Search This Blog

Loading...

Sunday, May 16, 2010

Anak dilabel suspek jenayah: Wartawan minta penjelasan



16/05/2010 3:58pm

TAWAU – Seorang wartawan minta polis memberi penjelasan kenapa anaknya, Shyril Azlan, 19, yang mati lemas selepas terjun ke dalam bekas lombong berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Intan Baiduri di Kepong, Kuala Lumpur untuk mengelak diberkas polis, boleh dilabel sebagai penjenayah.
Mohamad Yusup Lewah, 49, wartawan akhbar tabloid “Tanjung Metro” di sini, juga meminta diberikan kebenaran melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian samun wanita berusia 63 tahun di Taman Mastiara, di mana anaknya dikatakan suspek utama kes berkenaan.
"Kalau betul anak saya seorang penjenayah, saya reda. Tapi sekarang saya masih tidak jelas dan tidak mengerti bagaimana pihak polis boleh sampai kepada kesimpulan bahawa anak saya seorang penjenayah.
"Kalau anak saya suspek utama pun, pihak polis mesti selamatkan dia (semasa dia terjun ke dalam bekas lombong) sebab jika dia terselamat maka selesailah kes itu... anak saya boleh membantu siasatan.
"Jadi pihak polis boleh menyiasat sama ada anak saya betul-betul melakukan jenayah atau tidak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Yusup mengulas kes kematian anaknya yang terjun ke dalam bekas lombong berhampiran PPR Desa Intan Baiduri seperti yang dilaporkan akhbar nasional pada Jumaat lepas.
Mohamad Yusup berkata, isterinya sudah membuat laporan polis berhubung kes kematian anaknya itu di Balai Polis Gombak. – Bernama

Pengarah didakwa pindah saham RM1.3j tanpa kebenaran



16/05/2010 1:57pm

ALOR SETAR – Seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar terhadap tuduhan meluluskan pemindahan saham syarikat bernilai RM1.3 juta tanpa kebenaran pemilik saham berkenaan.
Teh Weng Kuang, 43, dituduh bersama-sama dua lagi pengarah syarikat terbabit, Khairul Nizamullah Halim, 30, dan Haslinda Mohamad, 32, melakukan perbuatan itu di No. 5 Lorong Pantai Halban 1, Taman Desa Perdana, Jitra, pada 22 Disember 2008.
Khairul dan Haslinda telah didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa lepas, manakala Weng Kuang didakwa hari ini berikutan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari berkenaan kerana berada di Kuala Lumpur.
Mereka yang merupakan pengarah syarikat Purata Abadi Sdn. Bhd. dituduh meluluskan pemindahan saham syarikat berkenaan milik Aznah Ahmad kepada Irmawaty Ahmad Rusdy yang berjumlah 1.3 juta unit.
Menurut pertuduhan, kelulusan pemindahan saham berkenaan dibuat melalui satu Resolusi Edaran Pengarah pada 22 Disember 2008 tanpa kebenaran Aznah. – Bernama

Tiga suspek curi kereta diberkas di kondominium di Ampang



16/05/2010 2:45pm

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang dipercayai terbabit mencuri kereta di sekitar Ampang sejak sebulan lepas, ditahan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa di sini malam tadi.
Mereka ditahan kira-kira 8.30 malam ketika sedang meleraikan komponen kereta di kawasan letak kereta kondominium berkenaan.
Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata, mereka yang kesemuanya berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan berumur lingkungan 30-an merupakan penyewa di Kondominium Impian Selatan itu.
"Ketika ditahan, mereka sedang meleraikan komponen tiga buah kereta curi jenama Mercedes, Wira dan Honda Civic di satu sudut terpencil di kawasan tempat letak kereta di kondominium itu.
"Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan ini menjadikan tempat letak kereta kondominium terbabit sebagai tapak sementara untuk meletakkan kenderaan yang dicuri, sebelum komponen-komponen kereta berkenaan dijual,” katanya.
Abdul Jalil berkata, kesemua suspek kini sedang ditahan. – Bernama

Heroin RM1.95j dirampas



AYUB (dua dari kanan) melihat sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pulau Pinang semalam.


PULAU PINANG - Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menahan dua lelaki dan merampas dadah bernilai lebih RM1.95 juta dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di kawasan perumahan Bukit Jambul di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata, serbuan itu dilakukan susulan daripada penahanan dua lelaki terbabit bersama 4.5 kilogram (kg) heroin di Jelutong pada pukul 3.30 petang kelmarin ketika mereka menjalankan kegiatan menjual dadah di kawasan tersebut.
"Ekoran daripada penangkapan dua lelaki tersebut, polis menyerbu rumah pangsa di kawasan perumahan itu yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin pada pukul 7 petang hari yang sama," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Petugas RTM maut dalam konvoi ke Cameron Highlands



IPOH - Presiden kelab motosikal berkuasa tinggi Meru Bikers maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Keramat Pulai yang menghubungkan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu motosikal yang ditunggang Mohd Helmy Jaafar, 39, dipercayai hilang kawalan apabila tiba di satu selekoh di jalan berkenaan.

Ketika kejadian, Helmy yang juga seorang petugas Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri bersama-sama 13 penunggang motosikal berkuasa tinggi lain dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands melalui Simpang Pulai.

Seorang peserta konvoi, Shaharudin Sulaiman, 29, berkata, Mohd Helmy gagal mengawal motosikal Yamaha Fazar FZIN apabila melintasi satu selekoh tajam yang dipenuhi pasir berhampiran simpang masuk ke pusat perkelahan Lubuk Timah di sini.

Beliau berkata, sejurus terbabas, mangsa dan motosikal terbabit melambung tinggi sebelum terhumban ke dalam parit, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Pengunjung gempar jumpa buaya




MELAKA - Hasrat satu keluarga bergembira sempena hari keluarga tahunan di pantai peranginan Pengkalan Balak tidak kesampaian apabila mereka terserempak dengan dua ekor buaya di pantai berkenaan, petang semalam. 

Kejadian mengemparkan itu berlaku jam 2.45 petang, sekali gus membantutkan hasrat keluarga berkenaan yang berasal dari Kampung Umbai, di sini, meneruskan aktiviti dirancang 

Salah seorang peserta program berkenaan, Norfadilah Mohd Baroldin, 22, berkata, salah satu buaya yang dilihatnya itu bersaiz dalam anggaran hampir empat meter panjang. 

Menurutnya, penemuan mencemaskan itu sempat dirakamkannya menerusi telefon bimbit berkamera miliknya sebelum buaya itu turun semula ke laut. 

“Kami lihat, seekor daripada buaya bersaiz kecil dan kuning keemasan, sementara seekor lagi bersaiz besar serta berwarna kehitaman muncul kira-kira 10 minit di atas daratan.

“Mungkin, keduanya-duanya mempunyai pertalian ibu dan anak,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan, semalam.

Norfadilah berkata, kejadian itu sememangnya amat mencemaskan mereka sekeluarga yang datang seramai 30 orang.

“Kami tiba di sini Jumaat dan bercadang mengadakan pelbagai aktiviti di sini sehingga Ahad (hari ini) tetapi tidak sangka pula terserempak dengan buaya.

“Kejadian ini menyebabkan kami sekeluarga takut untuk mandi di pantai ini kerana bimbang keselamatan diri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Norfadilah segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Namun, mereka tidak dapat bertindak apa-apa berikutan buaya berkenaan terus menghilang setelah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk di kawasan berkenaan mendakwa sering ternampak kelibat buaya di pantai itu yang dikatakan hanya satu kilometer jaraknya dari Kompleks Perahu Layar iaitu lokasi utama acara pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-13, 10 Jun ini.

Mazli Mohamad, 42, berkata, keadaan itu dibimbangkan boleh menjejaskan kelancaran sukan itu nanti sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah sewajarnya.

“Saya berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang kerana khuatir terhadap aspek keselamatan peserta dan pengunjung di pantai ini,” katanya.

Tujuh anggota Geng Ninja diburu



KUALA LUMPUR 15 Mei - Polis memburu tujuh orang termasuk dua wanita ahli kumpulan Geng Ninja yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar daerah Ampang Jaya, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, modus operandi kumpulan terbabit adalah melakukan jenayah antara pukul 3 hingga 6 pagi.
Katanya, sasaran kumpulan itu adalah kediaman yang terletak di lot tepi bagi memudahkan mereka bertindak memecah masuk.
"Mereka yang merupakan warga tempatan memakai topeng hitam dan menutup keseluruhan kepala kecuali mata.
"Suspek bersenjatakan parang akan mengejutkan mangsa daripada tidur dan mengikat mereka sebelum mengambil barang berharga," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abdul Jalil memberitahu, mangsa terbaru ialah seorang ahli perniagaan yang rumahnya di Taman Dagang Avenue, Ampang Jaya di sini, dipecah masuk kumpulan berkenaan, pada Rabu lalu.

Arahan suara ghaib

DIRANGSANG suara ghaib yang meminta supaya melakukan pembunuhan, seorang lelaki, Moses Sithole, 46, mencetuskan ketakutan penduduk di Johannesburg, Afrika, sekitar 1995 hingga 1996 Afrika apabila mengaku membunuh lebih 38 wanita.
Disebabkan jenayah ganas tidak berperikemanusiaan dilakukannya, Sithole mendapat jolokan sebagai ‘ABC Killer’ (Pembunuh ABC) apabila memulakan hobi ‘membunuh’ di kawasan Atteridgeville (A), sebelum beralih ke kawasan Boksburg (B) dan Cleveland (C) sekitar Johannesburg.

Dilahirkan dalam keluarga bermasalah, Sithole dikatakan dilayan secara ganas ketika waktu kecil selepas dihantar ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak akibat ditinggalkan ibunya.

Tidak tahan dengan layanan diterima, dia dikatakan melarikan diri sebelum dijumpai dan dihantar semula ke rumah berkenaan dengan kawalan ketat.

Di situ, dia bukan saja dikurung, malah turut didera dan dibiarkan berlapar hingga akhirnya ketika berusia 20 tahun, dia mula memberontak dan melarikan diri dari perlindungan rumah kebajikan terbabit.

Menurut pakar psikiatri, akibat penderaan dialaminya, Sithole mengalami masalah jiwa akibat tekanan perasaan yang diterima sepanjang di pusat jagaan.

Jenayah pertama dilakukan Sithole selepas dua bulan melarikan diri dari rumah penjagaan apabila dia merogol seorang wanita wajahnya kelihatan sama seperti penjaganya pada Mei 1984.

Dalam tempoh 13 hari, Sithole dilaporkan terbabit dalam tiga kejadian rogol di Atteridgeville sebelum dia ditahan dan dipenjara selama 10 tahun yang menyaksikan kehidupannya terus mengalami perubahan.

Sithole didera secara seksual oleh banduan ‘senior’ di penjara berkenaan, sekali gus menyebabkan dia mula berhalusinasi selain mendengar suara pelik meminta dia melakukan pelbagai jenayah, termasuk membunuh.

Tempoh 10 tahun dipenjarakan selain didera secara seksual oleh banduan lain mengubah hidupnya apabila dia terus bertukar menjadi penjenayah paling kejam.

Sebaik selesai menjalani hukuman penjara, tidak sampai sebulan, Sithole dikatakan bertindak berani apabila membunuh seorang wanita yang dijumpai di sebuah lorong dengan menikamnya bertubi-tubi dan mengelar lehernya.

Dia dikatakan membunuh wanita terbabit yang hanya dikenali sebagai Vanessa, 32, dengan alasan mendengar satu suara yang mengarahnya bertindak demikian berikutan wanita itu mengugut melaporkannya kepada pihak berkuasa atas tuduhan rogol.

Tidak mahu dipenjarakan semula, Sithole dikatakan mengikuti arahan ‘suara’ berkenaan untuk membunuhnya.

Disebabkan ‘suara’ itu juga, lebih 38 wanita dibunuh Sithole dengan alasan bagi mengelak dipenjara semula berikutan takut dengan layanan diberi banduan lain.

“Saya mendengar suara ghaib yang meminta saya membunuh wanita yang saya jumpa kerana mereka akan menyebabkan saya dihumban ke penjara.

“Suara itu mengatakan semua wanita itu akan membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol dan bagi mengelak kembali ke penjara, saya terpaksa membunuh mereka,” katanya kepada pihak berkuasa ketika ditahan pada Ogos 1995.

Dia ditahan apabila seorang lelaki mengecam wajah Sithole yang dilihat kali terakhir bersama dengan wanita, Amanda Majbr, 35, mangsa terakhir yang mati dibunuhnya.

Menurut Sithole, kadangkala suara didengari turut mengarahnya merogol serta melakukan rompakan dan kebanyakan arahan itu tidak dapat dielakkannya.

“Selagi saya tidak mengikuti arahan, suara yang saya dengar ini akan sentiasa terngiang-ngiang di telinga dan ia datang semakin kerap dan semakin kuat hingga mengganggu tidur.

“Bagi mengelak terus diganggu suara berkenaan, saya terpaksa mengikuti saja arahan itu,” katanya.

Dengan jumlah pembunuhan yang banyak, termasuk berpuluh kes rogol serta enam kes rompakan yang dilakukannya, Sithole boleh dianggap bernasib baik berikutan diisytiharkan mengalami gangguan jiwa, sekali gus menyebabkan dia terlepas hukuman mati mandatori.

Namun, bagi mengelak jenayah dilakukannya berulang, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 2,410 tahun.

Sithole yang kini ditahan di Pusat Tahanan Pretoria, Afrika hanya dibenarkan untuk berada dalam pengawasan (parol) jika dia berjaya menjalani hukuman penjara selama 930 tahun.

Helah Yahudi halau Palesin

BAITULMAQDIS: Seorang aktivis Zionis bercadang membeli hartanah milik Palestin dalam usahanya menyediakan Baitulmaqdis sebagai kawasan penempatan Yahudi.
“Saya dengar orang kata Baitulmaqdis milik semua, tapi sebenarnya tidak,” katanya semalam.

Kenyataan itu dibuat ketika rombongan diplomat Amerika Syarikat tiba di Israel dalam usaha mereka membawa semula Tel Aviv dan Palestin ke meja rundingan.

Ketika King membuat penjelasan mengenai masa depan bandar itu, berpuluh-puluh pakar pembangunan tempatan memberi tepukan gemuruh menyambut kenyataannya.

King dianggap antara aktivis paling berpengaruh menggerakkan kempen membuka penempatan haram Yahudi di kawasan timur Baitulmaqdis yang kini didiami warga Palestin.

Sebagai rakan karib bilionair dari Florida, AS, Irving Moskowitz, King dianggap tidak bergurau dengan kenyataan berkenaan.

Mengikut perancangan King, dia mahu membina penempatan ideal - mengikut perspektifnya - dengan membahagikan penduduk Arab dan Yahudi di sepanjang kawsan Bethlehem dan Ramallah .

Ia termasuk Garisan Hijau, sempadan dipersetujui Palestin, AS dan masyarakat antarabangsa sejak 1967 untuk menjadi negara Palestin akan datang.

Kata King, dia menggunakan orang Arab tertentu untuk membeli hartanah Palestin sebelum hak milik diserahkan kepadanya.

“Kita menggunakan helah ini sejak lama dan ia memang berjaya walaupun kerajaan Israel cuba menghalang,” katanya. - Agensi

Hos rancangan masakan hasut orang membunuh

SANTA MONICA : Polis California semalam berkata, seorang bekas hos rancangan masakan popular televisyen ditahan kerana menghasut orang gelandangan melakukan pembunuhan.
Katanya, Cruz mengacara rancangan Calorie Commando pada 2004 dan banyak memperkatakan kepentingan penyediaan makanan rendah kalori.

Kata Trisler, kejadian itu terbongkar selepas polis dihubungi beberapa orang miskin dan tidak berumah di Santa Monica.

Katanya, mereka mengadu didatangi Cruz dan dipujuk supaya membunuh seseorang bagi pihak pengacara berkenaan.

Katanya, individu terbabit juga bersetuju membantu siasatan polis.

“Individu yang menjadi sasaran bunuh Cruz juga dimaklumkan,” katanya.

Cruz kini ditahan dengan ikat jamin AS$5 juta (RM15.9 juta), manakala identiti sasaran itu dirahsiakan. - AP

Remaja diseret 100 meter

NIBONG TEBAL: Seorang remaja maut dalam keadaan ngeri apabila tubuhnya digilis sebelum diseret sebuah lori lebih 100 meter selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya di Jambatan Sungai Kerian, dekat sini, malam kelmarin.
Ooh Jun Liang, 18, dari Taman Tangling Jaya, Simpang Ampat, dekat sini, yang baru 30 minit keluar dari rumahnya, mati serta-merta di tempat kejadian selepas kepalanya hancur dan sebahagian badannya bertaburan di jalan raya akibat digilis tayar lori.

Bapa mangsa, Ooh Teck Wong, 57, berkata anaknya keluar dari rumah jam 8 malam untuk pergi bekerja di sebuah pusat snuker di Taman Fajar, dekat sini, berikutan waktu bekerjanya bermula jam 9 malam sehingga lewat malam.

“Anak saya baru bekerja dua minggu di Taman Fajar dan membawa bekal makanan yang dimasak ibunya.

“Saya terkejut dan sedih selepas menerima panggilan bahawa anak saya maut dalam kemalangan jalan raya kerana dia baru saja keluar dari rumah tidak sampai 30 minit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik dan Bilik Mayat HSB, di sini, kelmarin.

Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Ampat adalah seorang yang rajin dan motosikal yang digunakan itu dibelinya sendiri.

Ooh yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan berkata, anak sulungnya adalah satu-satunya harapan bagi mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Safieen Mamat, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong dari arah kiri dan gagal dikawal apabila motosikalnya bergesel dengan lori terbabit.

Katanya, mangsa kemudian terjatuh dan diseret kira-kira 100 meter oleh lori berkenaan dan mati di tempat kejadian.

“Pemandu lori kilang beras di Nibong Tebal itu kemudian dibawa rakannya ke balai polis sejurus selepas kejadian untuk membuat laporan.

“Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.

Ibu dakwa rangka ditemui milik anak

MACHANG: “Saya yakin rangka yang ditemui itu adalah anak saya berdasarkan kad pengenalan diri yang ditemui bersamanya,” dakwa Nik Zah Kundur, 49, ibu kepada Ahmad Hafizudin Suhaimi, 27, yang dilaporkan hilang sejak 19 November lalu.
Berikutan penemuan itu, Nik Zah bersama suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai Suhaimi bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui status rangka berkenaan berikutan kehilangan anaknya kira-kira enam bulan lalu.

Nik Zah berkata, meskipun rangka itu disyaki milik anaknya, namun dia menyerahkan kepada polis untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka terbabit.

Dia yang masih terkejut dengan penemuan berkenaan bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara itu berikutan tidak mahu mengganggu siasatan polis.

Seorang penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan berkata, sebelum penemuan rangka terbabit, anak lelakinya mencari seekor anak kucing peliharaan mereka di luar pagar rumah.

Katanya, ketika mencari haiwan peliharaan itu, anaknya terdengar bunyi suara kucing dari arah parit sedalam satu meter.

“Ketika turun hendak mengambilnya, anak saya terkejut apabila menemui rangka, tulang dan tengkorak manusia di dalam parit berkenaan, menyebabkan dia bergegas naik sebelum terus memaklumkan kepada saya.

“Terkejut dengan berita itu, saya terus bergegas ke kawasan berkenaan bagi meninjau keadaan sebenar sebelum menghubungi polis berhubung penemuan itu,” katanya yang turut enggan mengulas lanjut perkara itu.

Akhbar pada 14 Januari lalu melaporkan, Ahmad Hafizudin yang juga penyelia projek dikatakan keluar menaiki keretanya pada 19 November lalu dengan membawa sejumlah wang RM22,000 untuk bayaran kepada pekerja.

Dia dikatakan pergi ke tapak projek di Labok, Machang, kira-kira jam 1 tengah hari, namun dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum seorang penduduk kampung menemui kereta miliknya jenis Proton Wira di kawasan semak berhampiran Kampung Bukit Belah pada 16 Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara itu sehingga keputusan DNA daripada Jabatan Patalogi diketahui.

“Rangka, tengkorak dan tulang-tulang memang ditemui dalam parit berkenaan namun belum dapat disahkan mayat ditemui itu adakah milik lelaki yang dilaporkan hilang oleh satu keluarga baru-baru ini.

“Rangka manusia itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk tindakan,” katanya.

Penumpang teksi ‘hadiah’ cota

KUALA LUMPUR: Akibat berbalah mengenai tambang teksi, seorang penumpang menerima ‘hadiah’ istimewa apabila kepalanya dihayun dengan sebatang cota oleh pemandu teksi itu.
Kejadian berlaku jam 4 pagi Isnin lalu berhampiran sebuah kilang di Ulu Klang.

Sebelum itu, mangsa menahan sebuah teksi berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa, Jalan Jelatek untuk pulang ke rumah.

Menurut sumber polis, pemandu teksi kemudian membawa mangsa ke destinasi sebelum dia diminta membayar tambang RM10.

“Mangsa tidak berpuas hati berikutan meter menunjukkan tambang yang perlu dibayarnya hanya kira-kira RM5 sebelum mempersoalkan tindakan pemandu teksi terbabit.

“Bagaimanapun, pemandu teksi itu memberitahu, dia terpaksa mengambil caj yang lebih berikutan masih di awal pagi,” katanya.

Selepas berbincang, mangsa bersetuju membayar RM7 tetapi ia sebenarnya menimbulkan kemarahan kepada pemandu berkenaan.

“Secara tiba-tiba, suspek berang lalu menumbuk mangsa yang kemudian segera keluar dari teksi terbabit. “Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu diserang pula dengan cota namun dapat menepis hayunan itu dan cedera di tangan,” katanya.

Katanya, mangsa yang tidak boleh berbuat apa-apa akhirnya memberi RM10 kepada pemandu teksi berkenaan.

“Dia mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan di tangan dan badan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Lelaki cedera mangsa amuk

PORT DICKSON: Orang ramai yang menghadiri satu majlis perkahwinan di Pasir Panjang, dekat sini, semalam, gempar apabila seorang lelaki tiba-tiba mengamuk lalu cuba menikam hadirin sehingga menyebabkan seorang cedera.
Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan susulan. Dia dikatakan tidak mengenali suspek.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata mangsa yang ditikam itu adalah rakan kepada pengantin lelaki.

“Ketika kejadian, mangsa berbual-bual dengan seorang lagi rakan. Mangsa kemudian dibantu rakannya sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki itu menikam mangsa menggunakan pisau sebelum berjaya ditahan orang ramai lalu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, lelaki yang cedera itu hanya menerima rawatan pesakit luar dan keadaannya tidak serius.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki yang menikam mangsa adalah pesakit mental yang sudah lama tidak mendapat rawatan,” katanya.

Siswi lemas bantu teman

KUALA TERENGGANU: Seorang siswi Universiti Darul Iman (UDM) lemas apabila cuba membantu dua rakannya yang terkapai-kapai ketika sekumpulan pelajar pusat pengajian tinggi itu mandi di Pantai Tok Jembal, awal pagi semalam.
Mayat Nur Hidayu ditemui kaku beberapa minit selepas dibawa ke Bilik Forensik manakala dua rakannya yang berjaya diselamatkan penuntut lain kini menjalani rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bapa mangsa, Mokhtar Yusof, 50, berkata kali terakhir dia bertemu anaknya pada Khamis lalu ketika Nur Hidayu meminta ditumpangkan ke UDM, Gong Badak, untuk mengadakan persiapan bagi kejohanan silat yang diadakan di Selangor esok, (hari ini).

Bapa kepada enam anak berasal dari Kampung Paya, Marang itu berkata, dia tergamam selepas menerima panggilan memberitahu anaknya lemas di Pantai Tok Jembal ketika mengadakan aktiviti di kawasan berkenaan.

Menurutnya, anak keduanya dikatakan cuba menyelamat dua rakan namun dia pula yang kehilangan nyawa.

“Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh menimpa anak saya. Saya difahamkan seorang daripada mangsa yang cuba diselamatkan anak saya kini dirawat di HSNZ manakala seorang lagi sudah pulang ke rumah,’’ katanya.

UPP tahan lori seludup petrol

Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam menahan sebuah lori tangki membawa 8,140 liter petrol berdekatan pekan Asun, di kilometer 15.1 lebuh raya Utara-Selatan, semalam.
Semasa pemeriksaan, pemandunya berumur 57 tahun berasal dari Bedong, Kedah mengakui membawa 8,140 liter petrol tanpa dokumen dan permit," katanya.

Beliau berkata petrol bernilai lebih RM14,600 serta lori tangki itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Ia disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya. - Bernama

Polanski hadapi satu lagi dakwaan rogol



LOS ANGELES 15 Mei - Pengarah filem Poland, Roman Polanski menghadapi satu lagi dakwaan jenayah seksual semalam apabila seorang aktres Britain mendakwa pengarah itu merogolnya sejurus selepas dia menjangkau usia 16 tahun beberapa dekad lalu.
Polanski, 76, dituduh oleh Charlotte Lewis, kini 42, merogolnya di pangsapuri pengarah itu di Paris hampir 30 tahun lepas.
Pengarah tersebut menentang usaha untuk mengekstradisinya ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi hukuman kerana melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak pada 1978.
Lewis pada sidang media di pejabat peguam Gloria Allred di Beverly Hills berkata, beliau terpaksa bersuara bagi menangkis dakwaan pasukan peguam bela Polanski kononnya kesnya pada 1978 itu adalah insiden terpencil.
"Saya juga menjadi mangsa Roman Polanski. Dia melakukan seburuk-buruk penderaan seksual ke atas saya ketika saya baru berumur 16 tahun," kata Lewis yang pernah berlakon dalam filem arahan Polanski, Pirates.
Allred berkata, Lewis sudah memberikan kenyataan kepada polis dan pendakwa raya Los Angeles dan beliau berharap kenyataan itu akan diambil kira jika Polanski diekstradisi ke AS dari Switzerland, di mana beliau dikenakan perintah tahanan di rumah.
- AFP

Pertempuran di Darfur, lebih 160 terbunuh



KHARTOUM, Sudan 15 Mei - Lebih 160 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Sudan dan kumpulan pemberontak paling berpengaruh di Darfur.
Jurucakap tentera, Kapten Khalid al-Sawarmi berkata, tentera membunuh 108 pemberontak Gerakan Keadilan (JEM) di kawasan Jebel Moon di barat Darfur, semalam.
Agensi berita Sudan, SUNA melaporkan, pertempuran turut berlaku berhampiran Nyala di selatan Darfur.
SUNA yang memetik kenyataan pegawai kanan polis, Dr. Mohamed Abdul Magid al-Tayeb melaporkan, seramai 27 polis dan 33 pemberontak terbunuh dalam pertempuran itu.
Sumber JEM mengesahkan keganasan yang berlaku di selatan Darfur itu.
Pemberontak yang menghentikan rundingan dengan kerajaan setelah menuduh tentera melancarkan serangan baru di Darfur. - AP

6 lagi maut pertempuran di Bangkok



KEADAAN sebatang jalan raya di tengah kota Bangkok seperti zon perang apabila berlaku pertempuran antara penyokong Baju Merah dengan tentera Thailand, semalam. – REUTERS



BANGKOK 15 Mei – Keganasan di ibu negara Thailand ini meragut enam lagi nyawa hari ini, sementara bunyi tembakan dan letupan terus bergema di jalan-jalan raya yang menjadi medan pertempuran sengit antara askar dengan penunjuk perasaan Baju Merah.
Kematian terbaru itu menjadikan angka korban meningkat kepada 23 orang dalam tempoh dua hari, selepas tentera cuba mengepung markas penunjuk perasaan antikerajaan kelmarin, manakala hampir 150 lagi cedera.
Sejumlah 141 orang cedera, tiga daripada mereka rakyat Kanada, Myanmar dan Poland, tetapi keadaan mereka tidak diketahui.
“Situasi sekarang hampir seperti perang saudara. Saya tidak pasti bagaimana konflik ini akan berakhir,” kata seorang pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan.
Setakat ini, hampir 50 orang telah terbunuh dalam keganasan yang meletus sejak Baju Merah melancarkan protes dua bulan lalu.
Seorang saksi melihat mayat tiga orang bergelimpangan di sebatang jalan di sebelah utara kem Baju Merah di tengah ibu negara.
Tidak diketahui bagaimana mereka terbunuh tetapi tentera mendirikan papan tanda yang mengisytiharkan kawasan itu sebagai ‘zon tembakan peluru hidup’.
Bunyi tembakan kedengaran di tempat lain dan tayar-tayar yang dibakar mengeluarkan kepulan asap tebal sementara sekumpulan penunjuk perasaan berhadapan dengan askar di kawasan berasingan di mana pertempuran sengit meletus, semalam.
Kawasan yang menempatkan kedutaan asing itu juga meliputi pusat kewangan dan pasar malam Suan Lum yang popular di kalangan pelancong asing.
Polis berkata, beratus-ratus penunjuk perasaan masih menduduki pusat kewangan itu, sekalipun kerajaan mengarahkan operasi tentera ke kawasan tersebut semalam untuk mengusir penunjuk perasaan dari kawasan itu.
“Situasi sekarang terkawal dan reda di banyak tempat tetapi operasi tentera akan diteruskan kerana banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memulihkan keadaan,” kata jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayagorn.
Pusat kecemasan Erawan melaporkan, 16 orang maut dalam pertempuran semalam, kesemuanya rakyat Thai dan kebanyakan mereka mangsa tembakan. Seorang lagi meninggal dunia lewat kelmarin. – AFP

Diabetes di Kelantan membimbangkan





SEBAHAGIAN daripada 120 ahli Persatuan Diabetes Malaysia cawangan Kelantan yang menyertai Kem Diabetes Jenis 2 di Taman Rehlah, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini. - MINGGUAN/ Hapizah Aziz


PASIR PUTEH 15 Mei - Senario penyakit diabetes di Kelantan semakin membimbangkan dengan kadar kematian akibat komplikasi berkaitan dengannya dianggarkan terdapat 10,000 orang sepanjang tahun lalu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Aziz Al-Safi Ismail berkata, di sebalik pelbagai kempen kesedaran, jumlah mereka yang terdedah kepada penyakit itu masih tinggi.
''Dianggarkan pengidap penyakit itu mencecah 200,000 orang, namun yang dikesan sekitar 20,000 dan ramai terdedah dengan komplikasi lain seperti serangan jantung, angin ahmar dan sakit buah pinggang," ujarnya.
Katanya, serangan penyakit ini sudah tidak lagi terbatas kepada golongan dewasa dan yang lebih berusia, malah mula dikesan pada usia 15 tahun.
''Masih ramai di kalangan masyarakat tidak mengawal pemakanan mereka menyebabkan tahap gula dalam darah tidak terkawal dan timbul pelbagai komplikasi.
''Kebiasaannya komplikasi itu termasuk masalah penglihatan dan serangan kuman yang memaksa anggota badan dipotong setelah pesakit menghidap diabetes antara 5 hingga 10 tahun,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kem Diabetes Jenis 2 2010 di Taman Rehlah, Tok Bali di sini, baru-baru ini.
Seramai 120 ahli PDM cawangan Kelantan menyertai kem berkenaan yang diadakan serentak dengan mesyuarat agung persatuan itu kali ke-10.
Pengerusi PDM Cawangan Kelantan, Prof. Datuk Paduka Dr. Wan Mohamad Wan Bebakar merasmikan mesyuarat agung dan kem berkenaan.
Menurut Dr. Aziz Al-Safi, berikutan kempen penambahan keahlian yang diadakan itu, sudah lebih 5,000 orang menjadi ahli dan daripada jumlah itu, kira-kira 1,000 ahli aktif menyertai program yang diadakan.
''Ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan semasa masih di peringkat awal dengan mengenal pasti tahap ideal gula dalam darah.
''Ada yang mula mengalami penyakit berkenaan seawal usia 15 tahun. Justeru jika dapat dikesan awal, mereka boleh mengambil langkah untuk mengawalnya,'' katanya.
Sementara itu, dua ahli persatuan itu mengakui kawalan pemakanan serta bersenam mampu mengurangkan kesan penyakit itu seterusnya membolehkan mereka menghayati kehidupan yang lebih selesa walaupun telah lanjut usia.
Mejar (B) Omar Muhamed, 81, berkata, beliau dikesan mempunyai penyakit diabetes pada 1972 dengan bacaan kandungan gula dalam darah pada tahap 18.
''Saya terus mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan mematuhi arahan yang diberikan oleh doktor," katanya.
Sejak itu, beliau mengurangkan pengambilan nasi dan kuih-muih yang manis di samping melebihkan sayur-sayuran.
Tetapi yang penting beliau mengamalkan senaman berjalan laju sejauh dua kilometer sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Menurutnya, penglibatan secara serius dalam menangani masalah diabetis yang dihadapi mendorongnya menubuhkan Kelab Pesakit Diabetes.
''Kelab aktif mengadakan perjumpaan pada setiap bulan untuk melihat perkembangan ahli dalam penjagaan tahap gula masing-masing," katanya.
Rakannya, Tengku Jaffar Tengku Ahmad, 79, berkata, sejak dikesan menghidap diabetes 20 tahun lalu, beliau langsung tidak mengambil gula dalam minuman.
Kini beliau bebas daripada penyakit itu tetapi tetap dengan kebiasaan hanya meminum air tanpa gula di samping hanya memakan nasi sekiranya dirasakan perlu.
''Dalam usia sekarang, doktor menasihat saya bersenam dengan cara berjalan laju sekurang-kurang dua kilometer," katanya.
Dia berpuas hati dengan kawalan minuman dan makanan yang dilakukan selama ini yang membuatnya selesa dalam menjalani kehidupan seharian.

Wang dalam akaun lesap







AHMAD Nor Dun menunjukkan laporan polis berhubung kejadian wang lesap dalam akaun simpanannya, di Temerloh, semalam. – MINGGUAN/Ali MahmooD



TEMERLOH 15 Mei – Seorang pegawai tentera mendakwa kerugian RM13,000 apabila wang yang disimpan dalam akaun bank, lesap setelah disyaki dicuri melalui perbankan Internet.
Mangsa, Ahmad Nor Dun, 39, berkata, hasil pemeriksaan mendapati wangnya itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga di luar negara.
Katanya, dia mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh pegawai di bank berkenaan yang terletak di Mentakab.
“Pada mulanya saya ingin mengeluarkan wang di bank itu pada 4 Mac lalu. Bagaimanapun kad ATM (mesin juruwang automatik) saya rosak dan perlu ditukar baru.
“Apabila selesai urusan penukaran kad, saya membuat semakan akaun dan mendapati wang RM13,000 saya telah hilang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Bapa kepada lima anak itu lalu berjumpa dengan seorang kakitangan di bank berkenaan untuk penjelasan.
Namun alangkah terkejutnya apabila dia diberitahu bahawa wangnya itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga di luar negara.
“Pegawai bank itu menasihatkan saya agar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin iaitu cawangan bank tempat saya membuka akaun.
“Melihat kepada penyata bank berkenaan, wang itu telah dikeluarkan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang 24 jam melalui perbankan Internet,” katanya.
Menurutnya, penjenayah itu juga turut membuat bayaran urusan Internet berjumlah RM200 dengan menggunakan wang daripada akaunnya.
Ahmad Nor berkata, dia hairan kerana tidak pernah mendaftar untuk penggunaan perbankan Internet tetapi wangnya dicuri menggunakan kaedah itu.
Dia juga mempersoalkan tahap keselamatan pihak bank dalam menjaga wang simpanannya kerana gagal menyekat transaksi itu daripada berlaku.
“Setahu saya untuk memindahkan wang melalui perbankan Internet tidak melebihi RM3,000 sehari... Bagaimana ia boleh dipindahkan melebihi had dengan begitu mudah sekali,” kata Ahmad.
Beliau memberitahu, wangnya itu adalah pinjaman Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) untuk melangsaikan hutangnya.
Ahmad Nor yang bertugas sebagai Pegawai Waran 2 di Kem Batu 3 Mentakab, terpaksa membayar balik ansuran pinjaman sebanyak RM960 sebulan selama dua tahun.
“Saya membuat pinjaman RM20,000 daripada Koperasi Tentera pada 28 Mac lalu bertujuan untuk menutup baki pinjaman lama berjumlah RM7,000 daripada koperasi yang sama.
“Manakala baki RM13,000 untuk perbelanjaan termasuk membayar hutang rakan-rakan,” katanya.

84 warga asing ditahan





PEGAWAI Imigresen Negeri (tengah) memeriksa sebahagian daripada warga asing yang ditahan di Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh, semalam.


IPOH 15 Mei – Seramai 84 warga asing termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditahan dalam Ops Kutip di Medan Gopeng, di sini hari ini.
Operasi selama empat jam itu bermula kira-kira pukul 10 pagi dengan dianggotai oleh 25 pegawai Imigresen Negeri.
Ketua Bahagian Penguat Kuasanya, Ahmad Puat Abd. Hamid berkata, operasi tersebut memberi tumpuan di kawasan restoran dan lokasi orang ramai.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 54 lelaki dan 29 wanita berusia antara 20 dan 45 tahun.
Katanya lagi, kesemua mereka berasal dari Indonesia, Myanmar, Pakistan, Vietnam dan Bangladesh.
“Kita menahan mereka untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan golongan itu memiliki dokumen perjalanan sah.
“Mereka membawa salinan dokumen perjalanan tetapi kita perlu membuat pemeriksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ahmad Puat berkata, mereka yang ditahan itu akan dibawa ke pejabat Imigresen di sini untuk siasatan dan akan dibebaskan jika memasuki negara secara sah.
Tegas beliau, mereka yang didapati memasuki negara ini secara haram akan ditahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
“Kita akan menghantar mereka ke Depot Tahanan Imigresen di Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sejak awal tahun ini, lebih 500 pendatang asing telah ditahan dalam Ops Kutip, Ops Selesa dan Ops Belanja di seluruh negeri ini.
Ahmad Puat memberi amaran kepada majikan agar mematuhi peraturan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di premis-premis mereka.
Katanya, mereka yang melindungi pendatang asing tanpa izin juga akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penalti lewat bayar saman





MELAKA 15 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang mengenakan penalti kepada pesalah trafik yang lewat menjelaskan saman dan tidak lagi memberi diskaun.
Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, konsep 'lebih lama ditangguh, lebih banyak perlu dibayar' itu kini hanya menunggu kelulusan Kabinet untuk dilaksanakan.
''Kita akan tukar konsep diskaun kepada cara lain. Sebagai contoh, jika dikenakan kompaun RM70, mereka boleh bayar jumlah itu dalam tempoh dua minggu.
''Tapi jumlah itu mungkin akan meningkat kepada RM100 jika tidak dijelaskan sehingga minggu ketiga dan akan terus meningkat selama ia tertangguh sehinggalah bayaran dijelaskan," katanya.
Solah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah kepada 495 pegawai dan kakitangan JPJ bagi Zon Semenanjung.
Menurut Solah, kertas kerja mengenai konsep itu telah pun disiapkan dan ia akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet untuk dimuktamadkan tidak lama lagi.
''Walaupun pada dasarnya semua pihak bersetuju dengan konsep ini, tapi oleh kerana kadar yang sedia ada ditetapkan oleh Kabinet, maka kita kena bawa sekali lagi untuk diputuskan,'' katanya.
Solah pada masa sama menegaskan, tindakan itu bukan bermaksud JPJ mahu meningkatkan jumlah kutipan saman sebaliknya lebih kepada mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan.
Tambah beliau, perkara ini dapat dilihat daripada tunggakan saman JPJ yang berjumlah RM16.9 juta sejak 2000 hingga 2008.
''Ini disebabkan mereka yang disaman itu tangguh untuk bayar, tunggu ada diskaun baru bayar.
''Jadi buat apa kita keluar saman sampai RM16.9 juta tetapi tiada kesan. Apakah keberkesanan yang kita ada kalau saman jabatan penguatkuasaan seperti JPJ dan polis tidak diendahkan,'' katanya.

Polis tahan 30 GRO China



PULAU PINANG 15 Mei - Walaupun sudah beberapa kali diserbu, sebuah premis karaoke di One Stop Midlands, Pulau Tikus di sini, masih tidak serik menawarkan perkhidmatan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dari China.
Terbaru, dalam serbuan pada pukul 1.15 pagi tadi, seramai 30 wanita warganegara itu dan seorang lelaki tempatan ditahan di premis yang terletak di tingkat empat pusat beli-belah tersebut.
Semasa serbuan, wanita-wanita itu bertempiaran lari selain ada juga yang bersembunyi di siling premis terbabit, namun berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan awal menunjukkan semua wanita itu disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 3 Akta Imigresen dan Seksyen 39B Peraturan Imigresen.
"Penahanan GRO itu menunjukkan mereka yang terbabit tidak pernah serik dan masih berdegil.
"Kebanyakan serbuan adalah hasil maklumat awam, jadi jelas masyarakat tidak suka perkara ini berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau turut memberi peringatan bahawa polis akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengusaha pusat hiburan yang masih berdegil mengambil GRO warga asing.

Ditikam pada majlis kahwin



TELOK KEMANG 15 Mei - Kemeriahan orang ramai menghadiri majlis perkahwinan di sebuah rumah bertukar kecoh apabila seorang pesakit mental tiba-tiba menikam seorang tetamu di Pasir Panjang, di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Goh Soon Kiat, 31, cedera di bahu kanannya selepas terkena tikaman lelaki tidak dikenali tersebut.
Berikutan kejadian itu, Soon Kiat dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh memberitahu, mangsa yang ditikam itu adalah seorang rakan kepada pengantin lelaki.
"Ketika kejadian, mangsa sedang berbual-bual dengan seorang lagi rakannya yang menghadiri majlis perkahwinan itu.
"Lelaki yang cedera itu dibantu rakannya sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Baljeet menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati lelaki yang menikam mangsa menggunakan pisau yang dibawanya.

16 remaja antara ditahan berpesta liar



SEBAHAGIAN remaja yang ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah resort di Port Dickson, awal pagi semalam.


TELUK KEMANG 15 Mei - Keasyikan 27 orang termasuk 16 remaja menyertai satu pesta liar dalam bilik yang diubah suai di sebuah resort di Port Dickson dekat sini, mengundang padah, apabila diserbu sepasukan polis awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu, semua mereka berusia antara 16 hingga 26 tahun ditahan ketika sedang khayal menikmati alunan muzik ala disko.
Daripada kesemua remaja yang ditahan, empat adalah wanita.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hasil maklumat awam.
Katanya, ujian air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif mengambil dadah termasuk empat wanita berkenaan.
"Penganjur mengubah suai bilik di resort berkenaan untuk dijadikan mini disko dengan membawa pelbagai peralatan seperti pembesar suara.
"Polis turut merampas sejumlah dadah dipercayai jenis ketamin dalam bilik itu," katanya di sini hari ini.
Baljeet berkata, kumpulan itu dikatakan menyewa bilik di resort berkenaan sejak semalam untuk bersuka ria.
Pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca bekalan dadah itu diperoleh.
"Mereka yang didapati positif dadah itu ditahan untuk tindakan lanjut dan siasatan mengenainya masih dilakukan.
"Polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang mengetahui perlakuan jenayah supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan," ujarnya.
Tambahnya lagi, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a), akta yang sama.
"Kesemua mereka kini ditahan di IPD Port Dickson untuk membantu siasatan," katanya.

Makmal proses dadah dibongkar





SEBAHAGIAN dadah dan bahan memprosesnya ditunjukkan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, semalam. – bernama


PULAU PINANG 15 Mei – Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah dengan penahanan dua lelaki dan merampas 32.4 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM1.95 juta dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.
Kedua-dua suspek rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 40 tahun itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 3.30 petang hingga 2 pagi tadi.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kedua-duanya merupakan ahli sindiket dadah terbabit yang telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
Katanya, hasil maklumat awam dan risikan, kedua-dua suspek tersebut ditahan di kawasan Jelutong dan polis merampas 4.5 kilogram heroin.
“Susulan itu, sepasukan polis negeri ini dengan kerjasama polis Bukit Aman menyerbu seunit rumah pangsa di Bukit Jambul dan berjaya membongkar makmal memproses dadah tersebut.
“Hasilnya polis menemui heroin seberat 27.9 kilogram, kafein (85 kilogram), dadah jenis ketamin (460 gram) dan bahan perisa (24 botol).
“Selain itu, pelbagai peralatan memproses dadah antaranya tong gas, oven, lampu serta alat timbang turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan S. Batumalai.
Beliau berkata, polis turut menyita dua buah kereta iaitu Honda Civic dan Hyundai Atos yang digunakan sindiket terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari penjara tahun lepas atas kesalahan jenayah serta dadah.
“Seorang daripada mereka juga bekerja sebagai penjual cakera padat video (VCD). Kedua-duanya ditahan reman bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayub berkata, sejak awal tahun ini sehingga Mac lalu, sebanyak 6.25 kilogram heroin dirampas berbanding hanya 4.14 kilogram rampasan dalam tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, dalam tempoh sama juga, seramai 4,829 orang membabitkan pelbagai jenis kesalahan terlibat dengan dadah ditahan berbanding 3,448 orang pada tahun lalu.
“Kita akan menjalin kerjasama dengan agensi-agensi lain dan melancarkan inisiatif pencegahan bagi membersihkan kawasan perumahan supaya bebas daripada gejala dadah,” katanya.