SEORANG lelaki dihukum penjara semalam kerana mencekik dan menampar mayat anak jirannya.
Muhamad-Ali Mahmod, 35 tahun, dipercayai orang pertama dihukum kerana membawa penghinaan terhadap mayat manusia.Dia dihukum penjara 14 minggu bagi kesalahan itu. Di bawah undang-undang, Muhamad-Ali, seorang penganggur, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda.Mahkamah diberitahu bahawa pada 8 Mac lalu seorang jiran Muhamad-Ali berusia 72 tahun mengadakan majlis keagamaan bagi pengebumian anak lelakinya di rumahnya di Tampines.Sekitar 4 petang, Muhamad-Ali masuk ke flat itu dan mencekik serta menampar mayat tersebut.Seorang sanak saudara kemudian memberitahunya supaya keluar. Jiran MuhamadAli itu berasa terhina dengan perbuatannya.Semalam Muhamad-Ali juga dipenjara 16 minggu kerana mencuri telefon bimbit berharga $150 seorang pelajar politeknik di Kompleks Sukan Politeknik Temasek pada 23 Oktober lalu dan 14 minggu kerana menghidu sejenis cecair hidrokarbon aromatik, toluene, pada 11 Mac lepas.Hakim Sarjit Singh mengarahkan supaya hukuman atas kesalahan mencuri dan menghidu itu dijalankan secara berturut-turut, oleh itu Muhamad-Ali akan menjalani hukuman penjara 30 minggu bagi dua kesalahan tersebut.Muhamad-Ali pernah dihukum kerana kesalahan dadah, mencuri kenderaan, melakukan persetubuhan dan menyalah guna bahan memabukkan.Dia memberitahu mahkamah dia akan meminta maaf kepada jirannya selepas dibebaskan kelak, dan telah melakukan kesalahan itu semasa dalam keadaan mabuk menghidu gam.