Search This Blog

Sunday, April 25, 2010

H1N1: Satu Lagi Kematian Melibatkan Lelaki 63 Tahun



KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Satu lagi kematian berkaitan virus influenza A (H1N1) dilapor, membabitkan seorang lelaki berusia 63 tahun yang menghidap penyakit paru-paru kronik.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 22 April lepas dan meninggal dunia keesokan harinya.

Beliau berkata walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, pakar perubatan yang mengendalikan kes itu mengesahkan kematian disebabkan jangkitan bakteria dalam darah berdasarkan keputusan ujian darah yang dijalankan.

"Oleh itu jumlah kematian H1N1 seluruh negara masih kekal 80 orang," katanya dalam kenyataan.

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr Mohd Ismail berkata sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 39 kes disahkan influeza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini 13,436 kes.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga pukul 8 pagi ini, pihaknya menerima tiga laporan kejadian kluster ILI dari tiga negeri iaitu Pahang, Melaka dan Kedah.

Beliau berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad adalah 545 kes dan daripada jumlah itu 60 kes (11 peratus) disahkan positif influenza A (H1N1) manakala 10 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan sembilan daripadanya mempunyai faktor risiko.

"Majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, ibu mengandung dan kegemukan.

"Oleh itu orang ramai yang mempunyai faktor risiko dinasihatkan supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan virus H1N1 orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/300.

-- BERNAMA

Macam-macam: Pesara pulangkan biskut dicuri 50 tahun dahulu





2010/04/25

LONDON: Seorang pesara memulangkan biskut Jaffa Cakes yang dicurinya ketika berusia 15 tahun. 

John Bibby mencuri biskut itu ketika bekerja di bar kopi di kem percutian Skipsea, East Yorkshire.
Perasaan bersalah menghantuinya sejak itu dan mengambil keputusan mengaku kepada bekas ketuanya Leslie Simpson, lapor akhbar Daily Mail. Bibby, 65, membeli sepeket biskut dengan harga 92 pence (RM4.51) dan memandu hampir 60 kilometer dari rumahnya di York untuk bertemu Simpson, 79, yang tinggal berhampiran Beverley, East Yorkshire. – Agensi

Wanita Perancis didenda memandu pakai niqab





2010/04/25

ANNE didenda pihak berkuasa kerana memandu memakai niqab  bersama suaminya.
ANNE didenda pihak berkuasa kerana memandu memakai niqab bersama suaminya.
Bukti kerajaan serius laksana undang-undang pemakaian 

PARIS: Seorang wanita Perancis berusia 31 tahun didenda kerana memakai niqab ketika memandu - tanda terbaru keazaman kerajaan Presiden Nicolas Sarkozy untuk bersikap tegas terhadap pakaian yang menutup muka itu.
Wanita berkenaan yang memberi namanya Anne memberitahu stesen televisyen LCI kelmarin beliau ditahan polis bulan lalu ketika memandu di bandar Nantes. Beliau sedang memakai niqab hitam yang menutup muka tetapi mendedahkan matanya. Polis mengenakan denda 22 euro (RM74.8) atas sebab pakaian beliau membawa risiko ketika memandu. 

“Mata saya tidak ditutup. Saya boleh melihat seperti anda dan penglihatan saya tidak dihalang,” kata wanita itu yang tidak mahu mendedahkan nama sebenarnya. 
Wanita itu berkata beliau akan merayu hukuman yang dikenakan terhadapnya dalam kes yang kini sudah sampai ke peringkat menteri. 

Menteri dalam negeri, Brice Hortefeux kelmarin meminta menteri imigresen untuk membatalkan kerakyatan Perancis suami wanita itu kerana mempunyai empat isteri dan 12 anak. 
“Setiap daripada isterinya itu mendapat manfaat ibu tunggal dan semuanya memakai niqab,” kata Hortefeux dalam surat permintaan itu yang didedahkan kepada Reuters. 

“Saya menghargai jika anda boleh meneliti sama ada dakwaan ini benar atau tidak dan menimbangkan agar kerakyatan individu ini boleh ditarik balik,” katanya dalam surat kepada menteri imigresen Eric Besson. 

Suami wanita itu yang namanya juga tidak didedahkan dilahirkan di Algeria dan mendapat kerakyatan Perancis pada 1999. 

Kontroversi terhadap tudung menutup muka itu timbul dua hari selepas Sarkozy menyatakan sokongannya terhadap larangan memakai tudung menutup muka di tempat awam. 

Tinjauan pendapat menunjukkan larangan itu disokong oleh kebanyakan rakyat Perancis tetapi pakar undang-undang berkata larangan akan mencabuli perlembagaan negara itu. 

Malah, mahkamah tertinggi Perancis memberi amaran sebarang larangan penuh akan melanggar undang-undang. – Reuters

Rayuan ditolak, Naib Canselor UUM didenda RM5,000





2010/04/2

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari memerintahkan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Nordin Kardi membayar denda RM5,000 kerana kesalahan menghina mahkamah dalam tempoh dua minggu atau menjalani hukuman penjara sebulan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zamani Abdul Rahim mengeluarkan perintah itu selepas menolak rayuannya bagi penangguhan pelaksanaan hukuman denda itu sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Pada 3 Februari lalu, Dr Nordin didenda RM5,000 atau penjara sebulan kerana gagal melaksanakan perintah injunksi yang dibuat Mahkamah Tinggi di sini yang menghalang universiti itu menganjurkan program pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA). Dr Nordin, yang tidak hadir di mahkamah hari ini dan UUM diwakili peguam K.Valen. 

Perintah injunksi itu diperoleh sebuah syarikat penganjur program MBA dengan UUM, KIC Management pada 8 Julai tahun lepas.

Peguam C.V. Krishnadevan yang mewakili KIC Management berkata UUM gagal mematuhi perintah injunksi itu, menyebabkan pihak syarikat memfailkan waran komital pada Oktober tahun lalu.

Pengarah Urusan KIC Management Azahar Abdul Rahman berkata syarikat memohon injunksi itu selepas UUM, melalui surat bertarikh 18 Mei 2009, membatalkan perjanjian usahasama dengan pihanya bagi mengendalikan program tersebut mulai 1 Jun tahun lalu. 
Mengikut perjanjian itu yang ditandatangani pada 1 Sept 2008, pihak yang mahu menamatkan kontrak mesti memberikan notis bertulis enam bulan lebih awal dan selepas pelajar sesi terakhir menamatkan pengajian mereka, katanya. - Bernama

Mayat wanita ditemui di perangkap sampah




2010/04/25

TANGKAK: Mayat seorang wanita yang hanya bercoli hitam ditemui terapung di perangkap sampah di Sungai Tangkak, Kampung Sri Maamor, dekat sini, kelmarin. 

Mayat Hasnah Amat Taslim, 43, yang juga penduduk kampung itu ditemui oleh lelaki yang sedang mengutip botol di tepi sungai berkenaan kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Wanita berkenaan dipercayai dipercayai kurang siuman.

Penduduk Hulu Selangor mengundi hari ini




PETI-PETI undi disusun di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor bagi persiapan Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor hari ini.


HULU SELANGOR - Selepas berkempen selama seminggu yang menyaksikan pemimpin politik tertinggi negara turun padang ke kawasan Hulu Selangor, kira-kira 63,700 pemilih berdaftar mengundi hari ini bagi memilih Ahli Parlimen yang baru.
Kempen untuk memikat hati dan minda pengundi yang sedang berlangsung di seluruh kawasan sebesar saiz negeri Melaka dan bersempadan dengan Perak dan Pahang itu, tamat tengah malam tadi.
Pengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka di 48 pusat mengundi untuk memilih calon mereka, sama ada Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan, 44, daripada Barisan Nasional (BN) atau bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, 59, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pusat mengundi akan dibuka dari pukul 8 pagi dan ditutup 5 petang. Keputusan dijangka diketahui seawal 9.30 malam. Kira-kira 799 pengundi pos yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pekerja pilihan raya mengundi pada Khamis dan Jumaat lepas.

3 lelaki dijel guna nama MB Johor



JOHOR BAHRU - Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes penipuan penjualan tanah bernilai RM9.3 juta dengan menggunakan nama Menteri Besar Johor, 15 tahun lalu.
Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap pengamal perubatan tradisional, Md. Jhomi Supian, 56, dan ahli perniagaan, Johari Mansor, 52, manakala tiga tahun penjara ke atas broker tanah, Yap You Jee, 61, kerana menipu Pengarah Syarikat Solid Estate (Sarawak) Sdn. Bhd., Datuk Ding Lian Cheon.
Mereka dituduh memperdaya mangsa dengan mendakwa telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Negeri Johor untuk pembelian lot tanah 21448 dan 1152 di Jalan Skudai, di sini dengan harga RM7.5 juta di antara 28 Jun 1995 dan 25 Julai 1995.
Berikutan itu mereka didakwa menerima cashier's order bernilai S$3.45 juta (RM6.14 juta) daripada Lian Cheon, yang ditunaikan dengan kad pengenalan palsu tertera nama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Md. Jhomi dan Johari juga didakwa menipu Lian Cheon dengan mendakwa telah mendapatkan pembatalan tuntutan premium keatas tanah tersebut daripada Majlis Mesyuarat Negeri Johor di Hotel Tanahmas di Sibu, Sarawak pada 10 September 1995.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh telah mendapat bayaran sebanyak RM2 juta daripada Lian Cheon di Hotel Hyatt Regency di sini pada 23 September 1995.

Iraq tutup penjara rahsia



BAGHDAD - Pihak berkuasa Iraq kelmarin akhirnya menutup sebuah penjara rahsia menempatkan lebih 400 banduan Sunnah yang ditahan tanpa perbicaraan dan menangkap tiga pegawai tentera negara itu yang menguruskan penjara tersebut.
Jurucakap Kementerian Hak Asasi Manusia Iraq, Kamil Ameen berkata, pegawai pusat tahanan itu melapor secara terus kepada pejabat Perdana Menteri, Nuri Al- Maliki, namun pegawai di situ pula menafikan hubungan dengan penjara itu.
Terletak di pangkalan udara Muthanna di tengah Baghdad, banduan terbabit dipercayai ditahan dalam siri kempen tentera Iraq di wilayah utara Nineveh pada tahun lalu dan sepatutnya diserah kepada Kementerian Kehakiman untuk perbicaraan.
"Ia bukan penjara rahsia tetapi pusat tahanan yang bebas dilawati mana-mana badan hak asasi dan kami menyangkal laporan kononnya ada diseksa termasuk dirogol," kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Qassim Al-Moussawi. - Reuters

Lelaki mati terjatuh apartmen






GOMBAK – Gara-gara takut dicekup pihak berkuasa kerana dipercayai berkhalwat, seorang pelajar lelaki sebuah kolej komuniti nekad melarikan diri dengan keluar melalui tingkap di tingkat lima, Apartmen Jelutong di Selayang Heights di sini awal pagi semalam.
Bagaimanapun tindakan pemuda berusia 21 tahun itu mengundang padah apabila dia terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.
LONGKANG tempat mangsa terjatuh.


Difahamkan, kejadian pada pukul 1.40 pagi itu disedari oleh ahli jawatankuasa masjid berdekatan yang pergi ke rumah tersebut untuk membuat pemeriksaan selepas menerima aduan berhubung satu pasangan bukan muhrim yang bersekedudukan.
Sebaik sampai di depan rumah, salah seorang daripada lima ahli jawatankuasa masjid yang mendapat tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu mengetuk pintu yang pada awalnya tidak dibuka.
ANAK panah menunjukkan tempat mangsa terjatuh dari tingkat lima di Gombak semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, setelah beberapa minit menunggu, salah seorang daripada mereka dikejutkan dengan bunyi objek terjatuh sebelum seorang wanita membuka pintu rumah.
“Pihak berkuasa itu kemudian memperkenalkan diri mereka dan menunjukkan kad kuasa untuk melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan.
“Ketika kejadian, salah seorang daripada mereka melihat terdapat satu tingkap dalam keadaan terbuka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Menurut Rosly, sebaik melihat ke bawah, kakitangan tersebut terkejut apabila melihat seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan terperosok di dalam longkang.

Lindsay curi jam Rolex RM112,000?

LOS ANGELES: Penyanyi kontroversi, Lindsay Lohan sekali lagi menjadi tumpuan media apabila beliau disoal-siasat polis selepas sebuah jam Rolex bernilai AS$35,000 (RM112,000) dilapor hilang.
Sumber lain mendakwa satu daripada jam yang hilang kemungkinan besar dipakainya.

Peguam Lindsay bagaimanapun menegaskan tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

Insiden ini dilapor hanya 24 jam selepas bapanya, Michael Lohan yang ditemani polis menyerbu ke apartmen didiaminya di Los Angeles. Michael menegaskan Lindsay, 23, tidak layak memelihara adiknya, Ali, 16, kerana beliau ketagihan pil penahan sakit.

“Ali didedah kepada gaya hidup liar dan Lindsay tidak layak menjadi penjaganya kerana beliau sendiri tidak dapat mengatur hidupnya,” katanya.

Lindsay bagaimanapun menempelak tindakan Michael dan mendakwa bapanya itu pernah mengugut ingin membunuhnya. - Agensi

Pelajar elak dicekup Jais temu ajal





2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GOMBAK: Seorang pelajar kolej yang cuba melarikan diri kerana bimbang dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) maut dalam keadaan mengerikan selepas tergelincir lalu jatuh dari tingkat lima pangsapuri, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 pagi apabila sekumpulan penguat kuasa Jais membuat operasi cegah maksiat di sebuah pangsapuri di kawasan itu.

Katanya, berdasarkan maklumat, penguat kuasa Jais bergegas ke sebuah unit di tingkat lima yang disyaki digunakan pasangan kekasih bukan muhrim untuk melakukan maksiat.

“Penguat kuasa Jais mengetuk pintu beberapa kali sebelum terdengar bunyi objek terjatuh dari dalam kediaman itu. Tidak lama kemudian pintu dibuka oleh seorang perempuan Melayu dalam keadaan cemas dan mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pasangan terbabit cuba melarikan diri melalui tingkap yang terbuka.

“Namun, penguat kuasa Jais terkejut apabila mendapati seorang lelaki terjatuh ke bawah pangsapuri dalam keadaan tubuhnya terperosok di dalam longkang.

“Lelaki berkenaan dipercayai cuba melarikan diri dengan meniti bahagian tembok luar tingkap pangsapuri terbabit, namun terjatuh dari tingkat lima,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pihak Jais kemudian menghubungi ambulans sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa mati akibat cedera parah pada kepala dan organ dalaman.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat sebelum pihak Jais membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati mangsa adalah pelajar kolej swasta. Keterangan teman wanitanya berhubung kejadian itu akan diambil,” katanya.

Rosly berkata, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut tanpa membabitkan sebarang unsur jenayah.

Jual susu anak beli dadah

SUBANG JAYA: Pengaruh rakan dan sikap ketagih yang tidak dapat dikawal menyebabkan ada penagih menjual susu anak untuk mendapatkan bekalan dadah.
Suzaidy berkata, akibat ketagih juga, ada penagih menjadikan wanita sebagai sasaran dengan memeras ugut bagi mendapatkan wang membeli dadah.

“Memang susah jika sudah ketagih. Peritnya hanya Tuhan yang tahu kerana saya juga pernah melalui pengalaman sama 10 tahun lalu.

“Paling menyedihkan apabila saya ditangkap di depan keluarga dalam keadaan positif dadah,” katanya ketika ditemui di program itu.

Justeru, beliau berkata, sejak diberi peluang oleh AADK untuk berceramah, beliau sering memberitahu masyarakat supaya jangan sesekali mendekati dadah.

Menurut Suzaidy, apabila terjebak dan mahu kembali ke pangkal jalan, pelbagai cabaran perlu ditempuhi bekas penagih., terutama pandangan masyarakat dan perjalanan masa depan.

“Status sebagai bekas penagih saja sudah cukup berat untuk digalas. Itu belum lagi cabaran sewaktu mahu mencari pekerjaan dan cacian orang sekeliling,” katanya.

“Mujur juga keluarga banyak memberi sokongan dan tak pernah putus memberi kata-kata semangat hingga saya diterima bekerja di AADK,” katanya.

Penyelaras Program Salam Mawaddah, Shuraiya Mohd Jamili meminta remaja perempuan berusia 18 tahun ke atas menjadi ahli Mawaddah sekitar daerah Petaling Jaya.

Sembilan ‘Geng Toyota KE30’ tumpas



Oleh ADNAN MOHAMAD
am@hmetro.com.my
2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TUMPAT: Seorang wanita warga Thailand berusia 30-an antara sembilan anggota ‘Geng Toyota KE30’ yang ditumpaskan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) ketika cubaan menyeludup minyak petrol dari Pengkalan Kubor, di sini, semalam.
Bagaimanapun, taktiknya tidak menjadi kerana simpati yang ditagih gagal menghalang anggota penguat kuasa mengambil tindakan kerana dikesan membeli minyak petrol bersubsidi untuk dijual ke negara jiran.

Dia yang ditahan ketika mengisi minyak petrol di sebuah stesen minyak dekat sini, mengaku menjual minyak terbabit kepada ‘peraih minyak’ yang sedia menunggu di pangkalan haram.

Dakwanya, dengan hanya bermodalkan kereta KE30 yang dibeli berharga RM1,400, dia boleh mendapat untung berikutan permintaan tinggi daripada peraih minyak di pangkalan haram terbabit.

Sebaik kereta Toyota KE30 tiba di pangkalan haram, pemiliknya akan menawarkan minyak petrol kepada pembeli tetap yang setia menunggu di kawasan terbabit.

Selain wanita terbabit, lapan lagi kenderaan ditahan bersama pemandunya iaitu empat di stesen minyak dan empat lagi di pangkalan haram Tanjong iaitu lokasi popular bagi penyeludupan minyak petrol dan diesel.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Mohamad Khalid Wahab, berkata semua kereta jenis Toyota KE30 yang ditahan itu sudah lama terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak dengan bentuk tangki diubahsuai.

Katanya, semua tangki kenderaan yang ditahan itu mampu mengisi sehingga 200 liter petrol berbanding hanya 65 liter bagi tangki asal.

“Operasi dijalankan semalam adalah hasil intipan seminggu yang dilakukan oleh 10 anggota Unit Risikan PGA7 dan diketuai Inspektor Risik Mohd Fazli Yaakub.

“Kita mengekori kenderaan disyaki ke stesen minyak, manakala ada juga yang ditahan ketika cuba menjual minyak di pangkalan haram,” katanya.

Menurutnya, daripada pemantauan dilakukan, semua kenderaan terbabit mempunyai cukai jalan, namun tangki kenderaan diubahsuai bagi mengisi minyak dalam jumlah yang banyak.

“Penggunaan kenderaan tempatan di sini memudahkan mereka mengisi minyak berbanding menggunakan kenderaan negara jiran yang hanya diperuntukkan sebanyak 20 liter, selain setakat jam 6 petang saja.

“Namun dengan risikan dibuat penduduk tempatan, dalang penyeludupan minyak ini berjaya ditumpaskan walaupun mereka melakukan pelbagai tipu helah,” katanya.

Mohamad Khalid berkata, semua minyak yang dirampas dianggarkan sebanyak 1,800 liter dengan nilai sebanyak RM3,240 tetapi boleh menjangkau sekali ganda selepas dijual di negara jiran.

Katanya, minyak yang dirampas akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) manakala kereta yang ditahan akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan selanjutnya.

Pisau tercacak di dada

SUNGAI PETANI: Seorang bekas anggota tentera berusia 42 tahun yang baru setahun menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditemui mati dengan pisau tercacak di dadanya di depan rumahnya di Desa Enggang, di sini, malam kelmarin.
Menurut sumber, sebaik keluar, isteri dan anak mangsa terkejut melihatnya dalam keadaan terbaring dengan tubuhnya berlumuran darah manakala sebilah pisau terpacak di kiri dadanya.

Katanya, isteri dan anak mangsa kemudian mencabut pisau itu dan menjerit meminta tolong daripada jiran sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Namun selepas setengah jam menerima rawatan di HSAH, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan pendarahan teruk akibat tikaman yang mengenai jantungnya.

“Isteri dan anak mangsa tidak tahu bagaimana pisau yang dibeli dari Sarawak itu boleh tertikam pada dadanya. Ini kerana pisau berkenaan sebelum ini hanya diletakkan sebagai barang hiasan di ruang tamu rumah dan mereka tidak nampak bila mangsa mengambilnya,” katanya.

Sumber berkata, Raja Dorai berasal dari Perak manakala isterinya dari Sarawak. Mangsa bekerja sebagai pemandu van kilang miliknya selepas menamatkan perkhidmatan dalam ATM setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, ketika dihubungi berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Kami mengambil keterangan daripada isteri dan anak mangsa, namun polis belum dapat menentukan motif kematiannya kerana perlu menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.




32 orang ditahan jadi 'tukang kecoh'





2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
Sebanyak 32 orang, termasuk enam orang hari ini, ditahan polis kerana pelbagai kesalahan sepanjang tempoh pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.
"22 termasuk tiga wanita ditahan sepanjang tempoh dari hari penamaan calon (17 April) hingga tempoh (tamat) berkempen (12 tengah malam tadi) manakala enam lagi ditahan pada hari ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua 22 orang itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Katanya sementara lima daripada enam lelaki yang ditahan hari ini disiasat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 427 kanun yang sama kerana khianat. - Bernama

Remaja hilang hampir 12 jam ditemui selamat





2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PULAU PINANG: Seorang remaja berusia 19 tahun yang tersesat hampir 12 jam di Taman Negara Teluk Bahang dijumpai selamat kira-kira 1 jam perjalanan dari pondok keselamatan taman itu, malam tadi.
Ketua Operasi Penyelamat Umno Teluk Awak Afzainizam@Bab Abdullah berkata, pihak berkuasa menerima laporan kehilangan remaja berkenaan pada jam 4.30 petang semalam dan gerakan mencari dan menyelamat dijalankan serta merta.

"Mohd Syafiq dijumpai pada jam 8.55 malam tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat di kawasan denai berdekatan dengan Pantai Kerachut dalam keadaan keliru dan lemah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, Mohd Syafiq dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat dijalankan Pasukan Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang, Pasukan renjer Taman Negara, Jabatan Pertahanan Awam Teluk Bahang dan penduduk tempatan.-Bernama

Kuala Lumpur catat 52 kematian akibat denggi dalam tempoh empat bulan





2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur mencatat 52 kes kematian akibat demam denggi dari Januari sehingga kini, kata Pengarah Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dr Sallehuddin Abu Bakar.
Dr Sallehuddin berkata, antara lokasi yang dikesan menjadi kawasan nyamuk aedes aktif membiak di sekitar Kuala Lumpur ialah Cheras, Setapak, Kepong, Gombak dan Klang Lama.

"Kita minta kerjasama msyarakat agar memastikan kawasan dalam rumah dan persekitaran rumah bebas Aedes," katanya ketika ditemui pemberita selepas menutup program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di Flat Kelumpuk Penguin, Keramat Wangsa, di sini hari ini.

Seramai 39 peserta program Combi di kawasan perumahan itu berperanan membantu penduduk memastikan kawasan perumahan mereka bebas daripada denggi di samping memberi informasi mengenai bahaya aedes kepada penduduk setempat.-Bernama

75 pelarian Sri Lanka ditahan di perairan Tanjung Piandang





2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PULAU PINANG: Seramai 75 pelarian Sri Lanka yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Tanjung Piandang, Kerian dua hari lalu.
Mereka dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga iaitu Australia.

"Difahamkan bahawa pendatang asing tanpa izin ini melarikan diri daripada negara mereka dan mahu menyeludup masuk ke negara ketiga iaitu Australia.

"Antara tuntutan mereka ialah jaminan bahawa mereka boleh pergi ke mana-mana negara dengan selamat serta diterima oleh negara yang ingin mereka pergi, dan mereka meminta untuk dihantar ke Australia," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob.

Beliau berkata, bot yang mereka naiki didapati mengalami kerosakan.

"Mereka kemudian dibawa ke Pangkalan Jeti Marin Batu Uban di sini pada jam 6.40 petang. Namun pada mulanya mereka enggan turun daripada bot apabila sampai di jeti dan mereka turut mengugut untuk terjun ke laut sekiranya dipaksa berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ayub berkata, mereka enggan turun kerana pihak berkuasa di sini tidak dapat memenuhi tuntuan mereka untuk ke negara ketiga.

"Pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Pelarian untuk membuat rundingan dengan pelarian itu," katanya.

Belia berkata, para pelarian akhirnya dikeluarkan dari dalam bot ke darat kira-kira 11.40 pagi tadi.

Ayub berkata, mereka kemudian ditahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Juru selama 14 hari untuk tindakan lanjut.

Katanya polis turut menyiasat sekiranya pelarian didalangi oleh pihak lain.

"Jika sekiranya mereka didapati didalangi oleh mana-mana tekong, kes ini akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.-Bernama

Kim didera suami





2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LAS VEGAS: Bintang realiti televisyen, Kim Kardashian didera dengan teruk oleh bekas suaminya, Damon Thomas.
Namun, perkahwinan mereka hanya bertahan tiga tahun dan Kim kemudian mendakwa beliau umpama banduan di penjara sepanjang tempoh perkahwinan itu.

Majalah Star memperoleh dokumen mahkamah 2003 yang menunjukkan Kim mendakwa Thomas menumbuk mukanya, menghempasnya ke dinding dan mencampaknya umpama bola.

Thomas turut membelanjakan AS$3,650 (RM11,639) untuk membiaya proses sedut lemak ke atas Kim kerana ingin melihat beliau kekal sempurna.

Dalam satu insiden sebelum meluncur udara bersama temannya, Justin Timberlake, beliau mendakwa ditumbuk Thomas.

“Sebelum kami keluar rumah, Thomas menumbuk wajah saya menyebabkan bibir saya koyak. Saya turut terjatuh dan lutut terhentak ke rangka katil. Saya terhencut-hencut ketika keluar meluncur pada hari itu,” katanya.

Thomas turut didakwa ingin tahu setiap pergerakan isterinya itu.

“Jika Thomas keluar, saya diwajibkan menghubunginya terlebih dahulu jika ingin keluar rumah. Beliau melakukannya kerana ingin tahu ke mana jua saya pergi.” Meskipun penderaan berlaku sepanjang perkahwinan mereka tapi Kim enggan melaporkannya kepada polis kerana takut dengan akibat perbuatannya dan menjadi kenyataan selepas beliau menuntut cerai. “Thomas mengancam membunuh saya, ahli keluarga dan semua lelaki yang saya kenali.

“Beliau melakukannya bukan sekali tapi mengancam membunuh saya sekurang-kurangnya 12 kali,” katanya lagi.

Thomas bagaimanapun menafikan dakwaan itu. - Agensi

Gaduh bawa maut

JOHOR BAHRU: Aduan tiga beradik kepada datuk dan nenek bahawa ibu bapa mereka bertengkar membawa kepada penemuan menyayat hati apabila pertengkaran itu berakhir dengan kematian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Zainal Baharom, berkata kejadian dipercayai bermula daripada salah faham sebelum membawa kepada pergaduhan dan seterusnya kematian.

“Pasangan suami isteri itu bergaduh di depan tiga anak mereka yang berusia lima, empat dan tiga tahun. Kira-kira jam 2 pagi, bapa kanak-kanak terbabit menghantar mereka ke rumah keluarga mentua di tingkat 10.

“Kanak-kanak terbabit mengadu kepada datuk dan nenek mereka mengenai pertengkaran ibu dan ayah. Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, nenek kanak-kanak terbabit membuat laporan polis pada jam 1 petang semalam,” katanya.

Menurut Zainal, berdasarkan aduan itu, polis menjalankan siasatan dengan berkunjung ke rumah suami isteri terbabit, tetapi mendapati ia berkunci. Selepas menyedari ada sesuatu yang tidak kena, polis memecahkan pintu dan menemui mayat seorang wanita di dapur.

“Polis juga menemui sebilah pisau, dipercayai digunakan untuk menikam mangsa. Mangsa ditemui dengan kesan tikaman di dada kiri. Suspek berusia 30-an kini diburu bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Biayai teman lelaki



Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my
2010/04/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Memakai tudung mencerminkan keimanan seseorang wanita tetapi bagi seorang ‘kupu-kupu siang dan malam’ ini, dia berbuat demikian untuk menyembunyikan kegiatan hariannya.
Pekerjaannya bermula seawal jam 12 tengah hari dan berakhir sehingga jam 3 pagi jika dia memilih melakukan kerja lebih masa selepas selesai kerja tetapnya di spa maksiat di ibu kota yang berakhir sekitar jam 12 tengah malam.

Wartawan Metro Ahad menjejak kegiatan wanita berusia 22 tahun itu selepas menerima maklumat daripada seorang rakan yang pernah melanggannya.

Maklumat diterima mendakwa Lina, yang bekerja di spa maksiat, meletakkan harga tinggi kepada pelanggan yang mahukan khidmatnya di luar.

“Ketika mengambilnya di luar tempat kerjanya kira-kira jam 12.30 pagi, saya seolah-olah tidak percaya ‘kupu-kupu’ yang saya langgan itu bertudung. Bagaimanapun, pakaiannya ketat juga.

“Ketika tiba di hotel tempat saya menginap, dia segera membuka tudung dan ketika itu baru kelihatan tembelangnya,” kata rakan dikenali sebagai Rozman itu.

Menurutnya, dia memperoleh nombor telefon Lina daripada seorang lagi ‘kupu-kupu’ yang sama ‘2x5’ dengan Lina.

“Saya mahu melanggan orang lain, tetapi dia tidak larat buat ‘kerja lebih masa’ lalu memberi nombor telefon Lina. Saya hubungi Lina dan kebetulan dia habis kerja.

“Pada mulanya harga yang ditawarkan RM800 tetapi berasakan tak berbaloi, saya tawar menawar. Kesudahannya dia bersetuju dengan harga RM500 untuk tempoh dua jam. Saya mengambilnya dan baru saya tahu dia bertudung,” katanya.

Rozman berkata, berdasarkan perbualan mereka, Lina mengaku melakukan pekerjaan terkutuk itu kerana teman lelaki.

Katanya, Lina mendakwa teman lelakinya belajar di luar negara.

“Cinta punya pasal, teman lelaki suruh jual ‘body’ kerana upahnya lumayan. Menerusi hasil itu Lina membiayai pengajian teman lelakinya.

“Lina memberitahu, teman lelakinya yang memperkenalkan dia dengan ‘captain’ spa maksiat sehingga dia terjerumus dalam pekerjaan itu,” katanya.

Bagi membuktikan kebenaran dakwaan Rozman, wartawan Metro Ahad menghubungi Lina untuk membawanya keluar, namun cubaan kali pertama gagal kerana dia memberitahu ramai pelanggan sehingga tidak larat membuat kerja luar.

Cubaan kedua berjaya kerana dia sanggup bekerja lebih masa berikutan tidak ramai pelanggan pada hari itu.

Tidak seperti dimaklumkan Rozman, Lina meminta bayaran RM1,000 untuk tempoh dua jam dengan alasan pelanggan baru.

Namun apabila ‘menjual’ nama Rozman, baru Lina bersedia mengurangkan harga kepada RM500.

Wartawan mengambil Lina kira-kira jam 1 pagi di luar tempat dia bekerja. Benar seperti diperkatakan Rozman bahawa Lina bertudung.

Ikuti perbualan wartawan dengan Lina Wartawan (W): Saya bawa kawan.

Lina (L): Kenapa datang dua orang? W: Tak apa. Lepas sampai hotel kawan nak pakai kereta jumpa kawan dia.

L: Kita nak pergi hotel mana? W: Hotel ***** L: Janji 2 jam RM500 tau.

W: Iyalah. Eh... awak pakai tudung? L: Habis itu, abang tengok saya pakai apa? W: Tak sangkalah pula.

L: Memang kalau di luar saya pakai tudung. Masuk spa, tukar bajulah.

W: Baju seksi? L: Iya. Nak tarik perhatian pelanggan.

W: Lama dah kerja? L: Tak sampai setahun.

W: La... baru lagi. Kenapa kerja macam ini? L: Nak ‘support boyfriend’ belajar kat ‘overseas’. Saya pun sebenarnya nak sambung belajar juga.

W: Bohonglah.

L: Kalau abang tak percaya sudahlah. Boyfriend saya baru belajar dan saya kenalah tolong. Dia belajar kat Australia, kos tinggi di sana.

W: Kenapa buat macam tu? L: Kami dah bercinta sejak sekolah lagi, saya buat semua ini untuk dia. Dia bagi jalan, saya buat. Saya bukan baik pun.

W: Banyak ke dapat duit kerja macam ini? L: Kalau ikutkan, apa yang saya bagi dah lebih daripada cukup, buat kerja ni pendapatannya lumayan tetapi saya juga perlu simpan duit untuk sambung belajar di kolej nanti. Sebab itu saya buat kerja lebih masa dan terima ‘outcall’ (perkhidmatan di luar) pelanggan.

W: Lumayan ke? Berapa banyak awak boleh dapat sebulan kalau macam tu? L: Boleh tahan, untuk satu pelanggan saya dapat komisen RM100, kalau ada 10 pelanggan sehari ‘income’ dah cukup banyak dah. Biasanya saya kerja 20 hari je sebulan, kurang-kurang pun boleh kumpul RM10,000 sebulan. Kalau kerja lebih, boleh dapat banyak lagi.

Namun kena juga bagi tips kat kapten (bapa ayam) setiap hari. Sehari saya biasanya bagi RM50 hingga RM100, itu tak masuk bayaran tetap untuk kapten yang ‘jaga’ saya di sini. Sebulan saya kena bayar RM3,000. Itu tak termasuk ‘income’ ‘outcall’, saya boleh dapat ekstra RM5,000 sebulan.

W: Kata tadi nak sambung belajar, kat mana? L: La... dah bagitau tadi nak belajar kat kolej, kat mana tu abang tak perlu tahu. Apasal banyak tanya sangat? W: Saja.

L: Saya tak sukalah banyak tanya macam ini.

Selepas mendapat maklumat dikehendaki, wartawan memberitahu tidak jadi hendak melanggannya. Lina marah dan meminta RM500 seperti dijanjikan.

Pada mulanya wartawan hanya mahu memberi RM50, tetapi Lina berkeras mahu lebih daripada itu kerana jika tidak, dia tidak mahu turun, malah mengugut mahu menghubungi samseng.

Selepas bertegang urat 15 minit, Lina meminta dibayar RM200 dan dihantar ke lokasi dikehendakinya.


>Berakal tapi kurang panduan agama

KUALA LUMPUR: Tokoh agama dan penceramah bebas, Fauzi Mustapha, berkata ramai remaja yang terjebak dalam masalah sosial sebenarnya tidak dilengkapkan dengan panduan agama hingga sanggup mengetepikan soal haram dan dosa walaupun memiliki akal serta pendidikan baik.
Mengulas tindakan gadis bernama Lina, 22, yang sanggup menggadai maruah semata-mata untuk mengejar wang dan menanggung sara hidup teman lelakinya yang belajar di luar negara, beliau berkata, pengisian rohani terlalu longgar hingga membuatkan mereka terjebak dengan dosa tanpa pertimbangan sewajarnya.
“Apapun, bagi saya ia (masalah) sebenarnya berpunca daripada pendirian individu itu sendiri,” tegasnya.
Beliau berkata, mereka memberi alasan untuk mendapatkan wang dan pendapatan tetapi sebenarnya turut didorong nafsu dan ini yang dikatakan jiwa serta rohani sangat longgar.
Perunding Pakar Motivasi, Dr Rubiah Kulup Hamzah, pula berkata apa yang berlaku terhadap Lina menunjukkan kepincangan masyarakat yang tidak mengendahkan ilmu agama kepada anak.
“Kita hanya pentingkan soal pencapaian anak dalam akademik tetapi soal agama dan kerohanian diketepi hinggakan mereka (anak) tidak takut hukum-hakam agama.
“Lihat ibu bapa zaman sekarang, mereka bangga anak dapat keputusan cemerlang 10A atau 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia tetapi perkara berkaitan ilmu agama terabai. Fenomena ini sungguh menyedihkan dan perlu ditangani,” katanya.
Menurutnya, dia pernah mengendalikan kes berkaitan seks bebas serta hamil luar nikah dan rata-rata remaja yang terbabit dalam masalah itu dikaburi dengan cinta buta dan sikap individualistik.
“Ada (remaja) yang saya temui mengatakan apa yang mereka lakukan adalah hak individu, malah lebih menyedihkan ada yang berbuat begitu kononnya atas dasar cinta dan pengorbanan mereka untuk kekasih (teman lelaki).
“Iman mereka lemah meskipun ada yang memiliki latar belakang pendidikan dan agama yang baik. Inilah contoh jiwa yang kosong daripada ilmu kerohanian agama,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar, mengatakan satu faktor yang mendorong gejala sosial berleluasa dan tidak ditakuti remaja kerana ‘kelonggaran’ sistem perundangan di negara ini.
“Kelonggaran yang saya maksudkan itu adalah daripada segi hukuman, ia masih tidak memadai dan terlalu ringan iaitu sekadar membabitkan denda dan penjara, sedangkan dosa yang mereka lakukan itu sangat besar.
“Dalam situasi sekarang, lebih-lebih lagi masalah sosial yang semakin parah hari ini, wajar sekali jika ada satu undang-undang yang boleh menakutkan mereka berbuat demikian dan pada masa sama perlu ada satu formula terapi dan pemulihan yang berkesan untuk golongan itu,” katanya.

Tiga sahabat

KLANG: Tiga sahabat karib maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Kapar-Batu Belah di Jalan Haji Sirat, Meru, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata ketika kejadian, semua remaja terbabit dalam perjalanan menuju ke Klang untuk bersarapan.

“Setiba di persimpangan lampu isyarat terbabit, kereta Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan lori satu tan yang datang dari arah Jalan Batu Belah.

“Siasatan awal mendapati satu daripada kenderaan itu gagal berhenti di lampu isyarat mengakibatkan pertembungan. Mangsa dipercayai maut akibat tersepit dan bomba dan penyelamat di panggil bagi mengeluarkan mereka,” katanya.

Menurut Che Hussin, identiti dua lagi rakan mereka serta pemandu lori belum dikenal pasti kerana dikejarkan ke hospital akibat cedera parah.

Mangsa yang maut pula dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhamad Norizan Ramly di talian 03-33722222 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perompak tukar kulit

SPRINGDALE (Ohio): Seorang lelaki kulit putih menyamar sebagai lelaki kulit hitam untuk melakukan rompakan.
Polis Springdale mengedarkan rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki kulit hitam melakukan rompakan itu.

Namun, hasil penemuan kereta Volvo yang terkena palitan cat merah daripada bungkusan wang dirompak daripada sebuah bank, polis kemudian menahan Zdzierak di sebuah hotel.

Polis turut menemui topeng canggih yang dipakainya.

“Kami tertipu dan kami memburu seorang perompak kulit hitam,” kata Leftenan Michael Mathis. - Agensi

Polis kumpul data suspek kes buang bayi



KOTA KINABALU 24 April - Polis Sabah akan mengumpul maklumat terperinci termasuk butiran peribadi suspek yang pernah terlibat dalam kes pembuangan bayi di negeri ini sejak lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, langkah tersebut perlu bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan kes pembuangan bayi dan melakukan pencegahan pada masa akan datang.
"Polis akan mengumpul maklumat butiran peribadi, kehidupan sosial, kelulusan akademik serta latar belakang suspek.
"Semua maklumat ini perlu untuk membantu siasatan polis dalam mengenal pasti suspek pada masa akan datang selain mencari kaedah mencegah kes ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, kajian mengenai maklumat yang melibatkan semua suspek dalam tempoh lima tahun itu akan menjadi garis panduan kepada polis dalam menyelesaikan kes pembuangan bayi pada masa akan datang.
Selain itu katanya, ia juga akan dijadikan sebagai panduan dalam mengatur langkah pencegahan berkesan termasuk kempen-kempen kesedaran.
Dalam pada itu, Noor Rashid berkata, dari 2005 hingga Mac tahun ini, polis telah merekodkan sebanyak 75 kes pembuangan bayi di negeri ini.
Beliau memberitahu, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak dua kes pembuangan bayi direkodkan di negeri ini.
"Daripada keseluruhan jumlah tersebut, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 25 kes diikuti Tawau (14 kes), Sandakan (sembilan kes) manakala daerah lain di bawah lima kes," katanya.
Sementara itu, beliau berharap usaha membendung gejala pembuangan bayi akan turut mendapat kerjasama semua pihak khususnya golongan ibu bapa.
Ujarnya, selain mengawasi pergerakan anak-anak, ibu bapa perlu menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengesyaki anak mereka mengandung luar nikah bagi mengelakkan kejadian buang bayi.