Search This Blog

Friday, May 7, 2010

Baju Merah balik kampung

BANGKOK: Kumpulan Baju Merah membayangkan mereka akan mengakhiri protes sejak beberapa minggu lalu tetapi tetap menuntut kerajaan menyatakan tarikh pembubaran Parlimen sebelum mengalihkan benteng dibina di sekeliling mereka.
Pada masa sama, ribuan penunjuk perasaan kekal berkampung di daerah komersial utama di Bangkok dengan menjadikan timbunan tayar, kawat duri dan buluh runcing sebagai pagar.
Kumpulan antikerajaan yang disertai kebanyakannya golongan miskin dan pedalaman berada di Silom sejak lapan minggu lalu.

Mereka turut menuntut kawalan tentera di Bangkok ditarik balik.

Seorang daripada pemimpin Baju Merah, Veera Musikapong, berkata dia yakin protes besar-besaran yang menjejaskan ekonomi Thailand itu akan berakhir tidak lama lagi.

Katanya, penyokongnya kumpulan antikerajaan tidak lagi perlu bermalam di tempat terbuka menjelang permulaan musim hujan di negara itu.

“Selepas bersama 50 hari, saya dapat merasakan kami akan pulang ke rumah masing-masing kerana matlamat perjuangan untuk mendapatkan demokrasi sebenar serta mengembalikan kuasa kepada rakyat tercapai,” katanya.

Sementara itu, Raja Bhumibol Adulyadej, 82, yang dirawat di hospital sejak September tahun lalu meluangkan masa seketika melawat Istana Besar sambil disambut sorakan orang ramai sempena hari pertabalannya yang ke-60, semalam.

Minggu lalu Bhumibol berucap menekankan aspek keamanan di Thailand tetapi tidak menyatakan secara khusus mengenai krisis dialami negara itu. - AFP

Dua korban bah di Riyadh

RIYADH: Dua orang terbunuh dan seorang lagi cedera akibat hujan lebat dan ribut yang melanda Riyadh, semalam.
Pihak berkuasa melaporkan jalan raya, kenderaan dan bangunan rosak dan 275 kemalangan berlaku akibat cuaca buruk itu.
Polis Riyadh menerima 3,600 panggilan kecemasan sepanjang tempoh itu.

Pihak berkuasa turut menyelamatkan 155 orang yang terperangkap manakala seorang mangsa dilapor masih hilang.

Menteri Pendidikan, Putera Faisal bin Abdullah mengarahkan semua sekolah, kolej dan universiti ditutup.

Akibat angin kuat yang melanda daerah Rawdah, hampir semua cakera satelit diterbangkan angin. Majlis Perbandaran Riyadh kini mula membaik pulih kerosakan dan membersihkan jalan raya.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam, Saad bin Abdullah Al-Tuwaijri menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terharap perubahan cuaca.

“Orang ramai perlu mengelak kawasan yang kerap dinaiki air. Hujan lebat didahului angin kencang turut dijangka melanda beberapa bandar lain, termasuk wilayah timur dan Qassim, Hail, Makkah, Baha, Asir, Jazan dan Najran,” katanya.

Jabatan Kaji Cuaca mengesahkan wilayah tengah dan barat daya mungkin dilanda hujan lebat minggu ini. - Agensi

Tiga dipenggal

CHILPANCINGO (Mexico): Polis menemui tiga mayat tanpa kepala, milik seorang anggota polis, pendandan rambut dan buruh binaan di Ometepec, Guerrero, semalam.
Polis mengesyaki mangsa dibunuh sindiket pengedaran dadah yang hingga kini bertanggungjawab membung 22,700 orang.
Sementara itu, polis berjaya menyelamatkan 17 mangsa culik daripada dua rumah di Matamoros, utara Mexico. - AFP

Bawa kepala dalam baldi

ST GEORGE’S (Grenada): Polis Grenville gempar apabila seorang lelaki tempatan menyerah diri di balai polis dengan membawa dua kepala mangsa dibunuhnya yang diletakkan di dalam baldi, semalam.
Suspek, 32 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut. Jurucakap polis, Troy Garvey berkata, lelaki itu belum didakwa tapi disyaki pembunuh kedua-dua mangsa.
Hasil siasatan, polis kemudian menemui dua mayat tanpa kepala di pinggir bandar itu, satu daripadanya mayat pemilik kelab malam tempatan.

Perdana Menteri, Tillman Thomas berkata, tindakan itu terlalu kejam dan menunjukkan tindakan drastik perlu dilaksana untuk membantu rakyat mengawal kemarahan. - AP

Mahkamah India haram dadah paksa cakap benar

NEW DELHI: Mahkamah Tinggi India mengharamkan semua agensi keselamatan menggunakan dadah memaksa suspek bercakap benar dan mesin pengesan penipuan atas dasar ia melanggar hak asasi manusia.
Agensi keselamatan India bergantung kepada keputusan ujian, termasuk pembunuhan 21 orang di Noida, New Delhi pada 2006.
“Tiada individu boleh dipaksa mengambil ujian itu kerana ia melanggar kebebasan individu,” ulas kenyataan dibuat panel hakim.

Ramai peguam mengalu-alukan keputusan itu tapi ada juga pihak menganggap pengharaman itu melenyapkan satu daripada cara untuk membantu polis melaksanakan siasatan yang berkesan. - AFP

Kuli dicurah air panas

HANOI: Sepasang suami isteri warga Vietnam ditahan atas tuduhan menyiram air panas dan bahan kimia ke atas pembantu rumah lelaki berusia 14 tahun.
Mereka turut dituduh mencabut gigi mangsa dengan menggunakan playar.
Ketua Polis, Vo Van Chac berkata, pasangan penternak udang itu turut didakwa memukul, mengurung dan memaksa remaja itu minum air kencingnya sendiri.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan remaja itu duduk di katil hospital dengan bahagian kanan wajahnya kelihatan pucat sama seperti kesan parut.

Huynh Thanh Giang dan isteri, Ma Ngoc Thom ditahan kerana disyaki mendera remaja dikenali sebagai Hao Anh di ladang ternak udang mereka di Ca Mau, selatan Vietnam.

Pakar forensik berkata, dua pertiga daripada tubuh remaja itu cedera akibat didera.

Pemimpin daerah, Pham Duc Ly berkata, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki membantu mendera remaja itu.

Ly mendakwa dimaklumkan mengenai penderaan itu 27 April lalu dan mengirimkan kakitangannya untuk menyiasat.

Pada mulanya, pasangan dan juga remaja itu mendakwa kecederaan mangsa akibat terjatuh.

Remaja itu bagaimanapun kemudian mengaku dipukul tapi takut untuk bersuara.

“Mangsa mendakwa dipukul setiap kali melakukan kesalahan kecil dan dibelasah tanpa sebab oleh Huynh yang naik angin.

“Remaja itu kini dirawat di hospital,” katanya.

Ibu Hao Anh, Pham Thi Thoa berkata, beliau menyerahkan anak lelakinya kepada penternak udang itu kerana mereka berjanji akan membayar gaji VND500,000 (RM85) sebulan. - AFP

Wanita berpurdah bikin gempar





2010/05/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KOLKATA: Sebuah pesawat India membuat pendaratan cemas di Kolkata, semalam, apabila dua penumpang Russia - termasuk seorang wanita berpurdah - berkelakuan aneh.
Sumber penerbangan berkata, pihak lapangan terbang terpaksa memberi keutamaan kepada juruterbang untuk membuat pendaratan selepas arahan anak kapal supaya wanita terbabit membuka purdah bagi tujuan pengenalan tidak diendahkan sama sekali.
Ketika kejadian, kata sumber itu, pesawat kos rendah milik SpiceJet berkenaan membawa 123 penumpang dalam perjalanan dari Pune ke Kolkata melalui New Delhi. - AFP

Kedai perdaya wanita



Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/05/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KELANA JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas pelbagai barangan elektrik peralatan rumah bernilai hampir RM80,000 di sebuah premis di dalam pasar raya terkemuka, di sini, dalam serbuan petang semalam.
Premis terbabit didapati menjalankan perniagaan mengelirukan termasuk dipercayai terbabit dalam sindiket gores dan menang dengan memperdaya mangsa kebanyakan wanita.
Timbalan Pengarah KPDNKK Selangor, Ahmad Md Isa, berkata pihaknya melakukan serbuan bermula kira-kira jam 4 petang dan berakhir setengah jam kemudian selepas menerima banyak aduan daripada wanita yang mendakwa tertipu dengan cara jualan di premis itu.

“Sepasukan enam pegawai penguat kuasa KPDNKK Selangor menyerbu premis terbabit sebelum menyoal siasat penyelia premis itu.

“Lelaki berusia 31 tahun itu memberikan pelbagai alasan termasuk tidak tahu sudah melakukan kesalahan kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

“Soal siasat turut mendapati premis yang beroperasi sejak setahun lalu itu turut menjalankan taktik cabutan bertuah untuk setiap barangan yang dijual padahal baucer diberi sebenarnya melebihi daripada harga barang dijual,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, semalam.

Modus operandi yang dijalankan katanya, sindiket itu akan memujuk pengguna dengan tawaran hadiah percuma menerusi baucar cabutan bertuah, namun hakikatnya keseluruhan harga barang dibeli itu berkali-kali ganda daripada harga sebenar.

Pihaknya terpaksa menyita pelbagai barangan elektrik peralatan rumah seperti lapan ketuhar mikro pelbagai fungsi, lima penapis air dan penyedut hampagas bernilai kira-kira RM73,866.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Harga 1946 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000.

Ahmad menasihatkan pengguna terutamanya wanita supaya berhati-hati dan jangan terpedaya dengan tawaran hebat lebih-lebih lagi pemberian percuma untuk sesuatu barang.

“Kita mendapati perkataan percuma senang untuk memerangkap pengguna hingga terpedaya dengan taktik jualan yang licik,” katanya.

Sentuh bahu kebas wang





2010/05/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Sentuhan ajaib. Itulah taktik digunakan sekumpulan dua lelaki warga Indonesia berusia awal 20-an dipercayai pakar pukau sebelum merampas wang tunai mangsa ribuan ringgit dengan cara terhormat sebelum menghilangkan diri.
Difahamkan, mangsa secara automatik akan menyerahkan semua wang yang dimilikinya kepada suspek sebaik terkena sentuhan berkenaan.
Kumpulan terbabit hanya mensasarkan individu yang bersendirian di kawasan bank sebelum bertindak memukau mereka dan kumpulan terbabit dikatakan sudah beroperasi di sekitar kawasan berkenaan, sejak enam bulan lalu.

Dalam kejadian terbaru di Setapak, di sini, baru-baru ini, kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa yang berseorangan mendakwa didatangi seorang daripada dua lelaki warga asing sebelum mendakwa disentuh pada bahagian bahu selepas selesai melakukan pengeluaran wang.

Menurut sumber, sebaik terkena sentuhan berkenaan mangsa yang berada dalam keadaan normal mendakwa terus berada dalam keadaan separuh sedar.

“Kesempatan itu digunakan suspek untuk menyoal mangsa mengenai jumlah wang yang dikeluarkannya.

“Mangsa kemudian memberitahu semua jumlah wang yang dikeluarkannya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian diarahkan menyerahkan wang miliknya itu kepada mereka dan dia hanya mematuhi arahan berkenaan.

“Sebaik mendapat wang yang dikehendaki, mangsa kemudian diarahkan pulang ke rumah menaiki teksi yang berada di kawasan berkenaan manakala suspek bertindak melarikan diri,” katanya.

Difahamkan, mangsa hanya menyedari wang miliknya lesap selepas tiba di rumah dan mendakwa kerugian RM6,000.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila dia bertemu semula dengan suspek yang mencuri wangnya itu ketika bersiar-siar di Pasar Seni, Ahad lalu, kira-kira jam 2 petang.

Sumber berkata, mangsa kemudian berusaha menangkap suspek namun mereka cuba melarikan diri.

“Mangsa yang mendapat bantuan daripada beberapa anggota polis yang kebetulan bertugas di kawasan itu kemudian berjaya memberkas seorang daripada suspek selepas bergelut lebih 10 minit,” katanya.
Pergelutan itu menyebabkan keadaan di kawasan itu kecoh seketika sebelum suasana tegang itu diredakan dengan kejayaan memberkas seorang daripada suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Wanita dakwa dipukau melalui panggilan telefon





2010/05/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Begitu mudah seorang gadis dipukau hanya melalui satu panggilan telefon apabila mangsa tiba-tiba menjadi ‘bodoh’ sebelum akur dengan arahan suspek memasukkan kredit tambah nilai prabayar membabitkan jumlah ribuan ringgit.
Kes aneh berkenaan yang berlaku beberapa minit menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai pakar kecantikan kulit kerugian kira-kira RM3,750 dalam sekelip mata. Mangsa, Lim Fay Meng, 36, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari baru-baru ini, dia sedang sibuk bertugas di butik kecantikan di Petaling Jaya, di sini, sebelum menerima panggilan telefon.
Menurutnya, dia yang menjawab panggilan telefon itu bagaimanapun gagal mengenal pasti individu wanita yang membuat panggilan telefon berkenaan.

“Wanita misteri itu berulang kali meminta saya meneka namanya menyebabkan saya berusaha untuk mengingati nama rakan-rakan lain.

“Saya akhirnya mengesyaki wanita terbabit sebagai rakan saya Connie walaupun suaranya agak berbeza dengan apa yang biasa didengar,” katanya ketika ditemui di Biro Aduan MCA, semalam.

Menurutnya, wanita itu lantas mengaku dirinya sebagai Connie dan mendakwa suaranya menghadapi masalah berikutan menghidap selsema, batuk dan demam.

Menurutnya, sewaktu sedang berbual itu, wanita terbabit kemudian meminta bantuannya supaya memasukkan kredit tambah nilai kepada salah seorang lagi rakannya yang terdesak untuk membuat panggilan telefon ke luar negara.

“Dia meminta saya menghantar sebanyak 32 kad tambah nilai pra-bayar yang berharga RM100 setiap satu ke 12 nombor telefon bimbit yang diberi,” katanya.

Penyamun lagak pelajar kolej



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Pura-pura menyamar tidak ubah seperti pelajar kolej lengkap dengan membawa beg sandang dijadikan modal dua penjenayah licik untuk melakukan kes samun dan pecah pejabat bersenjatakan parang.
Dua penjenayah tempatan berusia 20-an terbabit yang merancang untuk merompak sebuah pejabat pembinaan dan pusat tuisyen di Manjalara, Kepong, di sini, bagaimanapun tidak sebijak mana apabila gelagat mereka berjaya dirakam kamera litar tersembunyi (CCTV) pejabat itu.
Difahamkan, dua penjenayah berkenaan menggunakan taktik menekan loceng premis atau berpura-pura mahu memeriksa saluran gas sebelum mengacukan parang kepada mangsa yang membuka pintu.

Pemilik premis yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 29, berkata, kejadian hanya disedari selepas dia dan kekasihnya pulang ke bangunan berkenaan untuk meneruskan tugas kira-kira jam 2.10 petang semalam.

Menurutnya, dia yang mengusahakan pusat tuisyen di tingkat dua bangunan berkenaan bagaimanapun terkejut apabila mendapati almari kasut dan permaidani di hadapan pintu masuk pusat tuisyen miliknya berubah dari kedudukan asal.

“Malah loceng penggera pada bahagian hadapan pusat tuisyen kami turut didapati rosak selain terdapat kesan umpil pada tombol pintu.

“Namun penjenayah yang dipercayai cuba mengumpil pintu pejabat kami gagal untuk menceroboh masuk berikutan terdapat satu lagi pintu jeriji besi,” katanya.

Lelaki dari Ipoh korban H1N1 ke-82



Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my
2010/05/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 40 tahun dari Ipoh, Perak disahkan menjadi korban terbaru jangkitan Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu, 82 orang setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang faktor risiko dan mengalami gejala demam serta batuk selama enam hari, sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, pada 27 April lalu.
“Dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami masalah penafasan akibat pneumonia yang teruk dan meninggal dunia pada 1 Mei lalu.

“Hasil perbincangan dengan pakar mengesahkan bahawa punca kematian mangsa adalah jangkitan H1N1. Ia menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat H1N1 sehingga hari ini (semalam) ialah 82 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Ismail berkata kementerian menerima lapan laporan kluster penyakit serupa Influenza (ILI) dari lima negeri iaitu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Menurutnya, ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Utara, Taman Shamelin Perkasa dan SK Taman Midah Cheras bagi kawasan Kuala Lumpur manakala di Negeri Sembilan pula Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ulu Pari, Rembau serta satu keluarga di Taman Gemas Indah, Gemas.

Di Melaka pula membabitkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Key Seng, Bukit Baru dan di Johor dilaporkan di Sekolah Menengah Sains Johor dan Klinik Kesihatan Batu Pahat, manakala satu kes di Selangor membabitkan Sekolah Integrasi Islam Kota Damansara.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara 538 kes dan daripada jumlah itu 46 kes disahkan H1N1 manakala enam dirawat di ICU,” katanya.

Berikutan itu, Ismail berkata kementerian mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada.

Katil berlumur darah



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim
anbia@hmetro.com.my
2010/05/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
AMPANG: Seorang suami hanya mampu tergamam tatkala memangku tubuh isteri yang berlumuran darah dalam keadaan muka, leher dan dada parah akibat ditetak penyamun yang menceroboh masuk ke rumahnya.
Dalam kejadian samun antara jam 7 hingga 9 malam kelmarin, mangsa yang juga seorang peniaga kedai runcit, Isnati Sahid, 58, ditemui terbujur kaku oleh suaminya, Suratman Sulaiman, 62, dalam bilik tidur di rumah mereka di Pangsapuri Intan, Ampang Permai di sini, sebaik pulang dari masjid berhampiran.
Mangsa dipercayai diserang penyamun bersenjatakan parang yang menceroboh masuk ketika bersendirian di rumahnya. Suratman yang ditemui semalam berkata, penyamun dipercayai mengambil peluang masuk ke dalam rumahnya ketika isterinya bersendirian dan ingin menunaikan solat Maghrib.

“Saya ketika itu baru pulang dari masjid kerana bertugas sebagai bilal kira-kira jam 9 malam. Namun, sebaik meletakkan motosikal di hadapan rumah, saya terkejut apabila mendapati percikan darah melekat pada cermin tingkap bilik tidur.

“Firasat buruk yang berlegar di kepala ketika itu akhirnya terbukti apabila saya menemui isteri terbaring dalam keadaan berlumuran darah di atas katil sebaik meluru ke bilik tidur,” katanya.

Menurutnya, dia tergamam sebelum memangku isterinya yang ketika itu sudah tidak bernyawa. “Saya hanya mampu mengesat darah pekat pada mukanya sebelum melihat bahagian itu mempunyai kesan luka terbelah akibat ditetak.

“Malah, kesan luka dalam turut ditemui pada leher dan dadanya. Saya juga sempat melihat kedua-dua tangannya cedera ditetak selain jari tangannya hampir lumat dipercayai akibat tetakan gila penjenayah,” katanya.

Malah, semua cincin, rantai dan gelang tangan dipakai isterinya lesap selain beg pinggang serta wang jualan yang disimpan dalam laci hilang.

“Saya hilang kata-kata dan hanya mampu mendukungnya. Saya meminta bantuan jiran membawanya ke Hospital Ampang dengan menaiki van,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu meluluhkan hati kerana isterinya yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Haji amat lemah-lembut dan pandai mengambil hati.

“Malah, beberapa hari sebelum kejadian ini, arwah kerap memicit dan menggosok badan saya setiap kali sebelum tidur. Dia sering bertanya sama ada saya sihat atau sebaliknya berikutan saya kerap demam kebelakangan ini.

“Tapi, Tuhan memanggilnya terlebih dahulu. Susah untuk terima cara kematiannya, namun semua ini sudah ditakdirkan,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri baru pulang daripada menunaikan umrah seminggu lalu selepas beberapa kali menunaikan ibadat sama sebelum ini.
“Penjenayah mungkin menyedari isteri saya bersendirian di rumah kerana sebelum ini Mak Haji ditemani seorang pembantu kedai wanita warga Indonesia.

“Namun, wanita terbabit ditahan imigresen baru-baru ini ketika kami menunaikan umrah menyebabkan isteri terpaksa bersendirian di rumah ketika ketiadaan saya,” katanya ketika ditemui di Surau At-Taqwa berhampiran Pangsapuri Intan, bagi menguruskan jenazah isterinya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa maut akibat parah pada leher.

“Mangsa juga cedera pada kedua-dua tangan. Kami percaya suspek cuba menyamun dan tindakan mangsa yang cuba melawan menyebabkan lelaki terbabit menyerangnya.

“Kami (polis) mendapati dua gelang tangan milik mangsa juga dilarikan suspek. Malah, polis percaya kekejaman suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa turut menemui sebilah parang di tempat kejadian yang mempunyai kesan darah.

“Sehingga kini kita tidak dapat memastikan sama ada ia adalah senjata yang digunakan dalam kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 395 kanun sama kerana samun bersenjata,” katanya.

Abd Jalil berkata, lakaran fotofit wajah suspek sudah diedarkan kepada orang ramai bermula semalam dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali penjenayah terbabit diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan segera bagi membantu siasatan.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan suspek ditangkap dengan segera dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, jenazah mangsa yang selesai dibedah siasat di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM), Cheras, selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Jalan Kuari, dekat sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Bengkel jadi lokasi 'lapah' kereta curi diserbu




MOHD. MOKHTAR (kiri) melihat kereta jenis Nissan 350Z yang dirampas dari enam lelaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Tembelang sekumpulan enam lelaki termasuk tiga warga asing yang menjadikan sebuah bengkel sebagai pusat untuk 'melapah' pelbagai kereta curi untuk dijual komponennya terbongkar apabila kesemua mereka diberkas di Ulu Tiram di sini baru-baru ini.
Turut ditahan dalam serbuan pada pukul 11 pagi, 28 April lalu itu ialah seorang pemilik bengkel berusia 38 tahun.
Difahamkan, selain menjual komponen kenderaan, sindiket itu juga bertanggungjawab melupuskan kereta yang dicuri ke luar negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila pihaknya menahan lima lelaki berusia dalam lingkungan 30 dan 50 tahun ketika mereka asyik meleraikan komponen kereta di sebuah bengkel di Jalan Sungai Tiram.

GRO cuba menyorok dicekup




Seorang GRO ditemui sedang bersembunyi dalam lorong rahsia ketika diserbu di George Town kelmarin.


GEORGE TOWN - Cubaan 25 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga China bersembunyi di beberapa tempat rahsia untuk mengelirukan pihak berkuasa gagal apabila kesemua mereka dapat dicekup di sebuah pusat karaoke di sebuah hotel di Jalan Anson di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, sebahagian daripada mereka didapati bersembunyi di lorong rahsia yang dihadang dengan sofa, bilik yang berkunci dan atas bumbung.
Bagaimanapun, kesemua taktik tersebut dapat dihidu hasil kecekapan sepasukan 29 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Pulau Pinang.
Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu, Roslan Wan Chik berkata, sebaik serbuan dilakukan, mereka hanya mendapati seorang lelaki yang merupakan pemilik premis berusia dalam lingkungan 50-an berada di situ.

Tengku Merjan dihalau




TENGKU Merjan (gambar kecil) berada diluar pintu hospital selepas tidak dibenarkan menziarahi Sultan Kelantan di HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelmarin.)


KOTA BHARU - Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra (gambar) mendakwa beliau dihalang oleh pihak polis ketika melawat adindanya, Tuanku Ismail Petra di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum dihalau keluar dari wad pada Selasa lalu.
Tengku Merjan mendakwa beliau dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dikawal ketat oleh beberapa anggota polis yang bertugas di pintu Wad Diraja hospital itu.
Malah, katanya, berlaku insiden tolak- menolak apabila beliau dan Tengku Anis bertegas untuk melawat Sultan Kelantan.
"Saya dan Tengku Anis berjaya memasuki wad tersebut tetapi saya hanya sempat berada di situ beberapa minit,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ibu 9 anak di bangsal lembu





Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani Mamat amat mengharapkan suaminya pulang lebih-lebih lagi anaknya, Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang.


PASIR PUTEH 6 Mei - Apa yang dipanggil rumah buat seorang ibu bersama sembilan orang anaknya berteduh di Kampung Kolam Tembesu di sini hanyalah sebuah bangsal, bekas kandang lembu.
Sudah lima bulan keluarga itu menetap di situ dan mereka tidak mempunyai pilihan lain biarpun terpaksa tinggal bersesak, tanpa kemudahan bekalan air bersih, malam yang diterangi pelita ayam dan basah bila hujan.
Seperti ibu-ibu yang lain, Rosnani Mamat, 38, mengimpikan anak-anaknya tinggal dalam keadaan sempurna tetapi nasib keluarganya tidak sebaik orang lain kerana himpitan kemiskinan dan diburukkan dengan konflik keluarga.
"Sebelum ini kami menumpang di rumah orang tua tidak jauh dari sini dan kemudiannya terpaksa berpindah, menjadikan keadaan lebih buruk," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Bangsal seluas tiga meter persegi di tanah datuknya dibaiki dan diubahsuai menggunakan plastik tebal dan papan lama sebagai dinding.
Enam anaknya masih di bangku sekolah manakala tiga lagi masih kecil termasuk yang bongsu berusia setahun dan Rosnani bersendirian menguruskan anak-anak kerana suaminya bekerja sebagai buruh kasar di Pulau Pinang.
Selain kiriman bulanan suaminya sekadar RM100, dia bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan RM450 sebulan bagi membolehkan dapur rumahnya berasap dan anak-anak ke sekolah.
''Hati saya menangis melihat anak- anak tidur bergelimpangan dalam ruang sempit ini apatah lagi bila melihat mereka resah ketika ruang tidur basah kerana bocor.
Tiga anak saya belajar di sekolah rendah dan tiga lagi belajar di sekolah menengah.
"Anak saya, Norshihah Maidin, 17, dan Nor Shamira, 15, akan ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini. Mereka perlu lebih banyak belanja," ujarnya.
Selain itu, katanya, Nor Ain Eliya, 13, Mohd. Amirul, 10, dan anak kembarnya, Mohd. Shabani dan Mohd. Rabbani, 8, turut memerlukan wang saku untuk belanja sekolah.
"Lazimnya mereka ini, tidak membawa wang ke sekolah dan mengharapkan bantuan makanan yang disediakan menerusi Rancangan Makanan Tambahan," katanya.
Katanya, keadaan rumah membataskan tumpuan anak-anaknya untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam kerana hanya menggunakan pelita minyak tanah.
Menurut Rosnani, dia berusaha mengangkut air bersih berulang kali bersama anak-anak sejauh 400 meter untuk keperluan mereka.
Dia memberitahu, pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Tualang Tinggi bersama Guru Besarnya, Halimah Mahfud terus menziarahi keluarganya dan menyampaikan sumbangan hasil derma guru-guru selepas mendapati ketiga-tiga anaknya tidak pernah membawa wang ke sekolah.
Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani amat mengharap suaminya pulang, lebih-lebih lagi apabila anaknya Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa sering menjalani pemeriksaan.

Lagi mayat bayi ditemui





MAYAT bayi lelaki bertali pusat ditemui hanyut di Sungai Klang, Kampung Bukit Lancung, Puchong, semalam.


SUBANG JAYA 6 Mei – Gejala buang bayi kini menjadi seolah-olah tiada kesudahan. Ketika masyarakat bimbang dan simpati, satu lagi mayat bayi baru lahir ditemui hanyut di Sungai Klang berhampiran Kampung Bukit Lancung, Puchong di sini hari ini.
Penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berkeadaan bogel itu menyusul selang dua hari selepas kes seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di Sepang.
Mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira 24 jam lalu ditemui oleh dua lelaki yang ingin memancing di sungai berkenaan pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, semasa turun ke sungai, dua lelaki yang juga penduduk Kampung Bukit Lancung itu ternampak satu objek mencurigakan terapung atas air.
Beliau berkata, mereka kemudian mengambil objek tersebut untuk diperiksa dan terkejut mendapati ia adalah mayat bayi lelaki.
“Dua lelaki terbabit kemudian membawa mayat itu ke tepi sungai dan membalutnya dengan kain sebelum menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Zainal Rashid berkata, siasatan awal mendapati bayi malang itu dilahirkan kira-kira 24 jam yang lalu kerana masih bertali pusat.
Beliau berkata, polis percaya bayi terbabit dicampakkan ke dalam sungai sebaik sahaja dilahirkan dan mayatnya dihanyutkan arus sehingga ke Kampung Bukit Lancung.
Katanya, tempat di mana bayi itu dicampak belum dapat dikenal pasti kerana Sungai Klang mengalir dari Kuala Lumpur hingga ke Klang.
“Bayi lelaki ini cukup bulan, sempurna sifat dan berkulit cerah tetapi bahagian kepalanya bengkak dipercayai akibat terlanggar benda keras semasa dihanyutkan.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang prihatin apabila mengangkat mayat bayi itu dari sungai kerana jika dibiarkan mungkin ia dihanyutkan ke tempat lain dan tidak ditemui memandangkan arus ketika itu deras,” katanya.

Polis cari bapa bayi

KUALA TERENGGANU 6 Mei - Polis sedang mengesan bapa kepada bayi yang dilahirkan oleh seorang pelajar tingkatan empat di dalam tandas Klinik Kesihatan Jerangau, Felda Jerangau, Dungun, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, lelaki itu dicari pihaknya bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, setakat ini, polis belum mengambil keterangan daripada pelajar berusia 16 tahun itu kerana keadaannya masih lemah.
"Pelajar itu masih menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu. Kita akan ambil keterangannya selepas dia sihat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, pelajar tersebut telah dibawa ke klinik berkenaan oleh jirannya selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit.
Namun apa yang mengejutkan gadis yang tinggal di Jerangau Barat, Dungun, itu rupanya hendak melahirkan anak.
Mohd. Fauzi memberitahu, gadis itu melahirkan bayi lelaki seberat tiga kilogram dalam kejadian tersebut.
"Bayi yang dilahirkan sihat itu kini di bawah jagaan Hospital Hulu Terengganu," ujarnya.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Penyerang dihukum mati



MUMBAI 6 Mei – Seorang hakim India hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas satu-satunya penyerang bersenjata yang terselamat dalam serangan Mumbai 2008, Mohammed Ajmal Amir Kasab.
Hakim M.L. Tahaliyani menjatuhkan hukuman mati ke atas lelaki Pakistan berusia 22 tahun itu atas empat kesalahan iaitu membunuh, melancarkan perang menentang India, konspirasi dan keganasan.
“Dia perlu digantung sampai mati. Saya tidak nampak sebarang alasan untuk meringankan keputusan selain hukuman mati dalam kes melancarkan perang terhadap India, pembunuhan dan tindakan keganasan,” katanya.
Mohammed Ajmal yang memakai pakaian tradisi tunik India, dilihat meletakkan kepalanya di tangan sambil memandang lantai ketika keputusan dibacakan, tiga hari selepas dia disabitkan kesalahan dalam serangan itu yang meragut 166 nyawa.
Tahaliyani berkata, hukuman tersebut perlu setimpal dengan jenayah yang dilakukan dan hukuman mati tidak boleh diubah bagi mengekalkan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman.
Katanya, bukti menunjukkan ‘rancangan sistematik, teliti dan terburu-buru’ untuk melakukan kekejaman tersebut yang telah mendatangkan trauma kepada negara ini sehingga membuatkan India menghentikan rundingan damai dengan musuhnya, Pakistan.
“Kekejaman amat jelas dalam kes ini,” ujarnya, sambil menambah kata bahawa kesalahan Mohammed Ajmal adalah satu perbuatan hina yang tidak boleh diterima.
Hakim itu juga menolak hujah peguam bela, K.P. Pawar, yang menyatakan bahawa anak guamnya melakukan jenayah di bawah tekanan kumpulan militan Lashkar-e-Taiba (LeT).
Tahaliyani berkata, tertuduh menyertai kumpulan militan itu dengan kerelaannya dan dilatih menjadi ‘pejuang’.
Sebelum keputusan dibacakan, Tahaliyani bertanya kepada tertuduh sama ada dia ingin berkata sesuatu, tetapi Mohammed Ajmal hanya menunjukkan isyarat tidak menggunakan tangannya.
Hukuman mati yang dijatuhkan perlu dikaji semula oleh Mahkamah Tinggi.
Tertuduh boleh mengemukakan rayuan dan memohon belas kasihan dari India serta kerajaan pusat agar meringankan hukuman. - Agensi

Eyjafjoell semakin banyak keluarkan debu



07/05/2010 4:41am

REYKJAVIK 7 Mei - Gunung berapi Eyjafjoell semakin banyak mengeluarkan debu sehingga memaksa pihak berkuasa membuat pertimbangan untuk menukar laluan udara serta memberi amaran tentang gangguan yang bakal berlaku.
“Pengeluaran debu semakin meningkat sejak beberapa hari ini,” kata pegawai Jabatan PErlindungan Civil Iceland, Agust Gunnar Gylfason.
Laluan udara Eropah telah dibuka semula semalam, namun Agensi Kawalan Udara, Eurocontrol memberitahu, dengan kadar debu yang semakin tebal mungkin memaksa ia ditutup semula. - AFP

Rancangan pelampau sayap kanan Afrika Selatan digagalkan



07/05/2010 4:41am

CAPE TOWN 7 Mei - Polis Afrika Selatan berjaya menggagalkan rancangan puak pelampau bersayap kanan untuk mengebom kawasan hitam ketika mereka sedang bersiap-sedia menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia, kata Menteri Polisnya semalam.
Dalam kejadian tersebut, katanya, polis telah menahan beberapa suspek dari seluruh negara selain merampas beberapa jenis senjata milik mereka.
“Sekumpulan suspek yang ditahan di ibu negeri Pretoria merancang untuk mencuba bahan letupan mereka dengan meletupkan mana-mana kawasan hitam,” kata menteri berkenaan. - AFP

16 cedera kereta api berlanggar di Turki


16 cedera kereta api berlanggar di Turki

07/05/2010 4:41am

ANKARA 7 Mei - Seorang pegawai Turki, Gokhan Sozer mengesahkan 16 orang cedera dalam kejadian pelanggaran kereta api di barat laut Turki.
Katanya, kereta api yang menghala ke wilayah Kocaeli bertembung dengan sebuah lagi kereta api dari arah bertentangan.
“Seorang daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” katanya. - AP