KUANTAN – Seorang peniaga sayur bersama keluarganya di Kampung Pahang di sini, mengalami igauan ngeri apabila disamun sekumpulan lima penyamun ala ninja yang memecah masuk rumahnya kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Abdul Ghani Uyop, 41, bersama isteri, Rosmawati Rasid, 39, dan empat anaknya berusia antara 15 hingga lapan tahun itu turut diikat tangan dan kaki menggunakan tali pinggang, wayar pengecas bateri dan kain selimut yang dikoyakkan selepas dikumpulkan dalam sebuah bilik.
Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri sedang tidur dalam sebuah bilik sebelum dikejutkan oleh empat penyamun yang menyerbu masuk ke dalam biliknya selepas memecah masuk menerusi besi tingkap dapur yang dipotong.
“Empat penyamun yang bersenjatakan parang dan menutup muka mereka dengan baju ala ‘ninja’ itu mengugut kami supaya tidak melawan sambil mengacukan parang ke leher.
“Mereka juga turut mengancam untuk membunuh kami sekiranya saya tidak menunjukkan tempat wang disimpan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Abdul Ghani yang berniaga sayur di Pekan berkata, kumpulan penyamun itu kemudiannya mengarahkan tiga anaknya yang tidur di ruang tamu dan anak sulungnya yang tidur di bilik bersebelahan supaya berkumpul dalam sebuah bilik sebelum mengikat kaki dan tangan mereka.
“Kami tidak mampu melawan dan saya hanya mampu berdoa di dalam hati agar kami tidak diapa-apakan oleh kumpulan penyamun itu,” katanya.
Sementara itu, anak sulungnya, Nursyazwani, 15, turut benjol di kepala akibat dihentak salah seorang perompak itu dengan menggunakan batang besi menyebabkannya jatuh terlentang.
Katanya, dia dipukul sebaik sahaja tersedar selepas dikejutkan penyamun yang memasuki biliknya kerana menyangka dia mahu melawan.
“Selepas saya jatuh, penyamun itu mengarahkan saya supaya pergi ke bilik sebelah dan saya mendapati ayah, ibu dan tiga adik lagi sudah dikumpulkan dalam bilik sebelum mereka mengikat kami.
“Bagaimanapun sebelum mengikut mereka ke bilik sebelah, saya sempat menyembunyikan telefon bimbit di bawah bantal,” katanya.
Kereta dilarikan
Rosmawati pula berkata, dalam kejadian itu, mereka mengalami kerugian kira-kira RM30,000 membabitkan barang kemas bernilai RM20,000, wang tunai RM2,000, komputer riba bernilai RM2,000 dan juga lima buah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM2,000.
“Lebih menyakitkan hati apabila kumpulan penyamun itu turut memilih kereta Proton Wira Aeroback kami sebagai kenderaan untuk melarikan diri kira-kira jam 5.45 pagi.
“Sebelum itu mereka melarikan apa sahaja kunci yang ada dan keluar mengikut jalan yang sama iaitu tingkap dapur,” katanya.
Menurutnya, penyamun itu juga menyelongkar almari di setiap bilik yang ada untuk mengambil apa-apa sahaja barang berharga.
Pelik
Rosmawati turut menceritakan dua kejadian pelik yang berlaku semasa penyamun itu melaksanakan kerja jahatnya.
“Semasa mereka sedang menggeledah bilik mencari barang berharga, salah seorang daripadanya berlagak alim dengan membaca Bismillah sebelum meneguk air masak yang tersedia di situ.
“Bukan itu sahaja, salah seorang anak saya, Mohd Azril, 11, tidak diikat malah mereka sempat berpesan kepadanya supaya membuka ikatan tangan ibu dan ayah selepas mereka pergi,” katanya.
Katanya, selepas kum-pulan penyamun itu melarikan diri, suaminya segera menguraikan ikatan tangan dan menjerit meminta tolong kepada jiran sebelah.
“Suami kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan sebelum polis tiba kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superin-tenden Zulkifili Taha mengesahkan kejadian berkenaan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api.