Search This Blog

Monday, April 26, 2010

Ayah, izinkan saya pergi’

KUALA LUMPUR – “Dia begitu beria-ia mahu pergi ke pertandingan itu dan saya tidak sangka itu permintaan terakhirnya,” kata bapa mangsa kemalangan maut, Nurul Huda Rosalan, 16, yang digilis sebuah bas, di sini, Khamis lalu.

Rosalan Abdul, 44, berkata, anaknya menyatakan hasrat untuk bermain futsal dalam satu kejohanan di Ipoh dan bersungguh-sungguh meminta keizinan daripadanya.

Rosalan berkata, dia benar-benar terkilan dan tidak menyangka hasrat itu tidak kesampaian.

“Sebelum itu, arwah ada memberitahu saya bahawa dia ingin bermain futsal Sabtu lalu dan meminta keizinan untuk pergi tapi saya tak sangka itu permintaan terakhirnya.

“Dia beria-ia menyatakan hendak pergi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, di sini, semalam.

Rosalan berkata, dia masih bersedih atas tragedi yang menimpa dan tidak menduga ajal anaknya sedemikian rupa.

Katanya, Nurul seorang yang baik dan sangat manja dengannya.

“Sebelum kelahiran adik bongsunya enam bulan lalu, Nurul masih menganggap dirinya anak bongsu dan sangat manja dengan kami dan menggelar dirinya ‘adik su’,” katanya.

Rosalan berkata, dia bercadang memfailkan saman terhadap syarikat bas terbabit yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku.

Khamis lalu, pelajar Sekolah Perempuan Methodist itu maut selepas diseret beberapa meter sebelum badannya digilis tayar bas selepas dia terjatuh ketika hendak turun dari sebuah bas.

Difahamkan, ketika hendak turun, tali beg mangsa tersangkut pada pemegang pintu bas dan mangsa cuba menariknya namun gagal sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Pemandu bas pula tidak menyedari kejadian itu dan terus bergerak.

Pemandu itu dilaporkan hanya berhenti selepas terdengar jeritan penumpang yang melihat apa yang berlaku.

Pelajar khalwat akan dikenakan tindakan

SHAH ALAM – Teman wanita kepada pelajar lelaki yang maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Selayang Height, dekat sini, kelmarin, berkemungkinan akan dikenakan tindakan atas kesalahan berkhalwat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Nurhamizah Othman ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana pihaknya masih menanti laporan lengkap berhubung kejadian itu.

“Jais ada menerima laporan daripada pegawai (bukan dari Jais) yang terlibat semasa serbuan dijalankan, bagaimanapun laporan lengkap masih belum diterima.

“Jika laporan lengkap sudah ada, baru kami akan mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, tindakan berani seorang penuntut kolej yang cuba melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa mengundang padah apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri berkenaan.

Mangsa berumur 21 tahun itu dikatakan terjatuh selepas cuba melarikan diri melalui tingkap salah sebuah rumah di pangsapuri berkenaan.

Difahamkan, mangsa cuba meniti di luar tembok bangunan sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam longkang.

Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala wanita itu diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk siasatan lanjut.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan sebagai berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 pagi kelmarin, apabila lima anggota Nazir Masjid Mais membuat pemeriksaan di sebuah rumah selepas menerima aduan berhubung pasangan bukan muhrim bersekedudukan.

Salah seorang daripada kakitangan itu dilaporkan mengetuk pintu, namun tidak dibuka dan mereka menunggu beberapa minit sebelum dibuka seorang wanita.

“Pihak berkuasa memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa sebelum melakukan pemeriksaan dalam rumah berkenaan.

“Pada masa sama, penguat kuasa mendapati satu tingkap dalam keadaan terbuka, sebelum melihat ke bawah dan terkejut melihat seorang lelaki terbaring dan terperosok di dalam longkang,” katanya.

Suri rumah didakwa miliki pistol dan 7 butir peluru

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan iaitu memiliki sepucuk pistol dan tujuh butir peluru tanpa permit, dua minggu lepas. Teo Pei Sze , 33, didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Springfields Armory (no siri NM 78705) tanpa permit di rumah No. A-10-9, Kondo Endah Puri, Jalan 3/149E, Taman Sri Endah, Bandar Sri Petaling pada pukul 11 pagi, 14 April lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Teo didakwa memiliki tujuh butir peluru pelbagai jenama tanpa permit di lokasi dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya. Tiada jaminan ditawarkan.- Bernama

Polis selesai 56 kes pecah kereta dan ragut di Seberang Perai Tengah

BUKIT MERTAJAM - Polis dapat menyelesaikan 56 kes pecah kereta dan ragut yang berlaku di sekitar Seberang Perai Tengah dengan tertangkapnya tujuh lelaki yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Mereka yang berumur 20 hingga 30 tahun ditahan secara berasingan sejak 16 April lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah berkata hasil penahanan tersebut, polis menemui semula barangan curi seperti komputer riba dan beg tangan.

Nombor pendaftaran palsu kenderaan turut ditemui daripada mereka, katanya.

Geng tersebut aktif menjalankan jenayah sejak awal tahun ini.- Bernama

Arjeta disekat sekolah sebab pakai tudung

2010/04/26

VITINA: Seorang remaja di daerah Drobesh, Kosovo Timur, Arjeta Halemi, menghadapi masalah dilarang bersekolah sejak tahun lalu kerana memakai tudung kepala.

Pihak sekolah memberitahu Arjeta pada Januari tahun lalu bahawa dia perlu membuka tudung kepala untuk kembali memasuki kelas.

Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan lebih dua tahun lalu dan pihak berkuasa tidak mahu unsur keagamaan dilihat di institusi awam.

Bagaimanapun, Arjeta mewakili golongan memakai tudung yang mencabar peraturan seperti itu.

Isu pemakaian tudung ‘meletup’ selepas Perancis dan Belgium mengumumkan usaha mengharamkan pakaian berpurdah termasuk burqa dan niqab.

Kelmarin, di Nantes, seorang wanita dikenakan denda 22 euro (RM74) kerana memandu dalam keadaan memakai niqab. – Agensi

Pemandu teksi didakwa rompak beg tangan pesakit di hospital

26/04/2010 2:13pm

SHAH ALAM 26 April - Seorang pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak beg tangan seorang pesakit wanita di Hospital Selayang dekat sini, dua minggu lepas.

Kamaruddin Ali, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Dia dituduh merompak beg tangan milik Aminah Selamat, 56, yang mengandungi wang tunai RM300, sebuah telefon bimbit jenis Nokia dan dokumen penting di kaunter Hospital Selayang, kira-kira pukul 8 pagi, 12 April lepas.

Kamaruddin yang berasal dari Kampung Nakhoda, Batu Caves, didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Kamaruddin melantik peguam bela.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim. - Bernama

11 cedera dalam letupan bom di kediaman bekas PM Thai

26/04/2010 12:04pm

BANGKOK 26 April – Seramai 11 orang termasuk tiga anggota polis cedera dalam serangan bom tangan ke atas kediaman bekas Perdana Menteri Thailand, Banharn Silpa-archa di sini malam tadi.

Seorang mangsa cedera parah tetapi yang lain hanya cedera ringan dalam letupan di kediaman Banharn itu, menurut polis hari ini.

Satu lagi serangan bom tangan dilancarkan ke atas sebuah balai polis di wilayah Chiang Mai malam tadi tetapi tiada sesiapa yang cedera. – AFP

Dua terkorban nahas belon panas

26/04/2010 2:54am

DUBAI 26 April – Seorang rakyat Perancis dan seorang lagi rakyat India terbunuh apabila belon panas yang membawa 14 orang terhempas di kawasan gurun di timur Abu Dhabi semalam.

Beberapa orang lagi cedera dan seorang mengalami kecederaan parah dalam nahas yang berlaku berhampiran Sweihan itu, kira-kira 80 kilometer ke timur ibu negara Emiriyah Arab Bersatau (UAE).

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GCAA) berkata, siasatan bagi mengetahui punca nahas sedang dijalankan. – AFP

Lebih 600 rumah terbakar

26/04/2010 2:54am

MANILA 26 April – Lebih 600 buah rumah musnah dan menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal selepas satu kebakaran besar membinasakan kawasan setinggan di pinggir bandar ibu negara Filipina ini, semalam.

Menurut pegawai pertahanan awam, buat masa ini belum ada laporan kecederaan dilaporkan ekoran keadaan asap yang tebal menyukarkan operasi mencari di tempat kejadian.

Kebakaran bermula petang semalam dan berterusan sehingga ke malam tadi, sehingga memaksa pihak berkuasa bandar menutup lebuh raya utama ekoran dipenuhi kenderaan bomba.

Punca kebakaran masih belum diketahui, menurut pegawai Metro Manila. – AFP

Lelaki maut ditetak penjenayah, kenderaannya dilarikan

26/04/2010 1:48pm

KUALA LUMPUR 26 April - Seorang lelaki maut ditetak dan kenderaan Toyota Hilux miliknya dilarikan sekumpulan penjenayah di hadapan sebuah bank di Jalan Ipoh, di sini pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Chui Fook Lim berusia 32 tahun berasal dari Alor Setar. - Utusan

Bekas anggota tentera didakwa tipu lelaki RM54,750

26/04/2010 1:43pm

BUTTERWORTH 26 April - Seorang bekas anggota tentera berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu seorang lelaki melibatkan wang berjumlah RM54,750 pada 2005.

Ahmad Jamaluddin, 48, dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 21 Julai dan 16 Sept 2005 di Affin Bank Berhad cawangan Seberang Jaya di sini.

Ahmad didakwa menipu dan memperdaya Johari Omar untuk mempercayai bahawa wujud kerja-kerja pembekalan di 92 DKP Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.

Tindakan Ahmad itu mendorang Johari memberikan sejumlah wang yang dimasukkan dalam akaun Affin Bank milik tertuduh.

Ahmad didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan Ahmad diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pendakwa

Kes tembak remaja: 4 peronda polis ditukarkan serta-merta

26/04/2010 3:46pm

SHAH ALAM 26 April – Empat anggota peronda polis yang terbabit dalam kejadian tembak mati seorang remaja dipercayai anggota kumpulan samun awal pagi tadi di Seksyen 11 di sini ditukarkan ke tugasan pejabat berkuat kuasa serta-merta.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dilantik bagi menjalankan siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kesemua mereka ditukarkan ke ‘desk duty’ sementara kes ini disiasat, apa pun pihak IPK Selangor akan menjalankan penelitian ke atas kes ini dari semua aspek,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua anggota terbabit akan disiasat secara terperinci bagi mendapatkan maklumat sebenar punca kejadian itu.

Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi ini, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis, manakala rakannya berjaya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 di sini.

Beliau berkata, kejadian tembakan itu berlaku apabila remaja berkenaan enggan berhenti dan cuba melarikan diri selepas anggota peronda polis terserempak dengan suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iswara dan berada dalam keadaan mencurigakan. – Bernama

Penjenayah warga Indonesia parah ditembak ahli perniagaan

26/04/2010 3:48pm

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
ALOR GAJAH 26 April – Seorang penjenayah parah selepas ditembak ketika memecah masuk ke banglo mewah milik seorang ahli perniagaan di sebuah resort terkenal di Simpang Ampat, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof ketika mengesahkan kejadian itu berkata, suspek berusia 30-an, yang tidak mempunyai dokumen perjalanan, berasal dari Jawa Timur, Indonesia. – Utusan

Nelayan Thai mati diserang lanun di Gertak Sanggul

26/04/2010 4:35pm

PULAU PINANG 26 April – Seorang nelayan Thai mati dipercayai diserang oleh sekumpulan lanun kira-kira 7 batu nautika dari Gertak Sanggul di sini semalam.

Aung Sirichai, 24, dari Ranong terkena tiga das tembakan apabila kumpulan tersebut menyerang botnya kira-kira 8.20 malam.

Mangsa mati ketika di bawa ke pusat pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung.

"Polis menerima maklumat kira-kira pukul 10.50 malam daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa bot rakannya diserang oleh tujuh lelaki.

"Ketika itu mangsa dan empat rakannya sedang menangkap ikan di kawasan berkenaan,” kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt. Hatta Md. Zin. – Bernama

Penjual diperangkap

pix_middle
Add caption

GOMBAK: Hasrat menghadiahkan telefon bimbit baru kepada isteri dan ibu mentua sebagai tanda kasih sayang tidak disambut gembira, malah melukakan hati seorang kontraktor yang tersedar dia ditipu Geng Sabah yang dikesan aktif melakukan penipuan menerusi penjualan telefon tiruan atau jenis cap ayam kepada mangsa.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, 36, berkata kegiatan penipuan licik terbabit berlaku ketika dia berhenti untuk mengisi minyak di stesen Petronas tidak jauh dari Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Karak, dekat sini.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, dia dihampiri seorang lelaki berusia awal 20-an yang menyapanya sambil menunjukkan telefon bimbit Nokia model N97.

“Lelaki terbabit menawarkan telefon itu pada harga RM600 berbanding harga pasaran mencecah RM1,500.

“Dia mendakwa memperoleh bekalan telefon itu daripada hasil rampasan Kastam Diraja Malaysia (KDRM),” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Nizam, dia membelek telefon bimbit berkenaan dan yakin ia model tulen berdasarkan keadaan luarannya selain turut berfungsi seakan-akan model asli.

“Selepas berunding dan tawar-menawar hampir 10 minit, lelaki terbabit bersetuju menjual telefon bimbit Nokia N97 dengan harga RM600 manakala model N95 dengan harga RM250.

“Saya yang tertarik harga ditawarkan itu bersetuju membeli dua N97 dan dan dua N95 dengan membayar tunai RM1,700,” katanya.

Menurutnya, dia berniat membeli empat telefon berkenaan untuk dihadiahkan kepada isteri dan ibu mentuanya.

“Lebih meyakinkan apabila selepas dibelek berulang kali, telefon bimbit terbabit mempunyai aplikasi dan paparan tidak ubah seperti telefon asli hingga menyebabkan saya sukar membezakan antara produk palsu dan tulen.

“Namun, selepas selesai membuat pembelian, saya singgah di sebuah kedai telekomunikasi di sebuah pasar raya besar di Gombak untuk memeriksa telefon itu,” katanya.

Nizam berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan pekerja kedai berkenaan empat telefon yang dibelinya itu tiruan dan mudah rosak.

“Malah telefon bimbit ‘tipu’ berkenaan tidak berfungsi seperti didakwa apabila aplikasi kamera, ‘bluetooth’ dan perisian lain termasuk WiFi tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, dia yang berang berusaha menjejaki suspek, namun lelaki terbabit tiada di stesen minyak berkenaan.

“Dengan bantuan rakan saya merancang untuk memerangkap suspek dengan menghubungi telefon bimbitnya seolah-olah mahu membuat lebih banyak tempahan telefon palsu itu.

“Selepas beberapa hari mencuba, suspek membalas SMS saya dan bersetuju menjual telefon bimbit BlackBerry dan Nokia N97 dengan harga beberapa ratus saja,” katanya.

Nizam berkata, selepas rancangan diatur, dia bersama beberapa rakan berjumpa suspek di stesen minyak Petronas berhampiran Plaza Tol Gombak kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

“Sebaik melihat kelibat suspek, kami menangkapnya sebelum memaksa pemuda terbabit mendedahkan kegiatan dilakukan. Dia mengaku bekerja untuk seorang lelaki Sabah yang membekalkan telefon palsu terbabit.

“Suspek berasal dari Kelantan dan dikenali sebagai Raja itu mendakwa menerima upah lumayan bagi setiap telefon bimbit yang dijual kepada mangsa. Berikutan itu kami memaksanya memulangkan semula wang ditipu sebanyak RM1,700 jika tidak mahu diheret ke balai polis,” katanya yang sempat merakam wajah suspek yang menipunya.

Menurutnya, pemuda terbabit yang didesak menghubungi ‘bos’ yang melindunginya bagi meminta wang terbabit dihantar segera.

“Tidak sampai 15 minit kemudian seorang lelaki muncul membawa sampul kertas berisi wang sebelum menyerahkannya kepada kami. Sejurus itu kedua-dua lelaki terbabit meninggalkan lokasi.

“Mereka menyasar mangsa di kalangan pemandu kereta terutama yang berhenti mengisi minyak. Mereka sentiasa berpindah bagi mengelak jejak mereka dikesan,” katanya.

Tukang urut lari bogel

KLANG: Memalukan apabila seorang tukang urut wanita warga asing yang sedang memadu asmara dengan pelanggannya di sebuah spa di bandar ini, bertindak melarikan diri dalam keadaan bogel sebelum diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, di sini, kelmarin.

Wanita cantik cari Sugar Daddy di laman sosial

TAIPEI: Laman sosial ‘I want a sugar daddy’ dilapor menarik minat 5,000 wanita dalam tempoh hanya dua hari.
Laman diwujudkan lima wanita cantik di Facebook 21 April lalu, mengalu-alukan penyertaan wanita yang ingin hidup mewah dibiaya sugar daddy atau lelaki kaya yang mencari wanita simpanan.
Seorang daripada wanita itu turut memenuhi janji meletakkan gambar seksinya di laman sosial itu jika ahli melebihi 500 orang.

Pengasas laman itu, Leslie Liao bagaimanapun berkata, mereka sebenarnya tidak mencari sugar daddy sebenar untuk membiaya kehidupan kerana setiap seorang memiliki kerja yang stabil dan bergaji besar.

Mereka melakukannya kerana cemburu dengan penghibur yang digilai hartawan dan menaburkan kehidupan mewah.

“Saya melakukannya selepas kami berbual mengenai kepayahan membiaya pelajaran kami di luar negara dan akhirnya memutuskan untuk mewujudkan laman ini sebagai satu jenaka,” katanya. - Agensi

Harry sorok dalam tandas

LONDON: Putera Harry mengunci dirinya dalam kiub tandas lelaki selepas dikejar kumpulan gadis ketika mengunjungi sebuah kelab malam, semalam.
Kumpulan gadis itu dilapor mengejarnya hingga ke dalam tandas dan memanjat dinding kiub tandas sebelah untuk merakamkan gambarnya.
“Mereka ingin bergambar dengannya tapi beliau tidak mahu diganggu dan lari ke dalam tandas.

“Bagaimanapun, mereka mengikutnya dan tetap merakamkan gambarnya meskipun dari atas kiub tandas itu,” kata saksi.

2 anak rentung dibakar samseng

DERBYSHIRE (England): Dua kanak-kanak rentung apabila rumah didiami disyaki dibakar selepas ibu mereka membuat kenyataan keras terhadap samseng yang mengancam keluarganya di laman sosial, Facebook.
FIONA hanya berjaya menyelamatkan Kiernan.
FIONA hanya berjaya menyelamatkan Kiernan.
KENANGAN...(dari kanan) Niamh, Kiernan dan Cayden.
KENANGAN...(dari kanan) Niamh, Kiernan dan Cayden.
Polis berada di rumah itu sejam sebelum Niamh Maynard, 5, dan adik lelakinya, Cayden, 2, mati dalam kebakaran itu.
Fiona Adams, 23, cuba menyelamatkan Cayden dan Niamh tapi api terlalu marak dan asap pula tebal.

Beliau kemudian terpaksa terjun dari tingkap tingkat pertama selepas mencampakkan anak bongsunya, Kiernan, lapan bulan ke atas trampolin di laman rumah.

Meskipun Kiernan tidak mendarat di atas trampolin, beliau disambut pakciknya, Blake Maynard.

Sebelum kebakaran berlaku, Fiona menulis mesej di Facebook mencabar remaja samseng yang sentiasa mengancam hidup mereka.

“Anda boleh pecah tingkap dan kereta kami tapi tidak mungkin mampu mengapa-apakan saya dan anak-anak,” katanya.

Rumah itu mula terbakar jam 11.45 malam ketika suami Fiona, James Maynard keluar bekerja di sebuah kelab malam.

Polis mengesahkan anggota polis berada di rumah Fiona di Buxton, Derbyshire, pada jam 10.45 malam selepas beliau memaklumkan kumpulan remaja merosakkan perabot taman di luar rumahnya.

Bagaimanapun, polis meninggalkan rumah itu selepas mendapati tiada remaja berada di sekitar kawasan itu.

Pada jam 11.47 malam, polis menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran yang berlaku di rumahnya.

Seorang remaja berusia 17 tahun kini ditahan berkaitan kes itu.

Jiran meletakkan jambangan bunga dan anak patung mengenang Cayden dan Niamh di luar rumah mereka.


Polis dan pakar forensik melancarkan siasatan terperinci bagi mendapatkan bukti punca kebakaran itu.

Rakan Fiona, Karen Jackson sedih mengenang nasib Niamh dan Cayden.

“Mereka keluarga yang baik dan sedia membantu siapa sahaja. Saya tak mampu membayangkan apa yang dialami Niamh dan Cayden yang terperangkap,” katanya.

Keluarga Fiona didakwa sering diganggu remaja samseng sejak beberapa bulan lalu.

“Rumahnya bersebelahan dengan tempat kumpulan remaja itu melepak sambil minum arak. Tingkapnya sering dibaling pelbagai benda.

“Insiden itu berlaku lima, enam kali tahun lalu. Perangai mereka buruk dan sering menimbulkan masalah, termasuk mencuri dan menghisap dadah di kawasan kediaman ini.

“Kereta saya juga pernah dipecah dan mereka kerap berkeliaran di kawasan ini dengan botol arak di tangan dan dalam keadaan mabuk,” kata jiran Fiona, Michael Sparks, 28. - Agensi

Ramai tertipu

KUALA LUMPUR: Ada yang memanggilnya telefon bimbit ‘ciplak’ atau telefon ‘pakai buang’ namun sehingga kini ratusan pelanggan menjadi mangsa penipuan serta membeli telefon palsu berkenaan yang dijual beberapa kali ganda lebih murah daripada telefon tulen.
Difahamkan kebanyakan mangsa mudah terpedaya berikutan ‘rupa paras’ telefon terbabit yang saling tidak tumpah dengan telefon tulen termasuk berat serta tanda jenama dipamerkan.
Namun, mangsa yang terbeli telefon palsu hanya menyedari tertipu selepas mendapati telefon gagal berfungsi selain tidak mempunyai aplikasi dalaman sama seperti telefon tulen.

Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, Othman Nawang yang ditemui semalam berkata, pihaknya sentiasa memantau kes penipuan telefon palsu berkenaan.

Menurutnya, sejak dua bulan lalu, anggotanya melakukan lebih 13 serbuan di beberapa lokasi berasingan di ibu kota termasuk pusat beli-belah dan ekspo jualan telefon bimbit dengan merampas kira-kira 2,000 telefon bimbit tiruan bernilai lebih RM60,000

Budak 9 tahun ugut penguat kuasa AADK

SEREMBAN: “Jaga-jaga, siap kau!” Mengejutkan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun bukan saja melaungkan kata-kata amaran itu, malah turut berani mengacukan pisau terhadap anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mahu menahan bapanya di Felda Palong, Jempol, dekat sini.
Difahamkan, dalam kejadian pada jam 3.45 pagi Rabu minggu lalu, sepasukan 13 pegawai dan anggota AADK Jempol diketuai Ketua Pegawainya, Zakryei Arip menyerbu rumah suspek berusia 42 tahun untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, ketika serbuan, isteri suspek berusia 39 tahun enggan memberikan kerjasama dan turut memaki hamun anggota penguat kuasa.

Tidak cukup dengan itu, anak lelaki suspek turut bertindak agresif apabila mengugut seorang anggota dengan sebilah pisau.

Suasana tegang itu memaksa AADK mengheret suspek keluar dari rumahnya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek seterusnya didapati positif dadah jenis heroin.

Jais tak serbu

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan anggota penguatkuasanya terbabit serbuan kes khalwat sehingga membawa kematian seorang pelajar selepas terjatuh di tingkat lima Apartmen Jelutong, Selayang Heights di sini, kelmarin.
Pegawai Perhubungan Jais, Nurhamizah Othman, berkata serbuan itu dilakukan ahli jawatankuasa masjid kawasan berkenaan yang disertai polis.
“Ingin saya tegaskan, tiada anggota penguat kuasa Jais terbabit serbuan itu.

“Sebaliknya kami hanya menerima laporan serbuan yang diserahkan ahli jawatankuasa masjid kawasan berkenaan yang diberi kad kuasa untuk melakukan serbuan khalwat bersama polis,” katanya di sini, semalam.

Ditanya mengenai seorang wanita yang terbabit dalam kejadian khalwat itu, Nurhamizah berkata, Jais akan mengambil tindakan ke atas wanita itu, bagaimanapun siasatan dibuat.

Akhbar semalam melaporkan seorang pelajar Kolej Komuniti Selayang terbunuh selepas terjatuh dari tingkat lima rumah sewa teman wanitanya Apartmen Jelutong, Selayang Heights di sini.

Mangsa yang berusia 21 tahun dikatakan cuba mengelak ditahan dengan melarikan diri melalui tingkap sebaik pintu rumah diketuk sepasukan pegawai pencegah maksiat.

Terpikat godaan ‘janda’ asing

KUALA LUMPUR: Sekumpulan wanita warga asing yang berlakon sebagai janda yang kematian suami bergiat aktif menipu lelaki terutama yang sudah berkeluarga bagi menyara kehidupan mereka di sini serta keluarga di kampung halaman.
Kumpulan yang menipu menggunakan pujuk rayu bagi menagih simpati dengan menjaja cerita sedih mereka sebagai janda, mengharapkan golongan suami berkenaan ‘lentok’ di pangkuan mereka.
Tindakan licik dengan modus operandi mereka yang meminta wang dalam jumlah tertentu dipindahkan terus ke dalam akaun melalui Internet, ternyata memudahkan mereka melarikan diri tanpa dikesan.

Penipuan mereka bagaimanapun disedari dua isteri yang mendapati suami mereka menjadi mangsa kumpulan wanita rakus itu sebelum seorang daripada mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Seorang dari mereka ialah ibu enam orang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Salihah, 52.

Salihah berkata, sudah lima tahun dia diherdik dan diganggu kumpulan mengaku janda terbabit. Katanya, walaupun perkara itu sudah lama berlarutan, suami mereka tidak pernah serik walaupun sedar ditipu puluhan ribu ringgit.

Ketika ditemui di sini, dia berkata, pada awalnya aktiviti wanita mengaku janda itu tidak disedarinya walaupun suaminya jarang pulang ke rumah.

Bukan itu saja, katanya, suaminya juga sering tidak mempunyai wang apabila diminta sebaliknya meminta wang darinya.

Kata Salihah, perkara itu terbongkar selepas diberitahu rakannya bahawa suaminya selalu dilihat bersama seorang perempuan dari negara jiran di sebuah kedai makan di Pekan Subang di sini.

“Sejak terkena penangan janda ini, suami saya sentiasa panas baran, pantang ditanya, dia akan melenting malah melontarkan kata-kata kesat, malah pernah mencabar maruah saya dengan mempelawa rakannya untuk berasmara dengan saya,” katanya.

Gempar bas diparkir terbakar tiba-tiba

KUALA LUMPUR: Pengunjung sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Pudu di sini, gempar apabila sebuah bas yang diletakkan berhampiran pasar raya itu terbakar sebelum musnah.
MARAK...bas yang terbakar, semalam.
MARAK...bas yang terbakar, semalam.
MUSNAH...orang ramai melihat bas yang hangus.
MUSNAH...orang ramai melihat bas yang hangus.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang semalam itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Abdul Khalid Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran bas pada jam 3.24 petang.

“Sejurus mendapat panggilan, satu jentera bomba bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian. Ketika tiba, api sudah pun marak hampir keseluruhan badan bas penumpang itu.

“Bomba dapat memadamkan kebakaran itu kira-kira 10 minit. Kebakaran itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan kematian.

“Punca kejadian masih disiasat, bagaimanapun ia bukan kes khianat. Ketika kejadian, bas berkenaan diletakkan di situ oleh pemandunya yang menunggu penumpang,” katanya.

Gempa 6.6 magnitud gegar Taiwan

TAIPEI: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.6 magnitud menggegar Taiwan hari ini, namun sehingga kini belum belum ada sebarang laporan kematian atau kemusnahan diterima. - AFP

2 beradik disyaki curi kenderaan ditahan

2010/04/26

ALOR SETAR: Polis menahan dua beradik lelaki berumur 23 dan 25
 tahun  yang  dipercayai melarikan dua kereta, di sebuah rumah
di Bukit Pinang dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata
semasa polis membuat pemeriksaan di rumah itu pada kira-kira pukul
 2.30 petang, dua beradik  itu didapati sedang menanggalkan pelbagai
peralatan sebuah kereta  Nissan Sentra.

"Selepas diperiksa polis turut menjumpai sebuah lagi kereta jenis
Toyota Corolla
 di rumah itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kereta Nissan Sentra itu dilaporkan dicuri pada
 24 April lalu di Jalan
 Sultanah dekat sini manakala kereta Toyota Corolla itu pula
dilaporkan hilang pada
 6 April di Kerpan, Ayer Hitam dekat Kubang Pasu.

"Polis mendapati, nombor pendaftaran kereta Toyota itu tidak
 sama dengan nombor
 pendaftaran asal," katanya. - Bernama

Tanah runtuh di lebuh raya






GAMBAR menunjukkan tanah runtuh di Lebuh Raya No.3 dekat Keelung di utara Taiwan semalam.TAIPEI - Sejumlah kenderaan tertimbus di bawah timbunan batu dalam satu kejadian tanah runtuh di kawasan seluas 300 meter di Lebuh Raya No.3 di antara Taipei dan Keelung semalam.
Datuk Bandar Keelung, Tung-jung berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.33 petang waktu tempatan apabila lereng sebuah bukit di kilometer 3.1, di hujung utara lebuh raya berkenaan dan ke utara plaza tol Chitu, runtuh dan menyebabkan sebuah jejantas runtuh.
Beberapa saksi yang kebetulan berada di lokasi kejadian berkata, sekitar dua hingga empat buah kereta dianggarkan tertimbus dalam bencana itu.
Seorang wanita muncul di lokasi kejadian pada petang semalam dan memberitahu wartawan, dia yakin suaminya tertimbus di bawah tanah runtuh tersebut.
Timbunan tanah dan batu menghalang perjalanan di lebuh raya selebar 100 meter itu dan melitupi semua enam lorongnya pada jarak sejauh 300 meter.
Beberapa pegawai berkata, pihak tentera menghantar kira-kira 200 askar bagi membantu kerja menyelamat manakala 36 jentera berat dan 37 trak tiba di lokasi kejadian bagi membuka semula kawasan tertimbus itu.
Perdana Menteri, Wu Den-yih berkata, kerja-kerja membersihkan tanah runtuh itu dijangka mengambil masa 20 hari jika ia dilakukan berterusan 24 jam sehari.
Punca kejadian itu masih disiasat ekoran tiada gempa bumi atau hujan berlaku di kawasan tersebut semasa bencana. - Agensi

Sanggup lari berbogel elak dicekup




DUA daripada wanita yang ditahan dalam operasi menangkap pelacur warga asing di Klang kelmarin.


KLANG - Akibat takut dicekup polis, seorang wanita bersama pasangannya sanggup lari berbogel ketika polis menyerbu sebuah pusat rawatan kecantikan di sebuah hotel di Jalan Pelabuhan Klang di sini malam kelmarin.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 malam itu, pasangan terbabit yang sedang asyik berasmara di dalam sebuah bilik terkejut dengan kehadiran sepasukan polis yang menyerbu bilik mereka.
Tanpa sempat memakai semula pakaian masing-masing, wanita dan lelaki tersebut cuba lari keluar dari bilik berkenaan tanpa seurat benang namun akhirnya ditahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, wanita terbabit antara lima warga Indonesia berusia 20-an yang ditahan pada malam itu kerana disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.
Menurutnya, hasil siasatan, polis percaya kelima-lima wanita berkenaan tidak mempunyai permit kerja yang sah berikutan kegagalan mereka menunjukkan dokumen perjalanan dan pengenalan diri.

Lagi murid cuba terjun dari bangunan sekolah



BACHOK - Satu lagi kes pelajar cuba terjun dari bangunan sekolah dilaporkan berlaku, kali ini di Bachok, Kelantan.
Puncanya juga sama seperti yang berlaku di Perlis dua hari lalu disebabkan pelajar itu tidak tahan diejek oleh rakan-rakan.
Dalam kejadian semalam, seorang murid tahun lima di sebuah sekolah rendah dikatakan cuba terjun dari bangunan sekolahnya.
Murid tersebut memanjat koridor di tingkat empat dan menghayun kakinya ke bawah.
Bagaimanapun, cubaan kanak-kanak berusia 11 tahun itu gagal apabila dia berjaya diselamatkan oleh salah seorang guru.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saipu Bhari Mohd. Noor berkata, tindakan guru berkenaan yang bertindak pantas menyambar tubuh kanak-kanak itu telah berjaya menyelamatkannya.
"Ketika kami tiba di tempat kejadian pada pukul 10.45 pagi selepas mendapat panggilan, kanak-kanak berkenaan sudah berjaya diselamatkan oleh gurunya selepas mengambil masa kira-kira lima minit untuk memujuk mangsa," katanya kepada pemberita.

Polis lumpuhkan sindiket pengedaran DVD cetak rompak, lucah



Sum Chang Keong menunjukkan mesin mencetak DVD cetak rompak dan lucah yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang Kecil pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, Melaka, kelmarin.


MELAKA 25 April - Satu sindiket menggunakan warganegara asing sebagai jurujual cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah di bandar ini berjaya dibongkar dengan penahanan empat orang dalam empat serbuan berasingan di sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri, Supritendan Sum Chang Keong berkata, dua daripada mereka yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 54 tahun dan seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai dalang sindiket pengedaran DVD berkenaan sejak setahun lalu.
Menurutnya, dua wanita lain yang ditahan ialah jurujual warganegara China berusia 34 tahun dan seorang wanita warganegara Indonesia berusia 25 tahun.
Beliau berkata, hasil serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas pelbagai peralatan seperti mesin pencetak, komputer riba, lima unit mesin penyalin dan enam botol dakwat.
Katanya, selain itu, turut dirampas 363 keping DVD lucah dan 20,716 keping DVD cetak rompak dengan keseluruhannya bernilai RM120,000.
"Dengan penahanan empat orang tersebut, polis percaya telah melumpuhkan sindiket mencetak dan mengedar DVD cetak rompak serta lucah yang bergiat aktif di sekitar bandar ini sejak setahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini semalam.
Chang Keong berkata, dalam serbuan pertama yang diketuai oleh Asisten Supritendan Dzulkahiri Mukhtar pada pukul 10.50 pagi itu, polis berjaya menahan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita warga tempatan di Taman Perindustrian Merdeka, Batu Berendam.
"Hasil pemeriksaan di tempat letak barang di belakang kereta, polis menjumpai sebanyak 13 keping DVD lucah dan 624 keping DVD cetak rompak.
"Kira-kira 10 minit selepas serbuan pertama, polis berjaya menahan seorang warganegara China berhampiran tempat kejadian dan menemui 84 keping DVD cetak rompak dan 20 keping DVD lucah," katanya.
Katanya, hasil siasatan ke atas dua orang itu, polis menyerbu sebuah kondominium di Klebang Kecil yang digunakan sebagai tempat menghasilkan DVD berkenaan untuk diedarkan di sekitar bandar ini.
Menurutnya, hasil serbuan itu polis menemui 19,830 DVD cetak rompak dan 320 keping DVD lucah termasuk pelbagai peralatan lain.
"Polis juga turut menemui 178 keping DVD cetak rompak dan 10 keping DVD lucah yang disimpan lelaki terbabit di tempat letak keretanya di kondominium tersebut," katanya.
Sehubungan itu katanya, kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 2002.

Guru KAFA ditahan miliki 17 peket dadah



TENOM 25 April - Polis menahan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kerana memiliki dadah jenis syabu di kilometer 1 jalan Tenom-Keningau dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Supritendan Mazlan Lazim berkata, suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis pada pukul 10 pagi hasil maklumat orang awam.
"Polis yang sudah lama memerhatikan gerak geri suspek menahan suspek dan rakan wanitanya di hadapan sebuah stesen minyak di sini semalam.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui 17 paket dadah jenis syabu seberat 0.6 gram, tiga buah telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM1,285," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang mengajar di sebuah sekolah di daerah ini ditahan reman selama empat hari mulai kelmarin untuk siasatan lanjut.
Katanya, melalui ujian air kencing yang dijalankan, suspek turut disahkan positif dadah.
Dalam pada itu Mazlan berkata, beliau amat kesal kerana kes dadah tersebut membabitkan seorang guru agama yang sepatutnya memberi tunjuk ajar yang baik.
"Penangkapan kes membabitkan dadah jenis syabu ini adalah yang pertama di daerah ini pada tahun ini.
"Jadi kita akan terus mempergiatkan usaha dan intipan dari masa ke semasa bagi menahan pesalah terbabit dalam membendung penyalahgunaan dadah di daerah ini," katanya.
Sementara itu beliau berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan memberi maklumat kepada pihak polis bagi mengatasi penyalahgunaan najis dadah.

Pemandu terselamat, lori tiba-tiba terbakar



ALOR GAJAH 25 April - Seorang pemandu lori terselamat apabila kenderaan yang dipandunya itu tiba-tiba terbakar di Kilometer 217.4 Lebuh Raya Utara Selatan menghala arah selatan berhampiran Plaza Tol Simpat Ampat, di sini malam kelmarin.
Kejadian pada pukul 8.30 malam itu dipercayai berpunca daripada kerosakan di bahagian enjin.
Menurut pemandunya, Shaari Zakaria, 42, ketika memandu, dia terhidu bau asap di sebelah kiri lori lalu memberhentikan kenderaan tersebut di tepi lebuh raya berkenaan.
"Saya segera turun dari lori dan memeriksa kenderaan itu. Namun belum pun sempat saya berbuat apa-apa, tiba-tiba berlaku letupan kecil dan api terus menyambar enjinnya," katanya.
Shaari berkata, dia lantas mengambil beberapa barang berharga miliknya sebelum menghubungi pasukan penyelamat.
Katanya, lori 20 tan yang dipandunya sejak setahun lalu digunakan untuk mengangkut pasir halus dari Ipoh menuju ke Johor Bharu.
Tambahnya, kejadian itu adalah pengalaman pertamanya sepanjang 15 tahun bekerja sebagai pemandu.
"Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan atau melibatkan pengguna lebuh raya berkenaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Uma

Bapa, anak dapat cahaya mata





Mohamad Senuan Ahmad Hariri (kiri), memangku anaknya, Intan Nor Iman dan anak lelakinya, Mohd. Nurfaizalizwan (kanan), turut memangku anaknya, Mohammad Yusrizan sambil diperhatikan isteri masing-masing, Intan Nor Farliana Shamsudin (dua dari kiri) dan Siti Yusnita Ab. Manah, (dua dari kanan) di rumah bekas isteri di Senawang, semalam.



RASAH 25 April - Siapa sangka usikan rakan-rakan hampir setahun lalu bahawa dia bakal menimang anak dan cucu serentak menjadi kenyataan.
Bagi Mohamad Senuan Ahmad Hariri, 46, yang bersanding serentak dengan anaknya pada Mei tahun lepas, kesempatan bergelar bapa dan datuk sekali gus adalah satu anugerah yang cukup berharga.
"Tidak tergambar kegembiraan dan anugerah yang Allah berikan kepada keluarga ini. Dulu bila bersanding memang tak rancang nak buat serentak.
"Kini timang anak dan cucu sekali gus memanglah di luar jangkaan kerana kami tidak merancang apa-apa pun jauh sekali untuk berlumba- lumba. Ini yang dinamakan takdir," katanya ketika ditemui di kediaman bekas isterinya, Norliah Hussin di Senawang di sini hari ini.
Mohamad Senuan ditemani isteri, Intan Nor Farliana Shamsudin, 20, serta anak lelakinya, Mohd. Nurfaizalizwan, 23, dan isteri, Siti Yusnita Ab. Manah, 24, bersama-sama anak-anak yang lain Mohd. Robani, 15, Mohd. Amir, 14, dan Mohd. Najmi Al Hakimi, 10.
Dalam pertemuan tersebut juga, Mohamad Senuan buat pertama kali memperkenalkan kedua-dua ahli keluarga barunya iaitu anak perempuan bongsunya, Intan Nor Iman dan cucu lelaki sulungnya, Mohammad Yusrizan.
Intan Nor Iman dilahirkan pada 19 Mac di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur sementara Mohammad Yusrizan pula lahir tiga hari kemudian di sebuah hospital dekat Subang, Selangor.
Kisah Mohamad Senuan pernah menarik perhatian umum apabila perkahwinannya diadakan serentak pada 30 Mei tahun lepas bersama Mohd. Nurfaizalizwan yang merupakan anak sulungnya.
Kedua-dua pasangan tersebut disandingkan di atas satu pelamin dalam majlis resepsi perkahwinan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mohamad Senuan yang merupakan ahli perniagaan berkata, kelahiran anak dan cucunya itu diharapkan dapat terus mengeratkan ikatan kekeluargaan mereka walaupun telah berpisah dengan bekas isterinya.
"Sekarang kami mempunyai banyak alasan untuk berkumpul. Sebelum ini selepas isteri (Intan Nor Farliana) bersalin di Kuala Lumpur, saya bawa dia dan anak kami ke rumah bekas isteri setelah mengambil menantu dan cucu untuk berpantang di sini.
"Oleh kerana perlu ke luar daerah, saya terpaksa tinggalkan isteri dan anak di sini selama beberapa hari. Memang ini sangat mengharukan kerana kedua-dua keluarga dapat bersama," katanya yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur.
Menurutnya, mereka merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul kedua-dua bayi itu serentak pada Mei ini.
Sementara itu Mohd. Nurfaizalizwan berkata, dia berasa bertuah dengan kelahiran anak sulung dan adik perempuan bongsunya itu.
"Sememangnya ini adalah kegembiraan berganda untuk keluarga kami dan diharapkan kedua-duanya, anak dan adik saya ini akan membesar dengan sihat," katanya.
Dalam pada itu, Norliah, 46, turut menumpang gembira dengan kelahiran kedua-dua bayi itu.
"Walaupun bercerai dengan bekas suami lima tahun lalu, kami tidak pernah bermusuh, cuma mungkin jarang bertemu kecuali atas urusan anak-anak.
"Tetapi saya tetap gembira dengan kelahiran anak bongsunya itu dan ditambah kedatangan cucu pertama saya," katanya.

Pemuda maut dihempap jentolak



JASIN 25 April - Sarapan pagi nasi goreng dan telur menjadi bekalan terakhir yang diberikan seorang ibu kepada anaknya apabila pemuda itu menemui ajal akibat dihempap sebuah jentolak di tempat kerjanya di sini semalam.
Lebih malang, ketika kejadian, mangsa, Mohd. Rafizsham Safri, 21, baru sahaja enam hari memulakan tugasnya sebagai pemandu jentolak di Taman Perindustrian Rumbia, Alor Gajah, di sini.
Ibu arwah, Safiah Md. Said, 49, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya yang mesra dengan panggilan Alang itu pada kira-kira pukul 6 pagi semalam, ketika arwah membuka tudung saji untuk sarapan.
"Biasanya Alang tidak begitu dan apabila saya bertanya arwah sama ada dia lapar, dia cuma diam.
"Saya melihat dalam periuk ada sedikit nasi lalu membuat nasi goreng dan menggoreng telur. Makanan itu saya bekalkan untuknya ke tempat kerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Kasau, di sini hari ini.
Menurut Safiah, ketika mahu keluar rumah, arwah tertinggal bekalan tersebut dan sempat menyuruh adiknya mengambilnya di dapur.
Tambahnya, kira-kira pukul 11 pagi, beberapa anggota polis tiba di rumahnya memaklumkan anaknya itu patah kaki akibat kemalangan dan berada di wad kecemasan Hospital Melaka.
"Sejurus tiba di hospital, kakitangan memaklumkan Alang telah dibawa ke bilik bedah dan ketika itu hati saya sudah mula merasakan sesuatu yang buruk berlaku.
"Pada pukul 1.20 petang, seorang doktor keluar memberitahu Alang tidak dapat diselamatkan membuatkan tiba-tiba saya rasa dunia menjadi gelap gelita," katanya menahan sebak.
Tambahnya, dia juga tidak menyangka gurauannya bersama arwah yang tiba-tiba mengejutkan dirinya daripada tidur untuk bersalaman sebelum bekerja pagi Rabu lalu, menandakan arwah akan pergi selama-lamanya.
"Bila makcik tanya, Alang tabiat apa tak pernah salam mak, dia cuma jawab mana tahu kalau apa-apa berlaku pada Alang," katanya yang tidak dapat menahan air mata.
Difahamkan, arwah yang juga sukarelawan Rejimen Askar Wataniah telah menjalani latihan memandu jentolak seberat kira-kira lima tan itu sejak dua minggu lalu sebelum dibenarkan mengendalikannya semalam.
Bagaimanapun, ketika sedang meratakan tanah, jentolak itu dipercayai tiba-tiba terbalik secara mengiring sebelum menghempap mangsa.
Mangsa cedera parah di badan dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian terbabit.

Tayangan perdana filem kisah al-Qaeda



NEW YORK 25 April - Sebuah filem baru arahan pemenang anugerah Oscar, Alex Gibney (gambar) yang membongkar budaya dan sejarah kewujudan al-Qaeda serta motifnya menyerang Amerika Syarikat (AS) ditayangkan pada Festival Filem Tribeca, hari ini
'My Trip to Al-Qaeda,' mengisahkan pengembaraan wartawan AS, Lawrence Wright ke serata dunia bagi mencari susur galur sejarah tentang penubuhan al-Qaeda serta punca ia dan pemimpinnya, Osama bin Laden menjadi radikal.
''Kita tahu al-Qaeda, kita tahu keganasannya, kita tahu ancamannya tetapi kita sebenarnya tidak tahu mengapa dan bagaimana. Perjalanan peribadi Larry (Lawrence) membolehkan kita memahami perkara tersebut secara agak mudah dan menarik,'' kata Gibney dalam satu temubual.
Diadaptasi daripada buku The Looming Tower: al Qaeda and the Road to 9/11, karya Wright pada 2007 yang memenangi Hadiah Pulitzer, filem berkenaan saling beralih daripada Wright bercerita di atas pentas dan temubual sebenar dengan sumber Wright.
''Mencari al-Qaeda tidaklah begitu mudah, seperti persoalan siapakan individu di sebaliknya? Ia mengenai dari mana mereka datang. Apakah punca yang menyebabkan keganasan dijadikan manifesto?'' kata Gibney.
Filem berkenaan bermula dengan Wright menjelaskan proses Ayman al-Zawahiri, seorang pakar bedah Mesir yang menubuhkan al-Qaeda berubah menjadi radikal.
Pada 1984, al-Zawahiri keluar dari sebuah penjara di Kaherah selepas diseksa dengan elektrik dan anjing liar selama tiga tahun, menurut Wright.
''Ekoran itu beliau telah menjadi seorang yang kental dan berazam untuk membalas dendam,'' kata wartawan itu.
Selepas itu filem berkenaan beralih untuk menerangkan bagaimana bapa Osama bin Laden yang dipaparkan sebagai seorang buruh Yemen bermata satu yang tidak terpelajar muncul sebagai kontraktor terbesar di Arab Saudi.
Bagaimanapun Osama bin Laden hilang kepercayaan terhadap Arab Saudi, kata Wright merujuk kepada peristiwa beliau dihina setelah permintaannya ditolak oleh Arab Saudi bagi melindungi rakyatnya apabila Kuwait ditakluk oleh Saddam Hussein pada 1990.
Sebaliknya Arab Saudi beralih kepada AS yang menyebabkan maruah Osama Bin Laden tercalar.
Menurut penulis berkenaan, insiden berkenaan menjadi agenda awal al-Qaeda untuk menghalau tentera AS dari Asia Barat kerana kehadirannya merupakan satu penghinaan.
Osama bin Laden juga menurut Wright, dikuatkan semangatnya oleh satu peristiwa bersejarah pada 11 September 1683. Pada tarikh tersebut tentera Poland, Austria dan Jerman mematahkan penguasaan Empayar Ottomaniah ke atas Vienna, sekaligus menandakan permulaan kejatuhan empayar Islam itu dan pengikut Kristian di Barat kembali bertapak.
Menurut Gibney, adalah sesuatu yang menarik untuk mengetahui cara Osama bin Laden melihat semula dirinya sebagai seorang wira yang akan memimpin Asia Barat bagi mencapai kemenangan ke atas Barat. - Reuters

Filem Bollywood ditayang semula



DHAKA 25 April – Bangladesh menarik balik larangan tayangan filem-filem dari India selepas 40 tahun dikuatkuasakan dalam usaha meningkatkan jumlah penonton ke panggung wayang negara ini, satu langkah yang dikritik hebat pelakon serta pengarah tempatan.
Filem-filem yang diterbitkan industri hiburan Bollywood tidak boleh ditayangkan di pawagam Bangladesh sejak 1972, setahun selepas kemerdekaan negara ini bagi melindungi industri filem tempatan.
“Kami telah menarik balik larangan itu bagi menjana industri filem,” kata Menteri Perdagangan Bangladesh, Faruk Khan.
Pemilik panggung wayang yang kecoh setelah dibenar menayangkan filem India berkata, filem Bollywood akan ditayangkan tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Pemilik Panggung Wayang Bangladesh Kazi Firoz Rashid berkata, keputusan kerajaan itu merupakan perkara terbaik yang berlaku dalam industri perfileman negara ini.
Jumlah panggung wayang di Bangladesh menurun kepada 600 buah pada tahun ini daripada 1,600 buah pada 2000 kerana filem tempatan dan filem pornografi ringan berbahasa Inggeris yang ditayangkan gagal menarik penonton.
“Peminat filem boleh menonton filem-filem India di televisyen kabel, jadi mengapa ia tidak boleh ditayangkan di panggung wayang?
“Sebagai perbezaan, standard, skrip dan penerbitan filem Bangladesh sudah tidak menarik lagi dan ia juga tidak dapat menarik hati penonton serta tidak dapat menjana pendapatan,” katanya.
Salinan cakera video digital (DVD) cetak rompak filem-filem Bollywood boleh didapati dengan mudah di Bangladesh ekoran tiada tayangan filem dari negara itu yang diminati ramai penduduk tempatan.
Penarikan larangan tersebut dibuat di tengah-tengah hubungan mesra India-Bangladesh selepas berhadapan ketegangan semasa kerajaan sekutu Islam memerintah Dhaka dari 2001 hingga 2006. – AFP

Penduduk Okinawa bantah pangkalan udara AS



Gambar yang diambil kelmarin merakamkan pangkalan Tentera Udara Marin Amerika Syarikat, Futenma di Ginowan, Okinawa yang mendapat bantahan keras penduduk tempatan. - AFP


YOMITAN 25 April - Sehingga 100,000 penunjuk perasaan berhimpun di Okinawa, Jepun hari ini membantah kehadiran sebuah pangkalan udara tentera Amerika Syarikat (AS) di pulau ini, dalam perbalahan yang menguasai politik kebangsaan dan mengeruhkan hubungan Tokyo-Washington.
Protes besar-besaran dekat Pangkalan Udara Kadena, kemudahan tentera AS terbesar di rantau Asia Pasifik, disertai oleh Gabenor Okinawa, Hirokazu Nakaima dan lebih 30 datuk bandar.
Ramai penduduk di pulau beriklim subtropika ini tidak menyenangi kehadiran begitu ramai anggota tentera AS di pulau ini, warisan daripada kekalahan Jepun kepada AS semasa Perang Dunia Kedua.
Mereka mengadu tentang bunyi bising dan pencemaran dari pangkalan udara tersebut, di samping pergeseran antara askar AS dengan penduduk tempatan.
Isu tersebut mengancam masa depan politik Perdana Menteri, Yukio Hatoyama yang menerima tekanan, bukan sahaja daripada Washington tetapi juga sekutu politik beliau yang berhaluan kiri supaya menyelesaikan perbalahan itu.
Punca perbalahan ialah Stesen Udara Kor Marin AS di Futenma, yang sepatutnya dipindahkan dari bandar Ginowan yang sesak ke kawasan tepi pantai Henoka yang lebih sunyi di pulau ini.
Hatoyama selepas mengambil alih teraju kerajaan pada September lalu berkata, pangkalan itu boleh dipindahkan terus dari Okinawa. Namun usaha mencari lokasi alternatif disambut dengan protes penduduk tempatan.
"Kami tidak mungkin menerima pangkalan udara AS di sini. Jika itu berlaku, seluruh industri perikanan kami akan rosak," kata Hiroyuki Akamine, presiden koperasi nelayan di sebuah lokasi alternatif yang dicadangkan.
Perdana Menteri menetapkan hujung bulan depan sebagai tarikh akhir untuk menyelesaikan isu tersebut tetapi AS mahu Tokyo mematuhi rancangan asal. - AFP

Jutawan India terkaya di Britain



LONDON 25 April - Nilai harta individu- individu terkaya di Britain dilaporkan meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh setahun ketika kebanyakan negara masih bergelut untuk pulih daripada kegawatan ekonomi.
Senarai kekayaan individu terkaya di Britain yang disiarkan Sunday Times hari ini, menunjukkan hartawan keluli dari India, Lakshmi Mittal dan keluarganya kekal di tangga teratas dengan aset berjumlah AS$34.5 bilion (RM110 bilion), berbanding AS$16.6 bilion (RM53 bilion) yang diperolehnya pada tahun lalu.
Jutawan Rusia yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, Roman Abramovich, kekal di tangga kedua dengan kekayaan berjumlah AS$11.3 bilion (RM36 bilion), peningkatan sebanyak AS$615 juta (RM2 bilion) berbanding tahun sebelumnya.
Penyusun senarai itu bagi 2010, Philip Beresford berkata, peningkatan jumlah kekayaan individu-individu terkaya di Britain pada tahun ini merupakan peningkatan tertinggi sejak ia pertama kali disiarkan 21 tahun lalu.
Pemulihan pasaran saham global dan nilai harta berikutan kegawatan ekonomi dunia sebelum ini, membantu meningkatkan kekayaan individu-individu berkenaan.
Seramai 1,000 individu terkaya di Britain menambah kekayaan terkumpul mereka sehingga AS$118.4 bilion (RM377 bilion) pada tahun lalu, meningkatkan jumlah kekayaan keseluruhan sebanyak AS$515.9 bilion (RM1.6 trilion).
Sepuluh individu berkongsi kedudukan sebagai jutawan ke-53 terkaya di Britain.
Peningkatan pasaran komoditi menambah kekayaan usahawan perlombongan, Alisher Usmanov sebanyak 213 peratus kepada AS$7.2 bilion (RM22.9 bilion) dan Anil Agarwal sebanyak 583 peratus kepada AS$6.3 bilion (RM20.1 bilion).
Ketika menjelaskan sebab-sebab usahawan asing mengatasi jutawan Britain dalam senarai itu, Beresford berkata, rakyat Rusia menyukai United Kingdom (UK) kerana ia selamat, tahap rasuahnya rendah dan mereka mendapat layanan perkhidmatan yang memuaskan. -- AFP

Baju Merah anjur ceramah berterusan



CERAMAH dihadiri ribuan penyokong Baju Merah diadakan berterusan di persimpangan Ratchaprasong, yang menjadi 'markas' mereka di tengah Bangkok. - Utusan



BANGKOK 25 April - Pemimpin-pemimpin kumpulan Baju Merah mengadakan ceramah tanpa henti di sepanjang Jalan Rama 1 hingga ke persimpangan Ratchaprasong di tengah bandar raya ini, yang merupakan kawasan pusat perdagangan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ceramah-ceramah itu diadakan dalam suasana aman dihadiri beribu-ribu penyokong Baju Merah, diselang-seli dengan konsert.
Para peniaga di sepanjang jalan sejauh dua kilometer itu pula tidak melepaskan peluang menjual pelbagai jenis barangan termasuk cenderamata berkaitan dengan kumpulan Baju Merah.
Walaupun, jalan masuk ke kawasan berkenaan masih dihalang setelah kumpulan Baju Merah membina benteng daripada tayar-tayar dan buluh runcing selain pemeriksaan oleh ahli kumpulan Baju Merah, ia tidak menyekat orang ramai memenuhi kawasan itu sejak awal pagi bagi mendengar ceramah atau membeli barangan.
Seorang pelancong dari United Kingdom, John Ansley, 76, berkata, walaupun negaranya mengeluarkan arahan supaya tidak berada di kota raya ini, namun dia tidak mempunyai pilihan berikutan penerbangannya ke London masih tergendala.
"Pada mulanya saya agak takut, namun selepas bertanyakan kepada penduduk tempatan, saya datang melawat kawasan protes ini.
"Apa yang dapat saya katakan ialah, kawasan ini seperti bazar mingguan yang menjual pelbagai keperluan harian tetapi mempunyai ceramah dan juga konsert," katanya.
Cuaca panas sekitar 38 darjah Celsius di Bangkok juga menyebabkan kebanyakan penyokong kumpulan Baju Merah tidur di sepanjang Jalan Rama 1 menuju ke persimpangan Ratchaprasong yang menjadi 'rumah' sementara mereka sejak 14 Mac lalu.
Lebih menarik, sesiapa sahaja yang berada di situ akan dijamu secara percuma dan sesekali ada pengunjung yang akan membeli makanan untuk dibahagi-bahagikan kepada penyokong Baju Merah. - Utusan

Puting beliung di Mississippi, 24 maut



rumah-rumah kediaman sepanjang pantai dari lebuh Sea Island di utara Eagle Lake di daerah Warren utara Vicksburg, Mississippi musnah selepas dilanda puting beliung kelmarin. - AP


WASHINGTON 25 April - Sekurang-kurangnya 10 orang maut, manakala 24 lagi cedera dan berpuluh-puluh rumah musnah apabila ribut dan puting beliung melanda negeri Mississippi, selatan Amerika Syarikat (AS), semalam.
Mangsa angin kencang itu termasuk dua kanak-kanak dan sepasang suami isteri di Daerah Choctaw, kata jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi, Jeff Rent.
Bilangan kemalangan jiwa dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat membersihkan kawasan bencana selepas puting beliung mengakibatkan bumbung bangunan berterbangan, rumah-rumah ranap, kenderaan terbalik, talian elektrik terputus dan pokok-pokok tumbang merintangi jalan.
Pasukan penyelamat berusaha menyelamat penduduk termasuk menggunakan kenderaan pacuan empat roda terutama di kawasan yang paling teruk dilanda angin kencang selaju 241 kilometer sejam itu, iaitu Daerah Yazoo yang terletak di kawasan berbukit di Delta Mississippi.
Gabenor Mississippi, Haley Barbour mengisytiharkan darurat di 17 daerah yang dilanda ribut dan puting beliung dan meminta Pengawal Kebangsaan membantu pegawai tempatan dalam operasi kecemasan.
Pekerja Palang Merah Amerika turut dikerahkan ke kawasan bencana.
"Akibat ribut itu banyak penduduk Mississippi yang kehilangan rumah dan perniagaan," kata Barbour.
Empat mangsa dibawa dengan helikopter dari Yazoo City ke Pusat Perubatan Universiti Mississippi di Jackson, manakala pasukan 17 yang lain dibawa dengan ambulans ke hospital-hospital berhampiran.
"Bencana ini mengingatkan saya tentang Taufan Katrina (yang melanda New Orleans)," kata Barbour kepada wartawan di Yazoo City yang juga bandar kelahiran beliau. - AFP

Abhisit ikrar usir penunjuk perasaan



BANGKOK 25 April - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva berikrar untuk mengusir kumpulan Baju Merah yang berkampung di persimpangan Ratchaprasong di tengah kota Bangkok yang merupakan pusat perdagangan.
''Kami akan merampas semula Ratchaprasong tapi saya tidak akan memberitahu bila, bagaimana proses dan tindakan ia akan dilakukan kerana ia bergantung kepada banyak perkara.
"Perkara pokok sekarang bukan untuk menyuraikan kumpulan itu tetapi lebih kepada untuk menyelesaikan keseluruhan masalah," kata Abhisit ketika bercakap menerusi televisyen nasional bersama Ketua Tentera Thailand, Jeneral Anupong Paojinda, hari ini.
Siaran televisyen itu dilihat dapat meredakan khabar angin yang menyatakan bahawa Abhisit sedang bersengketa dengan Anupong mengenai bagaimana hendak menyelesaikan krisis politik yang sedang melanda Thailand sekarang.
Sementara itu, Anupong ketika ditanya mengenai bagaimana krisis itu akan diselesaikan, berkata tentera hanya mengikut arahan kerajaan.
"Kami adalah tentera untuk negara, untuk raja dan untuk rakyat. Kami akan menjalankan tugas tanpa menyebelahi mana-mana pihak dan kami akan mematuhi arahan kerajaan," katanya.
Kelmarin, Ketua Tentera itu berkata, penggunaan kekerasan bukanlah jalan bagi menyelesaikan krisis tersebut.
Abhisit turut menjelaskan mengapa beliau enggan membubarkan Parlimen.
Menurutnya, pembubaran Parlimen bukanlah jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang melanda Thailand sekarang.
"Saya tidak boleh menerima permintaan kumpulan penunjuk perasaan (supaya membubarkan Parlimen) sebab saya tidak mahu perkara tersebut menjadi kebiasaan.
"Walau apa pun, kerajaan akan tetap mencari jalan bagi menyelesaian masalah politik ini dan ia tidak ada kena mengena dengan berapa lama saya akan memegang jawatan ini.
"Kerajaan akan berkerjasama dengan rakyat untuk mencari penyelesaian bagi membolehkan satu pilihan raya adil dapat dijalankan," kata Abhisit.
ketika bercakap menerusi televisyen nasional bersama Ketua Tentera Thailand, Jeneral Anupong Paojinda, hari ini. - Utusan

Saksi: Projek bina empangan ditangguh



KUALA TERENGGANU 25 April - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa projek pembinaan empangan kedua di Hulu Terengganu terpaksa ditangguh atau dibatalkan semasa negeri itu di bawah pemerintahan Pas (1999-2004).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid bagaimanapun berkata, beliau tidak ingat bila dan siapa yang memaklumkan mengenai perkara tersebut.
''Seingat saya, saya dimaklumkan bahawa Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika itu, Datuk Awang Adek Hussin (kini Timbalan Menteri Kewangan) mengumumkan bahawa projek empangan itu ditunda atau dibatalkan," katanya dalam sesi soal balas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Terengganu, Datuk Abd. Rahin Uda.
Rosol merupakan saksi kedua plaintif kes membabitkan pembatalan konsesi balak melalui Perjanjian Mengambil Hasil Hutan yang ditandatangani antara Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd. (Riyapadu) dengan kerajaan negeri.
Pembatalan konsesi balak itu didakwa dilakukan secara tidak sah pada 2003 yang menyebabkan Riyapadu dibebani hutang melebihi RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak, selain kerugian bayaran premium RM25 juta yang telah dijelaskan dan juga berdepan tindakan undang-undang oleh kontraktor dan pembeli balak terlibat.
Riyapadu mengemukakan saman itu bagi mendapatkan semula bayaran premium RM25 juta, kos kewangan dan kehilangan keuntungan dijangka hampir RM1 bilion.
Plaintif diwakili oleh Sukhdev Singh Randhawa dari Tetuan Azlan Shah Sukhdev & Co. dan kerajaan negeri diwakili oleh Abu Bakar Jais.
Rosol berkata, beliau yang ketika itu sebagai wakil pembangkang pernah membangkitkan isu pembalakan di kawasan tapak cadangan empangan kedua dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pembalakan akan diteruskan di tapak cadangan kawasan empangan kedua itu.
Perbicaraan akan bersambung esok.

Nordin Kardi didenda RM5,000



ALOR SETAR 25 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Tan Sri Dr. Nordin Kardi membayar denda RM5,000 kerana kesalahan menghina mahkamah dalam tempoh dua minggu atau menjalani hukuman penjara sebulan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zamani Abdul Rahim mengeluarkan perintah itu selepas menolak rayuannya bagi penangguhan pelaksanaan hukuman denda itu sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Pada 3 Februari lepas, Dr. Nordin didenda RM5,000 atau penjara sebulan kerana gagal melaksanakan perintah injunksi yang dibuat Mahkamah Tinggi di sini yang menghalang universiti itu menganjurkan program pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA).
Dr. Nordin, yang tidak hadir di mahkamah hari ini dan UUM diwakili peguam K.Valen.
Perintah injunksi itu diperoleh sebuah syarikat penganjur program MBA dengan UUM, KIC Management pada 8 Julai tahun lepas.
Peguam C.V. Krishnadevan yang mewakili KIC Management berkata UUM gagal mematuhi perintah injunksi itu, menyebabkan pihak syarikat memfailkan waran komital pada Oktober tahun lepas.
Pengarah Urusan KIC Management Azahar Abdul Rahman berkata, syarikat memohon injunksi itu selepas UUM, melalui surat bertarikh 18 Mei 2009, membatalkan perjanjian usahasama dengan pihaknya bagi mengendalikan program tersebut mulai 1 Jun tahun lepas.
Mengikut perjanjian itu yang ditandatangani pada 1 September 2008, pihak yang mahu menamatkan kontrak mesti memberikan notis bertulis enam bulan lebih awal dan selepas pelajar sesi terakhir menamatkan pengajian mereka, katanya. -- BERNAMA

Pelajar diugut sehingga trauma



ALOR SETAR 25 April - Hanya kerana terlewat menjalani latihan futsal, seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, diugut hingga mengakibatkan pelajar itu mengalami trauma.
Ugutan diterimanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pelbagai cercaan lain di dalam laman web sosial Facebook sejak kira-kira dua bulan lalu.
Malah peristiwa itu juga telah menjadikan hidup mangsa, Nur Rabiatul Adawiyah Rashid, 19, yang periang berubah menjadi pendiam dan sering tertekan.
Menurutnya, kejadian bermula pada 24 Februari lalu apabila dia yang merupakan kapten di dalam pasukan futsal kolejnya terlewat menjalani latihan.
"Berikutan itu, saya menerima ugutan melalui SMS pada hari tersebut, Saya bagaimanapun tidak membalas ugutan pelajar perempuan berkenaan.
"Mungkin marah kerana saya tidak membalas (SMS) dia datang membawa enam rakan lain dan menyerang saya di dalam bilik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dalam kejadian itu, dia tidak dicederakan secara fizikal sebaliknya didera mental.
Nor Rabiatul berkata, pelajar itu juga menghasut rakan-rakan di IPT tersebut untuk memulaunya dan ia telah menjadikan hidupnya tertekan.
"Saya tiada teman kerana rakan sebilik saya turut dihasut oleh orang yang mengugut saya.
"Walaupun telah tamat pengajian pada April lalu, saya masih fobia dan trauma dengan kejadian itu," katanya.
Jelasnya, dia terpaksa berjumpa dengan pakar psikiatri kerana tertekan dan disahkan mengalami tekanan perasaan.
"Saya juga telah membuat laporan polis pada 7 Mac lalu ketika diugut melalui SMS dan pada 28 Mac pula saya membuat laporan kerana diserang di dalam bilik.
"Saya tidak tahan dihina oleh orang yang mengugut saya," katanya.
Sementara itu, bapa Nor Rabiatul, Rashid Abdullah, 55, ketika dihubungi berkata, dia sedih apabila anaknya yang dahulunya periang kini berubah menjadi pendiam dan kurang bercakap.
"Pada mulanya anak saya tidak menceritakan mengenai masalahnya namun lama-kelamaan dia meluahkan kepada saya apa yang telah menimpanya.
"Saya terkilan kerana apabila masalah ini diajukan kepada pihak pentadbiran IPT tersebut, mereka hanya mendiamkan diri dan tiada tindakan diambil kepada pelajar yang mengugut anak saya," ujarnya.
Tambahnya, dia juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar terbabit agar kejadian tersebut tidak berulang.

JAIS nafi anggotanya terlibat





SHAH ALAM 25 April - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menafikan anggota penguat kuasanya terlibat dalam serbuan khalwat yang menyebabkan seorang pelajar lelaki terbunuh akibat tergelincir dari tingkat lima Pangsapuri Jelutong, Selayang Heights dekat sini semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nurhamizah Othman berkata, ketika serbuan yang turut disertai pihak polis itu dilakukan, anggota penguat kuasa jabatan itu tidak berada di tempat kejadian.
Beliau berkata, pihak yang membuat serbuan ketika itu ialah ahli jawatankuasa masjid di kawasan tersebut.
''Jadi, saya ingin menjelaskan tiada anggota penguat kuasa JAIS terlibat semasa serbuan itu. Pihak JAIS hanya menerima laporan serbuan yang diserahkan oleh ahli jawatankuasa masjid yang diberi kad kuasa untuk melakukan serbuan khalwat bersama pihak polis," kata beliau ketika dihubungi di sini petang ini.
Mengenai pelajar wanita yang merupakan kekasih mangsa beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadapnya selepas ini atas kesalahan berkhalwat.
Dalam kejadian pukul 1.40 pagi semalam, seorang pelajar lelaki sebuah kolej terbunuh selepas tergelincir dari tingkat lima Pangsapuri Jelutong ketika cuba menyembunyikan diri daripada serbuan itu.
Terdahulu pelajar lelaki terbabit dipercayai bermalam di rumah teman wanitanya yang juga rakan kolejnya tanpa menyedari perbuatan mereka diketahui jiran-jiran yang kemudiannya membuat aduan kepada pihak masjid.
Pelajar lelaki terbabit meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian dan mayatnya ditemui di dalam longkang.

75 rakyat Sri Lanka ditahan





Sebahagian dari 75 pelarian Sri Lanka menjamah makanan yang diberikan selepas ditahan di jeti Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang, baru-baru ini. - BERNAMA


PULAU PINANG 25 April - Satu sindiket pemerdagangan manusia berjaya dipatahkan dengan penahanan seramai 75 rakyat Sri Lanka yang dipercayai cuba diseludup ke Australia di perairan Tanjung Piandang, Perak, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, tiga buah bot peronda Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1 telah menahan sebuah bot nelayan yang berada dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.
Hasil pemeriksaan menemui warga asing berusia enam hingga 60 tahun iaitu 61 lelaki, masing-masing enam wanita dan kanak-kanak perempuan serta dua kanak-kanak lelaki dipercayai cuba diseludup ke Australia.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, bot itu yang mengalami kerosakan dengan terdapat kira-kira lima kesan kebocoran dipercayai ditinggalkan tekong setelah menyedari kehadiran pasukan PGM.
Menurutnya, PGM kemudian menunda bot itu hingga ke Jeti Pangkalan PGM Wilayah 1 di Batu Uban di sini, dan sampai pada pukul 6.40 petang.
"Kesemua rakyat Sri Lanka yang tidak memiliki sebarang dokumen sah itu bagaimanapun enggan keluar dari bot walaupun dipujuk.
"Berikutan itu, kita terpaksa menghubungi wakil Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNHCR) bagi membantu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalannya, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Komander PGM Wilayah 1, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan.
Ayub berkata, kesemua warga asing tersebut hanya dapat dibawa keluar dari bot berkenaan tanpa menggunakan kekerasan pada pukul 11.30 pagi.
"Mereka juga membuat pelbagai tuntutan antaranya jaminan untuk dihantar ke negara yang diminta (Australia), namun tidak dapat dipenuhi kerana ia melibatkan negara ketiga," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan rakyat Sri Lanka itu memilih ke Malaysia sebagai transit sebelum meneruskan perjalanan ke negara ketiga.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memasuki negara asing tanpa dokumen yang sah.
Pada masa sama, tambahnya, jika siasatan polis mendapati kes itu turut didalangi oleh mana-mana tekong atau sindiket tempatan, ia akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
"Kesemua mereka kini ditahan selama 14 hari di Depot Imigresen di Juru sebelum merujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
"Kita telah memberikan mereka yang ditahan bantuan makanan dan juga perubatan," katanya.

Polis tahan suami Ahzila



JOHOR BAHRU 25 April - Polis hari ini berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai menghilangkan diri selepas membunuh isterinya di Blok C, Flat Larkin, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika mengesahkan perkara itu berkata, lelaki tersebut ditahan di rumah saudaranya di Kota Tinggi, kira-kira pukul 6 petang.
Semalam, Ahzila Mohamad Sufian, 23, yang merupakan ibu kepada tiga anak ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya dipercayai akibat ditikam oleh suaminya.
Mangsa yang juga pembuat kek ditemui oleh polis dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2 petang.
Sebelum kejadian, mangsa dan suaminya yang berusia 30 tahun dipercayai bergaduh.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke rumah mangsa mendapati ia tidak berpenghuni dengan pintunya berkunci.
Kunjungan ke rumah ibu mangsa, Zainon Abdul Kadir di tingkat 10 blok yang sama pula disambut oleh seorang lelaki yang enggan dikenali.
Lelaki itu memaklumkan ibu mangsa keluar untuk membeli barang bagi persiapan untuk majlis tahlil pada malam ini.

Pengawal sekolah disyaki cabul pelajar



KUALA LUMPUR 25 April - Polis mendapat perintah tahanan reman selama empat hari ke atas seorang pengawal keselamatan yang disyaki mencabul seorang murid perempuan berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Batu Arang, Rawang, dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, lelaki warga emas berusia 64 tahun itu ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Disebabkan hari ini cuti umum dan mahkamah tidak beroperasi, maka Majistret pergi ke Balai Polis Rawang untuk memberi perintah ke atas lelaki itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pengawal keselamatan itu diburu polis selepas ibu mangsa membuat laporan yang mendakwa suspek mencabul anaknya dalam tandas sekolah.
Insiden itu berlaku pada pukul 5.30 petang semasa mangsa yang bersekolah pada sesi pagi menghadiri kelas tarian dan sedang menunggu ibunya untuk pulang.
Bagaimanapun, mangsa telah ke tandas untuk membuang air kecil dan secara kebetulan telah bertemu dengan suspek.
Suspek kemudian bertanya sama ada mangsa sudah membasuh kemaluannya lalu membawanya masuk semula ke dalam tandas.
Di situ, suspek dipercayai menyuruh mangsa membersihkan kemaluannya seterusnya dicabu