Search This Blog

Wednesday, May 12, 2010

Johan Raja Lawak cedera diserang pengarah



12/05/2010 4:10pm



SEREMBAN 12 Mei – Pelakon dan pengacara terkenal siri Raja Lawak, Johan cedera selepas terkena gelas kaca yang dilemparkan oleh seorang pengarah dalam satu pertengkaran di sebuah restoran di Taman Sri Pulai Sikamat di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang, Johan atau nama sebenarnya Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz, 26, dipercayai sedang berbincang di restoran tersebut selepas selesai sesi menjalani penggambaran sebuah drama.
Namun, sesi perbincangan itu bertukar menjadi pergaduhan sehingga pengarah berkenaan dipercayai membaling gelas yang ada di atas meja ke arah Johan sehingga menyebabkan kepala pelawak itu berdarah. – Utusan.

Mati boleh hidup balik

KUALA LUMPUR: “Orang sudah mahu mati pun boleh ‘hidup’ balik kalau telan satu pil naik nafsu ni,” kata seorang ‘doktor’ ubat-ubatan rangsangan seks haram sambil menunjukkan pelbagai kotak kecil mengandungi kapsul biru dan coklat yang dipamerkan di atas meja.
Lelaki berusia lewat 50-an terbabit berkata, pil rangsangan seks dijual dengan harga RM10 sebiji itu mempunyai ‘kuasa’ ajaib untuk mengembalikan kejantanan lelaki yang menghadapi masalah syahwat.
Namun, di sebalik kehebatan pil terbabit yang disogokkan kepada orang ramai itu, tersembunyi bahaya menanti apabila kebanyakan daripadanya mengandungi kimia berbahaya antaranya Sildenafil Nitrat, Taladafil selain campuran bahan asing.

Tinjauan wartawan di Chow Kit mendapati kebanyakan peniaga ubat-ubatan seks haram berkenaan pernah diserbu dan ditahan beberapa kali oleh pegawai penguat kuasa Farmasi Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), namun masih tidak serik.

Walaupun kebanyakan barang jualan dirampas, namun ia tidak menghalang kumpulan peniaga terbabit untuk terus menjual pelbagai ubat-ubatan seks terlarang termasuk peralatan untuk merangsang seks lelaki dan wanita.

Wartawan yang menyamar pelanggan turut ditawarkan pelbagai produk rangsangan seks terkini di pasaran antaranya Maxman dan The Forbidden Kingdom yang didakwa paling laris dan menakjubkan.

“Barang ini baru sampai dari Amerika...lagi ‘power’ dari viagra dan tak mahal. Satu kotak cuma RM20 dan boleh tahan sampai sebulan,” katanya. Ditanya sama ada produk terbabit selamat untuk digunakan, lelaki Aceh itu memberi jaminan produk terbabit selamat dimakan warga emas atau remaja.

“Jangan bimbang, ubat ni dibuat dari bahan tumbuh-tumbuhan...tak ada bahan kimia. Setakat ni belum ada yang mengadu mati selepas makan pil berkenaan. Jika abang ragu-ragu, abang cuba dulu pil dos rendah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM berkata, sikap taksub masyarakat terhadap produk seks selain rasa tidak yakin terhadap keupayaan diri menyebabkan penjualan produk haram terbabit gagal dibanteras sepenuhnya.

“Orang ramai sepatutnya berwaspada kerana pil rangsangan seks yang mengandungi kimia Sildenafil atau Tadalafil mempunyai pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan menyebabkan ia dikawal sepenuhnya mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

Keluarga Aminulrasyid harap Musa, KDN mohon maaf

SHAH ALAM: “Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit...serta pada panel siasatan yang ditubuhkan,” kata Kamarudin Hassan, 45, bapa saudara Aminulrasyid Amzah yang mati selepas terkena sedas tembakan polis di sini, awal pagi 26 April lalu.
Dia yang mewakili ahli keluarganya turut melahirkan harapan supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memohon maaf terhadap tuduhan yang melabelkan anak mereka seorang penyamun.
“Kenapa dalam kes di Negeri Sembilan yang lebih kurang sama dengan kes kami, Ketua Polis Negeri boleh meminta maaf, tetapi tidak dalam kes keluarga kami.

“Kejadian ini berlaku mungkin kecuaian manusia atau sebaliknya. Kenapa tak minta maaf,” katanya kesal.

Turut hadir, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 60, kakak sulungnya, Nor Azura Amzah, 39, dan dua peguam keluarga, N Surendran dan Latheefa Koya.

Kamarudin berkata, kelmarin Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan seorang anggota polis yang terbabit kes Aminulrasyid dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. “Kami berterima kasih pada peguam negara kerana mengambil tindakan terhadap kejadian yang berlaku.

“Walau apa pun yang berlaku, harapan kami nama keluarga dibersihkan dan proses pendakwaan yang dibuat ini menunjukkan Aminulrasyid tidak bersalah,” katanya.

Pada masa sama beliau turut berharap penulis blog serta laman sosial menghentikan cemuhan dan kutukan terhadap ahli keluarganya.

“Mereka tak tahu hujung pangkal dan dalam blog mengatakan semua salah ibu. Mereka tak tahu keadaan dan situasi sekarang.

“Perkara ini tak berlaku pada keluarga mereka. Kenyataan yang dibuat itu fitnah dan saya harap mereka jaga hati seorang ibu yang kehilangan anak,” katanya.

Sementara itu, Surendran berkata, dia mempersoalkan beberapa kenyataan yang dibuat sebelum ini iaitu Aminulrasyid mengundur kenderaan selepas kejadian dan penemuan parang dalam kereta itu.

Dalam kejadian di Seksyen 11, Shah Alam, kira-kira jam 2 pagi 26 April lalu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis peronda selepas mangsa enggan memberhentikan keretanya.

Kelmarin, di Mahkamah Sesyen di sini, seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun itu.

Jenain Subi, 48, yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 25 tahun lalu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Jenain dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 10 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes itu.

Bawa dadah kerana cinta

KUALA LUMPUR: Berkorban demi cinta tidak kena tempat apabila seorang lelaki sanggup ‘menjual nyawa’ sendiri semata-mata mahu memenuhi permintaan kekasih hati yang memintanya membawa dan menyeludup syabu.
Walaupun menyedari hukuman berat menanti sekiranya diberkas, suspek yang berusia 27 tahun langsung tidak memikirkan risiko terbabit selepas diarah kekasihnya membawa dadah ke Indonesia.
Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkata, suspek yang dikenali sebagai Chuin Hwa, 27, bagaimanapun diberkas pihak berkuasa lapangan terbang Antarabangsa Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta sebaik tiba dengan pesawat Jumaat lalu.

Menurutnya, suspek sebelum itu menaiki penerbangan dari Shenzen, China menuju ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta.

“Ketika kejadian, suspek ditemani seorang lagi rakannya, Kuong Yee, 26, yang juga rakyat Malaysia dan suspek yang menjalani pemeriksaan bagasi ditahan pihak keselamatan lapangan terbang selepas disyaki membawa bahan terlarang.

“Berikutan itu, beg suspek diperiksa menggunakan alat imbasan x-ray sebelum pihak berkuasa menemui beberapa bungkusan kecil disembunyikan di ruangan sulit di dalam beg terbabit,” katanya.

Difahamkan, dadah itu dianggarkan seberat 5.6 kilogram dan boleh mencecah harga pasaran melebihi RM100,000.

“Siasatan mendapati, suspek sudah dua kali ke Indonesia,” katanya.

Berdasarkan siasatan, seorang suspek mendakwa dadah berkenaan adalah milik kekasihnya bernama ‘ L’ dan dia hanya mengikut permintaan kekasihnya itu untuk membawa dadah berkenaan ke Jakarta.

Difahamkan sepanjang tahun ini, pihak berkuasa Indonesia sudah memberkas enam warga negara Malaysia selepas dikesan cuba menyeludup lebih 100 kilogram dadah ke negara berkenaan.

Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang warga Malaysia dari Bukit Pasir, Muar, Johor ditahan pihak berkuasa Rokan Hulu di daerah Riau, Indonesia selepas memiliki 27 paket kecil dipercayai syabu.

Terdahulu, kedua-dua ‘keldai dadah’ warga Malaysia turut ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dikesan cuba menyeludup dadah methamphetamine seberat 2.2 kilogram (kg) berharga lebih AS$200,000 (RM688,000) mengikut harga pasaran negara berkenaan. Kedua-dua suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai Denpasar, Bali, selepas menyembunyikan dadah terbabit yang sengaja dibalut ketat sebelum diikat pada perut. Sebelum itu, seorang wanita Malaysia turut ditahan di Kepulauan Riau, Indonesia Selasa lalu, selepas disyaki cuba menyeludup pelbagai jenis dadah termasuk bahan membuat pil khayal yang dianggarkan bernilai RM2 juta ke republik itu. Suspek yang berusia 45 tahun ditahan di Pelabuhan Karimun, Tanjung Balai sejurus tiba dari Pelabuhan Kukup, Pontian menggunakan bot ekspres, MV Marina Baru 5, selepas mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dalam bagasi dibawanya.

Haiwan pelik bukan asal dari Malaysia

JOHOR BARU: Jabatan Hidupan Liar Johor mengesahkan haiwan pelik dipelihara guru di Pasir Gudang adalah sejenis mawas yang boleh dijumpai di kebanyakan negara Amerika Selatan.
Pengarahnya, Abdul Razak Majid, berkata pihaknya mengambil haiwan berkenaan dari guru yang menemuinya, Abdul Halim Abdul Ghani, 35, selepas pendedahan dilakukan di akhbar ini, kelmarin. “Kajian awal mendapati mawas terbabit ditemui di kebanyakan hutan di negara Amerika Selatan termasuk Brazil dan ia bukan haiwan tempatan.
“Malah, kami tidak menolak kemungkinan haiwan itu mungkin diseludup masuk melalui negara jiran berhampiran,” katanya.

Menurutnya, mawas itu boleh dikategorikan sebagai ‘penemuan baru’ kerana ia sejenis haiwan pemalu serta sukar ditemui.

Katanya, setakat ini pihaknya menjalankan siasatan terperinci termasuk cubaan mengesan mereka yang bertanggungjawab menyeludup haiwan pelik berkenaan ke negara ini.

“Apa yang pasti aktiviti penyeludupan haiwan adalah dilarang sama sekali kerana difahamkan spesies mawas itu antara puluhan spesies dilindung mengikut akta perlindungan hidupan liar antarabangsa,” katanya.

Mana RM195 saya?

ALOR GAJAH: Seorang warga emas kesal selepas tunggakan gajinya RM195 masih tidak diperoleh daripada bekas penyelia tempat dia bekerja walaupun sudah dua tahun berlalu.
Lelaki terbabit, Dollah Kecut, 76, dari Batu 17 Kampung Lendu Tengah berkata, dia seperti menunggu buah tidak gugur selepas wang berkenaan dipercayai mungkin digunakan penyelia terbabit yang turut menghilangkan diri.
Menurutnya, dia berhenti kerja sebagai petugas pembersihan di sebuah agensi awam di bandar ini sejak gajinya tidak dibayar kira-kira dua tahun lalu masih mengharap tunggakan berkenaan dijelaskan.

Katanya, walaupun jumlah terbabit dianggap terlalu kecil bagi sesetengah orang, baginya ia tetap tinggi, tambahan pula dia membanting tulang demi bekerja mencari rezeki halal demi sesuap nasi.

“Saya amat kesal dengan kejadian terbabit berikutan bekas penyelia berkenaan tidak jujur sehingga sanggup tidak melunaskan tunggakan gaji saya walaupun pihak syarikat mendakwa menjelaskan sepenuhnya.

“Hingga kini saya tetap berharap menemui bekas penyelia terbabit bagi mendapatkan penjelasan dan baki wang berkenaan. Saya berasa sedih dan kecewa kerana tindakan bekas penyelia terbabit amat mendukacitakan berikutan sanggup mengambil kesempatan ke atas warga emas seperti saya.

“Berikutan peristiwa berkenaan, saya berhenti kerja dan melakukan kerja kampung termasuk mengait buah kelapa untuk dijual sebagai menambah sumber pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, Dollah berkata, dia ditimpa kemalangan apabila kepala dan bahunya ditimpa kelapa yang dikait dalam satu kejadian tahun lalu mengakibatkan kepalanya dijahit, manakala bahunya masih sakit.

“Akibat serik dengan dua kejadian itu, saya tidak lagi bekerja dan membersihkan kawasan tanaman, termasuk durian serta rambutan atas nasihat anak-anak,” katanya.

Terbeli telefon bimbit tiruan

KUALA KUBU BHARU: “ Saya menyesal membeli telefon bimbit tiruan ini. Pujukan jurujual amat licik untuk mempedaya pelanggan yang ingin bergaya dengan telefon bimbit baru,” kata pelajar, Wahdah Hamid, 17.
Menurutnya, dia sanggup menerima skim tukar beli telefon bimbit lama dengan model baru setelah dipujuk seorang jurujual di sebuah kompleks beli-belah, di Jalan Tun Tan Cheng Lock di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Katanya, dia membeli telefon itu bersama rakan karibnya setelah jurujual sanggup membeli telefon lama dengan harga RM200.

“Saya membayar tambahan RM600 bagi mendapatkan telefon canggih yang ditawarkan dengan harga RM800 itu.

“Jurujual itu memberi jaminan telefon itu asli bukannya tiruan yang kerap dibeli remaja yang suka mengakses Internet dan pelbagai kemudahan canggih terkini,” katanya.

Dia berkata, perasaan curiga menyebabkan dia merujuk kepada pembekal rasmi telefon model sama di Kuala Lumpur.

Katanya, telefon baru itu tidak mempunyai cop rasmi Sirim dan tiada resit rasmi pembelian.

“Saya membawa telefon ini kepada agen rasmi yang menjual barangan model telefon bimbit sama untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Saya terkejut apabila agen itu memaklumkan telefon dibeli itu tiruan. Saya dimaklumkan telefon berkenaan mempunyai label ‘AP’ dan bukannya ‘original’,” katanya.

Rugi RM210j kerana gores, menang

KUALA LUMPUR: Walaupun pernah ditipu syarikat gores dan menang, terdapat pengguna ditipu sekali lagi oleh syarikat sama yang menukar taktik kepada peraduan koyak dan menang.
Aduan seperti itu adalah antara aduan yang diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Malaysia (NCCC) membabitkan nilai kerugian berjumlah RM210 juta yang ditanggung pengguna negara ini sepanjang tahun lalu.
Angka dikeluarkan NCCC itu daripada 32,369 kes yang diterima pihaknya dengan purata sebanyak 120 aduan sehari.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Marimuthu Nadason berkata, jumlah kerugian yang dialami pengguna itu sesuatu yang mengejutkan namun dari sudut yang lain ia sesuatu perkara yang positif.

“Peningkatan jumlah aduan yang diterima NCCC itu menunjukkan pengguna mula sedar dengan hak mereka.

“Selain itu, mereka juga telah mula menunjukkan sikap matang dalam menjadi seorang pengguna,” katanya.

Kata Marimuthu, jumlah aduan diterima juga berdasarkan 23 kategori dikenal pasti pihaknya dan dari kategori itu, jualan langsung atau penipuan menunjukan jumlah aduan tertinggi sebanyak 2,713 aduan.

Katanya, jumlah aduan kedua tertinggi pula ialah dari kategori Perumahan diikuti aduan Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata, satu kategori baru turut diwujudkan tahun lepas iaitu Agensi Kerajaan dan Perkhidmatan yang menduduki tangga kesembilan dengan 1,563 aduan yang melibatkan layanan dan perkhidmatan pekerja dan pegawai di perkhidmatan awam.

Marimuthu berkata, dari jumlah keseluruhan aduan yang dilaporkan kepada pihaknya, sebanyak 85 peratus aduan kes telah diselesaikan.

“Ia dianggap selesai berdasarkan pengguna yang berpuas hati dengan tindakan yang diambil pihaknya ke atas pihak berkenaan.

“Bagaimanapun wujud kesukaran dalam menyelesaikan aduan berkenaan perumahan apabila terikat dengan beberapa peraturan yang perlu dikemas kini kementerian terbabit dalam menjaga hak pengguna,” kata beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah NCCC.

Marimuthu berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Seminar Kebangsaan Pengendalian Aduansini, semalam
Dalam seminar yang dihadiri 170 peserta itu, pihaknya turut melancarkan laporan tahunan NCCC 2009 yang merumuskan cadangan kepada pengguna serta pihak terbabit bagi mencegah kejadian penipuan sebegini berulang.

Kata Marimuthu, ia juga boleh diguna sebagai aplikasi pencegahan kepada pengguna malah memberi kesedaran serta panduan kepada pengguna.

Seminar yang telah masuk tahun keempat itu turut membincangkan hasil daripada analisis aduan-aduan yang diterima disamping menambaik amalan perniagaan dalam meningkatkan keupayaan perkhidmatan pengguna.

Penunggang motosikal melambung

KUALA LUMPUR: Menyayat hati apabila seorang penunggang motosikal melambung sebelum diseret sebuah kereta di Kilometer 5.5 Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) susur Kepong, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, mangsa, Mohd Supandi Samingan, 27, yang menunggang motosikal bersendirian dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dipandu laju sebelum diseret kira-kira lima meter ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit melarikan diri sebaik saja kemalangan berkenaan berlaku. Sumber polis trafik berkata, mangsa yang beralamat Jalan Anggerik Mokara 31/64, Kota Kemuning Seksyen 31, Shah Alam mengalami kecederaan parah di kepala dan badan mati serta merta di lokasi kejadian. Susulan itu, polis meminta bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan terbabit menghubungi talian Rakancop 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Pengedar tumpas

PETALING JAYA: Aktiviti mengedar dadah seorang lelaki yang bergiat aktif sekitar Petaling Jaya tumpas apabila ditahan dalam satu serbuan polis di rumah sewanya di sini, malam kelmarin.
Suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun, dipercayai sudah menjalankan aktiviti jenayah terbabit selama setahun dan beroleh pendapatan hingga puluhan ribu ringgit sebulan.
Penjenayah terbabit juga berjaya mengelak ditangkap atau dikesan selama ini dengan berselindung di sebalik gaya hidup sederhana dan menginap di kawasan yang agak terpencil.

Bagaimanapun, hasil maklumat orang awam, sepasukan polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya memberkas suspek di rumah sewanya di Jalan PJS 1/52, Petaling Jaya, jam 9.45 malam. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed, berkata dalam serbuan itu, suspek ditahan bersama dadah bernilai RM57,000.

“Sebuah beg milik suspek yang berisi 10 ketul ganja mampat seberat 10 kilogram dan dua paket heroin seberat 840 gram dirampas.

“Barangan lain yang turut dirampas dalam serbuan itu pisau dan gari, dipercayai digunakan suspek ketika menyamar sebagai polis,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Arjunaidi berkata, suspek bertindak licik mengaburi polis dengan menyewa di kawasan rumah berkenaan walaupun suspek mampu menyewa di kawasan lebih elit dan mewah hasil keuntungan diperoleh. Menurutnya, polis masih menyiasat modus operandi digunakan suspek bagi mengedar dadah berkenaan dan tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam aktiviti jenayah lain.

Suspek yang juga positif dadah itu kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

Seludup rokok RM7 juta

PETALING JAYA: Tidak cukup berpangkat besar serta bergaji lumayan, dua lelaki tempatan yang tamak cuba menyeludup satu kontena rokok putih bernilai RM7 juta termasuk duti import di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor.
Tindakan mereka yang juga pengurus syarikat ejen perkapalan dan pengarah syarikat ejen penghantaran itu bagaimanapun, tidak ke mana apabila pihak berkuasa menghidu aktiviti mereka.
Taktik mengisytiharkan kontena membawa rokok itu sebagai membawa peralatan mesin itu tidak berjaya dan memakan diri sendiri.

Pemeriksaan dilakukan Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, kelmarin mendapati kontena berkenaan penuh rokok putih cuba diseludup bagi pasaran tempatan.

Timbalan Pengarahnya, Ajip Busro berkata, rampasan rokok putih pertama dilakukan pihaknya ini yang terbesar tahun ini.

Ajip berkata, 49,999 karton rokok putih jenama Halftime 5 Virginia dimuatkan dalam kontena berkenaan.

Beliau berkata, dua-dua lelaki itu dipercayai beberapa kali melakukan kegiatan itu dan arif selok-belok aktiviti mengimport kontena.

“Mereka ini licik apabila menggunakan alamat pengimport palsu, malah tidak wujud bagi memerangkap pihak berkuasa.

“Pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas kotak rokok putih itu juga mendapati ia tidak mematuhi peraturan ditetapkan kastam yang mewajibkan kotak rokok diletakkan keterangan serta maklumat tambahan padanya,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Menurut Ajip, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kedua-dua lelaki itu turut dibantu beberapa individu serta syarikat lain.

Polis tahan 3 tentera

TAMPIN: Tindakan tiga anggota tentera berusia 20-an yang disyaki merogol seorang wanita secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Taman Clonlee di sini mengundang padah apabila mereka ditahan polis di sebuah kem di Melaka, kelmarin.
Sumber berkata, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu baru mengenali seorang daripada suspek sebelum diajak keluar bersiar-siar menaiki kereta di sekitar negeri itu pada Ahad lalu.
“Dia (mangsa) pada mulanya enggan kerana mendapati lelaki itu turut membawa dua rakan, namun bersetuju selepas dipujuk pelbagai janji manis.

“Selepas bersiar-siar di sekitar Bandar Melaka, mangsa kemudian dibawa ke sebuah kolam air panas di Gadek, Alor Gajah menaiki sebuah kereta dengan alasan untuk menyegarkan badan,” katanya di sini, semalam.

Sumber itu berkata, selepas itu mangsa dibawa ke sebuah rumah di Taman Clonlee di sini kira-kira jam 2.30 pagi dan dipaksa menanggalkan pakaian termasuk diugut untuk dicederakan.

“Mangsa yang bimbang keselamatan dirinya terpaksa mengikut kehendak suspek dan dirogol bergilir-gilir beberapa kali.

“Dia dapat melarikan diri ketika suspek tidur dan pergi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika ditemui mengesahkan pihaknya sudah menahan suspek di kem berkenaan kira-kira jam 5 petang.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Buruh parah ditetak rakan

GUA MUSANG: Malang bagi seorang buruh binaan warga asing apabila terpaksa berlari sejauh 300 meter dari rumah kongsinya untuk mendapatkan perlindungan polis selepas parah ditetak di kepala dalam pergaduhan, lewat malam kelmarin.
Mangsa, Abu Hassan Musa, 40, warga Indonesia dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) oleh anggota polis bertugas berikutan luka besar dialaminya.
Kesan kecederaan yang kritikal itu menyebabkan Abu Hassan menerima 15 jahitan sebelum dihantar pula ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut.

Kejadian pada jam 11 malam itu berlaku di tapak pembinaan bangunan di bandar baru, tidak jauh dari Ibu Pejabat Polis Daerah terbabit ketika mangsa menonton televisyen bersama seorang lagi rakannya dalam sebuah kongsi.

Turut cedera dalam pergaduhan itu ialah seorang buruh warga Bangladesh, Assarugaman Manir, berusia lingkungan 20-an.

Ketika ditemui di HGM, Abu Hassan berkata, kejadian itu berpunca daripada tindakannya menegur rakan supaya tidak memasang lampu terlalu banyak.

“Sejurus kemudian, sekumpulan buruh menerpa ke arah saya lalu menyerang sebelum seorang daripada penyerang menetak kepala,” katanya.

Kes kontraktor dituduh bunuh kekasih 10 Jun

KUALA LUMPUR Mahkamah Majistret Ampang menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan kes seorang kontraktor atas tuduhan membunuh kekasihnya di sini, semalam.
Majistret Wan Karimah Wan Md Abd Ghani menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan dokumen berkaitan kes dan laporan perubatan.
Tertuduh Chan Kok Hoon, 26, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh diwakili peguam bela P Sreekant manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Noor Husnita Mohd Radzi.

Terdahulu, peguam bela Sreekant memohon mahkamah menyediakan seorang jurubahasa Mandarin bagi sebutan kes pada Jun ini.

Mengikut pertuduhan, Chan didakwa membunuh Chan Yoke Mun, 27, di C117, Pandan Height Kondo, Pandan Perdana antara jam 4 pagi sehingga 5 pagi pada 25 April 2010.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung mandatori.

Rupanya dia adik saya

KUANTAN: Amat menyentuh hati apabila dua lelaki yang tinggal berjiran di Kampung Razali di sini selama 21 tahun tidak menyedari mereka sebenarnya adik-beradik tiri yang terpisah selepas ibu mereka berkahwin lain.
Menceritakan semula detik pertemuan bersejarah itu, Rozak Mohd, 65, berkata dia mendapat tahu mengenai hubungan persaudaraan dengan jiran, Azizi Hamzah, 44, yang menetap di sebelah rumahnya itu selepas menghadiri pengebumian adik tiri, Mek Mah Che Ibrahim di Kemaman, Terengganu, Disember lalu.
Menurut Rozak, bapanya meninggalkan dia dan ibunya ketika dia baru belajar merangkak sebelum ibunya berkahwin semula dan dikurniakan dua lagi anak. “Apa yang saya tahu, saya hanya ada dua adik tiri iaitu Mek Mah dan Zainuddin hasil perkahwinan kedua ibu, Mek Som Awang dengan Che Ibrahim.

“Saya tidak tahu jika ibu berkahwin kali ketiga kerana saya tidak pernah menemuinya lagi berikutan saya diambil ibu saudara untuk dipelihara,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rozak berkata, dia mendapat tahu mempunyai adik tiri lain hasil perkahwinan ketiga ibunya selepas dimaklumkan anaknya, Rosli, 34.

“Sekembalinya kami ke rumah sebaik upacara pengebumian selesai, anak saya memberitahu bapa saudaranya, Zainuddin ada menceritakan kepadanya saya ada adik tiri yang menetap di Kuantan. “Zainuddin turut memberitahu adik tiri kami baru saja bersara sebagai askar dan kini menjual ikan, selain memberitahu bagaimana rupa parasnya. Daripada cerita itu, saya menyedari ciri yang disebut itu menyamai jiran lelaki yang menetap di sebelah rumah,” katanya.

Katanya, dia memberanikan diri ke rumah jirannya pada suatu hari selepas beberapa hari gelisah memikirkan kesahihan maklumat yang disampaikan anaknya, selain ingin mendapatkan kepastian.

“Ketika menemuinya, Azizi berada dalam kereta hendak keluar bekerja sebelum saya memintanya keluar dari kereta kerana ada hal yang hendak dibincangkan.

“Azizi terkejut dan terpinga-pinga apabila saya terus memeluknya dan menangis tiba-tiba sebelum menceritakan perkara sebenar bahawa dia adalah adik tiri saya,” katanya.

Sementara itu, Azizi berkata, mulanya dia tidak percaya dengan berita yang disampaikan Rozak sebelum menghubungi abang tiri, Zainuddin bagi mendapatkan kepastian.

“Saya memang terkejut dengan kejadian yang tidak diduga ini, namun akhirnya percaya selepas disahkan sendiri oleh Zainuddin.

“Kami kemudian bercerita mengenai kisah keluarga masing-masing bagi merungkai salasilah adik-beradik lain sekali gus menjawab persoalan mengapa kami tidak pernah bertemu sebelum ini,” katanya.

Azizi berkata, ibunya menetap di Bachok, Kelantan, bersama bapanya yang juga suami ketiga dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan lapan anak.

“Saya hanya tahu ada seorang kakak dan seorang abang tiri, tetapi tidak tahu ada lagi seorang abang tiri kerana ibu tidak pernah menceritakan kisah anak pertamanya kepada saya.

“Rahsia itu ibu pendam sampai dia meninggal dunia pada 1995, manakala saudara tiri juga tidak pernah menceritakan mengenai abang tiri sulung kepada saya,” katanya.

Katanya, dia memang tidak menyangka kejadian itu yang dianggap pelik berlaku dalam hidupnya selama dia tinggal berjiran dengan Rozak yang juga bekas pekerja Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) “Hampir setiap hari kami bertemu kerana rumah kami hanya sebelah-menyebelah. Malah, kami juga bertemu setiap kali ada majlis keraian anjuran penduduk.

“Kami juga saling mengunjungi jika masing-masing mengadakan kenduri. Lebih pelik, apabila kami tidak pernah bertemu dalam satu majlis yang turut dihadiri saudara tiri yang mengenali kami menyebabkan rahsia ini terus terpendam,” katanya.

Azizi berkata, bagi mengeratkan semula hubungan kekeluargaan mereka bercadang mengadakan majlis kesyukuran pada bulan depan dan mengumpulkan semua adik-beradik.

Maut basikal dirempuh

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas basikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer 28, Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram di sini.
Dalam kejadian jam 7.40 petang Ahad lalu, mangsa Rafik Abdul Runus Md Mesbauddin, 28, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang basikal seorang diri cuba melintas jalan dari simpang di kiri jalan ke kanan jalan tanpa melihat ke kiri dan kanan.

“Pada masa sama sebuah kereta yang datang dari Kuala Selangor gagal mengawal keadaan dan melanggar mangsa menyebabkan dia tercampak ke tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk bedah siasat dan selepas siasatan selesai ia dituntut majikan untuk urusan pengebumian, manakala pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun siasatan masih diteruskan.

Pelakon cedera diserang

KUALA LUMPUR: Air tenang jangan disangka tiada buaya. Itu perumpamaan bagi menggambarkan kejadian tidak diduga menimpa seorang pelakon wanita sehingga menyebabkan kecederaan pada muka serta leher akibat diserang dan disamun seorang lelaki di kawasan yang kelihatan aman dan tenteram di ibu kota, semalam.
Difahamkan, mangsa, Mislina Mustafa, 38, cedera akibat terkena serpihan kaca selepas lelaki berusia awal 30-an memecahkan cermin belakang keretanya menggunakan sebatang kayu.
Pelakon wanita itu pernah membintangi beberapa filem yang memecah panggung seperti Mokhsin, Puaka Tebing Biru dan bakal memegang watak Zaiton Sameon dalam filem menceritakan perjalanan hidup penyanyi itu mendakwa dia kini trauma.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di Setapak di sini, Mislina yang juga dipanggil Leena mendakwa diserang seorang lelaki ketika mahu meninggalkan kawasan berkenaan.

Katanya, ketika kejadian dia yang baru masuk ke dalam Perodua Kancil miliknya selepas bersarapan dan melayari Internet di sebuah restoran makanan segera, diserang secara tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi.

“Lelaki terbabit menghentak cermin belakang kereta dipercayai menggunakan sebatang kayu sebelum mengambil sebuah komputer riba di tempat duduk belakang dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang siap menunggu di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi, petang semalam. Menurutnya, kejadian itu terlalu pantas dan mendakwa tidak dapat mengingati wajah suspek walaupun dapat melihat lelaki terbabit dengan jelas.

“Lagipun, hentakan kuat itu mengejutkan saya....terdiam seketika dibuatnya.

“Ketika itu, apa yang saya fikirkan hanya keselamatan diri dan sanggup menyerahkan segala barang termasuk wang tunai diminta penjenayah asalkan saya tidak diapa-apakan.

“Saya bernasib baik kerana suspek hanya mengambil komputer riba sebelum melarikan diri,” katanya.

Mislina berkata, dia hairan kerana suspek terlalu berani melakukan perbuatan itu di khalayak ramai.

“Apa yang pasti, lelaki terbabit sudah memerhatikan saya dari awal. Jika tidak, mustahil dia tahu saya meletakkan komputer riba pada belakang kereta,” katanya.

Mangsa cedera pada muka dan leher akibat terkena percikan kaca dan dirawat sebagai pesakit luar di sebuah klinik berhampiran lokasi kejadian.

Mislina berkata, walaupun trauma dengan kejadian itu, dia tetap bersyukur kerana terselamat.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati walaupun berada di kawasan yang disangkakan selamat kerana kejadian jenayah boleh berlaku tidak mengira masa dan lokasi,” katanya.

Difahamkan, Mislina kerugian lebih RM2,000 selepas kehilangan komputer riba kesayangannya selain terpaksa menggantikan cermin belakang keretanya.

Berikutan kejadian itu, Mislina membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Bayi PLKN

PAPAR: Tangisan bayi pada awal pagi yang mengundang ketakutan di kalangan pelatih kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ovai di sini, terjawab apabila menemui bayi lelaki yang baru dilahirkan rakan mereka di dalam tandas pusat berkenaan, awal pagi semalam.
Bayi yang masih berdarah dan bertali pusat itu ditemui sekumpulan pelatih yang menyiasat arah tangisan berkenaan sebelum mengesan bunyi itu datang dari bilik air.
Sebaik memasuki tandas, kumpulan pelatih berkenaan terkejut melihat rakan mereka dalam keadaan tidak bermaya memegang bayi sebelum menghubungi pihak pengurusan memaklumkan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Nik Zaidi Nik Zakaria mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Pelatih berasal dari Keningau berusia 18 tahun itu melahirkan bayi di dalam tandas kem berkenaan sebelum ditemui pelatih lain yang curiga mendengar bunyi tangisan bayi di kawasan berkenaan.

“Ibu muda bersama bayinya itu dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut dan kini dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, bayi lelaki cukup sifat seberat 2.63 kilogram itu juga stabil dan sedang dirawat di hospital sama.

“Siasatan awal polis mendapati pelatih itu pernah menjalin hubungan rapat dengan lelaki dipercayai kekasih yang menetap di kampungnya di Keningau.

“Ketika mendaftarkan diri di pusat latihan itu pada Mac lalu, pelatih berkenaan dipercayai sudah berbadan dua,” katanya.

Katanya, pelatih itu bijak menyembunyikan kehamilannya sehingga tidak disedari jurulatih dan rakan pelatih lain.

“Semua jurulatih mengaku tidak menyedari mengenai perkara itu sepanjang dua bulan pelatih berkenaan menjalani latihan di kem itu.

“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 20 tahun yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Nik Zaidi turut mengingatkan pihak pengurusan PLKN melakukan pemeriksaan lebih teliti terhadap pelatihnya.

“Saya mencadangkan pihak kem PLKN melakukan ujian kehamilan ke atas semua pelatih yang bakal memasuki pusat ini pada masa akan datang.

“Langkah ini bertujuan mengelak kes seperti ini berulang selain perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, pihak bertanggungjawab perlu menjadi kejadian itu sebagai pengajaran dan iktibar.

"Apa akan terjadi dan bertanggungjawab jika pelatih bersalin ketika sedang mengadakan latihan lasak seperti memanjat dan sebagainya.

"Kita tidak mahu berlaku sesuatu buruk berlaku yang boleh menyebabkan nyawa pelatih dan bayi dikandungnya terancam," katanya.

Tiga Remaja Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Tiga Motosikal



BALING, 11 Mei (Bernama) -- Tiga remaja maut dan seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Utama Baling ke Bongor berdekatan Kampung Bukit Puyuh di sini, malam Selasa.

Dua daripada remaja itu meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi di hospital manakala remaja yang cedera parah kini dirawat di Hospital Baling.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam ini, empat remaja berumur dalam lingkungan 20an menunggang tiga buah motosikal dipercayai berlumba sesama mereka.

Ketua Polis Daerah Baling DSP Mohd Daud Md Hasan yang berada di tempat kejadian berkata remaja yang parah dalam kejadian itu kemungkinan akan dihantar ke Hospital Sungai Petani.

Sehingga kini identiti mangsa belum dikenalpasti.

Beberapa orang penduduk yang ditemui berkata keempat-empat mangsa tinggal tidak jauh dari tempat kejadian.

-- BERNAMA

Mayat Pegawai Kadet Kolej Tentera Udara Ditemui




JITRA, 11 Mei (Bernama) -- Mayat Pegawai Kadet Kolej Tentera Udara (KTU) akibat lemas semasa menjalani latihan River Crossing di Tasik Paya Pahlawan, Mukim Binjal, dekat sini telah ditemui malam Selasa.

Ahmad Nordinnie Yunus, 19, ditemui pada pukul 8.12 malam tadi oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) TUDM.

Mayat pelatih itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Pegawai Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mej Kamarulzaman Ali dalam kenyataan media berkata ketika kejadian Ahmad Nordinnie sedang menjalani latihan di bawah pengawasan jurulatih-jurulatih Pusat Latihan Pegawai Kadet (PLP), KTU, Kepala Batas.

Semasa latihan sedang berjalan, Allahyarham dipercayai menghadapi masalah menyebabkan beliau tidak dapat mengapungkan diri.

"Jurulatih-jurulatih yang menyedari menghadapi masalah, telah bertindak dengan segera untuk membantu tetapi tidak berhasil kerana kejadian berkenaan berlaku dengan pantas," katanya.

Kamarulzaman berkata jenazah Allahyarham dijangka tiba di Pangkalan Udara Subang pada pukul 10 pagi esok dengan pesawat CH130 TUDM sebelum dibawa pulang ke pangkuan keluarganya di Ladang RISDA Inas, Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Allahyarham berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan adalah anak keempat daripada enam adik beradik, sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Pegawai KTU, dalam tahun pertama kelas Diploma 2012 sejak 8 Jun tahun lepas dan dijangka tamat latihan pada Jun 2012.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara Datuk Seri Rodzali Daud turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Nordinnie dan bersimpati dengan kejadian yang menimpa Allahyarham.

Satu Lembaga Siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian itu.

-- BERNAMA

30 maut serangan bom



BAGHDAD 11 Mei – Jumlah kematian dalam tiga kejadian letupan bom di bandar selatan Iraq, Basra meningkat 30 orang sekali gus menyaksikan peningkatan angka korban kepada 114 orang dalam serangan yang disifatkan sebagai yang terburuk setakat ini.
Pegawai perubatan yang bertugas di rumah mayat Basra berkata, 30 orang mati iaitu dua kali ganda daripada jumlah yang dilaporkan sebelum ini dalam serangan yang menggegarkan seluruh bandar raya ini semalam.
Serangan bom dan tembak-menembak bertali arus itu yang menjejaskan 10 bandar telah menimbulkan tanda tanya orang ramai tentang kemampuan anggota keselamatan Iraq dalam menjamin keselamatan negara itu ketika Amerika Syarikat (AS) merancang untuk membawa pulang lebih 92,000 anggota tenteranya.
Pegawai menyalahkan kumpulan al-Qaeda di Iraq kerana serangan itu dan mendakwa kumpulan militan itu cuba untuk menggugat usaha memulihkan negara ini ketika semua pihak sedang berteka-teki tentang pemimpin mereka akan datang.
Serangan bom itu berlaku ketika Iraq masih dibelenggu politik berpuak-puak walaupun perbincangan sedang dilakukan untuk mewujudkan kerajaan baru lebih dua bulan selepas pilihan raya parlimen diadakan.
Perdana Menteri, Nouri al-Maliki yang merupakan pemimpin Syiah cuba mengenepikan pendahulu pilihan raya, Ayad Allawi yang mendapat sokongan daripada bangsa arab Suni, apabila mewujudkan pakatan dengan dengan pemimpin Syiah lain sekali gus mampu menubuhkan sebuah kerajaan.
Puak Suni dikatakan memberontak kerana pemimpin Syiah didakwa mendominasi kerajaan sejak Saddam Hussein digulingkan pada 2003.
Jika Allawi tidak berpeluang untuk berkongsi kuasa, ia dibimbangi menyebabkan penduduk Suni marah dan merusuh kerana majoriti daripadanya menyokongnya.
Serangan bom terburuk yang melanda negara itu semalam, menjejaskan kawasan penduduk Syiah, Hillah yang terletak di wilayah selatan Baghdad setelah seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di kawasan yang dikerumuni orang ramai dan anggota penyelamat.
Di Basra pula, tiga bom meletup termasuk satu mensasarkan kawasan pasar raya. Basra menjadi sedikit aman sebelum ini sejak militan Syiah ditempatkan di situ sejak 2008 lalu oleh tentera Iraq yang mendapat pertolongan daripada tentera AS. – AP

Hujan lebat, banjir landa China



BEIJING 11 Mei - Hujan lebat akibat El Nino melanda seluruh kawasan di selatan China hingga memusnahkan beberapa buah rumah dan tanaman penduduk tempatan serta mengakibatkan sekurang-kurangnya 70 terkorban, lapor media kerajaan hari ini.
Banjir disebabkan oleh hujan lebat yang bermula sebulan awal dari kebiasaannya memusnahkan lebih 80,000 kediaman selain merosakkan tanah pertanian yang dijangka melibatkan lebih 10 juta penduduk dari 13 wilayah dan bandar, kata Ibu pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Bencana dalam laman webnya.
"Wilayah selatan China mula mengalami musim banjir iaitu sebulan awal dari tahun-tahun sebelum ini. Banjir besar dijangka melanda tidak lama lagi," kata pegawai Pusat Meteorologi Negara, Sun Jun.
Kawasan terbabit termasuk Guangdong, Chongqing, Sinchuan, Fujian, Jiangxi, Hunan dan Zhejiang.
Sun berkata, hujan lebat itu terjadi akibat cuaca El Nino yang menggabungkan cuaca panas dan udara lembap yang sejuk yang dibawa dari wilayah utara China.
Di beberapa kawasan seperti wilayah Guangdong, ribut petir menyebabkan bekalan elektrik terputus, memusnahkan jalan raya manakala air sungai pula melimpah keluar sekali gus memaksa kira-kira 145,000 penduduk dipindahkan.
Ribut petir yang melanda China boleh mengakibatkan banjir teruk di satu kawasan manakala kawasan lain pula akan mengalami kemarau.
Awal tahun ini, petani di Yunnan dan Guizhou mengalami musim kemarau yang paling teruk dalam abad ini hingga menjejaskan 61 juta orang manakala berjuta yang lain mengalami kekurangan minuman serta merosakkan lebih 10 juta ekar tanah pertanian. - AP

Joe Radzwil gagal hadir sebutan kes



PETALNG JAYA 11 Mei - Kes cerai fasakh pelakon Aida Radzwil hari ini tertangguh ekoran kegagalan suaminya, Joe Radzwil hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Peguam syarie, Nahar Alias yang mewakili Aida atau nama sebenarnya, Khalidah Adibah Ahmad, 53, terdahulu memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya telah menyerahkan saman kepada Joe semalam.
Menurut beliau, Joe ketika ditemui telah bersetuju untuk hadir pada hari ini, namun pagi ini defendan gagal dihubungi.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Ghazali Ahmad menetapkan sebutan kes berkenaan pada 22 Jun ini bagi membolehkan Joe atau nama sebenarnya Ismail @ Mohd. Radzwil Ahmad, 39, hadir.
Aida selaku plaintif yang ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, beliau seboleh-bolehnya ingin bercerai secara baik.
Bagaimanapun, menurut dramatis yang memakai busana muslimah rona hitam itu, perbincangan antara beliau dan suaminya itu berlarutan tanpa penyelesaian.
''Joe tak mahu libatkan mahkamah dan peguam, saya rasa itu tidak betul dan tidak mengikut prosedur," katanya.
''Selama ini saya sudah banyak beralah dengannya dan kini sudah tiba masa (untuk bercerai),'' luah pelakon drama 'Sanggar Cinta Raudhah' itu.
Ditanya adakah beliau bersedia untuk prosiding fasakh yang bakal membuka kelemahan dan keaiban dalam rumah tangganya, wanita itu menyatakan beliau reda selepas berbincang dengan peguam syarienya.
Aida yang hadir ditemani seorang rakannya memfailkan permohonan cerai fasakh pada 27 April lalu.
Tuntutan itu dikemukakan mengikut Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Dalam afidavit tuntutan tersebut, Aida mendakwa, suaminya itu bukan sahaja mempunyai beberapa tabiat buruk tetapi sering menyakiti dirinya selain gagal memberi nafkah lebih dari tiga bulan.
Pasangan tersebut bernikah di Wilayah Yala, Selatan Thailand pada November 2002 dan mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 3 September tahun lalu.
Pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata. Aida bagaimanapun memiliki seorang anak perempuan menerusi perkahwinan terdahulu.
Joe pula mempunyai dua orang anak, hasil perkahwinannya sebelum Aida.
ends.

Bicara kes saman Khalid Ibrahim, BIMB ditangguh Isnin



KUALA LUMPUR 11 Mei - Perbicaraan kes saman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini sehingga Isnin ini.
Abdul Khalid menyaman bank tersebut atas dakwaan berlaku penjualan secara salah saham-saham miliknya dalam Guthrie Berhad (Guthrie).
Hakim Datuk Rohana Yusuf membenarkan perbicaraan yang dijadualkan bermula hari ini ditangguhkan selepas peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Abdul Khalid memohon masa untuk meneliti dokumen yang telah diserahkan oleh BIMB pada Jumaat lalu.
Tambahan pula, menurut Malik, beliau baru sahaja dilantik menggantikan peguam M. Thomas Philip yang mewakili Abdul Khalid sebelum ini setelah peguam berkenaan dimasukkan ke hospital akibat demam denggi.
BIMB diwakili peguam Tommy Thomas.
Abdul Khalid yang hadir pada prosiding hari ini menyaman bank itu pada 18 Mei 2007 dengan mendakwa terdapat penjualan secara salah saham-saham miliknya dalam Guthrie di bawah kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April 2001.
Selain ganti rugi, beliau memohon perisytiharan bahawa terdapat kontrak kolateral antara beliau dan BIMB dengan kemudahan pinjaman BBA.
Kes saman induk antara Abdul Khalid dengan bank itu didengar bersama dengan saman balas BIMB terhadap beliau yang difailkan oleh bank berkenaan pada 24 Mei 2007.
Dalam saman balas itu, BIMB mendakwa beliau telah melanggar perjanjian BBA yang ditandatangani ekoran kegagalannya melunaskan pinjaman berjumlah AS$18.52 juta (RM66.67 juta) yang digunakan untuk membeli saham Guthrie.
Abdul Khalid merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari 1995 hingga 2003.

Seorang lelaki dipenjara, disebat



IPOH 11 Mei - Seorang lelaki warganegara Indonesia dihukum penjara tiga bulan dan sebatan satu kali oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.
Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menjatuhkan hukuman ke atas Sutiknoo, 37, dari Jawa Timur.
Menurut fakta kes, tertuduh ditahan di depan Balai Polis Kampung Tawas di sini pada 10 April lalu dan apabila diperiksa, didapati dia tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1953/1963 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Asisten Supritendan Jasli Mohd. Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendatang miliki ganja dipenjara lapan tahun, 10 sebatan



Irfan Putih dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis ganja seberat 889 gram oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 11 Mei - Seorang lelaki dari Aceh, Indonesia bukan sahaja menyeludup masuk ke Malaysia secara haram, malah menggunakan kad pengenalan dan lesen memandu palsu untuk berkerja sebagai pemandu teksi.
Lebih teruk lagi, Irfan Putih, 35, ditahan dan didakwa atas tuduhan mengedar 889 gram kanabis selepas pihak polis menjumpai ganja itu di dalam teksi yang dipandunya.
Namun, selepas lima tahun meringkuk dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh, bapa kepada dua anak itu beroleh peluang kedua apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan, memiliki ganja tersebut.
Terlepas daripada maut di tali gantung, Irfan hari ini dihukum penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah.
Hakim Dr. Badariah Sahamid memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu pada hari kejadian.
Dalam penghakiman ringkas Hakim Badariah berkata, hukuman itu diputuskan selepas mengambil kira pengakuan tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah, berat ganja selain ia sebagai pengajaran kepada semua.
Sebaik prosiding selesai, Irfan yang berbaju T kuning dilihat berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Azwar Kamaruddin dan peguamnya, Gurubachan Singh Johal.
Dia dilihat turut mendengar nasihat kedua-duanya dan berjanji untuk pulang ke kampung halaman bagi memulakan hidup baru serta berazam tidak mengulangi kesilapan lampau.
Irfan mengaku memiliki ganja itu pada pukul 6.30 petang, 25 Februari 2005, di jalan besar Taman Kota Cheras, Batu 9, Kajang dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali jika disabitkan kesalahan.
Fakta kes menyebut, sepasukan polis sedang membuat pemerhatian di tempat kejadian sebaik sahaja tertuduh tiba dan memberhentikan teksi yang dipandunya di bahu jalan.
Setelah diperiksa, polis menemui satu bungkusan plastik lutsinar bertulis 'Bintang' di dalamnya terdapat satu bungkusan akhbar Kosmo! yang berisi ketulan mampat ganja di bahagian tempat letak kaki pemandu.
Hasil pemeriksaan, polis turut menjumpai kad pengenalan, lesen memandu, permit serta pengenalan pemandu teksi yang menggunakan nama Ismail Dollah @ Abdullah.
Terdahulunya, Gurubachan memohon hukuman ringan kerana Irfan benar-benar menyesal dan telah mendapat balasan setelah ditinggalkan oleh isterinya semasa berada dalam tahanan.
Katanya, tertuduh turut memohon agar diberi peluang untuk segera pulang dan menjaga ibu serta dua anaknya yang masih kecil.
Menurut Gurubachan, tertuduh yang kehilangan punca pendapatan telah datang ke Malaysia untuk mencari rezeki selepas ayahnya dibunuh dalam satu kejadian membabitkan krisis di Aceh.
Zainal Azwar bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan tersebut.
Katanya, tertuduh telah menyebabkan ramai remaja dan rakyat negara ini terjebak dalam penyalahgunaan dadah tidak harus dipandang ringan.

Peniaga bantu SPRM perangkap Datuk Wahid Md. Don



KUALA LUMPUR 11 Mei - Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau diminta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangkap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don dalam satu kes rasuah.
Datuk Seri Low Chang Hian, 66, berkata SPRM memintanya menyerahkan RM60,000 kepada Wahid dan SPRM memberi dua pilihan iaitu sama ada menjadi saksi atau didakwa di mahkamah jika enggan berbuat demikian.
"SPRM ada bertanya kepada saya, "kamu akan jadi saksi atau kamu akan didakwa di mahkamah," katanya dan menurutnya beliau turut terlibat dalam mengatur strategi dengan SPRM untuk memerangkap Wahid pada 10 Julai 2008.
Low berkata demikian semasa disoal oleh peguam yang mewakili Wahid, Datuk V. Sithambaram pada perbicaraan Wahid, 57, yang dituduh menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Low pada 10 Julai 2008 untuk bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, pada 10.15 malam hari tersebut.
Kepada soalan Sithambaram bahawa bungkusan berisi RM60,000 yang diberikannya kepada Wahid pada 10 Julai itu sepatutnya diberikan kepada "Mr Sim" melalui Wahid, Low menafikannya.
Sithambaram: Saya cadangkan kepada kamu bahawa bungkusan itu akan diserahkan kepada "Mr Sim" tetapi oleh kerana kamu akan pergi ke Jakarta pada keesokannya, kamu kemudian telah menyerahkannya kepada Wahid?
Low: Tidak setuju.
Kepada soalan adakah nama sebenar "Mr Sim" ialah Sim Guan Yu, Low berkata, beliau tidak pasti dan hanya mengetahuinya sebagai "Mr Sim" yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berasal dari Singapura.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung 25 Mei ini.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah. - BERNAMA

Penganggur dipenjara 12 tahun, dua sebatan



KOTA BHARU 11 Mei - Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang penganggur yang didapati bersalah mencederakan dan merogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun lapan bulan terpaksa dibayar dengan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan dua kali.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Zainal L. Salleh dalam keputusannya memerintahkan supaya hukuman Muhd. Hafiz Saibi, 23, berkuat kuasa mulai tarikh tangkap.
Selain itu, Zainal turut memerintahkan supaya Muhd. Hafiz diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun kerana kesalahan yang dilakukan amat serius.
Pendakwaan ke atas Muhd. Hafiz yang tidak diwakili peguam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman.
Tertuduh mengaku bersalah merogol mangsa antara pukul 3.10 dan 4 petang, 2 Disember 2008 di sebuah kampung, di Binjai dekat sini.
Ketika membentangkan fakta kes, Nooriah berkata, mangsa sedang berjalan-jalan berhampiran sebuah tali air bersama adiknya dan seorang rakan sebelum tertuduh yang muncul secara tiba-tiba, menarik tangannya.
Adik dan rakan mangsa menurut Nooriah, segera melarikan diri namun mangsa telah diseret ke kawasan semak di sebuah ladang getah berhampiran.
''Tertuduh segera mengacukan sebilah pisau ke leher mangsa serta mengugut hendak membunuhnya jika dia menjerit.
''Malahan ketika dirogol mulut mangsa telah ditumbuk bagi menghalangnya daripada menjerit hingga menyebabkan hidungnya berdarah manakala bibirnya pula bengkak," katanya.
Nooriah menyatakan, mangsa telah ditinggalkan di kawasan semak sebelum ditemui oleh ibunya yang segera mencari selepas adik mangsa menceritakan kejadian itu.
Ibu mangsa telah membawa anaknya ke balai polis berdekatan dan tertuduh berjaya ditangkap pada pukul 11 malam, hari yang sama di kampung tersebut.
Terdahulu Nooriah mengemukakan barang bukti iaitu gambar tempat kejadian dan sebilah pisau kepada mahkamah.
Beliau memohon hukuman berat ke atas tertuduh kerana kes itu membabitkan kekerasan dan kecederaan kanak-kanak bawah umur.
Nooriah menegaskan walaupun tertuduh mengaku bersalah dan ia menjimatkan kos serta masa mahkamah namun ia bukanlah faktor untuk meringankan hukuman.
Ketika diberi peluang untuk mengemukakan rayuan, Muhd. Hafiz hanya menggelengkan kepala.
Zainal yang bersetuju dengan fakta bahawa kes itu sememangnya serius turut menasihati tertuduh supaya merenung kembali kesalahannya agar tidak mengulangi perbuatan itu apabila keluar kelak.

Remaja mangsa tembak pindah wad biasa



SEREMBAN 11 Mei - Remaja yang ditembak polis di Jalan Seremban-Jelebu dekat sini Sabtu lalu, telah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ ), ke wad biasa hari ini.
Menurut bapa mangsa, Aziz Omar, 42, anaknya itu telah menunjukkan perkembangan baik hasil daripada rawatan yang diberikan para doktor.
"Bagaimanapun Azizi masih terlalu lemah untuk bercakap dan saya juga sukar untuk memahami tutur katanya.
"Lagipun ia mungkin disebabkan tiub yang dimasukkan di dalam mulutnya sepanjang masa," katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa cedera di perutnya selepas seorang anggota polis melepaskan satu das tembakan semasa mengejarnya di Jalan Seremban-Jelebu dekat sini.
Mohd. Azizi Aziz, 17, telah ditembak kerana dikatakan enggan memberhentikan motosikal walaupun selepas diarahkan oleh anggota polis kereta peronda.
Tembakan yang dilepaskan itu terkena bahagian perut mangsa sehingga tembus ke usus menyebabkan dia terpaksa dirawat ICU HTJ.
Siasatan awal polis mendapati, Mohd. Azizi yang tidak mempunyai lesen memandu, menunggang motosikal rakannya jenis Honda EX5.
Dalam pada itu, Aziz memberitahu, polis telah mengambil keterangan daripadanya semalam di sini.

Penganjur smart kutu didakwa





KUALA LUMPUR 11 Mei – Empat syarikat yang menjalankan skim smart kutu dengan nilai pelaburan kira-kira RM33 juta membabitkan 100,000 pelabur akan didakwa di mahkamah di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keempat-empat syarikat itu telah disiasat sejak tiga bulan lepas berikutan maklumat yang diterima daripada orang ramai.
‘‘Saya tidak boleh beri nama takut nanti pengurusan syarikat akan alihkan harta dan sebagainya, jadi nanti kita dapat kosong sahaja,’’ katanya selepas merasmikan Majlis Dialog Amalan Perniagaan Beretika anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, walaupun kegiatan mengambil deposit daripada orang ramai semakin berkurangan tetapi terdapat syarikat-syarikat yang masih mencuba nasib melakukan jenayah tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin memberitahu, sebuah daripada syarikat itu beroperasi di Kedah manakala tiga di Johor.
‘‘Salah sebuah syarikat yang terlibat telah dibekukan asetnya bagi memastikan pengurusan syarikat tidak memindahkan wang deposit pelabur,’’ katanya.
Semalam, SSM melakukan serbuan ke atas premis Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kulim, Kedah kerana disyaki melakukan penipuan membabitkan skim pelaburan burung layang-layang dengan wang pelaburan mencecah RM400,000.
Azmi memberitahu, SSM secara berterusan akan memastikan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 tidak mengambil deposit daripada orang ramai kerana ia merupakan satu jenayah.
‘‘SSM mendapati kegiatan mengambil deposit wang secara haram daripada orang ramai semakin berkurangan berikutan kempen dan pendedahan yang diberikan oleh suruhanjaya.
‘‘Kesedaran orang ramai juga membantu suruhanjaya untuk menyiasat syarikat-syarikat yang cuba mengambil deposit secara haram daripada mereka,’’ katanya.
Mengenai jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan oleh beliau untuk mengurangkan jenayah kolar putih, Azmi memberitahu, mesyuarat pertama akan diadakan pada Khamis ini.
Katanya, jawatankuasa itu akan menyediakan garis panduan bidang kuasa pasukan penyiasat bersama, cara-cara pendakwaan dan perkongsian maklumat serta bukti untuk membanteras jenayah kolar putih.
‘‘Jawatankuasa akan senaraikan terma rujukan yang difokuskan, contohnya jika Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat sesuatu kes adakah perkara itu mahu diberitahu kepada kita dan bentuk kerjasama antara satu sama lain,’’ katanya.

Polis berkas penyamun 'Geng Gas'



KUANTAN 11 Mei - Tidak sampai 12 jam tiga lelaki menyamun empat sekeluarga di Felda Bukit Kuantan, Panching, dekat sini semalam, polis berjaya menahan mereka di sebuah hutan berdekatan Felda itu.
Kesemua suspek yang menganggotai kumpulan dikenali sebagai 'Geng Gas' berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan secara berasingan pada pukul 12 tengah hari dan 4.30 petang, hasil maklumat awam.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, kejayaan diperoleh selepas polis terserempak dengan seorang ahli geng itu, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya, ketika itu, suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.
"Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa barangan samun daripada suspek. Susulan itu, polis memburu dua lagi rakannya yang masih berada di kawasan berdekatan.
"Dengan bantuan unit anjing pengesan, kedua-dua mereka berjaya ditahan pada pukul 4.30 petang dan polis menjumpai semua barangan yang dicuri.
"Barangan itu adalah wang tunai berjumlah RM48,000, barang kemas, jam tangan, sebuah komputer riba, lima telefon bimbit dan kad nilai prabayar bernilai RM200 yang semuanya berjumlah RM150,000," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek yang dipercayai warga asing itu termasuk dua daripadanya terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), ditahan reman bermula semalam.
Dalam pada itu, Sharifuddin melahirkan ucapan terima kasih di atas kerjasama penduduk dalam membantu polis menjejaki 'Geng Gas' tersebut.
"Kita sentiasa mengharapkan bantuan orang awam dalam menangani dan membanteras jenayah. Kita juga bercadang untuk memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat," katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan empat sekeluarga di Felda Bukit Kuantan disamun tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang yang dikenali sebagai Geng Gas mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

Kumpulan pecah, curi kedai emas tumpas



IPOH 11 Mei - Polis berjaya menumpaskan sebuah kumpulan yang aktif mencuri barang kemas di lapan buah negeri, sejak dua tahun lalu, membabitkan kerugian kira-kira RM10 juta.
Kejayaan itu diperoleh dengan penahanan lima lelaki setelah mengepung mereka ketika cuba memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Ipoh Jaya di sini, awal pagi Ahad lalu.
Turut ditemui 28 jenis peralatan pecah kedai termasuk dua tabung gas, mesin penebuk, mesin pemotong, tangga aluminium dan mesin hidraulik.
Polis turut merampas empat buah kereta yang digunakan oleh kumpulan yang dianggotai lelaki berusia 37 hingga 51 tahun itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama orang awam yang bertindak pantas melaporkan bunyi alat penggera sebuah kedai emas di kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tersebut, sepasukan polis Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang sedang membuat rondaan cegah jenayah terus bertindak mengepung kawasan rumah kedai tersebut.
Sementara itu di Alor Setar, cubaan sekumpulan lelaki untuk menyamun sebuah kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahn di Jalan Kota di sini, gagal apabila sistem penggera keselamatan di premis itu berbunyi.
Dalam kejadian antara pukul 12.30 tengah malam dan 4.41 pagi, penjenayah itu turut memecahkan sebuah butik pakaian dan pejabat peguam yang terletak bersebelahan premis pajak gadai berkenaan.
Bagaimanapun, kumpulan penyamun itu terkejut apabila sistem penggera di premis pajak gadai tersebut berbunyi menyebabkan mereka melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, suspek hanya sempat melarikan sebuah komputer riba dari pejabat peguam dan wang tunai RM140 dari butik berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati lebih lima orang lelaki disyaki terlibat dalam cubaan untuk merompak kedai pajak gadai Islam tersebut.

Suspek samun cedera ditembak





Seorang penjenayah berjaya ditembak oleh anggota polis apabila cuba melakukan samun di Jalan Pinggai, Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam. - Gambar EHSAN SIN CHEW



JOHOR BAHRU 11 Mei - Seorang penjenayah dipercayai warga Indonesia berputih mata apabila bukan sahaja gagal menyamun seorang warga emas tetapi turut cedera ditembak polis di kakinya.
Kejadian berlaku pada pukul 2.40 petang ketika suspek berusia 30-an bersama tiga rakannya cuba menyamun mangsa berusia 68 tahun di sebuah bank di Taman Pelangi, di sini hari ini.
Ketika itu, mangsa baru mengeluarkan wang tunai RM14,000 yang diletakkan di dalam sebuah beg komputer riba dan sedang menuju ke kenderaannya.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mangsa bagaimanapun tiba-tiba dihampiri oleh suspek yang kemudian menyerangnya.
"Anggota polis yang kebetulan berada di kawasan itu lalu bertindak membantu mangsa. Namun suspek turut menyerangnya sebelum tiga lagi rakan suspek datang menyerbu.
"Bagi mempertahankan diri, anggota berkenaan melepaskan dua das tembakan dan mengenai salah seorang suspek," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, suspek yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala tiga lagi rakannya melarikan diri menggunakan dua motosikal.
"Mereka juga gagal melarikan sebarang hasil samun," katanya.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan dikenal pasti amat dikehendaki polis berikutan terbabit dengan beberapa siri rompakan di sekitar negeri ini.
Katanya, kesemua suspek dipercayai menginap di hotel bajet di negeri ini sebelum melakukan rompakan.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," ujarnya.

Keluar wang sendiri pasang nombor rumah

KUALA KANGSAR: Seorang posmen layak digelar pekerja paling komited ketika bertugas kerana dia bukan saja memenuhi skop kerjanya dengan menghantar surat dari rumah ke rumah sebaliknya sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membuat nombor pendaftaran untuk setiap rumah di kawasan tugasannya.
Bagi Mohamad Kalib Awang, 50, usaha murni itu dilakukan bagi memudahkannya menghantar surat milik penduduk tanpa sebarang kerumitan dan kelewatan kerana kebanyakan kediaman penduduk di Kampung Ngok Beluru dan Kampung Ribu berdekatan Beluru, di sini, tiada nombor pendaftaran rumah.
Kebiasaannya, setiap sampul surat tertera alamat sebuah rumah dan apa yang menjadi masalah ialah posmen sukar mencari rumah pemilik surat dengan tepat kerana pemilik gagal menampal atau melekatkan nombor rumah mereka.

Mohamad Kalib berkata, sejak dua minggu lalu, dia sudah menyiapkan kira-kira 20 nombor pendaftaran rumah milik penduduk kampung dan akan melengkapkan 20 lagi rumah di kawasan sama dalam masa terdekat.

Katanya, dia mengeluarkan wang poket RM50 bagi membeli peralatan membuat nombor pendaftaran rumah itu seperti kad manila membuat ruangan nombor, tin semburan cat dan pelekat nombor untuk ditampalkan pada petak ruangan yang disembur.

"Saya akan menyembur cat hitam pada satu ruangan petak pada dinding luar rumah penduduk sebelum menampal pelekat nombor pendaftaran tertentu yang berwarna putih bagi mewakili setiap rumah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia sudah bertugas dengan Pos Malaysia Bhd selama 19 tahun dan masalah ketiadaan nombor pendaftaran rumah sentiasa berlaku terutama di kawasan pedalaman.

Mohamad Kalib berkata, kadangkala, dia juga pernah dimarah penduduk kerana kelewatan surat yang dihantar disebabkan nombor pendaftaran rumah yang tidak lengkap. Menurutnya, jika posmen tidak berjaya menghantar surat ke alamat yang tepat, surat berkenaan dikembalikan ke pejabat pos terdekat dan tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk.

Katanya, dia menyedari tugas membuat nombor pendaftaran rumah itu bukan tanggungjawabnya, sebaliknya berharap ia memudahkan posmen yang ditugaskan di kawasan itu menjalankan tugas tanpa masalah.

Sementara itu, Ketua Kampung Beluru, Mior Taha Shaharim, 65, berkata sikap bertanggungjawab seperti ditunjukkan Mohamad Kalib harus dipuji dan boleh dijadikan contoh baik kepada masyarakat.

Kekasih Woods buat filem 'The 11th Hole'





2010/05/11

Joslyn James
Joslyn James
FLORIDA: Sebuah filem lucah baru digelar The 11th Hole mendedahkan perincian intim tidak pernah disiarkan sebelum ini berhubung dakwaan hubungan tiga tahun Joslyn James dengan pemain golf nombor satu dunia Tiger Woods. 

Filem itu diberi tajuk sedemikian kerana James wanita ke-11 dinamakan sebagai kekasih simpanan pemain golf yang mengaku curang itu.
Filem itu akan memaparkan mesej teks grafik yang didakwa James dihantar Woods ketika hubungan mereka.
Akhbar The Huffington Post melaporkan satu kenyataan akhbar mempromosi The 11th Hole sebagai berkata ‘Filem itu akan mendedahkan sikap Woods sebalik tajuk muka depan.’ 

“Kisah filem itu disifatkan sebagai memberahikan,” kata kenyataan itu. 

Filem lucah itu akan dikeluarkan Vivid Entertainment, digambarkan dalam kenyataan akhbar sebagai ‘studio utama filem dewasa dunia’. 

Vivid mengatakan James berbincang dengan studio berhubung siapa akan membawa peranan Woods. 
Pengasas dan pengerusi bersama Vivid, Steven Hirsch, percaya ada ‘permintaan besar untuk filem itu kerana ia akan memberitahu kisah sebenar di sebalik keinginan besar seksual Woods dan wanita yang memuaskannya.’ 

Filem itu dijangka mula ditayangkan 17 Mei depan. – Agensi