Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
SUBANG JAYA 15 April - Hasil bedah siasat terhadap mayat mendiang Lee Swee Hui, 3, yang mati dipercayai akibat didera semalam, menemui lebih banyak kesan kecederaan berbanding pemeriksaan awal yang hanya mengesan 30 kesan sahaja.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, jumlah kesan kecederaan yang meningkat sehingga 60 itu dipercayai akibat mangsa dipukul menggunakan objek tumpul seperti rotan.
"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Menurut Zainal Rashid, laporan bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Serdang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat lobar pneumonia atau jangkitan kuman pada paru-paru.
Katanya, polis bagaimanapun masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengenal pasti sama ada kecederaan yang dialami Swee Hui mempunyai kaitan dengan punca kematiannya.
"Sementara menunggu laporan berkenaan daripada pihak hospital, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," jelasnya.
Zainal Rashid berkata, ibu dan bapa tiri Swee Hui telah direman selama enam hari sehingga 20 April ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing menunjukkan pasangan suami isteri yang merupakan suspek kes terbabit didapati positif dadah syabu.
"Polis bagaimanapun tidak menemui dadah di rumah mereka. Kedua-dua suspek juga tidak memiliki rekod jenayah," ujarnya.
Beliau memberitahu, siasatan terhadap suspek mendapati mendiang menetap bersama keluarga angkatnya sejak dilahirkan di Sentul, Kuala Lumpur sebelum diambil semula oleh ibu dan bapa tirinya, sebulan lalu.
Semalam, Swee Hui disahkan meninggal dunia di Poliklinik Komuniti Seri Kembangan pada pukul 7.45 pagi setelah dihantar oleh bapa tirinya kerana tidak sedarkan diri.
Mangsa dipercayai mati dua jam sebelum itu. Menyedari sesuatu yang tidak kena berdasarkan kesan-kesan lebam pada seluruh badan mangsa, pihak hospital memaklumkan kepada polis mengenai perkara itu.
Pasangan suami isteri yang berusia 24 dan 27 tahun terbabit ditahan sejurus selepas itu.
Sementara itu, beberapa ahli keluarga termasuk datuk Swee Hui, dilihat hadir ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk menuntut mayat mendiang.
Mayatnya dituntut mereka pada pukul 4.30 petang, bagaimanapun mereka enggan ditemu bual.
Terdahulu kira-kira pukul 10 pagi, beberapa ahli keluarga angkat mangsa turut hadir untuk menatap wajah mangsa buat kali terakhir.
Pasangan berusia 50-an serta anak mereka berusia 20-an itu tidak dapat menahan sebak dan menangis sejurus keluar dari bilik simpanan mayat.
"Ibu dan bapa tiri mangsa yang selama ini tidak mempedulikan Swee Hui secara tiba-tiba mahu anak perempuan mereka bulan lalu.
"Walaupun hanya anak angkat, kami menjaga dan melayannya seperti anak sendiri, kami sangat menyayanginya," kata bapa angkat Swee Hui.