Search This Blog

Saturday, April 10, 2010

Kasih sampai ajal



Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my
2010/04/03
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUANTAN: “Arwah ayah pernah bergurau dia akan ikut sama jika emak ‘pergi’ dulu, namun saya tidak menyangka gurauannya itu menjadi kenyataan apabila mereka ditemui mati bersama dalam keadaan berpelukan,” kata Suriati Musa, 23, anak bongsu pasangan warga emas yang ditemui mati di dapur rumah mereka di Kampung Peramu di sini, semalam.
SEDIH...Suriati (kiri) bersama kakaknya di rumah ibu bapa mereka, semalam.
SEDIH...Suriati (kiri) bersama kakaknya di rumah ibu bapa mereka, semalam.
Mayat pasangan romantik hingga akhir hayat itu, Musa Daud, 64, dan Aminah Ngah, 65, dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam ketika ditemui dalam keadaan berpelukan dan sudah berbau.
Sebelum ditemui, Allahyarham Musa dipercayai cuba mengangkat isterinya yang lumpuh untuk dimandikan.

Kejadian itu hanya disedari Suriati ketika mahu menziarahi ibu bapanya kira-kira jam 3 petang semalam.

Menurut Suriati, ibu bapanya duduk berdua di rumah berkenaan berikutan dia dan adik-beradiknya tinggal berjauhan, namun dia sering menziarahi mereka setiap minggu.

“Sebaik tiba hari ini (semalam), saya dapati rumah senyap sunyi manakala semua pintu dan tingkap tertutup rapat dan berkunci,” katanya ketika ditemui.
Berikutan itu, Suriati cuba memanggil bapanya, namun tiada jawapan menyebabkan dia curiga sebelum meminta bantuan seorang jiran untuk masuk ke dalam rumah melalui tingkap.

“Kali terakhir saya menziarahi arwah ayah dan emak pada Khamis lalu dan ketika itu ayah merungut sakit pinggang,” katanya yang sudah berkahwin dan tinggal di Kampung Kempadang.

“Saya percaya mereka mungkin mati akibat terjatuh ketika ayah cuba mengangkat emak untuk memandikannya kerana selama ini ayah yang menguruskan emak yang lumpuh akibat serangan angin ahmar, lebih setahun lalu.


“Arwah ayah dan emak memang pasangan bahagia terutama ayah yang sering bergurau menyebabkan saya tak mengesyaki apa-apa ketika dia memberitahu mahu ‘pergi’ bersama andai emak meninggal dunia,” katanya.

Suriati berkata, dia tidak menyangka gurauan bapanya itu benar-benar menjadi kenyataan, tetapi tetap reda dengan kejadian itu.

Jenazah pasangan itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, berkata polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang dan siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.

“Setakat ini, kami mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan menolak sebarang unsur jenayah, namun siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kematian pasangan itu.

“Yang pasti tiada kesan rumah berkenaan dipecah masuk atau kecederaan pada badan mereka,” katanya.

Pemandu asyik SMS

BANDAR BAHARU (KEDAH): “Pemandu itu asyik hantar SMS walaupun sedang memandu laju menyebabkan bas bergerak ke kiri dan ke kanan.



REMUK...Sabarudin menunjukkan keadaan bas yang remuk.


REMUK...Sabarudin menunjukkan keadaan bas yang remuk.


MAUT...anggota bomba dan penyelamat mengusung mayat V Ponnamal (gambar) yang maut dalam kemalangan itu.


MAUT...anggota bomba dan penyelamat mengusung mayat V Ponnamal (gambar) yang maut dalam kemalangan itu.


“Sebaik sampai berhampiran simpang Bandar Baharu, dia tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan bas terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dalam longkang,” kata Aidi Efendey Abdul Razak, 30, seorang daripada 18

penumpang bas ekspres yang terbabas di Kilometer 168.8 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi, seorang wanita maut manakala 12 penumpang lain cedera termasuk dua parah. Penumpang yang terbunuh dikenali sebagai V Ponnamal, 56, manakala penumpang yang cedera dirawat di Hospital Parit Buntar.


Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah.

Aidi Efendey berkata, dia berasa tidak sedap hati sejak bas berkenaan tiba di Sungai Buloh lagi sebaik melihat gelagat pemandunya, selain ragu-ragu kerana tiada pemandu kedua.


“Apabila saya bertanyakan pemandu kedua, dia kata tak ada kerana hanya dia seorang memandu dari Kuala Lumpur ke Butterworth,” katanya yang tinggal di Guar Perahu, Bukit Mertajam.
Katanya, dia nampak pemandu terbabit asyik membelek telefon bimbit sebelum kemalangan berlaku.


Menurutnya, selepas berhenti mengambil lima lagi penumpang di Simpang Pulai, Perak, pemandu terbabit meneruskan perjalanan sambil menghantar SMS.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan ada penumpang tersepit di bawah bas dan parah di kepala selain ada yang tercampak keluar melalui tingkap.


Aidi Efendey yang cedera di tangan serta kaki terpaksa merangkak keluar melalui pintu hadapan.

“Saya hanya mampu melihat penumpang lain minta tolong kerana saya sendiri menahan kesakitan berikutan kaki terseliuh.

“Kira-kira lima minit selepas kejadian, orang ramai muncul dan membantu mangsa. Mangsa yang tersepit hanya dapat dikeluarkan selepas anggota bomba tiba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Bandar Baharu, Cif Inspektor Sabarudin Salleh, berkata sebelum kejadian, pemandu bas berkenaan disaman polis dalam satu operasi kerana memandu melebihi had laju di Kilometer 327 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah kira-kira jam 10.39 malam.

“Bas berkenaan dipercayai dipandu laju hingga gagal dikawal sebelum terbabas dan kebanyakan mangsa yang parah dipercayai akibat hentakan kuat selain terkena serpihan cermin yang pecah.

“Polis menerima maklumat kira-kira jam 1.15 pagi dan siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain.

“Bas berkenaan bertolak pada jam 8.30 malam di Hentian Puduraya dan dipercayai berhenti beberapa kali, sebelum pemandu bas terbabit disaman dalam satu operasi polis di Tapah,” katanya.

Sabarudin berkata, sehingga kini pemandu terbabit masih tidak hadir untuk membuat laporan polis.

Katanya, pemandu bas yang dipercayai berusia 34 tahun dan tinggal di Bagan Jermal, Butterworth, itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Kita akan keluarkan waran tangkap jika pemandu terbabit gagal melaporkan diri kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini lima laporan polis dibuat penumpang yang terb

Pemain bola gian pil kuda

KUALA TERENGGANU: Seorang pemain bola sepak Terengganu diberkas kerana disyaki mengambil dadah bersama seorang anggota polis dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Tok Lam, di sini.
Serbuan dilakukan minggu lalu selepas polis menerima maklumat orang ramai dan saringan awal mendapati pemain yang sering beraksi di bahagian pertahanan skuad Penyu itu positif dadah jenis pil kuda apabila ujian dilakukan sebaik dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini.
Pemain berkenaan sudah dibebaskan, namun nasibnya dalam pasukan negeri hanya akan ditentukan selepas keputusan ujian air kencing kedua diperoleh.

Pengurus Pasukan Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin, berkata nasib pemain berkenaan hanya akan diketahui selepas ujian itu diperoleh kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan pemain yang gagal ujian dadah beraksi dalam liga kelolaannya.

“Saya difahamkan dia ditahan ketika rakan sepasukannya di Alor Star, Kedah, untuk persiapan menentang Kedah dalam separuh akhir Piala FA pusingan kedua di sana dan dia tidak mengikuti rombongan...saya hanya mengetahui mengenai perkara ini selepas dia ditahan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut status pemain yang sering mengisi kerusi simpanan, sebaliknya memberitahu segala-galanya bergantung kepada hasil ujian saringan air kencing dalam tempoh tiga bulan lagi.
Difahamkan, pemain berusia 20-an itu antara beberapa individu termasuk penjawat awam yang ditahan berikutan kesalahan berkaitan dadah di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, aktiviti berkaitan dadah di Terengganu umpama tiada kesudahan apabila seorang pegawai kanan polis menerima dua butir peluru sebagai simbolik ugutan dipercayai ekoran kekerapan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di negeri itu.

Bagaimanapun, nota yang disertakan bersama peluru itu tidak ditujukan kepada pegawai berkenaan sebaliknya lebih menjurus kepada ‘anak buah’ pegawai terbabit yang berlagak seperti penyamun berpakaian seragam.

Setakat ini, polis mengesyaki ia dihantar sindiket atau individu tertentu yang tidak puas hati dengan pihak berkuasa berkenaan, namun pada masa sama, pasukan keselamatan itu sedang menjalankan operasi menyeluruh terhadap kegiatan pengedaran dan penagihan dadah yang turut membabitkan penahanan beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berikutan ancaman itu, semua anggota polis terutama yang terbabit dalam operasi mula membawa bersama senjata api ketika atau selepas waktu bertugas bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Difahamkan, walaupun motif ugutan masih samar dan polis menjalankan siasatan mengenainya, pihak berkuasa itu kini berusaha membersihkan negeri berkenaan serta seluruh kontinjen daripada sebarang salah laku di kalangan anggotanya.

Apa yang pasti, setakat ini, enam anggota polis diberkas kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan, selain seorang pemain bola sepak negeri dan seorang anggota bomba di negeri ini.

Mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah, memiliki dadah dan melakukan peras ugut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri ketika dihubungi berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) membuka satu fail siasatan membabitkan seorang anggota polis kerana melakukan peras ugut terhadap dua individu.

“Laporan mengenai kes itu diterima di Balai Polis Batu Rakit dan itu saja yang dapat saya katakan kerana ia di bawah kendalian JSJ, hanya itu yang kita siasat,” katanya enggan mengulas lanjut.

Harian Metro difahamkan, penahanan anggota itu dilakukan selepas dia bersama dua lagi rakannya dipercayai orang awam pergi ke sebuah rumah di Wakaf Tengah, dekat sini, kira-kira jam 9.30 malam minggu lalu dan menggeledah rumah berkenaan kononnya mencari pil kuda.

Bagaimanapun, tiada barangan ditemui sebelum mereka meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai sebelum mengarahkan mangsa ke Jambatan Sultan Mahmud di sini, Khamis lalu untuk menyelesaikan kes sebelum mangsa membuat laporan.

Ekoran laporan itu, polis menahan semua individu disyaki dan mendapati seorang daripada mereka adalah anggota dari Balai Polis Chendering, di sini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang anggota polis wanita (WPC) dari Balai Polis Gong Badak, di sini, turut ditahan selepas ujian saringan awal air kencing terhadapnya didapati positif dadah, namun dia sudah dibebaskan sementara menunggu ujian patalogi selesai.

Penahanan itu dibuat selepas seorang anggota polis ditahan dalam bilik sebuah hotel bersama seorang pemain bola sepak negeri berkenaan.

Selain individu berkenaan, polis menahan tiga lagi anggota pasukan keselamatan sama kerana memiliki dadah dan pihak berkuasa itu melalui Cawangan Tata Tertib sedang meningkatkan pengawasan terutama membabitkan penyalahgunaan dadah di kalangan anggotanya dengan melakukan ujian air kencing secara mengejut.

Bergelut di laman rumah

KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti filem aksi, dua peragut bersenjatakan parang panjang nekad menyerang seorang wanita warga emas selepas melompat pagar dan menyerang mangsa di halaman rumahnya sendiri.
Malah, seorang daripada peragut terbabit dipercayai sudah mengekori mangsa yang sebelum itu berjoging di taman permainan tidak jauh dari kediamannya di Jalan Ipoh di sini, kelmarin.
Aksi nekad kedua-dua penjenayah terbabit ketika menyamun wanita berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, mangsa, Rose Mary Joseph, 63, pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa, namun mula berasa curiga apabila mendapati kedua-dua lelaki bermotosikal terbabit berulang kali mengelilingi kawasan perumahan itu.

Tanggapan mangsa nyata tepat apabila kedua-dua penjenayah itu mengekorinya sehingga ke halaman rumah.

Jurucakap polis berkata, selepas menyedari lelaki terbabit mengancam keselamatan dirinya dan mula bertindak ganas, mangsa terus meluru ke perkarangan rumahnya.

“Sebaik tiba di luar pagar rumah, pembantu rumah mangsa sedang menyidai pakaian di ampaian, namun mangsa yang ketakutan memanjat pagar untuk memasuki halaman rumahnya dengan harapan tidak sempat diapa-apakan peragut terbabit.
“Bagaimanapun, sangkaannya meleset apabila seorang daripada peragut terbabit yang memakai topi keledar terus mengejar dan turut memanjat pagar memasuki kediamannya,” katanya.

Beliau berkata, penjenayah yang bersenjatakan parang kemudian mengacukan senjata itu ke arah mangsa sebelum mengarahkannya menyerahkan barangan berharga dimiliki dan pada masa sama, rakan suspek yang menunggang motosikal menunggu di luar pagar kediaman berkenaan dengan lengkap bertopi keledar.

Difahamkan, pembantu rumah mangsa meluru masuk ke rumah dan menguncinya dari dalam, sebaik melihat majikannya diserang peragut terbabit, dipercayai kerana terlalu takut.


“Mangsa hanya mampu menyerahkan barangan berharga dimilikinya selain merayu agar tidak diapa-apakan penjenayah yang bertindak rakus menyamunnya dengan bersenjatakan parang panjang.

“Ekoran kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM4,000 termasuk dua rantai leher, dua gelang tangan dan rantai kaki,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang, semalam berhubung kejadian berkenaan dan keterangannya sudah diambil pegawai penyiasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, yang mengunjungi Balai Berita, di sini malam tadi, untuk menyertai perlawanan futsal persahabatan antara Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul dengan wartawan Harian Metro, mengesahkan kejadian berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak memakai barang kemas atau membawa wang dalam jumlah yang banyak ketika berjoging atau melakukan aktiviti luar bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran peragut atau penyamun,” katanya

Bayar RM33j supaya diam diri

FLORIDA: Tiger Woods membayar kekasih gelap nombor satunya, Rachel Uchitel sebanyak AS$10 juta (RM33 juta) supaya tidak mendedahkan kisah skandal mereka.
Laporan sebelum ini mendakwa, Woods hanya membayar AS$3 juta kepada Rachel.
Akhbar hiburan Internet, TMZ memetik satu sumber yang berkata: “Woods begitu bimbang mengenai butiran terperinci yang mungkin didedahkan oleh Rachel dan menawarkan AS$10 juta supaya dia berdiam diri.

“Beberapa wanita lain yang terbabit dalam skandal seks dengan bintang golf itu pula menerima bayaran beberapa ratus ribu dolar dan ada yang tidak mendapat apa-apa.

“Ia menggambarkan betapa banyak yang diketahui Rachel mengenai kecurangan Woods.” Jumlah bayaran itu terbongkar ketika seorang lagi wanita simpanan Woods, bintang porno, Devon James memberitahu sebuah radio Australia, lebih ramai wanita dijangka muncul untuk mendedahkan hubungan seks mereka dengan Woods.

Devon sebelum ini mendakwa melakukan seks dengan Woods serentak dengan seorang wanita lain ketika isteri bintang golf itu, Elin Nordegren hamil anak pertama.
Menjelang kemunculan semula Woods dalam kejohanan Masters, pendedahan Devon itu mengingatkan jaguh golf terbabit bahawa skandal yang menjejaskan karier dan rumah tangganya masih belum berakhir. - Agensi

Sekolah sisih tiga beradik



Oleh Irma Ernany Mohd
am@hmetro.com.my
2010/04/10
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ALOR STAR: Baru empat hari bersekolah, nasib tiga beradik yang kematian ibu akibat barah dan ditinggalkan bapa tanpa berita kini terumbang-ambing selepas mendakwa menerima tekanan di sekolah baru mereka.
Mohd Redzuan Fikri Abdul Razak, 14, Mohd Aiman, 13, dan Mohd Khuzaimi, 11, dari Kampung Alor Pulai, Kuala Kangkung dekat sini mendakwa tidak dibenarkan tidur di asrama, sebaliknya ditempatkan di bilik rawatan Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang sepanjang empat hari di sana.
Malah, mereka juga tidak dibenarkan masuk ke kelas bersama pelajar lain dan hanya berada di anjung bangunan sepanjang waktu persekolahan untuk menjalani pelbagai ujian bertulis dan mengira selain disisihkan rakan sebaya.

Tertekan dengan keadaan itu, tiga beradik berkenaan nekad melarikan diri melalui pintu belakang sekolah dan merentasi kebun getah sejauh empat kilometer sebelum ditemui seorang guru sekolah berkenaan yang menyedari kehilangan mereka.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Zuraidi Rahim, berkata beliau menerima maklumat berkenaan melalui ibu bapa pelajar sekolah itu yang menghadiri majlis anugerah sekolah berkenaan, baru-baru ini.

“Ada ibu bapa pelajar menghubungi saya kerana melihat pihak sekolah meletakkan papan tanda mengatakan mereka tidak akan berurusan dengan GPMS.
“Kami dimaklumkan tiga beradik ini mengalami masalah dengan pihak sekolah sehingga mengalami tekanan dan melarikan diri lebih seminggu lalu,” katanya ketika ditemui di rumah tiga beradik berkenaan di sini, semalam.

Katanya, tiga beradik berkenaan didaftarkan di sekolah itu pada 31 Mac lalu atas arahan Jabatan Pelajaran Kedah selepas pihaknya berbincang untuk menempatkan ketiga-tiganya ke sekolah selepas lebih setahun tercicir dalam pelajaran.

“Kami kesal dengan tindakan pengetua sekolah berkenaan yang seolah-olah cuba memburukkan GPMS dengan meletakkan papan tanda di pagar sekolah pada Hari Anugerah Cemerlang yang dihadiri ibu bapa pelajar,” katanya.“Sudahlah tiga beradik malang ini diperlakukan sedemikian, pihak sekolah pula cuba memburukkan nama kami,” katanya. Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab memastikan anak bangsa yang tercicir dalam pelajaran kembali menimba ilmu di landasan betul.

“Segala keputusan dibuat bukan di bawah GPMS saja malah dengan arahan jabatan yang mengarahkan tiga beradik ini ditempatkan di sekolah berkenaan. “Jika beginilah sikap pengetua berkenaan, kami berharap pihak yang berwajib membuka mata dan menilai sendiri sikapnya,” katanya.

Katanya, nasib tiga beradik berkenaan akan dirujuk semula ke Jabatan Pelajaran Kedah untuk ditempatkan di sekolah baru.

kerana mereka masih mahu belajar walaupun pernah tercicir akibat kemiskinan.

Sementara itu, Mohd Aiman yang ditemui berkata, ketika berada di sekolah, dia serta dua adik-beradiknya diberikan pelbagai jenis ujian, ada kalanya sehingga lima kali sehari menyebabkan mereka tertekan.

“Selepas tamat waktu persekolahan, kami ditinggalkan di bilik rawatan dan tidak ditempatkan di asrama bersama rakan lain dan saya sedih kerana disisihkan. “Guru pula memberitahu sekolah ini hanya untuk pelajar pandai dan kami tidak layak berada di situ,” katanya

Pelajar pertahan guru dipukul



Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/10
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SHAH ALAM: “Ketika kejadian, saya baru tiba di sekolah dan tengok lelaki itu pukul seorang pelajar dengan topi keledar. Bunyi pukulan sangat kuat, malah ketika itu keadaan di sekolah kecoh,” kata seorang pelajar yang hanya dikenali sebagai Mohd Hakimi, 15, menceritakan insiden serangan dua samseng di sebuah sekolah menengah di Seksyen 27 di sini, pagi semalam.
Pelajar tingkatan empat itu dibelasah ketika dia cuba menyelamatkan seorang guru wanita yang diserang dua samseng dipercayai bekas pelajar sekolah sama.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, pelajar berkenaan cedera ringan di kepala dan muka akibat dipukul dengan topi keledar oleh samseng terbabit yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Kedua-dua suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu ditahan beberapa jam kemudian di sebuah pangsapuri di Subang Jaya dekat sini, dalam gerakan memburu mereka yang dilancarkan polis sejurus menerima laporan daripada pelajar dan guru terbabit.

Mohd Hakimi berkata, kejadian berlaku dengan pantas ketika dia dan pelajar lain sedang menuju ke kelas bagi memulakan pembelajaran.

Sementara itu, pengawal keselamatan sekolah itu yang hanya dikenali sebagai Muflih berkata, dia membenarkan kedua-dua lelaki itu memasuki kawasan sekolah selepas meminta kebenaran berjumpa sepupu seorang daripada mereka.
“Tapi, saya rasa tak sedap hati kerana cara mereka bercakap seolah-olah berada dalam keadaan mabuk.

“Telahan saya tepat apabila beberapa minit kemudian terdengar bunyi kecoh sebelum saya lihat mereka berlari keluar dan menaiki motosikal meninggalkan kawasan sekolah,” katanya yang berjaya mencatat nombor pendaftaran motosikal terbabit sebelum menyerahkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, kedua-dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun itu datang ke sekolah berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal. Menurutnya, sejurus kemudian, seorang guru wanita menghampiri kedua-dua lelaki itu dan meminta menunggu di sebuah bilik, tetapi mereka enggan mematuhi arahan itu sebaliknya menghamburkan kata-kata kesat dan lucah terhadap guru itu.“Kejadian itu disedari tiga pelajar lelaki tingkatan empat yang kemudian cuba membantu guru mereka dengan meminta samseng terbabit tidak membuat kecoh serta memaki guru berkenaan. Bagaimanapun, suspek menolak seorang daripada pelajar sambil menghayun topi keledarnya menyebabkan pelajar terbabit rebah dan lebam di muka.

“Kedua-dua suspek melarikan diri apabila menyedari beberapa guru dan pelajar lain bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Difahamkan, pengawal keselamatan dan beberapa pelajar yang menyaksikan kejadian itu cuba menahan suspek, namun mereka dapat meloloskan diri.

Noor Azam berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam melancarkan operasi mengesan kedua-dua suspek sebelum mereka diberkas kira-kira jam 12 tengah hari di sekitar Subang Jaya.

“Kami berterima kasih kepada pihak sekolah yang bertindak pantas melaporkan kejadian ini sehingga kedua-dua suspek dapat ditahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan manakala guru wanita berkenaan tidak cedera.

“Punca serangan masih disiasat,” katany

Warga asing bolot tapak pasar





2010/04/10
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PETALING JAYA: “Masalah sama sejak bertahun-tahun, tapi tak pernah ada jalan penyelesaian,” luah peniaga, Mohd Yusof Muslim, 50, mengenai isu pemilikan gerai perniagaan di Pasar Besar Jalan Othman di sini, yang didominasi peniaga warga asing sejak beberapa tahun lalu.
“Kami sudah buat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) beberapa kali dan tindakan sudah diambil, tetapi selang beberapa hari, masalah sama berulang kembali,” katanya.
Menurutnya, 80 peratus daripada peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, India, Myanmar, China dan Indonesia. “Bukan kita menafikan hak orang lain mencari rezeki, kita cuma mahukan keadilan, terutama kepada peniaga tempatan.

“Bayangkan pekerja warga asing ini boleh duduk di gerai mereka selama berjam-jam tanpa rehat, macam mana kita nak bersaing dengan cara mereka berniaga, kita pun ada tanggungjawab lain,” katanya yang sudah 22 tahun menjual sayur di pasar itu.

Menurutnya, ada juga penguat kuasa MBPJ membuat pemeriksaan, tetapi warga asing yang bekerja di situ segera menghubungi pemilik gerai untuk datang dan mengaku sebagai pemilik gerai.

“Kadangkala pemilik sebenar pun turut bersubahat,” katanya dengan nada kesal. Menurutnya lagi, masalah terbaru di pasar itu membabitkan kemunculan warga asing dari China yang menjual ubat-ubatan dan barangan aksesori kecantikan tanpa permit.
“Kalau nak diikutkan, banyak lagi masalah dan isu yang belum selesai di pasar ini. Saya merayu penguat kuasa MBPJ membuat pemantauan serius dan mengambil tindakan terutama terhadap pemilik asal yang menyewakan gerai mereka,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati hampir semua gerai di pasar itu dijaga warga asing. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya akan meneliti aduan yang dibuat peniaga di pasar itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Memey telefon abang kandung Norman pukul 2.30 pagi



Norman Hakim dan Memey Suhaiza.


KUALA LUMPUR 9 April - Abang kandung pelakon Norman Hakim memberitahu, Memey Suhaiza menelefonnya pada awal pagi 30 Oktober 2008, bagi meminta tolong setelah mendengar bunyi bising seperti orang hendak memecah masuk ke pejabat mereka.
Mohamed Saufi Zaidon, 46, berkata, sebaik sahaja menerima panggilan telefon pada pukul 2.30 pagi, dia yang terjaga daripada tidur terus bergegas dari rumahnya ke pejabat Mdh Global Network Sdn. Bhd. di Ukay Perdana.
Setibanya di situ, katanya, tiga penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berada di hadapan pintu pejabat dan hampir hendak memotong mangga kunci jeriji besi dengan menggunakan pemotong besi.
Mohamed Saufi berkata demikian pada perbicaraan kes khalwat Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini.
Norman dan Memey dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.
Terdahulu, Mohamed Saufi memberitahu, pada hari kejadian, dia bersama Norman, Memey, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Amiruddin Razak dan seorang lagi bernama Natalia mengadakan perbincangan di pejabat itu sehingga pukul 12.30 tengah malam.
Dia yang bekerja di syarikat tersebut mendakwa, Memey ialah rakan sepejabat yang telah dua tahun dikenalinya.
Menceritakan lebih lanjut kejadian itu, Mohamed Saufi berkata, selepas dia membuka kunci pintu, enam penguat kuasa JAIS masuk ke dalam pejabat manakala seorang anggota polis menunggu di luar pintu.
Semasa pegawai terbabit memeriksa bilik pejabat utama, ujarnya, dia nampak Memey yang memakai seluar panjang dan blaus warna kelabu sedang berdiri di bahagian tengah bilik itu.
Menjawab soalan pendakwa syarie Muhamad Nazri Basrawi, dia berkata, Memey ketika itu dilihat dalam keadaan tenang bercampur cemas.
Saksi pendakwa keempat itu berkata, selain perabot pejabat di dalam bilik berkenaan, terdapat sebuah tilam ditemui dalam keadaan disandarkan ke dinding dan berlipat.
Jelasnya, beberapa penguat kuasa terbabit kemudian dibawa memeriksa bilik fail dan komputer serta bilik mesyuarat selain bilik air dan bilik stor tetapi tiada sesiapa ditemui.
Semasa di bilik stor tersebut, katanya, penguat kuasa terbabit telah memeriksa keseluruhan bilik itu dan mendapati ada pintu keluar ke bahagian belakang serta terdapat satu jeriji besi tapi dalam keadaan berkunci.
"Mereka bertanya kepada saya sekiranya ada pejabat lain di tingkat atas. Saya jawab ada, di alamat 4-2A premis pejabat yang sama tapi saya tidak bawa kunci sebab saya fikir mereka hendak periksa di premis 4-1A sahaja," katanya.
Tiba di peringkat ini, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili kedua-dua pelakon itu memohon perbicaraan ditangguhkan setelah Memey mengadu sakit perut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Salehan Yatim bersambung 23 April ini.

Penganggur terlepas hukuman mati



KUANTAN 9 April – Seorang penganggur terlepas hukuman mati di tali gantung selepas Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan dia ditahan di Hospital Permai Johor Bahru, Johor setelah didapati membunuh adik kandungnya sendiri.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya memerintahkan demikian terhadap Mohd. Azman Abd. Latif, 34, selepas mendapati lelaki itu menghidap penyakit paranoid schizophrenia semasa membunuh adiknya, tiga tahun lalu.
Mariana dalam penghakimannya berkata, keterangan laporan perubatan hospital tersebut mengesahkan tertuduh berada dalam keadaan tidak sedar semasa menikam adiknya, Mohd. Azmil, 26, sehingga menyebabkan mangsa cedera parah dan menemui ajal.
‘‘Adalah sukar menyatakan tertuduh berfikiran waras semasa kejadian dan disahkan oleh pihak perubatan bahawa tertuduh tidak sedar. Didapati, keterangan perubatan tidak dicabar dengan serius oleh pihak pendakwaan,’’ kata Mariana.

Saksi dakwa buang sampul surat berisi wang



TEMERLOH 9 April – Seorang saksi mendakwa dia membuang sampul surat putih mengandungi wang tunai yang diterima semasa menghadiri majlis doa selamat yang turut disertai oleh Datuk Mohamad Norza Zakaria kerana ragu tentang punca wang itu selain bimbangkan keselamatan dirinya.
Penyelia Kanan Pendidikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Temerloh, Ishak Mat Bakar, 53, berkata, dia bertindak demikian selepas dinasihati seorang anggota polis dikenali sebagai Latif yang memintanya supaya berhati-hati semasa menghadiri majlis itu yang diadakan di rumah Mohammad Anuar Yunus.
Menurutnya, dia diundang ke majlis itu oleh kenalan rapatnya, Pegawai Tadbir Majlis Daerah Temerloh, Norinda Othman, 49, yang memintanya hadir untuk membacakan doa selamat berikutan Mohammad Anuar hendak ke tanah suci menunaikan umrah.
Dakwanya, selepas majlis selesai, Norinda menemuinya untuk menyerahkan sampul surat putih dan sebelum beredar kira-kira pukul 7 petang, dia telah dihubungi oleh Latif.
‘‘Semasa dalam perjalanan (pulang) saya mula risau dan membuka sampul surat berkenaan serta ternampak not RM100 tetapi tidak tahu berapa keping.
‘‘Oleh kerana ragu dan bimbang tentang punca duit itu, demi keselamatan diri, saya terus buang (dari tingkap kereta) duit bersama-sama sampul surat berkenaan,’’ katanya.
Ishak berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Mohamad Norza yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris, saksi pendakwa ke-15 itu berkata, dia tidak sempat bertanyakan kepada Norinda mengenai tujuan pemberian sampul surat mengandungi wang tunai itu.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh itu turut memberitahu, dia tidak mendengar ucapan Mohamad Norza pada majlis tersebut kerana pergi ke bilik air dan duduk di luar majlis.
Ketika menjawab soalan peguam bela kepada Mohamad Norza, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, saksi berkenaan tidak menolak kemungkinan wang tersebut merupakan duit minyak.
Malah dia juga bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa wang itu bukan wang haram sekiranya ia diberikan atas tujuan tersebut.
Terdahulu, Norinda dalam keterangannya mendakwa, sampul surat mengandungi wang sebanyak RM500 itu dianggap sebagai duit minyak dan bayaran bil telefon kerana Ishak banyak menghubungi orang ramai supaya hadir ke majlis itu.
Mohamad Norza, 43, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.
Dia juga menghadapi satu lagi tuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar menerusi Halimi bagi tujuan sama.
Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari lalu di No. 38, Pinggiran Tasik Taman Bandar Temerloh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof bersambung 12 Mei ini.

Datuk saman Berita Harian, Sheila Rusly RM5j



KUALA LUMPUR 9 April - Usahawan terkemuka Datuk Azlina Che Abdullah hari ini memfailkan saman terhadap akhbar Berita Harian dan pelakon, Sheila Rusly @ Rusli untuk menuntut ganti rugi RM5 juta berhubung tiga artikel yang didakwa memfitnah beliau.
Pengasas D'Navechee Beauty itu yang pernah dinobatkan sebagai Wanita Ikon 2008 pada 24 Januari tahun lalu memfailkan saman itu melalui firma guaman, Tetuan Tetuan Azahir Surainie & Azizan Arif di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.
Azlina, 43, yang merupakan bekas rakan kongsi Sheila dalam mengusahakan restoran Nasi Dagang House, menamakan Berita Harian Sdn. Bhd. dan pelakon serta pengacara itu masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan, Azlina selaku plaintif mendakwa, pada 9 Oktober 2005, defendan pertama telah menerbitkan dan mencetak perkataan berunsur fitnah bertajuk Nasi Dagang House Sheila Rusly Bungkus.
Dakwanya lagi, pada 12 Oktober 2005, defendan pertama menerbitkan satu lagi artikel berunsur fitnah bertajuk Sheila Rusly Mintak Nasihat Peguam dan diikuti artikel Ramai Simpati Nasib Sheila yang diterbitkan pada 14 Oktober tahun yang sama.
Menurut plaintif, kesemua perkataan berunsur fitnah yang didakwa terkandung dalam ketiga-tiga artikel tersebut membawa maksud biasa ataupun secara kiasan menggambarkan beliau seorang yang kejam, menindas, berhati busuk, tidak beretika dan penipu.
Dakwa Azlina, artikel tersebut mengandungi butiran palsu kerana Nasi Dagang House tidak ditutup oleh beliau sebaliknya ditutup ekoran kegagalan defendan kedua yang tidak menyambung operasi apabila tiba gilirannya seperti yang dipersetujui.
Azlina menyatakan, meskipun nama rakan kongsi tidak disebut dalam artikel namun perkataan fitnah itu merujuk kepada dirinya atau perniagaannya kerana hanya beliau rakan kongsi defendan kedua.
Menurut plaintif, beliau melalui peguamnya telah menghantar surat kepada defendan pertama supaya memohon maaf kepadanya namun tidak dihiraukan oleh syarikat akhbar tersebut.
Selain ganti rugi am RM5 juta, plaintif menuntut ganti rugi khas, teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai.
Azlina tidak hadir di mahkamah hari ini kerana sedang mengerjakan umrah di Mekah.
Sementara itu, peguam Mohd. Firuz Jaffril yang mewakili Azlina ketika ditemui pemberita berkata, tindakan saman itu lewat difailkan kerana menganggap ketika itu masa tidak bersesuaian.
''Tetapi setelah berfikir semula maka anak guam mengarahkan saya memfailkan saman hari ini,'' kata peguam tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Firuz memaklumkan, Azlina akan hadir memberikan keterangan pada 14 Jun ini bagi kes saman yang dikemukakan oleh Sheila terhadap usahawan tersebut.
Pada 16 Disember 2005, Sheila, 39, menyaman Azlina kerana didakwa telah memungkiri perjanjian lisan antara mereka berhubung perniagaan restoran Nasi Dagang House.
Dalam saman tersebut, Sheila selaku plaintif antara lain menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya, modal RM55,000 dikembalikan dan perjanjian perkongsian lisan itu dibatalkan.

Ke tali gantung akibat cemburu





MOHD. Naki Mohd. Yusuf disabitkan kesalahan membunuh kekasih isteri dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 9 April – Akibat rasa cemburu yang meluap-luap, seorang pengawal keselamatan warga Myanmar bertindak memukul kekasih isterinya dengan sebatang besi tiga tahun lalu.
Apabila mangsa tidak lagi bernyawa, Mohd. Naki Mohd. Yusuf, 44, menyumbat mayat rakan senegaranya yang hanya dikenali sebagai Nowshad 27, ke dalam tangki air di belakang kilang tempat dia bekerja dan tinggal bersama keluarganya.
Dia kemudiannya bertindak melarikan diri ke Johor dengan alasan untuk berkerja selain menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menyuruh isterinya mencari mayat mangsa yang telah dibunuh dan dicampak di lebuh raya.
Hanya kira-kira sebulan selepas kejadian, mayat Nowshad yang telah reput ditemui dan Mohd. Naki kemudiannya ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh mangsa.
Selepas 23 saksi pendakwa dan pembela termasuk tertuduh, dua anak dan isterinya memberi keterangan, dia disabitkan dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas menolak pembelaan tertuduh yang disifatkan sebagai penafian semata-mata.
Beliau dalam penghakimannya berkata, keterangan anak tertuduh yang berusia 16 tahun menunjukkan mangsa dijemput datang ke rumah mereka untuk membaiki motosikal.
Jelas beliau, walaupun saksi enggan memberi keterangan lanjut kerana takut bapanya dihukum gantung, namun dia mengakui melihat tertuduh memukul mangsa selepas berlaku pergaduhan antara kedua- duanya.
‘‘Keterangan membuktikan perkahwinan tertuduh dan isterinya kucar-kacir dan isterinya rapat dengan mangsa.
‘‘Tahap cemburu dan cara menanganinya berbeza-beza. Saya tolak pembelaan tertuduh dan sabitkan dengan pertuduhan yang mempunyai satu hukuman sahaja iaitu gantung sampai mati,’’ katanya.
Mohd. Naki disabitkan dengan tuduhan membunuh Nowshad yang juga pengawal keselamatan di kilang Sin Guat Huat, Jalan Perusahaan 3, Beranang, Kajang pada pukul 9.30 malam, 14 April 2007.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sementara tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamad.

Lima ditahan edar dadah RM250,000



JOHOR BAHRU 9 April - Tiga lelaki dan dua wanita ditahan dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Dalam serbuan itu baru-baru ini, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, syabu, heroin dan ganja seberat hampir tiga kilogram bernilai RM250,000, dipercayai untuk diedarkan kepada 50,000 pelanggan di sekitar negeri ini.
Kesemua mereka yang berusia antara 24 hingga 38 tahun dipercayai orang bawahan yang bertindak mengagihkan bekalan dadah berkenaan kepada para pelanggan.
Serbuan pertama diadakan di Taman Johor Jaya pada pukul 12.45 tengah hari Selasa lalu, diikuti serbuan di sebuah rumah di Kampung Seri Jaya Tampoi kira-kira pukul 3.30 petang hari yang sama.
Susulan daripada itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Uda di sini kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, turut dirampas adalah wang tunai RM20,000 dan beberapa kenderaan seperti Proton Perdana, Proton Wira, Honda Civic dan motosikal Yamaha LC.
"Polis percaya kenderaan itu digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Katanya lagi, hasil ujian air kencing mendapati, salah seorang daripada suspek dikesan positif mengambil dadah jenis ganja.
Beliau seterusnya berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Peragut makin ganas, kejar mangsa dalam pagar



KUALA LUMPUR 9 April - Seorang wanita terpaksa memanjat pagar rumah jirannya semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada serangan seorang peragut ganas yang nekad mengejarnya sehingga ke dalam kawasan rumah.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi semalam, Mary Rose a/p Joseph James, 63, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mutiara, Jinjang di sini selepas berjoging.
Menyedari dirinya diekori dua lelaki bermotosikal yang mencurigakan, mangsa cuba memasuki pekarangan rumah jirannya dengan memanjat pagar untuk menyelamatkan diri.
Dia tidak menyangka seorang daripada penjenayah yang bersenjatakan parang sanggup mengikut memanjat pagar sebelum mengugutnya menyerahkan barang kemas yang dipakai.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek berjaya mendapatkan rantai leher mangsa sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di luar rumah menaiki sebuah motosikal.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat di tempat kejadian, kita percaya suspek merupakan dua lelaki Melayu berusia lingkungan 25 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zakaria berkata, tempat kejadian dikenal pasti bukan kawasan panas jenayah tetapi orang ramai tetap dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak memakai barang kemas serta berjoging sendirian bagi mengelak menjadi mangsa samun.

‘Tak sangka suami sanggup buat begitu’



KUANTAN 9 April – “Saya tak sangka suami sanggup berbuat begitu”, kata Zarina Wahab, 40, yang melecur di muka akibat disimbah cuka getah yang dikatakan dilakukan sendiri oleh suaminya. Namun dia pasrah dengan kejadian itu.
“Berjalan pun tidak berapa elok lagi, tapi masih boleh bangun dan berjalan,” katanya.
Menceritakan peristiwa tersebut, dia berkata tidak menyangka akan disimbah cuka getah.
“Saya tidak sempat mengelakkan diri dan cuka getah itu terus kena ke bahagian kiri muka saya. Saya kemudian pergi ke bilik air dan menyimbah air paip ke muka saya ... agak pedih.
“Tekanan darah saya pun tinggi dan saya juga perlu menerima rawatan susulan selama sebulan untuk proses mencuci kulit supaya kembali seperti sedia kala,” katanya kepada ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini.
Laporan semalam menyebut seorang peneroka yang berang selepas isterinya menolak untuk melakukan hubungan seks, bertindak menyimbah cuka getah ke muka dan tubuh isterinya itu.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, lelaki berusia 47 tahun tersebut dikatakan baru sahaja pulang ke rumahnya di Felda Bukit Sagu 2, Kuantan selepas dipercayai keluar bermain judi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, dalam kejadian tersebut, selain Zarina, anak perempuannya yang berusia tujuh tahun turut terkena percikan asid yang disimbah oleh bapanya dan kini dirawat di hospital sama.
“Ketika kejadian, anak mangsa menerpa untuk menolong ibunya dan terkena percikan asid di bahagian muka. Keadaannya kini juga stabil,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan dan punca sebenar kejadian tersebut, beliau berkata, suspek yang menyerah diri beberapa jam selepas kejadian itu masih disiasat.
“Lelaki itu masih disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pendakwaan akan dibuat selepas polis berpuas hati dengan hasil siasatan,” katanya. – BERNAMA

Curang: Suami sembelih rakan senegara



KUALA LUMPUR 9 April - Semuanya dipercayai angkara cinta tiga segi. Seorang lelaki warga Indonesia sanggup menyembelih rakan senegaranya selepas mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya ketika menumpang di rumah mereka di Kampung Setia, Kuang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam, suspek seorang buruh berusia 26 tahun dikatakan telah menyembelih rakannya yang dikenali sebagai Makrus, 40, sehingga kepala mangsa hampir putus.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, selepas suspek mengesyaki hubungan mangsa dengan isterinya, dia telah melarikan keluarganya ke tempat lain dua hari lalu.
"Bagaimanapun semalam, suspek telah pulang ke rumah itu untuk membuat perhitungan dengan mangsa. Ketika itu, tercetus pertengkaran antara mereka berdua.
"Dalam pergaduhan itu, mangsa dikatakan ditetak berkali-kali di seluruh badan sebelum disembelih dengan sebilah parang sehinggakan terdapat kesan darah hampir di seluruh rumah itu," katanya selepas menyertai lawatan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ke Hospital Selayang sempena sambutan Ulang Tahun Peringatan Hari Polis Ke-203.
Abdul Rahim memberitahu, tindakan suspek memasang radio terlalu kuat ketika kejadian menyebabkan pergaduhan dan pembunuhan itu tidak didengar oleh jiran dan penduduk kampung berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya, tindakan suspek mencuci kesan tompokan darah di dalam rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa, disedari penduduk kampung itu yang kemudian cuba menahannya.
"Semasa penduduk cuba menahan suspek, dia telah melarikan diri mengikut pintu belakang.
"Mayat mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tragis di dalam bilik air rumah berkenaan," ujarnya.
Beliau menambah, polis kini sedang memburu suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, butiran suspek dan keluarganya telah diperoleh melalui jiran mereka.

Dua beradik mati ditembak






Dzuraidi Ibrahim (dua dari kiri) menunjukkan senjata yang digunakan oleh dua penjenayah yang mati ditembak di Taiping pada sidang akhbar di Ipoh, semalam.


IPOH 9 April – Dua lelaki yang ditembak mati oleh polis di Jalan Kamunting, Taiping malam tadi dipercayai penjenayah yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam 18 kes rompakan menggunakan senjata api di lapan buah negeri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, kedua-dua lelaki itu yang merupakan adik-beradik turut memiliki 25 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan jenayah.
Katanya, suspek pertama dikenali sebagai R. Logeswaran, 35, manakala suspek kedua dikenali sebagai R. Satchithantham, 28.
“Satchithantham memiliki empat rekod jenayah lampau dalam kes samun dan pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor. Abangnya pula mempunyai 21 rekod jenayah lampau dalam kes samun bersenjata api serta enam waran tangkap.
“Kedua-dua mereka dipercayai terlibat dalam 18 kes samun bersenjata api, kebanyakannya di kedai emas iaitu sembilan kes di Perak, tiga di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu kes di Selangor, Kedah, Kuala Lumpur dan Perlis,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, kedua-dua mereka ditembak mati selepas melepaskan tembakan ke arah polis dalam cubaan untuk melarikan diri setelah diarah memberhentikan kereta.
Kedua-dua penjenayah terbabit mati di tempat duduk hadapan kereta berkenaan.
Menurut Dzuraidi, polis turut menemui sepucuk pistol jenis revolver .22, sebilah pedang samurai, dua bilah parang dan enam butir peluru dalam kereta dinaiki dua penjenayah itu.
“Kedua-dua suspek ini sangat berbahaya. Mereka merompak dengan memakai topeng ski dan menggunakan kapak. Malah, mereka mesti menunjukkan pistol semasa melakukan rompakan.
“Kita percaya ada lagi di kalangan -rakan mereka yang terlibat dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa kedua-dua penjenayah tersebut merupakan anak kepada seorang pengerusi MIC cawangan di Taiping, Dzuraidi berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.
Beliau turut menafikan dua penjenayah terbabit terlibat dalam kes rompakan barang kemas di kedai emas Plaza OUG, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Dzuraidi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.