Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Wanita maut ditendang zirafah

JOHANNESBURG: Seorang wanita dilaporkan terbunuh selepas ditendang seekor zirafah ketika cuba menyelamatkan anjing peliharaannya, lapor Agensi Berita Afrika Selatan (SAPA), semalam.
Menurut laporan, wanita terbabit bersiar-siar dengan dua anjingnya di sebuah ladang di wilayah Limpopo pada Ahad lalu.

Memetik akhbar Beeld, SAPA melaporkan, seekor daripada anjing mangsa tiba-tiba berlari ke arah sekumpulan zirafah sehingga menakutkan haiwan liar berkenaan.

“Ketika cuba melindungi anjingnya daripada mati dipijak, wanita berusia 25 tahun itu terkena tendangan zirafah di leher,” lapor SAPA. - Agensi

Amah disyaki khatan budak

MANAMA: Pihak berkuasa di Bahrain semalam berkata, mereka menyiasat dakwaan mengenai seorang budak perempuan berusia lima tahun dikhatan pembantu rumahnya.
Sumber berkata, mangsa tinggal bersama bapanya di sebuah negara Teluk selepas ibunya - seorang warga Bahrain - diceraikan.

Katanya, pasangan itu bernikah enam tahun lalu dan berpisah tidak lama selepas mangsa dilahirkan.

Ibu mangsa mendapat hak penjagaan di Bahrain pada 2006 tetapi bapanya kemudian diberi hak sama selepas memfailkan permohonan di negara asalnya.

“Bagaimanapun, ibu mangsa diberi kebenaran melawat anaknya atau membawa mangsa pulang ke Bahrain untuk tempoh seketika,” katanya.
Menurut sumber itu, dalam lawatan terakhir ke Manama, wanita terbabit melihat anaknya pucat dan enggan makan.

Pemeriksaan perubatan kemudian mendapati kemaluan budak terbabit cedera dan disahkan dikhatan.
Bimbang keadaan lebih buruk berlaku, wanita itu enggan menyerahkan anaknya kepada bekas suami dan mendapatkan perintah mahkamah melalui peguam.

Sebuah mahkamah syariah turut melarang budak terbabit meninggalkan Bahrain.
Setakat ini pihak berkuasa mengesyaki budak terbabit dikhatan pembantu rumah bapanya. - Agensi

Gayut bawah bas seludup masuk ke England

LONDON: Tiga imigran haram bergayut di bawah bas sekolah yang pulang ke Britain dari Perancis.
Imigran warga Sudan itu dipercayai bergayut hampir tiga jam di bawah bas ketika bas membawa 47 pelajar dan enam guru itu melalui perjalanan sejauh 160 kilometer dari Calais ke Ingatestone, Essex.

Sebaik bas tiba di Ingatestone, mereka muncul dalam keadaan comot di hadapan ibu bapa yang datang untuk menjemput anak-anak mereka.

Lelaki berusia 18, 22, dan 26 tahun itu kemudian berjalan ke High Street.

Mereka bagaimanapun diikuti pengawal sekolah, Keith Britten dan ibu bapa pula menghubungi polis yang berjaya menahan mereka dan diserahkan kepada Agensi Sempadan Britain.
“Saya ternampak mereka pertama kali ketika membantu mengeluarkan beg daripada tempat simpanan bas.

“Tiba-tiba tiga orang lelaki berdiri di atas rumput berhampiran bas,” kata Britten.
Ketiga-tiga imigran itu dipercayai mula bergayut di bawah bas ketika ia berhenti di Pusat Beli Belah Cite Europe di Calais.

Mereka bersembunyi di antara casis dan enjin, hanya beberapa inci daripada jalan.

“Kami tak sangka perkara seperti begini boleh berlaku.

“Tuah menyebelahi mereka kerana polis mengetahui taktik ini dan selalu memeriksa bawah kenderaan,” kata guru, Rob Perry. - Agensi

Tiba-tiba saja ghaib

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes khalwat membabitkan warga Lubnan, Ellie Youseff Najem ditangguhkan pada 9 Jun ini apabila lelaki itu ‘hilang’ tiba-tiba selepas mendakwa diserang sakit jantung ketika prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.
Sebelum itu, Ellie yang hadir pada jam 9 pagi turut menarik perhatian apabila diiringi 15 lelaki dipercayai pengawal peribadi.
Keadaan ketika itu turut kecoh apabila ‘pengawal peribadi’ tertuduh menghalang urusan mahkamah serta mengganggu media membuat liputan. Ellie pada mulanya dilihat memasuki kamar bicara di tingkat bawah Mahkamah Rendah Syariah sebelum diarahkan ke tingkat atas untuk kes jenayah syariah disebut. Bagaimanapun, ketika media dan orang ramai tiba di tingkat dua, kelibat lelaki itu tidak kelihatan walaupun sebelum itu dilihat berada di perkarangan mahkamah. Ketika pembantu mahkamah memanggil kedua-dua tertuduh untuk sebutan, hanya pasangannya, Roslin Tahir, 49, masuk ke kandang tertuduh. Seorang lelaki yang mendakwa pembantu peribadi Ellie memberitahu Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain, tertuduh dibawa ke hospital kerana mendakwa mengalami serangan jantung, tetapi tidak pasti hospital mana.

Mohd Amran kemudiannya meminta surat pengesahan dari hospital berhubung keadaan kesihatan Elli. Bagaimanapun, pembantunya gagal berbuat demikian menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh berkuat kuasa serta-merta.

Ketika prosiding membabitkan pasangan tertuduh diteruskan, penjamin Ellie terdahulu memohon untuk menarik diri daripada menjamin lelaki itu sebaliknya mahu kekal sebagai penjamin Roslin.

Namun, mahkamah memerintahkan supaya Ellie hadir sebelum mahkamah membenarkan permohonan penarikan diri penjamin terbabit, tapi bon jaminan terhadap Ellie masih dikekalkan hingga tarikh sebutan semula kes 9 Jun ini.

Mahkamah memerintahkan Ellie membawa pengganti lain sebagai penjaminnya. Sementara itu, Roslin yang hadir pada sebutan kes khalwat itu mengaku tidak bersalah dan memohon supaya kesnya dibicarakan serta ingin melantik peguam pada perbicaraan akan datang.

Wanita itu diberi sebulan untuk berbuat demikian. Sebelum itu, wanita terbabit tiba di mahkamah berkenaan dengan memakai purdah dan sempat melambai tangan kepada media ketika memasuki kamar perbicaraan. Ellie dan Roslin sebelum ini dituduh berkhalwat di sebuah bilik di tingkat lapan, Wisma Belia, Brickfields, jam 3.45 petang, 26 April lalu. Ellie didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 manakala Roslin dituduh mengikut Seksyen 27(b) akta sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Bintang realiti mengaku curi

LOS ANGELES: Bintang realiti televisyen, Alexis Neiers, mengaku bersalah memecah masuk dan mencuri barangan berharga daripada rumah aktor Britain, Orlando Bloom di Hollywood.
ALEXIS (kiri) bersama rakannya, Tess Taylor ketika menyertai rancangan realiti televisyen, Pretty Wild. Gambar kecil, Bloom.
ALEXIS (kiri) bersama rakannya, Tess Taylor ketika menyertai rancangan realiti televisyen, Pretty Wild. Gambar kecil, Bloom.
Alexis, 18, didakwa membuat pengakuan itu kerana tidak sanggup berdepan Bloom di mahkamah.

Beliau dihadap ke mahkamah atas tuduhan mencuri barangan berharga bernilai AS$595,699 (RM1.91 juta) dari rumah bintang dilem The Pirates Of The Caribbean itu pada Julai lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Alexis kerana mengaku bersalah.

Hakim turut mengarahkan Alexis, anggota kumpulan Bling Ring supaya tidak mendekati Bloom.
Kumpulan enam remaja itu didakwa mencuri barangan bernilai berjuta dollar daripada rumah selebriti, termasuk Paris Hilton, Lindsay Lohan, Rachel Bilson dan bintang The Hills, Audrina Patridge antara 2008 dan 2009.

Selain itu, Alexis turut diarah membayar ganti rugi yang mungkin mencecah ratusan ribu dollar kepada Bloom.

'Saya sudah tak tahan'

MASJID TANAH: “Tolonglah mak, usahakan saya dan anak-anak supaya boleh pulang ke sana (Malaysia) secepat mungkin. Saya sudah tidak tahan lagi hidup di sini (Lombok), tolonglah saya, mak.”
Begitu keluhan ibu kepada lima anak, Sanisah Abu Bakar, 36, ketika menghubungi emaknya, Salmah Mahmud, 69, di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi, di sini, sempena Hari Ibu pada Sabtu lalu bagi memaklumkan penderitaannya sejak meninggalkan kampung halaman kira-kira lapan tahun lalu.
Sanisah mendakwa dia kini terperangkap antara cinta dan keluarga, tetapi menaruh harapan terlalu tinggi untuk pulang ke negara ini kerana sudah tidak sanggup berdepan dengan kesusahan hidup di negara jiran itu termasuk membawa anak-anaknya ke sini.

Salmah berkata, Sanisah memaklumkan dia merindui keluarganya dan merayu supaya keluarganya dapat berbuat sesuatu untuk membebaskan dia dan anak-anaknya yang kini berada di Lombok.

Menurutnya, anak perempuannya itu menjalani kehidupan amat perit apabila terpaksa membanting tulang sendiri mencari sesuap nasi bagi menyara anak-anaknya yang masih kecil, sedangkan suaminya hanya duduk di rumah tanpa pekerjaan, malah menambahkan lagi beban yang terpaksa ditanggung.

Katanya, keadaan bertambah buruk apabila anaknya mendakwa dihalau pemilik rumah tempatnya berteduh tanpa budi bicara menyebabkan mereka anak-beranak terpaksa berpindah dan menetap di dalam hutan yang jauhnya kira-kira 15 kilometer dari tempat anaknya bekerja dengan membina pondok lain untuk meneruskan kehidupan.

“Dia (Sanisah) ada beritahu memerlukan duit belanja untuk keperluan seharian anak-anaknya sebab hendak makan pun susah, bukan seperti di sini (Kuala Linggi). “Lagipun, dia hanya mengambil upah mengopek kacang tanah dan kacang hijau dengan pendapatan tidak seberapa dan cukup untuk membeli beras bagi keperluan keluarga,” katanya.

Malah, katanya, dia juga sempat berbual dengan cucunya yang menyatakan mereka hanya makan lempeng setiap hari dan tidak pernah bersekolah.

“Cucu saya itu berkata, mereka sudah tidak tahan hidup di sana sebab hari-hari makan lempeng, sekolah pun tak pernah tengok. “Saya hiba apabila mendengar kata-kata cucu berkenaan kerana tidak menyangka begitu azab sekali kehidupan di negara itu, dan jika tahu sebelum ini sudah tentu tidak benarkan mereka pergi ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Sanisah mempunyai lima anak iaitu Shahada, Izuwan, Najwa, Aliff dan Ain yang berusia antara dua hingga 10 tahun dan kisah mereka pernah disiarkan di akhbar Harian Metro sebelum ini di mana mendapat liputan meluas termasuk mengundang persepsi berbeza, namun hingga kini masih belum berjaya membawa mereka pulang ke negara ini.

Akhbar ini turut melaporkan keperitan hidup wanita itu yang hidup melarat di Lombok bersama lima anaknya selepas mengikuti suaminya pulang bercuti ke negara berkenaan.

Salmah berkata, dia kini sudah tidak mampu menanggung kerinduan terhadap anak dan lima cucunya itu selepas terpisah dengan mereka sejak lapan tahun lalu, dan berharap ada pihak terutama kerajaan dapat menghulurkan bantuan membawa keluarga terbabit pulang semula ke negara ini.

Sarjan British dirompak

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai polis berpangkat sarjan dari England terkilan apabila menjadi mangsa kes kecurian di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini, pada Jumaat lalu.
Anggota polis Diraja Britain, Tracey Bugiel, 31, terbabit dalam kejadian yang berlaku pada hari pertama dia tiba ke bandar raya Johor Bahru selepas kira-kira seminggu mengunjungi Melaka.
Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata hingga tidak disedarinya mahupun beberapa ahli lain yang mewakili Kumpulan Rotary Antarabangsa dari England (Daerah 1210) untuk mengikuti rombongan lawatan sambil belajar bersamanya selama seminggu di sekitar bandar raya ini.

“Kejadian berlaku ketika saya duduk di tempat duduk di terminal itu dan apabila saya pandang sebelah, beg yang mengandungi komputer riba dan beberapa barangan lain sudah tiada.

“Saya bernasib baik tidak kehilangan dompet mahupun pasport kerana diletakkan di beg berbeza,” katanya ketika ditemui dalam rombongan Kumpulan Rotary Antarabangsa dari England di pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, semalam.

Tracey berkata, dia bagaimanapun menganggap kejadian itu sesuatu yang biasa kerana pernah menimpanya ketika rombongan di beberapa negara lain sebelum ini.

“Keseronokan berada di sini dan sikap mesra penduduk berbilang bangsa menyebabkan saya hampir melupakan peristiwa pahit itu.

“Saya juga berharap dapat melancong ke Johor Bahru pada masa depan,” katanya.

Lima peserta Kumpulan Rotary Antarabangsa dari England mengadakan lawatan sambil belajar selama tujuh hari di sekitar bandar raya ini. Kumpulan berkenaan turut mengadakan lawatan di beberapa tempat di daerah ini menerusi pimpinan Rotary Antarabangsa daerah 3310 (Johor Bahru).

Pengerusi Kedutaan Biasiswa Daerah 3310, Ir John Cheah Kam Loong, berkata pihaknya menyediakan sagu hati pada peserta yang kehilangan barangan berkenaan selain ahli kumpulannya melakukan laporan polis mewakili wanita berkenaan pada hari kejadian.

Menurutnya, lawatan disertai lima ahli dari Rotary Antarabangsa England bermula 7 Mei hingga semalam berjalan dengan lancar.

“Antara tempat dilawati termasuklah ke Tanjung Piai, MBJB, IPK Johor, Rumah Berkat, Muzium dan Pertubuhan Pemulihan Kawasan Johor (JARO).

“Pihak Rotary Antarabangsa berbesar hati memimpin kumpulan ini dengan harapan dapat mempromosi pelancongan Malaysia kepada negara lain,” katanya.

Bogel ketika diserbu

SELAYANG: Seorang pelanggan rumah urut yang sedang asyik diurut tanpa seurat benang tiba-tiba pucat lesi apabila premis dikunjunginya diserbu dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Imigresen Selangor, di sini, semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu bingkas bangun menutup badannya dengan tuala sebelum ditahan pegawai Jais kerana melakukan kesalahan khalwat.
Dalam operasi bermula jam 5 petang dan berakhir dua jam kemudian itu, seramai 60 anggota penguat kuasa MPS dibantu tujuh pegawai Jais dan enam pegawai imigresen juga terpaksa memecahkan salah satu daripada tiga premis yang diserbu kerana berkunci.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan MPS, Ahmad Faisal Badiuzaman, berkata serbuan itu dilakukan selepas melakukan risikan mengenai premis kediaman yang dijadikan rumah urut tanpa kebenaran.

“Serbuan ini dijalankan untuk menangani masalah kediaman yang dijadikan rumah urut, sekali gus menjurus masalah sosial. Kawasan di Batu Caves Central Point ini sudah diserbu awal tahun ini, bagaimanapun masih ada pihak berdegil terus menjalankan operasi.

“Dalam operasi bersepadu ini, pihak imigresen menahan empat wanita warga Indonesia termasuk seorang mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun serta seorang warga Bangladesh yang gagal menunjukkan dokumen.

“Manakala pihak Jais di premis berasingan yang diserbu, menahan empat wanita tempatan bekerja di rumah urut serta dua lelaki tempatan yang melanggan,” katanya, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan sentiasa melakukan operasi seumpamanya dalam usaha membanteras kegiatan tidak bermoral.

Sementara itu, bagi kesalahan syariah, Pegawai Penguat Kuasa Jais daerah Gombak Zilhisham Zakaria, berkata mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 29 1 (A) dan (B) Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pegawai Kanan Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Sabri Senapi, berkata warga asing termasuk seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) C Akta Imigresen dan Seksyen 15 1 (C) Akta Imigresen.

Ugut bapa

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan mengugut bapanya, bulan lalu.
Tertuduh, S M Charles, 29, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan. Charles didapati melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, S Susean Manikam, 60, di No 173, Jalan Krian, Taman Rainbow, Off Jalan Ipoh, pada jam 9 pada, 21 April 2010.

Beg dadah RM240,000

KUALA LUMPUR: Masuk ke negara ini kononnya untuk melanjutkan pelajaran, tetapi sebenarnya menjalankan kegiatan menyeludup dadah sebagai satu cara mudah untuk menjadi kaya.
Ini yang dilakukan dua lelaki warga Afrika berstatus pelajar itu ketika cuba menyembunyikan lebih 3.1 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis heroin dalam sebuah beg di Bukit Bintang, di sini sebelum ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman, kira-kira jam 5.15 petang, semalam.
Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata pemeriksaan lanjut mendapati dadah itu diisi dalam sebungkus plastik lutsinar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan ialah RM240,000.

“Mereka yang berusia 28 tahun dan 22 tahun terbabit ditahan selepas dipercayai baru sahaja menerima beg yang berisi bungkusan dadah berkenaan daripada seseorang atau kumpulan berkemungkinan untuk diproses sebelum dijual semula.

“Kita (polis) percaya dadah itu akan diproses semula untuk dijadikan saiz yang lebih kecil dan jika dijual boleh mencapai nilai sehingga RM1.8 juta. Dadah itu juga kemungkinan untuk pasaran tempatan atau diseludup semula ke negara luar,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua suspek adalah pelajar jurusan pengurusan perniagaan di sebuah kolej swasta, dan seorang suspek baru tiga minggu memasuki negara untuk melanjutkan pengajiannya.

Menurutnya, hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati suspek pertama yang berusia 28 tahun itu adalah negatif manakala suspek kedua pula positif ganja. “Suspek ditahan reman tujuh hari bermula 9 Mei lalu bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam. Katanya, polis akan menjalankan siasatan terperinci terutama mencari individu lain yang mempunyai kaitan dengan suspek, sekali gus mengenal pasti punca bekalan dadah itu diperolehi.

Kang berkata, dari Januari sehingga Mac tahun ini, polis berjaya menahan 14 warga Afrika yang terbabit dalam aktiviti dadah.

“Mengikut statistik 2009, seramai 502 orang berjaya ditangkap kerana terbabit di dalam semua aktiviti dadah. Daripada jumlah itu, 24 adalah warga Afrika. “Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini sehingga menyukarkan polis mengesannya,” katanya.

Tunggang motor 400km

MARAN: Misteri kehilangan seorang warga emas selepas dia dikatakan pergi ke pasar malam di daerah ini seorang diri, Isnin lalu, akhirnya terjawab apabila dia ditemui di Balakong, Selangor, kira-kira 400 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
Warga emas terbabit, Ali Limil, 67, dari Felda Dahlia, di sini, dikatakan kali terakhir dilihat menunggang motosikal bersendirian menuju ke arah Felda Hulu Jempol dipercayai untuk ke pasar malam pada hari berkenaan.
Bagaimanapun, keluarga warga emas terbabit yang sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu terkejut apabila menerima panggilan mengatakan bapa mereka berada di Balakong.

Menurut anak keempat warga emas terbabit, Julita, 40, keluarganya yang sebelum ini bimbang mengenai keselamatan ayahnya terkejut apabila menerima panggilan telefon dari seorang lelaki mengatakan ayahnya berada di sana.

“Lelaki itu menghubungi kakak sulung, Melur, 47, kerana ingin meminta ganti rugi selepas motosikal yang ditunggang ayah terbabit dengan kemalangan kecil dengan kenderaannya.

“Namun kami terkejut dan seperti tidak percaya apabila dimaklumkan kemalangan itu berlaku di Balakong, Selangor kerana jaraknya dari rumah begitu jauh,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Maran selepas menjemput anaknya di ibu negara terpaksa berpatah semula sebelum menemui bapanya yang dalam keadaan keletihan dan cedera ringan di kaki.

“Saya hairan bagaimana ayah boleh sampai ke sana dengan menunggang motosikal buruknya itu, namun saya tetap bersyukur kerana ayah dapat ditemui dengan selamat.

“Ketika ditanya, ayah memberitahu hendak pergi ke rumah Melur di Selayang namun tersesat sebelum terbabit dengan kemalangan itu, malah dia turut mendakwa tidur di rumah di Maran pada malam dia hilang,” katanya.

Julita berkata, keadaan ayahnya kini stabil selepas dirawat di Hospital Selayang (HS) namun dia tidak menyangka penyakit nyanyuk yang dialami bapanya sejak empat bulan lalu kini menjadi begitu serius.

“Mujurlah, ayah membawa telefon bimbit dalam beg pinggangnya yang turut mengandungi beg duit dan dokumen penting lain. Ini membolehkan lelaki yang terbabit dalam kemalangan itu menghubungi kami.

“Jika ayah terlupa membawa beg pinggangnya, sudah tentu sampai sekarang kami tidak dapat mengesannya,” katanya

Rahsia pil ubat batuk hilang terbongkar

KUALA TERENGGANU: Kehilangan sejumlah pil ubat batuk bernilai kira-kira RM5,000 di sebuah farmasi membongkar rahsia seorang kakitangan jabatan kesihatan dikesan menagih dadah.
Kejadian di premis di Jalan Banggol Air lilih, dekat sini, disedari selepas pemiliknya mendapati pil ubat batuk dan sejumlah wang tunai dianggarkan bernilai RM5,000 lesap sebelum melakukan penyiasatan mengenai kehilangan itu.
Hasilnya, lelaki berusia 39 tahun itu melihat kelibat seorang kakitangan jabatan berkenaan yang bertugas di bahagian pembersihan masuk ke kawasan itu sambil membawa sebungkus beg hitam tetapi keluar dari farmasi bersama dua beg iaitu bungkusan hitam dan putih.

Dikepung Geng Kelawar Hijau

KUALA TERENGGANU: Satu keluarga dari Kampung Durian Mas, Manir, dekat sini, kini dihantui kebimbangan selepas sekumpulan lelaki menggelarkan diri sebagai Geng Kelawar Hijau mengepung kediaman mereka ketika mencari anak lelaki keluarga berkenaan.
Tindakan itu memaksa beberapa individu menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan namun sebaik pihak berkuasa tiba, kumpulan terbabit sudah pun beredar dari kediaman terbabit.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan), Superintendan K Manoharan berkata, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat perkara itu namun setakat ini, polis tidak menerima laporan rasmi berhubung kehadiran kumpulan lelaki di rumah dimaksudkan.

“Memang ada pihak menghubungi polis dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian tetapi sebaik tiba, kami mendapati tiada apa yang berlaku malah sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis diterima mengenai kegiatan itu (kepungan),” katanya.

Sementara itu, mangsa, Tengku Zulkifli Tengku Mansor, 30, berkata segala-galanya bermula selepas dia membuat laporan polis berhubung tindakan seorang ahli kumpulan terbabit yang memeras ugut serta merampas wang RM650 dan telefon bimbitnya, Sabtu lalu.

Katanya, ketika itu seorang rakan memintanya membeli makanan sebelum menghantarnya ke sebuah hotel murah di pusat bandar namun sebaik saja memasuki hotel disewa rakannya itu, muncul dua lelaki dipercayai bersubahat dengan rakannya itu yang kemudian menyerangnya.

“Saya gagal mempertahankan diri selepas mereka mengacu sebilah pisau di perut serta merampas wang RM650, telefon bimbit dan kunci motosikal sebelum ketiga-tiganya melarikan diri.

“Kerana terlalu takut, saya berlari meminta pertolongan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang yang mengesan mereka, bagaimanapun ketiga-tiga mereka dapat melarikan diri dan meninggalkan sebuah motosikal.

“Saya dan rakan lain merampas motosikal mereka dengan harapan wang serta barangan dirampas itu dikembalikan tetapi mereka berdegil dan enggan bekerjasama sebelum membawa motosikal itu ke Balai Polis Tepuh dan membuat laporan mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, kerana tidak berpuas hati, sekumpulan lelaki menggelarkan diri ahli Geng Kelawar Hijau mengepung rumahnya kelmarin dan ketika kejadian hanya ibu dan ayahnya di rumah.

“Hampir semua motosikal yang datang ke rumah saya mempunyai logo kelawar dan kumpulan itu lebih daripada 100 orang menyebabkan penduduk mendapatkan bantuan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Durian Mas, Zulkifli Mat Min untuk meredakan keadaan,” katanya.

Sawa telan babi

JASIN: Tiga penduduk Kampung Kemengkang, Kesang Tua, Jasin, di sini, terkejut apabila menemui seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dengan berat kira-kira 150 kilogram sedang melengkar kekenyangan disyaki menelan babi berhampiran kawasan semak ketika melakukan kerja pembersihan tanah terbiar untuk tanaman semula getah menerusi Projek Lembaga Getah Malaysia (LGM), semalam.
Penduduk yang juga Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kemengkang, Abd Manan Abu Bakar, 56, berkata ular sawa terbabit ditemui kira-kira jam 10.30 pagi ketika sebuah jentolak membersihkan belukar di kawasan itu.

Kenal di rumah bawa ke hotel

MELAKA: Cubaan seorang lelaki warga Pakistan untuk menjadi ‘jaguh pecut’ dengan melarikan diri sejauh hampir 200 meter selepas dicekup berkhalwat dengan isteri orang di sebuah hotel bajet, dekat sini, semalam hanya sia-sia apabila dia berjaya ditahan tidak lama kemudian.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, lelaki berusia 39 tahun terbabit melarikan diri ketika dibawa masuk ke dalam van Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dengan merempuh pegawai penguat kuasa yang menahannya.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata lelaki yang bekerja sebagai peniaga di Muar, Johor, itu berjaya ditahan pasukannya apabila cuba melarikan diri selepas dicekup dengan pasangannya berusia 40 tahun dalam sebuah bilik di hotel berkenaan.

Menurutnya, sebelum itu pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran pasangan terbabit di hotel bajet berkenaan dan beliau serta pegawainya pergi ke lokasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

“Sejurus tiba di bilik berkenaan, pegawai Jaim mengetuk pintu dan apabila masuk ke dalam sebaik dibuka menemui seorang lelaki tidak berpakaian hanya memegang seluar dalam. “Pemeriksaan lanjut kemudian turut menemui seorang wanita berada di dalam bilik air dengan menutup badannya dengan selimut, dan soal siasat dijalankan mendapati pasangan terbabit bukan mahram dan wanita itu pula sudah berumahtangga,” katanya.

Rahimin berkata, siasatan mendapati pasangan terbabit baru berkenalan sejak tiga bulan lalu dan semalam adalah pertama kali mereka menyewa bilik hotel untuk ‘bertemu’.

Katanya, pasangan terbabit berkenalan ketika lelaki terbabit datang ke rumah ibu kepada tiga anak berusia dua hingga 12 tahun untuk menjual bingkai gambar sebelum mereka bertemu di Terminal Melaka Sentral lalu pergi ke hotel bajet dengan menaiki sebuah teksi.

Nyaris maut kereta dibakar

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu mengantuk, seorang wanita yang tertidur di dalam keretanya nyaris maut apabila kenderaannya itu dibakar individu tidak dikenali di Kepong di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas sesak nafas kerana terhidu asap.
Selepas membuka mata, mangsa yang berusia awal 20-an itu terkejut apabila mendapati sebahagian kereta Perodua Myvi miliknya terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang pulang selepas bekerja mendakwa tertidur di dalam kereta kerana keletihan.

Menurut sumber, mangsa hanya menyedari keretanya sedang dijilat api selepas mengalami sesak nafas kerana terhidu asap.

“Sebaik turun daripada kenderaannya itu, mangsa melihat separuh daripada keretanya dijilat api sebelum berusaha memadamkan kebakaran berkenaan.

“Difahamkan, mangsa memadamkan api menggunakan baldi. Selepas usahanya itu gagal, dia meminta pertolongan orang ramai sebelum menghubungi polis,” katanya.

Padah tak pakai tali keledar

KUALA LUMPUR: Akibat tidak memakai tali pinggang keselamatan, seorang penumpang sebuah kereta maut dalam keadaan mengerikan selepas tercampak keluar dari tingkap kenderaannya sebaik merempuh tembok pembahagi jalan.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, kereta Toyota Vios yang dinaiki tiga lelaki terbabit dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh tembok pembahagi jalan berhampiran Jalan Semantan di sini.

Pelanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan terbalik beberapa kali menyebabkan mangsa di tempat duduk belakang tercampak keluar.

Sumber polis trafik berkata, mangsa terhumban ke laluan paling kanan jalan raya selepas ‘meluncur’ keluar dari cermin kenderaan yang pecah. Dipercayai mangsa tidak memakai tali pinggang keselamatan ketika kejadian.

“Siasatan mendapati kereta terbabit sebelum itu dinaiki tiga lelaki dari Pusat Bandar Damansara di sini, sebelum terbabit kemalangan. Hasil siasatan, mangsa, Nagarajan Balakrishnan, 28, yang parah di kepala, diangkat orang ramai ke tepi jalan bagi mengelakkan dirempuh kenderaan lain.
“Namun, mangsa disahkan mati sebaik anggota perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba ke tempat kejadian untuk memberi bantuan kecemasan,” katanya.

Katanya, dua lagi pemandu dan penumpang hadapan kereta terbabit bagaimanapun tidak cedera serius.
“Kemalangan itu turut menyebabkan tayar hadapan kanan Toyota Vios berkenaan tercabut. Bagaimanapun, tayar itu gagal ditemui. Susulan itu, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pekerja penghantar surat maut apabila dirempuh sebuah kereta sebaik mangsa terjatuh dari motosikal berhampiran hadapan kedutaan besar Thailand di Jalan Ampang di sini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 1.30 petang semalam, mangsa, Mohd Nasriq Razali, 24, yang berasal dari Gombak Setia, dipercayai menunggang motosikal sebelum bergesel sebuah teksi dari Ampang.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh sebelum dirempuh dan digilis sebuah kenderaan lain.

Bagaimanapun, kereta yang melanggar mangsa melarikan diri.

Mangsa dipercayai bekerja sebagai ‘despatch’ dengan sebuah syarikat guaman di Damansara berdasarkan dokumen ditemui di dalam begnya. Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat HKL untuk bedah siasat.

Pelawak cedera muka



SEREMBAN – Pelawak, pelakon dan pengacara program Raja Lawak, Johan cedera bahagian muka selepas bergaduh dengan seorang produser drama di sebuah restoran di Taman Sri Pulai 2, Sikamat, di sini. 

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Johan atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim, 26, cedera selepas dibaling cawan kaca oleh produser terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tingkah laku pelakon itu. 

Johan dikatakan berada di Seremban kerana terbabit penggambaran drama komedi seram empat episod bagi siaran Astro Prima yang turut dibintangi isterinya, Rozlinawaty Ismail, 29, lebih dikenali Ozlyn Wati, 29. 

Sinar Harian difahamkan, penggambaran drama itu berlangsung lima hari dan Johan adalah pelakon utama. 

Seorang saksi berkata, pergaduhan tercetus antara Johan dan produser drama berumur 30-an itu di sebuah restoran mamak dipercayai kerana menegur sikap pelakon itu yang sering tiba lewat ke set penggambaran. 

Menurutnya, mangsa dikatakan ke restoran itu untuk berbincang dengan produser itu sejurus selesai sesi penggambaran di sekitar kawasan berkenaan. 

“Bagaimanapun, keadaan bertukar kecoh apabila produser terbabit membaling gelas kaca ke arah mangsa menyebabkan kecederaan pada kanan atas kening kanan pelawak itu. 

“Saya dapati mukanya berlumuran darah, selain meja di restoran terbalik termasuk pinggan serta gelas bertaburan,” katanya. 

Menurutnya, pergaduhan itu cuba dileraikan isteri Johan dan beberapa krew penggambaran di lokasi kejadian. 

Johan kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, sementara produser itu buat laporan di Balai Polis Rahang, di sini. 

:Pelakon berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), jam 10.30 malam dan menerima beberapa jahitan. 

:Beberapa wartawan yang menunggu di luar pekarangan Unit Kecemasan HTJ bagi mendapatkan cerita sebenar daripada Johan gagal apabila pelakon itu menghilang diri sebaik selesai dirawat, dipercayai enggan bertemu media. 

Wartawan dan jurugambar yang menunggu sehingga jam 3 pagi terpaksa pulang hampa apabila kelibat Johan tidak kelihatan, dipercayai meninggalkan HTJ secara 'senyap-senyap' dengan bantuan pengawal keselamatan hospital itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asistan Komisioner Saiful Azly ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Lapor jika dikasari



KOTA BHARU - Polis Kelantan memohon kepada mana-mana kerabat diraja termasuk Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mendakwa dikasari polis semasa insiden ditahan di depan Istana Mahkota tampil membuat laporan polis. 

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim sekali lagi menegaskan pihaknya tidak melakukan sebarang kekasaran antara pihak polis dan Raja Perempuan. 

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak wujud sebarang kekasaran seperti yang didakwa itu. Pihak polis tetap dengan pendirian kita sebelum ini bahawa insiden berkenaan tidak berlaku. 

"Sekarang ini hanyalah laporan daripada media, kalau benar Tuanku Raja Perempuan dikasari seperti yang dilaporkan oleh media, pihak polis mohon kepada Tengku Anis supaya tampil membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan sebuah akhbar semalam yang memetik sumber bahawa pihak Istana Mahkota kesal dengan penafian polis negeri berhubung insiden kekasaran terhadap kerabat diraja berkenaan yang mahu menziarahi Sultan Kelantan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Selasa lalu. 

Amir berkata, siasatan terhadap sebarang kes termasuk melibatkan kes Istana akan dijalankan jika terdapat laporan polis yang dibuat. 

Katanya, semasa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke HUSM, Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan agar kawalan keselamatan dipertingkatkan dan sesiapa yang ingin menziarahi Sultan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja.

Kartunis Sweden hina Nabi diserang




STOCKHOLM - Kartunis Sweden, Lars Vilks, yang mencetuskan kemarahan penganut Islam kerana melukis karikatur Nabi Muhammad, diserang seorang lelaki ketika sedang menyampaikan syarahan mengenai kebebasan bersuara di sebuah universiti. 

Rakaman video disiarkan laman-laman web akhbar tempatan menunjukkan aksi orang ramai memarahi Vilks dalam dewan kuliah University Uppsala, 70 kilometer dari Stockholm. 

Seorang anggota polis kelihatan menggunakan penyembur lada ke arah seorang lelaki. 

Vilks mendakwa diserang oleh seorang lelaki, yang duduk di barisan hadapan, dengan menggunakan kepala. 

"Dia menyerang saya menggunakan kepala. Saya terjatuh dan cermin mata saya hilang," katanya. 

Rakaman video selepas serangan menunjukkan dewan kuliah dipenuhi berpuluh-puluh orang yang sedang memekik marah. 

Media Sweden melaporkan insiden berlaku apabila Vilks mula menayangkan video yang memaparkan imej seksual dan agama.

Al-Qaeda masih kuat di Iraq



BAGHDAD - Serangan skala besar dilancarkan al-Qaeda baru-baru ini men:unjukkan kumpulan militan itu berupaya melancarkan keganasan seluruh Iraq, kata pegawai kanan tentera Amerika Syarikat (AS). 

:Brig. Jen. Ralph Baker berkata, keupayaan kumpulan militan Sunni berjaya dilemahkan dengan penangkapan dan pembunuhan beberapa anggota kanan, termasuk dua pemimpin tertinggi mereka. 

Menurutnya, pelbagai siri serangan dari bandar Mosul di utara hingga ke Basra di selatan Iraq pada Isnin lalu menunjukkan al-Qaeda masih memiliki kemampuan terhad untuk mengawal dan menguasai seluruh negara. 

"Ini sepatutnya menjadi panggilan kecemasan kepada pasukan keselamatan Iraq dan mereka tidak boleh lagi leka dalam kejayaan yang baru dicapai," katanya. 

Militan membunuh sekurang-kurangnya 125 orang dengan melancarkan serangan bom di sebuah kilang tekstil di bandar Hilla, selatan Baghdad, pada awal minggu ini. 

Pertumpahan darah berlaku sebagai susulan daripada ketegangan politik berikutan kegagalan parti-parti politik di Iraq membentuk kerajaan selepas pilihan raya 7 Mac lalu.

Pemuda ancam bunuh Puteri Aiko ditangkap




TOKYO - Seorang penganggur berusia 26 tahun ditangkap kerana mengancam untuk membunuh anak kepada Putera Naruhito dan P:uteri Masako, Puteri Aiko. 

Kengo Inami mengirim mesej dalam sebuah forum Internet dengan mengancam untuk membunuh Puteri Aiko menggunakan tukul. 

Suspek dilaporkan memberitahu pasukan penyiasat bahawa dia gembira dengan reaksi orang ramai yang melayari forum tersebut. 

Insiden itu berlaku ketika anak kepada keluarga diraja Jepun itu menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan. 

Puteri Aiko, 8, masih tidak menghadiri kelas selepas dua bulan berhenti daripada sekolah Gakushuin Primary di Tokyo kerana masalah buli. 

Pada Mac lalu, pihak istana Jepun mengadakan sidang media untuk memaklumkan bahawa Puteri Aiko tidak dapat menghadiri kelas secara kerap kerana menghadapi tekanan dan sakit perut. 

Ia dipercayai berpunca daripada gangguan murid lelaki nakal di sekolahnya.

Ghani bantah lesen pertaruhan Piala Dunia



KUALA LUMPUR - Cadangan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin agar kerajaan membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia tidak dipersetujui raja bola negara, Datuk Abdul Ghani Minhat yang bimbang perjudian seperti itu akan turut melibatkan perlawanan liga tempatan. 

Katanya, jika pertaruhan Piala Dunia dibenarkan, pemilik lesen perjudian itu akan meminta pula perkara yang sama bagi liga tempatan dan ini akan membunuh pembangunan bola sepak negara yang baru tumbuh. 

“Jangan cuba simbah minyak ke api nanti ianya akan membakar diri sendiri,” katanya, semalam. 

Baru-baru ini, Awang Adek meminta kerajaan menimbang kemungkinan mengeluarkan lesen bagi membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan bermula di Afrika Selatan bulan depan sebagai langkah untuk mengurangkan aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. 

Abdul Ghani, penyerang yang digeruni semasa eranya sekitar 60-an berkata, beliau juga bimbang gejala rasuah yang pernah menyerang pasukan dalam Liga Malaysia pada tahun 1994 dan 1995, akan kembali mencemari bola sepak tempatan. 

Liga Malaysia pernah dilanda rasuah pada tahun 1994 apabila 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan. Akibatnya 58 daripada mereka dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala 21 pemain dan jurulatih diberhentikan dan beberapa pemain dibuang daerah dan tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan FAM seumur hidup. 

Kesannya, Malaysia kehilangan pemain handalan yang ramai kerana kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan oleh negara. 

Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau tidak menyokong sama sekali sebarang aktiviti yang berkaitan dengan perjudian dan pertaruhan yang membabitkan sukan kerana ia bukan sahaja haram daripada segi agama tetapi turut akan mengundang kepada perkara negatif. 

“Bola sepak adalah sukan dan ianya tidak seharusnya dikaitkan dengan perjudian. 

“Tidak wajar jika perjudian dicampur dengan sukan kerana motif kemenangan dalam perjudian ialah untuk diri sendiri manakala dalam sukan ianya adalah kejayaan yang diperoleh secara pasukan,” katanya. -Bernama

Pas bantah konsert 12 jam Pitbull



SHAH ALAM – Pas membantah keras permohonan artis R&B popular, Pitbull untuk mengadakan konsert 12 jam tanpa henti kerana akan melalaikan dan merosakkan moral generasi muda di negara ini. 

Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa mendakwa konsert daripada jam 7 petang sehingga 7 pagi yang dijadualkan pada 15 Mei ini telah melanggar garis panduan durasi persembahan sesebuah konsert. 

”Seperti yang sedia termaktub, sesebuah persembahan konsert di tempat awam tidak boleh melebihi jam 12 malam dan jika mempunyai sebab-sebab tertentu mungkin dibenarkan sehingga 1 pagi termasuk bagi sesebuah kelab hiburan dan disko, ianya dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 1 pagi ataupun 2 pagi,” katanya dalam kolumnya di sebuah portal berita.

Gadis korban nafsu tentera




TAMPIN – Perkenalan singkat dengan seorang anggota tentera membawa padah kepada seorang pekerja restoran apabila dia dirogol bergilir-gilir oleh lelaki berkenaan bersama dua lelaki lain yang juga anggota tentera. 

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa berumur 22 tahun dan bekerja di Dataran Pahlawan, Melaka dirogol di sebuah rumah dekat Taman Clonlee, di sini. 

Sumber memaklumkan, ketika kejadian, mangsa dikatakan baru tiga hari mengenali salah seorang daripada tiga lelaki terbabit dan dijemput balik dari tempat kerja untuk bersiar-siar serta menjamu selera. 

“Pada awalnya, mangsa enggan menerima memenuhi pelawaan lelaki terbabit kerana mendapati terdapat dua lagi lelaki berada dalam kereta. 

“Bagaimanapun, selepas dipujuk dan diberi jaminan yang mangsa tidak akan diapa-apakan, mangsa mengikut lelaki berkenaan. Mangsa kemudiannya bersiar-siar di sekitar bandar Melaka dan diajak mandi di sebuah kolam air panas di Alor Gajah,” katanya. 

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah rumah di Taman Clonlee dan dipaksa membuka pakaian. 

“Lelaki berkenaan juga mengugut mencederakan mangsa sekiranya enggan menurut arahan. 

“Bimbang atas keselamatan diri, mangsa terpaksa mengikut kehendak mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran kira-kira jam 8 pagi, kelmarin. 

Mangsa juga dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk pemeriksaan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berkenaan. 

“Polis berjaya menahan suspek dipercayai anggota tentera di sebuah kem tentera di Melaka, jam 5 petang,” katanya.

Masjid kontroversi abad ke-19 diroboh

MADINAH: Masjid al-Katibiyyah yang dibina di daerah al-Zahidian pada abad ke-19, akhirnya dirobohkan selepas ia menjadi pertikaian selama beberapa tahun.
Ekoran perobohan itu, sebuah masjid baru akan dibina kira-kira 200 dari lokasi asal, lapor akhbar al-Madinah, semalam.
Masjid al-Katibiyyah dibangunkan Sharif Muhammad Ali al-Sanusi al-Kabir pada 1834 menjadi isu kerana dipercayai dibina di atas atau berhampiran kubur sahabat nabi, Sayidina Ra’fi Malik al-Zurqi.

Pada Mei 2006, masjid itu dan beberapa masjid lain di laluan menuju Masjid Quba ditanda untuk dirobohkan bagi memberi laluan projek menaik taraf Zon Tengah Madinah.

Namun, rancangan itu dibantah penduduk setempat dan mereka mengadu kepada Gabenor Madinah, Putera Abdul Aziz Majed, menyebabkan operasi berkenaan ditangguhkan.

Sebuah jawatankuasa kemudian menyiasat kebenaran dakwaan penduduk setempat.
Namun, mereka gagal menemui sebarang bukti beliau dimakamkan di situ.
Ra’fi menyertai Perang Badar bersama Rasulullah sebelum syahid dalam Perang Uhud. - Agensi

Dakwa dalang banjir: Abdullah

JEDDAH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah, mengarahkan agar pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menyebabkan banjir kilat mengorbankan 122 orang tahun lalu, didakwa di mahkamah.
Banjir itu berpunca daripada hujan lebat di Jeddah sehingga merosakkan ribuan rumah di pinggir tebing sungai kering.

Ia juga mencetuskan tanda tanya terhadap pengurusan dana awam dikhaskan untuk menyelenggara sistem perparitan di bandar raya pinggir Laut Merah itu.

Arahan Abdullah dibuat selepas hujan lebat mengorbankan tiga orang penduduk Riyadh minggu lalu, sekali gus mendedahkan kelemahan infrastruktur serta menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat terhadap tahap ketelusan kerajaan.

Abdullah yang sering mengulangi ikrarnya membasmi rasuah dalam kerajaan, turut mengarahkan sebuah jawatankuasa penyiasat dibentuk bagi mencari punca bencana di Jeddah.
“Berdasarkan kesan bencana itu, kerajaan akan mendapatkan kebenaran dan menghukum mana-mana pihak yang bersalah,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, kenyataan Abdullah tidak menamakan mana-mana pegawai serta jumlah kakitangan kerajaan yang terbabit.
Seorang peguam yang terbabit secara langsung dalam siasatan kes itu berkata, kira-kira 200 orang berdepan tuduhan rasuah serta salah guna dana awam.

“Mereka termasuk kontraktor yang menjalankan projek kerajaan serta kakitangan kanan kerajaan,” katanya.
- Reuters

Perompak tisu tandas kena cekup

LINCOLN: Polis Nebraska semalam berkata, mereka yakin berjaya menahan seorang lelaki digelar ‘pencuri tisu tandas’ yang merompak kedai serbaneka di Lincoln bulan lalu.
Menggunakan tisu tandas untuk membalut mukanya sebagai topeng, lelaki terbabit bersenjatakan pisau ketika melakukan jenayah.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Dia tidak menggunakan sebarang kenderaan ketika melarikan diri bersama sejumlah wang.

Pegawai polis Lincoln, Kapten David Beggs, berkata Joshua Nelson, 29, ditahan malam Sabtu lalu.
“Pada mulanya polis menemui sebotol ubat kawalan berhampiran kedai serbaneka itu.

“Ia menjadi petunjuk awal kepada polis mengesan suspek,” katanya.
Menurut Beggs, polis terpaksa menunggu lebih lama sebelum membuat tangkapan bagi mengumpul bukti secukupnya. - AP

3 pelajar pancung rakan sekelas

MUMBAI: Tiga pelajar sekolah ditahan selepas pihak berkuasa menemui mayat rakan sekelas mereka yang diikat pada pokok dan dipancung, kata polis, semalam.
Mayat mangsa ditemui sekumpulan pelajar lain yang bermain kriket di tepi sebatang sungai di Pune, minggu lalu.

Mangsa dikenali sebagai Abhishek Ghorpade, 15, dipercayai dipancung dengan sabit dan kepalanya belum ditemui, dipercayai dibuang ke sungai berhampiran.

Dia dipercayai berselisih faham dengan suspek dan keluar dari rumah untuk menghadiri majlis hari lahir rakannya Rabu lalu.

Jurucakap polis Pune berkata, mereka kini melancarkan operasi mengesan kepala Abhishek di dasar sungai berkenaan. - AFP

Dibelasah lelaki selepas bantu rakan kena buli

IBU Richden, Juana Selvester Kusua melihat tangan anaknya yang patah di rumah mereka di  Pelabuhan Klang, semalam.
Pelajar Tingkatan Dua patah tulang tapak tangan

PELABUHAN KLANG: Niat baik seorang pelajar berusia 14 tahun untuk membantu rakan yang dibuli seorang budak lelaki akhirnya mengundang padah apabila dia dibelasah teruk oleh bapa budak lelaki itu sehingga patah tulang tapak tangan kanan.
Mangsa, Richden Donni Thien yang juga pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Bandar Sultan Suleiman di sini, bukan saja dipukul dan ditumbuk, malah muka dan kepalanya juga dipijak lelaki berkenaan yang membelasahnya tanpa belas kasihan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di taman permainan Pangsapuri Kelompok Camar, Bandar Sultan Suleiman di sini, Isnin lalu itu, mangsa cedera di kepala, muka serta beberapa bahagian badan selain patah tulang tapak tangan kanan akibat dibelasah.

Difahamkan lelaki terbabit yang tinggal kira-kira dua kilometer dari perumahan itu bergegas ke tapak permainan selepas anak lelakinya mengadu dipukul oleh Richden dan seorang lagi rakannya.

Richden yang berketurunan Kadazan Dusun dan berasal dari Sabah mendakwa, pada mulanya dia cuba meleraikan pergaduhan antara rakannya yang berusia 12 tahun dengan anak lelaki terbabit yang saiz badannya lebih besar berbanding mereka berdua.

"Kami kemudian cuba melarikan diri tetapi budak lelaki itu berjaya menarik baju dan memukul saya. Saya pun membalas pukulannya untuk mempertahankan diri sebelum lari untuk pulang ke rumah.
"Ketika duduk di taman permainan, seorang lelaki tiba-tiba datang dan terus memukul tengkuk dan menumbuk saya," katanya ketika ditemui, semalam.

Richden mendakwa, lelaki itu juga menarik baju dan menghumbannya ke tanah sebelum memijak muka dan kepalanya sambil disaksikan ramai penghuni pangsapuri berkenaan.

"Saya cuma mampu menangis kerana amat sakit sebelum seorang penduduk meminta lelaki berkenaan berhenti daripada membelasah saya," katanya yang kini cuti sakit selepas mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Sementara itu, ibunya, Juana Selvester Kusua, 29, berkata ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum anak keduanya, Ronaldo, 12, memaklumkan yang abangnya dibelasah seorang lelaki.

"Saya kemudian bergegas turun dari tingkat empat sebelum melihat anak saya dalam kesakitan akibat dibelasah lelaki berkenaan.

"Tindakan lelaki berkenaan amat tidak wajar kerana perkara ini boleh diselesaikan tanpa perlu dia membelasah anak saya. Dia juga tidak patut mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap keluarga saya," katanya yang menetap di pangsapuri itu sejak lima tahun lalu.

Katanya, satu laporan polis dibuat olehnya di Balai Polis Pelabuhan Klang sebelum membuat laporan susulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu.

"Lelaki berkenaan ditahan semalam (kelmarin) dan suspek kini direman untuk membantu siasatan," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Menyamar wanita untuk kahwin lelaki





BEIJING - Seorang pemuda di China, Wang Mou ditangkap kerana menyamar sebagai wanita dan berkahwin dengan tiga lelaki sebelum melarikan wang hantaran pertunangan mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Akhbar Dahe Daily melaporkan Mou (gambar), 18, telah berkahwin dengan tiga orang lelaki pada tahun ini.
Pemuda itu menyamar sebagai wanita selepas dia ditipu oleh seorang wanita lain yang menjanjikan untuk mendapatkan pekerjaan kepadanya.
Namun, apa yang berlaku pada dirinya ialah pemuda itu dijual oleh wanita yang menjanjikan pekerjaan kepadanya dengan dijadikan isteri kepada lelaki lain.
"Dia menipu saya. Saya kemudiannya mendapat peluang untuk melarikan diri. Saya menyedari bahawa saya dapat menggunakan kaedah yang sama sebagai jalan singkat untuk mendapatkan wang," kata Mou.
"Ramai orang menyangka saya ialah seorang wanita apabila kali pertama melihat saya," tambahnya.
Selepas perkahwinan pertamanya, dia menjual dirinya dengan bantuan seorang rakan kepada dua lagi lelaki dengan bayaran 10,208 yuan (RM4,797).
Pemuda itu ditangkap semasa cuba melarikan diri pada hari perkahwinan ketiganya oleh beberapa wanita tempatan yang kemudian menyerahkannya kepada polis setelah mereka menyedari dia sebenarnya seorang lelaki. - Agensi

Luar cantik dalam menjijikkan

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my

MOHD. DERUS melihat tandas di sebuah restoran yang dijadikan sebagai tempat menyimpan bahan mentah dan peralatan memasak di Banda Hilir semalam.

MELAKA – Dipandang dari luar, sebuah kedai makan di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini kelihatan cantik dan bersih.

Namun imej cantik dan bersih itu terhakis dan diganti imej menjijikkan sebaik sahaja melihat tandas restoran berkenaan.

Keadaan menjijikkan itu bukan kerana tandas di situ kotor, namun tindakan pengusaha kedai makan berkenaan menjadikan tandas di situ sebagai tempat menyimpan bahan mentah masakan seperti bawang dan minyak masak serta periuk yang tentunya memualkan pelanggan apabila melihat keadaan tersebut.

Lebih memeranjatkan, tidak cukup satu tandas digunakan, sebuah lagi tandas di situ turut digunakan sebagai stor.

Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd. Derus Tompang berkata, perkara itu dikesan oleh pihaknya dalam satu operasi bersepadu melibatkan 28 anggota MBMB dan Jabatan Kesihatan semalam.

“Tandas tidak boleh digunakan sebagai stor untuk menyimpan bahan mentah masakan dan peralatan memasak.

“Lagi pun, kedai ini terletak berhampiran kawasan tumpuan pelancong. Pelancong tentu berasa jijik jika melihat tandas ini dipenuhi bahan mentah untuk masakan dan ia tentu memalukan negeri Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Ajal dalam tali air




AHMAD Tajudin (kiri) menunjukkan selipar milik adiknya, Nur Aqilah yang ditemui lemas di Kampung Sematang Kerpan, Jerlun semalam.


JERLUN - Penemuan dua pasang selipar di tebing sebatang tali air menjadi petanda malang buat seorang ibu apabila mendapati anak bongsunya lemas bersama seorang kanak-kanak lain di Kampung Sematang Kerpan di sini semalam.
Nur Alia Alisa Mohd. Nasir, 5 dan Nur Aqilah Mansor, 6, lemas ketika mereka dikatakan bermain di tali air tersebut pada pukul 12 tengah hari.
Mayat mereka ditemui empat jam kemudian kira-kira 10 meter dari tebing tali air itu.
Ibu Nur Alia Alisa, Rosmune Hussin, 43, memberitahu, kedua-dua mangsa baru sahaja berkenalan semalam.
Katanya, perkenalan mereka bermula apabila anaknya itu pergi berjumpa dengan bapanya, Mohd. Nasir Had, 45, yang sedang membuat rumah berdekatan dengan kediaman keluarga Nur Aqilah.
Nur Aqilah baru tiga bulan berpindah di kawasan tersebut dari Tunjang bersama enam beradik lain dan ibunya.

Dua beradik samun guna pedang samurai ditahan

PETALING JAYA: Dua beradik yang melakukan samun jalanan menggunakan pedang samurai dengan menaiki kereta Perodua Viva milik bapa mereka, ditahan polis di sebuah apartmen di Persiaran Chempaka, Bandar Sri Damansara di sini, kelmarin.

Dua beradik berusia 19 dan 21 tahun itu ditahan di apartmen dipercayai rumah keluarga mereka pada jam 1.30 tengah hari, hasil maklumat awam dan saksi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata polis kini memburu seorang lagi rakan mereka yang disyaki turut terbabit dalam kegiatan itu.
“Mereka menyasarkan wanita pejalan kaki sebagai mangsa. Selain kereta Viva, polis turut merampas dua pedang samurai dan parang digunakan mereka.

“Bapa dua beradik itu hanya mengetahui mengenai kegiatan anaknya pada hari mereka ditangkap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya
di sini, semalam.

Cubaan seludup beras bernilai RM100,000 gagal

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 36 tan beras siam wangi bernilai lebih RM100,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand, kelmarin.

Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota UPP diketuai Komander Kawasan UPP, Wan Mazlan Endut, menahan sebuah lori treler dipandu seorang lelaki tempatan yang sarat dengan muatan 720 kampit beras Siam wangi di sebuah stesen minyak Petronas di Jitra, dekat sini, jam 7.30 malam.
Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris, berkata selepas menjalankan siasatan, pihaknya mendapati pemandu lori treler itu yang berusia 31 tahun tidak membawa sebarang dokumen sah berkaitan bagi membolehkannya membawa masuk beras itu dari Thailand ke negara ini.
Beliau berkata, selain tidak mempunyai dokumen sah, nombor pendaftaran pada lori treler berkenaan juga tidak sama dengan cukai jalan yang dipaparkan pada cermin kenderaan itu.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan juga pihaknya mendapati beras siam wangi yang cuba diseludup itu bernilai sekurang-kurangnya RM72,000 dengan jumlah cukai yang cuba dielak kira-kira RM28,800.

“Kita percaya ia adalah kegiatan terancang sindiket penyeludupan beras siam wangi ke negara ini dan pemandu terbabit hanya bertindak sebagai perantara.

“Kita juga menahan pemandu yang berasal dari Kuala Kurau, Perak itu untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd Noor berkata, kes berkenaan akan diserahkan ke bahagian penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Petugas AIM kena ragut selepas kutip pinjaman





2010/05/13

Mangsa dapati RM19,720 hilang sebaik tersedar dari pengsan 
KUALA KRAI: Seorang petugas Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dalam perjalanan pulang mengutip bayaran pinjaman daripada 140 ahlinya di sekitar jajahan ini, menjadi mangsa ragut dua lelaki yang melarikan beg tangannya berisi wang tunai RM19,720.
Kejadian kira-kira jam 2 petang Ahad lalu itu berlaku ketika Noraini Mohd Sabri, 22, yang menunggang motosikalnya sendirian dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas menemui kumpulan Sahabat AIM itu di pusat Sungai Sok, Low Machang dan Peria.
Noraini berkata, ketika melalui Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Bukit Akil, dia dihimpit dua motosikal dinaiki tiga lelaki.

Katanya, kejadian itu menyebabkan motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh dan pengsan sebelum dibantu pemandu kereta yang melalui jalan terbabit.

“Ketika melalui kawasan yang agak sunyi, secara tiba-tiba dua motosikal dinaiki tiga lelaki terbabit menghampiri motosikal saya.

“Satu daripada motosikal itu menghimpit, menyebabkan saya hilang kawalan dan jatuh atas jalan raya lalu pengsan dengan kecederaan di muka dan lutut.
“Ketika dibantu orang awam selepas itu, saya dapati beg tangan yang disandang di sebalik jaket yang dipakai sudah hilang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Noraini yang sudah setahun bertugas dengan AIM di Kuala Krai, berkata berikutan kejadian itu, beliau menerima rawatan di Hospital Kuala Krai, di sini.

Katanya, selain wang tunai, beliau turut kehilangan kad pengenalan, kad bank, lesen memandu dan sebuah telefon bimbit yang turut berada dalam beg tangan yang dilarikan itu.

Jurucakap AIM Kuala Krai, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes sudah dilaporkan kepada polis Kuala Krai pada hari sama.

“Kumpulan Sahabat AIM yang sudah membayar kepada petugas AIM berkenaan tidak perlu bimbang, kerana kerugian itu ditanggung oleh insurans,” katanya.

Tiga disyaki pengganas ditahan polis




2010/05/13

JAKARTA: Tiga ditahan manakala dua terbunuh, dalam serbuan antipengganas yang dilakukan polis di Jawa Barat , semalam, kata pegawai. 

“Serbuan dilakukan di Cikampek, 80 kilometer dari Jakarta,” kata sumber polis.
Laman web berita Detik.com melaporkan, serbuan dilakukan jam 2 petang waktu tempatan di sebuah rumah sewa dipercayai menjadi tempat persembunyian militan. “Satu pertempuran berlaku sebelum polis berjaya menahan suspek,” lapor laman web itu.

Kulim lubuk skim cepat kaya?





KULIM 12 Mei - Bandar Kulim merupakan antara kawasan paling pesat membangun di utara Semenanjung dan ia juga dikenal pasti sebagai 'lubuk' skim pelaburan haram atau cepat kaya sejak 1980-an lagi.
Perkembangan pesat sektor industri dan perkhidmatan di kawasan itu turut menyumbang penghijrahan beramai-ramai pekerja mahir dan separuh mahir dan ia dilihat mempunyai kaitan dengan perniagaan skim cepat kaya.
Selain itu, limpahan pembangunan daripada kawasan berjiran seperti Pulau Pinang turut meningkatkan lagi kuasa beli di kalangan penduduk.
Seorang pesara kerajaan, Mat Zain Ahmad, 62, memberitahu, kawasan Kulim sememangnya dikenali sebagai lubuk skim cepat kaya memandangkan banyak penganjur mengambil kesempatan daripada kemampuan penduduk di situ.
Katanya, sejak 1980-an sehingga kini, sekurang-kurangnya 10 syarikat pelaburan haram yang berpangkalan di Kulim telah berjaya memperdayakan lebih 30,000 mangsa.
Jumlah pelaburan yang dilaporkan pula melibatkan nilai lebih RM100 juta.
Katanya, antara skim yang pernah beroperasi di situ, Skim 120, Skim 350, Platinum Lanes Sdn. Bhd. (PLSB), penternakan cacing Kulim Worm Sdn. Bhd. dan terbaru membabitkan skim penternakan burung walit, Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd.
"Kebanyakan penduduk Kulim merupakan golongan makan gaji seperti bekerja kilang dan kakitangan kerajaan. Sebab itu, mereka sentiasa mencari peluang untuk melabur bagi mendapatkan pendapatan sampingan," katanya yang pernah menjadi mangsa skim terbabit.
Mat Zain memberitahu, kebanyakan mangsa skim cepat kaya yang tertipu merupakan orang Melayu.
"Sebenarnya ia mempunyai kaitan dengan sikap orang Melayu yang mahu goyang kaki sambil menunggu duit masuk ke dalam poket," jelasnya.
Seorang lagi bekas mangsa skim cepat kaya, Ismail Umar, 60, berkata, mangsa mengambil keputusan melabur setelah tertarik dengan skim yang ditawarkan.
Dakwanya, penganjur skim cepat kaya terbabit selalunya cuba meyakinkan mangsa dengan menganjurkan majlis yang dihadiri oleh orang kenamaan seperti menteri atau timbalan menteri.
"Sesetengah penganjur turut menggunakan keratan akhbar atau iklan bagi menarik perhatian dan meningkatkan lagi keyakinan pelabur.
"Saya juga perhatikan banyak skim cepat kaya beroperasi di Kulim dan mereka mungkin ada kaitan antara satu sama lain. Apabila syarikat pertama dapat dikesan pihak berkuasa, mereka kemudian akan membuka syarikat lain pula," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Kulim/Bandar Baharu, Chin Ching Chung berkata, pihaknya turut menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung skim pelaburan haram di daerah berkenaan.
"Biasanya apabila kita dapat maklumat, sepasukan pegawai akan dihantar ke pejabat syarikat untuk melakukan siasatan dan mengenal pasti inventori dan sistem yang diguna pakai.
"Sekiranya ada unsur-unsur penipuan dan pengambilan deposit haram, kita akan serahkan kes kepada Bank Negara Malaysia (BNM) atau SSM untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan skim-skim perniagaan yang menawarkan pulangan tidak munasabah.

Agensi pekerjaan cari wanita sanggup berbogel



BIRMINGHAM – Rangkaian agensi pekerjaan milik kerajaan Britain, Jobcentre Plus mencetus kontroversi apabila ia turut memuatkan iklan kerja kosong bagi mencari lelaki dan wanita menganggur yang mahu berbogel di hadapan kamera web dan berbual lucah, lapor sebuah akhbar semalam.
Pekerjaan sebagai teman seks di Internet itu ditawarkan oleh sebuah agensi telefon seks tempatan, Faceclick, yang menjanjikan gaji lumayan sehingga mencecah £700 (RM3,340) seminggu.
Setakat ini, iklan ‘pekerjaan dewasa’ itu disiarkan di tiga pejabat Jobcentre Plus di Britain iaitu di Birmingham, Warwickshire dan Shropshire.
Seorang gadis berusia 19 tahun yang mahu identitinya dirahsiakan berkata, dia ditawarkan kerja ‘panas’ itu apabila mengunjungi agensi pekerjaan tersebut baru-baru ini.
“Kontrak pekerjaan saya sekarang hampir tamat dan saya terdesak untuk mendapatkan pekerjaan baru,” kata gadis itu.
“Namun, saya bukan begitu terdesak sehingga sanggup untuk beraksi lucah di Internet,” katanya.
“Apakah sudah menjadi peranan Jobcentre Plus sebagai agensi kerajaan untuk mengiklan pekerjaan kepada mereka yang sanggup berbogel semata-mata bagi tujuan untuk hiburan golongan dewasa?,” soal seorang penganggur, Darren John, 23. – Agensi

7 kanak-kanak mati ditetak




SEORANG anggota polis mengawal sebuah tadika yang menjadi lokasi tujuh kanak-kanak mati di Hanzhong, China semalam.


HANZHONG – Seramai tujuh kanak-kanak, seorang pengusaha tadika dan ibunya mati ditetak bertubi-tubi oleh seorang pemilik hartanah di utara China semalam dalam insiden keganasan terbaru melibatkan murid tadika.
Insiden tragis itu yang berlaku di sebuah tadika di Hanzhong, wilayah Shaanxi berakhir dengan penyerang berkenaan membunuh diri.
Ia merupakan serangan kelima melibatkan kanak-kanak dalam tempoh kurang dua bulan di sebalik tindakan pemerintah yang mengetatkan kawalan keselamatan di sekitar sekolah-sekolah di negara berkenaan.
Agensi berita rasmi Xinhua memetik seorang pegawai di Jabatan Kecemasan Shaanxi sebagai berkata, serangan itu dilakukan oleh seorang lelaki, Wu Huanming, 48, yang bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging.
Serangan ganas itu berlaku semasa tadika tersebut baru dibuka.
Seramai 11 lagi kanak-kanak cedera dengan dua daripada mereka parah.
“Pembunuh itu kemudian pulang ke rumahnya dan membunuh diri,” lapor Xinhua yang memetik kenyataan seorang pegawai tempatan, Wu Xiaoyan.
Siasatan awal polis mendapati Huanming telah menyewakan sebuah rumah untuk dijadikan tadika.
Namun, dia marah selepas tadika itu masih digunakan walaupun perjanjian sewaan telah tamat pada April lalu. – AFP