Search This Blog

Wednesday, April 28, 2010

Rumah sembelihan didakwa cuba jual bangkai unta

NAJRAN: Pentadbiran Kesihatan Alam Sekitar Najran menyiasat dakwaan sebuah rumah sembelihan cuba menjual daging unta yang telah mati, kata sumber semalam.
Katanya, pihak tertentu di Pusat Sembelihan Abul Saud, utara Najran, bekerjasama dengan seorang peniaga yang mengkhususkan penjualan daging unta.

Sementara itu, Datuk Bandar Najran, Saad Fayiz al-Shihri, berkata selepas siasatan dibuat, tindakan tegas akan diambil jika terbukti ada pihak cuba menjual bangkai unta kepada orang ramai. - Agensi

Trafik lumpuh di Bangkok

BANGKOK: Penunjuk perasaan antikerajaan memaksa sistem rangkaian kereta api jalan atas di bandar raya ini menghentikan operasi beberapa jam ketika waktu puncak, semalam.
Langkah itu melumpuhkan sistem lalu lintas di Bangkok.

Kumpulan Baju Merah itu yang menyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu bertindak menyusun tayar pada platform sebuah stesen rangkaian itu kerana bimbang tentera akan menggunakannya untuk menyerang mereka dari atas.

Syarikat yang mengendalikan sistem berkenaan, BTS menutup rangkaian itu selama empat jam.

“Mereka mengancam mencampakkan tayar ke landasan. Kami terpaksa menutup laluan bagi menjamin keselamatan,” kata jurucakap syarikat.
Kereta api itu mengangkut kira-kira 450,000 penumpang sehari.
Harapan untuk mengakhiri krisis itu yang setakat ini sudah meragut 26 nyawa, musnah hujung minggu lalu apabila Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva menolak cadangan penunjuk perasaan untuk mengadakan pilihan raya dalam masa tiga bulan.

Penunjuk perasaan berkata, mereka merancang meneruskan perhimpunan di sekitar Bangkok hari ini, tanpa mempedulikan perintah berkurung.
< Mereka membuat beberapa sekatan di beberapa lebuh raya minggu ini bagi menghalang polis dan tentera memasuki Bangkok. “Pihak berkuasa akan meningkatkan operasi. Adalah jelas mereka tidak berhimpun secara aman seperti yang mereka janji. “Kami tidak akan bertolak ansur lagi,” kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thuangsuban. Kumpulan Baju Merah itu mengukuhkan kubu mereka di pusat komersil Bangkok hingga memaksa lima pusat beli-belah ditutup. Kumpulan yang menentang mereka yang dikenali ‘pelbagai warna,’ juga mengadakan perhimpunan harian sementara kumpulan penentang Thaksin, Baju Kuning,’ yang mengepung Lapangan Terbang Bankok pada 2008, mendesak kerajaan bertindak lebih tegas terhadap Baju Merah. - AFP

Penunjuk perasaan rancang saman kerajaan

BANGKOK: Pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan Thai semalam berkata, mereka akan menyaman kerajaan kerana menuduh kumpulan itu cuba menggulingkan raja.
Pihak berkuasa Thai semalam menyerahkan gambarajah yang mendedahkan usaha penggulingan itu, membabitkan pemimpin kanan kumpulan Baju Merah.

Pemimpin kumpulan itu, Nattawut Saikuar menafikan tuduhan itu dan berkata, pihaknya akan bertindak balas terhadap tuduhan berkenaan dengan mengemukakan saman malu terhadap kerajaan. - AFP

3 budak maut ditimbus tanah

HANOI: Tiga kanak-kanak maut apabila rumah mereka ditimbus tanah runtuh akibat hujan lebat, malam kelmarin.
Sumber berkata, mangsa - berusia dua dan 10 tahun - sedang tidur apabila tanah dan batu menimpa kediaman mereka di utara wilayah Ha Giang.

“Operasi mencari ibu dan seorang lagi anaknya yang berusia sembilan tahun masih dijalankan,” katanya.

Mangsa, kata sumber, adalah daripada etnik minoriti Hmong.

Ratusan orang maut akibat tanah runtuh, hujan lebat, banjir dan taufan di Vietnam setiap tahun. - AFP

2 jaga dijel tiga tahun

KUALA LUMPUR: “Kamu perlu berusaha sendiri, bukannya dengan mengambil hak orang lain,” kata Hakim Ahmad Kamar Jamaludin di Mahkamah Sesyen di sini, semalam sebelum menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap dua pengawal keselamatan atas tuduhan meragut beg tangan seorang guru, minggu lalu.
Ahmad Kamar menjatuhkan hukuman itu masing-masing terhadap Md Azrul Md Azmi, 24, dan Mohd Khairul Aswadi Abdullah, 29, selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa meragut beg tangan Zanita Mat Ghani, 36, mengandungi wang tunai RM250, telefon bimbit, buku Tabung Haji, kad ATM, lesen memandu dan kunci bilik sebuah hotel.

Tak mengaku merompak

SHAH ALAM: Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merompak beg tangan milik wanita yang lemas akibat keretanya terbabas lalu terjunam ke dalam longkang besar selepas bergesel dengan sebuah motosikal pada 19 April lalu.
Tertuduh, Muhamad Marnizam Muhammad, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang berasal dari Bukit Kuang, Terengganu didakwa merompak beg tangan jenama D&G milik P Kanagapusanam, 34, mengandungi barang peribadi bernilai RM250 di Jalan Permai, Seksyen 7, kira-kira jam 9.45 pagi, 19 April lalu.

Cemar sungai perbuatan khianat

SERDANG: Masyarakat diseru membuat anjakan paradigma dalam melaksanakan perubahan minda bagi menyemai sikap lebih peka terhadap keadaan alam sekitar terutama penjagaan sungai.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata pengetahuan kefahaman dan perubahan sikap serta penyertaan masyarakat perlu dipupuk seawal mungkin untuk menjadikan amalan gaya hidup masyarakat yang lebih menjurus kepada gaya hidup mesra alam seperti yang dianjurkan kerajaan.
Beliau berkata, walaupun pelbagai program atau kempen dijalankan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar, peranan ini perlu dipikul secara kolektif semua lapisan masyarakat.

“Saya menganggap perbuatan mencemar sungai perbuatan khianat terhadap amanah dan anugerah Tuhan serta mencabuli hak generasi akan datang.

“Ini kerana mereka yang melakukan pencemaran tidak sedikit pun mempunyai perasaan bertimbang rasa dan prihatin masalah terpaksa ditanggung orang lain akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

“Saya yakin, masih belum terlewat masyarakat mengubah sikap sambil lewa mengenai penjagaan alam sekitar dan mengambil langkah perlu dalam memastikan sungai yang menjadi sumber bekalan air mentah dipelihara dan dijaga,” katanya ketika melancarkan Kelab Briged Penyelamat Sungai kali ke-24 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Pernah amuk teman wanita

KUALA LUMPUR: Suspek yang menikam teman wanitanya hingga mati di Kondominium Pandan Height kelmarin, dikatakan pernah mengamuk di pusat hiburan tempat mangsa bekerja kerana cemburu selepas mengesyaki wanita terbabit curang kepadanya.
Lelaki berkenaan dikatakan berkunjung ke tempat teman wanitanya bekerja, sehari sebelum kejadian malang terbabit berlaku dan dia tidak berpuas hati kerana mendakwa kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Suspek dikatakan naik angin dan turut memarahi pekerja dan juga pengunjung di premis itu.

Adik mangsa, Chan Chee Sen, 26, berkata ketika itu rakan kakaknya ada menasihatinya supaya tidak pulang ke rumah bersama teman lelakinya itu kerana mengesyaki perkara buruk akan berlaku.

Kejutan bawah pokok

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 29 tahun nyaris maut selepas kereta dipandunya tiba-tiba dihempap pokok besar dalam kejadian ribut di Pekan Baru, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Theang Kuang Hoog, dalam perjalanan pulang ke pejabatnya selepas menghantar rakannya sebelum pokok setinggi lebih 10 meter dan lebar dua pemeluk menghempap keretanya ketika melalui jalan di belakang pasar raya.
“Pokok itu tumbang tepat di atas bumbung kereta saya menyebabkan ia terhenti dan pada masa sama cermin depan dan belakang kereta pecah,” katanya.

Theang berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu cuba keluar dari keretanya, tetapi gagal apabila pintu hadapan tidak boleh dibuka menyebabkannya terpaksa keluar dari pintu belakang.

“Saya bersyukur kerana tidak cedera walaupun kereta rosak teruk. Jika dilihat keadaan pokok yang menghempap kereta saya itu, nasib saya pasti lebih teruk,” katanya. Katanya, tiga kereta dan lori turut dihempap pokok tumbang di tempat sama dalam kejadian berkenaan.

Kejadian ribut serta hujan lebat itu turut menyebabkan lebih 50 rumah dari 10 kawasan perumahan dan kampung mengalami kerosakan. Selain itu, lebih 30 pokok di sekitar bandar terbabit tumbang menyebabkan 15 kenderaan rosak dihempap pokok berkenaan. Antara kawasan terbabit Taman Sri Tanjung, Pekan Baru, Taman Pekan Baru, Taman Arkid 1 dan 2, Taman Delima 1 dan 2, Kampung Bakar Bata, Taman Semarak dan Kampung Sungai Pasir.

Penduduk Taman Delima, Ismail Ahmad, 40, ketika ditemui berkata, sebelum itu kira-kira jam 3.30 petang hujan lebat disusuli angin kencang lebih 20 minit.

“Dalam hujan lebat dan angin kencang itu, ribut datang tiga kali. Pada mulanya ia tidak kuat, namun kali kedua angin yang datang lebih kuat menyebabkan banyak rumah serta kedai dan gerai di sekitar kawasan serta Taman Arkid rosak teruk,” katanya.

Tidak malu lari bogel



Oleh Shamsul Munir Safini

2010/04/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SUBANG JAYA: Dua wanita warga asing dari China sanggup lari berbogel tanpa menghiraukan orang ramai melihat tubuh mereka untuk mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya yang menjalankan operasi di Plaza Puchong di sini, malam kelmarin.
Wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an dan bekerja sebagai tukang urut itu melarikan diri ke kawasan belakang premis kedai yang terbuka, sebaik beberapa anggota penguat kuasa memasuki premis itu.
Ketua Unit Tindakan jabatan itu, Mohd Azmi Mohd Isa berkata dua wanita berkenaan bagaimanapun ditahan selepas berlaku pergelutan dan dipakaikan baju oleh penguat kuasa yang menahannya.

“Dalam operasi jam 10 malam itu, seramai 10 wanita dari China ditahan termasuk beberapa orang yang sedang beraksi bersama pasangan masing-masing di ranjang dalam premis itu.

“Pihak kami juga sukar memasuki premis berkenaan dari depan kerana mereka menggunakan alat keselamatan terkini bagi mengunci pintu daripada dimasuki mereka yang meragukan. “Kami terpaksa menggunakan jalan rahsia di belakang premis menyebabkan wanita bogel berkenaan bertempiaran ke kawasan belakang premis.

“Di premis itu juga terdapat beberapa kamera litar tertutup (CCTV) digunakan bagi memantau pergerakan luar premis berkenaan termasuk mengelak diserbu pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Azmi berkata, turut ditemui di premis berkenan ialah beberapa kondom dan krim pelincir dipercayai digunakan untuk khidmat seks.

“Dua pelanggan yang berada di premis berkenaan ketika itu turut ditahan untuk urusan dokumentasi,” kata Mohd Azmi.

Lelaki disyaki bunuh pesara tentera dicekup

KOTA BHARU: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki menyebabkan kematian pesara tentera dalam kejadian di Kampung Pauh Sembilan, Bachok, kelmarin.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan ketika menerima rawatan kecemasan kerana cedera di pergelangan tangan kiri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini, kira-kira jam 8.15 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata lelaki itu yang bekerja kampung ditahan sepasukan anggota cawangan jenayah selepas menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian itu.

Menurutnya, lelaki terbabit kini direman beberapa hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai motif sebenar membabitkan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian di kawasan masjid kampung berkenaan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, Che Ismail Che Hussin, 55, meninggal dunia selepas ditikam di rusuk kanan oleh seorang lelaki menggunakan senjata tajam.

Difahamkan, kejadian itu disedari seorang penduduk kampung selepas ternampak beberapa kenderaan di kawasan masjid berkenaan.

Pak cik larikan barang kemas pusaka anak saudara

KAJANG: Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu perumpamaan buat seorang pesara yang tergamak mengkhianati kepercayaan keluarga dengan melarikan barang kemas pusaka milik anak saudaranya.
Dalam kejadian di Taman Semenyih itu, Raziah Begum Abdullah, 34, berkata bapa saudaranya itu menawarkan diri untuk membantu membuat pengubahsuaian pada bahagian dapur rumah sebelum lesap bersama barang kemas bernilai RM35,000 tiga hari selepas memulakan kerja.
“Pada hari pertama dan kedua dia sudah memecahkan dinding dan mula susun batu-bata di belakang dapur, saya tengok dia kerja kuat dan langsung tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya barang kemas yang hilang itu diletakkan dalam sebuah bekas dalam almari di bilik tidur dan dia pernah menunjukkan rantai emas bernilai RM15,000 kepada suspek.

“Dia pernah minta pendapat saya mengenai barang kemas dan saya tunjuk dia bekas yang saya simpan rantai emas, cincin dan gelang termasuk rantai pusaka yang moyang beri pada saya,” katanya.

Katanya, suspek berusia 55 tahun tahu lokasi bekas itu disimpan dan di mana dia meletakkan kunci bilik tidurnya kerana pernah datang ke rumah beberapa kali.

“Saya tidak pernah curiga terhadap suspek kerana selama ini dia tidak pernah melakukan apa-apa yang boleh menghilangkan kepercayaan kami sekeluarga. Rekod jenayah pun tiada, lagipun dia baru saja dapat duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat apa nak mencuri,” katanya kesal.

Susulan itu, Raziah membuat laporan polis di Balai Semenyih manakala suspek yang menghilangkan diri selepas kejadian itu belum dapat dikesan. “Saya harap dia pulangkan barang kemas saya terutama rantai pusaka peninggalan nenek moyang saya, kalau dia pulangkan, saya akan maafkan dia dan tarik balik laporan polis,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian, suspek turut dipercayai melarikan barang kemas milik anak menantunya yang baru berkahwin.

Hakim diarah pindah ke KL

BUTTERWORTH: Tindakan suami kepada seorang Hakim Mahkamah Sesyen, di sini, yang menumbuk seorang lagi hakim lelaki mahkamah sama berusia 40-an hingga pengsan, membawa padah apabila dia ditukar ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 3 Mei depan.
Malah, menurut sumber, hakim berusia lingkungan 30-an itu diarahkan bertugas sebagai pegawai penyelidik melalui surat dikeluarkan ibu pejabatnya semalam.
Dalam kejadian Khamis lalu, suami hakim wanita terbabit yang juga ahli perniagaan berusia 30-an, menumbuk hakim mahkamah sama selepas berlaku perselisihan faham ketika menjemput isterinya, kira-kira jam 5.30 petang.

Dua beradik tidak makan tiga hari



Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim

2010/04/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: “Ibu ghaib...” demikian ungkapan kata yang berulang kali diucapkan Mohd Fitri Roslan, 4, dan abangnya, Mohd Faiz, 5, sejurus diselamatkan seorang penduduk selepas ‘terkurung’ dalam rumah mereka di Taman Nilai, Negeri Sembilan, sejak tiga hari lalu.
SURNIYAH...hilang
SURNIYAH...hilang
Lebih menyedihkan dua beradik terbabit terpaksa ‘berpuasa’ apabila tidak menjamah sebarang makanan sepanjang berada dalam kurungan itu, sebaliknya hanya meneguk air paip untuk membasah tekak serta mengalas perut.
Disebabkan terlalu lapar selain keletihan, Mohd Fitri dan Mohd Faiz berada dalam keadaan tidak bermaya ketika ditemui kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Difahamkan, penderitaan dua beradik berkenaan hanya terbongkar selepas seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lan, 42, mendakwa terdengar tangisan kanak-kanak sejak Sabtu lalu, namun tidak mengendahkannya.

Lan berkata, pada mulanya dia menyangkakan dua beradik berkenaan bergaduh, tetapi mula curiga apabila tangisan itu masih didengari hingga kelmarin.

“Saya yang curiga dengan keadaan itu mengetuk pintu rumah berkenaan, namun tiada sebarang jawapan sebaliknya bunyi tangisan kian perlahan.

“Bimbang berlaku perkara buruk, saya bertanya kepada jiran sebelah rumah berkenaan, namun tetangga itu mendakwa dia tidak tahu-menahu sebaliknya hanya mengakui turut mendengar tangisan kanak-kanak sejak beberapa hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Lan, selepas gagal menghubungi bapa kanak-kanak berkenaan, Roslan Ariffin, 40, dia memecahkan pintu rumah sebelum mendapati Mohd Fitri dan Mohd Faiz terbaring di ruang tamu dalam keadaan lemah sambil menangis.

“Sebaik ditanya di mana ibu mereka pergi, kedua-dua kanak-kanak berulang kali mengatakan ‘ibu ghaib...’ menyebabkan saya terkejut,” katanya.

Lan berkata, dia kemudian menghubungi bapa kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Roslan sebelum memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Roslan berkata ketika diberitahu mengenai keadaan kedua-dua anaknya itu, dia berada di utara tanah air kerana urusan kerja.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan berita itu bergegas pulang ke rumah di Taman Nilai, sebelum berusaha mencari isterinya di kawasan berkenaan.

“Saya bimbang kerana isteri, Surniyah Baharudin, 35, saya kurang sihat, apatah lagi sebelum ini dia tidak pernah meninggalkan rumah. Lagipun, dia tidak membawa sebarang dokumen ataupun duit,” katanya.


Berikutan itu, Roslan berkata dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian 012-9148972.

Mak janda melopong

KUALA LUMPUR: Gara-gara terpesona `mulut manis’ seorang jejaka Pak Arab, seorang janda beranak empat akhirnya berputih mata apabila kerugian RM93,000 selepas wangnya yang dilaburkan dalam perniagaan import-eksport komputer riba terpakai, lesap dilarikan suspek.
Tidak menyangka bakal diperdayakan, wanita itu sanggup menjual rumahnya bagi mendapatkan modal untuk membantu lelaki terbabit menjalankan perniagaan yang dijanjikan keuntungan berlipat ganda.
Menurut sumber, mangsa berusia 53 tahun mengenali suspek yang mendakwa seorang ahli perniagaan import eksport dan menguruskan perniagaannya di negara ini, kira-kira setahun lalu.

“Tertarik dengan kejayaan suspek yang mempunyai beberapa rangkaian perniagaan, mangsa yang juga pengusaha syarikat pelancongan ditawarkan menjadi rakan kongsi untuk mengimport satu kontena komputer riba terpakai dari Amerika Syarikat.

“Suspek mendakwa isterinya berada di negara terbabit kerana menjalankan perniagaan mereka di sana dan lelaki itu meyakinkan mangsa barangan berkenaan perlu dibeli dari Amerika memandangkan harganya jauh lebih rendah, selain berjanji akan membantunya memasarkan produk itu di Arab Saudi,” katanya.

Mangsa yang percaya dengan keuntungan yang dijanjikan serta perwatakan alim suspek, mengambil keputusan menjual rumahnya bagi mendapatkan modal.

“Mangsa diperdayakan suspek dengan menunjukkan perniagaan yang diusahakannya di negara ini sedangkan perniagaan seperti restoran, permaidani, perabot dan sebagainya sebenarnya milik usahawan Arab lain.

“Setelah mendapatkan wang melalui penjualan rumahnya di kampung, mangsa membuat pembayaran terus kepada isteri suspek yang berada di Amerika Syarikat sebanyak RM93,000,” katanya.

Mangsa kemudian diberikan janji palsu kononnya kontena terbabit akan tiba di negara ini sementara mendapatkan pasaran di Arab Saudi, namun setelah dua bulan menunggu, kontena dijanjikan tidak sampai-sampai.

“Mangsa cuba mendapatkan penjelasan, namun diberikan pelbagai alasan kononnya kontena terbabit mengalami masalah dokumentasi dengan pihak kastam negara itu.

“Akibat sering didesak, suspek gagal dihubungi menyebabkan mangsa membuat laporan polis awal bulan lalu bagi menjejaki suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany berkata, susulan laporan dibuat, suspek dicekup sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Suspek berusia 31 tahun ditahan Ahad lalu di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini, dan kini direman 14 hari mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Kerabat Kedah desak Azizan, Mohd Nasir mohon ampun



ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdu:l Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa dituntut memohon ampun daripada Sultan Kedah berikutan soalan berkaitan kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Negeri Kedah.

Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya menuntut Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa memohon ampun kepada Sultan Kedah berhubung soalan berkaitan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Negeri itu.

Katanya, PKDK menganggap tindakan mempersoalkan bidang kuasa Sultan pada persidangan DUN tidak sepatutnya berlaku berikutan kedudukan baginda yang dijamin dalam Undang-Undang Tubuh Negeri sebagai Ketua Agama dan Ketua Negeri.

“Tindakan Mohd Nasir dengan sokongan rakan-rakannya meninggalkan satu titik hitam dalam sejarah. Kami menyeru rakyat Kedah memahami kedudukan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun termasuk wakil rakyat,” katanya pada sidang media di sebuah dewan di Anak Bukit, di sini, semalam.

Tengku Zainol berkata, walaupun soalan lisan bernombor 3(a) dan 3(b) ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, ia masih tidak ditarik balik sepenuhnya daripada rekod dewan.

Ditanya jika tuntutan itu tidak dipenuhi, Tengku Zainol berkata, pihaknya masih tidak memutuskan tindakan susulan namun tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi mempertahankan kedaulatan institusi diraja Kedah.

“PKDK adalah badan bebas politik tetapi akan mempertahankan institusi raja, agama Islam dan Melayu daripada sebarang usaha dipolitikkan," katanya.

Terdahulu, seramai 15 ahli lima badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah PKDK mengadakan demonstrasi aman di pekarangan dewan itu bagi membantah tindakan ADUN Kubang Rotan mempersoalkan bidang kuasa Sultan Kedah sebagai Ketua Agama Islam Negeri dan juga Kerajaan Pusat pada sidang DUN kelmarin.

Bekas Presiden Kyrgyzstan hadapi dakwaan pembunuhan



BISHKEK - Kerajaan sementara Kyrgyzstan semalam mendakwa Presiden Kurmanbek Bakiyev atas tuduhan pembunuhan besar-besaran.

Kerajaan turut menyediakan permohonan ekstradisi terhadap Kurmanbek yang kini hidup dalam buangan.

Beliau pada minggu lalu mendapat perlindungan kerajaan Belarus selepas melarikan diri daripada pemberontakan berdarah di ibu kota Bishkek.

Terdahulu, Moscow menyatakan pendirian untuk tidak mengalu-alukan kehadiran Kurmanbek di Rusia.

Timbalan ketua kerajaan sementara, Azimbek Neknazarov yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan berkata, Kurmanbek juga mungkin menghadapi dakwaan menyalahgunakan kuasa.

Pada 7 dan 8 April lalu, askar-askar yang setia kepada Kurmanbek melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang sedang mengadakan demonstrasi.

Tindakan itu memaksa beberapa penunjuk perasaan yang memiliki senjata api menyerang balas dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 85 orang terbunuh.

Mangsa paip pecah diminta hubungi KeTTHA




SHAH ALAM - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) meminta semua mangsa kejadian paip pecah di Jalan Universiti Seksyen 17, Petaling Jaya kelmarin menghubunginya. 

Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air KeTTHA, Dr Hasnul Mohamad Salleh berkata, projek pengalihan paip tersebut dilindungi insurans dan sebarang tuntutan awam akan ditanggung kontraktor di bawah syarat-syarat yang diperuntukkan. 

“Semua mangsa yang terlibat boleh menghubungi KeTTHA menerusi talian 03-88836321 bagi tujuan tersebut,” katanya. 

Menurutnya, sebagai tindakan susulan terhadap kejadian itu, kementerian telah menutup dan memperbaiki jalan tersebut serta-merta. 

“Namun, jalan tersebut boleh digunakan semula mulai hari ini (semalam),” katanya. 

Dalam kejadian berdekatan Universiti Malaya (UM) menghala Lebuh raya Persekutuan kira-kira jam 4.30 petang, tiga kenderaan awam melambung dan rosak teruk akibat terkena pancutan air daripada saluran paip bawah tanah yang pecah menyebabkan seorang lelaki parah dan dua lagi cedera ringan. 

Projek pengalihan paip tersebut dijalankan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua (PRE 2) oleh kontraktor yang dilantik KeTTHA.

Dua beradik hamba seks Ayah Teh



KUALA TERENGGANU – Pada usia yang masih muda, dua beradik terpaksa melalui kehidupan yang memeritkan apabila mereka menjadi hamba seks kepada bapa saudara sendiri yang dipanggil Ayah Teh sejak tahun lalu. 

Dalam tempoh lapan bulan, mangsa berumur 14 tahun mendakwa dirogol beberapa kali oleh lelaki berhati binatang terbabit, sementara adiknya pula dicabul lebih 30 kali di rumah mereka di sebuah kampung di Besut. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Mohd Zani Che Din berkata, mangsa pertama kali dirogol pada 28 Mei tahun lalu kira-kira jam 4 pagi ketika tidur bersama adik dalam bilik. 

Menurutnya, bapa saudara mangsa kemudian dilaporkan masuk ke bilik berkenaan dan menyusup ke dalam kelambu tempat mereka tidur lalu membuka pakaian mangsa lalu merogolnya. 

“Sejak kejadian itu, suspek dikatakan terus merogol mangsa beberapa kali sehingga 12 Januari lalu, sementara adik mangsa berumur 13 tahun mengadu turut dirogol suspek di ruang tamu rumah mereka. 

"Selain dirogol, adik mangsa memberitahu dia dicabul suspek lebih 30 kali bermula 18 Disember tahun lalu sehingga 18 April lalu, namun kedua-dua beradik itu merahsiakannya kerana tidak tahu perbuatan itu salah," katanya, semalam. 

Bagaimanapun, Mohd Zani berkata, perlakuan jahat Ayah Teh terbongkar apabila mangsa yang tinggal bersama nenek uzur dan suspek akhirnya membuat laporan di Balai Polis Jerteh kira-kira jam 1.57 tengah hari, kelmarin. 

Berikutan laporan itu, polis menahan bapa saudara mangsa berusia 30 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Ibu tunggal gesa tindakan tegas bekas suami rogol, liwat 4 anak




KULIM - Seorang ibu tunggal beranak lima berusia 40-an, kecewa dengan pihak terlibat kerana tidak mengambil tindakan tegas terhadap bekas suaminya yang dikatakan merogol dan meliwat empat daripada lima anaknya. 

Pengurus Pusat Khidmat Aduan Wanita Parlimen Kulim Bandar Baharu, Suraiya Hashim berkata, mangsa yang tinggal di Jalan Tunku Bendahara membuat aduan kepadanya mengenai masalah dihadapi dan sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap lelaki itu. 

“Saya simpati dengan nasib ibu tunggal itu apabila empat daripada lima anaknya pernah dirogol dan diliwat bapa sendiri. 

“Siasatan kami mendapati anak lelaki berusia 24 tahun diliwat sejak berusia 6 hingga 12 tahun. Anak keduanya berusia 17 tahun terselamat kerana berada di asrama. Anak perempuan berusia 16 tahun dirogol sejak usia 7 hingga 12 tahun,” katanya. 

Suraiya berkata, anak lelaki berusia 15 tahun diliwat sejak berusia enam hingga 15 tahun dengan laporan polis terbaru dibuat terhadap suspek pada 20 Februari. Mangsa mengadu diliwat di tapak pembinaan berhampiran jam besar Kulim kira-kira jam 3 pagi. 

“Anak perempuan bongsu yang kini berusia sembilan tahun dirogol sejak berusia tiga sehingga lapan tahun. Bagaimanapun, suspek tidak melakukan perlakuan seks terhadap anak-anaknya pada tahun ini,” katanya. 

Suraiya berkata, perlakuan tidak berperi kemanusiaan itu seharusnya mendapat perhatian semua pihak kerana ia mendatangkan fobia terhadap mangsa terlibat. 

“Saya dimaklumkan, suspek masih bebas dan berada sekitar Kulim,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, siasatan dijalankan dan pendakwaan sudah dibuat mahkamah. 

Beliau berkata, sekiranya berlaku sebarang kelewatan, mangsa atau waris mangsa boleh menghubungi mahkamah untuk mengetahui status kes. 

“Waris atau Pusat Khidmat Aduan Wanita Parlimen Kulim Bandar Baharu bahawa polis menjalankan siasatan terhadap aduan yang dibuat mangsa. Suspek sudah didakwa di mahkamah. 

“Mahkamah akan menentukan perjalanan kes itu kerana polis sudah menyerahkan hasil siasatan kepada pihak pendakwa,” katanya.

Persatuan bogel serbu pulau di Britain




GAMBAR menunjukkan beberapa orang berbogel di Pulau Flat Holm di Britain pada minggu lalu.


BRISTOL - Sejumlah lelaki dan wanita yang menganggotai sebuah persatuan bogel menyerbu Pulau Flat Holm, dekat sini untuk menikmati aktiviti perkelahan dalam keadaan tanpa seurat benang, lapor sebuah akhbar semalam.
Mereka datang dari seluruh Britain dan berada di pulau berkenaan sepanjang hujung minggu lalu.
Ahli-ahli persatuan yang mengamalkan cara hidup bogel, itu turut tidak membenarkan orang lain berada di lokasi tersebut melainkan mereka bersetuju untuk turut sama melucutkan pakaian.
Pencipta telefon, Marchese Guglielmo Marconi menghantar mesej radio pertama dari Pulau Flat Holm pada tahun 1897 sekali gus menjadikan tempat itu terkenal di kalangan pelancong.
Pulau batu berkeluasan 34.8 hektar di Selat Bristol, dekat sini pernah menjadi tempat perlindungan penyeludup. - Agensi

Kasino kedua Singapura dibuka




GAMBAR menunjukkan kasino Marina Bay Sands di Singapura semalam.


SINGAPURA - Kasino kedua Singapura dibuka semalam sekali gus meningkatkan reputasinya sebagai pusat perjudian untuk golongan kaya.
Kasino Marina Bay Sands yang dibina oleh syarikat perjudian gergasi Amerika Syarikat, Las Vegas Sands itu dibuka pada pukul 3.18 petang waktu tempatan. Ia yang bernilai AS$5.5 bilion (RM17.5 bilion) bakal meningkatkan sektor perlancongan sekali gus menjadi pusat peralihan perjudian dari Barat ke Asia.
Pengerusi Las Vegas Sands, Sheldon Gary Adelson memberitahu, penduduk Asia melihat perjudian sebagai satu hiburan manakala penduduk Barat lebih gemar berbelanja untuk makanan atau keluar dengan teman.
Kasino pertama Singapura, Resorts World Sentosa yang bernilai AS$4.4 bilion (RM14 bilion) dibina oleh Kumpulan Genting Malaysia dan dibuka pada 14 Februari lalu.
Kasino Marina Bay Sands yang setinggi empat tingkat itu mempunyai 600 meja judi, 1,500 mesin slot dan lebih 30 bilik perjudian peribadi.
Seorang rakyat Malaysia Lee Kim Lian, 68, menyatakan dia tiba kelmarin dengan wang tunai sebanyak S$10,000 (RM23,260) untuk bermain judi. - AFP

Ahli Parlimen baling telur




SEORANG pengawal keselamatan melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn pada satu insiden baling telur di Parlimen Kiev semalam.


KIEV – Parlimen Ukraine bersidang dalam situasi huru-hara semalam apabila kalangan anggotanya bertindak membaling telur, bom asap dan bergaduh sesama mereka.
Sejumlah anggota Parlimen negara itu berbalas-balas tumbukan manakala seorang wakil rakyat dilihat memijak kepala anggota lain.
“Telur, bom asap semuanya sudah dibaling. Cuma senjata api sahaja yang masih belum digunakan,” kata seorang ahli Parlimen, Andriy Shevchenko.
Situasi memalukan itu tercetus berhubung isu perjanjian melanjutkan pajakan sebuah pangkalan tentera laut yang menempatkan Armada Laut Hitam Rusia di Ukraine.
Kalangan wakil rakyat parti pembangkang berang kerana Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych memeterai perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Dmitry Medvedev untuk melanjutkan pajakan pangkalan laut itu sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2042 yang dianggap sebagai menjual maruah negara.
Tidak dapat menahan kemarahan, beberapa wakil rakyat mula membaling telur ke arah Speaker, Volodymr Lytvyn yang memaksanya berlindung di sebalik dua payung hitam yang dipegang oleh dua pembantunya.
Seorang wakil rakyat pro-Barat kemudian membaling sebutir bom asap sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan pergaduhan tercetus.
Seorang anggota Parlimen, Andriy Shevchenko daripada blok pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko mengetahui bahawa bom itu dibaling oleh anggota-anggota pembangkang.

PAYUNG digunakan untuk melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn semasa sidang sedang berlangsung.


Namun, dia menyatakan tindakan tersebut wajar dilakukan.
“Sejarah akan menghakimi kita,” katanya.
Walaupun huru-hara, beberapa Ahli Parlimen cuba untuk meneruskan sidang. Beberapa Ahli Parlimen menjerit: “Memalukan.”
Parlimen kemudian mengiktiraf perjanjian itu dengan 236 anggota Parlimen menyokongnya.
“Bom asap, balingan telur dan pergaduhan tidak akan menghalang pihak majoriti membuat keputusan,” kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sidang berakhir.
Menerusi perjanjian itu, Rusia bersetuju untuk memberikan Ukraine 30 peratus diskaun import gas asli yang dianggarkan bernilai AS$40 bilion (RM127.50 bilion) selama 10 tahun. – AFP

Rumah Atilia dipecah masuk





KUALA LUMPUR - Penyanyi jazz kontemporari, Raja Putri Atilia Raja Haron (gambar), 36, atau lebih dikenali sebagai Atilia, kerugian kira-kira RM30,000 selepas rumahnya dimasuki pencuri Jumaat lalu.
Menurut Atilia, dalam kejadian itu, pencuri memecah masuk kondominiumnya di Metropolitan SQ, Damansara Perdana yang didiami sejak tiga tahun lalu dan melarikan sebuah komputer riba, 10 utas jam tangan dan sebuah kamera digital.
Semasa insiden tersebut, penyanyi yang popular dengan laguSangkar itu tiada di rumah dan menyedari rumahnya dipecah masuk apabila pulang pada pukul 8 malam.

Amukan waktu Zuhur




BILAL Masjid Pauh Sembilan, Mohamad Abdullah menunjukkan tempat Che Ismail maut selepas ditikam dalam satu pergaduhan di Bachok semalam.


BACHOK - Tindakan seorang pesara tentera menyerang seorang lelaki yang baru menunaikan solat Zuhur membawa padah apabila dia mati ditikam dalam satu pergaduhan di dalam Masjid Pauh Sembilan dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 2.30 petang itu mengakibatkan Che Ismail Che Hussain, 55, mati ketika mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian apabila mengalami kecederaan parah di rusuk kanan akibat tikaman tersebut.
Dalam kejadian itu, suspek berusia 43 tahun tersebut turut mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri apabila ditetak oleh mangsa yang dipercayai datang ke masjid tersebut bersama enam rakannya yang bersenjatakan parang dengan menaiki tiga buah kereta.
Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya kemudian telah meluru masuk ke dalam masjid sebelum keadaan menjadi kecoh apabila beberapa saksi ternampak suspek berlari keluar sambil dikejar oleh beberapa lelaki sambil menghayun parang.

11,950 keluarga miskin tegar dipulihkan



KOTA KINABALU 27 April - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya mengeluarkan sebanyak 11,950 keluarga daripada kumpulan miskin tegar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, melalui program pembasmian kemiskinan menyeluruh yang sedang dilaksanakan itu, seramai 32,693 lagi keluarga miskin tegar akan dapat dikeluarkan daripada status itu menjelang akhir tahun ini.
"Ketika Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) diwujudkan, kita ada 44,643 keluarga miskin di seluruh negara dan sekarang selepas empat bulan melaksanakan pelbagai program, jumlah itu telah menurun kepada 32,693 keluarga.
"Kita tidak ada pilihan lain dan akan pastikan sasaran mengeluarkan seramai 44,643 keluarga miskin tegar akan dicapai menjelang Disember tahun ini.
"Bagaimanapun kita perlukan kerjasama kerajaan negeri yang lebih mengetahui di mana mereka, siapa dan apa keperluan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat NKRA kementeriannya kepada kerajaan Sabah di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman; menteri-menteri Kabinet negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Menurut Shahrizat, kementeriannya begitu komited membasmi kemiskinan dengan menumpukan NKRA kementerian itu kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Malah, katanya, pada masa ini, pihaknya telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1.16 bilion bagi melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan di seluruh negara pada tahun ini.
Dalam pada itu, jelasnya, segala program yang dilaksanakan pihaknya adalah menyeluruh dan mengambil kira keperluan sesebuah negeri bagi memastikan keberkesanannya.
"Terpulang kepada kerajaan negeri untuk membuat cadangan tentang program yang sesuai kerana ada program yang sesuai dibuat di Sabah tidak sesuai di Kuala Lumpur dan sebaliknya.
"Kita akan kenal pasti ketua isi rumah dan sekiranya dia terlantar kita akan beri bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat tetapi pada masa sama, kita juga mencari ahli keluarganya bagi diletakkan di bawah program menjana pendapatan," katanya.
Sementara itu, Shahrizat berkata, kementeriannya mengenal pasti seramai 32,046 keluarga di Sabah yang akan dilibatkan dalam program membasmi kemiskinan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 15,293 keluarga dengan pendapatan bulanan RM540 ke bawah adalah miskin tegar manakala, 16,753 dikategorikan miskin dengan pendapatan RM960 ke bawah," ujarnya.

Mohd. Nasir diminta tarik kenyataan



ALOR SETAR 27 April - Persatuan Kerabat Diraja Kedah menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustafa yang mengemukakan soalan kontroversi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, agar segera memohon ampun kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.
Yang Dipertuanya, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya (gambar) berkata, Persatuan Kerabat Diraja Kedah mencela perbuatan sombong dan angkuh wakil rakyat berkenaan.
"Pihak kami mahu Mohd. Nasir menarik balik kenyataannya dalam bentuk soalan yang dikemukakan kepada DUN dan segera menghadap sultan untuk memohon ampun.
"Ini kerana walaupun soalan tersebut telah diketepikan oleh Speaker, Datuk Dr. Isa Ismail, namun ia masih tidak ditarik balik oleh ADUN berkenaan dan masih lagi di dalam rekod Dewan," katanya di sini hari ini.
Semalam, Persidangan DUN panas gara-gara dua soalan yang dikemukakan oleh Mohd. Nasir dibantah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Mahdzir Khalid.
Keadaan tegang berlaku di dalam Dewan selama 20 minit dan akhirnya Dr. Isa bertindak menarik balik soalan tersebut iaitu sejauh manakah bidang kuasa sultan sebagai ketua agama islam di negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat.
Satu lagi soalan yang dibantah tentang setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.
Menurut Zainol, pihaknya juga mahu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku ketua kerajaan negeri menghadap sultan bagi memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.
"Semalam satu titik hitam telah terjadi di dalam sejarah negeri ini di mana seorang ADUN dengan disokong oleh rakan-rakannya telah melampaui batas dan adab kemelayuan dengan mempersoalkan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini.
"Soalan tersebut jelas menghina Tuanku Sultan yang mana kuasanya sebagai ketua agama Islam dijamin di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri," katanya.
Jelas beliau, pihak persatuan tidak memihak pada mana-mana parti politik namun apabila ia berkaitan dengan institusi raja, pihaknya akan menentang sebarang usaha yang diambil untuk mempolitikkan perkara itu.
"Pihak kami juga tidak mahu melihat perkara yang sama berulang dan jangan sesekali mempertikaikan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini," tambahnya.

Cukai baru Hamas menyusahkan penduduk Gaza



28/04/2010 2:30am

GAZA 27 April - Sebuah parti berhaluan kiri Palestin hari ini memberi amaran berlakunya `hura-hara’ jika Hamas terus mengenakan sejumlah cukai baru di wilayah yang serba daif itu.
Kritikan keras yang jarang dibuat terhadap pergerakan tersebut yang memerintah Gaza sejak 2007 dibuat sebagai respons kepada cukai-cukai baru yang mengikut Hamas adalah perlu untuk menangani krisis kewangan.
``Tekanan yang dikenakan oleh Hamas ini tidak selari dengan usaha menaikkan taraf hidup rakyat yang sedia berada dalam keadaan terhimpit,’’ kata Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP). - AFP

Penduduk Palestin dilarang bekerja



RAMALLAH 27 April - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam menandatangani undang-undang yang mengharamkan penduduk Palestin daripada bekerja di kawasan penempatan Israel dan menjual produk-produk keluaran dari kawasan penempatan itu.
Undang-undang itu menetapkan yang melanggar peraturan tersebut akan dihukum penjara lima tahun dengan denda berat.
Undang-undang itu menandakan kempen penuh keazaman Palestin bagi menentang penempatan Israel yang dibina di atas kawasan yang mahu dijadikan negara Palestin.
Penduduk Palestin membantah pembinaan penempatan itu, namun ramai penduduk Palestin yang bergantung hidup di kawasan tersebut untuk bekerja.
Hampir setengah juta penduduk Yahudi tinggal di atas tanah jajahan yang dituntut Palestin itu, termasuk kira-kira 300,000 lagi di lebih 120 penempatan haram di Tebing Barat.
Israel enggan mematuhi tuntutan Amerika Syarikat (AS) yang mahu pembinaan penempatan haram dibekukan, dengan hanya menjanjikan pengurangan buat sementara waktu.
Pegawai kerajaan Palestin menganggarkan antara 20,000 hingga 30,000 penduduknya bekerja di kawasan penempatan haram Yahudi dan antara AS$200 juta (RM638 juta) hingga AS$500 juta (RM1.6 bilion) produk Yahudi dijual di Tebing Barat setiap tahun.
Sejak beberapa bulan lalu, pasukan keselamatan Palestin mula memintas dan merampas penghantaran produk dari penempatan haram kepada peniaga Palestin. Barangan terdiri daripada bahan pertanian sehingga kosmetik.
Dalam kempen ini, Perdana Menteri Salam Fayyad melontar produk penempatan haram Yahudi ke dalam unggun api.
Undang-undang baru itu yang berkuatkuasa minggu depan bakal menyaksikan mereka yang bersalah akan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda setinggi AS$14,000 (RM44,625), kata penasihat perundangan Abbas, Hassan al-Ouri. - AP

Tiada kompromi terhadap rakyat asing guna bahasa biadab



KUALA LUMPUR 27 April - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan rakyat asing yang memohon mendapatkan hak kewarganegaraan Malaysia tetapi tidak fasih berbahasa Melayu atau cenderung bertutur menggunakan bahasa biadab.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap pemohon kewarganegaraan tertakluk kepada Perkara 15 , 16, 19 dan 30 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya mensyaratkan mereka harus tahu menggunakan bahasa Melayu secara betul.
"Saya bersetuju dengan pandangan bahawa perkara paling asas yang perlu ada (pada pemohon) ialah penggunaan bahasa yang tidak biadab dan fasih apabila berbual dalam bahasa Melayu," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sidang Dewan Negara hari ini.
Firdaus bertanyakan standard atau ukuran bahasa Melayu yang digunakan bagi menguji pemohon yang ingin menjadi warganegara.
Beliau turut meminta kerajaan meningkatkan standard yang digunakan kerana ramai individu yang telah diberi kerakyatan tidak fasih berbahasa Melayu atau menggunakan bahasa kebangsaan secara biadab termasuk menggunakan ganti nama "kamu" apabila bercakap dengan warga emas.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan, Senator Datuk Sim Kheng Hui, Hishammuddin berkata, langkah mempercepatkan permohonan kewarganegaraan adalah salah satu daripada empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata, kementerian pada Oktober lalu berjaya menyelesaikan 32,927 permohonan kewarganegaraan yang tertunggak bagi tempoh 1997 hingga 2006 iaitu dua bulan lebih awal dari tarikh ditetapkan pada Disember tahun lalu.
Pada sidang akhbar selepas itu, Hishammuddin mengulangi jaminannya bahawa mulai tahun ini, kementerian menetapkan sasaran setiap permohonan kewarganegaraan yang lengkap akan dimaklumkan keputusannya dalam tempoh selewat-lewatnya dua tahun daripada tarikh permohonan.
"Ini merangkumi tempoh masa untuk pemprosesan dokumen, sesi ujian, temu duga dan tapisan keselamatan," katanya.
Tambah beliau, langkah mempercepatkan proses kelulusan kerakyatan tidak bermakna syarat sedia ada akan dilonggarkan kerana taraf kewarganegaraan adalah keistimewaan dan bukan hak.
"Keistimewaan ini hanya boleh dianugerahkan kepada individu yang menepati syarat dan kriteria ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Greece diturun taraf ke taraf `sampah’



28/04/2010 2:30am

LONDON 27 April - Penarafan hutang luar Greece diturunkan ke tahap `sampah’ oleh Standard & Poor’s ketika kebimbangan semakin memuncak tentang krisis hutang di Eropah menjadi semakin tidak terkawal.
Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, agensi berkenaan berkata, taraf hutang luar Greece diturunkan kepada BB+ daripada BBB- yang bermakna hutang tersebut tidak membawa galakan pelaburan.
Agensi berkenaan itu memberi amaran kepada pembeli hutang bahawa mereka hanya mempunyai peluang antara 30 hingga 50 peratus untuk mendapat wang mereka sekiranya berlaku penstrukturan semula hutang atau pengingkaran. -AP

Jangan sentuh kuasa sultan





KUALA LUMPUR 27 April - Mereka yang bergelar wakil rakyat tidak sewajarnya mengemukakan soalan yang menyentuh tentang kuasa Raja-Raja Melayu dan sultan sebagai Ketua Agama Islam.
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, wakil rakyat sepatutnya mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada pihak yang lebih pakar dan mahir dalam soal undang-undang serta kuasa institusi beraja.
Katanya, adalah tidak wajar untuk mereka mengemukakan soalan seperti itu pada sidang Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.
"Eloklah soal kuasa sultan ini diletakkan di tempatnya.
"Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan sepatutnya wakil rakyat sudah tahu dan faham tentang sejauh mana kuasa raja-raja Melayu dan apa yang wakil rakyat patut dan tidak patut buat.
"Soalan seperti itu hanyalah berbaur politik. Jangan soal dari segi prosedur sahaja yang pentingnya kita seharusnya menghormati apa yang sudah termaktub itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan seorang wakil rakyat Pas yang mengemukakan dua soalan bertulis yang menjadi kontroversi pada Sidang DUN Kedah semalam yang dilihat seolah-olah cuba mempertikaikan kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri itu.
Dua soalan yang dikemukakan ADUN Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustafa itu ialah sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.
Bagaimanapun, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menarik balik soalan tersebut selepas menerima bantahan ADUN pembangkang dari Barisan Nasional (BN) semasa sidang berlangsung dan mengakui beliau mungkin "terlepas pandang".
Md. Shukri berkata, adalah lebih elok dan manis apabila semua wakil rakyat menghormati tradisi yang menjadi nilai dan asas kepada kedaulatan institusi beraja di negara ini.
"Di negara ini, kita ada tradisi dan sepatutnya kita menghormati nilai dan asas tradisi itu termasuk yang berkaitan kuasa sultan.
"Jika wakil rakyat bersikap degil mahu mengemukakan soalan yang menyentuh soal kuasa sultan di dalam Dewan Rakyat atau DUN, dikhuatiri nanti ia akan menyebabkan polemik di masa depan," katanya.
Menurut beliau, sama ada soalan seperti itu boleh dikemukakan atau tidak pada sesuatu sidang DUN mahupun Parlimen, ia bukanlah isu yang sebenar.
"Soal yang penting adalah kita cuba mengelak dari menimbulkan kesan yang boleh menjejaskan Perlembagaan kita," katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, menurut perundangan, seseorang wakil rakyat boleh mengemukakan soalan seperti yang ditanya Mohd. Nasir.
"Kecuali jika wakil rakyat ini mencadangkan berhubung pelucutan kuasa Sultan, itu sudah menyalahi undang-undang," katanya.
Menurut beliau, tindakan Speaker menarik balik soalan bertulis oleh Mohd. Nasir itu juga berkemungkinan dibuat bagi mengelak keadaan dalam sidang DUN itu menjadi lebih buruk.
"Speaker ada kuasa untuk menarik balik atau membenarkan soalan itu dijawab, cuma mungkin masa ia ditanya itu keadaan tidak begitu sesuai maka ia perlu ditarik balik," katanya.

Isu remaja ditembak ke Kabinet hari ini



SHAH ALAM 27 April - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar akan membangkitkan isu seorang remaja, Aminulrashid Amzah, 15, yang mati ditembak oleh sepasukan polis semalam pada mesyuarat Kabinet esok.
Menurutnya, selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau akan meminta polis melakukan siasatan yang adil dan telus berhubung isu itu.
''Kita mahu siasatan rapi dan tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di rumah remaja itu di Seksyen 11 di sini hari ini.
Hadir sama ibunya, Norsiah Mohamad, 60, dan dua kakaknya iaitu Nor Azura, 39, dan Tuty Shalinza Anom, 36, serta Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 di sini yang menaiki kereta Proton Iswara mati akibat terkena tembakan sementara rakannya berjaya melarikan diri.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sebelum kejadian anggota polis peronda terserempak dengan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan tetapi enggan berhenti ketika diarahkan berbuat demikian.
Salah satu tembakan yang dilepaskan mengenai mangsa menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
Ekoran kes itu, empat anggota polis terlibat kini digantung kerja sehingga siasatan selesai.
Menurut Noh, UMNO negeri juga menawarkan bantuan khidmat guaman kepada keluarga Aminulrashid jika diperlukan.
Jelasnya, kejadian tersebut sudah pasti meninggalkan kesan pahit kerana Aminulrashid adalah anak bongsu daripada lapan beradik yang diketahui seorang anak yang baik dan hormat kepada orang tua.
Namun katanya, apabila dilaporkan dalam media bahawa remaja itu dipercayai terlibat dalam jenayah, sudah pasti ia memberi gambaran tidak baik terutama kepada ahli keluarga mangsa.
Beliau juga berharap tiada pihak yang mensensasikan kes tersebut kerana fokus utama kini untuk mencari keadilan dan hasrat itu tidak boleh dicapai jika ia dipolitikkan.
Katanya, biarlah polis melakukan siasatan rapi termasuk menggunakan khidmat pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor dan jika dibicarakan terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

KDN tubuh pasukan khas





Hishammuddin Tun Hussein menerima cenderamata berupa baju batik daripada Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Operasi), Wan Mohamad Nazarie Wan Mahmood (dua, kiri) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 27 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian seorang pelajar tingkatan tiga yang ditembak mati setelah cuba merempuh anggota polis peronda ketika mahu memberkasnya di kawasan perumahan Jalan 11/2G, Seksyen 11, Shah Alam semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan khas itu akan diketuai oleh Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi menyiasat dan meneliti kes tersebut secara terperinci.
"Sekiranya ada sesuatu yang tak kena, pihak yang berkenaan (polis) perlu bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra Ahli Lembaga Hakim Pelawat Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Kajang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid Amzah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di Shah Alam, yang memandu kereta Proton Iswara mati ditembak setelah dikatakan cuba melarikan diri dari sekatan polis manakala rakannya pula berjaya melarikan diri.
Hishammuddin yang sedih dan terkejut dengan kejadian itu berkata, beliau telah mengarahkan siasatan dilakukan dengan seadil-adilnya bagi membolehkan orang ramai mengetahui keadaan sebenar.
Pada masa sama, beliau meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menimbulkan andaian tanpa berlandaskan fakta serta memberi pandangan mengelirukan.
"Semuanya mestilah berasaskan kepada fakta dan bukti yang kukuh," jelasnya.
Ditanya mengenai siasatan awal kes itu, beliau berkata:
"Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan, biar siasatan mengambil tempat dulu".

Dr. Vanezis terima ugutan





Dr. Peter Vanezis


SHAH ALAM 27 April - Pakar perubatan forensik dari United Kingdom, Profesor Dr. Peter Vanezis membuat laporan polis malam semalam, mendakwa menerima e-mel berunsur ugutan selepas beliau memberi keterangan berhubung hasil bedah siasat kedua terhadap mayat Teoh Beng Hock.
Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan perkara itu sebelum Vanezis menyambung keterangannya pada prosiding inkues menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan tersebut dibuat oleh Vanezis pada pukul 11.10 malam di Balai Polis Seksyen 11 dekat sini kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya terancam selepas menerima e-mel tersebut.
Berdasarkan salinan yang dikemukakan kepada mahkamah, laporan polis itu berbunyi:
''Saya menerima e-mel selepas memberi keterangan di mahkamah dan sedang di peringkat disoal balas. E-mel tersebut tidak menyenangkan dan menakutkan serta turut melibatkan keluarga saya. Saya beranggapan e-mel tersebut adalah satu cubaan untuk campur tangan terhadap proses mahkamah dengan niat untuk mempengaruhi keterangan saya.''
Salinan e-mel tersebut turut diserahkan kepada pihak polis. Bagaimanapun butirannya tidak didedahkan kepada mahkamah.
Vanezis dilantik oleh SPRM sebagai pakar bebas semasa mayat Beng Hock dibedah siasat untuk kali kedua oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Noor pada 22 November tahun lalu.
Dalam keterangannya semalam beliau mengesahkan tiada kesan cekikan pada leher Beng Hock selain kematian lelaki itu berpunca daripada kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Vanezis turut berpendapat Beng Hock berada dalam keadaan sedar semasa jatuh serta kakinya mencecah lantai dahulu semasa terhempas berdasarkan kecederaan yang dialami.
Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock dan Kerajaan Negeri Selangor, Gobind Singh Deo dan Malik Imtiaz Sarwar, beliau hari ini mengekalkan kenyataan yang sama.
Dalam keterangannya, Vanezis berpendapat bintik-bintik merah pada bebola mata akan kekal dan boleh dilihat sekiranya Beng Hock mengalami sesak nafas atau lemas akibat dicekik kerana mayatnya dalam keadaan baik selepas diawet.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan Shahidan sebelum ini bahawa tanda-tanda tersebut tidak kelihatan mungkin kerana bedah siasat kedua dijalankan hanya selepas empat bulan mangsa meninggal dunia.
Pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini berpendapat 80 peratus kecenderungan Beng Hock mati akibat perbuatan jenayah selain menemui kesan cekik pada leher mangsa.
Beng Hock yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM di bangunan yang sama.
Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung pada 20 Mei ini.
Sementara itu Bernama melaporkan, Vanezis semasa ditemui di luar mahkamah berkata, beliau hanya menerima satu panggilan telefon berupa ugutan sejak 35 tahun lepas dan ia mempunyai kaitan dengan satu kes di United Kingdom.
''E-mel itu bertujuan menakut-nakutkan saya sehingga ia boleh menjejaskan keterangan saya hari ini. Tetapi sebagai seorang yang profesional, saya tidak boleh ditakutkan oleh e-mel seumpama itu.
''Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan,'' kata profesor British itu yang tidak asing di negara ini.
Vanezis berkata, beliau telah beberapa kali ke negara ini untuk mengendalikan pemeriksaan luar bagi sains forensik di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dua lagi fakulti perubatan.
Menurutnya, ancaman melalui e-mel itu tidak akan melemahkan semangatnya dan bersedia untuk datang ke negara ini sekiranya kepakaran beliau diperlukan.

Manuel Noriega didakwa lagi



28/04/2010 2:30am

PARIS 27 April - Bekas pemimpin Panama, Manuel Noriega, 72, hari ini didakwa atas tuduhan melakukan pembersihan wang di sebuah mahkamah di Perancis setelah diekstradisi dari Amerika Syarikat.
Dakwaan tersebut membuka satu kes baru ke atas bekas orang kuat itu yang menghabiskan dua dekad dalam penjara di Florida atas kesalahan mengedar dadah.
Pihak berkuasa Perancis berkata, Noriega yang disingkirkan dalam satu penaklukan oleh AS pada 1989, terlibat dalam kegiatan pembersihan wang berjumlah AS$7 juta (RM22.5 juta) yang diperoleh melalui aktiviti jualan dadah dengan membeli apartmen mewah di sini.
Noriega disabitkan bersalah tanpa kehadirannya namun Perancis bersetuju untuk satu perbicaraan baru jika dia diekstradisi. - AP

Penari bogel mengaku jalin hubungan dengan Jesse



KANAN:Melissa Smith , Jesse James


LOS ANGELES 27 April - Seorang lagi wanita simpanan kepada suami Sandra Bullock, Jesse James, memohon maaf kepada aktres jelita itu semalam.
Penari bogel, Melissa Smith yang mendakwa menjalin hubungan sulit dengan usahawan motosikal itu selepas bertemu dalam talian melalui laman web sosial MySpace, menghantar salinan faks kepada pelakon wanita yang memenangi Oscar itu dengan menyatakan kesal atas penderitaan yang timbul.
Salinan dokumen itu yang diperolehi daripada laman web artis, TMZ, menyatakan Smith merasa perlu untuk menghubungi Bullock dan memberitahu betapa kesalnya dia atas apa yang berlaku.
"Saya tahu apa yang saya katakan dalam surat ini tidak akan melegakan kesakitan akibat tindakan saya. Saya menyesal kerana menyakiti anda. Tindakan saya menjalin hubungan dengan lelaki yang sudah berkahwin tidak dapat dimaafkan," kata Smith.
Smith turut berharap Bullock menghubunginya sama ada melalui telefon atau bertemu empat mata.
Dia bukanlah skandal pertama James yang memohon maaf kepada Bullock.
Model tatu, Michelle 'Bombshell' McGee, sebelum ini yang mendakwa telah menjalin hubungan sulit selama 11 bulan dengan James, turut memohon maaf, namun menegaskan suami Bullock patut dipersalahkan.
James kini berada dalam rawatan pemulihan kerana ketagihan seks didakwa mempunyai dua lagi hubungan sulit.
Bullock dan James berkahwin pada 2005 dan dikurniakan tiga anak, namun sumber menyatakan bahawa aktres berusia 45 tahun itu bersedia untuk bercerai, sebaik-baik suaminya keluar dari pusat pemulihan. - AGENSI