Search This Blog

Friday, April 23, 2010

Malang ditimpa motor

AMPANG: Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas mengawal lalu lintas parah selepas dihempap sebuah motosikal `terbang' yang terpelanting sejurus melanggar sebuah kereta di Jalan Hulu Klang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi, Konstabel Firdaus Ahmad, 24, cedera pada belakang kepala menyebabkan dia terus tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Ampang.
Namun, mangsa yang pada mulanya dipercayai parah dan koma, mula sedar kira-kira jam 4 petang sebelum doktor membenarkannya pulang ke rumah. Difahamkan, ketika kemalangan, mangsa sedang mengawal kesesakan lalu lintas berhampiran Hotel Flamingo di sini bersama seorang lagi rakan setugas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggangi seorang lelaki bertembung dengan sebuah Proton Waja di persimpangan lampu isyarat di laluan berkenaan.

“Anggota trafik terbabit bersama rakan setugasnya sedang mengawal lalu lintas kerana keadaan pada waktu itu sesak dengan orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja.

“Tiba-tiba sebuah motosikal meluru laju sebelum merempuh kereta yang sedang melakukan pusingan U. Rempuhan kuat itu mengakibatkan motosikal berkenaan terpelanting sebelum menghempap Firdaus,” katanya kepada pemberita selepas melawat anggota polis terbabit di Hospital Ampang, di sini.

Katanya, penunggang motosikal berusia 26 tahun itu bagaimanapun hanya cedera ringan, manakala pemandu kereta berusia 24 tahun tidak cedera.

Sementara itu, Abdul Jalil kecewa sikap orang awam di tempat kejadian kerana tidak memberi bantuan kepada anggota polis yang tercedera, sebaliknya hanya melihat kemalangan itu.

“Disebabkan tiada seorangpun sudi membantu, kami terpaksa menahan sebuah van sekolah untuk membawa mangsa ke hospital.

Sementara itu, Abdul Jalil yang dihubungi petang semalam berkata, mangsa kini stabil dan dapat bangun kira-kira jam 4 petang

Dua anak halau ibu



Oleh Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/04/23
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KLANG: Keluarga tunggang terbalik. Itu gambaran boleh diberikan terhadap sebuah keluarga apabila suami bersama dua anak lelakinya sanggup bersekongkol menghalau ibu kandung dari rumah, semata-mata kerana membela perempuan simpanan bapa mereka.
Tidak cukup kata-kata kesat dan cacian, mangsa turut mendakwa dipijak, ditendang di kepala, perut dan kemaluan oleh suami berusia lewat 40-an bersama perempuan simpanan terbabit ketika mahu mempertahankan rumah tangganya daripada musnah.
Difahamkan, mangsa yang enggan meninggalkan rumahnya, dibelasah lebih empat jam dengan disaksikan kedua-dua anaknya di hadapan rumah mereka di sini.

Namun, harapannya untuk mendapat pembelaan daripada kedua-dua anak kandung berusia 14 dan 12 tahun turut lenyap apabila mereka menyebelahi bapa dan perempuan simpanan lelaki terbabit, membuatkan ibu berkenaan terpaksa mengalah sebelum meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

Difahamkan, perempuan simpanan berusia awal 30-an itu mempengaruhi kedua-dua anak mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dengan melaburkan wang ringgit dan kekayaan dimilikinya selain pasangan kekasih terbabit dikatakan ‘menyihir’ kedua-dua remaja berkenaan supaya membenci ibu mereka.

Semuanya bermula apabila mangsa yang mahu dikenali sebagai Puspa, 47, mendakwa mengetahui suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai perempuan simpanan sehingga mengabaikan kebajikannya dan anak-anaknya.

Menurutnya, setiap kali dia mempersoalkan perubahan sikap suaminya selepas memiliki perempuan terbabit, dia akan dibelasah.

“Bukan sekali atau dua, saya diperlakukan sedemikian lebih setahun. Saya hanya mampu berdoa supaya suami berubah.

“Disebabkan itu juga, saya mendiamkan diri bagi mengelak suami berang,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, semalam.

Puspa berkata, awal bulan lalu dia mendapatkan nombor telefon perempuan terbabit dalam telefon bimbit suaminya dan menghubungi wanita itu.

“Kami bertengkar lebih 30 minit. Mana tidaknya, perempuan itu mendakwa akan menghalau saya keluar dari rumah saya.

“Malah, dia juga memberitahu akan menjadikan rumah saya sebagai ‘banglo’ barunya,” katanya.

Tindakannya menghubungi perempuan itu mengundang padah apabila wanita terbabit melaporkannya kepada suami mangsa.


Berikutan itu, suami mangsa berang lalu membelasah Puspa.

Puspa berkata, pada awal bulan ini kira-kira jam 10 pagi, wanita terbabit datang ke rumah sebelum menghalaunya keluar.

“Ketika itu saya cuba mempertahankan rumah tangga sebelum suami masuk campur. Suami bukan saja menampar, malah turut memijak kepala, menendang kemaluan dan perut saya.

“Biarpun diperlakukan sedemikian lebih empat jam, saya masih cuba mempertahankan rumah tangga, namun mengalah selepas kedua-dua anak turut mengarahkan saya keluar “Saya tak tahu apa yang terjadi kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Klang.

Sehingga kini, mangsa sudah membuat lebih 10 laporan polis membabitkan perbuatan keji suaminya selain beberapa kes ugutan dilakukan lelaki terbabit.

Difahamkan, Puspa juga sudah membuat banyak aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai dakwaan suaminya bersekedudukan dengan perempuan terbabit, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

Puspa berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap suaminya dan perempuan simpanan itu supaya kejadian sama tidak berulang.

“Saya juga berharap kedua-dua anak sedar mengenai perbuatan mereka,” katanya.

Beg bawa maut

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut dalam keadaan tragis apabila tubuhnya digilis sebelum diseret sebuah bas yang dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nurul Huda Rosalan, 16, terjatuh dan diseret ketika turun dari bas selepas beg sekolah yang digalasnya tersangkut pada pemegang pintu automatik kenderaan berkenaan.
Pemandu bas terbabit tidak menyedari apa yang berlaku apabila memecut bas berkenaan dengan menyangka mangsa sudah turun dari tangga bas.

Difahamkan, ketika itu mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist Kuala Lumpur bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan pulang menaiki bas berkenaan.

Namun, sejurus sampai di hentian bas berhampiran Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, mangsa turun berseorangan dan ketika itu dia tidak menyedari beg digalasnya tersangkut di pintu automatik bas.

Dia diseret bas terbabit sebelum kejadian itu dilihat seorang awam yang kemudian meminta pemandu bas terbabit memberhentikan kenderaan itu.

Ketika itu, mangsa masih bernyawa namun kecederaannya terlalu parah dengan kakinya yang bengkok terlipat dan menghadap muka.

Mangsa dihantar orang awam ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Bapa mangsa, Rosalan Abdul, 49, berkata dia hanya mengetahui berhubung kemalangan ngeri yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan isterinya, Nor Azwa Mohd Nor, 43, yang menangis teresak-esak kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Saya ketika itu tidur akibat keletihan kerana bertugas pada waktu malam terperanjat sebelum bergegas menuju hospital bagi memastikan keadaan anak saya.

“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan anak saya sudah meninggal dunia akibat kemalangan terbabit,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKL. Menurutnya, dia sedih dan terkejut, namun menganggap apa yang berlaku sebagai suratan takdir.

“Rakan anak saya mendakwa Nurul Huda sebelum ini berubah sikap dan banyak mendiamkan diri sejak beberapa hari lalu. “Malah, dia tidak pernah menaiki bas untuk pergi atau pulang ke rumah dari sekolah sebelum ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bas RapidKL.

Sementara itu, mayat mangsa yang juga anak ketiga dari empat beradik terbabit masih ditempatkan di Bilik Mayat HKL untuk menjalani bedah siasat sebelum dijangka dituntut ahli keluarganya hari ini.

'Seludup’ teman lelaki





2010/04/23

SEREMBAN: Gara-gara memadu asmara dalam bilik di rumah teman wanitanya, seorang lelaki teruk dibelasah bapa gadis itu dalam kejadian di sebuah tanah rancangan Felda di Jempol, dekat sini.
Lelaki berusia 20 tahun itu ‘diseludup’ oleh teman wanitanya ke rumah berkenaan untuk memadu kasih dalam bilik tidurnya.
Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berusia 19 tahun itu membawa masuk teman lelakinya berusia 20 tahun ke dalam biliknya itu melalui pintu belakang rumahnya dan menjangkakan perbuatan itu tidak disedari ibu bapanya.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin di sini semalam selepas ibu bapa gadis terbabit menemuinya untuk memberi kaunseling kepada anak mereka.

Bagaimanapun, Ghafar berkata, ibu bapa berkenaan tidak membuat laporan kerana malu dan sudah meminta Pekesim untuk memberikan kaunseling kepada anaknya itu.

Kawasan ‘panas’ di ibu kota digempur





2010/04/23
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEORANG pesara berusia 55 tahun yang juga bekas pegawai di sebuah stesen televisyen antara empat pasangan yang ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam operasi bersepadu selama dua jam di sekitar ibu kota, awal pagi semalam.
pix_middle
Lelaki terbabit ditahan bersama pasangannya yang berusia 23 tahun dan berasal dari Sabah di sebuah hotel murah di Jalan Pudu, kira-kira jam 1 pagi. Operasi bersepadu itu yang turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memeriksa beberapa pusat hiburan. Di Lorong Haji Taib, anggota penguatkuasa DBKL merampas sejumlah barangan simulasi seks.

Pelajar ponteng ditemui maut dalam gaung

KANGAR: Seorang pelajar tingkatan dua yang ponteng sekolah bersama lima rakannya, ditemui mati dalam sebuah gaung di kawasan berbukit di Telok Lalang, Sungai Batu Pahat, dekat sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mayat Mohd Ridzuan Baharom, 14, yang parah di bahagian muka dan kepala, ditemui polis tersangkut pada pokok jam 12.30 tengah malam tadi. Pelajar itu yang menuntut di sebuah sekolah menengah di Abi di sini, disedari hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah jam 6 petang semalam dan kakak Mohd Ridzuan membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada 7 petang, katanya kepada pemberita di sini. Abdul Rahman berkata, polis bersama penduduk kampung itu melancarkan gerakan mencari mangsa selepas menerima laporan mengenai kehilangannya.
Katanya, mangsa bersama lima rakan sekolahnya dipercayai menaiki bukit itu menggunakan tiga motosikal jam 11 pagi semalam. Semasa dalam pendakian bermotosikal itu, kenderaan yang ditunggangi Mohd Ridzuan mengalami kerosakan brek selepas terlanggar batu besar namun dia masih berhasrat untuk ke tempat yang lebih tinggi. "Menyedari masalah brek itu, rakan-rakan mangsa dikatakan menolak cadangannya supaya terus mendaki bukit itu," kata Abdul Rahman. Mohd Ridzuan yang kecewa, turun seorang diri kerana rakan pemboncengnya juga enggan menaiki motosikal yang sama kerana masalah brek itu.

Rakan-rakan mangsa yang turun dari bukit itu setengah jam kemudian terus ke rumah mangsa untuk bertemunya, namun mereka hanya menyedari kehilangannya selepas Mohd Ridzuan gagal ditemui sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Abdul Rahman berkata, polis yang melancarkan gerakan mencari di kawasan berbukit itu berjaya menemui mayat pelajar berkenaan yang masih berpakaian seragam sekolah. Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di sini dan dituntut keluarganya untuk dikebumikan selepas bedah siasat. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. -Bernama

6 maut dalam siri bom di Iraq


2010/04/23

KHALDIYA: Satu siri pengeboman disasarkan ke rumah penduduk yang mana satu daripadanya dihalakan ke arah rumah seorang hakim anti pengganas, mengakibatkan enam orang terbunuh termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak.
Jurucakap polis, Leftenan Khoder Ahmed al-Alwani memberitahu agensi berita AFP, empat bom meledak awal pagi tadi di Khaldiya, 75 kilometer dari wilayah Al-Anbar.

Empat rumah menjadi sasaran dari bom yang dijangka buatan sendiri dan ada yang dari jenis C4 atau bom plastik.

"Lima orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita, manakala 12 yang lain cedera terdiri dari tiga kanak-kanak dan dua wanita. Sementara seorang anggota tentera terbunuh ketika cuba mematikan salah satu bom yang masih hidup."

"Bom pertama meledak di rumah Fadhel Mahmud Salleh, seorang hakim yang baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap tiga pengganas," katanya.
Fadhel berkata ini adalah cubaan kedua untuk membunuh beliau bulan ini.

"Pada cubaan pertama, pengganas memasang bom di dalam kereta, tapi gagal kerana bom itu berjaya dikesan sebelum meletup," katanya kepada wartawan AFP di tempat kejadian yang menyaksikan dua daripada terbabit ranap sama sekali.

Bagamanapun, tiada anggota keluarga beliau yang terbunuh kecuali dua anaknya mengalami kecederaan ringan.

Polis dikatakan menemui tujuh lagi bom dan menahan lapan orang yang disyaki dalam pengeboman itu. - AFP

Pelajar maut dilanggar pemandu mabuk



GEORGETOWN: Seorang pelajar sebuah kolej swasta maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang lelaki yang dalam keadaan mabuk di Jalan Kelawei, di sini, hari ini. 



2010/04/23


Mangsa Mohamad Haseenullah Wahibul Ameen, 24, yang dalam perjalanan dari Tanjung Tokong menghala ke pusat bandar sedang menunggang motosikal dan dirempuh oleh sebuah kereta yang melencong masuk ke jalan bertentangan.
Ketua Turus Trafik Pulau Pinang, DSP Wari Kiew, berkata mangsa dirempuh dari arah hadapan oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Honda Civic dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala. Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mabuk dan berada di bawah pengaruh akhohol yang tinggi. 

"Siasatan dijalankan untuk mengenalpasti kejadian sebenar kerana ia turut membabitkan beberapa kenderaan lain dan suspek ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara lebih 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali. 

Wari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan pihaknya akan memanggil beberapa saksi kejadian untuk siasatan lanjut. 
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Cif Inspektor Rahim Din di talian 04-2181822 atau 019-5468658. - Bernama

Saya minta diceraikan - Ida Nerina



Ida Nerina Hussain buat pertama kali muncul dengan berkerusi roda di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 April - Pelakon, Ida Nerina Hussain dalam keterangannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini tetap menafikan bahawa suaminya, Sha'rin Mohd. Razali ada melafazkan cerai seperti yang didakwa sebelum ini.
''Yang Arif, kalau saya hendak ambil jalan mudah, saya boleh berbohong dengan mengaku kononnya ada mendengar plaintif melafazkan talak pada hari kejadian. Saya tidak akan menipu mahkamah yang mulia ini. Sebenarnya saya minta diceraikan dan lafaz itu memang ditunggu-tunggu.
''Saya bukannya kurang pendengaran tetapi memang sama sekali tidak mendengarnya. Saya berusaha melantik peguam syarie dan sanggup hadir ke mahkamah untuk berdepan dengan semua ini,'' ujar Ida Nerina kepada Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin dalam nada sebak.
Menceritakan semula kejadian itu, Ida Nerina berkata, dia pada mulanya bertengkar dengan suami kerana bosan dengan sikap Sha'rin yang tidak pernah berubah.
Menurut Ida Nerina, ketika dia minta diceraikan suaminya menjawab: ''I don't want to divorce you, I want to see you through these (Saya tidak mahu ceraikan kamu, saya mahu melihat kamu melalui semua ini).
Selepas mendengar kata-kata itu, Ida Nerina menyatakan, dia bertanya: ''Why wait? Why are you torturing me?'' (Mengapa tunggu? Mengapa kamu seksa saya?)
Pertanyaan tersebut menurut Ida Nerina hanya dijawab oleh Sha'rin: ''I want to wait until you walk.'' (Saya mahu tunggu sehingga kamu boleh berjalan)''
Ida Nerina memberitahu demikian ketika disoal oleh peguam syarie Akbardin Abdul Kader yang mewakilinya berhubung punca pergaduhan tersebut.
Pada 12 Oktober 2009, Sha'rin memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang didakwa berlaku di kediaman mereka di Metropolitan Square Damansara Perdana, pada pukul 11 pagi, 22 September tahun lalu.
Dalam keterangannya Ida Nerina menyatakan dia sanggup bersumpah sekiranya diminta oleh mahkamah.
Ketika sesi soal balas oleh peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari yang mewakili suaminya, Ida Nerina menyatakan pergaduhan itu bermula apabila dia mengejutkan Sha'rin yang sedang tidur.
Ditanya mengenai reaksi Sha'rin, Ida Nerina menyatakan suaminya terkejut dengan soalannya dan selepas itu mereka bertengkar lebih kurang 20 minit.
Terdahulunya Sha'rin ketika disoal balas oleh Akbardin membetulkan keterangannya berhubung talak yang didakwa dilafazkan.
Menurut Sha'rin, dia bukan sahaja melafazkan lafaz cerai dalam bahasa Melayu berbunyi: ''Baiklah, saya ceraikan kamu.''
Malah turut mengulangi ayat yang sama di dalam Bahasa Inggeris.
Hakim Mohd. Yunus menetapkan 1 Julai ini untuk membuat keputusan.
Ida Nerina yang berkerusi roda hadir ke mahkamah dengan ditemani empat rakannya termasuk pelakon era 1990-an, Susan Lancaster dan penyanyi, Atilia.
Pelakon filem Selubung, Layar Lara, Anak dan Susuk itu baru pulang dari India selepas menjalani rawatan tulang belakang akibat terjatuh tangga di kediamannya, Jun tahun lalu.
Sha'arin dan Ida bernikah pada 2 Jun 2006 dan pasangan itu tidak dikurniakan anak.

Mahkamah benarkan Rasidi dirawat sebulan lagi



SEREMBAN 22 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Hospital Permai, Johor Bahru untuk menyambung tempoh rawatan tertuduh, Rasidi Ismail selama sebulan lagi.
Rasidi, 32, didakwa atas empat pertuduhan, menyebabkan kematian ahli keluarga terdiri daripada datuk dan neneknya, Atan Daud, 87; Sufiah Katas, 80; bapa, Ismail Awang, 76; serta adik perempuannya, Siti Khadijah Ismail, 22.
Pembunuhan itu didakwa dilakukan oleh penganggur terbabit di dua rumah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Sahaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa pihak hospital memerlukan lanjutan masa bagi melengkapkan laporan tahap kesihatan mental tertuduh.
"Yang Arif mempunyai bidang kuasa untuk melanjutkan tempoh sebulan lagi jika laporan tersebut didapati masih belum selesai," katanya.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin sehubungan itu menetapkan 21 Mei ini untuk mendengar keputusan mengenai rawatan serta laporan terperinci kesihatan mental Rasidi.
"Saya berharap pada tarikh itu semua laporan telah disiapkan dan kita akan lihat apa yang dinyatakan (hospital).
"Mahkamah akan menulis surat kepada hospital untuk mempercepatkan laporan," katanya.
Hakim Ahmad Nasfy kemudian bertanya kepada Rasidi sama ada tertuduh telah menjalani rawatan di hospital seperti yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
"Ya, saya telah menjalani rawatan dua kali di Hospital Sultanah Aminah dan tiga kali di Hospital Permai. Kedua-duanya di Johor Bahru. Dan sehingga kini saya masih dirawat di hospital," jelas Rasidi yang diwakili peguam bela, Hanif Hassan.
Sementara itu, ibu Rasidi, Zaharah Atan, 59, ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia akan terus menunggu kesudahan perbicaraan anaknya tanpa rasa jemu.
"Saya akan tunggu sehingga tempoh yang ditetapkan untuk mendengar keputusan pihak hospital dan juga penghakiman yang bakal diputuskan mahkamah ini kelak," katanya sebelum beredar.

Kes tuntutan harta RM100j ditangguh





KUALA LUMPUR 22 April - Perbicaraan tuntutan harta sepencarian lebih RM100 juta oleh Presiden Kelab Pemilik Ferrari Malaysia ditangguhkan sehingga kes pengesahan lafaz cerai pasangan berkenaan diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Mohd. Radzi Abdul Latif di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini selepas peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili defendan, Datin Laili Hazimah Mohd. Ali, 53, memohon penangguhan tersebut.
Mahkamah turut mengesyorkan supaya peguam pasangan Datuk Azizi Yom Ahmad, 61, Laili Hazimah menasihati anak guam mereka agar dapat membincangkan perkara tersebut secara baik.
''Saya pun pelik, mereka masih belum bercerai tetapi kes di hadapan saya semuanya membabitkan harta sepencarian,'' katanya.
Hakim sehubungan itu menetapkan sebutan semula kes pada 16 Jun ini bagi pengurusan kes untuk pihak-pihak melengkapkan semua prosedur sebelum perbicaraan tuntutan harta sepencarian bermula.
Sementara itu kes pengesahan lafaz cerai pasangan berkenaan akan didengar oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 9 dan 10 Mei ini.
Laili dan Azizi bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah.
Pada prosiding sebelum ini, mahkamah yang sama mengekalkan perintah injunksi yang diperoleh Azizi untuk menyekat pengeluaran harta sepencarian membabitkan akaun simpanan di Tabung Haji yang berjumlah RM5 juta, emas di peti simpanan CIMB Bank yang dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit, kereta Ferrari dan kediaman.
Injunksi tersebut bagaimanapun tidak membabitkan wang di dalam Amanah Saham Bumiputra (ASB) sebanyak RM709,000.
Azizi yang juga Pengarah Eksekutif Newlake Development Sdn. Bhd. diwakili peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Mawaddah Ramli.
Pasangan itu bernikah pada 7 Jun 1977 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Erwin, Erwan dan Elissa.

3 maut pesawat terhempas




BANGKAI pesawat kargo Rusia AN216 yang terhempas di sawah padi di pekan Maxico di wilayah Pampanga, Filipina, malam kelmarin. - AFP


MAXICO, Filipina 22 April - Seorang rakyat Rusia dan dua warga Uzbekistan terbunuh apabila sebuah pesawat kargo buatan Rusia terhempas di kawasan sawah padi di utara ibu kota negara ini, menurut pihak berkuasa hari ini.
Bagaimanapun, tiga lagi rakyat Rusia yang turut berada di dalam pesawat itu terselamat.
Penyiasat nahas, Jose Pedregosa berkata, pesawat jenis Antonov 12 empat enjin itu sedang bersiap sedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Diosdado Macapagal berhampiran pekan Maxico, lewat semalam.
Namun, pesawat itu tiba-tiba mengalami masalah elektrikal dan menyebabkan berlakunya kebakaran.
"Ia kemudian terhempas ke kawasan sawah padi menyebabkan tiga rakyat asing yang berada di dalam pesawat tersebut terbunuh," kata Pedrogosa kepada AFP.
Menurutnya, badan pesawat terbabit terputus dua dan terbakar.
Bagaimanapun, tiga lagi krew kapal yang dipercayai rakyat Rusia terselamat selepas berjaya ditarik keluar oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang bergegas ke tempat kejadian.
Pesawat itu dipajakkan kepada syarikat kargo antarabangsa dan sedang menghantar barang dari pusat bandar Cebu ketika nahas berlaku.
Lokasi nahas terletak kira-kira 20 kilometer dari lapangan terbang dan 90 kilometer dari Manila.
Pedregosa berkata, pasukan penyiasat telah pun menemui kotak hitam pesawat terbabit dan ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa penerbangan awam di Manila bagi menyiasat insiden tersebut. - AFP

Kereta api hilang kawalan, wanita hamil maut



PRETORIA, Afrika Selatan 22 April - Sebuah kereta api mewah yang menuruni bukit dengan laju hilang kawalan dan tergelincir, mengorbankan tiga penumpang termasuk seorang wanita mengandung.
Penumpang-penumpang lain pula terperangkap di dalam gerabak yang remuk. Kereta api yang membawa 59 penumpang itu dipenuhi oleh pelancong asing, kebanyakannya rakyat Amerika Syarikat (AS).
Pegawai kereta api menasihatkan para penumpang dan krew supaya terjun daripada kereta api yang bergerak laju menuju Pretoria, Afrika Selatan itu semalam, selepas brek gagal berfungsi.
"Saya berteriak kepada yang lain untuk memberitahu mereka supaya melompat keluar dari kereta api itu.
"Saya turut melompat keluar ketika kereta api itu sedang bergerak," kata Pengarah Urusan Rovos Rail, Rohan Vos.
Menurut kedutaan AS dan laporan daripada pegawai kecemasan, kereta api tersebut membawa hampir 60 penumpang dan kira-kira 20 orang daripadanya mengalami kecederaan, termasuk 10 rakyat AS.
Perjalanan Ravos Rail bermula di Cape Town dan telah hampir ke destinasi di Pretoria ketika ia berhenti untuk rutin biasa menukar kepala kereta api daripada sistem elektrik ke sistem stim, menurut pemantau perkhidmatan kereta api di Afrika Selatan, Nothemba Dlali dari Metro Rail.
Perjalanan kereta api itu bertujuan mewujudkan semula zaman keemasan perkhidmatan kereta api.
Dlali berkata, kereta api itu mula bergerak selepas kepala kereta api elektrik dialihkan tetapi sebelum kepala berenjin stim disambungkan dan mengumpulkan kelajuan ketika menuruni cerun.
Sementara itu, Johan Pieterse dari Jabatan Keselamatan Masyarakat Ibu Kota berkata, sebanyak 17 gerabak tergelincir. Dua orang terbunuh di tempat kejadian.
Insiden ini berlaku hanya tujuh minggu sebelum beratus-ratus ribu pelancong asing dijangka berhimpun di negara ini sempena kejohanan bolasepak Piala Dunia.
Menteri Pengangkutan, Sibusiso Ndebele berkata, insiden ini adalah kejadian terpencil yang tidak akan memberi kesan kepada 'keupayaan dan persediaan' negara menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu. - AP

Enam kereta musnah akibat khianat




2010/04/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BATU GAJAH: Enam kereta musnah dalam kebakaran di sebuah pusat menjual kereta terpakai di Taman Saujana Megah di sini hari ini dipercayai akibat perbuatan khianat.
Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu menyebabkan kerugian kira-kira RM100,000.
Kereta yang hangus itu ialah empat kereta Proton dan dua kereta Naza.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, kebakaran itu dipercayai dilakukan oleh dua lelaki yang hampir diberkas oleh pengawal keselamatan premis berkenaan ketika cuba mencuri besi petang semalam.

"Kedua-dua suspek itu telah ditangkap kerana cuba mencuri besi pada jam 6.30 petang semalam, namun kedua-duanya dapat melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di premis tersebut," katanya.

"Pekerja premis tersebut kemudiannya menghantar motosikal tersebut ke balai polis dan dari gambaran yang diberikan, kita telah dapat mengecam identiti salah seorang suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Najib, polis sedang mengesan kedua-dua suspek berkenaan yang memang mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda, tambahnya.-Bernama

Polis trafik cedera dirempuh



KUALA LUMPUR 22 April - Malang menimpa seorang anggota polis trafik setelah cedera dirempuh sebuah motosikal yang terbabas ketika mangsa sedang bertugas mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat di sini hari ini.
Kejadian pukul 8.15 pagi itu berlaku di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) menghala ke Jalan Ampang, berhampiran Plaza Flamingo di sini ketika mangsa, Konstabel Firdaus Ahmad, 24, sedang berdiri di tengah-tengah jalan.
Bagaimanapun, sebuah kereta Proton Waja yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di situ, tiba-tiba bergerak dan membelok ke kiri.
Pada masa sama, sebuah motosikal Modenas Kriss dari arah belakang yang juga ingin membelok ke kiri telah melanggar belakang kereta itu lalu terbabas ke arah Firdaus.
Perlanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal yang juga pekerja Rapid KL, tercampak ke arah Firdaus, menyebabkan anggota tersebut cedera parah di kepala dan muka.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan. Sehingga petang ini, keadaannya dilaporkan stabil namun masih belum sedarkan diri.
Penunggang motosikal yang berusia 26 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan dan timbalannya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin turut meluangkan masa untuk melawat mangsa di Hospital Ampang.
Abdul Jalil yang ditemui pemberita terkilan dengan sikap segelintir pengguna jalan raya kerana tidak bersabar dan tidak mematuhi arahan anggota trafik.
"Kebelakangan ini, banyak aduan diterima berhubung kesesakan di MRR2, jadi pada waktu puncak seperti pagi ini, anggota trafik ditempatkan untuk memastikan kelancaran trafik.
"Kemalangan hari ini adalah berpunca daripada sikap orang ramai yang tidak bersabar, akibatnya telah membahayakan nyawa anggota polis," katanya.
Sementara itu, menurut rakan sekerja Firdaus, Konstabel Noor Shidah Zakaria, dia yang bertugas di kawasan sama tiba-tiba dikejutkan dengan dentuman kuat.
Jelasnya, dia melihat Firdaus dalam keadaan keadaan terlentang dengan kepala dan mukanya berlumuran darah.
"Saya segera mengeluarkan pistolnya untuk keselamatan dan menghubungi bilik gerakan," katanya.

Lagi laporan polis berhubung CD konflik istana



KOTA BHARU 22 April - Majlis Setia Rakyat (Setia) yang baru diwujudkan, hari ini turut membuat laporan polis berhubung penyebaran cakera padat yang didakwa mempunyai rakaman ceramah menghina dan menghasut institusi Istana Kelantan.
Presiden penajanya, Azaha Abdul Rani berkata, pihaknya berharap, polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya supaya ucapan oleh individu dalam rakaman itu tidak mengelirukan rakyat dan memecahbelahkan taat setia mereka.
''Pihak kami tidak mahu ada pihak lain yang lebih berkuasa mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang dalam mengatur kedudukan kesultanan Kelantan.
''Kita harus berpegang kepada adat istiadat Melayu yang mana raja yang telah ditabalkan tetap kekal sehingga akhir hayat dan akan digantikan dengan pewaris yang sah mengikut undang-undang dan adat istiadat yang tentunya Tengku Mahkota Kelantan," ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan selepas membuat laporan di balai Polis di sini hari ini.
Ia adalah laporan yang ketiga dibuat berhubung penyebaran CD yang dikatakan rakaman perbualan pihak yang mempunyai kaitan dengan Pejabat Istana Kelantan bersama pihak media baru-baru ini semasa memberi penjelasan berhubung konflik dalam keluarga istana.
Kelmarin Tengku Ahmad Zahari Tengku Abdul Kadir, 77, yang mendakwa mempunyai hubungan dua pupu dengan Tuanku Ismail Petra membuat laporan ekoran menerima salinan CD berkenaan.
Tengku Ahmad dilaporkan berkata, beliau mampu mengecam pemilik suara di dalam rakaman berkenaan bagaimanapun enggan mendedahkannya dan hanya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Minggu lalu laporan yang serupa dibuat di Ampang, Selangor oleh kekanda Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Tengku Yahya Petra.
Dalam laporan berkenaan, Tengku Merjan meminta polis menyiasat terhadap mereka yang didakwa membuat perancangan untuk merampas kuasa daripada Sultan.

Keluarga mangsa 'Geng Kapak' tarik balik laporan



PEKAN 22 April - Polis menyifatkan kes buli membabitkan 'Geng Kapak' di sini baru-baru ini, sebagai selesai apabila keluarga pelajar perempuan yang dikatakan menjadi mangsa kumpulan itu menarik balik laporannya hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, berikutan itu, tiada tindakan terhadap empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Mat di sini yang menggelarkan diri mereka geng tersebut.
"Keluarga pelajar perempuan itu menarik semula laporan polis yang dibuat pada 7 April lalu.
"Kes itu sebenarnya telah digembar-gemburkan media sehingga menjadi isu besar sedangkan ia adalah salah faham antara para pelajar terbabit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Pada 6 April lalu, seorang pelajar perempuan, Norizan Janal A'bidin, 15, dikatakan cedera selepas dibuli empat pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Geng Kapak' di bilik darjah SMK Datuk Mahmud Mat Pekan.
Mangsa turut mendakwa geng berkenaan sering memukulnya serta pernah menakutkannya dengan pisau dan kaca apabila enggan memberi wang kepada empat pelajar lelaki itu sejak Februari lalu.
Yahaya berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan kes buli itu dengan mengadakan perbincangan antara ibu bapa mangsa dan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Geng Kapak'.
Pertemuan tersebut ujarnya, turut disaksikan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan.
Menurut beliau, pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Geng Kapak' terbabit juga mengaku terpengaruh dengan aksi filem kung fu dari luar negara.

Majikan mati dipercayai ditembak



ALOR SETAR 22 April - Seorang majikan, Tan Ah Yee, 64 yang disyaki dibunuh oleh pekerjanya di Kampung SC, Hosba, Changlun di sini kelmarin, dipercayai ditembak dengan menggunakan senapang patah.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Haminuddin berkata, mangsa maut setelah dipercayai ditembak satu das di badan sebelum dibawa ke dalam rumah dan dibakar.
"Sehingga kini, hanya seorang suspek ditahan dan pihak polis masih menjalankan siasatan mengenai kes tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan pekerja di ladang ternakan ayam milik Ah Yee ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Ah Yee.
Mayat Ah Yee ditemui dalam keadaan rentung di dalam rumahnya yang hangus terbakar.
Suspek juga cuba mengaburi mata pihak polis dengan mereka-reka cerita bahawa dia dipukul oleh tiga penyamun sehingga pengsan. Dia juga mendakwa hanya menyedari kejadian itu sejurus tersedar.
Namun, ceritanya menimbulkan keraguan kepada polis dan siasatan lanjut mendapati kemungkinan suspek terlibat dalam pembunuhan majikannya itu.

Ibu ditipu RM12,500 anak disangka mangsa 'culik'



KUALA LUMPUR 22 April - Seorang ibu sanggup mengayuh basikal sejauh lapan kilometer untuk memasukkan wang RM12,500 ke dalam sebuah bank bagi menyelamatkan anak lelaki tunggalnya yang dilaporkan 'diculik' Isnin lalu .
Namun suri rumah itu hanya mampu tergamam apabila menyedari dirinya ditipu satu sindiket apabila anak lelakinya yang dilaporkan diculik pulang ke rumah seperti biasa pada pukul 7 petang.
Menceritakan lebih lanjut, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng berkata, dia menerima panggilan telefon rumahnya ketika sedang memasak makan tengah hari.
Katanya, dalam perbualan itu, suspek menyatakan bahawa anak lelakinya kini dalam tawanan kerana menjadi penjamin kepada seorang peminjam ah long.
"Suspek kemudian meminta nombor telefon bimbit saya. Saya yang takut telah memberi nombor telefon bimbit sebelum suspek menghubungi semula dan mengarahkan supaya membayar wang tebusan RM60,000 untuk jaminan keselamatan anak saya.
"Pada masa sama, saya mendengar suara orang menangis dan meminta bantuan. Saya sangat terkejut dan menganggap ia suara anak saya," katanya ketika ditemui di pejabat MCA di sini hari ini.
Tambah Ng, dia memaklumkan kepada suspek bahawa dirinya tidak memiliki wang sebanyak itu dan selepas tawar-menawar suspek bersetuju menerima RM4,500.
Katanya, dia kemudian bergegas ke sebuah bank untuk memasukkan wang itu dengan mengayuh basikal.
Difahamkan, ketika perjalanan itu, mangsa tidak dibenarkan meletakkan telefon sebaliknya 'diumpan' dengan suara orang menangis dan meminta tolong.
Katanya, selepas memberitahu wang dimasukkan, suspek memaksa Ng menyerahkan lagi wang hingga menyebabkan dia meminta bantuan dari seorang jiran sebanyak RM2,500.
"Selepas memasukkan wang, suspek memberitahu wang yang saya berikan tidak mencukupi untuk membebaskan anak saya.
"Saya kemudian meminjam daripada anak perempuan saya RM5,500 dan memasukkannya ke akaun yang diberi suspek," katanya sambil memberitahu dia pulang ke rumah selepas itu.
Beliau berkata, bagaimanapun dia terkejut apabila mendapati anaknya itu pulang tanpa kesan dipukul dan membuat laporan di Balai Polis Jinjang pada hari sama.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, sejak tahun lalu hingga sekarang, pihaknya menerima 10 kes sedemikian.
Jelasnya, modus operandi yang digunakan suspek untuk menipu mangsa juga sama.
"Oleh itu, saya mengingatkan orang ramai berwaspada dengan sebarang panggilan telefon dan membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum pembayaran dibuat," katanya.

Geng Karim Mamak lumpuh




KUALA LUMPUR 22 April - Sebuah kumpulan dikenali Geng Karim Mamak yang amat dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan mencuri kereta di beberapa buah negeri lumpuh dengan tertangkapnya lapan anggotanya, baru-baru ini.
Dalam operasi yang dijalankan oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, sejak beberapa minggu lalu, polis menemui semula sebanyak 21 buah kenderaan bernilai hampir RM1.5 juta.
Antara kenderaan mewah yang dirampas adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dan Honda Jazz, Toyota Estima, Mercedez Benz serta Honda Civic.
Kumpulan yang aktif sejak setahun lalu itu, dikatakan licik kerana setiap anggotanya memiliki kepakaran masing-masing termasuk mengubah suai nombor casis dan enjin sebelum menjualnya dengan harga rendah.
Antaranya 'tukang ketuk' untuk mengubah suai nombor casis dan enjin, runner bagi berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Selain itu, ada juga di antara anggotanya yang ditugaskan membeli kenderaan curi daripada pihak lain sebelum dijual semula kepada pembeli lain, pencuri kenderaan dan penjual kenderaan curi.
Setelah segala proses selesai, kumpulan itu akan menjual kenderaan terbabit pada separuh harga sebagai contoh Toyota Wish yang bernilai RM150,000, dijual serendah RM70,000.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan pada sidang akhbar hari ini berkata, soal siasat terhadap kesemua suspek berusia antara 27 dan 55 tahun itu mendedahkan bahawa kesemua kereta curi akan dihantar ke Kota Bharu, Kelantan, untuk diubah suai nombor casis dan enjin.
"Mereka ini amat profesional dan berkemahiran tinggi. Untuk mengaburi mata pihak berkuasa, nombor casis dan enjin sesebuah kenderaan itu diubah suai mengikut pendaftaran kenderaan yang terbabit dengan kemalangan kerosakan menyeluruh.
"Kenderaan itu kemudian akan dihantar menjalani pemeriksaan di Puspakom sebelum membuat kad perakuan pendaftaran yang baru di JPJ selain membuat pembatalan tuntutan hak milik.
"Setelah berjaya membuat pembatalan, mereka akan melakukan hak pertukaran milik pula dan ia merupakan proses terakhir sebelum diserahkan kepada pembeli," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada wujudnya penglibatan orang dalam JPJ atau Puspakom.
Zakaria memberitahu, kejayaan itu dicapai ekoran penahanan salah seorang ahli kumpulan tersebut di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang pada 24 Mac lalu.
"Segala-galanya bermula daripada tangkapan pertama itu yang kemudian membongkar kegiatan kumpulannya.
"Susulan itu, satu pasukan khas ditubuhkan untuk melumpuhkan sindiket terbabit. Polis bagaimanapun masih memburu dua lelaki, iaitu ketua dan orang kanannya yang masih bebas," jelas beliau.
Dua lelaki yang dicari ialah Abd. Wahab Omar atau lebih dikenali sebagai 'Karim', 52, yang dipercayai ketua kumpulan dan orang kanannya, Abdul Hallim Othman, 45.
Abd Wahab berasal dari Alor Setar, Kedah dan Abdul Hallim dari Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Zakaria meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua individu yang dikehendaki atau sindiket berkenaan supaya menyalurkan maklumat kepada polis menerusi talian 03-21159999 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) 32728 kepada RakanCop.

Ibu bapa Lee Swee Hui didakwa



KUALA LUMPUR 22 April - Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan, Lee Swee Hui, 3, yang mati akibat didera di rumah mereka di pangsapuri Bukit Serdang pada Rabu lalu, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, tindakan itu diambil setelah pihaknya selesai melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.
"Kita telah selesai siasatan kes dan pasangan terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 14 April lalu, Swee Hui dihantar ke Poliklinik Komuniti Seri Kembangan oleh bapa tirinya setelah mendapati dia tidak sedarkan diri.
Kanak-kanak malang tersebut disahkan meninggal dunia di poliklinik berkenaan dan berikutan itu, bapa tirinya yang merupakan seorang penganggur ditahan selepas pihak hospital menghubungi polis.
Terdapat kira-kira 60 kesan lebam dan luka di badan, dahi serta pipi kanak-kanak tidak berdosa itu.
Siasatan awal polis mendapati kecederaan pada kanak-kanak itu dipercayai akibat dipukul dengan objek keras.
Menurut doktor, lebam-lebam dialami mangsa merupakan kesan kecederaan yang dianggarkan baru seminggu sebelum mangsa meninggal dunia.