Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
kota@utusan.com.my
 |
KEADAAN sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang yang 'suram' dan kurangnya rondaan pihak polis dikatakan antara punca kawasan itu menjadi sasaran peragut, manakala gambar kecil, pelancong asing merupakan antara sasaran utama peragut di sekitar jalan itu. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin
|
KUALA LUMPUR 14 Mei - Menakutkan apabila mengetahui Jalan Alor di sini sebenarnya menjadi salah satu 'lubuk' bagi peragut di ibu kota.
Difahamkan sekurang-kurangnya tiga atau empat kes ragut bermotosikal berlaku di sepanjang jalan tersebut dalam sehari.
Keadaan itu dilihat dipengaruhi oleh banyak faktor dan salah satu daripadanya ialah keadaan di sepanjang itu yang kelihatan 'suram' termasuk pada waktu siang.
Pelik memikirkan situasi sunyi dan suram itu kerana kedudukannya yang terletak betul-betul sebelah kawasan Bukit Bintang yang diibaratkan sebagai tidak pernah tidur.
Bagaimana sebatang jalan yang terletak bersebelahan dengan pusat tumpuan pelancong yang sentiasa sibuk boleh berada dalam keadaan yang begitu berbeza.
Tinjauan
Utusan Malaysia selama beberapa jam di situ mendapati hanya golongan tertentu sahaja yang melalui jalan itu termasuk pekerja di gedung beli-belah berhampiran yang menikmati makan tengah hari atau minum petang di beberapa gerai di situ.
Kelihatan juga beberapa pelancong asing yang menggunakan jalan tersebut sebagai laluan pintas ke hotel penginapan bajet berhampiran Jalan Alor.
Beberapa pekerja warga asing yang tidak diketahui status mereka juga kelihatan duduk di kaki lima dan ada juga yang minum di gerai berhampiran.
Aduan orang ramai bahawa banyak kes ragut berlaku di jalan itu terbukti semasa tinjauan dilakukan apabila seorang pelancong asing diragut benar-benar berlaku di hadapan penulis, kurang dua jam berada di kawasan itu.
Seorang pekerja swasta,
Md. Faris Mohamed Naziran, 22, berkata, masalah peragut di jalan itu sudah lama diketahui dan kemungkinan besar ia dilakukan oleh warga asing.
Jelasnya, kebanyakan sasaran peragut di situ ialah pelancong asing dan wanita yang tidak berhati-hati dengan beg yang mereka bawa.
"Susah orang hendak percaya banyak kes ragut di sini kerana kedudukannya di sebelah Bukit Bintang. Namun, jika dibandingkan antara kedua-dua jalan ini, memang banyak betul perbezaannya.
"Di sana meriah, malahan ramai polis membuat rondaan, namun di sini terlalu sunyi dan seperti di sebuah kawasan asing. Jadi, mungkin itu menyebabkan peragut berani melakukan jenayah di sini," jelasnya.
Katanya lagi, peragut sering mensasarkan pelancong asing sebagai mangsa kerana golongan itu dilihat sering tidak berhati-hati dengan beg tangan atau kamera yang mereka bawa.
"Setiap kejadian berlaku kurang daripada lima saat. Peragut ini seperti terlalu profesional dan biasanya menaiki motosikal kapcai yang sudah diubah suai.
"Mungkin kerana jalan ini yang agak sunyi pada waktu siang menjadikan kes ragut kerap berlaku walaupun ia hanya berada di Jalan Bukit Bintang.
"Jika kita perhatikan bilangan polis yang meronda di sini juga agak kurang jika dibandingkan dengan jalan sebelah (Jalan Bukit Bintang)," ujarnya.
Mohd. Jasni Medah, 32, pula menyifatkan suasana di Jalan Alor seperti bukan di Kuala Lumpur atau mana-mana kawasan di negara ini.
Katanya, ini kerana rata-rata penghuni rumah kedai di sepanjang jalan itu merupakan warga asing dan kemungkinan besar kes ragut yang dilakukan oleh mereka.
"Kita tidak tahu siapa yang melakukan kerja-kerja tersebut, namun jalan ini sendiri sudah terkenal sebagai penempatan warga asing.
"Tidak mustahil mereka juga yang melakukan kes ragut bermotosikal yang sering berlaku di jalan ini," jelasnya.
Justeru, dia berharap polis turut memberikan perhatian sewajar kepada isu keselamatan di jalan tersebut dengan mempertingkatkan rondaan dan memeriksa penunggang motosikal yang mencurigakan di jalan itu.
"Polis perlu mengadakan rondaan yang lebih kerap di sini. Jangan jadikan jalan ini sebagai lubuk peragut lagi.
"Mereka (polis) juga harus lebih kerap memeriksa penunggang motosikal yang kadang-kadang berkumpul di hujung jalan. Bukan hendak menuduh tetapi mereka mungkin terlibat atau sedang merancang untuk meragut," ujarnya.
Sementara itu, pekerja swasta,
Eddy Ahmad Arshad, 23, berkata, status kebanyakan penghuni di Jalan Alor harus diperiksa selain memastikan kemeriahannya setanding Jalan Bukit Bintang terutama pada waktu siang.
Jelasnya, kesuraman Jalan Alor sendiri mungkin menyebabkan peragut berani melakukan jenayah, apatah lagi dengan mengetahui kurangnya anggota polis yang membuat rondaan di kawasan itu.
"Kita tidak tahu siapa yang tinggal di rumah kedai sepanjang jalan ini. Mungkin mereka menjadi 'spy' kepada peragut dan memaklumkan siapa yang berpotensi untuk diragut.
"Kawasan ini sudah hampir 'dijajah' sepenuhnya oleh warga asing, jadi tidak mustahil mereka sudah biasa dengan keadaan di situ dan meragut dijadikan kerja utama,'' katanya.
Eddy menambah, setiap kes ragut yang berlaku di Jalan Alor juga seperti sudah dirancang rapi kerana sering kali mangsa tidak mendapat bantuan daripada orang ramai dan jenayah itu juga berlaku dengan terlalu pantas.
"Ada orang ramai hendak membantu tetapi takut kerana sekeliling yang penuh dengan warga asing. Kerana itu kita harap lebih ramai polis dapat mengawal Jalan Alor ini.
"Sesiapa sahaja di sini berhadapan risiko diragut. Jangan terkejut melihat ada kes ragut di hadapan mata tanpa sesiapa membantu di sini,'' jelasnya.