatasi dengan membuka satu jalan lain bagi membolehkan kenderaan hanya bergerak dalam satu hala saja. 

Mekanik, Mohd Sam Kunji Ai, 46, suami kepada seorang guru di sekolah berkenaan, mula mendiami kuarters berkenaan sejak sekolah dibuka berkata, masalah bangunan retak yang membabitkan kediaman guru itu semakin serius menyebabkan penghuni menyelesaikan masalah terbabit dengan sendiri. 

“Penilaian dari JKR memaklumkan bangunan ini masih selamat kerana struktur bangunannya diperbuat dari konkrit, tetapi bagi penghuni keadaan ini mendedahkan risiko kerana bangunan ini jelas menunjukkan tanda keretakan serius. 

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana bangunan ini milik kerajaan, namun bagi mengatasi tiang konkrit yang semakin condong kami terpaksa mencari alternatif dengan mengikat tiang yang hampir tumbang bagi mengelak ia runtuh menyembah bumi. Selain itu, kanak-kanak tidak lagi dibenarkan bermain bola sepak di kawasan berisiko runtuh di ruang parkir kenderaan pemilik kuarters, " katanya. 

Sementara itu, jawatan kuasa PIBG meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), MBJBT, JKR dan agensi lain memberi perhatian sewajarnya kerana sekiranya runtuhan sebenar terjadi, semua pihak akan saling menuding jari, tetap memberikan kesan besar kepada kelancaran sesi persekolahan pihak terbabit untuk tujuan pemulihan semula.

Khidmat seks waktu siang

SEORANG mak nyah cuba memikat pelanggan di sekitar Lorong Haji Taib.
Permintaan lebih tinggi di samping elak saingan dengan mak nyah asing

KUALA LUMPUR: Jika dulu mereka hanya bersidai menunggu pelanggan pada waktu malam, kini mak nyah atau pondan lebih berani apabila menawarkan khidmat seks mereka pada waktu siang.

Tinjauan Sentral di sekitar bandar raya ini mendapati puncanya kerana pada waktu siang mereka kurang mendapat persaingan, manakala permintaan pelanggan dikatakan tinggi, selain pihak berkuasa kurang melakukan serbuan.
Lorong Haji Taib di sini yang kononnya sudah beberapa kali menjalani program ‘pembersihan’ kini meriah dengan aktiviti mereka dengan pelanggan boleh datang pada bila-bila masa untuk melampiaskan nafsu termasuk pada waktu makan tengah hari.
Sepanjang laluan terbabit, boleh dilihat mak nyah berpakaian seksi duduk berkumpul di hadapan kedai dua tingkat atau sekadar berdiri di pintu tangga walaupun tatkala itu matahari tegak di atas kepala.

Amat menghairankan, balai polis hanya beberapa meter dari lokasi mereka ‘bersidai’.

Seorang mak nyah yang menamakan diri sebagai Mimi berkata, dia menawarkan khidmat seks pada waktu siang kerana tidak dapat bersaing dengan mak nyah warga asing terutama dari Indonesia pada waktu malam.

“Mak nyah warga Indonesia lebih digemari lelaki Bangladesh dan orang senegara mereka. Disebabkan itu, saya sebagai warga tempatan terpaksa bekerja siang sebab tak perlu berebut dengan mak nyah warga Indonesia,” katanya kepada Sentral.
Sementara itu, penyamaran rakan setugas untuk melanggan seorang lagi mak nyah, Lisa mendapati harga dikenakan ialah RM50, tetapi pelanggan masih boleh mendapat diskaun jika pandai merayu.

Bagaimanapun, caj serendah RM20 dikenakan kepada pelanggan yang hanya ingin ringan-ringan di tangga premis bilik sewa mereka.

“Takde sapa lalu kat tangga ni bang. Setakat ringan-ringan, baik kat tangga je, tak payahlah abang bayar lebih, RM20 pun cukup. Boleh ye bang. Tapi kalau nak lebih, kita masuk bilik. Jangan risau...selamat...ada orang jaga line (tempat)...” katanya sambil merayu minta dilanggani.

Seorang pekerja kedai barangan kulit yang enggan dikenali berkata ada beberapa kelompok pondan di bawah jagaan individu berlainan ‘berniaga’ di kawasan sama hingga pernah terjadi perkelahian disebabkan merebut pelanggan.

“Saya nampak keakraban mereka namun kebiasaannya hanya orang baru yang melanggar peraturan, iaitu berani merebut pelanggan. Cuma kalau tengok di Lorong Haji Taib 2 hanya kelibat pondan, manakala di seberang jalan selorong dengan balai polis, pula ialah pelacur.

“Mereka ni pula ada penjaga yang kadang-kadang hanya duduk di kaki lima atau lepak di restoran berhampiran untuk melihat jika ada operasi, memastikan keselamatan ‘anak buah’ atau sekadar memantau dari jauh kalau pelanggan cuba buat sesuatu,” katanya.

Sementara itu, polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak melayani atau melanggan mak nyah atau pondan dalam usaha membendung masalah seks songsang itu daripada berleluasa.

Pegawai Turus Jabatan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata jika bertembung dengan mak nyah yang menjual tubuh di kaki lima atau mana-mana lorong jangan layan.

“Tanpa permintaan, tiada penawaran sekali gus orang ramai membantu polis membanteras gejala itu walaupun dilakukan pada siang hari atau malam hari,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kegiatan mak nyah di Lorong Haji Taib di sini, yang sebelum ini menawarkan khidmat seks pada waktu malam, kini lebih berani apabila menukar operasi pada waktu siang.

Tinjauan Sentral di sekitar bandar raya ini mendapati puncanya kerana pada waktu siang mereka kurang mendapat persaingan, manakala permintaan pelanggan dikatakan tinggi, selain pihak berkuasa kurang melakukan serbuan.

Razali berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang terbabit dalam sindiket pelacuran dan gejala sosial lain.

“Seperti di Lorong Haji Taib dan Chow Kit, terdapat balai polis di kawasan terbabit kerana balai bukan hanya untuk memerangi jenayah malah turut berusaha membanteras masalah pelacuran,” katanya.

Sehubungan itu, polis akan meningkatkan rondaan di kawasan terbabit dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkenaan terus menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Penjara 7 tahun, 3 sebatan rogol penuntut kolej



24/05/2010 11:55am

PETALING JAYA 24 Mei - Seorang bekas kakitangan bank, Ahmad Muhaimin Abdullah, 27, dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang penuntut kolej swasta, enam tahun lalu. - Utusan

Warga India gagal sembunyi dadah bawah makanan ringan



24/05/2010 5:55pm

SHAH ALAM 24 Mei — Taktik satu sindiket yang didalangi oleh dua lelaki warganegara India menyembunyikan dadah di bawah timbunan makanan ringan dalam bagasi terbongkar apabila mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 30 tahun dan 41 tahun itu ditahan ketika sedang menolak troli mengandungi empat bagasi milik mereka dalam keadaan mencurigakan sebaik tiba dari Chennai, India.
Beliau berkata, sebaik diperiksa, kesemua bagasi berkenaan mengandungi lapan plastik besar dan 20 paket kecil yang berisi dadah jenis ketamin seberat 10.1 kilogram dan bernilai kira-kira RM260,000.
"Kesemua beg yang dibawa dipenuhi dengan timbunan makanan ringan telah tamat tarikh luput serta beberapa pakaian dan dilapisi kepingan papan di mana sindiket terbabit menyembunyikan dadah yang dibawa di bawah kepingan papan dalam bagasi mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, dadah berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan selain turut menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diedarkan ke negara lain.
Jelasnya, mengikut rekod, lelaki yang berusia 41 tahun dan mempunyai sebuah kedai runcit di India telah 12 kali keluar masuk ke negara ini sejak Mac lepas manakala rakannya yang bekerja di sebuah hotel di negara asalnya pernah masuk ke Malaysia pada Disember lepas.
Katanya kedua-dua lelaki itu kini tahan reman sehingga 30 Mei ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Bunuh pesara: anggota tentera ditahan untuk bantu siasatan



24/05/2010 5:59pm

KUANTAN 24 Mei — Polis menahan seorang anggota tentera bagi membantu siasatan berikutan penemuan mayat seorang pesara Majlis Perbandaran Kuantan yang dipercayai dibunuh di kawasan Felda Bukit Kuantan peringkat 7 di sini pada 12 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T. Narenasegaran berkata, anggota tentera yang berusia 30-an itu merupakan anak saudara kepada isteri kedua mangsa ditahan pada Jumaat lepas di Perak.
"Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara suspek dengan mangsa sebelum penemuan mayat tersebut.
Mayat Hashim Abd Wahab, 65, dari Bandar Indera Mahkota di sini dipercayai dibunuh di ladang Felda Bukit Kuantan peringkat 7.
Penemuan mayat itu disusuli dengan penemuan kereta mangsa jenis Honda Accord berwarna hitam di ladang sama yang dilaporkan hilang semasa kejadian. - Bernama

Kelucahan melampau, guru dipenjara 10 bulan



RASAH 21 Mei - Enam hari selepas Hari Guru disambut pada 16 Mei lalu, seorang guru penolong kanan di sebuah sekolah di sini dihukum penjara 10 bulan kerana melakukan kelucahan melampau terhadap anak muridnya, tiga tahun lalu.
Mohd. Harith Mohd. Nor, 42, dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan tersebut yang berlaku antara pukul 3 dan 4 petang, Mac 2007.
Dia disabitkan kesalahan merangsang murid berkenaan yang ketika kejadian berusia 11 tahun untuk melakukan kelucahan melampau di dalam pejabatnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Wawasan Seremban 2.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan.
Majistret Noralis Mat bagaimanapun melepas dan membebaskan guru tersebut daripada dua lagi tuduhan sama yang didakwa dilakukan di dua tempat berasingan.
Bagi dua tuduhan tersebut, Mohd. Harith didakwa melakukan perbuatan sama di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Stadium Paroi sekitar pukul 8.30 pagi pada Oktober 2006.
Dia turut dituduh mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa ketika berada di dalam sebuah kereta di Jalan Rasah sekitar pukul 3 petang pada Mac 2007.
Noralis membenarkan permohonan Mohd. Harith yang diwakili peguam, P. Jaya Prakash Rao untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Lagi kanak-kanak mati jatuh bangunan



24/05/2010 6:42pm

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Lagi kanak-kanak maut jatuh bangunan. Kali ini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun yang mayatnya ditemui di kawasan parkir selepas dpercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Selayang dekat sini tengah hari tadi.
Dua hari lepas, mayat bayi lelaki berumur sembilan bulan ditemui dalam longkang selepas terjatuh dari tingkat tiga kuarters pendidikan di USJ 6, Subang Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Zainuddin Ahmad berkata mangsa dikenali sebagai Chai Chee Xin, ditemui oleh pengawal keselamatan pangsapuri terbabit kira-kira puku1 1 tengah hari tadi.
"Polis yang tiba selepas dimaklumkan mendapati mayat mangsa dalam keadaan terlentang dengan mangsa mengalami kecederaan pada tengkok kiri.
"Mayat kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa jatuh dari tingkat 12 bangunan 20 tingkat itu ketika ditinggalkan bersendirian semasa neneknya keluar membeli barang.
"Dipercayai neneknya terlupa untuk mengunci pagar jeriji balkoni mereka dan menyebabkan mangsa terjatuh.
"Rumah tersebut dimiliki ibu saudara mangsa. Kedua ibu dan bapa mangsa telah bercerai,” katanya.
Beliau berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. - Bernama

Ibu Minta Suruhanjaya Ditubuhkan Siasat Kematian Anak



JOHOR BAHARU, 24 Mei (Bernama) -- Seorang ibu pada Isnin meminta satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat kematian anaknya akibat ditembak polis selepas dipercayai terlibat dengan jenayah ragut, 20 Oktober tahun lepas.

Sapiah Elah, 52, dari Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, berkata pihak berkuasa masih tidak memberikan penjelasan dan siasatan terperinci mengenai kematian anak lelakinya, Mohd Afham Arin, 18, walaupun kejadian terbabit sudah berlaku tujuh bulan lepas.

"Saya tidak berpuas hati kerana polis juga cuba menipu saya dengan mengatakan anak saya masih hidup apabila saya tiba di Balai Polis Seri Alam sedangkan dia sudah meninggal dunia akibat ditembak polis pada awal pagi, 20 Oktober itu.

"Saya juga amat kesal kerana terpaksa menunggu lama untuk berjumpa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan menuntut jenazah anak saya di Hospital Sultanah Aminah," katanya kepada pemberita pada satu pertemuan yang diaturkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor, di sini, hari ini.

Sapiah mendakwa Mohd Afham, yang menunggang motosikal bersama pembonceng, Mohd Firdaus Marsani, 19, seorang anak yang baik dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Sehubungan itu, dia meminta Kementerian Dalam Negeri memandang serius kejadian terbabit dan mengharapkan suruhanjaya yang ditubuhkan itu dapat membersihkan nama Mohd Afham yang didakwa polis sebagai terlibat dengan 25 kes samun.

Sementara itu, Mohd Firdaus yang menuntut keadilan, turut menyangkal dakwaan polis yang mengatakan dia melibas pihak berkuasa dengan parang lalu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Menceritakan kejadian tembakan itu, Mohd Firdaus berkata, dia bersama Mohd Afham dikejar tiga lelaki menaiki motosikal di kawasan Taman Johor Jaya selepas selesai menikmati makan malam.

Katanya disebabkan rasa takut kerana ketiga-tiga lelaki tersebut hanya berpakaian biasa dan tidak menunjukkan kad kuasa, Mohd Afham terus memecut motosikalnya menghala ke Pasir Gudang sambil dikejar ketiga-tiga lelaki terbabit.

"Apabila tiba di satu selekoh berhampiran jambatan menuju ke Seri Alam, saya terdengar satu das tembakan dari arah belakang sebelum disusuli dua lagi tembakan lain yang menyebabkan motosikal yang kami naiki terjatuh," katanya yang berpeluang melarikan diri selepas terjatuh di dalam semak.

Mohd Firdaus menegaskan, dakwaan mengatakan dia melibaskan parang adalah tidak benar sebaliknya kematian Mohd Afham yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Ledang dan sedang menjalani latihan amali di Larkin, di sini, adalah disebabkan kecuaian polis dalam menjalankan tindakan.

Katanya dia sudah memberikan keterangan kepada polis mengenai kejadian itu pada Januari lepas, namun, sehingga kini masih tidak menerima sebarang maklumbalas dari pihak berkuasa.

-- BERNAMA

Freida Pinto rakam aksi seks pertama





2010/05/24

Aktres Slumdog Millionaire gementar lakon adegan berahi

MUMBAI: Aktres India, Freida Pinto yang tiada langsung melakukan adegan yang memerlukannya menanggalkan pakaian dalam filem ‘box office’, Slumdog Millionaire, sudah melakukan aksi seksi pertamanya iaitu menerusi filem Immortals arahan Tarsem Singh. 

Oleh kerana Freida kelihatan agak gementar melakonkan adegan intim itu, lampu di set dipadamkan dan hanya anggota krew penting dibenarkan masuk.
Bercakap mengenai adegan itu, Tarsem berkata: “Mungkin keadaan itu memberi kesukaran kepadanya. Ini adalah kali pertama kami mengambil Freida Pinto dan anda pun boleh teka keadaan beliau mungkin kerana ia adalah adegan seks. Jadi, beliau dalam keadaan gementar.
“Kami mematikan semua lampu, justeru kami dapat mencipta suasana intim. Hanya 80 orang memerhatikan lakonan itu dan 20 daripadanya ada kamera video.” 

Filem Immortals adalah kisah purba Greece mengenai seorang wira muda mencetuskan pertempuran ke atas dewa gagah perkasa untuk menyelamatkan manusia. 

Freida memegang watak seorang puteri dikenali Phaedra. Filem itu dibintangi Henry Cavill sebagai Theseus, wira muda Greek. Stephen Dorff pula memegang watak ketua pencuri. 

Pelakon lain termasuk Mickey Rourke sebagai Raja Hyperion, Kellan Lutz sebagai dewa Poseidon dan John Hurt sebagai Zeus. 
Freida menjadi terkenal selepas berlakon dengan cemerlang dalam filem pertamanya, Slumdog Millionaire sebagai Latika. 

Pinto memenangi anugerah Screen Actors Guild dalam kategori Persembahan Cemerlang dan dicalonkan untuk Aktres Terbaik Anugerah BAFTA sebagai pelakon pembantu terbaik. 

Freida menjadi wajah antarabangsa dan menandatangani banyak projek luar negara selain bergambar untuk majalah terkenal. 

Beliau kini berkasih dengan pelakon gandingannya dalam Slumdog Millionaire, Dev Patel dan akan berkahwin tidak lama lagi. – Agensi

Rima Fakih tenang digelar ‘Ratu Hizbullah’





2010/05/24

WASHINGTON: Jelitawan Arab ke-2 memenangi pertandingan ‘Miss USA’, Rima Fakih, digelar sesetengah pihak di Amerika Syarikat sebagai ‘Ratu Hizbullah’ kerana berketurunan Syiah dari Lubnan tetapi beliau tenang menghadapi pelbagai pandangan negatif terhadapnya. 

“Jika saya kalah, orang akan kata, mungkin kerana kamu Muslim. Jadi, adalah menggelikan hati kerana sekarang mereka kata saya menang kerana saya Muslim,” kata Rima kepada akhbar Britain, Sunday Times, semalam.
Rima, 24, menjejaki Julie Hayek yang menjadi pemenang pertama Arab menggondol gelaran ‘Miss USA’ pada 1983.
Beliau berpindah ke Dearborn, Michigan, bersama keluarganya pada 1993 dan muncul juara ‘Miss USA 2010’, Ahad minggu lalu. 

Kekecohan mengenai kemenangannya bermula di internet selepas seorang pengkritik yang dianggap anti-Islam memperlekeh kejayaan itu. 

Pengarah Forum Asia Barat dan bekas penasihat kempen presiden Rudolph Giuliani pada 2008, Daniel Pipes, dipetik sebagai berkata: “Mereka memang cantik tetapi kekerapan wanita Muslim menang menyebabkan saya menganggap ia mungkin sebagai langkah menyokong persamaan taraf. 

Blogger, Debbie Schlussel pula menggelar Rima ‘Ratu Hizbullah’ menuduhnya akan cuba memperbaiki imej masyarakat Syiah yang disifatkannya militan. – Agensi

Seoul tahan perisik wanita Pyongyang





2010/05/24

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan menahan seorang perisik wanita Korea Utara yang menyamar sebagai pelarian untuk mendapatkan maklumat rahsia sistem kereta api bawah tanah di Seoul, menurut laporan, semalam. 

Agensi berita Yonhap yang memetik sumber daripada Perkhidmatan Rahsia Kebangsaan berkata, maklumat sistem berkenaan boleh digunakan oleh pengganas untuk melakukan serangan.
Yonhap melaporkan, wanita berusia 36 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Kim, memasuki Korea Selatan melalui China dan Laos pada September 2009 dengan menyamar sebagai pelarian dari Korea Utara.
Kim berjaya memperoleh maklumat sulit, termasuk senarai talian kecemasan untuk kakitangan kereta api bawah tanah Seoul, daripada bekas pekerja dikenali sebagai Oh, 52, sebelum menyerahkannya kepada Pyongyang. 

Oh yang berkenalan dengan Kim melalui internet dan menjadi kekasihnya, turut ditangkap kerana membocorkan maklumat rahsia. 

Kim memiliki sebuah kedai kosmetik dan agensi perjalanan di wilayah Hunan, China, untuk mendapatkan data pelancongan Korea Selatan selama beberapa tahun sebelum menyusup masuk ke negara itu sebagai pelarian. 

Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan bagaimanapun enggan memberi ulasan manakala pejabat pendakwa di Seoul yang mengendalikan kes itu gagal dihubungi. 
Hubungan Seoul-Pyong semakin tegang selepas sebuah kapal perang Korea Selatan tenggelam didakwa akibat serangan torpedo di sempadan perairan dua negara itu. – AFP

Kartunis Amerika minta maaf





2010/05/24

Molly Norris tak sangka gesaan lakar Nabi di Facebook cetus kontroversi

SEATTLE: Seorang kartunis Amerika Syarikat yang mencetuskan kempen melakar gambar Nabi Muhammad di Facebook, meminta maaf kepada umat Islam atas peranannya dalam isu berkenaan. 

Molly Norris memohon kemaafan orang Islam yang marah dengan kartun di blog miliknya meskipun karikatur itu berunsur satira, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), semalam.
Tindakannya menyebabkan orang lain membuka laman di Facebook sebagai menyokong kempen digelar ‘Everybody Draw Muhammad Day’ (Hari Melakar Nabi Muhammad) hingga mencetuskan bantahan di Pakistan yang mengarahkan laman web itu disekat.
Khamis lalu, Pakistan juga menyekat laman web YouTube atas sebab yang sama ketika lebih banyak kempen dirancang ke atas Facebook. 

Norris melakar kartun itu pada April lalu kerana membantah keputusan stesen Comedy Central membatalkan satu episod South Park memaparkan imej Nabi. 

Ia menyebabkan Norris melakar kartun Nabi di laman webnya dan mencadangkan 20 Mei sebagai ‘Hari Melakar Nabi Muhammad’ yang disusuli dengan langkah pengguna siber menggunakan Facebook untuk menyertai usaha itu. 

Norris kemudian menegaskan, beliau tidak mengesyorkan langkah itu kepada orang lain meskipun namanya digunakan sebagai alasan. 
“Saya tidak pernah membuka laman Facebook untuk tujuan itu termasuk menyuruh mereka menghantar lakaran kepada saya dan saya juga tidak pernah menerimanya,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau meminta maaf atas peranannya dalam kontroversi berkenaan sambil menerima pandangan bahawa kandungan gambar Nabi Muhammad mencetuskan kemarahan umat Islam yang tidak pernah cuba menyekat kebebasan bersuara orang lain. 

YouTube pula memberitahu, ia sedang mengkaji perkara itu bagi memulihkan khidmatnya kepada pengguna secepat mungkin. – Agensi

Maut ditikam selepas mabuk





2010/05/24

KUCHING: Dua sahabat yang mabuk selepas minum minuman keras tidak sempat menyambut perayaan Gawai Dayak minggu depan, apabila seorang daripada mereka maut dalam pergaduhan di Stampin di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, Jackson Jugah, 23, mati selepas lehernya tertusuk objek tajam akibat tikaman sahabat baiknya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata pergaduhan dua sahabat tinggal serumah itu dipercayai berpunca selepas suspek menuduh mangsa mencuri telefon bimbitnya.
Beliau berkata, pada jam 6 petang semalam, dua buruh itu dikatakan pergi ke kedai berhampiran rumah mereka dan minum minuman keras tetapi mereka balik berasingan apabila suspek pulang lebih awal untuk mencari telefon bimbitnya. 

“Suspek ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Seorang maut, 3 parah nahas





2010/05/24

KUALA LUMPUR: Seorang tukang cuci sebuah hospital maut, manakala tiga lagi cedera parah selepas van dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Wangsa Maju 2, Wangsa Maju, pagi semalam. 

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, van berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Seksyen 1, Wangsa Maju ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Mangsa yang maut warga Indonesia, Siti Halijah Aman, 63, manakala pemandu van, Shankal Koa Appannah, 22, serta dua lagi penumpang warga tempatan dan Indonesia berusia 50-an yang identiti mereka belum dikenal pasti, cedera parah.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata ketika tiba di lokasi kejadian, van terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu merempuh pokok. 

“Akibat rempuhan kuat itu, keempat-empat mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapan menyebabkan Siti Halijah yang duduk di bahagian belakang maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. 

“Tiga lagi mangsa cedera parah dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Abdullah berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan brek kenderaan itu putus menyebabkan pemandunya hilang kawalan. 
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kena rogol alasan elak dibuang kolej



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2010/05/24

Tindakan pelajar tarik balik laporan polis diragui 

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut kolej swasta tampil membuat laporan polis mendakwa dirogol rakan lelakinya selepas menerima surat tunjuk sebab dan akan dibuang kolej berikutan gagal menghadirkan diri ke kelas. 

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa yang berusia 18 tahun itu membuat laporan polis kira-kira jam 5 petang semalam.
Difahamkan, mangsa berbuat demikian selepas pihak pengurusan kolej meminta surat tunjuk sebab, selain akan dibuang kolej kerana kerap tidak hadir ke kelas.
“Berdasarkan laporan, remaja berkenaan yang berkenalan dengan seorang lelaki berusia 20-an di sebuah kedai berhampiran kolej tempat mangsa belajar sejak dua bulan lalu. 

“Remaja itu mendakwa dia dirogol sebulan lalu ketika menerima ajakan pergi ke rumah lelaki berkenaan di Taman Melawati,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Abdul Jalil berkata, tujuan sebenar mangsa membuat laporan polis adalah bagi memaklumkan kepada pihak kolej dia berada dalam keadaan trauma hingga gagal hadir ke kelas. 

Katanya, selepas memaklumkan perkara itu kepada pihak kolej, remaja terbabit menarik semula laporan polis yang dibuat. 
“Bagaimanapun, polis akan terus menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Polis tahan tiga pelajar anggota geng curi motosikal





2010/05/24

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun kerana disyaki terbabit dalam sindiket curi motosikal membabitkan lebih 20 kenderaan itu sejak dua tahun lalu. 

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata tangkapan pertama membabitkan pelajar Tingkatan Tiga itu dibuat di Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Pandan Indah, kira-kira jam 5 petang kelmarin apabila polis menahan suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, susulan penahanan itu, polis menjalankan pemeriksaan terhadap motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya sebelum mendapati nombor casis kenderaan itu dipalsukan.
“Hasil soal siasat, suspek mengakui motosikal itu dicuri di Kampung Cheras Baru dua bulan lalu bersama dua rakannya. 

“Bertindak atas maklumat, beberapa anggota polis bergegas ke kediaman kedua-dua suspek di Pandan Indah dan Kampung Cheras Baru sebelum mereka di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Abdul Jalil berkata, hasil siasatan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka terbabit dalam sindiket curi kenderaan sejak dua tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur. 

“Pemeriksaan juga mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditahan pada 2008 berhubung kesalahan sama. 
“Polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci dan tidak menolak kemungkinan ada pihak lain terbabit dalam kejadian ini,” katanya. 

Beliau berkata, semua suspek yang masih bersekolah akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

2 beranak maut dirempuh kereta



Oleh Paya Linda Yahya

2010/05/24

Hasrat pengawal keselamatan SMK Keroh bersih perigi tidak kesampaian

MACHANG: Hasrat dua beranak membersihkan perigi yang digunakan keluarga ketika musim kemarau ini tidak kesampaian, apabila maut selepas motosikal mereka dirempuh kereta ketika dalam perjalanan pulang membeli kelengkapan itu, petang kelmarin.

Dalam kemalangan di Kilometer 50.8 Jalan Machang-Kuala Krai dekat Setor Lima kira-kira jam 3.30 petang itu, pengawal keselamatan sekolah, Che Damek Yacob, 45, mati di tempat kejadian selepas parah akibat tercampak daripada motosikal ditunggangnya.
Anak keempatnya, Mohd Hanif, 12, murid Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek, mati akibat kecederaan dalaman ketika menjalani rawatan di Hospital Machang, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
Ketika kemalangan kira-kira 100 meter dari rumah mereka itu, dua beranak terbabit dalam perjalanan pulang selepas membeli tali untuk digunakan membersih perigi serta barang dapur di kedai dekat Kampung Pek.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata ketika hendak membelok ke persimpangan ke rumah mereka, motosikal dua beranak itu dilanggar sebuah kereta.

“Setakat ini, punca sebenar kemalangan maut terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, semalam.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Manok kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Isteri mangsa, Zuraida Yusof, 37, yang baru habis berpantang kerana melahirkan anak ketujuh, berkata kejadian yang berlaku itu amat mengejutkan keluarganya.

“Saya tak sangka akan kehilangan dua orang tersayang sekelip mata. Kematian suami dan anak ini mengejutkan saya dan keluarga walaupun terpaksa reda menempuh dugaan hidup ini,” katanya.

Che Damek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh meninggalkan seorang isteri dan enam anak berusia antara dua bulan hingga 18 tahun.