Search This Blog

Thursday, April 29, 2010

Pakar forensik awam akan diserap ke PDRM



KUALA LUMPUR - Pakar forensik di kalangan petugas awam akan diambil untuk berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat bagi membantu usaha memantapkan lagi siasatan serta menangkis tangkapan buruk terhadap siasatan polis terutama dalam kes-kes yang kontroversi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menegaskan penyerapan itu antara lain dapat membuktikan polis seniasa bersikap adil dan telus dalam penyiasatan forensik.

"Dengan adanya 'orang luar', saya amat berharap agar siasatan akan diiktiraf orang ramai kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengenalan ceperas baru dan penyerahan kenderaan forensik PDRM.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Musa berkata polis sentiasa telus dan tidak menghalang mana-mana peguam atau hakim untuk melihat bagaimana siasatan forensik dijalankan dalam mendapatkan bukti.-Bernama

Penduduk buat laporan polis




KUANTAN – Berasa tertipu dengan pemaju yang didakwa memalsukan lesen pemaju, permit iklan jualan dan lain-lain dokumen, lapan wakil penduduk dari sebuah taman perumahan di sini, tampil membuat laporan polis supaya syarikat berkenaan disiasat pihak berkuasa. 

Salah seorang wakil penduduk yang membuat laporan polis, Ong Ti Chiang, 52, mendakwa, pihak pemaju berkenaan memperdaya pembeli untuk menandatangani surat perjanjian dan jual beli walaupun pemaju masih belum mendapat kelulusan lesen pembangunan daripada Kementerian Perumahan. 

Menurutnya, nombor lesen pemaju yang terdapat dalam perjanjian jual beli juga adalah disyaki palsu dalam fail Jabatan Perumahan Negara kerana nombor berkenaan sepatutnya untuk tujuan pembinaan taman perumahan lain. 

“Nombor permit iklan dan jualan juga disyaki palsu dan tidak wujud dalam Jabatan Perumahan Negara. 

”Ini menyebabkan pembeli rumah menandatangani perjanjian jual beli lebih awal sebelum pemaju mendapat kelulusan lesen pembangunan dan bank ditipu untuk mengeluarkan wang pinjaman perumahan kepada pemaju bagi pihak pembeli rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, semalam. 

Katanya, keadaan itu menyebabkan pembeli rumah terpaksa menanggung faedah yang tidak sepatutnya dengan kadar tinggi. 

”Kami juga mengesyaki berlaku penipuan dalam pengiklanan dan pelancaran di mana dalam iklan dan brosur dikeluarkan pemaju, mereka menyatakan akan menyediakan beberapa kemudahan seperti rumah kelab, pusat gim, kolam renang, kompleks beli belah dan beberapa kemudahan lain. 

”Namun apa yang mengecewakan, sehingga kini kemudahan dinyatakan itu masih belum disediakan, tidak seperti dinyatakan sebelum ini,” katanya. 

Ti Chiang berkata, penduduk berasa kecewa kerana mereka membayar harga yang tinggi untuk rumah dengan kemudahan seperti yang dinyatakan dalam iklan dan brosur pemaju namun hampa. 

”Ini akan menjejaskan harga pasaran rumah kami pada masa hadapan. 

”Tanpa fasiliti seperti dijanjikan, anggaran harga rumah sepatutnya dibayar RM160,000, bukan RM248,000 seperti sebelum ini,” katanya. 

Dakwanya lagi, penduduk turut dibebani dengan masalah bil air tertunggak angkara pemaju tidak sediakan tangki air besar. 

”Apabila tangki air tidak dibina, Jabatan Bekalan Air tidak benarkan meter individu dipasang dan semua rumah bergantung bekalan air meter pemaju, 

”Masalahnya, sepatutnya pemaju menanggung bil air dikenakan ke atas meter pemaju, mengapa pula mereka menuntut bayaran ke atas penduduk,” katanya. 

Lebih malang lagi dakwanya, beberapa buah rumah di taman perumahan itu mengalami masalah tanah mendap disebabkan rumah yang sebenarnya dibina di atas sungai yang ditambak. 

”Sebelum ini beberapa agensi kerajaan datang membuat penyiasatan namun sehingga sekarang masih tiada tindakan yang diambil,” katanya. 

Sementara itu, wakil pemaju ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai laporan polis yang dibuat penduduk berkenaan. 

Bagaimanapun katanya, pihaknya sudah melantik tiga firma guaman untuk menyelesaikan perkara ini mengikut undang-undang.

Jangan tertipu harga murah




KUALA TERENGGANU – Sebanyak 412 unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM179,037 berjaya dirampas bahagian penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dalam operasi bersepadu di Dataran Shahbandar. 

Timbalan Pengarahnya, Abdul Ghani Harun berkata, dalam operasi tiga jam itu, seramai 14 individu berumur bawah lingkungan 30 tahun berbangsa Cina ditahan kerana dipercayai cuba menipu pengguna dengan menjual telefon bimbit dengan harga murah. 

“Telefon bimbit yang dirampas ini dibawa masuk dari China dan hasil siasatan PPDNKK, kebanyakan pengguna membeli telefon berkenaan selepas tertarik dengan harga tiga kali ganda murah daripada jenama asal. 

“Kami akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut dan kesemua individu ditahan akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh didenda RM100,000 untuk berseorangan serta RM250,000 untuk syarikat Sdn Bhd,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga turut menyiasat di bawah Akta Kawalan Harga 1946 yang boleh membawa denda maksimum RM15,000.

“Operasi ini dilakukan selepas menerima aduan orang ramai yang tertipu selepas membeli telefon bimbit di premis terbabit dan apabila pengguna meminta untuk ditukar serta dibaiki, peniaga tidak mahu bertanggungjawab.

“Justeru, orang ramai di negeri ini diminta supaya berhati-hati dengan taktik licik peniaga telefon bimbit China seperti menilai harga terlebih dahulu dan melihat kualiti barangan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, bagi pengguna yang telah membeli telefon bimbit berkenaan, mereka diminta tampil memberi maklumat di pejabat PPDNKK bagi memudahkan pegawai penguat kuasa membuat ser buan di kawasan dikenal pasti.

“Bagi memastikan masalah penipuan telefon bimbit dapat ditangani di negeri ini, PPDNKK akan melakukan operasi dari masa ke masa,” katanya.

Lubang mat sekodeng




DAMANSARA – Kisah kaki intai di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail masih belum selesai. Tinjauan Sinar Harian ke tandas tingkat dua, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail menemui lubang-lubang kecil dibuat khas bagi memudahkan aktiviti mengintai dibuat di setiap bilik tandas 

Ahli jawatankuasa Penjaja Pasar Besar TTDI, David Ooi berkata lubang–lubang itu bukan disebabkan kerosakan bumbung tetapi sengaja ditebuk untuk memudahkan aktiviti mengintai oleh 'kaki-kaki' sekodeng itu. 

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja mengusarkan para pengunjung malahan peniaga-peniaga di pasar itu. 

Tambah mengejutkan apabila mendapati terdapat banyak kotak-kotak dipercayai digunakan sebagai tempat beristirehat untuk tidur di atas bumbung premis di situ. 

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan laporan mengenai seorang pembantu kedai diintai ketika membuang air di tandas itu. 

Menurut David, tandas wanita di pasar itu perlu dibaikpulih segera oleh pihak berwajib termasuk mengubah suai semula dinding dan bumbungnya agar ianya tiada pihak yang mengambil kesempatan. 

“Pekerja pembersihan pasar juga pernah membuat aduan mengenai penemuan kondom-kondom yang sudah digunakan di dalam pasar malah ada yang pernah terserempak dengan kumpulan warga asing yang membawa teman wanita mereka pada waktu siang dan malam,” katanya. 

Pihak polis sebelum ini juga telah datang ke pasar ini untuk buat pemantauan dan pemeriksaan namun kumpulan warga asing itu lesap seolah-olah sudah menghidu kehadiran pihak berkuasa.

Jangan roboh surau kami




KUALA KANGSAR – :Penduduk Fasa 3, Taman Chandan Putri, di sini, melahirkan rasa gelisah apabila surau sementara yang dibina untuk kemudahan mereka menunaikan solat dan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan tidak mendapat persetujuan pihak berkuasa. 

Lebih meresahkan penduduk apabila menerima notis daripada pihak berkuasa yang mahu mereka merobohkan surau itu dalam tempoh sebulan bermula 15 April lalu. 

Wakil Penduduk, Hasnul Zulkarnain, berkata, sudah lima tahun mereka diami taman berkenaan tetapi tiada kemudahan surau disediakan. 

Menurutnya, menggunakan inisiatif sendiri, penduduk bersepakat mendirikan surau sementara di satu kawasan lapang di taman berkenaan. 

“Kini sudah tiga bulan kami bersolat di surau ini, walaupun pada asalnya memang pembinaan surau sementara ini tiada kelulusan tetapi selepas mendapat laporan daripada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) saya buat permohonan. 

“Tetapi malangnya ia tidak dibenarkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, baru-baru ini. 

Katanya, kira-kira 300 jemaah menggunakan kemudahan sementara itu dan mereka berhasrat untuk mempertahankannya. 

“Sebelum ini, selain solat berjemaah, kami juga menganjurkan sambutan Maulidur Rasul dan solat hajat setiap minggu di surau ini. 

“Dalam satu-satu masa kira-kira 30 hingga 40 jemaah bersolat di surau ini dan jika hujung minggu ia menjangkau 70 hingga 80 jemaah,” katanya. 



Kami ada sebab tersendiri 



Hasnul, berkata, pihaknya tidak menggunakan tapak asal untuk membina surau sementara kerana mempunyai alasan tersendiri. 

“Apabila kita kaji, tapak asal tidak sesuai untuk bina surau sementara kerana apabila pembinaan surau kekal dijalankan, kami terpaksa merobohkannya dan macam mana kami nak bersolat selepas ini?” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hazimi Abd Manan berkata, memang surau berkenaan didirikan di kawasan lapang tempat rekreasi tetapi ia hanya menggunakan penjuru tanah sahaja. 

“Kami hanya menggunakan sebahagian kecil sahaja tanah lapang ini dan penduduk boleh lagi menggunakan kawasan itu untuk tujuan riadah. 

“Dengan adanya surau ini, kita juga dapat menganjurkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk semua malah juga bercadang untuk menganjurkan majlis khatam beramai-ramai di sini,” katanya. 

Imam surau berkenaan, Mohd Hamdan Abdullah berkata, sebelum surau berkenaan didirikan, penduduk terpaksa ke Masjid Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) untuk bersolat dan menimbulkan sedikit kesulitan kepada mereka. 

Menurutnya, walaupun masjid berkenaan hanya 500 meter dari taman mereka namun ia menyukarkan penduduk untuk ke sana terutamanya kanak-kanak. 

“Di surau sementara ini, kanak-kanak dapat bersama kami termasuk menyertai aktiviti yang dianjurkan. 

“Jadi kami berharap sangat dan memohon pihak berwajib meluluskan penggunaan surau ini, sementara menunggu surau kekal siap dibina,” katanya. 



Alasan mereka tidak munasabah: YDP MPKK 



Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada Yang Dipertua MPKK, Datuk Mohd Shafie Ariffin, berhubung masalah berkenaan. 

Shafie berkata, alasan di:berikan penduduk yang mendakwa tiada kemudahan surau adalah tidak munasabah kerana jarak masjid Kisdar dengan taman berkenaan terlalu dekat. 

Menurutnya, sebarang pembinaan surau haruslah mendapat kebenaran bertulis daripada MPKK dan Majlis Agama Islam terlebih dahulu. 

“MPKK sudah menghantar notis untuk membuka semula surau berkenaan dan dari segi pembinaan, tiada sebarang kelulusan diberikan kerana berdasarkan perundangan kerajaan tempatan tanah lapang tidak boleh digunakan untuk apa sahaja pembinaan tetapi hanya untuk tujuan rekreasi. 

“Sebenarnya pemaju juga telah sediakan tapak surau cuma ia masih dalam perancangan,” katanya. 

Beliau berkata, selain Masjid Kisdar, taman dan kampung berdekatan juga menyediakan kemudahan surau serta tempat ibadat. 

“Memandangkan masjid dan surau dari kawasan berhampiran pun ada, tiada alasan untuk penduduk menidakkannya malah saya berharap penduduk dapat bersabar dan boleh menggunakan Masjid Kisdar yang hanya berjarak 500 meter sahaja untuk beribadat. 

“Sekarang pun semua orang ada kemudahan kenderaan dan bila-bila masa sahaja boleh pergi ke masjid,” katanya.

Ibu meraung sebaik sahaja dua anak lelaki dihukum gantung



SEREMBAN - Seorang ibu berusia 60 tahun tidak dapat menahan sebak dan terus meraung di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini sebaik sahaja hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua anak lelakinya kerana kesalahan membunuh.

Ahli keluarga yang lain terpaksa mententeramkan wanita itu sebelum dibawa keluar, manakala kedua-dua anaknya, B. Ramesh, 30, dan adiknya, Suthar, 28, yang berdiri di kandang tertuduh hanya diam membatukan diri.

Mereka didapati bersalah membunuh mekanik, R. Krishnan, 31, antara 9.50 malam hingga 12.45 tengah malam di KM 19 Jalan Labu ke Port Dickson, Mambau, 4 Feb 2006. 

Seorang lagi lelaki yang membantu mereka dalam kejadian itu masih lagi bebas.

Ramesh dan Suthar dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama di bawah Seksyen 304 kanun yang sama.- Bernama

Memalukan



KULIM - Memalukan. Itulah gelagat dua gadis Melayu berusia 16 dan 21 tahun yang ditangkap sedang berseronok-seronok dengan lelaki bukan Islam di sebuah lounge tersorok di Taman Bersatu, di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin. 

Selain berkelakuan kurang sopan, beberapa gelas minuman keras turut didapati di meja mereka. 

Jurucakap Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) berkata, remaja itu disyaki berkhidmat sebagai peneman (GRO) pelanggan lounge itu yang kedudukannya tersembunyi di belakang sebuah salun. 

“Kami menyerbu lounge ini selepas mendapat aduan awam. Premis ini kelihatannya seperti menempatkan sebuah salun namun di bahagian belakangnya terdapat lounge. 

“Keadaannya membuatkan kita berasa sangsi, pemiliknya mungkin turut menyediakan khidmat GRO berikutan beberapa sofa ditemui di dalam bilik tersorok,” katanya. 

Ketika serbuan itu, terdapat kira-kira 20 pelanggan sedang beristirahat di ruang tersebut. 

Jurucakap PADK berkata, seorang daripada remaja yang ditangkap itu mengaku pernah ditahan tiga kali kerana bersekedudukan dengan majikannya yang bukan Islam. 

“Remaja 16 tahun itu pula mengaku pernah diminta oleh keluarganya pulang ke kampung tetapi dia enggan berbuat demikian,” katanya. 

Dua gadis berkenaan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan sebelum ditahan di lokap Balai Polis Lunas. 

Majikan mereka pula diberi notis supaya hadir ke pejabat PADK untuk memberi keterangan selain membayar wang jaminan bagi dua pekerjanya itu tetapi dia enggan. 

Menurutnya, kedua-dua remaja itu akan disiasat mengikut Skesyen 5 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 kerana berkelakuan sumbang di tempat awam yang boleh menyebabkan mereka didakwa dan didenda hingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedah pula kurang bekalan gula




Amirizal (kiri) menunjukkan tanda gula habis kepada Ramli di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Masalah kekurangan gula yang dilaporkan berlaku di Perlis dan Kelantan sejak sebulan lalu, kini 'melarat' ke negeri Kedah pula.
Kekurangan bahan tersebut dikesan berlaku di bandar raya ini, daerah Kubang Pasu, Kuala Muda, Baling dan Sik dengan jualan gula dihadkan sekilogram kepada seorang pelanggan.
Seorang pengguna, Ramli Shaari, 52, memberitahu, ada di kalangan peniaga yang hanya menjual gula kepada pelanggan tetap berikutan stok bahan itu yang berkurangan.
"Bagi pelanggan baru dan tidak dikenali, peniaga tidak jual. Sebab itu saya sukar mendapat bekalan gula hari ini (semalam).
"Lebih teruk, beberapa kedai runcit sudah kehabisan bekalan sejak beberapa hari lalu," katanya di sini semalam.
Seorang peniaga, Amirizal Abd. Aziz, 35, pula berkata, dia sudah kehabisan bekalan gula sejak beberapa hari lalu.

Jangan terlalu lama di satu tempat



PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar tempoh bertugas penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai dihadkan kepada tiga hingga lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun sekarang.
Presidennya, Omar Osman berkata, ini kerana tempoh bertugas yang terlalu lama di satu-satu tempat akan mendedahkan mereka kepada amalan rasuah.
"Penjawat awam yang mempunyai tugas melibatkan pelanggan seperti menjaga penerimaan borang tender dan bahagian kewangan, mereka tidak perlu duduk di tempat itu selama-lamanya.

Zakiah, suami diarah lantik pendamai


PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam mengarahkan personaliti TV3, Zakiah Anas dan suaminya, Mohd. Yusof Mohd. Taib melantik wakil jawatankuasa pendamai bagi menyelesaikan kes penceraian secara baik.
Hakim Syarie, Ghazali Ahmad memutuskan demikian setelah dimaklumkan peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Zakiah, 44, selaku plaintif bahawa Mohd. Yusof, 48, membantah permohonan cerai yang difailkan Zakiah.
Sehubungan itu, kedua-dua belah pihak diarahkan melantik wakil masing-masing dari kalangan keluarga terdekat untuk berbincang dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

PM Britain gelar janda tua 'wanita taksub'




GORDON BROWN berbual dengan seorang janda, Gillian 
Duffy semasa berkempen di Rochdale, barat laut 
England semalam.


LONDON - Perdana Menteri Britain, Gordon Brown mendapat malu semalam kerana memanggil seorang janda tua sebagai 'wanita yang taksub' dalam satu kempen untuk pilihan raya umum yang akan berlangsung pada 6 Mei depan.
Brown berjumpa dengan para pengundi di Rochdale barat laut England semasa beliau bertembung dengan seorang janda, Gillian Duffy dan berbincang mengenai pelbagai isu termasuk cukai.
Sejurus selepas perbualan tersebut, Brown memasuki ke dalam sebuah kereta dan masih memakai mikrofon pada bajunya.
Mikrofon yang belum ditanggalkannya itu menyebabkan wartawan penyiaran boleh mendengar perbualan Brown dengan pembantunya mengenai pertemuan itu.
"Ini satu bencana. Jangan sesekali letakkan saya bersama perempuan itu. Idea siapa itu? Dia memang seorang perempuan yang taksub," kata Brown.
Beberapa minit kemudian, Brown yang berada di sebuah studio radioPerbadanan Penyiaran British (BBC) di Manchester, meminta maaf kepada pendengar dan beliau kelihatan amat tertekan.
Kedua-dua tangan Perdana Menteri itu memegang kepalanya semasa kenyataannya yang memalukan itu diperdengarkan oleh stesen berkenaan.
"Saya meminta maaf jika saya telah menyatakan sesuatu yang amat melukakan," kata Brown. - Agensi

300 tong abu mayat dijumpai di dasar tasik




ANGGOTA-ANGGOTA polis menemui tong berisi abu mayat di Tasik Zurich baru-baru ini.


ZURICH - Lebih 300 buah tong berisi abu mayat ditemui di dasar Tasik Zurich sedalam 9.1 meter di sini yang disyaki dibuang dari sebuah klinik bunuh diri terkenal Switzerland, Dignitas di kawasan berdekatan, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia ditemui secara tidak sengaja apabila sekumpulan penyelam dari sebuah agensi perkhidmatan penyelamat sedang mencari peralatan pelindung panas matahari yang terjatuh dari bot mereka sebelum menghubungi pihak polis, baru-baru ini.
Pada luar tong itu tertera logo perkhidmatan pembakaran mayat yang sering digunakan oleh klinik Dignitas yang ditubuhkan sejak 1988 kerana mengendalikan aktiviti membunuh diri untuk para pelanggannya dari seluruh dunia.
Undang-undang liberal negara itu membenarkan kegiatan membunuh diri namun pembuangan sedemikian menyalahi peraturan kerana melupuskan mayat tanpa lesen komersial seperti yang ditetapkan Agensi Alam Sekitar Switzerland.
Datuk bandar Zurich, Max Baumgartner dilaporkan terkejut dengan penemuan itu dan kini menunggu hasil siasatan pihak polis. - Agensi

Seorang askar Thai maut




RATUSAN penunjuk perasaan antikerajaan menunggang motosikal untuk menuju ke sebuah lokasi bagi mengadakan sekatan jalan raya di Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang anggota tentera terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 penunjuk perasaan antikerajaan cedera apabila pasukan keselamatan Thailand melepaskan tembakan dalam satu pertempuran di Bangkok.
Di sepanjang jalan Vibhavadi-Rangsit, skuad antirusuhan Thailand pada mulanya melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran.
Namun, terdapat sebahagian penunjuk perasaan yang cuba untuk mengalihkan kawat berduri dengan menyebabkan askar-askar menembak ke arah penunjuk perasaan yang terkenal dengan panggilan Baju Merah, bertindak melarikan diri.
Askar-askar turut melakukan tindakan itu selepas sekumpulan penunjuk perasaan yang menunggang motosikal menjadikan pasukan tentera sebagai sasaran serangan.
Dalam insiden itu, sebanyak empat buah motosikal berlanggar dan seorang askar mengalami pendarahan serius di kepala.
Insiden tersebut nyata meningkatkan lagi kebimbangan bahawa lebih banyak keganasan akan berlaku.
Jurucakap tentera, Sansern Kaewkamnerd menyatakan pasukan tentera diminta untuk menggunakan peluru getah.
Namun, katanya, peluru hidup boleh digunakan bagi tujuan mempertahankan diri.
Kejadian itu merupakan pertempuran pertama sejak lima bom tangan dilontar ke arah kumpulan prokerajaan.
Pada pertengahan bulan lalu, seramai 26 maut dan lebih 1,000 cedera apabila pasukan tentera cuba untuk menyuraikan penunjuk perasaan di lokasi komersial utama di Bangkok.
Penunjuk perasaan Baju Merah yang telah mengadakan demonstrasi lebih tujuh minggu itu merupakan penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Mereka menuntut Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat. - AP

Bayi ditinggal di beranda rumah




WAJAH bayi yang ditinggalkan di beranda rumah.


TANAH MERAH - Seorang bayi lelaki seberat 3.3 kilogram ditemui ditinggalkan di beranda sebuah rumah di Jalan Wan Ahmad di sini malam kelmarin.
Bayi itu yang masih hidup dan dipercayai baru berusia dua hari dikatakan ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dan berbalut sehelai selimut di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, bayi berkenaan ditemui oleh pemilik rumah tersebut, Sukma Abdullah, 56, pada pukul 12.30 malam kelmarin sebelum dilaporkan kepada polis.

Saksi utama kes tembak remaja beri keterangan



SHAH ALAM - Polis semalam telah mengambil keterangan rakan sekelas Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15, yang berada bersama mangsa yang mati ditembak polis dalam kejadian awal pagi Isnin lalu bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, remaja itu akan diambil keterangan sebagai saksi utama dalam kes tersebut.
"Polis telah mengambil keterangannya tadi (semalam) menjadikan jumlah saksi yang dipanggil menjadi 10 orang di mana sembilan daripadanya anggota polis," katanya.

Langgan pelacur guna telefon




SEBAHAGIAN daripada 12 tukang urut yang dipercayai pelacur ditahan dalam operasi di sebuah premis di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Taktik seorang pengurus sebuah spa yang bersubahat dengan 'bapa ayam' untuk menggajikan pelacur sebagai tukang urut terbongkar apabila premis itu diserbu di Jalan Raja Chulan di sini semalam.
Serbuan selama tiga jam bermula pukul 11.15 malam itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur melalui risikan yang dijalankan.
Difahamkan, mereka tidak melakukan aktiviti seks di situ tetapi sebaliknya sindiket tersebut akan meminta pelanggan membuat tempahan melalui panggilan telefon sebelum menghantar pelacur-pelacur yang dihajati ke lokasi masing-masing.

Jumpa mayat lelaki dikerat tiga




MAYAT lelaki dikerat tiga dijumpai di pusat pelupusan sampah Taman Engku Mohsin di Larkin, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang pekerja pusat pelupusan sampah terkejut apabila terjumpa mayat seorang lelaki dikerat tiga dalam tiga plastik hitam berasingan di Taman Engku Mohsin, Larkin di sini pukul 11.15 pagi semalam.
Pekerja yang mahu dikenali sebagai Kumar itu memberitahu, plastik hitam itu tidak ubah seperti 'sampah' ketika dikutip di pusat pelupusan sampah di Larkin.
"Plastik sampah itu agak berat ketika saya mahu angkat dan apabila dibuka, saya hampir pengsan apabila mendapati ia mengandungi kepala manusia.
"Dalam keadaan terketar-ketar, saya terus pergi ke Balai Polis Larkin dan memaklumkan tentang penemuan tersebut," katanya ketika di lokasi penemuan semalam.

81 laman web lucah disekat




ADA laman web berunsur lucah terlepas daripada tindakan selepas moderator laman web itu mentafsirkan ia tidak menyalahi undang-undang sesebuah negara. - Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 165 aduan sejak Januari hingga Mac lalu berhubung kandungan laman web atau blog yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Daripada jumlah itu, sebanyak 90 aduan merujuk kepada kandungan berunsur lucah, 72 aduan bersifat mengancam atau jelik manakala tiga kes didakwa memaparkan maklumat atau bahan palsu.
Antara tindakan yang telah dilakukan ialah menutup 81 laman web yang didapati mengandungi unsur lucah seperti menawarkan video aksi lucah dan perkongsian cerita lucah dengan teman berbual.

Dipukul sampai mati




PENDUDUK berkumpul di tempat pembuangan sampah yang terletak 10 meter dari lokasi kejadian pembunuhan di Sentul semalam.


KUALA LUMPUR - Perbalahan yang berlarutan sejak sekian lama antara dua jiran mengenai masalah sampah sampai ke kemuncaknya apabila seorang daripada mereka mati dibelasah dengan batang besi dan kayu besbol di Blok 75 Pangsapuri Sri Sentul, Bandar Baru Sentul di sini semalam.
Kejadian pukul 1 pagi itu menyebabkan seorang juruelektrik, Cheong Sin, 51, mati setelah dipukul di kepala oleh dua beranak berusia 23 dan 51 tahun yang merupakan jirannya.
Mangsa disahkan mati tiga jam selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Difahamkan, rumah Cheong Sin terletak di tingkat bawah pangsapuri empat tingkat tersebut manakala rumah suspek berada selang sebuah rumah.

Sarimah tarik balik saman RM1 juta terhadap The Malaysian Tatler



KUALA LUMPUR 28 April - Seniwati Datuk Sarimah Ahmad menarik balik saman fitnah RM1 juta yang dikemukakan oleh beliau terhadap penerbit dan pencetak majalah The Malaysian Tatler, lima tahun lalu.
Dengan tindakan tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Balia Yusof Wahi hari ini membatalkan tuntutan saman berkenaan tanpa kos ketika kes itu disebut di kamar beliau di sini.
Sarimah, 68, selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 17 Mei 2005 kerana mendakwa satu artikel dalam majalah bulanan berbahasa Inggeris itu bagi keluaran Ogos 2001 telah memfitnah keperibadian dan pegangan agamanya.
Beliau menamakan penerbit majalah berkenaan, Illustrated Magazine Publishing Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama dan pencetaknya, Percetakan Osacar Sdn. Bhd. defendan kedua.
Pelakon veteran itu yang diwakili oleh peguam Vanuja Dewi Nambiar bersetuju menarik balik saman berkenaan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman baru.
Kes itu sepatutnya dibicarakan selama tiga hari mulai hari ini. Plaintif mahupun kedua-dua defendan tidak hadir di mahkamah.
Pada prosiding hari ini, defendan pertama diwakili oleh peguam Kimberly Lee, manakala Rubini Thirugnanam mewakili defendan kedua.
Menurut pernyataan tuntutannya, Sarimah yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok menyatakan, artikel yang didakwa memfitnahnya itu bertajuk Fast Amongst Equals dan di bawah tajuk kecil SARIMAH AHMAD.
Dakwanya, kata-kata fitnah itu bermaksud atau difahamkan membawa maksud beliau sebelum ini bukan seorang yang jujur dan mempunyai pegangan agama yang longgar serta seorang yang tidak sensitif, sedih atau beremosi atas kematian suaminya ketika itu, Allahyarham Yusuf Majid.
Di samping itu, artikel itu bermaksud atau membawa maksud bahawa beliau tiada perasaan terhadap Allahyarham dan seorang oportunis yang berkahwin dengan Senator Dr. Nordin Selat (kini bekas suami) secara terburu-buru.
Sarimah yang pernah memenangi anugerah Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia Kedua menerusi filem Dia Ibuku pada 1981 menuntut ganti rugi am RM500,00 ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan masing-masing sebanyak RM250,000, faedah, kos serta injunksi.
Sementara itu, kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan masing-masing pula menafikan bahawa perkataan-perkataan tersebut adalah berunsur fitnah terhadap plaintif.
Dakwa mereka lagi, perkataan-perkataan terbabit adalah ulasan saksama yang berkepentingan awam, berhubung kehidupan dan kelakuan seorang pelakon wanita yang mempunyai reputasi pada pandangan orang awam.

Kes warga Sudan bunuh Aaliyah disebut 30 Jun



SHAH ALAM 28 April - Kes seorang penganggur warganegara Sudan yang didakwa atas tuduhan membunuh anak perempuan teman wanitanya yang berusia tiga tahun, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah akan disebut semula di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Jun ini.
Timbalan Pendaftar, Sharina Ali Pitchay menetapkan tarikh tersebut selepas kes itu disebut di hadapan beliau dengan kehadiran tertuduh, Mohannad Taha Ismail, 24.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Abdul Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mohannad Taha dituduh membunuh Aaliyah Ayman di rumah nombor 9/D3/9 Palazzo Tower, Venice Hill Condominium, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, antara pukul 7.30 malam dan 8.30 malam, 12 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan Aaliyah Aiman meninggal dunia dipercayai akibat didera selain menjadi mangsa perlakuan seksual.
Berikutan kejadian itu, ibu kanak-kanak malang tersebut dan Mohannad Taha ditangkap pada 14 Oktober tahun lalu bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun hanya tertuduh didakwa, manakala wanita berkenaan dibebaskan.

Dua beradik dihukum gantung





B. RAMESH (kanan) dan adiknya, B. Suthar ketika di luar Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.


RASAH 28 April - Dua beradik hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dengan kesan kelar di leher, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian setelah mendapati keterangan pembelaan B. Ramesh, 30, dan B. Suthar, 28, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka.
''Selepas mempertimbangkan dan mengambil kira keterangan saksi-saksi, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan pertuduhan membunuh bagi tertuduh,'' kata beliau.
Ramesh dan Suthar yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang ketika mendengar keputusan itu.
Bagaimanapun, ahli keluarga mereka yang duduk di galeri awam tidak dapat mengawal emosi dan menangis sebaik sahaja mahkamah memutuskan demikian.
Kedua beradik tersebut disabitkan dengan kesalahan membunuh R. Krishnan, 31, antara pukul 9.50 malam, 4 Februari dan pukul 12.45 tengah malam, 5 Februari 2006 di Kilometer 19 Jalan Labu ke Port Dickson, Mambau di sini.
Dakwaan terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Mengikut keterangan saksi, Krishnan telah ditemui mati di dalam kereta di tempat kejadian dengan kesan ketukan benda keras di kepala sehingga menyebabkan pendarahan teruk di bahagian otak.
Leher mangsa juga mempunyai kesan kelar sehingga memutuskan urat utamanya dan terdapat banyak kesan darah mangsa ditemui di dalam kereta berkenaan seperti berlakunya pergelutan.
Sebilah pisau dan sebuah tukul besi yang terdapat darah mangsa serta darah salah seorang tertuduh di bahagian pemegang tukul besi itu turut ditemui di dalam kereta terbabit.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela R. Sivanesan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Saharuddin Wan Ladin.

Permohonan cerai Zakiah Anas dirujuk Jawatankuasa Pendamai



Zakiah Anas di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 28 April - Permohonan cerai secara baik pengacara televisyen, Zakiah Anas dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai.
Hakim Syarie, Ghazali Ahmad memutuskan demikian selepas suami pengacara itu tidak bersetuju dengan permohonan Zakiah ketika kes berkenaan disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Zakiah hanya memandang suaminya ketika lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut.
Pada prosiding hari ini juga, hakim syarie mengarahkan pasangan tersebut melantik wakil masing-masing yang akan menganggotai jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan bertanggungjawab untuk mengadakan rundingan serta perbincangan bagi mencari jalan perdamaian antara kedua-dua pihak.
Kes itu akan disebut semula pada 9 Jun ini.
Zakiah yang hadir dengan ditemani dua rakannya diwakili peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof, seorang ahli perniagaan hadir tanpa peguam.
Dia juga enggan wajahnya dirakam oleh jurugambar sebaliknya meminta media mengambil gambar isterinya kerana 'dia (Zakiah) selebriti bukan saya'.
Permohonan untuk bercerai secara baik itu difailkan sendiri oleh personaliti TV3 itu pada Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Sebelum ini, Zakiah pernah memfailkan pengesahan permohonan cerai secara fasakh sebelum menukarnya kepada pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Shah Alam tetapi menarik balik kes itu pada 1 September tahun lalu.
Zakiah dan suaminya berkahwin sejak 17 tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14.

Gereja di Chile dibom



SANTIAGO, Chile 28 April - Gereja Roman Katolik gempar dengan siri temu bual dramatik sekumpulan lelaki yang mendakwa dicabul bekas paderi terkenal, diikuti dengan insiden sebuah gereja digegarkan dengan serangan bom yang merosakkan bahagian hadapan bangunan itu, semalam.
Empat lelaki menceritakan secara terperinci pengalaman ngeri mereka yang turut disiasat polis dan gereja dalam satu siaran televisyen malam semalam.
Mereka yang kini sudah dewasa mendakwa Father Fernando Karadima melakukan pencabulan kira-kira 20 tahun lalu semasa mereka berusia antara 14 hingga 17 tahun, di kediamannya di Gereja Sacred Heart of Jesus, Santiago.
Awal semalam, sebutir bom meletup di hadapan sebuah gereja Katolik di bandar Temuco, selatan Chile, memusnahkan bahagian hadapannya dan tingkap bangunan berhampiran, namun tiada sesiapa cedera.
Dr. James Hamilton yang kini seorang pakar bedah dalam keadaan teresak-esak menceritakan bahawa segala-galanya bermula dengan aksi onani semasa menyertai kumpulan pemuda Katolik yang berterusan selama beberapa tahun.
Tiga lagi lelaki turut membuat dakwaan serupa.
Pegawai gereja Chile awal bulan ini mendakwa 20 orang paderi dituduh mencabul kanak-kanak termasuk lima yang didapati bersalah.
Ketua Biskop Santiago, Francisco Javier Errazuriz ketika meminta penganut Katolik memahami apa yang berlaku, mengakui telah menghentikan siasatan gereja ke atas Karadima pada 2005. Penyiasatan disambung semula pada tahun lalu.
Karadima yang kini berusia 80 tahun dan telah bersara, masih menetap di kediaman gereja, namun tidak memberi maklum balas terhadap dakwaan ke atasnya. Dia dibela oleh biskop-biskop lain dan anggota gereja. - AP

5 maut, 10 cedera serangan bom di Baghdad



29/04/2010 3:06am

BAGHDAD 29 April - Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala 10 yang lain cedera apabila dua letupan bom membabitkan dua buah kereta yang mensasarkan puak syiah di Baghdad semalam, kata pegawai menteri dalam negeri.
Menurutnya, kedua-dua bom itu meledak selang beberapa minit di sekitar kawasan Syiah utara dan selatan Abu Tsheer yang terletak di selatan Baghdad.. - AFP

Pesawat lencong haluan ekoran mesej di bilik air



29/04/2010 3:06am

GREENSBORO, Carolina Utara 29 April - Sebuah pesawat penerbangan Continental yang dalam perjalanan dari Houston ke Washington telah melencongkan haluannya ke Utara Carolina selepas mendapati ada mesej ancaman pada cermin dalam bilik air pesawat berkenaan.
Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan berkata, pesawat Continental 3006 yang sedang menuju ke lapangan terbang antarabangsa Dulles di Virginia menyedari mesej `hati-hati limpahan keluar’ ketika mendarat di lapangan terbang antarabangsa Piedmont Triad dekat Greensboro. - AP