Search This Blog

Sunday, May 23, 2010

Dicekup ketika urut batin

NILAI: Seorang lelaki yang ghairah dibelai tukang urut wanita Thailand pucat lesi selepas diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sekitar bandar ini, semalam.
Selain lelaki itu, dua lagi lelaki turut ditahan pihak berkuasa kerana didapati berada di dalam bilik urut bersama pasangan.

Tiga lelaki terbabit antara 14 individu termasuk dua wanita yang ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di sekitar kawasan Putra Point, Taman Semarak, Taman Jasmin, Taman Melati serta Taman Cempaka, dekat sini.

Operasi bermula jam 10.30 malam itu membabitkan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), polis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPN, Haniff Hassan, berkata dalam operasi itu pihaknya turut menahan lima lelaki dan dua wanita warga Indonesia.

Hanya sebut nama Irwan

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya diselamatkan ketika cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Banggol, di sini, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu, Mohammad Abu Bakar, berkata pihaknya mengambil masa 15 minit untuk memujuk wanita itu sebelum pasukan penyelamat berjaya menyentap tangan mangsa.

Anggota yang menyelamat mangsa, Saadong Awang, berkata ketika tiba di lokasi kejadian, dia melihat gadis berkenaan berdiri di atas atap zink yang menempatkan bilik sewanya sambil menangis.

“Ketika dihampiri dia mengacah untuk terjun, namun beberapa anggota lain cuba memujuknya sebelum saya melihat dia terleka ketika mangsa berpaling ke arah lain.

“Ketika itu saya menyentap tangannya dan menariknya ke tempat selamat sebelum beberapa penduduk di situ datang membantu membawa mangsa turun,” katanya.

Metro Ahad difahamkan, remaja berkenaan berasal dari Kampung Sungai Ikan, dekat sini, dan baru sehari bekerja sebagai promoter di sebuah pasar raya di bandar raya ini.

Dia dipercayai mempunyai masalah dengan teman lelakinya kerana sepanjang di tingkat atas bangunan berkenaan, mangsa yang dilihat dalam keadaan keliru hanya menangis sambil beberapa kali menyebut nama Irwan atau Iwan berkali-kali. Sebaik dibawa turun, mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ) untuk rawatan susulan.

8 wanita diselamatkan dari pusat urut



23/05/2010 3:15pm

JOHOR BAHRU 23 Mei -Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berumur 28 dan 58 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan
pemerdagangan manusia di dua pusat urut yang terletak sebelah menyebelah di Jalan Pingai, Taman Pelangi, di sini malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 8.30 malam yang dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan polis Kontinjen Johor itu, tujuh wanita warga Kemboja dan seorang wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an yang dipercayai mangsa kegiatan itu telah diselamatkan.

Asisten Supritendan Nordin Ibrahim yang mengetuai operasi itu berkata, polis turut menahan lima wanita warga Thailand dan dua wanita warga China berusia 21 hingga 42 tahun atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/1967.
"Kedua-dua lelaki tempatan yang ditahan dipercayai menggunakan wanita warga asing untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan berselindung di sebalik perniagaan mengurut," katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata, di lokasi penahanan, polis turut menemui paket-paket kondom dan kondom terpakai di kedua-dua premis tersebut.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, para pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan 'ekstra' perlu tawar menawar dengan wanita terbabit.

Nordin berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak lima bulan lepas.

Katanya, kedua-dua lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/1967 kerana mengambil pekerja asing tanpa permit yang sah dan Seksyen 55E akta yang sama kerana memberi perlindungan kepada warga asing”, katanya. - Bernama

Mahkamah tolak bantahan awal isteri kedua Sultan Kelantan



23/05/2010 12:45pm

KOTA BAHARU 23 Mei - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan bantahan awal isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia
Suhana Ahmad bagi membatalkan permohonan lafaz cerai talak tiga yang difailkan seorang wanita, Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada 9 Mac lalu.

Hakim Syarie, Abdullah Man ketika membuat keputusan itu berkata, apa yang dilakukan Nik Rorhana, 60, (plaintif) itu telah menepati hukum syarak bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan terhadap lafaz cerai baginda itu.
"Apa yang dilakukan oleh plaintif tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana mendakwa telah mendengar lafaz berkenaan yang memohon agar hak Allah S.W.T itu dapat diselesaikan dengan baik.
"Ini bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak baik dan mahkamah boleh membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai pandangan," katanya ketika membacakan penghakimannya selama kira-kira 15 minit.

Elia Suhana, 31, yang hadir kemudiannya dilihat mengalirkan air mata selepas keputusan itu dibacakan. Nik Rorhana juga turut hadir mendengar kes tersebut. - Bernama

Polis temui semula sebahagian hasil rompakan bersenjata



23/05/2010 11:10am

PULAU PINANG 23 Mei - Polis Pulau Pinang berjaya menemui RM54,000 iaitu sebahagian daripada RM160,000 yang dilarikan oleh kumpulan bersenjata yang menyamun sebuah van milik syarikat keselamatan, Syarikat Property Protection Sdn. Bhd. di Paya Terubong 19 Mei lepas.

Selain itu, turut ditemui ialah dua laras Raifal AK-47 buatan China, dua biji bom tangan yang masih aktif, dua pucuk Revolver .38, beberapa butir peluru dan peralatan lain yang digunakan dalam rompakan itu, termasuk beberapa plat besi yang digunakan suspek sebagai jaket kalis peluru.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub berkata, polis juga menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata itu.
Kesemua suspek yang berusia lingkungan 38 hingga 50 tahun ditahan di tempat serta waktu yang berasingan dan kejayaan itu berikutan risikan polis hasil maklumat daripada seorang pengawal keselamatan yang ditahan, katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

"Suspek pertama ditahan di tempat awam iaitu awal pagi 22 Mei, dan ekoran daripada penahanan lelaki tempatan itu telah membawa kita ke sebuah rumah di negeri ini dan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia," katanya. - Bernama

Rumah terbakar, tiga beranak tinggal sehelai sepinggang



23/05/2010 5:38pm

KUANTAN 23 Mei - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Felda Bukit Sagu Satu, di sini musnah dalam satu kebakaran, pagi tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Mohd. Hamdani Madon berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 6.45 pagi sebelum sebuah jentera dengan enam anggota bergegas ke tempat kejadian.
Beliau berkata, anggota bomba yang sampai kira-kira 15 minit kemudian dapat mengawal api daripada merebak ke kawasan berdekatan, namun 90 peratus rumah papan terbabit telah musnah dijilat api.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.
Sementara itu, mangsa, Zainab Idris, 60, ketika ditemui berkata, beliau hanya menyedari rumahnya dijilat api kira-kira 6.30 pagi ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh.
Katanya, beliau terhidu bau asap dan melihat api merebak dengan pantas di bahagian bilik tidurnya sebelum bertindak mengejutkan dua anak lelakinya berumur 31 dan 35 tahun untuk menyelamatkan diri.
Mereka yang tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga kini ditempatkan sementara di rumah kakitangan Felda berkenaan. - Bernama

Penjaga rumah urut ditahan SPRM





ANGGOTA penguat kuasa AADK menahan seorang lelaki (kiri) yang positif dadah dan cuba memberi rasuah kepada penjawat awam dalam Operasi Bersepadu Pusat Hiburan Awam di Nilai, semalam.


SEREMBAN 22 Mei – Seorang penjaga rumah urut di Bandar Baru Nilai (BBN) dekat sini mendapat ‘habuan’ apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu Operasi Bersepadu Pusat Hiburan awal pagi tadi.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas dia disahkan positif dadah jenis ketamin dalam pemeriksaan yang dilakukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada pukul 1.30 pagi.
Berikutan itu, lelaki berkenaan cuba menyogok RM200 kepada anggota AADK dengan harapan dia dapat dilepaskan, bagaimanapun sebaik sahaja wang bertukar tangan, anggota SPRM yang turut serta dalam operasi berkenaan telah menahannya.
Ketua Operasi yang juga Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Haniff Hassan berkata, lelaki itu kini ditahan oleh AADK untuk siasatan berhubung kes dadah sebelum diserahkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.
‘‘Sewaktu pemeriksaan di premis berkenaan, anggota operasi turut menjalankan pemeriksaan ke atas pekerja rumah urut itu dan mendapati seorang daripadanya positif dadah,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MPN, Nilai dekat sini.
Haniff memberitahu, operasi bersepadu yang disertai 33 anggota penguat kuasa MPN, enam anggota polis, 14 penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), AADK (21 orang), Imigresen (tujuh) dan SPRM (10) itu bermula pukul 11 malam dan berakhir kira-kira 2 pagi.
‘‘Operasi terbahagi kepada tiga kumpulan dan bergerak di kawasan sekitar Nilai.
‘‘AADK telah menahan empat suspek yang didapati positif dadah, manakala JHEAINS menahan dua individu kerana meminum minuman keras dan dua lagi kompaun dikeluarkan ke atas dua orang yang duduk berdua-duan dalam bilik di sebuah rumah urut.
‘‘Pasukan Imigresen pula menahan tujuh pendatang asing tanpa izin dan SPRM turut menahan seorang lelaki yang sebelum ini ditahan kerana kesalahan dadah yang cuba menyogok seorang anggota AADK,” katanya.
Haniff berkata, MPN pula telah mengeluarkan tiga kompaun berkaitan lesen dan papan iklan.
‘‘Kita akan sentiasa membuat pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk memastikan kawasan Nilai tidak dijadikan sarang maksiat dan aktiviti jenayah,” jelasnya.
Sementara itu dalam operasi tersebut, seorang gadis bawah umur yang ditahan di Taman Cempaka disahkan positif dadah selepas gagal ujian saringan air kencing manakala rakannya yang berusia 18 tahun dilepaskan selepas disahkan negatif.
Kata gadis yang ditahan itu, dia datang ke pusat hiburan itu bersama beberapa rakan lelaki dan menggunakan sebuah bilik untuk berkaraoke sebelum ditahan anggota AADK.
Gadis itu kini ditahan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 bersama beberapa orang suspek lagi.

Model Yvonne berang Keating curang



DUBLIN 22 Mei - Isteri anggota kumpulan Boyzone, Ronan Keating, berang dengan terdedahnya hubungan sulit penyanyi kacak itu dengan seorang penari selepas dia menemui pesanan ringkas 'panas' dalam telefon bimbit rahsia suaminya.
Bekas model, Yvonne, 36, begitu marah apabila menemui telefon bimbit tersebut dalam sebuah beg, yang mengandungi mesej daripada Francine Cornell yang 10 tahun lebih muda daripadanya.
Keating, 33, menangis ketika mengakui menjalin hubungan dengan penari konsert jelajah Boyzone di United Kingdom pada tahun lalu dan Yvonne mengarahkan penyanyi pop kegilaan ramai itu mengemaskan barangan dan keluar dari rumah.
Hubungan sulit Keating dengan Francine bermula tidak lama selepas konsert jelajah Boyzone bermula di Belfast pada 24 Mei tahun lalu. Mereka berdua berada jauh dari rumah dan menginap bersama di hotel selama lima minggu.
Keating bagaimanapun bertekad memujuk isterinya bagi menyelamatkan rumah tangga mereka yang berusia 12 tahun.
"Yvonne mendesak Keating menjelaskan hal telefon tersebut, namun dia (Keating) tidak dapat berkata apa-apa. Dia meminta penyanyi itu keluar dari rumah dan memberitahunya bahawa perkahwinan mereka sudah berakhir.
"Dia ada terdengar khabar angin mengenai kecurangan Keating dengan Francine semasa konsert jelajah itu. Tarian mereka di atas pentas sungguh hangat, namun Yvonne sudah lali dan mempercayai suaminya," kata satu sumber terdekat.
Tambahnya, Keating hanya mampu mengakui apa yang berlaku.
Pasangan itu telah membuat kenyataan bersama mengenai perpisahan mereka pada Khamis lalu.
Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Jack, 11, Marie, 9, dan Ali, 4 tahun. - AGENSI

Pusat kecergasan lelaki gay diserbu lagi



PULAU PINANG 22 Mei - Walaupun pernah diserbu lebih 10 kali sejak tahun lepas, sebuah premis yang berselindung di sebalik operasi pusat kecergasan di sini, disyaki terus berdegil apabila menawarkan khidmat seks bagi golongan gay.
Hasil serbuan polis di pusat kecergasan itu di Midlands Park di Jalan Burmah, Pulau Tikus di sini pada pukul 11.30 malam tadi, seramai tujuh lelaki tempatan termasuk seorang penjaga premis ditahan.
Anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) bagaimanapun terpaksa menunggu kira-kira 30 minit sebelum berjaya masuk ke dalam premis itu yang hanya dibuka kepada ahli kelab.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, polis turut merampas sebotol krim pelincir yang dipercayai digunakan golongan itu.
''Selain itu, tiga helai tuala dan minyak urut yang disyaki digunakan untuk kegiatan tidak bermoral di pusat berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, penahanan kesemua lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana didapati melanggar kesopanan.
Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan berasingan, polis menahan 10 wanita rakyat asing terdiri daripada masing-masing lima rakyat China dan Vietnam kerana bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah premis di Jalan Cantonment.
Katanya, selain itu, polis turut menahan seorang penjaga premis berkenaan dan empat wanita tempatan kerana positif penggunaan dadah dipercayai jenis ketamin dan methamphetamine.
"Ketika serbuan di salah sebuah bilik, polis menemui tiga lelaki tempatan yang sedang berhibur bersama tiga pelayan warga asing.
"Hasil pemeriksaan polis menemui sebuah pinggan mengandungi penyedut minuman dan serbuk putih disyaki dadah," ujar beliau.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati seorang wanita China dan seorang Vietnam positif dadah.
Katanya, penjaga premis itu ditahan kerana memberi perlindungan dan menggaji pekerja asing manakala sebahagian wanita rakyat asing tersebut tidak mempunyai dokumen sah selain melanggar syarat pas lawatan sosial.
Pada masa sama, kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki serbuk putih disyaki dadah.

Penarik kereta berlagak samseng







BASRI Abd. Rani menunjukkan laporan polis mengenai perbuatan penarik kereta yang didakwa menceroboh rumahnya di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 22 Mei – Seorang pemandu teksi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penarik kereta yang diupah oleh sebuah bank kerana cuba berlagak samseng dengan menceroboh kawasan rumahnya di Desa Surada, Kajang dekat sini Khamis lalu.
Basri Abd. Rani, 31, berkata, akibat terlalu ingin mendapatkan kereta Proton Wira miliknya itu, penarik kereta terbabit turut merosakkan pintu pagar rumahnya.
Katanya, kejadian berlaku pukul 3.45 petang hari berkenaan ketika dia tiada di rumah.
“Semasa pulang dari bekerja, saya terkejut kerana kereta itu tiada di rumah dan lebih mengejutkan terdapat kesan kerosakan pagar.
“Setelah melakukan pemeriksaan, barulah saya tahu ia adalah angkara penarik kereta yang diupah sebuah bank,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sehubungan itu, tambah Basri, dia membuat laporan polis tentang pencerobohan kawasan rumahnya di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada petang hari kejadian.
``Kawasan rumah adalah hak saya. Tindakan penarik kereta itu masuk tanpa kebenaran boleh diibaratkan sama dengan perbuatan seorang penjenayah.
``Saya mengakui kesalahan saya tidak melunaskan pembayaran tunggakan bulanan tersebut tetapi penarik kereta itu tidak berhak merosakkan pintu pagar dan menceroboh masuk kawasan rumah,” ujarnya.
Jelasnya, dia juga kecewa apabila pihak bank seakan-akan enggan bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.
“Saya tidak berpuas hati dengan cara yang dilakukan oleh penarik kereta terbabit dan berharap pihak polis akan menyiasat berhubung laporan tersebut,” katanya lagi.

Ubat kuat ragut nyawa

BUTTERWORTH: Tidak takut mati! Itu tindakan gila segelintir lelaki yang sanggup menggadai nyawa demi memuaskan nafsu serakah dengan mengambil ubat menambah tenaga seksual tanpa mengetahui status kandungan dan syarikat pengeluar ubat berkenaan.
BUKTI...Abang Zack menunjukkan koleksi ubat kuat miliknya.
BUKTI...Abang Zack menunjukkan koleksi ubat kuat miliknya.
Akibatnya, ada di antara mereka bukan saja mengalami pengalaman pelik seperti kemaluan menjadi kecut dan pendek, malah menemui ajal ketika melakukan hubungan seks.

Seorang kaki ‘ubat kuat’ tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Zack, 50-an, dalam pengakuannya berkata, kes kematian ketika melakukan hubungan seks itu membabitkan seorang rakannya dan ia berlaku pertengahan tahun lalu.

“Umur rakan saya itu hampir sebaya dengan saya. Dia mati ketika melakukan hubungan seks dengan isterinya. Saya yakin kematiannya ada kaitan dengan ubat kuat kerana sebelum pulang ke rumah dia memaklumkan kepada saya yang dia mengambil ubat yang kami namakan ‘pil sempoi’ untuk melayan isterinya.

“Esoknya saya menerima berita kematiannya dan ketika menghadiri pengebumiannya, saya dimaklumkan dia makan sebiji lagi pil sempoi sebelum mengadakan hubungan seks dengan isterinya,” katanya.
Abang Zack berkata, berdasarkan pengalamannya yang pernah mengambil puluhan jenis ubat kuat sejak berusia 20-an, memang ada ketikanya hasil diharapkan tidak menjadi, sebaliknya berlaku komplikasi pada alat sulit.

“Satu pengalaman yang sukar dilupakan ialah apabila alat sulit saya mengecut dan menjadi pendek hanya kira-kira tiga inci. Keadaan itu berkekalan untuk beberapa hari, menyebabkan saya hampir panik.

“Puas juga saya berjumpa beberapa tukang urut untuk memulihkan kembali ‘kecacatan’ itu, dan mujur seorang daripada mereka berjaya melakukannya. Jika tidak, pasti saya menyesal tak sudah,” katanya.

Ditanya tidakkah kejadian itu membuatkan dia serik untuk mengambil ubat kuat yang kebanyakannya dibeli di kaki lima atau daripada rakan, Abang Zack berkata, dia insaf hanya seketika kerana sukar untuk menghentikan amalan itu.

“Kalau boleh, memang saya nak berhenti tapi ia bukan senang. Saya ada ramai teman wanita, kalau tak ambil ubat kuat macam mana saya nak melayan mereka,” katanya.

Malah, kata Abang Zack, selepas sekian lama mengambil ubat kuat, dia kini semakin berani dan seronok untuk mencuba apa saja ubat kuat yang diperkenalkan kepadanya.

“Saya akan mencuba apa saja ubat yang dikatakan baru, tetapi saya hanya peruntukkan RM10 untuk setiap ubat. Jika ubat itu berkesan, saya akan terus ambil.

“Jika kesannya tidak seberapa, saya tidak akan mengambilnya lagi,” katanya sambil memberi beberapa nama gelaran untuk ubat kuat yang pernah dicuba seperti ‘kambing gurun’, ‘ubat semut’, ‘semut negro’ dan ‘semut hitam’.

Sementara itu di Alor Setar, seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Mie mendakwa, kes kematian akibat mengambil terlalu banyak ubat kuat turut berlaku kepada rakannya, seorang warga tua berusia 60-an.

“Kejadian berlaku beberapa tahun lalu selepas rakan saya yang menduda hampir 10 tahun berkahwin dengan janda berusia 40-an. Arwah meninggal dunia hanya kira-kira 10 hari selepas mereka berkahwin.

“Saya masih ingat arwah membeli pil berkenaan daripada seorang lelaki Cina yang menasihatkannya mengambil pil berkenaan seminggu dua atau tiga biji saja atau sejam sebelum mengadakan hubungan seks.

“Bagaimanapun, arwah makan ubat itu 10 hari berturut-turut dan saya percaya lebihan dos ubat berkenaan menjadi punca kematiannya,” katanya.

Pesan sebelum maut

MELAKA: “Arwah sempat memberitahu ibunya pada petang sebelum kejadian bahawa dia mahu pergi tetapi tidak tahu akan pulang atau tidak,” kata Salim Wahab, 55, bapa kepada Zulkarnain, 17, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tun Hamzah, Bukit Katil, di sini, kelmarin.





REMUK...keadaan lori yang terbalik selepas bertembung dengan sebuah motosikal.
REMUK...keadaan lori yang terbalik selepas bertembung dengan sebuah motosikal.


Salim, penoreh getah dari Felcra Bukit Sedanan, Selandar, Jasin berkata, dia dan isterinya, Norpiah Keling, 46, mengetahui kejadian menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu selepas dimaklumkan jiran.

“Saya memang menyedari perubahan pada arwah sejak dutiga hari lalu apabila dia kelihatan gelisah dan resah selain mengadu tidak sihat serta sengal-sengal badan kepada ibunya.

“Malah cara dia bercakap pun kelihatan menyedihkan, tetapi kami tidak menyangka dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Cuma sebagai bapa, memang saya merasai ada sesuatu yang tidak kena tetapi tidak langsung menyedarinya,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Turus Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poon Nam E Keling, berkata kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa dan rakannya dari arah simpang Gapam menghala ke persimpangan lampu isyarat Kampung Tun Razak dipercayai hilang kawalan.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987).

Guru tampar murid kena tindakan

ALOR SETAR: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan menentukan tindakan terhadap seorang guru lelaki yang menampar anak muridnya berusia sembilan tahun sehingga tulang hidungnya retak dan berdarah, Selasa lalu, selepas menerima laporan dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Setar, hari ini.

“Saya kena tunggu laporan itu dulu. Saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan kerana belum melihat laporan siasatan,” katanya.

Jumpa mayat

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui terbaring dalam longkang di kawasan perindustrian kecil dan sederhana (IKS), di Batu 4 1/2 Kampung Jawa, dekat sini, semalam.
Berdasarkan keadaan mayat yang mula mereput, ia dipercayai meninggal dunia hampir seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata tiada pengenalan diri ditemui pada mayat yang hanya berseluar pendek itu.

Korban H1N1 meningkat 86


Lelaki 48 tahun meninggal selepas gejala demam, batuk seminggu 

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian dilaporkan akibat jangkitan virus influenza A H1N1 membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mangsa meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, 9 Mei lalu selepas beliau dimasukkan ke hospital berkenaan tiga hari sebelum itu kerana mengalami gejala demam dan batuk selama seminggu.
“Beliau mengalami masalah pernafasan akibat pneumonia yang teruk ketika rawatan. Ini menjadikan jumlah kematian akibat H1N1 sehingga hari ini (semalam) seramai 86 orang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Setakat jam 8 pagi semalam, beliau berkata, sebanyak sembilan laporan kejadian kluster gejala seakan influenza (ILI) dilaporkan di tujuh negeri, iaitu Perak, Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Selangor. 

Mengenai jumlah kes jangkitan wabak berkenaan, Dr Mohd Ismail berkata, sebanyak 17 kes disahkan positif H1N1 setakat jam 5.30 petang kelmarin, menjadikan jumlah terkumpul kes terbabit adalah sebanyak 14,631 kes. 

“Kes ILI yang masih dirawat dalam wad seluruh negara adalah sebanyak 577 dan daripada jumlah terbabit, 76 kes atau 13.2 peratus disahkan positif H1N1. “Sementara itu, bilangan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak lapan kes dengan kesemuanya mempunyai faktor risiko,” katanya. 

Dr Mohd Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 yang disarankan bagi membendung wabak berkenaan.

Anak cacat mental disyaki pasangan terjun bangunan



Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/05/23

Polis tidak temui unsur jenayah, faktor lain punca kematian 

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri warga India yang ditemui mati selepas terjun dari tingkat 29 Kondominium Villa Scott, Jalan Tun Sambathan, di sini dua hari lalu dipercayai memberi pil racun tikus kepada anak mereka kerana terlalu kecewa selepas budak lelaki berusia dua tahun itu cacat mental.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata siasatan awal polis mendapati pasangan itu tidak dapat menerima kenyataan berkenaan lalu membunuh anak mereka sebelum kedua-duanya nekad terjun dari kondominium tersebut.
Beliau berkata, tiada unsur jenayah atau faktor lain ditemui untuk mengaitkan pasangan itu dengan lain-lain motif sambil meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca kematian mereka. 

Muhammad Sabtu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Community Policing dan Pelancaran Unit Sukarelawan Kempen Pencegahan Jenayah peringkat Ibu Pejabat Polis Brickfields di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini semalam. 

Mengikut laporan akhbar, Manish Dinesh Wadhwani, 34, dan isterinya, Niveditaa Manish Wadhwani, 29, dipercayai mengalami tekanan 
hidup hingga mendorong mereka membunuh diri dengan terjun bangunan selepas dikatakan memaksa anak mereka, Yoghansh Manish Wadhwani, 2, menelan pil racun tikus dan paracetamol. 
Mayat Manish yang bertugas sebagai perunding kewangan di sebuah syarikat swasta, di sini dan memperoleh pendapatan lumayan mencecah RM20,000 sebulan bersama isterinya ditemui di kaki lima kondominium dalam keadaan berlumuran darah kira-kira jam 7.30 pagi, manakala mayat anak tunggal mereka ditemui di rumah sewa mereka di Tingkat 14 kondominium sama. 

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sabtu berkata, seorang pengamal seni mempertahankan diri berusia 38 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan dan memeras ugut ditahan polis di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Khamis lalu. 

“Ada tiga laporan polis dibuat di Brickfields, Pandan Indah dan Cheras sepanjang tiga tahun lalu berhubung kes penipuan oleh lelaki berkenaan berhubung lesen tapak pasar malam di sekitar Lembah Klang,” katanya. 

Katanya, lebih tiga individu mendakwa ditipu suspek dengan anggaran kerugian berjumlah RM10,000. 

Suspek direman sehingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 107/384 kerana menipu dan memeras ugut.

Air India Express terhempas



PASUKAN menyelamat dan orang ramai mengusung mayat penumpang yang rentung dari kawasan tragedi pesawat Boeing 737-800 Air India Express yang terhempas di Mangalore, semalam. - AFP


NEW DELHI 22 Mei - Sebuah pesawat Air India Express yang cuba mendarat ketika hujan di sebuah lapangan terbang di kawasan berbukit di selatan India, terbabas lalu terhempas dan meletup sebelum terbakar awal hari ini, meragut 159 nyawa dengan hanya tujuh terselamat.
Insiden berlaku genap 10 hari selepas nahas pesawat Airbus A330-200 milik Afriqiyah Airways di Libya, membunuh 103 penumpang ketika ia cuba mendarat di lapangan terbang Tripoli setibanya dari Afrika Selatan dengan hanya seorang budak lelaki Belanda terselamat.
Asap hitam berkepul naik dari pesawat Boeing 737-800 yang marak dijilat api di luar lapangan terbang Bajpe di Mangalore, kawasan berbukit yang dipenuhi semak-samun dan pokok.
Anggota bomba cuba memadam api pada pesawat yang baru tiba dari Dubai itu ketika pasukan penyelamat mencari mangsa yang masih hidup.
Gambar diperolehi Associated Press menunjukkan dua anggota penyelamat membawa seorang budak perempuan berusia tujuh tahun berlumuran buih kepada pasukan perubatan. Dia kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan kerana melecur teruk.
Petugas penyelamat lain menarik keluar lebih banyak mayat terbakar dari bangkai pesawat yang rentung dan dipenuhi kabel, serpihan logam, dahan-dahan pokok dan lumpur di lokasi nahas.
Kebanyakan mangsa yang maut masih berada di tempat duduk masing-masing dengan mayat terbakar hingga sukar dikenali.
Sanak saudara mangsa yang datang ke lapangan terbang itu, dilihat menangis berdekatan bangkai pesawat.
"Pesawat itu bergegar sebelum terbelah dua," kata seorang mangsa yang terselamat, Pradeep yang menyatakan pendaratan pada awalnya berjalan lancar sehinggalah 15 saat selepas itu.
Dia dan empat lagi penumpang melompat keluar dan masuk ke dalam sebuah lubang.
Kapal terbang itu pada mulanya mengalami kebakaran kecil sebelum letupan besar menyebabkan api lebih marak, kata Pradeep yang cedera di tangan dan melecur di bahagian kaki.
Pegawai Air India, Jitender Bhargava berkata, pesawat itu membawa 160 penumpang dan enam krew.
Menjelang tengah hari tadi, pasukan penyelamat telah membawa keluar 80 mayat sementara lapan mangsa yang terselamat kini dirawat di hospital berdekatan.
Seorang anggota polis menyatakan, seorang dari mereka, budak lelaki berusia tujuh tahun, meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Nahas mungkin merupakan yang terburuk di India sejak November 1996 melibatkan perlanggaran di udara antara pesawat Arab Saudi dan kapal terbang kargo Kazakhstan dekat New Delhi yang mengorbankan 349 orang. - AP

Mahaguru kung fu ditahan



KUALA LUMPUR 22 Mei - Jika dalam filem, mahaguru kung fu Wing Chun iaitu Ip Man sanggup mempertaruhkan nyawa untuk membela warga China, namun keadaan sebaliknya pula berlaku di sini, apabila mahaguru aliran kung fu tersebut di negara ini ditahan polis setelah disyaki menipu orang ramai.
Selain didakwa menipu, Mahaguru kung fu Wing Chun di Malaysia tersebut dipercayai turut memeras ugut orang ramai selain melakukan samaran.
Dia ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, mahaguru itu disyaki menipu dengan menawarkan tapak pasar malam untuk disewa kepada orang ramai sebelum lesap bersama bayaran yang dibuat penyewa.
"Mengikut laporan, dia telah melakukan penipuan tersebut beberapa kali iaitu pada 2005, 2008 dan tahun lalu di Cheras dan Brickfields.
"Dia ditahan dan direman selama lima hari hingga Selasa ini untuk membantu siasatan," katanya selepas melancarkan program pencegahan jenayah di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hari ini.
Sementara itu, pada majlis tersebut, Muhammad Sabtu turut mengumumkan penubuhan Rakan Cop TTDI yang terdiri daripada 50 ahli.
"Saya berharap dengan penubuhan Rakan Cop tersebut, penduduk TTDI dan anggota polis dapat berkerjasama lebih erat dalam mencegah jenayah," ujarnya.
Menurutnya, indeks kadar jenayah di TTDI juga menurun daripada 242 kes pada Januari hingga April 2009 kepada 150 kes mengikut tempoh sama tahun ini.
Jelasnya, beliau yakin dengan penubuhan Rakan Cop tersebut, kadar jenayah di TTDI akan dapat diturunkan lagi.

Nahas Air India terburuk, 158 maut





PASUKAN penyelamat dengan dibantu penduduk kampung bertungkus-lumus mencari beberapa mangsa pesawat Air India Express dari Dubai yang terhempas sejurus terbabas ketika cuba mendarat di Mangalore dekat Bangalore semalam..

BANGALORE – Sekurang-kurangnya 158 orang dikhuatiri terbunuh apabila sebuah pesawat Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan tambang murah Air India Express terhempas dekat bandar raya Mangalore di negeri Karnataka semalam.
Nahas terburuk di India dalam tempoh sedekad itu berlaku apabila pesawat yang membawa 160 orang penumpang dan enam anak kapal terbabas di hujung landasan ketika mendarat di sebuah lapangan terbang di selatan negara tersebut.
“Setakat ini, hanya lapan orang disahkan terselamat dan mereka telah dihantar untuk menerima rawatan di beberapa buah hospital di sini,” kata pengarah personel Air India, Anup Shrivasta pada sidang akhbar di Mumbai dekat sini.
Ia merupakan kemalangan udara kedua terbesar di India sejak tahun 1996 apabila pesawat Kazakhstan Airlines bertembung di udara dengan Saudi Airlines dekat ibu negara New Delhi yang mengorbankan semua 349 orang penumpang dan anak kapal.
Pengerusi Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India, V.P. Agrawal berkata, tiada panggilan kecemasan diterima daripada Kapten Z. Glusica, seorang rakyat Britain berasal dari Serbia yang menjadi juruterbang Air India sejak dua tahun lalu.
Perdana Menteri India, Manmohan Singh di New Delhi mengumumkan kerajaan akan menghulurkan bantuan kewangan segera sebanyak 200,000 rupees (RM14,150) untuk setiap keluarga mangsa yang terbunuh dalam insiden itu.
Beliau yang terkejut dengan nahas tersebut turut mengucapkan takziah kepada semua waris mangsa serta menangguhkan beberapa program rasmi parti dan kerajaan yang dijadualkan diadakan semalam sebagai tanda berkabung.
Menteri Penerbangan, Praful Patel berkata, pesawat dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu itu dinaiki 147 penumpang dewasa, sembilan kanak-kanak dan empat bayi namun pihaknya belum lagi mengenal pasti kerakyatan mereka. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Maut sewaktu ibu bapa tidur


BAYI malang, Adam Haikal jatuh dari tingkap (anak panah) di tingkat tiga kuarters Kementerian Pelajaran, Subang Jaya semalam. Gambar kecil, bapanya Mohd. Rostam Che Mat.

SUBANG JAYA Seorang bayi berusia sembilan bulan, Adam Haikal Mohd. Rostam memanjat tingkap bilik tidurnya yang terbuka di tingkat tiga sebelum terjatuh ke dalam longkang di kuarters Kementerian Pelajaran, USJ 6/1 di sini pagi semalam.
Kejadian pukul 6.30 pagi itu berlaku sewaktu ibu bapa bayi itu tidur dalam bilik yang sama.






Adam Haikal dikatakan demam dan tidur sekatil dengan ibu bapanya.
Dia bagaimanapun terlebih dulu terjaga dan berdiri di atas katil itu sebelum terjatuh menerusi tingkap yang terbuka dan tidak dipasang jeriji.
kredit : kosmo.com.my
Adam Haikal terjatuh ke dalam longkang ini sebelum tangisannya mengejutkan ibunya yang tidur dalam bilik mereka di tingkat tiga kuarters Kementerian Pelajaran di Subang Jaya semalam.