Search This Blog

Wednesday, May 19, 2010

18 maut serangan berani mati ke atas konvoi NATO



18/05/2010 10:49pm

KABUL 18 Mei - Satu serangan berani mati menyerang konvoi anggota keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan meletupkan sebuah kereta hingga menyebabkan 18 orang terkorban termasuk lima anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan 12 orang awam dalam serangan yang disifatkan sebagai terburuk sejak tahun lalu di Kabul hari ini.
Kumpulan Taliban yang mengetuai kempen anti-kerajaan sejak sembilan tahun lalu bersama sekutunya dari negara luar mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbabit malah turut memberi jaminan bahawa satu kempen serangan baru di seluruh negara akan berlaku.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemarai Bashary berkata, 12 orang awam terbunuh manakala 47 lagi cedera dalam serangan itu. Kebanyakan mereka yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak yang sedang menaiki sebuah bas yang melalui kawasan terbabit. - AFP

Pengawal istana Kelantan meninggal dunia

KOTA BAHARU: Pengawal Istana Kelantan Ramli Mohamad, 50, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini, 19 hari selepas menerima rawatan akibat ditembak oleh individu tidak dikenali.

Menurut seorang anggota keluarganya, Ramli meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi ini selepas berada dalam keadaan kritikal sejak semalam apabila organ
utamanya dijangkiti kuman.

"Arwah kini dibawa ke bilik mayat untuk urusan jenazah," katanya kepada
Bernama.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berada di Hospitalawal pagi ini bersama beberapa pegawai Istana untuk menziarahi jenazah
Allahyarham.

Semalam Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menghulur sumbangan RM100,000 kepada Ramli sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.

Kerja gila konco along

KUALA LUMPUR: Kerja gila apabila sekumpulan konco along atau ceti haram tidak ubah seperti lelaki gila seks apabila sengaja menggantung coli dan seluar dalam seorang wanita gagal melangsaikan hutang di tingkap rumah mangsa.
AIB...Yong menunjukkan gambar rumahnya diceroboh along.
AIB...Yong menunjukkan gambar rumahnya diceroboh along.Difahamkan, tindakan itu dilakukan sebagai hukuman selain cubaan memalukan mangsa kepada jirannya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, wanita terbabit yang bertugas sebagai kerani menjadi mangsa apabila pakaian dalamnya sengaja digantung konco along sejurus menceroboh masuk kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi di sini.

Mangsa, Yong Choy Ling, 28, berkata beberapa coli dan seluar dalamnya turut diconteng menggunakan pen penanda (artline) berdakwat hitam dengan gambaran alat sulit wanita.

“Dua coli digantung di tingkap hadapan rumah, sehelai seluar dalam digantung pada tombol pintu manakala beberapa coli dan seluar dalam diselerakkan atas lantai.
“Along itu mengambil pakaian dalam saya dalam almari. Saya amat terkejut dan tidak tahu apa motif sebenar mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terdahulu, dia menemui Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong di Wisma MCA di sini, semalam.

Malah, lebih menyakitkan hati, wanita itu mendakwa pakaian dalamnya turut ditumpahkan dengan kicap dan sos tomato.

Yong berkata, along terbabit turut melarikan dua televisyen, dua pemain cakera padat, dua kipas dan wang tunai RM100 selain meninggalkan sekeping kertas bertulis ‘cari saya di pejabat’.

“Along dikenali sebagai Sam itu pernah menghubungi pada 12 Mei lalu bagi meminta menjelaskan hutang RM20,000 dan turut mengugut membunuh kami jika gagal melunaskan hutang.

“Saya terkejut mendengar jumlah itu kerana suami hanya meminjam RM3,000,” katanya.

Wanita itu berkata, susulan ugutan itu, dia dan suami membawa anak perempuannya berusia enam tahun tinggal di rumah kakaknya di Cheras di sini, kerana terlalu takut ugutan Sam.

Menurutnya, keesokannya jam 11 pagi, dia pulang ke rumah seperti biasa untuk melangsaikan hutang along itu, tetapi terkejut melihat rumahnya diceroboh.

Yong berkata, dia mendapati mangga pintu tiada, malah rumahnya juga berselerak.

“Apabila masuk dalam rumah, saya mendapati dinding diconteng lakaran gambar babi menggunakan pensel warna anak saya. Penceroboh turut menconteng beberapa helai baju digantung pada tingkap ruang tamu rumah.

“Peti sejuk rumah disimbah dengan sos tomato termasuk dalam bilik tidur dan di lantai rumah,” katanya.

Menurut Yong, suaminya meminjam RM3,000 daripada along, 5 Mei lalu, tetapi gagal membayar pinjaman seperti dijanjikan.

Sementara itu, Chong kesal orang ramai masih meminjam along walaupun kes ugutan dan khianat terhadap mangsa didedahkan media.

Gempa bumi sederhana landa Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 manitud melanda pulau Jawa di Indonesia pagi ini, tapi tiada perkembangan mengenai kemusnahan dan amaran tsunami dikeluarkan.
Menurut agensi geofizik dan meteorologikal, gempa bunmi itu berlaku pada 7.13 pagi ini waktu tempatan dari jarak 36 kilometer dari Ujung Kulon, Jawa Barat pada kedalaman 10 kilometer.

"Gegaran dapat dirasai di banyak tempat termasuk Jakarta, tapi tidak menyebabkan kerosakan," katanya. - AFP

Tanah runtuh bawah kondo

KUALA LUMPUR: Banjir kilat, pokok tumbang dan beberapa kejadian tanah runtuh kecil berlaku di ibu kota selepas dilanda hujan lebat berserta angin kencang selama empat jam di sini, semalam.
Hujan bermula kira-kiara jam 3 petang itu menyebabkan tanah runtuh di sebuah kondominium tinggal di Kampung Cheras Baru.

Tanah runtuh berhampiran pusat tebatan banjir berdekatan sebuah kuil Cina di hujung jalan kampung itu dikesan berlaku sejak minggu lalu namun menjadi semakin teruk semalam.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, tanah runtuh di situ menjadi lebih teruk selepas hujan lebat semalam.

“Saya terdengar bunyi kuat datang dari arah bukit berdekatan kondominium berdekatan ketika hujan lebat petang semalam.
“Apabila saya keluar saya dapati kawasan terbabit dipenuhi tanah runtuh dari tebing bukit itu,” katanya.

27 kedai makan kotor kena denda

AMPANG: Sebanyak 27 kedai makan dikompaun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam operasi tiga hari bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak kerana tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan.
Dalam operasi bermula 11 Mei di sekitar Taman Melawati itu, lapan kedai makan diarah tutup serta-merta kerana mempunyai tahap kebersihan gred D.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad ketika dihubungi berkata, operasi itu dijalankan berperingkat kerana tidak mahu peniaga menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Antara kesalahan dilakukan pemilik premis ialah tiada suntikan TY2, berniaga tanpa lesen, mengalirkan cecair kotor ke longkang, halangan barang di kaki lima, tidak menjaga kebersihan premis dan tiada papan tanda arahan larangan merokok”, katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, MPAJ menyita serta mengenakan kompaun terhadap sebuah pusat siber di Jalan Pandan Indah di sini kerana tidak mempunyai lesen dan menyediakan khidmat judi.

Van putih rupanya milik pencuri

PETALING JAYA: Misteri van putih yang sering kelihatan diletakkan di satu sudut agak terlindung di tempat letak kereta di sebuah apartmen berhampiran Mutiara Damansara di sini, terjawab apabila ia digunakan dalam kegiatan mencuri aksesori kenderaan di kawasan itu.
Malah, dalam kejadian baru-baru ini, seorang lelaki berusia 20-an hanya mampu berputih mata selepas bukan saja set lampu kenderaannya dicuri, malah set tempat duduk kenderaannya turut hilang.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa hanya menyedarinya selepas mendapati kehadiran van putih yang agak mencurigakan berhampiran kenderaannya.

Jurucakap polis berkata, mangsa pada awalnya tidak menyangka aksesori kenderaannya yang baru terbabit kemalangan dan dalam proses membuat tuntutan insurans lesap.

“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas terlihat kelibat individu membuka bonet keretanya.

“Sebaik berpatah balik ke tempat keretanya diletakkan, suspek melarikan diri dan meninggalkan van terbabit,” katanya.

Dua peronda polis (MPV) dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kejadian itu daripada mangsa.

Hasil pemeriksaan awal, polis menemui set lampu belakang kenderaan dipercayai milik mangsa dalam ruang simpanan van terbabit.

Bagaimanapun, pemilik dan pemandu van gagal dikesan dan dipercayai menghilangkan diri. “Kes berkenaan masih dalam siasatan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terbabit menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Tak sedar ragut dekat balai polis

SUBANG JAYA: Bagaikan mengundang bala, seorang peragut tersilap langkah apabila berlagak berani cuba meragut beg tangan seorang wanita di hadapan dua anggota polis.
Lebih mengejutkan apabila suspek langsung tidak menyedari tempat mangsa yang diragut hanya kira-kira 50 meter dari Balai Polis Taipan di Jalan US10/1D di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, suspek berusia 24 tahun yang dipercayai khayal selepas menghidu gam cuba melarikan beg tangan mangsa yang berhenti di kaki lima berhampiran hadapan sebuah butik pakaian.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 53, ketika ditemui berkata dia yang baru selesai makan tengah hari di sebuah kedai makan berhampiran berhenti di hadapan butik berkenaan untuk melihat pakaian di situ.

Katanya, ketika leka melihat pakaian dalam butik itu, tiba-tiba dia terasa beg tangannya ditarik seseorang dari belakang dengan kuat menyebabkan dia terjatuh.

“Saya yang kesakitan segera memeluk beg tangan saya sambil menjerit meminta tolong menyebabkan suspek panik lalu melarikan diri.

“Pada masa sama, dua anggota polis di balai bersebelahan butik itu ternampak perbuatan suspek lalu segera mengejarnya,” katanya.

Lim berkata, tindakan pantas anggota polis berkenaan berjaya menangkap suspek selepas mengejarnya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

“Dua anggota polis itu bertindak pantas hingga peragut terbabit tidak sempat memboloskan diri. Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana menyelamatkan saya daripada penjenayah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Beliau berkata, suspek kini direman empat hari mulai semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek seorang pekerja kilang berhampiran. Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan mencuri dalam bangunan dua tahun lalu,” katanya.

Anak saudara menteri parah kereta dirempuh bas

MELAKA: Anak saudara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, parah selepas kereta dipandunya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan daripada arah belakang dalam kejadian di Jalan Tun Abdul Razak berhampiran Perumahan Polis Seri Temenggong di sini, tengah malam kelmarin.
JIJIK...pegawai penguat kuasa MPAJ memeriksa sebuah kedai.
JIJIK...pegawai penguat kuasa MPAJ memeriksa sebuah kedai.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam kelmarin, mangsa, Lim Ken Aik, 26, dipercayai dalam perjalanan dari pusat bandar ke rumahnya di Ayer Keroh, dekat sini.
Akibat perlanggaran itu, kereta yang dipandu mangsa terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan terpelanting ke jalan bertentangan sebelum dirempuh dan diseret sebuah bas kilang.

Mangsa yang memandu bersendirian dipercayai parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapat rawatan lanjut pada pagi, semalam.

Ketua Turus Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Supritenden Poon Nam L E Kling, berkata berdasarkan siasatan kereta Honda Civic mangsa terbabas ke arah bertentangan selepas melanggar pembahagi jalan di situ sebelum dirempuh bas kilang dari Ayer Keroh menuju pusat bandar.

Katanya, kenderaan dinaiki mangsa dirempuh di bahagian sisi kiri hadapan dan diseret bas kilang terbabit pada jarak kira-kira 12 meter.

“Kereta mangsa dipercayai dirempuh dari belakang dan menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan.

“Mangsa parah dan mengalami pendarahan di dalam kepala ketika dirawat di Hospital Melaka,” katanya.

Poo Nam berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Inspektor Izhar Sazmi di talian 017-3478682.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Lau Eng Chung, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia dalam perjalanan ke rumahnya dan mengekori bas kilang terbabit.

Beliau yang juga pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu, berkata tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat dari bahagian hadapan bas terbabit.

Thailand: Wartawan Itali antara 4 mati ditembak

BANGKOK: Seorang wartawan Itali antara empat individu yang mati ditembak dalam operasi besar-besaran tentera untuk merampas kembali kawasan yang dihuni penunjuk perasaan antikerajaan di pusat bandar raya ini.
Pengarah Hospital Besar Polis, Jongjet Aoajenpong berkata, wartawan itu ditembak di perut. Identiti wartawan itu masih belum diketahui.
Sekurang-kurangnya 50 yang lain cedera dalam operasi hari ini.

Kerajaan masih belum mengeluarkan angka rasmi jumlah kematian setakat ini.

Setakat 6 pagi ini sebelum operasi itu, angka kematian ialah 37 orang dan 296 orang cedera.-Bernama

Penarik kereta bertindak ganas ditahan di Puchong

KUALA LUMPUR: Seorang penarik kereta yang sebelum ini dikatakan bertindak ganas dengan cuba merempuh seorang lelaki yang lambat membayar tunggakan bayaran kereta ditahan di Puncak Jalil, Puchong malam tadi.
Lelaki tempatan berusia 32 tahun itu ditahan di rumahnya kira-kira jam 11 malam berikutan aduan pengadu tersebut yang berusia 26 tahun.
Pengadu membuat laporan polis selepas suspek cuba merempuhnya selepas berlaku pertengkaran ketika proses menarik kereta di Plaza Pudu, Rabu lepas.

Suspek dipercayai bertindak sedemikian selepas pengadu enggan menyerahkan kunci keretanya untuk ditarik.

Lelaki yang dipercayai sudah tiga tahun bekerja dengan sebuah agensi menarik kereta yang dilantik bank itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Osman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong ketika ditemui di pejabatnya hari ini berkata wakil syarikat penarik kereta terbabit dan pengadu sudah pun berdamai.

Katanya wakil syarikat terbabit telah pun meminta maaf kepada pengadu dan kesal atas perbuatan pekerjanya itu yang telah pun digantung tugas untuk sementara waktu.-Bernama

Polis tahan 31 lelaki dan seorang wanita yang berjudi dalam tokong

PULAU PINANG: Polis menahan 32 orang termasuk seorang wanita dan seorang warga emas berusia 80 tahun yang sedang berjudi dalam sebuah tokong Cina di Jalan Ayer Itam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kok Meng berkata, polis turut merampas tiga biji dadu, satu walkie talkie, meja, kerusi, sejumlah cip, dan wang tunai RM66,325 yang dipercayai wang pertaruhan judi dalam serbuan pada kira-kira jam 11 malam itu.
Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 24 dan 80 tahun, dan polis percaya kumpulan ini sering mengubah tempat berjudi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Semasa diserbu, mereka bertempiaran lari ke dalam hutan, dan seorang warga emas yang uzur juga cuba melarikan diri pada mulanya, namun dia berhenti separuh jalan akibat lelah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gan berkata, semua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.-Bernama

SPRM Tahan 24 Orang Kerana Kes Rasuah Dalam Tempoh Empat Bulan




PULAU PINANG, 19 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini menahan 24 orang termasuk seorang penjawat awam kanan kumpulan profesional bagi membantu beberapa kes rasuah dalam tempoh hampir lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah SPRM negeri Datuk Latifah Md Yatim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 orang telah didakwa di mahkamah kerana tuduhan rasuah.

Katanya 15 orang daripada mereka yang ditahan itu adalah penjawat awam dan disiasat kerana menerima rasuah manakala sembilan orang lagi ialah orang awam yang disiasat kerana memberi rasuah.

Beliau berkata, bagi tempoh yang sama, SPRM negeri ini telah menerima 321 maklumat mengenai kes rasuah dan suruhanjaya itu telah membuka 26 kertas siasatan.

"Kita menjangkakan jumlah tangkapan dan maklumat mengenai rasuah pada tahun ini akan meningkat berbanding tahun lepas kerana jumlah maklumat yang diterima adalah tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya kepada pemberita ketika menyampaikan taklimat kepada media di pejabatnya di sini hari ini.

Latifah berkata, SPRM juga meminta kerjasama media massa agar menyampaikan maklumat mengenai kesedaran kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam.

"Kita kini sedang memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa rasuah juga berpunca kerana adanya pemberi dan kita mahukan media turut membantu kita untuk menjayakan usaha membanteras rasuah," kata beliau.

Katanya, SPRM juga tidak dapat menyalurkan maklumat awal kepada media jika berlakunya sesuatu tangkapan berkaitan rasuah kerana ia boleh mengganggu siasatan seperti untuk mendapatkan bukti-bukti mengenai rangkaian mereka yang terbabit menerima rasuah dengan orang yang ditahan itu.

-- BERNAMA

13 lagi kes positif H1N1



19/05/2010 4:54pm

KUALA LUMPUR 19 Mei - Sebanyak 13 kes disahkan positif Influenza A (H1N1) sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes sebanyak 14,479.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kementerian juga menerima laporan lima kes kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI); masing-masing di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu dan Sarawak.
Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara sebanyak 591 kes dan 70 kes daripadanya disahkan positif H1N1 sementara bilangan kes ILI di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 14 kes dengan 10 daripadanya berisiko H1N1.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau turut mengesahkan, kematian seorang wanita berusia 51 tahun seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan semalam bukanlah disebabkan oleh jangkitan H1N1.
"Keputusan sampel H1N1 masih belum diperolehi dan kes di Pulau Pinang dan Perak diberikan rawatan sebagai pesakit luar sementara kes yang berlaku di tiga lagi negeri diberikan rawatan antiviral,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus influenza H1N1 seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan sesawang di http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/300. - Bernama

Letupan di Bangkok cederakan tentera, wartawan Kanada



19/05/2010 3:10pm

BANGKOK 19 Mei - Tiga biji bom tangan tangan yang meletup berhampiran kem bantahan utama di Bangkok hari ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya dua anggota tentera dan seorang wartawan Kanada cedera parah.
Menurut seorang saksi, letupan itu berlaku beberapa minit selepas seorang pemimpin penunjuk perasaan itu membuat tawaran untuk mengundur diri.
Tentera Thailand berkata, pihaknya telah mempertingkatkan kawalan di sebahagian kawasan kem penunjuk perasaan di Bangkok dalam satu operasi yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat mangsa selain 50 yang lain cedera parah. - Reuters

Gempa bumi kuat melanda utara Peru



19/05/2010 2:07pm

KUALA LUMPUR 19 Mei - Satu gempa bumi kuat berukuran 6 pada skala Richter melanda Peru pada pukul 12.15 tengah hari.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pusat gempa bumi itu dikesan kira-kira 784 kilometer utara Lima, Peru, dan 18,278 kilometer timur Kunak, Sabah.
Menurutnya ia terletak di kedudukan 5.1 Selatan dan 77.6 Barat.
Gempa bumi itu bagaimanapun tidak mencetuskan ancaman tsunami, menurut kenyataan itu. - Bernama

Dua bom tangan lama ditemui tertanam



19/05/2010 2:15pm

BALING 19 Mei - Seorang bekas tentera menemui dua butir bom tangan lama yang tertanam dalam tanah ketika cuba meruntuhkan tebing sungai untuk memotong kayu balak yang terendam dalam air di Felcra Weng di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Yusni Osman, 44, dari Kampung Carok Bunting berkata, beliau menggunakan cangkul untuk meruntuhkan tebing itu.
Katanya, cangkul itu beberapa kali terkena satu objek sebelum beliau cuba mencapai objek yang terkena mata cangkulnya tetapi mendapati ia adalah dua butir bom tangan lama yang dipercayai digunakan pada zaman darurat.
Yusni berkata, beliau bernasib baik kerana walaupun bom itu terkena pada mata cangkulnya beberapa kali, bom lama itu tidak meletup.
"Setelah mengubah dua butir bom tangan lama itu ke atas tanah, saya menghubungi bapa saudara supaya memberitahu polis mengenai penemuan itu”, katanya. - Bernama

Sepasang kekasih pengedar dadah ditahan



19/05/2010 2:20pm

KAJANG 19 Mei - Sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah di sekitar Lembah Klang ditahan polis di sebuah rumah di Cheras dekat sini pagi tadi dan merampas dadah seberat satu kilogram.
Pasangan berusia 43 dan 35 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 5 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Damai Perdana, Cheras, dipercayai dijadikan tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas dadah jenis ecstacy seberat 676 gram, ketamin (344 gram) dan syabu (2.7 gram) yang dianggarkan bernilai RM18,000.
"Turut dirampas, wang tunai bernilai RM940 dan beberapa keping mata wang Yen, kad kredit, pasport dan tiga buku bank,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas, sebuah kereta jenis Proton Waja dipercayai milik salah seorang suspek.
Mohd. Shakaruddin berkata, kedua-dua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah jenis syabu.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Rakyat Sibu tidak merajuk - Taib Mahmud



KUCHING 18 Mei - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menolak dakwaan pembangkang bahawa kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu disebabkan rakyat kawasan itu merajuk dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan negeri.
Abdul Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, rakyat Sibu lebih tahu bandar itu tidak akan berubah dan membangun seperti sekarang tanpa kepimpinan beliau.
Tegasnya, dakwaan pembangkang bahawa rakyat Sibu merajuk dengan pimpinan negeri sebenarnya merupakan spekulasi pembangkang yang telah disiarkan pihak media.
''Macam inilah... ini pilihan paya Parlimen, bukannya Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri. Apa saja keputusan, saya masih tetap Ketua Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan pembangkang bahawa kekalahan BN adalah disebabkan rakyat di kawasan itu merajuk dengan pemimpin negeri.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya perubahan dilakukan berikutan jentera kempen pilihan raya BN didapati kurang bertenaga dan tidak kreatif antara punca kekalahan calon BN, Abdul Taib berkata, kehadiran ramai orang luar juga antara faktor penyumbang kekalahan itu.
Menurutnya, kehadiran ramai orang luar khususnya kalangan ahli parti lawan menyebabkan suasana kempen pada pilihan raya kecil Ahad lepas sedikit berbeza.
''Bagaimanapun, kita perlu mengkaji dengan teliti mengenai perkara ini dan melihat apa yang perlu dibuat untuk merangka kempen pada masa hadapan," katanya.
Pada pilihan raya kecil itu, BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi dan Hui Yew memperoleh 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Rumah Putih kutuk serangan Taliban




AIR FORCE ONE 18 Mei - Rumah Putih mengutuk serangan berani mati Taliban yang mengorbankan enam anggota tentera dan 12 orang awam rakyat Afghanistan.
Serangan berani mati dengan meletupkan sebuah kereta itu mensasarkan konvoi anggota keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Kabul hari ini. Daripada enam anggota tentera yang terkorban, lima daripadanya merupakan warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang warga Kanada.
Dalam pada itu, Jurucakap Rumah Putih, Bill Burton berkata, kerajaan AS dan Afghanistan akan terus komited dalam memastikan keamanan dapat dikecapi di Afghanistan walaupun Taliban tidak henti-henti menyerang serta memusnahkan negara bergolak itu. - AP

Mahkamah Malawi tetapkan pasangan homoseksual bersalah



19/05/2010 2:59am

BLANTYRE 18 Mei - Mahkamah Malawi mendapati sepasang pasangan homoseksual bersalah atas kesalahan berkahwin sesama jantina sambil menyifatkan perkara itu sebagai melanggari hukum alam.
Tiwonge Chimbalanga dan Steven Monjeza ditahan dipenjara sejak 28 Disembar lalu iaitu sejurus selepas majlis perkahwinan mereka dianjurkan.
“Pihak pendakwa berjaya membuktikan bahawa pasangan ini telah berkahwin,” kata majistret, Nyakwawa Usiwa Usiwa yang akan menentukan bentuk hukuman kepada kedua-dua pesalah terbabit Khamis ini.
Seperti juga di negara Afrika lain, hubungan homoseksual adalah diharamkan di Malawi dan jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dipenjarakan selama 14 tahun. - AFP

Rakyat AS antara tiga diculik di Darfur



19/05/2010 2:59am

KHARTOUM 18 May - Seorang wanita rakyat Amerika Syarikat (AS) adalah antara tiga anggota bantuan kesihatan yang diculik di barat wilayah Darfur hari ini, kata Menteri Hubungan Kemanusiaan Sudan, Abdel Baqi al-Jilani .
“Tiga anggota bantuan kesihatan yang berkhidmat untuk sebuah pertubuhan dari AS itu, diculik ketika dalam perjalanan ke Nyala (selatan Darfur).
Dua daripadanya adalah rakyat tempatan dan seorang wanita warga AS,” katanya - AFP

Pesakit mental tetak ibu ditahan



MUAR 18 Mei - Polis menahan seorang lelaki dipercayai pesakit mental selepas dia dikatakan menetak ibunya dengan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Parit Bakar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, Soh Ah Kim, 65, cedera di bahagian bahu dan leher kiri selepas ditetak sebanyak tiga kali oleh anaknya yang berusia 36 tahun.
Difahamkan, suspek baru sahaja keluar dari Hospital Permai Tampoi dan kejadian tersebut dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara mereka.
Sebaik sahaja menerima panggilan daripada anggota keluarga mangsa, polis kemudian menahan mangsa di tempat kejadian.
Polis turut merampas sebilah parang berukuran kira-kira 60 sentimeter panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan.
"Suspek kini ditahan di Wad Psikiatri Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk siasatan lanjut," katanya sambil memberitahu suspek mempunyai rekod jenayah lampau menggunakan kekerasan untuk mendatangkan kecederaan.
Mohamad Nasir menasihati masyarakat supaya sentiasa memantau ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah mental bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Guru disyaki edar dadah kepada pelajar dipindah



KUCHING 18 Mei - Guru lelaki yang ditahan polis kerana disyaki mengedar pil khayal kepada pelajar sebuah sekolah di Betong baru-baru ini, telah diarah melakukan tugas pejabat buat sementara di Pejabat Pelajaran Daerah Betong.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, guru terbabit menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Selain itu katanya, guru berkenaan juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya sementara menunggu hasil siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
''Jika didapati bersalah, guru berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 pindaan 2002," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Abdul Wahab Wan Sanusi (BN-Sadong Jaya) pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.
Fatimah memberitahu, 11 pelajar sebuah sekolah menengah dalam Bahagian Betong iaitu dua lelaki dan sembilan perempuan turut dikenal pasti terbabit dalam kes penyalahgunaan pil khayal.
Namun katanya, pelajar terbabit tidak menerima bekalan daripada guru tersebut sebaliknya mendapatkan pil khayal daripada individu di luar sekolah.
''Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Pelajaran negeri, tiada pelajar mendapat bekalan daripada guru berkenaan seperti yang dilaporkan akhbar.
''Malah kumpulan pelajar yang didapati mengambil pil khayal itu juga sudah dikenakan tindakan gantung sekolah mulai 19 April hingga 30 April 2010. Ibu bapa mereka juga sudah dipanggil untuk diberi penjelasan berhubung masalah disiplin yang dilakukan anak mereka," jelas beliau.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya)berhubung masalah disiplin guru yang melakukan perbuatan sumbang dengan murid di Siburan dan Lubok Antu, Fatimah berkata, dua guru dan seorang Pembantu Am Rendah di Siburan sudah dikenakan tindakan tatatertib.
Katanya, tindakan tatatertib itu diambil mengikut Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib 1993 pindaan 2002.
''Bagi kes mencabul pelajar sekolah di Lubok Antu pula, Timbalan Pendakwa Raya Sarawak sudah bersetuju untuk menuduh guru berkenaan di mahkamah tetapi kerana kes itu membabitkan penjawat awam, ia dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi arahan selanjutnya.
''Ketika ini guru berkenaan digantung tugas mengikut Peraturan 44 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 pindaan 2002," katanya.

Enam rumah kampung Orang Asli dipukul ribut



KOTA TINGGI 18 Mei - Sebanyak enam rumah Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Selangi, Mawai dekat sini, rosak di bahagian bumbung akibat dipukul ribut, kelmarin.
Ketua Orang Asli Puak Kanaq, Tok Batin Mutalib Abdullah, 54, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang apabila hujan lebat tiba-tiba disusuli dengan angin kencang bertiup lalu menumbangkan pokok-pokok kelapa sawit yang berusia lebih 20 tahun.
"Suasana ketika kejadian memang kelam-kabut kerana belum pernah kami mengalami angin pusar kencang seperti ini.
"Saya melihat pokok kelapa sawit bergoyang-goyang sebelum tumbang dan ramai penduduk yang keluar ke kawasan lapang untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Sedili, Rasman Ithnain yang dihubungi berkata, enam rumah di kampung itu rosak di bahagian atap akibat diterbangkan angin ribut dan ditimpa pokok tumbang dalam kejadian ribut selama kira-kira 15 minit itu.
Sementara itu, pegawai-pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM dan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) semalam menghulurkan bantuan kepada mangsa dan menilai jumlah kerugian sebenar.

Wanita tumbuk pencegah maksiat

AL-AHSA: Polis di Al-Mubarraz melancarkan siasatan terhadap laporan yang mendakwa seorang wanita Saudi menumbuk dan memukul seorang anggota pencegah maksiat.
Anggota berkenaan terpaksa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan kerana kecederaan di muka dan anggota tubuhnya yang lain.
Kejadian dikatakan bermula selepas anggota itu cuba menahan wanita berusia 20-an tahun itu kerana berkelakuan mencurigakan ketika bersama seorang lelaki di sebuah taman hiburan. - Agensi

Bahana keluar hisap rokok

WATERLOO (Iowa): Seorang wanita didakwa mencuri mesin pengesan degupan jantung selepas membawa mesin itu ke luar hospital untuk menghisap rokok.
Wendi Mae Mingus dilapor membawa mesin berharga AS$1,000 (RM3,200) keluar daripada Hospital Allen pada 8 Mei lalu.

Sebelum itu, kakitangan memaklumkan kepadanya beliau tidak boleh keluar bangunan kecuali dibenarkan pulang.

Mingus bagaimanapun tetap keluar daripada hospital itu. - Agensi

Enam wanita cedera ditetak

BEIJING: Seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging menetak dan mencederakan enam wanita di Foshan, Guandong dan kemudian membunuh dirinya, semalam.
Akhbar Guandong melaporkan, lelaki itu menjadikan wanita muda sebagai sasarannya.

Lima daripada mangsa, dua daripadanya parah dilapor masih dirawat di hospital.

Lelaki itu dilapor bergerak keluar masuk beberapa restoran dan kedai dan hanya menyerang wanita muda yang ditemuinya.

Semua mangsanya ditetak di leher dan bahu.
Suspek kemudian naik ke tingkat tiga sebuah bangunan dan melompat keluar daripada bangunan itu.

Beliau disah meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis hingga kini cuba mengenal pasti motif serangan.

Beberapa kejadian sama dilapor berlaku di China, terbaru apabila seorang lelaki menikam mati lapan orang, termasuk tiga ahli keluarganya 8 Mei lalu.

Sabtu lalu, mahkamah menghukum mati Xu Yuyuan kerana menyerang 29 kanak-kanak dan tiga guru di sebuah tadika 29 April lalu. - AFP

Pengawal cabul gadis koma

DUBAI: Seorang pengawal keselamatan didakwa mencabul seorang gadis yang dalam koma apabila tidur di sebelahnya di atas katil sebuah hospital.
Pendakwa raya menuduh pengawal berusia 34 tahun itu, warga Emiriah, yang dikenali sebagai MI, mencium dan memeluk gadis berkenaan, juga warga Emiriah ketika gadis itu tidak sedarkan diri.

Seorang jururawat rakyat Filipina memberitahu mahkamah, suspek memasuki bilik gadis berkenaan dan mengarahkannya keluar.

“Dia kunci pintu itu dari dalam sebaik saya keluar. Saya tinjau dari tingkap kecil dan melihatnya mencium pesakit yang tidak sedarkan diri itu.

“Keesokannya, saya melihat dia tidur di sebelah gadis itu,” kata jururawat berkenaan.
Seorang pengawal keselamatan warga Mesir pula memberitahu mahkamah: “Saya diberitahu bahawa seorang lelaki Arab berada dalam bilik yang dikhaskan untuk wanita.

“Saya menuju ke bilik gadis berkenaan dan mendapati suspek berada di dalam. Saya terpaksa mengambil masa untuk membawanya keluar.
“Saya terdengar tertuduh memberitahu jururawat bahawa dia adalah suami gadis itu. Kemudian dia memberitahu saya bahawa dia adalah abang pesakit berkenaan.”
Perbicaraan disambung minggu depan. - Agensi

Tabur wang di lebuh raya

2010/05/18
TOKYO: Seorang lelaki ditahan oleh polis selepas dia menaburkan wang berjumlah jutaan yen di sebuah lebuh raya yang sibuk.
Lelaki berusia 49 tahun itu dilihat oleh pemandu melontar ke udara wang berkenaan sambil berdiri berhampiran pusat membayar tol di wilayah Aichi.

Longgokan wang kertas 10,000 yen (RM350) adalah antara yang dicampakkan oleh lelaki itu.

Polis tiba di tempat kejadian selepas seorang pemandu membuat laporan.
Lebih 2.77 juta yen ((RM95,000) dikembalikan atau ditemui oleh pihak berkuasa di kawasan itu.

Bagaimanapun, polis bimbang lebih banyak wang telah ditabur oleh lelaki itu berbanding jumlah yang telah diperoleh semula.
Keluarganya berkata, lelaki itu meninggalkan rumahnya di tengah Jepun bersama-sama wang berjumlah lebih tujuh juta yen (RM244,000) dalam sakunya. - Agensi

Saman lebih RM90,000 dibatalkan



KUALA LUMPUR 18 Mei - Tuntutan saman sebanyak RM92,751.85 oleh seorang ahli perniagaan wanita terhadap Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie (gambar) telah dibatalkan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Madihah Harullah memutuskan demikian selepas mendapati peguam, Kaharuddin Harun yang mewakili plaintif, Norlina Nordin gagal memenuhi beberapa keperluan yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.
Hari ini sepatutnya perbicaraan hari pertama kes saman itu.
Pada prosiding hari ini, mahkamah turut membatalkan saman balas Sheikh Muszaphar terhadap plaintif dengan menuntut cek bernilai RM25,000 yang didakwa telah ditunaikan oleh bekas pembantu peribadinya itu dipulangkan kepada beliau.
Sheikh Muszaphar selaku defendan diwakili oleh peguam Dzaki Ezhar Bahar.
Plaintif dan defendan tidak hadir di mahkamah.
Sementara itu, Dzaki ketika ditemui pemberita memberitahu, pembatalan kedua-dua saman itu tidak membabitkan sebarang kos kepada mana-mana pihak.
Beliau turut menjelaskan, pada mulanya Kaharuddin memohon penangguhan singkat kerana peguam plaintif itu mengadu tidak sihat tetapi hakim selepas meneliti rekod mahkamah terus membuat keputusan.
Kaharuddin pula ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan memfailkan saman baru terhadap angkasawan itu.
Menjawab pertanyaan mengenai keperluan mahkamah yang gagal dipenuhi, peguam itu memberitahu, ia adalah ekoran pihaknya tidak memfailkan beberapa dokumen seperti keterangan saksi.
Beliau turut menyatakan, pihaknya berhasrat untuk memanggil tiga orang saksi termasuk Norlina untuk memberikan keterangan.
Plaintif memfailkan saman pada 25 Julai 2008 kerana mendakwa angkasawan itu telah melanggar kontrak pelantikannya sebagai pembantu peribadi dan menuntut ganti rugi RM92,751.85.
Wanita itu mendakwa, sebanyak RM47,751.85 telah digunakan bagi tujuan promosi dan upah perkhidmatan RM45,000 sepanjang tiga bulan dia berkhidmat dengan defendan.
Turut dituntut ialah ganti rugi am akibat kehilangan keuntungan satu program televisyen yang kononnya akan menjadikan Sheikh Muszaphar sebagai 'ikon pendidikan'.

Bantahan awal MAIWP mualaf mahu murtad



KUALA LUMPUR 18 Mei - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Tinggi Syariah di sini terhadap permohonan seorang mualaf untuk kembali semula ke agama asalnya.
Peguam syarie Farah Wahida Mohd. Amin yang mewakili MAIWP memaklumkan demikian ketika permohonan Faizal Wong Abdullah, 54, itu disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Abdullah hari ini.
Berikutan itu, hakim tersebut menetapkan 2 Jun ini untuk sebutan semula kes berkenaan.
Hari ini merupakan sebutan kali kedua permohonan tersebut sejak ia difailkan oleh Faizal pada 15 Mac lalu.
Faizal yang merupakan kakitangan kerajaan hadir tanpa diwakili peguam syarie.
Dalam permohonannya, lelaki tersebut menyatakan dia ingin keluar daripada agama Islam dan kembali ke agama asalnya, Buddha.
Menurutnya, dia memeluk agama Islam pada 6 Oktober 1999 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, di sini.
Sepanjang memeluk agama Islam, katanya, dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam mahupun berkahwin dengan wanita Islam.
Ketika ditemui oleh pemberita di luar mahkamah, Faizal berkata, dia memilih untuk kembali semula ke agama asalnya disebabkan tekanan daripada ahli keluarga dan saudara maranya.
Selain itu, dakwanya, disebabkan tidak mendapat bimbingan selepas memeluk agama Islam, dia tidak tahu untuk berhadapan dengan masalah yang timbul dalam dirinya.
Menurutnya, selepas memfailkan permohonan itu, dia telah diminta menjalani kaunseling tetapi dia menolak permintaan tersebut.
Faizal berkata, dia pernah berkahwin sebelum memeluk agama Islam tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Kes sah, bubar perkahwinan Raisuddin





SHAH ALAM 18 Mei - Kes permohonan pengesahan dan pembubaran nikah penyanyi era 80-an, Raisuddin Hamzah dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 1 Jun ini.
Hakim Syarie Abu Zaky Mohamad menetapkan tarikh tersebut untuk membolehkan kesemua dokumen termasuk nota keterangan bagi kes pengesahan nikah dari Mahkamah Tinggi Syariah berasingan dikemukakan sebelum perbicaraan bermula.
Begitu juga dokumen-dokumen dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini berhubung permohonan bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Suberi ketika ditemui di luar mahkamah hari ini berkata, prosiding tidak akan diteruskan dengan perbicaraan semula sebaliknya bakal disambung berdasarkan keterangan terdahulu.
Sehubungan itu jelas beliau, perbicaraan akan diteruskan dengan keterangan-keterangan tambahan apabila mahkamah memperoleh semua dokumen berkaitan dari mahkamah-mahkamah yang telah menjalankan kedua-dua kes itu sebelum ini.
Pada 30 Mac lalu, Abu Zaky membenarkan rayuan Suberi dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak permohonannya untuk membubarkan perkahwinan pasangan itu secara faraq.
Beliau turut mengarahkan permohonan Raisuddin untuk mengesahkan nikahnya di Mahkamah Tinggi Syariah berasingan didengar bersama bagi mengelakkan timbul ketidakseragaman dan pertindihan antara kedua-dua kes tersebut.
Pernikahan Raisuddin, 54, dengan Siti Fatimah, 23, di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Permohonan itu dibuat dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Ia bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dengan alasan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut.
Suberi kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini selain berjaya mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang pasangan itu daripada tinggal serumah dan menjalankan kehidupan sebagai suami isteri sehingga rayuan pengesahan pernikahan mereka diputuskan.
Sementara itu, Raisuddin pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan perbicaraan kes itu akan bersambung pada 25 Ogos ini.
Pada prosiding hari ini, Suberi hadir bersama isterinya manakala Raisuddin ditemani Siti Fatimah.
Bapa kepada penyanyi popular, Siti Sarah dan isteri keduanya itu diwakili peguam syarie Norazmi Mohd. Arif.

Keluarga balu kedua tidak layak mencelah



PUTRAJAYA 18 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa keluarga balu kedua Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak tidak layak mencelah dalam rayuan pembahagian harta pusaka milik ahli perniagaan terkemuka itu.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang berhujah bagi pihak keluarga balu pertama Allahyarham menyatakan, ini kerana mereka tidak mempunyai kepentingan fakta dan aspek perundangan untuk bertindak selaku pencelah dalam kes berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan, Mahkamah Rayuan tersilap ketika membenarkan keluarga balu kedua mencelah dalam rayuan tuntutan harta pusaka melibatkan sejumlah unit saham dianggarkan berjumlah RM16 juta.
Allahyarham dikatakan meninggalkan harta pusaka bernilai berjuta-juta ringgit dalam empat buah syarikat tanpa sebarang wasiat ketika meninggal dunia pada 10 Februari 1994.
Mahkamah sedang mendengar rayuan keluarga balu pertama yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Mei tahun lalu membenarkan keluarga balu kedua mencelah dalam kes pembahagian harta tersebut.
Mereka terdiri daripada balu pertama, Raja Rajmah Raja Chik serta enam orang anaknya iaitu Raja Hanipuddin, Raja Sallehudin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin, Raja Noraini dan Cik Normah (perayu pertama hingga ketujuh).
Selain mereka, enam lagi perayu ialah Syarikat Lambang Tenaga Putra Sdn. Bhd., Furukawa Electric Cables (M) Sdn. Bhd., Shorga Sdn. Bhd., Malayan Zips Sdn. Bhd., Chow Soon Tat @ Chew Soon Tat dan Chong Fook Sin.
Balu kedua pula ialah Jumaaton @ Zaiton Awang bersama lima anaknya iaitu Raja Delila, Raja Yurihana, Raja Iskandar, Raja Akbar dan Raja Norlina.
Sementara itu, Harpal Singh yang mewakili keluarga balu kedua berhujah, selaku penama yang sah, anak guamnya mempunyai hak terhadap rayuan tersebut.
Beliau menyatakan, ini kerana sebarang perintah mahkamah terhadap harta berkenaan akan memberi kesan langsung ke atas Jumaaton dan anak-anaknya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Md. Raus Shariff dan Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusoff akan memutuskan rayuan keluarga balu pertama itu pada tarikh lain.
Raja Rajmah dan 12 yang lain merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan keluarga balu kedua mencelah dalam rayuan yang dibuat oleh Amanah Raya Berhad (ARB).
ARB merayu di Mahkamah Rayuan kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 April 2004 yang membatalkan samannya ke atas kesemua 13 defendan dengan kos dibayar oleh agensi itu.
Dalam saman itu, ARB menuntut perintah agar perpindahan saham-saham milik Allahyarham kepada pihak lain diisytiharkan sebagai tidak sah.
Keluarga balu kedua ketika memohon untuk mencelah menyatakan, hak mereka selaku penama yang sah dinafikan berikutan tindakan Raja Rajmah dan 12 yang lain yang dikatakan memindahkan saham secara penipuan menyebabkan pemohon-pemohon mengalami kerugian.

Saman fitnah terhadap Teresa disebut semula 16 Julai



KUALA LUMPUR 18 Mei - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 Julai ini untuk pengurusan kes saman Utusan Melayu (M) Berhad terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim yang didakwa mengeluarkan pernyataan berunsur fitnah ke atas akhbar Utusan Malaysia.
Timbalan Pendaftar, Hilmiah Yusof menetapkan tarikh berkenaan ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.
Tanggal 16 Julai ini ditetapkan sebagai tarikh akhir kepada Utusan Melayu selaku plaintif memfailkan permohonan untuk membatalkan pernyataan pembelaan defendan atau mahkamah akan meneruskan dengan lanjutan pengurusan kes.
Pada prosiding hari ini, plaintif diwakili oleh peguam Sarah Abhishegam yang turut hadir bagi pihak peguam dari firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co. yang mewakili Teresa selaku defendan.
Pada 27 Februari tahun lalu, plaintif telah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Teresa kerana didakwa mengeluarkan pernyataan berunsur fitnah terhadap akhbar tersebut.
Ia berikutan dakwaan Teresa bahawa Utusan Malaysia telah 'memutar-belitkan' pernyataan-pernyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif menyatakan, pernyataan-pernyataan fitnah Teresa itu telah dibuat pada 22 September 2008 dan ia telah diterbitkan oleh media-media tempatan serta blog beliau sendiri.
Plaintif antara lain menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel-artikel, perkataan, petikan atau komen yang berunsur fitnah daripada laman blog dan laman web tersebut.
Plaintif juga menuntut perintah injunksi menghalang pihak defendan sama ada melalui dirinya sendiri, ejen atau pekerja-pekerjanya daripada membuat dan menerbitkan selanjutnya menyebabkan penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu atau yang serupa dengannya terhadap plaintif.
Turut dituntut ialah ganti rugi am, khas, tambahan dan punitif serta faedah bagi ganti rugi yang diberikan selain daripada kos serta relif-relif lain.

Ditahan buat tuntutan palsu projek RM2 juta



KUALA LUMPUR 18 Mei - Seorang jurutera adalah antara tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membuat tuntutan palsu bernilai RM2 juta melibatkan projek-projek di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Kesemua mereka ditahan di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Bahagian Komunikasi Korporat Ibu Pejabat SPRM memberitahu, jurutera berkenaan ditahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 kerana menggunakan jawatannya untuk meluluskan kerja-kerja inden kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan.
"Manakala seorang juruteknik dan seorang lagi kontraktor pula ditahan mengikut Seksyen 18 akta yang sama," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua mereka ditahan kerana dipercayai bertanggungjawab mengesahkan kerja-kerja yang dilakukan di bawah projek berkenaan kononnya ia telah siap.
Sebaliknya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati, tiada sebarang kerja dilakukan.
Menurut kenyataan itu lagi, kesemua mereka ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Penyeludupan rokok makin serius



RASAH 18 Mei - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) perlu mempertingkatkan penguatkuasaan dan melipatgandakan usaha menangani masalah penyeludupan rokok haram di negara ini yang semakin membimbangkan.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin (gambar) berkata, kegiatan itu dilaporkan meningkat sebanyak 37 peratus pada tahun lalu berbanding lima tahun lalu iaitu pada kadar 17 peratus.
''Peningkatan mendadak ini secara tidak langsung mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah RM2 bilion setiap tahun akibat duti eksais rokok tidak berbayar.
''Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan LKTN menambah bilangan anggota penguat kuasa sekali gus meningkatkan pemantauan dalam mengawal aktiviti haram ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Baja dan Racun Serangga Philip Morris Malaysia (PMM) kepada lembaga itu di sini hari ini.
Jelas Hamzah, langkah berkenaan juga selari dengan kuasa yang diberikan kerajaan kepada LKTN melalui penetapan Akta LKTF 2009.
''Saya juga mencadangkan agar pihak lembaga turut menjalankan kerjasama dengan pasukan penguatkuasaan lain seperti kastam dan polis bagi membendung masalah itu," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hamzah turut menyeru semua syarikat pembuat rokok antarabangsa seperti Philip Morris dan British American Tobacco agar menjalankan kajian dalam mengolah kegunaan tembakau demi meningkatkan komoditi itu.
''Analisis yang dibuat oleh beberapa pengkaji antarabangsa mendapati tembakau boleh dijadikan salah satu bahan dalam bidang farmaseutikal.
''Justeru, saya minta syarikat terbabit membantu kerajaan membuat kajian bagi mempelbagaikan kegunaan tembakau, bukan sekadar untuk menghasilkan rokok sahaja.
''Jika ini menjadi kenyataan, perusahaan tembakau dapat diperluaskan di negara ini sekali gus meningkatkan pendapatan penanam tembakau tempatan," katanya.

Lagi makmal proses dadah diserbu



Shafien Mamat (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis heroin yang dirampas daripada dua lelaki semasa sidang akhbar di Nibong Tebal, semalam.


NIBONG TEBAL 18 Mei - Polis membongkar sindiket pengedaran dadah terbesar di daerah ini selepas menyerbu sebuah rumah teres yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin di Taman Tambun Emas, Simpang Ampat di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 tengah malam Sabtu lalu, polis turut merampas sejumlah heroin yang dianggarkan bernilai RM150,000 selain menahan dua lelaki berusia 23 dan 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Berdasarkan maklumat itu, katanya, polis kemudian mengekori kenderaan terbabit sebelum bertindak menyerbu rumah teres berkenaan yang disewa sejak beberapa bulan lalu.
"Polis menggeledah rumah itu dan menemui beberapa peket plastik berisi ketulan dadah dipercayai heroin dalam sebuah bilik.
"Kesemua dadah itu dianggarkan seberat 3.2 kilogram dan harga pasarannya ketika ini kira-kira RM150,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Shafien, rumah terbabit dipercayai disewa untuk dijadikan pusat pembungkusan oleh kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Tambahnya, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah malah ujian air kencing yang dilakukan mendapati mereka negatif dadah.
Polis, katanya, percaya dadah terbabit untuk diedarkan di pasaran tempatan oleh kedua- dua suspek yang yang berasal dari Jitra, Kedah dan Pulau Pinang.
Mereka kini direman sehingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kerani ugut Saiful Bukhari dalam Facebook ditahan



KUALA LUMPUR 18 Mei - Seorang kerani yang dikatakan menghantar mesej berbaur ugutan melalui laman sosial Facebook kepada saksi utama perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ditahan polis pada Jumaat lalu.
Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di Balai Polis Klang selepas datang menyerah diri pada petang itu.
Bagaimanapun, dalam keterangannya, dia menafikan menghantar mesej itu untuk mengugut sebaliknya hanya sekadar nasihat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk disiasat.
"Kita telah menahan reman lelaki tersebut selama empat hari dan dia dibebaskan selepas polis mengambil keterangan lengkap hari ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPD Sentul di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, Mohd. Saiful Bukhari membuat laporan di IPD Sentul berhubung mesej ugutan yang diterimanya dalam Facebook.
Laporan dibuat terhadap suspek yang mendaftar dirinya atas nama Badrul Hisham dalam laman sosial itu.
Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan bunuh dalam satu mesej yang dihantar kepada Mohd. Saiful Bukhari pada pukul 12.47 petang hari kejadian.
Ini merupakan ugutan kedua yang diterima oleh beliau sepanjang perbicaraan bermula sejak Februari lalu. Laporan terhadap ugutan pertama dibuat pada 9 Februari.
Zakaria memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

Mimie pernah dilihat di pekan Semporna - Bapa



KUALA LUMPUR 18 Mei - Remaja perempuan yang sebelum ini dikatakan melarikan diri dari rumah keluarganya di Semporna, Sabah sejak 15 April lalu, dikhabarkan masih berada di daerah itu.
Marnie Abdul Sarang, 15, dilihat oleh beberapa orang penduduk di pekan itu baru-baru ini, walaupun dia sebelum ini dikatakan mengikut temannya, seorang pengkid ke Kuala Lumpur.
Marnie atau lebih mesra dipanggil Mimie kini dicari oleh ibu bapanya, Abdul Sarang Banguan, 42, dan Norhayati Hambong, 43, semenjak dia lari dari rumah keluarganya di Kampung Sungai Gajah, Semporna, pertengahan bulan lalu.
Berita yang diterima itu ternyata sedikit melegakan Abdul Sarang.
Menurut Abdul Sarang, selepas dihubungi oleh beberapa pemanggil hari ini, dia segera pergi ke pekan itu untuk mencari anaknya itu.
"Walaupun saya meragui yang anak saya masih berada di pekan Semporna, saya pergi mencari anak kedua saya itu namun sehingga kini masih belum berjumpa.
"Kepada pemanggil yang memberikan maklumat mengenai anak saya, saya mengucapkan terima kasih dan saya amat berharap agar Mimie akan ditemui tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan berita kehilangan Mimie yang dipercayai mengikut temannya itu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk sehidup semati dengan kekasih songsangnya itu.
Sehingga kini, Mimie masih belum ditemui dan kedua ibu bapanya merayu agar remaja itu pulang ke pangkuan keluarga berikutan kesihatan ibunya yang terjejas ekoran terlalu merindui anak gadisnya itu.
Menurut Abdul Sarang, dia juga tidak menolak kemungkinan anak perempuannya itu tidak menaiki pesawat yang ditempahnya ke Kuala Lumpur.
Walau apa pun yang berlaku, katanya, dia dan keluarga tidak berputus asa untuk menjejaki anak gadisnya sehingga dijumpai.
"Saya akan terus mencari Mimie, kami bimbangkan keselamatan dia dan ada juga kemungkinan dia masih di Semporna.
"Sehubungan itu, saya meminta orang ramai yang pernah melihat Mimie dapat menghubungi saya di talian 014-2045729," katanya.

Impian saudagar segera





KUALA LUMPUR 18 Mei - Demi mencapai impian menjadi 'saudagar segera', tiga pemuda rakyat Malaysia merantau jauh untuk menguruskan ladang ganja yang diusahakan sebuah kumpulan kongsi gelap di Newcastle, Britain.
Namun, pekerjaan yang menyalahi undang-undang itu bukannya mencerahkan masa depan mereka sebaliknya menjerat diri sendiri apabila ketiga-tiga mereka diberkas oleh polis negara berkenaan baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan awal 20-an dipercayai diupah oleh satu kumpulan kongsi gelap Britain untuk menguruskan tanaman pokok ganja di sebuah rumah yang sudah diubah suai menjadi kebun dan kilang memproses dadah terbabit.
Difahamkan, suspek yang dikenali sebagai Yet Chai, An Chang dan Keong Wai masing-masing dibayar gaji lumayan iaitu RM3,000 seminggu untuk menanam dan menjaga pokok ganja yang ditanam di bilik bawah tanah rumah itu yang terletak di Wallsend, Newcastle.
Siasatan mendapati, aktiviti menanam dan memproses ganja di rumah terbabit mampu memberi keuntungan kira-kira 160,000 pound sterling atau RM741,993.65 kepada sindiket berkenaan.
Ketiga-tiga suspek didakwa di Mahkamah Newcastle semalam dan dijatuhi hukuman penjara selama 21 bulan setiap seorang.
Difahamkan, ketiga-tiga pemuda ini bukan rakyat Malaysia yang pertama ditangkap oleh polis Britain kerana bekerja di ladang ganja di negara berkenaan.
Sumber polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memberitahu, sebelum ini, sudah ada rakyat Malaysia diberkas di Britain kerana melakukan kesalahan yang sama, malah jumlah mereka semakin meningkat sejak setahun lalu.
"Kita percaya mereka sanggup menerima tawaran pekerjaan haram ini kerana dijanjikan upah yang lumayan oleh sindiket berkenaan," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Oktober lalu, polis Britain menahan seorang lelaki Malaysia berusia 44 tahun selepas dikesan mengusahakan ladang ganja di Mansfield.
Dalam serbuan itu, kata sumber, suspek dikesan menanam sebanyak 112 batang pokok ganja dan menyimpan 788 biji benih tanaman berkenaan.
Semasa disiasat, katanya, suspek mendakwa dipelawa untuk bekerja sebagai penyelia di ladang ganja selama tiga bulan dengan tawaran gaji sebanyak RM1,600 seminggu.
"Suspek mendakwa, dia diarahkan tinggal di ladang tersorok itu untuk melakukan kerja-kerja menyiram pokok ganja dan menghidupkan lampu bagi tujuan tumbesaran pokok terbabit," katanya.
Pada September tahun lalu pula, kata sumber, seorang lagi lelaki Malaysia diberkas di Britain kerana mengusahakan ladang ganja menggunakan kaedah penanaman hidroponik.
Lelaki berusia 30 tahun yang memasuki Britain secara haram itu ditahan ketika menyorok di bilik bawah tanah sebuah pusat hiburan di Newhaven Road yang dijadikan ladang menanam ratusan pokok ganja.
"Siasatan mendapati, pokok ganja ditanam dalam bilik bawah tanah itu mampu hidup subur kerana memperoleh cahaya daripada lampu kalimantang manakala air dibekalkan dari tingkat atas bangunan.
"Suspek menggunakan kaedah penanaman hidroponik iaitu hanya bergantung kepada baja khas tanpa tanah untuk menanam 353 batang pokok ganja di situ," ujarnya.

Geng pencuri Vietnam tumpas





NIBONG TEBAL 18 Mei - Sekumpulan empat lelaki warga Vietnam sanggup berkelana sejauh 400 kilometer dari Selangor ke Pulau Pinang semata-mata untuk melakukan jenayah pecah rumah di daerah ini.
Berbekalkan beberapa peralatan pecah rumah, mereka tiba di Terminal Bas Butterworth dekat sini pagi semalam sebelum menaiki bas henti-henti ke sini untuk 'mencari rezeki'.
Selepas berehat selama beberapa jam di sebuah kawasan hutan, kumpulan warga asing itu memecah masuk sebuah kilang perabot di Changkat, di sini pada pukul 4 pagi ini dan melarikan beberapa peralatan elektronik dan perkakasan komputer.
Namun, belum sempat menikmati hasil kegiatan itu, tiga daripada mereka ditahan secara berasingan tidak jauh dari kawasan itu kira-kira pukul 7 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, kumpulan warga asing yang berusia antara 23 hingga 26 tahun dipercayai turut merancang untuk melakukan jenayah pecah rumah sekitar daerah ini.
"Bagaimanapun, rancangan kumpulan itu gagal setelah salah seorang daripada mereka ditahan sepasukan anggota yang membuat rondaan.
"Setelah diperiksa, polis menemui beberapa peralatan komputer dan peralatan pecah rumah di dalam beg yang dibawa olehnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shafien berkata, hasil siasatan lanjut, seorang lagi anggota kumpulan itu berjaya ditahan ketika menunggang basikal berhampiran kawasan tersebut manakala seorang lagi di perhentian bas Jawi di sini.
Katanya, kesemua tiga warga asing itu kemudian mengaku datang dari satu kumpulan dan memecah masuk kilang perabot berkenaan.
"Bagaimanapun, salah seorang rakan mereka yang dipercayai menjadi perancang kumpulan ini telah melarikan diri dan polis masih memburunya.
"Sehubungan itu, saya meminta kepada orang ramai yang terserempak dengan warga Vietnam yang mencurigakan supaya segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan selain turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah

Kemenangan gadis Islam tercemar


GAMBAR menunjukkan Rima menari tarian tiang.
DETROIT, Amerika Syarikat (AS) – Kemenangan gadis Muslim pertama yang memenangi Ratu Cantik USA 2010, Rima Fakih tercemar selepas gambar-gambarnya menari tarian tiang disebarkan media, lapor sebuah akhbar semalam.
Eksekutif pemasaran berusia 24 tahun itu mencatat sejarah menjadi wanita Islam pertama berketurunan Arab Lebanon memenangi pertandingan Ratu Cantik USA di Las Vegas pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, imej bersih Rima tercalar setelah laman web sebuah stesen radio di AS menyiarkan gambar dia menari di pentas dengan cuma memakai seluar pendek, baju ketat dan kasut tinggi semasa menyertai pertandingan tarian tiang di sebuah kelab tarian lucah di negeri Detroit pada 2007.
Satu lagi gambar menunjukkan Rima memakai baju yang terselit sejumlah wang kertas di dadanya.
Ekoran penyiaran gambar itu, para penerbit stesen radio berkenaan mendakwa mereka telah dihubungi oleh pihak penganjur pertandingan Ratu Cantik Universe yang meminta maklumat lanjut mengenai penglibatan Rima itu. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Ibu sanggup mati demi anak


SI ibu cuba menyelamatkan anak lelakinya (dalam bulatan).
POSITANO, Itali – Seorang wanita Amerika Syarikat (AS), Shelley Anne Duncan, 48, sanggup mati demi memastikan anak lelakinya, Shane yang berumur 12 tahun selamat selepas mereka dihanyutkan ombak besar di tepi pantai di sini pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Rakaman detik-detik cemas itu disiarkan oleh beberapa laman web Itali setelah seorang lelaki Brazil merakamkan insiden tersebut menerusi telefon bimbit berkamera.
Selepas dihanyutkan ombak besar, si ibu menolak anaknya ke arah beberapa nelayan tempatan yang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan mereka.
Namun, si ibu ditolak jauh oleh ombak besar.
Si ibu itu kemudian berjaya diselamatkan oleh pejalan kaki di tepi pantai dengan menariknya ke pantai tetapi dia kemudian meninggal dunia di tempat kejadian.
Anak lelakinya dirawat di sebuah hospital kerana diselubungi perasaan terkejut sebelum dia dibenarkan keluar. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Kokpit Terbakar


GAMBAR menunjukkan seorang anggota bomba memasuki kokpit yang terbakar pesawat syarikat United Airlines mendarat di Lapangan Terbang Dulles Wasgington di Sterling kelmarin.

WASHINGTON – Pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat sama ada masalah kerosakan sistem pemanas menyebabkan kokpit sebuah pesawat Boeing 757 terbakar sehingga membuat pendaratan cemas dekat sini, kata beberapa pegawai semalam.
Seorang jurucakap pihak berkuasa berkenaan memberitahu, pesawat itu yang membawa 112 orang termasuk aktres jutawan, Ashley Olsen dan teman lelakinya, Justin Bartha mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles Washington di Sterling pada Ahad lepas selepas ia berlepas dari bandar raya New York menuju ke Los Angeles.
Jurucakap tersebut, Holly Baker kemudian berkata, api dapat dipadamkan sebelum pesawat milik syarikat United Airlines itu mendarat dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Menurut seorang lagi selebriti AS yang menaiki penerbangan tersebut iaitu pelakon teater Broadway, Jarrod Spector, dia terhidu bau asap kira-kira 30 minit selepas pesawat berlepas.
“Tiba-tiba pintu kokpit terbuka dan juruterbangnya meminta alat pemadam api untuk memadam api yang marak di dalam ruang pengendalian pesawat itu,” katanya. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Tanam bayi: Dua remaja didakwa


SAFIUDDIN dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka semalam atas tuduhan menanam mayat bayi bersama kekasihnya.

MELAKA – Sepasang kekasih remaja mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan cara menanam mayat bayi malang itu di tepi sebatang sungai di sini.
Tertuduh, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari, 19, bersama kekasihnya, seorang pesalah juvana berumur 15 tahun dituduh melakukan perbuatan itu di tepi sungai Taman Melaka Baru pada 12 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu antara pukul 12 tengah hari hingga pukul 12.30 tengah hari pada 12 Mei.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 dan 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
kredit : k osmo.com.my

Digantung sekolah


SEBAHAGIAN pelajar bersama ibu bapa masing-masing menunjukkan surat yang mengarahkan mereka digantung sekolah di Jempol semalam.

JEMPOL – Gara-gara menyambut majlis hari jadi secara kecil-kecilan tanpa kebenaran pihak sekolah, enam pelajar perempuan sebuah sekolah di Batu Kikir dekat sini dikenakan tindakan gantung sekolah sebanyak dua kali.
Selain mengadakan majlis tanpa kebenaran, pihak sekolah mengenakan tindakan itu atas alasan pelajar terbabit menceroboh sebuah kelas kosong untuk mengadakan majlis itu.
Akibatnya, mereka digantung sekolah pada 12 hingga 14 Mei lalu diikuti satu lagi surat penggantungan mulai 17 hingga 19 Mei.
Enam pelajar terbabit dikatakan mengadakan majlis sambutan hari jadi kecil-kecilan pada pukul 4.30 petang 6 Mei lalu di sebuah bilik darjah yang kosong.
kredit : kosmo.com.my