Search This Blog

Sunday, May 2, 2010

Tiga lelaki cuba seludup 48,000 liter petrol diberkas



02/05/2010 3:50pm

ALOR SETAR 2 Mei - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah berjaya membanteras satu sindiket penyeludupan petrol ke negara jiran setelah menahan tiga lelaki bersama empat lori tanker mengandungi hampir 48,000 liter petrol di sini malam tadi.
Komandernya, Mohd. Noor Idris berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan menyeludup petrol bersubsidi melalui Padang Besar ke Thailand.

Katanya, beliau bersama bersama tujuh anggota UPP menyerbu satu tapak kilang di Kampung Selarong Batak, Batu 3, Jalan Batas Paip, Teluk Kechai, pukul 9.30 malam tadi selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
"Sebaik tiba, didapati hampir 48,000 liter petrol bernilai lebih RM86,000 telah dipindahkan dari sebuah lori tanker ke dalam tiga buah lori tanker lain yang tiada permit mengangkut petrol,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tapak tersebut dipercayai dijadikan tempat pemindahan petrol dari lori tanker anggota sindiket itu sejak tiga bulan lepas. - Bernama

Gadai tanah pusaka bayar hutang ibu tiri



CARDIFF - Seorang peladang di Wales, Britain kehilangan estet pusaka seluas 100 hektar warisan keluarga sejak tiga generasi untuk membayar tuntutan hutang oleh ibu tirinya, Lidiya Shulga dari Ukraine yang suka berbelanja mewah.
Christopher Morgan, 34, berkata, wanita itu ialah isteri kedua mendiang bapanya, Keith Morgan, 58, yang diceraikan selepas enam tahun berkahwin kerana tidak tahan dengan sikapnya gemar membuat tuntutan.
"Kami bersusah-payah memajukan ladang ini bermula daripada kosong sehingga pernah muncul antara terbaik di Britain tetapi dia (Shulga) hanya tahu meminta itu dan ini," katanya.
Christopher semalam diarah oleh sebuah mahkamah di sini untuk membayar tuntutan Shulga yang berjaya mendapat harta berjumlah £115,000 (RM562,000). - Agensi

Sindiket nombor ekor terbesar di Lembah Klang tumpas



KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket nombor ekor haram membabitkan pertaruhan kira-kira RM2.4 juta sebulan dengan penahanan lima wanita warga tempatan di sebuah unit di Apartmen Suria, Taman Perindustrian Kepong di sini malam tadi.
Ketua Operasi, Supritendan Maszley Minhad dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman berkata, tiga daripada mereka adalah adik-beradik dan kesemua yang ditahan berumur antara 21 dan 28 tahun.
"Dalam serbuan pukul 6.40 petang itu polis turut merampas empat buah komputer riba, enam mesin faksimili, lima telefon bimbit, wang tunai RM291.40 dan beberapa dokumen perjudian dipercayai untuk kegiatan judi ekor haram, katanya kepada pemberita di sini.

China ajar guru lawan penyerang murid




DUA orang guru di China berlakon teknik menangkap penyerang dengan bimbingan seorang pegawai polis.


BEIJING - Pihak berkuasa China mengarahkan semua guru diajar teknik mempertahankan diri ekoran banyak kes serangan oleh individu yang memecah masuk dan mencederakan murid di kawasan sekolah kebelakangan ini.
Mereka turut mendapat latihan asas teknik memberkas penyerang daripada pihak polis selain bilangan anggota keselamatan ditambah di kawasan yang dikenal pasti berisiko, lapor agensi berita rasmi Xinhuasemalam.
Kelmarin, seorang lelaki membakar diri sehingga mati selepas menetak lima murid dengan tukul besi di sebuah tadika di bandar Weifang, wilayah Shandong, insiden serangan ketiga dalam masa tiga hari berturut-turut.
Profesor sosiologi di Universiti Renmin di sini, Zhou Xiaozheng berkata, siri serangan seolah-olah seperti jangkitan apabila ramai cuba meniru kes sebelum itu dan semua penyerang memiliki latar belakang gangguan mental.
"Ia ibarat membunuh diri," katanya merujuk kajian terbaru mendapati China kini memiliki 173 juta orang bermasalah jiwa. - Agensi

Parti lesbian berleluasa




GOLONGAN lesbian menganjurkan parti liar di sebuah premis hiburan di Jalan Munsyi Abdullah, Kuala Lumpur kelmarin


KUALA LUMPUR - Menari sambil menjilat tubuh pasangan masing-masing!
Itu antara aksi panas pengunjung sebuah pusat hiburan yang majoritinya golongan lesbian dan pengkid di Jalan Munshi Abdullah di sini malam tadi.
Selepas mendapat maklumat, wartawan Kosmo! Ahad yang menyamar sebagai pengunjung di pusat hiburan itu mendapati aksi itu sebahagian daripada pakej parti liar yang diadakan khas buat pengunjung kelab tersebut pada malam minggu.
Bermula kira-kira pukul 9 malam, kelibat lebih 100 orang yang rata-ratanya terdiri golongan songsang tersebut dapat dilihat membanjiri premis berkenaan.

Askar wanita didakwa raba rakan sekerja



MELBOURNE - Kapal HMAS Success sekali lagi berhadapan dengan satu skandal seks dan alkohol selepas seorang askar wanita berkelakuan tidak senonoh di Singapura baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita tersebut didakwa turun ke sebuah pelabuhan di Singapura pada bulan lalu tetapi dia kemudian mabuk seterusnya meraba rakan-rakan lelakinya.

Salah seorang daripada lelaki tersebut telah membuat aduan rasmi mengenai kelakuannya.

Perkhidmat Pasukan Pertahanan Tentera Australia telah melancarkan siasatan berhubung kes berkenaan. - Agensi

Wanita Saudi dilarang joging


RIYADH - Suruhanjaya Amar Makruf dan Nahi Munkar Arab Saudi kelmarin mengeluarkan larangan ke atas wanita negara itu berjoging atau melakukan senaman jasmani di sebuah bandar di wilayah Asir yang bersempadan dengan Yemen.
Larangan dibuat untuk kepentingan wanita dan bukan mengharamkan mereka bersenam selain tiada jaminan keselamatan untuk golongan hawa jika diserang penjenayah atau mengalami gangguan seksual apabila berjoging di kawasan sunyi.
Namun akhbar Al-Watan semalam melaporkan, langkah itu dipertikaikan pelbagai pihak dan mendakwa, belum pernah ada wanita yang diserang, sebaliknya ia akan menyusahkan lagi golongan tersebut untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.
"Kawasan laluan pejalan kaki di bandar Al-Mujaradah yang didakwa pihak suruhanjaya itu kononnya kurang terang dengan lampu, ada penagih dadah dan remaja liar sebenarnya adalah selamat," kata seorang wanita, R.S Al-Shahri. - Agensi

Bapa ayam, 4 pelacur Indonesia ditahan





EMPAT orang wanita warga Indonesia disyaki pelacur ditahan polis di sebuah rumah di Taman Megah, Batu Pahat, kelmarin. - MINGGUAN/Norzainura Abdul Majid



BATU PAHAT 1 Mei - Seorang lelaki dipercayai 'bapa ayam' dan empat wanita warga Indonesia disyaki pelacur ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Megah dekat sini, Rabu lalu.
Dalam serbuan pada pukul 12.15 tengah malam itu, empat pelanggan dan dua warga Bangladesh berusia antara 30 dan 35 tahun turut ditahan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, polis juga merampas 48 bungkus kondom daripada kesemua wanita tersebut berusia antara 22 dan 33 tahun.
"Pemeriksaan mendapati rumah itu diubah suai untuk membolehkannya digunakan untuk kegiatan maksiat," katanya kepadaMingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, serbuan hasil maklumat awam itu dilakukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tersebut.
Katanya lagi, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 373 Kanun Keseksaan manakala empat wanita terbabit Seksyen 372B KK, 39(B) - Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menyeru orang rami agar bekerjasama membantu polis membanteras kegiatan-kegiatan tidak bermoral yang disyaki berlaku di kawasan mereka.
"Orang ramai kena ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka dan dengan cara ini kegiatan tidak bermoral dapat kita banteras," ujarnya.

Mercedes tembus dinding

TULSA (Oklahoma): Seorang pemandu terselamat selepas keretanya merempuh dinding hingga hampir separuh daripadanya terjulur keluar di tingkat tujuh sebuah bangunan tempat letak kereta di sini semalam.
KEADAAN kereta Mercedes di tingkat tujuh.
KEADAAN kereta Mercedes di tingkat tujuh.
SEBAHAGIAN kereta Mercedes yang terjulur keluar.
SEBAHAGIAN kereta Mercedes yang terjulur keluar.
Kejadian berlaku selepas kaki pemandu berkenaan tersepit antara pemecut dengan brek ketika dia berundur.
Kereta Mercedes itu meluncur laju sehingga melanggar dinding menyebabkan ia berlubang dan sebahagian kereta itu terjulur keluar.

Pemandu berusia 67 tahun yang namanya tidak didedahkan bagaimanapun terselamat.

Kejadian itu juga menyebabkan batu dinding itu jatuh menghempap dan memecahkan cermin beberapa kereta yang parkir di bawah.

Jurucakap Jabatan Polis Tulsa, Korporal David Crow berkata: “Mujur tidak ada orang lalu lalang ketika kejadian.” Pihak berkuasa tidak menghadapi kesukaran menarik kereta itu kerana roda belakangnya tidak terkeluar keseluruhannya.

Seorang saksi berkata: “Ia kejadian paling pelik pernah saya lihat. “Bunyinya sungguh kuat. Kami melihat ke atas dan nampak kereta itu menembusi tembok.” Lubang berkenaan kini ditampal sementara dengan papan lapis.

Crow berkata: “Kira-kira jam 1.50 petang, kami menerima laporan mengenai sebuah kereta melanggar tembok.

“Kami tidak dapat bayangkan apa sebenarnya berlaku. “Tetapi apabila tiba di sini, kami melihat Mercedes berkenaan tergantung di tingkat tujuh.” - Agensi

Lelaki hina raja Thai dalam Internet ditangkap

BANGKOK: Pihak berkuasa Thai semalam menangkap dan mendakwa seorang lelaki yang bersimpati terhadap kumpulan Baju Merah atas dakwaan menghina keluarga diraja Thai.
Wipas Raksakulthai, 37, ditangkap di rumahnya di Rayong, wilayah timur Thai. Dia dituduh membuat kenyataan menghina keluarga di raja menerusi laman web sosial Facebook bulan lalu.
Menurut undang-undang Thai, mereka didapati bersalah atas tuduhan itu boleh dipenjara 15 tahun. - AP

5 wanita penyamun lagak amah ditahan

MAKKAH: Polis menahan lima wanita pencuri dari Afrika yang menyamar sebagai amah sebelum melarikan barang berharga majikan mereka, lapor akhbar al-Madinah, semalam.
Sumber polis berkata, wanita terbabit biasanya menawarkan diri sebagai pembantu rumah dan melarikan diri hanya selepas beberapa ketika bekerja.
Sumber itu berkata, mereka turut disyaki terbabit dalam kecurian barang kemas bernilai lebih RM212,000 baru-baru ini.

“Operasi mereka berpusat di al-Awali dan al-Aziziya,” katanya. - Agensi

Bangkai pesawat ditemui

IPOH: “Saya tidak fikir ada sesiapa yang terselamat dalam insiden ini berdasarkan keadaan pesawat yang terputus dua.
“Jika ada pun yang cedera, mereka tidak mampu bertahan lama kerana pesawat ini terhempas di pedalaman hutan dan jauh dari kawasan penempatan.
“Malah, status pesawat dan penumpang di dalamnya mungkin diisytiharkan sebagai hilang (missing in action-MIA). “Justeru, saya berharap pihak bertanggungjawab memaklumkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengenai penemuan ini kerana jelas ia pesawat milik mereka,” kata seorang pembalak.

Beliau yang enggan identitinya didedahkan berkata, bangkai pesawat dari zaman Perang Dunia Kedua itu ditemui sekumpulan pembalak di satu kawasan cerun terpencil di Gunung Bubu di Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari sini, hampir dua minggu lalu.

Menurutnya, penemuan itu dibuat secara tidak sengaja ketika dia bersama beberapa rakan merentas denai di hutan terbabit bagi menanda kawasan pembalakan baru.

“Sebaik tiba di satu kawasan cerun berketinggian kira-kira 20 meter, seorang daripada kami terlihat objek bersinar di bawah cerun berkenaan.

“Dia kemudian turun melihatnya sebelum menjerit meminta kami turun. Saya terkejut apabila melihat objek berkenaan ialah bahagian belakang sebuah pesawat besar yang terputus dua. “Melihat keadaan persekitarannya, saya percaya kami adalah orang pertama menemuinya dan serpihan pesawat seperti enjin dan peralatan dipercayai alat komunikasi turut ditemui di kawasan berhampiran. “Namun, kami tidak menemui bahagian depan pesawat berkenaan dan ia mungkin terputus ketika terhempas berdasarkan keadaan hutan di gunung ini yang berhutan tebal dan berbukit,” katanya.

Wartawan Harian Metro yang menonton rakaman video penemuan bangkai pesawat itu yang diambil melalui telefon bimbit milik seorang daripada pembalak itu, mendapati dakwaan pesawat terbabit milik AS dapat dilihat dengan jelas.

Ia berdasarkan logo pada bahagian tepi sayap pesawat berkenaan yang masih jelas tertera Air Transport Command (ATC) atau Ketumbukan Pengangkutan Udara iaitu unit Tentera Udara AS (USAF) yang sudah tidak aktif.

Rumah kedai ‘tidak senonoh'

REMBAU: Kewujudan sebuah rumah kedai terbiar di Taman KSNS Chembong di sini, bukan hanya mencacatkan pemandangan, malah turut dijadikan ‘markas’ segelintir individu tidak bertanggungjawab termasuk remaja melakukan perbuatan tidak bermoral seperti melepak dan meneguk ‘air setan’ sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.
Keadaan premis yang terbiar sejak dua tahun lalu itu amat teruk apabila hampir keseluruhan struktur bangunan mengalami kebocoran pada atap dan tingkap pecah selain dipenuhi longgokan sampah-sarap, sisa perabot serta barangan lusuh.
Selain melepak sambil bersembang dan meminum arak, rumah kedai itu turut dijadikan tempat mereka melakukan kegiatan vandalisme iaitu menconteng dinding dengan tulisan berunsur lucah.

Lebih menyedihkan, premis terbabit terletak berdekatan deretan kedai lain hingga melahirkan rasa kurang selesa kepada pengunjung termasuk peniaga di kawasan berkenaan kerana terpaksa berdepan situasi itu setiap hari.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Razak, 22, berkata dia amat kecewa apabila sering kali melihat sekumpulan remaja berpeleseran di dalam bangunan itu tanpa diketahui tujuan mereka.

“Apabila diperiksa, saya dapati kawasan sekitarnya terlalu kotor dan menjijikkan dengan dipenuhi longgokan botol arak dan sampah-sarap lain yang dibiar berselerakan.

“Selain itu, kawasan terbabit berbau hancing kerana perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang sesuka hati membuang air kecil,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Razak, dia khuatir masalah sosial terutama membabitkan remaja di seluruh daerah itu akan menjadi semakin serius sekiranya perkara terbabit dipandang ringan pihak berkenaan.

“Justeru, saya memohon pihak berkenaan mengambil kira permasalahan itu dan bertindak segera termasuk menjalankan pemantauan atau menutup rumah kedai usang terbabit.

“Langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat menjadi lebih terjamin daripada gangguan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang enggan dikenali, berkata keadaan itu turut menyakitkan mata pengunjung kerana kedudukan premis terbabit berdekatan jalan utama Rembau ke Seremban selain bersebelahan laluan memasuki Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong yang kerap menjadi tumpuan.

“Sekiranya keadaan itu dibiarkan berterusan, saya bimbang individu di dalam rumah kedai terbabit akan mengganggu penuntut IKBN terutama wanita dan berkemungkinan berlaku perkara tidak diingini.

“Lebih baik masalah itu dicegah lebih awal supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Sampan sarat penumpang karam: 15 pelajar maut





2010/05/01
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GUWAHATI (India): Seramai 15 orang - kebanyakannya pelajar - dipercayai terbunuh selepas sebuah sampan kayu yang sarat penumpang karam di tengah Sungai Buridihing di Assam, kata polis semalam.
Jurucakap polis berkata, disebabkan arus deras, mungkin tiada lagi mangsa selamat.
Kebanyakan pelajar dalam perjalanan pulang dari sekolah. - AFP

Pemburu harta karun diburu





2010/05/01
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JAKARTA: Polis Indonesia semalam berkata, mereka melarang pemburu harta karun dasar laut, Michael Hatcher, meninggalkan negara itu dan kini dianggap sebagai buruan.
Hatcher - dilaporkan lahir di Britain tetapi membesar di Australia - dikehendaki kerana cuba menyeludup ribuan kepingan tembikar zaman Dinasti Ming (1368-1644) menggunakan dua kapal pada September tahun lalu.
Kapal itu berjaya dipintas pihak berkuasa Indonesia.

Kira-kira 2,360 barangan tembikar disita di atas dua kapal yang ditahan pihak berkuasa di perairan Jawa Barat.

Ketua Siasatan Jenayah Indonesia, Ito Sumardi, berkata larangan itu dikeluarkan kelmarin selepas polis yakin Hatcher mencuri harta karun negara.

“Polis masih mengesan di mana dia berada,” katanya.

Semalam, polis berkata memiliki bukti kukuh mengaitkan Hatcher dengan operasi mengeluarkan harta karun dari kapal purba yang karam di Selat Jawa.

Polis berkata, barangan dikeluarkan dari bangkai kapal itu mula ditawarkan Hatcher di pasaran.

Jika disabitkan kesalahan, Hatcher boleh dipenjara lima tahun dan denda RM17,500.

Pemburuan ke atas Hatcher dibuat ketika kerajaan bersiap sedia melelong kira-kira 270,000 harta karun dari Tunisia, Mesir, China dan India yang diekskavasi dari Selat Jawa pada 2003. - AFP

Pas buat laporan polis berhubung kenyataan bunuh terhadap Nik Abdul Aziz



KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan bunuh yang dipaparkan dalam sebuah laman web sosial milik seorang lelaki terhadap Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan At-Tantawi di Balai Polis Chow Kit selepas membaca mengenai ugutan bunuh itu di laman Facebook lelaki berkenaan, Khamis lalu.

"Saya menyedari mengenai ugutan terbabit, selepas membaca komen seorang lelaki menggunakan nama Mohd Safuan Mohd Hilmi, yang ditulis pada malam Khamis lalu.

"Dalam laman webnya lelaki itu dikatakan sanggup dihukum gantung jika dapat membunuh Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan balai polis itu.

Beliau berkata PAS menganggap ancaman bunuh dalam laman sosial itu sebagai perkara yang sangat serius kerana ia membabitkan soal keselamatan dan secara tidak langsung memberi ancaman terhadap Nik Abdul Aziz.

Lelaki dituduh rogol anak kandung



SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 14 Mei sebagai tarikh sebutan dan keputusan kes seorang pekerja kilang yang didakwa merogol anak kandung berumur 11 tahun. 

Hakim, Hasbi Hasan menetapkan tarikh itu selepas tertuduh mengaku memahami ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. 

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 April lalu di Taman Widuri, Bukit Beruntung, dekat sini, kira-kira jam 3 petang. 

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, bapa berusia 31 tahun ini dituduh melakukan kesalahan sama pada 16 dan 19 April di tempat yang sama. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 

Dalam prosiding semalam, tertuduh hanya mengaku bersalah terhadap satu daripada tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. 

“Saya mengaku bersalah atas tuduhan yang kedua tapi bagi pertuduhan pertama dan ketiga saya minta dibicara,” katanya.

Penduduk Palestin tunjuk perasaan sempena Hari Buruh



02/05/2010 3:20am

SEMPADAN EREZ, Genting Gaza 2 Mei - Kira-kira 2,000 penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan mewakili pekerja-pekerja sempena Hari Buruh pada hari ini berhampiran sempadan Erez-Israel bagi membantah tindakan negara Yahudi mengenakan sekatan ke atas Gaza.
“Kami menyeru seluruh dunia untuk menghentikan sekatan ke atas Gaza dan mempertahankan pekerja Palestin di seluruh kawasan yang dihuni oleh penduduk Palestin,” kata Ramzi Rabah, seorang penganjur demonstrasi oleh Barisan Depan Demokratik untuk Pembebasan penduduk Palestin (DFLP).
Penunjuk perasan yang terdiri di kalangan lelaki dan wanita dan mengibarkan bendera merah dan bendera Palestin berhimpun berdekatan sempadan di utara Gaza bagi menyahut seruan DFLP dan kumpulan berhaluan kiri yang lain.
Sementara itu, menurut saksi, ratusan penunjuk perasaan yang lain mengadakan mogok bagi membantah sekatan di Rafah di selatan Genting Gaza di sempadan Mesir.
Sekatan Israel dipertingkatkan sejak gerakan Hamas merampas kawalan ke atas Gaza pada Jun 2007 yang telah menyebabkan puluhan ribu penduduk Palestin bekerja di Israel. - AFP

Lelaki maut, 21 cedera bom meletup ketika rai Hari Buruh



02/05/2010 3:17am

MOSCOW 2 Mei - Seorang lelaki terbunuh manakala 21 yang lain cedera hari ini apabila sebutir bom meletup di Nalchik, ibu negara republik Kabardino-Balkaria, Rusia, sekali gus menunjukkan isyarat bahawa ketegangan sedang menular di rantau utara Caucasus.
Bom itu meletup semasa acara perlumbaan kuda diadakan di Nalchik, ketika bandar itu meraikan Hari Buruh, menurut seorang jurucakap kementerian dalam negeri kepada Reuters.
Bom tersebut dilengkapi dengan alat jangka masa termasuk kepingan besi untuk mencederakan seberapa ramai orang awam, menurut jurucakap, Marina Kyasova.
“Sekurang-kurangnya 21 orang mengalami kecederaan namun jumlah sebenar masih belum dikenalpasti,” katanya.
Para pemimpin republik itu termasuk Presiden Arsen Kanakov ketika itu bagaimanapun tidak berada di tempat kejadian.
Agensi Rusia berkata, mangsa yang terbunuh merupakan seorang askar yang pernah berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua dan dilahirkan pada tahun 1906. - Reuters

39 maut selepas masjid dibom di Somalia



02/05/2010 2:54am

MOGADISHU 1 Mei - Dua letupan di sebuah masjid di ibu negara Somalia, Mogadishu hari ini mengorbankan 39 penganut agama Islam dan mencederakan sejumlah yang lain termasuk seorang ahli kanan kumpulan pemberontak al-Shabaab yang mempunyai rangkaian dengan al-Qaeda.
Ia merupakan serangan kedua minggu ini ke atas sebuah masjid di Pasar Bakara, sebuah kawasan di Mogadishu yang didominasi oleh anggota dua buah kumpulan pemberontak utama di negara itu iaitu, al-Shabaab dan Hizbul Islam.
Serangan hari ini disasarkan ke atas masjid Abdalla Shideye yang digunakan oleh pegawai-pegawai al-Shabaab untuk menyampaikan ucapan.
Kebanyakan mereka yang terbunuh dikatakan merupakan anggota, pegawai dan komander kumpulan pemberontak itu.
Beberapa saksi mendakwa, seorang pemimpin kanan al-Shabaab, Fuad Mohamed Khalaf merupakan sasaran utama.
Khalaf, turut dikenali sebagai Fuad Shongole, merupakan antara senarai mereka yang dikehendaki oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana pembabitannya dalam konflik itu. - Reuters

'Pastikan Limbang hak kita'





PADANG RENGAS 1 Mei - Malaysia tetap memastikan kawasan Limbang di Sarawak kekal sebagai hak milik negara ini walaupun konsesi Blok L dan Blok M menjadi milik Brunei dalam perjanjian persempadanan dengan Brunei pada Mac 2009.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana Malaysia tidak bodoh hendak membuat sesuatu yang merugikan dalam perjanjian tersebut.
Katanya, perjanjian tersebut jelas menyatakan Malaysia mempunyai bahagian dan mesti ada kerjasama dalam membangunkan bersama sumber minyak dan gas di kawasan itu.
"Perkara itu telah dijelaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahawa mesti ada kerjasama dan Malaysia ada bahagian dalam membangunkan sumber tersebut secara komersial Blok L dan Blok M," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen dan Karnival Rakyat Semarak Semangat 1Malaysia Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak dekat sini.
Mohamed Nazri diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta penjelasan Wisma Putra berhubung status dua kawasan pengeluaran minyak bernilai RM320 bilion yang kini dikatakan menjadi milik Brunei.
Bagaimanapun, Abdullah semalam berkata, perjanjian berhubung tuntutan dan pertindihan sempadan Limbang antara kerajaan Malaysia dan Brunei yang ditandatangani pada 16 Mac 2009 tidak merugikan Malaysia dari segi sumber pengeluaran minyak di kawasan itu.
Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata, Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal Limbang kerana ia merupakan sebahagian wilayah negara ini.
"Duit banyak mana pun boleh habis, tetapi tanah boleh kekal selama-lamanya," katanya.
Ditanya mengenai laporan bahawa Brunei telah membuat penafian bersetuju menyerahkan Limbang, Mohamed Nazri berkata, Brunei boleh membuat penafian itu, tetapi hakikatnya, Limbang tetap hak milik Malaysia.
"Kita akan pertahankan Limbang dan negara lain boleh kata apa pun, Limbang adalah hak Malaysia walaupun ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan melepaskan Blok L dan Blok M itu," tegasnya.
Dalam perkembangan lain Nazri meminta polis menyiasat kandungan ucapan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwa berbaur hasutan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Jika terbukti, Mohammad Nizar boleh didakwa mengikut Akta Hasutan kerana cuba merosakkan perpaduan rakyat di negara ini katanya.

Pasukan khas kawal sekolah China



BEIJING 1 Mei - China menubuhkan pasukan petugas khas bagi meningkatkan keselamatan sekolah, lapor media negara hari ini, selepas tiga serangan ganas ke atas kanak-kanak berlaku dalam minggu ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Hao Ping berkata, pengurusan kecemasan adalah 'tugas berat' ketika polis meronda di kawasan berdekatan sekolah bagi melindungi 270 juta pelajar seluruh negara.
Jelas beliau, sebanyak 22 buah universiti dan pakar kerajaan akan menyiasat insiden dalam sistem pendidikan itu dan mencari cara baru untuk memastikan 'pengurusan saintifik kecemasan' di sekolah-sekolah.
Ulasan Hao dibuat sehari selepas seorang petani menyerang pelajar sekolah rendah dengan menggunakan tukul di timur China semalam sebelum membakar dirinya sendiri, gelombang terbaru serangan yang setakat ini menyebabkan lapan kanak-kanak maut dan 50 yang lain cedera.
Amukan petani di wilayah Shandong itu menyebabkab lima kanak-kanak dan seorang guru cedera.
Khamis lalu, seorang penganggur yang kecewa dengan masalah peribadi dan kerjaya mengelar 29 kanak- kanak dan tiga dewasa dengan pisau sembelihan dalam serangan ke atas sebuah tadika di bandar Taixing, timur China.
Sehari sebelum itu, seorang guru bermasalah mental mencederakan 15 pelajar dan seorang guru lain dengan serangan menggunakan pisau di sebuah sekolah rendah di wilayah Guangdong, selatan negara ini. - AFP

Tumpahan minyak cemari pantai Louisiana



VENICE, Louisiana 1 Mei - Minyak dari tumpahan besar di Teluk Mexico telah sampai ke pantai Louisinia, mewujudkan ancaman bencana alam sekitar, ketika dua buah negeri berhampiran mengisytiharkan darurat.
Sebanyak 200,000 gelen minyak sehari melimpah masuk ke Teluk Mexico daripada telaga minyak yang pecah, berpunca daripada pelantar minyak luar pesisir yang tenggelam dan mungkin akan menjadi tumpahan minyak paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) selepas Exxon Valdez.
Pegawai persekutuan dan negeri AS memberi amaran kepada British Petroleum (BP) yang sumbernya tidak mencukupi untuk tugas tersebut ketika tiupan angin ke tenggara menyebabkan tumpahan minyak bergerak ke kawasan paya pantai Louisiana.
"Saya bimbang dengan sumber kepakaran yang dimiliki BP dalam menangani masalah ini tidak mencukupi.
"Saya menggesa mereka agar mendapatkan pertolongan kerajaan persekutuan dan sumber-sumber lain," kata Gabenor Lousiana, Bobby Jindal pada satu sidang akhbar.
Alabama dan Mississippi mengisytiharkan darurat terhadap ancaman tumpahan minyak yang semakin menghampiri pinggir laut masing-masing.
"Sumber semulajadi, perniagaan dan juga masyarakat yang berada di kawasan pantai kini terancam. Alabama tidak boleh mengambil mudah perkara itu," kata gabenornya, Bob Riley.
Gabenor Mississippi, Haley Barbour berkata, dia mengarahkan Pengawal Kebangsaan Mississippi untuk membantu pegawai tempatan dalam maklum balas kecemasan.
Tumpahan minyak itu memaksa Lousinia menutup kawasan penternakan udang dan tiram, ketika usaha berterusan negeri terlibat, kerajaan persekutuan dan sumber BP berusaha membendungnya dari merebak. - AFP

Malaysia tak akan 'curi' pelancong





SEBAHAGIAN anggota Baju Merah membuka sekatan jalan raya di depan Hosptal Chulalongkorn, Bangkok, semalam. - REUTERS


BANGKOK 1 Mei - Kedutaan Malaysia tidak akan 'mencuri' pelancong di Bangkok dengan melakukan promosi besar-besaran ketika ibu kota itu sedang bergolak akibat daripada krisis politik dalaman mereka.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaacob berkata, walaupun Thailand dilanda krisis tapi pihaknya tidak mahu menangguk di air keruh dalam 'merampas' pelancong yang ada di sini.
"Kami bersimpati dengan keadaan yang berlaku di Thailand tapi kami juga tidak akan menjalankan promosi besar-besaran untuk membolehkan pelancong yang ada di sini melancong ke Malaysia.
"Namun jika ada permintaan daripada pelancong di sini yang mahu ke Malaysia, kami terima dan akan diberi penerangan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Malah menurut beliau, pejabat Tourism Malaysia memang ada menerima banyak permintaan daripada pelancong asing di Bangkok yang mahu mengubah perjalanan ke Malaysia.
"Ada sesetengah daripada mereka mengubah fikiran secara sukarela dan sebaliknya mahu ke Malaysia selepas melihat situasi di Bangkok tidak pulih," katanya.
Sementara itu, perhimpunan kumpulan Baju Merah di Ratchaprasong sedikit tegang selepas terjadi percanggahan pendapat antara beberapa pemimpin mereka.
Ketika ada pemimpin Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) mahu sekatan jalan daripada tayar dan buluh runcing berhadapan Hospital Chulalongkorn di Jalan Ratchadamri dibongkar, ada pula pemimpin lain yang tidak mahu ia dilakukan.
Perkara ini terjadi selepas salah seorang pemimpin UDD, Suporn Atthawong diarahkan seorang pemimpin lain untuk membongkar sekatan di jalan itu namun ketika sampai di situ, seorang lagi pemimpin Baju Merah, menghalang daripada ia dilakukan.
"Kami menghantar Suporn untuk mengarahkan penyokong mengalihkan semula sekatan di Jalan Ratchadamri, namun ketika di sana, Seh Daeng (Maj. Jen Khattiya Sawasdiphol) menghalang daripada ia dilakukan.
"Ini bercanggah dengan prinsip baju merah yang mahukan protes ini dijalankan dengan aman dan selamat," kata seorang pemimpin Baju Merah, Jatuporn Promphan.
Khamis lepas, segelintir penyokong Baju Merah yang diketuai oleh Payap Panket cuba menceroboh Hospital Chulalongkorn yang terletak berdekatan perkampungan Baju Merah kerana mengesyaki ia dijadikan lokasi kerajaan menyimpan pasukan tentera dalam usaha untuk menggempur penunjuk perasaan antikerajaan itu.
Kejadian itu menyebabkan pihak hospital terpaksa memindahkan kira-kira 1,000 pesakit atas alasan keselamatan sementara pemimpin lain Baju Merah, Weng Tojirakarn memohon maaf atas kejadian berkenaan dan mengatakan ia "tidak sesuai, berlebihan dan satu tindakan tidak wajar".
Hasilnya, sekatan tayar dan buluh runcing berdekatan hospital itu dibongkar semalam bagi membolehkan kenderaan kecemasan keluar masuk hospital namun selepas beberapa jam dilakukan, sekatan itu dipasang kembali.
Lewat pagi ini, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ketua Pusat Resolusi Situasi Kecemasan (CRES), Suthep Thaugsuban mengarahkan polis supaya membuka semula sekatan itu.
"Saya mahu menjelaskan perkara ini supaya mereka faham. Saya sudah mengarahkan polis untuk membuka sekatan itu dan jika mereka gagal untuk mengikuti arahan itu, saya akan suruh orang lain," kata Suthep Thaugsuban di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia ke situ dapat menyaksikan suasana tidak menentu di mana seketika sekatan tayar dan buluh itu dialihkan namun selepas beberapa ketika ia dipasang semula berulang kali.
Apa pun, akhirnya, lorong di depan Hospital Chulalongkorn dibuka namun dihalang dengan palang besi bagi membolehkan pengawal Baju Merah memantau pergerakan masuk kenderaan di kawasan itu.
Dalam pada itu, Suthep turut menambah, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva akan mengadakan satu mesyuarat khas Kabinet esok. - Utusan

Pengharaman burqa Belgium dibantah



BRUSSELS 1 Mei - Penduduk Islam di Belgium semalam membantah pengharaman burqa dengan mengatakan ia bukan diperkenalkan atas tujuan keselamatan tetapi alasan untuk mengenakan tindakan keras ke atas mereka.
"Saya fikir mereka cuba menyisihkan kami. Kami rasa seperti diserang.
"Banyak lagi masalah lain yang lebih penting," kata seorang wanita muda, Souad Barlabi, yang memakai tudung biasa di luar Masjid Besar di Brussels sebelum sembahyang Jumaat bermula.
Samuel Bulte yang memeluk Islam beberapa tahun sebelum ini menyifatkan undang-undang itu sebagai satu helah kerana tidak ada rompakan dilakukan oleh penjenayah memakai burqa.
"Saya bimbang tidak lama lagi mereka akan mencadangkan pula untuk meletakkan lambang bulan sabit di belakang penduduk Islam," katanya merujuk kepada simbol bintang kuning yang dikenakan tentera Nazi ke atas penduduk Yahudi Jerman dulu.
Semalam penggubal undang-undang Belgium sebulat suara meluluskan pengharaman seluruh negara ke atas pakaian atau burqa yang menyukarkan pemakainya dikenal pasti, termasuk niqab dan burqa.
Hanya ada dua undi berkecuali namun tiada siapa menentang usul tersebut, kesepakatan yang janggal kerana terdapat perebutan kuasa di dalam Parlimen Belgium.
Ia yang tidak akan dikuatkuasakan sehingga beberapa minggu lagi, meliputi jalan raya, taman awam dan tempat sukan serta bangunan perkhidmatan awam.
Mereka yang melanggarnya akan berdepan dengan denda 15 hingga 25 euro (RM63 hingga RM106) dan penjara selama tujuh hari atau kedua -duanya sekali. - AFP

Suspek pengganas Aceh ditahan di Jawa Timur



JAKARTA 1 Mei - Polis menahan seorang suspek pengganas yang terlibat dalam mengendalikan kem latihan di Gunung Jalin di Aceh Besar.
Jurucakap Polis Kebangsaan, Inspektor Jeneral Edward Aritonang berkata, suspek yang dikenal pasti sebagai Eko Prasetyo ditahan di sebuah masjid di bandar Lamongan, Jawa Timur pada Isnin lalu.
"Suspek berjaya melarikan diri dari Aceh sehingga sampai ke Jawa Timur," kata Edward lagi.
Berikutan operasi ke atas rangkaian keganasan di Aceh awal Mac lalu, skuad polis antikeganasan telah memberkas 63 orang dengan 50 daripadanya masih ditahan, lapan ditembak mati dan lima dibebaskan kerana kekurangan bukti.
Polis juga telah merampas 29 senjata, 21,000 peluru hidup serta wang tunai 100 juta rupiah (RM35,333) dari kesemua suspek.
Edward berkata, siasatan polis mendapati kem latihan tersebut adalah sebahagian rancangan pengganas untuk membina pusat pergerakan pemisah dan negara Islam di Aceh. - AGENSI

15 wanita GRO asing diberkas di dua pusat hiburan



DUa pegawai perhubungan pelanggan asing bertengkar dengan anggota polis wanita (kanan) ketika ditahan dalam satu operasi di Seri Hartamas, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Mei - Tidak serik-serik. Meskipun pernah diserbu sebanyak tiga kali, sebuah pusat hiburan di Pandan Jaya di sini, tetap berdegil menggunakan khidmat pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing dari China untuk menarik pelanggan mereka.
Buktinya, seramai 15 wanita warga China ditahan dalam serbuan oleh 10 anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman yang diketuai oleh Asisten Supritendan Khairi Anuar Rusli..
Katanya, siasatan mendapati semua wanita berusia 20-an hingga 30-an itu ditahan setelah menyalahgunakan pas pelawat dan dokumen perjalanan.
"Mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk disiasat mengikut Akta Imigresen," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi terbabit di sini malam tadi.
Katanya, siasatan mendapati premis tersebut pernah diserbu polis sebanyak tiga kali pada tahun lalu kerana kesalahan sama, namun dikesan kembali menggunakan khidmat GRO warga asing.
Sementara itu dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Seri Hartamas, seorang GRO warga Korea mencuri perhatian pihak penguat kuasa apabila cuba menyerang seorang jurugambar ketika merakam gambarnya.
Wanita yang berskirt mini tiba-tiba bertindak terjun keluar dari trak polis dan meluru ke arah jurugambar itu untuk menamparnya.
Wanita yang juga kelihatan mabuk itu menolak polis dan kemudian enggan menaiki trak tersebut.
Dia antara 12 wanita warga asing yang ditahan pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, premis tersebut beroperasi secara haram dan hanya dikhususkan kepada pelanggan Korea.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati premis itu berselindung di sebalik tiga lapisan pintu berkunci bagi mengaburi pihak penguat kuasa.
"Kesemua wanita berusia antara 21 dan 23 tahun itu juga dikatakan datang sendiri ke premis berkenaan bagi menjadi GRO kepada sembilan pelanggan di premis itu," katanya.

Pengawal istana ditembak






Istana Negeri Kubang Kerian, tempat bertugas Ramli Mohamad (gambar kecil) yang cedera parah ditembak, semalam.


KOTA BHARU 1 Mei - Seorang pengawal keselamatan keluarga Diraja Kelantan cedera parah selepas ditembak di dada oleh individu tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, tengah malam tadi dalam satu kejadian yang menimbulkan misteri kerana tidak dapat dipastikan motifnya.
Ramli Mohamad, 50, ditembak empat das oleh empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tumpat dengan menaiki motosikal seorang diri.
Akibat kejadian pada pukul 12.25 tengah malam itu yang turut menggemparkan rakyat negeri tersebut, salah satu peluru dilepaskan suspek mengenai dada mangsa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan suspek.
Beliau berkata, polis kini sedang meneliti latar belakang mangsa bagi mengetahui motif kejadian itu.
"Siasatan akan dilakukan oleh kontinjen negeri dengan meliputi semua aspek," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Sementara itu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, sebelum kejadian, mangsa baru selesai menjalankan tugas di Istana Negeri kira-kira pukul 12 tengah malam.
Jelasnya, mangsa yang masih sedar mengalami kecederaan parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
"Ketika ini, sebutir peluru masih berada di bahagian kanan dada mangsa.
"Mangsa dikejarkan ke hospital kira-kira pukul 1 pagi dan saya telah melawat serta bercakap dengannya.
"Mangsa berada dalam keadaan serius kerana peluru itu masih belum dapat dikeluarkan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Istana Balai Besar di sini hari ini.
Menurut Abdul Halim, Ramli merupakan antara lima pengawal keselamatan yang dilantik Istana Kelantan secara kontrak untuk mengawal keselamatan keluarga diraja itu.
Katanya, pada masa sama, mangsa turut membantu tugas pengawal peribadi Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
Jelasnya, mangsa telah bertugas dengan Istana Kelantan selama 17 tahun dan sebelum itu dia merupakan bekas anggota tentera selama 15 tahun.
"Mangsa sentiasa memberi komitmen ketika bertugas dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah.
"Kita masih tidak tahu apa motif kejadian itu dan berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan untuk mengesan suspek," katanya.
Tambah beliau, Pemangku Raja Kelantan telah menitahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi menyiasat segera kes itu secara terperinci.

Ayah ditembak 4 kali - Anak



KOTA BHARU 1 Mei - "Ayah ditembak empat kali. Mula-mula dua das ketika penembak itu memintas motosikalnya, selepas itu mereka buat pusingan U dan tembak dua kali lagi ke arah ayah".
Demikian cerita Mohd. Faris Ramli, 18, anak pengawal keselamatan keluarga Diraja Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang parah ditembak di dadanya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tumpat, pada pukul 12.25 tengah malam tadi.
Mohd. Faris berkata, bapanya menceritakan insiden itu ketika dia melawatnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini hari ini.
"Ayah saya masih sedar dan boleh bercakap ketika kami sekeluarga melawatnya di ICU dan dia sendiri menceritakan mengenai kejadian yang menimpanya.
"Menurutnya motosikal itu telah mengekorinya bagaimanapun dia tidak memberitahu ada berapa buah motosikal dan suspek yang terlibat," katanya ketika ditemui di pekarangan ICU, HRPZII di sini hari ini.
Turut melawat isteri mangsa, Maznah Mustafa, 50, ibu Ramli, Bidah Yusuf, 70, dan anak-anaknya serta beberapa ahli keluarga lain.
Menurut Mohd. Faris, kejadian tersebut berlaku di Kampung Sungai Nyior, Palekbang iaitu kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka.
"Saya mendapat tahu mengenai kejadian itu pada pukul 12.35 tengah malam selepas dihubungi oleh kakak saya, Nor Hidayah, 27.
"Ketika itu saya sedang minum dengan beberapa rakan di sebuah gerai berhampiran lalu bergegas pulang ke rumah," ujarnya lagi.
Sementara itu, Maznah enggan bertemu wartawan kerana masih dalam keadaan sedih dan terkejut.
Sehingga petang ini, mangsa masih berada di ICU dan pihak HRPZII difahamkan masih berusaha mengeluarkan peluru di dalam dada mangsa.

Puluhan Ribu Pekerja Di Indonesia Berdemonstrasi Di Hari Pekerja



Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 1 Mei (Bernama) -- Puluhan ribu pekerja di beberapa bandar di Indonesia mengadakan demonstrasi di tempat-tempat strategik termasuk bangunan penting kerajaan sempena Hari Pekerja pada sabtu, menuntut kebajikan dan kesejahteraan yang lebih baik dalam pekerjaan.

Di Jakarta, demonstrasi bertumpu di hadapan pejabat Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka dan di hadapan bangunan Jabatan Tenaga Kerja selain berarak memenuhi beberapa jalan protokol di ibu negara.

Jawatankuasa Tindakan Jaminan Sosial yang mewakili 54 kesatuan, antara lain menuntut jaminan kesihatan seumur hidup termasuk mereka yang sudah tidak lagi bekerja dan jaminan pencen seumur hidup bagi semua pekerja formal dan bukan hanya terhad kepada anggota perkhidmatan awam, tentera dan polis.

Persekutuan Perjuangan Buruh Jabodetabek (Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi) pula meminta kerajaan menolak perdagangan bebas Asean-China yang disifatkan merugikan pekerja.

Sementara itu, 20 wakil pekerja berkenaan dibenarkan masuk ke Istana Merdeka untuk menyampaikan tuntutan mereka itu kepada wakil Susilo berikutan Presiden berada di Karawang, Jawa Timur bagi meraikan sambutan Hari Pekerja bersama-sama pekerja kilang di situ.

Dua pekerja kilang pakaian di Jakarta Barat yang dikenali sebagai Sugeng, 42 dan Wariati, 38, yang ditemui pemberita berharap kerajaan akan menghapuskan sistem kontrak untuk pekerja.

"Sekarang saya hanya dikontrak untuk tiga bulan, bukan hitungan tahun lagi. Keadaan ini selalu membuat saya khuatir kehilangan pekerjaan," kata Sugeng.

Pada masa ini dengan menerima upah minimum kira-kira Rp1.1 juta sebulan, beliau berasa sukar untuk membiayai dua anaknya yang masih bersekolah.

Sementara itu Wariati, yang telah 15 tahun bekerja berkata dia masih menyewa rumah kerana tidak mampu membeli rumah bersubsidi yang disediakan kerajaan.

Dalam demonstrasi, para pekerja mengenakan pakaian seragam mengikut kumpulan masing-masing, membawa pelbagai poster, replika manusia mirip Susilo dan replika tikus raksasa yang menurut mereka melambangkan kotornya pemerintahan kerajaan.

Selain berucap, mereka menyanyi bahkan sekelompok pekerja turut membakar poster Presiden dan bendera Partai Demokrat yang diasaskan Susilo.

Menjelang berakhirnya demonstrasi pada pukul 2 petang, berlaku pergaduhan antara penunjuk perasaan dan polis yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang ditahan.

Polis turut menggunakan semburan air untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

Sementara itu, di beberapa bandar lain seperti Bandung (Jawa Barat), Surabaya (Jawa Timur), Daerah Istimewa Yogyakarta, Medan (Sumatera Utara) dan Makassar (Sulawesi Selatan), ribuan pekerja turut berdemonstrasi menuntut kerajaan memperbaiki kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di Jawa Timur, perjuangan ribuan buruh berhasil memaksa Gabenor Jatim Soekarwo menandatangani surat cadangan mengandungi tuntutan mengenai jaminan sosial pekerja di hadapan mereka.

Menurut laporan agensi berita Antara, surat cadangan itu ditujukan kepada Presiden dan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR-RI).

-- BERNAMA

Rashid Sidek Dan Anak Disahkan Positif H1N1




KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara Abdul Rashid Mohamed Sidek disahkan positif Influenza A (H1N1).

Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata perkara itu disahkan oleh hospital swasta yang kini merawat Rashid dan seorang anak perempuannya yang juga disahkan positif jangkitan tersebut.

"Kami telah dimaklumkan oleh pihak hospital yang mengesahkan perkara itu dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak ISN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung wabak tersebut daripada tersebar," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Rashid dan anak perempuannya yang berusia lima tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan petang tadi setelah menunjukkan simptom-simptom dijangkiti H1N1.

Rashid merupakan salah seorang jurulatih skuad kebangsaan yang terlibat di dalam Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung mulai 9 hingga 16 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Sementara itu Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata, satu pemeriksaan kesihatan akan dilakukan ke atas semua pemain skuad kebangsaan pada Isnin ini untuk memastikan mereka tidak dijangkiti virus tersebut.

Katanya ISN dan KKM juga akan membuat pemantauan teliti bagi membendung penularan wabak tersebut pada kalangan pemain skuad kebangsaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong yang dihubungi Bernama pula berharap kejadian tersebut tidak akan akan memberi kesan negatif kepada moral skuad negara.

"Saya harap pemain badminton negara terus cekal untuk hadapi kejohanan tersebut dan bebas dari wabak H1N1," katanya.

Zolkples berkata kemungkinan besar wabak H1N1 tidak akan berjangkit dengan pemain negara kerana Rashid dipercayai mendapat jangkitan itu di rumah.

Namun katanya pemantauan teliti perlu dibuat.

-- BERNAMA

Lima Maut Selepas Dua Kereta Bertembung Dekat Karak



KUANTAN, 1 Mei (Bernama) -- Lima daripada sebuah keluarga maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Honda Civic dalam satu kemalangan di Km 88, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran pekan Karak di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, dua maut di tempat kejadian manakala tiga lagi meninggal dunia di Hospital Bentong, sementara dua yang menaiki Honda Civic mengalami cedera ringan.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta Proton Wira itu Abdul Wafi Faujan, 41, isterinya Noraini Ahmad, 29, bayi lelaki mereka Mohd Halim, empat bulan, kakak kepada Noraini, Norhayati, 39 dan suaminya Zulkifli Jalil, 54.

Seorang lagi anak Abdul Wafi, Nasrul Amana Shafri, enam tahun cedera, kata Rosli ketika dihubungi di sini.

"Noraini dan kakaknya meninggal dunia di tempat kejadian dan tiga lagi meninggal di Hospital Bentong manakala dua lelaki yang menaiki kereta Honda Civic terbabit mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Temerloh," katanya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Rosli berkata Proton Wira berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain sebelum bertembung dengan kereta Honda Civic yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, dua mangsa yang menaiki Wira berkenaan maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala, muka dan badan," katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kereta itu dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bentong.

Rosli seterusnya meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2222222 atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA