Search This Blog

Monday, May 3, 2010

'Arwah kakak bergurau minta ziarah jenazah'

BERA: “Sehari sebelum kejadian, arwah kakak sempat bergurau meminta saya menziarahi jenazahnya ketika saya menunjukkan kepadanya sehelai kain ela berwarna putih yang baru dibeli.
“Saya hanya tersenyum ketika dia bergurau begitu, namun, gurauannya kini menjadi kenyataan selepas dia maut bersama empat lagi anggota keluarga lain,” kata Norliza Ahmad, 34, adik mangsa kemalangan ngeri meragut lima nyawa di Kilometer 88, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Karak Setia, Karak di Bentong, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kakak Norliza iaitu Norhayati, 39, meninggal dunia bersama suaminya, Zulkefle Jalil, 54, selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan Honda Civic Turut maut, adik Norliza, Noraini, 29, suami Noraini, Abdul Wafi Faujan, 41, dan anak bongsu Noraini, Mohd Hakim, empat bulan, manakala anak kedua Noraini, Nasrul Amana Shafri, 6, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Menurut Norliza, dia yang gemar berbaju kurung tidak pernah membeli kain putih, namun tertarik membeli kain warna berkenaan kononnya sesuai dipakai jika mahu menziarahi kematian.

“Saya menunjukkan kain putih dengan corak bunga kecil kepada arwah kakak bagi meminta pendapatnya. Saya kata kepadanya kain ini cantik dan elok dipakai untuk menziarahi jenazah.

“Secara spontan arwah kakak berkata ‘ziarahlah jenazah aku nanti’ dan saya tidak terkejut dengan kenyataannya itu kerana menganggap dia hanya bergurau,” katanya.

Norliza yang menetap di Balok, Kuantan, berkata Norhayati anak kedua, manakala Noraini anak kelima daripada tujuh beradik dan semua adik-beradiknya menetap berjauhan selepas mereka kematian ibu bapa.

“Kami memang kerap berkumpul dan sudah merancang untuk berkelah di Air Terjun Chamang, Bentong, sempena cuti umum tiga hari sebelum kejadian, “ katanya.

Peninju Britain gila seks

LONDON: Juara tinju light-welterweight WBA dari Britain, peninju Amir Khan didakwa kerap mengirimkan mesej (SMS) lucah kepada gadis yang baru dikenalinya.
Amir, 23, dilapor mengirimkan gambar kemaluannya kepada seorang model.
Beliau turut mengirimkan SMS memaklumkan bagaimana beliau ingin melakukan seks ganas terhadap gadis itu.

Berita ini menggemparkan kerana sebagai seorang Islam, beliau dilihat sebagai contoh kepada atlit Britain dan turut menjadi duta yayasan kebajikan kanak-kanak didera, NSPCC sejak 2004.

Namun, model Leanne Crow, 21, mendakwa Amir sebenarnya seorang yang berbeza dan gila seks.

“Amir mungkin seorang peninju yang bagus tapi fikirannya terlalu kotor,” katanya yang mengenali Amir ketika beliau berada di Los Angeles menjelang perlawanan dengan Paulie Malignaggi hujung bulan ini.

Meskipun mengaku meminati Amir, Leanne terkejut dengan tindakan beliau mengirimkan mesej itu.

“Saya berasa seperti perempuan murahan kerana melayan semua SMSnya itu,” katanya.

Apabila menyedari kisahnya itu akan disiar media, Amir mendakwa beliau tidak mengirimkan semua SMS, termasuk gambar bogelnya. - Agensi

Krisis politik di Thailand

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand semalam memberi amaran kemungkinan akan berlaku kematian jika penunjuk perasaan antikerajaan enggan berundur dari kawasan komersial bandar raya ini.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan yang menduduki kawasan berkenaan sejak sebulan lalu berikrar tidak akan berganjak.
“Mulai sekarang, tindakan yang akan dilakukan kerajaan mungkin menyebabkan pertempuran dan kematian. “Tetapi kerajaan tahu apa yang akan dilakukannya. Apa yang perlu dilakukan, mesti dilakukan,” kata Abhisit Vejjajiva dalam ucapan mingguannya menerusi televisyen.

Jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayakorn berkata, pemimpin Thai itu sudah mempunyai rancangan untuk mengendurkan ketegangan dan akan menjelaskannya minggu depan. Dalam pada itu, pihak berkuasa akan terus berusaha memujuk penunjuk perasaan supaya meninggalkan kawasan itu.

“Kerajaan akan menghantar mesej pesanan ringkas menerusi telefon bimbit kepada penunjuk perasaan untuk memberitahu mereka mengenai keadaan sebenar dan berharap mereka pulang ke kampung halaman masing-masing,” kata Panitan kepada wartawan.

Namun, Nattawut Saikua, ketuia kumpulan Baju Merah yang mendesak supaya kerajaan mengadakan pilihan raya lebih awal berkata, mereka akan terus berkampung di kawasan komersial itu.

Sementara itu, Abhisit menyangkal khabar angin kemungkinan Undang-Undang Tentera dilaksanakan. Katanya, undang-undang itu tidak perlukan.

Perintah Darurat yang dikuatkuasakan sejak 7 April lalu di Bangkok sudah memberikan kuasa meluas kepada tentera untuk bertindak. - Reuters

Langkah cegah jual air zamzam

JEDDAH: Pihak berkuasa bandar raya ini mengulangi kenyataan mengharamkan penjualan air zamzam.
Serentak dengan itu, ia meningkatkan pemeriksaan menerusi kempen bagi menghalang air itu daripada dijual di jalan raya dan kedai di sekitar bandar raya itu.
Meskipun diharamkan, air itu masih dijual secara terbuka, termasuk di stesen minyak di lebuh raya antara Makkah dan Jeddah dan Jeddah dan Taif,” kata Pengarah Pengawasan Perdagangan pejabat Datuk Bandar,Sulaiman Al-Muhaimeed. - Agensi

6 korban bangunan runtuh

JEDDAH: Sebuah bangunan di pusat bandar raya ini runtuh, dipercayai akibat tindakan penduduknya menyimpan bekalan air di bumbung.
Enam kanak-kanak warga Somalia mati dalam kejadian itu.
“Kemungkinan berat tong air di atas bangunan berkenaan menyebabkan bangunan itu runtuh,” kata seorang pegawai kepada akhbar Arab News.

Sisa runtuhan itu termasuk beberapa tong plastik besar yang biasa digunakan oleh penduduk daerah itu yang kerap mengalami masalah air.

Kebanyakan penduduk di bangunan itu yang terletak di Jalan Lama Makkah di Daerah Al Sahifah, berhampiran Bab Makkah, terdiri daripada pekerja warga asing berpendapatan rendah.

Warga Saudi, Hussam, 55, yang menetap berhampiran bangunan itu berkata, bekalan elektrik ke kawasan itu diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, pegawai Jabatan Pertahanan Awam turut mengarahkan penduduk bangunan berhampiran berpindah sehingga ia diisytihar selamat.

“Keluarga saya sudah meninggalkan bangunan kediaman kami. “Bagaimanapun, saya akan terus berada di sini sehingga bekalan elektrik pulih,” katanya.

Menurut lelaki itu, kawasan berkenaan sering mengalami masalah air.

Keadaan itu menyebabkan penduduk menyimpan sendiri bekalan air dan menyorokkannya sebaik tangki air bangunan berkenaan diisi oleh lori yang menghantar bekalan air.

“Sewa agak rendah di sini tetapi kami sentiasa berdepan dengan masalah air,” katanya.

“Kami begitu sukar mendapat bekalan air. Setiap kali bekalan tiba, kami akan menyimpannya di dalam tong di rumah masing-masing,” kata Abdullah, 42, warga Somalia yang tinggal berhampiran tempat kejadian. — Agensi

Sepasang warga Somalia sembunyi dalam but





2010/05/03
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
AL-MUJARADA: Polis semalam menangkap seorang pemandu bersama-sama sepasang warga Somalia yang bersembunyi di but belakang keretanya.
Penangkapan itu dilakukan selepas polis mengejar kereta itu sejauh 20 kilometer.
Pemandu berkenaan sebelum itu cuba menuju ke kawasan berbukit di Al-Mujarada.

Kereta itu ditahan di sebuah pusat pemeriksaan dan apabila polis meminta pemandunya membuka but kereta, dia memasuki semula kenderaan berkenaan dan memecut tetapi akhirnya ditahan kira-kira 20 kilometer dari pusat pemeriksaan berkenaan.

Pasangan suami isteri Somalia itu dilapor hampir lemas akibat kepanasan dan kekurangan oksigen ketika ditemui di belakang kereta itu. - Agensi

Kerana cinta, bukan harta





2010/05/03
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
NEW YORK: Ramai yang pasti mempersoal tindakan gadis dari West Bromwich, Crystal Harris, 24, memilih untuk bersama dengan jutawan Playboy, Hugh Hefner, 84.
HUBUNGAN Crystal (kiri), Hefner bermula 18 bulan lalu.
HUBUNGAN Crystal (kiri), Hefner bermula 18 bulan lalu.
Namun, hakikatnya, Crystal bukan gadis sebarangan kerana beliau bukan sahaja melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti tapi turut mendakwa beliau tidak berminat terhadap harta Hefner.
“Saya cintakannya dan saya tidak berniat mengikis hartanya,” tegasnya yang sedia menjadi isteri ketiga Hefner.

Malah Crystal sedia menandatangani perjanjian pra-perkahwinan bagi menafikan haknya terhadap harta Hefner yang dianggar bernilai £27 juta (RM131.35 juta) “Hefner tak pernah membelanjakan wangnya terhadap saya. Saya menyara hidup melalui hasil muzik dan juga karier sebagai model.

“Beliau pernah membayangkan ingin mengahwini saya tapi saya tak pernah mendesaknya.

“Saya tidak akan mendesak seperti bekas isterinya, Holly Madison (gambar kecil). Pastinya saya ingin berkahwin tapi jika ia ingin berlaku, saya ingin menjadi tumpuan.

“Saya sudah biasa melihat begitu ramai wanita yang datang dan cuba menarik minatnya dengan pakaian yang seksi tapi saya hanya keluar dengan kemeja-T dan seluar pendek tanpa mengenakan mekap.

“Sebaik sahaja melihat saya dalam keadaan begitu, pandangan Hefner lebih tertumpu pada saya,” katanya.

Crystal membesar di Ye Olde Rose dan Crown, West Bromwich dan mula meminati dunia hiburan.

“Kini saya mula berjinak-jinak dalam dunia muzik secara serius,” katanya.

Keluarganya berhijrah ke San Diego, California ketika beliau berusia 10 tahun. Setahun kemudian bapanya meninggal dunia akibat barah.

Beliau yang melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi mengenali Hefner pada Oktober 2008 ketika menjadi jemputan parti Halloween di rumah agamnya.

“Pada pertemuan itu, kami berbincang mengenai ijazah psikologi yang diperolehnya.

“Selepas saya pulang pada hujung minggu itu, beliau mempelawa saya pindah ke rumah agamnya.

“Saya terima pelawaannya dan kini saya tahu semua gadis yang pernah ditiduri, termasuk rakaman dibuatnya,” katanya lagi. - Agensi

Suspek hantuk kepala, dakwa dipukul polis

KUCHING: Seorang lelaki sanggup membuat fitnah kononnya dia dicederakan polis sebagai usaha untuk ‘melepas tengkuk’ selepas ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan curi kereta dan pecah rumah di Betong dekat sini, kelmarin.
Lakonan lelaki itu kononnya dia dibelasah anggota polis hingga parah dipercayai bertujuan mengaburi mata polis berhubung kegiatan jenayah yang didalanginya sehingga tertangkap.
Beberapa hari sebelum kejadian itu, lelaki berkenaan bersama dua yang lain berusia 20 dan 30-an itu diberkas polis susulan penemuan sebuah Proton Waja yang tersadai di tepi jalan di Pusa dekat Betong.

Kereta yang dinaiki semua suspek terbabit dikatakan terbabas dan melanggar tiang elektrik menyebabkan mereka terpaksa meninggalkannya di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, anggota polis yang membuat rondaan ternampak kenderaan yang mencurigakan itu dalam keadaan tersadai sebelum melaporkan kepada bilik gerakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.

Maklumat yang diperoleh polis sejurus selepas penemuan kereta itu, membongkar kegiatan jenayah selepas pemeriksaan mendapati kereta dinaiki ketiga-tiga suspek adalah kereta curi.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata gerakan memburu suspek membabitkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Betong di sekitar kampung terbabit menemui hasil selepas ketiga-tiganya ditahan.

“Ketika disoal siasat, seorang suspek cuba menghantuk kepala ke meja sambil menjerit dengan mengatakan anggota kami memukulnya.

“Sedangkan ketika suspek ditahan, dia sudah mengalami kecederaan akibat kemalangan,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Bukhori, siasatan mendapati kereta terbabit dilaporkan hilang di Kota Samarahan pada 17 April lalu.

Kakak tampar adik hisap dadah

KUALA KEDAH: Malang buat seorang lelaki apabila dia bukan saja ditahan polis, tetapi dimarahi dan ditampar kakaknya di khalayak ramai di Balai Polis Kuala Kedah, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, wanita berusia lewat 30-an itu malu kerana adiknya ditahan akibat kesalahan dadah, malah memukul kepala adiknya berusia 20-an itu.
Dia turut menutup muka adiknya dengan topi ketika jurugambar cuba merakam gambarnya.

Lelaki terbabit antara 55 lelaki dipercayai penagih dadah ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star dalam operasi dadah.

Timbalan Ketua JSJN Kedah, Deputi Superintendan Zainuddin Saad, berkata dalam operasi antara jam 6 pagi hingga 11 pagi itu, semua lelaki berusia 25 hingga 50 tahun yang juga nelayan ditahan di tiga jeti nelayan dan pelantar ikan.

Malah, empat daripada mereka masih di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Remaja cedera dibelasah geng samseng cilik

AMPANG JAYA: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di sini cedera pada beberapa bahagian tubuh selepas dibelasah bertubi-tubi sekumpulan samseng cilik tidak dikenali di sebuah restoran makanan segera di Pandan Mewah di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 15 tahun itu dikatakan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum didatangi kumpulan terbabit.
Jurucakap polis, berkata mangsa yang ketika itu bersendirian dan pada awalnya langsung tidak menyedari kehadiran kumpulan samseng berkenaan.

“Mangsa secara tiba-tiba diserang kumpulan samseng cilik berkenaan tanpa mengetahui sebab mengapa dia diperlakukan sedemikian.

“Malah, mangsa tidak sempat mendapatkan sebarang penjelasan daripada kumpulan samseng cilik terbabit sebaliknya hanya mampu mempertahankan diri daripada terus diasak bertubi-tubi,” katanya.

Jurucakap itu berkata, seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui lokasi kejadian kemudian membawa mangsa yang cedera ke sekolah sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada pihak pentadbiran sekolah berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa cedera termasuk lebam di beberapa bahagian badan dan muka.

Pihak pengurusan sekolah kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung insiden terbabit.

Berdasarkan siasatan, polis mendapati ada antara ahli kumpulan samseng cilik terbabit terdiri daripada pelajar sebuah sekolah lain berhampiran.

16 pelajar, cikgu dirasuk

JOHOR BAHRU: Guru di sebuah sekolah di sini dihantui keresahan apabila dalam tempoh tiga hari berturut-turut 16 pelajar termasuk seorang cikgu secara-tiba-tiba meraung dan menangis tanpa sebab dipercayai menjadi mangsa amukan ‘lima makhluk halus.’
Keadaan menjadi lebih cemas apabila beberapa guru terpaksa mengejar seorang pelajar perempuan tingkatan empat selepas dia yang dirasuk cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan. Risau kejadian sama berulang pihak sekolah mengarahkan guru lelaki mengawal keadaan dan menjaga pelajar perempuan yang dirasuk.
Difahamkan, kejadian pertama dilaporkan Rabu lalu membabitkan tiga pelajar diikuti enam lagi pada Khamis dan kemuncak rasukan berlaku Jumaat membabitkan enam pelajar tingkatan empat serta seorang guru wanita.

Semua kejadian histeria di Sekolah Menengah Tasek Utara 2 itu dikatakan berlaku pada jam 8 pagi iaitu ketika sesi persekolahan pagi baru bermula.

Menurut seorang guru yang enggan dikenali, kejadian bertambah teruk pada Jumaat menyebabkan dia dan beberapa lagi guru kelam-kabut untuk mengawal keadaan.

“Serangan membabitkan pelajar dari kelas dan blok berlainan menyebabkan kami terpaksa berkejar ke sana ke mari dalam masa sama berikutan risau berlaku perkara tidak diingini.

“Lebih teruk apabila makhluk halus yang merasuk seperti berpindah dari seorang pelajar ke pelajar lain dalam masa singkat. Bila pelajar pertama dapat dikawal, ia akan berpindah ke pelajar lain hingga menimbulkan suasana kecoh,” katanya.

Bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk, pihak sekolah mendapatkan bantuan pakar agama daripada Persatuan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa (Darussyifa) selain dibantu beberapa imam sebelum keadaan reda. Kata guru itu, dia dimaklumkan pengamal perubatan Darussyifa, kejadian serangan itu berpunca akibat kemarahan lima makhluk halus berkenaan berikutan individu tertentu mengganggu tempat tinggal mereka. “Memang takut apabila melihat muka lima pelajar yang terbaring ketika dipulihkan mula berubah menjadi merah padam seperti orang sedang marah, tidak kurang ada juga yang kelihatan pucat,” katanya.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu menyebabkan pihaknya mendapatkan bantuan Darussyifa’.

“Sebelum ini kejadian histeria tidak pernah berlaku dan ia kejadian pertama sejak sekolah berkenaan mula beroperasi,” katanya.

16 remaja bawah umur berhibur ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 16 remaja bawah umur ditahan dalam operasi berasingan ke atas pengunjung dua pusat hiburan di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam operasi Bahagian Narkotik Bukit Aman di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu kota itu, lebih 2,000 pengunjung diperiksa dan menahan 15 pengunjung termasuk lelaki dan perempuan kerana positif saringan ujian air kencing.
Sumber polis berkata, operasi bermula jam 1 pagi dan berakhir jam 6 pagi itu dilakukan bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur. Dalam kejadian berasingan di Jalan Ipoh di sini, seorang remaja bawah 21 tahun bertindak kurang ajar apabila mempersoalkan tindakan seorang anggota polis menahannya kerana berada di premis hiburan lebih masa.

Remaja perempuan terbabit yang dipercayai mabuk mempersoalkan tindakan pihak berkuasa kerana menahannya bersama 15 lagi rakannya.

Manakala dalam serbuan Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur di sebuah kelab dangdut itu, mereka memeriksa 171 pelanggan yang kebanyakannya mabuk.

Dalam serbuan pada jam 4.55 pagi itu seramai 16 remaja bawah umur turut ditahan. Mereka antara 171 pengunjung yang diperiksa termasuk seorang pembantu rumah warga asing.

Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya mendapati premis itu beroperasi melebihi masa dan membenarkan remaja bawah umur berada di situ.

Bilik kebal kelab karaoke

KUALA LUMPUR: Sebuah premis karaoke eksklusif di Desa Hartamas di sini, ibarat sebuah bilik kebal bank apabila menyembunyikan kegiatannya dengan menggunakan tiga lapis pintu tebal bagi mengaburi pihak berkuasa.
TAHAN...dua wanita GRO yang ditahan, kelmarin.
TAHAN...dua wanita GRO yang ditahan, kelmarin.
KEBAL...pusat karaoke guna tiga lapis pintu.
KEBAL...pusat karaoke guna tiga lapis pintu.
Premis yang turut menawarkan pelayan pelanggan (GRO) warga asing itu hanya dibuka berdasarkan tempahan dan tidak dibuka kepada orang ramai. Ia hanya dibuka kepada warga asing dari Korea.
Aktiviti terbabit bagaimanapun dihidu Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur sebelum menjalankan operasi di situ jam 10 malam kelmarin.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya menahan 12 wanita termasuk lapan dari Korea dan empat Myanmar dipercayai GRO.

Razali berkata, pihaknya yakin mereka turut melakukan aktiviti tidak bermoral di premis yang berada di tingkat dua sebuah bangunan tiga tingkat di sini. “Lapan wanita dari Korea dan empat dari Myanmar itu mempunyai pas lawatan sah, malah tiga warga Myanmar terbabit mempunyai kad perlindungan pelarian (UNHCR).

“Premis yang baru lapan bulan beroperasi dan tidak mempunyai lesen itu mempunyai lima bilik utama serta mempunyai pintu rahsia digunakan pelanggan untuk masuk dan keluar kerana pintu utamanya tersembunyi,” katanya.

GRO berumur 21 hingga 23 tahun terbabit dipercayai datang ke premis berkenaan bagi melayan sembilan pelanggan yang di situ.

Dalam operasi itu juga, seorang GRO menyerang seorang jurugambar televisyen akibat berang aksinya dirakam.

Wanita terbabit terjun dari trak polis walaupun memakai skirt pendek dan meluru ke arah jurugambar berkenaan dan cuba menamparnya.

Dia yang terlalu berang dan mabuk itu pada mulanya menolak polis kerana enggan menaiki lori polis sebelum aksinya cuba dirakam.

Semua mereka termasuk pelanggan dan pemilik yang juga warga Korea dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut.

17 kes jenayah dan 43 tangkapan babitkan pelajar asing tahun lalu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kes jenayah dan 43 tangkapan membabitkan penuntut asing dicatat di negara ini sepanjang tahun lalu, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula terdapat 14 kes yang membabitkan 22 tangkapan.
"Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan indeks jenayah pada tahun lalu yang berjumlah 209,417, kes yang membabitkan pelajar asing adalah sebanyak 0.008 peratus sahaja. Manakala bagi tempoh yang sama tahun ini, jumlah indeks jenayah adalah 45,805 kes dengan 0.03 peratus membabitkan pelajar asing," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah statistik kes jenayah di negara ini yang melibatkan penuntut antarabangsa dan apakah tindakan kerajaan terhadap penuntut yang terlibat.

Abu Seman berkata, polis sentiasa melakukan pemantauan terhadap penuntut asing di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Imigresen.

"Pihak IPT juga diminta memberi penerangan kepada pelajar khususnya pelajar asing mengenai peraturan dan undang-undang selama mereka mengikuti pengajian di negara ini selain mengenai tatasusila dan budaya yang perlu diamalkan," katanya.

Abu Seman berkata, tindakan itu dijalankan secara berterusan bagi memastikan penuntut asing mematuhi dan menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat Malaysia.

Menjawab soalan sama ada kerajaan akan menghantar pulang penuntut asing yang terlibat dalam gejala sosial dan jenayah, Abu Seman berkata jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang. "Lepas jalani hukuman baru akan diusir," katanya.

Mengenai mekanisme Kementerian Dalam Negeri bagi mengelakkan kes 'kehilangan' penuntut asing apabila pengajian bermula, Abu Seman berkata pihak IPT perlu lebih fokus untuk memastikan perkara ini tidak berlaku.

"Soal kawalan adalah di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. KDN sebagai kementerian yang jaga keselamatan akan ambil tindakan apabila berlakunya aktiviti jenayah dan lain-lain yang melanggar undang-undang," katanya.-Bernama

Isteri dibelasah hingga mati kerana berbual di telefon

KUANTAN: Hanya kerana berbual di telefon dengan lelaki lain, seorang wanita dipercayai dibelasah hingga mati oleh suaminya di Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa, Rosmawati Abd Rahman, 39, dipercayai dihentak di kepala serta dipijak di bahagian perut, dada dan paha oleh suaminya di hadapan anak pasangan itu yang berusia 12 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superitendan Abdul Razak Hassan, suspek dikatakan naik angin secara tiba-tiba selepas anak lelakinya itu mengadu yang ibunya berbual di telefon dengan lelaki lain.

"Suspek tiba-tiba naik angin sebelum bertindak agresif menolak mangsa. Mangsa kemudiannya dipijak di perut, dada dan paha. Seterusnya suspek mencekik mangsa dan menghentak kepala mangsa ke lantai," katanya.

Katanya, suspek, 46, kemudian berterusan memukul mangsa sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

"Anak mangsa kemudian meminta bantuan jiran, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Punca kematian masih disiasat," katanya.

Pihak polis masih memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu bagi membantu siasatan, katanya.-Bernama

Lelaki ditahan kerana disyaki terlibat kes ugutan bunuh Nik Aziz



KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat menyiarkan komen berbaur ugutan bunuh terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman web sosial, Facebook.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata lelaki yang berumur dalam lingkungan 20an itu diberkas sepasukan polis di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.

"Sepasukan polis menahan suspek itu di satu kawasan di Butterworth kira-kira pukul 9 malam berhubung kes penyiaran ugutan bunuh terhadap Nik (Abdul) Aziz," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman sosial itu dan juga individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh terbabit.

Sabtu lepas Dewan Pemuda PAS membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan bunuh yang dipaparkan dalam sebuah laman web sosial milik seorang lelaki terhadap Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu.- Bernama

Mayat reput terapung di tasik



SHAH ALAM - Mayat seorang lelaki warga asing ditemui terapung dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya diikat di Tasik Setia Wawasan, Setia Alam, di sini, tengah hari semalam. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira kira jam 12.50 tengah hari, polis menerima maklumat daripada orang awam yang sedang bersiar-siar di kawasan itu bersama keluarga. 

"Saksi terbabit terkejut apabila mendapati objek terapung pada permukaan tasik rupa-rupanya manusia, lalu terus memaklumkan kejadian kepada polis sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam. 

Azam berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dan dicampakkan ke dalam tasik itu dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah busuk. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua belah tangan mangsa diikat ke belakang manakala kakinya diikat pada seketul batu besar,�dipercayai bagi memastikan mayat mangsa tidak terapung. 

“Polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya; malah keadaan mayat yang sudah reput dan hitam turut menyukarkan polis menjalankan siasatan,” katanya. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

"Sesiapa yang ada sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, 03-551022210," katanya.

Hilang dua minggu kerana takut dimarahi bapa




KUALA LUMPUR - Seorang budak lelaki berumur 12 tahun yang hilang sejak 17 April lalu dan dikhuatiri diculik, akhirnya pulang semula ke rumahnya di Taman Samudera, Batu Caves, dekat sini, awal pagi semalam. 

Budak itu mengaku tidur di rumah kawan sepanjang kehilangannya kerana takut dimarahi bapanya. 

Mazlan Ibrahim, 12, dikatakan dihantar bapanya ke pasar raya di Batu Caves pada 17 April lalu untuk menemui seorang kawannya, namun sejak itu dia tidak pulang ke rumah. 

Kelmarin, bapa budak itu, Ibrahim Muhamad, 45, membuat sidang media kerana bimbang anaknya diculik dan merayu sesiapa yang mengambil Mazlan memulangkannya dengan segera. 

Ibrahim berkata, laporan polis tentang kehilangan anaknya juga sudah dibuat. 

"Pada 12.30 tengah malam, saya mendapat panggilan daripada seorang jiran yang memberitahu bahawa Mazlan dilihat di pasar larut malam di Sri Gombak, Batu Caves. 

“Sebaik mendapat panggilan itu, saya terus ke sana dan akhirnya menemui Mazlan dan membawanya pulang ke rumah,” katanya di sini, semalam. 

Ibrahim berkata, anaknya menginap di rumah rakannya di Sri Gombak sepanjang dua minggu tidak pulang ke rumah. 

“Saya tanya kenapa dia tak balik rumah, tak jawab panggilan telefon dan tak hantar SMS, lalu dia kata dia tidak mahu balik ke rumah sebab takut saya marah kerana dia mengikut rakannya itu. 

“Dia duduk di rumah bujang rakannya yang berumur 20-an," katanya. 

Ibrahim berkata, dia tidak mengenali pemuda itu dan hanya berjumpa dia ketika polis mengambil keterangan kedua-dua mereka pada jam 1 pagi semalam. 

“Anak saya berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang tanda yang menunjukkan dia diculik,” kata Ibrahim. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan polis sudah mengambil keterangan daripada Mazlan dan rakannya berhubung kejadian itu. 

“Mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Tampar suami di khalayak ramai




KUALA KEDAH – Alangkah hibanya hati seorang isteri melihat suami yang diharap untuk menjadi teladan dalam keluarga, ditahan kerana disyaki menagih dadah. 

Rasa sabar yang dibendung, akhirnya tidak tertahan lalu tangan dihayun tepat ke muka suami. 

Itulah insiden yang berlaku di pekarangan Balai Polis Kuala Kedah, di sini susulan Ops Tapis, semalam. 

Lebih memilukan, kejadian turut disaksikan orang ramai. 

Lelaki itu antara 55 yang ditahan, termasuk empat yang masih di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Ops Tapis dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar khusus memerangi gejala dadah dalam kalangan nelayan di beberapa pelantar ikan di sini. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Deputi Superintendan Zainuddin Saad berkata, operasi bermula jam 6 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu disertai empat pegawai dan 28 anggota, berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua yang ditahan mendapati 30 daripadanya positif dadah termasuk empat yang masih di bawah pengawasan AADK.

“Majoriti yang ditahan ini adalah nelayan berumur antara 25 hingga 50 tahun. Kami turut merampas sebuah motosikal Honda dipercayai dicuri dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.

Zainudin berkata, empat penagih di bawah pengawasan AADK yang berumur 25 hingga awal 40an cuba bertindak agresif ketika ditahan.

Menurutnya, pihaknya juga menemui 27 keratan straw mengandungi heroin dan 12 keratan straw berisi syabu yang disyaki untuk bekalan nelayan yang akan turun ke laut.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah kira-kira RM1,000 yang mana setiap tiub berisi syabu ini dijual dengan harga antara RM40 hingga RM50, manakala RM10 untuk setiap keratan straw heroin.

“Pengedar dadah berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ini juga turut ditahan, termasuk mereka yang pernah ditahan sebelum ini. Polis masih lagi menjalankan siasatan dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh,” katanya.

Zainudin berkata, operasi itu adalah kali kedua dijalankan selepas operasi pada penghujung Mac lalu dan dalam operasi semalam, kira-kira 15 hingga 20 orang terlepas ketika serbuan.

Menurutnya, kesemua yang ditahan, akan disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Peluru dalam tulang belakang


Peluru dalam tulang belakang 

KLANG - Belum reda insiden seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak anggota polis, seorang pemuda tampil membuat kenyataan berhubung kes yang hampir meragut nyawanya tahun lalu. 

Shahril Azlan Ahmad Kamil, 25, mendakwa kejadian pada April 2009 itu berlaku di Seksyen 7, Shah Alam dalam satu sekatan jalan raya sekitar jam 12 malam bersama empat rakannya yang lain. 

Menurutnya, beliau memberhentikan kereta di bahu jalan akibat panik kerana menyedari cukai jalan kenderaan miliknya itu telah tamat tempoh namun secara tiba-tiba dua das tembakan dilepaskan ke arah beliau dan rakan-rakannya yang lain dalam kereta itu. 

“Satu das datang dari arah kiri dan menembusi rusuk saya serta anggota polis berkenaan datang memecahkan cermin kereta sambil mengacukan pistol untuk meminta kami keluar. 

“Saya bertanyakan apa kesalahan yang menyebabkan saya ditembak namun anggota polis berkenaan berlalu meninggalkan saya yang dalam keadaan kesakitan di situ,” katanya. 

Shahril berkata, selepas itu seorang pegawai polis yang turut ada di tempat kejadian datang dan terkejut melihat beliau yang berlumuran darah akibat terkena tembakan itu. 

Menurutnya, beliau dibiarkan hampir dua jam sebelum ambulans tiba dan beliau di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) namun dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat keadaannya yang serius. 

“Doktor mengesahkan tembakan itu mengenai rusuk dan peluru itu masih berada di dalam tulang belakang sehingga kini. Pihak hospital juga memaklumkan risiko untuk mengeluarkan peluru itu agak tinggi dan berkemungkinan saya boleh lumpuh jika dikeluarkan,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata,beliau akan membawa perkara ini ke mesyuarat Exco untuk tindakan selanjutnya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang serius kes ini kerana ia melibatkan soal nyawa dan akan membantu menyediakan khidmat guaman kepada Shahril kelak. 

“Pengadu kini tidak mampu lagi bekerja secara berlebihan akibat peluru yang masih berada di dalam tulang belakangnya. Malah beliau juga mengalami trauma akibat kejadian itu. 

"Lebih menghairankan, kes berkenaan seolah-olah senyap tanpa ada tindakan daripada polis untuk menyiasat anggota mereka yang bertindak sedemikian,” katanya.

8 sekeluarga trauma diserang



KUALA NERUS – Lapan sekeluarga di Kampung Tok Jiring, di sini, berhadapan saat cemas apabila rumah mereka diserang sekumpulan empat ahli keluarga sendiri. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, keluarga malang terbabit dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat selepas penyerang melanggar tiang garaj mereka dengan kereta. 

:Isteri mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah menonton televisyen sebelum bertindak keluar untuk melihat apa yang berlaku. 

“Ketika keluar, saya lihat suami dan tiga anak lelaki kami bergelut dengan sekumpulan empat lelaki di pekarangan rumah. 

“Kejadian berlaku begitu pantas sehingga saya terkaku,” katanya.

Rayuan ditolak, hukuman denda Gobalakrishnan kekal



SHAH ALAM 30 April - Hukuman denda RM1,000 yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan oleh Mahkamah Sesyen di sini dikekalkan selepas pihak pendakwaan gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian hari ini semasa menolak permohonan pihak pendakwa agar Mahkamah Tinggi di sini menggunakan budi bicara untuk membenarkan petisyen tersebut mengikut Seksyen 310 Kanun Tatacara Jenayah.
''Mengikut Seksyen 310 Kanun Tatacara Jenayah, sebarang permohonan agar mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan petisyen rayuan yang difailkan di luar tempoh masa perlu dibuat secara rasmi.
''Oleh kerana pihak pendakwaan tidak membuat permohonan secara rasmi, maka permohonan ini ditolak,'' katanya.
Pada prosiding hari ini, Gobalakrishnan diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Hamid manakala pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani dan Mohd. Nordin Ismail.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilihat tersenyum sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan tersebut.
Pada 16 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hasbi Hassan menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tujuh minggu selepas Gobalakrishnan mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menakutkan pegawai polis dalam satu perhimpunan haram anjuran Hindraf.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam satu perhimpunan haram di depan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 3 pagi, 25 November 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum ini, Gobalakrishnan yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan atas tuduhan menakutkan pegawai polis dengan merosakkan dua pintu pagar Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves dekat sini.
Mengikut fakta kes, hampir 2,000 individu berketurunan India yang berkumpul di depan pintu besar kuil tersebut pada pukul 12.50 tengah malam hari kejadian, telah diarahkan bersurai tetapi tidak diendahkan.
Mereka kemudian didakwa bertindak memasuki kawasan kuil itu dan secara tiba-tiba bertindak membaling pelbagai objek seperti batu, besi dan kayu ke arah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota polis yang lain.
Empat kenderaan polis pelbagai jenis turut rosak akibat dibaling dengan objek keras itu.
Dalam kes ini, seramai 66 individu telah didakwa. Bagaimanapun 57 daripada mereka telah menukar pengakuan kepada bersalah dan didenda antara RM750 dan RM850, manakala selebihnya masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan sedang dibicarakan di mahkamah sama.

Pandu kereta guna kaki kanan




GAMBAR yang disiarkan oleh akhbar Jawa Pos kelmarin menunjukkan Alberta Aceng memandu dengan menggunakan kaki 
kanannya.


WONOSOBO, Indonesia - Seorang lelaki, Alberta Aceng Dhani Setiawan bertekad untuk mencipta rekod dengan memandu sebuah kereta menggunakan satu kakinya dari Borobudur di Magelang hingga ke Istana Negara di Jakarta, lapor Jawa Pos kelmarin.
Dia kini yang lahir tanpa dua tangan itu terus berlatih dan mengumpulkan dana tanpa mengenal erti putus asa bagi merealisasikan impiannya.
Pada Khamis lalu, dia yang berumur 37 tahun kembali berlatih di Alun-Alun Wonosobo.
Bapa dua anak itu yakin mampu memecahkan rekod tersebut kerana dia kerap memandu kereta ke Jogjakarta dan Solo. - Agensi

Chef nyaris dibaham buaya




GAMBAR menunjukkan Kyle MacLennan sedang berenang tanpa menyangka kehadiran seekor buaya (dalam bulatan) di Darwin, Australia.


DARWIN - Seorang chef dari Australia, Kyle MacLennan nyaris menjadi hidangan seekor buaya apabila dia berenang dekat haiwan itu di Darwin, lapor sebuah akhbar semalam.
Tukang masak itu tidak menyangka dia sebenarnya berenang dekat dengan seekor buaya tersebut yang berada cuba beberapa meter daripadanya, baru-baru ini. Ketika kejadian, chef itu sedang berenang menuju ke botnya.
Ibu chef itu, Lui MacLennan berjaya merakamkan gambar anaknya berenang dekat dengan buaya tersebut dengan menggunakan telefon berkamera.
"Saya tidak sedar mengenai kehadiran buaya itu sehingga saya melihat gambar berkenaan.
"Saya amat berharap ibu saya bergurau tetapi ibu saya meyakinkan saya dia tidak cuba melakukan gurauan," kata chef tersebut. - Agensi

Bom kereta di Times Square gagal meletup




SEORANG anggota polis memakai sut bom memeriksa sebuah kereta Nissan Pathfinder yang mengandungi bahan letupan di Times Square, New York kelmarin.


NEW YORK - Pihak polis telah menemui sebutir bom 'amatur' tetapi cukup berkuasa yang sedia untuk diletupkan di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diletakkan di 45th Street di pusat tumpuan ramai, Times Square di New York kelmarin.
Bom yang tidak meletup itu menyebabkan ribuan pengunjung diarah keluar dari kawasan itu selama sepuluh jam bagi membolehkan ia dimusnahkan.
"Kami berjaya mengelakkan satu insiden yang sangat berbahaya. Ia mungkin akan meletup dan menyebabkan kebakaran besar serta menyebabkan satu kesan letupan yang dahsyat," kata Datuk Bandar New York, Micheal Bloomberg.
Para penyiasat mengalihkan tiga tangki propana, mercun, dua bekas yang berisi 19 liter minyak, dua buah jam, wayar elektrik, dan komponen-komponen lain di bahagian belakang kenderaan SUV Nissan Pathfinder.
Bloomberg menyifatkan kerja-kerja meletakkan bahan letupan itu dilakukan oleh kumpulan amatur.
Jurucakap polis, Paul Browne berkata, bom tersebut dikatakan mula hendak meletup tetapi gagal berfungsi sepenuhnya.
Kereta tersebut dikesan mengandungi bahan letupan selepas seorang penjual kemeja-t memberitahu polis mengenai asap yang keluar dari SUV itu pada pukul 6.30 petang.
"Asap keluar daripadanya, lampu kecemasan menyala dan ia tidak bergerak," kata Rallis Gialaboukis, 37, yang berniaga sejak 20 tahun lalu. - AP

Kayu 20 meter bukti kukuh bahtera Nabi Nuh




GAMBAR di laman YouTube menunjukkan serpihan kayu yang ditemui oleh satu kumpulan ekspedisi China-Turki di dalam lereng Gunung Ararat, Turki.


WASHINGTON - Seorang anggota ekspedisi China-Turki mempertahankan dakwaan mengenai penemuan serpihan bahtera Nabi Nuh di celah lereng Gunung Ararat setinggi 4,000 meter di Turki, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Sebelum ini terdapat pelbagai pihak yang meragui penemuan kumpulan itu selepas pendedahannya dibuat pada satu sidang akhbar pada minggu lalu di Hong Kong sehingga seorang saintis Britain mahu bukti lebih kukuh dikemukakan.
"Bagaimanakah sebuah kapal boleh berada di atas gunung," kata seorang anggota ekspedisi itu yang memasuki Gunung Ararat pada Oktober lalu, Yeung Wing-cheung.
Menurut seorang penyelaras ekspedisi itu, Clara Wei, satu-satunya rekod struktur kayu yang ditemui di gunung itu ialah daripada bahtera Nabi Nuh.
"Sehingga kini, saya percaya ini ialah satu penjelasan yang paling munasabah. Kami tidak mempunyai penjelasan lain. Kami tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan," tambahnya.
Menurut Wei: "Anda boleh menyewa beberapa ekor kuda untuk membawa beg tetapi anda tidak boleh mengimbangi kuda tersebut dengan kayu sepanjang 20 meter ( yang ditemui di dalam lereng gunung itu)."
Dia berkata, tidak ada tembikar dan bukti kebudayaan lain ditemui di gunung tersebut.
Pada Isnin lepas, kumpulan ekspedisi tersebut mengumumkan penemuan struktur dan serpihan kayu bahtera Nabi Nuh di dalam lereng Gunung Ararat, Turki dengan menyatakan ujian karbon menunjukkan barang yang ditemui itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh sama kejadian banjir besar berlaku.
Beberapa pihak meragui penemuan itu kerana pasuakan ekspedisi itu tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat penemuan berkenaan.
Namun, kumpulan ekspedisi itu menyatakan lokasi sebenar tempat penemuan tersebut akan didedahkan selepas pemerintah Turki bersetuju menjadikan tempat penemuan sebagai kawasan arkeologi.
Pada Jumaat lalu, agensi berita AFP menyatakan, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China. - Agensi

Harta karun 1,000 tahun di perairan Indonesia dilelong




SERPIHAN barang kemas yang mengandungi tulisan Arab turut ditemui.


JAKARTA - Harta karun yang ditemui oleh sekumpulan nelayan dari bangkai sebuah kapal karam berusia 1,000 tahun akan dilelong di Jakarta pada Rabu depan dengan harga minimum AS$80 juta (RM254.8 juta).
Pencari harta karun dari Belgium, Luc Heymans menyatakan ia adalah penemuan terbesar di Asia.
KEPINGAN bercetak yang berusia 1,000 tahun.


Harta karun itu merangkumi 271,000 batu delima, mutiara, emas, batu kristal, barangan kaca Iran dan tembikar Maharaja China berusia 976 Tahun Masihi.
"Ketika itu, terdapat banyak aktiviti perdagangan antara Arab dan India dan yang datang ke Jawa serta Sumatera," kata Heymans yang mengetuai kerja-kerja menyelamat dan pernah berbalah dengan pegawai-pegawai Indonesia untuk membawa harta karun berkenaan ke daratan.
LUC HEYMANS memegang pasu besar yang ditemui pada 
bangkai kapal di perairan Cirebon.


Kerja-kerja mencari di tapak kapal karam itu di Cirebon, Jawa Barat bermula pada tahun 2004.
"Tapak itu seluas 40 meter kali 40 meter dan ia hanyalah timbunan tembikar. Anda tidak akan menemui sebarang kayu," kata Heymans.
SEBAHAGIAN barangan porselin yang ditemui.


Harta karun itu termasuk serpihan tembikar dari pemerintahan dinasti Liao (907-1125) dan barang-barang dagangan dari pemerintahan Lima dinasti (907-960) di China.
Di bawah persetujuan dengan Heymans, pemerintah Indonesia akan mengambil 50 peratus daripada hasil lelongan tersebut.
Dikendalikan oleh pemerintah Indonesia, pembida perlu menyerahkan deposit sebanyak AS$16 juta (RM50.9 juta) untuk mengambil bahagian dalam acara lelongan.
Para pembida dijangka datang dari China, Singapura, Jepun dan Taiwan. - AFP

Stabil tapi masih kritikal




RUMAH Ramli di Kampung Sungai Pinang di Tumpat lengang kerana dipercayai semua ahli keluarganya berada di HRPZ II, Kota Bharu semalam.




KOTA BHARU - Pengawal keselamatan Istana Negeri, Kubang Kerian, Ramli Mohd., 50, yang cedera parah ditembak individu tidak dikenali masih kritikal tetapi agak stabil dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.
Isteri mangsa, Maznah Muztafa, 50, berkata, peluru yang menembusi bahagian dada suaminya itu belum dikeluarkan kerana pembedahan tidak dapat dilakukan kerana suaminya belum keluar daripada tahap kritikal.
Menurutnya, pegawai perubatan akan mengeluarkan peluru tersebut apabila kesihatan suaminya bertambah baik.