Search This Blog

Monday, May 17, 2010

Pesawat penumpang terhempas dekat Kabul




2010/05/17

KABUL: Sebuah pesawat penumpang terhempas berhampiran Salang Pass di utara ibu negara Afhganistan hari ini, kata ketua polis di lapangan terbang Kabul. 

Mohammad Asif Jabar Khil berkata, pesawat berkenaan membawa kira-kira 40 penumpang apabila ia terhempas kira-kira 100 kilometer dari Kabul.
Ketua polis Kunduz, Abdul Razaq Yabyaqoubi, berkata pesawat berkenaan berlepas dari wilayah utara itu pada 8.30 pagi waktu tempatan. - AP

Pasangan pelajar tanam bayi di tebing sungai





2010/05/17

MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya yang juga pelajar belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.
"Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada jam 4 pagi di Taman Melaka Baru.

"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira 10 malam Rabu lalu.

Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.
Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.

Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. - Bernama

Kanak-kanak 5 tahun antara terbunuh dalam kemalangan di Sabah




2010/05/17

KOTA KINABALU: Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut manakala enam parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer 45, jalan Semporna-Tawau, jam 2 petang tadi.

Perbicaraan kes Khalid Ibrahim saman Bank Islam bermula





2010/05/17

KUALA LUMPUR: Hari pertama perbicaraan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang menyaman Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), diberitahu bahawa perjanjian kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) tidak mewakili perjanjian antara pihak-pihak berkenaan secara keseluruhan. 

Dalam pernyataan pembukaan yang dikemukakan peguam Menteri Besar itu, Malik Imtiaz Sarwar kepada mahkamah, Abdul Khalid menyatakan bahawa kemudahan BBA berada dalam konteks yang dibentuk dalam tempoh sembilan tahun, di mana hubungan bank dan Abdul Malik adalah lebih berbentuk pengusaha bersama dan bukannya sekadar hubungan "bank" dan "pelanggan".
Pernyataan itu menyebut bahawa kemudahan BBA, bertarikh 30 April 2001, itu distruktur khusus bagi pihak berkenaan sebagai mekanisme untuk membolehkan bank menyelamatkan diri daripada kerugian kewangan.
Ia juga menyebut bahawa pada 1998, Abdul Khalid mengatur suntikan kewangan AS$100 juta (RM319.299 juta) oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) ke dalam Bank Islam Labuan Ltd (BILL) bagi membiayai pemerolehan saham-saham Kumpulan Guthrie Bhd (KGB). 

Pernyataan itu menyatakan pemerolehan saham-saham itu hanya memerlukan sebahagian daripada AS$100 juta (RM319.299 juta). 

Abdul Khalid memeterai perjanjian Murabaha bersama bank itu dengan pemahaman bahawa penjualan saham-saham KGB akan membolehkan kedua-dua pihak untuk meraih keuntungan besar. 

Ia menyatakan bahawa perjanjian itu lebih penting dan tidak seperti dua perjanjian Murabaha pada 1998, kemudahan BBA tidak mengandungi klausa keseluruhan pinjaman. 
"Ini memberi kepercayaan kepada dakwaan Tan Sri Abdul Khalid bahawa wujud kontrak kolateral," menurut pernyataan itu. 

Ia menyebut bahawa bank itu mengendalikan kedudukan sewajarnya sehingga 2005 apabila notis tambahan yang mencetuskan dakwaan Bank Islam itu dikeluarkan dan ketika inilah Abdul Khalid tidak membuat sebarang bayaran selain daripada pemindahan saham-saham dan dividen-dividen enam bulan sekali, menerusi baki kumpulan saham-saham. 

"Bank Islam menguruskan kumpulan saham-saham itu. 

“Tan Sri (Abdul) Khalid tiada pada waktu-waktu itu dinyatakan sebagai gagal membayar hutang. Ini ditunjukkan daripada bukti yang mengarah kepada wujudnya satu hubungan dan kontrak kolateral," menurut pernyataan itu. 

Abdul Khalid, yang hadir di mahkamah pada perbicaraan sebelah pagi, mengemukakan saman terhadap bank itu pada 18 Mei, 2007, dan mendakwa bahawa bank telah menjual saham-saham Guthrie Bhd beliau secara salah. 

Beliau menuntut satu deklarasi bahawa wujud kontrak kolateral antara beliau dan bank berkaitan kemudahan pinjaman BBA. 

Abdul Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari tahun 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB, mendakwa bahawa bank berkenaan telah menjual sahamnya dalam Guthrie. 

BIMB memfailkan satu saman balas untuk mendapatkan jumlah RM66.67 juta pada 24 Mei 2007, mendakwa bahawa perjanjian BBA telah dimungkiri berikutan dengan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman berkenaan. 

Saksi pertama plaintif, Datuk Idris Md Tahir, yang juga ketua pegawai eksekutif BIMB Securities Sdn Bhd (BIMBSec), telah disapina peguam plaintif hari ini untuk mengemukakan dokumen-dokumen berhubung pergerakan saham-saham KGB, yang diperoleh Abdul Khalid sebagai opsyen oleh Permodalan Nasional Berhad bagi membeli sejumlah peratusan saham-saham KGB. 

Ketika pemeriksaan utama oleh seorang lagi peguam Abdul Khalid, M Thomas Philip, Idris berkata, terdapat enam akaun urus niaga dan tujuh akaun sistem depositori pusat (CDS) yang digunakan bagi fasiliti berkenaan sebelum kemudahan pinjaman BBA diwujudkan. 

Beliau berkata, terdapat pergerakan saham-saham antara pelbagai akaun-akaun (berurusniaga dan akaun-akaun CDS), dan sebahagian daripada akaun-akaun itu dipegang pihak ketiga yang dikendalikan oleh pegawai bank berkenaan. 

Thomas: Anda kata ada enam akaun trading (berurusniaga) dan tujuh akaun CDS, apa kaitan akaun ini? 

Idris: Semua akaun ini berurus niaga saham kumpulan Guthrie sahaja dan kesemua akaun ini mengendalikan arahan oleh Bank Islam Labuan Ltd (BILL). 

Idris berkata, tujuan akaun tersebut dibuka adalah bagi pembelian dan penjualan saham di pasaran terbuka. 

Beliau berkata, pada Julai 2006, bank itu diarahkan oleh BIMBsec untuk memindahkan kesemua saham-saham KGB ke penama Cimsec Sdn Bhd, meskipun pada masa itu BIMBsec belum ditamatkan sebagai penjaga. 

Idris berkata, pada Julai 2006, bank itu menjual 48 juta saham dalam KGB kepada Felda. 
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusof bersambung pada 31 Mei. - Bernama

Lori bawa barangan elektrik hilang di Sungai Buloh ditemui di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL: Sebuah lori membawa muatan barangan elektrik yang dilaporkan hilang di Sungai Buloh, Selangor pada Rabu lalu ditemui semula di kawasan Taman Jawi Jaya di sini dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu kira-kira jam 5 pagi menjumpai lori berkenaan yang membawa muatan barangan elektrik bernilai kira-kira RM120,000, ditinggalkan di tepi jalan.
Beliau berkata, siasatan mendapati lori yang sepatutnya menghantar muatan itu ke Johor Bahru, Johor, dilaporkan hilang oleh pemandu lori berkenaan ketika ditinggalkan berhampiran dengan rumahnya di Sungai Buloh.

"Siasatan mendapati sebahagian barangan elektrik mewah seperti pendingin hawa serta perkakas dapur hilang, dipercayai sudah dijual," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan ada antara barangan elektrik yang hilang itu yang dijual pada harga murah di sekitar Seberang Prai Selatan dan beliau meminta orang ramai yang membeli barangan berkenaan supaya menyerah semula barang itu kepada polis bagi membantu siasatan, dan memiliki barang curi adalah satu kesalahan jenayah.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Shafien berkata, pada Rabu lalu polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan menipu orang ramai.

Beliau berkata, lelaki berumur 33 dan 36 tahun itu ditahan pada kira-kira 6.40 petang selepas seorang pengguna mencurigai kedatangan mereka ke rumahnya.

"Dalam kejadian Rabu lepas dua lelaki yang mengaku pekerja TNB itu datang ke rumah seorang lelaki berumur 66 tahun di Sungai Acheh di sini dengan mendakwa hendak membuat pemeriksaan meter," katanya.

Katanya, selepas pemeriksaan mereka menuduh kononnya lelaki itu mencuri bekalan eletrik kerana meter eletriknya dikatakan tidak berfungsi, dan mereka kemudian menuntut RM10,000 jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian mulai merasa curiga dan menghubungi polis.

Shafien berkata, berdasarkan siasatan awal dua lelaki itu dipercayai mengaut keuntungan dengan menjalankan kegiatan penipuan itu di sekitar Pulau Pinang sejak sebulan lalu.

"Kedua-dua mereka kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis meminta orang ramai yang pernah ditipu dua lelaki berkenaan supaya membuat laporan polis," katanya.

-Bernama

Penjual air di penjara dua minggu dan denda RM10,000

KUALA LUMPUR: Seorang penjual air dikenakan hukuman penjara dua minggu dan denda RM10,000 atau penjara dua minggu lagi, jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan menggunakan dan memiliki wang palsu ketika membeli dua biji kerongsang di sebuah bazar Ramadan di sini, dua tahun lalu.
Hakim S M Komathy Suppiah mengenakan hukuman itu terhadap Naemah Ramli, 51, dari Sungai Besi selepas mengambil kira beberapa faktor dan tertuduh mengakui kesalahannya.
Naemah tidak membayar denda itu. Dia didakwa menggunakan wang kertas RM50 palsu sebagai tulen untuk membeli dua biji kerongsang daripada Norazmi Misti, 34, di gerai No. 107, Bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman pada 10.15 malam, 24 September 2008.

Naemah didakwa mengikut Seksyen 489(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Dia turut didakwa memiliki 62 keping wang kertas RM50 palsu dengan niat untuk menggunakan wang itu sebagai tulen, di Balai Polis Masjid India pada 10.30 malam, tarikh yang sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili anak guamnya memohon mahkamah memberikan pertimbangan wajar sebelum mengenakan hukuman, memandangkan tertuduh hanya menjual air di sekolah dan perlu menyara suaminya yang tidak bekerja serta dua anaknya.

Tertuduh menggunakan wang palsu kerana terdesak berikuta ketika itu musim perayaan dan dia melakukan jenayah itu kerana ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri, katanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.-Bernama

3 sahabat dipenjara 7 tahun 6 bulan sebabkan kematian seorang lelaki

SHAH ALAM: Tiga sahabat, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang lelaki berpunca daripada tindakan mangsa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibu salah seorang tertuduh, empat tahun lalu.
Hakim Dr Badariah Sahamid menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh, SKumaran, 27; N Viknesh, 25 dan G Muniandy, 25, mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan Kumaran, seorang mekanik menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 24 Mac 2007, manakala Viknesh, pembantu kedai alat ganti dan Muniandy, pekerja kilang, diperintah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 26 Mac 2007.

Mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian seorang penganggur S Vijaya Kumar, 28, di Jalan Tangki, Kampung Berembang, Pelabuhan Klang, Klang, kira-kira jam 12.30 pagi pada 28 Januari 2006. Pertuduhan terhadap mereka sebelum ini dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan bunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka yang pada mulanya mengaku tidak bersalah bagaimanapun menukar pengakuan selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Terdahulu, peguam K Viknesvaran yang mewakili Kumaran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya dengan alasan kejadian berlaku disebabkan provokasi yang dilakukan oleh mangsa terhadap Kumaran.

"Mangsa telah memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibu Kumaran menyebabkan anak guam saya marah sehingga berlaku pertengkaran antara mereka yang membawa kepada pergaduhan sehingga menyebabkan kematian mangsa," katanya.

Peguam K Renuka yang mewakili Viknesh juga memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa semasa kejadian anak guamnya dalam keadaan mabuk dan tanpa sedar telah memukul mangsa sehingga mangsa jatuh.

Peguam K A Ramu yang mewakili Muniandy turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya dengan alasan Muniandy menyesal dan insaf atas perbuatannya.

Bagaimanapun, Zainal Azwar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan berbentuk

Seh Daeng antara tujuh terbunuh di Bangkok



17/05/2010 2:30pm

BANGKOK 17 Mei - Tujuh orang lagi, termasuk perancang strategi tentera Mej-Jen Khattiya Sawasdipol terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan anti kerajaan, yang masuk hari kelima hari ini, menjadikan jumlah kematian setakat ini ialah 36 orang.
Mej-Jen Khattiya yang juga dikenali sebagai Seh Daeng mati pada pukul 9.20 pagi di Vajira Hospital, di sini, kata pengarah hospital itu Chaiwan Charoenchokthawwee.
Jeneral dua bintang itu yang digantung daripada pasukan tentera dan bersekutu dengan penunjuk perasaan anti kerajaan baju merah ditembak di kepala oleh penembak hendap ketika ditemubual pemberita malam Khamis lepas di kawasan mereka berhimpun di pusat bandar di sini.
Kumpulan baju merah menyalahkan kerajaan atas tembakan itu tetapi pihak tentera dan polis menafikan penembak hendap itu adalah orang mereka manakala kerajaan menafikan mengeluarkan arahan itu.
Kematiannya dijangka menjadikan situasi di ibu negara itu bertambah runcing. - Bernama

Lapan lelaki Afghanistan cuba menyeludup keluar Malaysia ditahan



17/05/2010 4:34pm

PELABUHAN KLANG 17 Mei - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang menahan lapan lelaki warga Afghanistan ketika cuba menyeludup keluar melalui perairan negara di Pintu Gedung di sini kira-kira pukul 8.45 malam tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata kesemua lelaki itu dipercayai mahu menyeludup masuk ke Australia selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lima hari lepas.
Mereka yang berusia antara 20 dan 45 tahun itu dipercayai menggunakan sindiket antarabangsa yang didalangi seorang lelaki berstatus penduduk tetap dan telah membayar kira-kira RM3,199 seorang untuk ke Australia melalui negara ini.
"Kita percaya sindiket itu akan membawa kesemua lelaki terbabit ke Indonesia sebagai transit seterusnya sebelum menyeludup masuk mereka ke Australia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Peniaga mati ditembak ketika sedang minum di restoran



17/05/2010 5:26pm

IPOH 17 Mei – Seorang peniaga maut selepas ditembak oleh seorang lelaki ketika mangsa sedang minum di sebuah restoran di Taman Syabas di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, mangsa, Choong Gee Kong, 52, mati di tempat kejadian akibat tembakan yang mengenai kepalanya. – Utusan.

UFO didakwa culik kapal angkasa Nasa



BERLIN - Seorang pakar UFO mendakwa makhluk asing menculik sebuah kapal angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan menggunakannya untuk menghubungi bumi. 

Voyager 2, yang berada di angkasa lepas sejak 1977, kini menghantar mesej pelik yang mengelirukan saintis. 

Ahli akademik Jerman, Hartwig Hausdorf percaya masalah itu berlaku kerana kapal angkasa tersebut kini dikuasai makhluk asing. 

Sejak dilancarkan, Voyager 2 menghantar pelbagai data ke bumi untuk dikaji oleh saintis. 

Namun, pada 22 April lalu, aliran maklumat yang dihantarnya berubah secara tiba-tiba. 

Nasa mendakwa insiden itu disebabkan masalah perisian sistem data penerbangan tetapi Hausdorf percaya ia berpunca daripada makhluk asing.

Abu Bakar nafi terbabit gerakan militan di Aceh



JAKARTA - Ulama yang dituduh menjadi pemimpin kerohanian Jemaah Islamiyah (JI), Abu Bakar Bashir menafikan hubungan dengan suspek militan yang ditangkap dalam serbuan bulan ini. 

Laporan media tempatan mendakwa beberapa suspek yang ditangkap berhubung penemuan kem latihan militan di Aceh ada kaitan dengan kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (Jat) yang diasaskan Abu Bakar pada 2008. 

Tetapi Abu Bakar memberitahu akhbar Indopos bahawa beliau tidak ada kaitan dengan suspek berkenaan. 

"Saya diperangkap. Saya tidak tahu dan tidak terbabit dengan sebarang gerakan atau latihan di Aceh," kata Abu Bakar. 

"Jat tidak sama dengan kumpulan pengganas di Aceh," katanya. 

Polis membayangkan bahawa suspek yang ditangkap mungkin ada kaitan dengan JI. 

Penemuan kem latihan militan di Aceh pada Februari lalu mencetuskan gerakan besar-besaran antipengganas di seluruh negara.

Makmal proses dadah dibongkar, pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta dirampas



PULAU PINANG - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Timur Laut membongkar sebuah makmal memproses pelbagai jenis dadah dan merampas dadah terbabit bernilai RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Tokong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kon Meng berkata, serbuan itu dilakukan pada pukul 10 malam semalam, hasil daripada makluman awam dan intipan anggotanya tiga hari lepas. 

"Ekoran daripada intipan itu, polis menyerbu rumah tersebut dan berjaya menahan seorang wanita warganegara China, 28, ketika sedang membuka pagar rumahnya itu," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya ialah heroin seberat lima kilogram (kg), ganja seberat 0.3 kg, syabu seberat 0.3 kg, ketamin seberat 0.4 kg, pil kuda sebanyak 1,755 bungkus, pil ekstasi sebanyak 20bungkus, dan serbuk ekstasi yang belum dibungkus seberat 15 kg," katanya.

Gan berkata, pelbagai peralatan memproses dadah antaranya tong gas, ketuhar, pescucor, lima botol asid, kafein, bahan pewarna, lampu serta alat timbang turut dirampas.

Maut digilis



PELABUHAN KLANG - Hasrat seorang suami untuk makan malam bersama isterinya selepas selesai menjalankan tugas tidak kesampaian apabila maut selepas kepalanya digilis sebuah kenderaan berat di Jalan Pelabuhan Barat, di sini semalam. 

Ibu mertua mangsa, Sahdiah Mahmud berkata, menantu sulung yang bekerja di terminal Star Cruise bersungguh-sungguh untuk pulang makan bersama keluarga selepas memaklumkan isterinya melalui telefon. 

“Bahkan pagi tadi, saya agak hairan apabila dia langsung tidak memandang wajah saya apatah lagi memaklumkan kepada saya atau suami sebelum beredar untuk ke tempat kerja. 

“Kebiasaannya dia akan memaklumkan kepada kami dan sekarang baru saya sedar, tingkah lakunya yang pelik menjadi petanda terakhir dia akan meninggalkan kami semua,” katanya. 

Katanya, menantu yang berasal dari Felda Tonking, Jengka, Pahang begitu rapat dengannya dan suami hingga keluarga mereka terlalu sukar menerima kematiannya. 

“Kami tambah sedih apabila dia tidak sempat menimang cahaya mata pertama mereka setelah beberapa tahun berkahwin. 

“Isterinya yang sedang hamil 3 bulan akan tetap membesarkan anak mereka walaupun dia telah pergi menghadap Ilahi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Manakala isteri mangsa gagal ditemuramah kerana masih trauma dengan kejadian itu. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa, Mohd Zaki Anor, 30, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat parah di kepala hingga mengeluarkan banyak darah. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Teluk Nipah, Pulau Indah. 

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan berat dari arah belakang menyebabkan dia terjatuh ke Jalan raya. 

“Sejurus terjatuh, kepala mangsa digilis tayar kenderaan itu hingga mangsa yang masih tersangkut pada motosikal diseret kira-kira 3 meter berhampiran sebuah jambatan menghala ke Pelabuhan Barat,” katanya. 

Menurutnya, mangsa yang parah terus meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

“Sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke Balai Trafik Daerah Klang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zaini di talian 03-33722222 untuk membantu siasatan,” katanya. 

Sementara itu, di lokasi yang sama, tindakan orang ramai yang berhenti di bahu jalan bagi melihat kejadian itu mengundang padah apabila dua penunggang motosikal parah. 

Difahamkan, lelaki yang sedang menunggang motosikal itu secara tiba-tiba leka menyaksikan kejadian itu tanpa disedari motosikal yang dipandunya bergerak laju lalu melanggar sebuah motosikal di depannya yang juga berhenti untuk menyaksikan kejadian sama. 

Akibat parah, kedua-duanya dibawa ke HTAR oleh ambulans yang tiba di tempat kejadian sejurus selepas itu.

Peralatan rumah rosak teruk



CHEROH – Hujan lebat secara tiba-tiba mencetuskan suasana panik beberapa penduduk Kampung Baru Cheroh dan penghuni rumah murah di sini apabila air dari kawasan perparitan berhampiran melimpah sehingga mengakibatkan banjir kilat. 

Kira-kira 15 keluarga terlibat masing-masing tujuh daripada Kampung Baru Cheroh dan lapan penghuni rumah murah di situ kerugian apabila beberapa peralatan rumah rosak teruk. 

Seorang penduduk, Choo Ah Kow, 62, berkata, air mula melimpah dalam kawasan rumahnya pada lebih kurang jam 8 malam dan berlanjutan sehingga awal pagi. 

Menurutnya, suasana panik berterusan ketika menyedari beberapa peralatan rumahnya terutama barangan elektrik rosak teruk. 

“Keadaan disedari ketika terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah dan saya lihat pagar sudah runtuh akibat tujahan air deras. 

“Saya tidak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah saya dan mengalami kerugian kira-kira RM15,000 termasuk set kerusi urut elektrik,” katanya ketika ditemui di sini. 



Sudah jatuh ditimpa tangga

Isteri Ah Kow, Kong Swee Leng, 50-an, berkata, dia baru sahaja selesai pembedahan akibat kanser dan masih tidak sihat tetapi bertambah terkejut dengan bencana melanda pada hari itu. 

Menurutnya, nasib malang bertimpa apabila Ah Kow turut dikejarkan ke hospital akibat tekanan darah tinggi. 

“Pada mulanya keadaan seperti biasa sahaja sehingga banjir kilat dan kami berdua panik tidak tahu berbuat apa-apa. 

“Apabila keadaan bertambah buruk dan air berlumpur memenuhi rumah, kami tidak dapat menyelamatkan peralatan terutama barangan elektrik,” katanya. 

Swee Leng berkata, dia dalam keadaan tidak sihat terpaksa membawa Ah Kow ke hospital dua kali pada jam 2 pagi dan 7 pagi. 

Menurutnya, bencana itu antara terburuk pernah berlaku di kawasan itu sehingga mengakibatkan kerugian yang banyak. 

“Kami berharap pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian untuk mengatasi permasalahan ini secepat mungkin kerana kita tidak tahu keadaan cuaca pada dan mungkin lebih buruk lagi sekiranya tidak diatasi segera,” katanya. 



Bantuan kilat

Nasib malang menimpa sebahagian penduduk termasuk enam keluarga India ini mendapat perhatian pemimpin setempat untuk mengusahakan bantuan kilat. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Cheroh, Yong Wu Chong berkata, pemimpin masyarakat hadir meninjau keadaan mangsa sejurus menerima laporan pada sebelah pagi. 

Menurutnya, kejadian banjir kilat itu berpunca daripada sistem perparitan yang kecil dan dipenuhi tanah daripada lereng bukit berhampiran mengakibatkannya tersumbat ketika hujan lebat. 

“Kita bersimpati dengan nasib 15 keluarga terlibat dan berharap mereka bersabar dengan bencana menimpa,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram berkata, perkara ini akan dipanjangkan kepada agensi berkaitan supaya dapat menjalankan pantauan dan penyediaan laporan. 

Menurutnya, kerjasama Majlis Daerah Raub (MDR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Alam Flora amat diharapkan supaya penduduk tidak lagi dibelenggu permasalahan seperti bencana banjir kilat ini. 

“Keadaan cuaca yang tidak menentu hari ini boleh mengakibatkan pelbagai kemungkinan bencana tidak hanya dalam kawasan ini sahaja. 

“Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah pantauan pihak berkaitan di samping penjagaan persekitaran daripada penduduk sendiri,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa terlibat. 

Turut hadir wakil parti Gerakan, MCA dan MIC yang cuba mendapatkan penyelesaian termasuk pemberian bantuan berpatutan kepada mangsa. 

Bancian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dilakukan untuk rekod bagi menghulurkan bantuan kilat untuk meringankan beban mangsa.

Hina, memalukan



KUALA NERUS – Tindakan pihak tertentu mencuri harta benda masjid boleh dianggap sebagai memalukan dan terlalu hina kerana mereka sanggup mengetepikan kesucian institusi berkenaan hanya semata-mata terdesak untuk mendapatkan wang. 

Bagaimanapun, itulah hakikat yang berlaku dalam masyarakat hari ini, di mana masjid bukan lagi dianggap selamat, tetapi seperti ‘lubuk’ bagi pencuri yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sumber pendapatan ‘haram’. 

Perkara itu diakui Setiausaha Masjid Al-Abrar, Bukit Tok Beng, di sini, Salleh Che Long, apabila harta masjid seperti penutup longkang, pili paip besi dan beberapa barangan yang boleh dijual sentiasa menjadi sasaran pencuri. 

Katanya, sudah banyak kali kecurian harta masjid berlaku di kawasan ini, menyebabkan kepala paip besi terpaksa diganti dengan barangan getah. 

“Kecurian penutup longkang dan paip besi adalah paling ketara berlaku memandangkan harga kedua-dua barangan tersebut mahal di pasaran dan golongan tidak bertanggungjawab itu sanggup meragut kesucian masjid dengan bertindak sedemikian. 

“Malah, saya difahamkan pencuri datang dengan menaiki lori kecil untuk memudahkan kerja me-ngangkut barangan yang dicuri dan bertindak seolah-olah sedang melakukan kerja pembaikan bagi mengaburi mata orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurut Salleh, meskipun kes kecurian membabitkan harta masjid masih terkawal, namun tindakan segera perlu diambil untuk mengelak kejadian berkenaan daripada terus berleluasa sehingga mengganggu keselesaan dan ketenteraman semua jemaah masjid. 

“Sehubungan itu, saya berharap agar semua pihak mengambil sikap lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat individu yang mencurigakan. 

“Ini sebab, sebagai masyarakat khususnya umat Islam sewajarnya dijadikan masjid tempat paling suci dan selamat untuk semua jemaah dan bukannya dicemari dengan tindakan tidak bermoral sebegini,” katanya.

Rompak bersenjata, pemuda dipenjara enam tahun




KOTA BHARU – “Walaupun umur kamu masih muda, saya berpendapat bahawa satu tempoh hukuman penjara yang panjang patut dikenakan bagi memboleh-kan kamu menghayati kesalahan yang dilakukan dan insaf atas kesalahan tersebut,” demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L.Saleh sebelum menjatuhkan hukuman terhadap seorang pesalah muda. 

Zainal menjatuhkan hukuman enam tahun penjara bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan iaitu semalam terhadap Mohd Alif Nadehar Abd Karim, 19, selepas didapati bersalah melakukan rompakan secara berkumpulan dan bersenjata pada 7 Januari 2009. 

Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, Alif secara bersama empat lagi rakan yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap pengadu yang juga merupakan seorang pelajar Politeknik Kok Lanas, Furkan Ahmad, 24. 

Tertuduh didakwa mengambil wang tunai RM20 milik pengadu dan pada masa rompakan tersebut dilakukan, tertuduh bersen-jatakan sebilah pedang panjang dan sebilah parang pendek. 

Tertuduh didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut di tepi jalan, Jalan Pangkal Kalong, Kok Lanas dekat sini, kira-kira jam 5 petang. 

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat. 

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian kira-kira jam 4.45 petang, pengadu pergi ke mesin ATM Maybank di hadapan Politeknik Kok Lanas untuk mengeluarkan wang. 

Semasa dalam perjalanan pulang melalui Jalan Pangkal Kalong, Kok Lanas, pengadu yang menunggang motosikal ditahan sebuah kereta Perodua Kancil bernombor pendaftaran WHD 570 hingga menyebabkan pengadu terbabas ke longkang. 

Kereta kancil tersebut berhenti dan salah seorang suspek keluar dari kereta sambil menuduh pengadu melanggar adiknya. 

Selepas itu tiga lagi suspek termasuk tertuduh keluar dari kereta dan berlaku pergelutan antara pengadu dan keempat-empat suspek. 

Semasa itu, pengadu tela:h dibelasah bertubi-tubi di bahagian kepala, muka dan badan. Pada masa pergelutan tersebut, pengadu melihat keempat-empat suspek bertukar-tukar senjata pedang dan parang yang diayunkan mereka ke arahnya serta meminta pengadu menyerahkan barang berharga yang ada padanya. 

Pengadu kemudiannya menyerahkan beg duit dan salah seorang suspek telah mengambil duitnya sebanyak RM20. 

Pada masa kejadian, seorang saksi awam bernama Mohd Ruhaimi Zakaria melalui tempat kejadian dan menghampiri pengadu dan keempat-empat suspek. 

Selepas itu, keempat-empat suspek beredar dari tempat kejadian. 

Tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minimum terhadap anak guamnya. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh berikutan kesalahan yang dilakukan merupakan kesalahan serius. 

Hakim Mahkamah Se-syen semasa membacakan penghakimannya memberitahu beliau bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan serius. 

Namun, beliau juga bersetuju dengan peguam tertuduh untuk mengecualikan hukuman sebat disebabkan tertuduh masih :muda.

Gunung berapi di Iceland buat hal lagi



DUBLIN - Ireland menutup beberapa lapangan terbang manakala Britain melaksanakan larangan terbang di sebahagian ruang udaranya semalam.
Tindakan itu dilakukan ekoran debu dari sebuah gunung berapi di Iceland sekali lagi menjejaskan kelancaran operasi penerbangan di Eropah.
Sebelum ini, debu yang dikeluarkan oleh gunung berapi yang sama telah menyebabkan sejumlah besar penerbangan dibatalkan di Eropah pada minggu lalu. – Reuters

Wartawan jadi sasaran pengganas



BANGKOK - Tentera Thailand semalam mendesak wartawan untuk keluar dari kem yang dihuni penunjuk perasaan di Bangkok.
Menurut pihak tentera, kumpulan wartawan telah menjadi sasaran serangan pengganas termasuk penunjuk perasaan.
"Pihak media merupakan sasaran termasuk mereka yang berada di lokasi penunjuk perasaan," kata jurucakap tentera, Kolonel Sunsern Kaerkumnerd kepada pemberita.
Menurutnya, pihak berkuasa mempunyai maklumat bahawa pengganas cuba menyerang wartawan, polis dan askar.
Seramai tiga wartawan Thailand dan seorang dari Kanada telah ditembak dan cedera di kaki semasa membuat liputan pertempuran antara pihak berkuasa dengan askar pada minggu lalu. - AFP

Lelaki suspek curi di masjid 'ditangkap' CCTV

SINGAPURA
Oleh
Safhras Khan

SEDANG jemaah khusyuk beribadah, dia sibuk mencari peluang mencuri.
Lelaki berusia 59 tahun itu ditangkap Selasa lalu di Masjid Malabar kerana disyaki mencuri barang-barang jemaah seperti dompet dan pasport.Dia ditangkap oleh jemaah dan pekerja dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dilengkapi di masjid di Victoria Street itu.Ketika dihubungi, pengerusi masjid itu, Encik Osman Abdullah, berkata ini bukan kali pertama lelaki itu mencuri di masjid tersebut.'Kami telah menerima beberapa aduan daripada jemaah yang kehilangan barang, termasuk batu permata bernilai $5,000.'Pihak kami kemudian membuat keputusan memasang sistem CCTV setahun lalu. Tujuan kami ialah mencegah jenayah di masjid ini,' kata Encik Osman.Menurut beliau, lelaki itu bertubuh besar dan selalunya mencuri ketika jemaah solat.Dia menggunakan basikal bermotor dan setelah mencuri, akan menghilangkan diri beberapa hari sebelum mencuri lagi.Encik Osman berkata sistem CCTV itu, yang dipasang dengan belanja sekitar $10,000, telah dapat menangkap gambar lelaki itu.'Kami kemudian berjaga- jaga dan menunggu peluang menangkap dia.'Jadi bila dia datang ke masjid Selasa lalu, kami kunci basikal bermotornya supaya dia tidak dapat melarikan diri,' kata Encik Osman, yang sudah dua tahun menjadi pengerusi masjid itu.Menurut Encik Osman lagi, setelah mencuri pada hari itu, lelaki tersebut cuba melarikan diri dengan menaiki basikal bermotornya walaupun ia telah dikunci.Tetapi dia berhenti kerana sukar menunggang basikalnya dan ditangkap oleh Pentadbir Masjid Malabar, Encik Razli Jaafar.Masjid itu kemudian menghubungi polis.Encik Osman berkata sistem CCTV itu memainkan peranan penting dan beliau berharap ia akan terus mencegah jenayah di masjid tersebut.'Keselamatan penting dan pelaburan kami memasang sistem CCTV di Masjid Malabar mendatangkan hasil,' ujar beliau.Ketika dihubungi polis mengesahkan seorang lelaki telah ditangkap kerana disyaki mencuri di masjid itu.Polis masih menyiasat.


Keberanian remaja gagalkan rompakan




BUTTERWORTH: Tindakan berani remaja berusia 17 tahun berhasil menggagalkan percubaan seorang perompak bersenjatakan pistol hendak melarikan motosikalnya di luar sebuah pasar mini di Bagan Ajam dekat sini kelmarin.
Drama bermula apabila pelajar sekolah menengah tersebut pergi ke pasar mini itu untuk membeli telur dan barangan dapur pesanan ibunya.Sumber berkata remaja itu baru hendak meninggalkan kedai itu apabila suspek datang dari belakang dan memaksanya menyerahkan motosikal Yamaha 135LC sekitar 12 tengah hari.'Suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan mengancam hendak menembak remaja itu jika dia enggan memenuhi kehendaknya,' kata sumber seperti ditukil akhbar New Sunday Times semalam.'Remaja itu menepis pistol berkenaan menyebabkan suspek melepaskan tembakan yang mengenai pintu kaca pasar mini,' tambah sumber itu.Suspek, berusia 40-an tahun, cuba melarikan diri dengan mencuri sebuah motosikal milik seorang pelanggan pasar mini itu.'Remaja berkenaan mengejarnya lalu menendang motosikal tersebut, menyebabkan suspek jatuh,' jelas sumber berkenaan.Menurut sumber itu lagi, suspek yang dikejar orang ramai kemudian melarikan diri ke belakang kedai menghala ke arah Pantai Bersih dan membuang pistolnya ke dalam laut.Tetapi dia berjaya ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis yang tiba tidak lama kemudian.Pistol yang dibuang itu ditemui oleh sepasukan penyelam polis tidak jauh dari tempat ia dibuang.Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, ACP Azman Abd Lah, ketika mengesahkan kejadian itu berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah dan pernah terbabit dalam rompakan bersenjata. -- BMM, NST.

'Cium kaki atau ikut masuk lif'

DETIK DETIK CEMAS DAN TAKUT: Beginilah afez berkali-kali menampar muka Ila yang tidak dapat berbuat apa-apa. Foto INTERNET



Isu: Pelajar perempuan cerita ketakutan yang dialami kerana 'dikerjakan' teman sekolah dalam lif


MELUTUT, merangkak dan mencium kaki untuk meminta maaf atau ikut masuk ke dalam lif?
Itulah dua pilihan yang diberikan kepada Ila .'Pada masa itu, saya tak fikir apa-apa lagi. Tapi, saya tak mahu cium kaki dia. Jadi, saya ikutlah dia masuk ke dalam lif,' kata pelajar Sekolah Menengah Siglap berusia 15 tahun itu.Namun, tanpa disedarinya, di dalam lif itulah kehidupannya bakal berubah.Sekitar seminggu lalu, Ila sekadar remaja biasa.Namun, sejak video selama 80 saat dia ditampar berkali-kali oleh seorang pelajar lelaki di dalam lif dimuat naik ke Internet, hidup remaja itu tidak lagi seperti dulu.'Di sekolah, semua orang dah tengok video itu. Sampai kat luar pun orang kenal muka saya. Saya malu,' kata Ila.Semasa dihubungi Berita Minggu, Ila hanya menjawab ringkas kerana telah dinasihati pengetuanya supaya tidak bercakap kepada media.Menceritakan detik-detik di dalam lif itu, Ila berkata ia merupakan saat paling mencemaskan dalam hidupnya.Apakan tidak, bukan sahaja dia ditampar sebanyak 13 kali di dalam lif, bahkan kepalanya juga dihentak ke dinding lif dan rambutnya ditarik oleh seorang remaja lelaki.Remaja lelaki itu, Afez Anuar, juga 15 tahun, merupakan teman sekolah Ila.Bagi Ila, lebih menyedihkan ialah video itu telah dirakam oleh seorang kawan perempuan Ila sendiri, juga dari Sekolah Menengah Siglap.Ada sesetengah pengguna Internet yang ragu-ragu sama ada insiden tersebut benar-benar berlaku dan menyoal sama ada video itu satu lakonan semata-mata.Ila menolak keras dakwaan itu.'Seluruh muka dan mata saya lebam dan bengkak selepas kejadian itu. Tak 'kanlah ni main-main,' ujar Ila.Kejadian itu berlaku sekitar dua minggu lalu sebelum klip video tersebut dimuat naik ke dalam laman Facebook.Teman-teman yang mengenali kededua remaja itu memberitahu Berita Minggu, Afez, yang bernaluri lembut, memang jenis yang suka menyakat dan mengacau orang.Dan kadangkala, perbuatan remaja itu keterlaluan.Menurut salah seorang teman mereka, yang hanya ingin dikenali sebagai Nora, perbuatan Afez yang mengganggu Ila secara keterlaluan, merupakan angkara kejadian sepak di dalam lif itu.'Afez lakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah Ila. Jadi, Ila marah dan menggunakan kata-kata kesat kepada Afez dan Afez tak puas hati.'Lepas tu, Afez ludah ke muka Ila,' terang Nora.Ditanya wartawan, Ila mengesahkan perkara itu dan menambah selepas insiden tersebut, dia begitu takut untuk ke sekolah.Menyambung cerita, Ila berkata salah seorang gurunya mendapat tahu mengenai kejadian itu dan membawa kededua pelajar untuk berdamai.Bagaimanapun, Afez naik berang apabila perbuatan nakalnya sampai ke pengetahuan guru.Dia dan beberapa teman lelaki dan perempuannya yang lain kemudian menunggu Ila di kolong blok berdekatan sekolah.Tidak diketahui sama ada mereka berada di sana untuk menyokong Afez atau menyaksikan saja kejadian yang akan berlaku.Di situlah, Afez memberi Ila kata dua - sama ada melutut dan mencium kakinya atau ikut masuk ke dalam lif.'Saya tak terfikir yang saya akan ditampar di dalam lif. Saya ingat minta maaf dan lepas tu settle,' kata Ila ringkas.Ramai pengguna Internet juga menyoal kenapa Ila sekadar berdiam diri semasa disepak berkali-kali dan tidak cuba mempertahankan dirinya.Remaja itu berkata, dia terlalu terkejut untuk bertindak. Lagipun, dia takut kalau-kalau dia melawan, Afez akan bertindak lebih ganas.Menurut Ila, apa yang lebih menyedihkan ialah beberapa temannya yang berada di situ langsung tidak menghulurkan bantuan mahupun melaporkan kejadian itu kepada guru atau pihak polis.'Sebaliknya, mereka ketawakan saya. Sekarang saya baru tahu siapa sebenarnya teman saya,' katanya, sambil bergegas ingin mengakhiri perbualan dengan wartawan.Berita Minggu telah melawat rumah Ila dan bercakap dengan ibunya.Beliau enggan namanya disiarkan dan hanya bersetuju bercakap dengan wartawan di balik bingkai pintu.Menurut ibu Ila, keluarganya hanya mengetahui mengenai perkara itu beberapa hari lalu kerana Ila merahsiakan kejadian itu daripada mereka.'Semasa tengok video tu, saya tak berhenti menangis,' katanya menahan sebak.Beliau menambah, ramai saudara-maranya yang marah apabila mendapat tahu perkara itu.'Mereka semua nak cari budak lelaki tu, nak bantai dia. Tapi, saya dan suami tak benarkan. Biar pihak sekolah dan polis yang uruskan perkara itu.'Sebagai ibu, tentulah saya sangat marah, kecewa dan sedih. Saya dan suami tidak pernah pukul anak saya. Ini orang luar sepak dia macam tu dan masukkan ke Internet pulak.'Sekarang kami sudah ambil tindakan undang-undang. Jadi, kita nantikan saja,' katanya.

Pasangan muda lena diulit khayal dadah

2010/05/17
JEMPOL: Suami sepatutnya menjadi pembimbing kepada isteri supaya tidak terjebak dalam perbuatan tidak baik, namun lain pula bagi pasangan muda yang `satu kepala’ di sekitar Felda Palong, dekat sini, apabila menjadi penagih dadah sejak beberapa bulan lalu.
Pasangan berusia awal 20-an itu dicekup sepasukan pegawai dan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jempol ketika sedang nyenyak tidur di rumahnya dalam operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam kelmarin.
Ketika operasi dilakukan, suami kepada wanita terbabit dikatakan enggan memberi kerjasama dan cuba melengah-lengahkan pegawai AADK yang melakukan operasi.

Malah, dia juga dikatakan enggan dibawa ke pejabat AADK untuk menjalani ujian air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah tetapi akur sebelum hasil ujian mendapati pasangan itu positif dadah.

Pasangan terbabit adalah antara tujuh suspek yang ditahan dalam “Ops Cuci 2” di sekitar Felda Palong Tujuh dan Palong Lapan dalam operasi selama enam jam berdasarkan maklumat melalui risikan AADK Jempol.

Ketua Pegawai AADK Daerah Jempol, Zakryei Arip, berkata selain suami isteri itu, pihaknya turut menahan pasangan adik-beradik kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah disyaki jenis heroin.

“Mula hanya adiknya ditahan tetapi selepas pemeriksaan dijalankan abangnya dicekup kerana disyaki menagih dadah kerana fizikalnya mencurigakan,” katanya.

Isteri malang

2010/05/17
AMPANG: Suami durjana. Gelaran itu layak buat seorang lelaki yang bukan saja curang malah turut memukul isterinya selepas perbuatannya membawa kekasih pulang ke rumah diketahui isterinya.
Kejadian berlaku Khamis lalu apabila isterinya yang mendapat maklumat ada seorang wanita di rumah pulang untuk membuat pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Bukit Indah kira-kira jam 10 pagi.
Menurut sumber, sebaik sampai ke rumah, suami mangsa membuka pintu sebelum dia nampak kelibat seorang wanita berada dalam rumah berkenaan.

“Isterinya kemudian terus meluru masuk ke rumah sebelum berlaku pertengkaran antara mereka yang turut dicampuri teman wanita suaminya itu.

“Ketika bertengkar itu, suami mangsa kemudian menghentak kepala isterinya dengan menggunakan tangan sebelum menendang mangsa hingga jatuh di lantai,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki bertindak luar biasa apabila dia menggigit tangan selain turut menumbuk isterinya kerana cemburu dengan tindakan wanita terbabit yang keluar makan bersama rakan-rakan.

Kejadian itu berlaku Selasa lalu kira-kira jam 6 petang ketika mangsa bersama suaminya berada dalam kereta di sebuah kawasan di Pandan Indah.

Sumber berkata, ketika itu suami mangsa yang cemburu mempersoalkan tindakannya yang keluar makan bersama beberapa rakan lain sebelum itu.

“Mangsa yang mendiamkan diri kerana enggan memanjangkan ditumbuk di dahi dan digigit di tangan oleh suaminya itu,” katanya.

Menurutnya, ketika itu juga suami mangsa mahu merampas telefon bimbit miliknya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka kerana isterinya itu enggan menyerahkan telefon berkenaan.

“Suami mangsa mula mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dan mengugut akan membunuh teman lelaki wanita terbabit.

“Malah, wanita itu turut dilarang daripada pulang ke rumah ibu bapanya di kawasan Ampang selagi enggan membawa suaminya bertemu rakan lelakinya itu,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan susulan daripada itu, suami wanita berkenaan yang berusia 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.