Search This Blog

Tuesday, April 13, 2010

Tentera patahkan serangan Taliban di Peshawar



PARACHINAR 12 April - Lebih 100 militan bersenjatakan roket dan senjata automatik menyerang dua pusat pemeriksaan keselamatan di Peshawar selatan, Pakistan hari ini dan mencetuskan pertempuran sengit yang mengorbankan sekurang-kurangnya 41 pemberontak dan dua askar.
Pertempuran itu adalah keganasan terbaru di wilayah puak Orakzai, di mana tentera melancarkan operasi pada Mac lalu, bagi menghapuskan militan Taliban yang melarikan diri ke kawasan itu untuk mengelak serangan di tempat lain.
Lebih 300 suspek militan terbunuh dalam tempoh tiga minggu dalam serangan udara dan pertempuran darat bertubi-tubi.
Amerika Syarikat (AS) memuji tindakan Pakistan menyerang Taliban di kawasan sempadan negara berhampiran sempadan Afghanistan yang mudah terjejas.
Pegawai AS bagaimanapun lebih suka jika negara ini melakukan lebih daripada itu dengan menjadikan pemberontak yang melancarkan serangan ke atas tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan sebagai sasaran.
Tentera berjaya menangkis serangan awal hari ini ke atas pusat pemeriksaan di perkampungan Shireen Dara dan Sangrana di Lower Orakzai, menurut pentadbir tempatan, Samiullah Khan.
"Tiga askar turut cedera dalam pertempuran itu. Lebih 100 militan menyerang pusat pemeriksaan di Shireen Dara.
"Pertempuran berlangsung selama dua jam dan kumpulan militan turut melancarkan serangan roket," kata Samiullah.
Selepas pertempuran berakhir, pihak berkuasa menemui 15 mayat militan di sekitar kawasan dua pusat pemeriksaan tersebut. Pemberontak telah memindahkan sekurang-kurangnya 26 mayat lain, menurut dua pegawai perisikan yang enggan dikenali.
Sementara itu, Samiullah berkata, jet pejuang memusnahkan tiga kawasan persembunyian militan di perkampungan Sangram di Orakzai, semalam dan mengorbankan 10 suspek militan.
Sehari sebelum itu, serangan sama turut dilancarkan di kawasan Orakzai and Khyber dan mengorbankan 100 suspek militan. - AP

Al-Qaeda berusaha peroleh senjata nuklear - Obama



WASHINGTON 12 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran usaha al-Qaeda untuk memperoleh senjata nuklear menimbulkan ancaman terbesar terhadap keselamatan sejagat dan para pemimpin dunia yang bersidang minggu ini perlu bertindak segera untuk memerangi bahaya itu.
Obama yang bercakap semalam menjelang sidang kemuncak 47 negara di sini yang bertujuan mencegah keganasan dengan senjata nuklear, berkata, beliau mengharapkan 'kemajuan besar' pada persidangan tersebut ke arah mencapai matlamat mengawal ketat bahan nuklear yang tidak dikawal rapi di seluruh dunia.
"Fokus utama sidang kemuncak nuklear ini ialah kenyataan bahawa satu-satunya ancaman terbesar terhadap keselamatan AS ialah kemungkinan senjata nuklear jatuh ke tangan pertubuhan pengganas," kata Obama kepada wartawan sebelum mengadakan rundingan dengan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma.
Beliau berkata, pertubuhan seperti al-Qaeda sedang berusaha untuk memperolehi senjata nuklear dan mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakannya.
Pakar pengawalan senjata nuklear, bagaimanapun berkata, tidak ada kes yang diketahui setakat ini mengenai kumpulan pengganas memperolehi uranium yang diperkaya atau plutonium yang boleh digunakan untuk membuat bom nuklear.
Namun, kata mereka, terdapat 18 kes bahan nuklear dicuri atau hilang sejak awal 1990-an.
"Ancaman ini boleh mengubah senario keselamatan di AS dan di serata dunia bagi tempoh bertahun-tahun akan datang," kata Obama yang memberi amaran mengenai padah buruk jika bom nuklear diletupkan.
Matlamat Obama bagi Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) selama dua hari bermula hari ini adalah untuk mendapatkan persetujuan negara-negara peserta bagi mengawal ketat bahan nuklear yang tidak dikawal rapi dalam tempoh empat tahun, di samping mengambil langkah tegas untuk menyekat penyeludupan bahan nuklear.
Selain Zuma, Presiden AS itu semalam juga mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri dari dua negara bersenjata nuklear iaitu India dan Pakistan serta Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.
Obama hari ini dijadual mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden China Hu Jintao; Raja Abdullah dari Jordan serta para pemimpin Ukraine dan Armenia. - Reuters

Kereta api tergelincir di Itali akibatkan 9 maut, 28 cedera



KERETA api malang yang tergelincir dari landasan dan terjerumus ke gaung di hutan dekat Laces di antara bandar Merano dan Bolzano di utara Itali. Gambar atas menunjukkan para penyelamat memasuki satu daripada gerabak untuk mencari mangsa-mangsa. - AFP


MILAN 12 April - Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan 28 lagi cedera apabila sebuah kereta api tergelincir akibat tanah runtuh dekat pekan Bolzano di wilayah Alto Adige, utara Itali, hari ini.
Jurucakap jabatan bomba Bolzano, Florian Schrofenegger berkata, tujuh orang disahkan terbunuh setakat ini tetapi jumlah korban mungkin meningkat.
Katanya, lima mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal berikutan kemalangan berlaku pada waktu puncak iaitu pada pukul 9 pagi (3 petang waktu Malaysia), melibatkan sebuah kereta api tempatan dengan dua gerabak di landasan dari Castelbello ke Laces.
Seorang wartawan televisyen Sky Italia melaporkan, kepulan asap kelihatan di tempat kejadian, manakala helikopter berlegar di udara selepas kereta api itu tergelincir apabila satu gerabaknya dilanda tanah runtuh.
Penasihat pengangkutan kerajaan wilayah Bolzano, Thomas Widmann berkata, kejadian tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada sebatang paip saliran yang pecah.
Menurut agensi berita Ansa, kereta api berkenaan terbabas menuruni lereng bukit bersebelahan landasan dan dua batang pokok pain menyekatnya daripada menjunam ke dalam sungai.
Landasan yang dibuka pada 2005 itu adalah antara yang termoden di Itali. - Reuters

Glasier pecah di Peru, 50 cedera




LIMA 12 April - Kira-kira 50 orang cedera apabila sebahagian glasier pecah dan mengakibatkan tebing sungai Hualcan runtuh, semalam dalam perkembangan yang disifatkan oleh gabenor tempatan berpunca daripada perubahan iklim.
Ketulan ais glasier yang besar serta batu-batu jatuh ke dalam 'tasik 513' di utara wilayah Ancash itu, menjejaskan struktur tanah bahagian bawah sungai Hualcan, menyebabkan 20 buah rumah musnah.
"Pemanasan global telah menyebabkan glasier pecah dan jatuh ke dalam tasik-tasik. Inilah yang berlaku hari ini," kata Gabenor Ancash, Cesar Alvares kepada pemberita mengaitkan perubahan iklim yang telah melenyapkan tiga glasier di banjaran Andes sejak tiga dekad lalu.
Laporan Bank Dunia 2009 memberi amaran glasier di banjaran Andes dan salji yang melitupi puncak gunung-gunung di banjaran itu akan terhapus dalam tempoh 20 tahun, sekiranya tidak ada sebarang usaha dilakukan untuk menangani perubahan iklim dunia.
Menurut laporan tersebut, dalam tempoh 35 tahun lalu, glasier di Peru telah hilang sebanyak 22 peratus menyebabkan kehilangan air bersih sebanyak 12 peratus yang merupakan sumber air utama bagi kebanyakan penduduk di negara ini. - AFP

Penulis mahu Pope Benedict ditahan




LONDON 12 April - Penulis dan pejuang ateis Britain, Richard Dawkins giat berusaha supaya Pope Benedict (gambar) ditahan untuk didakwa berhubung kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak di gereja Katholik ketika beliau melawat negara ini pada September ini.
Dawkins yang merupakan saintis dan pengkritik keras agama telah meminta peguam hak asasi kemanusiaan meneliti sama ada dakwaan boleh dibuat ke atas pope.
Lawatan empat hari bermula 16 September ini akan menjadi lawatan pertama Pope sejak Pope John Paul II mengadakan lawatan pada 1982 dan menjadi lawatan rasmi pope ke Britain.
Gereja Katholik menolak dakwaan bahawa pope membantu melindungi skandal pencabulan paderi dan Vatican menuduh media melancarkan kempen menghina beliau.
Dawkins dan wartawan Inggeris, Christopher Hitchens meminta peguam Geoffrey Robertson dan Mark Stephens mencari jalan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Pope.
Dalam e-mel kepada Reuters, Stephens menyatakan bahawa terdapat tiga kemungkinan yang boleh diambil iaitu membuat aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda, membuat dakwaan persendirian atau awam 'atas jenayah kemanusiaan' atau kes sivil.
Mereka akan menentang bahawa Pope tidak mempunyai kekebalan diplomatik daripada dakwaan seperti ketua negara kerana Vatican hanya mempunyai 'status pemerhati tetap' di Amerika Syarikat (AS) berbanding anggota penuh dan hak mengundi.
Dawkins, penulis buku The God Delusion dan The Selfish Gene memberitahu akhbar Sunday Time bahawa dia mengesyaki skandal pencabulan itu telah disembunyikan oleh gereja.
"Lelaki ini tidak terkecuali daripada undang-undang. Penyembunyian pencabulan kanak-kanak adalah satu jenayah," kata Hitchens yang menerbitkan buku God Is Not Great: The Case Against Religion pada 2007.
Pengkritik menuduh Benedict cuai dalam menguruskan skandal pencabulan ketika menjawat jawatan sebagai Kardinal di negara kelahirannya Jerman dan Rom. - Reuters

Bekas setiausaha Umno bahagian bebas tuduhan rasuah





2010/04/13
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Setiausaha Umno Bahagian Wangsa Maju daripada tuduhan memberi rasuah kepada Ketua Cawangan Taman Melati dua tahun lalu.
Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ramli Abdul Manan, 51.
Ramli didakwa memberikan wang suapan RM1,000 kepada Amir Saad, 51, di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat Taman Melati Kawasan 8, Setapak pada pukul 9 malam, 5 Ogos 2008 sebagai dorongan bagi membolehkan beliau dicalonkan untuk layak bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju pada 8 November 2008.

Ramli didakwa mengikut Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sekurang-kurangnya 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Osman, manakala peguam Abdul Latiff Ahmad mewakili Ramli.-Bernama

Kes dua beradik dituduh bakar gereja dibicara 6 dan 7 Julai





2010/04/13
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 6 dan 7 Julai ini untuk perbicaraan kes dua beradik dan seorang rakan mereka yang didakwa membakar sebuah gereja di sini Januari lalu.
Hakim SM Komathy Suppiah yang mendengar kes itu juga memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan tiga laporan perubatan kepada pihak pembelaan pada hari berkenaan. Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, adiknya Raja Mohamad Idzham, 22, dan Azuwan Shah Ahmad, 23, didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar Metro Tabernacle Church AG di Jalan 4/4c, Desa Melawati di sini pada 11.50 malam 7 Jan lepas.
Ketiga-tiga tertuduh, yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil antara 10 dan 12 orang saksi termasuk doktor dan anggota polis selain menayangkan rakaman kamera video litar tertutup (cctv) di tempat kejadian. Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Idzham diwakili peguam Datuk Hanif Hashim manakala pAzuwan Shah diwakili peguam Dzaki Ezhar Bahar.-Bernama

Langkah elak wanita jadi ‘keldai dadah’

SELAIN kempen kesedaran melalui agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kawalan lebih ketat di pintu masuk dan keluar negara ini diadakan bagi mengelak rakyat terutama wanita teraniaya sehingga menjadi ‘keldai dadah’.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator A Kohilan Pillay, Wisma Putra berperanan menasihati rakyat Malaysia terutama ibu bapa dan wanita supaya tidak terjebak atau teraniaya dengan sindiket pengedaran dadah.
“Bermula 1991 hingga kini, 1,560 kes rakyat Malaysia ditahan di luar negara dengan 729 daripadanya atas kesalahan dadah dan lebih 50 peratus membabitkan ‘keldai dadah’ wanita yang ditahan di luar negara.

“Selain itu, bagi mendapatkan khidmat guaman kepada rakyat kita, Wisma Putra menyediakan tabung amanah rakyat Malaysia di luar negeri bagi membawa rakyat kita pulang selepas dibebaskan dari tahanan kesalahan dadah.

“Kita mengadakan kawalan rapi di pintu masuk dan keluar dan memantau pergerakan mereka,” katanya.

100,000 terkandas 200 drebar bas mogok

BANTING: Gara-gara tidak puas hati dengan pihak pengurusan, kira-kira 200 pemandu bas Cityliner Selangor mengadakan mogok, sekali gus menyebabkan hampir 100,000 penumpang bas di seluruh negeri terkandas.
Mogok itu bermula kira-kira jam 5 pagi semalam dan ia bermula serentak di semua empat stesen Cityliner iaitu di Klang, Shah Alam, Kapar, Banting dan Kuala Selangor.
Semua bas tersadai di stesen bas berikutan pemandu enggan memandu bas masing-masing selepas tuntutan mereka tidak dipenuhi. Bagaimanapun, operasi harian bas terbabit kembali normal kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas pihak kesatuan bersetuju menyelesaikan masalah itu ekoran campur tangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah.

Pengerusi Kesatuan Pekerja, K Kumar berkata, masalah yang dihadapi pemandu yang perlu diselesaikan segera ialah pemandu tidak mahu penggunaan ‘Fast Pass’ dan ejen yang diganti dengan penggunaan mesin tiket selain tidak mahu menerima konduktor dalam bas.

“Kesatuan juga tidak mahu pemandu baru menjadi pemandu kontrak (syarikat lain), tetapi ia perlu bekerja sebagai pemandu Kenderaan Klang Banting Berhad (KKBB).

“Kami tahu, ekoran tindakan kami (pemandu bas) ini, pengguna menghadapi masalah, tetapi ia terpaksa dilakukan,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Murugiah berkata, pihaknya kesal dan tindakan pemandu terbabit mengadakan mogok bukan budaya rakyat negara ini kerana setiap permasalahan ada jalan penyelesaiannya.

“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak pada 23 April depan bagi membincang dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Remaja hilang maut langgar lari

PUNCAK ALAM: “Luluh hati saya apabila menerima panggilan daripada seorang anggota polis mengatakan anak saya maut akibat kemalangan.
“Berita sedih ini saya terima jam 4.45 petang tadi (semalam) sebelum saya sekeluarga bergegas ke Hospital Slim River,” kata Shaedi Abu Bakar, 49, bapa kepada Shafain, 16, yang dilaporkan hilang, Selasa lalu.
Shaedi berkata, menurut polis yang menyiasat kes itu, anaknya ditemui mati dipercayai mangsa langgar lari di Hulu Bernam, dekat sini, Rabu lalu, iaitu sehari dia dilaporkan hilang.

“Selepas diminta mengecam mayat, sah itu anak saya berdasarkan beberapa tanda dan pakaian yang dipakainya.

“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, tetapi saya reda dan menganggap ia ketentuan Ilahi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Mangsa cedera parah di kepala dan badan, bagaimanapun polis yang menyiasat kes itu belum dapat mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa.
Shaedi berkata, motosikal yang ditunggang anaknya ketika kejadian juga tidak ditemui di tempat kejadian.

Jenazah dibawa pulang ke rumah mangsa di Puncak Alam dan dijangka dikebumi sebelum Zuhur, hari ini.

Superman' putus kaki

KUALA LUMPUR: Aksi ‘Superman’ iaitu menunggang sambil meniarap dengan kaki dilurus ke belakang di atas motosikal Yamaha RXZ yang dilakukan seorang remaja dipercayai ketika berlumba berakhir tragedi apabila dia maut dengan kaki kanannya putus manakala perutnya hampir terburai selepas badannya tercampak sejauh 20 meter di laluan bertentangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin di Kilometer 11.3 Lebuhraya Grand Saga berhampiran Maktab Polis, Cheras, di sini, rakan mangsa yang menunggang sebuah lagi motosikal turut cedera parah, selepas kenderaan ditunggang kedua-dua remaja terbabit merempuh belakang sebuah Perodua Viva yang berhenti di lebuh raya tiga lorong itu.
Mangsa, Mohd Noor Affendy Adnan, 20, dari Taman Delima, di sini, dipercayai berlumba sambil menggayakan aksi bahaya sebelum melanggar Perodua Viva yang berhenti di tengah lebuh raya berkenaan untuk membantu sepasang suami isteri yang terbabit dalam kemalangan di tempat sama sejurus sebelum itu.

Pemandu Perodua Viva berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Fairuz, 24, berkata ketika kejadian dia berada di luar keretanya bagi membantu pasangan suami isteri warga emas yang cedera selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta yang menukar laluan secara tiba-tiba di tempat kejadian.

“Pasangan berkenaan terbabas di hadapan saya. Saya membantu mengangkat motosikal dan memapah mereka ke tepi jalan yang ketika itu sesak.

“Ketika saya sedang memberi minuman kepada pasangan warga emas berkenaan, saya melihat dua cahaya lampu menghala laju di laluan kanan jalan berkenaan sebelum melanggar belakang kereta saya,” katanya.
Fairuz berkata, kejadian berlaku begitu pantas sebelum dia melihat badan mangsa tercampak ke laluan bersebelahan selepas melanggar keretanya.

Menurutnya, akibat rempuhan itu mangsa terpelanting kira-kira 20 meter dengan kaki kanannya putus dan tersangkut pada besi pembahagi jalan manakala badannya tercampak di atas laluan bertentangan.

Rakan mangsa yang belum dikenali pula tercampak tidak jauh dari situ.


Fairuz berkata, saksi kejadian mendakwa mangsa melakukan aksi ‘Superman’ di atas motosikal ditunggangnya sebelum menghentam belakang kereta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood ketika dihubungi berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan mangsa gagal mengawal motosikalnya.

Tinggal isteri demi pil khayal

RAMPAS...Wan Abdul Bari menunjukkan pil Eramin 5 dan barangan dirampas daripada pasangan terbabit.
RAMPAS...Wan Abdul Bari menunjukkan pil Eramin 5 dan barangan dirampas daripada pasangan terbabit.

KUALA LUMPUR: Kelam-kabut selepas melihat kehadiran anggota polis menyebabkan seorang pengedar dadah sanggup melarikan diri dengan meninggalkan isterinya terkial-kial bersendirian di tepi jalan sambil memegang beg berisi penuh pil khayal.
Tindakan nekad terbabit dilakukan lelaki berusia 36 tahun itu meranapkan jiwa isterinya yang sebelum ini sama-sama berkecimpung sebagai pengedar pil Eramin 5 lebih dua tahun lalu.
Bagaimanapun, suami wanita terbabit ditahan beberapa jam kemudian di Lebuh raya Kesas.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 4.35 petang, Selasa lalu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menjalankan risikan selepas mendapat maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah berhampiran Jalan Petaling di sini.

Menurutnya, polis menyerbu sebelum menahan seorang wanita berhampiran hadapan sebuah stesen minyak.

“Bagaimanapun, suami wanita terbabit yang menyedari kehadiran polis melarikan diri bersama seorang lelaki lain dengan sebuah kereta. Hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia 28 tahun itu membawa satu beg plastik berwarna hijau.
“Pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan kertas surat khabar yang mengandungi 50 papan pil Eramin 5 yang berjumlah kira-kira 500 biji. Semua dadah itu seberat 140 gram bernilai dan dianggarkan bernilai RM12,500 mengikut harga pasaran,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum mendapati wanita terbabit positif syabu.

“Hasil tangkapan pertama itu, pihaknya terus mengesan suaminya sebelum mengesan kereta dinaikinya di Lebuhraya Kesas di sini.


“Polis yang mengekori kereta itu menahan suspek bersama seorang lagi lelaki kira-kira 15 minit kemudian. Hasil pemeriksaan pada kereta dinaiki suspek, polis menemui satu bungkusan kertas berwarna ungu yang diikat dengan gelang getah,” katanya pada sidang akhbar khas di pejabatnya semalam.

Menurutnya, sebaik bungkusan itu dibuka, polis menemui 10 papan Eramin 5 mengandungi 200 pil seberat 60 gram yang mempunyai nilai pasaran hampir RM2,000.

“Suspek yang dibawa untuk ujian air kencing turut didapati positif dadah. Suspek dan isterinya ditahan reman sehingga 19 April depan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kereta api tergelincir: 11 penumpang maut

ROME: Tanah runtuh menyebabkan sebuah kereta api tergelincir di Mereno, utara Itali, semalam.
Jurucakap bomba, Giuseppe Marazzi berkata, 11 penumpang terbunuh dan 30 lagi cedera, tujuh daripadanya parah.

Jurucakap Majlis Bandaran Bolzano, Thomas Widmann berkata, tanah runtuh berlaku selepas paip pengairan pecah.

“Namun, pokok hutan menyelamatkan gerabak terhumban ke Sungai Adige,” katanya. - AP

Paderi miliki 400 fail gambar lucah kanak-kanak





2010/04/13
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
VIENNA: Polis Austria melancarkan siasatan terhadap seorang paderi didakwa memiliki gambar lucah kanak-kanak dan mengedarkannya di Internet.
Pendakwaraya Wiener Neustadt, bandar di Timur Austria, Erich Habitzl berkata, paderi itu kini ditahan dan akan didakwa.

Media tempatan, ORF melaporkan, polis merampas lebih 400 fail gambar lucah di komputer suspek.

Jika bersalah, paderi itu boleh dipenjara dua tahun.- AP

Bekas Setiausaha Politik Dr. M dibebas


PUTRAJAYA 12 April - Bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Matthias Chang yang sempat dipenjarakan selama 12 hari atas kesalahan menghina mahkamah, dibebaskan hari ini setelah Mahkamah Rayuan mengeluarkan perintah pembebasan sementara terhadapnya.
Perintah dikeluarkan oleh Hakim Datuk Sulaiman Daud sementara menunggu pendengaran rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan mengeluarkan perintah pembebasan walaupun setelah denda RM20,000 dibayar oleh rakan-rakannya.
Berikutan itu, Matthias yang juga seorang peguam dibenarkan keluar dari Penjara Kajang dekat sini walaupun pada asalnya memilih untuk menjalani pemenjaraan selama sebulan kerana enggan membayar denda tersebut.
Pada 25 Mac lalu, Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu dan memberinya tempoh seminggu untuk melunaskan denda.
Namun demikian, dia enggan membayarnya dan dimasukkan ke penjara bermula 1 April lalu.
Sehari kemudian, Matthias melancarkan mogok lapar selama sembilan hari sebagai protes agar Hakim Noor Azian berhenti bersikap berat sebelah terhadap peguam dan pihak-pihak berkaitan dalam prosiding samannya.
Pada 5 April lalu, sekumpulan rakannya menjelaskan denda tersebut dan memohon agar peguam berkenaan dibebaskan.
Bagaimanapun, percubaan itu gagal setelah Mahkamah Tinggi berpendapat mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) kerana denda tidak boleh dibayar oleh pihak ketiga.
Sehubungan itu, salah seorang rakannya, Salahuddin Hisham memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan dia tidak mempunyai hak untuk memohon perintah pembebasan tersebut.
Salahuddin dalam afidavit sokongan yang diikrarkan hari ini menyatakan, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memutuskan bahawa permohonan itu harus dikemukakan oleh Matthias, bukannya pihak ketiga.
Chang dikenakan perintah menghina mahkamah selepas gagal memohon maaf setelah berbalah dengan hakim dan seorang peguam semasa soal balas dalam kes saman fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn. Bhd.
Hakim Noor Azian mensabitkan Chang atas kesalahan di bawah Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 iaitu pengkomitan kerana menghina mahkamah setelah enggan memohon maaf ketika prosiding samannya.
Mahkamah turut membatalkan saman itu dengan menyatakan Chang gagal membuktikan kes selepas mendengar keterangan saksi daripada kedua-dua belah pihak serta penghujahan.
Bekas setiausaha politik bekas Perdana Mengeri itu menyaman American Express kerana didakwa melanggar perjanjian dan memfitnah setelah kad kreditnya digantung.

Ngeh beri keterangan bantu siasatan polis

IPOH 12 April - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Beliau hadir bersama-sama bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar kira-kira pukul 11 pagi ini bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Ahli Parlimen Beruas itu namun berkata, belum dapat menjelaskan butir-butir siasatan.
Menurut Azisman, polis sudah merekodkan keterangan Koo Ham dan kes tersebut akan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Ipoh untuk arahan selanjutnya.
"Polis berterima kasih kepada beliau (Koo Ham) kerana memberi kerjasama. Namun buat masa ini kita tidak dapat menjelaskan butir-butir lanjut.
"Sama ada beliau menjawab atau tidak soalan keterangan, itu saya tidak boleh komen kerana kes ini masih di bawah siasatan," katanya.
Koo Ham kini disiasat polis di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan bahawa polis mungkin menembak sesiapa yang tidak disukai secara sesuka hati.
Kenyataan itu dikeluarkannya pada satu sidang akhbar selepas sidang DUN Perak pada 30 Mac lalu.
Menurut Azisman, keterangan Sivakumar turut diambil hari ini dan polis akan mengambil keterangan ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin esok.
Sementara itu, Koo Ham ketika ditemui selepas memberi keterangan kira-kira pukul 1 tengah hari berkata, beliau tidak akan lari daripada undang-undang dan akan bekerjasama dengan polis.
Namun tegasnya, beliau tidak akan memberi keterangan kepada polis selagi polis enggan mengemukakan lima laporan polis yang dibuat ke atasnya.

'Tuan Muda' sebaiknya jalani rawatan psikiatri


KUALA LUMPUR 12 April - Remaja yang menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah perlu mendapatkan rawatan psikiatri sebelum dikenakan sebarang tindakan lanjut.
Presiden Persekutuan ASEAN bagi Psikiatri dan Kesihatan Mental (AFPMH), Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, menerusi rawatan psikologi secara asas, ia dapat membezakan sama ada remaja terbabit menghidap sakit mental atau tidak.
Menurutnya, tindakan remaja tersebut boleh dikatakan serius kerana dia seolah-olah tidak tahu untuk membezakan realiti dan fantasi, justeru rawatan mental wajar dilakukan ke atasnya bagi mengetahui status kesihatan mentalnya.
''Jika kita tahu dia mengalami sakit mental kita tidak boleh mengenakan tindakan ke atasnya, tetapi jika sebaliknya itu terpulang kepada pihak polis,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sabtu lalu, seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana menyamar sebagai kerabat diraja Pahang dan kononnya memakai gelaran 'Tuan Muda' supaya dapat mengadakan lawatan ke semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri itu.
Bagaimanapun semalam, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar bertitah, baginda tidak mengenali remaja lelaki yang ditahan polis itu.
Menurut Mohamad Hussain, sekiranya remaja tersebut mengalami gangguan mental kemungkinan dia boleh dikategorikan dalam 'Bibola Disorder' iaitu ia terjadi kepada individu yang mempunyai kecerdasan yang terlalu tinggi atau bijak.
Katanya, 'Bibola Disorder' boleh berlaku ke atas pesakit itu berdasarkan faktor genetik di dalam keluarganya.
''Mereka yang mengalami gangguan itu selalu berasakan mereka mempunyai kaitan dengan keturunan raja, mempunyai kuasa, berasakan diri hebat dan kaya-raya.
''Ada kalanya mereka bukan setakat berfantasi sebaliknya bertindak melakukan perkara di luar jangkaan contohnya seperti remaja ini,'' jelas beliau.
Sementara itu Pengarah Hospital Psikiatri Johor Bahru, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar pula berpendapat, remaja lelaki itu tidak mengalami gangguan mental sebaliknya hanya ingin mencari keseronokan dan publisiti.
Beliau berkata, golongan remaja gemar melakukan perkara-perkara yang mencabar dan menyeronokkan dan bagi remaja tersebut dia memilih untuk bertindak berbeza daripada kebiasaan yang dilakukan remaja lain.
Jelasnya, tidak boleh dinafikan bahawa setiap perbuatan atau tingkah laku yang dilakukan oleh remaja sememangnya mendatangkan risiko kerana pemikiran mereka sedikit terhad.
''Apa yang dia lakukan itu adalah antara aspek remaja yang mahu keseronokan dengan cara yang mudah dan pantas. Dia berasa lebih seronok apabila orang ramai mudah terpedaya dengan penipuannya.
''Saya percaya jika kelakuannya itu masih belum diketahui orang, dia pasti akan cuba melakukan lebih lagi tetapi hanya untuk masa yang singkat, bukannya untuk selama-lamanya,'' jelasnya.

Keputusan 2 ADUN Bebas 23 April


IPOH 12 April - Nasib lima individu termasuk dua bekas Exco Kerajaan Negeri Perak sama ada akan dipanggil membela diri atau dibebaskan atas tuduhan rasuah akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 23 April ini.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penggulungan hujah di akhir kes pendakwaan oleh pihak peguam dan pendakwa raya pada hari ini.
Dua bekas Exco terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 59; dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, 54. Kedua-duanya kini merupakan ADUN Bebas.
Tiga lagi tertuduh ialah bekas ADUN Bota, Kapten (B) Usaili Alias, 58; bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 48, dan kontraktor, Fairul Azrim Ismail, 32.
Mengikut pertuduhan, Jamaluddin dituduh bersama Usaili meminta dan menerima suapan RM5,000 daripada Mohamad Imran Abdullah pada pukul 11.40 pagi, 14 Ogos 2008 di Tingkat 1, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini.
Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan membantu Mohamad Imran mendapatkan projek yang dicadangkan untuk dibangunkan di tanah seluas 36 hektar di pusat bandar Seri Iskandar.
Usaili juga menghadapi empat pertuduhan lain antaranya didakwa meminta RM5,000 daripada Mohamad Imran untuk Jamaluddin pada pukul 5 petang, 12 Ogos 2008 di Medan Istana 2, Bandar Ipoh Raya di sini.
Dia juga dituduh meminta RM5,000 lagi daripada Mohamad Imran untuk Mohd. Osman pada pukul 11.40 pagi, 14 Ogos 2008 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Mohd. Osman menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM5,000 daripada Mohamad Imran pada pukul 7.15 malam, 16 Ogos 2008 di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Zul Hassan, 48, pula menghadapi pertuduhan menerima suapan seks daripada Mohamad Imran pada pukul 8.10 malam 14 Ogos 2008 di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa yang juga merupakan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tertuduh-tertuduh pula diwakili oleh peguam-peguam bela, Surjan Singh, Abdul Roni Abdul Rahman, M. Saravanan dan Mohd. Asri Othman.

Ramli hadapi satu lagi kes saman


KUALA LUMPUR 12 April - Walaupun telah dibebaskan daripada empat pertuduhan termasuk rasuah dan salah guna kuasa, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff masih belum boleh menarik nafas lega.
Ini kerana, dia masih lagi mempunyai satu lagi kes saman yang membabitkan tuduhan memegang jawatan dalam sebuah syarikat hartanah ketika masih seorang penjawat awam kira-kira empat tahun lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 2 Ogos ini.
Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh tersebut ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.
Hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria manakala Ramli yang tidak hadir diwakili peguam bela, Harvindirjit Singh.
Harvindirjit ketika ditemui memberitahu, mahkamah turut menetapkan 1 Julai ini bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah mengenai jumlah saksi dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
Difahamkan, kes tersebut akan dikendalikan oleh barisan empat Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai oleh Ahmad Bache.
Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa menjadi pengarah dalam syarikat Kinsajaya Sdn. Bhd. (Kinsajaya) ketika masih Pengarah JSJK, Bukit Aman di sini.
Sebagai seorang penjawat awam, dia terikat dengan Peraturan 5(1) (a) Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan) 2002.
Menurut peraturan tersebut, penjawat awam tidak dibenarkan mengambil apa-apa bahagian dalam sebarang jenis perniagaan.
Dia yang dituduh pada 1 November 2007, didakwa mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Ramli daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.
Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah pada 27 Julai tahun lalu turut melepas dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya.
Bagi tuduhan salah guna kuasa, Ramli yang pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah didakwa mengeluarkan arahan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawanya meninjau tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu.
Ramli didakwa memiliki kepentingan dalam Kinsajaya yang dikatakan mempunyai pelaburan di tanah berkenaan.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 7.50 pagi, 15 Jun 2007 di Pangkalan Unit Udara Polis Tanjung Aru, Sabah.

Rasuah RM300: Polis dipenjara, denda RM10,000


IPOH 12 April - Seorang anggota polis yang telah 34 tahun berkhidmat dihukum penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah menerima rasuah RM300 daripada seorang lelaki, lima tahun lalu.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh turut memerintahkan Sarjan Megat Ahmad Megat Jaafar, 55, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Balai Polis Daerah Manjung di sini dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Megat Ahmad dijatuhi hukuman tersebut selepas disabitkan dengan kesalahan menerima suapan wang itu daripada Rosli Baharom supaya memaklumkan kepada keluarga lelaki itu bahawa dia sedang ditahan polis kerana memiliki dadah.
Kejadian itu didakwa berlaku di Jalan Sultan Idris Shah, Manjong pada pukul 1.35 petang, 7 Julai 2005.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hamzah Mohd. Aris manakala peguam bela Abdul Roni Abdul Rahman mewakili Megat Ahmad.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas tertuduh setelah Abdul Roni memaklumkan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.
Terdahulu, Abdul Roni meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan kepentingan peribadi tertuduh yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan polis sebelum menjatuhkan hukuman.
''Jumlah yang terlibat hanya RM300 tetapi akibat ditahan SPRM, denda dan hukuman penjara yang akan dijatuhkan telah mengganggu fikiran dan kesihatannya.
''Tertuduh juga akan kehilangan ganjaran dan faedah pencen yang merupakan satu bentuk hukuman secara tidak langsung,'' katanya.
Hamzah bagaimanapun berkata, rasuah merupakan satu jenayah yang serius dan perbuatan tertuduh telah menjejaskan imej baik pasukan polis.
''Jadi pendakwaan memohon mahkamah tidak meletakkan asas simpati dalam menjatuhkan hukuman,'' katanya.
Megat Ahmad dibebaskan setelah membayar wang ikat jamin petang ini.

Bicara kes arak kepala lembu ditangguh


SHAH ALAM 12 April - Perbicaraan kes terhadap 12 individu yang didakwa membawa dan memijak kepala lembu serta menyertai perhimpunan haram bagi membantah pembinaan kuil yang dijadualkan bermula hari ini di Mahkamah Sesyen di sini terpaksa ditangguhkan kerana salah seorang daripada tertuduh tidak hadir.
Hakim Hasbi Hasan memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Eyzva Ezhar Ramly selepas tiada pengesahan bahawa tertuduh ditahan polis selain kegagalan penjamin untuk hadir ke mahkamah hari ini.
Beliau turut menetapkan Jumaat ini untuk sebutan semula kes tersebut serta pembatalan waran tangkap terhadap Eyzva Ezhar, 31, sekiranya penahanannya dapat disahkan.
Terdahulu, Peguam Datuk Salehuddin Saidin memaklumkan Ezyva Ezhar tidak dapat dihubungi dan menyatakan rasa bimbang kemungkinan anak guamnya telah ditahan oleh pihak polis.
Sehubungan itu, beliau memohon agar perbicaraan yang sepatutnya berjalan selama lima hari bermula hari ini ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan pengesahan tentang penahanan Ezyva Ezhar.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof pula memaklumkan, pihaknya berhasrat untuk menawarkan pertuduhan pindaan dan mendapatkan pengakuan tertuduh-tertuduh hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, pertuduhan pindaan itu tidak dapat dibacakan kerana salah seorang daripada mereka tidak hadir.
Ishak turut memohon agar waran tangkap dikeluarkan terhadap Ezyva Ezhar berikutan kegagalannya untuk hadir ke mahkamah manakala penjaminnya tidak hadir untuk memberi penjelasan.
Dalam kes ini, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahayuddin Abd. Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42, didakwa memijak kepala lembu yang mempunyai kecenderungan menghasut kerana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati serta permusuhan terhadap rakyat yang beragama Hindu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam satu perhimpunan haram di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 2.25 petang, 28 Ogos tahun lalu.
Sementara Eyzva Ezhar pula didakwa membawa kepala lembu bersama-sama Ibrahim, manakala Mohd. Azmir Mohd. Zain; 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30; dan Mohd. Hilmi Ni, 40, didakwa membawa dan memijak kepala lembu pada masa dan tempat yang sama.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan penjara maksimum tiga tahun.
Kesemua tertuduh turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas tuduhan dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut Hindu dengan membawa dan memijak kepala lembu.
Mereka bersama enam lagi lelaki lain turut didakwa atas tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Enam lelaki lain itu terdiri daripada Jainudin @ Zainudin Md. Yusuff, 67; Mohd. Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 56; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md. Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.
Kesemuanya dituduh mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun jika sabit kesalahan.

Pendawai elektrik miliki 266 DVD cetak rompak didenda RM5,000


KUALA LUMPUR 12 April - Seorang pendawai elektrik didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki cakera video digital (DVD) cetak rompak dua hari lalu.
Majistret Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman itu setelah Man Kok Wah, 24, mengaku salah memiliki 266 keping DVD pelbagai tajuk tanpa perakuan B di bawah Seksyen 6(1) Akta Penapisan Filem 2002.
Nor Azah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kok Wah mengaku melakukan kesalahan itu di pasar malam, Jalan Manis 2, Taman Segar, Cheras di sini pada pukul 8.15 malam, 10 April lalu.
Dakwaan terhadapnya dikendalikan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor R. Rukumar mengikut Seksyen 6(1)(a) akta tersebut dan boleh dihukum bawah Seksyen 6(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang telah berkahwin merayu agar hukuman ringan dikenakan memandangkan dia menanggung seorang isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.
Katanya, sebagai pendawai elektrik, dia hanya memperoleh gaji RM700 sebulan.

Pekerja butik tak mengaku salah menyamar polis


KUALA LUMPUR 12 April - Seorang pekerja butik pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis, empat hari lalu.
Razlan Affandi Mohd. Johar, 27, didakwa menyamar sebagai seorang penjawat awam iaitu anggota polis kepada seorang lelaki warga Bangladesh bernama Nazmul.
Dia yang tidak diwakili peguam bela didakwa melakukan perbuatan itu di Lorong Maaruf, Bangsar di sini pada pukul 4.45 petang, 8 April lalu.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa, Cif Inspektor R. Rukumar menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Razlan dalam rayuannya menyatakan, dia tidak mempunyai ahli keluarga lain selain keluarga angkat yang menjaganya.
Sebelum ini, katanya, dia bekerja di sebuah butik pakaian dengan gaji RM1,000 sebulan.
Majistret Nor Azah Kasran membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 5 Mei ini bagi memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.

Bicara warga Kanada saman doktor HTAA 14 Jun


KUANTAN 12 April - Perbicaraan kes saman seorang warga Kanada terhadap seorang doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi lebih RM20,000 akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini selama tiga hari mulai 14 Jun ini.
Hakim Hassan Abd. Ghani menetapkan tarikh tersebut selepas menolak permohonan Peguam Kanan Persekutuan, Lee Boon Keon yang mewakili kedua-dua defendan supaya kes itu dibicarakan pada tarikh lain dengan alasan doktor pakar berkenaan kini bertugas di Hospital Kuching, Sarawak.
''Kuching tu di mana, di Australia ke? Tak apa, kita keluarkan sapina, awak panggil dia balik,'' kata hakim tersebut.
Dalam saman tersebut, William Morley Tweedie, 58, yang diwakili peguam M. Rajoo menamakan Dr. Aminuddin C. Ahmad yang bertugas sebagai pakar ortopedik di HTAA defendan pertama dan Kerajaan Malaysia defendan kedua.
Plaintif yang beralamat di Jalan Pahlawan Ahmad, Bandar Lama Kuala Rompin, dekat sini adalah seorang pakar pendidikan.
Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, dia telah mendapatkan rawatan di HTAA kerana sakit lutut kiri pada 10 Mei 2006 dan pada 15 Mei 2006 defendan pertama telah menjalankan pembedahan 'partial patellectomy' terhadapnya.
Selepas pembedahan itu, plaintif mendakwa masih mengalami kesakitan di lutut kirinya menyebabkannya mendapatkan rawatan daripada pakar ortopedik, Dr. Yong Teng Choy dari sebuah hospital swasta, Hospital Pakar Kuantan.
Dakwa plaintif, pemeriksaan oleh doktor itu pada 18 Jun 2007 antara lain menunjukkan lututnya masih sakit menyebabkan keesokan harinya dia menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan 'non-union' yang dikendalikan oleh Dr. Teng Choy.
Dua bulan selepas itu, dakwa Tweedie, kesakitan di lutut kirinya telah berkurangan.
Sehubungan itu plaintif mendakwa pembedahan pertama yang dijalankan oleh defendan pertama telah dilakukan dengan cuai.
Akibat kecuaian tersebut, plaintif mendakwa, dia telah mengalami kesakitan dan kesengsaraan sehingga pembedahan kedua dilakukan selain menyebabkannya mengalami kerugian RM21,829.13 iaitu melibat kos pembedahan kedua dan rawatan berkaitan.
Berikutan itu, dia memfailkan saman pada Februari tahun lalu bagi menuntut ganti rugi khas berjumlah RM20,610, ganti rugi am, faedah dan kos tindakan.

4 anggota polis diarah bela diri tuduhan cederakan jurulatih karate


RASAH 12 April - Empat anggota polis diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini membela diri atas tuduhan mencederakan seorang jurulatih karate Indonesia di Nilai dekat sini hampir tiga tahun lalu.
Majistret Noralis Mat memerintahkan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tertuduh.
Keempat-empat tertuduh terdiri daripada Abdul Aziz Shamsudin, 42; Adi Sebi, 35; Mohd. Dzulhafiz Che Zainal Abidin, 23 dan Helmi Hussanie Sukri, 22, yang berlainan pangkat dan bertugas di Balai Polis Nilai.
Kesemua mereka didakwa mencederakan Donald Peter Luther Kolopitha kira-kira pukul 2 pagi, 24 Ogos 2007 berhampiran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.
Donald ketika itu berkunjung ke negara ini bersama pasukan karate Indonesia dan dia turut dilantik menjadi salah seorang pengadil dalam Kejohanan Karate Asia Ke-8 yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mereka akan mula memberi keterangan bela diri mulai 2 Jun ini.
Keempat-empat tertuduh diwakili oleh peguam K. K. Chong manakala pendakwaan dikendalikan oleh oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Memetik laporan akhbar, insiden tersebut telah menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi memohon maaf kepada rakan sejawatnya, Susilo Bambang Yudhoyono.
Berikutan kes itu, penunjuk perasaan di Indonesia telah bertindak ganas sehingga sanggup membakar bendera Malaysia dan mendesak Kerajaan Indonesia memutuskan hubungan diplomatik sehingga kesemua tertuduh dibawa ke muka pengadilan.
Dalam kejadian itu, Donald dilaporkan ditahan oleh empat anggota polis ketika dia sedang berjalan pulang ke hostel selepas menjadi pengadil kejohanan berkenaan.
Kesemua tertuduh yang berpakaian preman ketika itu sedang membuat rondaan dengan menaiki sebuah van telah cuba menahan mangsa kerana tidak yakin dengan penjelasan yang diberikan.
Setelah gagal membuatkan mangsa menyerah diri, Donald dikatakan telah dipukul sehingga mengakibatkan kecederaan di muka dan badan termasuk patah beberapa tulang rusuk.
Ekoran itu, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) bagi menerima rawatan selain mendapat rawatan lanjutan di Hospital Pertamina setelah diterbang pulang ke Jakarta.
Sebagai tanda bantahan terhadap kejadian itu, pasukan karate Indonesia telah menarik diri daripada kejohanan yang disertai oleh kira-kira 620 peserta dan pegawai dari 32 negara Asia.

Simbah isteri dengan asid, lelaki dipenjara enam tahun, dua sebatan


KUANTAN 12 April - Akibat menyimbah isteri dengan cuka getah kerana enggan melakukan hubungan kelamin dengannya, seorang penganggur dihukum penjara enam tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Supian Hani Ismail, 47, yang berbadan kurus dan bermisai kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan oleh Hakim Irwan Suainbon terhadapnya.
Sebelum menjatuhkan hukuman tersebut, Irwan menegaskan bahawa mahkamah memandang serius kesalahan tersebut walaupun lelaki itu telah membuat pengakuan bersalah.
''Mahkamah memandang serius kesalahan tertuduh yang mendatangkan kecederaan parah kepada isterinya. Tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada isteri,'' katanya.
Beliau memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai hari ini.
Dia mengaku sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Zarina Wahab, 43, dengan menggunakan cuka getah di rumah No. 67, Felda Bukit Sagu 2, dekat sini antara pukul 12.30 tengah malam dan 2 pagi, 7 April lalu.
Tertuduh yang memakai baju lokap warna ungu didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.
Mengikut fakta kes, kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada hari kejadian, tertuduh telah masuk ke dalam bilik dan nampak mangsa memegang telefon bimbit.
Mangsa memberitahu bahawa dia sedang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anaknya bernama Kamarul.
Tertuduh cuba merampas telefon tersebut tetapi tidak dibenarkan oleh mangsa lalu tertuduh keluar dari bilik tersebut.
Selepas itu, tertuduh masuk semula dan meminta untuk melakukan hubungan kelamin tetapi mangsa enggan melayan kehendak suaminya itu.
Tertuduh terus keluar dari bilik dan tidak lama kemudian masuk semula bersama parang dan cuba menetak telefon bimbit dengan parang tersebut tetapi tidak berjaya.
Semasa mangsa cuba mengambil semula telefon bimbit tersebut, dia telah disimbah dengan cuka getah.
Kejadian tersebut kemudiannya dimaklumkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Ani kepada kakak tertuduh, Supiah Ismail, 56, yang kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum membuat laporan polis.
Hasil pemeriksaan awal oleh Dr. Wan Atman Said Wan Musa pada 4 pagi hari sama mendapati mangsa mengalami lapan peratus kebakaran di bahagian kiri badan dan bawah dagu kiri termasuk tangan.
Tertuduh kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Panching kira-kira pukul 4.45 pagi hari yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin dan Heng Yen Loo.
Terdahulu, Hidayatul Syuhada memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan tindakan serupa.
Beliau juga meminta mahkamah mengambil kira kesan tindakan tertuduh yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kekal.
Sementara itu, Yen Loo pula meminta mahkamah mengenakan hukuman sebat untuk memberi mesej yang jelas kepada masyarakat umum betapa serius dan beratnya tindakan tertuduh.
Supian Hani yang tidak diwakili peguam bela hanya merayu supaya hukuman diringankan.
Isteri tertuduh ketika ini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HTAA dan keadaannya dilaporkan semakin beransur pulih.

Enam geng samun tumpas




Zainuddin Yaacob (dua dari kiri) menunjukkan hasil curi suspek pecah kedai di Taman Pelangi Indah semasa sidang media di Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 12 April - Sejak tahun lalu, imej bandar raya ini sering tercemar dengan kegiatan enam kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kegiatan samun dan jenayah jalanan.
Setiap kumpulan itu terlibat dalam jenayah secara berkumpulan termasuk di beberapa lokasi panas di pusat bandar dan sekitar kawasan Balai Polis Taman Pelangi.
Namun, polis tidak duduk diam sahaja. Sejak Ogos tahun lalu, mereka mula memburu ahli-ahli kumpulan 'enam jahanam' terbabit.
Hasilnya, seramai 31 orang ahli daripada enam kumpulan penjenayah itu berjaya ditahan dalam beberapa serbuan yang dilakukan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kumpulan penjenayah terlibat dikenali dengan nama 'Geng Aman', 'Patah', 'Nesa', 'Jajam', 'Mat Ozzy Pandan' dan 'Yaya'.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih memburu satu lagi kumpulan yang masih bebas termasuk 20 ahli kumpulan berkenaan serta saki baki ahli kumpulan yang ditahan sebelum ini.
"Kesemua yang ditahan merupakan rakyat tempatan dan berusia lingkungan 30-an," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Zainuddin berkata, meskipun statistik jenayah di daerah tersebut menunjukkan penurunan tetapi pihaknya akan sentiasa melakukan operasi cegah jenayah secara berterusan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun yang cuba memecah masuk sebuah premis di Taman Pelangi Indah pukul 4.30 pagi semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta milik suspek, polis menemui perkakas untuk memecah masuk premis termasuk pelbagai barangan disyaki hasil curi.
"Antara yang ditemui, aksesori kenderaan antaranya sebuah radio, empat pembesar suara dan beberapa perkakas seperti kunci pendua, spanar dan pemutar skru.
"Pemeriksaan mendapati, salah seorang suspek turut mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk memiliki senjata api," katanya.
Kedua-dua suspek yang dikehendaki atas beberapa kes lain di daerah Kulaijaya, Seri Alam dan Johor Bahru Utara kini ditahan reman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kes pecah rumah.

Sah bayi mati akibat keguguran


KUALA LUMPUR 12 April - Laporan bedah siasat ke atas mayat bayi yang ditemui dalam timbunan sampah di Sungai Choh di Hulu Selangor semalam mengesahkan bayi malang itu mati akibat keguguran.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, bayi yang cukup sifat itu kemungkinan besar dianggarkan berusia tujuh bulan.
Beliau memberitahu, setakat petang ini, pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk positif yang boleh membantu siasatan kes itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha termasuk memeriksa rekod kelahiran di hospital dan klinik sekitar daerah Hulu Selangor.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
"Sehingga petang ini, tiada seorang pun yang tampil memberi maklumat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang sedang melakukan kerja-kerja memungut sampah terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki dalam beg plastik.
Pekerja itu dikatakan tergerak untuk memeriksa bungkusan plastik itu terkejut apabila terlihat mayat bayi yang masih bertali pusat.
Norel Azmi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kematian.

polis masih buntu kesan individu buang bayi di Kg. Melayu Subang


PETALING JAYA 12 April - Siasatan polis terhadap kes mayat seorang bayi lelaki yang ditemui dengan sebelah tangannya digonggong anjing di Kampung Melayu Subang pada 26 Mac lalu masih tidak menemui sebarang petunjuk.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak polis termasuk mendapatkan maklumat daripada penduduk-penduduk di kawasan itu, namun ia tidak berhasil untuk mengesan individu yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya masih menunggu hasil laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia sebelum tindakan lanjut diambil.
"Bagaimanapun, laporan DNA itu dijangka tidak banyak membantu kerana kita tidak mempunyai sampel daripada suspek untuk diuji dan disamakan dengan DNA bayi malang itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, bayi itu yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan diisi dalam plastik lalu dibuang di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang.
Ketika ditemui oleh seorang saksi, sebelah tangan bayi malang yang telah bercerai dari badan itu digonggong oleh salah seekor daripada sekumpulan anjing yang menyelongkar bungkusan plastik itu.
Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan ia dibuang pagi hari kejadian.
Arjunaidi dalam pada itu menasihatkan pasangan yang bertanggungjawab ke atas bayi tersebut, atau sesiapa yang tahu mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Rosniza diperintah bela diri



Anggota polis membawa Rosniza Ibrahim keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas diperintah untuk membela diri, semalam.


PULAU PINANG 12 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang ibu supaya membela diri terhadap tuduhan membunuh dua anaknya dengan menjerut leher mereka menggunakan wayar seterika, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yasin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Rosniza Ibrahim, 30, dari Kuala Kurau, Perak, menghadapi dua tuduhan membunuh anak-anaknya di rumah No 7216, Taman Indah, Lebuh Batu Maung 8, Bayan Lepas pada 18 Feb 2007.
Dia didakwa membunuh Muhamad Alif Hakimi Idris, 6, pada pukul 11 malam di rumah itu manakala Muhamad Alif Hazimi, 2, kira-kira 15 minit kemudian di tempat dan pada hari yang sama.
Tuduhan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Hakim Mohd Zaki berkata, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan iaitu suami tertuduh, Idris Saidin dan jiran mereka, Rosniza adalah orang terakhir berada bersama dengan kedua-dua si mati.
Katanya, keterangan saksi juga jelas menunjukkan bahawa tertuduh adalah orang yang melakukan pembunuhan itu berdasarkan kelakuan-kelakuan pelik yang ditunjukkan.
Beliau berkata, antaranya, Rosniza menghantar mesej khidmat pesanan ringkas kepada adiknya dengan menyatakan dia telah melakukan kesalahan besar dan memohon maaf atas perbuatannya.
Hakim Mohd Zaki menetapkan 29 April ini untuk menyambung perbicaraan.
Rosniza diwakili peguam K. Simon Murali manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar. - Bernama

AADK tambah pusat MDST banteras dadah


MELAKA 12 April - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan mengambil pelbagai langkah untuk membanteras penagihan dadah termasuk menambah bilangan pusat terapi penggantian dadah methadone (MDST), kata Ketua Pengarah barunya, Datuk Zuraidah Mohamed.
Beliau berkata, terdapat lebih 12,000 orang mengambil bahagian dalam program MDST di seluruh negara yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan dan ia didapati semakin berjaya.
Menyatakan bahawa banyak penambahbaikan perlu dilakukan mengikut keadaan semasa, Zuraidah berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai program terapi MDST yang diberikan kepada penagih bagi mengurangkan rasa gian dadah.
Zuraidah, 55, yang menjadi Ketua Pengarah kesembilan agensi itu berkuatkuasa Rabu lepas, menggantikan Datuk Abdul Bakir Zin yang bertukar ke Kementerian Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob di Ayer Keroh hari ini.
Zuraidah, yang enggan memberi ulasan lanjut visinya, merupakan bekas Pengarah Bahagian Rawatan dan Pemulihan AADJ selama empat tahun sejak 2003. - Bernama

Guna van seludup benih kerang



Shaari Ariffin (tiga dari kiri) menunjukkan benih kerang yang dirampas di Sitiawan, Perak, semalam.


SITIAWAN 12 April - Sindiket menyeludup benih kerang ke negara jiran kini dikatakan menukar taktik mereka dengan membawa keluar hasil laut berkenaan menggunakan van.
Sebelum ini, sindiket itu dikesan menggunakan lori untuk membawa keluar hasil laut itu dan kini dikatakan beralih kepada van bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh, Deputi Supritendan Shaari Ariffin berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mudah terpedaya dengan taktik terbaru itu dan sentiasa bersedia dengan sebarang modus operandi yang digunakan mereka.
"Semua anggota PGM sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk taktik baru yang digunakan oleh penyeludup. Hasilnya, kita berjaya mengesan taktik baru sindiket itu yang kini menggunakan van untuk mengangkut hasil laut berkenaan.
"Awal pagi semalam, PGM berjaya merampas 18 guni benih kerang bernilai RM68,800 di Batu 10 Lekir," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan dilakukan kira-kira jam 6 pagi sebaik sahaja sepasukan anggota Unit Risikan Marin dan anggota PGM Kampung Acheh menerima maklumat mengenai aktiviti membawa keluar benih kerang tanpa permit di kawasan Lekir.
Hasil serbuan itu, katanya, PGM menahan seorang pemandu van berusia lingkungan 30-an bersama muatan benih kerang kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultura Kerang) 2002.
Shaari berkata, operasi berkenaan diketuai Sarjan Mejar Shihabudin Yahaya dengan kekuatan lima anggota PGM.
Menurutnya, ketika ditahan, lelaki itu gagal menunjukkan dokumen Jabatan Perikanan bagi membolehkannya membawa benih kerang itu.
"Pemandu van dan muatan benih kerang bernilai RM68,800 termasuk nilai kenderaan itu kemudian diserahkan kepada Cawangan Perlindungan Sumber (CPS), Jabatan Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Penculik minta wang tebusan RM5 juta bebaskan dua mangsa


KOTA KINABALU 12 April - Pasukan petugas khas anti penculikan Filipina sedang berusaha mengesan dua rakyat Malaysia yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Sebangkat, Semporna, dua bulan lalu.
Menurut seorang pegawai pasukan petugas berkenaan yang enggan dikenali, pihaknya percaya mangsa disembunyikan di sebuah pulau di selatan Filipina, berhampiran Sabah.
"Ketika ini, kami menggunakan khidmat orang tengah untuk berunding dengan suspek yang dikatakan meminta wang tebusan kira-kira RM5 juta atau 50 juta peso," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, rundingan masih dijalankan dan dijangka menunjukkan perkembangan positif dua minggu lagi.
Pada 8 Februari lalu, dua lelaki tempatan hilang selepas pelantar di pusat pembiakan rumpai laut di Pulau Sebangkat dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, Tsen Vui Chung, 41, dan sepupunya, Lai Wing Chau, 26, dilarikan lima lelaki bersenjata yang melakukan rompakan di pusat pembiakan rumpai laut itu.
Menurut sumber itu lagi, kedua-dua mangsa tidak dicederakan dan dibenarkan bercakap melalui telefon dengan orang tengah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan dua mangsa berkenaan telah dibawa keluar dari sempadan negara ini.

Tukar taktik seludup dadah dalam kuantiti kecil



MD. Hassim Pardi (tengah) menunjukkan syabu yang disorokkan di bahagian tepi beg pakaian di Ibu Pejabat KDRM Narkotik di Kampung Jijan, Nilai, semalam. - utusan/Abd Razak Aid


SEREMBAN 12 April - Meskipun semakin hebat dibanteras pasukan penguat kuasa, penyeludupan dadah oleh warga Iran ke negara ini masih berlaku dengan pelbagai cara.
Bermacam-macam usaha dilakukan oleh sindiket penyeludupan itu untuk membawa dadah masuk menembusi kawalan keselamatan negara, namun dapat dihidu.
Terbaru, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengenal pasti taktik sindiket dadah melibatkan warga Iran ini yang menyeludup masuk dadah dalam kuantiti yang kecil iaitu antara 1 kilogram hingga 3 kilogram.
Bagi mengelak daripada mudah dikesan pihak berkuasa, taktik itu dilakukan oleh warga Iran dengan menggunakan khidmat pembawa dadah atau kurier yang ramai.
Buktinya, sepanjang empat bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 11 orang warga Iran dikesan cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini melalui kuantiti yang kecil di pintu-pintu masuk utama khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penolong Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan), Datuk Md. Hassim Pardi berkata, kejayaan terbaru ialah pada Jumaat lalu apabila seorang lelaki warga Iran ditahan di KLIA ketika cuba menyeludup masuk 1,269 gram syabu bernilai RM317,250.
"Lelaki Iran itu baru tiba dari Teheran menaiki pesawat Iran Air pada pukul 8.30 pagi. Hasil pemeriksaan terhadapnya, KDRM mengesan dua helai tuala yang direndam dalam cecair dadah jenis syabu.
"Tuala yang direndam dalam cecair dadah itu dibalut plastik lutsinar dan ditemui dalam ruang khas tepi bagasi yang dibawanya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat KDRM Narkotik di Kampung Jijan, Nilai dekat sini hari ini.
Ini merupakan kali kedua taktik yang sama digunakan oleh sindiket dadah warga Iran. Pada Disember lalu, seorang lelaki dari negara itu ditahan bersama selimut dan baju yang direndam dalam cecair yang sama.
Menurut Md. Hassim, pihaknya sudah meningkatkan kawalan terhadap kemasukan setiap rakyat Iran ke negara ini bagi mengekang usaha menyeludup dadah masuk ke Malaysia.
"Kita akan membuat pemeriksaan lengkap, termasuk setiap bagasi yang dibawa oleh setiap warga Iran," tegasnya.
Menurut beliau, lelaki Iran yang ditahan itu kini direman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Md. Hassim memberitahu, sepanjang tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan 17 kes penyeludupan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM27.2 juta.
"Ini termasuk penahanan 16 warga asing yang 11 daripadanya dari Iran. Selain itu, warga asing yang ditahan ialah masing-masing seorang dari India, Nigeria dan Pakistan serta dua dari Republik of Guinea," ujarnya.
Sepanjang empat bulan pertama tahun ini, katanya, KDRM merampas 81.6 kilogram syabu bernilai lebih RM25.6 juta. Jumlah itu didapati meningkat berbanding 28 kilogram syabu bernilai RM6.7 juta yang dirampas sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.
Md. Hassim menegaskan, kebanyakan modus operandi penyeludupan dadah syabu tahun lalu adalah menggunakan seorang pembawa dengan kuantiti yang besar iaitu antara 10 kilogram hingga 25 kilogram.
"Ahli sindiket ini biasanya menyembunyikan syabu dalam ruang khas bagasi, tin berlabel barang makanan, jaket, kulit buku selain direndam dalam selimut dan baju," katanya.