Search This Blog

Wednesday, May 5, 2010

Kastam lumpuhkan sindiket seludup arak di pelabuhan Pulau Pinang



BUKIT MERTAJAM - Bahagian Penguatkuasaan Kastam negeri di sini berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan pelbagai jenis arak ke negara ini dengan menggunakan dokumen import alat elektronik apabila menahan dua kontena di Pelabuhan NBCT di Butterworth, dekat sini.

Kontena yang berisi beribu-ribu botol arak pelbagai jenis itu ditahan dalam pemeriksaan Kastam hasil maklumat orang awam pada 28 April lepas.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Kastam negeri R Mariappa berkata, kontena itu kononnya mengandungi alat eletronik yang diimport sebuah kilang pembuat kain.

"Tetapi setelah kita menggeledah kontena itu, kami menemui 71,148 botol pelbagai jenis arak yang dianggar berharga RM309,198 dan jumlah cukai yang cuba dilarikan ialah sebanyak RM933,026.

"Antara jenis arak itu ialah bir, wiski dan wain. Kesemua arak disorok dalam kedua-dua kontena yang diikrar mengandungi "Polyster Chip For Film Processing" seberat 38 tan dan diimport dari negara Korea," katanya kepada pemberita di sini hari ini.- Bernama

Permohonan Habeas Corpus Benjy ditolak, KDN arah ke pusat pemulihan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan habeas corpus pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy supaya dia dibebaskan segera daripada ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak memutuskan bahawa penahanan semula Benjy oleh polis pada 25 Mac adalah sah di mana polis bertindak sejajar dengan undang-undang mengikut Seksyen 3 akta berkenaan.
Sebelum keputusan itu dibuat, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy dan Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria bertikam lidah apabila Najib memberitahu mahkamah bahawa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop sudah menandatangani perintah supaya Benjy ditahan selama dua tahun.

Najib berkata, Abu Seman menandatangani perintah itu tengah hari semalam dan beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pagi ini.

Kenyataan Najib itu membangkitkan bantahan keras daripada Amer Hamzah, yang menggesa mahkamah supaya memaksa responden memfailkan afidavit bagi memperjelaskan sebab Benjy ditahan selama dua tahun dan bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan perkembangan terbaru sebelum mahkamah membuat keputusan berkaitan permohonan habeas corpus itu.

"Menteri tidaklah mengatasi undang-undang, beliau sedar sepenuhnya mengenai permohonan yang sedang berjalan dan mahkamah menetapkan hari ini untuk membuat keputusan namun tindakan menteri itu jelas menunjukkan kegagalan menghormati perjalanan proses mahkamah," kata Amer Hamzah. Amer Hamzah berkata, Seksyen 3 dan Seksyen 6 perlu dibaca bersama di mana menteri tidak boleh bertindak secara sendiri, sebaliknya perlu bergantung kepada polis dan pegawai penyiasat sebelum menandatangani perintah penahanan itu.

"Di sini beliau telah bertindak secara sendiri, bukankah ini mala fide (berniat jahat)?" kata Amer Hamzah yang terus berhujah bahawa permohonan itu masih terpakai dan persoalan tentang memfailkan permohonan habeas corpus yang baru tidak seharusnya timbul.

Beliau berkata, responden seharusnya menghormati badan kehakiman memandangkan ini bukanlah kali pertama Kementerian Dalam Negeri bertindak seperti ini.

Bagaimanapun, Najib berkata, mahkamah perlu membuat keputusan berkaitan permohonan itu memandangkan pemohon masih mempunyai kebebasan untuk mencabar perintah menteri berkenaan.

Najib turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Benjy sudah dipindahkan dari balai polis Bukit Jalil ke pusat tahanan Muar untuk menjalani tempoh tahanan selama dua tahun. Mohd Sofian turut memutuskan bahawa penahanan semula itu bukanlah mala fide di pihak polis yang menahan Benjy sebaik sahaja ibunya, aktres Azean Irdaway membayar jaminan terhadap satu pertuduhan dadah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Beliau berkata, pada peringkat ini adalah terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai isu pemohon yang menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam permohonannya pada 8 April, Benjy menamakan Ketua Polis Negara sebagai responden pertama.

Benjy, 32, anak lelaki tunggal Azean, mengaku tidak bersalah memiliki 0.24gm methamphetamine di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac.
Dia bebaskan dengan jaminan RM2,000 dan seorang penjamin namun selepas Azean membayar jaminan itu, Benjy ditahan semula kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah.

Amer Hamzah memberitahu pemberita kemudian bahawa beliau akan merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan memfailkan permohonan habeas corpus yang baru di Mahkamah Tinggi. -Bernama

Tukang paip dipenjara, sebat kerana liwat anak sendiri





2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KANGAR: Seorang tukang paip berusia 29 tahun dihukum penjara 13 tahun dan lima sebat selepas didapati bersalah meliwat anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, pada 15 September tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Norzannuar Wah Ahmad selepas mengambil kira keseriusan kes berkenaan, terutama tindakan tertuduh yang meliwat anaknya sendiri.

2 stor Pulapol terbakar

KUALA LUMPUR: Dua bilik stor yang menyimpan barangan logistik di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini musnah dalam kebakaran pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11 pagi sebelum jentera bomba pertama tiba kira-kira sembilan minit kemudian.

"Dua bilik berkenaan dijadikan stor untuk menyimpan barangan logistik yang akan dilupuskan dan ia sederet dengan enam lagi bilik stor, namun api dapat dikawal daripada merebak ke stor lain," katanya.

Beliau berkata sebanyak 10 jentera bersama 51 anggota dan pegawai termasuk forensik dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit, Hang Tuah, Sentul dan Setapak dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Katanya api dapat dikawal kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum padam sepenuhnya pada 2.04 petang.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya. - Bernama

Remaja samun kafe siber, rakan cedera ditembak polis



05/05/2010 2:46pm

KUALA LUMPUR 5 Mei – Sekumpulan remaja yang menyamun sebuah premis menerima padah apabila salah seorang daripada mereka ditembak polis dalam satu kejadian di sebuah kafe siber di Jalan Genting Klang di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, dua anggota polis berpakaian preman yang ditugaskan untuk menjalankan rondaan di kawasan itu masuk ke dalam kafe siber berkenaan dan pergi ke tandas.
Sebaik keluar dari tandas, kedua-dua mereka terkejut apabila premis terbabit bertukar kecoh apabila tujuh lelaki bersenjatakan parang menjerit-jerit serta menghunus dan melibas senjata yang dibawa mereka.
Kesemua suspek yang menyamun kafe siber itu menggunakan pelbagai jenis senjata seperti pedang samurai, parang panjang, parang pemotong daging, kapak, gergaji dan pisau. - Utusa

Samseng Afrika kena tangkap





2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MADINAH: Suruhanjaya Pecegah Maksiat cawangan Madinah semalam menahan beberapa warga Afrika yang didakwa mempunyai kuasa khas untuk menipu dan mendapatkan sejumlah besar wang daripada mangsa.
Jurucakap suruhanjaya berkata, warga Afrika berkenaan sebelum itu mengancam mencederakan seorang lelaki dan keluarganya kecuali mereka memasukkan wang SR200,000 (RM171,000) ke dalam sebuah akuan bank dan SR100,000 (RM85,000) lagi dibayar kepada seseorang di luar Arab Saudi. Lelaki itu juga kerugian sejumlah besar wang selepas diperdaya oleh warga Afrika itu yang mendakwa boleh mengganda wangnya hingga melebihi SR5 juta (RM4.3 juta). - Agensi

Didenda kerana berpurdah





2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ROME: Polis Itali semalam mendenda seorang wanita kerana berpurdah di jalan raya di bandar Novara, dipercayai kejadian pertama seumpamanya.
“Polis mengeluarkan saman terhadap wanita itu dan dia perlu membayar denda berjumlah 500 euro (RM2,100),” kata jurucakap polis majlis tempatan Novara, Mauro Franzinelli.
“Setakat yang saya tahu, ini adalah kes pertama seumpamanya di Itali. Bagaimanapun, wanita itu boleh merayu,” katanya.

Novara yang terletak di wilayah Piedmont, timur laut Itali adalah kubu kuat Liga Utara yang antipendatang dan sekutu utama dalam kerajaan konservatif pimpinan Perdana Menteri, Silvio Berlusconi.

Wanita warga Tunisia itu berada bersama-sama suaminya ketika ditahan oleh polis di luar sebuah pejabat pos.

Pihak berkuasa tempatan terpaksa memanggil seorang pegawai wanita untuk mengambil nama wanita berkenaan selepas suaminya enggan membenarkan pegawai lelaki berbuat demikian.

“Pihak berkuasa Bandar Raya Novara melaksanakan dikri sejak akhir Januari lalu untuk mengharamkan burqa di tempat awam dan sekitarnya berdasarkan deraf yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri,” kata Franzinelli yang juga pegawai Liga Utara.

Menutup muka dengan berpurdah atau topi keledar diharamkan di Itali sejak 1975. - AFP

Gunung Berapi Barujari letuskan lahar, debu





2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JAKARTA: Gunung berapi Barujari yang terletak di Pulau Lombok dikesan mula mengeluarkan lahar dan debu panas setinggi hampir 1,200 meter ke udara.
Bagaimanapun, saintis berkata, setakat ini mereka tidak menganggap fenomena itu mengancam penduduk setempat.
Pengarah Agensi Gunung Berapi Indonesia, Surono, berkata empat gegaran kecil dikesan sejak lahar dikesan keluar dari gunung itu.

“Gunung Barujari itu menunjukkan aktiviti sederhana sejak dua tahun lalu,” katanya.

Gunung Berapi Barujari itu mempunyai ketinggian 2,376 meter.

Setakat ini, dua kampung paling hampir dengan gunung itu terletak agak jauh - beberapa kilometer - dari kaki gunung - dan tidak terancam. Sebagai negara kepulauan terbesar di dunia, sebahagian Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang memang aktif dengan aktiviti gunung berapi sehingga menyebabkan bencana alam kerap berlaku di situ. - AP

Tanda tanya van tersadai

KUALA LUMPUR: Sebuah van putih tersadai di tepi laluan lebuh raya Cheras menuju Petaling Jaya sejak tiga minggu lalu menimbulkan sangsi pengguna jalan raya.
Malah, keadaan van putih itu yang sama dengan warna van yang pernah dikaitkan dengan penculikan beberapa kanak-kanak seperti Nurin Jazlin Jazimin, 8, Sharlinie Mohd Nashar, 5, dan ramai lagi menguatkan andaian bahawa van itu mungkin digunakan untuk kegiatan tidak baik.
Berikutan itu, ada segelintir pengguna di laluan berkenaan yang prihatin segera menghubungi pihak Harian Metro melaporkan mengenai kewujudan van putih itu.

Wartawan Harian Metro dengan kerjasama sekumpulan lima anggota peronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, bergegas ke lokasi kejadian bagi memastikan dakwaan berkenaan benar atau sebaliknya.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota polis terbabit kemudian membuat pemeriksaan namun mendapati van berkenaan adalah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dan bukanlah seperti yang disangkakan orang ramai.

Ketua Polis Brickfields, berkata van putih itu dipercayai terbabit dalam kemalangan dan dibiarkan pemiliknya.

Kumpul bukti bantu tahanan di Laos





2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Biro Aduan Komuniti Umno mengumpul segala bukti kukuh membebaskan warga Malaysia, Omar Atan, 59, yang meringkuk dalam penjara Phunthong, Laos sejak hampir setahun lalu atas dakwaan pemerdagangan manusia.
Difahamkan, biro berkenaan diketuai pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh berlepas ke Laos semalam berserta dokumen berkaitan kes warga emas terbabit bertujuan berunding dengan pihak berkuasa negara berkenaan bagi membebaskan Omar yang ditahan sejak 13 Mei tahun lalu.
Khairun Aseh ketika dihubungi Harian Metro berkata beliau dan dua lagi pegawainya akan berada di Loas selama tiga hari bagi meneruskan rundingan berhubung pembebasan warga emas itu.

2 hilang ingin bebas



Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Ingin bebas. Ini dilakukan seorang gadis yang sanggup meninggalkan keluarga semata-mata ingin bersama rakan sebaya sejak seminggu lalu walaupun dia sepatutnya meneruskan persekolahan.
Malah, gadis berusia 13 tahun dikenali sebagai Aiza itu tidak membawa sebarang dokumen penting dan hanya berbekalkan RM10 sebagai wang saku.
Dia dipercayai menghilangkan diri bersama seorang lagi rakan sebayanya sejak Rabu lalu dan masih gagal dikesan sehingga kini.

Gadis terbabit dipercayai termakan pujukan dan janji manis beberapa lagi rakan yang baru dikenalinya, selain didakwa mahu mendapatkan kebebasan tanpa sebarang pengawasan daripada keluarga.

Keluarga mangsa sempat menghubungi telefon bimbit milik rakan mangsa yang dikenali Mimi, 13, tetapi mangsa hanya sempat mengucapkan ‘Helo’ sebelum telefon itu dirampas individu lain dipercayai lelaki.

Kehilangan mangsa didedahkan ibunya yang dikenali Alia, 40, yang sehingga kini runsing memikirkan kehilangan anak kedua daripada tujuh beradik itu. Anaknya itu masih menuntut di sekolah menengah di ibu kota.

Beliau menjelaskan malam sebelum kehilangannya, mangsa menginap di kediaman neneknya di Kampung Baru berbual dengan seorang lelaki dipercayai rakan lelakinya dikenali sebagai Along berusia 16 tahun.

“Bagaimanapun, keesokan harinya dia (Aiza) memaklumkan hendak keluar awal ke sekolah kerana ingin mengikuti program kokurikulum.

“Tanpa mengesyaki sebarang perkara buruk, mangsa diberikan wang saku RM10 sebagai belanja makan,” katanya.

Bagaimanapun, hingga lewat petang, kelibat mangsa tidak kelihatan dan beberapa hari kemudian satu pesanan ringkas (SMS) diterima daripada mangsa yang memaklumkan dirinya selamat bersama rakannya itu.

Laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Harian Metro difahamkan kes berkenaan kemudian dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Seksual (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Kami sekeluarga berharap Aiza kembali ke pangkuan keluarga dan maklumkan kepada kami sekiranya ada kemahuannya yang tidak kami penuhi kerana selama ini kami sekeluarga tidak pernah menolak sebarang permintaannya semata-mata mahu melihatnya gembira.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan ini atau pernah terserempak dengan dua gadis ini boleh terus menghubungi saya di talian 014-7261975 atau memaklumkan kepada mana-mana polis berhampiran,” katanya sayu.

Raja peragut'

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila seorang lelaki yang disyaki meragut seorang lelaki sehingga maut di Taman Maluri, di sini Disember tahun lalu mengaku melakukan kira-kira 300 kes di sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu.
Suspek yang berusia 22 tahun dan juga pernah ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor kerana terbabit dalam satu kes bunuh dicekup di sebuah restoran oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di Bandar Tun Razak, di sini dua minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, hasil maklumat awam dan risikan, suspek yang juga seorang penganggur ditahan berseorangan di restoran berkenaan kira-kira jam 8 malam.

“Siasatan awal ke atas suspek mendapati dia mengaku melakukan 60 kes ragut sekitar Cheras dan menjadikan jenayah terbabit sebagai mata pencariannya.

“Selain itu suspek juga mengaku terbabit dalam kes ragut pada 7 Disember tahun lalu menyebabkan seorang lelaki maut manakala isterinya patah kaki setelah tercampak ke atas jalan apabila motosikal mereka hilang kawalan akibat tindakan suspek meragut rantai leher wanita terbabit,” katanya pada sidang media semalam.

Menurutnya, suspek dianggap peragut tegar dan berbahaya kerana masih melakukan jenayah itu walaupun mengakibatkan seorang mangsanya maut dan cedera parah.

“Selain itu, maklumat mendapati lelaki itu turut melakukan kegiatan jenayah itu bersama seorang lagi rakannya yang berumur 20 tahun berasal dari Selayang,” katanya. Abdul Rahim berkata, suspek menjadikan penunggang motosikal terutama wanita yang memakai barangan kemas atau beg tangan sebagai sasaran.

“Mereka melakukan kegiatan ini tanpa menggunakan sebarang senjata Malah begitu cepat dan pantas meragut walaupun ketika itu sedang menunggang motosikal.

“Buat masa ini, kita sedang memburu rakan suspek yang juga seorang penganggur bagi membantu siasatan,” katanya.

Serah diri lepas dipujuk

KUALA LIPIS: Seorang anggota polis menggunakan kebijaksanaannya untuk memujuk seorang buruh ladang yang disyaki membunuh isterinya dengan kejam di Ladang Selborne, Padang Tengku, petang Ahad lalu.
Kebijaksanaannya itu nyata berkesan apabila lelaki berusia 46 tahun itu akhirnya menyerah diri di Balai Polis Padang Tengku, selepas hampir dua hari menyembunyikan diri di rumah saudaranya di Kampung Kemuning.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, anggota polis berkenaan menghubungi lelaki terbabit selepas memperoleh nombor telefon bimbitnya melalui ahli keluarganya.

Menurutnya, selepas dipujuk, lelaki itu yang bersembunyi di rumah ahli keluarganya kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian menyerah diri pada jam 10 malam, kelmarin.

Katanya, polis yakin dapat menyelesaikan kes terbabit susulan penangkapan lelaki berkenaan.

Abdul Razak berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali berkata, ayahnya mula mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain selepas menemui beberapa keping surat dan gambar wanita itu bersama pasangannya.

Minta emak cepat datang

TUMPAT: “Sepuluh minit sebelum kejadian, dia menghubungi saya di rumah memberitahu sudah tidak tahan dengan kelakuan suami yang suka memukul. Dia mahu saya segera datang menemaninya di rumah di Ladang Selborne dekat Padang Tengku, Kuala Lipis,” kata Halimah, 66, ibu kepada Rosmawati Abd Rahman yang meninggal dunia akibat dibelasah suaminya sendiri, petang Ahad lalu.
Menurut Halimah, ketika bercakap di telefon, dia sempat meminta anaknya bersabar sebelum dikejutkan berita kematian itu oleh salah seorang cucunya.
Katanya, sebaik menerima berita buruk itu, dia terus pengsan seketika kerana terkejut sebelum sedar semula dan menghubungi suami, Hussin Hamzah, 70, yang ketika itu berada di Kuantan.

“Arwah sering mengadu mengenai kelakuan suaminya yang kuat cemburu, namun saya minta dia bersabar kerana mungkin suaminya terlalu sayangkannya.

“Kejadian ini memang mengejutkan saya sekeluarga kerana tidak menyangka arwah dan suaminya itu menghadapi krisis keluarga yang amat berat sehingga suaminya sanggup bertindak di luar batasan,” katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan Rosmawati maut selepas suaminya bertindak ganas akibat cemburu buta apabila melihat isterinya bersembang dengan lelaki melalui telefon bimbit hingga sanggup memijak perut, dada, kepala dan pahanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Rosmawati, 39, yang mempunyai enam anak berusia dua hingga 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, nasib keenam-enam beradik terbabit akan ditentukan keluarga terdekat termasuk emak dan bapa saudara mereka.

Penunggang motosikal terjatuh dalam lubang

KEPALA BATAS: Seorang remaja nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya terjatuh ke dalam lubang sedalam dua meter yang dikorek bagi pemasangan longkang konkrit di Jalan Guar Kepah, malam kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam itu apabila Mohd Yusof Abu Bakar, 23, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Lahar Minyak.
Keadaan jalan agak gelap, selain tiada papan tanda amaran serta lampu kecemasan menyebabkan mangsa tidak menyedari kewujudan lubang di laluan kiri jalan berkenaan.

Menurut Mohd Yusof, dia menunggang seperti biasa dan tidak menyangka ada lubang sedalam dua meter di laluan kiri menyebabkannya terjatuh bersama motosikal.

“Saya rasa terlanggar sesuatu sebelum terjatuh bersama motosikal ke dalam lubang. Saya bernasib baik kerana tidak ditimpa motosikal sebelum merangkak naik walaupun sakit di pinggang dan kepala,” katanya.

Mohd Yusof bernasib baik kerana beberapa minit kemudian, ada penduduk melalui jalan berkenaan dan membantunya.

“Nasib baik lubang berkenaan tiada air. Jika tidak, saya tidak tahu apa jadi,” katanya.

Menurutnya, hanya selepas kejadian itu, beberapa pekerja kelihatan memasang kon dan lampu keselamatan di jalan berkenaan.

Lori terjunam 10 meter

REMBAU: Sukar untuk dipercayai apabila seorang pemandu lori kontena masih terselamat selepas kenderaan dipandunya terjunam dari ketinggian kira-kira 10 meter sebelum terbakar dalam kemalangan ngeri di Kilometer 229 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, lelaki berusia lingkungan 30-an itu sempat merangkak keluar dari lori meminta pertolongan sebelum bahagian depan kenderaannya terbakar.
Lori kontena yang dipandu dari arah Senawang menghala Ayer Keroh membawa barangan runcit itu dikatakan merempuh belakang lori membawa pekerja kontrak yang berhenti di lorong kecemasan sebelum melanggar besi jambatan lalu jatuh terjunam.

Difahamkan, lori membawa pekerja terbabit berhenti di lorong kecemasan bagi menjalankan kerja menampal jalan berlubang di lebuh raya itu.

Pekerja kontrak warga Bangladesh dikenali sebagai Hussin, berkata dia berada dalam lori bersama pemandu dan seorang lagi rakan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari belakang.

“Kenderaan yang kami naiki berpusing menyebabkan seorang rakan yang berada di belakang lori jatuh ke atas jalan raya. Kejadian itu berlaku pantas dan saya tak sempat melihat apa terjadi selepas itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, rakannya yang cedera dikejarkan ke hospital dengan ambulans untuk rawatan.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.31 pagi dan sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi melakukan kerja menyelamat.

Katanya, ketika sampai, bahagian depan kenderaan itu terbakar dan pihak bomba memadam kebakaran dalam masa kira-kira 10 minit.

“Saya difahamkan, pemandu kenderaan terbabit tidak cedera serius kerana berjaya keluar dari lorinya sejurus sebelum kejadian itu.

“Selain jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, kami turut mendapat bantuan masing-masing satu jentera dari Senawang dan Seremban 2,” katanya.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian melakukan siasatan kemalangan berkenaan.

Menurutnya, pemandu lori yang dilanggar lori kontena itu masih menerima rawatan di HTJS.

Waran tangkap gagal hadir bicara





2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Selepas dua kali gagal hadir ke prosiding hak jagaan anak difailkan isterinya, seorang pegawai eksekutif teknologi maklumat dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif mengeluarkan perintah itu terhadap Ablen Rosmon Hamid, 34, selepas gagal hadir ke mahkamah mendengar permohonan isteri, Audrey Amira Goon Abdullah, 33, berhubung hak jagaan anak, Alya Natasha, empat tahun.
Mahkamah sama membenarkan permohonan Audrey Amira diwakili peguam syarie Dorina Abdullah, menyenaraihitamkan nama Abdlen Rosmon bagi membolehkan polis membuat tangkapan sekiranya ditemui. Mahkamah tetapkan 17 Mei untuk sebutan semula.

Cetusan dendam lama



Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Polis menahan 16 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang disyaki terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan pendatang di tempat letak ke reta berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Ahad lalu serta merampas puluhan senjata dipercayai digunakan dalam pertempuran itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, semua yang ditahan berusia 29 hingga 49 tahun dipercayai terbabit dengan pergaduhan bermotifkan dendam lama.
“Sejurus menerima maklumat mengenai pergaduhan itu kira-kira jam 6.30 petang, kita berjaya menahan 16 orang warga Indonesia serta merampas 28 bilah parang panjang, 16 batang besi, 17 batang kayu, lima tukul besi, empat bilah sabit yang dimuatkan dalam lapan buah beg.

“Menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri dengan mencampak semua senjata di tepi jalan, namun dua daripadanya dirampas dari tangan mereka,” katanya ketika sidang media semalam.

Menurutnya, dalam pergaduhan itu, seorang parah dan masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Siasatan mendapati pergaduhan itu tiada kena mengena dengan konsert sebuah kumpulan rock dan pop dari negara seberang dan mereka hanya menjadikan tapak letak kereta berhampiran sebagai lokasi pergaduhan.

“Punca pergaduhan dipercayai akibat rasa tidak puas hati atau dendam lama sama ada sejak di negara asal atau sejak berada di negara ini,” katanya.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan akan didakwa mengikut Akta Imigresen. Dalam pergaduhan Ahad lalu, difahamkan lebih 100 warga Indonesia bertempur seolah-olah hilang akal dengan membawa senjata tajam dipercayai bagi menyelesaikan dendam lama dan perbezaan daerah.

Ia bermula daripada cabar mencabar antara satu sama lain sebelum menjadi ‘perang mulut’ sebelum berperang menyebabkan ada yang cedera hingga berlumuran darah serta turut memecahkan pagar walaupun dengan kehadiran pihak polis.

Beberapa bahagian tubuh mangsa hilang

JOHOR BAHRU: Hasil bedah siasat lebih enam jam yang dijalankan pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini Jumaat lalu terhadap mayat lelaki yang dikerat enam mendapati beberapa bahagian badan mangsa tidak lengkap dan dipercayai hilang.
Bahagian yang dipercayai tidak lengkap itu termasuk badan mangsa, manakala bahagian lain seperti kaki dan tangan sudah ditemui. Selain itu, beberapa kesan kecederaan turut ditemui pada leher dan beberapa bahagian badan ketika bedah siasat dijalankan.
Hingga kini, usaha mengenal pasti identiti lelaki itu menemui jalan buntu apabila pemeriksaan rekod pendaftaran serta cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berhasil.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata berikutan ketiadaan rekod dengan JPN, mayat terbabit disahkan sebagai warga asing.

Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas ketika ditanya punca sebenar kematian serta kecederaan dikesan pada beberapa bahagian badan mangsa.

“Kini sah mayat terbabit lelaki warga asing, namun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami belum menahan sesiapa berhubung kes itu, bagaimanapun usaha menjejak suspek giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, hingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung orang hilang.

“Bukan hanya terhad dalam daerah ini (JBU), malah kami bekerjasama dengan polis daerah lain jika ada individu membuat laporan berhubung kehilangan rakan yang mungkin boleh dijadikan petunjuk bagi membantu siasatan,” katanya.

Menangis digigit semut

SEPANG: “Apa jenis manusia yang sanggup membuang bayi sekecil ini di atas lantai sehingga dihurung semut,” kata Nordin Kasbon, 61, antara individu terawal yang menemui bayi lelaki berusia kira-kira sebulan di sebuah wakaf berhampiran surau Kampung Jenderam Hulu di sini, semalam.
Menurutnya, tangisan dipercayai akibat digigit semut itu menyedarkan penduduk berhampiran mengenai kehadiran seorang bayi di situ pada jam 7 pagi.
Nordin berkata, bayi itu yang lengkap berbaju dan seluar serta sarung tangan dibalut dengan kain batik lusuh serta dibaringkan di atas simen tanpa bantal.

“Bayi itu diletakkan di atas simen dan menangis kerana digigit semut dan dahaga selepas ditinggalkan ibunya dengan harapan ada jemaah surau menemui bayi itu.

“Tanpa berlengah, saya meminta jiran menyuapkan susu ke mulut bayi itu yang cukup dahaga selepas ditinggalkan ibu,” katanya yang juga pengawal keselamatan di sebuah premis di kampung berkenaan.

Nordin berkata, berdasarkan keadaan badan dan tali pusatnya yang sudah dibuang, bayi itu mungkin berusia beberapa minggu.

Dia yakin ibu bayi itu meletakkan anaknya di wakaf berkenaan dengan harapan ditemui jemaah masjid yang selesai menunaikan solat duha di surau berkenaan.

“Selepas bayi itu dijaga penduduk kampung buat sementara, saya menghubungi polis yang kemudian membawa bayi itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Salak sebelum dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk urusan selanjutnya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan bayi itu hasil hubungan terlarang pasangan di kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang membuang bayi berkenaan.

Baru nikah mati berdarah

BUKIT BERUNTUNG: “Saya sedih kerana hajat membawa anak, Boestanual Hisham Sheikh Othman, 35, menunaikan umrah sempena musim cuti sekolah 23 Mei ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan,” kata ibu mangsa, Wan Hasmah Wan Awang, 67.
Mangsa mati di tempat kejadian di Kilometer 4, Jalan Sungai Choh ke Bukit Beruntung, selepas kereta dipandunya bertembung sebuah Proton Waja, kira-kira jam 2.45 petang semalam.
Katanya, ketika kejadian, anaknya yang baru genap sebulan mendirikan rumah tangga dengan seorang kerani restoran di Kelab Golf Bukit Beruntung, Nor Hasima Ismail, 22, dalam perjalanan pulang selepas mengambil kad pengenalan barunya di Pejabat Pendaftaran Negara di Rawang.

“Ketika itu hujan lebat, arwah gagal mengawal kenderaannya di selekoh tajam sebelum melanggar kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu. Ketika itu saya berada di rumah anak di Ampang. Anak saya meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit di tempat duduk hadapan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wan Hasmah berkata, anaknya yang juga pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, di sini, sempat menghubunginya untuk bertanya khabar sehari sebelum kejadian.

Katanya, arwah seorang anak yang baik dan cukup menghormati keluarga.

“Saya terkilan namun pasrah kepada Tuhan atas ujian yang cukup menyayat hati ini. Tidak sangka harapan anak mengambil kad pengenalan sebelum memohon pasport antarabangsa untuk menunaikan umrah, tidak kesampaian.

“Ketika kejadian menantu saya berada di tempat kerjanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

“Beberapa mangsa daripada sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu masih belum dapat dikenal pasti kerana dibawa orang awam ke klinik berdekatan untuk rawatan. Dilaporkan semua mereka hanya cedera ringan.

“Polis masih menyiasat kejadian ini. Mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya.
Jenazah dimandikan dan dikafankan di Surau Abu Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, kira-kira jam 8.30 malam tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, sejam kemudian.

Gasak kekasih suami dalam wad



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SUBANG JAYA: Berang selepas mengetahui suaminya menjalinkan hubungan cinta terlarang dengan gadis lain, seorang wanita sanggup bergelut dengan kekasih suaminya itu sehingga luka di muka akibat dilibas dengan tapak kasut oleh gadis yang menjadi sasarannya.
Difahamkan, isteri berusia 46 tahun itu terlebih dahulu bertengkar dengan teman wanita suaminya berusia 30-an sebelum pergaduhan kedua-dua mereka berlanjutan sehingga berlaku pergelutan dan aksi tarik menarik rambut dalam wad sebuah hospital swasta di sini.
Ketika kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, suami wanita itu membawa kekasihnya menziarahi seorang saudaranya yang dirawat di hospital berkenaan sebelum terserempak isterinya.

Sumber polis berkata, siasatan mendapati suami wanita terbabit berusia 51 tahun dan juga pesara tentera pernah menjalin hubungan sulit dengan wanita lain sebelum ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, lelaki terbabit tidak dapat berbuat apa-apa apabila kedua-dua wanita berkenaan bergelut sehingga mencetuskan kekecohan dalam wad hospital berkenaan.

“Difahamkan lelaki itu yang tiba lebih awal tidak menyangka isterinya turut merancang menziarahi saudara mereka.

“Akibatnya, mereka bertembung. Akibat terlalu marah dan cemburu, si isteri memarahi teman wanita suaminya sebelum berlaku perang mulut,” katanya.

Menurutnya, akibat tidak dapat menahan marah, kedua-dua wanita terbabit bergelut tanpa menghiraukan orang ramai yang menyaksikan insiden itu.

“Difahamkan, kedua-dua wanita itu tidak hanya memaki-hamun, malah turut bertumbuk dan saling menarik rambut.

“Difahamkan, teman wanita suami mangsa lebih kuat dan dapat menewaskan isteri teman lelakinya itu,” katanya.

Dalam pergelutan itu, kekasih suami mangsa sempat mencabut kasut dipakainya sebelum memukul muka mangsa.

“Muka mangsa luka akibat dilibas dengan kasut sebelum pergaduhan dileraikan.

“Wanita itu terpaksa menerima dua jahitan di muka kerana luka akibat dipukul dengan kasut. “Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran,” katanya.