KAJANG 19 Mei - Polis menahan sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah di sekitar Lembah Klang selepas menyerbu sebuah rumah di Damai Perdana, Cheras di sini, awal pagi ini.
Dalam serbuan pukul 5 pagi itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM18,000 turut dirampas.
Pasangan itu yang bekerja sebagai tukang masak ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Hasil pemeriksaan dalam rumah teres didiami pasangan itu menemui 1,690 biji pil ekstasi seberat 507 gram, dua peket plastik mengandungi serbuk merah jambu (166 gram) dipercayai ekstasi yang belum diproses, ketamin (360 gram) dan syabu (8 gram).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, lelaki berusia 45 tahun dan teman wanitanya berusia 35 tahun menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.
"Pelbagai jenis dadah itu disembunyikan dalam sebuah kereta Proton Waja, bilik tidur dan ruang tamu di rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain dadah, katanya, polis turut merampas wang tunai RM940, beberapa keping mata wang Yen, beberapa keping kad kredit, pasport dan tiga buku akaun bank.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mengesahkan mereka positif mengambil dadah jenis syabu tetapi tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, kata Mohd. Shakaruddin, seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Cheras Hartamas di sini pada pukul 9.30 malam, Sabtu lalu, kerana menjalankan kegiatan memproses semula minuman keras untuk dijual.
"Modus operandi suspek adalah membeli bir tulen dan mencampurkan minuman itu dengan cecair kimia lain bagi menambahkan kuantitinya.
"Campuran minuman itu kemudian ditin atau dibotolkan semula untuk dijual kepada pelanggan terdiri daripada individu persendirian dan peruncit," katanya sambil memberitahu suspek dijangka mengaut keuntungan dua kali ganda hasil kegiatan haram tersebut.
Beliau berkata, minuman keras tiruan ini memang tiada perbezaan dengan yang asli kerana suspek menggunakan botol atau tin dengan label yang sama.
Dalam serbuan itu, katanya, polis turut merampas 131 karton minuman keras, sejumlah botol kosong, tong besar, peralatan membotolkan minuman dan pelbagai pelekat jenama bir seperti Tiger Beer, Heineken dan Carlsberg.
Katanya, suspek juga didapati mengubah suai kereta Proton Saga miliknya untuk digunakan membawa minuman keras dalam kuantiti yang banyak tanpa mencurigakan pihak berkuasa.
Tambahnya, kes itu diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
habis