Search This Blog

Thursday, April 15, 2010

Dua terbunuh, 25 cedera dalam operasi roboh kubur





JAKARTA 14 April - Sebanyak dua orang terbunuh, manakala 25 lagi cedera apabila anggota penguat kuasa Dewan Bandar Raya Jakarta Utara bertempur dengan penduduk di sini hari ini.
Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi ketika anggota penguat kuasa berkenaan menggunakan jentera berat bagi merobohkan kubur Mbah Priok atau Habib Hasan Muhammad al Haddad di Koja, utara Jakarta yang dianggap sebagai keramat oleh penduduk setempat.
Mereka yang terbunuh ialah seorang penduduk awam dan seorang anggota penguat kuasa.
Pasukan penguatkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk mengusir penduduk bagi membolehkan kerja-kerja merobohkan kubur diteruskan tetapi ditentang oleh penduduk yang bersenjata parang dan batu.
Dua orang wakil rakyat yang cuba menjadi orang tengah bagi meleraikan pergaduhan itu turut cedera ringan terkena batu yang dibaling penduduk.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Salim ketika ditemui berkata, beliau bersama berpuluh-puluh penduduk kebanyakannya remaja melawan pihak penguat kuasa yang mahu merobohkan kubur yang dianggap sebagai keramat oleh penduduk setempat.
"Kami sering beribadat dan mengaji di kubur ini, tiba-tiba ada pihak yang mahu merobohkannya. Tentulah kami marah dan terpaksa mempertahankan diri dengan senjata apa sahaja yang ada," katanya.
Seorang wakil rakyat, Andika pula berkata, beliau cedera di kepala akibat diserang oleh anggota penguat kuasa.
"Serangan dilakukan secara tiba-tiba ketika perbincangan masih berjalan dengan penduduk," katanya.
Jurucakap Dewan Bandar Raya Jakarta, Cucu Ahmad Kurnia berkata, seorang anggota penguat kuasa cedera parah di perut akibat ditikam dengan senjata tajam.
Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada salah faham kerana pihak berkuasa tempatan bukan mahu merobohkan kubur berkenaan, sebaliknya mahu memperindahkan kawasan berkenaan.
"Kita sama sekali tidak akan membongkar kubur Mbah Priok, bahkan menyentuh pun tidak. Justeru nanti luasnya akan kita tambah, yang sekarang 20 meter persegi menjadi 100 meter persegi," katanya.
Cucu berkata, pihaknya sedar makam berkenaan mempunyai nilai sejarah yang sangat besar bagi masyarakat di sekitar Tanjung Priok. - Utusan

Dadah: Warga tempatan tertinggi ditahan



KUALA LUMPUR 14 April - Selain dikejutkan dengan berita warga Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan dadah, 'orang kita' juga merupakan kumpulan paling tinggi ditahan di pintu masuk negara ini atas tuduhan yang sama.
Statistik menunjukkan sejumlah 106 rakyat tempatan ditahan di pintu masuk negara ini antara 2005 hingga 2009.
Jumlah tersebut merangkumi 49 peratus daripada 214 individu yang ditahan di lapangan terbang dan pintu masuk lain ke negara ini kerana dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, rakyat Thailand pula adalah kumpulan warga asing yang paling ramai ditahan sehingga tahun lalu iaitu 53 orang sementara Peru (15) selain enam orang dari Taiwan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selangor gagal atasi curi pasir



SHAH ALAM 14 April - Kerajaan negeri terus dikritik kerana gagal menunaikan janji untuk mengatasi masalah kecurian pasir yang semakin berleluasa di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus berkata, aktiviti curi pasir semakin kerap berlaku termasuk ada suspek yang ditangkap seperti dilaporkan sebelum ini.
Beliau mempersoalkan usaha kerajaan negeri melantik Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) untuk mengurus dan mengawal perlombongan pasir yang dilihat sebagai punca kegagalan dalam menangani masalah berkenaan.
Beliau menegur usaha penubuhan 'Rakan Pasir' oleh Exco yang bertanggungjawab, Yaakop Sapari yang tidak membawa apa-apa kesan dalam perkara itu.
''Kejadian sedemikian dilihat tidak selari dengan ucapan bajet 2009 oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung penubuhan KSSB.
''Syarikat operasi pasir di tanah kerajaan ini dikatakan mampu meningkatkan hasil kerajaan berlipat kali ganda dengan jangkaan sehingga RM150 juta setahun termasuk dalam membendung aktiviti negatif seperti mencuri pasir.
''Tetapi masalah kecurian pasir masih berleluasa dan kerap dilaporkan seperti di kawasan belakang kampus Unisel, Lembangan Sungai Langat di Kuala Langat dan Dengkil, Sepang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Shukor juga memberitahu, ada pihak membuat laporan polis yang mendakwa bahawa kegiatan curi pasir itu turut menggunakan lori milik KSSB sendiri.
Beliau sangsi dengan ketelusan KSSB dalam mengawal kegiatan pengeluaran pasir di Selangor selain mempersoalkan kemungkinan pihak KSSB sendiri yang bersekongkol dengan aktiviti pengeluaran pasir terutamanya 'di luar waktu yang dibenarkan'.
Katanya, terdapat pihak yang membuat rayuan atas kompaun akibat 'kesalahan mengeluar bahan batuan tanpa wibawa yang sah' misalnya di Kuala Selangor kerana pengeluaran dibuat pada luar waktu dibenarkan.
''Tetapi kenapa KSSB merayu bagi pihak pesalah. Ini jelas satu penyeludupan dan mungkin penjualan pasir secara haram yang tidak akan direkodkan dan apakah kerajaan negeri hanya bersikap melepaskan batuk di tangga dalam soal ini," jelasnya.

Baju Merah sedia bertempur



BANGKOK 14 April - Para penunjuk perasaan antikerajaan mula berhimpun di kawasan membeli-belah utama di ibu negara Thailand ini hari ini, sebagai persiapan untuk menjadikannya 'medan pertempuran terakhir' dalam kempen mereka untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva.
Sebelum itu penunjuk perasaan Baju Merah membatalkan rancangan untuk berarak ke sebuah pangkalan tentera yang menjadi tempat Abhisit berlindung sejak kempen mereka bermula sebulan yang lalu.
Semua aktivis itu bertumpu di pusat perdagangan di ibu kota ini, sementara angka kematian berikutan keganasan politik terburuk di Thailand sejak 1992 meningkat kepada 23 orang apabila seorang penunjuk perasaan dan seorang askar meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami.
Prospek krisis politik itu berlarutan dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara ini.
"Kami akan menggunakan kawasan Rachaprasong sebagai medan pertempuran terakhir untuk menjatuhkan kerajaan. Tidak ada rundingan lagi," kata seorang pemimpin protes, Nattawut Saikua kepada wartawan hari ini.
Beliau merujuk kepada kawasan hotel-hotel mewah dan gedung membeli-belah yang terletak hanya beberapa blok bangunan dari pusat kewangan Bangkok.
Baju Merah yang sebelum ini pernah berikrar untuk mengadakan perhitungan 'terakhir' mahu Abhisit meletakkan jawatan, membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya awal. - Reuters

Pope Benedict sedia jumpa mangsa dera seks



VATICAN CITY 14 April - Vatican semalam berkata, Pope Benedict bersetuju untuk bertemu lebih ramai mangsa penderaan seks, namun bukan di bawah tekanan media di samping menolak gesaan beliau ditangkap ketika melawat Britain pada September ini.
Seorang peguam kepada penulis Britian dan penyokong ateisme, Richard Dawkins berkata di London pada Ahad lalu bahawa dia akan berusaha agar Pope Benedict diberkas untuk menghadapi pertuduhan kes penderaan seks terhadap kanak-kanak oleh paderi-paderi yang ditutup oleh pihak gereja.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut dalam satu taklimat berhubung lawatan pope itu ke Malta hujung minggu ini, jurucakap Vatican, paderi Federico Lombardi sekadar memperlekehkannya.
''Ini adalah satu idea pelik. Ia kelihatannya seperti bertujuan mahu membentuk pendapat awam. Saya fikir mereka perlu mencari sesuatu yang lebih serius dan konkrit sebelum kita boleh memberi respons terhadapnya,'' katanya.
''Lawatan pope ke Britain adalah satu lawatan negara dan adalah sesuatu yang amat ganjil sesorang yang dijemput membuat lawatan sedemikian diberkas,'' tambah beliau.
Dawkins, seorang ahli sains dan pengkritik agama telah meminta peguam hak asasi menusia untuk mengkaji kemungkinan pertuduhan boleh dikenakan terhadap pope itu dalam lawatan yang dijadual dari 16 hingga 19 September ini.
Vatican menafikan dakwaan bahawa Pope Benedict membantu menutup kes-kes penderaan oleh para paderi ketika menjawat tugas lain sebelim menjadi pope pada 2005.
Vatican juga menuduh media menganjurkan kempen untuk memburuk-burukkan beliau.
Sejumlah 10 lelaki Malta yang menyaman tiga paderi atas dakwaan mendera kanak-kanak telah meminta untuk berjumpa dengan pope tersebut.
Menurut Lombardi, beliau tidak dapat memastikan sama ada perjumpaan tersebut dapat diadakan.
''Bukan saya yang bertanggungjawab memutuskan dengan siapa pope berjumpa dalam lawatannya,'' katanya sambil menambah kata, perjumpaan seumpama itu tidak diumumkan lebih awal sebaliknya disahkan selepas ia diadakan.
Seorang jurucakap 10 lelaki terbabit berkata, mereka mahu mengadakan pertemuan dengan pope untuk meredakan dan mengatasi trauma yang dilalui. - Reuters

Ghairah demonstrasi, sawah musnah



BANGKOK 14 April - Sawah milik petani, Srian Paengsun musnah ketika dia sibuk berkampung di ibu kota Thailand ini bersama beribu-ribu penunjuk perasaan Baju Merah sejak sebulan lalu, namun Srian tidak menyesal.
''Sawah saya musnah semuanya. Isteri saya tidak mampu menjaganya. Walaupun tanaman itu sudah tiada lagi, ia tetap berbaloi. Ini yang saya mahu lakukan,'' katanya ketika menyertai tunjuk perasaan di kawasan bersejarah di kota ini.
Lelaki berusia 43 tahun dari wilayah Surin di timur laut Thailand itu merupakan seorang daripada beribu-ribu penunjuk perasaan yang berkampung di tempat-tempat tumpuan di sini dalam usaha mereka untuk memaksa Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva membubarkan Parlimen.
Kawasan perhimpunan berkenaan dilengkapi dengan khemah, kantin dan pentas di mana pembesar suara digunakan untuk melaungkan kata-kata anti-kerajaan dan mendendangkan muzik rakyat.
Kumpulan Baju Merah itu turut menyediakan tandas sementara yang disambungkan dengan sistem kumbahan tempatan dan membawa treler yang dilengkapi kemudahan tempat mandi di samping menggunakan kemudahan di kuil dan hospital untuk tujuan membasuh.
Di sebalik tunjuk perasaan yang bertukar ganas pada Sabtu lalu yang mengakibatkan 21 orang maut dan lebih 800 cedera, kumpulan Baju Merah terus mengadakan bantahan yang mengakibatkan pengangkutan terganggu di samping banyak kedai ditutup.
''Sejak kami mendapat tahu pihak tentera menembak kumpulan Baju Merah, semakin ramai orang menyertai bantahan,'' kata Chalpramon Chonpasin, 45, yang baru menyertai kumpulan tersebut minggu ini.
Di sebalik cuaca panas yang mencecah 40 darjah Celsius, penganjur berkata, 30,000 orang berkampung di sekitar Monumen Demokrasi yang juga merupakan lokasi rusuhan ganas tersebut.
Sejumlah 20,000 orang lagi berkumpul di kawasan komersial di kota ini yang sebahagian besar masanya adalah tenang dengan suasana seperti karnival.
Kumpulan Baju Merah berusaha untuk mengembalikan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra ke tampuk kuasa dengan menyokong dasar-dasarnya yang antara lain merangkumi khidmat penjagaan kesihatan yang murah bagi rakyat. - AFP

Juruterbang Cathay dianggap wira



HONG KONG 14 April - Dua juruterbang Cathay Pacific yang berjaya mendaratkan sebuah pesawat penumpang Airbus A330 dengan selamat di Hong Kong selepas kedua-dua enjinnya rosak, disanjung sebagai wira oleh rakan-rakan setugas mereka hari ini.
Cathay Pasific dalam kenyataannya berkata, enjin sebelah kiri pesawat itu mati mendadak ketika hendak mendarat di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong semalam bersama-sama 309 penumpang dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia.
"Enjin sebelah kanan juga mula berfungsi secara terputus-putus, menyebabkan kedua-dua juruterbang terpaksa menghadapi turun naik dalam kuasa enjin serta kemungkinan jet itu menjunam ke laut sebelum sempat mendarat," lapor akhbar South China Morning Post hari ini.
Pendaratan cemas itu menyebabkan keempat-empat tayar di sebelah kiri pesawat dan dua di sebelah kanan mengempis, menurut Cathay Pasific. Penumpang turun dari pesawat dengan menggunakan gelongsor kecemasan dan lapan orang cedera dalam insiden itu.
"Mereka menunjukkan kemahiran luar biasa mengendalikan pesawat dalam situasi yang amat mencabar," kata seorang rakan kepada dua juruterbang warga Australia itu. - Reuters

Sistem piramid boleh didenda RM50 juta



KUALA LUMPUR 14 April - Syarikat atau pertubuhan yang didapati bersalah mempromosi atau menjalankan skim piramid boleh dikenakan denda antara RM1 juta dan RM10 juta apabila Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 mula dikuatkuasakan.
Akta itu merupakan pindaan kepada Akta Jualan Langsung 1993 dan ia telah dikemukakan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pindaan itu memperuntukkan denda maksimum RM50 juta atau tidak kurang RM10 juta.
Untuk kategori individu, pindaan itu memberi kuasa kepada pihak mahkamah mengenakan denda antara RM500,000 dan RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut pindaan itu, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1 juta dan RM10 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pindaan itu turut membabitkan kenaikan jumlah denda ke atas syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.
Berdasarkan pindaan itu syarikat atau pertubuhan yang disabitkan bersalah, boleh didenda sehingga RM1 juta berbanding Akta Jualan Langsung 1993 yang hanya memperuntukkan denda RM250,000.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM2 juta berbanding RM500,000 pada masa ini.
Denda bagi kategori individu atas kesalahan yang sama juga akan dinaikkan selain tempoh penjara turut dipanjangkan.
Berdasarkan pindaan, individu yang melakukan kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berbanding akta sedia ada, ia hanya memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pindaan akta itu memperuntukkan denda RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Akta Jualan Langsung 1993 sebelum ini memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan sama, pindaan itu turut memperluaskan takrif jualan langsung dengan menggantikan perkataan jualan pesanan pos dengan jualan pesanan pos atau jualan melalui transaksi elektronik.
Dengan memasukkan perkataan transaksi elektronik ia meliputi jualan barang-barang atau perkhidmatan secara elektronik dengan menggunakan rangkaian pemasaran bagi maksud mendapatkan komisen, bonus atau apa-apa faedah ekonomi yang lain.
Elektronik yang dimaksudkan oleh pindaan ini ialah teknologi yang menggunakan elektronik, optik, magnetik, elektromagnetik, biometrik, fotonik atau tekonologi lain.

PKR setuju beri aku janji, tidak ulangi artikel fitnah Zambry



KUALA LUMPUR 14 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR), penerbit dan pencetak akhbar Suara Keadilan memberi aku janji kepada Menteri Besar Perak bahawa mereka tidak akan mencetak, menyiarkan semula serta menyebarkan artikel bertajuk 'Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk Ke Amerika Syarikat'.
Persetujuan bersama antara Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selaku plaintif dengan PKR itu direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Prasad Sandosham Abraham di prosiding terbuka di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ketika ditemui pemberita sejurus selepas prosiding selesai, peguam Aisha Mubarak yang mewakili Zambry menjelaskan bahawa:
''Kami telah mencapai persetujuan bersama untuk direkodkan oleh mahkamah iaitu membabitkan PKR, Editor Suara Keadilan, Dr. Syed Husin Ali dan penerbit akhbar bulanan tersebut, Pelita Koridor Sdn. Bhd. serta syarikat pencetak, Percetakan NPK Sdn. Bhd.
''Mereka telah memberi aku janji tidak akan menyebar, mencetak dan menyiarkan artikel tersebut lagi ataupun membuat sebarang kenyataan yang merujuk atau memberi kenyataan semula berhubung kandungan artikel tersebut."
Jelas beliau, aku janji PKR itu dibuat walhal parti itu tidak dinamakan sebagai defendan kerana saman terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Syed Husin dibuat atas kapasiti mereka selaku pemegang jawatan dalam PKR dan bukan atas kapasiti peribadi.
Terdahulunya, Aisha dan peguam mewakili pihak defendan, Gregory Ling hadir di hadapan Timbalan Pendaftar, Wan Nursalena Wan Abdullah berhubung permohonan injunksi yang dikemukakan oleh Zambry selaku plaintif.
Zambry memohon injunksi untuk menghalang pihak defendan atau melalui ejen atau ahli-ahli PKR daripada mengedar, menerbitkan atau mencetak naskhah akhbar tersebut.
Plaintif pada 25 Februari lalu memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Wan Azizah dan tiga lagi berhubung penerbitan artikel akhbar itu bagi edisi bertarikh 29 Disember 2009 hingga 5 Januari 2010.
Zambry mendakwa, artikel tersebut sengaja direka bagi memburuk, mencemar dan mempersendakan reputasinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Plaintif menamakan Wan Azizah, Syed Husin, Pelita Koridor dan Percetakan NPK sebagai defendan pertama hingga keempat.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut mendakwa, artikel tersebut mengandungi perkataan-perkataan fitnah, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.
Perkataan berunsur fitnah itu difahami bertujuan membawa maksud bahawa beliau merupakan seorang yang disyaki pengganas dan dihalang memasuki Amerika Syarikat kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.
Zambry sebaliknya menegaskan, beliau tidak pernah dihalang memasuki Amerika Syarikat malahan telah dibenarkan memasuki negara itu dan diberi pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.
Beliau turut menyatakan, artikel tersebut sengaja dicetak dengan ketara di halaman utama belakang akhbar itu bagi menarik perhatian pembaca sekali gus mengakibatkan dirinya terpaksa menanggung malu.

Kastam patah cubaan seludup rokok





BUTTERWORTH 14 April - Kastam negeri mematahkan cubaan menyeludup 69 tan tembakau dan lebih 50,000 batang rokok putih bernilai RM30 juta dari empat serbuan di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini dari 29 Mac hingga kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Matrang Suhaili berkata, rampasan dalam tempoh 15 hari itu adalah yang terbesar sejak empat bulan pertama tahun ini dan dipercayai didalangi sindiket yang sama.
Katanya, dua daripada serbuan tersebut membabitkan rokok seludup dari Vietnam manakala dua lagi dari Kemboja dan Singapura.
Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya keempat-empat kes penyeludupan rokok dan tembakau berkenaan didalangi sindiket yang sama menggunakan NBCT sebagai pintu masuk ke negara ini.
"Nilai kesemua barangan yang dirampas adalah RM3.3 juta membabitkan duti import bernilai RM26 juta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Matrang berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 3 petang pada 29 Mac lalu, pihaknya menahan dua kontena dari Vietnam yang mengandungi 30 tan rokok putih bernilai RM10.49 juta termasuk cukai.
Katanya, dalam serbuan kedua di pelabuhan itu kira-kira pukul 2 petang pada 7 April lalu, pihaknya menahan dua lagi kontena berisi 19,600 rokok putih bernilai RM10.08 juta termasuk cukai, juga dari Vietnam.
"Dagangan yang dirampas dalam kedua-dua serbuan tersebut diikrarkan sebagai rokok tetapi dibawa masuk tanpa kebenaran," katanya.
Matrang memberitahu, pihaknya turut menahan sebuah kontena dari Kemboja yang mengandungi 10,000 batang rokok putih seberat 17 tan dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang di NBCT pada hari sama.
Katanya, hasil risikan, pihaknya menahan tiga lagi kontena di pelabuhan sama pada 11 April lalu dan menjumpai 69 tan tembakau bernilai hampir RM3 juta dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket yang sama.
"Kita sedang mengumpul maklumat untuk mengenal pasti pengimport kesemua rokok dan tembakau tersebut yang dipercayai menggunakan alamat dan nama syarikat palsu untuk membawa masuk kesemua barangan berkenaan," tambahnya.
Menurut beliau, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengimport atau mengeksport apa- apa barang tidak berkastam atau apa-apa barangan larangan.

JAIS ingin hubungi Dr. Asri


SHAH ALAM 14 April – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetap mahu mendapatkan kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berhubung ‘upacara telan air liur ustaz’ yang didakwanya dilakukan oleh seorang tokoh agama di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, setakat ini Mohd. Asri masih belum tampil memberikan penjelasan kepada JAIS walaupun telah diminta berbuat demikian semalam.
Katanya, JAIS memerlukan maklumat dari Mohd. Asri berhubung fakta kes tersebut khususnya lokasi dan tarikh kejadian memandangkan pihaknya tidak pernah mendapat sebarang aduan mengenainya.
“Sepatutnya beliau membuat laporan tersebut kepada JAIS agar tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan segera.
“Tanpa maklumat tepat, bagaimana JAIS boleh ambil tindakan kerana hanya Mohd. Asri yang boleh berikan maklumat lanjut memandangkan beliau yang mula membangkitkan isu itu.
“Jika Mohd. Asri tidak menghadirkan diri ke ibu pejabat JAIS untuk membantu memberikan maklumat lanjut, penguat kuasa JAIS akan ‘mencari’ beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini petang ini.
Beliau ditanya sama ada Mohd. Asri telah tampil menemui JAIS seperti yang diminta semalam untuk menjelaskan mengenai ‘upacara’ tersebut yang didakwanya dilakukan seorang tokoh agama di negeri ini.
Ia seperti yang disiarkan dalam kolum beliau di portal berita propembangkang, Malaysiakini kelmarin.

China dilanda gempa, 400 maut



PASUKAN pencari dan penyelamat berusaha mengenal pasti seandainya wujud mangsa tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi di wilayah Qinghai di China, semalam. Gambar atas, seorang wanita yang cedera di kepala dibawa oleh anggota penyelamat untuk dirawat di hospital. Sekurang-kurangnya 400 dilaporkan maut dan lebih 10,000 orang cedera dalam laporan awal bencana itu. - AP


BEIJING 14 April - Wilayah barat laut China dan Tibet dilanda gempa bumi kuat berukuran 6.9 pada skala Ritcher hari ini mengakibatkan kira-kira 400 orang terbunuh dan lebih 10,000 cedera ekoran rumah, sekolah dan pejabat di kawasan pergunungan runtuh.
Gempa berkenaan berpusat di kawasan pergunungan yang membahagi wilayah Qinghai dengan wilayah autonomi Tibet.
Gempa berpusat 240 kilometer ke barat daya pekan Qamdo di Tibet dan 375 kilometer ke tenggara pekan perlombongan Golmud di Qinghai.
Gempa berukuran 5.0 pada skala Ritcher melanda wilayah yang sama lewat malam semalam dan gempa susulan berukuran 6.0 Ritcher menggegarkan pekan berkenaan awal pagi ini menyebabkan penduduk yang bimbang berkumpul di jalan-jalan raya.
Beberapa gempa bumi susulan menyebabkan bangunan rendah di daerah Yushu dalam wilayah Qinghai di barat daya China runtuh, kata penduduk dan media tempatan. Tentera telah dikerah ke tempat kejadian.
''Kira-kira 400 orang terbunuh dalam kejadian ini,'' lapor stesen televisyen milik kerajaan memetik kenyataan Timbalan Ketua Setiausaha kerajaan Yushu, Huang Limin.
Ramai penduduk di kawasan pedalaman berkemungkinan tiada tempat berlindung dalam cuaca sejuk yang mencapai tahap hampir beku di Yushu dan lebih sejuk lagi di kampung-kampung di kawasan pergunungan.
''Anggota penyelamat sedang berusaha membawa mereka keluar mereka yang cedera. Banyak rumah setingkat runtuh. Bangunan lebih tinggi masih tegak tetapi mengalami retak yang teruk,'' kata seorang penduduk, Talen Tashi.
''Rumah-rumah di kawasan terlibat dibuat daripada dinding yang tebal, namun jika ia runtuh boleh mendatangkan kecederaan kepada banyak orang di dalamnya,'' kata seorang penduduk etnik Tibet, Zhou De melalui telefon dari ibu negeri Qinghai selepas menghubungi keluarganya di Yushu.
Kawasan kaki gunung di timur dan selatan wilayah tersebut menjadi tempat kediaman masyarakat Tibet manakala kawasan utara dan barat hampir tidak berpenghuni. - Reuters

8 ahli Geng Benjee ditahan





KOTA KINABALU 14 April - Setelah empat bulan merompak rumah-rumah mewah di daerah ini serta Sandakan dengan nilai kerugian RM1.8 juta, Geng Benjee yang sangat dikehendaki polis akhirnya tumpas dengan penahanan lapan ahli kumpulan itu.
Dalam tangkapan berasingan pada Sabtu, Ahad dan semalam, di sini dan Sandakan, polis turut menahan dua individu termasuk seorang wanita yang dipercayai pembeli barangan curi berkenaan.
Berikutan penahanan tersebut polis turut merampas sebahagian besar barangan hasil curi termasuk sepucuk revolver berserta 300 butir peluru.
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, penahanan kesemua suspek berusia antara 26 dan 51 tahun itu dipercayai berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah di negeri ini.
"Hasil intipan selama dua bulan, tiga lelaki ditahan dalam satu sekatan di Jalan Gayang-Tuaran pada pukul 12.40 tengah hari Sabtu lalu.
"Sehari selepas itu, polis menahan empat lagi ahli kumpulan berkenaan termasuk ketua kumpulannya di Lapangan Terbang Sandakan ketika merancang ke Kuala Lumpur dipercayai untuk bersukaria.
"Seorang lagi ahli kumpulan berkenaan yang memiliki revolver tersebut pula ditahan di Kingfisher dekat sini semalam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kota Kinabalu di sini hari ini.
Beliau memberitahu, dua lagi suspek termasuk seorang wanita berusia 51 tahun ditahan di Kota Kinabalu kerana memilik barangan curi berkenaan.
"Suspek pertama ditahan di Kampung Air dekat sini pada pukul 5.30 petang Sabtu lalu kerana memiliki jam tangan curi diikuti seorang wanita berusia 51 tahun yang memiliki barang kemas curi," katanya.
Menurut Noor Rashid, siasatan awal mendapati kumpulan itu mula aktif melakukan rompakan sejak penghujung tahun lalu dengan mengakibatkan kerugian RM1.8 juta.
"Berikutan penahanan itu, kita berjaya merampas kembali pelbagai jenis barang rompakan termasuk revolver, peluru dan wang tunai RM22,000.
"Selain itu kita turut merampas 36 utas jam tangan berjenama, kamera, tangkal, komputer riba dan beg tangan berjenama," katanya lagi.
Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan barangan curi termasuk empat kenderaan yang dilaporkan hilang.
Mengulas kes penculikan dua rakyat tempatan di Pulau Sebangkat, Semporna baru-baru ini, Noor Rashid berkata, pada masa ini polis masih bertukar-tukar maklumat dengan pihak berkuasa Filipina.
"Kita sentiasa berhubung dengan mereka (pihak berkuasa Filipina) dan kerana siasatan kes ini berbeza melibatkan nyawa mangsa, saya tidak dapat memberi maklumat lanjut," ujarnya.

4 petugas UNAMID diculik



15/04/2010 4:03am

KHARTOUM 15 April - Empat petugas pasukan pengaman Afrika Selatan yang berkhidmat dengan misi Kesatuan Afrika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAMID) telah diculik dalam wilayah Darfur di barat Sudah, kata jurucakap Nouredine Mezni semalam.
Menurut Mezni, kesemua empat anggota polis UNAMID itu didapati hilang bersama kereta yang mereka naiki dekat Nyala di selatan Darfur sejak Ahad lepas dan sehingga kini belum ada yang mengaku bertanggungjawab. - AFP

Taufan kencang di timur India, 84 maut



15/04/2010 4:03am

KOLKATA, India 14 April - Sekurang-kurangnya 84 orang mati dan lebih 67,000 buah rumah musnah dalam bencana taufan yang membadai kawasan timur India dan Bangladesh, semalam.
Taufan berkelajuan 120 kilometer sejam yang membadai timur laut India dan negara jiran, Bangladesh pada tengah malam itu menyebabkan banjir lumpur dan memusnahkan rumah kediaman serta menyebabkan pokok-pokok serta talian elektrik tumbang.
Kira-kira 82 orang penduduk di negeri Bengal Barat, Bihar dan Assam terbunuh. Dua penduduk Bangladesh turut terkorban dalam taufan itu, kata para pegawai.
“Bencana telah menyebabkan kemusnahan di banyak tempat,” kata Menteri Pertahanan Awam Bengal Barat, Srikumar Mukherjee kepada televisyen tempatan di tempat kejadian.
Para pegawai berkata, jumlah kematian dan kemusnahan dijangka lebih besar dan bantuan telah dihantar ke kawasan yang teruk terjejas, di mana jalan-jalan raya dan talian telefon terputus.
Jabatan kaji cuaca Bengal Barat berkata, taufan itu merupakan taufan tahap ekstrim yang dikenali sebagai `nor wester’ yang terbentuk di Teluk Bengal akibat cuaca panas sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Pesawat kargo terhempas, 5 maut



1
15/04/2010 4:03am

MONTERREY, Mexico 14 April - Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh apabila sebuah pesawat kargo terhempas berhampiran lapangan terbang di Monterrey, bandar di utara Mexico awal semalam.
Pesawat kargo jenis Airbus A300 milik syarikat swasta AeroUnion itu terhempas di atas jalan raya menuju ke lapangan terbang setelah terbabas semasa mendarat. Punca kemalangan itu masih disiasat.
“Kami mengesahkan lima anak kapal terbunuh sementara seorang lagi yang terbunuh berada di kawasan nahas,” kata Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Hector Gonzalez dalam temu bual dengan rangkaian televisyen Televisa.
Perkhidmatan kecemasan pada mulanya melaporkan dua penumpang dalam pesawat dan tiga orang di kawasan nahas terbunuh.
Menurut pihak berkuasa penerbangan, operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Monterrey yang dikendalian Grupo Aeroportuario del Centro Norte semalam berjalan seperti biasa.
Bangkai pesawat itu yang terbakar kelihatan di atas jalan raya dekat beberapa hotel.
Pasawat itu yang membawa kargo dari Mexico City ke bandar perindustrian di Monterrey, terhempas kira-kira 1.5 kilometer dari lapangan terbang. - REUTERS

MONTERREY, Mexico 14 April - Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh apabila sebuah pesawat kargo terhempas berhampiran lapangan terbang di Monterrey, bandar di utara Mexico awal semalam.
Pesawat kargo jenis Airbus A300 milik syarikat swasta AeroUnion itu terhempas di atas jalan raya menuju ke lapangan terbang setelah terbabas semasa mendarat. Punca kemalangan itu masih disiasat.
“Kami mengesahkan lima anak kapal terbunuh sementara seorang lagi yang terbunuh berada di kawasan nahas,” kata Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Hector Gonzalez dalam temu bual dengan rangkaian televisyen Televisa.
Perkhidmatan kecemasan pada mulanya melaporkan dua penumpang dalam pesawat dan tiga orang di kawasan nahas terbunuh.
Menurut pihak berkuasa penerbangan, operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Monterrey yang dikendalian Grupo Aeroportuario del Centro Norte semalam berjalan seperti biasa.
Bangkai pesawat itu yang terbakar kelihatan di atas jalan raya dekat beberapa hotel.
Pasawat itu yang membawa kargo dari Mexico City ke bandar perindustrian di Monterrey, terhempas kira-kira 1.5 kilometer dari lapangan terbang. - REUTERS

Menantu Sheikh Mustapha bantah permohonan bapa mertua



PETALING JAYA 14 April - Bekas menantu Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abd. Shukor akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan pengesahan lafaz cerai antara wanita itu dengan Allahyarham suaminya yang difailkan oleh bekas bapa mertuanya itu.
Haryati Mohd. Redza, 32, melalui peguam syarie yang baru dilantiknya, Fakhrul Azman Abu Hassan menyatakan demikian semasa sebutan kes tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad kemudian menetapkan 5 Mei ini untuk mendengar bantahan awal tersebut.
Menurut Fakhrul, pihaknya akan mengemukakan hujah berhubung isu locus standi (hak di sisi undang-undang) memandangkan kes tersebut melibatkan suami Haryati, Sheikh Mustaffa Shukor Al-Masrie yang meninggal dunia pada 27 Oktober tiga tahun lalu.
Allahyarham yang bekerja sebagai jurutera awam disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas koma selama seminggu akibat terhantuk tiang di sebuah restoren di Jalan Klang Lama.
Sheikh Mustapha, 74, yang merupakan bapa kepada Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar memfailkan permohonan itu pada 25 Januari lalu selepas mendakwa mahkamah berkenaan tidak sempat membuat keputusan dalam permohonan yang dikemukakan oleh Allahyarham.
Dalam permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan lima bulan sebelum kematiannya, Allahyarham mendakwa melafazkan talak ''Aku ceraikan awak dengan satu talak'' terhadap Haryati pada 20 Mei 2007.
Haryati mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham yang merupakan adik kepada Sheikh Muszaphar pada 6 September 2003 dan dikurniakan dua anak, Sheikh Arman Shukor Al-Masrie, 4, dan Siti Balkish Aishah Al- Masrie, 2.
Pada 22 Mei tahun lalu, Haryati yang bekerja sebagai eksekutif akaun di MIMOS Bhd. menuntut nafkah untuk dua anaknya daripada bekas mertuanya itu di mahkamah tersebut.
Sementara di Mahkamah Tinggi Shah Alam pula, Sheikh Mustapha turut memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan (hadanah) dua cucunya daripada bekas menantu serta besan beliau.
Kes tersebut bakal dibicarakan pada 6 Mei ini.

Bantahan awal isteri khalwat didengar 28 April



KANGAR 14 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 28 April ini untuk mendengar bantahan awal dalam kes khalwat membabitkan seorang isteri bersama pasangan bukan Islam pada hari lahirnya, September tahun lalu.
Hakim Syarie, Azzeman Omar menetapkan tarikh berkenaan ketika kes terhadap Harlina Harun, 32, disebut di hadapannya hari ini.
Harlina diwakili oleh peguam syarie, Zulmi Sabri manakala pendakwaan dikendalikan oleh pendakwa syarie, Fakhrurrazi Md. Mahdzir.
Ibu dua anak dari Sungai Petani, Kedah itu mengemukakan bantahan awal atas alasan pertuduhan yang dihadapinya adalah tidak sah kerana tidak mengikut Seksyen 160 Enakmen Prosedur Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991.
Harlina juga mendakwa pertuduhan terhadapnya dilakukan tanpa mendapat arahan terlebih dahulu daripada Ketua Pendakwa Syarie, Mustafa Kamal Mohd. Taib yang kini telah bertukar ke Langkawi, Kedah mulai 1 November lalu.
Pegawai Imigresen dari Kedah itu didakwa berkurung dengan lelaki bukan muhrim, Yeoh Wei Meng, 36, antara pukul 1 pagi dan 5.30 pagi di sebuah bilik bernombor 811, Hotel Putra Palace di sini pada 24 September tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 9(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Wanita itu yang kini dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 30 September tahun lalu.
Akhbar sebelum ini melaporkan, kekecewaan suami tertuduh, Mohd. Shazeli Ghazali, 32, apabila isterinya itu diberkas pencegah maksiat, sedangkan beliau sudah membeli kek untuk menyambut hari jadi Harlina yang ke-31 pada hari kejadian.