Search This Blog

Tuesday, May 4, 2010

GMC dan peruntukan RM4j: Pas nafi dakwaan Kickdefella



04/05/2010 1:17pm

KUALA LUMPUR 4 Mei – Pas hari ini menjelaskan bahawa pucuk pimpinan parti itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kewujudan Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) iaitu pusat penyebaran propaganda bagi Pas di Kelantan.
Selain itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali turut menafikan bahawa parti itu pernah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella bagi tujuan melemahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, beliau sendiri yang telah membuat pemeriksaan sama ada di peringkat pusat atau negeri dan didapati penyaluran peruntukan itu tidak pernah berlaku. – Utusan

Polis mula buru suspek insiden bom di Times Square



NEW YORK 3 Mei - Polis New York hari ini mula memburu suspek-suspek yang dipercayai terlibat dalam percubaan untuk meletupkan bom di dalam kereta di Times Square.
Operasi itu dijalankan berdasarkan beberapa petunjuk penting termasuk rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki meninggalkan tempat kejadian dalam keadaan mencurigakan.
Datuk Bandar, Michael Bloomberg berkata, suspek yang biasanya mula-mula terlintas dalam fikiran kebanyakan penduduk di bandar raya ini tidak terlibat dengan percubaan tersebut.
"Tidak ada bukti kejadian ini ada kaitan dengan al-Qaeda atau mana-mana pertubuhan pengganas yang lain," kata Bloomberg.
Sebelum itu, Ketua Polis New York, Raymond Kelly menyangkal dakwaan yang dibuat menerusi Internet oleh kumpulan militan Pakistan, Tehreek-e-Taliban bahawa ia bertanggungjawab terhadap percubaan itu.
"Saya yakin kita akan mengenal pasti siapa yang melakukannya. Bandar raya ini menjadi persimpangan dunia. Orang berasa selamat di New York dan mereka akan terus datang ke sini," kata Bloomberg.
Kelly berkata, sekiranya bom itu meletup di tengah-tengah kawasan hiburan yang penuh sesak itu, letupan akan mencetuskan bola api yang cukup besar dan kenderaan tersebut sekurang-kurangnya akan terputus dua. - AFP

Ribut taufan, 15 maut di Mississippi





MEMPHIS, Tennessee 3 Mei - Ribut petir dan puting beliung yang melanda Mississippi serta Tennessee Ahad lalu yang mengakibatkan banjir telah meragut sekurang-kurang 15 nyawa.
Gabenor Tennessee, Phil Bredesen dalam sidang media semalam berkata, ia mengambil masa beberapa hari sebelum banjir surut bagi menilai kerosakan jalan raya dan jambatan.
Para pegawai telah meminta bantuan Pasukan Pengawal Tentera Kebangsaan dan menggesa orang ramai supaya menjauhi jalan raya dan lebuh raya antara negeri yang telah bertukar menjadi sungai.
Pegawai Tennessee mengesahkan 11 orang terbunuh.
Sekurang-kurangnya tiga orang hilang dihanyut air banjir, dengan seorang daripada mereka dipercayai lemas oleh Agensi Pengurusan Kecemasan Tennessee, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 12 orang.
Bredesen berkata, beliau akan mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.
Jurucakap TEMA, Jeremy Heidt mengesahkan seorang terbunuh pada kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan akibat puting beliung dekat Pocahontas di timur Memphis.
Sementara itu, Pengawal Kebangsaan dan helikopter Peronda Lebuh Raya Tennessee bersiap sedia untuk menyelamat dan mengangkut mangsa yang terperangkap dalam banjir yang menyebabkan banyak lebuh raya dinaiki air dan kenderaan tersadai di lebuh raya.
Di utara Mississippi, para pegawai berkata, seorang lelaki mati selepas keretanya tenggelam dalam banjir.
Dua orangdalam sebuah rumah bergerak terbunuh, kata koroner John Riles.
Penyelaras Pengurusan Kecemasan daerah, David Shaw berkata, seorang mangsa di bandar Abbeville terbunuh manakala 15 atau 20 buah rumah musnah dilanda taufan.
Ribut taufan disertai puting beliung mengakibatkan hujan lebat lebih 25 sentimeter Sabtu lalu di Memphis mengakibatkan banjir di sepanjang Lembah Sungai Mississippi yang meliputi Mississippi, Arkansas, Missouri, Kentucky sehingga ke utara. - AP

Kadar kemalangan ketika pergi, balik kerja membimbangkan



04/05/2010 1:59pm

BANGI 4 Mei - Kerajaan bimbang dengan tahap kemalangan ketika pergi dan balik kerja di kalangan golongan pekerja yang semakin meningkat setiap tahun, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata, jumlah kemalangan mencatat 20,814 kes tahun lalu, 19,041 kes pada tahun sebelumnya dan 18,387 kes pada 2002.
"Jumlah kematian akibat kemalangan itu pula hampir sama setiap tahun iaitu pada kadar 1,230 kes setahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kursus “Program Keselamatan dan Pegawai Kesihatan untuk Negara Membangun” di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerjasama erat berkaitan pengangkutan dan keselamatan jalan raya antara agensi berkaitan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
"Beberapa faktor juga harus diambil kira, antaranya keadaan jalan raya, budaya serta amalan langkah keselamatan ketika pergi dan balik kerja, pekerja itu sendiri,” katanya. – Bernama

Polis serah isu suruhanjaya siasatan diraja kepada kerajaan



04/05/2010 2:00pm

KUALA LUMPUR 4 Mei — Polis menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja atau tidak atas permintaan keluarga Amirulrasyid Amzah, 15, remaja yang mati akibat terkena tembakan polis di Shah Alam minggu lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan bekerjasama dengan semua pihak bagi membantu siasatan kes itu untuk mencari keadilan.
"Itu terpulang kepada kerajaan sama ada nak tubuh atau tidak suruhanjaya tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan khas pegawai-pegawai awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena peringatan Hari Polis ke-203 di sini, hari ini.
Semalam, bapa saudara Aminulrasyid, Kamarudin Hassan yang bercakap bagi pihak keluarga itu berkata, suruhanjaya itu diharap akan menjalankan siasatan secara bebas dan telus.
Berhubung sidang akhbar yang diaturkan oleh keluarga Aminulrasyid dan disertai rakan mangsa, Muhamad Azamuddin Omar, 15, semalam, Musa berkata: “Itu dia punya versi... Di mahkamah nanti dia kena bagi tahu juga.” - Bernama

Tuduhan liwat kekal, rayuan akhir Anwar ditolak mahkamah



04/05/2010 1:20pm

PUTRAJAYA 4 Mei - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal setelah rayuan akhirnya ditolak. - Utusan

Lori ter jatuh jambatan dan terhempas, pemandu selamat



04/05/2010 5:45pm

REMBAU 4 Mei – Sebuah lori kontena terjunam dari jambatan di KM 229 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) sebelum terhempas di tepi jalan Astana Raja-Lubuk Cina dekat sini hari ini.
Kejadian itu menyebabkan bahagian enjin lori terbabit terbakar dan pemandu lori itu, Azmi Deli, 37, cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
Ketua Operasi Bomba, Yusoff Samad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 11.31 pagi dan tiga jentera bersama 15 anggota dari Rembau, Senawang dan Seremban 2 mengambil masa 10 minit memadamkan kebakaran.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, lori kontena yang membawa barangan keperluan harian itu dalam perjalanan dari Bandar Baru Salak Tinggi ke Johor.
Lori kontena itu melanggar belakang sebuah lori lima tan, lalu terbabas sebelum merempuh besi penghadang jambatan dan terhumban ke bawah jambatan setinggi kira-kira 10 meter, katanya.
Beliau berkata, seorang pekerja kontrak rakyat Bangladesh yang berada di dalam lori lima tan itu cedera parah dan dua rakannya serta pemandu lori itu cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke HTJ untuk rawatan. – Bernama

Sepasang suami isteri didakwa dera anak kandung



04/05/2010 3:21pm

MELAKA 4 Mei — Sepasang suami isteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mendera secara fizikal anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun lima bulan pada bulan lepas.
How Guan Teng, 39, dan isteri Ang Moi Lay, 36, didakwa dengan niat bersama melakukan penderaan terhadap anak kandungnya itu di sebuah rumah di Taman Mawar Jaya, Machap Umboo, Alor Gajah pada pukul 12.30 malam, 25 April lepas.
How, seorang mekanik dan Ang, suri rumah, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
How dan isterinya tidak diwakili peguam.
Hakim Zaharah Hussain membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun depan untuk sebutan kes berkenaan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin.
— BERNAMA

Ramai lulusan perubatan UKM ‘lari’ bekerja di Singapura





KUALA LUMPUR 3 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati semakin ramai siswazah perubatannya ditawarkan kerajaan Singapura untuk berkhidmat di hospital negara itu dengan tahun ini sahaja seramai 20 orang telah berbuat demikian.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, dijangkakan seramai 80 lagi akan mengikuti jejak kumpulan itu dan jika ini berlaku ia pasti merugikan negara yang mengeluarkan peruntukan besar membiayai universiti awam.
Sehubungan itu, beliau meminta siswazah perubatan UKM mengutamakan semangat nasionalis dengan berbakti kepada rakyat negara ini dan bukannya mengejar tawaran gaji lumayan di negara asing.
“Setakat ini 20 daripada 209 siswazah perubatan UKM yang tamat pengajian pada 26 Mac lalu telah menerima tawaran dari kerajaan Singapura dan menjangkakan seramai 80 lagi akan turut berkhidmat di negara itu.
“Sebagai doktor pelatih di Singapura, mereka ditawarkan gaji pokok $2,690 dolar Singapura (RM6,187) manakala doktor pelatih di negara ini dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dengan RM1,000 sebulan.
“Walaupun ganjaran agak rendah berbanding Singapura, mereka perlu bangga berkhidmat di negara sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Asia Pasifik Sains Pertuturan, Bahasa dan Pendengaran anjuran Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan UKM di sini hari ini.

Tikus 'buat kerja' di pejabat



PEJABAT kami di Taman Pelangi, Johor Bahru kini menghadapi masalah iaitu kerap berlaku wayar telefon, komputer dan sebagainya digigit dan dirosakkan tikus.
Kami menyedari keadaan bertambah teruk sejak bulan lepas kerana pada waktu itu ada kerja-kerja penyelenggaraan longkang di depan deretan kedai dan pejabat kami.
Mungkin sebab itu, tikus-tikus itu melarikan diri dan naik ke pejabat sebab rumah mereka sudah dibersihkan!
Apabila kakitangan balik kerja, tikus-tikus pula buat kerja berkeliaran dan memakan wayar dalam pejabat. Apabila kami masuk pejabat waktu pagi didapati beberapa kemudahan sudah tak boleh digunakan.
Ini sudah beberapa kali berlaku dan kos membaik pulih pun bukan sedikit.
Itu tidak mengapa lagi, sebab kami boleh bersabar. Apa yang lebih teruk ialah dua minggu lepas tiba-tiba bau busuk menyelubungi pejabat kami.
Apabila diperiksa rupa-rupanya, tiga bangkai tikus bergelimpangan di atas siling manakala minggu lepas pula seekor lagi bangkai tikus ditemui di belakang alat pendingin hawa.
Keadaan ini mengundang lalat bersaiz besar pula dan menyebabkan pejabat kami terpaksa dibersihkan berulang kali.
Ini semua mengganggu kelancaran kerja dan menjejaskan tahap kesihatan selain pencemaran bau.
Saya berharap, pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih prihatin mengatasi masalah pembiakan tikus sampah yang semakin banyak di taman perumahan ini hingga ke tahap naik ke pejabat untuk 'buat kerja'.

- DIGANGGU TIKUS

1,140 pil kuda dirampas, 5 ditahan





KUALA TERENGGANU 3 Mei - Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di daerah Hulu Terengganu dan Marang apabila menemui 1,140 biji pil kuda bernilai RM40,000 selepas menyerbu rumah seorang lelaki di Jalan Air Jernih di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 11.35 malam, dadah itu ditemui tersorok dalam sebungkus plastik sampah di dalam dapur rumah suspek yang bekerja sebagai mekanik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, dalam serbuan di rumah sewa dua tingkat itu, polis turut menahan lima lelaki termasuk seorang dalang kegiatan pengedaran dadah di sekitar Hulu Terengganu dan Marang.
"Ketika mula diperiksa, polis tidak menemui sebarang dadah atau barang kes seperti yang dilaporkan sebelum ini.
"Bagaimanapun, wajah seorang daripada lima suspek yang disoal siasat tiba-tiba berubah menjadi gelisah menyebabkan pihaknya mengesyaki sesuatu dan terus memeriksa sehingga menemui dadah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis turut menyita wang tunai RM2,000, dua buah kereta jenis Honda dan Satria serta tiga buah motosikal.
Katanya, siasatan awal mendapati, tiga daripada lima suspek yang berusia antara 20 hingga 23 tahun terlibat secara langsung dalam pengedaran dadah sementara dua lagi termasuk seorang pelajar politeknik hanya rakan kepada ketiga-tiga suspek itu.
"Suspek yang berusia 23 tahun berasal dari Felda Bukit Bading, Ajil dikenalpasti sebagai dalang kegiatan pengedaran itu manakala dua lagi rakannya bertindak sebagai penjual dan penyimpan dadah.
"Selain mengedar dadah, ketiga-tiga suspek juga dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di sekitar Chendering," ujarnya.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 8 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

'Membersihkan' Sungai Raja





SUNGAI Raja yang kotor ini akan menjadi ‘bersih’ selepas projek pembersihan sungai dan menaiktarafkan sungai dilakukan oleh JPS Negeri Kedah.


ALOR SETAR 3 Mei - Sungai Raja merupakan antara sungai penting yang mengalir melalui bandar raya Alor Setar malangnya air sungai ini tercemar dengan pelbagai bahan buangan yang dihasilkan oleh manusia.
Airnya mengalir lesu, hitam dan tiada hidupan air yang mampu tinggal di dasarnya.
Bagaimanapun, tidak mustahil untuk melihat sungai ini kembali bersih bagi mewarnai kehidupan warga bandar raya ini.
Ini kerana pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang berusaha meningkatkan tahap kualiti air Sungai Raja sehingga mencapai tahap dua bagi memastikan sumber air bersih dapat dikekalkan untuk kegunaan generasi akan datang.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS, Ir. Hanapi Mohammad Noor berkata, Sungai Raja merupakan gabungan antara Sungai Derga dan Sungai Alor Siam.
Jelasnya, projek kawalan pencemaran air di Sungai Raja dimulakan pada tahun ini dan tahap kualiti air di Sungai Raja juga semakin baik berbanding dahulu.
"Sebagai contoh, Sungai Derga adalah salah satu anak sungai yang mengalir memasuki Sungai Raja dan sebelum projek ini dimulakan tahap kualiti air di Sungai Derga berada pada tahap empat atau lebih dikenali sebagai sungai mati.
"Tiada ikan atau hidupan air boleh hidup di Sungai Derga, namun setelah pihak JPS menjalankan projek kawalan pencemaran di sini, kualiti airnya semakin baik dan kini mencapai tahap ketiga," katanya selepas melawat Sungai Derga di sini semalam.
Menurutnya, kini anak-anak ikan dapat hidup di dalam Sungai Derga dan pihak kami mensasarkan kualiti Sungai Raja mampu mencapai tahap dua pada 2011.
"Pihak kami telah membina perangkap sampah di Sungai Derga bagi mengelakkan sampah-sarap dan bahan buangan seperti minyak dan gris daripada terus memasuki Sungai Raja.
"Cara ini didapati berkesan untuk merawat sungai dan meningkatkan kualiti air di Sungai Raja," katanya.
Jelasnya, selain menggunakan perangkap sampah, pihak JPS juga akan menggunakan kaedah suntikan bakteria (EM) secara terus ke dasar Sungai Raja.
"Bakteria tersebut akan menguraikan segala bahan pepejal terampai yang terdapat di dalam sungai melalui proses pengentalan pepejal terampai di dalam air.
"Kaedah ini dipelopori di Jepun dan merupakan kaedah biologi yang selamat untuk merawat air sungai, kolam dan sebagainya," jelasnya.
Tambah Hanapi, selain penyuntikan EM secara terus ke dasar sungai, pihak JPS juga akan memasang rumah bakteria di beberapa tempat yang dikenal pasti di sepanjang Sungai Raja.
Katanya, melalui kaedah ini, bahan pepejal, pepejal yang terampai akan dibawa arus dan terperangkap di dalam rumah bakteria.
"EM akan menguraikan segala bahan pepejal yang terperangkap dan hasil daripada proses penguraian ini akan membuatkan kualiti air yang tercemar akan dapat dipulihkan," katanya.
Hanapi memberitahu, selain langkah-langkah yang diambil oleh pihak JPS orang ramai juga perlu lebih bertanggungjawab dan menghargai sungai-sungai yang menjadi nadi kehidupan manusia.
"Kesedaran setiap penduduk terhadap kepentingan memulihara sungai amat diperlukan bagi menjamin sumber air bersih akan terus dapat disalurkan kepada penduduk negara ini.
"Pihak kami berharap orang ramai akan melibatkan diri dalam setiap projek pemuliharaan sungai yang dijalankan oleh pihak JPS," katanya.

Rayu kerajaan negeri selesaikan segera



SUBANG 3 Mei - Penduduk Kampung Melayu Subang yang menjadi mangsa kejadian banjir kilat pada Sabtu minggu lalu merayu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dapat memastikan masalah banjir di kawasan itu tidak berulang.
Penduduk mahu sesuatu yang segera dan drastik dilakukan kerana sudah lama bersabar dengan keadaan hidup yang sentiasa diburu kebimbangan setiap kali hujan lebat melebihi satu jam.
Salah seorang penduduk, Zainal Abidin Abdul Rahman, 51, berkata, kejadian banjir kali ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam diri dan seluruh ahli keluarganya.
Dia yang menetap hampir 25 tahun di kampung itu berkata, jika pihak bertanggungjawab berjaya menyiapkan projek mendalam dan melebarkan Sungai Damansara yang letaknya kurang beberapa meter dari rumahnya, kejadian banjir tidak akan menjadi seteruk itu.
"Apa yang berlaku pada Sabtu minggu lepas benar-benar mengejutkan. Saya bukan sahaja kerugian harta benda, lebih menyedihkan kereta yang baru lima bulan dibeli oleh salah seorang anak turut rosak teruk," ujarnya.
Apa yang diharapkan agar pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan sebarang langkah untuk mengatasi masalah tersebut daripada berulang kembali.
Mohd. Sahar Melan, 57, pula berkata, penduduk pasti menghargai jika pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir daripada berulang.
Dia yang merupakan generasi kedua di kampung itu bagaimanapun tidak melihat perkara itu dapat direalisasikan sekiranya masih ada pihak yang bersikap mementingkan diri sendiri.
"Saya berharap pihak bertanggungjawab turun padang dan melihat sendiri risiko yang bakal dihadapi penduduk jika perkara ini tidak diatasi segera," ujarnya.
Bagi Nayan Said, 69, masalah yang dihadapi penduduk di situ seharusnya diatasi segera demi kepentingan dan keselesaan semua penduduk.
Katanya, jika masalah banjir di beberapa kawasan termasuk TTDI Jaya dan Kampung Kebun Bunga dapat diatasi, kawasan itu juga harus diberi keutamaan.
"Sikap tunggu dan lihat iaitu menunggu sehingga ada yang telah menjadi mangsa, barulah tindakan diambil, harus dikikis," ujarnya.
Sependapat dengan Nayan ialah Ismail Abdul Rahman, 64, yang menetap di kampung itu sejak 10 tahun lalu.
Dia berkata, tindakan segera dan berkesan adalah cara terbaik bagi memastikan nasib penduduk terbela dan tidak lagi dilanda kebimbangan setiap kali hujan turun.

'Kami mahu masjid baru'





Masjid Kampung Pokok Asam berusia 120 tahun yang sudah usang dan boleh roboh pada bila-bila masa di Klebang, Melaka.


MELAKA 3 Mei - Penduduk Kampung Pokok Asam, Klebang di sini mahukan sebuah masjid baru menggantikan masjid berusia 120 tahun yang sudah terlalu uzur dan tidak selamat untuk digunakan.
Penduduk mendakwa keadaan struktur bangunan masjid tersebut membimbangkan dengan keadaan lantai yang mendap, siling senget, tingkap pecah dan sebahagiannya dimakan anai-anai.
Ahli Jawatankuasa masjid tersebut, Md. Tahir Ahmad berkata, masjid itu perlu diganti baru kerana ia tidak lagi selamat untuk digunakan dan dibimbangi boleh roboh pada bila-bila masa.
Menurutnya, pihaknya telah membuat permohonan kepada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) bagi mendapatkan peruntukan untuk menaik taraf masjid berkenaan.
''Peruntukan telah diluluskan berjumlah RM50,000 tetapi ia tidak cukup daripada jumlah sebenar yang diperlukan iaitu sebanyak RM200,000.
''Ahli Lembaga Pembangunan Masjid telah mengemukakan permohonan sekali lagi untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf masjid berusia 120 tahun ini," katanya baru-baru ini.
Masjid yang dibina pada 1820 itu, terletak berhampiran pantai Kampung Pinang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan juga Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka 1988 (pindaan 1993).
Md. Tahir berkata, jumlah sebenar untuk menaik taraf masjid tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak RM800,000.
Bagaimanapun, kata beliau, sebahagian daripada peruntukan yang diperlukan telah diperoleh hasil kutipan tabung amal masjid itu.
''Pihak masjid hanya memerlukan sebahagian peruntukan daripada Perzim untuk membolehkan kerja-kerja menaik taraf masjid ini dapat dilaksanakan dengan segera," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini pelan pembangunan bagi menaik taraf masjid berkenaan sudah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
''Kita juga meminta jasa baik pihak Perzim, wakil rakyat dan ahli parlimen supaya dapat melihat sendiri keadaan masjid di sini yang benar-benar memerlukan proses naik taraf.
''Bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi saya mewakili pihak lembaga, bimbang akan keselamatan para jemaah yang datang ke masjid ini untuk beribadat.
''Walaupun setakat ini belum ada lagi kemalangan berlaku tetapi adalah lebih baik jika semua ini dapat ditangani segera sebelum berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Banjir: Penduduk trauma







KESAN daripada kejadian banjir Sabtu lalu terutama sampah-sarap dan becak masih dapat dilihat di Kampung Melayu Subang. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin



SUBANG 3 Mei - Isu banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan di Shah Alam bukanlah perkara baru.
Kisah lebih 10,000 penduduk di Taman TTDI Jaya dan Kampung Kebun Bunga ditenggelami banjir kira-kira empat tahun lalu masih segar dalam ingatan.
Atas usaha pihak kerajaan negeri ketika itu dan pihak berkuasa tempatan, beberapa langkah diambil bagi mengatasi masalah itu dan mengelak daripada berulang.
Ia termasuklah projek tebatan banjir, menaik taraf sistem aliran longkang selain melebar dan mendalamkan sungai.
Bagaimanapun, banjir kilat yang berlaku pada Sabtu minggu lalu di Kampung Melayu Subang begitu meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk dan dianggap paling buruk sejak kampung itu dibuka sejak lebih empat dekad lalu.
Dalam kejadian itu, lebih 500 rumah penduduk terjejas apabila hujan lebat bermula pukul 2 pagi menyebabkan air Sungai Damansara melimpah.
Kejadian itu mengakibatkan kemusnahan harta-benda penduduk dengan kerugian didakwa mencecah jutaan ringgit.
Penduduk mendakwa mereka tidak sempat menyelamatkan sebahagian besar harta benda kerana air naik secara mendadak dalam tempoh 10 minit sahaja.
Turut rosak ialah berpuluh-puluh kenderaan penduduk yang diletakkan di perkarangan kediaman masing-masing.
Paling menjadi tanda tanya penduduk ialah apabila siren amaran banjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak berfungsi.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati kebanyakan penduduk masih terkejut dan diibaratkan baru terjaga dari mimpi ngeri walaupun kejadian itu sudah lebih seminggu berlalu.
Kesan akibat banjir itu juga masih jelas kelihatan di sana sini. Selain barangan rumah seperti kerusi, meja, karpet yang dilihat masih dijemur, perkarangan penduduk juga masih digenangi air.
Malah, kesan paras air yang naik itu masih terdapat pada dinding rumah penduduk.
Banyak persoalan ditimbulkan penduduk dan mereka berpendapat, banjir kilat itu boleh dipastikan tidak akan berulang sekiranya beberapa perkara yang menjadi punca banjir itu diatasi pihak bertanggungjawab terutama kerajaan negeri.
Penduduk menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang di luar dugaan terutama keadaan hujan pada hari kejadian yang dikatakan tidak seperti sebelumnya.
Selain daripada kesan pembangunan yang sedang pesat di kiri kanan kawasan berhampiran, keadaan Sungai Damansara yang tidak lagi dapat menampung jumlah kapasiti air yang banyak dilihat sebagai penyumbang utama kepada kejadian tersebut.
Selain tidak diselenggarakan dengan baik, kerja-kerja melebarkan sungai dan membina benteng yang sebelum ini dijanjikan tetapi gagal disiapkan turut menyumbang kepada kejadian itu.
Tinjauan mendapati kurang 30 meter benteng itu disiapkan, manakala di kawasan selebihnya, berlaku runtuhan tebing yang teruk.
Lebih membimbangkan keselamatan lebih 10 buah keluarga yang tinggal berhampiran tebing sungai berkenaan.
Banjir itu juga dikatakan berpunca daripada wujudnya paip yang melintasi sungai sekali gus mewujudkan halangan dan memerangkap sampah.
Turut menjadi penyumbang ialah pembuangan sampah-sarap secara haram di sepanjang sungai tersebut dan kewujudan semak-samun di sepanjang sungai yang melambatkan aliran air jika sungai itu penuh.
Penduduk juga mendakwa, sistem saliran dan perparitan yang tidak betul di kawasan berkenaan juga memburukkan lagi masalah itu.
Tinjauan mendapati, keadaan longkang cukup menjijikkan dan dipenuhi sampah sarap dan botol-botol kosong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr. Mohd Nasir Hashim turut turun padang meninjau kawasan sungai bersama wakil JPS selepas kejadian.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, tiada pihak yang memaklumkan tindakan terbaru diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut kepada penduduk, apatah lagi tentang bantuan bencana alam yang dijanjikan.

Pak Leman - Hanya Kuala Lumpur capai status negeri berpendapatan tinggi



KUALA LUMPUR 3 Mei - Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan negeri tunggal yang telah mencapai status negeri berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita sebanyak AS$14,350 dolar (RM49,336) yang dicatatkan pada 2007.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany berkata, ia diikuti oleh Pulau Pinang yang mencatatkan pendapatan per kapita AS$9,416 dolar (RM32,376) pada 2007 namun masih jauh daripada status berpendapatan tinggi.
"Mengikut Bank Dunia, ukuran negeri berpendapatan tinggi mestilah mempunyai pendapatan per kapita AS$11,456 dolar (RM39,296).
"Jurang pendapatan per kapita bagi negeri-negeri lain di negara ini untuk mencapai taraf negeri berpendapatan tinggi adalah lebih besar," katanya ketika menjawab soalan Senator Wan Hazani Wan Mohd. Nor di Dewan Negara di sini hari ini.
Sementara itu, Devamany berkata, sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dengan pendapatan per kapita antara AS$15,000 dolar hingga AS$20,000 dolar (RM51,000 hingga RM68,000) masih tidak berubah.
Katanya, kerajaan yakin sasaran itu boleh dicapai walaupun negara masih berada dalam ekonomi berpendapatan sederhana tinggi sejak 1992.
Beliau berkata, bagi mencapai matlamat tersebut kerajaan akan membuat transformasi ekonomi dan sosial menerusi empat kerangka utama iaitu gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
"Kerajaan berpandangan formula kejayaan pembangunan negara yang diguna pakai sebelum ini tidak mencukupi untuk membawa negara ke arah kecemerlangan ekonomi masa depan.
"Bagaimanapun kerjasama semua pihak terutamanya penglibatan sektor swasta yang lebih cergas sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi adalah amat penting," katanya.

Pak Leman - 1.9 juta pekerja asing sehingga 31 Disember 2009



KUALA LUMPUR 3 Mei - Kerajaan menganggarkan terdapat seramai 1.9 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini, berdasarkan jangkaan terdapat seorang PATI bagi setiap pekerja asing yang masuk secara sah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, seramai 1,918,146 pekerja asing dilaporkan berada di negara ini secara sah berdasarkan rekod Jabatan Imigresen sehingga 31 Disember lalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, warganegara Indonesia mencatatkan bilangan tertinggi iaitu seramai 991,940 orang.
Katanya, ia diikuti oleh warganegara Bangladesh seramai 319,020 orang, Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382).
''Bagaimanapun kerajaan tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan PATI kerana kemasukan mereka tidak pernah direkodkan oleh mana-mana agensi,'' katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Ir. Zamri Yusuf mengenai statistik PATI dan pekerja asing berpermit dan apakah langkah-langkah kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abu Seman menjelaskan kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Sebagai contoh katanya, dalam sektor perkhidmatan, kerajaan telah memperketatkan kelulusan pengambilan pekerja asing kecuali untuk jawatan tukang masak restoran, pekerja pembersihan dan pencucian serta pekerja di pulau peranginan sahaja.
"Pekerja asing juga tidak dibenarkan bekerja di kaunter barisan hadapan," katanya.

Hilang kerja pada Hari Pekerja




KAKITANGAN syarikat Panji Timor Sdn. Bhd. berpiket membantah langkah MPS mengambil alih pengurusan Terminal 1 menyebabkan mereka hilang pekerjaan di Seremban semalam.


SEREMBAN - Seramai 30 pekerja syarikat Panji Timor Sdn. Bhd. yang menguruskan stesen bas Terminal 1 di sini hilang pekerjaan apabila kontrak syarikat itu ditamatkan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada 30 April lalu.
Seorang wakil pekerja syarikat itu, Mohd. Asri Sheikh Ahmad, 47, berkata, tindakan MPS itu membuatkan mereka tertekan memikirkan masa depan ekoran kehilangan sumber pendapatan.
"Saya harap MPS kaji semula atau setidak-tidaknya memberi jaminan pekerjaan kepada kami apabila syarikat baru mengambil alih bangunan ini," katanya di sini semalam.

Digilis lori kren depan mata ibu




anggota polis menutup mayat Rozitah (gambar kecil) yang terbunuh dalam kemalangan di Sungai Putat, Melaka kelmarin.


MELAKA - Seorang ibu melalui pengalaman ngeri apabila melihat sebahagian badan anaknya hancur digilis tayar sebuah lori kren di Sungai Putat di sini dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, Leha Mohamad, 40-an, menunggang motosikal membawa anaknya, Rozitah Omar, 26, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bukit Baru dari kilang tempat mereka bekerja di Ayer Keroh.
Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, motosikal itu dipercayai bergesel dengan sebuah lori kren menyebabkan Rozitah tercampak ke atas jalan lalu digilis oleh tayar belakang lori kren tersebut.

Keluarga mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan



AZAMUDDIN


SHAH ALAM - Saksi utama kes kematian Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak polis mendedahkan dia tampil membuat laporan polis pada malam kejadian selepas terkejut dilabelkan sebagai penyamun.
Azamuddin Omar, 15, yang berada dalam kereta dipandu rakannya itu berkata, semasa kejadian dia selamat dan hanya cedera ringan selepas mendakwa dibelasah beberapa anggota polis.
"Sebaik kereta terbabas memasuki longkang, beberapa anggota polis bertindak mengheret saya dari kereta sebelum saya dibelasah," ceritanya pada sidang akhbar di rumah Aminulrasyid di Jalan Makyong 11/2G di Seksyen 11 di sini semalam.
Azamuddin hadir ke rumah Aminulrasyid dengan ditemani wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Monaliza Mokhtar.
Azamuddin kemudian menunjukkan kepada wartawan kesan luka di tangan kanannya ekoran serangan itu. Bagaimanapun, cerita remaja itu, entah macam mana dia dapat melepaskan diri sebelum pulang ke rumah.
Azamuddin memberitahu, pada sebelah petang pada hari kejadian, dia terkejut apabila mendengar berita mengenai kejadian itu yang melaporkan seorang pegawai polis menuduh mereka sebagai penyamun.
"Saya dengar tuduhan itu ketika mahu kebumikan jenazah Aminulrasyid menyebabkan pada malam itu saya pergi buat laporan polis," kata beliau.

Makam Tujuh Beradik diroboh




Kakitangan MBMB merobohkan khemah-khemah haram yang didirikan berdekatan Makam Tujuh Beradik di Pulau Besar semalam.


MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semalam merobohkan binaan batu di atas bekas tapak Makam Tujuh Beradik yang terletak di Pulau Besar dekat sini bagi membendung amalan khurafat di kawasan berkenaan.
Langkah itu diambil berikutan terdapat pihak tidak bertanggungjawab membina dua kubur baru bersebelahan tapak makam tersebut yang telah dipindahkan ke tempat lain sebelum ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, kubur baru itu dipercayai sengaja dibina oleh mereka yang melakukan pemujaan di makam tersebut sejak dua tahun lepas.
"Sebenarnya kawasan makam tidak lagi mempunyai kubur kerana kesemuanya telah kami pindahkan berdekatan Makam Sultan Ariffin tetapi beberapa pihak yang sering melakukan pemujaan telah membina semula kubur berkenaan.
"Kali terakhir binaan kubur tersebut dirobohkan ialah dua tahun lepas tetapi ia diwujudkan semula malah bilangannya bertambah menjadi sembilan pula,'' katanya selepas mengadakan operasi bersepadu merobohkan struktur kubur itu semalam.

Rakyat Pakistan didakwa terlibat dalam serangan Mumbai



04/05/2010 2:30am

MUMBAI, India 3 Mei - Sebuah mahkamah di India hari ini mendakwa seorang lelaki Pakistan terlibat dalam pembunuhan dan pe ranannya dalam serangan keganasan di Mum bai pada tahun 2008 yang mengorbankan seramai 166 mangsa.
Dua rakyat India yang dituduh membantu merancang plot serangan itu, bagaimanapun dibebaskan.
Mohammed Ajmal Kasab, satu-satunya sus pek yang terselamat dalam serangan yang melibatkan 10 lelaki bersenjata itu, duduk mendiamkan diri sambil menundukkan ke palanya ketika pertuduhan itu dibacakan.
Dia ditahan dalam satu serbuan yang di jalankan selepas dia dan seorang lagi rakan subahatnya dituduh membunuh dan men cederakan berpuluh-puluh penduduk di salah sebuah stesen kereta api paling sibuk di Mum bai.
Gambar Kasab ketika berjalan di stesen tersebut sambil memegang senapang di ta ngannya, menjadi imej ikon untuk serangan tersebut.
Kasab didakwa dengan 86 pertuduhan ke atasnya termasuk pembunuhan dan mence tuskan peperangan ke atas India.
Hukuman dijangka dijatuhkan esok dengan Kasab berkemungkinan akan berhadapan de ngan hukuman mati. - AP

Obama: Tumpahan minyak cetus bencana



Gambar dari udara yang diambil pada 21 April, 2010 merakamkan kebakaran di pelantar minyak Deepwater Horizon di Teluk Mexico yang mencetuskan bencana alam sekitar di Louisiana. - AP



VENICE, Louisiana 3 Mei - Tanpa ada tanda-tanda penyelesaian, Presiden Barack Obama memberi amaran tragedi tumpahan minyak di Teluk Mexico boleh mengakibatkan bencana yang buruk berikutan tumpahan minyak telah merebak hingga ke kawasan perairan, sekali gus mengancam kehidupan liar.
Menurut Obama, ia akan mengambil masa beberapa hari untuk dihentikan.
Obama melawat kawasan tumpahan minyak di selatan Louisiana itu semalam untuk meninjau kerja-kerja yang dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak tersebut selepas anggota Kabinet menyifatkan keadaan itu semakin serius, dan menggesa pentadbiran mengambil semua tindakan yang perlu untuk menanganinya segera.
Beliau meninjau kawasan terbabit sepanjang 24 kilometer dari atas helikopter merentasi kawasan paya sehingga ke pantai, tetapi angin kencang menghalang helikopter yang dinaikinya ke kawasan berlakunya tumpahan minyak sejauh 48 kilometer yang telah menyebabkan sebanyak 795,000 liter minyak mentah tumpah ke Teluk Mexico setiap hari.
Tumpahan minyak itu bukan sahaja mengancam alam sekitar tetapi juga industri perikanan di rantau ini, yang disifatkan Obama sebagai 'nadi ekonomi di rantau ini'.
"Setakat ini, hanya sedikit yang boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat ini bagi menghentikan tumpahan minyak itu, yang turut mencemari pantai di Mississippi dan di sepanjang bahagian timur Florida Panhandle.
"Kawasan yang ditumpahi minyak adalah sepanjang 14 kilometer di luar pantai tenggara Louisiana," kata Obama.
Mereka yang tinggal dan bekerja di kawasan itu bakal berhadapan dengan kesan ekonomi berikutan terjejasnya industri perikanan dan pelancongan.
Di bahagian hadapan kabin dan taman RV di sepanjang lebuh raya Louisiana, terdapat papan tanda yang berbunyi Obama Send Help!!!! (Obama hantar bantuan!!!).
Sementara itu, Pengerusi BP, Lamar McKay terus berharap tumpahan minyak itu dapat dihentikan segera dengan mempercepatkan pembinaan kubah di bahagian kepala telaga yang pecah pada kedalaman 1.6 kilomter dalam tempoh antara enam hingga lapan hari.
Tumpahan minyak itu bukan sahaja menjadi ancaman kepada ekologi tetapi juga boleh mencetuskan bencana politik, bergantung bagaimana masyarakat menilai tindakan pentadbiran Obama menanganinya. - AP

Guna semburan lada larikan RM300,000



KUALA LUMPUR 3 Mei - Genap seminggu selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan taktik penjenayah yang menggunakan penyembur lada untuk menyamun, hari ini sekumpulan tiga penyamun menggunakan kaedah yang sama untuk melarikan wang berjumlah hampir RM300,000.
Kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu berlaku di persimpangan Jalan Tun Sambanthan di sini ketika dua pengawal keselamatan yang membawa wang tersebut dalam perjalanan ke sebuah bank.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, wang tunai yang diisi dalam sebuah beg itu dipungut dua pengawal keselamatan berusia lingkungan 30-an itu dari sebuah syarikat.
"Ketika dalam perjalanan di persimpangan Jalan Tun Sambanthan, kenderaan syarikat keselamatan itu telah dilanggar dari belakang oleh sebuah Proton Waja berwarna kelabu.
"Selepas itu, muncul dua lelaki bermotosikal mengepung kenderaan syarikat keselamatan tersebut. Salah seorang suspek bersenjatakan parang manakala seorang lagi menyembur serbuk lada ke muka kedua-dua mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Isnin lepas, Tan Sri Musa Hassan ketika merasmikan Minggu Kesedaran dan Pencegahan Jenayah ExxonMobile di sini mendedahkan alat yang digunakan wanita untuk mempertahankan diri iaitu penyembur lada telah digunakan oleh penjenayah untuk menyamun.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar pemantauan dilakukan oleh anggota dan pegawainya di semua kedai yang menjual penyembur serbuk lada.
Wan Abdul Bari menambah, dua suspek kemudian melarikan beg berisi wang itu dengan menaiki motosikal.
Menurutnya, seorang lagi suspek yang memandu Proton Waja pula meninggalkan kenderaan itu dan melarikan diri bersama rakannya.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, suspek menggunakan kenderaan yang dicuri untuk melakukan jenayah tersebut.
Jelasnya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Maut dikelar ketika bantu jiran

NIBONG TEBAL 3 Mei - Niat murni seorang lelaki membantu jirannya yang disamun membawa padah apabila dia mati dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Selamat, Sungai Bakap dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, Mohd. Faizal Mohd. Zain, 28, maut selepas dikelar di leher dan tangan ketika ingin membantu jirannya, Hussin Abdul Rahman, 80, yang disamun tiga penjenayah.
Ibu mangsa, Arbaiah Napiah, 51, memberitahu, dia sedang bekerja di sebuah kilang perabot di Changkat dekat sini apabila dimaklumkan oleh suaminya tentang kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.
"Saya bergegas pulang namun tidak dibenarkan melihat mayat anak saya oleh polis yang datang selepas menerima laporan daripada warga emas terbabit.
"Menurut anak saudara saya, Nor Ainun Yusof, dia sempat melihat mayat Mohd. Faizal mengalami luka akibat tetakan di leher, betis dan tangannya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian petang ini.
Difahamkan, Hussin turut cedera ringan di muka akibat dipukul oleh penjenayah terbabit selain diikat di dalam rumah yang didiami bersama isterinya itu.
Tambah Arbaiah, suaminya yang terkejut dengan kejadian itu turut pengsan di depan pintu rumah sebaik sahaja ingin melihat mayat anak mereka.
Katanya, Mohd. Faizal adalah seorang anak yang baik, tidak suka bergaul dengan orang lain namun suka menolong orang.
"Sejak Hussin menyewa rumah ini tiga bulan lalu, anak saya sering membantunya kalau hendak ke kedai membeli barang dapur.
"Memang saya terkejut dengan kejadian ini kerana anak sulung daripada tiga beradik itu tidak mempunyai musuh," ujarnya sebak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
"Polis percaya tiga suspek terlibat dalam kejadian itu dan mereka datang ke rumah tersebut dengan menaiki dua buah motosikal.
"Mereka mengikat warga emas itu sebelum mengurungnya dalam bilik. Namun, jeritan warga emas itu didengari mangsa (Mohd. Faizal) yang datang menolongnya sebelum dia dikelar sehingga mati," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa cinta tiga segi





KUALA LUMPUR 3 Mei - Polis percaya seorang wanita warga Indonesia yang ditemui mati dalam kereta dipandu teman lelakinya di Nilai, Negeri Sembilan kelmarin, dibunuh berpunca daripada hubungan cinta tiga segi.
Difahamkan, mangsa yang berusia lingkungan 20-an mempunyai seorang lagi kekasih sejak beberapa bulan yang lalu sebelum hubungan mereka dihidu oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, lelaki berusia 30-an itu kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci.
"Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa kecuali kesan jerut di leher," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kelmarin, polis menahan sebuah kereta Perodua Kancil di Nilai kira-kira pukul 10 malam selepas mendapati ia dalam keadaan mencurigakan.
Suspek, seorang lelaki yang menyedari keretanya diekori cuba melarikan diri tetapi terbabas sebelum berjaya ditahan.
Setelah pemeriksaan, polis ternampak seorang wanita yang lengkap berpakaian sedang 'tidur' di tempat duduk sebelah pemandu, namun apabila disiasat wanita tersebut telah mati.
Suspek juga mengaku dia telah bergaduh dengan mangsa dan bertindak membunuhnya. Dia ketika itu dipercayai sedang membawa mayat teman wanitanya dari Bangi untuk dibuang di Nilai.
Mengenai laporan bedah siasat pula, Sakaruddin berkata, mangsa dipercayai mati disebabkan kejutan saraf akibat hentakan yang kuat.
Beliau berkata, polis pada masa yang sama sedang mengesan identiti mangsa termasuk bagaimana wanita itu memasuki Malaysia sama ada secara sah atau sebaliknya.
Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

12 ditahan bantu siasatan kes pukul pelajar



IPOH 3 Mei - Polis menahan 12 lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes pukul seorang pelajar sekolah menengah di Changkat Jering, Taiping pada 14 April lalu.
Mereka yang ditahan merupakan ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sebuah kampung yang dipercayai sedang menjalankan operasi pencegahan dadah ketika kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, dua daripada mereka ditahan sehari selepas kejadian dan seterusnya enam lelaki lagi ditahan beberapa hari kemudian.
"Ahad lalu, polis menahan empat lagi individu yang menjadikan jumlah kesemua mereka yang ditahan seramai 12 orang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki kerana disyaki penagih dadah.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri Changkat Jering itu dipukul oleh kumpulan lelaki dalam keadaan tangannya bergari.
Ia berlaku dalam sebuah ladang getah di Changkat Jering ketika pelajar itu dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Ketika kejadian, seorang rakannya merakamkan peristiwa itu menerusi telefon bimbit yang kemudiannya diserahkan kepada ibu bapa pelajar terbabit.
Menurut Yusof, kesemua 12 individu yang ditahan di kawasan Cangkat Jering itu berusia antara 19 hingga 60 tahun.
"Hasil penahanan itu, polis telah menemui beberapa bahan bukti termasuk gari yang digunakan semasa kejadian.
"Kita juga telah menjumpai sehelai kemeja T yang digunakan oleh seorang suspek. Baju ini adalah milik seorang anggota polis yang telah meninggal dunia tapi dipakai oleh adiknya semasa membuat rondaan di kampung itu," katanya.
Yusof berkata, gerakan untuk mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu masih diteruskan.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pekerja dituduh bunuh majikan





JITRA 3 Mei - Seorang pekerja ladang ternakan ayam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh majikannya yang ditemui dalam keadaan rentung bulan lalu.
Mohd. Nazri Harun, 24, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mohd. Nazri didakwa membunuh Tan Ah Yee @ Tan Chong Chuang, 64, di sebuah rumah di Kampung SC Dalam, Mukim Hosba dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9 malam, 20 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Idris yang mengendalikan pendakwaan memohon tarikh sebutan ditetapkan sementara menunggu laporan perubatan dan kimia.
Majistret kemudian menetapkan 5 Julai ini bagi sebutan semula kes.
Menurut laporan akhbar pada 22 April lalu, mayat Ah Yee yang juga seorang penternak dan pemborong ditemui rentung di dalam rumahnya yang hangus terbakar kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Laporan itu memetik Ketua Polis daerah, Supritendan Sawaluddin Haminuddin sebagai berkata, semasa siasatan, seorang pekerja mangsa tiba-tiba muncul dalam keadaan berdarah dan memaklumkan dia dan majikannya disamun tiga lelaki bertopeng.
Sawaluddin menyatakan, pihak polis yang curiga terhadap suspek telah melakukan siasatan lalu menemui satu objek berbentuk pistol di dalam rumah tersebut.
''Polis lalu menahannya dan siasatan percaya suspek telah mereka-reka cerita dan terlibat dalam pembunuhan majikannya, mungkin kerana marah akibat tidak dibayar gaji,'' ujarnya.

Isteri dibunuh depan anak





KUANTAN 3 Mei - Berang apabila diberitahu isterinya bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon, seorang pekerja ladang bertindak kejam sehingga sanggup membunuh isterinya itu di hadapan anak mereka di sebuah ladang di Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis semalam.
Wanita malang itu, Rosmawati Abdul Rahman, 39, menemui ajal akibat kepalanya dihentak, selain perut, dada dan paha dipijak oleh suaminya yang tiba-tiba naik angin.
Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 5 petang selepas anak pasangan itu mengadu kepada suspek yang berusia 46 tahun bahawa ibunya bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon di rumah mereka di Ladang Selborne.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berpunca apabila anak mereka yang berusia 12 tahun mengadu kepada suspek, mangsa berbual dengan lelaki lain di telefon.
"Suspek yang juga berada di dalam rumah ketika itu tiba-tiba naik angin lalu bertengkar mulut sebelum bertindak agresif menolak mangsa.
"Tidak cukup dengan itu, suspek dipercayai memijak perut, dada dan paha isterinya seterusnya mencekik dan menghentak kepala mangsa ke lantai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Razak memberitahu, suspek yang bekerja di ladang itu terus memukul isterinya sebelum berhenti selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.
Berikutan itu, katanya, anak mangsa memaklumkan kejadian tersebut kepada kakaknya yang sedang bekerja berdekatan dengan rumah mereka.
"Suspek yang menyedari kehadiran seorang lagi anaknya ke rumah itu kemudian melarikan diri. Anak mangsa meminta bantuan jiran sebelum membuat laporan polis," katanya.
Beliau menambah, mangsa disahkan meninggal dunia tetapi punca kematian masih belum diketahui.
Katanya, hasil bedah siasat oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mendapati, mangsa mengalami kecederaan teruk pada keseluruhan badan.
"Susulan kejadian itu, polis sedang memburu suspek yang kini dipercayai masih bersembunyi di sekitar Lipis dan Bentong.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kami memohon kerjasama suspek supaya menyerah diri kepada polis," katanya.
Menurut Abdul Razak, pasangan terbabit yang bekerja di ladang berkenaan mempunyai enam anak berusia antara 2 hingga 19 tahun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi talian hotlineIPK Pahang di 09-3121999.