Search This Blog

Sunday, April 11, 2010

Lima maut, dua kereta bertembung



SHAH ALAM - Lima mati manakala empat lagi termasuk dua kanak-kanak cedera parah apabila dua kereta bertembung di Lebuh Raya Kesas di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, empat sahabat mati di tempat kejadian selepas kereta mereka terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kereta Honda Civic yang dinaiki satu keluarga menghala ke Pelabuhan Barat.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Klang, Deputi Supritendan Rosli Abdul Rahman berkata, empat sahabat itu bersama dua lagi rakan mereka menaiki kereta Proton Iswara itu menghala ke Shah Alam.
Bagaimanapun ketika sampai di tempat kejadian yang tidak jauh dari Pandamaran, kereta mereka terbabas dan memasuki arah bertentangan sebelum melanggar kereta jenis Honda yang dipandu Supian Saliman, 41.
"Kejadian itu menyebabkan kedua-dua kereta rosak teruk dengan kesemua mangsa tersepit.
"Supian terbunuh manakala dua orang anaknya yang berusia enam dan 10 tahun cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dua lelaki mabuk ceroboh sekolah ditahan



SHAH ALAM - Dua lelaki yang menceroboh masuk dan menyerang guru serta beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27, di sini kelmarin ditahan reman bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi berkata, selepas ditahan 24 jam, pihaknya memohon kepada mahkamah untuk menahan reman kedua-dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun itu untuk siasatan lanjut.
"Berdasarkan siasatan awal, kita dapati kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah tetapi polis sedang menyiasat sama ada mereka ini mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah," katanya.

Reman tiga pengawal dilanjut



KUALA LUMPUR - Tiga pekerja syarikat kawalan keselamatan yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kehilangan satu karung wang bernilai RM254,000 pada Selasa lalu akan disambung reman sehingga Isnin ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan ke atas ketiga-tiga pekerja keselamatan berusia 26 hingga 62 tahun itu.
"Kita masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk penglibatan mereka dalam kehilangan satu daripada tiga karung wang itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Abdul Rahim, pihak polis juga masih menggiatkan usaha bagi mengesan kelima-lima lelaki dipercayai warga asing yang dirakamkan oleh rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dalam bank tersebut.

Warga asing lebih pengotor - DBKL



KUALA LUMPUR - Jika anda menyangka rakyat Malaysia pengotor dengan sikap suka membuang sampah merata-mata, fikirkan semula.
Ini kerana hasil pemantauan dan tindakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati kira-kira 95 peratus kesalahan membuang sampah di ibu kota sebenarnya dilakukan oleh warga asing terutama dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Rolan Abd. Rahman berkata, ia hasil 13,300 kompaun atas kesalahan itu yang dikeluarkan sejak 2008 hingga bulan lepas dengan jumlah kutipan RM280,000.
Setiap kesalahan itu dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM30.
"Kami memandang serius masalah ini kerana jika dibiarkan, masalah kekotoran akibat tiada kesedaran sivik ini akan berterusan,'' katanya kepada wartawan semasa mengetuai Operasi Anti Litter di sini semalam.
Dalam operasi selama empat jam semalam di Jalan Silang, DBKL telah mengeluarkan 172 kompaun berjumlah RM4,177 dengan majoritinya kepada warga asing.

Kena cekup sebelum subuh





SEBAHAGIAN daripada 44 warga asing yang ditahan menunggu proses saringan permit 
perjalanan di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Sekumpulan warga asing yang menjual sayur kitar semula bertempiaran lari meninggalkan barangan jualan mereka selepas dua buah pasar borong diserbu pihak berkuasa sebelum subuh semalam.
Serbuan yang diketuai pasukan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilakukan pada waktu kira-kira 10 peniaga tersebut leka menyusun sayur-sayur terbuang untuk dijual kira-kira pukul 4 pagi semalam.
Biarpun gagal memberkas mereka yang juga sasaran utama serbuan tersebut, operasi selama empat jam itu berakhir dengan penahanan 44 warga Myanmar dan Bangladesh yang bekerja di pasar berkenaan.
Bagaimanapun DBKL merampas barangan niaga seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang mahu dijual oleh para peniaga warga asing berkenaan untuk dilupuskan.
Timbalan Pengarah Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Ab. Salim Mansor berkata, pada waktu serbuan dipercayai kira-kira 100 warga asing berada di kedua-dua pasar berkenaan.
"Kita dapat menahan 34 orang di Pasar Selayang dan 10 orang lagi di Pasar Borong Kuala Lumpur,'' ujarnya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Ab. Salim, empat orang diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan manakala yang lain dibebaskan kerana mempunyai permit.
Operasi itu melibatkan 80 anggota penguat kuasa DBKL, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan polis.
Kosmo! sebelum ini turut melaporkan aduan orang ramai mengenai kegiatan para peniaga terbabit yang semakin berani menjual sayur buangan kepada orang ramai di luar pasar sehingga menjejaskan pendapatan peniaga warga tempatan.

Suspek serang tadika ditahan



JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan di Muar dipercayai suspek yang menyerang sebuah tadika sehingga menyebabkan tiga kanak-kanak cedera di kepala akibat dipukul dengan tukul pada 10 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, lelaki itu berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah ketika ditahan.
"Pihak polis menemui beberapa bukti seperti tukul besi, topi keledar dan jaket berwarna kuning.

Bakar geran protes projek tak siap




PENDUDUK Rumah Rakyat Pasir Panjang melakukan bantahan aman berhubung projek pembesaran jalan yang terbengkalai sejak enam tahun lalu di hadapan kediaman mereka di Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Kecewa dengan projek jalan yang menimbulkan pelbagai masalah, beberapa penduduk Rumah Rakyat Pasir Panjang, di sini bertindak membakar geran asal rumah mereka sebagai tanda protes semalam.
Wakil penduduk, Rahimudin Md.Harun, 39, berkata, penduduk bertindak demikian sebagai melahirkan rasa tidak puas hati disebabkan telah bersabar hampir enam tahun untuk menunggu projek jalan tersebut siap.
Ujarnya, sepanjang enam tahun, seramai 34 pemilik rumah terpaksa berdepan dengan masalah debu, asap kenderaan, banjir hingga merosakkan harta benda selain kemalangan jalan raya.

Lelaki dikehendaki polis ditahan selepas bersembunyi setahun



11/04/2010 2:42pm

NIBONG TEBAL 11 April — Selepas setahun bersembunyi, seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung satu kes pembunuhan di sini pada April tahun lepas berjaya ditahan di Skudai, Johor.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada 6 April lepas dan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPS bagi membantu siasatan kes pembunuhan K. Kantha, 38, di Taman Bistari di sini pada 28 April tahun lepas.
"Dia dipercayai melarikan diri ke Skudai dan bersembunyi di sana bagi mengelak ditahan polis. Bagaimanapun hasil siasatan dan risikan kita berjaya mengesan serta menahan lelaki terbabit,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Mengulas kes pembunuhan itu, Shafien berkata Kantha dipercayai diserang dengan topi keledar oleh seorang lelaki yang marah kerana diganggu dan dimaki dengan kata-kata kesat ketika sedang minum arak.
"Dalam kejadian itu mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya selepas koma selama empat hari,” katanya. - Bernama

Korban banjir Brazil, 205 orang



RIO DE JANEIRO 10 April - Angka kematian akibat banjir di wilayah Rio de Janeiro minggu ini meningkat kepada 205 orang dan ia dijangka bertambah lagi ketika pekerja penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, dalam operasi yang mungkin disambung sehingga esok.
Pengesahan mengenai angka kematian tersebut dibuat dalam satu kenyataan oleh Jabatan Pertahanan Awam Rio de Janeiro, yang turut melaporkan sebanyak 161 yang lain cedera.
Hujan pada sebelah pagi dan petang mungkin mencetuskan kejadian tanah runtuh baru ketika krew penyelamat menggunakan mesin pengorek untuk mencari mangsa yang tertimbus di Morro do Bumba, kawasan yang paling teruk terjejas apabila runtuhan tanah turut meranapkan rumah-rumah di lereng bukit.
Sehingga kini, pekerja penyelamat telah mengeluarkan 27 mayat daripada runtuhan tanah di Niteroi, berhampiran Rio.
Pihak berkuasa bimbang angka kematian akibat kejadian tanah runtuh sahaja bakal mencecah 200 orang. - AP

Pope didakwa lindungi paderi cabul budak



LOS ANGELES 10 April - Skandal fidofilia yang menyelubungi gereja Roman Katolik terus menerima tamparan, semalam apabila Pope Benedict XVI atau nama sebenarnya Joseph Ratzinger turut diheret atas dakwaan cuba melindungi seorang paderi yang mempunyai rekod penderaan seksual ke atas kanak-kanak pada 1980-an.
Beberapa keping surat dalam fail gereja mendedahkan, Ratzinger sebelum menjadi Pope, ketika berkhidmat sebagai Kardinal pernah menentang pelucutan jawatan seorang paderi California yang mencabul kehormatan kanak-kanak.
Pendedahan itu dilihat sebagai cabaran paling getir, walaupun Vatican sebelum ini berkeras menyatakan bahawa Ketua Gereja Katolik Vatican itu tidak memainkan peranan menyekat penyingkiran paderi-paderi fidofilia semasa berkhidmat sebagai ketua Gereja Katolik di pejabat pemerhati doktrin.
Dalam surat bertarikh November 1985, Ratzinger membantah pelucutan jawatan Rev. Stephen Kiesle (gambar), dengan menyatakan ia adalah satu 'perkara yang perlu diberi perhatian serius' kerana perlu diteliti dan memerlukan lebih masa.
Surat tersebut yang ditandatangani beliau, ditaip dalam bahasa Latin dan merupakan sebahagian daripada surat rasmi antara kawasan uskup Oakland dengan Vatican berkaitan cadangan untuk melucutkan jawatan Kiesle, yang tidak membantah kesalahan terlibat dalam pencabulan kanak-kanak pada 1978.
Vatican semalam mengesahkan surat tersebut tertera tandatangan Ratzinger dan ia ditulis dalam bentuk surat biasa yang digunakan dalam urusan pelucutan jawatan seseorang paderi.
Peguam Jeffrey Lena berkata, surat tersebut jelas menunjukkan Benedict cuba mengelak perlakuan penderaan seksual terhadap kanak-kanak daripada berlaku lagi.
Seorang lagi jurucakap Rev. Ciro Benedettini berkata, surat tersebut tidak menunjukkan cubaan untuk melindungi sesiapa. - AP

Rusuhan di Thai 9 mati



Kumpulan Baju Merah bertempur dengan pasukan keselamatan Thailand dalam rusuhan di Bangkok, malam tadi. - AFP


BANGKOK 10 April - Sembilan orang terbunuh manakala beratus lagi cedera apabila pasukan tentera melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menghadapi berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan yang merusuh dan melontarkan bom petrol di Bangkok, malam ini.
Empat daripada mereka yang terbunuh merupakan penunjuk perasaan, empat anggota tentera dan seorang wartawan, kata Timbalan Gabenor Bangkok, Malinee Sukavrejworakit.
Sekurang-kurangnya 242 orang yang lain cedera termasuk 64 orang anggota tentera dan polis ketika berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan dekat Jalan Rajdimnoen dan jambatan Phan Fah tidak jauh dari bangunan lama kerajaan dan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangkok.
Jurucakap tentera, Sansern Kaewkamnerd berkata, pihak tentera berjaya menawan semula bangunan lama kerajaan itu sehingga ke Jalan Khao San daripada penguasaan kumpulan Baju Merah selepas hampir sejam berlaku pertempuran.
"Jika berlaku keganasan lagi, pihak tentera tidak akan teragak-agak untuk bertindak ke atas kumpulan Baju Merah," kata Sansern.
Sementara itu AP melaporkan, wartawan yang terbunuh itu adalah wartawan Jepun.
Pengarah Hospital Besar BMA, Pichaya Nakwatchara berkata, wartawan tersebut berkhidmat dengan agensi berita Thomson Reuters. - REUTERS

Saya sudah tawar hati



Oleh ZAITIE SATIBI
am@hmetro.com.my
2010/04/11
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUANTAN: “Saya tidak akan kembali kepadanya (suami) selepas apa dia lakukan terhadap saya. Saya juga takut perkara sama berulang jika saya kembali,” kata tukang cuci yang parah disimbah cuka getah oleh suaminya, dipercayai akibat menolak permintaan untuk ‘bersama’, Rabu lalu.
Menceritakan semula perkenalan dengan suaminya berusia 43 tahun itu, mangsa berkata, perkahwinan mereka diatur rakan berikutan ketika itu dia berstatus ibu tunggal anak dua selepas kematian suami yang juga peneroka Felda Bukit Sagu Dua, di sini.

“Suami pertama meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam lombong. Selepas itu saya hidup bersendirian memelihara dua anak yang masih kecil sehingga diperkenalkan dengan suami kedua oleh rakan.

“Saya tidak mengenalinya secara rapat dan hanya menurut permintaan rakan yang bimbang saya hidup sendirian selepas bergelar balu,” katanya ketika ditemui di Wad Kebakaran, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas menerima kunjungan Skuad Sayang, Wanita Umno Pahang, di sini, semalam.

Mangsa berkata, perkahwinan keduanya tidak seperti diimpikan apabila selepas tiga bulan melayari alam rumah tangga, suami keduanya mula menunjukkan belang.

“Suami saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sering meminta wang daripada saya. Dia juga suka berjudi dan membeli nombor ekor.

“Perangai buruknya semakin menjadi-jadi apabila dia kerap menghilangkan diri sebelum kembali semula ke rumah dalam keadaan marah-marah. Dia juga tidak boleh menerima teguran dan penyudahnya tubuh saya lebam dipukul,” katanya.

Mangsa berkata, dia pernah cedera di perut ketika berpantang selepas melahirkan anak bongsu akibat dibaling dengan batu tungku, selain diterajang gara-gara menolak permintaan suami mengadakan hubungan kelamin.

“Sejak itu dia tidak pernah memukul saya lagi, namun sikap berjudi dan pemarahnya tidak hilang. Dia juga beberapa kali mengugut untuk menghantar saya tinggal di wad hospital.

“Apa dikatakannya benar-benar dilakukan apabila dia tergamak menyimbah cuka getah ketika kami bertengkar pada hari kejadian,” katanya.

Mangsa berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi, dia terhidu niat suaminya apabila ternampak lelaki itu membuat campuran cuka getah dan air dalam besen di dapur rumah mereka.

“Saya bangun dari tempat tidur untuk melarikan diri, tetapi dihalang dengan parang sebelum disimbah cuka getah. Anak bongsu yang tidur bersama saya turut terkena percikan bahan berasid itu di mukanya.

“Kejadian itu turut dilihat anak sulung kami berusia 17 tahun yang cuba membantu saya tetapi dia juga dihalang daripada mendekati saya dengan parang,” katanya yang beberapa kali menuntut cerai.

Katanya, tindakan suaminya disebabkan tekanan akibat tidak dapat menerima hakikat bahawa rumah tangga mereka akan berakhir dengan perceraian.

“Saya sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan kerana sikapnya yang tidak mahu berubah. Malah, kami beberapa kali merujuk masalah ini di Mahkamah Syariah tetapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Skuad Sayang negeri merangkap Ketua Wanita Umno Pahang, Datuk Rosni Zahari, berkata pihaknya akan membantu mangsa daripada segi kaunseling bagi memulihkan semangatnya, di samping mendapatkan bantuan agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalahnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai kepada mangsa. Turut hadir, Komandan Skuad Sayang kebangsaan, Datin Reny Rahayu Mohd Ishak dan Pesuruhjaya Skuad Sayang, Wanita Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Sangka bunyi tikus




PARIT: “Pada mulanya saya ingatkan bunyi tikus di dapur rumah, namun sebaik memeriksa, saya dapati ia bunyi percikan api daripada kabel elektrik yang terbakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin di Kampung Baru, Jalan Blanja Parit, rumah milik Choong musnah dijilat api, membabitkan kerugian melebihi RM50,000 selain memusnahkan dua motosikal dan sebuah kereta.

Choong berkata, ketika kejadian, dia menganyam bakul di halaman rumahnya sebelum mendengar percikan api kuat berpunca daripada litar pintas.

Katanya, dia yang menetap di rumah kayu setingkat itu bersama anak, menantu dan tiga cucu kini tinggal sehelai sepinggang selepas tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda, termasuk dokumen penting.

“Nasib baik ketika kejadian itu anak, menantu dan cucu tiada di rumah kerana keluar ke pekan. Bagaimanapun, saya lega kerana tidak cedera,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.05 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4.08 petang.

Katanya, sebaik tiba, api marak dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran tujuh minit kemudian dan dapat memadam sepenuhnya dalam masa 45 minit.

Bagi meringankan beban keluarga berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Blanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan yang simpati dengan kejadian itu menghulurkan sumbangan bernilai RM1,000 untuk membantu keluarga mangsa.

Malah, katanya, dia juga meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Tujuh polis kena tahan

JERTIH: Bahagian Tatatertib Bukit Aman menahan tujuh anggota polis pelbagai pangkat yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah, pemerasan dan salah guna kuasa dalam operasi khas di beberapa daerah di negeri ini, Rabu lalu.
Katanya, daripada jumlah itu tiga yang ditahan adalah anggota polis marin, dua dari Ibu Pejabat Polis Kemaman dan dua lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak yang berada di negeri ini.

Mohd Shukri berkata, semua anggota yang ditahan diarah membuat ujian saringan air kencing supaya status mereka dipastikan sama ada positif dadah atau sebaliknya.

“Penahanan ini bertujuan membersihkan imej pasukan polis selain meningkatkan kepercayaan masyarakat tanpa memilih kedudukan dan pangkat,” katanya selepas perasmian Program Pencegahan Jenayah, Polis Bersama Masyarakat, di sini, semalam.

Perasmian majlis itu, yang pertama seumpamanya diadakan di negeri ini, disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Shukri berkata, operasi berkenaan dapat membersihkan jabatan daripada anggota yang terbabit dengan kegiatan salah laku serta memelihara integriti pasukan polis.

Beliau memberi jaminan tindakan serupa akan diteruskan dari semasa ke semasa jika ada laporan anggota polis melakukan kesalahan.

Sehingga ini, katanya, beliau belum pasti bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap tujuh anggota terbabit kerana masih dalam siasatan.

Harian Metro semalam melaporkan, beberapa anggota polis ditahan bersama penjawat awam dalam beberapa siri serbuan membabitkan Bahagian Tatatertib Bukit Aman di Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, mengulas kadar jenayah di negeri ini, beliau berkata, tahun lalu kadar jenayah menurun 11.28 peratus dan 54.3 peratus kes dapat diselesaikan.

Katanya, prestasi menggalakkan itu meletakkan Terengganu sebagai kontinjen polis terbaik di seluruh negara daripada aspek penurunan indeks dan penyelesaian kes jenayah.

“Prestasi mantap tahun lalu terus dapat dipertahankan apabila dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini indeks jenayah menurun 27.89 peratus dan 56.2 kes dapat diselesaikan berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daerah Besut mendahului senarai penurunan kadar jenayah sebanyak 31.8 peratus diikuti Kemaman 30.4 peratus, Marang 30 peratus, Kuala Terengganu 28.8 peratus, Setiu 26 peratus, Hulu Terengganu 25 peratus dan Dungun 19.1 peratus,” katanya.

Positif pil kuda

RANTAU PANJANG: Pasangan anak dan bapa saudara dari Kuala Berang, Terengganu antara 14 individu yang ditahan dalam satu operasi bersepadu membabitkan tiga agensi di sini, awal pagi semalam.
CEKUP… antara individu yang ditahan dalam operasi bersepadu di Rantau Panjang.
CEKUP… antara individu yang ditahan dalam operasi bersepadu di Rantau Panjang.
Difahamkan, mereka ditahan sebaik saja menyeberang masuk ke negara ini melalui Sungai Golok selepas berhibur di negara jiran dan ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dan Jabatan Imigresen.

Selain itu, seorang remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Kampung Parit, dekat sini, turut ditahan kerana membawa sebilah pisau tajam sepanjang kira-kira 12 sentimeter.

Melalui operasi bermula jam 12 tengah malam hingga jam 6.30 awal pagi semalam, kira-kira 14 individu ditahan, termasuk lima remaja yang cuba menyeberangi secara haram ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Mohamad Khalid Wahab, berkata semua yang ditahan dipercayai menyeberang masuk ke sini dan Thailand menggunakan laluan haram di pangkalan Syed Agil dan MCA, di sini.

Katanya, daripada 14 orang yang ditahan, tujuh didapati positif dadah manakala yang lain terbabit dalam kesalahan lain seperti Akta Imigresen dan membawa senjata berbahaya.

“Ini operasi kali pertama dilakukan pihak PGA7 bersama AADK dan Jabatan Imigresen, khususnya bagi menahan individu yang menyeberangi sempadan secara haram.

“Kita berharap pada masa depan operasi bersepadu seperti ini lebih kerap dilakukan bagi menyekat orang ramai menyeberangi sempadan sesuka hati, khususnya terbabit dalam kegiatan jenayah lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Khalid berkata, operasi dilakukan awal pagi semalam seakan-akan berjaya dihidu individu kerana kebanyakan mereka dikatakan enggan menyeberangi masuk ke sini semula kerana bimbang ditahan.

Hobi jenayah pelik

DI kalangan jiran, dia terkenal sebagai antara lelaki paling bersopan santun dan peramah, namun siapa sangka di sebalik sikap itu tersembunyi identiti penjenayah kejam yang paling digeruni.
Semua mangsanya iaitu gadis berusia antara lapan hingga 19 tahun diculik untuk jangka masa lama bagi memuaskan nafsu seksnya selain didera secara fizikal dan seksual.

Disebabkan jenayahnya, Dutroux mendapat jolokan sebagai ‘Belgian serial killer’ (pembunuh bersiri Belgium) berikutan kecenderungannya membunuh semua mangsa.

Kisah pembunuhan bersiri dilakukannya terbongkar pada 13 Ogos 1996 selepas ditahan dua anggota polis membabitkan satu kes kecurian sebuah kenderaan.

Bagaimanapun, siasatan polis terhadapnya menemui kejutan besar apabila mereka menemui ratusan video lucah yang diproses oleh Dutroux di kediamannya.

Lebih menggemparkan, antara koleksi video lucah berkenaan turut membabitkan aksi rogol dilakukan Dutroux terhadap enam gadis yang dilaporkan hilang oleh keluarga mereka.

Sekumpulan pakar forensik kemudian dipanggil untuk menyiasat keseluruhan kawasan rumah Dutroux dan hasilnya mereka menemui satu bilik bawah tanah yang digunakan untuk mengurung mangsanya.

Tiga hari menyiasat dan menggeledah seluruh kawasan kediaman Dutroux, pada 16 Ogos 1996, akhirnya pihak berkuasa Belgium menemui kejayaan besar apabila menemui enam tulang manusia ditanam di bawah lantai konkrit bilik bawah tanah tempat Dutroux mengurung mangsanya.

Penemuan itu berjaya menyelesaikan enam kes kehilangan gadis iaitu Julie Lejeune dan Melissa Russo, kedua-duanya berusia lapan tahun, yang diculik pada 24 Jun 1995, An Marchal dan Eefje Lambrecks, masing-masing berusia 19 tahun (22 Ogos 1995), Sabine Dardenne, 12, (28 Mei 1996) dan Laetita Delhez, 14, pada 9 Ogos 1996.

“Pendedahan ini memang memeranjatkan... kami tidak menyangka lelaki yang kami anggap baik sebenarnya manusia bertopengkan syaitan.

“Jika kami tahu dari awal lagi Dutroux adalah penjenayah kejam begini, sudah lama kami membakarnya bersama kediamannya,” kata jiran, Maria Knocwell, 58.

Sementara itu, soal siasat terhadap Dutroux mendapati semua gadis berkenaan diperangkap dengan bantuan penagih dadah, Michel Lelievre yang kemudian mati dibunuh olehnya.

Berdasarkan siasatan, Dutroux dikatakan menangkap semua mangsanya menggunakan van sewanya.

Bagi memudahkan ‘kerja’ jenayahnya, Dutroux mengurung mangsa di bilik bawah tanah bagi mengelak mereka melarikan diri.

Gadis remaja yang dikurung Dutroux bukan saja diseksa, malah dirogol berulang kali selain sengaja dibiarkan mati kebuluran.

Setiap kali merogol mangsanya, Dutroux merakam adegan berkenaan sebelum memprosesnya bagi dijual di pasaran gelap.

Hasil siasatan forensik terhadap mayat yang dijumpai mendapati semua mati akibat dibiarkan kebuluran selain mengalami pendarahan dalaman.

Dalam satu siasatan, Dutroux mengakui mensasarkan gadis remaja sebagai mangsanya berikutan permintaan tinggi terhadap video lucah membabitkan remaja.

“Saya kira ini sebagai satu tugas dan tanggungjawab bagi memenuhi permintaan orang ramai terhadap penghasilan video seks membabitkan kanak-kanak.

“Lagipun saya mengakui kesalahan menculik dan merogol, tapi membunuh mereka bukan kerja saya kerana mereka membiarkan diri mereka kelaparan hingga mati,” katanya.

Disebabkan kesalahan dilakukannya, Dutroux didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 100 tahun tanpa kebenaran untuk berada dalam pengawasan atau parol.
>Profil
NAMA: Marc Dutroux
USIA: 54 tahun
LAHIR: 6 November 1956 di Ixelles, Belgium
FAKTA KES: Didakwa melakukan enam pembunuhan dengan mensasarkan kanak-kanak serta remaja perempuan berusia antara lapan hingga 19 tahun sebagai mangsanya sekitar 1995 hingga 1996
STATUS KES: Dutroux ditahan pada 13 Ogos 1996 dan dijatuhkan hukuman penjara 100 tahun atas kesalahan pemilikan dan pengedaran video lucah, menculik, mendera, mencabul dan membunuh semua mangsanya.

Bawa masuk 34 ‘isteri palsu’

MANAMA: Seorang lelaki warga China kini dalam tahanan di Kuwait selepas ditangkap menggunakan sijil kahwin palsu untuk membawa masuk 34 wanita ke negara itu.
Hasil siasatan menunjukkan lelaki China itu mengemukakan 34 permohonan dengan menyertai kontrak kahwin palsu bagi setiap permohonan visa untuk membolehkan ‘isteri palsunya’ menetap di Kuwait selama tiga bulan.

Sebaik berada di negara itu, wanita berkenaan akan bekerja sebagai tukang urut atau melacur.

Lelaki itu mengaku menerima bayaran 1,500 dinar (RM15,000) daripada setiap wanita yang dibawa masuk. - Agensi

Presiden Poland maut

MOSCOW: Presiden Poland, Lech Kaczynski (gambar), isteri dan beberapa pemimpin tertinggi tentera serta awam negara itu terbunuh semalam bersama-sama puluhan penumpang lain apabila pesawat presiden itu terhempas ketika hendak mendarat dalam keadaan kabus tebal di barat Russia.
pix_middle

Pesawat berkenaan membawa Kaczynski, isteri dan kakitangannya ke majlis memperingati ulang tahun ke-70 pembunuhan beramai-ramai tentera Poland oleh askar Russia di Smolensk, barat Russia.

Ketua Turus Tentera, Jeneral Franciszek Gagor, Presiden Bank Kebangsaan Poland, Slawomir Skrzypek dan Timbalan Menteri Luar, a Andrzej Kremer turut berada dalam pesawat itu, kata Kementerian Luar Poland.

Ketua badan penyiasat Russia, Sergei Markin berkata, 132 orang berada dalam pesawat Tu-154. itu.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Poland berkata, terdapat 89 orang penumpang saja di dalamnya.

“Kami masih belum dapat memastikan punca tragedi ini. Belum pernah kemalangan sebegini berlaku di Poland,” kata jurucakap itu.
Gabenor wilayah Smolensk, Sergei Anufriev berkata, kejadian berlaku jam 11 pagi (3 petang waktu Malaysia).

Menurutnya, ramalan awal menunjukkan pesawat itu melanggar pokok sebelum terhempas dan terbakar.

Pesawat Tu-154 milik Presiden Poland itu berusia sekurang-kurangnya 20 tahun.

Pegawai Poland sudah sekian lama berbincang untuk menggantikannya tetapi rancangan itu terhalang kerana masalah kewangan.

Syarikat penerbangan Russia, Aeroflot baru-baru ini menghentikan penggunaan pesawat Tu-54. - AFP

Belaian lelaki jambu




Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN, SHAMRAN SARAHAN dan MURSHID EUNOS
metahad@hmetro.com.my
2010/04/11
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Ketika usaha pembanterasan banyak ditumpukan terhadap gadis urut yang menawarkan khidmat seks, ramai mungkin terlepas pandang terhadap ‘jejaka urut’ yang turut menyediakan khidmat serupa terhadap golongan sejenis yang bernafsu songsang.
JIJIK...pakej unik dan pelik.
JIJIK...pakej unik dan pelik.
Seorang pelanggan tetap sebuah pusat urut untuk golongan gay yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 30, mendedahkan kepada Metro Ahad, khidmat disediakan di premis yang sering dikunjunginya adalah pelbagai dan lebih ‘advanced’ daripada rumah urut biasa.

Menurutnya, kewujudan pusat urut gay bukan perkara baru dan ia juga bukan beroperasi secara sembunyi atau eksklusif, sebaliknya sesiapa saja boleh mengunjunginya dan mendapatkan maklumat mengenai khidmat ditawarkan.

“Tanya saja di kaunter dan pelanggan akan diberi penerangan pakej urut disediakan. Urut tradisional biasa memang ada, tetapi mereka akan mempromosi pakej yang namanya unik dan pelik.

“Sekurang-kurangnya tiga teknik disediakan. Ada ‘king massage’ yang menyediakan dua tukang urut sekali gus, badan ke badan, urut tanpa seurat benang dan semua pakej itu boleh diselitkan dengan khidmat urut menggunakan lidah dengan bayaran tambahan,” katanya.

Daniel berkata, pemilihan satu daripada pakej berkenaan jika disertakan dengan urutan menggunakan lidah memang ‘berbisa’.

“Biasanya saya memilih pakej ‘king massage’ dengan bayaran RM150 sejam. Untuk pakej ini ‘macam-macam’ boleh dilakukan, termasuk teknik ‘lidah berbisa’.

“Minta saja pada tukang urut dan bayar lebih sedikit antara RM50 hingga RM70, saya mendapat khidmat berkenaan. Bukan saja jilat, nak suruh gigit pun boleh. Semuanya sekadar mahu memuaskan nafsu,” katanya selamba sambil mengakui pernah juga mencuba teknik badan ke badan dan urut tanpa seurat benang.

Seorang lagi kaki urut gay mengatakan, bukan seorang atau dua tukang urut tetapi tidak kurang 10 tukang urut ‘jejaka jambu’ bersedia memberi perkhidmatan pelik dan di luar imaginasi di sebuah pusat urut di sini.

“Sepanjang dua tahun saya buat kerja ini (melanggan tukang urut gay), semua boleh buat. Ini kerana tukang urut itu juga bernafsu songsang macam kami dan mereka mementingkan wang,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 28.

Menurut Zack, dia turut menggemari pakej urutan yang disertakan dengan urut menggunakan lidah, namun tidak mahu menceritakan lebih lanjut kerana tidak manis dibicarakan secara terbuka.

“Faham-faham sajalah,” katanya.

Dia turut memberitahu, sekurang-kurangnya tiga pusat urut gay terkenal di Kuala Lumpur menyediakan khidmat itu.

“Pusat urut gay tidak seperti pusat urut biasa. Tukang urut dipilih menerusi album atau gambar disusun di dinding. Beritahu mana yang berkenan pada penjaga kaunter. Kebanyakan tukang urut disediakan berwajah ‘jambu’,” katanya.

Berdasarkan maklumat diberi Daniel dan Zack, wartawan Metro Ahad berkunjung ke tiga pusat urut yang sering dikunjungi dua lelaki ‘songsang’ itu dan seperti dimaklumkan dan terbukti, khidmat seperti ‘king massage’, badan ke badan, urut tanpa seurat benang, malah urut menggunakan lidah, memang ditawarkan.

“Kalau ambil pakej ‘king massage’, apabila di dalam bilik, terpulang antara awak dengan tukang urut. Urutan ini memang ada ekstra... terpulang, sama ada nak suruh urut pakai lidah pun boleh.

“Sama juga dengan urut badan ke badan, urut tanpa seurat benang... bayar lebih boleh urut dengan lidah. Budak-budak itu (tukang urut) memang biasa beri khidmat itu,” kata penjaga kaunter sebuah pusat urut gay.

Kunjungan ke dua lagi pusat urut turut mendapat reaksi sama, cuma kaedah memperkenalkan tukang urut berbeza. Ada yang meletakkan gambar tukang urut di album dan ada yang digantung di dinding.

Memualkan apabila ‘lelaki jambu’ yang ditawarkan bergambar dalam keadaan tidak berbaju, kononnya seksi.

Reman 3 pekerja disambung



KUALA LUMPUR 10 April - Tahanan reman terhadap tiga orang pekerja syarikat keselamatan bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan karung mengandungi wang berjumlah RM254,000 di sebuah bank dekat Rawang pada 6 April lepas, disambung tiga hari lagi.

Empat terbunuh helikopter tertimbus salji



11/04/2010 3:12am

MOSCOW 11 April - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang pelancong terbunuh apabila sebuah helikopter yang membawa pelancong Jerman tertimbus dalam runtuhan salji di pergunungan wilayah Kamchatka, kata pegawai kecemasan Rusia.
Jurucakap Kementerian Kecemasan, Natlia Lukash berkata, helikopter jenis Mi-8 bersama 18 penumpang di dalamnya sedang mendarat ketika runtuhan salji berlaku semalam.
Lapan mangsa dapat diselamatkan selepas ditarik keluar dari runtuhan salji manakala enam lagi masih hilang. Jumlah pelancong yang terselamat atau hilang tidak dapat dipastikan.

Semenanjung Kamchatka terkenal dalam kalangan pelancong kerana keindahan gunung berapi dan lereng kecuraman pergunungan yang diliputi salji. - AP

Jurugambar Reuters terbunuh dalam rusuhan di Bangkok



11/04/2010 3:12am

BANGKOK 11 April - Hiro Muramoto, jurugambar agensi berita Reuters dari Jepun terbunuh akibat terkena tembakan ketika berlaku rusuhan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di tengah Bangkok semalam, lapor media.
David Schlesinger, Ketua Pengarang Reuters yang memetik kenyataan pengarah hospital di mana mangsa ditempatkan berkata, peluru yang menusuk dada Muramoto terkeluar di bahagian belakangnya.
“Kematian Muramoto dalam rusuhan yang berlaku di ibu kota Bangkok benar-benar mengejutkan dan menyedihkan seluruh warga di Reuters,” katanya dalam satu kenyataan.

Muramoto antara mangsa dalam rusuhan penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah yang bertempur dengan pasukan keselamatan dengan jumlah kematian kini telah meningkat kepada 15 orang.
Mereka yang terbunuh termasuklah 11 orang awam dan empat pasukan keselamatan.
Manakala lebih 680 orang lagi cedera terkena tembakan peluru getah dan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan dalam usaha menangani rusuhan politik terburuk Thailand sejak tahun 1992.
Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa, tetapi enggan tunduk kepada tekanan penunjuk perasaan yang mahu beliau meletakkan jawatan.

“Saya dan kerajaan yang dilantik akan terus berusaha menangani masalah yang berlaku,” katanya dalam televisyen yang disiarkan ke seluruh negara.
“Sekarang tentera telah menghentikan operasi dan kumpulan penunjuk perasaan mesti segera berundur dari kawasan yang mereka duduki,” katanya. - AFP

Kecewa insiden pecah rumah




Sudahlah jatuh tangga, kini ditimpa tangga pula. Itulah yang dialami keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau Din Beramboi apabila kediaman mereka di Taman Sentosa, Sungai Buaya, Kuala Kubu Baru dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab. 

Kejadian pada Ahad malam lalu mengejutkan ramai pihak kerana di saat keluarga arwah masih bersedih atas kehilangannya, ada pula manusia durjana sanggup mengambil kesempatan. 

Difahamkan, pencuri itu berjaya melarikan barangan bernilai kira-kira RM20,000, termasuk barangan peribadi Allahyarham seperti komputer riba dan lima jam berjenama. 

Walaupun malang menimpa, isteri Allahyarham, Suhaini Che Man, 42, menganggapnya sebagai petunjuk Allah agar dia dan anak-anaknya berpindah dari rumah itu. 

“Kejadian itu berlaku selepas tiga hari majlis tahlil dibuat dan itulah petunjuk daripada Allah agar kami sekeluarga berpindah dari situ.

"Sebenarnya, memang sejak dulu lagi arwah memang tak suka saya dan anak-anak tinggal di situ kerana kawasan itu agak berbahaya dan ramai budak-budak nakal," kata Suhaini ketika dihubungi baru-baru ini. 

Katanya, sebelum ini, setiap kali arwah ada kerja luar, dia sanggup mengupah orang untuk menjaga isteri dan anak-anaknya. 

"Dia memang sangat pentingkan keselamatan keluarga dan selalu risaukan anak-anak kalau dia tak ada, malah selalu suruh saya pindah dari situ, tapi saya memang berat hati sebab sayang nak tinggalkan rumah itu. 

“Tapi bila benda ni dah jadi, saya bertekad nak pindah dan saya dah pun buat keputusan untuk tinggal di rumah emak di Taman Ehsan, Kepong kerana saya nak sentiasa berada dekat dengannya, kerana di sinilah arwah disemadikan,” kata Suhaini.

Dua lelaki ditahan polis kerana gurauan bom


MIRI - Dua lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun ditahan polis kerana mencemaskan orang ramai dengan mendakwa membawa bom di sebuah kompleks membeli-belah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaludin Ibrahim berkata, walaupun polis tidak menjumpai sebarang alat menyerupai bahan letupan di dalam beg yang dibawa mereka, polis tetap menahan kedua-dua lelaki itu bagi siasatan lanjut.

"Kami menyiasat mereka kerana melakukan ugutan jenayah. Walaupun siasatan awal kami mendapati suspek hanya begurau, perbuatan mereka itu telah menimbulkan rasa takut pada kalangan orang ramai di kompleks berkenaan," katanya.

Beliau berkata, seorang pengawal keselamatan di kompleks beli-belah itu menghubungi polis pada kira-kira pukul 10 pagi dan memaklumkan bahawa mereka telah menahan dua lelaki yang mendakwa membawa bom di dalam sebuah beg.

Jamaludin yang mengetuai sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan merampas beg itu yang diletakkan lelaki berkenaan di atas lantai berhampiran sebatang tiang di lobi pusat beli-belah tersebut.

Setelah membuat pemeriksaan, polis hanya menemui beberapa helai pakaian dan satu pengecas bateri telefon bimbit di dalam beg itu. - Bernama

Tuan Muda Pahang palsu perdaya orang kenamaan ditahan



KUANTAN - Seorang remaja ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes penyamaran sebagai "Tuan Muda Pahang", kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha.

Beliau berkata, remaja berusia 17 tahun itu yang disifatkan polis sebagai "budak pintar" ditahan semalam setelah polis menerima aduan daripada Istana Pahang.

Katanya, suspek memperdaya seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Sepucuk surat rasmi palsu Tengku Puan Pahang yang direka telah dihantar ke Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating untuk memaklumkan bahawa suspek akan mengadakan lawatan ke kem berkenaan," kata Zulkifli kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, berikutan surat berkenaan, Ketua Pengarah JLKN datang ke Pahang untuk mengiringi suspek melawat kem itu.

Pada Isnin lepas, suspek telah menunggu ketibaan Ketua Pengarah berkenaan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah sebelum bergerak ke Kem Cahaya Gemilang di Cherating.

Zulkifli berkata, pada lawatan ke Kem PLKN Cahaya Gemilang, suspek turut memakai baju PLKN dengan tertera nama "Tuan Muda" dan dia juga menjalankan satu acara pengurniaan pingat kepada peserta-peserta PLKN.

Menurutnya, pada pertengahan bulan lepas beliau berkata, suspek telah melakukan lawatan ke rumah Orang Kelainan Upaya berhampiran Kem PLKN Kampung Hijrah yang turut dihadiri seorang Ahli Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Katanya, suspek yang berasal dari Bera itu telah ditahan di rumah saudaranya di Pekan semalam.

Polis menahan reman suspek sehingga Selasa depan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.