Search This Blog

Tuesday, April 27, 2010

Johor henti jual air dari loji Skudai pada Singapura tahun depan



27/04/2010 8:31pm

JOHOR BAHRU 27 April – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Johor akan menghentikan penjualan air mentah dari sebuah loji di sini kepada Singapura apabila perjanjian mengenainya tamat tahun depan.
Katanya, perjanjian itu melibatkan penjualan air dari Loji Skudai, di Johor Bahru, yang diuruskan oleh syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura.
"Sekarang ini di peringkat rundingan untuk pulangkan (Loji Skudai kepada kerajaan Johor),” katanya pada sidang media sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, hari ini.
Satu lagi perjanjian bekalan air di antara Johor dan Singapura akan hanya tamat pada 2061.
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim sebagaimana dipetik oleh media republik itu berkata, Singapura tidak akan memperbaharui kontrak air dengan Malaysia apabila perjanjian itu tamat tahun depan.
Berucap di Parlimen Singapura, katanya, republik itu mempunyai bekalan air yang mencukupi. – Bernama

Koc komuter khusus untuk penumpang wanita bermula esok



27/04/2010 9:43pm

KUALA LUMPUR 27 April – Buat pertama kali Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan koc komuter khusus bagi penumpang wanita bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang mulai esok.
Gerabak yang bertemakan “Wanita Sahaja Sepanjang Masa” boleh dikenal pasti menerusi pelekat berwarna merah jambu yang lekat pada tingkap dan pintu komuter.
Menurut KTMB, lokasi koc di platform dapat dikenal pasti melalui kain rentang yang dipasang pada platform serta tiang platform yang berwarna merah jambu.
"Namun penumpang wanita tidak diwajibkan menggunakan koc ini kerana mereka boleh memilih untuk menggunakan koc-koc biasa yang lain,” menurut kenyataan KTMB.
Statistik KTMB menunjukkan 60 peratus pengguna perkhidmatan komuter adalah terdiri daripada golongan wanita.
Kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama ibu atau keluarga wanita mereka juga dibenarkan menaiki koc merah jambu ini.
Koc untuk wanita diletakkan di bahagian tengah komuter, manakala koc di hadapan dan belakang merupakan koc biasa yang boleh digunakan bersama antara penumpang lelaki dan wanita.
Menurut KTMB, penyediaan koc khusus untuk wanita adalah bertujuan memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual atau terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. – Bernama

Tiada bukti: Siasatan dakwaan Tee Keat terima RM10j ditutup?



27/04/2010 8:02pm

PUTRAJAYA 27 April – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap beliau kerana didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn. Bhd., Datuk Seri Tiong King Sing, telah ditutup dan tiada siasatan lanjut.
Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM dalam surat yang diterimanya pada 22 April lalu yang menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan berkenaan.
"Kes ini saya dimaklumkan bahawa ia telah tamat siasatan dan tidak akan dilanjutkan siasatannya. Tiada sebarang bukti yang membuktikan tuduhan-tuduhan liar itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Red Means Stop" anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya bersama Sun Media Corporation Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Tahun lepas, SPRM memanggil Tee Keat untuk disoal siasat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan kononnya beliau menerima RM10 juta daripada King Sing untuk aktiviti MCA.
Ketika itu, Tee Keat adalah Presiden MCA, manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ.
"Kini telahpun jelas senario sebenarnya, walaupun jawapan ini saya terima agak lewat sedangkan saya sedia maklum kes ini telahpun tamat siasatannya agak awal sebelum ini.
"Tanpa atas apa sebab, saya baru dapat maklum balas atau jawapan pada 22 April lalu,” katanya. – Bernama

Kes kesalahan tidak patuhi lampu isyarat naik mendadak



27/04/2010 7:58pm

PUTRAJAYA 27 April – Kes kesalahan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat naik mendadak apabila 4,749 kes dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 4,452 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, adalah dipercayai lebih ramai lagi pemandu melakukan kesalahan tersebut terutama pada tengah malam tanpa dapat dikesan.
"Namun menerusi pengenalan sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang akan dilancarkan mulai Oktober ini, kes ini dijangka dapat dikurangkan.
"AES akan melakukan penguatkuasaan sepanjang hari, jadi pemandu yang melanggar peraturan lampu isyarat pada waktu tengah malam pun tidak akan terlepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya “Merah Makna Berhenti” anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Sun Media Corporation Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Menerusi kempen itu, sebanyak 300,000 pelekat akan diedarkan kepada orang ramai sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya agar tidak melanggar peraturan lampu isyarat. – Bernama

Wanita didakwa milik pistol

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan iaitu memiliki pistol dan memiliki tujuh peluru, dua minggu lalu.
Tertuduh, Teo Pei Sze, 33, bagaimanapun, mengaku tidak salah dan minta dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.

Tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mengedar dadah jenis methampetamine anggaran berat 191.8 gram di tempat dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh digantung sampai mati.

Perketat pilih pekerja keselamatan

KUALA LUMPUR: Saringan bagi pemilihan kontrak syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan di sekolah perlu diperketatkan dan pengetua serta guru di sekolah perlu lebih prihatin dalam hal ini
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata semua pihak perlu bersama menjaga keselamatan termasuk pelajar dengan kembali kepada konsep Keselamatan, Kebersihan dan Kesihatan (3K) yang diterap di setiap sekolah sebelum ini.

“Jika saringan diadakan dan mendapati ada pekerja keselamatan yang mempunyai rekod jenayah, mereka seharusnya dari awal lagi menolak permohonan pekerja atau agensi terbabit,” katanya mengulas kejadian murid perempuan berusia tujuh tahun mendakwa dicabul pengawal keselamatan sekolahnya dalam tandas.

Pakar forensik British dakwa dapat ugutan

SHAH ALAM: Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis membuat laporan polis malam tadi selepas menerima emel ugutan berikutan keterangannya dalam inkues kes kematian Teoh Beng Hock.
Ugutan terhadap Dr Vanezis juga dilaporkan oleh ketua pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa kepada inkues yang disambung hari ini.
Abdul Razak berkata, emel itu "menakutkan dan mengancam keselamatan" pakar British itu yang memberi keterangan untuk kali pertama semalam.

Dr Vanezis tidak senang dengan emel ancaman terhadap beliau dan keluarganya itu, kata Abdul Razak. Laporan polis dibuat di balai polis Seksyen 11 Shah Alam pada jam 11 malam.

Dr Vanezis, yang dilantik SPRM dan pakar patalogi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lalu.

Semalam, beliau memberitahu inkues bahawa Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dan beliau tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Teoh dicekik sebelum kematiannya.

Dr Vanezis, hari ini dijadual disoal balas oleh peguambela Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh.

Pada 17 Julai tahun lalu, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu yang terletak di bangunan yang sama, berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.-Bernama

Penjual durian diperintah bela diri pertuduhan bunuh

PULAU PINANG: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang penjual durian membela diri terhadap pertuduhan membunuh seorang lelaki lima tahun lalu.
Hakim Datuk Zaki Mohd Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Eddy Ch'ng Hing Hong.
Ch'ng, 32, dari Taman Desa Baru Gelugor di sini dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Tang Kong Wai, 24, di Jalan Lebuh Pekaka Satu di depan Restoran Wah Li di Sungai Nibong pada 13 Jun 2005. Dia didakwa menikam Tang dengan sebilah piasu pada kira-kira jam 9.50 malam selepas berlaku perselisihan faham.

Mahkamah menetapkan 27 Mei untuk Ch'ng membela diri.

Ch'ng diwakili peguam Harpal Singh manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar. -Bernama

Mayat dua beradik terjatuh ke dalam Sungai Muar ditemui



27/04/2010 8:11pm

MUAR – Polis hari ini menemui mayat pasangan adik-beradik yang terjatuh ke dalam Sungai Muar semasa menunggang motosikal berhampiran jeti Parit Bunga di sini semalam.
Mayat Mohd. Fadli Razak, 15, dijumpai terapung-apung berhampiran Pengkalan Tiram di sini pada pukul 11.55 pagi, manakala mayat adiknya, Mohd. Syafiq, 11, ditemui pada pukul 5 petang tidak jauh dari tempat kejadian.
Ketua Polis Marin Muar, ASP Lajis Tahir berkata, kedua-dua mereka dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira 1 petang.
"Kemalangan berlaku semasa Mohd. Fadli membawa adiknya pulang dari sekolah,” katanya.
Mohd. Fadli sudah tidak bersekolah sementara Mohd. Syafiq adalah murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Parit Bunga.
Motosikal mangsa belum ditemui. – Bernama

Polis tembak mati pelajar selepas kejar-mengejar




Keadaan kereta dipandu Aminulrashid yang mati ditembak di Shah Alam.


SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki disyaki penyamun mati ditembak selepas kereta dipandu suspek itu didakwa cuba merempuh anggota polis peronda di Jalan 11/2G, Seksyen 11 di sini semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, dua kereta peronda polis bersama empat anggota dikatakan bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dinaiki dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tarian 11/2 di sini.
"Anggota polis meminta pemandu kereta itu berhenti namun kereta itu dipecut laju menyebabkan polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta tersebut.
"Kereta itu kemudian terbabas di bahu jalan di Jalan Makyong," kata beliau di sini semalam.
Menurut Khalid, seorang daripada lelaki itu dapat keluar dari kereta dan melarikan diri menyebabkan dua anggota polis mengejar lelaki itu.
Dua lagi anggota polis yang cuba memeriksa keadaan kereta itu terkejut apabila mendapati kereta tersebut mengundur dan cuba melanggar polis.
"Salah seorang anggota polis yang cuba mempertahankan diri telah melepaskan tembakan mengenai pemandunya.
"Pemandu kereta itu, Aminulrashid Amzah, 15, mati terkena tembakan," kata beliau.

Pengarah JKR Kelantan maut




DUA remaja melihat SUV yang dinaiki Zulkifli remuk setelah terlibat dalam kemalangan di Jeli semalam.


JELI - Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan terbunuh manakala tiga yang lain cedera ringan apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Hyundai yang dinaiki mereka dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 98, jalan Kota Bharu-Machang-Grik, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, Datuk Zulkifli Ahmad, 56, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas terpelanting dari kenderaan terbabit.
Sementara itu, tiga yang lain iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bisnes), Datuk Ir. Mohamad Hussin, Pengarah Projek Jalan, Wan Muhammad Husni Abdullah dan pemandunya, Mohd. Sharif @ Abdul Rahman Ismail mengalami kecederaan.
Ketiga-tiga mangsa y dikejarkan ke Hospital Jeli (HJ) untuk menerima rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tiga yang lain dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas makan tengah hari di sebuah kedai berhampiran dengan stesen minyak Shell dekat Jeli.
Beliau berkata, ketika pemandunya membuat pusingan U untuk pulang ke Kota Bharu, sebuah treler yang datang dari arah Tanah Merah tiba-tiba merempuh bahagian kanan kenderaan yang dinaiki mangsa.

Tembok pemisah Israel cacatkan Baitulmaqdis



Remaja Palestin, Murad Obeidi sanggup merangkak menerusi terowong bawah tanah yang gelap di bawah tembok pemisah Israel semata-mata untuk mendapatkan bola. 

Israel mendakwa membina tembok pemisah itu, yang merentasi utara Baitulmaqdis, untuk menghalang serangan maut di pihak Palestin. 

Namun, tembok pemisah setinggi lapan meter itu masih gagal menghalang bola yang disepak melepasinya. 

Sebelum ini, Murad, 21, dan rakan-rakannya menggunakan terowong di bawah tembok tersebut untuk mendapatkan bola yang terlepas. 

Tembok itu kini ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan Israel. 

Murad mengaku sering berasa bimbang mengenai kemungkinan ditembak olah askar rejim. 

"Mereka akan tuduh saya cuba melancarkan serangan pengganas. Kadang-kadang mereka menggunakan gas pemedih mata apabila kami berada dalam terowong tersebut," kata Murad. 

"Tetapi kami juga pernah berjaya membawa balik bola yang terlepas. Sekarang semua itu tidak mungkin terjadi lagi," katanya. 

Status Murad sama seperti penduduk lain di Anata dalam Tebing Barat yang didiami kalangan golongan pertengahan Palestin. 

Walaupun memiliki kad pengenalan yang mengiktiraf dirinya sebagai penduduk di situ, tetapi ia tidak lagi sah di sebelah tembok pemisah di Tebing Barat. 

"Saya memegang kad pengenalan Baitulmaqdis, tetapi saya tidak dapat pergi menghampiri tembok itu kerana askar rejim akan menangkap dan menyoal siasat saya. Itu pun jika mereka tidak menembak saya," katanya. 

Israel kini sudah melengkapkan sebahagian daripada tembok pemisah sepanjang 709 kilometer yang mula dibina pada 2002 ketika penduduk Palestin melancarkan intifada terakhir. 

Apabila siap sepenuhnya, 85 peratus tembok itu akan dibina di dalam kawasan Tebing Barat yang ditawan Israel semasa Perang Enam Hari 1967. 

Tebing Barat adalah antara wilayah yang dituntut penduduk Palestin sebagai sebahagian daripada negara Palestin merdeka. 

Kebanyakan tembok pemisah dilengkapkan dengan benteng berkawat dan terletak berhampiran laluan askar. 

Namun, sesetengah tembok pemisah di Baitulmaqdis dibina di celah-celah blok pangsapuri sesak dan memisahkan beberapa kawasan kejiranan kepada dua bahagian. 

Di Anata, tembok pemisah yang dibina merentasi sebuah stadium. Masalah itu menyebabkan ketua pasukan kelab bola sepak di situ, Musa Khalil mengingatkan pelamin-pemainnya supaya tidak menyepak bola terlalu tinggi. 

"Tembok yang dibina Israel memisahkan stadium kepada dua bahagian dan kami menggunakan bahagian yang ditinggalkan di sebelah kami," katanya. 

Sepanjang tahun lalu, kelab Musa sudah kehilangan 30 bola yang disepak melepasi tembok pemisah. 

Pada bulan lalu, pemain-pemainnya secara tidak sengaja melepaskan 15 bola dalam perlawanan bola sepak. 

Selepas perang 1967, Israel menawan Anata, termasuk Baitulmaqdis Timur dalam gerakan ketenteraan yang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa. 

Palestin menuntut Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara mereka pada masa akan datang. 

Status mengenai ibu kota itu menjadi isu yang paling sukar ditangani dalam proses damai Timur Tengah sejak ia dimulakan pada awal 1990-an. 

Kini, kawasan kejiranan Murad hanya menggambarkan kecacatan ibu kota itu berikutan kegagalan proses damai sejak lebih 20 tahun lalu. 

Walaupun menghadapi tekanan Amerika Syarikat (AS), Tel Aviv terus mencetuskan kemarahan Palestin apabila melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada penghujung 2008. 

Terdapat kira-kira 12,000 penduduk tinggal di Kejiranan Keamanan. 

Kebanyakan penduduk di situ memiliki kad pengenalan Baitulmaqdis yang diberikan kepada majoriti penduduk Arab Palestin yang menolak kerakyatan Israel selepas perang 1967. 

"Kami memanggil kawasan ini sebagai Kejiranan Keamanan kerana kami fikir perdamaian sudah ada dalam genggaman. Tetapi, apa yang kami dapat adalah tembok pemisah," kata penduduk tempatan, Musa al-Qasrawi. 

Musa, 58, adalah pemegang kad pengenalan Tebing Barat, tetapi dilarang memasuki Baitulmaqdis jika dia tidak mendapatkan permit khas. 

Sebaliknya, semua ahli keluarganya mempunyai kad pengenalan Baitulmaqdis. 

"Mereka dapat pergi ke Baitulmaqdis, tetapi saya tidak boleh. Rumah kami dipisahkan kepada dua bahagian," katanya.

Jangan cuba sogok penjawat awam: SPRM



PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada orang ramai agar menjauhi amalan menyogok penjawat awam. 

Sekiranya tertangkap, hukuman berat pasti menanti, termasuk penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. 

“Kesalahan menawarkan rasuah adalah kesalahan yang sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed di majlis perasmian kempen 'Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah' di sini, semalam. 

Katanya, penjawat awam kini berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan ke atas pemberi rasuah. 

"Berasaskan perangkaan SPRM, bagi tempoh sepuluh tahun iaitu 2000 hingga 2009, 866 orang ditangkap atas kesalahan cuba menyogok penjawat awam. 

“Secara purata, 87 orang ditangkap setiap tahun atas jenayah ini dan daripada jumlah 866 tangkapan itu, hampir 90 peratus melibatkan cubaan menyogok anggota penguat kuasa pelbagai agensi," katanya. 

Katanya, pada suku pertama tahun ini sahaja, 40 orang awam ditahan atas kesalahan menyogok pegawai awam. 

“Selaras dengan perkembangan ini, SPRM akan melaksanakan kempen perangi pemberi rasuah secara besar-besaran bagi menangkap pemberi-pemberi rasuah yang cuba menawarkan suapan rasuah kepada penjawat awam,” katanya. 

Kassim juga berkata, kes-kes rasuah yang melibatkan penjawat awam didapati semakin menurun sejak tiga tahun lalu. 

“Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa tahap integriti serta kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan menerima rasuah semakin meningkat. 

"Pada tahun 2007, daripada sejumlah 591 orang yang ditangkap atas kesalahan rasuah, 303 atau 51 peratus adalah penjawat awam," katanya. 

Bagaimanapun, katanya, terdapat penurunan dalam perangkaan tangkapan ke atas penjawat awam pada tahun 2008 di mana hanya 282 orang atau 47 peratus ditangkap. - Bernama

Lelaki mati ditetak




SUNGAI LIDIN – Mayat seorang lelaki ditemui terbaring dalam longkang di tepi jalan raya di Kampung Sungai Lidin, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira jam 7 malam kelmarin. 

Menurutnya, mangsa adalah A Selvam berusia 38 tahun tinggal di Taiping, disyaki dibunuh dan terdapat beberapa kesan luka di badan khususnya di bahagian dada. 

“Sebuah motosikal Yamaha Lagenda dipercayai dinaiki mangsa juga ditemui di jalan itu dalam keadaan kemek seperti bekas kemalangan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini, semalam. 

Beliau berkata, di bahagian dada mangsa terdapat dua kesan tetakan dan kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat di bawah Seksyen 302. 

Katanya, sebelum ini mangsa pernah terlibat dalam kes dadah dan ditangkap kerana memiliki dadah di bawah Akta Dadah Merbahaya 39B. 

“Sekarang kes mangsa masih di peringkat mahkamah malah mangsa dituduh di bawah seksyen 39 A (1) dan masih dalam perbicaraan,” katanya. 

Yusuf berkata, kes ini masih disiasat dan saksi kejadian diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan polis. 

Sebarang maklumat boleh disampaikan dengan menghubungi 05-8080222 atau membuat laporan di balai polis berhampiran.

Ragut RM5, gadis tol parah



JITRA - Dia dihimpit peragut hingga jatuh motosikal dan patah kaki. Hasil yang mereka dapat daripada perbuatan kejam itu hanya RM5. 

Tanpa sedikit pun rasa simpati, mangsa, Nurul Suhaila Abdul Wahab, 19, kemudiannya ditinggalkan mengerang kesakitan seorang diri dalam keadaan gelap gelita kira-kira jam 5.30 pagi Khamis lalu berhampiran Taman Tema Tasik Bandar Darulaman di sini. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, :Superintendan Sawaluddin Hamenudin berkata, gadis malang berasal dari Kuala Nerang itu, diragut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Plaza Tol Jitra. 

“Dia bekerja sebagai jurul tol, tinggal bersama abangnya di Taman Tunku Sarina. Mangsa melalui jalan itu setiap hari untuk ke tempat kerja. Awal pagi itu, dia diekori dua lelaki bermotosikal yang menghimpit motosikalnya hingga terjatuh di tepi jalan.

“Dalam keadaan dia mengerang kesakitan, mereka membuka tempat barang motosikalnya dan melarikan beg yang berisi RM5, telefon bimbit dan dokumen peribadi,” katanya.

Akibat kejadian itu, kata Sawaluddin, mangsa mengalami kecederaan serius patah kaki kanan akibat dihempap motosikal. 

“Perbuatan mereka sangat kejam. Mangsa ditinggalkan kesakitan dalam keadaan gelap di tepi jalan,” katanya.

Sawaluddin berkata, Nurul Suhaila bagaimanapun bernasib baik kerana tidak lama selepas itu, sepasang suami isteri yang kebetulan melalui tempat kejadian, membantunya menghubungi ambulans.

“Dia kini masih dirawat di hospital,” katanya.

Padah jamu selera di luar restoran



BANDAR BUKIT TINGGI - Bukan tidak pernah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi sikap degil pengusaha meletakkan meja di luar restoran ternyata mengundang bahaya kepada pengunjung. 

Kejadian malam kelmarin di sebuah restoran di Lorong Batu Nilam 3C, di sini perlu diambil iktibar oleh pengusaha lain. 

Itulah yang berlaku kepada seorang disco jockey (dj) yang sedang minum bersama rakan-rakannya di deretan meja yang diletakkan di atas tempat letak kereta di luar restoran. 

Akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa, Alan Lee Khoon, 45, terperosok pada tangga restoran dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian. 

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang (IPD), Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah malam itu, suspek yang turut minum di restoran yang sama dikatakan hendak pulang ke rumah. 

“Ketika menghidupkan kenderaan, pemandu tersebut terkejut apabila sebuah kereta melintas di depannya lalu tertekan pedal minyak.

“Keretanya terus meluru ke arah deretan kira-kira 10 meja yang mempunyai beberapa pelanggan restoran dan mangsa dari arah belakang menyebabkannya terseret beberapa meter dan akhirnya terperosok pada tangga restoran itu,” katanya pada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata, hentakan yang kuat oleh kereta dan tangga itu mengakibatkan mangsa cedera parah pada rusuk kiri dan kanan serta pinggulnya termasuk parah pada beberapa bahagian lain. 

“Dua lagi mangsa yang berada bersebelahan meja mangsa turut cedera di kaki. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya. 

Menurutnya, setakat ini semua saksi dan keluarga kedua-dua belah pihak sudah membuat laporan polis. 

“Kita akan melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya. 

Kejadian sama pernah berlaku sebelum ini di Petaling Jaya apabila seorang pengunjung maut dan beberapa lagi cedera apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dalam keadaan mabuk terbabas lalu merempuh pengunjung yang sedang makan di luar restoran.

Nyawa 31 penduduk hampir melayang




JENGKA BATU 13 - “Seluruh badan berdiri ketar apabila melihat kepulan asap tebal berwarna hitam gelap berpusing-pusing bergerak pantas, namun belum sempat menghabiskan laungan azan, sebatang kayu menghempap bahu yang menyebabkan saya rebah.” 

Demikian kata seorang penduduk Kampung Kelit, Anuardi Suhor, 42, ketika menceritakan detik cemas kejadian ribut yang hampir meragut nyawa 31 penduduk termasuk beliau tujuh beranak, jam 6 petang, kelmarin. 

Anuardi berkata, dia yang sedang membaiki kerosakan motosikal di luar rumah tidak mengesyaki sebarang bencana buruk bakal berlaku walaupun hujan lebat dan angin kuat. 

Menurutnya, sangkaan itu melesat apabila terlihat segumpal asap berwarna putih yang kemudian bertukar ke hitam gelap berpusing-pusing pantas, kira-kira 200 meter di hadapannya. 

“Saya terkejut, satu badan rasa ketar dan bingkas berlari ke dalam rumah mendapatkan isteri dan anak-anak yang sedia berkumpul di ruang tamu. 

“Saya pergi ke bahagian dapur untuk melaungkan azan tetapi belum sempat menghabiskannya, kedengaran bunyi hentaman kuat dan atap zink yang berada di atas kedudukan saya diterbangkan ribut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Anuardi berkata, dia tersentak dan rebah ke lantai apabila sebatang kayu bumbung tercabut dari kedudukan asal lalu jatuh terkena di bahunya. 

Isterinya, Normah Abdullah, 36, yang juga dalam pantang selepas bersalin 26 hari lalu, tidak dapat melakukan apa-apa, di samping berdoa memohon perlindungan Allah SWT ketika ribut melanda rumah mereka. 

Katanya, sebelum kejadian, dia bersama tiga anak lain berada di bilik tidur bagi mengalihkan rak pakaian supaya tidak terkena tempias hujan lebat yang tidak seperti kebiasaan. 

“Semuanya berlaku dengan pantas, saya rasa tidak sampai 10 saat, berpuluh atap zink rumah ini diterbangkan ribut, kira-kira 100 meter malah ada yang tersangkut di dahan pokok durian. 

“Ini kejadian ribut pertama berlaku sepanjang lebih 30 tahun menetap di sini dan saya bersyukur kami sekeluarga selamat walaupun suami cedera ringan di bahu,” katanya. 

Seorang mangsa, Mohd Suhor Abdullah, 53, berkata, dia yang tinggal sendirian berada di dalam rumah ketika kejadian, terkejut apabila melihat beberapa batang pokok di luar rumah bergoyang kencang. 

“Saya tidak berbuat apa-apa dan hanya mendiamkan diri sebelum satu persatu atap zink rumah saya diterbangkan angin,” katanya. 

Mangsa, Che Mat Awang, 70, berkata, bunyi atap zink rumahnya di bahagian hadapan yang tercabut akibat angin kuat mengejutkan dia dan lima beranak yang sedang berehat di ruang tamu. 

Menurutnya, ribut itu membuka ruang luas bahagian atas bilik mandi dan tandas rumahnya selain beberapa kerosakan lain. 

Puteri Sweden putus tunang

2010/04/27

STOCKHOLM: Anak bongsu raja Sweden, Puteri Madeleine, memutuskan pertunangannya dengan peguam, Jonas Bergstrom, selepas media melaporkan hubungannya dengan atlit wanita Norway yang juga pelajar seni foto di Universiti Kolej Seni Bournemouth.

Dalam kenyataan dikeluarkan istana semalam, perpisahan Madeleine itu dibuat demi kebaikan semua pihak.

Istana juga meminta media tidak mengganggu Madeleine dan Bergstrom.


“Mereka perlukan ketenangan dalam situasi rumit kini. Laporan berlebihan tidak membantu mana-mana pihak,” kata kenyataan ringkas itu.


Madeleine, 27, dan Bergstrom, 31, mengumumkan pertunangan Ogos tahun lalu tetapi tiada tarikh perkahwinan ditetapkan.


Walaupun alasan perpisahan tidak dinyatakan, majalah Se og Hoer menyiarkan temu bual dengan pemain bola baling, Tora Uppstroem Berg, yang mengaku bermalam bersama Bergstrom di pusat percutian ski terkenal Sweden tahun lalu.


Tora, 21, turut menceritakan bagaimana dia menjalin hubungan intim dengan Bergstrom pada pertemuan itu.


“Dia mengikut saya pulang menaiki teksi pada jam 4 pagi. Dia benar-benar baik dan lemah lembut sepanjang malam,” katanya.


Menurut Tora, Bergstrom merahsiakan identitinya ketika itu.

“Jika saya tahu dia tunang orang, pasti saya tidak melakukan apa-apa dengannya.


“Saya bersimpati kepada Madeleine yang mendapat teman lelaki curang. Dia berhak berpasangan dengan lelaki lebih baik,” katanya.


Jadual istana menunjukkan, Madeleine akan menghabiskan beberapa minggu untuk tugasan amal dengan Yayasan Kanak-Kanak Sedunia di Amerika Syarikat. - Agensi

Siasat segera rasuah seks: Presiden

2010/04/27

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak, semalam menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan seorang ahli perniagaan yang menawarkan rasuah seks kepada 100 pendakwa mahkamah untuk kepentingan peribadinya.

Menurut Lee, perkhidmatan perundangan negara itu akan kembali dipercayai apabila ‘budaya dalaman’ ditukar.

“Semua pihak patut sedar betapa seriusnya masalah ini,” katanya.

Dalam program disiar stesen televisyen MBC minggu lalu, seorang pemilik syarikat binaan di Busan mendakwa merasuah kira-kira 100 pendakwa dengan menawarkan pelacur sejak 1984.

Dikenali hanya sebagai Jeong, 51, dia turut mendedahkan senarai 57 nama pendakwa dan nombor telefon selular mereka. - AFP

Ditembak mati kerana langgar wanita hamil




2010/04/27
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RIO DE JANEIRO: Seorang suri rumah yang menyambut hari jadinya yang ke-24 dibunuh dengan kejam selepas dia melanggar seorang wanita hamil dan anaknya ketika memandu dalam keadan mabuk, semalam.
Pamela de Souza Costa ditembak lima kali selepas ditangkap oleh penduduk di bandar Macae, 160 kilometer ke timur laut, sejurus selepas kemalangan itu.

Wanita yang dilanggarnya, Silmara Rodrigues, cedera parah sementara anak yang dikandungnya gugur.

Kakinya juga mungkin terpaksa dipotong.

Anak perempuannya, Rodrigues yang berusia lapan tahun pula terbunuh.
Menurut laporan, Costa memandu pulang selepas minum arak pada majlis ulang tahun kelahirannnya apabila dia melanggar Pamela dan anaknya.

Dia cuba melarikan diri selepas itu tetapi tidak berjaya.

Sekumpulan penduduk yang berang menariknya keluar dari kereta sebelum seorang daripada mereka melepaskan tembakan beberapa kali dan kemudian melarikan diri. - AP

Kereta mewah raja dadah dirampas



LONDON: Dua kereta Bugatti Veyron adalah antara kereta mewah bernilai 4 juta paun (RM20 juta) yang dirampas polis malam tadi selepas dirampas daripada seorang raja penjenayah.
Polis menemui wang tunai berjumlah kira-kira £750,000 (RM3.7 juta) dalam kereta itu yang dirampas di beberapa tempat di Britain dan Switzerland.

Turut ditahan ialah empat Ferrari, dua daripadanya Enzo yang bernilai 800,000 paun (RM4 juta) , tiga Rolls Royce dan dua Porsche.

Setiap satu kereta Veyron itu berharga £750,000 (RM3.7 juta) .

Raja dadah, Alexander Surin, 44, ditahan sebelum itu dan akan didakwa di Perancis selepas diekstradisi dari Sepanyol.
Dia dipercayai menyembunyikan kereta mewah itu dan memandu kereta murah bagi mengelak perhatian.

Kunci kenderaan itu ditemui dalam serbuan terhadap beberapa rumah di London dan kawasan Midland.

Sebuah kereta Rolls Royce jenis Phantom berharga 150,000 paun (RM738,000) yang diletakkan di Lapangan Terbang Stansted di Essex ditemui dengan menekan alat kawalan jauh sehingga kunci kereta sebelah kanannya terbuka.

Seorang jurucakap Agensi Jenayah Terancang mengesahkan: “Kami menahan beberapa hartanah dan kereta mewah dalam siasatan terhadap Surin.” - Agensi

Terbabas rempuh sekatan





2010/04/27

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa Mat Rempit memecut motosikalnya merempuh sekatan jalan yang dilakukan pihak berkuasa mengundang padah apabila gagal mengawal motosikal dan terbabas sebelum ditahan dalam operasi cegah samseng jalanan, malam kelmarin.
Sesi pertama operasi berkenaan bermula kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan di Lebuhraya Duta Ulu Klang (Duke) berhampiran susur keluar ke Kampung Padang Balang, Gombak, dekat sini. Ketua Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superitendan Azmi Wahid, berkata dalam operasi berkenaan beberapa Mat Rempit cuba meloloskan diri sebaik menyedari sekatan.
“Namun tindakan mereka menunggang motosikal melawan arus memerangkap mereka apabila diberkas anggota U3K berpakaian biasa yang berada di beberapa lokasi strategik.

“Operasi diteruskan ke Dataran Merdeka dan ratusan Mat Rempit tidak sempat berbuat apa-apa sebaik anggota U3K bergegas mengepung lokasi berkenaan,” katanya.

Bunuh lelaki depan bank



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/04/27TERBUJUR KAKU...anggota polis Unit Forensik memeriksa mayat Chui di tempat kejadian, semalam.




TEm.
TERBUJUR KAKU...anggota polis Unit Forensik memeriksa mayat 
Chui di tempat kejadian, semalam.
KUALA LUMPUR: Tanpa menghiraukan kelibat puluhan anggota
 polis  yang sibuk menjalankan tugas, lebih 10 pelanggan kedai kopi
 berasa  tidak terganggu dan masih berselera menjamu selera walaupun
 disajikan  ‘pemandangan’ mayat seorang lelaki terbujur berlumuran
darah hanya kira-kira lima meter dari meja makan.

Difahamkan, lelaki berusia awal 30-an berkenaan sebelum itu
 diserang  dua perompak dipercayai anggota geng curi kenderaan
mewah yang  menikam mangsa sebelum melarikan kenderaan
 pacuan empat roda Mitsubishi Triton.
Dalam kejadian itu, mangsa ditikam penjenayah di paha kanannya
selain turut dipukul menyebabkan kecederaan serius pada tulang
rusuk yang dipercayai menjadi punca kematiannya di tempat
kejadian.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata,
 hasil siasatan, mangsa sebelum itu berada dalam kenderaan
pacuan empat roda miliknya di hadapan sebuah bank di Jalan
 Ipoh di sini.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa
 dipercayai dihampiri dua lelaki yang cuba untuk merampas
 kenderaan mangsa sebelum berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun, suspek yang bersenjatakan pisau menikam
 kaki mangsa sebelum mencampakkan mangsa keluar dari
 kenderaan.

“Kejadian itu menyebabkan tulang rusuk mangsa patah,
sekali gus mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.
 Malah, kesan tikaman terbabit turut mengakibatkan
pendarahan serius pada kaki mangsa,” katanya ketika
 ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, polis menemui sarung
pisau dipercayai milik penjenayah sepanjang enam inci
selain dompet mangsa tidak jauh dari tubuh mangsa.

“Bagaimanapun, telefon bimbit dan kenderaan mangsa
 hilang dipercayai dilarikan penjenayah sejurus selepas
 kejadian serangan di tepi jalan terbabit.

“Berdasarkan MyKad ditemui, mangsa dikenal pasti
sebagai Chui Fook Lim, 32, berasal dari Alor Setar,
Kedah. Setakat ini polis mengenal pasti identiti lain
mangsa serta motif dia berada di tempat kejadian
 ketika awal pagi itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa sebelum ini pernah mempunyai
 rekod jenayah mengikut Langkah-Langkah Pencegahan
 Khas (LLPK) berhubung kes dadah.

“Oleh itu polis juga menyiasat kes terbabit dari pelbagai
sudut lain,” katanya.

Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman kamera
 litar tersembunyi (CCTV) dari bank berhampiran bagi
membolehkan siasatan lebih rapi dilakukan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur
 (HKL)  untuk bedah siasat.

Barang kes narkotik dilupus



MELAKA - Sebanyak 1,996 barang kes narkotik bernilai RM542,868 yang dirampas bagi tempoh 17 tahun sejak 1992 dimusnahkan di padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Ketua Polis Melaka, Senoir Asisten Komisioner I Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata, barang kes yang dimusnahkan itu dirampas di daerah Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah terdiri daripada heroin, ganja, ketamine, syabu dan ubat batuk.

Beliau berkata, kesemua barang kes itu dimusnahkan setelah perbicaraan di mahkamah selesai.

Mohd Rodwan berkata, sejak Januari lalu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka telah menahan 1,002 orang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Alat penggera selamatkan kedai emas daripada dirompak



KUALA LUMPUR - Cubaan enam lelaki merompak sebuah kedai emas di Taman Kinrara, Jalan Klang Lama gagal apabila seorang pekerja kedai itu menekan alat penggera keselamatan menyebabkan keenam-enam mereka lari lintang pukang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, enam lelaki yang memakai topi keledar dipercayai menghampiri kedai terbabit sebelum berpecah kepada dua kumpulan dengan tiga di dalam kedai manakala tiga lagi di luar kedai.

"Tiga lelaki itu yang bersenjatakan kapak dan tukul terus meluru ke dalam kedai dan menghentak cermin tempat pameran yang mengandungi pelbagai jenis barang kemas, namun ia tidak pecah.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu merakamkan perbuatan tiga lelaki di luar yang bertindak sebagai 'pengawal' dengan ada memegang pistol dan ada juga yang membawa tangga kecil bagi menghalang pintu kedai itu tertutup jika alat penggera dibunyikan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini
hari ini.

KPDNKK rampas 412 unit telefon bimbit



KUALA TERENGGANU - Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (BPKPDNKK) negeri Terengganu merampas 412 unit telefon bimbit pelbagai jenis bernilai kira-kira RM179,000 dalam satu operasi di sini malam tadi.

Timbalan Pengarah BPKPDNKK negeri, Ghani Harun berkata, rampasan dibuat dalam satu operasi melibatkan 20 anggota penguatkuasa di tapak ekspo Dataran Shah Bandar di sini selama tiga jam bermula 8 malam.

"Kita terima maklumat daripada orang awam yang menyatakan telefon bimbit yang dibeli di situ tidak boleh digunakan kerana rosak.

"Pengguna telah membuat aduan kepada pihak penjual, namun tidak diendahkan lalu mereka membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

BTS hentikan operasi LRT ekoran kelakuan Baju Merah



27/04/2010 1:40pm



BANGKOK 27 April – Sistem Transit Thailand (BTS) yang menjalankan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) udara menghentikan sementara perkhidmatan itu di semua stesen atas sebab-sebab keselamatan.
Perkara ini dilakukan selepas penyokong antikerajaan meletakkan tayar di stesen Chidlom kata penasihat BTS, Anat Arphaphirom sebentar tadi.
Para penyokong kumpulan Baju Merah itu juga turut memusingkan kamera litar tertutup di stesen berkenaan ke arah lain yang menyukarkan aspek keselamatan LRT diawasi.
“Untuk keselamatan pengguna, BTS terpaksa menghentikan operasi semua laluan hari ini,” katanya sambil menambah operasi komuter bawah tanah masih berjalan seperti biasa. – Utusan

Subjek pendidikan seks tidak akan diajar di sekolah



27/04/2010 2:30pm

KUALA LUMPUR 27 April – Mata pelajaran pendidikan seks tidak akan diajar di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Beliau berkata, ini kerana subjek tersebut yang lebih dikenali sebagai pendidikan kesihatan reproduktif telah dimasukkan dalam mata pelajaran pendidikan kesihatan dan subjek-subjek lain seperti biologi, sains, sains tambahan, pendidikan moral dan pendidikan Islam.
Justeru, katanya, kementerian dalam memantapkan pengajaran guru dalam subjek pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial telah membuat persedian untuk melatih guru-guru di sekolah menengah dan rendah menjadi Jurulatih Utama (JU) di peringkat kebangsaan dan mereka ini akan melatih guru-guru di peringkat negeri.
"Kursus JU berhasrat untuk memberi pendedahan tentang pelaksanaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dan mencari pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sesuai untuk diterjemahkan ke dalam P&P di dalam kelas seperti yang dihasratkan dalam kurikulum,” katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Sophia Brodi di Dewan Negara hari ini.
Doris Sophia ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan subjek pendidikan seks di dalam kurikulum sekolah dan kajian yang telah dijalankan berkenaan subjek tersebut dan bila ia akan dilaksanakan. – Bernama

Mencemar sungai perbuatan khianat – Isteri Perdana Menteri



27/04/2010 2:56pm

KUALA LUMPUR 27 April – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganggap perbuatan mencemar sungai sebagai perbuatan khianat terhadap amanah dan anugerah tuhan serta mencabuli hak generasi akan datang.
Ini kerana mereka yang melakukan pencemaran tersebut tidak sedikit pun mempunyai perasaan bertimbang rasa dan prihatin tentang masalah yang terpaksa ditanggung oleh orang lain akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu, katanya ketika melancarkan Kelab Briged Penyelamat Sungai kali ke-24 di Universiti Pertanian Malaysia dekat sini hari ini.
"Jika kita meluangkan sedikit masa untuk mengkaji fenomena alam yang sedang berlaku kini seperti penipisan ozon, pemanasan global dan sebagainya, kita akan mendapati bahawa ia berpunca dari sikap dan perbuatan manusia sendiri.
"Sebagai khalifah di muka bumi ini, manusia telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk memelihara dan menjaga kesejahteraan bumi berserta segala isi kandungannya,” kata Rosmah.
Beliau menyeru semua rakyat Malaysia supaya melaksanakan perubahan minda bagi menyemai sikap untuk lebih peka kepada keadaan alam sekitar. – Bernama

Operator kilang didakwa rompak beg tangan wanita mati lemas



27/04/2010 6:33pm

SHAH ALAM 27 April – Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini atas tuduhan merompak beg tangan seorang wanita, yang mati lemas selepas kereta yang dinaikinya terhumban dalam parit besar, minggu lepas.
Muhamad Marnizam Muhammad, 22, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.
Tertuduh didakwa merompak beg tangan milik P. Kanagapusanam, 34, yang mengandungi barangan peribadi bernilai RM250.
Muhamad Marnizam yang berasal dari Terengganu didakwa melakukan kesalahan itu di Simpang Tiga, Jalan Permai, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 9.45 pagi pada 19 April lepas.
Wan Mohd. Norisham menetapkan 5 Mei ini untuk memutuskan isu jaminan ke atas tertuduh sementara menunggu beberapa laporan berkaitan.
Akhbar sebelum ini melaporkan Kanagapusanam dan ibunya M. Kamalam, 56, mati lemas apabila kereta jenis Wira yang mereka naiki terhumban ke dalam parit besar sedalam tiga meter yang dipenuhi air selepas dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha.
Penunggang motosikal yang terbabit dilaporkan cedera parah. – Bernama

Jangan gelar dia penyamun, kata ibu remaja yang ditembak polis



27/04/2010 6:45pm

SHAH ALAM 27 – Norsiah Mohamad, ibu kepada Aminulrasyid Amzah, remaja yang ditembak mati awal pagi semalam ketika didakwa cuba melanggar beberapa anggota polis, meminta supaya Allahyarham anaknya tidak digelar penyamun atau penjenayah kerana beliau lebih mengenali siapa sebenarnya anaknya itu.
"Sebagai ibu yang melahirkan dan membesarkannya. Saya sangat terluka dan mohon supaya jangan gelarkan arwah anak saya sebegitu rupa. Tidak adil menuduh anak saya sebegitu tanpa pengesahan,” katanya kepada pemberita di rumahnya ketika dikunjungi Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hari ini.
Norsiah, 61, berkata, beliau tidak mengatakan anaknya itu sempurna, namun bagi dirinya, Aminulrasyid adalah seorang remaja yang aktif dalam pelbagai sukan, periang, mempunyai ramai kawan dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
"Saya tidak sangka sikapnya yang manja berlebih-lebihan dengan mencium dan memeluk saya saban hari sejak akhir-akhir ini menjadi kenangan yang ditinggalkannya. Malah dia beria-ria mahu membersihkan kubur arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2004 tetapi itu tidak kesampaian,” katanya.
Norsiah berkata, keluarganya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini malam tadi.
Aminulrasyid, 15, dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.
Menurut polis sebilah parang ditemui dalam kereta itu. – Bernama

Panel khas ditubuh siasat kes polis tembak mati remaja



27/04/2010 6:52pm

KAJANG 27 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu panel khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh polis, awal pagi Isnin di Seksyen 11, Shah Alam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel khas itu akan diketuai Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
Beliau berkata, siasatan tersebut akan meliputi semua aspek dan dijalankan secara telus tanpa sebarang fakta disembunyikan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
"Saya bukan sahaja sedih dan kesal malah terkejut dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kejadian ini membabitkan pelajar yang baru berusia 15 tahun justeru saya jamin siasatan dilakukan secara telus. Kita akan siasat semua aspek termasuk kewajaran tindakan polis melepaskan tembakan ketika itu.
"Saya jamin tiada apa-apa fakta akan disembunyikan dan pihak yang terbabit perlu bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati ada yang tidak kena dalam kes ini termasuk jika wujud faktor kecuaian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan menentukan siapa yang bersalah dalam insiden.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 Shah Alam. – Bernama

Dua pengedar dadah tidak serik dihukum




KUANTAN- Hukuman yang pernah dijalani di Penjara Simpang Renggam dan perintah tahanan terhad di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas ternyata tidak menginsafkan dua lelaki yang sanggup berdepan hukuman gantung sampai mati apabila terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. 

Kedegilan kedua-dua lelaki berumur 25 dan 28 tahun itu membawa padah apabila mereka diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini dan di sebuah rumah di Felda Purun, dekat Bera, kelmarin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, hasil serbuan pertama di Jalan Kuantan–Segamat kira-kira jam 1.15 petang Sabtu lalu, polis menahan sebuah kereta selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah stesen minyak. 

Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek berusia 25 tahun cuba melarikan diri, lalu berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan. 

“Polis tidak menemui apa-apa yang mencurigakan semasa pemeriksaan badan ke atas suspek. 

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan ke atas kereta Proton Saga yang digunakan lelaki itu, polis menemui 30 peket lut sinar berisi serbuk dan ketulan dipercayai heroin seberat 72.6 gram dan dianggarkan bernilai RM7,260,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam. 

Toon Khuan berkata, dadah itu ditemui disorok di tempat simpanan air dekat gear kereta. 

“Hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif ganja,” katanya. 

Sementara itu, dalam serbuan kedua di Felda Purun, polis menahan seorang lelaki bersama 26.5 gram heroin bernilai RM2,650 yang disorok di dalam poket belakang seluar yang dipakai. 

Toon Khuan berkata, lelaki berumur 28 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu juga didapati positif heroin. “Hasil pemeriksaan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah serta pernah menjalani hukuman. 

“Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya. 

Toon Khuan berkata, polis berjaya menahan 96 individu membabitkan 106 kes dadah di seluruh Pahang dalam tempoh tiga hari bermula 23 April lalu. 

"Daripada jumlah itu, dua ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, lima mengikut Seksyen 39A (1) ADB, 10 membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) ADB, dua di bawah Seksyen 6 akta sama dan 77 lagi kerana menagih dadah," katanya.

Anak melecur terkena sup di rumah pengasuh




KUALA LUMPUR - Luluh hati seorang bapa apabila melihat anak tunggal kesayangannya hampir kehilangan sembilan jari tangan akibat melecur teruk selepas dipercayai mencelup semangkuk sup panas yang dihidangkan pengasuhnya. 

Chua Chen Hui, 45, pemandu teksi dari Taman Desa, Cheras, dekat sini berkata, dia tidak menyangka panggilan telefon daripada pengasuh yang dikenali sebagai Madam Lim, 30-an, pada 18 April lalu membawa perkhabaran buruk yang menimpa anak lelakinya, Chua Wee Leong, 2. 

Difahamkan, keluarga kanak-kanak malang itu menggunakan khidmat pengasuh berkenaan sejak 8 Mac lalu selepas pengasuh pertama sejak anak itu berumur sebulan tidak meneruskan khidmatnya. 

Chen Hui berkata, dia dan isterinya terkilan dengan sikap pengasuh yang tinggal di Taman Tun Perak, Cheras kerana cuba merahsiakan kejadian sebenar. 

“Kami biasanya hanya mengambil Wee Leong dari rumah pengasuh pada setiap hujung minggu, jadi kami terkejut kerana hanya selepas dua hari anak saya mengalami kecederaan, barulah Madam Lim menelefon saya untuk memaklumkan kejadian itu. 

“Kami ke rumahnya untuk melihat keadaan Wee Leong keesokan harinya tetapi Madam Lim beria-ia berkata bahawa kecederaan anak saya tidak begitu serius,” katanya pada sidang media di pejabat Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Wisma MCA, di sini, semalam. 

Chen Hui berkata, wanita berkenaan juga menasihatkannya tidak membawa Wee Leong pulang kerana mahu memastikan luka pada tangannya tidak dijangkiti kuman. 

“Pada ketika itu, saya dan isteri hanya menurut arahannya kerana panik tetapi setelah dinasihatkan ahli keluarga, kami akhirnya membawa Wee Leong mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). 

“Kami amat terkejut apabila doktor memaklumkan sembilan jari dan sebahagian tapak tangan anak saya melecur tahap kedua sehingga terpaksa diwadkan di unit rawatan rapi (ICU) selama empat hari,” katanya 

Chen Hui berkata, dia juga diberitahu, sekiranya kecederaan anaknya lewat diberi rawatan, kemungkinan anaknya akan kehilangan sebahagian jarinya serta memerlukan tempoh tiga bulan untuk sembuh. 

“Kami membuat laporan polis terhadap Madam Lim kerana curiga mengenai kejadian sebenar dan kami juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. 

“Kami mendapat tahu Madam Lim membawa Wee Leong ke sebuah klinik swasta pada hari kejadian untuk menerima rawatan tetapi mendaftarkan anak saya menggunakan nama anaknya,” katanya. 

Madam Lim dibayar RM900 sebulan untuk menjaga Wee Leong.

Ugut pijak kepala tok imam




KAMPUNG KUALA KERIK- Seorang pembantu imam cedera ditumbuk jiran sekampungnya dalam kejadian di sini, lewat malam semalam.

Mangsa, Said Awang Kechik, 56, berkata, ketika itu, dia sedang berbual bersama dua rakannya di halaman rumah seorang daripada rakannya itu selepas pulang dari kenduri di sebuah rumah berhampiran.

“Tidak lama kami bersembang, datang seorang lelaki yang saya kenali, berusia 40-an terus menghambur kata-kata kesat kepada saya. Katanya, dia mahu pijak kepala tok imam (Said) sebelum menumbuk muka dan bahagian belakang saya bertalu selama kira-kira 10 minit,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Imam I di Masjid Kariah Kampung Betong, di sini.

Said berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakannya membawa masuk seorang ustaz dari luar kawasan itu untuk mengajar agama di masjid berkenaan.

“Dia mungkin tidak puas hati dengan tindakan saya itu atas sebab tertentu. Sebelum itu, memang ada bantahan daripada imam dan beberapa pegawai masjid lain apabila saya mengusulkan untuk bawa ustaz berkenaan mengajar di masjid kami.

“Berikutan itu, saya merujuk isu berkenaan kepada Pejabat Agama Daerah Sik dan dibenarkan. Bagaimanapun, kebenaran itu ditarik balik apabila ada pihak yang membantah,” katanya. 

Said berkata, beliau kemudian membawa perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah dan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkenaan, barulah ustaz itu bersetuju mengajar di Masjid Kampung Betong.

“Sepanjang sesi kuliah ustaz itu pada petang sebelum kejadian, tidak ada pula kejadian yang tidak diingini. Semuanya berjalan lancar dan saya tidak sangka, rupa-rupanya selepas itu masih ada orang berdendam kepada saya,” katanya.

Said berkata, beliau sangat kesal kerana usahanya membawa ustaz berkenaan mengajar di Masjid Kampung Betong adalah bertujuan untuk kebaikan.

“Selama ini pun, ustaz itu sudah lama mengajar di salah satu surau dalam Kariah Masjid Kampung Betong namun keadaan surau berkenaan yang uzur mendorong saya berusaha untuk membawa dia mengajar di masjid kami,” katanya.

Susulan kejadian itu, Said membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik pada malam itu juga
.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Zaidong Mustaffa mengesahkan menerima laporan mangsa.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan,” katanya.