Search This Blog

Tuesday, May 18, 2010

Ahli psikik perdaya pelanggan

LAFAYETTE (Amerika Syarikat): Seorang ahli psikik dituduh menipu pelanggannya beratus ribu dolar dengan memberitahu mereka bahawa ‘wang itu syaitan.’
Nancy Marks juga dikatakan memujuk pelanggannya supaya menyerahkan nombor kad kredit mereka kerana mahu memeriksanya.

Wanita berusia 54 tahun itu kemudian menggunakan maklumat itu untuk berbelanja sakan di pusat beli-belah fesyen.

Polis Colorado percaya dia memperoleh lebih RM1.2 juta daripada pelanggan yang datang untuk mendapatkan khidmatnya.

Seorang wanita menyerahkan lebih RM842,000 selepas dia diberitahu bahawa wang itu syaitan dan mengandungi sumber kejahatan.
Pendakwa raya berkata, Nancy memberitahu mangsanya supaya menyerahkan wang mereka sebagai cara untuk mengelak atau menghentikan musibah yang menimpa mereka.

Dia juga dikehendaki di Arkansas atas tuduhan yang sama. - Agensi

Lebih 50 rumah di Nibong Tebal dinaiki air





2010/05/18

NIBONG TEBAL: Lebih 50 rumah di Kampung Nenas, Sungai Kechil di sini, dinaiki air sehingga paras lutut berikutan hujan lebat berterusan hampir sejam, semalam. 

Banjir kilat yang sering menghantui penduduk kampung setiap kali hujan lebat sejak lima tahun lalu, bermula kira-kira jam 10 pagi dan surut berperingkat beberapa jam kemudian.
Difahamkan, masalah peparitan yang kurang sempurna dan cetek dipercayai punca utama banjir kilat apabila air melimpah dari parit dan sungai berhampiran.
Tinjauan Berita Harian di kampung itu mendapati penduduk membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan banjir lebih buruk jika hujan berterusan. 

Beberapa penduduk yang ditemui turut mengeluh kerana masalah yang mereka hadapi saban tahun belum menampakkan tanda-tanda akan berakhir, malah semakin teruk.

Askar wanita Britain diarah bawa kondom




KABUL - Askar wanita yang akan ke Afghanistan diarahkan Kementerian Pertahanan Britain supaya membawa kondom selepas peningkatan kehamilan yang membimbangkan semasa misi ketenteraan. 

Iklan di dalam sebuah majalah tentera memberi amaran kepada askar wanita supaya mengambil langkah perlindungan kerana terdapat `50 lelaki untuk setiap wanita’. 

Peraturan ketenteraan di Britain melarang askar mengadakan hubungan seks di kawasan perang. 

Namun menurut pegawai tentera, larangan itu diabaikan sekiranya hubungan seksual itu berlaku antara askar berpangkat sama dan tidak mendatangkan kesan kepada operasi. 

Statistik menunjukkan 133 askar wanita hamil di Afghanistan dan Iraq daripada Januari 2003 hingga Februari tahun lepas.

Tipu, salah guna pas: ‘Jutawan’ Lebanon diarah bela diri



18/05/2010 6:59pm

KUALA LUMPUR – Elie Youssef Najem, warga Lebanon yang mendakwa dirinya seorang jutawan, hari ini diperintah membela diri terhadap dua pertuduhan menipu dan satu pertuduhan menyalah guna pas lawatan lima tahun lalu.
Majistret Mohd. Azali Ibrahim menetapkan 6 Jun untuk Elie, 50, membela diri.
Elie, yang pernah mencetuskan kontroversi apabila menyatakan hasrat untuk menderma RM1 juta kepada Majlis Kanser Nasional (makna), bagaimanapun gagal berbuat demikian selepas didakwa melakukan penipuan.
Elie, yang diwakili peguam bela S. Selvam, didakwa memperdaya lelaki tempatan, Tan Sim Chai, untuk meminjam wang kepadanya dan akan membayar balik hutang itu apabila memperoleh wang dari luar negara berjumlah 2.6 juta pound sterling.
Sim Chai menyerahkan sembilan keping cek berjumlah RM22,000 kepada Elie pada kira-kira pukul 10 malam, 12 September 2005 di Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng di sini.
Elie, yang diikat jamin RM20,000, juga didakwa menipu Sim Chai untuk menyerahkan RM13,000 kepadanya di tempat sama pada 11 malam pada keesokan hari. – Bernama

Wanita Nigeria dipenjara 1 tahun kerana menipu juruwang



18/05/2010 7:01pm

KUALA LUMPUR – Seorang warga Nigeria hari ini dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur setelah mengaku bersalah menipu juruwang di sebuah pasar raya dengan menukar tanda harga beberapa pakaian.
Majistret Suriatey Mohamed memerintahkan Adabonyan Abisola Kofoworola, 25, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, 18 Jan lalu.
Tertuduh yang merupakan seorang suri rumah didakwa menipu juruwang Carrefour dengan menukar 11 tanda harga pakaian dengan niat memperdayakan juruwang itu dengan harga pakaian yang lebih murah.
Ibu kepada seorang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Carrefour Metro Prima Kepong, Sentul pada 18 Jan lepas, pukul 6.20 petang. – Bernama

Kejar RM3,000 rugi RM100,000

2010/05/18
SUBANG: Hanya kerana sebentuk cincin dan jam tangan bernilai kira-kira RM3,000, seorang penjenayah tamak sanggup kerugian lebih RM100,000 apabila meninggalkan kereta mewah BMW dinaiki di hadapan rumah mangsa yang dipecah masuk.
Suspek yang berusia 38 tahun terpaksa meninggalkan kereta itu apabila pemilik rumah yang diceroboh tiba-tiba pulang dalam kejadian Jumaat lalu.
Berdepan situasi kelam-kabut serta panik, pencuri ‘kaya’ itu juga terlupa yang dia tertinggal dompet mengandungi kad pengenalannya di dalam kereta berkenaan.

Menurut sumber polis, pemilik rumah terbabit yang berusia 25 tahun terserempak suspek ketika dia pulang ke rumahnya di SS19/1 kira-kira jam 7 malam.

Katanya, mangsa mendapati pintu rumahnya terbuka sebelum bergegas masuk dan terserempak suspek yang menggeledah di dapur.

“Terkejut kehadiran suspek, mangsa menangkap lelaki terbabit hingga berlaku pergelutan,” katanya.

Bagaimanapun, suspek melepaskan diri dan lari tanpa menghiraukan kereta mewahnya yang diletakkan di depan rumah itu.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan kes berkenaan dan polis menunda kereta terbabit.

“Siasatan polis mendapati kereta itu milik kakak suspek yang tinggal di Rawang dan tidak berapa lama selepas itu suspek menyerah diri kerana takut kakaknya ditangkap pihak berkuasa.

“Suspek yang masih bujang dan berasal daripada Melaka juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkait dadah dan pecah rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan kes penahanan suspek terbabit yang turut dikaitkan dengan beberapa siri jenayah sama di daerah itu sebelum ini.

Tembak perut

PARAH...Md Zahir dirawat  di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas terkena tembakan di perut.
PARAH...Md Zahir dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas terkena tembakan di perut.
2010/05/18

ALOR SETAR: Sekumpulan penyamun yang berpura-pura menjual getah beku bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah pekerja kedai getah menyebabkan mangsa cedera parah di perut dalam satu kejadian samun membabitkan kerugian RM10,000 di Kampung Sungai Senam, Sik, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Md Zahir Md Ariff, 34, yang berasal dari Kampung Lubuk Tualang, Sik, ditembak di perutnya dari jarak dekat oleh seorang daripada empat suspek yang sebelum itu berpura-pura membawa 17 kilogram (kg) getah beku untuk dijual.

Difahamkan, selepas menimbang getah dibawa suspek, mangsa masuk ke dalam kedainya mengambil wang bagi membuat pembayaran, sebelum disamun dan ditembak dengan pistol buatan sendiri.

Suspek melepaskan dua das tembakan ke arah rakan mangsa, namun tersasar.

Mangsa sempat bergelut dengan suspek walaupun terkena tembakan sebelum rebah berlumuran darah akibat cedera parah di perut.
Dia dihantar ke Hospi untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, keempat-empat penyamun berusia antara 20 hingga 30-an itu menaiki dua motosikal berhenti di depan kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Zaidong Mustafa, berkata ketika kejadian mangsa yang juga anak saudara kepada pemilik kedai itu menjalankan kerja harian bersama pekerja warga Bangladesh sebelum didatangi empat suspek.

Beliau berkata, empat lelaki menaiki dua motosikal pergi ke kedai getah berlesen di Kampung Sungai Senam, Sik, menjual getah beku 17kg.

“Ketika mangsa membuka laci mengambil wang dan membuat bayaran, tiba-tiba seorang daripada suspek menembak mangsa dari jarak dekat menyebabkan salah satu daripada tiga das tembakan terkena perut mangsa.

“Rakan mangsa cuba membantu tetapi gagal berikutan suspek melepaskan tembakan ke arahnya.

“Suspek melarikan diri bersama wang tunai RM10,000, manakala mangsa dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Zaidong berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, isteri mangsa, Firiani Bustaman, 32, berkata dia menyedari mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan rakan suaminya yang menghubunginya sejurus kejadian itu.

“Saya terkejut selepas mendengar berita suami ditembak. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana suami selamat cuma cedera di perut.

“Dia baru empat bulan bekerja dengan bapa saudaranya,” katanya.

Pekerja curi komputer majikan dirakam CCTV

2010/05/18
KUALA LUMPUR: Biarpun licik namun seorang pekerja sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) yang mencuri dua komputer riba milik majikannya masih dianggap bodoh apabila tidak menyedari gerak-gerinya melakukan jenayah itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Suspek yang berusia 32 tahun terbabit langsung tidak menyangka rakaman CCTV itu menjadi bukti kukuh bagi membolehkan polis mengesan suspek sebelum memberkasnya Jumaat lalu.
Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata suspek yang berasal dari Semenyih bekerja di syarikat itu selama setahun sebelum menghilangkan diri selepas melakukan jenayah itu pada 17 Mac lalu.

Menurutnya, suspek bagaimanapun tersilap perhitungan apabila tidak menyangka perbuatannya itu dirakam CCTV yang diletakkan di pejabat syarikat itu di Plaza Sentral di sini.

“Malah, majikannya membuat laporan polis mengenai kejadian terbabit dan siasatan awal polis termasuk kesan cap jari membuktikan lelaki itu suspek utama kes kecurian terbabit.

“Hasil maklumat awam dan menerusi rakaman CCTV, sepasukan polis menahan suspek pagi kelmarin. Susulan itu, polis menahan seorang lagi rakan suspek yang dipercayai bersubahat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, rakan suspek yang berusia 44 tahun dan berasal dari Petaling Jaya di sini, dikesan mempunyai 10 rekod jenayah berhubung kes curi di Brickfields.

“Susulan itu, polis memeriksa rumah suspek di Jalan Tun Sambanthan di sini, sebelum menemui jam tangan pelbagai jenama, cincin, subang, rantai, dan kamera pelbagai jenama dipercayai barang curi,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas menyoal siasat suspek, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Seksyen 1, Petaling Jaya, di sini, dan menjumpai sebiji komputer riba, kamera video dan beberapa kotak berisi penuh mercun yang diseludup dari negara jiran.

Tanah runtuh di Aceh ragut 5 nyawa

2010/05/18
BANDA ACEH: Lima pelombong emas terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kawasan lombong emas di pedalaman Aceh, hari ini.
Pelombong emas tradisional di gunung Panton Luas di daerah selatan Acehi itu dikatakan tertimbus sejak kejadian berlaku semalam (Isnin).

Menurut jurucakap pasukan sukarelawan palang merah, Jet Hendrian, pelombong emas terbabit dipercayai sedang berehat ketika tiba-tiba tanah berhampiran mereka runtuh pada jam 2.30 petang waktu tempatan, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang tertimbus.

Lima mayat dan seorang mangsa yang terselamat berjaya dikeluarkan dari dalam timbusan, namun dikhuatiri masih ada beberapa orang masih tertimbus.

"Terdapat ramai pelombong tradisional di tempat kejadian. Jumlah mangsa kemungkinan besar meningkat," katanya. - AFP

Pusat hiburan haram baru diserbu

2010/05/18
KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan haram di Jalan Kuchai Lama di sini, yang dipercayai baru dua hari beroperasi diserbu, awal pagi kelmarin.
Ketika diserbu kira-kira jam 2.30 pagi itu, hampir 80 pengunjung berada dalam premis yang masih dipenuhi jambangan bunga tanda ucapan tahniah pembukaannya.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) selepas menerima maklumat awam. Jurucakap polis berkata, premis berkenaan baru dua hari dibuka dan dipercayai mendapat sambutan hangat berdasarkan jumlah pengunjung yang memenuhi pusat hiburan itu.

Jerat kasih denda khalwat

2010/05/18
MUAR: Dua wanita yang tidak mampu membayar denda RM3,000 setiap seorang selepas didapati bersalah oleh mahkamah syariah kerana berkhalwat, lega apabila muncul seorang lelaki budiman sanggup menghulurkan wang tanpa menyedari ia ibarat jerat percintaan apabila mereka terpaksa menjadi ‘isteri sanggup’ semata-mata kerana mahu mengelak dihumban ke penjara.
Begitu nasib wanita yang dibiarkan sendirian menanggung denda mahkamah, sedangkan pasangan khalwat mereka yang sebelum ini seronok memadu asmara ketika dicekup pihak berkuasa agama hanya mementingkan diri sendiri.

Kisah pelik tetapi benar ini menimpa dua wanita yang kini bermadu iaitu Azah dan Ani (bukan nama sebenar) yang masing-masing berusia 25 dan 32 tahun apabila terpaksa menjadi isteri kedua dan ketiga seorang usahawan berusia 55 tahun itu.

Azah, 32, berkata dia mendirikan rumah tangga dengan lelaki berusia 55 itu dua tahun lalu.

“Sebelum itu saya ditangkap berkhalwat dengan pasangan di sebuah rumah di Segamat dan akibatnya, kami didakwa di mahkamah sebelum didenda selepas didapati bersalah.
“Mulanya, saya ingat teman lelaki jujur, tetapi tanggapan saya meleset apabila dia yang disangka sanggup sehidup semati bertindak di luar batas dan hanya membayar denda untuk dirinya.

“Saya terkejut dengan tindakannya (teman lelaki) kerana sebelum perbicaraan dia berjanji akan bertanggungjawab membayar denda yang dikenakan di mahkamah,” katanya.

Serangan bom ragut 12 nyawa di Pakistan

2010/05/18
PESHAWAR: Satu serangan bom yang didakwa disasarkan kepada polis di sebuah bandar utama di barat laut Pakistan mengakibatkan 12 orang terbunuh, hari ini.
Menurut ketua jabatan kematian di hospital berkaitan, Dr Nasir Malik Akhtar, yang memberitahu stesen televisyen Geo, pihaknya menerima 12 mayat dan 10 mangsa mengalami kecederaan teruk.

Jurucakap polis, berkata bom meletup berhampiran dengan sebuah kenderaan polis yang membawa seorang pegawai kanan polis Dera Ismail Khan di jalan utama ke Bannu.

"Mangsa yang mati terdiri dari tiga anggota polis termasuk seorang pegawai serta sembilan orang awam," katanya.

Menurut polis, bom terbabit dipasang di atas sebuah basikal. - AFP

Cari lelaki dibuang dalam sungai

2010/05/18
SEGAMBUT: Sepasukan 14 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Sentul termasuk Skuad Skuba Bomba dan Penyelamat, Jinjang bertungkus-lumus mencari lelaki berusia 31 tahun dikatakan dipukul dan dibuang di Sungai Segambut pagi, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan keluarga mangsa mengenai kejadian itu jam 9.15 pagi dan pasukannya tiba ke lokasi 10 minit kemudian.

Menurutnya, keluarga mangsa turut hadir di lokasi tetapi tidak memberi butiran penuh mengenai kejadian, namun pihaknya tetap melakukan operasi mencari selama lebih kurang dua jam dan gagal menjumpai lelaki dikatakan lemas itu.

“Selepas pasti tiada mangsa, kami mengarahkan keluarganya merujuk kepada polis berhubung kes itu dan menamatkan operasi mencari.

“Kes berkenaan kami serahkan kepada polis menjalankan siasatan lanjut sama ada benar berlaku kes lemas atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata pihaknya menerima laporan mengenai orang hilang pada jam 11 pagi, semalam.

Pengebom berani mati sasar polis Afghan



ANGGOTA-anggota polis meninjau kenderaan mereka yang musnah dalam serangan pengebom berani mati di depan kediaman Polis Sempadan Afghan di Kandahar, Afghanistan, semalam. - AP


KANDAHAR 17 Mei - Tiga pengebom berani mati melancarkan satu serangan serentak ke atas sebuah ibu pejabat polis di selatan Afghanistan malam tadi, merosakkan bangunan dan mencetuskan pertempuran bersenjata, demikian menurut pegawai hari ini.
Pengebom pertama meletupkan motosikal yang dinaikinya di luar kawasan bangunan polis di bandar Kandahar itu, memusnahkan tembok luarnya, kata seorang pegawai kanan polis, Mohammad Ashraf Gharzai.
Dua lagi penyerang berani mati berlari ke arah kawasan sama selepas letupan itu dan melepaskan tembakan ke arah polis.
"Selepas pertempuran selama 40 minit, kedua-dua pengebom berani mati ditembak dan bahan letupan yang diikat pada badan mereka meletup. Hanya empat orang pegawai polis cedera ringan," ujarnya lagi.
Kebanyakan tingkap bangunan polis itu pecah dan dipenuhi dengan bahagian badan pengebom berani mati, peluru dan darah.
Seorang jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi, mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut namun menyatakan bom motosikal itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan serangan itu dan kecederaan tiga anggota polis.
Militan yang diketuai Taliban kini meningkatkan serangan bom dan senjata api ke atas kerajaan dalam pemberontakan berusia sembilan tahun ke atas rejim pemerintah dan 130,000 anggota tentera asing di negara ini.
Serangan bom dan pembunuhan semakin meningkat di Kandahar, di mana tentera Amerika Syarikat menggandakan operasi untuk membanteras Taliban sebelum mula berundur dari Afghanistan tahun depan. - AFP

Remaja 15 tahun lari ikut ‘kekasih’ ke Kuala Lumpur



KUALA LUMPUR 17 Mei – “Jangan cari aku. Minta maaf ayah dan ibu”. Itulah nota yang ditinggalkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun kepada keluarganya di Kampung Sungai Gajah, Semporna, Sabah sehingga menyebabkan ibu bapanya tidak tidur lena sehingga kini.
Mana tidaknya, sejak nota itu ditemui pada 15 April lalu, anak gadis kesayangan mereka langsung tidak pulang ke rumah, malah khabar diterima mengatakan dia sudah jauh meninggalkan negeri Di Bawah Bayu itu untuk berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut kekasihnya, seorang pengkid.
Marnie Abdul Sarang atau mesra dipanggil ‘Mimie’ sanggup meninggalkan ibu bapa dan adik beradiknya semata-mata mahu hidup semati bersama kekasih yang merupakan rakan sekampung dikenali sebagai Norjaimah, 20, selepas berkenalan di sekolah.
Menurut bapanya, Abdul Sarang Banguan, 42, dia percaya Marnie dan Norjaimah kini berada di ibu negara kerana terdapat bukti mereka menaiki pesawat AirAsia dari Tawau, Sabah ke Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam pada hari anaknya menghilangkan diri.
“Mimie ada meninggalkan sekeping nota dalam biliknya memohon maaf daripada saya dan isteri serta meminta kami agar tidak mencarinya.
“Kami yang bimbang dengan keselamatan Mimie cuba mencarinya termasuk pergi ke Tawau yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Semporna tetapi gagal lalu membuat laporan mengenai kehilangannya di Balai Polis Semporna pada keesokan harinya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Sarang, seorang petani memberitahu, mereka sekeluarga terutama isterinya, Norhayati Hambong, 43, cukup bimbang dengan keselamatan anak kedua daripada tiga beradik itu memandangkan Mimie masih di bawah umur dan tidak pernah tinggal berjauhan dengan keluarga.
Menurutnya, Mimie yang sepatutnya belajar di tingkatan dua sudah berhenti sekolah kerana tidak lagi minat belajar sejak setahun lalu tetapi patuh kepada keluarga serta rajin membantu ibunya

Pesawat Afghanistan terhempas, 43 dikhuatiri maut



KABUL 17 Mei - Sebuah pesawat penumpang Afghanistan terhempas di kawasan pergunungan utara negara ini hari ini ketika membawa 43 orang penumpang termasuk tiga warga Britain dipercayai terkorban, demikian menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Pesawat Pamir Airways sedang dalam perjalanan dari wilayah Kunduz ke Kabul apabila nahas berlaku di kawasan pergunungan Hindu Kush. Punca nahas masih belum dipastikan.
Kerajaan berkata, kapal terbang itu terputus hubungan radio kira-kira 30 kilometer dari ibu negara. Ia menerbangkan 38 penumpang dan lima krew, jelas jurucakap kementerian, Zemarai Bashary.
"Saya mengesahkan pesawat Pamir Airways terhempas di pergunungan Salang dengan 38 penumpang dan lima krew.
"Terdapat enam orang asing terlibat namun ketika ini hanya tiga disahkan berasal dari Britain," katanya.
Kerajaan Afghanistan mengarahkan satu pasukan ke kawasan pergunungan itu untuk mencari bangkai pesawat dan mangsa terselamat, dengan meminta pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk turut membantu dalam usaha tersebut.
"Kami meminta Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) untuk menolong mencari tapak lokasi nahas menggunakan pesawat tanpa juruterbang mereka," kata Bashary.
Menurut laman webnya, Pamir Airways diasaskan pada 1995 dan merupakan syarikat penerbangan paling lama di Afghanistan dan memiliki dua pesawat Boeing 737 yang paling baru didaftarkan di negara ini.
Pamir Airways terbang enam hari dalam seminggu menghubungkan Kabul dan Kunduz. Selain laluan domestik, ia turut melakukan penerbangan ke Dubai, New Delhi, Jeddah dan Riyadh. - AFP

Britain dan Belanda tutup lapangan terbang




LONDON: Britain dan Belanda semalam menutup lapangan terbang utamanya berikutan gangguan debu gunung berapi yang merebak dari Iceland.
Sebelum ini, lapangan terbang Dublin di Ireland sudah pun ditutup.Semalam, Britain berkata ia telah menutup lapangan terbang Heathrow di London, yang merupakan lapangan terbang paling sibuk di Eropah.Turut ditutup ialah lapangan terbang Gatwick, yang terletak ke selatan ibu kota London.Lapangan terbang di Amsterdam dan Rotterdam di Belanda pula ditutup mulai 6 pagi waktu tempatan.Lain-lain lapangan terbang di Belanda bagaimanapun tidak terjejas.Lapangan terbang Schiphol di Amsterdam merupakan lapangan kargo ketiga terbesar dan kelima paling sibuk dari segi bilangan penumpang di Eropah.Bulan lalu, lebih 100,000 penerbangan terpaksa dibatalkan dalam tempoh hampir seminggu ekoran gangguan debu gunung berapi dari Iceland.Berjuta-juta penumpang terkandas di lapangan terbang sementara syarikat penerbangan dilaporkan kerugian sekitar AS$1.7 bilion ($2.3 bilion).Gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland masih mengeluarkan debu yang mencapai ketinggian sehingga 7,620 meter, menurut Pejabat Kaji Cuaca Britain.Perkhidmatan kaji cuaca Iceland berkata buat masa ini tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa aktiviti ledakan di gunung berapi itu akan berhenti.Debu daripada gunung berapi itu dijangka beredar dari ruang udara Britain hari ini.Debu berkenaan dikatakan boleh menyebabkan kerosakan pada enjin pesawat.Pada 1982, sebuah pesawat British Airways kehilangan kuasa enjin apabila ia melalui gumpalan debu di ruang udara Indonesia.Enjin pesawat itu bagaimanapun dapat dihidupkan semula.Sementara itu, syarikat perkhidmatan kereta api di Eropah berkata ia telah menyediakan perkhidmatan tambahan bagi menampung permintaan penumpang yang dijangka meningkat ekoran penutupan lapangan terbang semalam.Syarikat kereta api rentas Eropah, Eurostar, berkata ia telah menambah lagi 3,500 tempat duduk bagi laluan London dengan Paris.Syarikat kereta api Britain, Virgin Trains, pula telah menyediakan tambahan 7,000 tempat duduk semalam.Sebahagian tempat duduk itu ialah bagi laluan Birmingham ke Glasgow dan Edinburgh, London ke Glasgow. -- AP, Reuters.


Terperangkap dalam banjir








-
 APABILA kenderaan anda terperangkap dalam banjir, tidak banyak yang boleh anda lakukan kecuali berharap air akan segera surut dan menanti bantuan dihulurkan.Ini dialami Encik Justin McCoy apabila beliau terjerat dalam keadaan demikian.Beliau hanya dapat berdiri di bumbung bonet keretanya yang mula ditenggelami banjir di Penn Avenue, Oklahoma City, Amerika Syarikat, kelmarin, meninjau keadaan sementara menantikan bantuan. -- AP.

Wanita S'pura antara dua korban dalam nahas jalan di Kota Kinabalu



KOTA KINABALU: Dua orang, termasuk seorang warga Singapura, terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di simpang lampu isyarat Jalan Pantai di sini sekitar 3 petang kelmarin.
Penunggang motosikal, Encik Ismail Maulah, 37 tahun, maut di tempat kejadian manakala warga Singapura, Cik Catrina Teoh, 42 tahun, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE). Kedua-duanya cedera parah.Kemalangan itu, melibatkan sebuah kereta, sebuah teksi dan sebuah motosikal, berlaku tidak jauh dari Sutera Harbour Resort.Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Rowell Marong, berkata ia berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan lalu merempuh teksi dan motosikal tersebut, yang berhenti ketika lampu isyarat merah.Rempuhan kereta itu membuatkan teksi tersebut, yang membawa Cik Teoh dan seorang kawannya, juga warga Singapura, melambung dan melanggar motosikal di depan.Pemandu teksi itu dan rakan Cik Teoh, Cik Pauline Ng, 38 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.Menurut Superitenden Marong, polis telah menahan pemandu kereta berusia 30-an tahun itu bagi membantu siasatan bagi kesalahan menyebabkan kematian. -- Utusan Malaysia.


Sekolah ditutup akibat banjir kilat 

RAUB – Hujan lebat berserta dentuman guruh pada malam hari tidak semestinya memberi kesan bencana secara tiba-tiba tetapi penduduk tetap mengambil sikap berjaga-jaga berhadapan sebarang risiko termasuk banjir kilat. 

Kebimbangan penduduk akhirnya terjadi juga apabila paras air Sungai Semantan mula naik dan menenggelamkan beberapa jalan kampung yang menjadi perhubungan utama penduduk di situ, pagi semalam.

Tidak terkecuali, warga Sekolah Kebangsaan (SK) Semantan Ulu yang terpaksa berpindah keluar dari kawasan sekolah setelah program sambutan Hari Guru tergendala di peringkat permulaan. 

Guru Disiplin SK Semantan Ulu, Syed Abi Ghufran Syed Ahmad berkata, seramai 42 murid, 13 guru dan lapan kakitangan terpaksa meredah arus air untuk ke tempat lebih tinggi agar tidak terperangkap banjir kilat.

Menurutnya, sepanjang pagi cuaca hanya mendung sahaja tidak ada tanda-tanda hujan tetapi tidak mustahil berlaku hujan di sebelah hulu sungai. 

“Warga sekolah sedang bersiap sedia untuk menjayakan sambutan Hari Guru tetapi terbantut apabila penduduk datang memaklumkan banjir kilat berlaku dan kami perlu keluar segera dari kawasan sekolah. 

“Ibu bapa dan penjaga sudah bersedia menunggu di seberang jalan yang terputus akibat dinaiki air dan beberapa guru pula bertindak pantas mengalih kenderaan ke kawasan lebih tinggi agar tidak terperangkap banjir kilat,” katanya ketika ditemui di sini.

Mayat rentung dalam van





2010/05/18

KUALA LUMPUR: Polis menemui mayat dalam keadaan rentung hampir 90 peratus dalam van jenis Nissan Vanette yang terbakar di Jalan Kampung Orang Asli, Rawang Saujana, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata identiti mayat itu masih belum diketahui.
”Ketika ditemui, kepala dan tangan serta kaki mangsa hanya tinggal tulang akibat kebakaran itu,” katanya.
Polis sedang menyiasat punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah.

Khalid atur masuk AS$100: Peguam





2010/05/18

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, diberitahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengaturkan suntikan AS$100 juta dari Bank Pembangunan Islam (IDB) ke Bank Islam Labuan Limited pada 1998. 

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Abdul Khalid, dalam ucapan pembukaan kes saman antara anak guamnya dan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) berkata, kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April 2001, distruktur secara spesifik untuk kedua-dua pihak sebagai cara menyelamatkan bank itu daripada masalah kewangan.
Malik berkata, sebahagian jumlah AS$100 juta itu digunakan untuk membiayai pemilikan saham Abdul Khalid dalam Kumpulan Guthrie Berhad.
Katanya, Abdul Khalid juga memasuki perjanjian Murabaha dengan Bank Islam dengan pemahaman pembelian saham itu membolehkan kedua-dua pihak memperoleh keuntungan daripadanya. 

Malik berkata, konteks perjanjian BBA berubah mengikut keadaan dalam tempoh sembilan tahun kerana Bank Islam dan Abdul Khalid bukan sekadar pemberi pinjaman atau pelanggan, tetapi pihak yang turut bersama-sama menanggung risiko. 

Sementara itu saksi pertama perbicaraan kes berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif BIMB Holdings Sdn Bhd, Datuk Idris Mohd Tahir berkata syarikatnya berperanan sebagai syarikat ‘subworkers’ untuk mengendalikan transaksi urus niaga jual beli saham terbabit. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Rohana Yusuf bersambung 31 Mei.

Tiga maut nahas lepas hujan

Mangsa mahu ziarah saudara di hospital sebelum kereta terbabas, dirempuh

KOTA KINABALU: Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun terbunuh dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Viva, teksi dan pacuan empat roda Toyota Prado di Kilometer 45, Jalan Semporna-Tawau, kira-kira 600 kilometer dari sini, petang semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian selepas hujan kira-kira jam 1.50 petang itu dikenal pasti sebagai penumpang teksi, Jamajah@Jumayah Hajad, 51, dan dua bersaudara yang menaiki Perodua Viva, Samilah Rangahu, 42, serta Putri Batrisyha Awang Raif, 5.
Difahamkan, penumpang Perodua Viva berkenaan dalam perjalanan ke Hospital Tawau bagi melawat anggota keluarga mereka.

Lima lagi mangsa dilaporkan parah, termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang patah kaki dan dikejarkan ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan manakala dua lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Mohd Azmi Khan Abdullah, ketika mengesahkan kejadian berkata, Perodua Viva yang dinaiki enam penumpang itu, dilaporkan dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau manakala teksi terbabit dari arah bertentangan.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan yang berlaku di selekoh itu apabila pemandu Perodua Viva dipercayai terbabas ke lorong kanan lalu merempuh teksi yang dinaiki empat orang.
“Berikutan pertembungan itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke kanan jalan sebelum Toyota Prado dari arah Semporna merempuh Perodua Viva berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu Toyota Prado itu tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Polis tidak menolak kemungkinan jalan basah dan licin sebagai punca kemalangan, Mohd Azmi Khan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Keselamatan Jalan Raya.

Katanya, bedah siasat ke atas mayat selesai dilakukan petang semalam dan semua mayat sudah dituntut keluarga masing-masing sebelum urusan pengebumian dijalankan.

Nenek jual heroin ditahan



Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2010/05/18

 BAHAROM (kiri)  menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas pada sidang media  di IPD Kubang Pasu, semalam.
BAHAROM (kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Kubang Pasu, semalam.
Warga emas 65 tahun kena tangkap ketika sibuk layan dua pelanggan

CHANGLUN: Polis menahan seorang nenek berusia 65 tahun kerana disyaki terbabit menjual dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jenalik, dekat sini, pagi kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata dalam serbuan jam 11 pagi itu sepasukan anggotanya diketuai Cif Inspektor Sahran Termizi menahan wanita berkenaan ketika sibuk berurusan menjual dadah di rumah itu.
Katanya, turut ditahan, dua lelaki berusia 30-an disyaki pembeli dadah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui sebungkus plastik lutsinar mengandungi 30 paket dadah dipercayai heroin tersorok di bawah tikar getah
rumah dua tingkat terbabit.

“Harga pasaran dadah yang dirampas dianggarkan sekitar RM8,000,” katanya ketika ditemui di di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya percaya wanita warga emas terbabit menjadikan rumah berkenaan tempat penjualan dadah dan ketika serbuan dibuat, suaminya tiada di rumah.

“Kita turut merampas wang tunai RM2,500. Ketiga-tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk siasatan lanjut dan direman seminggu bermula semalam untuk membantu siasatan,” katanya.

Gadis Iban dibawa lari ke Lombok





2010/05/18

Stephenie Liana
Stephenie Liana
KUALA LUMPUR: Seorang lagi gadis bawah umur dilaporkan dilarikan ke Lombok, Indonesia dan berkahwin dengan teman lelakinya dari negara berkenaan. 

Stephenie Liana, 15, berketurunan Iban dilaporkan diculik dari rumah keluarganya di Mukah, Sarawak oleh teman lelakinya pada 27 Mac lalu sebelum dilarikan menggunakan bot ke Mataram, Lombok.
Bagaimanapun, selepas hampir dua bulan dilaporkan hilang, gadis itu berjaya diselamatkan Polis Indonesia hasil maklumat risikan Bukit Aman dan Polis Antarabangsa (Interpol).
Sumber memberitahu Berita Harian, mangsa yang sudah berkahwin dengan individu yang melarikannya ditahan kerana memasuki republik itu secara haram dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah. 

Gadis itu bersama seorang lelaki berusia 30 tahun, dipercayai suaminya ditahan di Balai Polis Mataram untuk disoal siasat sebelum dibenarkan pulang ke rumah lelaki terbabit. 

“Mereka kini dikenakan tahanan rumah di bawah pengawasan polis sehingga siasatan kes itu selesai. 

“Kedutaan Malaysia di Jakarta sudah dimaklumkan mengenai penemuan semula gadis itu, begitu juga keluarganya di Malaysia,” katanya. 
Menurut sumber, kejayaan itu susulan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Indonesia. 

Sebelum ini, pelakon remaja, Salsabila Yunan, 16, atau Bella dibawa pulang dari Lombok, Indonesia, juga selepas berlari ke negara itu bersama reman lelakinya. 

Bella dan Stephenie adalah antara kes gadis bawah umur tempatan yang dilarikan ke negara jiran itu atas faktor cinta. 

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedia membantu keluarga mangsa membawa pulang gadis berkenaan ke Malaysia. 

“Kita sudah berhubung dengan agensi berkaitan, khususnya Wisma Putra bagi menyelaraskan misi ini,” katanya. 

"Jika semuanya berjalan lancar, termasuk rundingan yang dijalankan bersama pihak di Indonesia, kita akan berlepas ke Mataram secepat mungkin,” katanya.

Pengedar telur mati ditembak


Pengedar telur mati ditembak
IPOH – Seorang pengedar telur mati ditembak ketika sedang minum di sebuah kedai kopi di hadapan kaki lima, Taman Syabas, Bercham di sini, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa dikenali sebagai Choong Gee Kong, 52, berasal dari Taman Ipoh Timur ditembak di dahi kira-kira pada jam 10.45 malam.

“Suspek awal dipercayai seorang lelaki India menaiki motosikal dan memakai topi keledar penuh serta berjaket melepaskan tembakan sebelum memecut menuju arah Bercham,” katanya.

Samun kerana mahu beli susu anak



JAWI – Devi tidak pernah terniat mahu bergelar penjenayah, apa lagi banduan. Namun kerana tidak tahan melihat anaknya menangis kelaparan pada suatu hari dalam tahun 2006, dia kini dipenjara.

"Saya menyesal, sangat menyesal," katanya.

Mengimbas peristiwa hitam itu, Devi berkata, kehidupannya sekeluarga ketika itu amat susah.

"Anak saya berumur setahun. Kami selalu tidak cukup makan. Suatu hari, anak saya menangis kerana lapar. Saya sendiri kalau lapar, masih boleh tahan tetapi saya tidak tahan melihat anak saya menangis kerana lapar," katanya.

Walaupun cuba bersabar, kata Devi, dia akhirnya lupa diri mendengar tangisan anaknya yang tidak henti-henti.

"Saya keluar dari rumah dan melihat seorang wanita memakai gelang emas. Saya nekad mahu samun wanita itu. Saya perlukan wang untuk beli susu anak saya yang kelaparan. Saya takut anak saya mati," katanya.

Ketika kejadian, suami Devi tidak ada di rumah.

Atas sebab tertentu, Devi tidak dapat menceritakan lebih jelas bagaimana dia menyamun mangsanya.

Berikutan perlakuan jenayah yang dilakukannya, Devi kini terpaksa meringkuk di dalam penjara sejak ditahan pada 2006.

Bekalan air bakal terjejas



KUALA LUMPUR - Kerajaan Selangor masih tidak meluluskan pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor dan sekiranya ditangguhkan ia bakal mengakibatkan 1.1 juta pengguna di negeri itu serta Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami kekurangan bekalan air menjelang tahun 2012, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin. 

“Apa yang lebih penting adalah memastikan projek siap mengikut jadual, tetapi sehingga kini Kerajaan Negeri masih mahu meminta penangguhan sejak setahun yang lepas. Kita masih ada baki 15 lot tanah daripada 81 lot tanah yang belum diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di Jalan Hulu Langat dekat sini semalam. 

Projek yang bernilai RM8.65 bilion itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan bekalan air di tiga kawasan itu sehingga tahun 2025 dan ia dijangka siap pertengahan 2014. 

Chin berkata pihaknya akan sentiasa berunding dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan perkara berbangkit bagi membolehkan setiap pihak yang terbabit mendapat keuntungan secara bersama. 

Katanya projek itu merupakan langkah terbaik bagi membekalkan 1,890 juta liter air sehari ke tiga kawasan berkenaan melalui terowong sepanjang 44.6 kilometer dengan garis pusat 5.2m. 

“Ini projek serius, kita mahu kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Kita mahu tebang sebanyak 278 pokok untuk membina paip bagi menyalurkan air dan pokok yang ditebang itu akan ditanam semula mengikut jenisnya. 

“Tanpa kelulusan dari pihak Kerajaan Negeri, kita juga tidak dapat menjalankan kajian terperinci berkenaan projek itu malahan akan dianggap menceroboh, dan jika terowong penyaluran air mentah yang sudah siap dibina kelak tapi loji tidak dapat dibina, projek ini tidak dapat dijalankan,” kata Chin. 

Sebahagian besar pembiayaan projek itu adalah melalui pinjaman Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) dan selebihnya dibiayai geran Kerajaan Persekutuan. 

Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 31 Mac 2005, Jica akan menanggung sebanyak 75 peratus daripada kos kerja pembinaan manakala baki 25 peratus lagi ditanggung kerajaan. Projek itu dilaksanakan oleh konsortium empat syarikat terdiri IJM Corp Bhd, UEM Builders Bhd dan dua syarikat Jepun iaitu Shimizu Corporation dan Nishimatsu Construction Co Ltd. 

Pada 22 Nov 2007, Kerajaan Selangor, yang ketika itu diperintah oleh Barisan Nasional, dan kerajaan Pahang, menandatangani perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah pada harga 10 sen bagi setiap meter padu. 

Chin berkata sekiranya dihentikan atau ditangguhkan, implikasinya bukan sahaja terhadap defisit air malah keyakinan pelabur untuk melabur akan memberi kesan kepada kerancakan pembangunan ekonomi di Lembah Klang. - Bernama.

Pesawat terbabas di laman rumah




BEBERAPA orang melihat sebuah pesawat peluncur yang terbabas di laman rumah Mike Baber di Bicester, Oxford, Khamis lalu.


BICESTER - Seorang juruterbang di Britain bernasib baik kerana dia tidak mengalami sebarang kecederaan setelah pesawat peluncur yang dipandunya terhempas di halaman sebuah rumah di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan Mike Baber, 72, dan isterinya, Eileen, 65, sedang menonton televisyen pada petang Khamis lepas apabila mereka terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah mereka baru-baru ini.
"Saya kemudian keluar dan tergamam apabila melihat sebuah pesawat peluncur terhempas di halaman rumah," kata Baber.
"Nasib baik nahas itu tidak berlaku di jalan raya berhampiran yang sibuk," tambahnya.
Pesawat juruterbang itu terbabas semasa hendak mendarat di sebuah lapangan terbang kecil.
Dia kemudian keluar dari pesawatnya dan memohon maaf kerana merosakkan laman rumah warga emas itu. - Agensi

Wanita muda jadi dalang




KIRI : TRIESMAN, MELLISA


LONDON - Seorang wanita, Melissa Jacobs yang berumur 37 tahun menjadi punca peletakan jawatan Lord David Triesman sebagai Pengerusi Persatuan Bola Sepak England kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Triesman turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa yang ditubuhkan untuk bertanding bagi menjadikan England tuan rumah Piala Dunia pada 2018.
Beliau meletakkan jawatan selepas wanita itu mendedahkan hubungan asmara mereka dan kenyataannya yang dibuat sebagai Pengerusi Persatuan Bola Sepak England.
Melissa yang merupakan graduan ekonomi dan biologi berkenalan dengan Triesman yang berumur 66 tahun dua minggu lalu di sebuah restoran di sini.
Namun, wanita itu merakamkan secara rahsia perbualan Pengerusi Persatuan Bola Sepak England itu yang menuduh Sepanyol dan Rusia merancang untuk memberi rasuah kepada pengadil pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia di Afrika Selatan pada bulan depan.
Triesman berkata: "Sepanyol sedang mendapatkan pertolongan dari Rusia untuk membantu memberi rasuah kepada pengadil pada Kejohanan Piala Dunia."
Tindakan wanita itu yang menikamnya dari belakang dan mendedahkan perbualan rahsia itu kepada akhbar Mail on Sundaymenyebabkan Triesman meletakkan jawatan.
"Satu perbualan peribadi dengan seseorang (Melissa) yang saya anggap sebagai seorang rakan telah dirakamkan tanpa pengetahuan saya dan dihantar kepada sebuah akhbar," kata Triesman dalam satu kenyataan kelmarin. - Agensi

Wanita Islam pertama menang Ratu Cantik USA




RIMA memberikan senyuman semasa dia dimahkotakan sebagai pemenang Ratu Cantik USA 2010 di Las Vegas semalam.


LAS VEGAS - Seorang gadis berketurunan Arab Lebanon, Rima Fakih yang berusia 24 tahun menjadi wanita Islam pertama memenangi gelaran Ratu Cantik USA kelmarin.
Pertandingan itu yang disertai oleh 51 peserta berlangsung di Planet Hollywood Resort & Casino, Las Vegas.
Berasal dari Dearborn, Michigan, Rima berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bersama ibu dan bapanya sewaktu dia masih bayi. Rima kemudiannya dibesarkan di New York dan belajar di sebuah sekolah Katolik sebelum berpindah ke Michigan pada tahun 2003.
Pada pertandingan itu, dia mewakili negeri Michigan.
Dia hampir terjatuh semasa memperagakan gaun malam. Para peserta perlu memperagakan gaun malam, memakai coli dan seluar dalam pada acara pakaian renang selain perlu menjawab beberapa soalan tertentu pada sesi temu ramah.
Semasa ditanya sama ada pil perancang kelahiran harus dibayar oleh insurans kesihatan, Rima menyatakan ia patut dilakukan kerana kos perancang itu melibatkan kos mahal. Gadis cantik itu akan mewakili AS dalam pertandingan Ratu Cantik Universe 2010.
Rima juga memperoleh hadiah tinggal percuma di sebuah pangsapuri di New York, diberikan wang perbelanjaan harian, gaji yang tidak didedahkan jumlahnya dan pelbagai perkhidmatan kecantikan serta kesihatan profesional.
Semasa ditanya bagaimana perasaannya selepas memenangi mahkota kemenangan, Rima berkata: "Tanyalah saya selepas saya memakan piza."
Rima memberitahu penganjur pertandingan bahawa keluarganya mengamalkan kepercayaan Islam dan Kristian.
Panel juri terdiri daripada lapan orang termasuk bintang bola keranjang, Carmelo Anthony dan pemilik sebuah hotel, Phil Ruffin. - Agensi