Search This Blog

Friday, April 30, 2010

Ibrahim fail saman terhadap The Sun



SHAH ALAM – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, semalam, memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Inggeris, The Sun; Ketua Pengarang Kumpulan dan penulis artikel kerana didakwa menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan Sultan Selangor. 

Artikel itu bertajuk ‘Sultan keeps Perkasa Guessing On Invitation’ diterbitkan akhbar itu bertarikh 17 Mac 2010. 

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Salehuddin Saidin & Associates di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini jam 9.30 pagi semalam. 

Ibrahim selaku plaintif, berkata ganti rugi itu akan ditentukan mahkamah dan menuntut permohonan maaf secara terbuka serta perintah injunksi bagi melarang akhbar itu terus menyiarkan berita seperti itu. 

Ibrahim, yang diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin, turut menamakan Terence Fernandez, pencetak dan pengedar akhbar itu, Sun Media Corporation Sdn Bhd, sebagai defendan dalam kes itu. 

Akhbar itu didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah bahawa Ibrahim dan Perkasa tidak mendapat perkenan Sultan Selangor bagi merasmikan mesyuarat agung badan itu di Kuala Lumpur, 27 Mac lalu. 

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, mendakwa artikel itu secara kiasan, memberikan maksud bahawa Perkasa adalah sebuah organisasi yang menunjukkan semangat melampau dalam memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum ataupun golongan tertentu dan beliau adalah seorang ketua kumpulan cauvinis. 

Menurutnya, penerbitan artikel itu menjejaskan reputasinya sebagai seorang Ahli Parlimen dan menjejaskan kerjaya, perwatakan, moral, nama baiknya serta membawa beliau ke dalam skandal awam, kebencian, penghinaan, ejekan dan cemuhan. 

Sebelum ini, Ibrahim turut mendakwa terdapat satu lagi laporan dalam akhbar yang sama, mendakwa Sultan Selangor menasihatkan beliau jangan bersikap melampau. 

Laporan tersebut menyatakan bahawa Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah tidak komited sama ada akan merasmikan mesyuarat agung luar biasa (AGM) Perkasa selepas menerima menghadap Ibrahim selama 40 minit di Istana Mastika di sini. 

AGM Perkasa berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu dengan dirasmikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Ibrahim juga mendakwa akhbar berkenaan mungkin berniat jahat dengan menyiarkan laporan itu memandangkan tiada media lain yang melaporkan berita begitu. 

Beliau juga mengesyaki terdapat pihak-pihak tertentu di belakang media terbabit yang mahu menggagalkan AGM Perkasa. 

”Laporan itu amat serius kerana membabitkan Sultan Selangor dan nama baik Perkasa. Kita tak pernah pun bersifat perkauman dan ultra Melayu,” katanya. 

Ditanya mengenai tindakan sesetengah media baru yang didakwa menggambarkan Perkasa sebagai perkauman, Ibrahim menegaskan, pihaknya hanya memperjuangkan kepentingan Melayu berdasarkan Perlembagaan Negara.

Suami rogol rakan ketika isteri tidurkan anak



SHAH ALAM – Niat seorang isteri mempelawa rakan lama suaminya untuk makan malam di rumah bertukar mimpi ngeri, apabila suaminya yang mabuk sanggup merogol wanita terbabit dalam rumah mereka di Seksyen 7, di sini, malam Sabtu lalu. 

Dalam kejadian, kira-kira jam 9 malam itu, wanita itu bersama suami dan anaknya dikatakan keluar beli belah di sebuah pasar raya di Bukit Raja, Klang sebelum terserempak seorang rakan wanita suaminya berusia lewat 20-an. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, suami wanita itu dikatakan sudah lama tidak bertemu rakannya yang bekerja sebagai pegawai bank, menyebabkan isterinya, mempelawa wanita itu makan malam di rumah teres dua tingkat mereka. 

Menurutnya, terdahulu mereka berbual sambil minum minuman keras hinggalah isteri lelaki berusia 50-an itu naik ke tingkat atas menidurkan anaknya. 

Beliau berkata, suami wanita itu dikatakan mengambil kesempatan ketika ketika wanita itu (rakan) berjalan ke bilik air dengan bertindak menolaknya masuk ke bilik dan merogolnya. 

Noor Azam berkata, Selasa lalu, pegawai bank itu membuat laporan polis berhubung kejadian kira-kira jam 12 tengah hari dan lelaki itu ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.

15 polis terbabit dadah




JOHOR BAHRU - Penyalahgunaan dadah di kalangan anggota polis di negeri ini membimbangkan apabila 15 kes direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 31 kes sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, 15 kes dilapor dan direkodkan dari Januari hingga Mac 2010 membabitkan penyalahgunaan dadah jenis sintetik seperti methamphetamine dan ketamin.

Menurutnya, insiden terbaru membabitkan empat anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya yang positif dadah pada 26 April lalu selepas melalui saringan ujian air kencing.

“Mereka yang didapati positif belum dituduh menyalahgunakan dadah, sebaliknya ditentukan berdasarkan keputusan pihak hospital terlebih dahulu. 

“Sekiranya positif, anggota atau pegawai terbabit ditahan untuk menjalankan tugas dan berdepan tindakan mahkamah,” katanya.

Katanya, penyelia berperanan memantau dan memastikan pegawai mahupun anggota seliaan tidak terjebak gejala ini sejajar dengan kehendak di bawah Skim Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD).

Beliau berkata demi kian selepas Majlis Perhim punan Bulanan Kontinjen Polis Johor bagi bulan April 2010 dan Upacara Pemakaian Lencana Pang kat Asisten Superintendan Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal dan Ketua Cawangan Khas, Datuk Ramli Hassan.

Hajat minum kopi tidak kesampaian



ALOR SETAR- Hajat untuk menikmati minum petang bersama suami tidak kesampaian apabila seorang wanita maut dirempuh lori membawa pasir dan batu ketika hendak melintas jalan selepas pulang dari kedai berhampiran rumahnya, di Kampung Tanjung :Bendahara di sini, lewat petang kelmarin. 

Mangsa, Hasnah Shaari, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya. 

Cucu, Che Yum Tahar, 46, berkata, sebelum kejadian datuknya, Saad Morad, 84, memberi wang RM3 kepada mangsa pergi ke kedai untuk membeli rokok daun dan dua bungkus kopi ‘O’ untuk juadah minum petang. 

Menurutnya, datuknya tidak pergi sendiri ke kedai kerana kebetulan menghadapi masalah pendengaran dan sakit kaki. 

“Nenek pergi membeli semua barang yang diminta datuk malah dalam perjalanan pulang, dia sempat mengambil buah mangga dalam bungkusan yang diberikan jiran sekampung sebelum berhenti di tepi jalan untuk melintas pulang ke rumah,” katanya. 

Mangsa mendirikan rumah tangga bersama Saad lebih setahun lalu selepas kematian isteri Saad dan tidak dikurniakan anak.

Saksi kejadian, Elias Ramli, 30, yang juga anak saudara mangsa berkata, masa kejadian dia ternampak ibu saudaranya dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir dan batu selepas kenderaan itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan di selekoh tajam itu.

Menurutnya, dalam sekelip mata lori itu hilang kawalan lalu merempuh ibu saudaranya yang berada di tepi jalan yang ketika itu masih menunggu masa untuk melintas pulang ke rumah.

“Selekoh ini memang bahaya dan beberapa kali berlaku kemalangan yang meragut nyawa, dan penduduk kesal kerana permintaan supaya pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran berhati-hati ketika melalui jalan itu tidak mendapat maklum balas.

“Saya harap selepas ini pihak berkuasa dapat bertindak segera kerana ia penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pemandu lori itu kini ditahan untuk membantu siasatan selain lori yang dipandunya juga ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang Asli maut dirempuh kereta




BAHAU – Akibat mahu mengelak seekor lembu berkeliaran di jalan, seorang penduduk kampung Orang Asli, di sini maut selepas terbabit kemalangan di kilometer 7 Jalan Tampin arah Bahau, di sini kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira 7.30 petang itu, mangsa, Khairul Moi, 34, meninggal dunia selepas tercampak dari motosikalnya akibat bertembung sebuah kereta yang hendak mengelak lembu berkenaan. 

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kuil. 

Kemalangan turut menyebabkan motosikal yang belum diketahui jenisnya, terbakar dan rentung. 

Jurucakap polis berkata, kereta Proton Wira tersebut dipercayai cuba mengelak lembu di atas jalan dan kemudiannya memasuki laluan bertentangan. 

“Ini menyebabkan kereta terbabit merempuh motosikal ditunggang mangsa, “ katanya. 

Menurutnya, semasa kejadian, jalan gelap menyebabkan pemandu kereta dipercayai tidak nampak binatang berkenaan. 

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bandar Seri Jempol, di sini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini. 

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya berhati-hati semasa memandu selain meminta penternak lembu tidak membiarkan binatang peliharaan mereka tidak mengganggu pengguna jalan. 

Sementara itu, abang mangsa, Bakar Achin, 43, berkata, motosikal adiknya itu hangus terbakar selepas bertembung sisi kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki. 

Menurutnya, mangsa menetap bersama ibunya di kampung Orang Asli Sungai Klebang berhampiran pekan Rompin dan meninggalkan seorang balu serta empat orang anak. 

“Saya menasihatkan adik supaya mengikut jalan pintas belakang ketika pulang ke rumah tetapi mangsa berdegil dan tetap mengikut jalan besar. 

“Hati saya tidak sedap dan telah mengekori dari belakang sehingga motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta lalu terbakar,” katanya. 

Beliau berkata, mangsa merupakan anak bongsu daripada enam beradik.

Ajal depan sekolah




KOTA BHARU - Seorang pesara tentera, Mazlan Daud, 44, meninggal dunia di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh setelah motosikal yang ditungganginya bergeser dengan sebuah lori, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata, dalam kejadian berkenaan, mangsa dikatakan menunggang motosikal dari arah Kok Lanas menuju ke Ketereh. 

“Tiba di hadapan sekolah, mangsa dikatakan berada di tengah dua kenderaan iaitu di bahagian kiri adalah lori dan di bahagian kanan jalan pula terdapat motosikal. 

“Mangsa juga dipercayai bergeser dengan lori yang berada di sebelah kiri jalan menyebabkan dia (arwah) terjatuh dari motosikalnya lalu terkena tayar lori,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk pada bahagian organ dalaman dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat. 

Menurutnya, kes kemalangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Katanya, penunggang motosikal sebuah lagi pula menerima kecederaan ringan dan turut menerima rawatan kesihatan.

Dinding jadi penyelamat kereta

GAMBAR menunjukkan sebuah kereta Mercedes hampir terjatuh
 (dalam bulatan) dari tingkat tujuh tempat letak kenderaan di Bank of America, Tulsa kelmarin.

TULSA, Amerika Syarikat - Seorang pemandu nyaris maut selepas bahagian belakang kereta yang dipandunya hampir terjunam selepas merempuh dinding tempat letak kenderaan di tingkat tujuh di Bank of America, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang pegawai polis, Korporal David Crow memberitahu stesen radio KRMG: "Kaki pemandu itu tersangkut di bahagian pedal pecutan dan dia gagal menarik kakinya keluar. Pemandu itu sedang mengundur keretanya namun tiba-tiba ia memecut dan merempuh dinding."
"Nasib baik tiada orang melalui kawasan tersebut semasa kejadian," katanya yang memberitahu pemandu berusia 67 tahun itu tidak cedera pada insiden Rabu lalu.
Seorang wanita, Marry Barnes berkata, bumbung dan cermin kereta Toyota Corolla miliknya terkena serpihan batu-bata akibat rempuhan itu. - Agensi, kosmo

Geng wanita perdaya lelaki kaya

GAMBAR yang disiarkan di sebuah stesen televisyen NBC, Amerika Syarikat
menunjukkan dua wanita yang telah memperdayakan seorang lelaki kaya di Florida.

MIAMI - Polis Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kemunculan dua perompak wanita yang memperdayakan golongan lelaki kaya dengan melarikan barangan berharga milik mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Dua wanita itu dipercayai berkenalan dengan mangsa di kelab-kelab malam sebelum membubuh dadah ke dalam minuman mangsa yang menyebabkannya tidak sedarkan diri.
Seorang lelaki yang enggan identitinya didedahkan memberitahu stesen televisyen NBC, dia berasa seperti dipukau apabila dua wanita itu yang baru dikenalinya di sebuah kelab telah melarikan barangan berharga di kediamannya.
"Perkara yang saya ingati ialah saya tersedar pada pukul dua petang pada hari Jumaat. Saya tersedar di atas katil dengan jam Cartier Roadster telah hilang," katanya.
Sebelum ini, lelaki itu pengsan di dalam sebuah teksi selepas berkenalan dengan dua wanita di sebuah kelab malam.
Antara barang yang hilang itu ialah barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah AS$22,890 (RM73,130) selain ribuan dolar lagi yang dicuri menerusi beberapa kad kredit miliknya.
Polis Florida menyatakan kedua-dua wanita itu mungkin merupakan satu sindiket yang menjadikan lelaki kaya yang tua sebagai sasaran. - Agensi, kosmo

Tiger Woods akui tiduri 120 wanita

TIGER WOODS dan isterinya, Elin Nordegren.

LOS ANGELES - Bukan 13 seperti yang didedahkan beberapa laporan sebelum ini, sebaliknya bilangan sebenar wanita yang pernah tidur dengan pemain golf No.1 dunia, Tiger Woods sepanjang lima tahun perkahwinannya dengan bekas model, Elin Nordegren adalah 120 orang, lapor sebuah akhbar semalam.
Angka tersebut berdasarkan laporan majalah Amerika Syarikat (AS),National Enquirer pada minggu ini.
Satu sumber majalah itu menyatakan bahawa bintang golf tersebut menyenaraikan semua wanita yang pernah ditidurinya semasa dia menjalani terapi ketagihan seks.
Woods, 34, menjalani rawatan ketagihan seks di klinik pemulihan Gentle Path di negeri Mississippi, AS, pada awal tahun ini.
Bagaimanapun, majalah sama memberitahu, kecurangan Woods, 34, dengan anak gadis jirannya yang berusia 21 tahun merupakan tamparan paling hebat buat isterinya berhubung skandal seks suaminya itu.
Majalah National Enquirer mendakwa ibu anak dua itu akhirnya memutuskan mahu bercerai setelah majalah itu mendedahkan permainan cinta suaminya dengan anak jirannya, Raychel Coudriet.
Antara wanita yang pernah ditiduri Woods termasuk model majalahPlayboy, Loredana Jolie dan pengurus hiburan kelab malam, Rachel Uchitel.
Majalah berkenaan memetik sumber sama memberitahu bahawa Woods tidak menamakan Rachel dalam senarai wanita teman tidurnya itu.
Majalah National Enquirer mendakwa, skandal Woods-Rachel berlaku pada Mei tahun lalu dan lokasinya cuma beberapa meter dari tempat isterinya menyusukan anak bongsu mereka yang baru lahir.
Skandal seks Woods itu terbongkar selepas dia terbabit dalam satu kemalangan kereta di luar rumahnya di Florida pada November tahun lalu. - Agensi, kosmo

20 tahun hidu bau ladang babi

TEE BENG meninjau kawasan kandang babi yang didakwa penduduk
mengeluarkan bau busuk di Kampung Kepala Gajah, Nibong Tebal semalam.

NIBONG TEBAL - Bukan sahaja terpaksa menghidu bau busuk setiap hari, malah kumbahan air najis babi turut melimpah ke rumah penduduk apabila berlaku banjir kilat.
Itu derita yang dialami penduduk Kampung Kepala Gajah dekat sini sejak 20 tahun lalu.
Penduduk mendakwa, operasi ladang ternakan babi yang terletak tidak jauh dari situ menyebabkan kawasan sekitar perkampungan itu mengalami pencemaran bau yang serius terutamanya selepas waktu petang.
Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.
Seorang penduduk, Osman Darus, 54, berkata, masalah itu bukan sahaja menyusahkan penduduk menjalani kehidupan harian, tetapi dikhuatiri akan mengancam kesihatan dalam jangka masa panjang.kosmo

Meninggal selepas setahun koma

MOHD. RAFIQ

BAYAN BARU - Selepas setahun terlantar koma di rumahnya di Kampung Baru Sungai Ara dekat sini, Mohd. Rafiq Jamat, 30, akhirnya meninggal dunia petang kelmarin.
Kisah malang juruteknik kilang di Butterworth ini pernah dipaparkan Kosmo! tahun lalu selepas sebahagian tempurung kepala sebelah kiri dan kanannya terpaksa dibuang akibat kemalangan jalan raya.
Insiden 6 April tahun lalu berlaku setelah motosikal yang ditunggangnya kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang semasa dalam perjalanan ke tempat kerja mengakibatkan tulang bahunya patah dan berlaku pendarahan otak.
Menurut isterinya, Noor Syarmila Rahim, 25, suaminya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Selasa lalu untuk memasang semula tempurung kepalanya.
"Pada masa itu keadaannya tak stabil dan melalui imbasan x-ray doktor maklumkan terdapat air dalam paru-paru arwah suami.
"Sepatutnya doktor nak buat pembedahan paru-paru itu pagi kelmarin namun keadaannya semakin kritikal sebelum beliau disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.50 petang," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.kosmo

Bunuh diri malu menganggur

KANGAR - Gara-gara kecewa setelah menganggur empat bulan seorang pemuda nekad menamatkan riwayatnya dengan mengantungkan diri di bilik tidur rumahnya, di sini petang kelmarin.
Mayat mangsa, Chuah Wooi Keong, 24, ditemui ibunya, Lim Chai Eng, 74, di tingkat atas bilik rumah kedai yang didiami mereka dua beranak itu di Jalan Alor Setar-Kangar kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, pemuda itu menggantung diri dengan menggunakan tali jenis nilon sambil meninggalkan nota di sisinya.

Dera anak guna rotan, getah paip

BEGINILAH kecederaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak
 didakwa akibat didera ibu bapanya di Umbai, Jasin Rabu lalu.

MELAKA - Polis menahan pasangan suami isteri selepas disyaki mendera anak lelaki mereka berusia 10 tahun dengan memukulnya menggunakan rotan dan getah paip di sebuah rumah di Umbai, Jasin baru-baru ini.
Pasangan berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 35 tahun Rabu lalu selepas menjumpai kanak-kanak tersebut ketika dia sedang merayau-rayau di sebuah pasar malam di Machap Umboo di sini dua hari sebelum itu.
Difahamkan, ketika itu mangsa didakwa berada dalam keadaan ketakutan ekoran baru sahaja melarikan diri kerana tidak tahan didera oleh ibu bapanya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Supritendan Hamdan Majid berkata, siasatan awal polis mendapati, pasangan tersebut mendera kanak-kanak tersebut kerana tidak tahan dengan perangainya yang hiperaktif.kosmo

Budak mati dalam akuarium

PENDUDUK kampung berkumpul di rumah Nurul Najwa yang mati
 lemas di dalam akuarium di Jalan Ismail, Muar, Johor semalam.

MUAR – Seorang ibu menyesal tak sudah apabila menemui anak bongsunya lemas dalam keadaan terlangkup di dalam sebuah akuarium sebaik pulang selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul di sebuah sekolah di Jalan Ismail di sini baru-baru ini.
Nurul Najwa Atika Robin Gantilan yang berusia setahun empat bulan ditemui kaku pada pukul 11 pagi Sabtu lalu oleh ibunya, Wan Nor Bahiyah Sabri, (gambar) 35, selepas mendapati anaknya tidak berada bersama kakaknya yang berusia 12 tahun.
Ketika kejadian, kakak mangsa sedang tidur di ruang tamu.
Cerita ibu kepada empat orang anak itu, dia yang bergegas mencari anaknya seolah-olah diserang histeria apabila menjumpai anak bongsunya itu kaku dalam keadaan terlangkup di dalam akuarium mengandungi ikan talapia yang diletakkan di atas lantai dapur rumahnya.
“Selepas sampai di rumah bersama dua lagi anak saya, saya lihat anak sulung perempuan saya sedang tidur. Saya kemudian bertanya di mana Ate (Nurul Najwa Atika),” ceritanya ketika ditemui Kosmo! semalam.kosmo

Pesara tentera maut digilis lori

KOTA BHARU 29 April - Seorang pesara tentera maut akibat digilis sebuah treler selepas terjatuh dari motosikalnya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi, mangsa, Mazlan Daud, 44, dari Taman Desa Arif Ketereh dekat sini, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan motosikal lain sebelum terjatuh dan digilis sebuah treler dari arah sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dan dalam perjalanan dari Kok Lanas ke Ketereh.
"Semasa berada di sebelah treler itu, motosikal mangsa bergesel dengan motosikal dari arah yang sama. Mangsa lalu terjatuh dan digilis kenderaan berat itu," ujarnya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Sementara itu, isteri mangsa Rohani Mohd. Zain, 43, berkata, suaminya dalam perjalanan untuk mengemaskini pendaftaran keahliannya dalam Persatuan Bekas Tentera di pejabat persatuan itu di Kadok di sini.
"Arwah suami saya yang bersara setahun lalu sebelum ini beria-ia menyiapkan dokumen berkaitan dengan keahliannya," ujar Rohani ketika ditemui di HUSM di sini hari ini.
Mazlan yang berkhidmat sebagai tentera selama 22 tahun meninggalkan tiga anak berusia 14 hingga 21 tahun.

Keputusan sah lafaz cerai suami Aleeza Kasim 11 Mei

PETALING JAYA 29 April - ''Selagi mana kami masih ada kasih sayang seperti dahulu, kami tetap akan terus bersama sampai bila-bila.''
Itu merupakan respons yang diberikan oleh suami model dan pelakon, Aleeza Kasim selepas tamat prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai mereka di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Ahli perniagaan, Mohd. Fauzi Che Rus, 45, yang lebih mesra melayani pertanyaan pihak media berbanding isterinya juga memberitahu, prosiding pada hari ini adalah untuk memastikan dia dan isterinya masih lagi pasangan suami isteri.
Beliau turut memberitahu, Hakim Syarie, Fazil Che Hasan menetapkan 11 Mei ini untuk keputusan bagi menentukan sama ada lafaz cerai yang diucapkan kira-kira pukul 9 malam, 24 Januari lalu di kediaman mereka sah atau sebaliknya.
Terdahulu ketika kes mereka dipanggil oleh jurubahasa, pasangan tersebut memohon agar wartawan tidak dibenarkan untuk membuat liputan atas alasan 'takut tersalah, nanti lebih teruk'.
Mohd. Fauzi juga memohon agar kes dijalankan di kamar hakim.
''Kes ini kes saman. Saya tidak jumpa sebarang sebab untuk tidak membenarkan wartawan membuat liputan dalam mahkamah terbuka,'' ujar hakim syarie itu kepada pasangan tersebut yang tidak melantik peguam syarie mewakili mereka.
Aleeza, 39, juga dilihat tidak senang apabila menyedari tiga wanita yang duduk di sebelahnya merupakan wartawan media cetak dan elektronik sehingga pelakon filem Panas itu bertindak 'memaksa' wartawan Harian Metro, Wan Murni Wan Omar keluar dari dewan mahkamah sehingga terpaksa ditenangkan oleh suaminya.
Ketika memberi keterangan, Mohd. Fauzi memberitahu, lafaz 'kita bercerai esok' diucapkan dalam keadaan marah.
Sebelum lafaz itu diucapkan, pasangan itu telah bertengkar dikatakan berpunca daripada keengganan Aleeza yang pernah membintangi filem Susuk mengikuti kehendak suaminya untuk balik kampung.
Bagaimanapun, menyedari keterlanjuran kata-kata dan masih mempunyai rasa kasih sayang yang tebal, pasangan itu telah pergi ke Pejabat Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Petaling, Shah Alam untuk rujuk kembali.
Aleeza dan Mohd. Fauzi yang merupakan duda beranak dua bernikah di Masjid Wilayah Kuala Lumpur pada 16 Julai 2006.
Pasangan itu masih belum dikurniakan sebarang cahaya mata.

Kes tiga artis saman syarikat filem disebut 5 Mei

Yasmin Hani (kiri) dan Lana Nordin menunjukkan saman yang
 difailkan terhadap dua penerbit filem untuk menuntut baki bayaran
lakonan mereka di Kompleks Mahkamah Jalan Duta,
Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ Mohd Farizwan Hasbullah

KUALA LUMPUR 29 April - Kes saman tiga artis wanita terhadap syarikat penerbitan filem bagi menuntut baki bayaran lakonan berjumlah RM23,800 akan disebut semula di Mahkamah Majistret di sini antara 5 dan 27 Mei ini.
Tarikh tersebut dimaklumkan oleh kakitangan mahkamah kepada peguam, R. Palaya yang mewakili Yasmin Hani, Lana Nodin dan Tania Zara.
Kes membabitkan Tania akan disebut pada 5 Mei ini manakala kes Lana dan Yasmin masing-masing akan disebut pada 20 serta 27 Mei ini di Mahkamah Majistret berasingan.
Tania menamakan syarikat Sketch Seven Sdn. Bhd. sebagai defendan manakala Lana dan Yasmin masing-masing menamakan syarikat Second Life Pictures Sdn. Bhd. dalam saman yang difailkan secara berasingan pada pertengahan Mac lalu.
Pada prosiding hari ini, Lana yang merupakan pelakon drama Gol & Gincu dan Yasmin hadir dengan ditemani Pengarah Urusan Aquila Emas Sdn. Bhd. yang menguruskan mereka, Syarizan Md. Isa.
Tania tidak hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Tania atau nama sebenarnya, Norzalina Mohd. Sudin, 30, dia menuntut bayaran bagi penggambaran filem Uncle Usin yang dibuat lebih sehari dari tempoh penggambaran yang dipersetujui.
Dia yang pernah membintangi filem Suaka dan drama Kekasihku Seru itu sepatutnya menerima bayaran sebanyak RM3,000.
Sementara itu, Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hassan Nodin dan Yasmin atau nama penuhnya, Yasmin Hani Richardson, masing-masing berusia 31 tahun menuntut baki bayaran lakonan dalam filem Gentayangan.
Defendan didakwa telah gagal membayar baki bayaran lakonan sebanyak RM8,800 kepada Lana dan RM12,000 kepada Yasmin.
Filem Gentayangan yang telah siap sejak beberapa tahun lalu masih belum ditayangkan.
Mereka mendakwa walaupun defendan ada memberikan sekeping cek yang dikatakan sebahagian daripada bayaran tertunggak tetapi ia merupakan cek tendang.utusan

Mangsa kapal perang Korea Selatan karam dikebumi

Presiden Lee Myung-bak (dua dari kanan) menenangkan salah seorang
 anggota keluarga tentera Korea Selatan yang terbunuh dalam insiden
 kapal perang negara itu Ccheonan karam akibat terkena letupan
pada 26 Mac 2010 semasa upacara pengebumian di pangkalan
tentera laut Korea Selatan di Pyeongtaek, 70 kilometer
 ke selatan Seoul, semalam. - REUTERS

PYEONGTAEK, Korea Selatan 29 April - Bendera dikibarkan separuh tiang, siren dibunyikan dan ahli keluarga mangsa menangis teresak-esak ketika pengkebumian 46 anak kapal yang terbunuh dalam letupan kapal perang yang disyaki dilakukan oleh Korea Utara.
Majlis yang diadakan di pangkalan Tentera Laut di Pyeongtaek, 70 kilometer dari Seoul itu hari ini turut dihadiri seramai 2,800 orang termasuk Presiden Lee Myung-Bak.
Sementera itu, Ketua Tentera Laut, Admiral Kim Sung-Chan berjanji akan menuntut bela ke atas sesiapa pun yang bertanggungjawab menyebabkan insiden itu.
"Kami tidak akan memaafkan sesiapa pun yang telah mengakibatkan kesakitan yang amat pedih ini.
"Kami akan menjejaki mereka sampai dapat dan menuntut bela," kata Sung-Chan dalam ucapannya ketika majlis pengkebumian itu.
Korea Selatan belum lagi secara terbuka menuduh Korea Utara bertanggungjawab atas insiden letupan kapal perang seberat 1,200 tan berhampiran kawasan sempadan yang menjadi pertikaian pada 26 Mac lalu itu.
Serangan peluru berpandu dilihat sebagai punca kapal itu karam. Korea Utara bagaimanapun, menafikan ia terlibat dalam insiden itu.
Seoul yang telah mengeluarkan bangkai kapal tersebut yang karam di Laut Kuning telah melancarkan siasatan multinasional melibatkan lebih 100 penyiasat.
"Kami akan membuat penelitian yang tegas dan terperinci," kata jurucakap Kementerian Luar, Kim Young-Sun, hari ini.
Kakitangan kerajaan, pegawai tentera, duta-duta, delegasi asing dan ahli keluarga mangsa turut menghadiri majlis pengkebumian itu.
Presiden Myung-Bak turut meletakkan pingat di hadapan gambar mangsa-mangsa yang terkorban ketika nama mereka disebut satu-persatu. - AFP, utusan

Wira perang buat ancaman bom palsu dalam pesawat



NEW YORK 29 April - Seorang veteran perang Iraq dan Afghanistan yang pernah menerima pingat didakwa semalam kerana membuat ancaman bom palsu sehingga menyebabkan penerbangan Delta dari Paris dilencongkan.
Derek Stansberry , 27, berhadapan hukuman penjara 20 tahun jika didapati bersalah mengganggu penerbangan yang menuju ke Atlanta, Georgia itu kelmarin dan lima tahun lagi kerana berpura-pura memiliki bom, menurut Jabatan Kehakiman.
"Membuat ancaman bom palsu dalam pesawat dan mengganggu penerbangan adalah satu jenayah serius," kata pendakwa raya di Maine, Paula Silsby.
Drama Stansberry itu berakhir apabila penerbangan Delta dilencongkan ke lapangan terbang di Maine.
Pendakwa raya mendapati Stansberry menyerahkan nota kepada atendan penerbangan yang menyatakan dia bukan rakyat AS dan pasport yang dipegangnya adalah palsu.
Selepas atendan kapal menyerahkan nota itu kepada penguasa penerbangan udara di atas pesawat itu, dia kemudiannya ditahan.
Stansberry memberitahu pegawai itu dia memiliki bahan letupan yang diletakkan di dalam beg galasnya dan di dalam komputer ribanya.
Bagaimanapun, selepas operasi carian dibuat, tiada bahan letupan di temui di dalam pesawat itu atau di dalam beg galasnya, menurut Jabatan Kehakiman.
Menurut jurucakap Tentera Udara, Major Angie Blair, Stansberry adalah bekas anggota tentera udara yang berkhidmat dari Jun 2005 hingga Jun 2009.
Dia pernah menerima beberapa pingat termasuk pingat ketika menyertai perang di Iraq dan Afghanistan. - AFP

Budak pantai' terus cetus kontroversi di Bali

Gambar yang diambil pada 27 April, 2010 merakamkan seorang budak
pantai sedang bercakap kepada salah seorang pelancong asing
 wanita yang berehat di pantai Kuta, pulau peranginan Bali. - AFP

KUTA 29 April - 'Budak pantai' tempatan merupakan teman dan bagi sesetengah wanita, mereka merupakan tarikan Bali dengan gelagat bersantai dan bermain luncur air, namun semuanya mungkin berubah berikutan tayangan sebuah dokumentari.
Dokumentari tersebut, Cowboys in Paradise yang dihasilkan oleh penulis dan pengarah berpangkalan di Singapura, Amit Virmani mencetuskan panik di kalangan pegawai pelancongan di Bali apabila ditayangkan di sebuah festival filem di Korea Selatan awal bulan ini.
''Temu bual dengan budak pantai yang mengurat dan menggoda pelancong asing dalam dokumentari tersebut telah menjejas teruk imej Bali.
''Sudah pasti ia merisaukan. Kami akan ambil tindakan agar imej Bali sebagai sebuah pulau peranginan tidak tercalar,'' kata Gobenor Bali, Made Mangku Pastika.
Polis telah menahan hampir 30 orang yang digelar 'koboi pantai' dalam usaha mengekang pelacuran, kata jurucakap polis Bali, Gede Sugianyar.
Bagaimanapun katanya, adalah sukar untuk membuktikan tuduhan mereka terlibat dengan pelacuran kerana pantai hanya merupakan tempat pertemuan dan hubungan seks tidak dilakukan di situ.
Beberapa lelaki di tengah-tengah kancah berkenaan berkata, mereka tertekan dan marah dilabel sebagai gigolo dan menafikan sama sekali menawarkan khidmat seks untuk wang.
''Saya bimbang mungkin pihak berkuasa akan menangkap saya selepas ini.
''Saya amat marah kerana penerbit dokumentari itu memutar belit perkara sebenar. Kami diberitahu ia adalah berkenaan cinta dan hubungan warga tempatan dengan orang asing,'' kata jurulatih luncur air, Rosnan Efendi.
Bertubuh tegap, segak dengan rambut keriting mencecah bahu, Efendi berkata, dia bertemu teman wanitanya dari Jerman di pantai di sini setahun lalu dan jatuh cinta.
''Kami bersama kerana cinta bukan kerana wang, Kami berkongsi perbelanjaan, dia tidak membayar untuk saya.
''Dokumentari berkenaan adalah satu pembohongan. Tidak wujud 'koboi Kuta atau gigolo Bali,'' katanya.
Seorang lagi budak pantai berkata, tidak salah untuk saling mengurut, gelak dan ketawa selepas seharian meluncur air.
Penerbit dokumentari itu, Virmani berkata, beliau amat sedih dengan penangkapan tersebut dan menjelaskan penghasilan dokumentari tersebut bertujuan menghapuskan imej buruk gigolo pantai.
Seorang wanita Amerika yang ditemu bual dalam dokumentari tersebut yang tersebar luas di Internet berkata, budak pantai berkenaan amat suka berhibur.
''Wanita yang berkunjung ke sini merasa selamat dengan budak pantai. Mereka menyanyi, menari, berjenaka dan melibatkan anda dalam segalanya,'' katanya.
Seorang pelancong Autralia pula berkata, terdapat ramai wanita kesepian di luar sana.
''Saya faham mengapa mereka ke sini. Mereka mencari sesuatu dan tiba-tiba persekitaran di sini menawarkannya,'' katanya yang berpendapat budak pantai bukan gigolo. - AFP, kosmo

4 penduduk Palestin maut



GAZA CITY 29 April - Empat rakyat Palestin terbunuh semalam apabila pasukan keselamatan Mesir mengepam gas ke dalam sebuah terowong di sempadan Mesir-Genting Gaza, yang digunakan untuk menyeludup barangan keperluan ke Genting Gaza.
Seorang pegawai keselamatan Hamas yang bertanggungjawab ke atas kawasan terowong di sepanjang sempadan berkata, pasukan keselamatan Mesir mengepam sejenis gas yang biasanya digunakan bagi menyuraikan protes ke dalam terowong tersebut.
Kementerian Dalam Negeri Hamas dalam satu kenyataan berkata, gas yang digunakan untuk mengosongkan terowong itu beracun.
Enam lagi turut jatuh sakit berikutan kejadian itu.
"Kementerian Dalam Negeri mengesahkan punca kematian mangsa ialah tindakan pasukan keselamatan Mesir menyemburkan gas beracun ke dalam sebuah terowong," menurut kenyataan ringkas itu.
Empat penyeludup yang maut itu mengalami sesak nafas, kata Hamdan Abu Latifa, seorang doktor di sebuah hospital di Rafah, bandar di sempadan Gaza.
Seorang pegawai keselamatan sempadan Mesir enggan mengulas tentang kejadian itu.
Pasukan keselamatan Mesir sebelum ini pernah menyembur gas ke dalam terowong, tetapi insiden semalam ialah kali pertama tindakan tersebut menyebabkan kematian, kata pegawai Hamas dan pengendali terowong.
"Perbuatan itu adalah jenayah kejam yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Mesir terhadap pekerja biasa Palestin yang hanya mahu mencari nafkah.
"Hamas dan seluruh rakyat Palestin mengutuk pembunuhan kejam itu," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum yang menuntut Mesir memberikan penjelasan dan menjalankan siasatan mengenai insiden tersebut.
Mesir mengalami tekanan untuk menutup beratus-ratus terowong yang menjadi nadi ekonomi bagi wilayah Palestin yang dikenakan sekatan itu, tetapi terowong tersebut juga didakwa digunakan untuk membawa masuk senjata kepada Hamas dan pejuang Palestin lain.
Israel dan Mesir menutup pintu sempadan rasmi Genting Gaza sejak Hamas merampas kuasa pada 2007 setelah menumpaskan pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang kini hanya memerintah Tebing Barat. - AP

Serang tadika, 28 budak cedera

Penduduk tempatan berkumpul di pintu masuk sebuah tadika di bandar Taixing,
wilayah Jiangsu selepas seorang lelaki bersenjata pisau menyerang
 tadika tersebut menyebabkan 28 kanak-kanak, dua guru
dan seorang pengawal keselamatan cedera. - REUTERS

BEIJING 29 April - Seorang lelaki bersenjatakan pisau menyerang sebuah tadika di timur China, semalam menyebabkan 28 kanak-kanak dan tiga orang dewasa cedera dalam serangan ketiga, seperti ini bulan ini.
Lima daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal selepas lelaki yang berusia 47 tahun itu menyerang tadika di bandar Taixing, wilayah Jiangsu, menurut agensi beritaXinhua yang memetik kenyataan pegawai dan polis.
Penyerang itu telah ditahan tetapi tiada maklumat lanjut diberikan.
Beberapa media Internet melaporkan bahawa seramai empat orang terbunuh dalam serangan pada waktu pagi itu, tetapi pegawai dan kerajaan Taixing memberitahu mereka tidak menerima laporan seperti itu.
"Pengawal keselamatan, guru-guru dan pelajar telah diserang. Mereka kini menerima rawatan di hospital. Kami tidak menerima sebarang laporan kematian," kata seorang pegawai yang enggan dikenali.
Serangan itu berlaku sehari selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau menyerang sebuah sekolah rendah di selatan China dan mencederakan sekurang-kurangnya 18 pelajar dan guru.
Lapan pelajar turut terbunuh dalam serangan sama di wilayah Fujian, tenggara China pada bulan lalu. - AFP. utusan

Juruelektrik bunuh anak teman wanita dihukum mati



PULAU PINANG 29 April -- Seorang juruelektrik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh anak lelaki teman wanitanya berusia tiga tahun dengan memijak perut mangsa, hampir enam tahun lalu.
Namun ketika Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yassin menjatuhkan hukuman tersebut, raut wajah Tan Chin Lee, 37, yang bertubuh kurus dan tinggi lampai itu, langsung tidak menunjukkan kesedihan.
Lelaki itu yang pada mulanya hanya mendengar penghakiman hakim tersebut dengan teliti sambil dibantu seorang jurubahasa kemudiannya dilihat tersenyum ketika hukuman gantung itu diputuskan terhadapnya.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Zaki berkata, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Menurut beliau, pembelaan yang dikemukakan oleh Chin Lee dalam kes itu hanya bersifat penafian semata-mata tanpa ada sebarang bukti atau faktor yang boleh diambil kira bagi memberi manfaat kepada pembelaannya.
''Keterangan kakak mangsa yang pernah melihat tertuduh memijak dengan kuat perut adiknya beberapa kali juga telah dibuktikan secara konsisten apabila doktor patologi yang membuat bedah siasat terhadap mangsa turut mengesahkan wujudnya kecederaan di perut mangsa akibat kesan pijakan yang kuat.
''Kedua-dua keterangan ini amat kukuh dan kuat untuk menunjukkan kecederaan yang dialami mangsa amat teruk sehingga mengakibatkan kematiannya. Tertuduh dalam pembelaannya pula tidak berjaya menyangkal bukti ini serta mewujudkan sebarang keraguan terhadap keterangan kedua-dua saksi pendakwaan itu,'' katanya.
Beberapa ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam dilihat hanya menundukkan kepala masing-masing sebaik sahaja hukuman itu diputuskan terhadap Chin Lee.
Chin Lee disabitkan dengan tuduhan membunuh Khor Wei Wong di antara pukul 6 petang, 25 November 2004 dan pukul 12 tengah malam keesokkan harinya di sebuah rumah di Blok 8B-07-16, Gat Lebuh Macallum di sini.
Dakwaan terhadap lelaki yang diwakili peguam Harpal Singh itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Memetik laporan akhbar, Wei Hong yang merupakan anak keempat daripada lima beradik mati dengan kesan lebam pada perut dipercayai akibat dipijak di rumah yang didiami bersama ibu dan teman lelaki ibunya.

Hukuman 11 tahun penjara, sebatan ditambah



RASAH 29 April - Tidak berpuas hati dengan hukuman penjara 11 tahun dan sebatan sembilan kali atas kesalahan memeras ugut serta merogol wanita Indonesia, seorang anggota polis mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.
Malangnya, rayuannya bukan sahaja ditolak oleh Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin malahan hukuman pemenjaraan ditambah tiga tahun lagi manakala sebatan pula ditambah sehingga berjumlah 12 kali.
Itulah nasib yang menimpa Lans Koperal Mohd. Khairul Nizam Abd. Aziz, 36, apabila hakim berkenaan hari ini mengekalkan sabitan bersalah tertuduh atas ketiga-tiga tuduhan yang dihadapinya.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Nasfy memberitahu, mahkamah tidak ada sebab untuk menolak keputusan Mahkamah Seksyen kerana keterangan mangsa dianggap kukuh dan relevan.
Beliau juga menegaskan bahawa mahkamah amat memandang serius terhadap kesalahan itu kerana ia membabitkan anggota pasukan keselamatan yang diberi amanah untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.
''Lebih teruk, perayu telah memecah amanah yang diberi dengan melakukan kesalahan tersebut ketika sedang bertugas dan memakai pakaian seragamnya.
''Ini telah merosakkan imej pasukan polis dan negara kerana mangsa merupakan seorang rakyat Indonesia,'' tegasnya.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Khairul Nizam didakwa memeras ugut wanita berusia 31 tahun itu supaya menyerahkan wang RM500 agar tidak ditangkap ekoran pasport antarabangsanya telah tamat tempoh.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan itu antara pukul 10.30 pagi dan 12.30 tengah hari, 21 Oktober 2007 di Tokong Cina Jalan Kuala Klawang, Jelebu dekat sini.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah bilik di Hotel Sri Klawang, Jelebu di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 1 petang pada hari yang sama.
Mohd. Khairul Nizam turut didakwa mengulangi perbuatan rogol terhadap mangsa antara pukul 2 dan 2.30 petang pada hari dan tempat yang sama.
Kedua-dua pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan.
Mahkamah Sesyen pada 12 November tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan sebatan dua kali bagi kesalahan memeras ugut serta penjara lapan tahun dan sebatan lima kali bagi kesalahan pertama merogol.
Bagi satu lagi kesalahan merogol, lelaki itu dihukum penjara 11 tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Sesyen. Kesemua hukuman itu berjalan serentak.
Di Mahkamah Tinggi, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan memeras ugut dikekalkan manakala kesalahan pertama merogol, tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali.
Bagi kesalahan merogol kali kedua pula, Mohd. Khairul Nizam dihukum penjara 11 tahun dan sebatan lima kali.
Hakim Ahmad Nasfy bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan rogol berjalan serentak selepas selesai hukuman penjara bagi kesalahan memeras ugut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, M. Jeeva Kumar.

18 GRO China ditahan



JOHOR BAHRU 29 April - Seramai 18 wanita warga China yang dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) bersama 30 pelanggan ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Pelangi, di sini malam tadi.
Kesemua wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi yang disertai 10 anggota polis kira-kira pukul 11 malam.
Pegawai Turus Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Johor, Deputi Supritendan Tan Hiap Seng berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam.
"Ketika serbuan, wanita warga asing tersebut cuba menyembunyikan diri di dalam setor dan tandas namun tindakan mereka berjaya dikesan.
"Kita juga menahan 30 pelanggan berusia 25 hingga 55 tahun termasuk pengurus premis berusia 30-an bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya percaya wanita-wanita itu turut terlibat dalam aktiviti pelacuran dengan membawa pelanggan ke hotel-hotel bajet atau lokasi lain.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis terbabit telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan lesen pusat latihan nyanyian.
"Polis sedang memburu pemilik premis berkenaan dan juga dalang di sebalik sindiket tersebut," ujarnya.
Kesemua wanita terbabit katanya, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Polis Kelantan usaha kesan ibu, bapa

KOTA BHARU 29 April - Polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan ibu bapa kepada bayi yang ditinggalkan di atas tangga sebuah rumah di Jalan Wan Ahmad, Tanah Merah, tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, setakat ini belum ada perkembangan terkini berhubung kes berkenaan.
"Siasatan masih dijalankan dan bayi berkenaan di tempatkan di Hospital Tanah Merah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin, seorang bayi lelaki seberat 3.3 kilogram ditemui oleh penduduk kampung setelah ditinggalkan di tangga sebuah rumah di situ.
Bayi yang sihat dan masih bertali pusat itu dipercayai baru berusia dua hari ketika ditinggalkan dalam keadaan berbalut sehelai selimut.
Kejadian itu adalah terbaru berlaku di negeri ini walaupun kerajaan telah menggandakan usaha untuk membendung gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Pada 14 Februari lalu, mayat seorang bayi baru dilahirkan bukan sahaja dibuang dalam tong sampah di Kuala Krai tetapi turut dibakar oleh individu yang mahu menutup kesalahan mereka daripada dikesan.
Susulan kejadian terbaru itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan berusaha mengesan ibu bapa bayi malang tersebut.
Katanya, ini termasuk mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pelajaran untuk mendapatkan maklumat mengenai pelajar yang ponteng sekolah.
"Selain itu, laporan daripada beberapa klinik swasta di sekitar daerah ini juga akan diperiksa untuk mengesan suspek," jelasnya.utusan

Saksi terlibat langgar kereta Aminulrasyid dicari



KLANG 29 April - Saksi yang terbabit dalam kemalangan melibatkan kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah, 15, sebelum arwah ditembak pagi Isnin lalu, sekali lagi diminta tampil membantu siasatan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, sehingga kini belum ada sesiapa tampil bagi membantu melengkapkan siasatan kes itu.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama mereka termasuk saksi yang melihat kejadian berkenaan supaya tampil ke mana-mana balai polis.
"Kita berharap saksi-saksi itu dapat segera tampil agar keterangan daripada mereka diambil," kata beliau ketika ditemui pada majlis perasmian Sekolah Menengah Agama Tinggi Sultan Hisamuddin di Kampung Jawa di sini hari ini.
Khalid ditanya perkembangan siasatan kes Allahyarham Aminulrasyid yang mati terkena tembakan polis semasa dia dan rakannya cuba melarikan diri daripada dikejar oleh kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11, kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu.
Khalid berkata, pihaknya amat berharap semua pihak terutama ahli keluarga Allahyarham supaya bersabar dan memberi kepercayaan kepada pihaknya untuk menyelesaikan siasatan kes tersebut.