Search This Blog

Saturday, May 1, 2010

Sindrom saat akhir

KUALA LUMPUR: Orang ramai masih terbawa-bawa dengan sindrom saat akhir apabila berebut-rebut menghantar Borang Penyata Cukai Pendapatan 2009 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada hari terakhir berbuat demikian, semalam.
Meskipun cara penghantaran borang taksiran dipermudah dengan sistem e-Filing melalui Internet, kebanyakan pembayar cukai masih gagal menyempurnakan tanggungjawab itu dalam tempoh ditetapkan.
Seperti tahun sebelumnya, LHDN menetapkan 30 April sebagai tarikh akhir pembayar cukai individu yang mempunyai punca pendapatan selain perniagaan menghantar taksiran cukai masing-masing.

Bagi memudahkan urusan melalui kaunter bagi penyerahan borang secara talian atau e-Filing, LHDN melanjutkan waktu operasi di semua pejabatnya sehingga jam 10 malam sejak kelmarin.

Tinjauan Harian Metro di Kompleks Kerajaan Jalan Duta mendapati orang ramai beratur panjang menunggu giliran di kaunter e-Filing seawal jam 8 pagi.

Rita Manickam, 41, seorang guru sekolah mengakui kesibukan tugasan harian menyebabkan beliau tidak dapat menunaikan tanggungjawab dan terpaksa melakukannya pada saat akhir.

“Sebenarnya, e-Filing ini sangat mudah, tapi saya sibuk kerja, lagipun sebab sistem e-Filing mudah jadi kalau buat saat akhir pun sempat,” katanya.

Mazlan Mansor, 51, seorang pekerja swasta pula berkata tugasan di luar kawasan menyebabkan beliau tidak sempat menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pembayar cukai.

“Nasib baik kebetulan hari ini bercuti, jadi sempat datang sini. Bagi saya buat e-Filing di pejabat LHDN lebih mudah sebab boleh rujuk pada pegawai jika ada yang saya tidak faham,” katanya.

Menurutnya, urusan e-Filing menjadi lebih mudah sejak kata kunci untuk akaun pembayar cukai diubah kepada nombor kad pengenalan.

“Dulu kata kunci kita yang tentukan sendiri, kadang-kadang terlupa, tapi bila sudah diubah kepada nombor kad pengenalan lebih mudah diingati,” katanya yang sudah tiga kali menggunakan sistem ini menghantar borang taksiran cukai.

Bagaimanapun masih terdapat segelintir pembayar cukai yang lebih selesa melakukan proses e-Filing di pejabat LHDN disebabkan kehadiran pegawai yang membantu individu jika mempunyai masalah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah berkata, sehingga tengah hari semalam jumlah pembayar cukai menggunakan sistem e-Filing sejak awal tahun seramai 1.42 juta dengan peningkatan 11 peratus dalam tempoh sama tahun lalu. Menurutnya peningkatan ini disebabkan proses menaik taraf sistem e-Filing membolehkan ramai pengguna mengakses laman web itu serentak.

“Sebelum ini kita terima banyak aduan mengenai masalah laman web e-Filing ketika waktu puncak atau sesak, jadi kami lakukan perubahan tingkatkan keupayaan sistem ini,” katanya.

Beliau berkata jumlah ini satu peningkatan yang begitu baik dan berharap pembayar cukai lain akan turut serta menggunakan e-Filing bagi menghantar borang cukai pendapatan mereka.

2,000 polis awasi Sibu

KUCHING: Bagi memastikan perjalanan kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu yang dijadualkan bermula pada 8 Mei ini, sejumlah 2,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal dikerahkan menjaga ketenteraman awam di kawasan berkenaan mulai hari ini.
Polis Sarawak membahagikan anggota kepada dua kumpulan dengan kekuatan anggota seramai 350 bagi kumpulan pertama ditempatkan di Sibu bermula hari ini, manakala bakinya pada Selasa depan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Salleh berkata, anggota berkenaan bakal ditempatkan di tiga lokasi ditetapkan iaitu Ladang Kem, Sekolah Latihan Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

“Tempat penginapan mereka sudah diuruskan dan kami berharap ia dapat disiapkan sebelum anggota kami melapor diri.

“PDRM Sarawak turut menyediakan 350 pelbagai kenderaan bagi kegunaan pada hari penamaan sehinggalah pilihan raya berlangsung,” katanya ketika ditemui selepas selepas menghadiri taklimat pilihan raya bersama anggotanya di sini, semalam.

Mohamad berkata, pihaknya masih belum mengesahkan lokasi mana bakal menjadi kawasan panas namun sentiasa bersedia untuk memastikan kelancaran sepanjang tempoh kempen dijalankan.

“Polis sentiasa bersedia menjaga keamanan dan ketenteraman orang ramai ketika kempen sehingga hari mengundi dan akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang lakukan kesalahan.

“Jadi orang ramai tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan mereka kerana tugas polis menguatkuasakan undang-undang,” katanya. Beliau berkata, pilihan raya kecil Parlimen Sibu turut disertai beberapa anggota tambahan dari Semenanjung membabitkan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas.

“Kami sudah memutuskan jumlah bajet diperlukan sepanjang kempen pilihan raya ini, namun ia masih belum diluluskan KDN (Kementerian Dalam Negeri). “Begitu juga permit ceramah, prosedur adalah seperti ditetapkan. Kami akan memanggil wakil calon yang bertanding sebaik proses penamaan selesai bagi memberi taklimat mengenai beberapa perkara penting,” katanya.

Pilihan raya kecil Sibu diadakan berikutan kematian Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu. Pada pilihan raya umum lalu, Lau, 68, dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 3,235 undi selepas menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara DAP yang diwakili, Wong Ho Leng manakala Lim Chin Chuang, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Lau yang berjaya mempertahankan Parlimen Sibu bagi penggal empat penggal berturut-turut, meraih 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Nasib budak lemas belum diketahui

KUCHING: Nasib seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Sungai Rajang, petang kelmarin belum diketahui.
Mangsa, Dicter Kelvin dari Kampung Nanga Serian Baleh dalam daerah Kapit dipercayai keluar bersama rakan untuk mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kedua ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dikatakan menaiki sebuah perahu sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Entusa Imam, berkata mangsa ke sungai itu bersama rakan dan dikatakan terjatuh sebelum dihanyut arus deras

Penjara sehari, denda RM2,300 kerana curi jeans

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu jurujual telefon bimbit dihukum penjara sehari dan denda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri sehelai jeans bernilai RM1,299, tahun lalu.
Majistret Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi Bachok, 32, selepas tertuduh mengaku salah pertuduhan berkenaan. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sehelai jeans jenama Bread Butter, berharga RM1,299 di Tangs Pavillion, Bukit Bintang di sini, kira-kira jam 9.55 malam, pada 27 Ogos 2009. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan R Rukumar, manakala tertuduh diwakili peguam N Satgurunathan.

Sorok dalam peti sejuk

KUALA LUMPUR: Terdesak untuk mengelak dari dicekup pihak berkuasa, seorang pendatang asing Indonesia berusia awal 20-an menyorok dalam peti sejuk yang masih digunakan di sebuah rumah di kawasan Jinjang, di sini, semalam.
Namun, lelaki terbabit bernasib malang kerana tidak dapat menahan kesejukan ketika berada dalam peti sejuk itu dan mengambil keputusan keluar sebelum diberkas pihak berkuasa.
Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, seramai 92 pendatang asing ditahan dalam operasi bersepadu sudah dijalankan sejak awal tahun ini.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad berkata, daripada semua ditahan 10 didapati positif dadah ketika ujian air kencing dilakukan.

“Manakala empat daripada mereka juga didapati memiliki dadah dipercayai hanya untuk kegunaan sendiri. “Semua mereka yang positif akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zainuddin berkata, semua pendatang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti visa lawatan tamat tempoh namun kebanyakan mereka pendatang yang masuk ke negara ini secara haram.

“Mereka akan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zainuddin berkata, seramai 18 pegawai dan 140 anggota terbabit dalam operasi berkenaan selain mendapat bantuan daripada 28 anggota Angkatan Relawan Rakyat (Rela) dalam membanteras kebanjiran pendatang asing ke negara ini.

“Kita akan meneruskan pemantauan di kawasan berkenaan dalam memastikan kawasan itu bersih daripada pendatang asing,” katanya.

Kondo diceroboh

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja swasta yang meninggalkan unit kondominiumnya di Taman Desa, selama tiga hari untuk urusan peribadi terkejut apabila unit kondominium itu dipecah masuk perompak.
Mangsa berusia 30-an hanya menyedari unit kondominiumnya dipecah masuk selepas menyedari pintunya terbuka ketika kembali ke unit itu pada jam 4 petang kelmarin.
Jurucakap polis berkata, suspek meninggalkan kediamannya dalam keadaan berkunci.

Bagaimanapun, sejurus pulang dia mendapati pintu kediamannya sudah terbuka, keadaannya berselerak dan mendapati barangan berharga miliknya lesap termasuk beberapa set komputer.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berhubung insiden berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid menjelaskan sejurus menerima laporan mangsa, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD sama melakukan pengecaman berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kondominium itu.

“Berdasarkan rakaman CCTV, polis berjaya mengesan dan memberkas dua suspek berusia 27 dan 32 tahun itu, di dua lokasi berbeza pada hari yang sama laporan dibuat.

“Salah seorang daripada mereka diberkas di Setapak manakala seorang lagi di Batu Caves dan kami (Polis) turut menemui pelbagai barangan elektrik berharga dipercayai hasil pecah rumah,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata, dua suspek terbabit kini ditahan dan dipercayai dapat membantu menyelesaikan beberapa kes membabitkan pecah rumah sekitar Lembah Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM30,000 dan pihak polis berjaya ditemui semula barangan berharga milik mangsa selain beberapa peralatan lain dimiliki suspek.

“Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan dan barangan yang ditemui akan diperiksa kesahihanan milik mangsa,” katanya.
-hmetro

remaja iblis

SUBANG JAYA: Baru berusia belasan tahun, namun seorang remaja lelaki sudah menunjukkan sifat iblis apabila tergamak memperdaya sebelum mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Lebih menjijikkan suspek mencabul mangsa yang juga pelajar darjah dua di dalam kelas kosong di sebuah sekolah rendah di sini.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam kira-kira 3 petang itu pelajar perempuan berkenaan dikatakan berada di hadapan sekolah menanti van yang biasa mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah.

“Namun, ketika kejadian van berkenaan masih belum sampai ke kawasan sekolah menyebabkan kanak-kanak perempuan itu hanya menunggu di luar perkarangan sekolah.

“Kesempatan itu diambil suspek mendekati mangsa sebelum berpura-pura memberitahu diarah untuk menjemput mangsa pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, suspek memberitahu akan membawa mangsa bertemu dengan ibu mangsa yang didakwa berada tidak jauh dari pagar sekolah berkenaan.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian terus mengekori suspek sehingga ke hadapan sebuah sekolah lain bersebelahan dengan sekolah mangsa.

“Suspek kemudian mengajak mangsa masuk ke dalam kawasan sekolah terbabit, namun mangsa yang mula curiga enggan akur permintaan remaja terbabit,” katanya.

Menurutnya, mangsa diugut akan dicederakan jika enggan akur sebelum dicabul di dalam bilik darjah yang terletak di tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Difahamkan suspek mencabul mangsa selama beberapa minit dan mangsa melarikan diri menuju ke hadapan sekolahnya dalam keadaan ketakutan.

“Pemandu van sekolah yang mengambil mangsa bagaimanapun mengesyaki sesuatu tidak kena apabila mangsa dilihat dalam keadaan trauma. Malah, ketika ditanya berhubung beg sekolahnya yang hilang, suspek hanya mendiamkan diri sebelum dihantar pulang ke rumah.

“Bagaimanapun ibu bapa mangsa yang berulang kali cuba memujuk mangsa membuka mulut akhirnya terkejut apabila diberitahu diraba dan dicabul lelaki tidak dikenali,” katanya.

Susulan itu ibu bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya sebelum mangsa dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan air mani pada tubuh mangsa dipercayai milik suspek yang mencabulnya. Polis kini sedang memburu remaja terbabit yang dipercayai seorang pelajar,” katanya.

Ceria hantar borang

KUALA KETIL: “Kali terakhir kami berjumpa arwah Rabu minggu lalu apabila arwah tiba jam 9 malam bersama rakannya untuk menghantar borang nikah.
“Ketika itu, arwah kelihatan ceria, tetapi saya lihat badannya susut sedikit berbanding sebelum ini, namun berita kemalangan itu mengejutkan kami,” kata Yahya Shafie, 54, menceritakan pertemuan terakhir bersama bakal suami anaknya, Mohd Redzuan Abu, 28, yang terbabit kemalangan maut di Kilometer 281.6 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Seremban, Negeri Sembilan, awal malam kelmarin.
Yahya berkata, dia hanya sempat berbual bersama bakal menantunya itu kira-kira dua jam kerana pada malam itu juga pada jam 11 malam, arwah mahu pulang ke tempat kerjanya di Ipoh, Perak.

“Sebelum pulang, saya mahu bekalkan kuih-muih untuk dia makan ketika dalam perjalanan, namun arwah menolak kerana katanya mahu berhenti di kedai makan.

“Arwah sebelum ini sudah empat kali datang ke rumah, namun saya tidak sangka, pertemuan malam itu yang terakhir,” katanya sedih.

Menurutnya, meskipun jarang bertemu, arwah seorang anak yang baik, malah dia menyukai arwah yang berbudi bahasa dan dilihat mampu membahagiakan anaknya, Nurhidayah.

Jatuh tengah lebuh raya

SEREMBAN: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal diijabkabulkan dengan pasangannya semalam, maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 281.6 Lebuh raya Utara-Selatan di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Laskar Udara Kanan Mohd Redzuan Abu, 28, mati di tempat kejadian kerana parah di beberapa bahagian badan.
Ketika kejadian, dia yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dalam perjalanan dari Ipoh, Perak, menuju rumah keluarganya di Jasin, Melaka.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri di lorong tengah lebuh raya gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh.

“Sebuah kereta yang berada di belakangnya sempat mengelak melanggar mangsa yang jatuh terbaring di tengah jalan.

“Bagaimanapun, sebuah Proton Wira yang tiba sejurus kemudian gagal mengelak lalu terlanggar mangsa menyebabkan dia maut di tempat kejadian,” katanya di sini, semal

Buruh mati terjatuh ketika tampal atap genting

BENTONG: Seorang buruh maut selepas terjatuh dari bumbung setinggi hampir tujuh meter mengakibatkan kepalanya terhentak di lantai dalam kejadian di sebuah kilang di kawasan perindustrian, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, mangsa, Koo Ah Ngan, 53, dari Taman Desa Damai, dekat sini, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong (HB).
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata ketika kejadian, mangsa menampal atap genting sebelum kakinya terpijak atap yang tiada penahan kayu.

Menurutnya, berikutan itu, atap berkenaan pecah lalu mangsa terjatuh sebelum kepalanya terhentak mengakibatkannya parah.

Katanya, kejadian disedari beberapa pekerja lain selepas terdengar dentuman kuat sebelum melihat mangsa tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di kepala.

Rosli berkata, sepasukan anggota polis yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan berhubung kejadian terbabit sudah merekodkan keterangan beberapa rakan mangsa.

“Hasil bedah siasat di HB mendapati mangsa meninggal dunia akibat cedera di kepala.

“Polis sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada keluarga serta majikan mangsa sebelum mayat mendiang dituntut tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, polis mengesahkan kejadian terbabit tidak mempunyai unsur jenayah dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.

'Pesakit’ perbodoh doktor gigi

SUBANG JAYA: Lakonan dua lelaki berusia awal 20-an bukan saja memperdaya jururawat di sebuah klinik swasta di sini, malah ‘memperbodohkan’ seorang doktor sebelum menyamun mereka, kelmarin.
Lebih malang apabila doktor terbabit terpaksa melayan kerenah suspek yang mempermainkannya itu hampir 30 minit.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang daripada suspek menyamar pesakit sebelum menyerahkan kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran manakala rakannya menanti di kawasan menunggu.

Difahamkan, tindakan seorang daripada suspek yang menyerahkan kad pengenalan ‘palsu’ itu memperdaya kedua-dua mangsa.

Menurut sumber, sebaik suspek dipanggil masuk ke bilik rawatan, dia dengan bersahaja berbaring sebelum membuka mulutnya untuk diperiksa.

“Doktor berkenaan mendakwa pesakitnya itu tidak menghadapi masalah.

“Dakwaan doktor itu menyebabkan ‘pesakitnya’ berang sebelum mengarahkan dia diperiksa semula,” katanya.

Sumber berkata, selepas hampir 30 minit melayan kerenah suspek, lelaki terbabit menghunuskan sebilah pisau sebelum merampas wang tunai doktor berkenaan.

“Manakala, rakannya merampas telefon bimbit jururawat selain wang tunai dalam sebuah laci.

“Kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan motosikal yang diletakkan di hadapan klinik gigi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi berkata, sebaik menerima laporan kejadian itu sekumpulan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Suspek menggunakan kad pengenalan yang disamun kira-kira Mac lalu untuk menyamar. Malah, pemilik sebenar sudah membuat laporan kejadian itu.

“Kes ini akan disiasat mengikut Sekyen 395 dan 397 Kanun Kesiksaan (KK) kerana samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Kelindan mati kaki kiri putus

HULU SELANGOR: Seorang kelindan lori mati dalam keadaan mengerikan apabila kaki kirinya putus sejurus lori dipandu rakannya gagal dikawal lalu merempuh belakang sebuah treler, awal pagi semalam.
ANGKAT...anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang tersepit, semalam.
ANGKAT...anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang tersepit, semalam.
Kejadian dipercayai berpunca apabila rakan mangsa yang memandu lori penuh dengan peralatan dapur itu tidak dapat menahan mengantuk sebelum melanggar lori di hadapannya hingga menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit.
Sumber Polis Trafik berkata, dalam kejadian terbabit, kelindan lori maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk.

“Kemalangan berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika mangsa memandu lori terbabit melalui Kilometer 432.8, Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur Bukit Beruntung di sini. “Siasatan awal mendapati, lori dinaiki dua mangsa dalam perjalanan dari Kampar, Perak menuju ibu kota itu dipandu laju,” katanya.

Menurutnya, pemandunya dipercayai memandu mengantuk gagal mengelak sebuah treler yang bergerak perlahan di lorong paling kiri lebuh raya.

“Lori itu merempuh sisi kanan belakang treler menyebabkan kelindan lori terbabit tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya.

Susulan itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Kubu Bahru bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Anggota bomba dan penyelamat menghadapi kesukaran berikutan lori yang remuk teruk terpaksa memotong bumbung lori bagi mengeluarkan mayat. Usaha terbabit mengambil masa hampir satu jam sebelum mangsa ditarik keluar.

“Keadaan amat mengerikan apabila mangsa yang dikenali sebagai Kamarulzaman Razali, 49, putus kaki kirinya akibat kemalangan ngeri itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Suprintendan Che Hussin Omar berkata pemandu treler yang membawa bahan pembinaan tidak cedera.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian

'Suamiku tiada hati perut'

PORT DICKSON: “Ada dia kisah dengan anak dia ke...? Dia tidak tahu bagaimana peritnya saya meneruskan hidup membesarkan dua anak tanpa duit belanja walau sesen pun,” kata ibu muda beranak dua, Syamsiah Mohd Ali, 23, yang ditinggalkan suaminya sejak November lalu.
Nasib Syamsiah dan dua anaknya yang masih kecil, Zulaikha Zuilkafli, tiga tahun dan Zulkarnain, setahun, terumbang-ambing selepas mendakwa ditinggalkan suami, Zuilkafli Yusof, 25, yang dipercayai bermain kayu tiga dan menghilangkan diri bersama teman wanitanya sejak enam bulan lalu.


Malah, mangsa mendakwa digantung tidak bertali di Kampung Bukit Tongkat, Pasir Panjang, dekat sini.


Zulkifli yang dianggap suami terbaik dan beriman serta bersifat penyayang dan bertanggungjawab tiba-tiba bertukar menjadi orang hilang pedoman apabila meninggalkan keluarganya.

Menurut Syamsiah, perselisihan faham berlaku selepas dia menghidu suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.

251 meringkuk di Siam




TARIKAN kelab-kelab malam di Hatyai menyebabkan ada pelancong Malaysia lupa diri sehingga ditahan kerana mengambil dadah di pusat-pusat hiburan. - Gambar hiasan


HATYAI - Seramai 251 rakyat Malaysia kini meringkuk dalam enam buah penjara di selatan Thailand gara-gara terlibat dalam penyalahgunaan dadah di kelab-kelab malam serta melanggar peraturan Imigresen ketika mengunjungi kota Hatyai, Songkhla.
Daripada jumlah itu, hanya empat orang telah dibebaskan sementara yang lain masih menunggu perbicaraan.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Aini Atan berkata, jumlah tahanan itu adalah angka yang terkumpul sejak awal tahun lalu sehingga Februari lepas.
Katanya, kesemua tahanan itu dalam keadaan baik dengan pejabat konsul sentiasa memantau mereka selain memberi khidmat nasihat guaman dan pemeriksaan kesihatan.

Akal ‘cucu pelesit'

MUAR: Tiada nama lebih sesuai selain daripada ‘cucu pelesit’ untuk menggambarkan kelakuan buruk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tergamak berpakat dengan rakan lelaki berusia 15 tahun untuk merompak nenek sendiri yang berusia 75 tahun.
Bagi melengkapkan komplot jahatnya itu, remaja terbabit turut bersekongkol dengan seorang wanita berusia 40-an yang bertindak merampas wang tunai dan menyelongkar barang kemas nenek pelajar tingkatan dua itu di rumah mereka di Kampung Jawa, Panchor, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Kejadian malang itu bermula apabila mangsa, Ruliah Abu Bakar sedang berehat bersama ‘cucu pelesit’ itu sebelum tiba-tiba didatangi dua suspek yang menaiki motosikal secara berasingan.

Ruliah berkata, wanita berusia 40-an itu bersama remaja lelaki berusia lingkungan 15 tahun terbabit memberi salam sebelum cucunya menyuruh mereka masuk ke rumah.

Menurutnya, dia dapat mengecam suspek wanita yang dikenali sebagai Ila kerana berkawan rapat dengan cucunya serta sering berkunjung ke rumah itu.

“Saya ingatkan mereka datang untuk jumpa cucu saya saja. Tiba-tiba seorang daripada mereka bertindak kasar dengan menekup muka saya menggunakan kain.

“Saya terkejut dan cuba melawan tapi apakan daya, tenaga orang tua tak terlawan mereka berdua,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Malah, Ruliah berkata, dia diperlakukan dengan kejam dan tidak berhati perut apabila seorang daripada penjenayah itu menyerkup kepalanya dengan anak tudung dipakainya sebelum mengikat tangan menggunakan kain batik yang dipintal.

Ruliah cuba meminta pertolongan daripada cucunya, namun tanpa disangka remaja perempuan itu bersekongkol dengan penjenayah terbabit dengan membantu mereka.

“Kemudian saya dipaksa berbaring sebelum seorang daripada mereka merampas perca kain berikat getah berisi wang tunai kira-kira RM300,” katanya.

“Tidak puas hati dengan hasil rompakan berkenaan, cucu yang saya sayangi itu kemudian menyuruh dua rakannya masuk ke bilik dan menyelongkar almari sebelum mereka melarikan barangan kemas termasuk cincin dan rantai,” katanya.

Ternyata, kasih sayang seorang nenek masih menebal apabila perilaku kejam cucunya itu sanggup diketepikan apabila Ruliah berkata kepada remaja itu, ‘jangan pergi’.

Malangnya, remaja terbabit tidak mengendahkan larangan Ruliah dan meninggalkan mangsa keseorangan dalam keadaan mata tertutup dan tangan diikat.

Gadis dua kali sedap

JOHOR BAHRU: Dia bukan saja terkenal di kalangan penagih dadah, malah gadis genit perayau lorong gelap di sekitar bandar raya ini turut menjadi buruan lelaki hidung belang kerana menyediakan ‘pakej dua kali sedap’ dengan bayaran RM70 merangkumi dadah, jarum suntikan dan khidmat seks.
Ketika ditahan sepasukan anggota dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan operasi khas awal pagi semalam, gadis berusia 24 tahun berasal dari sebuah negeri di pantai timur itu mengaku membenarkan tubuhnya dijamah lelaki hidung belang selain menawarkan dadah.
Bagaikan tawaran harga runtuh, dia mengaku hanya mengenakan bayaran serendah RM70 bagi pakej berkenaan dengan alasan mahu mendapat untung lebih dan tidak hanya bergantung pada jualan dadah.

Mengikut pakej disediakan, pelanggan boleh mendapatkan bekalan dadah dan jarum suntikan serta layanan seks sebagai penambah `stim’ ketika bersama-sama khayal diulit dadah.

Pemeriksaan AADK dalam beg sandang dibawa gadis terbabit menemui 12 jarum suntikan belum digunakan yang dibungkus menggunakan kertas surat khabar, tiub kosong dipercayai untuk mengisi dadah, pisau lipat serta sejumlah kondom bagi aktiviti tidak bermoral itu.

Hasil soal siasat, gadis terbabit mengaku mula terjebak aktiviti tidak bermoral itu sejak setahun lalu berikutan kesempitan wang dan tidak mempunyai pekerjaan sejak sampai di negeri ini.

Katanya, dia berhijrah dari kampung halamannya ke negeri ini dengan hasrat mencari pekerjaan dan membantu keluarga selepas terpengaruh cerita rakan mengatakan Johor lubuk rezeki.

Bagaimanapun, dia tersilap langkah selepas terjebak aktiviti penjualan dadah serta kegiatan memperdagangkan tubuh. Terdahulu, sebelum ditahan gadis terbabit yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba menyorok dalam gerai menjual kasut dengan berpura-pura menjadi pelanggan sebelum meloloskan diri.

Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota AADK, dia dicekup di Jalan Wong Ah Fook di sini pada jam 12.30 tengah malam.

Penahanan gadis itu hasil aduan orang awam yang rimas dengan kehadiran pengedar dan penagih dadah berkeliaran di kawasan itu selain risau menjadi mangsa ragut golongan terbabit.

Ketua Operasi AADK Johor, Zulhilmi Ahmat, berkata dalam operasi sama lima lagi penagih juga dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah turut ditahan di beberapa lagi lokasi di sekitar pusat bandar raya termasuk Jalan Meldrum, Jalan Dobi dan Jalan Segget.

“Ketika pemeriksaan, kami menemui tiub kosong mengisi dadah, peralatan menghisap dadah seperti jarum suntikan, sudu dan tali.

“Objektif utama operasi ialah membersihkan pusat bandar raya daripada penagih, sekali gus mengurangkan jenayah jalanan.

Tunang maut sebelum nikah

JASIN: Impian seorang gadis untuk mendirikan rumah tangga dengan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak kesampaian apabila bakal suaminya menemui ajal tidak sampai 24 jam sebelum mereka diijabkabulkan.
Mangsa, Laskar Udara Kanan Mohd Redzuan Abu, 28, terkorban dalam kemalangan di Kilometer 281.6 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira jam 8.15 malam kelmarin.
Tunang mangsa, Nurhidayah Yahya, 26, berkata mengikut perancangan, mereka sepatutnya diijabkabulkan malam tadi di kampungnya di Masjid Binjal Luar, Kuala Ketil, Kedah.

Katanya, semua persiapan pernikahannya sudah disiapkan dan hanya menanti ketibaan pengantin lelaki.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila dia menerima panggilan kira-kira jam 11 malam kelmarin daripada sepupunya yang menyatakan tunangnya terbabit kemalangan di Seremban, tetapi tidak menjelaskan keadaan Mohd Redzuan pada masa itu.

Dia yang ditemani beberapa saudara bergegas ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, bagi melihat keadaan tunangnya.

“Ketika menerima berita itu, saya berasa tidak sedap hati kerana mengagak sesuatu tidak kena apabila maklumat yang saya terima seperti ada sesuatu yang hendak dirahsiakan.

“Ketika dalam perjalanan melalui Alor Pongsu (di Perak), saya menerima panggilan menyatakan tunang saya sudah meninggal dunia.

“Hancur luluh hati saya ketika itu apabila mengetahui tunang saya sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga bakal suaminya itu di Kampung Kesang Jaya, dekat sini, semalam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Jumaat, semalam.

Selepas pengebumian itu, Komandan Institut Latihan Tentera Udara (ILTU), Ipoh, Perak, Kolonel Ahmad Tarmizi Elias bersama pegawai TUDM lain menyerahkan Jalur Gemilang dan surat ucapan takziah serta sumbangan kepada bapa Allahyarham, Abu Latip, 56.

Nurhidayah berkata, kali terakhir dia menemui tunangnya pada Rabu lalu iaitu di ILTU Ipoh ketika singgah di tempat bakal suaminya bertugas sebelum pulang ke kampung untuk cuti perkahwinan mereka.

Katanya, dia bertemu tunangnya selepas diminta berbuat demikian kerana sebelum ini tidak berpeluang menemuinya ketika menduduki peperiksaan di Georgetown, Pulau Pinang.

“Arwah mengajak saya makan, tapi ketika itu hujan lebat menyebabkan saya hanya menemuinya di pos pengawal ILTU dan kami berbual seketika sebelum saya meneruskan perjalanan pulang ke kampung.

“Saya tak sangka itu pertemuan terakhir dan selepas itu kami hanya berhubung menerusi telefon dan SMS,” katanya yang bertugas sebagai pengawal stor di Klang, Selangor.

Menurut Nurhidayah, kali terakhir dia menerima SMS daripada tunangnya kira-kira jam 6.30 petang kelmarin apabila Allahyarham singgah di rumah sewanya di Bukit Subang, Selangor.

Dia yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, dalam SMS itu, Allahyarham bertanya kenapa dia tidak mengunci motosikal dengan baik ketika pulang bercuti.

“Saya membalas SMS itu, tapi tidak sempat untuk berpesan supaya ‘jalan elok-elok seperti kebiasaannya’,” katanya.

Menurutnya, tunangnya tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi sering bertanya sama ada dia bersedia menjadi isterinya.

Katanya, mereka berdua sudah membuat persiapan untuk majlis perkahwinan sejak enam bulan lalu.

“Semua persiapan untuk majlis pernikahan itu sudah disiapkan dan hanya menunggu waktu, namun hajat kami tidak kesampaian,” katanya yang berkenalan selama setahun dan mengikat tali pertunangan hampir dua tahun.

Sementara itu, Abu berkata, dia menerima panggilan terakhir daripada Mohd Redzuan yang juga anak sulung daripada lima beradik kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Dia yang juga pesara polis berkata, ketika itu Allahyarham menyatakan dia berada di Tanjung Malim, Perak, untuk berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Saya menanti agak lama juga dan pelik mengapa arwah masih tidak sampai ke rumah dan dikejutkan dengan panggilan daripada polis (di Seremban) menyatakan dia (Mohd Redzuan) terbabit kemalangan maut.

“Saya terkejut dan bergegas ke Seremban bersama keluarga,” katanya yang sepatutnya bertolak bersama arwah pada pagi semalam untuk ke Kedah bagi majlis pernikahannya.

Abu berkata, Allahyarham sudah berkhidmat dengan TUDM lapan tahun dan menyifatkan anaknya sebagai seorang yang periang.

YBK saman MB, Exco Selangor

SHAH ALAM: Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) semalam, memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan exco kerajaan negeri Yaakob Sapari kerana didakwa memfitnah yayasan itu dalam sidang media Februari lalu.
Selain YBK, anak syarikatnya, Permodalan YBK Sdn Bhd dan pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom bertindak sebagai plaintif kedua dan ketiga.

Saman itu difailkan peguam Hasnal Rezua Merican di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa Abdul Khalid pada 24 Februari lalu sudah membuat kenyataan media pada sidang akhbar bertajuk bertajuk ‘Maklumat Terbaru Mengenai YBK’ dan semua kenyataan itu sudah dilaporkan surat khabar ‘Suara Keadilan’ sehingga 9 Mac lalu bertajuk ‘Zainal Sakom Gadai Tanah YBK’.

Gempar Benda Misteri Menimpa Tiga Rumah Di Jakarta




Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 30 April (Bernama) -- Ahli forensik Polis Indonesia pada Jumaat mengambil sampel bahan pasir yang didakwa penduduk sebagai debu daripada tahi bintang yang menimpa tiga buah rumah di Duren Sawit, Jakarta Timur Khamis.

Ketua Jabatan Balistik Pusat Makmal Forensik Polis Indonesia Pesuruhjaya Amri Kamil memberitahu angensi berita Antara bahawa buat sementara ini, pihaknya hanya mengesyaki benda yang menimpa rumah penduduk itu adalah benda panas yang jatuh dengan laju dari angkasa.

Andaian sementara itu didasarkan kepada kenyataan beberapa orang penduduk kawasan itu yang menyaksikan kejadian itu.

BAgaimanapun, polis tidak dapat menegesahkan sama ada ia adalah tahi bintang atau tidak, sehingga mendapat keputusan ujian makmal forensik terhadap sampel debu yang diambil di tempat kejadian.

Polis juga sedang bekerjasama dengan Lembaga Peneliti Luar Angkasa Indonesia apabila mengesyaki benda misteri itu mempunyai unsur bahan kimia dari luar angkasa.

Semalam, sekurang-kurangnya tiga buah rumah di Duren Sawit rosak akibat ditimpa suatu benda yang dikatakan jatuh dari angkasa pada kira-kira pukul 4 petang.

Seorang penduduk Aci, 30 dilaporkan memberitahu sebuah laman berita online detik.com bahawa beliau masih bingung memikirkan bahawa benda yang menimpa dan merosakkan rumahnya di Jalan Delima, Duren Sawit, Jakarta Timur adalah tahi bintang, seperti yang didakwa oleh jiran tetangga.

"Tiba-tiba saja saya dengar bunyi seperti petir dua kali, ada gemuruh, lalu ada bunyi yang ketiga, akhirnya menggelegar. Terus bergetar seperti gempa, habis itu (rumah) porak-poranda, banyak debunya," kata Aci kepada detik.com Jumaat.

Benda asing itu, katanya, jatuh tepat mengenai rumah jirannya Sudarmodjo yang bernombor 31.

Rumah Aci terletak di sebelah kanan rumah Sudarmodjo manakala sebuah rumah jiran sebelah kiri Sudarmodjo juga mengalami kerosakan akibat kejadian itu.

-- BERNAMA

Aktres Korea dipaksa tiduri lelaki kaya



SEOUL - Ramai aktres di Korea Selatan terpaksa mengadakan hubungan seks dengan orang kaya dan berpengaruh bagi menyelamatkan kerjaya mereka. 

Perkara itu didedahkan menerusi kajian yang disiarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, kelmarin. 

Kajian itu dilakukan oleh Institut Pembangunan Wanita Korea pada tahun lalu dengan melibatkan 111 aktres.: 

Sebanyak 60.2 peratus aktres yang terlibat dalam kajian itu memberitahu mereka pernah diminta tidur dengan lelaki kaya dan berpengaruh. 

Isu itu mencetuskan perbahasan pada Mac lalu apabila aktres Jang Ja-yeon membunuh diri dengan meninggalkan nota memberitahu dipaksa mengadakan hubungan seks oleh agensinya.: 

Bekas ketua agensinya ditangkap mengenai dakwaan memaksanya mengadakan hubungan seks tetapi kemudian dibebaskan.

Anggota TUDM maut dalam kemalangan dekat Seremban



SEREMBAN - Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dilanggar sebuah kereta setelah terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya dalam kemalangan di KM 281.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, malam tadi. 

Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, Mohd Ridzuan Abu, 28, yang sedang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke rumahnya di Jasin, Melaka.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri di lorong tengah lebuh raya gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh.

Katanya walaupun sebuah kereta sempat mengelak daripada melanggar mangsa yang terbaring di tengah jalan, namun sebuah lagi kereta jenis Proton Wira gagal mengelak lalu terlanggar anggota tentera itu menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

Beliau berkata sebuah lagi kereta jenis Peugeot turut terbabit dalam kemalangan itu apabila melanggar belakang Proton Wira berkenaan.- Bernama

Siasat sumber wang RM4j kepada Kickdefella



KOTA BHARU 30 April - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menggesa pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit Negara menyiasat sumber wang RM4 juta yang didakwa diberikan oleh kepimpinan Pas Kelantan kepada seorang penulis blog untuk digunakan bagi memburukkan kerajaan Pusat.
Tegas beliau, hanya ada dua sumber wang itu boleh diperolehi di negeri itu sama ada menerusi komisen pembalakan atau derma yang diberikan oleh pihak swasta.
"Sekarang saya nak tanya duit ini dari mana, adakah diberikan oleh kerajaan negeri atau agensinya atau pun oleh sumbangan orang luar.
"Kalau ia daripada agensi atau pun kerajaan, maka ia perlu disiasat oleh Jabatan Audit Negara untuk memastikan ia disalurkan secara telus atau pun tidak," tegasnya ketika Majlis Kesyukuran Dua Tahun Sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas yang dianjurkan penduduk Kampung Tendong di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pendedahan penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Azizseperti yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia semalam mengenai peruntukan RM4 juta yang diterimanya.
Syed Azidi dilaporkan berkata, wang tersebut diberikan kepadanya untuk melakukan 'Operasi Gerak Saraf' yang bertujuan memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan Pas terus memerintah Kelantan.
Ibrahim berkata, jika benar perkara tersebut berlaku, ia adalah sesuatu yang amat memalukan kerajaan Pas Kelantan ketika masih ramai rakyat negeri itu dibelenggu kemiskinan.
Tegasnya, wang berkenaan sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat dan memajukan negeri, bukannya untuk memburukkan orang lain.
"Kalau pun ada duit itu, baik guna untuk rakyat. Kalau RM4 juta ini diberikan kepada 100 sekolah agama rakyat (SAR), maka ada 40 buah sekolah akan menerima manfaat.
"Kita tengok sekarang ini banyak sangat SAR yang daif dengan keadaan bilik guru besar, bilik guru dan bangunannya sangat teruk. Gaji pula hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," tambah beliau.

Tukang kebun bebas tuduhan rogol budak



IPOH 30 April - Seorang tukang kebun berusia 60 tahun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, hampir lima tahun lalu.
Hakim Rashidah Chik membebaskan Yacob Wahid tanpa dipanggil membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Yacob didakwa merogol murid tahun dua itu di tempat letak kereta Lumut Valley Resort, dekat sini antara pukul 7.30 dan 8.40 pagi, 23 Mei 2005.
Dia dibicara mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling manakala tertuduh diwakili peguam bela Rajit Singh.
Sementara itu, Yacob yang cuba ditemui di luar mahkamah menunjukkan rasa marah apabila jurugambar cuba merakamkan gambarnya.
Dia yang memakai seluar panjang dan kemeja T berwarna kelabu tergesa-gesa meninggalkan mahkamah bersama seorang wanita dipercayai isterinya.

Kematian akibat H1N1 kekal 81 orang



KUALA LUMPUR 30 April - Walaupun terdapat laporan kematian seorang lelaki kerana diserang selesema babi atau virus influenza A(H1N1) hari ini tetapi Kementerian Kesihatan menegaskan ia tidak mempunyai kaitan secara langsung.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, walaupun lelaki berusia 40 tahun itu disahkan positif H1N1 tetapi punca kematiannya adalah disebabkan oleh faktor-faktor lain.
"Sehubungan itu, jumlah terkumpul kematian akibat H1N1 sehingga hari ini tidak berubah dan kekal 81 orang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu mempunyai faktor risiko tekanan darah tinggi dan terlibat dengan kemalangan kenderaan seminggu sebelum dimasukkan ke wad.
Dr. Mohd. Ismail berkata, lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 26 April lalu selepas mengalami masalah pernafasan, demam, batuk serta pertuturan yang tidak difahami dan dia meninggal dunia pada hari yang sama.
Beliau berkata, walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, lelaki itu juga mengalami jangkitan bakteria dalam darah dan sebab kematian adalah akibat komplikasi "septic shock with multi-organs failure."
Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr. Mohd. Ismail berkata, sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 71 kes disahkan influenza A (H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini ialah 13,673.
Sehingga pukul 8 pagi ini, sebanyak enam laporan kejadian kluster ILI dilaporkan di empat negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 587 kes dan daripada jumlah itu 70 kes (11.9 peratus) disahkan positif H1N.
Tujuh kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko, katanya.
"Majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan.
"Oleh itu orang ramai yang mempunyai faktor risiko dinasihat supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/0300.
habis...

MUSA TINJAU LOKASI TEMBAKAN




MUSA Hassan bersama pegawai kanan polis termasuk Khalid Abu Bakar (tiga dari kiri) memeriksa lokasi kejadian Aminulrasyid Amzah yang terkena tembakan anggota polis peronda di Shah Alam, semalam.


KETUA Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam meninjau sendiri tempat kejadian seorang pelajar Aminulrasyid Amzah, 15, mati akibat terkena tembakan anggota polis peronda di Seksyen 11, Shah Alam.
Kehadiran Musa itu adalah bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kes tersebut yang mencetuskan kontroversi.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, selepas siasatan selesai, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara pada Isnin depan untuk tindakan lanjut.

Polis tahan 2 lelaki disyaki lontar bom bulan lalu



01/05/2010 2:35am

BANGKOK 1 Mei – Polis menahan telah dua lelaki kerana disyaki melontar bom ke tokong di Grand Palace di ibu negara Thailand ini bulan lalu, menurut pihak berkuasa semalam.
Pengarah Besar Jabatan Siasatan Khas, Tarit Pentedit berkata, bekas sarjan polis, Pandit Sithitum, 43, telah mengaku diarahkan oleh pemimpin kumpulan antikerajaan, Baju Merah bersama seorang lagi lelaki untuk melakukan serangan itu.
“Mereka dibayar 500,000 (RM49,112) untuk melontarkan bom ke tokong itu tetapi tersasar. Satu bom tidak meletup dan satu lagi tidak mengenai sasaran,” kata Tarit. – AFP

Ribery tidak akan disiasat berhubung kes salah laku seks



01/05/2010 2:30am

PARIS, 1 Mei - Bintang bola sepak Perancis, Franck Ribery yang berdepan dengan skandal seks tidak akan disiasat berhubung kes itu sebelum akhir Piala Dunia Afrika Selatan berlangsung, kata sumber terdekat, semalam
Berita sekali gus mungkin membantu meringankan ketegangan yang terjadi di sekitar kem skuad Perancis menjelang kejuaraan yang berlangsung 11 June hingga 11 Julai depan ini nanti.
“Seperti mana kes sedang berjalan, Ribery bagaimanapun tidak akan dipanggil oleh juri untuk diletakkan dalam siasatan pegawai sebelum pertandingan itu berlangsung,” kata sumber penjurian yang enggan dikenali.
Sumber itu turut menyebut, seorang lagi bintang antarabangsa Perancis, Karim Benzema yang juga penyerang Real Madrid, tidak akan dipanggil untuk disiasat berhubung dengan kes itu. - Reuters

Presiden Lebanon kecam perusuh bunuh suspek



01/05/2010 2:36am

BEIRUT 1 Mei – Presiden Lebanon semalam mengecam tindakan perusuh yang membunuh suspek pembunuhan pasangan warga emas dan dua orang cucunya serta mengarahkan kerajaan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat.
Michel Suleiman berkata, walaupun lelaki itu didapati bersalah, tindakan perusuh itu merosakkan imej Lebanon.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jenis tindakan yang akan diambil ke atas perusuh itu.
Kelmarin, sekumpulan penduduk di Ketermaya memukul sehingga mati Mohammed Msallem, 38, warganegara Mesir yang ditahan Rabu lalu kerana disyaki membunuh pasangan warga emas dan dua orang cucunya. – AP

Makam di Kashmir tumpuan penganut Kristian



Seorang wanita Islam berdiri di tepi makam Rozabal di Srinagar, semalam. - AFP


SRINAGAR, India 30 April - Sebuah makam kecil di Kashmir menjadi tumpuan apabila timbul dakwaan yang ia adalah tempat bersemadinya Jesus Christ, namun dinafikan penduduk tempatan yang menegaskan ia adalah makam ulama zaman silam.
Makam Rozabal yang menarik minat beratus-ratus pelancong di satu-satunya kawasan dikuasai penduduk Islam di India, menyebabkan penjaganya menutup makam itu daripada dilawat selama beberapa tahun.
Teori sejak beberapa dekad lalu yang mendakwa Jesus terselamat dari disalib dan menghabiskan sisa hidup di Kashmir, menyebabkan ramai orang melawat Rozabal, makam satu tingkat dengan atap tradisional di kawasan yang padat dengan penduduk di Srinagar.
Penduduk tempatan bagaimanapun menegaskan ia adalah tempat persemadian ulama dan sarjana Islam, Youza Asif dan Syed Naseer-ud-Din, yang menetap di kawasan ini beberapa abad sebelum ini.
Peningkatan jumlah pelawat menyebabkan mereka marah dan mencetuskan kebimbangan berlakunya keganasan.
"Beberapa orang Kristian dari Barat mendakwa ia makam Jesus dan meminta untuk mengeluarkan mayat untuk penentuan tarikh karbon dan ujian DNA. Tapi kami tidak membenarkannya.
"Dakwaan Rozabal sebagai makam Jesus oleh warga asing adalah perkara sensitif jadi kami menutupnya bagi mengelak berlakunya masalah," kata penjaga makam, Mohammad Amin Ringshawl.
Idea Jesus terselamat daripada disalib dan melawat Kashmir dibuat oleh wartawan tempatan, Aziz Kashmiri pada 1973 melalui bukunya Christ in Kashmir dan beberapa buku lain mengenai isu tersebut. - REUTERS

Senator Nigeria didakwa kahwini gadis bawah umur



ABUJA 30 April - Kedutaan Mesir di Nigeria semalam berkata, seorang kanak-kanak perempuan negara itu berusia 13 tahun yang mencetuskan kontroversi setelah seorang senator Nigeria mengahwininya sebagai isteri keempat, masih bersekolah di Mesir.
Senator tersebut, Ahmed Sani Yerima , 49, bagaimanapun dalam temu bual dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) menafikan bahawa isterinya itu berusia 13 tahun.
Ahmed berkata, sebagai seorang Islam beliau tidak melanggar sebarang undang-undang dengan mengahwini perempuan tersebut.
''Kanak-kanak perempuan itu masih bersekolah di Mesir dan tidak ada sesiapa yang mengemukakan aduan kepada kedutaan tentang budak perempuan itu,'' kata jurucakap Kedutaan Mesir Mohammed Saber kepada AFP.
Katanya, bagaimanapun kedutaan akan terus mengikuti isu itu kerana adalah menjadi kesalahan di Mesir untuk mengahwini kanak-kanak di bawah umur.
Rabu lalu, Senat Nigeria telah mengarahkan supaya satu siasatan dijalankan selepas menerima aduan daripada kumpulan hak asasi manusia bahawa Ahmed telah membayar hantaran perkahwinan berjumlah AS$100,000 (RM350,000) untuk mengahwini kanak-kanak tersebut.
Pertubuhan wanita turut mengadakan bantahan di luar Parlimen Selasa lalu menggesa Senat menyiasat aduan tersebut.
Dalam temu bual melalui telefon dari Mesir dengan perkhidmatan Hausa milik BBC Khamis lalu, Ahmed mempertahankan tindakannya mengahwini gadis itu.
"Saya tidak peduli tentang isu berhubung usia (isteri saya itu) kerana saya tidak melanggar sebarang peraturan yang ditetapkan Islam,'' katanya, sambil menyifatkan aduan itu sebagai menganggu.
"Nabi Muhammad turut mengahwini kanak-kanak perempuan. Maka saya tidak melanggar sebarang peraturan, sekalipun dia berusia 13 tahun seperti yang didakwa," katanya.
Satu petisyen bantahan yang dihantar kepada Senat oleh kumpulan hak asasi manusia itu mendakwa perkahwinan tersebut mencabul Akta Hak Asasi Kanak-kanak Nigeria 2003 yang melarang perkahwinan dengan sesiapa yang berusia di bawah 18 tahun. Bagi sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah.
Petisyen tersebut mendakwa Ahmed mempunyai tabiat suka berkahwin dengan kanak-kanak dan tindakannya itu menjadi tarikan kepada kanak-kanak perempuan untuk berkahwin dengannya.
Pada 2006, beliau telah berkahwin dengan seorang kanak-kanak berusia 15 tahun bernama Hauwa'u sebagai isteri keempatnya, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa meninggalkan sekolah.
Pertubuhan hak asasi itu mendakwa senator itu kemudian menceraikan Hauwa'u semasa wanita itu berumur 17 tahun ketika dia masih menyusukan anak lelakinya untuk berkahwin dengan gadis Mesir itu.
Petisyen tersebut menggesa Senat supaya menyiasat dakwaan itu dan mendedahkan nama dan umur kanak-kanak perempuan itu serta sebab-sebab dia memasuki Nigeria.
Ahmed merupakan gabenor negeri Zamfara di barat laut Nigeria dan menjadi negeri pertama daripada 12 negeri yang dikuasai Islam di utara Nigeria yang telah melaksanakan undang-undang Syariah pada 2000.
Agensi Larangan Perdagangan Manusia Kebangsaan Rabu lalu mengarahkan senator itu supaya tampil menjawab segala tuduhan itu kepada agensi tersebut. - AFP

Lelaki bakar diri selepas serang tadika



BEIJING 30 April - Seorang lelaki membakar diri sampai mati selepas mencederakan lima kanak-kanak dengan tukul besi di sebuah tadika hari ini, dalam serangan ketiga ke atas kanak-kanak sekolah di China dalam tempoh tiga hari.
Penyerang menggunakan sebuah motosikal untuk meruntuhkan pintu pagar tadika di bandar Weifang, wilayah Shandong, sebelum memukul seorang guru yang cuba menghalangnya dan kemudian menggunakan tukul untuk menyerang kanak-kanak, lapor agensi berita Xinhua.
Serangan itu berlaku hanya sehari selepas 28 kanak-kanak tadika dan tiga orang dewasa cedera ditikam di bandar Taixing, wilayah Jiangsu, dan merupakan serangan kelima seumpamanya dalam tempoh sebulan.
Keganasan melibatkan kanak-kanak di negara ini berlaku ketika kerajaan China memperketatkan kawalan keselamatan menjelang pembukaan gilang-gemilang Ekspo Dunia di pusat kewangannya, Shanghai, malam ini.
Dua kanak-kanak sempat ditarik daripada lelaki itu selepas dia menyimbah petrol dan membakar dirinya, lapor Xinhua. Semua murid yang cedera itu kini berada dalam keadaan stabil.
Semalam, seorang jurujual berusia 46 tahun menikam 28 kanak-kanak, dua guru dan seorang pengawal keselamatan di tadika di Taixing, hanya beberapa jam perjalanan dari Shanghai.
Motif penyerang itu adalah untuk 'membalas dendam terhadap masyarakat', lapor Xinhua hari ini.
Serangan yang semakin menjadi-jadi melibatkan kanak-kanak sekolah di negara ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar bahawa publisiti mengenainya boleh mendorong orang lain untuk melakukan serangan serupa.
Orang ramai juga mendesak supaya langkah lebih ketat diambil bagi melindungi kanak-kanak sekolah di negara ini, di mana kebanyakan pasangan hanya mempunyai seorang anak.
Rabu lalu, seorang doktor menjalani hukuman mati kerana membunuh lapan kanak-kanak sebuah sekolah di wilayah Fujian pada Mac lalu.
Pada petang dia menjalani hukuman mati, 18 pelajar dan seorang guru cedera ditikam oleh seorang guru lain di sebuah sekolah rendah di wilayah Guangdong, selatan China. - Reuters

Baju Merah mohon maaf ceroboh hospital



Kakitangan Hospital Universiti Chulalongkorn di Bangkok memindahkan seorang pesakit selepas hospital itu diserbu penyokong Baju Merah, semalam. - AFP


BANGKOK 30 April - Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand hari ini memohon maaf setelah aktivis mereka menceroboh sebuah hospital di ibu negara ini malam tadi untuk mencari askar-askar yang didakwa merancang serangan ke atas mereka.
Tindakan aktivis Baju Merah itu menimbulkan persoalan sama ada gerakan tersebut semakin kehilangan arah dalam krisis politik yang sudah berlarutan selama dua bulan dan meragut 27 nyawa.
Para pemimpin protes memohon maaf selepas lebih 200 aktivis Baju Merah menceroboh Hospital Universiti Chulalongkorn malam tadi untuk mencari askar yang didakwa membuat persiapan untuk melancarkan serangan ke atas penunjuk perasaan.
Sebilangan pesakit terpaksa dipindahkan ekoran tindakan aktivis itu.
Namun, mereka tidak menemui seorang pun askar di situ dan beredar selepas sejam merayau-rayau di pekarangan hospital, lobi dan tempat letak kereta, sesetengahnya membawa batang kayu runcing.
Ada aktivis yang mahu kembali ke hospital itu hari ini untuk mengulangi pemeriksaan tetapi pemimpin Baju Merah menolak kemungkinan itu.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku. Kami mengesyaki hospital itu menjadi tempat persembunyian askar-askar," kata seorang ketua protes, Weng Tojirakarn.
Weng mengakui sesetengah aktivis Baju Merah mempunyai 'mentaliti koboi' yang menimbulkan masalah imej bagi gerakan tersebut yang tidak mendapat sokongan golongan menengah di Bangkok.
Pencerobohan di hospital itu juga membangkitkan persoalan mengenai sejauh mana para pemimpin Baju Merah dapat mengawal pengikut mereka yang terdiri daripada penyokong setia kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, aktivis demokrasi dan buruh ladang.
Keupayaan para pemimpin untuk memastikan disiplin di kalangan pengawal mereka turut dipersoalkan.
Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva menjangka tindakan melampau Baju Merah itu bakal mencetuskan kebencian rakyat.
"Saya tidak fikir saya perlu mengutuk tindakan itu. Saya fikir bukan sahaja masyarakat Thai tetapi juga masyarakat antarabangsa sudah pun mengutuknya," kata beliau dalam satu kenyataan di televisyen. - Reuters

Penduduk bunuh suspek pembunuhan



BEIRUT 30 April - Sekumpulan penduduk sebuah kampung di Lebanon yang mengadakan tunjuk perasaan telah bertindak ganas membunuh seorang lelaki warga Mesir yang disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan melibatkan sepasang warga emas dan dua cucu mereka, semalam.
Dalam kejadian itu, penduduk yang marah telah bertindak menarik suspek yang dibawa dengan kereta polis ke tempat kejadian, sebelum memukul lelaki itu sampai mati dan kemudian menggantung mayatnya dengan besi penyangkuk daging di sebatang tiang eletrik di kampung Ketermaya, kira-kira 25 kilometer di tenggara Beirut.
Lelaki itu dibawa polis ke tempat kejadian itu semalam untuk melakonkan semula jenayah yang dilakukannya.
''Beratus-ratus penduduk yang marah telah bertindak menarik suspek keluar dari kenderaan polis dan memukulnya sampai mati,'' kata anggota keselamatan.
Pasukan polis tidak mampu menghalang penduduk yang bertindak ganas memukul lelaki itu sehingga mati.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Mohammed Muslem, 38, merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan pasangan warga emas itu dan dua cucunya yang berumur tujuh dan sembilan tahun yang ditemui mati ditikam di kediaman mereka di kampung itu, kelmarin.
"Penduduk kampung itu telah mengetahui suspek akan dibawa ke tempat kejadian dan mereka telah menunggunya.
"Mereka telah menariknya keluar dan memukulnya sampai mati sebelum menggantung mayatnya di sebatang tiang elektrik," kata pegawai keselamatan yang enggan dikenali.
Mohammed sebelum itu dikehendaki polis kerana disyaki merogol seorang gadis berusia 13 tahun kira-kira dua bulan lalu.
Pihak berkuasa Lebanon semalam mengecam kejadian itu dan berjanji akan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat. - AFP

Belgium haramkan purdah



BRUSSELS 30 April - Parlimen Belgium meluluskan usul mengharamkan pemakaian burqa dan purdah di khalayak ramai dengan mendapat sokongan hampir sebulat suara, dalam tindakan pertama seumpamanya di Eropah.
Namun, langkah itu dikutuk oleh para pemimpin Islam, seorang biskop Roman Katolik dan pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International.
Di dewan rendah Parlimen semalam, 136 anggota mengundi untuk menguatkuasakan pengharaman di seluruh negara terhadap pakaian atau tudung yang tidak membolehkan identiti pemakainya dikenal pasti, termasuklah purdah dan burqa.
Hanya dua anggota dewan berkecuali dan tidak ada seorang pun yang menentang usul tersebut.
Pengharaman itu akan dikuatkuasakan di jalan-jalan, taman awam dan gelanggang sukan atau bangunan 'yang disediakan untuk kegunaan awam atau untuk memberikan perkhidmatan' kepada orang awam, menurut teks rang undang-undang itu.
Pengecualian mungkin dibenarkan untuk acara tertentu seperti pesta jika pihak berkuasa perbandaran meluluskannya.
Mereka yang melanggar undang-undang baru itu boleh didenda antara 15 hingga 25 euro (RM64 hingga RM109) dan/atau penjara sehingga tujuh hari.
Naib Presiden Majlis Eksekutif Islam Belgium, Isabelle Praille menyifatkan pengharaman itu sebagai contoh berbahaya yang boleh membuka jalan untuk mengharamkan pakaian lain.
"Hari ini purdah, besok tudung, kemudian serban orang Sikh pula menjadi sasaran dan mungkin suatu hari nanti skirt mini.
"Memakai purdah atau burqa adalah sebahagian kebebasan individu yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi Belgium, Eropah dan antarabangsa," katanya.
Amnesty International turut mengutuk pengharaman tersebut dalam satu kenyataan semalam.
"Pengharaman menyeluruh terhadap pakaian yang menutup muka akan melanggar hak-hak kebebasan bersuara dan beragama bagi wanita yang memakai burqa atau purdah," kata pakar Amnesty mengenai diskriminasi di Eropah, John Dalhuisen.
Rang undang-undang itu juga perlu diluluskan oleh dewan tinggi Parlimen yang mempunyai tempoh dua minggu untuk membangkitkan sebarang bantahan terhadapnya.
Namun, berikutan kejatuhan kerajaan Perdana Menteri, Yves Leterme pada 22 April lalu, Belgium dijangka menghadapi pilihan raya awal yang boleh menyebabkan kelulusan tergendala selama beberapa bulan. - AFP

Cucu dipercayai bersubahat samun nenek





RULIAH Abu Bakar menceritakan semula bagaimana tangannya diikat dan kemudian dirompak oleh tiga suspek serta cucunya sendiri di rumahnya di Kampung Jawa, Panchor, Muar, Johor, semalam.



MUAR 30 April - Baru berusia 14 tahun, tetapi seorang remaja perempuan kini diburu kerana menghilangkan diri selepas dipercayai bersubahat membantu tiga rakannya termasuk seorang wanita menyamun neneknya sendiri.
Dalam kejadian pukul 11 pagi ini, nenek remaja tersebut, Ruliah Abu Bakar, 75, bukan sahaja diperlakukan secara kasar oleh dua lelaki dan seorang wanita terbabit, malah perbuatan itu hanya diperhatikan oleh cucunya yang langsung tidak membantu.
Mulut Ruliah disumbat dengan kain, selain mukanya diserkup dengan anak tudung. Tidak cukup dengan itu, kedua-dua tangannya diikat.
"Masa itu, saya rasa bagai nak hilang nyawa dan mengucapkan 'Allahuakbar' berkali-kali dalam hati. Saya berharap cucu saya membantu tetapi dia langsung tidak buat apa-apa," kata Ruliah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawa, Panchor, dekat sini hari ini.
Menceritakan lebih lanjut mengenai kejadian itu, Ruliah berkata, dia berada di rumah dengan cucunya ketika kejadian sebelum dua lelaki berusia belasan tahun dan seorang wanita dalam lingkungan 40-an datang menaiki motosikal.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka kemudian memberi salam sebelum menerpa masuk dan mengikatnya.
Katanya lagi, dia langsung tidak menyangka ketiga-tiga suspek itu akan menyamunnya kerana wanita itu merupakan kenalan cucunya.
"Selepas diikat, mereka mengambil wang tunai dan barangan kemas yang disimpan dalam bilik yang kesemuanya bernilai kira-kira RM1,000.
"Sebelum ditinggalkan, saya sempat cakap jangan pergi kepada cucu saya tetapi dia hanya diam dan keluar dari rumah bersama mereka," katanya sambil memberitahu kejadian itu berlaku dalam tempoh kira-kira 15 minit.
Menurutnya, selepas kumpulan itu beredar, dia dapat membuka ikatan tangannya dan pergi ke rumah jirannya yang terletak kira-kira 100 meter untuk meminta bantuan.
Sementara itu, menurut menantu mangsa, Hasinah Samad, 54, dia tidak berada di rumah semasa kejadian kerana bekerja di sebuah kilang perabot di Pagoh manakala suaminya, Harun Othman masih dirawat di hospital sejak tiga hari lalu kerana menghidap batuk kering.
Menurutnya, sebaik sahaja dimaklumkan jirannya kira-kira pukul 1 petang, dia segera menelefon anak tunggalnya itu namun panggilan tidak dijawab dan sehingga kini dia gagal menghubungi anaknya.
"Wanita itu saya kenal sebagai 'Ila' dan kebiasaannya kalau anak saya tiada di rumah, dia akan berada di rumah Ila di pekan Panchor sebelum saya menjemputnya pulang.
"Saya tidak tahu bagaimana anak saya boleh berkawan dengan Ila tetapi sejak mereka berkenalan awal tahun ini, perangainya berubah menjadi kasar dan kerap ponteng sekolah," katanya yang memberitahu Ila bertubuh agak gempal.
Biarpun kecewa dengan perbuatan itu, Hasinah tetap berharap anaknya kembali ke pangkuan keluarga dengan segera.
"Tolonglah balik. Mak risau sangat dan bimbang...biarlah hidup mati ini kita bersama," katanya sambil mengharapkan kepulangan anaknya walaupun dia kini melarikan diri dengan tiga suspek itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak.
"Polis sedang menggiatkan usaha menjejaki suspek-suspek kes ini. Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan," katanya.

RM17.3 juta barang cetak rompak dirampas



PUTRAJAYA 30 April - Sebanyak RM17.3 juta nilai barangan cetak rompak dirampas bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini menerusi 346,718 penguatkuasaan di seluruh negara.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Roslan Mahayudin berkata, nilai rampasan tersebut termasuk perisian dan perkakasan komputer bernilai RM1.3 juta.
''Ia meliputi 124 buah komputer bernilai RM350,000 dan 297 salinan perisian disyaki cetak rompak dengan nilai pasaran RM984,945 melibatkan 18 penguatkuasaan.
''Bagaimanapun ia berbeza pada tahun lepas iaitu sebanyak 42 tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan 323 komputer bernilai RM935,000 dan 2,590 salinan perisian disyaki cetak rompak bernilai RM11.4 juta dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Roslan berkata, penggunaan perisian cetak rompak dikenal pasti digunakan secara berleluasa dalam pelbagai industri termasuk pengangkutan, senibina, pengurusan acara dan pameran, kafe siber termasuk pembelajaran pertahanan serta penerbangan secara talian.
Justeru, pengarah dan pengurus kanan syarikat digesa memastikan semua aspek perniagaan mereka termasuk penggunaan perisian mengikut undang-undang.
''Mengikut Akta Hakcipta 1987, syarikat dan pengarah syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak yang dimiliki atau hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
''Masalah cetak rompak ini bukan sahaja mengurangkan keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur di negara ini, malah ia juga tidak akan menggalakkan kreativiti anak tempatan kerana mereka takut apa yang dicipta mereka dicetak rompak dan orang lain yang mendapat hasilnya," katanya.

Pesalah trafik paling ramai beri rasuah



PUTRAJAYA 30 April - Pesalah trafik dicatatkan sebagai golongan yang paling ramai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan memberi rasuah sepanjang empat bulan pertama tahun ini.
Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, seramai 21 orang pesalah lalu-lintas telah ditangkap di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM daripada keseluruhan 67 tangkapan yang dibuat sepanjang tempoh itu termasuk tiga tangkapan di bawah seksyen 16(b) akta sama.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak tujuh kes telah dituduh di mahkamah.
Tambahnya, golongan kedua tertinggi yang ditangkap adalah kes menggajikan pendatang asing atau yang berkaitan permit kerja iaitu 19 orang dan diikuti tujuh tangkapan melibatkan suapan bagi menutup kes jenayah.
''Apa yang ditekankan di sini ialah masih ada lagi gejala khususnya orang hendak memberikan rasuah kepada pegawai kerajaan, maka sebab itu kempen perangi rasuah diadakan untuk sedarkan masyarakat.
''Melalui pemerhatian kita, gejala itu banyak berkaitan mereka memberikan pelbagai alasan kepada pegawai penguat kuasa hingga sanggup menawarkan suapan dan oleh kerana itu tindakan telah diambil," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini.
Menurut Mustafar, nilai keseluruhan rasuah yang direkodkan sepanjang tempoh tersebut ialah sebanyak RM200,047 dengan jumlah tertinggi RM35,000 manakala paling rendah ialah RM3.
Selain itu, beliau berkata, tangkapan juga membabitkan pelbagai bentuk kesalahan antaranya memberi suapan kerana tidak mahu kenderaan disita iaitu enam kes, lesen perniagaan dan dadah masing-masing tiga kes serta dua kes pembalakan haram.
Tambahnya, kes suapan membabitkan cakera padat digital (DVD) haram, kecurian arus elektrik dan percepat proses kerja masing-masing melibatkan satu tangkapan.
Kata beliau, sebahagian besar pemberi rasuah itu terdiri daripada peniaga dan mereka yang bekerja sendiri.
Justeru, beliau berkata, bagi meningkatkan keyakinan dan persepsi masyarakat terhadap SPRM, fokus sekarang adalah tentang tindakan berkaitan operasi atau kempen memerangi pemberi rasuah.
''Akta SPRM telah menyatakan bahawa pemberi atau penerima rasuah, kedua-duanya salah tetapi kita hendak dahulukan dengan pemberi kerana jika tiada pemberi tentu tidak ada penerima," katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, suruhanjaya itu mengadakan kerjasama dengan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) bagi menggerakkan siri dialog melibatkan masyarakat Cina di seluruh negara.
''Kita akan memberikan penerangan kepada masyarakat Cina tentang apa itu kesalahan rasuah dan bagaimana hendak membuat laporan kepada suruhanjaya serta peranan mereka memerangi gejala itu.
''Di peringkat negeri, kita juga telah arahkan pejabat SPRM negeri untuk sama-sama mengadakan diskusi," katanya.
Sesi penerangan pertama akan diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 5 Mei ini yang dijadual dirasmikan oleh Ketua Pesuruhahjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad dan Timbalan Setiausaha Kehormat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina Huazong, Prof. Dr. Chin Yew Sin.

Dalang sindiket edar ganja diberkas



PARIT 30 April - Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang kepada sindiket pengedaran ganja di Seberang Perak dalam satu operasi bersepadu dan pencegahan jenayah di sini awal pagi ini.
Dalam operasi pukul 6.30 pagi di sebuah rumah itu, polis menemui 79 paket lutsinar, dua ketul ganja mampat dan cebisan daun kering disyaki ganja seberat 420 gram bernilai RM3,000.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah hasil maklumat orang awam itu, polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bersama kesemua dadah tersebut.
Katanya, ganja berkenaan dipercayai dijual kepada penagih dadah dengan harga RM20 sebungkus.
"Siasatan polis percaya lelaki itu dipercayai dalang kepada sindiket pengedaran ganja di kawasan berkenaan manakala dadah itu dipercayai diperolehi dari negara jiran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Polis tidak terlibat kes pukul pelajar



IPOH 30 April - Polis hari ini menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan sekumpulan anggota polis terlibat memukul seorang pelajar sekolah menengah di Changkat Jering pada 14 April lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, sebaliknya, lapan lelaki yang terlibat dalam kejadian itu adalah orang awam yang bertindak secara berkumpulan.
Polis, katanya, telah menahan dua suspek berusia lingkungan 30-an yang terlibat dalam kejadian terbabit pada hari yang sama dan usaha mengesan enam lagi lelaki sedang dijalankan.
"Macam mana boleh timbul dakwaan polis yang memukul sedangkan ibu bapa pelajar itu sendiri tidak mengatakan polis yang melakukannya.
"Malah ibu bapa pelajar tersebut datang berjumpa dengan saya sendiri untuk mendapatkan pengesahan malah tidak menuduh polis terlibat dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang mengadakan sidang akhbar di sini hari ini menuduh pihak polis memukul pelajar berusia 17 tahun terbabit kerana disyaki penagih dadah.
Dalam kejadian antara pukul 2 hingga 4 petang itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri Changkat Jering itu dipukul oleh lapan lelaki dalam keadaan tangannya bergari.
Kejadian berlaku di sebuah ladang getah di kawasan Changkat Jering ketika pelajar itu dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Ketika kejadian, seorang rakannya merakamkan peristiwa itu menerusi telefon bimbit yang kemudiannya diserahkan kepada kedua-dua ibu bapa pelajar tersebut.
Yusof yang kesal dengan dakwaan tersebut berkata, isu itu sengaja ditimbulkan dengan tujuan mencemarkan nama baik pihak polis.
"Kalau mereka (pembangkang) hendak buat sidang akhbar sekalipun, kenapa tidak tanya pihak kami dahulu untuk mendapatkan penjelasan dan fakta sebenar. Saya yakin mereka ada niat jahat untuk memburukkan nama polis," katanya.
Sementara itu katanya, kedua-dua suspek yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Jaga sekolah cabul murid dipenjara empat tahun



KUALA LUMPUR 30 April - Baru sehari bertugas menggantikan rakannya, seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah sudah berkelakuan keji dengan mencabul seorang murid perempuan tahun satu di sekolah tersebut.
Tindakan tidak bermoral lelaki berusia 64 tahun itu menyebabkannya dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.
Majistret Rini Triany Muhammad Ali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas R. Perumal selepas lelaki itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil.
Beliau yang menyifatkan perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan turut berharap hukuman itu boleh menginsafkan tertuduh serta memberi pengajaran kepada masyarakat umum.
Bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun terlepas hukuman sebat yang diperuntukkan bagi kesalahan itu memandangkan usianya yang sudah lanjut.
Perumal mengaku menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di tandas perempuan sebuah sekolah rendah kebangsaan di Batu Arang di sini antara pukul 5 dan 5.15 petang, 21 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah dan dibantu pegawai pendakwa, Asisten Supritendan Koh Teck Chew.
Terdahulu, Rohaiza memohon agar hukuman berat dikenakan atas alasan kesalahan serius yang dilakukan oleh tertuduh yang sepatutnya dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan murid-murid di situ.
Teck Chew pula memohon mahkamah mengambil kira stigma dan trauma yang ditanggung oleh mangsa berdasarkan cara kesalahan itu dilakukan.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan dia berpenyakit kencing manis, darah tinggi dan sebelah kakinya sering sakit.
Menurut fakta kes, mangsa telah ke tandas untuk membuang air kecil dan secara kebetulan telah bertemu dengan tertuduh.
Kejadian cabul itu diceritakan mangsa kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis pada malam hari kejadian. Tertuduh berjaya ditangkap tiga hari kemudiannya.

Rayuan ditolak, hukuman denda Gobalakrishnan kekal



SHAH ALAM 30 April - Hukuman denda RM1,000 yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan oleh Mahkamah Sesyen di sini dikekalkan selepas pihak pendakwaan gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian hari ini semasa menolak permohonan pihak pendakwa agar Mahkamah Tinggi di sini menggunakan budi bicara untuk membenarkan petisyen tersebut mengikut Seksyen 310 Kanun Tatacara Jenayah.
''Mengikut Seksyen 310 Kanun Tatacara Jenayah, sebarang permohonan agar mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan petisyen rayuan yang difailkan di luar tempoh masa perlu dibuat secara rasmi.
''Oleh kerana pihak pendakwaan tidak membuat permohonan secara rasmi, maka permohonan ini ditolak,'' katanya.
Pada prosiding hari ini, Gobalakrishnan diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Hamid manakala pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani dan Mohd. Nordin Ismail.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilihat tersenyum sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan tersebut.
Pada 16 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hasbi Hassan menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tujuh minggu selepas Gobalakrishnan mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menakutkan pegawai polis dalam satu perhimpunan haram anjuran Hindraf.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam satu perhimpunan haram di depan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 3 pagi, 25 November 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum ini, Gobalakrishnan yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan atas tuduhan menakutkan pegawai polis dengan merosakkan dua pintu pagar Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves dekat sini.
Mengikut fakta kes, hampir 2,000 individu berketurunan India yang berkumpul di depan pintu besar kuil tersebut pada pukul 12.50 tengah malam hari kejadian, telah diarahkan bersurai tetapi tidak diendahkan.
Mereka kemudian didakwa bertindak memasuki kawasan kuil itu dan secara tiba-tiba bertindak membaling pelbagai objek seperti batu, besi dan kayu ke arah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota polis yang lain.
Empat kenderaan polis pelbagai jenis turut rosak akibat dibaling dengan objek keras itu.
Dalam kes ini, seramai 66 individu telah didakwa. Bagaimanapun 57 daripada mereka telah menukar pengakuan kepada bersalah dan didenda antara RM750 dan RM850, manakala selebihnya masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan sedang dibicarakan di mahkamah sama.

Amy diarah bayar RM18,000





KUALA LUMPUR 30 April - Penyanyi Amy Search hari ini diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM18,000 kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang melecur akibat terkena tomyam panas di Restoran Cheng Ho milik penyanyi tersebut, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Sabariah Othman memutuskan demikian setelah mendapati Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir selaku plaintif berjaya membuktikan kes atas imbangan kebarangkalian tuntutan terhadap defendan.
Beliau berpendapat, tuntutan ke atas Amy sebagai majikan merupakan liabiliti vikarius iaitu apabila kecuaian dilakukan oleh pekerja ketika dalam tugas maka majikan boleh dipertanggungjawabkan.
Mahkamah sehubungan itu membenarkan tuntutan plaintif bagi ganti rugi am sebanyak RM8,000 untuk kecederaan tiga peratus di bahagian badan iaitu kebakaran tahap satu dan dua.
Plaintif juga layak mendapat ganti rugi khas RM10,000 bagi kos rawatan, faedah sebanyak enam peratus atas jumlah penghakiman serta kos.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 51, yang diwakili peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar, tidak hadir ketika keputusan itu dibuat.
Pada 24 September 2008, Nik Zahir Nik Mohd. Idris memfailkan saman bagi pihak anaknya, Nik Muhammad Zakwan kerana mendakwa pekerja restoran tersebut cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badan anaknya melecur.
Plaintif yang diwakili peguam Adnan Seman @ Abdullah dan Shahrul Azim Azmi menamakan Amy sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menyatakan dia sekeluarga dan saudara-mara mengunjungi restoran itu di Wangsa Maju pada 17 Jun 2008 bagi meraikan sambutan kelahiran ahli keluarga baru mereka.
Plaintif mendakwa, ketika sedang berbual-bual dan menunggu makanan disediakan, seorang pekerja defendan telah membawa sebuah dulang makanan mengandungi semangkuk besar tomyam panas, masakan ikan siakap dan sayur tauhu dengan hanya menggunakan sebelah tangan.
Ketika menghampiri meja mereka, dakwa plaintif, pekerja itu gagal mengimbangi dulang yang berada di atas kepala plaintif menyebabkan tom yam panas dan ikan siakap tertumpah dan mengenai badannya serta percikan kuah tomyam itu mengenai mata bapanya.
Plaintif yang menuntut ganti rugi am, khas dan teladan mendakwa akibat kejadian itu, dia terpaksa menjalani rawatan pembedahan kulit, mengalami kecederaan fizikal yang teruk dan berpanjangan serta trauma.
Pada 30 Januari tahun lalu, Sabariah membenarkan permohonan Amy untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan plaintif.
Bagaimanapun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Oktober lalu yang kemudian mengarahkan supaya kes itu didengar semula di Mahkamah Sesyen.

Saya difitnah Guan Eng'





JOHAR Ismail menunjukkan laporan polis mengenai fitnah Lim Guan Eng yang dilaporkan dalam akhbar Konsep Era Pakatan di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 April - Pemilik kedai makan atas pokok yang diberi nama Kafe Do Re Mi, Johar Ismail hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana didakwa memfitnahnya dengan menyatakan premisnya itu merupakan sebuah bar.
Johar, 34, yang ditemani beberapa rakannya membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani di sini kira-kira pukul 3 petang.
Dalam laporan itu, Johar mendakwa Guan Eng telah memfitnahnya menerusi kenyataan kepada akhbarKonsep Era Pakatan bertarikh 19 Mac hingga 4 April lalu dengan menyatakan bahawa kafe miliknya itu adalah sebuah bar iaitu Do Re Mi Beach Bar.
Ketika ditemui di luar balai polis tersebut kata Johar, kenyataan Guan Eng bukan sahaja menjatuhkan maruahnya dan keluarga, malah merupakan satu fitnah besar yang akan menimbulkan syak wasangka dan was-was seluruh umat Islam terhadap kafe yang diusahakannya selama ini.
''Sebagai seorang pemimpin di negeri yang kecil seperti Pulau Pinang, beliau boleh datang dan melihat sendiri apa yang saya lakukan di Kafe Do Re Mi dan bukannya mengeluarkan kenyataan palsu yang berunsur fitnah seperti itu.
''Saya rasa isu ini dikeluarkan bertujuan mengurangkan rasa simpati rakyat Malaysia beragama Islam terhadap saya. Ia supaya bila kerajaan negeri merobohkan Kafe Do Re Mi, mereka tidak lagi bersimpati dan merasakan tindakan Guan Eng wajar kerana saya membuka bar di tepi pantai.
''Demi maruah saya dan keluarga, saya membuat laporan hari ini untuk menyangkal dakwaan tersebut. Saya juga meminta dan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia apabila membaca sesuatu berita, sila semak kesahihannya terlebih dahulu. Jangan mempercayainya bulat-bulat," katanya.
Johar merupakan satu-satunya pemilik kedai makan atas pokok yang terletak di kawasan pantai Tanjung Bungah di sini.
Menurut Johar, beliau akan sedaya upaya mempertahankan kafe miliknya itu walaupun arahan untuk merobohkannya telah dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman baru-baru ini.
Dalam arahannya, Mansor turut mengesahkan antara gerai yang akan dirobohkan bermula esok adalah Kafe Do Re Mi di Tanjung Bungah dan Three N Ikan Bakar di Bukit Dumbar yang kedua-duanya dimiliki pengusaha Melayu.
Kata Johar, dalam usaha mempertahan premisnya, beliau telah berjumpa Mansor di pejabatnya di Komtar, Isnin lalu meminta supaya tindakan merobohkan kafenya itu ditangguhkan sehingga satu jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai antara kedua-dua pihak.
''Saya minta beliau tangguh dahulu arahan itu. Tapi kalau tak boleh tangguh dan mahu saya keluar, saya minta diberikan kebenaran berniaga di kawasan Pulau Tikus dan bukannya kawasan Bayu Senja di Batu Feringghi.
''Beliau (Mansor) kata akan berbincang perkara ini dengan Guan Eng. Tapi ini mungkin politik atau janji-janji kosong beliau sahaja kerana sehingga kini tiada sebarang keputusan atau surat mengenainya saya terima," katanya.
Justeru, Johar meminta semua pihak yang boleh membantunya supaya tampil ke hadapan mencari jalan penyelesaian mengenai isu berkenaan.
Katanya, tindakan kerajaan negeri yang tetap bertegas ingin merobohkan kedai dan gerai milik orang Melayu di negeri ini merupakan satu tindakan kurang bijak yang hanya akan membuatkan rakyat golongan bawahan terus tertindas dan tidak mendapat pembelaan.
''Kami telah sokong dia (Guan Eng) sehingga boleh menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Sepatutnya dia membalas budi kami dengan memberi sokongan dan bantuan, tetapi apa yang berlaku sebaliknya apabila kerajaan negeri bertindak rakus dan zalim sebegini.
''Mereka (pemimpin negeri) juga seolah-olah tidak tahu langsung bagaimana mahu menyelesaikan masalah seperti ini. Jadi, bantulah kami supaya nasib kami terbela," katanya.