Search This Blog

Monday, April 19, 2010

Ikan keli makan organ babi haram





2010/04/19

PUTRAJAYA: Memakan haiwan ternakan, termasuk ikan keli yang diberi makanan sebahagian besarnya organ dalaman babi atau haiwan lain secara berterusan adalah haram bagi umat Islam dan fatwa mengenai pengharaman itu sudah diwartakan. 

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Amri Abdullah, berkata fatwa pengharaman itu wajar menjadi panduan kepada umat Islam bagi mengelak membeli hasil ternakan haram dimakan.
“Umat Islam perlu berhati-hati dan mengelakkan memakan ternakan seumpama kerana fatwa mengenai kesahihan haram atau halal sudah dikeluarkan,” katanya kepada Berita Harian, ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang penternak ikan keli di Taman Agro Teknologi Pertanian Bestari Jaya di Kuala Selangor, Mohd Fadzil Ibrahim, mendakwa ada ikan keli yang diternak bukan Melayu diberi makan seperti perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi. 

Namun, Mohd Amri berkata walaupun Jakim bertanggungjawab terhadap persijilan halal seperti ditetapkan oleh standard ISO MS150 2009, pihaknya tidak berhak memeriksa produk yang tidak mempunyai persijilan halal atau tanpa logo halal. 

“Jakim hanya boleh memeriksa pengeluaran, penyediaan, pemberian makanan, penyembelihan, pengendalian, penyimpanan dan pembungkusan bagi produk yang ada sijil halal, Pendek kata, semua proses dari ladang hingga sampai kepada konsumer di meja makan adalah dalam bidang kuasa Jakim. 

“Bagaimanapun, bagi produk yang tiada persijilan halal atau menggunakan logo halal, ia tidak bermakna bahan terbabit haram dimakan tetapi pengguna harus menggunakan budi bicara dan jangan beli sekiranya was-was,” katanya. 
Beliau berpendapat adalah berbaloi bagi pengusaha hasil ternakan seperti ikan keli, yang sebahagian besar pelanggannya adalah orang Melayu atau umat Islam, memohon persijilan halal bagi menghapuskan syak wasangka terhadap kesahihan status halal produk yang dipasarkan.

Kerajaan Kelantan bawa kes royalti minyak ke mahkamah



KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan akan membawa kes tuntutan royalti minyak daripada Kerajaan Pusat ke mahkamah sebagai jalan terakhir selepas gagal berunding dengan Petronas.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata langkah itu diambil sebagai memenuhi resolusi yang diputuskan oleh kerajaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.
Beliau berkata, pada persidangan itu, semua ahli dewan bersetuju supaya tuntutan royalti minyak yang diperoleh di perairan negeri ini dibuat secara rundingan dengan Petronas dan jika gagal, barulah tindakan mahkamah diambil.
Pesuruhjaya Pas II Kelantan itu berkata, kerajaan negeri berusaha untuk berunding dengan Petronas dan sudah pun menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas yang baru, Datuk Shamsul Azhar Abbas untuk tujuan itu tetapi tiada jawapan.

"Atas dasar itulah, kita akan tetap mengemukakan tuntutan royalti minyak kerajaan negeri ke mahkamah. Bagaimanapun, bila dan bentuk tindakan itu bergantung kepada keadaan," katanya selepas menyerahkan kunci rumah kedai dan pejabat Bandar Baru Tunjung, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan Pusat membuat keputusan tidak akan membayar tuntutan royalti minyak kepada Kelantan sebaliknya diberi dalam bentuk wang ihsan.

Mengulas kenyataan bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, tidak sanggup menjadi orang tengah dalam rundingan tuntutan itu, Husam berkata, beliau akur dengan keputusan pemimpin veteran Umno itu.
“Keengganan Tengku Razaleigh menjadi orang tengah ada kewajarannya kerana ia akan menjejaskan kredibilitinya sebagai saksi penting kerajaan apabila kes itu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Husam berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepercayaan kepada Tengku Razaleigh untuk berunding kerana menghormatinya sebagai bekas Pengerusi Petronas dan penggubal Akta Petroleum 1974 yang memberi hak kepada negeri mendapat royalti ke atas kerja-kerja cari gali minyak di kawasan perairannya.

"Bagaimanapun, kita akur dan memahami dengan keputusan Tengku Razaleigh itu, dan tidak akan membuat tawaran semula untuk menjadi orang tengah dalam rundingan dengan Petronas," katanya.

Minggu lalu, Tengku Razaleigh menjelaskan beliau tidak bersedia untuk menerima tawaran kerajaan negeri untuk menjadi orang tengah, sebaliknya hanya bersedia menjadi pemantau wang ihsan yang diberikan Kerajaan Pusat bagi memastikan tidak disalahgunakan oleh kerajaan negeri. - Bernama

Nazri sedia hadapi tindakan mahkamah kerana dakwa Dr Pornthip pembohong





2010/0

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata beliau bersedia menghadapi sebarang tindakan mahkamah selepas abang kepada mendiang Teoh Beng Hock memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadapnya.

Nazri berkata, tindakan Teoh Meng Kee memfailkan notis usul untuk memenjarakan beliau kerana kenyataannya yang mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand "pembohong" adalah hak peribadi Meng Kee.
"Bersedia...bila-bila masa. Ini benda yang terlalu kecil. Lebih ringan daripada nyamuk gigit, tak ada hal," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau juga menolak dakwaan Meng Kee bahawa bahawa kenyataannya itu mempunyai “kecenderungan untuk mencampuri pentadbiran kehakiman” dalam inkues yang sedang dijalankan.

"Kita belum tahu sama ada pembunuhan atau bunuh diri," katanya.

Jumaat lalu, Meng Kee sudah memfailkan notis usul tersebut yang mahu Nazri dipenjarakan kerana menghina mahkamah melalui firma guaman Karpal Singh & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam.

Permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26 Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948. - Bernama

Pasangan dicekup khalwat dedah sindiket kahwin palsu




JITRA: Penahanan pasangan lelaki berusia 30 tahun dan remaja 16 tahun kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel murah di sini minggu lalu berjaya membongkar sindiket jurunikah palsu di Kedah yang menggunakan sijil nikah palsu Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP). 

Ketika ditahan pada jam 11 malam 8 April lalu, pasangan berkenaan mendakwa majlis pernikahan diadakan di sebuah rumah di Lorong Tok Keramat, di sini dan memiliki surat nikah yang tertera pengesahan JAIPP.
Menurut sumber, pasangan itu mendakwa dinikahkan pada jam 10 pagi berkenaan, tetapi sijil nikah disimpan jurunikah di rumah itu.
“Kami terpaksa membawa mereka ke Balai Polis Jitra untuk laporan tangkapan dan meminta mereka menghubungi jurunikah terbabit bagi membawa surat nikah mereka untuk membantu siasatan. 

“Kita kemudian memperoleh surat nikah dihantar seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai jurunikah berkenaan, tetapi tidak menahannya kerana tiada bukti kukuh dan kes masih dalam siasatan. Surat nikah itu diragui kerana tertera cap JAIPP sedangkan pernikahan berlangsung di negeri ini,” katanya. 

Difahamkan, pasangan itu dinikahkan dengan berwali bapa pengantin perempuan berikutan pasangannya, seorang guru di sebuah pusat agama di daerah ini sudah beristeri dan mahu berpoligami tanpa diketahui isteri pertamanya. 

Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 9(1) (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-dua sekali. 
Lelaki itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 kerana berpoligami tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan didenda tidak melebihi RM500. 

Sumber itu berkata, pihaknya difahamkan banyak kes kehilangan surat nikah dilaporkan di Pulau Pinang dan menyerahkan kes itu kepada JAIPP untuk siasatan. 

Sementara itu, tinjauan di kawasan rumah yang dipercayai didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa, mendapati ia lengang dan bertutup rapat, tetapi dipercayai dihuni lebih 20 orang dan menempatkan ibu hamil dan kanak-kanak.

Jiran marah aksi bintang sukan




GAMBAR atas menunjukkan lokasi tempat kereta yang dinaiki Defoe. GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan Defoe (menutup kepala) keluar dari sebuah kereta.


HERTFORDSHIRE, England - Seorang bintang bola sepak kelab Tottenham, Jermain Defoe ditangkap bersama seorang wanita muda semasa mereka melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta berdekatan taman kanak-kanak pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Bintang itu mungkin berdepan hukuman enam bulan penjara dan denda 5,000 euro (RM22,000) kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.
Defoe didapati keluar dari rumahnya di Cuffley dengan berjalan kaki dan memakai baju penutup kepala pada pukul 8 malam sebelum menaiki sebuah kereta Toyota RAV 4 berwarna biru yang diletakkan tidak sampai 50 meter dari rumahnya.
Apabila memasuki kenderaan itu, Defoe mengarahkan seorang gadis berambut merah untuk memandu ke satu jalan mati di kawasan rumah mewah dan menghentikan kenderaan tersebut sebelum dia beralih kedudukan di bahagian belakang.
"Masih ada cahaya lampu dan sesiapa sahaja boleh melihat apa yang berlaku.
"Mereka berbual seketika sebelum gadis itu hilang daripada pandangan.
"Memang jelas apa yang mereka lakukan dan gadis tersebut menemuinya hanya untuk satu tujuan sahaja," kata seorang jurugambar yang melihat aksi mereka.
Tindakan Defoe telah mengundang kemarahan jiran-jirannya.
Terdapat dua individu dan sebuah keluarga berjalan melintasi kereta mereka semasa Defoe dan gadisnya itu melakukan hubungan seks.
Namun, Defoe kemudian keluar dari kenderaan tersebut dan berjalan pulang seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. - Agensi

Taikun minta balik AS$15.7 juta




CHIGIRINSKY (dalam bulatan) mahu wang deposit yang dibayarnya bagi pembelian sebuah apartmen di New York.


NEW YORK - Taikun minyak Rusia, Shalva Chigirinsky menyaman Hotel Mark di sini bagi membatalkan kontrak pembelian apartmen berharga AS$15.7 juta (RM50.1 juta) selain mendapatkan balik wang depositnya sebanyak AS$4 juta (RM12.7 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Chigirinsky yang memiliki syarikat minyak Moscow Oil Co. bersama pemerintah Rusia pernah disenaraikan memiliki kekayaan AS$2.3 bilion (RM7.3 bilion) pada 2008 dalam majalah Forbes.
Dia menandatangani kontrak pembelian apartmen dengan Hotel Mark pada April 2008 dan bersetuju membayar AS$5,000 (RM15,962) setiap kaki persegi untuk membeli sebuah apartmen penthouse tiga bilik tidur di tingkat 15 hotel tersebut.
Chigirinsky mendakwa apartmen itu yang kini sudah boleh diduduki mengalami banyak kerosakan selain tiada khidmat layanan tetamu atau kemudahan asas seperti restoran.
Pada tahun lalu, Chigirinsky, 60, dilapor meninggalkan Rusia setelah semua asetnya dirampas oleh syarikat pemberi pinjaman, Sibir Energy.
Dia juga terpaksa menjual rumah mewahnya di Perancis dan London bagi membayar hutangnya. - Agensi

Bakar hotel kerana gadis bar




GAMBAR menunjukkan Liang (dua dari kiri) bertengkar dengan seorang kakitangan hotel kerana dia tidak dibenarkan membawa masuk tiga gadis bar di Pattaya pada Sabtu lalu.


PATTAYA - Seorang warga China, Shen Wen Liang ditangkap kelmarin selepas dia cuba membakar bangunan Hotel Golden Beach di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia ditangkap oleh anggota-anggota keselamatan selepas cuba membakar bilik penginapannya kerana marah dengan pihak pengurusan hotel.
Kejadian itu berlaku lima minit setelah dia marah kerana seorang kakitangan hotel tidak membenarkannya membawa masuk tiga gadis bar ke dalam biliknya.
Kakitangan itu enggan membenarkan tiga gadis itu dibawa masuk ke dalam bilik hotel kerana ia merupakan peraturan pihak hotel.

LIANG ditangkap oleh seorang anggota keselamatan.


Lelaki itu yang berang kemudiannya mengancam akan membakar biliknya di tingkap empat.
Anggota-anggota keselamatan kemudiannya mengesan asap dari tingkat empat yang menempatkan bilik warga China itu dan bertindak menangkapnya sebelum api dipadam.
Polis yang menyoal siasatnya mendapati Liang merupakan pemandu pelancong haram untuk satu kumpulan dari China di Pattaya.
Tiga gadis bar yang mahu dibawa masuk ke dalam hotel tersebut ialah untuk dihantar kepada pelanggan-pelanggannya. - Agensi

Laman web untuk penumpang terkandas




KUALA LUMPUR - Kolej ACE mewujudkan sebuah laman web untuk berjuta penumpang yang terkandas bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan di seluruh dunia.
Ketua pegawai eksekutif kolej berkenaan, Eddie Kok berkata, laman web itu adalah percuma dan boleh membantu penumpang menyemak 208 penerbangan antarabangsa.
"Tidak perlu untuk mengingat atau mencari laman web sesebuah syarikat penerbangan itu. Apa yang perlu dilakukan ialah mendaftar masuk ke www.acecollege.edu.my atau www.worldtourism.my dan klik ke penerbangan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, penumpang hanya perlu masuk ke Google atau Yahoo dan menaip "ace college" atau laman web "world tourism". - Bernama

Tiga termasuk pasangan adik beradik didakwa merompak



19/04/2010 3:32pm

JOHOR BAHARU - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan merompak secara berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam, bulan lepas.
Mohamad Fadzil Jamaludin, 26, Mohd Hedayat Salleh, 29, dan Mohamad Rizuan Salleh, 32, didakwa merompak wang tunai RM550 dan sebuah telefon bimbit Nokia serta Samsung bernilai RM1,500 milik Liew Yun Choy, 42, selain menyamar sebagai polis ketika melakukan perbuatan tersebut terhadap lelaki berkenaan.
Mohamad Fadzil serta pasangan adik beradik, Mohd. Hedayat dan Mohamad Rizuan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Jalan Beladau 9, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, kira-kira pukul 7.30 malam, 24 Mac lepas.
Ketiga-tiga mereka turut didakwa merompak sebuah telefon bimbit Nokia dan wang tunai RM1,800 milik Wong Woei Jian, 28, serta menyamar sebagai polis di tepi Jalan Kebudayaan 16, Taman Universiti, Skudai, kira-kira pukul 9 malam, 16 Mac lepas.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan Hakim Aliman Musri menetapkan wang jaminan RM16,000 setiap seorang bagi kesemua tuduhan serta 6 Julai depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Peniaga hadapi tujuh tuduhan rasuah



19/04/2010 2:35pm

BUTTERWORTH - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan rasuah membabitkan suapan berjumlah RM10,000, dua tahun lepas.
Riduwan Ramli, 48, dituduh melakukan kesalahan itu antara 2 April dan 9 April 2008 di Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam sebagai dorongan untuk membantu beberapa individu menyelesaikan kes anak mereka yang ditangkap polis kerana kesalahan mencuri motosikal.
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Riduwan didakwa meminta suapan sebanyak RM1,500, masing-masing daripada empat individu pada pukul 10.30 malam, 2 April 2008.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia didakwa menerima suapan sebanyak RM800 setiap seorang daripada dua individu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketujuh, Riduwan didakwa menerima suapan sebanyak RM2,400 daripada seorang individu antara pukul 10.45 malam hingga 11.15 malam, 9 April 2008 di tempat yang sama.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 4 Oktober ini untuk perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Penolong Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman Samingan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Dua digugur dakwa bunuh saingan politik



MANILA - Jabatan Kehakiman Filipina menggugurkan dakwaan membunuh terhadap dua anggota keluarga berpengaruh yang dituduh membunuh saingan politik dan wartawan pada 23 November tahun lalu.
Keputusan itu mencetuskan bantahan semalam manakala saudaramara mangsa menangis mendengar berita tersebut.
Setiausaha Kehakiman, Alberto Agra berkata, beliau menggugurkan nama bekas gabenor wilayah autonomi Islam, Zaldy Ampatuan dan saudara lelakinya, Akhmad daripada kertas pertuduhan.
Tindakan itu dilakukan dengan alasan pihak berkuasa kekurangan bukti kukuh untuk mengaitkan mereka dalam merancang dan melaksanakan pembunuhan kejam itu di wilayah Maguindana yang diperintah keluarga Ampatuan.
"Tiada bukti kukuh bahawa mereka terbabit merancang pembunuhan itu," kata Agra.
Jelasnya, Zaldy Ampatuan menyerahkan bil telefon dan tiket penerbangan untuk menunjukkan dia tidak menghadiri pertemuan bagi merancang jenayah itu pada 22 November lalu atau di lokasi pembunuhan.
Menurut Agra, Akhmad pula menghantar beberapa saksi dan gambar menunjukkan dia menghadiri misi perubatan semasa hari kejadian.
Pada 23 November lepas, 57 ahli politik dan wartawan, dibunuh dengan kejam di wilayah Maguindana semasa mereka dalam perjalanan untuk memfailkan pencalonan bagi menentang keluarga Ampatuan dalam satu pilihan raya tempatan.
Keluarga Ampatuan merupakan penyokong kuat dan sekutu rapat Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo. - AP

Jutaan penumpang terkandas




GAMBAR menunjukkan lahar keluar dari sebuah kawah berapi
di Eyjafjallajokul, Iceland kelmarin.


LONDON - Awan abu dari kawah berapi di bawah glasier Eyjafjallajokul di Iceland menutupi langit Eropah untuk hari keempat semalam dengan menyebabkan perjalanan jutaan penumpang terkandas kerana penerbangan di kebanyakan laluan ditangguhkan.
Ekoran itu, banyak syarikat penerbangan mahu isu tersebut diselesaikan segera berikutan kerugian besar yang dialami disebabkan penangguhan penerbangan.
Sebahagian besar di Eropah diletakkan dalam zon larangan terbang dengan lapangan terbang Heathrow di London, Charles de Gaulle, Paris dan Frankfurt di Jerman masih ditutup sehingga menyebabkan berjuta-juta penumpang di seluruh dunia terkandas setelah lebih 17,000 penerbangan di Eropah dibatalkan sejak kelmarin.
"Ini merupakan gangguan paling serius yang pernah kita lihat dan keselamatan penumpang menjadi keutamaan kita," kata Perdana Menteri Britain, Gordon Brown berhubung penutupan lapangan terbang di negara itu.
Britain meningkatkan tempoh larangan terbang sehingga hari ini.

SEORANG krew yang bekerja dengan penerbitan National Geographic melihat kepulan awan hitam dari kawah berapi di Eyjafjallajokul, Iceland semalam.


Sementara itu, lebih 7,000 penumpang transit terkandas di Dubai dan Abu Dhabi iaitu dua wilayah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) susulan pembatalan penerbangan ke Eropah semalam.
Kawah berapi di glasier Eyjafjallajokul yang terletak di sebuah aisberg kira-kira 120 kilometer ke timur ibu negara Iceland, Reykjavik itu meletus Rabu lepas.
Ia masih mengeluarkan asap dan abu yang menuju ke Eropah pada ketinggian lapan hingga 10 kilometer di udara akibat tiupan angin.
Gunung berapi itu mencetuskan gangguan pengangkutan udara terburuk sejak serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001 apabila 40,000 penerbangan dibatalkan selama tiga hari.
Abu gunung berapi itu yang boleh merosakkan enjin pesawat, berada di ruang angkasa dari Lingkaran Artik di utara hingga kawasan pesisir Mediterranean di Perancis dan Sepanyol sekali gus menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan kerugian lebih AS$200 juta (RM638.5 juta) sehari.

BEBERAPA penumpang ke London yang terkandas tidur di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan semalam.


Sementara itu, syarikat penerbangan Air France menyatakan ia berjaya melakukan satu ujian penerbangan di Perancis sejak abu dikeluarkan dari kawah tersebut.
Pesawat ujian itu berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle dan selamat tiba di Toulouse, selatan Perancis semalam walaupun abu meliputi sebahagian ruang udara Eropah.
Sebuah lagi syarikat penerbangan KLM dari Belanda menyatakan pihaknya turut berjaya menerbangkan krew sebuah pesawat penumpang menyebabkan ia meminta supaya larangan terbang ditamatkan di Eropah. - Agensi

Baju Kuning beri kata dua




SEJUMLAH penyokong Baju Merah tidur di sebuah taman di tengah Bangkok semalam.


BANGKOK - Kumpulan Baju Kuning yang disokong golongan elit Thailand semalam berikrar untuk bertindak jika kerajaan gagal menangani penunjuk perasaan penentang kerajaan yang dikenali sebagai Baju Merah dalam tempoh seminggu.
Amaran tersebut meningkatkan kebimbangan berlakunya pertempuran di antara dua kumpulan yang berseteru itu.
Kumpulan Baju Merah yang menyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, telah menduduki ibu negara Thailand, Bangkok selama lebih sebulan kerana kempen mereka menentang kerajaan sehingga menyebabkan 25 orang terbunuh dalam beberapa siri pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Thailand kini berpecah antara penduduk miskin dan pedalaman yang menyokong Baju Merah manakala golongan propembangunan pula memihak kepada Baju Kuning.
Sejak Baju Merah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada pertengahan Mac lalu bagi menuntut pilihan raya segera diadakan, kumpulan Baju Kuning mengambil sikap berdiam diri tetapi semalam, 3,000 hingga 5,000 penyokong mereka berhimpun di sini bagi membincangkan tindak balas berhubung krisis berkenaan.
"Dalam masa tujuh hari, kami berharap kerajaan akan menangani pengganas dari kem Thaksin (Baju Merah), jika tidak kami akan bertindak bagi melindungi negara dan keluarga diraja," kata Parnthep Pourpongpan iaitu salah seorang jurucakap Baju Kuning yang menggunakan nama rasmi Perikatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD).
Menurutnya, kumpulan Baju Merah sepatutnya menghargai nyawa mereka dengan tidak membuat kenyataan tidak benar bahawa kerajaan membunuh ramai orang.
"Kumpulan Baju Merah sepatutnya menyelamatkan nyawa mereka dengan menghentikan bantahan ini," tambahnya.
Sementara itu, kumpulan Baju Merah mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kempen bagi meminta pilihan raya baru dengan menambah bilangan mereka di kawasan komersial di sini menjelang esok.
Kelmarin, ketua kumpulan itu, Nattawut Saikuar menyatakan, sebanyak 24 pemimpin kanan Baju Merah akan menyerah diri pada 15 Mei depan bagi mengelak penggunaan paksaan oleh pihak berkuasa bagi menangkap mereka.
Menurutnya, mereka akan memohon ikat jamin selepas ditangkap. - AFP

Pamela dilanda masalah besar



PAMELA memiliki hutang cukai tertunggak berjumlah RM1.6 juta.


PAMELA ANDERSON dikatakan berhutang hampir AS$500,000 (RM1.6 juta) yang merupakan cukai tertunggak. Bekas model majalah Playboydan aktres yang mencipta nama menerusi siri TVBaywatch itu telah diminta untuk membayar cukai berjumlah AS$493,144 (RM1.57 juta) pada tahun lalu.
Malah, namanya telah disenaraikan oleh Jabatan Cukai California kerana menjadi antara pembayar cukai yang berhutang melebihi AS$100,000 (RM318,000).
Pamela, 42, dan peguamnya, Robert T. Leonard bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.
Namun, aktres itu sebelum ini pernah membela dirinya dengan menyatakan ia satu kesilapan.
Katanya: "Kesalahan selalu berlaku semasa mengira cukai tertunggak."
Selain daripada itu, Pamela juga berdepan dengan kes undang-undang di New York apabila syarikat pakaian Amerika Syarikat, Maggy London International mengambil tindakan undang-undang ke atas jenama pakaian ciptaan Pamela.
Syarikat itu menyatakan Pamela tidak mempedulikan permintaan mereka untuk menukar label pakaiannya, A*Muse yang dilancarkan awal tahun ini.
Bagi mereka, label itu menyerupai jenama pakaian mereka, Muse yang telah didaftarkan pada tahun 2002.
Tahun lalu, Pamela juga dikhabarkan berdepan dengan masalah kewangan selepas sebuah syarikat kontraktor menyatakan aktres itu berhutang sebanyak AS$1 juta (RM3.18 juta) selepas mengubah suai rumahnya di Malibu, California.

Gelora lihat tubuh kerani



Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/04/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LIPIS: Tua miang keladi. Itu panggilan paling layak diberikan kepada seorang lelaki yang bergelar haji apabila mengambil kesempatan mencabul pekerjanya ketika mangsa menjalankan tugas hariannya sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di bandar ini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 21 tahun membongkar perbuatan terkutuk itu kepada ibunya selepas tidak tahan sikap majikannya yang kerap melakukan gangguan seksual.
Sebelum kejadian, mangsa yang menjalankan tugasnya dihampiri majikannya itu dari belakang sebelum lelaki terbabit memeluknya dan cuba mencium pipi.

Terkejut dengan tindakan lelaki terbabit, mangsa cuba melepaskan diri sambil merayu tidak diapa-apakan sebelum suspek melepaskannya.

Difahamkan, lelaki terbabit tidak dapat menahan gelora nafsu selepas melihat keayuan wajah mangsa sebelum menunggu peluang melakukan perbuatan tidak senonoh itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata ibu mangsa yang sukar mempercayai perbuatan majikan anaknya itu membuat laporan kejadian terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis, petang kelmarin.

Menurutnya, polis menahan lelaki terbabit di rumahnya di bandar ini sebelum dibawa ke IPD Kuala Lipis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis akan merujuk kertas siasatan berhubung kejadian terbabit kepada timbalan pendakwa raya untuk memutuskan kes itu akan didakwa atau sebaliknya.

Abdul Razak berkata, berikutan itu, mangsa berhenti kerja di syarikat berkenaan kerana trauma dicabul majikan.

Sembilan pelajar disah positif H1N1





2010/04/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PUTRAJAYA: Sembilan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Ad-Diniah Al-Islamiah, Kuala Kangsar, Perak disahkan positif Influenza A (H1N1) dengan seorang daripada mereka dimasukkan ke wad dan diberi rawatan antiviral.
Bagaimanapun, lapan pelajar lagi hanya diberikan rawatan simtomatik sebagai pesakit luar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata setakat semalam, 39 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga 5.30 petang kelmarin, menjadikan jumlah terkumpul kes itu sebanyak 13,127 kes.

“Namun, setakat ini tiada kematian baru dilaporkan, serta tiada kemasukan baru ke Unit Rawatan Rapi (ICU) menjadikan kes yang dirawat di unit itu kekal 12 orang,” katanya.

Menurutnya, jumlah kes Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 534 kes dengan 70 kes atau 13.1 peratus disahkan positif A(H1N1).

“Sehingga jam 8 pagi semalam, kementerian menerima enam laporan kejadian kluster ILI daripada empat negeri iaitu Johor, Pahang, Perak dan Perlis.

“Ia termasuk Tadika Sri Merdeka, Taman Merdeka, Batu Pahat, Johor; Klinik Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Indera Pahlawan, Jengka 6 Maran, Pahang dan Kuarters Imigresen, Padang Besar, Perlis,” katanya di sini, semalam.

Dr Mohd Ismail berkata, orang awam perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan.

Tentera Thai dikerah kawal hab kewangan





2010/04/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BANGKOK: Beratus-ratus anggota tetera Thailand dikerah untuk mempertingkatakan kawalan terutamanya di hab kewangan ibu negara itu hari ini.
Ia berikutan ancaman penunjuk perasaan 'baju merah' yang dijangka akan meningkatkan gerakan dalam usaha mereka menggulingkan kerajaan.

Wartawan agensi berita AFP melaporkan terdapat ramai anggota tentera dan polis pencegah rusuhan membanjiri daerah pusat kewangan utama di bandar terbabit, dan kebanyakan mereka lengkap bersenjata.

Menurut jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayagorn yang memberitahu AFP, beberapa unit penguatkuasa bersenjata kini berkawal untuk mematahkan ancaman pengganas yang berselindung di sebalik penunjuk perasaan. - AFP

Toyota setuju bayar denda AS$16.4j





2010/04/19

NEW YORK: Gergasi automotif terkemuka dunia, Toyota bersetuju membayar AS$16.4 juta kepada kerajaan Amerika Syarikat sebagai denda berkaitan kerosakan pada pedal minyak kenderaan yang dikeluarkan.
Pegawai Kanak Kerajaan AS membuat pengumuman lewat malam tadi, berkata dengan membayar penuh penalti yang dikenakan, syarikat terbabit dilihat mengambil tanggungjawab penuh kerana merahsiakan risiko keselamatan, sekali gus melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, jurucakap Toyota enggan mengulas, tapi diberitakan bahawa syarikat itu akan menandatangani dokumen perundangan berkaitan awal hari ini.

"Mereka bersetuju untuk membayar denda maksimum yang dikenakan. Denda tertinggi setakat ini dan mesti dibayar dalam tempoh 30 hari," katanya pegawai kanan itu lagi.

Awal tahun lalu, Toyota gagal melaporkan risiko keselamatan mengenai pedal minyak yang 'melekat' selepas ditekan dan Jabatan Pengangkutan AS mencadangkan penalti awam dengan jumlah maksimum AS$16.375 juta dikenakan ke atas Toyota kerana gagal mengemukakan laporan. - AFP

Nota terjun tingkat 11



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/04/19

KUALA LUMPUR: Tekanan perasaan dialami selepas mendakwa sering dimarahi keluarga kerana mendapat keputusan peperiksaan tidak memuaskan membuatkan seorang pelajar tingkatan tiga sanggup terjun daripada tingkat 11 pangsapuri didiami.
Sebelum terjun, pelajar perempuan itu sempat menulis surat meluahkan perasaan kecewanya kerana kerap dimarahi ibu bapa apabila gagal mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
Malah, dia juga turut merakamkan gambar sendiri menggunakan telefon bimbit yang menunjukkan seolah-olah cuba menjerut leher menggunakan rantai yang dipakainya.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, remaja berkenaan dipercayai bertindak terjun dari tingkap bilik tidurnya selepas meninggalkan surat dan bukti berhubung masalah dialami.

Menurutnya, pelajar yang tinggal bersama ahli keluarga di Ketumbar Height, Cheras di sini, cedera parah di kepala dan tubuh kesan dari hentakan kuat menyebabkan dia mati di lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui penduduk pangsapuri itu.

“Berdasarkan siasatan, mangsa kerap menginap di rumah mak ciknya di tingkat empat di pangsapuri sama, namun pada hari kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di tingkat 11 kediaman itu.

“Sebelum terjun, mangsa sempat menggunakan telefon bimbit kamera miliknya untuk merakam perbuatan anehnya. Berdasarkan siasatan, dia dilihat sengaja menggunakan rantai leher sambil seolah-olah cuba menjerut lehernya sendiri,” katanya.

Menurutnya, pelajar itu kemudian menulis di atas dua keping kertas mencurahkan segala masalah dan rasa isi hatinya. Antaranya mendakwa tertekan dengan keputusan akademiknya yang mengecewakan menyebabkan dia kerap dimarah oleh ibu bapa.

“Mangsa mendakwa tertekan dengan tindakan ibu bapanya yang kerap meluahkan rasa tidak puas hati sehingga dia mengambil keputusan untuk membunuh diri bagi menghentikan penderitaan dialami,” katanya.
Menurutnya, mayat remaja itu dihantar ke Pusat perubatan Hospital Kebangsaan Malaysian (PPUKM) untuk bedah siasat.

“Setakat ini siasatan mendapati kematian mangsa tidak membabitkan unsur jenayah dan ia adalah kes mati mengejut,” katanya.

Bagaimanapun, keluarga mangsa yang diambil keterangan polis tidak percaya mangsa sanggup membunuh diri hanya kerana tertekan dengan keputusan peperiksaan diperoleh.

Bapa mangsa berusia 49, mendakwa dia dan isteri tidak pernah memarahi anak gadis mereka atau memberi tekanan kepadanya.

Difahamkan, bapa mangsa meminta polis menyiasat punca kes kematian mangsa lebih terperinci bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik kematian anak gadisnya itu.

Tenungan RM200,000



Oleh Gaddafi Musli
gaddafimusli@hmetro.com.my
2010/04/19

KUALA LUMPUR: “Selepas merenung anak matanya buat pertama kali, saya seolah-olah lupa diri dan sanggup melakukan apa saja untuk dia,” kata seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukau seorang guru sekolah rendah sehingga menyebabkan dia hampir muflis dan kerugian RM200,000 dalam tempoh kurang setahun.
Wanita berusia 31 tahun itu ‘pulih’ daripada kesan pukau selepas mendapatkan rawatan beberapa kali daripada seorang ustaz di Gombak yang mendakwa dia bukan mangsa pertama lelaki itu.
“Ustaz itu kata saya bukan orang pertama yang datang berubat dengannya, malah ada tiga wanita pernah datang membawa gambar lelaki sama,” katanya kepada Harian Metro.

Menceritakan detik perkenalan dengan suspek, mangsa memberitahu dia bertemu dengan lelaki berkenaan yang mendakwa guru berusia 30-an itu di sebuah stesen minyak di Setiawangsa, Mei tahun lalu.

“Dia datang dan menegur saya secara tiba-tiba dan meminta kad perniagaan, katanya nak berkenalan, lepas kejadian itu dia sering menghubungi saya menerusi SMS dan kami berjanji keluar makan selepas dua minggu berkenalan,” katanya.

Menurut mangsa, suspek membawanya ke sebuah restoran di Bangsar dan menghadiahkan minyak wangi dan aromaterapi kononnya sebagai hadiah perkenalan.

“Suspek yang lemah-lembut dan sopan-santun meminta saya memandang tepat ke anak matanya setiap kali berbicara,” katanya.

Sebulan selepas pertemuan itu, suspek menghubungi mangsa dan mendakwa wang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) RM30,000 yang dipegangnya dirompak.

Mangsa yang bersimpati dengan kejadian itu meminjamkan RM2,500. Wanita yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat itu turut diperdaya sehingga bersetuju untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah Proton Perdana bernilai RM55,000 untuk suspek .
“Saya betul-betul tidak sedar setiap perbuatan saya ketika bersama dengannya, dia seolah-olah mengawal setiap perbuatan dan tingkah laku saya termasuk memegang kad ATM dan buku bank,” katanya.

Mangsa turut diminta membuat pinjaman RM60,000 kononnya untuk membiayai kos guaman suspek yang berdepan tuduhan rasuah.

Tanpa diketahui mangsa, suspek sebenarnya menggunakan duit itu untuk membiayai kehidupannya yang mewah termasuk memiliki beberapa kereta.

Selepas lebih 10 bulan menjadi mangsa, dia akhirnya menceritakan segala-galanya kepada seorang rakan yang segera membawanya berubat dengan seorang ustaz di Gombak.

Sebaik ‘pulih’, mangsa membuat tiga laporan di Balai Polis Dang Wangi, Setiawangsa dan Batu Caves.

“Saya harap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap suspek kerana saya khuatir orang lain menjadi mangsa,” katanya.

Tiger Woods, Elin tidak bercakap





2010/04/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
WASHINGTON: Hubungan Tiger Woods dengan isterinya bertambah keruh dan hanya menanti masa saja untuk bercerai.
Pasangan itu kembali ke rumah mereka Jumaat lalu selepas menghabiskan masa secara berasingan di tempat lain.
Menurut laporan Radaronline, pasangan suami isteri tidak bercakap walaupun duduk sebumbung.

Woods bercuti bersama anak-anaknya Isnin lalu, sehari selepas menyertai kejohanan Masters. Elin pula berlepas ke Scottsdale, Arizona Ahad lalu, sebelum kejohanan itu berakhir.

Menurut laporan, Elin mahu segera pulang ke negara asalnya, Sweden bersama anak-anaknya tetapi dihalang oleh Woods yang juga mahukan kedua-dua anak itu.

“Ada pertelingkahan mengenai hak penjagaan anak. Itu yang menyebabkan Elin menangguhkan kepulangannya ke Sweden.

“Woods pula mungkin suami yang teruk tetapi dia bapa yang penyayang dan mahu kanak-kanak itu bersamanya,” kata satu sumber yang rapat dengan pasangan itu. - AP