Search This Blog

Wednesday, April 14, 2010

Anwar Gagal Dapat Perintah Mohd Saiful Dikenakan Tuduhan Qazaf



KUALA LUMPUR 14 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengetepikan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihak pendakwaan syarie memulakan prosiding pertuduhan qazaf berhubung kes liwat membabitkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini berikutan keputusan membenarkan permohonan bantahan awal yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan dua responden lain untuk membatalkan permohonan Anwar itu.

Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin dalam keputusannya berkata mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pihak pendakwaan menjalankan tugas mereka kerana fungsi badan itu berdasarkan budi bicara sepenuhnya pihak pendakwaan.

"Pihak pendakwa boleh mendengar, membicarakan dan memutuskan perbicaraan dan pihak pendakwa boleh berhenti pada mana-mana peringkat dengan keizinan bertulis daripada Ketua Pendakwa Syarie," katanya.

Beliau berkata pihak pendakwa adalah sebuah badan bebas yang boleh mendakwa, atau menarik balik pertuduhan dan secara syaraknya pihak pendakwaan tidak boleh dipaksa untuk menjalankan pendakwaan.

Menurutnya, permohonan Anwar itu adalah satu percubaan pencabulan secara terang-terangan dalam proses mahkamah dan boleh menyebabkan keadilan menjadi kucar-kacir, tidak menentu dan bercelaru.

Pada 7 Jan lepas, Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah supaya Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 25.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahu atau kedua-duanya.

Anwar dalam permohonannya menamakan Jamil, Shamsuddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden.

Ketiga-tiga responden itu menfailkan permohonan bantahan awal terhadap permohonan Anwar yang difail pada 9 Feb lalu atas alasan Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan qazaf berkaitan kesalahan jenayah melalui prosedur Mal.

Sementara itu, Jamil, ketika ditemui wartawan selepas keputusan itu berkata, beliau gembira dengan keputusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan memfailkan rayuan secepat mungkin terhadap keputusan itu.

Ketiga-tiga responden diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar, Roslizam Rahim dan Mohd Firdaus Mohd Arifin manakala Anwar diwakili Peguam Syarie, Kamar Aniah Kamaruzaman.

Suri Rumah Dakwa Nampak Remaja Perempuan Diculik Lelaki



KEPALA BATAS, 14 April (Bernama) -- Penduduk Kampung Kuala Bekah, Penaga, dekat sini, gempar apabila tersebar berita seorang remaja perempuan didakwa diculik seorang lelaki dan dilarikan ke dalam kawasan hutan berhampiran sebuah kilang di kampung itu Selasa.

Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Tan, 45, mendakwa beliau melihat remaja berkenaan sedang meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada pelukan seorang lelaki ketika melalui Jalan Kuala Bekah kira-kira pukul 4 petang semalam.

Katanya ketika itu beliau sedang memandu dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membawa cucunya berusia tujuh tahun ke klinik.

"Ketika saya lalu di jalan berkenaan saya nampak lelaki yang memakai baju warna koko mengacukan pisau ke leher mangsa berbaju biru muda di tepi jalan dan lelaki terbabit turut memeluk mangsa dari belakang," katanya kepada pemberita di lokasi remaja perempuan itu dipercayai diculik, di sini, Rabu.

Katanya ketika beliau berpatah balik untuk melihat apa yang berlaku, bagaimanapun kedua-duanya sudah tiada di tempat kejadian.

Tan yang bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku kepada remaja itu dipercayai berusia lingkungan 17 atau 18 tahun, terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

Berikutan penyebaran berita penculikan remaja perempuan itu menyebabkan lokasi terakhir mangsa dilihat dibanjiri penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Sukri Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh Tan.

"Bagaimanapun sukar hendak kami katakan ini sebagai kes culik kerana tiada bukti dan tiada ibu bapa melaporkan mengenai kehilangan anak mereka.

"Ketika ini, kami hanya berpandu kepada cerita saksi. Bagaimanapun, kami masih menyiasat kes ini," katanya.

Katanya polis turut menjalankan operasi mencari mangsa dan lelaki berkenaan di kawasan hutan di situ dari pukul 7 malam semalam dan terpaksa dihentikan kira-kira pukul 12 malam berikutan keadaan gelap

Kastam P. Pinang Rampas Rokok Bernilai RM27 Juta Termasuk Cukai



BUTTERWORTH, 14 April (Bernama) -- Kastam Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis rokok yang diseludup bernilai lebih RM27 juta termasuk cukai dalam beberapa serbuan di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Matrang Suhaili berkata dalam serbuan pertama pada 29 Mac lepas, sepasukan penguatkuasanya menahan dua buah kontena dari Vietnam di NBCT.

"Hasil pemeriksaan kira-kira pukul 3 petang itu, kami merampas 20,400,000 batang rokok putih yang dianggarkan seberat 30 tan dan bernilai RM10.49 juta termasuk cukai," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Katanya berdasarkan maklumat awam dan pengintipan selama tiga hari, pihaknya sekali lagi menyerbu di NBCT dan menahan dua buah kontena dari Vietnam pada 7 April lepas kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, Kastam Pulau Pinang merampas 19.6 juta batang rokok putih jenama Zone King dan Paradox bernilai RM10 juta termasuk cukai.

"Pada hari yang sama serbuan kedua, kita turut memeriksa sebuah kontena yang berasal dari Kemboja disyaki akan dibawa keluar dari NBCT menggunakan borang Kastam 1 palsu," katanya.

Matrang berkata dalam pemeriksaan kira-kira pukul 3 petang itu, pihaknya menemui pelbagai jenis rokok putih seberat 17 tan dan bernilai RM5.1 juta termasuk cukai.

Katanya siasatan awal mendapati, ketiga-tiga kes itu didalangi oleh sindiket yang sama dan pihaknya kini giat mengesan sindiket berkenaan.

"Tiada tangkapan dilakukan dalam ketiga-tiga serbuan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan mereka," katanya.

Dalam serbuan keempat, sepasukan penguatkuasa Kastam Pulau Pinang telah mengesan sebuah lori tiga tan bertutup kanvas di sebuah jeti haram di Tanjung Piandang, Perak pada 12 April lepas kira-kira pukul 11 malam, katanya.

Matrang berkata pasukannya mengekori lori itu yang menghala ke utara selama dua jam dan berjaya menahan di tepi Lebuhraya Utara Selatan di kawasan Seberang Jaya di sini.

"Ketika kita tahan lori itu, pemandu lori berkenaan berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta dipercayai dipandu rakannya bagi mengelak ditahan. Hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan, mendapati ia membawa rokok kretek berjenama Gudang Garam sebanyak 1,344,000 batang bernilai RM843,897 termasuk cukai," katanya, sambil menambah siasatan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya kesemua kes berkenaan di siasat menurut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menahan tiga buah kontena dari Singapura berisi tembakau seberat 69 tan pada 11 April lepas yang dipercayai untuk dibawa keluar dari NBCT.

"Kesemua tembakau itu bernilai RM4.06 juta termasuk cukai dan hasil lanjut sedang mengesan pengimport dan pengeksport tembakau berkenaan," katanya.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari terlibat dalam apa-apa pengelakkan atau percubaan dagangan larangan import.

Pakistan wujudkan 3 lapisan kawalan senjata nuklearnya



WASHINGTON 13 April - Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani semalam menyifatkan negaranya sebagai sebuah kuasa nuklear yang bertanggungjawab dan menolak kebimbangan yang disuarakan pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini, kononnya militan boleh merampas senjata nuklear yang tidak dikawal rapi.
Gilani yang mengawal satu-satunya simpanan senjata nuklear di dunia Islam juga menolak desakan supaya Pakistan menghentikan pengeluaran bahan nuklear dan berkata Pakistan memerlukan senjata nuklear sebagai langkah mencegah serangan daripada musuh tradisi, India.
Perdana Menteri itu sebaliknya meminta Amerika Syarikat (AS) yang bergantung kepada Pakistan dalam kempennya memerangi puak pelampau, membantu negaranya yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik dalam membangunkan tenaga nuklear untuk kegunaan awam.
"Saya memberi jaminan, Pakistan sebuah kuasa nuklear yang bertanggungjawab dan negara demokrasi yang semakin membangun, berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha menjadikan dunia ini sebagai tempat lebih baik untuk didiami," kata Gilani.
Menteri Luar, Shah Mehmood Qureshi yang mengiringi Gilani berkata, Pakistan sudah memberi penjelasan kepada AS mengenai sistem keselamatan tiga lapisan yang diwujudkan untuk senjata nuklearnya.
AS dilaporkan telah secara diam-diam menubuhkan sebuah unit elit yang boleh terbang ke Pakistan untuk memastikan keselamatan senjata nuklearnya jika kerajaan di Islamabad tumbang.
Penasihat antikeganasan kepada Presiden Barack Obama, John Brennan semalam memberi amaran, al-Qaeda semakin giat berusaha untuk mengenal pasti kelemahan dalam pengawalan senjata nuklear di seluruh dunia bagi mendapatkan senjata itu.
Satu kajian oleh Kennedy School of Government di Universiti Harvard melaporkan, Pakistan adalah antara negara yang paling membimbangkan berhubung keselamatan senjata nuklear.
Simpanan senjata nuklear Pakistan dikawal ketat, tetapi menurut laporan tersebut, kes saintis nuklear Pakistan, Abdul Qadeer Khan yang didakwa menyalurkan rahsia nuklear kepada Iran, Libya dan Korea Utara, rasuah yang berleluasa serta serangan ke atas pangkalan tentera Pakistan memperlihatkan risiko yang wujud di negara itu. - AFP

Iran minta PBB siasat tujuan tentera AS di Afghanistan, Iraq



NEW YORK 13 April - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon melancarkan siasatan mengenai tujuan sebenar tindakan tentera Barat di Afghanistan dan Iraq.
Ahmadinejad dalam sepucuk surat yang disiarkan semalam mendakwa, kaedah yang digunakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi memerangi keganasan di rantau itu telah menemui kegagalan.
Kini terserah kepada Ki-moon selaku Setiausaha Agung PBB untuk melancarkan siasatan yang hasilnya akan dibentangkan kepada Perhimpunan Agung PBB yang terdiri daripada 192 negara anggota itu, kata beliau dalam surat itu.
Tentera AS dan sekutunya menyerang Iraq pada 2003 untuk menamatkan pemerintahan Saddam Hussein, kemudian terjerat dalam kempen memerangi pejuang al-Qaeda dan pemberontak lain di negara itu.
Di Afghanistan pula, terdapat hampir 120,000 askar asing, kebanyakannya askar AS, yang beroperasi dalam Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) pimpinan NATO untuk memerangi pemberontak Taliban.
Menurut Ahmadinejad, disebabkan kehadiran tentera Barat itu, 'beberapa juta penduduk' sudah terbunuh, cedera atau hilang tempat tinggal, kegiatan penanaman pohon popi bagi mengeluarkan candu telah meningkat dan 'penduduk di rantau kami terus hidup dengan dibayangi ancaman'.
"Sudah berkali-kali kami menegaskan penyelesaian masalah di rantau kami tidak memerlukan ekspedisi atau tindakan tentera besar-besaran," katanya.
Beliau meminta Ki-moon menubuhkan satu pasukan bebas pencari fakta yang berwibawa di kalangan negara di rantau itu bagi melancarkan siasatan menyeluruh mengenai tujuan utama kehadiran tentera NATO di Afghanistan dan Iraq.
Laporan media Iran memetik kandungan surat Ahmadinejad juga meminta siasatan dilancarkan berhubung serangan ke atas AS pada 11 September 2001, kerana serangan itu telah digunakan sebagai alasan untuk melancarkan perang di Afghanistan dan Iraq.
Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, Ki-moon sedang mengkaji kandungan surat tersebut. - Reuters

Thailand bidas masyarakat antarabangsa



WASHINGTON 13 April - Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya membidas masyarakat antarabangsa yang disifatkannya gagal mengambil sebarang tindakan ke atas bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang didakwanya menjadi punca krisis politik di negara itu yang kini merebak sehingga membawa pertumpahan darah.
''Semua orang cuci tangan, sedangkan dia (Thaksin) adalah seorang pengganas besar,'' kata Kasit menggunakan bahasa kasar yang jarang diucapkannya.
Menurutnya, negara seperti Rusia dan Jerman menutup sebelah mata terhadap Thaksin yang didapati bersalah dalam kes rasuah dengan membenarkan bekas perdana menteri itu memasuki negara mereka.
Beliau juga menamakan Dubai yang dikatakan menjadi tempat jutawan itu menetap selepas disingkirkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006, selain Nicaragua dan Montenegro, dua negara yang dilawati oleh Thaksin, baru-baru ini.
''Ini adalah tindakan tidak ambil peduli oleh negara-negara lain. Bagaimana Rusia boleh membenarkannya masuk selama dua hari dan Jerman juga begitu sebelum itu? Semua orang buat tak kisah, menutup sebelah mata, semata-mata kerana beliau pada satu ketika merupakan seorang pemimpin yang dipilih,'' kata Kasit.
Beliau turut menyamakan Thaksin dengan pengganas al-Qaeda dan pemimpin masa lalu yang 'dipilih' seperti Adolf Hitler, Joseph Stalin dan Benito Mussolini.
''Hitler dipilih, Mussolini dipilih dan Stalin juga boleh mengaku dipilih, namun apa yang mereka lakukan terhadap masyarakat? Ini yang menjadi persoalan,'' katanya kepada sekumpulan pemberita di sini, semalam.
Kasit berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang diadakan atas inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, yang turut menuduh Thaksin sebagai penganjur tunjuk perasaan anti-kerajaan oleh kumpulan Baju Merah.
Setakat ini, 21 orang terbunuh dalam rusuhan pada minggu lalu, krisis politik terburuk negara itu dalam tempoh 18 tahun.
Thaksin, 60, yang melarikan diri untuk mengelakkan dipenjara setelah didapati bersalah atas kes rasuah pada 2008, sekali sekala menyampaikan ucapan kepada kumpulan Baju Merah melalui persidangan video.
Menurut Kasit, Thailand tidak mendapat sebarang kerjasama melibatkan kes Thaksin, termasuk daripada Interpol yang dengan begitu mudah menolak untuk bekerjasama.
Katanya, Thaksin menggunakan pelbagai saluran yang tidak sah untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.
Kumpulan Baju Merah mendakwa kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva adalah tidak sah kerana ia memegang kuasa pada 2008 setelah mahkamah mengetepikan semua sekutu Thaksin daripada tampuk kuasa. - AFP

Bakiyev diarah serah diri atau ditangkap



PENYOKONG Presiden Kyrgyzstan yang digulingkan, Kurmanbek Bakiyev (gambar kanan) berdoa beramai-ramai pada majlis perhimpunan di Jalalabad kira-kira 600 km dari ibu negara Kyrgyzstan, Bishkek, semalam. – REUTERS


BISHKEK 13 April – Pihak berkuasa sementara di Kyrgyzstan hari ini menghapuskan imuniti Presiden negara ini yang disingkirkan, Kurmanbek Bakiyev sambil memberi amaran beliau akan ditangkap kecuali menyerah diri.
Ia merupakan tindakan paling tegas ke atas Bakiyev setakat ini oleh kerajaan baru Kyrgyzstan yang sebelum ini tidak bercadang memberkasnya untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah selepas rusuhan baru-baru ini menyebabkan 83 orang maut.
‘‘Kerajaan sementara membuat keputusan untuk menggugurkan imuniti bekas Presiden Kyrgyzstan, Kurmanbek Bakiyev,” kata timbalan ketua kerajaan sementara itu, Azimbek Beknazarov.
Presiden yang disingkirkan itu mengadakan satu perhimpunan di Jalalabad hari ini yang dihadiri oleh beribu-ribu penyokongnya dan masih menolak untuk meletak jawatan secara rasmi sebagai Presiden negara tersebut.
‘‘Kita boleh lihat bahawa Presiden tidak mahu meletak jawatan secara sukarela, sebaliknya menyeru diambil tindakan terhadap rakyat. Kami telah menunggunya hingga ke hari ini tetapi beliau mengadakan perhimpunan di Jalalabad.
‘‘Satu siasatan jenayah telah dimulakan dan jika Bakiyev tidak muncul selepas perhimpunan di Jalalabad, kami akan memulakan operasi untuk menangkapnya dengan bantuan anggota perkhidmatan khas,’’ kata Beknazarov.
Beliau menuduh Bakiyev mengumpulkan askar-askar upahan Chechen dan bersedia untuk berhadapan sebarang cubaan untuk memberkasnya menggunakan kekerasan.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan setakat ini 83 orang terbunuh dalam bantahan tersebut. Lebih 560 orang masih dirawat di hospital dan 1,600 cedera dalam kejadian tersebut. – AFP

Talian aduan gereja dibanjiri panggilan


NNA, Austria 13 April - Talian aduan di Eropah yang menawarkan bantuan kepada mangsa untuk membuat laporan penderaan secara seksual oleh paderi Roman Katholik menerima kebanjiran panggilan ketika krisis itu semakin merebak.

Satu pusat panggilan melaporkan bahawa aduan telah meningkat daripada kira-kira 10 kes setahun kepada lebih seribu kes dalam tempoh beberapa minggu lalu.
Menurut pakar, rekod kebanjiran panggilan berlaku ekoran peningkatan kesedaran di kalangan mangsa bahawa mereka tidak berseorangan dan mereka tidak akan dihina dengan mendedahkan kekejaman itu.
"Sehingga kini, ramai yang takut mereka tidak akan dihormati," kata Max Friedrich, pakar psikiatri tetap Austria.
"Terdapat juga ketenangan dengan mengetahui bukan mereka sahaja yang mengalami penderaan tersebut," kata Friedrich.
Di Belanda, talian Help and Law telah ditubuhkan pada 1995 dan biasanya menerima 10 aduan penderaan seksual setiap tahun.
Bagaimanapun, sejak Mac lalu, mereka telah menerima 1,300 laporan baru, menurut Pieter Kohnen, jurucakap Sidang Biskop Belanda yang menguruskan talian terbabit.
Seperti talian aduan lain, setiap aduan akan menjadi kes sebenar, bermakna pemanggil akan menerima penasihat undang-undang untuk membimbingnya melakukan proses-proses tertentu.
Help and Law kini mempunyai 50 kes, berbanding dengan 10 hingga 14 kes beberapa tahun lalu, dan angka itu dilihat akan meningkat ekoran pusat panggilan akan membuka aduan-aduan yang tertangguh, menurut jurucakap Ben Spekman.
Sementara itu, Sidang Biskop Jerman yang melancarkan talian aduan pada 30 Mac lalu, melaporkan seramai 2,700 orang telah membuat panggilan tempoh tiga hari pertama pusat aduan itu dibuka.
Sementara itu, satu pusat panggilan yang telah lama beroperasi di Jerman dan dikendalikan oleh kumpulan pro-pembaharuan, We Are Church memaklumkan bahawa panggilan melonjak secara dramatik. - AP

Jenayah kewangan, maya meluas di Malaysia



KUALA LUMPUR 13 April – Jenayah kewangan dan jenayah maya merupakan jenayah ekonomi yang paling kerap dilakukan di Malaysia, kata Pengerusi Kumpulan Kehormat International Cybercrime and Forensics Examiner (ICFE) Group of Companies, Tommy Seah.
Jenayah ekonomi termasuk penipuan, amalan rasuah, pencurian identiti, penggubahan wang haram, jenayah maya, penipuan perakaunan dan kewangan.
Beliau berkata, jenayah kewangan yang paling meluas di Malaysia adalah penipuan penyata kewangan, penipuan pembelian dan penggelapan aset.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Seah berkata sungguhpun jenayah ekonomi di Malaysia tidak berada pada tahap yang membimbangkan, ia sememangnya sedang meningkat.
“Malaysia tidak mempunyai persiapan yang cukup untuk menangkis jenayah sebegini,” katanya, sambil menambah ramai orang, terutamanya organisasi, tidak menyedari kesan-kesan jenayah ekonomi.
“Kemahiran dan pengetahuan boleh dipindahkan dan dipelajari, dan Malaysia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian, tetapi kemahuan korporat untuk ini adalah lebih penting,” katanya hari ini.
Apabila ditanya mengapa jenayah ekonomi terjadi, beliau berkata, “Keinginan untuk kualiti hidup yang lebih baik adalah penyumbang yang sama bagi setiap negara.
“Apabila ekonomi meningkat, dikuti dengan kualiti hidup yang lebih baik, kemahuan juga meningkat.
“Dan, apabila mereka tidak boleh mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik secara halal, mereka cenderung untuk mencapainya menerusi jenayah.” Seah berkata, jika jenayah ini tidak ditangani, ia akan menjadi satu isu yang menekan individu.
“Adalah penting untuk memastikan perlaksanaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan organisasi-organisasi untuk Malaysia kekal menarik kepada pelabur asing,” katanya, menambah bahawa ICFE dan CSI World Headquarters akan bersama-sama menganjurkan Persidangan Jenayah Maya dan Ekonomi Antarabangsa selama dua hari mulai 15 Jun.
Seah berkata, persidangan itu disasarkan untuk mendidik profesional dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk meningkatkan kemahiran mereka, terutamanya dalam bidang forensik digital, untuk sejajar dengan standard antarabangsa.
“Kami menjangka kehadiran golongan profesional dari sektor awam dan swasta yang akan menerima input tentang bidang ini dari penceramah tempatan dan antarabangsa,” kata Seah.

China dilanda gempa, 67 terkorban



14/04/2010 1:55pm

BEIJING 14 April - Gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Ritcher mengakibatkan sekurang-kurangnya 67 orang terkorban dan ramai yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di kawasan pergunungan Tibet di barat daya China hari ini.
Pusat gempa terletak 240 kilometer ke barat daya pekan Qamdo di Tibet dan 375 kilometer ke tenggara pekan perlommbongan Golmud di Qinghai.
Beberapa kejadian gempa bumi dan susulan selepas itu menyebabkan bangunan rendah di daerah Yushu dalam wilayah Qinghai turut runtuh, kata penduduk dan media tempatan. Tentera telah dikerah ke tempat kejadian. – Reuters

Peniaga tertipu dapat wang palsu




KO OONG menunjukkan empat keping wang RM50 palsu yang diterima peniaga di kawasan Desa Setapak pada sidang akhbar di Pusat Khidmat MCA Wangsa Maju semalam.


KUALA LUMPUR - Tidak kurang 10 peniaga di sekitar Desa Setapak di sini dilaporkan terpedaya dengan taktik licik seorang lelaki yang menggunakan wang RM50 palsu untuk membayar makanan dan bara- ngan runcit sejak dua minggu lalu.
Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an tersebut dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut selepas kesemua peniaga yang diperdayanya memberikan gambaran yang hampir serupa mengenai bentuk fizi- kalnya.
Dia dikatakan menggunakan teknik membelah wang yang tulen sebelum menampalnya dengan bahagian yang palsu sama ada pada muka depan atau belakang not tersebut. Hampir kesemua wang yang diguna- kan mempunyai nombor siri yang sama.
Selepas itu, dia akan mengunjungi mana-mana kedai yang mempunyai ramai pelanggan dan terus membuat pembayaran untuk mengelakkan kegiatannya terbongkar.
Sehubungan itu, peniaga-peniaga tersebut yang semakin resah dengan penularan taktik tersebut selepas menerima 10 keping wang RM50 palsu bersepakat untuk membuat aduan kepada MCA Wangsa Maju dan polis.
Salah seorang peniaga makanan, Chan Kam Wei, 54, mendakwa, dia menerima wang RM50 daripada seorang lelaki yang membeli makanan di kedainya kira-kira dua minggu lalu.

Lebuh raya siap, pampasan lesap




SEBAHAGIAN daripada penduduk Kampung Cahaya Baru yang mengadakan demonstrasi aman berhubung pampasan pembinaan Lebuh Raya Senai-Desaru di Masai, Pasir Gudang semalam.


PASIR GUDANG - Pembinaan Lebuh Raya Senai-Desaru telah pun siap sepenuhnya, namun baki pampasan sebanyak RM1 juta kepada setiap 377 penduduk Kampung Cahaya Baru (KCB) Masai didakwa masih belum diserahkan oleh pihak terbabit.
"Persoalannya, apa kesudahan baki RM1 juta kami yang sehingga hari ini, tidak ada satu pihak pun yang boleh membantu menyelesaikan masalah ini," kata wakil penduduk, Abdul Razak Abdul Rahman, 57.
Menurut Abdul Razak, penduduk sudah puas berusaha termasuk naik turun mahkamah, namun tiada sebarang tindakan diambil untuk membela nasib mereka.
"Wang tersebut telah diserahkan oleh kerajaan kepada satu syarikat yang dilantik iaitu Cahaya Baru Development Berhad (CBDB) untuk menguruskan wang pampasan tersebut dan saya adalah seorang daripada ahli lembaga pengarahnya.

Pakai topeng ambil hadiah AS$20 juta




SATU pasangan kekasih memakai topeng semasa mengambil cek kemenangan AS$20 juta (RM64.5 juta) di sebuah pejabat tiket loteri di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Sepasang kekasih yang memenangi hadiah loteri terbesar di Israel tampil untuk menuntut wang kemenangan berjumlah AS$20 juta (RM64.5 juta).
Pasangan itu berkata, selama empat bulan mereka tidak tahu bahawa mereka memiliki tiket loteri bertuah itu.
Kedua-duanya muncul di hadapan pemberita semalam di sebuah pejabat tiket loteri dengan memakai topeng bagi menyembunyikan identiti mereka.
Pasangan itu berkata, tiket bertuah itu diletakkan di bahagian bawah timbunan tiket loteri lama sebelum ia ditemui semula pada minggu ini.
Mereka kemudian memeriksa nombor tiket tersebut berulang kali dan mendapati ia merupakan tiket kemenangan.
Identiti pemenang loteri di Israel lazimnya tidak didedahkan bagi menjaga hak persendirian. - AP

Hospital enggan beri rawatan diserang




ANGGOTA-ANGGOTA polis mengawal Hospital Peerless yang diserang perusuh di Kolkata semalam.


KOLKATA, India - Satu kumpulan perusuh menyerang sebuah hospital swasta di sini semalam kerana pihak pengurusan hospital tersebut enggan merawat seorang kanak-kanak yang cedera sehingga menyebabkannya meninggal dunia, kata Menteri Sukan, Kanti Ganguly.
Penduduk tempatan'mengamuk' dengan merosakkan dewan bedah, perabot, tingkap, komputer dan membakar restoran Hospital Peerless selepas kanak-kanak itu meninggal dunia.
Kanak-kanak berumur tujuh tahun itu meninggal dunia selepas dinafikan untuk menerima rawatan di hospital tersebut. Dia ialah mangsa satu kemalangan jalan raya.
Dalam kejadian itu, sembilan orang cedera manakala empat orang terbunuh.
Apabila mangsa-mangsa yang cedera dibawa ke hospital tersebut termasuk kanak-kanak itu, pihak pengurusan hospital meminta bayaran 50,000 rupee (RM3,600) bagi setiap pesakit yang merupakan satu jumlah yang besar bagi penduduk di India.
Polis yang dikerah untuk menenteramkan keadaan turut melepaskan tembakan bagi menyuraikan perusuh.
Menteri Kesihatan, Surya Kanta Mishra memberitahu pihaknya akan menyiasat insiden tersebut kerana semua hospital termasuk hospital swasta wajib menerima pesakit untuk rawatan kecemasan walaupun mereka tidak mampu membayar kos perubatan tersebut. - AFP

Dewan kampung jadi pusat hiburan seks





TELFORD, Britain - Seorang ahli perniagaan hiburan lucah, Sophie Allen, 27, (gambar kecil) mencetuskan kemarahan penduduk kampung di sini apabila dia menyewa sebuah dewan serba guna untuk digunakan sebagai lokasi perniagaan seksnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita itu yang lebih dikenali dengan gelaran Mistress Tia, menawarkan beraneka fantasi seks kepada pelanggan termasuk dirotan, dimaki hamun dan disebat di premis itu.
Dia mengenakan bayaran £80 (RM398) untuk sesi fantasi seks selama 30 minit selain caj tambahan £20 (RM99) untuk gambar kenang-kenangan.
Bagaimanapun, pihak jawatankuasa pengurusan dewan itu bertindak mengharamkan aktiviti tersebut setelah kegiatan Sophie terbongkar.
Menurut pengerusi jawatankuasa pengurusan itu, Katrina Baker, pada mulanya, dewan itu ditempah oleh seorang lelaki untuk tujuan satu uji bakat.
Namun katanya, aktiviti itu terbongkar selepas identiti lelaki itu sebagai rakan perniagaan Sophie diketahui oleh pihak pengurusan dewan. - Agensi

35 rumah rosak dilanda ribut petir



14/04/2010 1:15pm

BATU GAJAH – Sebanyak 35 buah rumah di Kampung Ara Payung di sini, rosak dalam kejadian ribut petir yang terburuk sejak 25 tahun lalu, semalam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian antara pukul 6 dan 7 petang itu. – Utusan

Ancam berarak di berek tentera Thai





SEJUMLAH penunjuk perasaan berarak di Bangkok semalam.



BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan yang dikenali dengan Baju Merah semalam mengancam akan mengadakan perarakan di berek tentera Infrantri Rejimen ke-11 yang menempatkan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva selepas Suruhanjaya Pilihan Raya meminta Parti Demokrat pimpinannya dibubarkan.
Abhisit yang memegang tampuk pemerintahan pada tahun 2008 perlu meletak jawatan sekiranya Mahkamah Perlembagaan mendapati parti tersebut didapati bersalah memperoleh sumbangan berjuta-juta dolar secara haram semasa kempen pilihan raya 2008.
Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya meminta supaya parti pemerintah itu dibubarkan kerana isu sumbangan kempen pilihan raya tersebut.
Kumpulan Baju Merah yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra itu meneruskan tekanan terhadap Abhisit dengan mendesaknya supaya meletakkan jawatan dan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.
Penunjuk-penunjuk perasaan turut mendakwa pasukan keselamatan melepaskan peluru hidup pada pertempuran berdarah pada Sabtu lalu di Bangkok sehingga mengakibatkan 21 orang mati.
Tekanan terhadap Abhisit kian memuncak apabila Ketua Tentera, Anupong Paochinda pada Isnin lalu menyatakan pilihan raya lebih awal mungkin boleh menamatkan kekacauan.
Walaupun dihantui dengan tragedi berdarah pada Sabtu lalu, Bangkok semalam meriah dengan sambutan festival air atau Songkran. - Agensi

Pesawat Indonesia patah dua




GAMBAR menunjukkan pesawat Boeing 737-300 yang patah dua di Manokwari semalam.


MANOKWARI, Indonesia - Sebuah pesawat Boeing 737-300 milik syarikat penerbangan Merpati yang membawa 103 orang patah dua selepas tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Rendani di sini semalam.
Pengurus Besar Penerbangan Awam, Herry Bhakti Singayuda berkata, pesawat itu merempuh pokok dan tergelincir ke dalam sebatang sungai yang cetek.
Namun, hanya 20 orang cedera dalam nahas tersebut.
Menurut Herry, pesawat itu terhenti apabila bahagian ekornya berada di dalam sungai berkenaan kira-kira 200 meter dari hujung landasan.
Sayap kiri pesawat itu turut patah manakala bahagian kokpit hampir putus.
Menurut seorang penumpang, Zainal Hayat: "Kami terbang dengan selamat dan pesawat itu mendarat dengan lancar di landasan tetapi ia kemudian tidak dapat berhenti.
"Pesawat itu tergelincir dengan laju dan saya berasakan ia melanggar sesuatu sebanyak dua kali sebelum terhenti.
"Saya keluar dari pesawat itu di bahagian yang patah."
Pesawat itu berlepas dari Sorong di wilayah Papua Barat ke Manokwari dengan jarak penerbangan 340 kilometer.
Herry berkata, hujan lebat dan kabus tebal disyaki menjadi punca kejadian. - Agensi

Ditahan lacur remaja lembam



ibrahim menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada 'Kak Dahlia' di sebuah rumah di Taman Soga, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - Perbuatan kejam seorang pondan yang bukan saja melacurkan seorang remaja perempuan lembam malah memukul dan memaksanya melakukan seks luar tabii sejak sebulan lalu terbongkar apabila dia diberkas di Taman Soga di sini Jumaat lalu.
Pondan yang popular dengan panggilan 'Kak Dahlia' berusia 29 tahun terbabit diberkas selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh abang mangsa mengenai kegiatan jahatnya itu.
Abang mangsa mengetahui adiknya yang berusia 19 tahun diperlakukan sedemikian oleh pondan itu selepas dimaklumkan oleh seorang rakan mangsa yang datang ke rumah suspek untuk melanggan pelacur yang disediakan oleh 'Kak Dahlia'
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, siasatan mendapati, mangsa telah berkenalan dengan pondan itu ketika mereka bertemu di Dataran Penggaram di sini pada 3 Mac lalu.
Menurut beliau, suspek kemudian membawa mangsa ke rumahnya dan sejak itu remaja lembam berkenaan dikurung selain dipaksa melayan nafsu pelanggan yang datang ke rumah suspek itu dengan bayaran RM100 bagi setiap pelanggan.
"Jika mangsa enggan melakukan seks termasuk seks luar tabii, dia akan dipukul oleh pondan itu," kata beliau di pejabatnya di sini semalam.

Terjun perigi ikut suara ghaib




SEORANG penduduk menunjukkan perigi di Kampung Laha, Pulau Chondong, Kota Bharu tempat Siti Ramlah terjun selepas mendakwa disuruh berbuat demikian oleh suara ghaib.


MACHANG - Seorang suri rumah terpaksa menunggu lebih satu jam di dalam sebuah perigi yang airnya pada paras pinggang selepas dia terjun ke dalam perigi tersebut kononnya atas arahan satu suara ghaib.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi di Kampung Laha, Pulau Chondong dekat sini semalam, Siti Ramlah Wok, 52, tidak cedera dan diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat selepas terperangkap dalam perigi yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Perigi itu digali lebih 10 tahun lalu dengan paras kedalaman enam meter.
Bagaimanapun musim kemarau sejak awal tahun ini menyebabkan ia jarang digunakan lagi sehingga ditumbuhi semak.
Ia hanya digunakan sekali sekala oleh penoreh getah di kampung itu untuk mencuci tangan dan peralatan menoreh.
Kejadian itu merupakan pertama kali berlaku di situ kerana sebelum ini tiada kes penduduk terjun ke dalam perigi atau orang mendengar suara ghaib yang meminta mereka terjun ke dalam perigi itu.

Taman Negara lokasi filem lucah




KAWASAN yang didakwa menjadi lokasi penggambaran filem lucah di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.


JERANTUT - Penerbit filem asing dipercayai menjadikan Taman Negara sebagai lokasi pembikinan filem lucah.
Penggambaran tersebut dikatakan dilakukan dengan melibatkan pelakonnya berbogel di Taman Negara Kuala Tahan di sini sehingga mencetuskan kemarahan penduduk tempatan.
Ketua Pemuda UMNO Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak mendedahkan, penggambaran seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberikan imej buruk kepada negara.
"Saya menerima aduan daripada penduduk dan semasa membuat lawatan mengejut di situ awal April lalu, saya telah melihat sendiri beberapa adegan yang tidak sepatutnya.
"Malangnya, pengarah produksi asing berkenaan tetap berkeras mengatakan adegan itu tidak menyalahi budaya tempatan dan sebahagian merupakan arahannya," kata beliau semasa ditemui pemberita.

Balasubramaniam diminta beri keterangan



KUALA LUMPUR 13 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini meminta penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam supaya tampil memberi keterangan berhubung isu pertukaran akuan sumpahnya secepat mungkin.
SPRM dalam satu kenyataannya berkata, suruhanjaya itu juga bersedia mendapatkan keterangan Balasubramaniam di Kedutaan Malaysia di mana-mana negara yang menjadi tempat tinggal dia sekeluarga.
“SPRM sedia merakamkan percakapan Balasubramaniam di negara luar bagi memastikan siasatan kes itu dapat dilengkapkan dan diselesaikan secepat mungkin.
“Setakat ini keterangan beberapa saksi termasuk adik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazim Razak dan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan telah diperoleh,” menurut kenyataan itu.
Akhbar hari ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui SPRM telah mengambil keterangan Mohamed Nazim dan Deepak tanpa mengulas lanjut mengenai kes berkenaan.
Pada sidang akhbar pada 2008, Balasubramaniam mengedar akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, tetapi keesokannya menarik balik akuan itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.
Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga.
Balasubramaniam pernah mendakwa keluarga Perdana Menteri memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat SPRM dengan syarat ia diadakan di luar negara.
Disember lalu, Angkatan Muda Keadilan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan Mohamed Nazim dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada SPRM.
Balasubramaniam membuat pengakuan itu pada satu temu ramah dengan tiga peguam di Singapura, tahun lalu.
Deepak pula didakwa kenalan rapat kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Penjara dua minggu kerana curi Milo



KUANTAN 13 April – Gara-gara mencuri sekampit Milo berharga RM13.99 dari sebuah pasar raya, seorang lelaki dihukum penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini. N.Doraisamy, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku mencuri Milo seberat satu kilogram di pasar raya Eng Hong Semambu, Jalan Air Putih di sini kira-kira pukul 1.30 petang, semalam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda atau sebatan.
Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor T. Murugesu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pendawai elektrik dipenjara 14 tahun



TEMERLOH 13 April – Seorang pendawai elektrik terlepas daripada hukuman di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atasnya kerana menyebabkan kematian seorang warga emas tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Victor Francis, 31, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian Solai Subramaniam Chinnatamby, 70.
Tuduhan pindaan itu dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Solai Subramaniam di hadapan sebuah pondok berhampiran jambatan Sungai Triang, Bera antara pukul 4.30 petang, 19 Jun dan 6.30 pagi, 20 Jun tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang ketika itu sedang minum di kawasan berkenaan telah bertengkar dengan mangsa sebelum memukul mangsa hingga terjatuh.
Tertuduh kemudian mengambil cangkul dan menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala dan leher hingga mati.

Kes bakar gereja dibicara 6 Julai



KUALA LUMPUR 13 April – Kes bakar gereja di Desa Melawati, Wangsa Maju di sini membabitkan dua beradik dan seorang rakan mereka akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini mulai 6 Julai ini. Hakim S. M. Komathy Suppiah yang menetapkan tarikh tersebut turut mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan laporan perubatan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt berkata, laporan kesemua tertuduh masih belum diperoleh kerana ia membabitkan tiga institusi perubatan iaitu Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sebuah klinik swasta.
Beliau sebelum itu menyerahkan beberapa dokumen tambahan termasuk gambar-gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian kepada pihak pembelaan.
Keng Fatt memaklumkan, pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 12 saksi untuk memberi keterangan antaranya ialah tiga doktor dan pengawal keselamatan, di samping mengemukakan rakaman CCTV.
Mengikut pertuduhan, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24; adiknya, Raja Mohamad Idzham, 22; dan rakan mereka, Azuwan Shah Ahmad, 23, bersama beberapa lagi yang masih bebas didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan membakar Gereja Metro Tabernacle AG.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 11.50 malam, 7 Januari lalu di No. 28, Jalan 4/4C, Desa Melawati, Wangsa Maju di sini.
Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Idzham diwakili peguam bela, Datuk Haniff Hashim manakala Azuwan diwakili peguam, Dzaki Ezhar Bahar yang menyebut bagi pihak Rosal Azimin Ahmad.

Ramli Abdul Manan bebas tuduhan rasuah


Ramli Abdul Manan bebas tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR 13 April – Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Wangsa Maju hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memberi rasuah kepada seorang ketua cawangan agar dirinya dicalonkan dalam satu pemilihan parti, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rosbiahanin Arifin membebaskan Ramli Abdul Manan, 51, tanpa memanggilnya membela diri atas tuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan.
Beliau memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie terhadap lelaki berkenaan.
Ramli yang dihadapkan ke mahkamah pada 5 November tahun lalu didakwa memberi rasuah sebanyak RM1,000 kepada Ketua UMNO Cawangan Taman Melati, Amir Saad, 50.
Wang tersebut didakwa sebagai dorongan kepada Amir untuk mencalonkan diri Ramli sebagai ahli jawatankuasa dalam pemilihan Bahagian Wangsa Maju pada 8 Ogos 2008.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat Taman Melati Kawasan 8, Setapak di sini pada pukul 9 malam, 5 Ogos 2008.

Kes American Express, Matthias 4 Jun



KUALA LUMPUR 13 April – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 4 Jun ini pengurusan kes saman yang difailkan oleh American Express (Malaysia) Sdn. Bhd. terhadap bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Matthias Chang Wen Chieh.
Tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar, Suzarika Sahak di kamar beliau semalam.
American Express selaku plaintif diwakili oleh N. Vanaja manakala peguam T.E. Cheah mewakili Matthias yang dinamakan sebagai defendan.
Dalam saman pemula yang difailkan pada 5 Mac lalu, American Express memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengisytiharkan bahawa Matthias sebagai litigan yang menyusahkan.
Sehubungan itu, American Express memohon supaya Matthias selepas ini ditegah daripada memulakan sebarang prosiding undang-undang di mana-mana mahkamah tanpa sebarang kebenaran daripada hakim.
Plaintif turut memohon kos bagi permohonan itu ditanggung oleh Matthias serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Azian Shaari pada 25 Mac lalu telah mensabitkan Matthias, 60, atas kesalahan menghina mahkamah ketika beliau memberi keterangan pada prosiding kes samannya terhadap American Express.
Matthias yang juga seorang peguam menyaman American Express pada 2002 kerana didakwa melanggar perjanjian dan memfitnah disebabkan kad kreditnya digantung.
Saman Matthias terhadap American Express bagaimanapun ditolak Hakim Noor Azian pada 25 Mac lalu setelah mahkamah memutuskan plaintif gagal membuktikan kes tersebut.
Akibat daripada kesalahan menghina mahkamah, Matthias didenda RM20,000 yang perlu dilunaskan dalam masa seminggu atau penjara sebulan jika gagal menjelaskan jumlah tersebut.
Matthias bagaimanapun memilih tidak membayar denda tersebut menyebabkan beliau dihantar ke Penjara Kajang pada 5 April lalu.

Dua tak mengaku rogol remaja



KUANTAN 13 April - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada hujung bulan lalu.
Mohd. Sharipuddin Mohd. Razali, 33, dan Mohd. Ibrahim Ramdan, 26, bersama enam lagi yang masih bebas didakwa merogol mangsa di kawasan ladang kelapa sawit Batu 8, Lepar Paloh Hinai antara pukul 11 malam, 28 Mac lalu dan pukul 3 pagi, 29 Mac lalu.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain membenarkan setiap tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula bagi kes terhadap Mohd. Sharipuddin manakala kes terhadap Mohd. Ibrahim disebut semula pada 14 Mei ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd. Noor Nordin yang mengendalikan pendakwaan memohon kedua tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan alasan ia melibatkan kes yang serius.
Peguam, Muhammad Hisham Abdul Rahim yang mewakili kedua-dua lelaki itu bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Mohd. Sharipuddin yang telah berkeluarga tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bekerja sebagai tukang rumah manakala Mohd. Ibrahim bekerja sebagai penjaga sangkar ikan dengan pendapatan bulanan RM500," katanya.

Hujahan kes bunuh Mantik ditangguh 28 April



SHAH ALAM 13 April – Penggulungan hujah bagi kes peniaga air tebu, A. Murugan yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan pada 28 dan 29 April ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh dalam kes itu, V. Rajehgopal yang memerlukan tempoh masa tambahan untuk menyediakan hujahan bertulis.
Terdahulu, hujahan pada akhir kes pendakwaan itu tertangguh selepas Rajehgopal yang sempat berhujah ringkas secara lisan memohon diberi tempoh untuk mengemas kini dan menyediakan hujahan bertulis.
Permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani atas alasan mahkamah telah memberi masa yang mencukupi bagi pihak pendakwaan dan pembelaan menyediakan hujahan bertulis selain pihaknya telah bersedia meneruskan prosiding.
Murugan, 36, didakwa membunuh Mantik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbuddin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, 50 saksi pendakwaan termasuk isteri tertuduh dipanggil memberi keterangan.

Tiga didakwa membunuh



ALOR GAJAH 13 April - Selepas 13 hari seorang penganggur dipukul sehingga mati kerana dikatakan mencuri getah beku, tiga penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh.
Zainudin @ Alias Abd. Manap, 67; Mohd. Shamsul Arefin Karim, 31; dan Abd. Razak Simat, 52, didakwa membunuh S. Selvekumeran, 52, di Ladang Bukit Apit 2, Masjid Tanah, dekat sini antara pukul 11.30 pagi dan 12 tengah hari, 31 Mac lalu.
Dakwaan terhadap mereka bertiga dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh Majistret Mohd. Hadi Hakimi Harun.
Selain tuduhan membunuh, Zainudin dan Mohd. Shamsul menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu didakwa mencuri wang dan telefon bimbit milik mangsa.
Zainudin didakwa mencuri wang sebanyak RM3,350 manakala Mohd. Shamsul pula didakwa mencuri telefon bimbit jenis Nokia 110i bernilai RM130.
Bagi pertuduhan itu, Zainudin dan Mohd. Shamsul masing-masing mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mohd. Hadi menetapkan 13 Mei dan 19 Mei ini untuk sebutan kes curi dan bagi kes bunuh, beliau menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Peguam Raftfizi Zainal Abidin mewakili Zainudin sementara Mohd. Shamsul diwakili oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin. Abd. Razak tidak diwakili peguam bela.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jaizah Jaafar Sidek.
Dalam kejadian tersebut, polis menahan 23 suspek lelaki berusia antara 17 dan 67 tahun setelah disyaki terlibat membelasah S. Selvekumeran yang dikatakan mencuri getah beku di Bukit Apit 2, Masjid Tanah.
Bagaimanapun 20 suspek yang terlibat kemudian dibebaskan oleh polis.
Selvekumeran disahkan mati pada pukul 4.30 petang hari yang sama ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan seluruh badan.

Sha’arin lafaz cerai selepas Ida Nerina halau



KUALA LUMPUR 13 April – “Baiklah, saya ceraikan kamu.” Ayat tersebut didakwa dilafazkan oleh Sha’arin terhadap isterinya, Ida Nerina selepas pelakon wanita tersebut menghalaunya serta meminta diceraikan setelah berlaku pertengkaran antara mereka.
Sha’arin Mohd. Razali, 40, yang juga bekas pemuzik kumpulan Blackrose mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman mereka di E-08-12, Metropolitan Square, Jalan PJU8/1, Damansara Perdana di sini pada pukul 11 pagi, 22 September tahun lalu.
Sha’arin selaku plaintif hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan olehnya pada 12 Oktober 2009.
Ketika disoal peguam syarie Mahyuddin Md. Zahari yang mewakilinya mengenai keadaannya ketika lafaz itu dibuat, Sha’arin berkata, walaupun sedikit marah tetapi dia berada dalam keadaan sedar, waras, normal, tidak tertekan atau dipaksa oleh sesiapa.
Sha’arin juga mengaku lafaz yang dibuat di dalam kamar tidur mereka itu disertai dengan niat untuk menceraikan isterinya.
Katanya, pada waktu kejadian, pembantu rumah mereka sedang berada di dalam bilik air.
Ditanya apa yang berlaku selepas itu, Sha’arin memberitahu, dia menyuruh pembantu rumah mengemaskan pakaiannya ke dalam beg dan 30 minit kemudian dia meninggalkan rumah tersebut.
Menurut Sha’arin, dia balik semula ke rumah itu pada pukul 5 petang untuk mengambil saki-baki pakaiannya yang telah dikemas oleh pembantu rumah.
Namun, katanya, dia hanya mengambil beg tersebut di tempat letak kereta.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Ida, Akbardin Abdul Kader ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan, anak guamnya kini telah pulang dari India selepas menjalani rawatan tulang belakang sejak beberapa bulan lalu.
“Ida telah memaklumkan kepada saya bahawa dia akan datang ke mahkamah pada 21 April nanti untuk memberi keterangan.
“Dia tetap dengan pendiriannya menafikan pernah mendengar sebarang lafaz cerai diucapkan kepadanya oleh plaintif selama mereka tinggal bersama,” kata Akbardin.
Pelakon filem Selubung, Layar Lara, Anak dan Susuk itu mengalami kecederaan tulang belakang selepas dilaporkan terjatuh dari tangga di kediamannya, Jun tahun lalu.
Sha’arin dan Ida atau nama sebenarnya Ida Nerina Hussain bernikah pada 2 Jun 2006 dan pasangan itu tidak dikurniakan anak.
Sha‘arin bagaimanapun mempunyai dua cahaya mata, Narissa, 14, dan Arman, 8, melalui perkahwinan pertamanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin bersambung 21 April ini.