Search This Blog

Thursday, April 8, 2010

Perompak belasah pekerja kedai




GAMBAR rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Kemp terbaring selepas dibelasah tiga perompak di kedainya di Coventry, Britain.


COVENTRY - Sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Britain merakamkan insiden seorang pekerja kedai, Debbie Kemp dibelasah dengan baton di kepala oleh seorang perompak, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum dibelasah, Kemp, 43, dan seorang lagi pekerja kedai berkenaan mengejar tiga orang perompak setelah mereka melarikan wang tunai £1,000 (RM4,876) serta beratus-ratus kotak rokok dari kedainya di sini pada minggu lalu.
Rakan pekerjanya itu berjaya menangkap seorang perompak tetapi dua lagi rakan jenayahnya datang semula ke kedai tersebut.
Seorang daripada dua perompak tersebut yang datang untuk membebaskan rakan mereka itu bertindak membelasah wanita berkenaan.
"Mereka (perompak) perlu ditangkap segera. Saya bernasib baik kerana masih hidup setelah diserang," katanya.
Seorang pegawai polis, Simon Tate menyifatkan jenayah itu sebagai kes rompakan kejam dan pihaknya berusaha untuk menangkap kumpulan perompak tersebut. - Agensi

Banjir ragut 102 nyawa




GAMBAR menunjukkan kawasan Lagoa Rodrigo de Freitas yang ditenggelami air di Rio de Janeiro, Brazil semalam.


RIO DE JANEIRO - Hujan lebat di tenggara Brazil sejak Isnin lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 102 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh.
Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Paes berkata, semua jalan utama di bandar raya yang dihuni 16 juta penduduk itu diarah ditutup.
Katanya, banjir yang berlaku selepas hujan sebanyak 28 sentimeter dalam masa 24 jam lalu itu adalah rekod terburuk sejak 48 tahun lalu.
Turut menjadi mangsa ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva apabila beliau sendiri terperangkap di bandar raya yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2016 itu kerana banjir.
"Apa yang boleh kita buat ialah berdoa kepada tuhan agar hujan tidak turun lagi," kata pemimpin Brazil itu kepada sebuah stesen radio tempatan.
Pihak berkuasa mengarahkan semua sekolah ditutup untuk hari kedua berturut-turut bagi memastikan penduduk tidak keluar rumah ekoran lalu lintas yang masih belum pulih.
Banyak kenderaan ringan terperangkap di jalan raya manakala ramai penduduk mengambil keputusan berada di rumah untuk membersihkan lumpur tebal akibat banjir di kediaman mereka. - Agensi

Suami isteri terkorban




ANGGOTA polis melihat mayat sepasang suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebuah kenderaan lain sebelum melanggar pokok di Jalan Loke Yew, Cheras di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa Yong Beng Huat, 40 (gambar kecil), dan isterinya, Lee May Ling, 39, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketika kejadian, kereta jenis Proton Wira yang dipandu oleh Beng Huat difahamkan sedang dalam perjalanan dari Cheras menghala ke ibu negara.
Jurucakap polis berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki.
"Bagaimanapun, cubaan untuk memotong gagal menyebabkan kereta yang dipandu mangsa terlanggar bahagian belakang kereta di hadapannya itu.
"Akibatnya, kedua-dua kereta terbabit tersasar laluan dan kereta mangsa merempuh sebatang pokok di atas pembahagi jalan sehingga remuk di bahagian depan," katanya jurucakap itu semalam.

Ugut sebar gambar bogel setiausaha



08/04/2010 12:56pm

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Izzuddin Che Din, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tiga tuduhan; menyebarkan dan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang setiausaha, Februari lalu.
Majistret Aizatul Akmal Maharani menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tuduhan.
Sebutan kes ditetapkan pada 12 Mei ini. - Utusan

Azean mohon habeas corpus bebas Benjy



08/04/2010 12:57pm

KUALA LUMPUR - Ibu Khaeryll Benjamin Ibrahim (Benjy), Azean Irdawaty hari ini memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya anaknya dibebaskan serta merta dari tahanan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. - Utusan

Menteri dibunuh penunjuk perasaan




SEJUMLAH penunjuk perasaan bertempur dengan anggota-anggota polis di Bishkek, Kyrgyzstan semalam.


BISHKEK - Keadaan di Kyrgyzstan semalam tegang apabila sekumpulan penunjuk perasaan membunuh Menteri Dalam Negeri, Moldomus Kongantiyev yang diserang dalam satu rusuhan di Talas, barat laut negara itu.
Turut menjadi mangsa ialah Timbalan Perdana Menteri, Akylbek Zhaparov yang ditawan sebagai tebusan sejurus selepas Perdana Menteri, Daniyar Usenov mengisytiharkan darurat di seluruh negara, lapor agensi berita Kabar Kyrgyz.
Ketegangan bermula setelah polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang cuba merempuh pintu pagar untuk memasuki ibu pejabat Presiden Kurmanbek Bakiyev di sini.
Penunjuk perasaan bertindak ganas dengan menggempur stesen televisyen kebangsaan dan memaksa semua rancangan digantung dalam satu percubaan dramatik untuk menunjukkan pihak kerajaan mula kehilangan kawalan.
Rusuhan itu berlaku ekoran protes oleh pihak pembangkang yang mendakwa pemerintah melakukan pelanggaran hak asasi, silap menguruskan ekonomi dan mengamalkan autokrasi
Polis turut menangkap bekas perdana menteri, Almazbek Atambayev dan bekas speaker Parlimen, Omurbek Tekebayev dan pembantunya, Bolot Cherniazov ekoran kekacauan itu. - AFP

RM6 bilion dana PTPTN belum guna



KUALA LUMPUR 7 April - Sebanyak RM6 bilion dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih belum digunakan dan ia mencukupi untuk menampung pengeluaran pinjaman kepada pelajar sehingga 2011.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga sekarang PTPTN sudah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM32 bilion dan berjaya membuat kutipan balik 52 peratus daripada jumlah berkenaan.
''Bagi 2009, PTPTN telah membuat kutipan balik lebih RM400 juta daripada jumlah sepatutnya iaitu RM1.07 bilion.
''Jumlah ini berasaskan kepada perjanjian pembayaran bermula selepas enam bulan menamatkan pengajian, namun ada peminjam yang meminta kelonggaran kerana belum bekerja," katanya menjawab soalan Dr. Che Rosli Che Mat (Pas-Hulu Langat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Che Rosli bertanyakan jumlah dana yang perlu disediakan oleh PTPTN untuk pembiayaan pelajar sepanjang 2010 dan pencapaiannya pada 2009 untuk mendapat balik pinjaman.
Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan ia mempunyai dana mencukupi, PTPTN telah membuat perjanjian untuk mendapat pinjaman daripada pelbagai sumber termasuk bank.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau), beliau berkata, PTPTN sentiasa menjalankan kajian secara berterusan bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak mendapat pinjaman.
''Pinjaman PTPTN kini merangkumi pembiayaan yuran dan sara hidup. Terdapat cadangan supaya pelajar daripada keluarga berpendapatan lebih RM3,000 ataupun RM5,000 hanya mendapat pinjaman bagi membiayai yuran sahaja.
''Cadangan lain adalah pinjaman hanya diberikan kepada pelajar yang mengambil kursus yang mudah mendapat pekerjaan dan penuntut di institusi pengajian berkualiti sahaja.
''Perkara ini masih dalam kajian dan tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini,'' katanya.

Bayaran kepada Apco belum ditentukan



KUALA LUMPUR 7 April - Jumlah bayaran kepada Apco Worldwide (Apco) hanya dapat ditentukan selepas kontrak firma perunding komunikasi global itu dengan kerajaan tamat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jumlah pembayaran itu bergantung kepada pelaksanaan sebenar program komunikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
''Jumlah pembayaran kontrak sebenarnya hanya dapat ditentukan selepas kontrak tersebut tamat dan ia diuruskan oleh JPM," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan Apco dilantik oleh kerajaan Malaysia sebagai firma perunding bagi membantunya berkomunikasi menerusi media bentuk baru.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri berkata, sejak gagasan 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kementerian dan agensi kerajaan menjayakan pelbagai program dan usaha untuk mempromosikannya.
''Jumlah kos program 1Malaysia ditentukan oleh kementerian dan agensi kerajaan berkenaan," katanya.

Karpal Singh digantung 10 hari



AHLI Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Karpal Singh selepas beliau diarah meninggalkan sidang Dewan Rakyat, semalam.


KUALA LUMPUR 7 April - Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) hari ini digantung selama 10 hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana bertikam lidah dan menuduh Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai seorang diktator.
Pandikar terpaksa membuat keputusan itu setelah Karpal yang juga Pengerusi DAP berulang-kali menggelar beliau sebagai diktator sambil enggan menarik balik tuduhannya itu.
Pada mulanya, Pandikar hanya mengarahkan Karpal untuk keluar dewan sahaja tetapi beliau masih tidak mengendahkan arahan itu dan berterusan menuduh Pandikar sebagai diktator.
Pandikar: Saya gunakan kuasa saya di bawah peruntukan peraturan mesyuarat 44 (2), sekarang bentara jalankan tugas (menolak kerusi roda Karpal).
Karpal: Yang Dipertua awak adalah diktator, menjadi diktator, ini tidak boleh, awak adalah diktator".
Pandikar: Jika Yang Berhormat ulang lagi, mungkin mahu lebih lama.
Karpal: Yang Dipertua adalah diktator, diktator, diktator, kamu adalah diktator, jangan terlalu stres Yang Dipertua ada masalah penyakit jantung.
Pandikar: Baiklah, saya putuskan digantung selama 10 hari, bentara jalankan tugas.
Karpal: Saya boleh keluar tiada masalah tetapi saya amat kecewa dengan perangai Yang Dipertua, ini adalah amat salah, (sambil ditolak keluar oleh bentara).
Suasana panas itu bermula apabila Karpal mencelah tindakan Pandikar yang menolak usul yang dibawa oleh Tian Chua (PKR - Batu) berhubung desakan supaya kerajaan membatalkan kerjasama antara firma perunding komunikasi global, Apco dengan Malaysia.
Tian Chua yang tidak berpuas hati apabila usulnya itu ditolak menggesa supaya tindakan itu dikaji semula dan dibenarkan untuk dibahas di Dewan Rakyat.
Pandikar menjelaskan bahawa mengikut peraturan mesyuarat 43, setiap keputusan Yang Dipertua tidak boleh dikaji semula dan ia adalah muktamad.
"Sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua boleh buat usul berasingan tetapi jangan sama sekali mempersoalkan keputusan Yang Dipertua kerana ia melanggar peraturan mesyuarat," jelas beliau.
Pada masa inilah, Karpal mencelah mempertikaikan keputusan Pandikar yang disifatkan sebagai tidak konsisten kerana terdapat beberapa kes sebelum ini yang diputuskan tetapi dikaji semula oleh beliau.

Bapa menjerit dihukum mati





JOHOR BAHRU 7 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini gempar dengan tindakan seorang pengawal keselamatan yang tiba-tiba menjerit sebaik sahaja dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh tiga anaknya, enam tahun lalu.
P. Vellertore, 49, pada mulanya bersikap tenang dan tidak memberi sebarang reaksi semasa Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha membacakan keputusannya dalam bahasa Inggeris.
Namun sebaik sahaja seorang jurubahasa menjelaskannya dalam bahasa Tamil, tertuduh dilihat mula cemas dan cuba menyatakan sesuatu ketika Hakim Jeffrey masih membacakan keputusannya.
Secara tiba-tiba, Vellertore yang memakai baju kemeja lengan panjang berwarna biru dan berseluar jean bangun dan menjerit-jerit kepada hakim berkenaan sambil tangannya bergari ditunjukkan ke atas.
''Yang Arif, saya tidak boleh terima hukuman ini. Sumpah saya tidak buat. Tuhan tahu saya tidak buat.
''Saya tidak akan bunuh anak saya. Mahkamah tipu dan saya memang tidak buat dan bukan itu macam,'' jeritnya sambil menangis.
Vellertore disabitkan dengan tuduhan membunuh tiga daripada empat anaknya, Rudraa Kumar, 6, Kessaprata, 5, dan Harini, 3, di rumah mereka di Taman Muhibbah, Saleng, Kulaijaya antara pukul 10.30 pagi dan 3.30 petang, 20 November 2004.
Dia yang dilaporkan cuba menggantung diri selepas itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jiran yang menyedari kejadian tersebut.
Tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizal Shaari.
Hakim Jeffrey dalam penghakimannya memberitahu, beliau tidak menemui alasan kenapa Vellertore tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Beliau juga memahami keadaan tertuduh yang tertekan akibat ditinggalkan isteri dan perlu menyara empat anak pada masa yang sama.
''Apa juga alasan, awak sebagai ayah tidak berhak mengambil nyawa anak dan nyawa mereka perlu dihormati.
''Malah melihat kepada gambar semua mangsa, ia sesuatu yang amat tragis dan memilukan sehingga membolehkan seorang itu hilang selera makan,'' katanya.
Sementara itu, peguam bela Vellertore, Benard George berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan secepat mungkin terhadap keputusan itu.

Anwar dibenar pinda nama Anifah Aman



KUALA LUMPUR 7 April - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk meminda pernyataan tuntutannya dengan menyebut secara khusus nama Datuk Anifah Aman atas kapasitinya sebagai Menteri Luar dalam saman fitnah RM100 juta.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Prasad Sandosham Abraham memutuskan demikian selepas mendengar permohonan peguam Anwar, S.N. Nair untuk meminda nama Anifah yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan pertama atas kapasiti peribadi dan Ahli Parlimen Kimanis.
Ini ekoran daripada hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili Menteri Luar dan kerajaan Malaysia, memohon supaya saman plaintif dibatalkan dengan alasan ia suatu tuntutan yang remeh, menyusahkan serta menyalahgunakan proses mahkamah.
Dalam saman yang difailkan pada 27 Mei tahun lalu, Ketua Pembangkang itu turut menamakan Menteri Luar, defendan kedua dan kerajaan Malaysia defendan ketiga.
''Plaintif sepatutnya memilih siapa yang ingin beliau namakan dalam saman tersebut memandangkan defendan pertama (Anifah) dan defendan kedua (Menteri Luar) adalah orang yang sama.
''Anifah juga telah melantik Shafee & Co. sebagai peguam cara (atas kedudukan peribadi) beliau,'' kata Amarjeet.
Peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah hadir mewakili defendan pertama hari ini.
Amarjeet juga menegaskan, plaintif telah menamakan dengan salah pihak kerajaan selaku defendan ketiga memandangkan saman itu sama sekali tidak menyebut bahawa kerajaan mempunyai liabiliti vikarius (tanggungjawab yang diwakilkan atas apa yang dilakukan oleh orang lain) terhadap defendan pertama dan kedua.
Prasad sehubungan itu memerintahkan supaya Nair memfailkan pernyataan tuntutan yang telah dipinda dalam masa dua minggu.
Di samping itu, Prasad mengarahkan supaya Amarjeet mengemukakan dua isu undang-undang untuk membatalkan saman sekiranya pernyataan tuntutan terpinda oleh plaintif tidak memuaskan.
Ketika ditemui di luar mahkamah Amarjeet memberitahu, isu undang- undang yang dimaksudkan adalah apabila menteri memberikan kenyataan rasmi atau bercakap dalam suatu majlis adakah pendapat yang diberikan mewakili kerajaan meskipun ia berbentuk peribadi.
Isu kedua, sama ada kerajaan mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang untuk menanggung kemudaratan yang diakibatkan oleh perlakuan menteri.
Anwar memfailkan saman tersebut berhubung kenyataan Anifah dalam satu sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada 16 Mei tahun lalu di Jabatan Negara di Washington.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, Anifah dalam kenyataannya mendakwa Anwar pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 September tahun lalu.
Plaintif juga mendakwa, Anifah memfitnahnya dengan membuat kenyataan bahawa Anwar sedang cuba 'membeli' ahli parlimen dan memburukkan imej negara.
Dakwa beliau, Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta menyebarkan sesuatu yang palsu.

Sosilawati diarah fail penyataan balas



SHAH ALAM 7 April - Usahawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya diperintah memfailkan pernyataan balas pembelaan bekas suaminya, Nash berhubung kes tuntutan wang pemberiannya sebanyak RM1.38 juta selewat-lewatnya pada 3 Mei ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Abu Zaky Mohamad hari ini turut menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes tersebut.
Terdahulu, peguam syarie Amli Embong yang mewakili Nash memberitahu, peguam syarie Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili usahawan wanita itu tidak dapat hadir kerana masih dirawat di sebuah hospital swasta akibat demam panas.
Sosilawati, 46, dan Nash, 50, berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor dan bercerai talak satu di depan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat pada 26 Mei tahun lalu.
Berikutan itu, Sosilawati memfailkan tuntutan RM1.38 juta terhadap Nash yang juga vokalis kumpulan Lefthanded di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 21 November tahun yang sama.
Usahawan kosmetik itu menuntut supaya bekas suaminya mengembalikan modal yang pernah dikeluarkannya untuk pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) masing-masing berjumlah RM200,000 serta Public Mutual Berhad (RM500,000).
Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias selaku defendan juga dituntut agar mengembalikan wang RM480,000 yang dikeluarkan oleh Sosilawati bagi menyelesaikan pinjaman bank dan bayaran terhadap sebuah rumah di Seksyen 7 di sini.
Turut dipohon oleh Sosilawati adalah perintah supaya harta yang membabitkan ASB, ASW 2020, saham Public Mutual Berhad dan rumah terbabit diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
Sebelum kes tuntutan itu disebut di mahkamah, kedua-dua pihak cuba menyelesaikan pertikaian melalui kaedah sulh (penyelesaian secara damai) sebanyak dua kali. Bagaimanapun tiada sebarang persetujuan dicapai.
Berikutan itu Nash diarah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan tersebut yang dikemukakan kepada mahkamah pada 25 Mac lalu.
Dalam prosiding hari ini, Nash yang memakai kot dan seluar kelabu hadir bersama peguamnya, manakala Sosilawati tidak kelihatan.

Peniaga ugut sebar video lucah didenda RM2,000



KUALA LUMPUR 7 April - Selain mencederakan teman wanitanya, seorang peniaga turut mengugut untuk menyebarkan video lucah wanita itu.
Perbuatannya itu bagaimanapun membawa padah kepada Cheah Ui Tiong, 34, apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim.
Lelaki itu mengaku mengugut Yeap Pik Woon, 28, dengan berkata akan menyebarkan video lucahnya di Internet, membuat salinan cakera video digital (DVD) untuk dijual di pasar malam dan memanggil orang memecahkan cermin kereta milik mangsa.
Bagi pertuduhan kedua, Ui Tiong mengaku sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Pik Woon.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di A1-134 Plaza Medan Putra Bandar Manjalara Kepong, Sentul di sini pada pukul 5.30 petang, 30 Mac lalu.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan kedua pula, pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aizam Aiza Zamran manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Terdahulu, dalam rayuannya, Ui Tiong menyatakan dia perlu menyara kehidupan isteri, dua anaknya yang masih bersekolah dan ibu bapa yang mengidap penyakit kencing manis serta darah tinggi.
Menurutnya, pendapatannya cuma RM1,000 sebulan dan itu merupakan kesalahan pertamanya.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

Warga Indonesia mengaku merogol dipenjara 12 tahun, sebat enam kali



KOTA BHARU 7 April - Seorang buruh binaan warga Indonesia hari ini dihukum penjara 12 tahun dan sebatan enam kali oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol seorang budak perempuan berusia 13 tahun.
Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman ke atas Nursan Sarabudin, 30, yang berasal dari Mataram, Gunung Sari, Gutlmacam, Indonesia.
Tertuduh didakwa merogol mangsa antara pukul 4 dan 4.10 petang, 3 Jun tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Bendang, Selising, Pasir Puteh.
Dia didakwa mengulangi perbuatan itu sekali lagi antara pukul 4.20 dan 4.55 petang, hari yang sama.
Nursan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Bagi setiap pertuduhan, Dazuki menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan tiga kali. Kedua-dua hukuman berjalan secara serentak berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 5 Jun tahun lalu.
Terdahulunya Timbalan Pendakwa Raya Noor Hamizah Ghazali mengemukakan lebih 10 bahan bukti iaitu sampel kuku, rambut, darah tertuduh dan mangsa, termasuk pakaian yang dipakai ketika kejadian yang dianalisis oleh Jabatan Kimia.
Nursan yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan.
Bagaimanapun Noor Hamizah memohon hukuman berat dijatuhkan kerana peristiwa itu telah menghancurkan masa depan mangsa yang sepatutnya dilindungi oleh orang dewasa seperti Nursan.
''Mangsa masih bersekolah sepatutnya dianggap anak atau adik namun kamu telah merogol dan menggelapkan masa depannya," ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya dimaklumkan bahawa Nursan yang memiliki pasport itu telah beristeri dan mempunyai anak di Indonesia.
Menurut Noor Hamizah, tertuduh yang masuk ke negara ini untuk mencari rezeki telah melakukan jenayah terhadap rakyat tempatan dan hukuman setimpal perlu diberikan.

Pelajar mengaku cuba berzina



SHAH ALAM 7 April - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pelajar tingkatan empat mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas tuduhan membuat persediaan untuk melakukan zina dua tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Mohd. Daud menetapkan 19 Mei ini untuk mendengar rayuan kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 19 dan 16 tahun itu sebelum dijatuhkan hukuman.
Beliau turut membebaskan mereka dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin setiap seorang sementara menunggu hukuman dijatuhkan.
Pasangan remaja itu didakwa membuat persiapan untuk melakukan persetubuhan luar nikah di bilik tidur utama sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dekat sini pada pukul 5 petang, 2 Mac 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor, Muhamad Nazri Basrawi.

Tertuduh ubah pengakuan, mahkamah tangguh hukum



KUALA LUMPUR 7 April - Akibat menyamun dua buah telefon bimbit milik seorang doktor menggunakan parang dan pisau, dua lelaki kini berhadapan dengan kemungkinan meringkuk di penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Ahmad Fikri Husman, 27, dan Azim Mazlan, 21, terpaksa menunggu sehingga 6 Mei ini bagi mengetahui hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka.
Ini kerana peguam bela mereka, Maznah Kamaruddin memohon penangguhan bagi menyediakan rayuan untuk kedua-dua tertuduh yang menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan menyamun tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan tersebut.
Hari ini, Ahmad Fikri, seorang pekerja katering dan Azim, penjaga kedai sepatutnya dibicarakan atas tuduhan tersebut selepas mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 2 April tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyamun Othman Zakaria kira-kira pukul 11.02 malam, 23 Mac 2009 di Internet Cafe Powerlink Station, &0, Blok B, Plaza Sinar Apartment, Jalan 8/38D, Taman Sri Segambut di sini.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Mohd. Yusof mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama.
Menurut fakta kes, mangsa berada di tempat kejadian bersama-sama isterinya ketika tiga lelaki secara tiba-tiba menyerbu masuk ke premis tersebut.
Ahmad Fikri kemudian telah mengacukan sebilah pisau ke arah Othman sambil meminta kedua-dua telefon bimbit mangsa sementara tertuduh kedua yang berada di pintu masuk mengacukan pisau ke arah penjaga kafe siber itu.
Selepas menyamun mangsa, kesemua tertuduh melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

Ameng Spring direman tiga hari



KUALA LUMPUR 7 April - Penyanyi kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail (gambar) direman tiga hari berkuat kuasa hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengugut bekas isterinya.
Perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Ahmad Shakib Ismail pada pukul 11 pagi ini, akan berakhir Jumaat ini.
Ameng ditahan polis semalam ekoran laporan polis yang dibuat oleh bekas isterinya yang merupakan penerbit dan pelakon drama, A. Aida pada 30 Mac lalu.
Wanita itu selaku pengadu dalam laporan tersebut mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan daripada Ameng.
Menurut laporan akhbar hari ini, suspek yang berasal dari Terengganu itu turut didapati positif ganja selepas menjalani ujian air kencing.
Penyanyi yang popular dengan lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati itu kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan ugutan jenayah.
Lima tahun lalu, Ameng pernah didenda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Besut, Terengganu selepas mengaku mengambil dadah jenis methamphetamine.
Ameng bernikah dengan A. Aida pada 1995 dengan dikurniakan seorang anak. Bagaimanapun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian selepas tujuh tahun bersama.

Tukang masak maahad tahfiz disebat, penjara



KUANTAN 7 April - Seorang tukang masak sebuah maahad tahfiz menerima padah akibat minum arak di khalayak ramai apabila dijatuhi hukuman penjara setahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Mohd. Sabri Zulkepli (gambar), 24, yang berasal dari Peramu menjadi pesalah pertama yang dihukum penjara atas kesalahan itu setelah mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Md. Yunos.
Lelaki itu mengaku minum arak di kompleks beli-belah Kuantan Parade di sini pada pukul 5.30 petang, 13 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentabdiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun dan sebatan enam kali.
Abdul Rahman ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, penjara dan sebatan itu adalah sebagai pengajaran supaya tertuduh menginsafi diri daripada perbuatan tersebut.
''Tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak bersalah telah menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Mac lalu, merayu kepada mahkamah supaya dikenakan denda sebanyak RM2,000 dan tiga sebatan.
''Memandangkan pendapatan bulanan tertuduh hanya RM550 sebulan dan menanggung kedua ibu bapanya, maka mahkamah berpendapat wang denda tersebut wajar digunakan untuk masa depan keluarganya,'' katanya.
Menurut Abdul Rahman, hukuman penjara dapat memberi kesedaran kepada tertuduh berbanding denda memandangkan tertuduh masih muda dan belum berkahwin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Farhana Md. Yusup manakala tertuduh tidak diwakili peguam syarie.
Sementara itu, bapa tertuduh yang enggan dikenali terkejut kerana menyangka anaknya hanya akan dikenakan denda dan sebatan.
''Saya betul-betul terkejut apabila mendengar hukuman penjara yang dikenakan ke atas anak saya. Saya akan menyediakan peguam untuk membuat rayuan," jelasnya.

Pelajar mangsa rogol saman kolej RM5 juta



KOTA BHARU 7 April - Seorang pelajar berusia 24 tahun yang menjadi mangsa rogol menyaman sebuah kolej kejururawatan swasta b menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan cuai dalam menyediakan aspek keselamatan di asrama kolej tersebut.
Pelajar tahun pertama Diploma Kejururawatan itu mendakwa akibat kecuaian tersebut, dia telah dirogol oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk bilik asramanya pada 8.15 pagi, 9 Februari tahun lalu.
Writ saman difailkan melalui firma guaman, Rafizi Zubairi & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Wanita tersebut selaku plaintif menamakan kolej kejururawatan yang mempunyai ibu pejabat di Selangor itu sebagai defendan.
Dia diwakili dua peguam Mohd. Rafizi Abdullah dan Mohd. Zubairi Salleh. Turut hadir di mahkamah hari ini ialah kedua ibu bapanya.
Mangsa menuntut defendan membayar ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta selain ganti rugi kecederaan perasaan, trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta.
Turut dituntut ialah ganti rugi am, faedah ke atas penghakiman pada kadar lapan peratus setahun, kos dan lain-lain relif.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menyatakan, dia merupakan penghuni berdaftar di asrama yang disediakan oleh defendan.
Sebelum kejadian itu berlaku, dakwa plaintif, dia dan lima rakan sebiliknya didatangi seorang lelaki yang bertanyakan mengenai seorang perempuan dan apabila gagal menemuinya, lelaki itu keluar dari bilik tersebut.
Plaintif mendakwa, dia kemudian masuk ke bilik air untuk mandi dan secara tiba-tiba lelaki yang sama masuk lalu merogolnya dan tidak mampu melawan kerana lelaki itu bersenjatakan pisau.
Akibat kejadian tersebut, dia mengalami trauma dan sehingga kini masih dalam pengawasan pihak doktor serta mengalami tekanan perasaan sehingga terpaksa menangguhkan pengajian di kolej tersebut.

JSJN akui blog proses dadah wujud



KUALA LUMPUR 7 April - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengakui wujud blog dan laman Internet yang bertindak menjadi 'guru' untuk mengajar teknik memproses dadah sintetik kepada pengedar dan penagih di negara ini.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Othman Harun berkata, bagaimanapun kegiatan tersebut masih terkawal dan tidak membimbangkan berikutan ia dilakukan secara kecil-kecilan dan sederhana.
Katanya, malah siasatan mendapati kegiatan tersebut dilakukan di rumah atau bilik sewa yang dijadikan makmal mini tanpa melibatkan sindiket tertentu.
"Individu yang memproses dadah menggunakan kaedah ini bukan 'profesional' kerana dia boleh menjalankan eksperimen sendiri tanpa perlu ilmu dan kepakaran berkaitan.
"Ia berbeza dengan kegiatan memproses dadah secara besar-besaran oleh sindiket yang menggunakan pakar kimia mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, polis menjelaskan penahanan semula Khairell Benjamin Ibrahim atau Benjy pada 25 Mac lalu membongkar kegiatan memproses dadah yang dipercayai dilakukan oleh pelakon itu sejak enam bulan lalu.
Malah Benjy, 32, didakwa mendapat ilham memproses dadah jenis syabu melalui rujukan di laman web sebelum maklumat itu disalin ke dalam pemacu pena.
Dalam pada itu, Othman memberitahu, dadah jenis sintetik boleh dihasilkan dalam bentuk serbuk atau pil dengan bahan-bahan mentahnya diperoleh di dalam dan luar negara.
Katanya, berikutan itu, pihaknya kini menjalankan pemantauan terhadap blog dan laman web yang dikenal pasti bagi membanteras kegiatan tersebut.

Warga emas 81 tahun cuba rogol remaja



TELUK INTAN 7 April - Niat murni seorang remaja yang sanggup berhenti sekolah untuk membantu keluarganya berkecai apabila dia cuba dirogol oleh majikannya berusia 81 tahun.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam, remaja berusia 15 tahun berasal dari Kampung Terengganu di sini, tergamam apabila lelaki itu meraba badan dan alat sulit mangsa sebelum terus memeluknya.
Timbalan Ketua Polis Hilir negeri, Supritendan Mohd. Zaki Harun berkata, mangsa baru sahaja bekerja di syarikat pembinaan yang dipercayai milik lelaki itu di sini.
"Ketika berada di ruang dapur syarikat berkenaan, tiba-tiba muncul lelaki itu memberi minuman sambil melayan mangsa dengan baik.
"Suspek memberi seperti minyak urut dan menyapu ke badannya hingga bahagian alat sulit mangsa. Kemudian suspek terus memeluk mangsa kuat-kuat," katanya di sini hari ini.
Katanya, dalam keadaan terperanjat, mangsa cuba melawan sambil menjerit meminta pertolongan sebelum berlaku pergelutan.
"Mangsa yang berjaya melepaskan diri terus memberitahu ahli keluarga mengenai kejadian menimpanya sebelum membuat laporan di balai polis Teluk Intan," kata Mohd. Zaki.
Beliau berkata, polis telah menahan suspek tetapi membebaskannya semula atas faktor usia dan kesihatan suspek.
Bagaimanapun katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba mencabul gadis bawah umur.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang remaja berusia 19 tahun menyerah diri kepada pihak polis kerana merogol teman wanitanya berusia 13 tahun.
"Kejadian berlaku kira-kira dua bulan lalu. Suspek yang berasal dari Batu 71/2, Jalan Changkat Jong, ditahan pada 30 Mac lalu.
"Mangsa mengadu dirogol oleh kekasihnya sewaktu di rumah kakaknya pada 17 Januari lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi," katanya
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan telah merogol gadis bawah umur.

Mati ditumbuk menantu



SHAH ALAM 7 April - Hasrat seorang bapa untuk menemui anak perempuannya untuk melepaskan rindu tidak kesampaian apabila dia maut setelah ditumbuk oleh menantunya sendiri di Subang Jaya dekat sini kelmarin.
Kejadian berlaku apabila Mohd. Nasir Abdullah, 54, datang ke rumah itu dari Pulau Pinang bersama isteri dan seorang lagi anaknya.
Bagaimanapun mangsa telah dihalang oleh suspek yang berusia 29 tahun sehingga berlaku pergelutan dan tumbuk-menumbuk.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, suspek menumbuk badan Mohd. Nasir sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan.
Beliau berkata, Mohd. Nasir kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.
"Ekoran daripada kejadian itu, kita telah menahan suspek dan bapanya bagi membantu siasatan.
"Ini kerana bapa suspek yang berusia 52 tahun juga turut serta dalam pergelutan itu," katanya di sini hari ini.
Menurut Omar, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan kedua-dua suspek direman sehingga 12 April ini.
"Kedua-dua suspek itu telah ditahan pada hari kejadian selepas keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya," katanya.
Dalam kes berasingan, seorang pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang sanggup bersekongkol dengan teman lelakinya merancang satu penculikan palsu bagi mendapatkan wang tebusan RM15,000 daripada keluarganya.
Kata Omar, pelajar jurusan Diploma Farmasi berusia 21 tahun itu dikatakan sanggup berlakon menjadi mangsa culik demi membantu teman lelakinya yang mengalami masalah kewangan.
"Penculikan palsu itu dipercayai dirancang oleh teman lelaki pelajar kolej terbabit berusia 21 tahun yang juga dipercayai seorang pelajar," katanya.
Ujar beliau, sepanjang tempoh itu, pelajar perempuan tersebut telah menetap di rumah teman lelakinya di Gombak.
"Penculik itu juga dikatakan memaklumkan keluarganya bahawa 'mangsa' diculik di belakang Pasar Raya Warta, Taman Sri Selayang.
"Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 10 April ini dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu culik," katanya.
Beliau berkata, bapa pelajar kolej tersebut bekerja sebagai pemandu lori.
Katanya, polis menahan tiga individu dalam dua tangkapan berasingan, kelmarin, terdiri daripada pelajar kolej itu, teman lelakinya dan rakan mereka.

Foto kedua penjenayah tembak mati rakan diedar



KUALA LUMPUR 7 April - Polis hari ini mengedarkan satu lagi gambar penjenayah yang menembak mati rakannya, sebelum melarikan hasil rompakan barang kemas dari sebuah kedai emas di Plaza OUG, Jalan Klang Lama kelmarin.
Ini merupakan gambar kedua yang diperoleh daripada kamera litar tertutup (CCTV) selepas gambar pertama disiarkan menerusi media semalam.
Gambar kali ini memaparkan gelagat suspek yang sedang berjalan, dipercayai saat-saat dia menghampiri kedai emas itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya berharap orang ramai boleh membantu polis menjejaki suspek yang dikehendaki itu.
"Polis sedang giat memburu lelaki ini sejak hari kejadian namun setakat ini masih tidak berhasil.
"Gambar terbaru ini diharap boleh memberi gambaran lebih jelas kepada orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis jika melihatnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, seorang perompak sanggup menembak mati rakannya sendiri yang cedera ketika kedua-dua penjenayah itu melarikan lapan dulang barang kemas dari sebuah kedai emas.
Kejadian pukul 2.40 petang berlaku di sebuah kedai emas di plaza berkenaan ketika dua penjenayah terbabit sedang meloloskan diri setelah mengaut barang kemas bernilai kira-kira RM500,000.
Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat kepada polis boleh menghubungi talian RakanCop 03-21159999 atau menghantar khidmat pesanan ringkat (SMS) ke POLISKL 32728

Ibu, anak ditahan disyaki edar dadah



KUANTAN 7 April - Seorang ibu seharusnya menjadi contoh terbaik buat anaknya, namun lain pula berlaku di sini, apabila wanita itu bersekongkol dengan anak lelakinya untuk mengedar dadah.
Perbuatan mereka terbongkar apabila kedua-duanya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang disyaki dijadikan pusat pengedaran dadah di Jalan Darat Makbar, di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 10.30 malam itu, polis merampas dadah dipercayai syabu dan heroin seberat 1,375.5 gram bernilai RM116,173 dan ganja seberat 381.3 gram bernilai RM12,710.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, ketika serbuan, dua beranak tersebut sedang berada di dalam rumah.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui satu peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin di dalam salah sebuah bilik.
"Dadah selebihnya kita jumpa disorokkan di dalam sebuah mesin di tepi tangga dalam sebuah bilik di rumah suspek.
"Ibu warga emas berusia 65 tahun itu dipercayai terlibat sama dengan anaknya berusia 38 tahun untuk mengedar dadah yang dibawa masuk dari negara jiran," katanya di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supritendan Yap Toon Khuan.
Sharifuddin berkata, siasatan mendapati ibu yang mempunyai dua anak itu pernah ditahan kerana terlibat dengan pengedaran dadah pada hujung tahun lalu.
"Kita percaya kedua-dua beranak yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ini telah aktif terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sini sejak setahun lalu," katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menyita barangan kedua-dua suspek itu bernilai RM117,800 termasuk barang kemas, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua akaun bank sebanyak RM29,300 dan wang tunai sebanyak RM2,278.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
"Kedua-duanya kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan," ujarnya.

Pelajar dakwa dibuli 'Geng Kapak'





PEKAN 7 April - Seorang pelajar perempuan mendakwa sering menjadi mangsa buli dan ugutan oleh empat rakan sekelasnya yang menggelarkan diri mereka 'Geng Kapak' sejak Februari lalu.
Sepanjang tempoh itu, geng tersebut dikatakan meminta wang 50 sen hingga RM1 daripada mangsa dan akan memukulnya jika tidak memenuhi permintaan mereka.
Terbaru, kira-kira pukul 1 petang semalam, Norizan Janal Abidi, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Mat di sini, cedera dilibas dengan kerusi di punggung.
Kepala mangsa turut ditekan di atas meja sehingga tudung yang dipakainya tertanggal.
Menurut mangsa yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu, kejadian berlaku apabila dia enggan memberikan wang seperti diminta.
"Mereka selalu minta wang daripada saya iaitu sebanyak 50 sen hingga RM1. Memang saya tidak pernah beri dan sebab itulah mereka sering pukul saya.
"Semalam, saya terpaksa menipu menyatakan berpuasa dan tidak ada wang menyebabkan mereka menolak saya semasa menuruni tangga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Serai, Jalan Tanjung Selangor, di sini hari ini.
Berikutan kejadian itu, Norizan memberitahu, dia telah mengadu kepada pengetua sekolah kerana sebelum ini hanya mendiamkan diri kecuali kepada ibunya.
"Apabila pengetua masuk ke kelas mencari pelajar itu, keempat-empat mereka menghilangkan diri.
"Bagaimanapun, selepas pengetua keluar dari kelas, mereka datang dan menyerang saya bertalu-talu. Semua pelajar hanya melihat kerana takut dengan kumpulan tersebut," jelasnya.
Norizan mendakwa, geng itu pernah menggunakan pisau untuk mengasah pensel dan kaca untuk menakut-nakutkan dirinya supaya tidak melawan.
"Mereka juga akan meraba-raba kocek baju sekolah dan mencari wang tetapi tidak berjaya kerana saya awal-awal lagi menyembunyikannya di dalam kasut sekolah.
"Apa yang membuatkan saya rasa malu, apabila tidak menemui wang di dalam kocek, mereka akan meraba ke dalam baju untuk mencarinya," ujarnya.
Sementara itu, ibu mangsa, Jelimah Abdullah, 40, berkata, dia terkejut mendapati anaknya pulang ke rumah dengan berjalan terhuyung- hayang dan kesakitan semalam.
"Sebaik sahaja membuka pintu, saya terkejut apabila melihat wajahnya kemerah-merahan seperti menahan sakit.
"Apabila diperiksa, lehernya bengkak kerana ditumbuk dan ditekan ke meja manakala punggungnya bengkak dilibas dengan kerusi," katanya yang merupakan seorang peniaga.
Sebelum ini, ujarnya, Norizan sering mengadu dipukul dan dibuli tetapi dia hanya meminta anaknya supaya merujuk kepada guru kerana tidak mahu campur tangan dalam hal sekolah.
"Namun apabila keterlaluan macam ini, saya segera melaporkan kejadian ini kepada polis supaya keselamatan anak saya terjamin," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.