Search This Blog

Monday, May 10, 2010

5 mati sebelum pilihan raya Filipina

MANILA: Lima orang terbunuh ketika ketegangan memuncak sehari sebelum pilihan raya Presiden Filipina yang dijangka menyaksikan Benigno Aquino mencapai kemenangan besar.
Kelima-lima kematian itu dilaporkan di dua kawasan pedalaman. Mangsa dikatakan ditembak oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang setia kepada calon tempatan.
Dalam pada itu, gerila komunis juga memusnahkan lima mesin pengira undi.

Bagaimanapun, tentera dan polis yang mengerahkan puluhan ribu anggota untuk melindungi pusat mengundi menegaskan, pengundian hari ini dijangka berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan besar.

Berdasarkan kajian dua pertubuhan bebas, Benigno, anak bekas Presiden Corazon Aquino akan memperolehi antara 39 hingga 42 peratus undi, mengatasi pesain paling dekat, bekas Presiden Joseph Estrada dan jutawan hartanah, Manny Villar. - AFP

Lapan mati ditikam

BEIJING: Seorang lelaki menikam mati lapan orang, termasuk tiga ahli keluarganya di timur China, semalam.
Agensi berita Xinhua melaporkan, suspek, Zhou Yezhong menikam mati ibu, isteri, anak perempuan, empat jirannya dan seorang pekerja asing kira-kira jam 6 petang di Kampung Chengyuan, Badu di Jiangxi.

Anak perempuan Zhou dilapor menjadi mangsa pertamanya.

Beliau kemudian membunuh ibunya yang berusia 80-an tahun meskipun wanita itu dilapor melutut merayu supaya tidak dibunuh.

Zhou, 36, kemudian bergegas ke rumah jirannya dan membunuh isteri dan dua jiran yang berada di rumah itu.
Beliau kemudian mengejar dua lagi jiran dan seorang pekerja asing yang cuba mendapatkan pertolongan.

Zhou ditahan pihak berkuasa kira-kira dua jam selepas tragedi itu.
Pengarah Biro Keselamatan, Zhou Weihui berkata, motif pembunuhan itu belum dapat dipastikan.

Pihak berkuasa seluruh China kini mengambil langkah berjaga-jaga akibat peningkatan serangan terhadap kanak-kanak.

Pada 30 April lalu, seorang petani bersenjatakan tukul mencederakan lima pelajar dan seorang guru sekolah rendah di Shandong sebelum membakar dirinya.

Sehari sebelum insiden itu, seorang penganggur yang berang akibat masalah peribadi dan kerjaya menetak 29 pelajar dan tiga orang dewasa di sebuah tadika di Taixing.

Serangan itu berlaku hanya sehari selepas seorang guru yang mengalami masalah mental mencederakan 15 pelajar dan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Guangdong.

Kaji selidik menunjukkan peningkatan masalah mental di kalangan penduduk, majoriti akibat tekanan masyarakat akibat perubahan ekonomi yang terlalu mendadak. Kaji selidik tahun lalu menunjukkan 173 juta orang dewasa China mengalami masalah mental dan 91 peratus tidak pernah dirawat. - AFP

Wanita HIV meningkat

KUALA LUMPUR: “Jumlah wanita yang menghidap HIV dikesan semakin meningkat apabila 15 orang daripada 1,000 wanita dikesan menghidap penyakit itu,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Aids Malaysia, Datuk Mohd Zaman Khan.
Beliau berkata, jumlah itu semakin membimbangkan kerana bukan saja lelaki menghidap virus itu, malah golongan hawa terjebak dengan dunia penagihan, pelacuran turut dijangkiti selain dibawa suami.
Menurutnya, pertukaran jarum suntikan dan seks bebas menjadikan pesakit HIV kini meningkat 86,000 sejak tahun 1986.

“Dalam tempoh berkenaan pesakit HIV di kalangan wanita juga semakin tinggi daripada peringkat umur 15 tahun ke atas dengan jumlah 21,000 orang.

“Penagihan dadah yang semakin menjadi-jadi termasuk pertukaran jarum suntikan antara mereka membuatkan virus itu mudah merebak seterusnya menjadikan sistem ketahanan badan pesakit lemah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Jangan Tinggal Daku, Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah di Sungai Buloh, di sini, semalam. Turut hadir Penasihat Darul Ukhwah merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Ijabah, Mohamad Abdullah.

Mohd Zaman berkata, jiwa remaja yang memberontak menarik mereka terjebak dalam dunia penagihan melalaikan sehingga memusnahkan masa depan.

Katanya, gejala itu boleh dikurangkan sekiranya masyarakat tidak terbabit dengan dadah, mengambil tahu dan mengambil berat di antara satu sama lain.

“Masyarakat terutama golongan muda terjebak ke kancah itu boleh kembali ke pangkal jalan seterusnya mengelak menghidap virus itu.

“Selain itu, masyarakat perlu menerima pesakit HIV bagi memulihkan mereka dan bukan menyisihkan mereka kerana ia memberi kesan lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat tidak boleh memandang hina dengan menganggap mereka jijik kerana ia akan meningkatkan lagi jumlah pesakit.

“Dengan adanya rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah dapat memberi harapan kepada mereka kembali ke pangkal jalan dengan bimbingan petugas menekankan aspek pemulihan,” katanya.

30 bas tersadai

DANOK, THAILAND: Pengusaha van pelancong Thailand, di sini, bukan saja bertindak melampau apabila menghalang kemasukan bas serta van pelancong Malaysia ke Thailand sejak malam Jumaat lalu, tetapi turut mengambil kesempatan dengan menaikkan kadar tambang sehingga 100 peratus lebih tinggi untuk perjalanan dari bandar ini ke Hatyai.
Kebiasaannya, kadar tambang bagi sebuah van pelancong untuk perjalanan dari Danok ke Hatyai antara RM60 hingga RM80, tetapi sejak pagi kelmarin pengusaha van pelancong di negara jiran itu menaikkan kadar tambang sehingga RM110 dan RM160 bagi destinasi sama.
Akhbar semalam melaporkan pengusaha van pelancong Thailand, di sini, bertindak menghalang bas dan van pelancong dari Malaysia memasuki negara itu sejak Jumaat malam kerana tidak berpuas hati dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang didakwa kerap mengambil tindakan terhadap mereka.

Berikutan tindakan itu, lebih 30 bas dan van yang membawa lebih 1,000 pelancong Malaysia untuk ke Hatyai terkandas di kawasan letak kereta berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Thailand, di sini.

Tinjauan Harian Metro, di sini, semalam mendapati sekatan yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kompleks berkenaan masih diteruskan hingga menyebabkan pengusaha bas dan van pelancong Malaysia terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan memindahkan penumpang mereka ke van pelancong Thailand untuk ke destinasi lain di negara itu terutama Hatyai.

Difahamkan, sebagai permulaan kumpulan pengusaha van pelancong Thailand itu merancang untuk meneruskan sekatan selama tiga hari iaitu sehingga hari ini dan ia mungkin diteruskan jika tiada sebarang usaha untuk membolehkan mereka beroperasi seperti biasa sebelum ini dilakukan pihak berkaitan.

Pengusaha van pelancong Malaysia yang mahu dikenali sebagai Beng, 40-an, berkata tindakan menaikkan tambang itu menyebabkan syarikat pengusaha bas dan van pelancong negara ini terbeban dengan kos tinggi kerana terpaksa menanggung bayaran yang dikenakan van pelancong Thailand. “Kebanyakan daripada kami sudah mengambil tambang dari Malaysia untuk ke Hatyai, tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan kerana sekatan itu,” katanya.

5 kali hamil luar nikah



Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/05/10
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHRU: Ketika jutaan wanita di seluruh dunia meraikan sambutan Hari Ibu bersama insan tersayang, seorang wanita yang sering diperalat lelaki baru dikenali hingga pernah melahirkan empat anak luar nikah, kini menaruh simpati terhadap sebuah rumah perlindungan ibu mengandung untuk melahirkan anak kelimanya.
Pengurus Persatuan Kebajikan Tiram, Dr Salina Abdullah, 50, berkata wanita berusia 33 tahun itu menghubunginya baru-baru ini bagi mendapatkan bantuan kerana bakal melahirkan anak kelima tidak lama lagi.
Menurutnya, atas dasar perikemanusiaan pihaknya pernah menawarkan perlindungan kepada wanita itu sebelum ini, namun disebabkan dia tidak pernah insaf terhadap perbuatannya, permintaan wanita itu terpaksa ditolak.

Katanya, difahamkan anak yang bakal dilahirkan itu hasil hubungan sulit dengan teman lelaki baru dikenali lebih setahun lalu.

“Sebelum ini, kami pernah menawarkan perlindungan kepada wanita berkenaan kerana disisih keluarga dan menghadapi masalah berkahwin dengan teman lelaki sebelum ini kerana tiada kad pengenalan.

“Kami kasihan melihat wanita itu kerana dia terpaksa hidup serba kekurangan selepas teman lelakinya ditangkap polis akibat kes curi lori dan dihukum penjara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka wanita itu terus bergelumang dosa apabila hamil anak kelima dan bakal melahirkannya tidak lama lagi.

Menurutnya, perkembangan terbaru itu memaksa pihaknya menolak rayuan wanita berkenaan.

“Wanita itu memberitahu dia mempunyai masalah mendirikan rumah tangga dengan teman lelaki barunya itu kerana lelaki berkenaan sudah beristeri dan mempunyai anak.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ketika beberapa kali mendapatkan perlindungan di sini, dia mengakui kesilapannya dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu selain melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya.

Menurutnya, wanita itu mendakwa teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkannya keliru sama ada mahu membesarkan bayi yang bakal dilahirkan itu atau sebaliknya.

“Dalam perbualan kami, wanita berkenaan menyatakan masalah membesarkan anak sulung berusia 10 tahun serta anak keempat berusia tiga tahun menyebabkan dia bercadang menyerahkannya kepada orang lain.

“Ia menunjukkan pengalaman empat kali melahirkan anak luar nikah tidak menginsafkan wanita itu. Kami sedih dan ingin membantunya, tetapi sukar membantu mereka yang enggan membantu diri sendiri,” katanya.

Siasat mangsa tembak

SEREMBAN: Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan bapa remaja berusia 17 tahun yang menyatakan anaknya turut dipukul selain cedera ditembak ketika cuba melarikan diri menunggang motosikal sebaik dikejar polis di Jalan Seremban-Jelebu di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata pihaknya merekod keterangan anggota polis berpangkat konstabel yang melepaskan tembakan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Saya ingin menegaskan kes ini serius dan akan disiasat secara menyeluruh termasuk dakwaan bapa mangsa mengesyaki anaknya turut dipukul (anggota) polis.

“Buat masa ini, kita belum mengambil keterangan remaja berkenaan kerana keadaannya dilaporkan masih lemah dan dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan anggota polis berkenaan kini ditahan reman seminggu untuk membantu siasatan.

Apabila ditanya mengenai sama ada mahu menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kejadian itu, beliau berkata, tiada keperluan berbuat demikian.

Mama...mama! nie akak, akak nak mama tolong akak

BANGI: “Mama...mama! nie akak, akak nak mama tlg (tolong) akak,” itu khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar Siti Rahayu Mohd Shamsudin, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Reko, Kajang kepada ibunya, Rohana Abdul Rahim, 38, selepas laporan kehilangannya disiarkan Buletin 1.30 TV3, petang kelmarin.
Sebelum itu, Siti Rahayu keluar ke sekolah dengan menaiki bas dan tidak pulang ke rumah sejak 30 April lalu.
Menurutnya, dia juga sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu.

“Saya ada bertanya rakan anak saya di sekolah dan dimaklumkan pada hari kejadian, anak saya bersama rakannya ke bandar Kajang dan tidak pulang semula ke sekolah seperti biasa bersama seorang rakan karibnya,” katanya.

Beliau berkata, kandungan SMS yang dihantar anaknya itu diterima kira-kira jam 1.50 tengah hari sebaik berita kehilangan anaknya disiarkan.

Bagaimanapun, apabila dia cuba menghubungi semula nombor telefon yang tertera pada SMS itu didapati telefon bimbit berkenaan dimatikan.

“Saya risau memikirkan kesihatan anak saya itu kerana dia baru selesai menjalani pembedahan apendiks dan memerlukan rawatan susulan selain mengalami masalah jantung, ”katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Rohana di talian 017-5672761 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood mengesahkan menerima laporan itu

Gadai nyawa cekup peragut

BUTTERWORTH: Bagaikan aksi dalam filem, dua lelaki mempertaruhkan nyawa mengejar seorang peragut bermotosikal sejauh 15 kilometer sebelum memberkasnya dengan bantuan orang ramai. dekat Titi Timbul, Teluk Air Tawar, di sini, semalam.
Sebelum itu, Nor Azihir Noraziz, 31, dan Fairuz Rosli, 28, beberapa kali nyaris terbabit kemalangan ketika mengejar suspek yang meragut beg seorang wanita dekat Taman Chai Leng, Prai, kira-kira jam 11.15 pagi. Dalam kejadian itu, suspek berusia 40-an menunggang motosikal Yamaha 135 meragut beg tangan Tan Hui Bing, 22, yang baru keluar dari keretanya untuk ke kedai makan.
Kebetulan kejadian itu dilihat Nor Azihir yang bekerja di sebuah syarikat binaan lalu mengambil motosikalnya sebelum mengejar peragut terbabit.

Nor Azihir yang sebelum ini berhasrat menangkap peragut berkata, dia hampir kehilangan suspek namun terus mengekorinya hingga ke bulatan Seberang Jaya.

“Menyedari tidak mampu mengejar suspek seorang diri, saya memanggil seorang penunggang Yamaha RXZ (Fairuz) dekat bulatan Seberang Jaya sebelum kami mengejar suspek.

“Suspek memasuki Jalan Permatang Pauh dan menggunakan pelbagai taktik bagi meloloskan diri, tetapi kami terus mengejarnya,” katanya, semalam. Dia yang menyifatkan dirinya sebagai ‘antiperagut’, berkata suspek kemudian memasuki Jalan Raja Uda sebelum keluar melalui persimpangan Kubang Buaya, Butterworth.

“Kami beberapa kali nyaris bertembung dengan lori kerana suspek meneruskan perjalanan walaupun ada lampu trafik.

“Pada satu ketika, saya cuba menendangnya supaya terjatuh, tetapi dia pula bertindak balas, malah lebih menyakitkan hati suspek sempat berpaling dan melemparkan senyuman,” katanya. Sehingga di persimpangan Titi Timbul, Teluk Air Tawar-Penaga, dia berjaya menghalang suspek sebelum Fairuz melanggar motosikal suspek menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh.

Mulanya suspek cuba melawan, tetapi bertindak terjun ke dalam parit sebaik melihat orang ramai berhenti apabila dimaklumkan ada kes ragut. Bagaimanapun, suspek ditahan sebelum diserahkan kepada polis.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah.

Siasatan mendapati suspek tinggal di Jelutong, Pulau Pinang pernah dipenjarakan kerana kesalahan membunuh, malah mengaku menghisap ganja sebelum meragut.

Motosikal digunakan untuk meragut disyaki motosikal curi dan menggunakan dua nombor pendaftaran.

Parah dibelasah kakak, kekasih

AMPANG: Hanya kerana ditegur supaya tidak membawa masuk teman lelaki ke dalam rumah, seorang kakak dan kekasihnya yang juga warga asing berusia lewat 20-an membelasah adiknya itu di sebuah pangsapuri disewa mereka di Pandan Perdana di sini, baru-baru ini.
Semuanya bermula apabila mangsa yang berusia 17 tahun dan tinggal bersama kakaknya cuba menegur wanita berkenaan supaya tidak membawa masuk teman lelakinya ke dalam rumah kerana bimbang perkara buruk berlaku.
Niat murni mangsa yang mahu mencegah kakaknya supaya tidak terbabit perbuatan maksiat mengundang kemarahan kakaknya yang menampar mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka berdua.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, pergelutan berkenaan berlaku lebih 10 minit sebelum kekasih kepada kakak mangsa yang juga seorang warga Arab campur tangan.

Menurut sumber, pergelutan yang berlaku di kawasan ruang tamu itu menjadi lebih genting apabila mangsa yang cuba mempertahankan diri mencapai parang sebelum mengarahkan kekasih kakaknya itu meninggalkan rumah mereka.

“Namun, teman lelaki kakaknya itu menolak mangsa menyebabkan remaja terbabit terlepas parang dalam genggamannya.

“Kesempatan itu diambil kakaknya apabila memukul kepala mangsa dengan kayu besbol,” katanya.

Difahamkan, hentakan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala.

Sumber berkata, kesengsaraan mangsa tidak berakhir di situ apabila teman lelaki kakaknya kemudian menghentak kepala mangsa menggunakan belakang parang yang dirampas daripada mangsa.

Mangsa yang tidak tahan dibelasah kemudian melarikan diri sebelum pergi ke rumah ibu saudaranya di Pandan Indah.

Sumber berkata, ibu saudara mangsa memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa bagi menghentikan pengaliran darah di kepalanya.

Difahamkan, kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa ditemani ibu saudaranya pergi mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta berhampiran.

Mangsa menerima beberapa jahitan pada bahagian kepala dipercayai akibat ditetak menggunakan belakang parang selain dipukul menggunakan kayu besbol.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Lagak selamba bongkar penjenayah sorok pistol

KUALA LUMPUR: Lagak selamba dua lelaki berusia lewat 20-an yang cuba mengelak sebaik bertembung dengan sekumpulan anggota polis tidak berjaya sebelum ditahan kerana memiliki sepucuk pistol jenis Lambreta, kelmarin.
Difahamkan, kedua-dua suspek cuba mengelak sebaik bertembung dengan anggota polis di sebuah pasar raya di Jinjang, di sini, sebelum berjalan menuju ke kereta Proton Waja yang diletakkan di parkir pasar raya itu.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, beberapa anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan berasa curiga kerana kedua-dua lelaki seolah mengelak sebaik bertembung dengan mereka.

“Walaupun lagak bersahaja ketika berjalan untuk meninggalkan kawasan pasar raya itu, riak wajah seorang daripada suspek menimbulkan kesangsian.

“Anggota polis kemudian menghampiri mereka sebelum melakukan pemeriksaan,” katanya.

Hasil pemeriksaan anggota polis menjumpai sepucuk pistol di dalam sebuah beg di bahagian tempat duduk belakang.

“Kedua-dua suspek kemudian ditahan sebelum di bawa ke Balai Polis Jinjang, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurut sumber, kedua-dua suspek menggunakan senjata api berkenaan untuk tujuan jenayah dan hasil pemeriksaan awal mendapati mereka mempunyai rekod lampau.

Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai berkemungkinan terbabit dalam beberapa kes samun dan rompakan di sekitar Lembah Klang.

“Namun, semua itu masih dalam siasatan dan mereka berdua kini ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Jaga nyaris dihempap khemah

PUTRAJAYA: Kejadian enam khemah diterbangkan angin kencang yang berlaku dalam sekelip mata menjadi mimpi ngeri seorang pengawal keselamatan, Sawi Hassan, 62, yang ketika itu sedang menjalankan tugasan, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika hujan lebat itu menerbangkan enam khemah yang menempatkan puluhan basikal elektrik kepunyaan Perbadanan Putrajaya (PPj) di kawasan lapang berdekatan pusat beli-belah Alamanda, di sini.
Khemah kepunyaan PPj dan syarikat kontraktor yang ditempatkan di situ asalnya sebagai kawasan Pertandingan Pendidikan Keselamatan Jalanraya DeCARE peringkat sekolah Putrajaya yang berakhir 8 Mei lalu.

Menurut Sawi, sebelum kejadian dia bertugas sendirian di bawah khemah berkenaan dan sekitar jam 12 tengah hari hujan mula turun diiringi petir dan angin kencang.

“Dalam sekelip mata keenam-enam khemah terbabit diterbangkan angin dan pada masa itu saya sudah tidak mengingati apa-apa lagi kecuali berserah kepada Allah saja.

“Walaupun pakaian basah kuyup, saya bersyukur kerana selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dari ditimpa khemah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia tergamam dan tidak tahu apa harus dilakukan kerana ia berlaku amat pantas.

“Dalam keadaan basah kuyup itu saya mencari-cari nombor telefon untuk dihubungi melalui buku laporan yang turut basah bagi memaklumkan kejadian yang berlaku itu kepada pihak PPj kerana sebelum ini saya bertugas ditempat lain dan awal pagi tadi saya melaporkan diri untuk bertugas di sini bagi menggantikan rakan yang bercuti,” katanya.

Sawi berkata, kejadian itu pertama kali dialaminya sejak mula bertugas sebagai pengawal keselamatan dalam tempoh 10 tahun.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Tadbir, Unit Keselamatan Jalan Raya PPj, Roslan Mohd Hashim, berkata kejadian itu adalah yang kedua berlaku selepas apa yang berlaku pada 13 April lalu hingga memusnahkan tiga khemah.

Menurutnya, kejadian pertama itu turut berlaku ketika hujan lebat sekitar jam 3 petang dan pada masa itu seramai 20 peserta pertandingan sedang berteduh di bawah khemah berkenaan.

“Pada kejadian pertama itu tiada kemalangan atau kecederaan berlaku dan Alhamdulillah semuanya selamat,” katanya ditemui ketika melakukan kerja pemindahan peralatan di kawasan itu.

Sementara itu, tinjauan dilokasi kejadian semalam mendapati kerja-kerja memindahkan enam khemah yang rosak itu sedang giat dijalankan.
pihak kontraktor. Jumlah keseluruhan kerosakkan khemah terbabit dianggarkan melebihi RM18,000.

Cari pekerja jumpa mayat

SHAH ALAM: Dua penyelia sebuah kilang yang ingin mencari seorang pekerjanya yang ponteng kerja beberapa hari lalu di rumah pekerja itu di Jalan Pegaga U12/5, dekat sini terkejut apabila menemui mayat seorang pengawal keselamatan berlumuran darah dipercayai dibunuh, semalam.
Mangsa, Mohd Zambrizal Mohd, 29, dari Sandakan, Sabah, ditemui dengan muka berlumuran darah dan terdapat kesan hentakan di kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tajam.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, mangsa ditemui dua penyelia kilang terbabit ketika mereka memeriksa rumah berkenaan untuk mencari seorang pekerja yang juga rakan serumah mangsa yang ponteng kerja sejak beberapa hari lalu, kira-kira jam 10 pagi.

“Penyelia terbabit terkejut apabila mendapati rumah itu tidak dikunci lalu membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring.

“Mayat itu ditemui di ruang tamu rumah teres dua tingkat berkenaan yang turut dihuni enam rakan lain. Siasatan awal, mangsa dipercayai baru selesai syif pagi iaitu jam 8 pagi,” katanya. Katanya, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Raja, di sini seorang duda beranak dua dan sudah menetap di Selangor sejak tujuh tahun lalu.

Noor Azam berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang juga bekas pengawal peribadi kelab malam itu bergaduh dengan rakan serumahnya sebelum ditetak menggunakan batang besi, yang ditemui berdekatan rumah itu. “Hasil siasatan, polis menjumpai sebatang besi dipercayai digunakan untuk memukul mangsa. Siasatan lanjuta, tiada dokumen peribadi dan barang mangsa yang didapati hilang.

“Kami masih lagi menyiasat sama ada orang yang membunuhnya itu ialah rakan serumah atau orang yang dikenalinya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya.

Mail ‘diperkosa’ ibu tunggal

SUNGAI PETANI: “Dia merenung saya dengan penuh ghairah sebelum tiba-tiba menyelak kainnya dan merangkak ke atas tubuh saya,” kata seorang pemandu lori berusia 40-an yang mendakwa ‘diperkosa’ seorang tukang urut wanita di Bedong, dekat sini, pertengahan bulan lalu.
Lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Mail berkata, dia tidak menyangka, malah terkejut apabila wanita berusia 50-an itu bertindak demikian kerana hanya mengetahui wanita terbabit menyediakan khidmat mengurut.
Difahamkan, wanita terbabit yang juga ibu tunggal hanya memberi khidmat mengurut kepada lelaki selain turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Tukang urut wanita itu menjalankan kegiatan berkenaan sejak beberapa tahun lalu di rumahnya yang turut didiami bersama dua anaknya. Malah, ketika memberikan ‘perkhidmatan’ itu, kedua-dua anaknya berada di ruang tamu manakala dia bersama pelanggannya ‘beraksi’ dalam bilik.

Mail ketika ditemui berkata, dia yang sebelum ini tidak tahu-menahu mengenai kegiatan itu pergi ke rumah wanita berkenaan kira-kira jam 5 petang bagi mengurut badan yang sakit selepas diberitahu rakan berhubung urutan wanita itu kononnya sangat berkesan.

“Saya diberitahu supaya datang mengurut selama tiga hari berturut-turut dengan bayaran RM30 setiap kali urutan,” katanya.

Katanya, pada hari kedua, wanita terbabit mula bertindak pelik apabila tiba-tiba mengurut kemaluannya. “Dia kemudian dengan ghairah tiba-tiba menyelak kainnya dan meniarap ke atas saya yang terlentang. Lebih mengejutkan, dia tidak memakai seluar dalam,” katanya.

Mail yang terkejut dengan tindakan wanita itu segera menolaknya hingga jatuh sebelum mencapai pakaiannya serta bergegas keluar dari rumah wanita terbabit.

Katanya, berikutan kejadian itu, dia tidak pergi ke rumah wanita berkenaan untuk mengurut pada hari ketiga kerana menyesal serta terkejut dengan tindakannya.

“Saya kesal dengan perbuatan wanita itu kerana mengambil kesempatan terhadap pelanggan yang mendapatkan perkhidmatannya. Sepatutnya dia hanya mengurut, sebaliknya sanggup mengajak melakukan hubungan seks.

“Selepas kejadian itu, saya diberitahu rakan bahawa wanita itu memberi perkhidmatan urut kepada orang lelaki saja dan perkhidmatannya itu sudah berlarutan selama beberapa tahun dan sering menjadi tumpuan golongan lelaki,” katanya.

Mail berkata, dia dimaklumkan ramai di kalangan pemandu lori sering ke rumah wanita terbabit bagi mendapatkan khidmat urutnya terutama pada sebelah petang dan malam. Katanya, wanita itu menjadi tumpuan kerana masih cantik dan ramping walaupun usianya sudah melewati 50 tahun. Sementara itu, jurucakap Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, ketika dihubungi, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kegiatan wanita itu tetapi berjanji akan melakukan siasatan.

Saya tak sampai hati

HULU TERENGGANU: “Walaupun dia bukan lagi ibu mentua, saya tetap akan menjaganya sehingga akhir hayat,” kata Zawiyah Jusoh, 54, yang sanggup berkorban menjaga Mek Yam Ngah, 81, dan tinggal bersamanya di Kampung Bukit Jaber, Ajil dekat sini, biarpun ditinggalkan bekas suaminya ketika mengandungkan anak sulung mereka lebih 30 tahun dulu.
Ibu kepada lima anak itu berkata, walaupun bekas suaminya mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dia tidak sampai hati melihat penderitaan bekas ibu mentuanya yang uzur dan tidak dapat bergerak tanpa pertolongan sejak beberapa tahun lalu.
Zawiyah yang kemudian berkahwin dengan Mohamad Awang Ngah berkata, bekas suaminya yang juga anak tunggal Mek Yam, enggan mengambil ibunya tinggal bersama di Kuala Krai, Kelantan, menyebabkan dia tiada pilihan selain membawa bekas ibu mentuanya itu menetap bersamanya.

“Dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, saya tak sanggup melihat bekas ibu mentua menderita keseorangan dan kami sekeluarga ikhlas membantu menjaganya walaupun dia kerap meminta kami menghantarnya ke rumah orang tua kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Saya tak sampai hati untuk memenuhi permintaannya itu kerana sememangnya saya sudah lama menganggap Mek Yam sebagai ibu sendiri selepas kehilangan ibu kandung hampir 18 tahun lalu,” kata Zawiyah yang turut menjaga bapanya, Jusoh Chik, 96.

Menurutnya, beban yang ditanggung turut berganda apabila bapanya kini lumpuh akibat sakit tua.

Zawiyah kini sudah tidak boleh lagi mengambil upah membuat kerja sampingan di kampung kerana terpaksa menjaga bapa dan bekas ibu mentuanya yang memerlukan perhatian hampir sepenuh masa.

“Kedua-dua mereka hanya terbaring di tempat tidur kerana tak boleh bergerak dan terpaksa disuap makan serta diuruskan kebersihan diri mereka.

“Suami dan anak turut membantu, namun saya terpaksa berada di rumah hampir sepanjang masa dan tak dapat lagi membantu suami yang cuma bekerja sebagai buruh kampung untuk mendapatkan pendapatan tambahan keluarga,” katanya.

Dengan pendapatan antara RM400 hingga RM500 sebulan, keluarga mereka sering dilanda masalah kewangan terutama apabila Mek Yam dan Jusoh memerlukan rawatan perubatan secara berterusan.

Kelmarin, keluarga mereka diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Datuk Rosol Wahid, bersama Pengerusi Program Juara Rakyat Hulu Terengganu, Ariffin@Mohd Nasir Ismail dan beberapa pemimpin setempat yang menghulurkan bantuan kewangan serta makanan.

“Kami bersyukur kerana mendapat bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana sekurang-kurangnya bapa dan bekas ibu mentua mendapat rawatan yang agak sempurna walaupun kami terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan lain.

“Saya juga bersyukur kerana suami dan anak tidak banyak merungut dengan kesempitan hidup sekarang yang memaksa kami tidur di bahagian dapur kerana dua bilik di rumah usang kami didiami bapa dan bekas ibu mentua yang uzur,” katanya.

Menurutnya, kepayahan hidup keluarga mereka juga dikongsi bersama masyarakat tempatan yang sering menghulurkan bantuan apabila mereka memerlukannya.

Kelmarin, keluarga mereka diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Datuk Rosol Wahid, bersama Pengerusi Program Juara Rakyat Hulu Terengganu, Ariffin@Mohd Nasir Ismail dan beberapa pemimpin setempat yang menghulurkan bantuan kewangan serta makanan.

Turut hadir, Pengarah Urusan Mumtaz Murad Ali Sdn Bhd, Misesh Ramesh Chugani, yang memberi bekalan lampin pakai buang untuk kegunaan selama enam bulan kepada Mek Yam dan Jusoh.

Buta hati kerana cinta

MELAKA: Akibat panahan cinta dan disogokkan dengan kemewahan, seorang remaja menjadi buta hati hingga terlalu setia dan taksub kepada teman lelakinya biarpun sering dipukul lelaki terbabit termasuk disepak sesuka hati hingga mengalami kecederaan teruk.
Kemuncaknya, gadis berusia 17 terbabit yang dikenali sebagai ‘Lisa’ (bukan nama sebenar) bertindak nekad membunuh diri dengan menelan puluhan pil, tetapi bernasib baik apabila doktor menyelamatkannya selepas ditemui dalam keadaan separuh nyawa oleh rakannya di dalam bilik rumah sewa mereka di Bachang, 28 April lalu.
Menceritakan semula kejadian mengejutkan itu, rakan mangsa dikenali sebagai El berusia 22 tahun, berkata dia difahamkan mangsa baru berkenalan dengan teman lelakinya sebulan lalu sebelum bersetuju keluar bersama.

Katanya, sejak awal perkenalan, dia melihat tiada keserasian antara mereka kerana masing-masing berbeza tingkah laku.

“Lisa ini agak degil orangnya manakala teman lelakinya kuat cemburu. Sebetulnya kami baru kenal kira-kira dua minggu melalui bekas teman lelaki saya yang mengenalinya melalui laman web.

“Sejak itu, kami sering keluar bersama termasuk lepak di pusat hiburan dan karaoke di pusat bandar mahupun Ayer Keroh.

“Malam pertama keluar bersama, saya lihat beberapa kali Lisa bertengkar dengan teman lelakinya, namun teman lelakinya pandai memujuk apabila memberikan wang untuk kegunaannya,” katanya.

El berkata, Lisa sebelum ini pernah menumpang di rumah kakaknya, namun melarikan diri kerana tidak sanggup menyara mereka.

“Dia menyewa bersama teman lelakinya di Ayer Keroh dan baru seminggu saya dapat tahu mereka bergaduh. Lisa sendiri telefon saya kira-kira jam 10 malam sambil menangis dan meminta segera menjenguknya.

“Saya lihat dia mengalami lebam pada mata kiri dan mengadu ditendang kekasihnya di kepala, dada dan perut.

“Kerana kasihan saya ajak duduk bersama dan lebih pelik teman lelakinya berada di rumah ketika itu beriya-iya merayu tidak ditinggalkan kerana menyesal dengan perbuatannya dan Lisa seperti memaafkannya,” katanya.

Katanya, dia membawa Lisa ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan dan doktor mengarahkan satu laporan polis dibuat.

“Dua hari Lisa ditahan di hospital sebelum saya bawanya balik ke rumah sewa di Bachang. Saya berpesan kepada rakan serumah melihat Lisa di bilik kerana saya keluar menghantar rakan.

Bekas komando mengamuk cedera terkena tembakan polis

KUALA SELANGOR: Seorang bekas komando dipercayai kurang siuman cedera akibat terkena tembakan polis yang cuba mempertahankan diri selepas cuba menikam anggota polis ketika mengamuk dengan bersenjatakan sebilah'pisau rambo' di Kampung Kuantan, di sini, petang semalam.
Turut cedera dalam kejadian amuk kira-kira 90 minit itu ialah dua penduduk kampung iaitu S Surentiran, 22, yang terkena peluru sesat dan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Khairi Zaharuddin yang terkena tikaman di betis kiri.
Bekas komando yang menetap dengan seorang anggota keluarganya di kampung itu pernah dirawat di Hospital Tanjung Rambutan pada 2002 dan 2003 dan Surentiran kini dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala Mohd Khairi dirawat di Hospital Tanjung Karang dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitnendan Mohd Taib Ahmad berkata, sepasukan anggota peronda polis dikejarkan ke kampung itu sebaik menerima panggilan mengenai lelaki mengamuk pada jam 5.53 petang.

Katanya, setiba di tempat kejadian pada kira-kira jam 6.20 petang, polis melihat suspek sedang mengacukan sebilah pisau ke arah seorang penduduk di dalam sebuah kedai dan segera menghubungi pasukan kereta peronda lain sebagai bantuan.

Suspek tidak menghiraukan arahan polis supaya meletakkan senjata, sebaliknya meluru keluar dari kedai itu dan melarikan diri dengan mengayuh basikal ke arah sebuah rumah sambil dikejar anggota polis dan penduduk kampung.

"Anggota polis cuba memujuk suspek untuk menyerah diri sambil disaksikan kira-kira 30 penduduk kampung di situ. Suspek kemudian menerpa seorang anggota polis tetapi anggota berkenaan sempat melepaskan tembakan amaran menyebabkan dia lari ke kawasan kebun berhampiran," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Mohd Taib berkata, ketika itu suspek sempat menikam betis Mohd Khairi.

Katanya, apabila anggota polis cuba menyelamatkan Mohd Khairi daripada terus diserangnya, suspek bertindak ganas dengan menerpa ke arah anggota polis sehingga memaksa anggota polis itu mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan dan mengenai jari kaki dan kepala lutut suspek.

"Untuk mempertahankan diri, anggota polis yang rebah akibat diterkam suspek terpaksa melepaskan tembakan sekali lagi ke arah suspek yang masih agresif dan mengenai rusuk suspek," katanya.

Katanya, suspek yang masih agresif walaupun sudah terkena tiga das tembakan akhirnya dapat ditahan kira-kira 7.30 malam.-Bernama

Tahan kenderaan: Adun Bukit Kayu Hitam adakan perbincangan dengan Ketua Polis Sadao

ALOR SETAR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar hari ini mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Sadao berhubung isu van dan bas Malaysia yang membawa pelancong diarah berpatah balik oleh sekumpulan pengusaha pelancongan Thailand di Danok, sempadan Malaysia/Thailand, dekat Bukit Kayu Hitam sejak Jumaat lalu.
Turut serta dalam perbincangan itu ialah Pegawai Daerah Sadao dan wakil Persatuan Pelancongan Hatyai di Danok.
Kumpulan itu mendirikan khemah di tepi jalan, kira-kira satu kilometer dari Kompleks Imigresen Thailand di Danok, didakwa mengambil tindakan itu sebagai protes terhadap tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia yang menyaman kenderaan Thailand yang membawa masuk pelancong ke negara ini tanpa permit sejak dua bulan lepas.

Akibat tindakan itu, pelancong terpaksa menyewa bas dan van di negara itu dengan harga yang tinggi untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Ahmad Zaini berkata, beliau menjelaskan mengenai undang-undang dan peraturan Malaysia yang perlu dipatuhi supaya pengusaha pelancongan di Thailand boleh membawa pelancong secara sah memasuki Malaysia dengan bas atau van.

"Saya menyerahkan borang untuk mereka memohon permit kepada Kementerian Pelancongan tetapi buat masa ini mereka tetap dengan keputusan menghalang van dan bas Malaysia yang membawa pelancong dari memasuki Thailand," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Konsul Kehormat Diraja Thailand di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay Abdullah berkata, pihak berkuasa Malaysia dan Thailand wajar mengambil pendekatan bijak dalam menyelesaikan isu itu kerana ia menjejaskan industri pelancongan.

"Keadaan itu tidak boleh berterusan kerana ia akan mengundang lebih banyak masalah. Mereka (pengusaha pelancong Thailand) boleh merosakkan industri pelancongan kita dengan menyebarkan berita negatif mengenai Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tinjauan Bernama di Bukit Kayu Hitam hari ini mendapati keadaan agak lengang. Jumlah pelancong Malaysia yang memasuki Thailand tidak ramai.-Bernama

'Kejadian ini tanpa kerelaan saya', kata Saiful dalam laporan polis

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa laporan polis yang dibuatnya menyatakan beliau diperlakukan demikian tanpa kerelaan.
Mohd Saiful, 25, yang memakai kot hitam dan berkemeja biru, berkata demikian apabila ditanya oleh peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan dalam pemeriksaan balas ketika kes itu disambung semula hari ini di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Kemudiannya Mohd Saiful diminta oleh Karpal membaca laporan polis yang dibuatnya.

Laporan itu antaranya berbunyi : "Saya Mohd Saiful ingin melaporkan saya diliwat oleh majikan saya. Kejadian ini tanpa kerelaan saya...Oleh itu laporan ini dibuat dengan tujuan untuk mendapat keadilan dan pembelaan atas diri saya bagi tujuan keselamatan jika perkara ini tersebar luas." Terdahulu selepas Mohd Saiful mengangkat sumpah dalam kandang saksi, Karpal Singh mengingatkan beliau supaya bercakap benar di mahkamah kerana menjadi kewajipan besar baginya sebagai saksi untuk bercakap benar.

Anwar, 63, yang juga ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, di sebuah apartmen di Bukit Damansara di sini, pada 26 Jun 2008.

Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa seorang anggota polis iaitu Asisten Komisioner Mohd Rodwan Yusof berjumpa dengannya di Hotel Melia di Jalan Imbi pada 8 malam, 24 Jun 2008.

Karpal: Untuk tujuan apa ACP Rodwan berjumpa kamu? Mohd Saiful: Pada masa itu ACP Rodwan ada telefon saya. Beliau kata nak jumpa. Pada masa itu saya tidak tahu tujuan apa. Masa jumpa dia tanya saya apa masalah yang saya hadapi.

Karpal: Jumpa ACP Rodwan lepas jumpa (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)? Mohd Saiful: Ya.

Karpal: Ada sesiapa arahkan ACP Rodwan jumpa anda? Mohd Saiful: Tidak tahu.

Karpal: Macam mana dia tahu nombor telefon anda? Mohd Saiful: Tidak pasti Karpal: Apa berlaku lepas berjumpa? Mohd Saiful: Saya ceritakan kepada dia yang saya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.

Karpal: Ada kenyataan anda kata, anda diliwat tanpa kerelaan? Mohd Saiful: Ya, dalam laporan polis saya.

Karpal juga bertanya MOhd Saiful dengan siapa beliau berjumpa sebelum mendapatkan rawatan dan mengapa beliau mengambil selama dua hari sebelum membuat laporan polis berhubung dakwaannya diliwat.

Mohd Saiful berkata, beliau berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Jun 2008 bagi mengadu masalahnya kepada Najib.
Mohd Saiful berkata, beliau berjumpa dengan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri di rumah Najib di Taman Duta di sini dan selepas itu beliau tidak berjumpa lagi dengan Najib.

Mohd Saiful berkata, beliau hanya berjumpa Najib, dan tidak pernah berjumpa dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika ditanya Karpal mengenai pemeriksaannya di Hospital Pusrawi pada 28 Jun, iaitu selepas dua hari beliau didakwa diliwat oleh Anwar, Mohd Saiful berkata bahawa beliau memberitahu Dr Mohd Osman Abdul Hamid yang beliau sakit di bahagian dubur dan juga mengalami sakit perut.

Mohd Saiful berkata, sebelum pemeriksaan dibuat oleh Dr Mohd Osman, beliau memberitahu yang beliau sakit perut tetapi semasa pemeriksaan dijalankan beliau berterus terang dengan doktor itu bahawa beliau diliwat.

Semasa diminta penjelasan mengenai laporan perubatan oleh Dr Mohd Osman yang antaranya menyebut bahawa "pesakit mendakwa dicederakan dengan plastik di bahagian dubur", Mohd Saiful berkata beliau tidak faham tulisan doktor itu.

Karpal: Adakah apa yang ditulis ini benar? Mohd Saiful: Saya tidak pernah buat aduan seperti ini kepada doktor itu.

Karpal: Adakah anda tahu doktor itu akan beri keterangan di mahkamah? Mohd Saiful: Ya tahu.

Karpal: Mengapa doktor itu tulis macam itu.

Mohd Saiful: Saya tidak pasti.

Karpal: Adakah doktor itu bohong? Mohd Saiful : Ya bohong. Tidak benar.

Mohd Saiful kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa selepas berjumpa dengan Dr Osman, beliau diarah oleh doktor itu untuk membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Saiful berkata, beliau pergi ke HKL dengan bapa saudaranya yang dipanggilnya Uncle Tuah pada 3 petang sehingga 12 tengah malam.

Di HKL, katanya, seorang doktor bernama Dr Daniel memintanya pergi ke wad One Stop Crisis Centre (OSCC) dan semasa berjumpa Dr Daniel beliau berterus terang yang beliau diliwat.

Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diperiksa oleh tiga orang doktor termasuk Dr Daniel.

Beliau juga diminta membaca laporan perubatan oleh ketiga-tiga doktor itu.

Karpal juga meminta Mohd Saiful menjelaskan mengenai kandungan laporan perubatan itu antaranya "tiada tanda cedera di dubur" yang mana Mohd Saiful menjawab beliau tidak dapat melihat duburnya sendiri.

Karpal: Apa pendirian kamu dengan laporan perubatan ketiga-tiga doktor iaitu iaitu "tidak ada apa-apa yang tidak kena dengan dubur awak." Mohd Saiful: Saya tidak tahu. Saya tidak dapat nampak dubur saya.

Ketika ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan mencelah, dan berkata Karpal sepatutnya menujukan soalan itu kepada para doktor berkenaan.

Hakim Mohamad Zabidin bersetuju dengan Mohamed Yusof, dengan berkata bahawa sudah tentunya Mohd Saiful tidak dapat melihat dubur sendiri, dan ini menyebabkan mereka yang hadir di mahakamah ketawa.

Mohd Saiful juga menyampuk sambil menjawab "Semasa diliwat saya guna pelincir." Pada pemeriksaan balas itu juga, Karpal meminta penjelasan Mohd Saiful sama ada beliau adalah seorang Islam yang baik, dan Mohd Saiful berkata beliau cuba untuk menjadi seorang Islam yang baik.

Mohd Saiful berkata, semasa bekerja dengan Anwar, beliau jarang bersembahyang tetapi mulai insaf selepas membuat laporan polis berhubung kejadian liwat itu.

Katanya beliau tidak sembahyang selepas kejadian liwat.

Karpal: Kenapa anda tidak sembahyang hari itu (26 Jun 2008)? Mohd Saiful: Mungkin kerana saya telah diliwat.

Karpal: Ada sembahyang pada 27 Jun? Mohd Saiful: Ada sembahyang Jumaat.

Karpal: Ada mandi sebelum sembahyang? Mohd Saiful : Ada mandi sedikit saja tapi tidak cuci habis.

Karpal: Bila sembahyang, mesti cuci betul-betul? Betul mandi junub diwajibkan? Mohd Saiful :Ya.

Karpal: Jadi sembahyang anda pada 27 Jun 2008, adalah tidak sah? Mohd Saiful: Ya.

Karpal: Jadi anda bukan seorang Islam yang baik.

Pada ketika itu, Mohamed Yusof membantah. Hakim Mohamad Zabidin kemudian berkata pihak pembelaan tidak boleh membantah sekiranya pihak pendakwaan membuat serangan peribadi terhadap Anwar, di mana Karpal menjawab, beliau tidak mempunyai bantahan terhadap perkara itu.

Perbicaraan disambung esok bagi mendengar kedua-dua pihak berhujah mengenai permohonan Karpal untuk mendapat salinan keterangan saksi yang diambil oleh polis.-Bernama

Jais siasat kenyataan Zaid


SHAH ALAM – Kenyataan Ketua Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa menghina titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melalui laman blog baru-baru ini, akan disiasat. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, sesiapa yang mempertikaikan titah Sultan Selangor akan diambil tindakan sewajarnya mengikut enakmen yang sedia ada. 

Menurutnya, mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan bercanggah titah baginda, termasuk Zaid akan dipanggil memberikan keterangan. 

“Jais akan menyiasat kesahihan kenyataan tersebut dan kajian akan dibuat terlebih dulu sebelum tindakan diambil,” katanya ketika dihubungi. 

Semalam, akhbar ini melaporkan Zaid bersedia menghadap Sultan Selangor bagi memperjelaskan maksud sebenar kenyataan yang dibuat pada laman blognya jika baginda berkenan menerimanya menghadap. 

Zaid yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat melalui kenyataan terbuka di laman blognya berkata, titah Sultan Selangor agar masjid dan surau tidak digunakan sebagai gelanggang politik hanya sebagai pandangan peribadi baginda dan bukannya arahan. 

Kenyataan itu menimbulkan tidak puas hati beberapa pihak, termasuk Pengerusi Majlis Agama Islam (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang dilaporkan berkata akan menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang ingkar dan mempertikaikan perintah Sultan Selangor. 

Susulan kenyataan Zaid itu, UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kelmarin, membuat laporan polis supaya menyiasat sama ada ia dianggap menghina atau berbaur hasutan. 

Mohammed Khusrin berkata, penceramah yang menjadikan masjid atau surau sebagai pusat menyampaikan dakwah dan menyebarkan ilmu tidak menjadi masalah tetapi 'politik' yang dimaksudkan seperti memburukkan seseorang atau mengaitkan nama orang tidak dibenarkan sama sekali. 

"Kita tidak menghalang penceramah menjadikan masjid sebagai medan ilmu untuk berdakwah mengenai agama. 

“Saya mengagumi keperibadian Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang terlibat dalam politik semasa, tetapi tidak pernah mengambil kesempatan menyampaikan ceramah politik,” katanya. 

Menurutnya, masjid tempat beramal, justeru institusi agama itu tidak wajar dijadikan tempat menyebarkan berita keburukan seseorang.

Kakak dakwa Tengku Anis kawal Sultan



SHAH ALAM - Dua kakanda Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Yahya Petra mendakwa Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan kekanda mereka, Tengku Merjan Yahya Petra yang mengawal ketat baginda di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 

Tengku Rozan dan Tengku Salwani Yahya Petra turut menafikan dakwaan keluarga diraja dihalang daripada menziarahi Sultan Kelantan yang sedang dirawat di HUSM dan bertindak kasar kepada kaum keluarga terdekat baginda yang memohon kebenaran secara baik untuk melihat baginda. 

:Tengku Salwani pula berkata, apa yang berlaku pada 4 Mei lalu adalah Raja Perempuan Kelantan dan Tengku Merjan berada di luar wad selama kira-kira sejam kerana Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra berada dalam wad baginda ketika itu. 

Beliau berkata, polis hanya menjalankan tugas seperti diarahkan oleh Tengku Muhammad Faris yang hanya membenarkan individu melawat baginda kerana tidak mahu berlaku sebarang kekecohan yang akhirnya akan menjejaskan kesihatan baginda. 

“Apa yang berlaku pada 4 Mei 2010, Raja Perempuan dan Tengku Merjan berada di luar Wad Diraja HUSM kerana pada masa itu Pemangku Raja berada di dalam wad. Polis menerima arahan supaya tidak membenarkan sesiapa masuk ke wad tuanku. Semasa titah arahan diberikan, Tengku Anis sudah pulang ke Istana Mahkota untuk tujuan yang beliau sahaja yang tahu,” katanya pada sidang media di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur, semalam. 

Tengku Rozan berkata, beliau dan Tengku Salwani dilarang Raja Perempuan daripada menziarahi Sultan ketika baginda dirawat selama sembilan bulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sebelum ini. 

"Pelawat lain, termasuk pakar perubatan dan pakar agama dari Malaysia turut dilarang daripada menemui baginda. Hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan dibenarkan melawat baginda. 

“Kenyataan keluarga diraja disekat untuk bertemu baginda itu tidak benar, Sebaliknya mereka berdua yang bertindak menyekat orang lain daripada melawat tuanku Sultan,” katanya. 

Tengku Rozan menyeru semua pihak memberi kepercayaan kepada Tengku Muhammad Faris Petra melaksanakan tanggungjawab baginda. 

“Apa yang dilakukan baginda adalah apa yang terbaik untuk keluarga diraja Kelantan,” katanya. 

Beliau turut bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar kemelut istana Kelantan diselesaikan secara kekeluargaan tanpa membuka pekung di dada seperti dibuat sesetengah pihak. 

Tengku Rozan turut menyangkal kenyataan bahawa Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah adalah bapa saudara kepada Sultan sebaliknya beliau adalah bapa saudara kepada Raja Perempuan yang berkahwin dengan kekanda mereka, Tengku Merjan.

Sila dedah nama pegawai seleweng




KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam, meminta Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, supaya mendedahkan nama pegawai atasan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang didakwanya menyeleweng dan mengamalkan rasuah.

Beliau berkata, Manikavasagam perlu mendedahkan nama pegawai berkenaan dengan segera dan membuat laporan polis agar Kerajaan Negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, Manikavasagam tidak harus bimbang untuk menyampaikan maklumat mengenai sebarang bentuk penyelewengan yang disyaki supaya Kerajaan Negeri dapat menjalankan siasatan.

“Kalau betul berlaku ada orang yang berlaku rasuah, terus sahaja buat repot kepada polis. Kerajaan Negeri juga akan mengambil tindakan. Tetapi perlu dibuat penyelidikan dahulu, Kalau kita kata orang tu salah, mesti kena periksa terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Motivasi Murid Sekolah Tamil Daerah Kuala Selangor di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Manikavasagam sebagai berkata bahawa pegawai atasan KSSB mengamalkan terlalu banyak rasuah dan perkara itu perlu dibersihkan segera oleh Abdul Khalid.

Manikavasagam juga memberi masa 72 jam bermula semalam kepada Khalid untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang dimaksudkannya itu sebelum beliau mendedahkan nama pegawai yang terlibat.

Sementara itu, Abdul Khalid menafikan dakwaan bahawa abangnya, Abdul Rahman Ibrahim mempunyai kepentingan dalam KSSB dan berkata ia sebuah syarikat yang dimilki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui syarikat Menteri Besar Incorporated.

“Kena cari bukti terlebih dulu,sekiranya betul, tangkap saja sebab ini penting kerana Kumpulan Semesta keuntungannya akan diberikan juga kepada ketua kampung dan JKKK. Dia (Manikavasagam) perlu keluarkan bukti sepenuhnya dan jangan tunggu-tunggu,” katanya.

Wahid terima RM60,000 di rumahnya - Saksi



KUALA LUMPUR - Saksi dalam kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Wahid menerima wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Saksi ke-29, Datuk Seri Low Chang Hian berkata wang yang itu beliau serahkan kepada Wahid di hadapan pintu rumahnya pada 10 Julai 2008, pukul 9.30 malam selepas menghubungi Wahid.

Katanya bayaran itu berkaitan dengan kelulusan sebanyak 4,377 calling visa pekerja terbabit dan ketika menerima wang tersebut, Wahid sempat menyatakan bahawa beliau akan keluar awal pagi esok.

Low adalah antara yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pada 9 Julai 2008 ketika menerima wang daripada seorang ahli perniagaan Datuk Zulkafli Maulud sebanyak RM350,000 bagi tujuan yang sama.

Tambah Low, ketika ke rumah Wahid beliau telah ditemani oleh dua anggota BPR yang menyamar, seorang sebagai pemandunya dan seorang lagi sebagai anak saudaranya.

Sebelum itu katanya ketika di pejabat BPR, beliau telah memberitahu bahawa Wahid adalah orang yang terlibat dalam transaksi kes ini, setelah diminta bekerjasama dan memberitahu siapa yang bertanggungjawab.

"Saya telah hubungi Wahid hari itu (10 Julai) pukul 7 malam untuk beritahu dia yang saya mahu berjumpa dengannya dan saya mempunyai bungkusan untuk diberi kepadanya," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Low, 66, memberikan keterangan pada perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Low, juga seorang ahli perniagaan, pada 19 Ogos tahun lepas sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Pada perbicaraan lepas, Low telah memberitahu bahawa Wahid turut menerima RM50,000 ketika beliau berkunjung ke rumah Wahid bersama-sama dengan rakannya 'Mr Sim', iaitu orang yang turut terlibat dalam mendapatkan pekerja asing.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung esok.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah manakala Wahid diwakili peguam Datuk V. Sithambaram.-Bernama

Maut elak penguatkuasa



SHAH ALAM – Natijah melarikan diri daripada penguat kuasa, seorang lelaki ditemui maut akibat lemas di sebuah lombong terbiar di Seksyen 7, di sini, kelmarin. 

Lelaki warga asing itu dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dikatakan melarikan diri daripada penguat kuasa yang membuat serbuan di kawasan sekitar, sebelum dipercayai terjatuh ke dalam lombong berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin berkata, polis menerima panggilan daripada orang ramai mengenai mayat yang dilihat terapung di lombong itu kira-kira jam 7.45 malam. 

“Hasil siasatan awal, mayat yang masih berpakaian lengkap itu dipercayai terapung lebih 24 jam sebelum ditemui. 

“Tiada sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda dipukul, selain luka kecil dipercayai akibat bergesel dengan sampah sarap di dalam lombong,” katanya. 

Azam berkata, polis menolak kemungkinan mangsa berumur lingkungan 30-an itu disamun dan dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke dalam lombong itu. 

“Setakat ini kami klasifikasi kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat,” katanya. 

Sehingga petang semalam, mayat itu belum dituntut mana-mana pihak.

Milik siapa?



BUKIT JANA – Beratus keping surat termasuk surat untuk agensi kerajaan dilonggokkan di sebuah kedai di sini tanpa diketahui puncanya.

Ketua Kampung Bukit Jana, Meor Abdullah Zawawi Meor Amaluddin berkata, selepas diberitahu mengenainya, beliau ke kedai tersebut mengambilnya.

Menurutnya, sebanyak 133 keping surat dilonggokkan dan selepas di teliti, semua surat berkenaan mempunyai alamat lengkap.

“Pelbagai jenis surat seperti bil Astro, surat mahkamah, surat panggilan temu duga dan sebagainya. Semestinya ia sangat penting buat penerimanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beliau berharap perkara itu tidak berlaku lagi kerana ia akan memberikan kesan kepada penerima surat berkenaan.

‘Bar’ tepi jeti




KUALA KEDAH – Kebersihan terminal jeti Kuala Kedah seharusnya berada dalam tahap memuaskan kerana menjadi hab pelancong dalam dan luar negeri untuk ke Pulau Langkawi, tetapi sebaliknya berlaku apabila dataran menunggu di luar terminal berkenaan dicemari tin minuman keras.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Tok Pasai, Bakar Mat berkata, dataran menunggu itu telah menjadi tempat melepak warga asing pada setiap malam sambil meneguk minuman keras.

Menurutnya, sekarang tempat berkenaan telah menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah sarap termasuk botol dan tin minuman keras yang dibuang warga asing itu.

“Tidak mungkin penduduk Kuala Kedah majoriti beragama Islam yang akan melakukan perkara seperti ini kerana banyak tin minuman keras yang dibuang di sini sehingga menjejaskan pemandangan terutama pelancong yang datang.

“Botol-botol arak bertaburan dan dibuang sesuka hati, malah tong sampah yang disediakan juga sudah penuh dengan sampah yang tidak dikutip memandangkan jeti ini menjadi pintu masuk pelancong,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Bakar berkata, dataran itu sering dijadikan tempat perhentian pengangkutan awam seperti bas dan juga kenderaan persendirian yang ingin menurunkan penumpang dan apabila tempat berkenaan kotor sudah tentu akan mencemarkan nama baik kawasan berkenaan khususnya Kampung Tok Pasai yang berhampiran. 

Menurutnya, dia berharap Environment Idaman atau Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan membersihkan sepanjang dataran menunggu itu yang dipenuhi sampah sarap dan tin minuman keras.

Sementara itu, seorang waris, Ismail Hashim berkata, selain masalah sampah sarap yang menjejaskan pemandangan, orang ramai juga sering meletakkan kereta mereka sewenang-wenangnya di depan sekolah yang terletak di hadapan terminal jeti di sini.

“Kami menghadapi kesukaran untuk mengambil anak-anak pulang dari sekolah kerana banyak kereta yang diletakkan di depan sekolah ini secara berkembar.

“Masalah in telah berlarutan sejak sekian lama sehingga menyusahkan waris untuk mengambil anak-anak mereka dan terpaksa berhenti kereta di tempat lebih jauh,” katanya

Menurutnya, di depan sekolah berkenaan tidak seharusnya dijadikan tempat meletak kereta kerana ia adalah jalan utama dan bimbang boleh berlaku kemalangan jika orang luar yang melalui jalan berkenaan tidak Nampak kenderaan yang diletakkan di depan sekolah itu.

Ismail berharap MBAS dapat memantau keadaan berkenaan bagi mengelak lebih ramai yang meletakkan kenderaan mereka di depan sekolah itu yang terletak berhampiran selekoh di lampu trafik.

Polis jamin kawal jenayah warga asing



BANDARAYA MELAKA - Sebanyak 72 kes jenayah melibatkan warga asing di sekitar negeri ini dikesan pada tahun 2009 menurut Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka. 

Manakala pada Januari hingga Mac tahun ini, 33 kes dikenal pasti dan semua kes kini sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah. 

:Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Hamdan Majid berkata dari jumlah kes pada tahun lalu, 35 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Bangladesh, 13 Vietnam, enam dari Pakistan, empat dari Myanmar, dua masing-masing dari Peru dan India, manakala dari Nepal, Singapura, Kemboja dan Cina masing-masing melibatkan seorang penjenayah. 

“Manakala dari segi pecahan kes pula pada 2009, lapan kes melibatkan pembunuhan, samun berkawan tanpa senjata, 5 kes, dua kes rogol, mencabul kehormatan 7 kes, mendatangkan kecederaan 8 kes, ugutan jenayah sebanyak 4 kes, lain-lain kecurian/pecah rumah 37 kes, dan curi di malam hari dua kes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini. 

Menurut Hamdan, bagi tahun 2010 pula iaitu dari Januari hingga Mac sahaja, IPK merekodkan 33 kes iaitu tiga kes bunuh, enam kes samun berkawan tanpa senjata, 1 kes cabul kehormatan, lapan kes ugutan jenayah, 18 kes lain-lain kecurian/pecah rumah dan curi malam hari melibatkan 5 kes. 

Manakala pada tahun dan tempoh sama, seramai 12 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Pakistan, empat Vietnam, dua Myanmar, dua dari India, tiga dari Nepal, satu Nigeria, satu Amerika dan satu lagi dari Kemboja. 

“Selain dari jenayah di atas kita juga memantau warga asing yang terlibat dengan jenayah seks seperti pelacuran. 

“Mereka ini kita pantau melalui operasi bersepadu yang kita kerap adakan dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain agensi,” katanya. 

Menurutnya, pada tahun 2009, sebanyak 29 warga asing ditahan kerana terlibat dalam kes pelacuran di negeri ini. 

Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 orang warga republik China, lima dari Thailand, lima Vietnam, dua dari Kazakhstan dan masing-masing seorang dari Indonesia dan Uzbekistan. 

Manakala bagi Januari hingga April 2010 pula, 34 kes dikenal pasti melibatkan 19 orang dari republik China, 10 dari Thailand, empat dari Indonesia dan seorang dari Vietnam. 

“Kita sebagai pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negeri, akan terus menjalankan gerak kerja mengesan dan menyelesaikan kes-kes yang melibatkan warga asing yang kita lihat agak serius. 

“Dari statistik kita dapat lihat terdapat peningkatan kes jenayah di kalangan mereka, namun dengan kerjasama erat dari egensi dan masyarakat yang menjadi mata dan telinga kita, kita yakin kegiatan jenayah mereka dapat dikawal,” katanya.

Kegiatan minum arak turut dikesan



KUALA TERENGGANU - Taman Awam Pantai Batu Burok di sini yang disediakan untuk beriadah dan beristirahat telah disalahgunakan segelintir remaja bagi melakukan aktiviti tidak bermoral. 

Taman bersebelahan Stadium Hoki Negeri itu seolah-olah sudah ‘ditempah’ pasangan kekasih yang kemaruk cinta dan menjadikan taman itu sebagai ‘hotel sementara’ untuk melepaskan nafsu berahi, terutama pada hujung minggu. 

Keadaan ini menyebabkan pengunjung terutama keluarga dan orang awam lain berasa segan untuk membawa keluarga bersantai ke situ, bimbang terserempak dengan remaja yang mungkin sedang melakukan aksi panas bersama pasangan masing-masing. 

Pasangan tidak bermoral ini juga dilihat langsung tidak mempunyai perasaan malu berpeluk-pelukan dan bercumbuan secara terbuka, malah ada sesetengah daripadanya bersikap lebih berani dengan melakukan pelbagai aksi ghairah walaupun pada waktu siang.: 

Peniaga yang enggan namanya dikenali berkata, pasangan kekasih ini sudah tidak hairan dengan persekitaran dan disebabkan itu, walaupun menyedari kehadiran orang awam, mereka masih boleh melakukan perbuatan tidak senonoh itu dengan selamba. 

“Saya menjual ais krim di sini dengan motosikal dan akan mengelilingi kawasan ini banyak kali. Terserempak dengan pasangan kekasih yang sedang melakukan kerja tidak senonoh sudah menjadi perkara biasa setiap hari di sini dan mereka seolah-olah tidak hairan atau malu dengan kehadiran saya. 

“Kadang kala, melihat kegiatan maksiat berleluasa ini, menyebabkan saya terfikir dan keliru dengan imej sebenar negeri kita sebagai negeri Darul Iman,” katanya. 

Menurutnya, perniagaannya juga semakin terjejas berikutan orang awam terutama yang membawa keluarga tidak lagi datang ke sini, mungkin kerana meluat dan jijik melihat perlakuan tidak bermoral pasangan kekasih ini. 

Tambah mengejutkan, taman awam itu bukan sahaja dicemari dan dikotori kegiatan pasangan tidak bermaruah, tetapi turut menjadi tempat kaki botol melepak. 

Tinjauan Sinar Harian menemui botol-botol arak ‘bergelimpangan’ di setiap sudut di celah pokok dan ada juga yang sengaja dipecahkan, mungkin bagi menghilangkan bukti kegiatan berkenaan. 

Tukang sapu yang juga enggan namanya disiarkan berkata, melihat kepada bukti botol arak itu, dia percaya aktiviti tidak sihat ini aktif pada waktu malam terutama pada malam minggu. 

“Boleh dikatakan hampir setiap pagi, ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di taman ini, saya akan terjumpa botol arak yang dibuang di merata tempat dan ada juga dipecahkan di laluan pejalan kaki. 

“Paling ketara pada pagi Sabtu, jumlah botol arak yang ditinggalkan berganda daripada hari biasa dan melihat bukti ini, saya yakin banyak lagi aktiviti malam yang kita tidak tahu berlaku di sini. Apa yang pasti semuanya adalah aktiviti tidak sihat,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat berkata, setakat hari ini, pihaknya masih belum menerima maklumat berkaitan aktiviti minum arak di sini melainkan kegiatan maksiat sahaja. 

“Insya-Allah, kami akan kerahkan bahagian penguat kuasa untuk turun padang memantau permasalahan ini dan maklumat berterusan daripada orang ramai amat dialu-alukan dalam usaha menangani masalah sosial remaja hari ini,” katanya.

Nyaris lebur RM200,000

TUMPAT - Sebuah kedai tayar nyaris kerugian RM200,000 apabila tempat simpa:nan tayarnya di tingkat atas terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas dalam satu kejadian kebakaran de-retan kedai di Kampung Kota Kubang Labu, dekat sini, semalam.

Dalam kebakaran kira-kira jam 3.30 petang itu, pemilik kedai tayar tersebut, Am Phai a/p Iden, 38, tidak menyedari ada api merebak di tingkat atas kedainya kerana sibuk melayan pelanggan di tingkat bawah .

Menurutnya, dia bernasib baik kerana kepulan asap yang keluar dari jendela tingkat atas kedainya disedari peniaga berhadapan kedainya di seberang jalan, menyebabkan mereka bergegas datang membantu.

“Suasana kecoh seketika apabila terdengar orang ramai menjerit api...api...sehingga memaksa saya bergegas ke-luar dari kedai untuk melihat apa yang berlaku,” katanya merupakan pemilik kedai SL Pasir Pekan Trading.

Bagaimana pun katanya, api yang mula membakar tayar di tingkat atas dapat diselamatkan apabila tindakan berani jirannya, Ahmad Nazri Zakaria, 27, yang berniaga kedai bahan binaan di sebelah kedainya datang memadam api tersebut dengan bergegas naik ke tingkat atas serta diikuti pekerjanya.

Ahmad Nazri berkata, apabila suasana kecoh di hadapan kedai serta beberapa peniaga lain membawa pemadam api, dia memberanikan diri naik ke tingkat atas kedai Am Phai.

Menurutnya, dengan membawa pemadam api di kedainya, dia cuba memadam api tersebut yang mulai merebak membakar dinding dan sebahagian tayar.

“Walaupun asap tebal dan saya sendiri hampir lemas terhidu asap, namun saya nekad untuk memadamkan api ini kerana yakin ia dapat dipadamkan bagi mengelakkan empat lot kedai lain termasuk kedai kusyen dan kedai saya turut terbakar.

“Dengan pengalaman ketika demonstrasi memadam kebakaran di sekolah sebelum ini, akhirnya api itu dapat dipadamkan dan menyelamatkan beratus-ratus tayar yang disimpan di tingkat atas kedai ini,” katanya yang menggunakan dua tong pemadam api untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Menurutnya, dia terpaksa bertindak berani kerana khuatir api tersebut turut merebak ke kedainya memandangkan lot kedainya hanya dipisahkan dengan dinding sahaja.

“Lagi pun lot-lot kedai ini sebanyak lima lot adalah milik emak saudara saya yang disewakan kepada peniaga-peniaga di sini,” katanya yang berniaga berdekatan dengan bulatan Pasir Pekan:.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, tiga jentera dari Balai Bomba Tumpat, Pengkalan Kbur dan Kota Darul Naim bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kira-kira jam 3.56 petang.

“Bagaimana pun, api berjaya dipadamkan oleh orang awam (Ahmad Nazri) dan tindakan berani tersebut berjaya mengawal kebakaran ini daripada merebak ke lot-lot kedai lain.

“Kerugian dianggarkan kira-kira RM500 apabila hanya tiga tayar sahaja yang musnah,” katanya.

Penternak kerugian RM15,000




TEMERLOH – Lebih 20 penternak lembu di Kampung Paya Pulai di sini kerugian hampir RM15,000 apabila enam lembu peliharaan mereka ditemui mati dipercayai diracun. 

Kejadian yang berlaku di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Teluk Ira bersempadan dengan Kampung Bachap di sini itu dipercayai akibat perbuatan khianat. 

Kejadian disedari seorang penternak lembu Azman Mansor 33, dan beberapa rakannya ketika mencari lembu peliharaan mereka yang tidak pulang selepas meragut rumput di kawasan berkeluasan 16 hektar itu. 

Menurutnya, pada mulanya dia hanya menemui seekor lembu peliharaannya mati disusuli penemuan beberapa lembu milik rakannya. 

“Saya jangkakan beberapa ekor lembu lagi akan mati berdasarkan bau bangkai yang semakin kuat di kawasan pertanian ini,” katanya. 

Seorang lagi penternak Mohd Bakri Samad 43, berkata, mereka mengesyaki ia perbuatan khianat berdasarkan penemuan tong racun anai-anai yang dibancuh bersama air di kawasan kebun salah seorang peserta projek pertanian. 

Menurutnya, larutan air itu kemudian diminum lembu dan menyebabkannya mati dalam kawasan projek pertanian itu. 

“Ini adalah kejadian pertama yang berlaku kepada kami sejak mengusahakan lembu di sini lebih 10 tahun lalu,” katanya. 

Rakannya Mohd Roji Abdul Rahman 45, berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab meracun lembu penduduk dibimbangi akan berpanjangan jika tidak sebarang tindakan dilakukan segera. 

Menurutnya, lepas kejadian itu mungkin penternak lembu akan mengambil tindakan mereka pula dan berterusan bermusuhan dengan peserta projek pertanian. 

“Sepatutnya hal ini boleh dirunding secara baik, selama ini peserta pertanian tidak pernah berhadapan masalah seperti ini. 

“Mereka memasang pagar dengan baik, lembu kami pun tidak menceroboh kebun mereka. Tetapi peserta baru ini mungkin kurang pengalaman dan tidak memasang pagar dengan sempurna menyebabkan lembu kami masuk ke kebun mereka,” katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Pulai Berahim Kilau yang turut meninjau kejadian berkenaan kesal dengan apa yang berlaku. 

Menurutnya, beliau mendesak Jabatan Pertanian menyediakan pagar kekal mengelilingi kawasan tanaman peserta TKPM bagi mengelak kejadian seperti itu berulang. 

“Mereka sepatutnya sudah lama memasang pagar supaya hal kecil seperti ini tidak menjadi isu besar dan berpanjangan. 

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab meracun haiwan penduduk dibimbangi akan menyebabkan berlaku masalah sampingan. 

“Penternak mungkin mengambil tindakan sendiri dan hal ini berpanjangan. Sepatutnya mereka berunding dengan penternak, dan saya sendiri,” katanya. 

Berahim berkata, penternak membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan berharap isu itu diselesaikan segera.

Peniaga dakwa dipukul kerana tunjuk poster minta Soi Lek letak jawatan



MELAKA - Seorang peniaga membuat laporan polis kerana mendakwa dipukul setelah menunjukkan poster bertulisan Mandarin berbunyi "Chua Soi Lek letak jawatan jika sayangkan parti" pada satu majlis makan malam anjuran MCA di Alor Gajah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohamad Adnan Abdullah berkata, lelaki berusia 30 tahun itu dikatakan naik ke pentas dan menunjukkan poster berkenaan semasa Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sedang berucap pada 9 malam.

Katanya peniaga itu kemudian telah diarah keluar dari dewan berkenaan.

"Dia mendakwa dipukul beberapa lelaki tidak dikenali," kata Mohamad Adnan.

Peniaga itu, yang juga anggota MCA, membuat laporan di Balai Polis Machap malam tadi.

Mohamad Adnan berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.