Search This Blog

Sunday, May 9, 2010

Kerajaan perangi jenayah



TAMPIN - Kerajaan komited dalam memerangi jenayah, khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, dengan sasaran pengurangan jenayah jalanan sehingga 20 peratus dan jenayah indeks 5 peratus pada hujung tahun ini. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberi tanggungjawab untuk mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).: 

“Penggemblengan usaha dan tenaga semua pihak ini, sekali gus membuahkan kejayaan kami dalam mengurangkan jenayah,” katanya kepada media selepas merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan, Gemencheh dekat sini, semalam:. 

Turut hadir, Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh. 

Menurutnya, laporan statistik NKRA Polis Diraja Malaysia bagi kejadian jenayah seluruh negara menunjukkan penurunan bagi jenayah indeks 15.35 peratus, dan jenayah jalanan 38.7 peratus bagi tempoh Januari 2010, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Abu Seman berkata, jumlah kes jenayah dalam tempoh antara Januari dan April tahun ini mencatatkan 59,661 kes, iaitu penurunan 10,822 berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Menurutnya, dalam usaha memastikan sasaran yang ditetapkan bagi mengurangkan jenayah tercapai hujung tahun ini, banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi menjayakan NKRA mengurangkan jenayah. 

Beliau berkata, inisiatif seperti mewujudkan skim rondaan sukarela (SRS), ‘civilianisation of PDRM’, memasang CCTV, mengadakan program bandar selamat dan inisiatif lain igerakkan, namun usaha mengurangkan jenayah pasti tidak akan berjaya tanpa sokongan orang ramai. 

“Peningkatan kesedaran dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk mewujudkan suatu persekitaran yang selamat untuk semua,” katanya. - Bernama

Mayat bogel



SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh ditemui separuh bogel dengan kesan tikaman di perut, di kawasan tapak projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Gombak, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.25 pagi, daripada seorang lelaki yang memaklumkan berhubung kejadian. 

Menurutnya, pemeriksaan awal pihaknya mendapati mayat mangsa terbabit ketika ditemui hanya memakai kain pelekat. 

“Siasatan awal turut menemui kesan luka seperti tikaman di bahagian perut sebelah kanan mangsa yang berukuran kira-kira 30 sentimeter. 

“Polis tidak menemui sebarang senjata yang mungkin digunakan suspek untuk membunuh mangsa selain tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, semalam. 

Abdul Rahim berkata, siasatan yang dijalankan pihaknya dengan pekerja-pekerja asing yang bekerja di kawasan tapak pembinaan di situ, mendapati mereka tidak mengenali mangsa berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan serta semakan lanjut dengan rumah kongsi yang menempatkan pekerja warga asing dalam tempoh terdekat. 

Beliau berkata, polis masih belum dapat mengenal pasti motif sebenar kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kimma, Irimm buat laporan terhadap Zaid




KUALA LUMPUR– Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm) semalam membuat laporan polis terhadap Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim berhubung kenyataannya, baru-baru ini, dalam sebuah blog yang dianggap menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Seramai tujuh wakil dari kedua-dua pertubuhan itu memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11.30 pagi, semalam, untuk membuat laporan, sebelum keluar kira-kira setengah jam kemudian. 

Presiden Kimma, Mohd Fazil William berkata, kenyataan Zaid berhubung perkara itu dianggap sebagai tidak wajar kerana semua titah sultan perlu dihormati. 

“Tindakan Zaid ini adalah satu perbuatan menghina sultan dan bagi mengelakkan perkara sama berulang, tindakan tegas perlu diambil terhadapnya. 

“Selain itu, kita mahu dia (Zaid) membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya baru-baru ini,” katanya selepas selesai membuat laporan polis semalam. 

Menurutnya, beliau serta semua ahli Kimma dan Irimm sangat kesal dengan sikap Zaid dan mahu siasatan terhadapnya dijalankan segera polis. 

Dalam perkembangan sama, Presiden Irimm, Amir Amsaa Alla Pitchay turut menyatakan persetujuannya bahawa Zaid perlu melakukan permohonan maaf kepada sultan dalam kadar segera. 

“Apa yang dititahkan sultan adalah satu peringatan kepada seluruh umat Islam agar tidak berlaku perpecahan antara satu sama lain tambah lagi, baginda adalah ketua bagi setiap negeri,” katanya.:

Kabinet Tun Abdullah perlu disiasat: Pas



ALOR SETAR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan supaya Kabinet yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disiasat, berhubung penjualan dua telaga minyak negara kepada Brunei. 

Katanya, negara bukan sahaja kehilangan sumber hasil bernilai lebih RM320 bilion, tetapi turut menjejaskan maruah. 

:“Saya cadangkan satu siasatan ke atas Kabinet Tun Abdullah untuk menilai sejauh mana kewajaran untuk menjual telaga minyak itu kepada Brunei. Semua anggota Kabinet ketika itu juga harus disiasat, termasuk Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya. 

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau yakin sebahagian besar anggota Kabinet ketika itu menjadi ‘pak angguk’ dan meluluskan usul terbabit, tanpa usul periksa. 

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu amat wajar dan berharap lebih banyak pendedahan dibuat untuk mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran negara. 

“Ini antara kesilapan terbesar Tun Abdullah, yang menyebabkan negara menanggung kerugian besar kerana hilang sumber pendapatan untuk membangunkan negara,” katanya. 

Mahfuz berkata, beliau mahu Najib atau Timbalannya campur tangan dalam isu ini dan memberi maklum balas segera, dan tidak menutup kes ini daripada pengetahuan umum. 

“Saya tidak pasti sama ada ini adalah sebahagian komplot yang dibuat untuk menjatuhkan Tun Abdullah, seperti yang didakwa penulis blog, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz. Atau mungkin kempen untuk menjatuhkan Najib yang didakwa bersekongkol dengan Tun Abdullah dalam isu penjualan telaga minyak itu,” katanya.

Wujud musang berbulu ayam dalam Pas: Nik Amar



KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta kepimpinan parti lebih berhati-hati dalam menerima penjawat awam dalam kerajaan dan parti supaya tidak berlaku apa yang dikatakan “infiltration” (penyusupan) atau wujud musang berbulu ayam dalam parti. 

“Dalam pengalaman kita, perkara ini pernah berlaku. Bila dekat pilihan raya bila Pas mendapat sambutan, senario ini tidak mustahil berlaku. 

“Sebab itu, kita perlu berhati-hati dan menapis setiap permohonan sebelum diambil bekerja dalam parti dan kerajaan...kita boleh menggunakan kaedah yang sama (untuk menjadi anggota) dalam parti,” katanya, semalam. 

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu membayangkan kemungkinan wujudnya golongan itu berikutan perkembangan politik semasa yang menyebabkan ada ahli parti mudah berpaling tadah apabila mendapat tawaran lebih istimewa dari parti lawan. 

“Berdasarkan pengalaman dan senario politik sekarang dibimbangi ia tidak mustahil boleh berlaku dalam PAS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pa Kelantan di sini. 

Sebelum ini, bekas Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz mendedahkan beliau diperuntukkan RM4 juta oleh tokoh dan pemimpin parti itu dalam tempoh tiga tahun untuk melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, sekali gus mengekalkan pentadbiran Pas di Kelantan.

Laporan kesihatan Sultan Kelantan dipertikai



KOTA BHARU – Penilaian laporan kesihatan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang akan diberikan oleh 10 panel perubatan yang dilantik Kerajaan Negeri dan kementerian Kesihatan boleh dipertikaikan. 

Pakar Perubatan Sultan Kelantan, Dr Amir Ramli berkata, tahap kesihatan Sultan Kelantan berada dalam keadaan tertekan dan trauma berikutan beberapa insiden yang berlaku. 

Menurutnya, keadaan baginda menunjukkan perubahan drastik sejak kembali dari Singapura, namun beliau tidak menolak kemungkinan pada masa sekarang tahap kesihatannya akan menurun secara mendadak. 

“Kalau ikut dari segi etika, laporan perubatan tidak boleh dibuat tanpa kerelaan dan keadaan pesakit yang tertekan. Sebelum ini tuanku okay, rasional dan sentiasa tersenyum. 

“Sekarang pasukan pakar perubatan di Istana Mahkota mengajar tuanku untuk bangun dan berjalan. Saya boleh katakan perubahan kesihatan tuanku dalam peringkat 80 peratus,” katanya, semalam. 

Dua hari lalu, 10 panel perubatan yang dilantik Kerajaan Negeri hadir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk menjalankan pemeriksaan berhubung tahap kesihatan baginda. 

Dr Amir berkata, sebelum dibawa ke HUSM seramai tujuh pakar telah melakukan pemeriksaan rutin untuk memantau perkembangan kesihatan baginda. 

“Empat daripada tujuh pakar terbabit daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) melibatkan pakar nephorologi, dua pakar kardiologi dan seorang pakar bius/kesihatan, tiga lagi pakar perubatan umum. 

“Pakar daripada Kuala Lumpur pula melibatkan neurologi dan rehabilitasi. Mereka melakukan lawatan seminggu sekali dan boleh dihubungi bila-bila masa sekiranya ada kes kecemasan. 

“Selain itu ada lapan lagi pegawai perubatan yang bertugas secara bergilir di Istana Mahkota. Sebuah ambulans disediakan HRPZ II,” katanya. 

Sehingga kini katanya, pakar yang merawat Sultan kelantan itu masih belum dibenarkan menemui baginda. 

“Saya merasakan rawatan yang diberikan di Istana Mahkota adalah lebih baik dan tersusun memandangkan ia dilakukan dalam suasana persekitaran yang relaks, bersahaja dan tenteram,” katanya.

Polis nafi bersikap kasar terhadap keluarga diraja



KOTA BHARU – Polis Kelantan menegaskan tidak ada sebarang perbuatan mengasari kerabat Diraja Kelantan yang ingin menziarahi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). 

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan polis bersikap kasar dan tidak membenarkan ahli keluarga Diraja Kelantan untuk menziarahi Sultan Kelantan yang dirawat di HUSM sejak Selasa lalu. 

“Dakwaan itu tidak benar. Kami hanya menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui di pekarangan HUSM di sini, malam semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak berhubung tindakan kasar pihak polis yang menghalang ahli keluarga diraja memasuki wad diraja di mana Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dirawat. 

Beliau berkata, hanya lima pelawat sahaja yang dibenarkan melawat tanpa kelulusan daripada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra. 

“Dalam senarai kami hanya lima sahaja yang dibenarkan melawat iaitu Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Amalin A’ishah Puteri serta dua kerabat terdekat:. 

“Bagaimanapun itu tidak bermakna ahli keluarga Diraja yang lain tidak dibenarkan melawat Cuma mereka perlu mendapatkan kebenaran dan titah daripada Pemangku Raja terlebih dahulu sebelum dibenarkan melawat. Kalau sudah ada kebenaran polis tidak akan menghalang,” katanya.

Ada simptom ILI: Jangan ke tempat awam



09/05/2010 3:47pm

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican hari ini menggesa mereka yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) agar melaksanakan tanggungjawab sosial dalam usaha mengekang penularan virus Influenza A (H1N1).
Beliau berkata, mereka seharusnya tidak pergi ke tempat-tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak seperti sekolah, pusat-pusat latihan dan tempat kerja kerana penularan jangkitan itu cukup mudah berlaku di tempat-tempat sedemikian.
"Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak yang mengalami gejala ILI tidak dihantar ke sekolah, pengurus pusat-pusat latihan mengasingkan dengan segera pelatih yang sakit dan mereka yang bekerja tidak pergi ke tempat kerja atau ke tempat-tempat tumpuan awam yang lain.
"Jika mereka yang bersimptom ini terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut dan mengamalkan adab batuk dan kebersihan diri yang baik bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Ismail berkata, sejumlah 41 kes baru dilaporkan sah positif Influenza A (H1N1) sehingga jam 5.30 petang semalam, menjadikan keseluruhan meningkat kepada 14,033 kes.
Beliau berkata, jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara adalah 655, di mana 14.5 peratus atau 95 daripadanya telah disahkan positif Influenza A (H1N1).
Sehingga pukul 8 pagi tadi, sejumlah empat kejadian kluster ILI dilaporkan dari tiga negeri iaitu 22 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Merang Suria, Setiu, Terengganu; 15 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Cheneh Cemerlang, Kemaman, Terengganu; 13 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Tangkas, Kuala Kangsar, Perak; dan 3 kes di Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Johor. - Bernama

Kadar kematian akibat denggi meningkat 30%



09/05/2010 3:52pm

KUALA LUMPUR - Sehingga 1 Mei, kadar kematian akibat demam denggi meningkat sebanyak 30 peratus iaitu 43 pada tahun lepas kepada 56 kematian setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kes demam denggi menunjukkan penurunan iaitu terdapat 16,455 kes demam denggi yang dilaporkan sehingga 1 Mei berbanding 18,401 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.
Rosnah berkata, walaupun kes deman denggi menurun tetapi jumlah kematian lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan dan tidak bersikap sambil lewa terhadap penularan wabak denggi.
"Fogging sahaja tidak mencukupi kerana ianya hanya membunuh nyamuk dewasa.
“Paling penting adalah meluangkan masa 10 minit seminggu untuk membersihkan tempat-tempat takungan air, kawasan semak dan sebagainya,” katanya di sini hari ini. - Bernama

Haram biayai dana sabotaj negara




Raja Abdullah bin Abdul Aziz


JEDDAH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdul Aziz (gambar) kelmarin bertitah, pihak yang cuba membiayai kegiatan pengganas untuk mensabotaj negara dianggap penjenayah besar, lapor akhbar Arab News semalam.
Dalam perutusan kepada Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh yang juga Presiden Majlis Ulama negara itu, baginda menyokong fatwa majlis tersebut mewartakan hukuman haram kepada penyokong pengganas.
"Ia sama seperti pengganas yang mahu menghancurkan negara ," kata Raja Abdullah mengulas fatwa 20 panel ulama itu bulan lalu yang melarang dana aktiviti militan seperti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah yang kononnya berjuang demi Islam. - Agensi

Misteri bau busuk terbongkar

BUKIT MERTAJAM: Misteri bau busuk dari dalam rumah tinggal di Bandar Perda, dekat sini, kelmarin membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, peniaga kedai makanan, Sharizan Kamal, 30-an, terhidu bau busuk di sebuah rumah tinggal yang terletak beberapa meter dari kedainya.
Katanya, ketika itu dia memeriksa kedainya yang dipercayai dipecah masuk apabila barangan dalam kedai berselerak.

“Saya ke belakang kedai untuk memeriksa kesan pecah masuk sebelum terhidu bau busuk dari dalam rumah tinggal berkenaan.

“Apabila saya dekati rumah itu, bau busuk itu lebih kuat dan saya memberanikan diri sebelum melihat mayat seorang lelaki separuh reput di dalamnya,” katanya yang juga saksi utama kejadian.

Eksperimen budak

MELAKA: Usia mereka baru 11 tahun, namun tiga murid tahun lima sebuah sekolah rendah di negeri ini bertindak luar dugaan dengan meniru ‘aksi’ orang dewasa berkaitan hubungan seks.
Lebih mengejutkan apabila ketiga-tiga murid terbabit tergamak menjadikan seorang rakan perempuan sebaya sebagai mangsa nafsu ingin tahu mereka atau ‘objek’ seks dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Khamis lalu.
Sumber berkata, tiga murid itu bersama mangsa yang juga rakan sekelas dikatakan berada di dalam bilik darjah di sekolah itu walaupun sesi persekolahan berakhir.

Perbuatan mereka dikesan seorang guru agama yang kebetulan melalui kawasan kelas berkenaan apabila mendapati bilik darjah itu dalam keadaan pintu dan tingkapnya berkunci, tetapi timbul rasa curiga selepas menyedari kipas masih terpasang.

“Berikutan itu, guru terbabit segera menghampiri bilik darjah berkenaan sebelum disedari semua murid berkenaan yang bertempiaran melarikan diri. Guru wanita itu yang curiga melihat perbuatan murid terbabit membuat aduan kepada guru disiplin sekolah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, guru disiplin terbabit kemudian memanggil ibu bapa murid perempuan itu dan menceritakan perkara yang berlaku sebelum dinasihati membuat laporan polis dan membawanya menjalani pemeriksaan di Hospital Melaka (HM).

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan luka lama pada bahagian alat sulit mangsa. Berikutan itu polis menahan dan merakam keterangan ketiga-tiga murid lelaki itu untuk siasatan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga murid lelaki terbabit mendakwa melakukan perbuatan itu (rogol) kerana perasaan ingin tahu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh ibu mangsa berusia 30-an dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol.

Polis cari Torek

KUALA LUMPUR: Polis kini memburu seorang lelaki digelar Torek bagi membantu siasatan satu kes ragut yang menyebabkan mangsanya maut di Taman Maluri, di sini, Disember tahun lalu.
Muhammad Thariq Badarul Shah, 20, atau digelar Torek beralamat terakhir di No 179, Jalan Kampung Bendahara, Sungai Tua, 68100 Batu Caves.

Dia dikehendaki selepas penahanan dua lagi rakannya yang juga terbabit dalam kes ragut berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman, berkata dua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia 22 dan 21 tahun.

“Kita merujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya namun kerana kekurangan bukti, dua suspek terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.
“Berikutan itu kita kini mengesan seorang lagi yang dipercayai boleh membantu siasatan dalam kes terbabit,” katanya.

Rabu lalu Harian Metro melaporkan, polis menangkap seorang lelaki berusia 22 tahun yang boleh dianggap sebagai peragut licik kerana disyaki terbabit dalam 300 kes ragut sekitar Lembah Klang. Peragut terbabit yang ditahan di sebuah restoran di Jalan Tun Razak mengaku melakukan 300 kes ragut sekitar Lembah Klang dan 60 daripadanya di Cheras yang turut mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal ketika meragut isteri mangsa.

Susulan penahanan itu, polis menahan rakannya berusia 21 tahun pada hari sama.
Menurut Abdul Rahim, seorang daripada suspek itu membawa motosikal manakala dua lagi akan saling bertukar sebagai pembonceng.

“Siasatan mendapati mereka merancang terlebih dulu di kedai makan sebelum mensasarkan mangsa yang ingin diragut.

“Kita juga mendapati mereka sanggup menyewa motosikal semata-mata untuk mengelak dikesan ketika melakukan perbuatan ragut,” katanya.

Dalam kejadian di Taman Maluri, Cheras, Abdul Rahman Kalidin, 34, maut manakala isterinya, Noriha Abdul Rahman, 29, parah apabila motosikal mereka melanggar pembahagi jalan selepas rantai dan beg tangan Noriha direntap.

Suaminya yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat wanita dalam sampah dikenal pasti

KUANTAN: Polis mengesahkan identiti mayat yang dijumpai terapung di dalam sungai di Kampung Marhum, Pekan, semalam, adalah seorang wanita berasal dari Kemboja dikenali sebagai Nurul Jannah Roslan berusia 20 tahun.
Ketua Polis Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata identiti mayat wanita itu dikenal pasti selepas bedah siasat selesai dijalankan Pakar Patologi di Hospital Pekan, tengah hari kelmarin.

Katanya, wanita terbabit yang memiliki taraf pemastautin tetap tinggal bersama emak angkatnya di Kampung Ketapang Tengah, Pekan.

“Mayat wanita itu dituntut abang iparnya kira-kira jam 2 petang semalam dan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah terhadap kematian mangsa.

“Pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Menurutnya, hasil bedah siasat turut mendapati mayat itu itu sudah dua hari berada di sungai berkenaan sebelum ditemui orang ramai.

Harian Metro kelmarin, melaporkan beberapa penduduk dan pekerja di kawasan tapak pembinaan Kampung Marhum, di sini, gempar apabila melihat objek terapung pada mulanya disangka longgokan sampah dari sungai berhampiran rupanya mayat seorang wanita dalam keadaan mengerikan.

Pengantin mati ditembak, isteri diculik

CIUDAD JUAREZ: Polis Mexico di negeri bersempadan dengan Texas, Amerika Syarikat, semalam berkata, sekumpulan lelaki menembak mati seorang pengantin lelaki di luar gereja tempat dia dikahwinkan, manakala isterinya diculik bersama adik dan bapa saudaranya.

“Tetamu melihat serangan dan penculikan itu tetapi mereka tidak berani menghalangnya,” katanya.

Setakat ini tiada tangkapan dibuat, manakala motif serangan belum diketahui.

Didiami 1.3 juta orang Ciudad Juarez adalah satu daripada bandar raya paling berbahaya di dunia kerana menjadi pusat kegiatan pelbagai kartel dadah berbahaya.

Sejak kerajaan melancarkan perang ke atas pengedar dadah dua tahun lalu, lebih 5,000 orang terbunuh dalam pelbagai serangan ganas di bandar itu. - AP

Penjaga kereta berpistol ditahan

GEORGETOWN: Hasil intipan dan pemantauan, tiga pegawai polis Pulau Pinang berjaya menahan dua penjaga kereta haram bersama sepucuk pistol di Jalan Datuk Keramat, kira-kira jam 3.20 pagi semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata selepas melakukan pemeriksaan ke atas dua lelaki itu, sepucuk pistol dan sembilan butir peluru ditemui di tempat duduk pemandu dalam kereta jenis Proton Perdana V6.

“Pistol itu bersama satu kelopak berisi lima peluru manakala dalam sebuah plastik lut sinar berisi empat butir peluru. Kedua-dua lelaki itu berusia 33 dan 39 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Timur Laut, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat untuk mengenal pasti tujuan lelaki berkenaan memiliki senjata api, termasuk kemungkinan digunakan bagi melakukan jenayah.

Menurutnya, seorang daripada suspek didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dalam bangunan, ugutan dan memiliki senjata secara haram.

Pengawal keselamatan mati dibunuh

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan yang baru mendapat gaji pertama ditemui mati dengan kepala dan mukanya pecah di rumah sewanya di Jalan Pegaga U12/5, Seksyen U12 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh oleh orang yang kenalinya.

"Ketika ditemui mangsa hanya berseluar panjang dan bahagian kepala serta mukanya pecah berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dengan objek keras.

"Kami juga menemui sebatang besi panjang yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa di seberang jalan rumah itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Mohd Zambrizal yang berasal dari Sandakan, Sabah, tinggal bersama empat lagi rakan sekerjanya di rumah yang disediakan majikan mereka. Semalam dia bekerja syif malam dan tamat syif bekerja pada jam 8 pagi ini.

Nor Azam berkata, ketika kejadian, tiga rakan serumah mangsa berada di tempat kerja mereka di sebuah kilang di Bukit Raja, Klang, manakala seorang lagi yang dicari penyelianya pagi ini kerana tidak masuk bertugas, masih gagal dikesan sehingga kini.

Mayat Mohd Zambrizal dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan polis kini melancarkan gerakan mengesan seorang rakan serumahnya bagi membantu siasatan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-Bernama

Gordon Brown digelar setinggan Downing Street




2010/05/09

LONDON: Akhbar The Sun menyifatkan Perdana Menteri, Gordon Brown sebagai ‘setinggan’ di kediaman rasmi 10, Downing Street selepas Parti Buruh pimpinannya tewas dalam pilihan raya umum, baru-baru ini. 

Akhbar itu menggelar Brown demikian kerana ‘menghalang penyewa sah kediaman itu daripada memasukinya’, merujuk kepada pemimpin Parti Konservatif, David Cameron.
Akhbar Britain menggesa pemimpin Liberal Demokrat, Nick Clegg, mencapai persetujuan mengenai perkongsian kuasa tanpa melengah-lengahkannya selepas ditawarkan berunding oleh Cameron.
Media, bagaimanapun, berbelah bagi sama ada pemimpin parti ketiga terbesar itu patut menyebelahi Konservatif , yang memperoleh kerusi dan undi terbanyak, atau parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Gordon Brown. 

Mereka juga tidak menolak kemungkinan Cameron membentuk kerajaan minoriti secara bersendirian, tetapi menegaskan bahawa Britain memerlukan pentadbiran sah secepat mungkin bagi menangani masalah hutangnya. – AFP

Keganasan landa Bangkok lagi





2010/05/09

sebelum  -  selepas
<strong>PAKAR forensik memeriksa lokasi serangan bom tangan di taman Lumpini dekat tempat kawasan bantahan Baju Merah di Silom, Bangkok.</strong>

PAKAR forensik memeriksa lokasi serangan bom tangan di taman Lumpini dekat tempat kawasan bantahan Baju Merah di Silom, Bangkok.
Kerajaan Abhisit, Baju Merah syak cubaan gagalkan usaha damai

BANGKOK: Dua anggota polis Thailand terbunuh dan 13 yang lain cedera dalam serangan bom tangan dan senjata api lewat kelmarin yang memaksa kerajaan dan pergerakan Baju Merah mengesyaki ada pihak cuba mensabotaj usaha damai ketika bantahan antikerajaan berlarutan hampir dua bulan.
Polis dan pegawai perubatan di Pusat Perubatan Erawan berkata, seorang anggota polis itu ditembak lelaki bersenjata yang menunggang motosikal sebelum tengah malam, manakala seorang lagi maut kena letupan bom tangan, dua jam kemudian.
Serangan berlaku di kawasan Jalan Silom di Bangkok yang dikawal tentera dan popular dikalangan pelancong asing. Kawasan itu terletak berhampiran dengan tempat penunjuk perasaan Baju Merah berhimpun sejak awal April lalu.

Berikutan itu, pergerakan Baju Merah menekankan bahawa mereka menerima pelan damai Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva diikuti kenyataan kerajaan untuk memulihkan keadaan.

“Kami tidak terbabit dengan kejadian malam tadi. Kami amat kesal dan kami mengecam mereka yang mendalangi serangan itu,” kata salah seorang pemimpin Baju Merah, Weng Tojirakarn kepada penyokongnya.

Abhisit mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkat di kawasan itu selepas mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban dan kumpulan kawalan krisis, Pusat Penyelesaian Situasi Kecemasan (CRES). 
“CRES percaya ada kumpulan yang tidak mahu tunjuk perasaan dihentikan,” kata jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayagorn kepada wartawan.

Tunjuk perasaan di Bangkok melumpuhkan aktiviti di kawasan yang menjadi hab komersial ibu negara Thailand itu sejak dua bulan lalu, tetapi masalah sebenar berpunca daripada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan perbezaan taraf sosial yang ketara antara golongan elit dan penduduk luar bandar.

Keadaan tunjuk perasaan semakin reda sejak minggu lalu berikutan tawaran Abhisit untuk membubarkan Parlimen pada akhir September dan mengadakan pilihan raya pada 14 November.

Bercakap selepas mesyuarat keselamatan yang dipengerusikan Abhisit, jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayagorn, berkata polis diarah meningkatkan langkah keselamatan di tempat perkumpulan Baju Merah di Bangkok.

Katanya, serangan pada waktu malam yang menyasarkan pasukan keselamatan di kawasan penunjuk perasaan itu berkumpul dilakukan bagi menggagalkan pelan damai Abhisit, bertujuan menyelesaikan krisis dengan mengadakan pilihan raya November depan. – Reuters/AFP

AS kaji lucut kerakyatan penyokong keganasan





2010/05/09

Akta Mengusir Pengganas beri kuasa kepada Jabatan Negara 

WASHINGTON: Warga Amerika Syarikat seperti Faisal Shahzad yang berasal dari Pakistan, suspek cubaan mengebom Times Square dan membantu pengganas, ada kemungkinan besar kehilangan kerakyatannya di bawah rang undang-undang yang diperkenalkan kepada Kongres minggu ini.
Akta Mengusir Pengganas yang dicadangkan akan memberi kuasa kepada Jabatan Negara untuk menarik balik kerakyatan sesiapa juga yang menyokong pergerakan al-Qaeda dan kumpulan pengganas lain atau membantu mana-mana pihak menyerang Amerika serta sekutunya.
“Kami memerangi musuh yang tidak memakai ‘pakaian seragam tentera’ atau mematuhi undang-undang perang. 

“Mereka yang menyertai musuh kita wajar dilucutkan kerakyatan, hak dan keistimewaan sebagai rakyat Amerika atau menggunakan pasport negara sebagai ‘senjata’ untuk melakukan keganasan,” kata senator Connecticut, Joseph Lieberman yang menyokong rang undang-undang itu bersama anggota Republikan dari Massachusetts, Scott Brown. 

Rang undang-undang itu akan meningkatkan lagi kuasa undang-undang persekutuan 1940 dan membolehkan Jabatan Negara melucutkan kerakyatan mereka yang terbabit. 
Di bawah undang-undang 1940, rakyat Amerika boleh kehilangan kerakyatan jika berkhidmat sebagai tentera di negara yang berperang dengan Washington, mengkhianati negara atau membuang undi pilihan raya negara lain. 
Bagaimanapun mereka terbabit boleh menentang pelucutan itu di mahkamah. 
Mahkamah Agung, bagaimanapun, mengurangkan kuasa undang-undang 1940 dengan memutuskan bahawa rakyat Amerika boleh kehilangan kewarganegaraan hanya jika mereka melepaskan kerakyatan itu. 

Keputusan pada 1967 itu dibuat berikutan kes membabitkan seorang rakyat Amerika yang dilahirkan di Poland dan mengundi di Israel. Jabatan Negara melucutkan kerakyatannya tetapi beliau berjaya mendapatkannya semula di Mahkamah Agung. 

Akta Mengusir Pengganas itu, bagaimanapun, besar kemungkinan menghadapi tentangan jika ada pihak mengambil langkah undang-undang jika Kongres melu-luskannya. 

Aktivis hak asasi sudah memberi amaran ia akan mewujudkan konflik dengan Perlembagaan Amerika yang memberi perlindungan sama rata kepada setiap warga negara itu. 

Sementara itu, bagi pihak pentadbiran Presiden Barack Obama, hanya Setiausaha Negara, Hillary Clinton yang memberi jaminan akan ‘meneliti secara terperinci’ rang undang-undang itu. – Agensi

Polis saman guna SMS





2010/05/09

KOCHI: Jabatan polis di bandar ini merangka sistem yang dapat menghantar saman kepada pemandu kenderaan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). 

Penggunaan sistem itu akan mengurangkan tekanan kerja terhadap anggota polis, kata Pesuruhjaya Polis, Manoj Abraham, ketika melancarkan mesyuarat Persatuan Polis Kerala (KPA) di Thoppumpady, kelmarin.
“Kita perlu melihat bagaimana menggunakan kemajuan teknologi bagi mengurangkan tekanan kerja,” katanya.
Datuk Bandar, Mercy Williams, yang turut hadir dalam majlis itu pula meminta jabatan polis supaya mendapatkan pandangan wakil daerah sebelum melaksanakan dasar itu. 

“Pihak polis sehingga ini keberatan berunding dengan wakil daerah. Ada pembaharuan dasar lalu-lintas diperkenal tanpa perundingan terlebih dulu,” katanya. – Agensi

Kaki tersepit 3 jam dalam lubang tandas



Oleh Rashidi Karim
bminggu@bharian.com.my
2010/05/09

ANGGOTA bomba sedang berusaha mengeluarkan kaki Mohd Asraf   yang tersepit dalam mangkuk tandas 
di rumahnya,   di Kampung Wang Ulu, Bintong,   kelmarin.
ANGGOTA bomba sedang berusaha mengeluarkan kaki Mohd Asraf yang tersepit dalam mangkuk tandas di rumahnya, di Kampung Wang Ulu, Bintong, kelmarin.
Bomba ambil masa 30 minit selamatkan budak

KANGAR: Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira tiga jam selepas kaki kanannya tersepit dalam lubang tandas di rumahnya di Kampung Wang Ulu, dekat sini petang kelmarin.
Sebelum kejadian disedari jam 5 petang, Mohd Asraf Azmi cuba bertindak sendiri mengeluarkan kakinya tetapi gagal selepas berusaha selama setengah jam lalu memanggil ahli keluarganya.
Ibu mangsa, Ku Bariah Ku Hamid, 38, berkata beliau hairan kerana anaknya berada lama dalam tandas dan tidak menyedari kejadian itu kerana Mohd Asraf bersikap pendiam.

“Saya lihat kepalanya berpusing ke kiri dan kanan. Dia tidak memaklumkan kakinya tersepit tetapi selepas setengah jam, baru dia bersuara minta tolong dan saya cuba mengeluarkan kakinya tetapi tidak berjaya lalu memberitahu suami, Azmi Talib,” katanya.

Pasangan itu bersama lima anak mereka menetap di rumah serba daif yang hanya dilengkapi sebuah bilik tidur, manakala tandas dan dapur hanya dipisahkan sekeping papan lapis.

Azmi berkata, beliau dan penduduk kampung menggunakan pelbagai cara, termasuk memasukkan sabun dan syampu untuk mengeluarkan kaki Mohd Asraf tetapi tidak berjaya.
“Dia juga kelihatan letih kerana berada lama dalam tandas lalu beberapa penduduk menghubungi bomba untuk membantu," katanya yang bekerja sebagai buruh kontrak dan kini perlu berikhtiar mengumpul wang membina semula tandas yang rosak itu.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar diketuai Pe-
gawai Operasi, Zainal Abidin Ahmad tiba tidak lama selepas dihubungi kira-kira jam 7.20 petang dan mengambil 30 minit memecahkan mangkuk tandas berkenaan bagi mengeluarkan kaki kanan Mohd Asraf tanpa sebarang kecederaan.

Wanita dipanggil cam anggota polis





KUALA LUMPUR 8 Mei – Polis sudah memanggil dua wanita untuk membuat pengecaman wajah seorang anggota polis trafik berpangkat lans koperal yang didakwa mengeluarkan kata-kata lucah kepada mereka semasa cuba meminta rasuah dalam pemeriksaan di Taman Midah, Cheras di sini pada Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, kedua-dua wanita itu telah dipanggil untuk membuat pengecaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras semalam.
Beliau berkata, tindakan memanggil mangsa dilakukan berikutan laporan yang dibuat mereka berhubung kejadian itu pada Rabu lalu.
“Kedua-dua mangsa mendakwa telah diaibkan dengan kata-kata lucah oleh suspek semasa ditahan dalam pemeriksaan di Taman Midah dalam kenderaan berasingan pada pukul 1.15 dan 1. 55 pagi.
“Bertindak atas laporan itu, anggota polis itu telah ditahan pada keesokan harinya untuk siasatan lanjut selama tiga hari sehingga semalam,” katanya pada sidang akhbar di IPD Cheras di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya masih mengemaskini kertas siasatan sebelum diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, anggota polis berusia 52 tahun yang ditahan sudah dibebaskan dengan ikat jamin semalam dan kini ditukarkan dari bahagian operasi untuk melakukan kerja-kerja pejabat.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 509 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

143,067 DVD cetak rompak dirampas





KOH Ah Tiam (dua kanan) menunjukkan DVD yang berjaya dirampas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan, kelmarin.


BENTONG 8 Mei - Polis menahan sembilan lelaki yang sedang leka membungkus cakera video digital (DVD) dalam serbuan di sebuah bangunan tiga tingkat di Genting Sempah dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 143,067 keping DVD cetak rompak pelbagai tajuk dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Supritendan Koh Ah Tiam berkata, rampasan DVD itu adalah yang terbesar di Pahang setakat ini.
Beliau berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh 20 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
Katanya, hasil siasatan mendapati, bangunan tiga tingkat itu dijadikan tempat menyimpan, membungkus dan pusat edaran DVD cetak rompak sejak tiga minggu lalu.
Tambahnya, tiada sebarang peralatan mencetak atau senjata ditemui dalam serbuan tersebut.
"Hasil pemeriksaan polis juga mendapati, bangunan kediaman itu dijadikan transit menyimpan DVD sebelum diedarkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar," katanya di sini semalam.
Menurut Ah Tiam lagi, ketiga-tiga lelaki itu berusia antara 19 hingga 36 tahun kini ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

48 juta kanak-kanak jadi buruh di Asia



NEW DELHI - Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan terdapat 48 juta kanak-kanak di rantau Asia Pasifik terpaksa bekerja akibat masalah kemiskinan dihadapi. 

Ketua Pengarah ILO, Juan Somavia berkata, seorang daripada setiap lapan kanak-kanak di rantau tersebut menjadi buruh. 

Golongan muda di rantau itu pula menghadapi ketidaktentuan tinggi yang ada kaitan dengan konflik dan bencana alam. 

"Kemajuan dalam menangani perkara ini tidak sekata, tidak cukup pantas dan menyeluruh untuk mencapai matlamat yang kami tetapkan. 

"Gerakan besar-besaran baru diperlukan dan ini memerlukan kempen hebat dalam membanteras gejala buruh kanak-kanak," kata Somavia. 

Laporan terbaru ILO menyatakan konflik dan bencana alam adalah punca kepada kemusnahan sekolah, perpecahan keluarga dan krisis kebajikan kanak-kanak.

Serangan bom cemari pelan damai kerajaan



BANGKOK - Kemelut politik Thailand semakin meruncing apabila dua anggota polis maut dalam dua serangan berasingan berhampiran tempat perhimpunan penunjuk perasaan Baju Merah, semalam. 

Insiden berlaku ketika kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva bergelut untuk melaksanakan pelan damai kebangsaan bagi menamatkan kebuntuan politik di negara itu. 

Insiden tersebut adalah keganasan terbaru di Thailand sepanjang demonstrasi antikerajaan di ibu kota sejak dua bulan lalu. 

Seramai 27 orang maut dan hampir 1,000 lagi cedera dalam rusuhan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan, bulan lalu.: 

"Dua anggota polis terbunuh dalam insiden ini. Saya fikir ada pihak tertentu yang tidak mahu demonstrasi ini ditamatkan," kata jurucakap pusat operasi polis, Mejar Jeneral Prawut Thavornsiri. 

Serangan pertama berlaku di pusat pemeriksaan keselamatan di Lumpini Park dekat persimpangan Ratchaprasong di Bangkok. 

Prawut berkata, serangan dilancarkan menggunakan pelancar bom M-79 ke arah pusat pemeriksaan keselamatan yang dikawal polis dan askar dengan menyebabkan seorang anggota polis maut dan tiga askar cedera. 

Terdahulu, seorang anggota polis maut dan empat lagi cedera selepas seorang penunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah sebuah bank di jalan Silom, juga berhampiran tempat perhimpunan Baju Merah.

Polis tahan suspek kes tembak pengawal Istana Kelantan




KOTA BHARU - Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dengan kes tembak yang melibatkan seorang pengawal Istana Kelantan 1 Mei lalu. 

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata suspek tersebut ditahan seminggu selepas kejadian. 

“Kami sudah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat di dalam kes tersebut. Suspek tersebut berusia lingkungan 40-an. Pihak polis akan membuat siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di perkarangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) malam semalam. 

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum dapat mengambil sebarang keterangan daripada mangsa. 

Pada 1 Mei lalu, Ramli Mohamad, 50, cedera parah ditembak empat das oleh seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli kira-kira 3 kilometer daripada rumah mangsa. 

Mangsa ditembak dari jarak dekat ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Gegaran Bumi Jadikan Saya Pening Dan Mual," Kata Pelajar Malaysia



Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 9 Mei (Bernama) -- Gegaran bumi yang berlaku akibat gempa berkekuatan 7.2 pada skala Richter di Meulaboh, Aceh telah menyebabkan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi yang sedang mengadakan aktiviti di Pantai Ujong Batee, Banda Acheh turut menjadi cemas.

Mereka termasuklah empat pelajar Malaysia yang menyertai 160 pelajar Indonesia dari Institut Agama Islam Negeri, Ar Raniri, yang sedang menjalani program Rehlah (Hari Keluarga) Fakulti Usuluddin institut itu di pantai tersebut.

"Waktu itu saya baru selesai makan tengah hari bersama beberapa rakan lain dan nak ke masjid untuk solat, tiba-tiba sahaja kepala saya rasa pening. Tak lama kemudian, bumi bergegar lebih kuat untuk kali keduanya dan pada masa itu bukan sahaja rasa pening malah seperti nak termuntah pula," kata Abdullah Hakimi Zainal Abidin.

Abdullah Hakimi, 21, yang pertama kali mengalami kejadian gempa berkata gegaran kedua itu menyebabkan rakan-rakan mereka yang lain turut cemas.

"Mereka yang sedang mandi manda di laut, terus berlari naik ke daratan dan tak berapa lama selepas itu, siren amaran tsunami turut dibunyikan di pantai itu," katanya ketika di hubungi dari sini.

Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia yang mengeluarkan amaran potensi tsunami berikutan kejadian gempa di kedudukan 66km Barat Daya Meulaboh, Acheh pada pukul 12.59 tengah hari, telah menarik balik amaran itu kemudiannya.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima berikutan kejadian gempa itu.

Abdullah Hakimi, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh, berkata selepas mendengar siren tsunami itu beliau dan tiga rakan pelajar Malaysia meluru ke motosikal dan bergegas meninggalkan kawasan pantai itu.

Tiga lagi pelajar Malaysia yang ada bersama beliau pada masa itu ialah Muhammad Muslim Amran, 20, Abdul Halim, 27, dan Syed Muzaffar, 24. Mereka telah pergi ke pantai itu pagi ini menaiki dua motosikal.

Pada masa yang sama Abdullah Hakimi berkata beliau juga telah dihubungi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia Datuk Paduka Dr Junaidy Abu Bakar yang menasihatkan mereka semua untuk segera meninggalkan kawasan pantai berikutan amaran tsunami oleh pihak berkuasa Indonesia.

Pelajar jurusan ijazah Sarjana Muda Akidah dan Falsafah itu berkata, dalam perjalanan pulang dari pantai itu beliau melihat ramai sekali penduduk Aceh meninggalkan rumah masing-masing menaiki kereta dan motor sehingga jalan raya menjadi sesak dengan lalu lintas untuk seketika kerana suasana pada masa itu cemas sekali.

Keadaan di Banda Aceh kembali normal sejak pukul 3 petang setelah warganya mendapat berita penarikan balik amaran tsunami oleh pihak BMKG.

Abdullah Hakimi berkata, pelajar-pelajar Indonesia yang ada bersama mereka di pantai itu kurang cemas kerana sudah berpengalaman dengan beberapa gempa bumi sebelum ini.

Semasa dihubungi, beliau sedang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Pengarah Sukan Kementerian Pengajian Tinggi Dr Shaharuddin Ismail, yang sememang dijadual sampai di Banda Aceh pada Ahad petang.

Untuk sementara waktu ini, katanya kesemua pelajar Malaysia di institut itu ditempatkan di rumah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh di Darussalam sehingga Yang Dipertua persatuan itu mengeluarkan arahan baru.

Sementara itu Dr Junaidy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata ada sejumlah 165 pelajar Malaysia sedang menuntut di Institut Agama Islam Ar Raniri, Aceh.

Pengarah MSD Indonesia itu berkata selain empat pelajar berkenaan yang berada di tepi pantai, kesemua pelajar Malaysia yang lain berada di lokasai lain yang jaraknya 10km dari pantai.

"Maklumat yang diperolehi daripada pemimpin pelajar, semua pelajar dalam keadaan selamat. Para pelajar telah diberitahu agar mengikuti SOP kecemasan sekiranya berlaku lagi gempa susulan dan tsunami.

"Pihak Jabatan Penuntut Malaysia sedang memantau keadaan para pelajar Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu para pelajar Malaysia sekiranya keadaan semakin buruk," katanya.

Beliau meminta ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat tentang anak-anak mereka di Aceh supaya menghubunginya di talian +6281 80 88 11111 (Dato' Dr Junaidy) atau email jun@ukm.my.

-- BERNAMA